Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Honda Jazz facelift terkini dari imej brosur Jepun

    Honda Jazz facelift terkini dari imej brosur Jepun

    Gambar-gambar brosur yang terlepas diinternet, yang menampilkan Honda Jazz facelift, kini mula beredar dan dikongsikan oleh pengguna Twitter @Ren_games_ dan CarDrive.

    Jazz terbaru berkenaan (atau dikenali sebagai Fit di Jepun) khabarnya akan diperkenalkan di sana pada bulan Jun tahun ini, menampilkan beberapa perubahan. Bahagian depan yang direka semula kelihatannya menerima kemasan krom pada bahagian atas logo Honda, serta lampu utama yang lebih tajam juga menerima kemasan yang sama.

    Walaupun kualiti gambar yang ada bukan resolusi tinggi, masih dapat dilihat rekaan chrome wing terdahulu yang terletak di bahagian bawah logo kini tidak lagi disertakan. Bahagian belakang bagaimanapun menempatkan hanya sedikit perubahan daripada model sedia ada; garis kemasan krom di bahagian bawahnya.

    Beberapa gambar lain pula menunjukkan model hatchback hadir dengan kit badan yang lebih agresif; bampar yang lebih tajam rekaannya. Begitu juga pelindung lampu kabus, kit sisi dan spoiler belakang.

    Setakat ini, masih belum ada gambar-gambar ruang dalaman model terkini Jazz berkenaan. Namun, jika dilihat perubahan di luar, boleh dijangkakan kabin dalamnya juga hanya akan menerima pembaharuan yang minimal. Bagi enjin, ia akan terus menggunakan enjin 1.5 liter dan 1.3 liter i-VTEC petrol.

    Selain itu, versi janaan hibrid juga turut ditawarkan – dengan enjin 1.5 liter i-VTEC kitaran Atkinson, motor elektrik, bateri lithium-ion serta transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan. Setakat ini, masih belum kedengaran penggunaan enjin 1.0 liter. Itu mungkin akan digunakan pada model Jazz generasi baru yang dikhabarkan akan keluar pada 2019.

     
     
  • Nissan X-Trail Edisi Aero diperkenalkan – 2.0L 2WD Edisi Aero, 2.5L 4WD Edisi Aero, harga dari RM141k

    Nissan X-Trail Edisi Aero diperkenalkan – 2.0L 2WD Edisi Aero, 2.5L 4WD Edisi Aero, harga dari RM141k

    Tidak dinafikan, sejak dilancarkan pada Januari 2015, Nissan X-Trail menjadi antara SUV yang popular di Malaysia. Apatah lagi ia menerima sentuhan rekaan yang lebih elegan, bahkan dikenali sebagai ‘baby Murano’ kerana X-Trail dikatakan memiliki imej yang agak mirip dengan SUV premium itu.

    Hari ini, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) telah mengumumkan kehadiran edisi khas bagi X-Trail yang dikenali sebagai X-Trail Edisi Aero. Masih ditawarkan dengan dua varian iaitu 2.0L 2WD Edisi Aero dan 2.5L 4WD Edisi Aero, ia hadir dengan alat ganti yang direka khas oleh TOMEI Motor Co., Ltd, satu jenama Jepun yang memang terkenal dengan teknologi dan prestasinya dalam sukan permotoran.

    Ia merangkumi satu aero bampar hadapan, spoiler sisi bawah dan aero bampar belakang untuk memberikan penampilan lebih garang. Edisi Aero ini juga hadir dengan rim aloi lima jejari bersaiz 17-inci dan tempat duduk kulit Nappa berwarna perang yang memberikan rasa sofistikated kepada ruang dalaman. Lain-lain elemen masih dikekalkan seperti mana versi standard.

    Walau bagaimana pun, penjana kuasanya masih dikekalkan iaitu 2.5L 4WD dipadankan dengan enjin QR25DE-k2 bersama Twin CVTC yang mampu menawarkan kuasa maksimum 171PS pada 6,000rpm dan tork 233Nm pada 4,000rpm. Varian 2.0L 2WD pula menggunakan enjin MR20DD dengan sistem pancitan terus dan Twin CVTC, ia berupaya menjana kuasa sehingga 144PS pada 6,000rpm dan tork 200Nm pada 4,400rpm.

    Kedua-dua varian ini turut dipadankan kotak gear Xtronic CVT generasi baharu dengan mod manual tujuh-kelajuan serta sistem ECO Mode untuk menawarkan penjimatan bahan api yang lebih baik, selain prestasi pemanduan lebih lancar dan berkuasa.

    Bagi aspek keselamatan, kedua-dua varian ini dilengkapi dengan dua beg udara, ABS, EBD, BA, Kawalan Dinamik Kenderaan, Bantuan Mula Mendaki, Isofix dan Kawalan Chasis Aktif. Walau bagaimana pun varian 2.5 4WD memiliki pertambahan elemen keselamatan iaitu Kawalan Turun Bukit.

    Harga bagi kedua-dua varian adalah seperti berikut:

    Nissan X-Trail Edisi Aero diperkenalkan – 2.0L 2WD Edisi Aero, 2.5L 4WD Edisi Aero, harga dari RM141k

    Setiap pembeliannya turut hadir dengan jaminan selama tujuh tahun serta perbatuan tanpa had. Sementara semua aksesori yang dipasang di kilang itu hadir dengan jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana yang terdahulu).

    Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng berkata, “X-Trail telah menjadi SUV terlaris No.1 di Malaysia (Tahun 2015- Tahun 2016). Kami percaya X-Trail Edisi Aero baharu ini akan menarik minat mereka yang mahukan sebuah SUV Jepun mewah dan premium.”

    Sempena ulang tahun ke-60 Tan Chong, ETCM menawarkan pelanggan dengan tawaran menarik ke atas X-Trail Edisi Aero. Pelanggan boleh berjimat sehingga RM6,000 atau memilih rebat Hari Raya berjumlah RM4,500 bersama promosi RM1.00 untuk Multimedia Navigator bersaiz 8-inci.

