Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • VIDEO: Nissan Leaf 2018 muncul dalam iklan Jepun

    Menjelang pelancarannya pada 6 September ini, Nissan Leaf 2018 sekali lagi telah ditunjukkan menerusi video, kali ini dalam iklan promosi Jepun. Sedutan berdurasi 30 saat ini memberikan peluang kepada kita untuk melihat lebih banyak ruang dalaman kenderaan elektrik ini, bersama sedikit bahagian luarannya.

    Leaf baharu ini akan didatangkan dengan kluster instrumen digital memaparkan beberapa fungsi, termasuk data penggunaan kuasa dan jumlah baki kuasa bateri. Manakala speedometer konvensional dilihat terletak pada bahagian kanannya.

    Roda stereng pelbagai-fungsi baharu juga telah dikhabarkan akan ditampilkan pada model ini, di mana ia juga didatangkan dengan butang untuk mengaktifkan sistem bantuan-pemandu ProPILOT Assist. Sistem ini bukan sahaja membenarkan Leaf dikendalikan oleh pemanduan lorong-tunggal sendiri, dan juga juga mempunyai fungsi parkir sendiri. Teknologi lain termasuklah e-Pedal yang digunakan untuk menggerakkan pedal untuk memacukan kelbih kelajuan, memperlahankan kenderaan dan membrek.

    Daripada segi gaya, Leaf baharu ini akan mempunyai rekaan aerodinamik yang dipertingkatkan, seterusnya dapat menjadikan ia lebih cekap dan memberikan jarak pergerakan yang lebih jauh. Seperti yang diketahui, rekaan yang mempunyai kurang rintangan angin dan stabiliti yang bagus sememangnya adalah baik untuk apa sahaja kenderaan.

     
     
  • BMW S 1000 R dan R 1200 GS Adventure 2017 masuk pasaran Malaysia – harga bermula RM93k dan RM117k

    BMW S 1000 R dan R 1200 GS Adventure 2017 masuk pasaran Malaysia – harga bermula RM93k dan RM117k

    Selain motosikal BMW G 310 R 2017 serba baru yang diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, terdapat dua lagi model baru tahun 2017 yang diperkenalkan oleh BMW Motorrad Malaysia untuk pasaran tempatan. Yang dimaksudkan ialah BMW S 1000 R dan BMW R 1200 GS Adventure.

    BMW S 1000 R 2017 dijual pada harga RM92,900 termasuk GST, tanpa insurans. Ia masih menggunakan enjin 999cc empat silinder sebaris yang terbukti prestasinya, dengan peningkatan terhadap angka janaan kuasanya; 165 hp pada 11,000 rpm (berbanding 160 hp sebelum ini). Beratnya juga dikurangkan sebanyak 2 kg, kini menjadi 205 kg.

    Peningkatan lain yang dilakukan termasuk mengoptimumkan bunyi ekzos dan masukan udara pada enjin. Ia kini hadir dengan kit silencer HP Titanium (High Performance) sebagai ciri standard. Sebagai pilihan kepada penunggang, dua mod tunggangan turut disediakan; Rain atau Road, yang membolehkan adaptasi penyaluran kuasa dan tork. Ia juga lengkap dengan ciri kawalan kestabilan automatik (ASC).

    BMW S 1000 R dan R 1200 GS Adventure 2017 masuk pasaran Malaysia – harga bermula RM93k dan RM117k

    Keselesaan penunggang juga diberi peningkatan melalui penggunaan vibration-decoupled handlebar, yang bertindak mengurangkan gegaran yang terhasil daripada sampai ke bahagian pemegang. Untuk ini, bahagian atas sambungan fork juga diberikan rekaan baru. Model ini juga hadir dalam dua pilihan warna baru, Racing Red/Blackstorm dan Catalano Grey. Ini tambah membangkitkan lagi penampilan sporty dan agresif yang dimiliki oleh motosikal sport ini.

    Selain itu, BMW R 1200 GS Adventure 2017 juga hadir dengan beberapa pembaharuan teknikal. Antaranya penggunaan judder damper pada aci janaan transmisi yang juga diberi rekaan serta bearing baru serta lampu penunjuk OBD pada paparan meter.