    Malah pemilik NISSAN X-Trail sedia ada yang berminat juga boleh menaik taraf SUV mereka dengan Edisi Aero. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web: www.nissan.com.my atau kunjungi mana-mana bilik pameran NISSAN di seluruh negara.

     
     
  • Kia Cerato Koup tidak lagi berada di pasaran US ekoran jualan yang kurang memberangsangkan

    Kia Cerato Koup tidak lagi berada di pasaran US ekoran jualan yang kurang memberangsangkan

    Menurut laporan yang disiarkan oleh CarsDirect, Kia tidak akan meneruskan penjualan Cerato Koup (atau lebih dikenali sebagai Forte Koup di kebanyakan pasaran) di Amerika Syarikat (US) ekoran permintaan pelanggan yang tidak memberangsangkan.

    “Melihat akan perkembangan pembelian pelanggan kami, Kia Motors America (KMA) sepakat untuk tidak meneruskan model Koup dua-pintu kerana jualannya yang menyusut pada tahun lalu,” ujar jurucakap Kia James Hope.

    Cerato Koup ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 2.0 liter empat-silinder GDI (173 hp) dan yang lebih berkuasa, 1.6 liter pengecas turbo GDI bersama kuasa 201 hp. Bagi pasaran Malaysia, model coupe dua-pintu ini masih diteruskan penjualannya, dan juga dilengkapi dengan penjana kuasa turbo.

    Penyingkiran model ini di US tidaklah suatu yang mengejutkan disebabkan Forte 2017 telah hadir dengan pelbagai penambahbaikan, malah terkini Honda Civic Coupe juga hadir dengan pakej yang lebih lengkap bersama harga yang lebih kurang sama. Menurut CarsDirect, Cerato Koup berharga USD20,740 (RM89,752), manakala Civic Coupe bermula pada harga USD20,825 (RM90,120).

    GALERI: Kia Cerato Koup (Spesifikasi Malaysia)

     
     
  • Modenas keluarkan teaser model baharu – tiga model berbeza karekter akan diperkenalkan 19 Mei ini

    Modenas keluarkan teaser model baharu – tiga model berbeza karekter akan diperkenalkan 19 Mei ini

    Sebelum ini kami telah mengeluarkan laporan bahawa Modenas sah menjalinkan kerjasama dengan pengeluar motosikal daripada India iaitu Bajaj Auto Ltd (BAL). Ia dilakukan supaya Modenas dapat menawarkan lebih banyak produk dan berada lebih kukuh dalam pasaran motosikal bukan sahaja di dalam Malaysia, tetapi juga untuk pasaran eksport.

    Hasil daripada kerjasama ini dijangka menemui pengguna dalam masa yang pantas, di mana melalui gambar teaser pertama yang dikeluarkan sendiri oleh Modenas di laman Twitter, akan berlaku pada 19 Mei ini. Malah, bukan satu model yang diperkenalkan, tetapi tiga.

    Daripada gambar yang dikeluarkan, boleh dijangka model ini adalah Bajaj Pulsar NS200, iaitu sebuah motosikal naked yang menggunakan enjin empat strok 199.5 cc satu silinder SOHC dan mempunyai sistem suntikan bahan api. Kuasa yang mampu dikeluarkan oleh enjin ini adalah 24.5 PS pada 9,750 rpm dan 18.6 Nm pada 8,000 rpm.

    Selain NS200 ini, kami menjangkakan dua model selebihnya adalah RS200, iaitu model yang menggunakan enjin sama, tetapi badan sebuah sportsbike dengan fairing penuh dan satu lagi adalah model cafe racer yang bernama Bajaj V.

    Apa pendapat anda? Bolehkah model-model ini diterima untuk pasaran Malaysia jika harganya lebih menarik berbanding pesaing yang ada sekarang?

     
     
  • Malaysia merupakan antara 50 negara tertinggi di dunia dalam kadar pemilikan kenderaan – Liow

    Malaysia merupakan antara 50 negara tertinggi di dunia dalam kadar pemilikan kenderaan – Liow

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai telah mendedahkan peningkatan jumlah kenderaan terkumpul di Malaysia semakin meningkat iaitu sebanyak 27.6 juta buah kenderaan pada 2016, berbanding 20.2 juta pada tahun 2010.

    Manakala Bilangan pemandu yang dilesenkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)juga meningkat sebanyak 20.69% dalam tempoh lima tahun iaitu 1.38 juta orang pada tahun lalu, berbanding 1.22 juta orang pada 2010, laporan Bernama.

    Justeru, katanya, ini membuatkan tugas dan tanggungjawab JPJ juga semakin bertambah.

    “Dengan rekod yang dicatatkan oleh JPJ ini, menunjukkan bahawa keperluan pengangkutan yang mendesak menyebabkan kadar pemilikan kenderaan di Malaysia antara 50 negara tertinggi di dunia, sekaligusmenjadikan perkhidmatan JPJ amat kritikal,” katanya.

    Dalam masa yang sama Liow turut menyuarakan kegusarannya apabila kadar kemalangan di negara ini juga masih berada pada tahap membimbangkan dengan 512,466 kemalangan direkodkan pada tahun lalu.

     
     
  • IIMS 2017: Mitsubishi Pajero Sport kini CKD Indonesia

    IIMS 2017: Mitsubishi Pajero Sport kini CKD Indonesia

    Mitsubishi Pajero Sport terkini masih belum tiba di Malaysia, tetapi di Indonesia, SUV yang diasaskand daripada model Triton itu sudah memasuki fasa keduanya. SUV tujuh-tempat duduk itu kini dipasang secara CKD di sana, dan akan dijual bersekali dengan model yang dibawa masuk dari Thailand.

    Pemasangan tempatan yang dilakukan di kilang baru Cikarang itu memberikan nilai tambah dan penjimatan yang lebih banyak bagi model berkenaan. Ini termasuk penawaran dari varian Pajero Sport Dakar 4×2 Ultimate yang tampil dengan kelengkapan tambahan untuk pengguna.