    Juga, untuk pertama kali model ini akan ditawarkan dalam warna dan kemasan hitam Triple Black. Bahagian seperti pelindung tengah tangki minyak, penutup ruang barangan dan mudguard depan semuanya digayakan dengan kemasan gelap dan tampil lebih maskulin. BMW R 1200 GS Adventure 2017 dijual pada harga RM116,900 termasuk GST, tanpa insurans.

     
     
  • Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription – tempahan sudah dibuka, harga pengenalan istimewa RM348,888

    Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription – tempahan sudah dibuka, harga pengenalan istimewa RM348,888

    Sedan flagship generasi baharu Volvo S90 bakal diperkenalkan dalam versi paling berkuasa – T8 Twin Engine Inscription – pada pasaran Malaysia tidak lama lagi. Menurut pengedar Volvo tempatan, model berkenaan kini sudahpun boleh ditempah. Model ini dijangka akan dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) seperti kembar SUVnya XC90 T8 Twin Engine. Khas untuk mereka yang menempahnya sebelum 31 Oktober 2017, ia ditawarkan dengan harga pengenalan istimewa RM348,888.

    Harga pengenalan berkenaan jelas jauh lebih rendah dari model-model varian lebih rendah iaitu T5 dan T6 AWD R-Design yang kini sudahpun berada dalam pasaran tempatan, dijual pada harga bermula RM388,888 hingga RM453,888 (harga atas jalan tanpa insuran).

    Seperti juga XC90 T8 Twin Engine, sedan berkenaan bakal dikuasakan janakuasa plug-in hybrid menggabungkan enjin petrol 2.0 liter empat silinder Drive-E yang disuap pengecas turbo dan supercharger, bersama motor elektrik berkuasa 87 hp/240 Nm pada gandar belakang, menghasilkan kuasa keseluruhan 407 hp/640 Nm.

    Unit janakuasa tersebut adalah sama seperti XC90 yang dijual pada pasaran tempatan dengan harga RM403,888. Sebagai perbandingan, enjin 2.0 liter turbo untuk model T5 menjana 254 hp/350 Nm, manakala versi T6 pula menghasilkan 320 hp/400 Nm.

    Inscription merupakan varian tertinggi dalam barisan model S90, jadi dapat dijangka model tersebut bakal dilengkapi peralatan hampir sama seperti XC90 T8. Ia termasuk pemadanan lampu hadapan LED bersama lampu nyalaan siang ‘Thor’s Hammer’, sistem infotaimen Sensus Connect High Performance bersama skrin sesentuh sembilan-inci, dan juga kelengkapan keselamatan penuh.

    Desas-desus ketibaan S90 T8 Twin Engine ini telah bermula pada Ogos tahun lalu – ketika didedahkan S90 bakal tiba ke Malaysia dalam bentuk diimport sepenuhnya (CBU) buat permulaan, dan akan dihasilkan secara CKD kemudiannya di kilang Swedish Motor Assemblies (SMA) milik Volvo Cars Malaysia di Shah Alam.

    GALERI: Volvo S90 T6 R-Design

     
     
  • Kerajaan sasar sistem pembayaran tanpa tunai untuk semua pengangkutan awam menjelang 2019 – Liow

    Kerajaan sasar sistem pembayaran tanpa tunai untuk semua pengangkutan awam menjelang 2019 – Liow

    Menjelang tahun 2019, semua perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang disasarkan bakal melaksanakan Sistem Pembayaran Tanpa Tunai Bersepadu (ICPS).

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, ia akan memudahkan warga kota melakukan perjalanan di sekitar Lembah Klang, laporan Bernama.

    “Ia dijangka dilaksanakan sepenuhnya di perkhidmatan LRT, MRT, Monorail, KTM Komuter dan bas dalam bandar,” katanya ketika menjawab soalan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Mohamad Zulkifly ingin tahu perancangan kementerian untuk memastikan pembangunan projek pengangkutan awam dapat menawarkan perkhidmatan lancar dan mampu dibayar pengguna.

     
     
  • Peugeot 3008 terima penarafan 5-bintang dari ANCAP

    Program Penilaian Kenderaan Baharu Australia (ANCAP) telah memberikan penarafan lima-bintang kepada Peugeot 3008. “Peugeot 3008 memberikan prestasi terbaik sewaktu diuji dan menerima markah tinggi bagi ujian impak sisi dan sentakan,” ujar James Goodwin, CEO bagi ANCAP.

    Bagi ujian perlindungan penumpang dewasa (AOP) dan kanak-kanak (COP), 3008 menerima markah melebihi 80% bagi keseluruhan, dengan yang AOP pada 32.89 mata (daripada 38 mata), dan COP 41.98 mata (daripada 49 mata).

    “Menawarkan ciri standard bagi barisannya, semua variannya dilengkapi dengan sistem bantuan kelajuan pintar yang menggunakan kamera untuk mengesan had kelajuan dan membolehkan pemandu menetapkan had kelajuan yang bersesuaian. Sistem amaran ketibaan lorong juga didatangkan secara standard, semantara beberapa varian turut didatangkan dengan fungsi yang lebih maju termasuk bantuan kekal lorong aktif,” ujar Goodwin lagi.

    Sistem ini turut memberikan 3008 tujuh mata dari keseluruhan 12 mata bagi kategori bantuan keselamatan, namun disebabkan kekurangan pada brek kecemasan sendiri, ia terlepas tiga lagi mata. Manakala pelindungan pejalan kaki pula menerima 67% atau 28.2 mata (daripada 42 mata).

    “Fungsi ini didapati pada model ini dan model baharu yang lain yang memasuki pasaran kami sebagai sebahagian daripada teknologi kenderaan pemanduan sendiri yang akan diberi penambahbaikan bagi keselamatan jalan rada dan asas kepada kenderaan pemanduan sendiri yang lebih banyak pada tahun akan datang,” tambah Goodwin lagi. Keputusan ANCAP ini berdasarkan ujian yang dikendalikan oleh Euro NCAP, yang diuji pada tahun 2016.

    3008 generasi kedua ini dibangun menggunakan platform EMP2, dengan menampilkan imej SUV yang lebih konvensional berbanding bentuk MPV yang terdahulu. Malah model ini juga menerima anugerah Kereta Tahunan Terbaik Eropah 2017. Malah ia juga dijangka bakal dilancarkan di sini tidak lama lagi.

     
     
  • BMW G 310 R 2017 serba baharu kini di M’sia – RM27k

    BMW G 310 R 2017 serba baharu kini di M’sia – RM27k

    Sempena acara Pusingan Kelayakan BMW Motorrad GS Trophy 2017 Asia Tenggara yang akan berlangsung di Sepang hujung minggu ini, BMW Motorrad Malaysia turut akan memperkenalkan sebuah model serba baru untuk pasaran Malaysia, BMW G 310 R 2017 yang dijual pada harga RM26,900 termasuk GST, tanpa insurans.

    Dibangunkan dengan kerjasama TVS di India selaku rakan strategik BMW, motosikal ini merupakan percubaan BMW untuk menembusi pasaran motosikal Asia yang besar, terutama bagi jentera di bawah 500 cc yang sangat popular kerana tanda harga yang murah dan kos penyelenggaraan yang juga rendah.

    Motosikal roadster terkini dari BMW ini menggunakan enjin 313 cc silinder tunggal sejukan cecair, DOHC dengan empat injap serta sistem suntikan bahan api elektronik yang mampu menghasilkan sebanyak kuasa 34 hp pada 9,500 rpm dengan tork maksimum sebanyak 28 Nm pada 7,500 rpm. BMW G 310 R ini hadir dengan berat 158.5 kg. Ia dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan.

    BMW G 310 R 2017 serba baharu kini di M’sia – RM27k

    Motosikal ini menggunakan kerangka kukuh; bahagian hadapan menggunakan kerangkan besi tubular dalam struktur grid manakala di bahagian belakang dari jenis kerangka bolt-on. Suspensi depan adalah dari jenis fork terbalik sementara di belakang menggunakan jenis lengan ayun aluminium yang turut disambungkan dengan spring strut.