    Beberapa ciri teknologi keselamatan menjadikannya lebih berbaloi; tujuh beg udara (model import dari Thailand hanya ada dua beg udara), Forward Collision Mitigation System, Blind Spot Warning, Ultrasonic Misacceleration Mitigation System dan Adaptive Cruise Control antara yang dimaksudkan.

    Ia turut menerima skrin monitor sembilan inci yang turut dihubungkan bersama unit radio 2-DIN dan sistem audionya. Lagi tambahan-tambahan kecil yang lain ialah butang kunci pada panel pintu pemandu serta suis tingkap kuasa dengan nyalaan lampu. Di bahagian dalam, warna latar biege serta kemasan kayu menjadi pilihan pengeluarnya.

    Spoiler belakang turut memberikannya imej yang lebih menonjol dari aspek luaran. Rekaan lampu yang “panjang” serta wajah Dynamic Shield kekal seperti sebelumnya. Turut dikekalkan ialah enjin yang digunakan; 2.4 liter MIVEC turbodiesel dengan janaan 181 PS dan 430 Nm tork, yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan. Pajero Sport Dakar 4×2 Ultimate dijual pada harga 549 juta Rupiah (RM178,401).

    Mitsubishi Pajero Sport Dakar 4X2 Ultimate

    Mitsubishi Pajero Sport Dakar 4X4

     
     
  • Caj Jalan Raya untuk kenderaan dari Thai bakal dilaksanakan dalam masa terdekat ini – Liow

    Caj Jalan Raya untuk kenderaan dari Thai bakal dilaksanakan dalam masa terdekat ini – Liow

    Selepas kenderaan Singapura yang memasuki Malaysia menerusi sempadan Johor dikenakan Caj Jalan Raya (RC) pada November lalu, perkara yang sama juga akan dilaksanakan bagi kenderaan asing yang datang dari Thailand, dalam masa terdekat ini.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, rundingan sedang dilaksanakan dengan pihak berkaitan khususnya Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri yang merupakan laluan masuk ke Thailand, iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan, seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    “Bayaran yang akan dikenakan ialah RM20. Setiap negeri apabila mereka kutip dari sempadan masing-masing, kami akan serah semula RM5 kepada kerajaan negeri terlibat. Ini sama seperti yang dipraktikkan di Johor,” ujar Liow baru-baru ini.

    Liow juga memaklumkan kutipan RC bagi kenderaan dari Singapura sejak ia dilaksanakan adalah sebanyak RM7.9 juta, namun menegaskan kutipan itu bukan semata-mata bersifatkan keuntungan.

    “Ini bukan dilihat dari segi hasil sahaja. Kami lihat dari segi keselamatan kerana tidak mahu kereta klon atau kenderaan yang masuk dari Singapura. Mereka harus pulang. Kami boleh kesan. Dulu mereka masuk dan letak kenderaan di sini, banyak kenderaan yang sudah berusia lebih 10 tahun… yang tidak boleh digunakan di sana, dihantar ke Malaysia,” katanya.

     
     
  • Perodua Bezza kini turut dipasarkan di Mauritius

    Perodua Bezza kini turut dipasarkan di Mauritius

    Perodua telah melancarkan Bezza, di Mauritius, sekaligus menjadikan kepulauan tersebut sebagai destinasi eksport kedua bagi model sedan terlaris di Malaysia itu.

    Dengan kerjasama pengedar sah di sana, Raouf Dusmohamud & Co Ltd., varian Bezza yang dibawa masuk ke Mauritius termasuklah 1.0L dan 1.3L Premium yang kedua-duanya hadir dengan transmisi automatik dan manual.

    “Mauritius merupakan pasaran strategik bagi kami kerana negara kepulayan berkenaan adalah salah satu destinasi percutian popular di dunia dan dengan adanya Perodua Bezza ini, ia mampu memberikan pendedahan secara global seperti mana yang diperlukan,” ujar Presiden dan CEO Perodua Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

    Pelancaran Bezza di Mauritius dilangsungkan di bilik pameran Rauf Dusmohamud & Co Ltd, Port-Louis, kelmarin dan turut dihadiri oleh Pengarah Urusan syarikat pengedar tersebut, Raouf Dusmohamud.

    Bezza 1.0L manual dijual pada harga 562,884 Mauritian Rupee (RM70,405.35), sementara Bezza 1.0L auto pula 589,268 Mauritian Rupee (RM 73,705.45).

    Perodua Bezza kini turut dipasarkan di Mauritius

    Bagi Bezza 1.3L Premium X manual pula berharga 657,699 Mauritian Rupees (RM 82,264.78) dan Bezza 1.3L autopada harga 684,990 Mauritian Rupee (RM 85,678.33).

    “Kami mensasarkan jualan Bezza sebanyak 168 unit setahun termasuk bagi perniagaan kereta sewa, teksi bandar, pilihan golongan muda profesional dan juga keluarga muda. Kami percaya model ini bakal diterima baik di sini kerana ia bukan sahaja sebuah kereta yang menjimatkan bahan api, bahkan pemilikannya juga melibatkan kos yang rendah, luas malah memiliki rekaan yang menarik,” ujar Dusmohamud pula.

    Selain Bezza, Raouf Dusmohamud & Co Ltd turut memasarkan Axia dan Alza di negara berkenaan. Syarikat ini mula menjadi pengedar bertauliah Perodua sejak tahun 1996 dan sehingga kini telah menjual lebih 2,000 unit kenderaannya di sana, termasuklah Viba yang menjadi model terlaris iaitu sebanyak 711 antara tahun 2008 hingga 2014. Sebelum ini, syraikat berkenaan turut pernah memasarkan Kancil, Rusa, Kelisa, Kembara dan Myvi.

     
     
  • JPJ pasang tujuh lagi kamera AES sebelum akhir 2017

    JPJ pasang tujuh lagi kamera AES sebelum akhir 2017

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengesahkan bakal memasang tujuh lagi kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di beberapa lokasi yang sering berlaku kemalangan, sebelum akhir tahun ini.