    Sama seperti semua model motosikal BMW, G 310 R ini dilengkapi dengan 2-channel ABS sebagai ciri standard. Di depan, cakera brek tunggal 300 mm digunakan, dengan kaliper 4-piston untuk memberikan daya henti secukupnya. Di belakang pula cakera 240 mm digunakan, dengan kaliper 2-piston.

    Paparan meter kristal cecair yang luas membolehkan semua maklumat tunggangan dilihat dengan mudah dan jelas. Pemetaan enjin juga menepati piawaian pencemaran Euro 4. Penggunaan bahan api yang dinyatakan pengeluar ialah pada kadar 3.3 liter bagi 100 km. Pengudaraan tangki juga dinaik taraf menerusi pengenalan pengubah gelung tertutup 3-cara. Model ini akan berada disemua bilik pamera sah BMW Motorrad mulai minggu hadapan.

     
     
  • Toyota patenkan transmisi manual yang meneutralkan gear secara automatik, kawal kelakuan pemandu

    Toyota patenkan transmisi manual yang meneutralkan gear secara automatik, kawal kelakuan pemandu

    Kotak gear manual mungkin tidak lagi popular buat masa sekarang, sehinggakan ada pihak yang menjangkakan transmisi berkenaan akan lenyap terus dari pasaran dalam tempoh enam hingga tujuh tahun dari sekarang.

    Namun, apa yang dijumpai oleh Motor1.com pada fail Pejabat Paten dan Tanda Dagangan Amerika Syarikat ini agak menarik perhatian – Toyota mempatenkan rekaan kotak manual yang boleh menukar kedudukan mana-mana gear ke keadaan neutral secara automatik ketika kereta bergerak secara menggelongsor (dengan hanya daya momentum, tanpa input pedal pendikit dari pemandu).

    Kotak gear manual yang dimaksudnya oleh Toyota ini merupakan kotak gear manual sebenar – dengan binaan nisbah gear dari susunan gear heliks, tukaran menggunakan paten-H serta mempunyai pedal klac, bukan kotak gear automatik yang diberikan kawalan bypass secara manual oleh pemandu menerusi pedal penukar atau pada tuil gear.

    Toyota memberikan modul kawalan elektronik istimewa kepada kotak gear berkenaan yang boleh memisahkan klac dari kotak gear dan meneutralkan gear ketika pemandu sedang ‘berlayar’ bagi meningkatkan kecekapan bahan api. Ia juga diberikan berberapa mekanisma pin pengunci yang boleh mengelakkan pemandu menggunakan gear terlalu tinggi atau terlalu rendah berdasarkan kelajuan semasa kenderaan.

    Oleh itu, sistem ini juga akan mengelakkan pemandu memandu dengan cara agresif seperti menukar gear rendah pada kelajuan tinggi. Ia juga secara tidak langsung dapat mengelakkan pemandu tersalah masuk gear, misalnya termasuk gear tiga pada ketika gear satu atau gear lima perlu digunakan.

    Walau bagaimanapun, fail berkenaan tidak mendedahkan cara kawalan spesifik yang digunakan untuk sistem ini. Sistem berkenaan juga baharu sahaja dipatenkan pada Januari lalu, dan tidak semestinya ia akan dibangunkan pada masa hadapan. Logik penggunaan sistem ini juga masih lagi diragukan – adakah anda akan gembira untuk menukar gear sendiri (antara faktor utama pelanggan memilih transmisi manual) tetapi setiap tukaran gear perlu mendapat ‘pengesahan’ dari komputer?

     
     
  • Mitsubishi M’sia panggil balik Pajero Exceed buatan 2010-2014 kerana masalah beg udara – 128 unit terlibat

    Mitsubishi M’sia panggil balik Pajero Exceed buatan 2010-2014 kerana masalah beg udara – 128 unit terlibat

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan kempen panggilan balik bagi model Pajero Exceed buatan tahun 2010-2014 bagi menggantikan inflator beg udara pemandu. Sebanyak 128 unit model terbabit terlibat dengan panggilan balik di negara ini.

    Menurut MMM, beg udara terbabit mungkin akan mengeluarkan serpihan logam ketika ia terbuka dan boleh menyebabkan kecederaan terhadap pemandu. Kempen ini adalah sejajar dengan panggilan balik beg udara buatan Takata di seluruh dunia.

    “Keselamatan adalah keutamaan kami, justeru inisiatif ini diambil bagi memastikan tahap keselamatan pelanggan lebih terjamin dan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Usaha ini dilakukan bagi menggantikan inflator beg udara bahagian pemandu yang terjejas dengan inflator yang telah ditambahbaik,” ujar Tomoyuki Shinnishi, CEO MMM.

    MMM juga akan melakukan perkara yang sama iaitu panggilan balik ke atas model ASX (tahun buatan 2010-2015) dan Pajero Sport (2010-2016). Ia adalah untuk menukarkan gas spring yang terjejas yang boleh mengakibatkan penyalut anti-hakis berkurangan.

    Kempen lain yang turut akan dilakukan juga bagi model ASX bagi menggantikan motor bilah pengelap cermin yang boleh mengakibatkan hakisan dalam bahagian motor tersebut yang menyebabkan ia berhenti berfungsi.

    MMM akan mengeluarkan surat makluman kepada semua pemilik kenderaan Mitsubishi yang terbabit dan kos penggantian komponen akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat berkenaan.

    Dalam masa yang sama, MMM turut menggesa agar semua pelanggan yang terbabit segera membuat temujanji di mana-mana pusat servis Mitsubishi Motors bertauliah untuk menggantikan komponen yang dinyatakan. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mitsubishi-motors.com.my atau hubungi khidmat pelanggan Mitsubishi di talian 1-800-18-6611 (Isnin hingga Jumaat, 9 pagi-5 petang).

     
     
  • Subaru XV 2017 serba baharu dilihat di atas jalan M’sia – sedang diuji, bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Subaru XV 2017 serba baharu dilihat di atas jalan M’sia – sedang diuji, bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Tak lama selepas membuat penampilan sulung diperingkat serantau di Taiwan, Subaru XV serba baru kini sudah dikesan di atas jalan Malaysia, terima kasih kepada pembaca Yeah Yung Ee.

    Gambar bahagian belakang XV ini memperlihatkan rekaan lampu belakang yang mengambil pendekataan rekaan yang sama dari model Impreza hatchback. Tiada lambang yang jelas kelihatan bagi menentukan unit ini dari varian yang mana. Namun, apa yang sudah diketahui ialah penggunaan enjin petrol FB20 2.0 liter suntikan terus empat-silinder.

    Bagi spesifikasi unit di Taiwan, enjin berkenaan menjana sebanyak 154 hp dan 196 Nm, dan digandingkan dengan transmisi Lineartronic CVT yang dipertingkat, serta sistem Symmetrical AWD oleh Subaru. XV ini juga hadir lengkap dengan ciri X-Mode (seperti pada Forester) di sana, memberikan lebih kawalan dalam kelajuan rendah pada permukaan yang tidak sekata.

    Ia dibina menggunakan Subaru Global Platform (sama seperti Impreza terkini) yang telah diperbaharui sepenuhnya yang disifatkan mempunyai peningkatan prestasi keseluruhan yang ketara berbanding platform sebelum ini. XV serba baharu ini juga telah diperkukuhkan dengan pusat graviti yang direndahkan sebanyak 70%.

    Antara pembaharuan lain yang turut dilakukan ialah nisbah stereng yang lebih cepat (dari 14:1 kepada 13:1) serta pengenalan Active Torque Vectoring. Bagi aspek keselamatan, ia dilengkapi dengan Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu), ABS, bantuan brek dan tapak ISOFIX pada tempat duduk belakang.

    Ketika sesi pengenalan serantaunya Jun lalu, kami dimaklumkan Subaru XV terbaru ini akan diperkenalkan di Malaysia pada suku ke-empat tahun ini. Sama seperti versi XV sedia ada, model baru ini juga akan dipasang di Malaysia menjelang hujung tahun nanti atau awal tahun depan. Nampaknya ia sudah semakin hampir dilancarkan di sini.