    Menurut Ketua Pengarahnya Datuk Seri Nadzri Siron, ia adalah sebagai tambahan kepada 14 kamera AES sedia ada yang berada di seluruh Semenanjung.

    Katanya lagi, JPJ dengan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) telah meneliti beberapa lokasi tumpuan yang sering berlaku kemalangan, laporan Bernama.

    “Penambahan kamera ini dilihat mampu mengurangkan jumlah kemalangan di negara ini,” ujarnya sambil enggan mendedahkan tarikh pemasangan dan lokasi tujuh kamera AES yang bakal dipasang itu.

    JPJ pasang tujuh lagi kamera AES sebelum akhir 2017

    Dalam masa yang sama, Nazdri turut mengulas mengenai Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang telah dilaksanakan sejak 13 hari.

    “Sehingga kini, sebanyak 19,230 saman telah dikeluarkan. Ia meliputi 16,791 saman bagi kesalahan memandu melebihi had laju dan 2,439 saman kerana melanggar lampu isyarat merah bagi tempoh 15 hingga 27 April.

    “Walaupun kita telah melaksanakan sistem ini, tapi peningkatan jumlah saman memperlihatkan sikap atau kesedaran masyarakat untuk mematuhi undang-undang masih di tahap rendah,” katanya.

     
     
  • Motosikal tak boleh guna laluan paling kanan di M’sia?

    Motosikal tak boleh guna laluan paling kanan di M’sia?

    Kami menerima sebuah emel daripada seorang pambaca paultan.org, N.C (pengadu), yang memaklumkan satu situasi yang dialaminya sendiri. Kejadian berlaku ketika kereta yang dipandunya berada dilaluan paling kanan (laluan laju) di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

    Tak semena-mena, sebuah motosikal memotong dari sebelah kanan – dan berada di antara keretanya dan tembok konkrit pembahagi jalan – dan kemudian berlaku perlanggaran kerena jangkaan penunggang itu meleset dan tak lepas memotong kenderaan itu.

    Lebih mengejutkan, selepas membuat laporan polis, beliau dimaklumkan tiada tindakan yang boleh diambil terhadap penunggang motosikal itu, kerana dia “tidak melakukan apa-apa kesalahan”. Di sebabkan ini, beliau juga tidak dapat menuntut apa-apa ganti rugi daripada insurans si penunggang. Kurang lebih, begitulah situasinya.

    Ini menimbulkan pertanyaan, bukankah motosikal sepatutnya berada di bahagian kiri jalan, dan bukannya di laluan paling kanan? Jika ini betul, maka tentulah dalam situasi seumpama itu, penunggang motosikal yang “salah”. Dari sudut undang-undang jalan raya, apa sebenarnya yang tertulis berkaitan perkara ini?

    Pengadu seterusnya mengirimkan emel dan meminta penjelasan tentang duduk letak perkara ini daripada ibu pejabat JPJ Putrajaya. Jawapan ringkas yang diterima mengesahkan kedudukann si pengadu; penunggang motosikal tidak sepatutnya berada di laluan paling kanan.

    Motosikal tak boleh guna laluan paling kanan di M’sia?

    Kami cuba dapatkan maklum balas daripada JPJ dan polis trafik berkaitan perkara ini, namun masih belum berhasil. Kami kemudiannya menyoroti beberapa perkembangan dan pandangan sebelum ini berikutan hal sama.

    Pada Mac tahun lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi ada mengeluarkan kenyataan bahawa Kementerian Pengangkutan akan meminta pihak berkuasa berkaitan jalan raya untuk menghalang motosikal daripada menggunakan laluan utama di lebuhraya yang sudah diwartakan.

    Tujuannya hanya satu, untuk mengurangkan kemalangan melibatkan motosikal. Namun, setakat pegetahuan kami, tiada perkembangan susulan tentang hal ini. Setakat 2011, tiada peraturan baru yang diwartakan secara rasmi bertujuan untuk menghalang motosikal daripada menggunakan laluan paling kanan.

    Rujukan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 juga tidak menjelaskan perkara ini. Ada sumber yang diyakini juga menyebut, memang motosikal tidak boleh berada di lorong kanan, bahkan di laluan utama sekiranya lorong motosikal telah diwartakan bagi sesebuah jalan atau lebuhraya.

    Sebagai contoh, Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya KESAS yang ada lorong atau laluan khas untuk motosikal – adalah menjadi kesalahan untuk penunggang berada di dalam aliran trafik utama lebuhraya berkenaan.

    Motosikal tak boleh guna laluan paling kanan di M’sia?

    Namun, bagi jalan-jalan di mana lorong khas motosikal tidak diwartakan, penunggang boleh menggunakan mana-mana lorong. Tambahan pula, untuk tujuan memotong kenderaan lain, mana-mana kenderaan perlu melakukannya dari sebelah kanan. Mudah dan jelas; memotong hanya dibenarkan dari sebelah kanan, tidak boleh dari sebelah kiri kenderaan yang ingin dipotong – selagi ia dilakukan dalam keadaan selamat dan tidak membahayakan.

    Melalui artikel ini, kami tidak bermaksud untuk menilai situasi yang dihadapi oleh pengadu, dan bukan tujuan kami untuk menentukan siapa yang betul atau siapa yang salah. Yang cuba dilakukan ialah agar pembaca faham bahawa perkara-perkara ini boleh terjadi pada bila-bila masa, di mana-mana saja.

    Untuk itu, ada eloknya untuk kita ambil peduli tentang hal seperti ini. Jika ingin memotong, pastikan keadaannya selamat. Untuk memotong dari sebelah kanan, kemudian berada antara kereta dan tembok konkrit pembahagi jalan, itu bukanlah satu situasi yang menyenagkan.

    Jika anda mempunyai pengalaman sama atau maklum balas berkaitan perkara ini, sila kongsikan untuk manfaat semua. Semoga jalan raya kita akan menjadi lebih selamat dari semasa ke semasa.