    Subaru XV 2.0i-S 2017 di Taiwan

     
     
  • PICKnGO – Aplikasi terbaharu bagi tempahan teksi dalam talian bagi memudahkan lagi pengguna

    PICKnGO – Aplikasi terbaharu bagi tempahan teksi dalam talian bagi memudahkan lagi pengguna

    Satu lagi aplikasi tempahan teksi secara dalam talian, PICKnGO, telah pun dilancarkankan semalam. Ia adalah kolaborasi lima syarikat teksi tempatan iaitu New Supercab Sdn Bhd, Uptownace (M) Sdn Bhd, Damai Kota Cab Sdn Bhd, Syarikat Pemandu dan Pemilik Teksi Bhd dan Perniagaan Lima Sejati Sdn Bhd.

    Aplikasi PICKnGO ini memudahkan pengguna untuk menempah teksi hanya dengan memuat turun aplikasi tersebut dan mendapatkan perkhidmatan teksi dalam masa yang pantas.

    Menurut Pengarah Eksekutif PICKnGO, Valerie Chan, kira-kira 10,000 pemandu teksi di Lembah Klang akan menyertai program yang dikendalikan PICKnGO.

    “Semua pemandu teksi PICKnGO adalah berdaftar dan telah melalui pelbagai program latihan untuk meningkatkan standard perkhidmatan teksi. Kenderaan itu juga yang dilindungi insurans dan sering kali diperiksa, “katanya.

    PICKnGO turut dilengkapi butang keselamatan (SOS button) yang akan dihubungkan secara terus kepada pihak polis sekiranya berlaku kecemasan. Selain wang tunai, pengguna aplikasi itu juga boleh membuat pembayaran perkhidmatan teksi secara dalam talian melalui kad debit atau kad kredit.

    Majlis pelancaran aplikasi berkenaan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri. Menurutnya, PICKnGO memberi kelebihan bukan sahaja kepada pengguna tetapi juga pemandu-pemandu teksi untuk mendapatkan penumpang dan menjana lebih pendapatan melalui penggunaan teknologi.

    Tambahnya lagi, kerajaan sentiasa mengambil serius kesemua perkara melibatkan industri teksi tempatan dengan mencari jalan penyelesaian yang adil kepada semua pihak.

    Malah ia termasuk Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang diperkenalkan sebelum ini, antara lain memberi tumpuan kepada pengeluaran lesen atau permit individu kepada yang layak, dan bantuan geran tunai RM5,000 bagi membantu mereka membeli kenderaan baharu sebagai teksi.

    Aplikasi PICKnGO ini boleh dimuat turun menerusi platform Android dan IOS secara percuma.

     
     
  • Honda UK beri plat no. produksi Civic Type R maya dengan nama anda sendiri menerusi laman Facebook

    Honda UK beri plat no. produksi Civic Type R maya dengan nama anda sendiri menerusi laman Facebook

    Selalu main vonvon atau testony di laman Facebook? Ini ada sesuatu yang hampir serupa, tapi jauh lebih cool dari aplikasi-aplikasi mengisi masa bosan tadi – Sempena 25 tahun Type R dalam pasaran dan kemunculan Civic Type R generasi baharu, Honda UK, menerusi laman facebook mereka memberikan plat nombor produksi custom dengan nama anda sendiri, tetapi dalam bentuk maya.

    Ia diberikan secara percuma dengan hanya berberapa langkah mudah. Pertama, anda hanya perlu like laman Facebook Honda UK, kemudian dengan menggunakan Facebook Mesenger hantarkan mesej #TypeR. Berberapa saat kemudian, anda akan menerima imej nombor plat produksi berkenaan dengan nama anda sendiri yang kelihatan agak real.

    Anda boleh memuat turun imej tersebut dan kemudian boleh memuatnaiknya kembali pada mana-mana saluran atau media sosial yang anda suka. Tak dapat beli, berangan pun jadilah kan? Bukan kena bayar pun.

     
     
  • Ketua jurutera senior Geely puji divisi casis Proton, minat kerjasama untuk bangunkan model akan datang

    Ketua jurutera senior Geely puji divisi casis Proton, minat kerjasama untuk bangunkan model akan datang

    Semasa sesi pembentangan kepada media Malaysia minggu lalu, ketua jurutera senior di pusat pembangunan dan penyelidikan baharu Geely di Hangzhou Bay, Li Li, memuji bahagian pembangunan casis Proton dan mengatakan kedua-dua pihak mungkin boleh berkerjasama untuk pembangunan model-model akan datang.