     
     
  • KTMB umum penumpang KTM Komuter laluan Butterworth-Padang Besar-Butterworth tidak dibenarkan bawa basikal dalam tren mulai 1 Mei ini

    KTMB umum penumpang KTM Komuter laluan Butterworth-Padang Besar-Butterworth tidak dibenarkan bawa basikal dalam tren mulai 1 Mei ini

    Pada 1 Jun 2016 lalu, KTMB Berhad (KTMB) telah melancarkan program Ride & Ride, iaitu membenarkan penumpang membawa basikal dalam tren komuter. Program itu bertujuan menggalakkan rakyat menggunakan perkhidmatan awam khususnya tren, dengan membawa basikal mereka ke dalam kereta api.

    Sejak program tersebut diperkenalkan, jumlah penumpang membawa basikal dengan KTM Komuter di sektor utara meningkat, yang mana 10,173 orang dicatatkan bagi tempoh Jun 2016 hingga Mac tahun ini.

    Pengguna basikal menggunakan tren komuter untuk aktiviti berbasikal berkumpulan membabitkan beberapa destinasi popular dalam kalangan mereka iaitu Butterworth, Taiping, Gurun dan Padang Besar.

    Ekoran peningkatan penumpang itu, KTMB telah mengumumkan bahawa penumpang KTM Komuter bagi laluan Butterworth-Padang Besar-Butterworth, tidak lagi dibenarkan membawa basikal dalam tren bermula 1 Mei ini, laporan Berita Harian.

    Menurut KTMB, penguatkuasaan itu bertujuan menjamin keselamatan dan keselesaan penumpang berikutan peningkatan jumlah penumpang, yang kini mencecah 11,000 orang sehari bagi laluan berkenaan. Katanya, pada awal perkhidmatan KTM Komuter diperkenalkan di laluan itu, hanya 500 orang penumpang dicatatkan sehari.

    “KTMB mengucapkan terima kasih kepada persatuan, kumpulan dan individu berbasikal yang menyokong dan menggunakan perkhidmatan KTM Komuter Utara.

    “Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku berikutan perubahan syarat itu. Hal ini demi memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang di masa depan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Bagaimanapun, perubahan syarat itu tidak membabitkan laluan Butterworth-Padang Rengas-Butterworth.

     
     
  • Lamborghini pilih Dubai sebagai lokasi bilik pameran dan pusat servisnya yang terbesar di dunia

    Lamborghini pilih Dubai sebagai lokasi bilik pameran dan pusat servisnya yang terbesar di dunia

    Tidak dinafikan, Dubai merupakan negara yang begitu pesat membangun dengan pelbagai bangunan yang moden dan membanggakan negara berkenaan. Ini termasuklah dengan adanya bangunan yang tertinggi di dunia, Burj Khalifa, yang terbina sejak tahun 2008. Kini ada satu lagi kebanggaan Dubai apabila menjadi pilihan Lamborghini bagi menempatkan bilik pameran dan pusat servisnya yang terbesar di dunia.

    Dioperasikan oleh Dubai Automobile Lamborghini, bangunan ini dibina bagi rangkaian pengedar antarabangsa pada masa akan datang. Ini termasuklah dengan kehadiran model baharu Urus SUV dalam barisan model jenama ini, yang bakal diperkenalkan pada tahun hadapan, yang dilihat mampu meningkatkan lagi jumlah jualan Lamborghini.

    Fasiliti seluas 1,800 kaki persegi dengan bangunan setinggi tiga tingkat ini, turut menempatkan ruang cenderahati jenama Lamborgini. Jadi, kalau anda ke sana bukan untuk menempah Huracan atau Aventador, sekurang-kurangnya ada pilihan untuk membeli cenderahati jenama ini.

    “Timur Tengah merupakan pasaran paling utuh buat Lamborghini,” ujar pengerusi dan CEO Automobil Lamborghini, Stefano Domenicali. Jadi jika anda merancang lawatan ke Dubai, jangan lupa untuk singgah di pusat pameran Lamborghini yang terbesar di dunia ini, yang terletak di Sheik Zayed Road, susur 41, Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.

     
     
  • Proton Suprima R – dalam imej yang lebih mengancam

    Proton Suprima R – dalam imej yang lebih mengancam

    Jika sebelum ini kami paparkan sebuah artikel berkaitan rekaan konsep yang dikenali dengan nama Suprima X, yang dihasilkan oleh Saharudin Busri yang bertugas di Pusat Rekaan MIMOS, itu bukanlah satu-satunya rekaan model yang beliau bayangkan semula, dari model asas Suprima S.

    Model hatchback yang dikeluarkan Proton itu sangat dekat dengan dirinya; beliau sendiri memandu model berkenaan. Ada sebuah lagi rekaan digital yang diasaskan dari model sama, yang kemudiannya diberikan penelitian yang lebih halus. Jika Suprima X dibayangkan sebagai sebuah kenderaan crossover, ini ditampilkan pula rekaan Suprima R.

    Ia masih kekal dalam reka bentuk sebuah hatchback seperti sedia ada, tetapi di dalam penampilan yang lebih agresif dan sporty. Mengapa Suprima S yang dipilih sebagai model asas kepada konsep rekaan yang dihasilkan ini? “Bagi saya, dari sudut rekaan, Suprima S mempunyai penampilan yang matang. Dan, dari situ, banyak lagi sentuhan yang boleh diberikan untuk menjadikannya lebih menarik,” ujar beliau.

    Proton Suprima R – dalam imej yang lebih mengancam

    Sama juga seperti Suprima X, Suprima R ini bukan sebuah rekaan yang baru dihasilkan. Ia mula memperoleh “rupa” sedemikian sejak 2015 lagi, yang kemudian diperhalusi sehinggalah ke tahap yang dapat kita lihat sekarang.

    Mendapatkan pendidikan rekaan automotif di Universiti Coventry, UK, beliau sejak awal lagi memang sangat berminat dengan rekaan kenderaan, dan telah terlibat di dalam penghasilan rekaan bagi banyak model-model Proton sejak tahun 2000 hingga 2007. Antaranya Satria Neo dan Saga BLM, selain terlibat sebagai pereka luar sambilan di peringkat awal rekaan model Proton Perdana yang ada kini.