    “Saya rasa kerjasama kami pada masa hadapan akan menjadi kerjasama menang-menang, tambah-nilai,” kata Li. Beliau turut menambah Geely akan membantu Proton mendapatkan teknologi baharu termasuk memberikan input berharga kepada pengeluar automotif nasional berkenaan dalam usaha pembangunan model-model baharu.

    Li turut mengesahkan kerjasama pembangunan Proton dan Geely tidak akan menjadi seperti kerjasama bersama Honda (Perdana yang diasaskan dari Accord generasi kelapan) dan juga Suzuki (Ertiga yang dilencanakan semula), di mana Geely memberi kebebasan kepada Proton untuk melakukan talaan suspensi mereka sendiri, menampilkan DNA pengendaliannya yang sememangnya telah diperakui.

    Kerjasama antara Proton dan Geely ini akan dijangka akan memperlihatkan hasilnya pada penghujung tahun hadapan, dengan pengenalan SUV pertama dari Proton yang bakal diasaskan dari SUV Geely Boyue.

     
     
  • TUNGGANG UJI: Yamaha NVX 155 – Adakah prestasi skuter ini cukup sporty seperti penampilannya?

    TUNGGANG UJI: Yamaha NVX 155 – Adakah prestasi skuter ini cukup sporty seperti penampilannya?

    Sudah lama rasanya motosikal jenis skuter tidak menjadi perhatian ramai di negara kita. Tetapi untuk model Yamaha NVX 155 (juga dikenali sebagai Aerox 155 di beberapa negara lain) ini, sejak ia membuat penampilan pertama di Malaysia sewaktu perlumbaan MotoGP di Sepang, pertanyaan tentang bila ia akan dilancarkan tidak putus-putus diajukan.

    Mungkin kerana ia bukan sekadar sebuah skuter biasa, tetapi dibangunkan untuk mengetengahkan ciri sports dan memuaskan penunggang (bagi skuter berkapasiti kecil). Apabila muncul sahaja perkataan prestasi, ramailah penggemar motosikal di negara kita yang teruja.

    11 Julai lalu, ia akhirnya dilancarkan untuk pasaran Malaysia dan kini, beberapa minggu selepas itu, saya menjadi antara media yang terawal untuk merasakan sendiri bagaimana prestasi motosikal ini melalui unit tunggang uji yang dipinjamkan oleh Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd selama beberapa hari.

    Selepas beberapa hari bersamanya, saya memang tidak dapat menafikan ini adalah antara motosikal paling mendapat sambutan ramai yang pernah saya bawa. Ke mana sahaja saya pergi, pasti ada mata yang akan melirik. Apabila berhenti pula, terutamanya di stesen minyak, beberapa kali saya ditegur oleh mereka yang cukup berminat. Sehinggakan apabila tiba di kedai makan, belum sempat pun saya turun daripada motosikal, sudah ada yang menghampiri bertanya pelbagai soalan. Kalau saya bawa Ducati pun keadaannya tidak seperti ini.

    Antara soalan yang ditanya adalah seperti: “Di mana beli? Berapa harga? Sedap ke bawak? Banyak ke makan minyak?” dan pelbagai lagi. Seronok ada kalanya saya melayan dan melihat keterujaan mereka ini dapat menyaksikan NVX 155 di depan mata, namun akhirnya saya menghabiskan perbualan dengan, “ini bukan motor saya, tapi motor pinjam.”

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • VIDEO: Porsche 911 Turbo S Exclusive – cara dibina

    Jun lalu, Porsche telah menambah varian baru bagi model 911, yang mengetengahkan eksklusiviti, dinamakan sebagai Porsche 911 Turbo S Exclusive. Ini adalah model jumlah terhad, dengan hanya 500 unit dihasilkan dan prestasinya juga dipertingkat.