    Apa tujuan rekaan-rekaan ini didedahkan sekarang? “Antaranya ialah untuk mempamerkan kemampuan MIMOS dalam menghasilkan rekaan bagi industri automotif, dan kami juga sangat berminat untuk menawarkan kepakaran yang kami kepada industri,” jelasnya. Bergerak ke hadapan, MIMOS ingin menyediakan khidmat rekaan yang menjadi kepakaran organisasi itu, termasuk dalam bidang automotif dan bukan lagi bergantung semata-mata kepada geran penyelidikan yang diberikan.

    Proton Suprima R – dalam imej yang lebih mengancam

    Menghasilkan rekaan industri bukanlah sesuatu yang asing bagi MIMOS. Banyak yang telah dibuat, misalnya rekaan telefon mudah alih serta komputer riba. Ada juga antaranya yang sempat meraih pengiktirafan dari Red Dot Design Award – pasukan pereka ini juga pernah disenaraikan ditempat ketiga bagi kategori World Most Innovative Design Studio.

    Sebagai peminat Proton Suprima S, beliau membayangkan sisi yang lebih garang bagi rekaan yang dihasilkan ini. Secara umum, ia masih mengekalkan reka bentuk yang sama. Tetapi, jika diperhatikan dengan lebih dekat, terdapat beberapa kelainan yang menjadikannya sangat berbeza, dengan daya tarikan yang lebih kuat.

    Antaranya di bahagian depan, dengan rekaan gril yang lebih ringkas, disertakan bersama palang krom melintang dan menghubungkan bahagian lampu depan dikedua-dua sisi. Rekaan lampu depan juga diberi sentuhan baru. Bahagian bampar depan turut menerima lanjutan dan kesinambungan dari gril di atasnya, dengan ruang bagi lampu nyalaan siang.

    Proton Suprima R – dalam imej yang lebih mengancam

    Bahagian belakang mungkin menempatkan perubahan paling ketara, dan tentunya jauh lebih menarik dengan rekaan lampu yang ada. Rekaan lampu belakang two-piece yang diterapkan mengubah secara langsung imej penarik yang ada pada Suprima R ini. Ia jauh lebih menonjol, ditambah dengan bahagian palang merah dari lampu yang sama, yang merintangi ditengah, menghubungkan lampu kiri dan kanan.

    Bahagian bampar yang lebih luas dan bersih, dengan sedikit bukaan corong di tepi serta sebelah bawahnya yang diberi sentuhan hitam berkilat menjadikannya kelihatan sangat kemas dan elegan. Hujung ekzos dalam bentuk trapezoid dengan kemasan krom juga menyumbang kepada kelainannya.

    Ini dilengkapi pula dengan spoiler pada bahagian hujung bumbungnya – Suprima R tampil dalam imej yang bukan saja meyakinkan, tetapi turut mengetengahkan ketelitian rekaan terhadap segala aspek dan perincian yang mungkin. Apa pendapat anda terhadap rekaan yang dihasilkan ini? Ada mana-mana bahagian yang dirasakan masih boleh diberikan penambah baikan? Jika ada pandangan, jangan segan untuk dikongsi.

     
     
  • IIMS 2017: Kia Rio baharu kini mendarat di pasaran Indonesia – 1.4L dengan pilihan 4AT atau 6MT

    IIMS 2017: Kia Rio baharu kini mendarat di pasaran Indonesia – 1.4L dengan pilihan 4AT atau 6MT

    Kia telah melancarkan Rio baharu pada Indonesia International Motor Show (IIMS) 2017 yang kini sedang berlangsung. Hatchback generasi baharu ini dijana oleh enjin 1.4 liter NA berkuasa 100 PS dan tork maksima 133 Nm. Enjin Dual CVVT tersebut dipadankan dengan pilihan transmisi empat kelajuan automatik atau enam-kelajuan manual.

    Kedua-dua varian manual dan automatik berkenaan walau bagaimanapun hadir dengan kemasan dan kelengkapan lain yang sama untuk pasaran Indonesia. Ia diberikan roda aloi berdiameter 15-inci bersama tayar 185/65R15, penghawa dingin manual dan juga pemain audio utama 2-DIN tanpa skrin sesentuh (walaupun ruang berkenaan jelas untuk menempatkan skrin).

    Ciri lain yang diberikan secara standard termasuk lampu hadapan automatik projektor halogen, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus, paparan MID LCD 3.5-inci, Bluetooth, butang audio pada stereng, dua-beg udara serta bumbung suria.

    Kia Rio baharu dijual pada harga bermula 250 juta rupiah (RM81,484) untuk pasaran Indonesia dan dibawa secara CBU. Model ini juga dijangka bakal di bawa oleh Naza Kia ke pasaran Malaysia pada suku kedua tahun ini. Seperti model-model sebelum ini, Malaysia biasanya turut menerima varian dengan kelengkapan lebih tinggi, tetapi pastinya kita juga tidak akan menerima transmisi manual.

    Web editor kami, Izwaashura Sadali, telah memandu uji Rio generasi baharu ini di Australia Februari lalu dan anda boleh membaca ulasannya di sini.

     
     
  • Hap Seng Star buka Autohaus Mercedes-Benz ke-8

    Hap Seng Star buka Autohaus Mercedes-Benz ke-8

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mengumumkan pembukaan Autohaus baharunya yang dimiliki oleh Hap Seng Star (HSS). Autohaus yang beroperasi sebagai pusat 3S penuh berkenaan merupakan yang kelapan milik HSS, terletak di Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi, Klang – dibina bagi memenuhi keperluan pelanggan MBM di kawasan Klang dan Banting.

    Dibangunkan dengan pelaburan sebanyak RM3.6 juta, Autohaus HSS ini menerapkan elemen penting dari Mercedes-Benz Presentation System II (MPS II). Fasiliti ini beroperasi dengan 29 orang staff, dengan bilik pameran yang mampu menempatkan enam kenderaan pada satu-satu masa. Manakala pusat servis selepas jualannya pula yang terletak di Jalan Permata 2A/KS9, Taman Perindustrian Air Hitam, mempunyai lapan ruang servis dan mampu memberikan perkhidmatan kepada 450 kenderaan sebulan.