    Ia menggunakan model 911 Turbo S sebagai asas, bermakna dikuasakan oleh enjin enam silinder 3.8 liter biturbo, menghasilkan 607 hp dan 750 Nm antara 2,250 hingga 4,000 rpm. Kuasa ini dihasilkan kepada semua empat tayar melalui kotak gear automatik klac berkembar tujuh kelajuan, dan membolehkan 911 Turbo Exclusive memecut 0-100 km/j dalam masa 2.9 saat, mencapai 200 km/j dalam 9.6 saat dan kelajuan maksimum 330 km/j.

    Antara rekaan unik yang ada pada kenderaan ini adalah termasuk warna Golden Yellow Metallic, manakala bonet, bumbung dan skirting tepinya dibuat daripada gentian karbon. Model ini juga menggunakan rim 20 inci yang menggunakan satu skru di tengah dan angkup breknya juga boleh didapati dalam warna hitam bersama logo Porsche berwarna Golden Yellow Metallic.

    VIDEO: Porsche 911 Turbo S Exclusive – cara dibina

    Sebagai menunjukkan kepada orang ramai betapa istimewanya model ini, Porsche telah menyiarkan beberapa siri video berkenaan kerja pembuatan 911 Turbo S Exclusive, dari sekadar rangka besi dan bahan mentah (termasuk gentian karbon) sehinggalah menjadi sebuah kereta yang lengkap.

    Ketelitian setiap kerja menjadi fokus dalam setiap video ini, sehinggakan bahagian lencana yang menandakan keluaran terhad model itu juga diambil penting dan diperkemas dengan tangan. Perkara menarik lain yang dapat dilihat adalah semasa proses pemasangan alat, panel badan kereta ini dipasang dengan pelindung plastik bagi mengelakkan ia terdedah kepada sebarang calar.




     
     
  • Hyundai Tucson 2.0 CRDI diesel kini di M’sia – RM156k

    Hyundai Tucson 2.0 CRDI diesel kini di M’sia – RM156k

    Hyundai-Sime Darby Motors Sdn Bhd hari ini memperkenalkan Tucson 2.0L CRDI Diesel sebagai pertambahan terbaru bagi barisan SUV keluaran jenama Korea itu untuk pasaran Malaysia pada harga RM155,788 atas jalan, tidak termasuk insurans. Hadir dengan enjin turbocaj, ia disifatkan mampu memberikan prestasi dan penjimatan sekali gus.

    Enjin berkenaan mampu menghasilkan janaan kuasa sebanyak 178PS dan 400Nm dari 1,750 rpm hingga 2,750 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dan boleh mencapai kelajuan maksimum 201 km/j. Dari kedudukan pegun, enjin ini boleh mencapai kelajuan 100 km/j dalam masa 9.3 saat. Ia turut dilengkapi dengan penyuntik elektronik piezo yang menyampaikan bahan api pada kadar 1,800 bar.

    Turut melengkapi pertambahan varian terbaru ini ialah ciri seperti lampu utama LED dengan static bending light; fungsi Auto Hold serta pintu belakang dengan ciri pintar bukaan automatik ketika kunci berada dalam jaraknya. Turut ditawarkan sebagai pilihan ialah pakej kulit dalam tiga pilihan warna – hitam, merah dan putih, kit badan dan rim 19 inci.

    Dengan penawaran terbaru ini, Hyundai Tucson merupakan SUV yang ditawarkan dengan pilihan enjin terbanyak di dalam segmennya. Yang dimaksudkan ialah dari enjin 1.6L Gamma T-GDI dan Nu 2.0 MPI selain enjin 2.0L R-Series CRDI Diesel yang diperkenalkan ini.

    Selain itu, Tucson 2.0L Elegance juga diberikan beberapa ciri tambahan terbaru, seperti lampu kabus serta lampu nyalaan siang. Semua varian Tucson yang dijual kini menerima pengiktirafan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV) di Malaysia.

    Bagi ciri-ciri keselamatan, Tucson dilengkapi dengan pakej lengkap yang terdiri daripada Vehicle Stability Management (VSM), Hillstart Assist Control (HAC), Downhill Brake Control (DBC) dan Electric Parking Brake (EPB) dengan ciri Automatic Vehicle Hold. Bagi varian 1.6L TGDI dan 2.0L CRDI Diesel ini, ia turut hadir dengan enam beg udara.

    Hyundai Tucson 1.6L T-GDI

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024