    Autohaus baharu ini merupakan sebahagian dari pelaburan HSS bernilai RM184 juta untuk mendekatkan mereka ke pelanggan di seluruh negara. Selain dari HSS Bukit Tinggi ini, syarikat tersebut turut memiliki Autohaus Mercedes-Benz lain yang terletak di sekitar Lembah Klang iaitu HSS Kinrara, HSS Balakong, HSS Kuala Lumpur (Jalan Sultan Ismail) dan HSS Jalan Ipoh.

    Hap Seng Star juga mempunyai dua lagi Autohaus di bahagian Borneo yang terletak di Kuching dan Miri, Sarawak serta di Kota Kinabalu, Sabah.

     
     
  • Volkswagen bawa dua enjin baharu ke Vienna – TSI Evo dengan sistem hibrid mikro dan TGI dwi-bahan api

    Volkswagen bawa dua enjin baharu ke Vienna – TSI Evo dengan sistem hibrid mikro dan TGI dwi-bahan api

    Sistem bateri voltan tinggi VW e-Golf

    Volkswagen akan ke Vienna Motor Symposium ke-38 tahun dengan membawa dua buah enjin baharu iaitu enjin petrol 1.5 liter turbo TSI Evo dan juga sebuah lagi enjin 1.0 liter turbo TGI yang boleh beroperasi sama ada menggunakan petrol atau gas asli mampat (CNG/NGV).

    Bagi enjin petrol 1.5 liter turbo berkenaan, ia diberikan sistem hibrid mikro baharu dan bakal menjana VW Golf TSI Bluemotion terbaharu. Sistem berkenaan mampu membolehkan kereta ‘berlayar’ sehingga kelajuan 130 km/j dengan enjin petrol dimatikan sepenuhnya. Volkswagen menyifatkan sistem ini sebagai mempunyai “karekter seperti hibrid.”

    Enjin 1.5 liter ini akan dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, bersama bateri lithium-ion yang turut diberikan pada sistem utama 12-volt kenderaan, bagi membekalkan kuasa kepada peralatan elektrik dan elektronik ketika kereta dipandu dalam mod ‘berlayar’. Menurut Volkswagen lagi, padanan kesemua sistem berkenaan mampu memberikan kecekapan bahan api sehingga 0.4 L/100 km.

    Sebuah diod-Q diberikan untuk mengawal aliran elektrik antara bateri lithium-ion dan juga bateri asid-plumbum biasa pada kereta. Enjin petrol boleh dihidupkan semula untuk kembali ke mod normal menerusi tiga cara; menggunakan motor penghidup, menerusi klac (klac ditaut untuk menggerakkan aci engkol) atau kombinasi kedua-dua cara.

    Volkswagen bawa dua enjin baharu ke Vienna – TSI Evo dengan sistem hibrid mikro dan TGI dwi-bahan api

    Enjin dwi-bahan api 1.0 liter TGI

    Untuk enjin 1.0 liter TGI pula, ia mampu menghasilkan kuasa 88 hp. Ketika beroperasi menggunakan gas asli, VW mendakwa enjin TGI ini menghasilkan pencemaran CO2 dan NOx pada kadar rendah. Faktor utama yang menyumbang kepada enjin TGI ini adalah “penukaran metana yang optimum pada gas ekzos.”

    Untuk mempercepatkan catalytic converter panas dan berfungsi pada suhu bekerja, proses pemisahan campuran bahan api di bina pada sistem berkenaan – pada situasi beban rendah, dua silinder akan diberikan campuran udara-bahan api rich, manakala satu lagi silinder diberikan campuran lean. Selain dari pemanasan secara elektrik, sistem pemisahan ini hanya mengambil 10 saat ketika proses cold start (menghidupkan enjin pada cuaca sejuk), walaupun pada sistem ekzos masih lagi mempunyai kondensasi.

    Selain dari kedua-dua enjin ini, Volkswagen turut bakal membawa binaan kenderaan elektrik ke simposium ini dan menyatakan model elektrik sepenuhnya dari mereka bakal membuat kemunculan pada tahun 2020. “Binaan elektrik sepenuhnya ini akan menggabungkan sifar-pencemaran seperti pemanduan jarak dekat dengan kebolehan mobiliti jarak jauh,” kata Friedrich Eichler, ketua pembangunan janakuasa Volkswagen.

     
     
  • BMW Motorrad pamer barisan jentera terkini di M’sia

    BMW Motorrad pamer barisan jentera terkini di M’sia

    BMW Motorrad Malaysia sebelum ini mengumumkan penjualan barisan jentera terbaru bagi siri BMW R nineT, yang kini turut ditawarkan di dalam dua varian tambahan; Pure serta Racer. Dan, ketika acara BMW Motorrad Nightfuel 2017 yang berlangsung di Jalan Riong Bangsar baru-baru ini, ketiga-tiga model berkenaan diperkenalkan secara rasmi kepada khalayak.

    BMW R nineT menampilkan sejarah perjalanan BMW Motorrad yang merentasi tempoh selama lebih 90 tahun. Ia hadir dengan imej tunggangan yang unik bersama reka bentuk klasik, minimalis dan fokus terperinci terhadap aspek teknikal.

    BMW R nineT Pure merupakan sebuah roaster sejati, manakala BMW R nineT Racer pula adalah sebuah jentera sport klasik dan old school dengan fairing separuh, mencerminkan konsep rekaan yang cukup popular sekitar tahun 1960 dan 1970-an. Ia terus membangkitkan nostalgia dalam kalangan peminatnya.

    BMW Motorrad pamer barisan jentera terkini di M’sia

    Model-model BMW Heritage dikuasakan oleh enjin boxer dengan sistem penyejukan udara/cecair berkapasiti 1,170cc yang penuh kuasa. Enjin yang dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan itu mampu menjana kuasa mencecah 110hp dan tork maksimum 116Nm; ia menepati piawaian Euro 4.

    Semua varian bagi BMW R nineT ini juga didatangkan dengan ciri-ciri seperti pemetaan enjin baru serta sistem bahan api bersama tabung karbon bagi tujuan pengudaraan tangki minyak. Tidak terkecuali, sistem ekzos dengan catalytic converter yang mempunyai bahagian silang lebih besar.

    BMW R nineT dijual pada harga RM101,900.00, sementara BMW R nineT Pure dan BMW R nineT Racer pula masing-masing dijual pada harga RM82,900.00 dan RM88,900.00 – termasuk GST.

     
     
  • SPYSHOT: Kia Stinger – GT 4-pintu dikesan di M’sia

    SPYSHOT: Kia Stinger – GT 4-pintu dikesan di M’sia

    Pada februari lalu, Naza Kia telah menyatakan keyakinan mereka untuk membawa masuk Kia Stinger ke pasaran Malaysia. Walau bagaimana pun, ketika itu, Naza Kia berkata ia adalah bergantung pada keadaan dan permintaan, namun jika rancangan ini dilaksanakan, ia akan sampai ke pasaran kita pada awal tahun hadapan.

    Namun menerusi foto spyshot yang tiba di tangan kami ini, kebarangkalian besar perancangan ini nampaknya bakal menjadi realiti tidak lama lagi. Jentera premium berprestasi tinggi ini telah dikesan berada di Malaysia baru-baru ini.

    Mengadaptasi imej yang diambil dari model konsep Kia GT yang pernah diperkenalkan di Frankfurt Motor Show 2011, Stinger turut mengekalkan DNA reka bentuknya dengan berberapa perincian dirombak semula. Bahagian hadapannya nampak lebih garang dengan gril “hidung harimau’ yang menjadi signatur model baharu Kia, malahan diapit dengan sepasang lampu berbentuk tirus.

    Berbanding pesaing-pesaingnya termasuk BMW 4 Series Gran Coupe, Audi A4, Lexus IS dan Infiniti Q59, Stinger direka lebih panjang dan lebih lebar iaitu dengan ukuran 4,831 mm panjang dan juga 1,869 mm lebar. Jarak roda Stinger juga diukur lebih panjang dari Lexus GS serta Mercedes-Benz CLS dengan dimensi 2,905 mm.

    Untuk penjana kuasanya pula, Stinger didatangkan dengan dua enjin berbeza iaitu enjin 2.0 liter empat-slinder turbo berkuasa 255 hp pada takat 6,200 rpm serta tork maksima 353 Nm bermula 1,400 hingga 4,000 rpm. Serta enjin yang lebih berkuasa iaitu 3.3 liter turbo-berkembar V6 Lambda II dengan output 365 hp pada takat 6,000 rpm dan juga tork maksima 510 Nm bermula 1,300 hingga 4,500 rpm. Kia mensasarkan model dengan enjin V6 bakal memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 5.1 saat dan kelajuan maksima 269km/j.

    Kedua-dua enjin ini hanya akan dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik dari Optima K9, bersama pedal penukar gear serta torque converter jenis Centrifugal Pendulum Absorber (CPA) pertama dari Kia untuk mengurangkan getaran kilasan pada sistem transmisi.

    Pelanggan juga diberikan pilihan sama ada model pacuan belakang sepenuhnya dengan LSD mekanikal dibekalkan secara standard, atau model pacuan-semua roda dengan agihan tork lebih ke bahagian belakang bersama sistem Dynamic Torque Vectoring Control yang beroperasi bersama sistem brek.

    GALERI: Kia Stinger yang dipamerkan di Australia Open 2017 Februari lalu

     
     
  • Benelli Leoncino 500 sah bakal masuk pasaran M’sia

    Benelli Leoncino 500 sah bakal masuk pasaran M’sia

    Benelli Malaysia mengesahkan akan membawa masuk model Benelli Leoncino 500 ke pasaran Malaysia pada separuh kedua tahun ini. Dengan sentuhan reka bentuk gaya retro pada penampilannya, model ini akan memperluas barisan produk yang ditawarkan jenama itu di sini.

    Model berkenaan dilengkapi dengan enjin silinder berkembar empat-lejang 500 cc dengan sejukan cecair. Ia mampu menghasilkan sebanyak 35kW kuasa pada 8,500 rpm dan 45 Nm tork maksimum. Ia turut dilengkapi ciri suntikan elektronik bagi sistem bahan api serta klac hidraulik yang dipadankan dengan sistem transmisi enam-kejaluan.

    Ia menggunakan tayar 120/70-ZR17 di bahagian hadapan, dan 160/60-ZR17 untuk tayar belakang – menjamin kestabilan dan prestasi terbaik dalam apa jua keadaan. Suspensi hadapan yang berdiameter 45mm dan menggunakan teknologi fork terbalik, dipadankan dengan brek caliper empat-piston dengan cakera brek 320mm. Pergerakan lengan buai di bahagian belakang dikawal oleh penyerap hentak sisi dengan penggunaan kaliper brek piston tunggal pada cakera 260 mm.

    Antara keunikan lain model ini ialah reka bentuk oleh CentroStile Benelli yang menampilkan imej retro dan lasak, termasuk lambang Singa Pesaro yang terletak di bahagian depan. Ia juga dilengkapi sistem ABS, paparan meter digital serta teknologi lampu LED dengan projektor. Menurut Benelli Malaysia, ia akan dijual pada yang sangat kompetitif sebaik dilancarkan kelak.

    Dalam perkembangan lain, sejak memperkenalkan beberapa model baru pada awal April, Benelli Malaysia telah menerima sejumlah 6,000 tempahan – merangkumi model-model seperti RFS150i, 302R dan jentera kembara TRK502. Permintaan terhadap model RFS150i merupakan yang terbesar, dan berada diluar jangkaan pengedarnya sendiri.

    Benelli Malaysia juga akan mengeksport dua model keluarannya, iaitu RFS150i dan TNT 135 ke Taiwan, Vietnam dan akan mensasarkan negara ASEAN yang berhampiran selepas itu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026