Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Honda Civic Type-R kini di UK – bermula RM174k

    Honda Civic Type-R kini di UK – bermula RM174k

    2017 Honda Civic Type R sets new lap record at the Nürburgring

    Setelah didedahkan sepenuhnya pada Mac lalu di Geneva Motor Show 2017, hatchback berprestasi tinggi paling ditunggu-tunggu dari Honda iaitu Civic Type-R generasi baharu kini secara rasmi menerjah pasaran UK.

    Dua varian ditawarkan untuk pasaran berkenaan iaitu model asas dijual pada harga bermula 30,995 pound (RM174,127), manakala varian tertinggi GT pula dijual pada harga 32,955 pound (RM185,349).

    Untuk membezakan kedua-dua varian, model GT diberikan sistem penghawa dingin dua-zon, cermin pandang belakang anti-silau automatik, sistem navigasi Garmin bersama Honda Connect, pengecas telefon pintar tanpa wayar, lampu kabus hadapan LED serta sistem pengesan titik buta bersama amaran lintasan trafik.

    Kedua-dua varian diberikan sistem kelengkapan mekanikal yang sama iaitu enjin 2.0 liter VTEC Turbo empat-silinder berkuasa 320 PS/400 Nm, dipadankan bersama kotak gear manual enam-kelajuan yang dipertingkat, lengkap dengan LSD heliks. Transmisi tersebut juga kini diberikan fungsi rev-matching yang memberikan throttle-blip automatik ketika menurunkan gear tanpa pemandu melakukan teknik heel & toe.

    Honda Civic Type-R kini di UK – bermula RM174k

    2017 Honda Civic Type R sets new lap record at the Nürburgring

    Selain dari pertambahan 10 Nm pada enjin, Type-R baharu ini turut diberikan suspensi jenis multi link pada bahagian belakang (torsion beam pada FK2R sebelum ini), badan yang lebih tegar dan ringan, serta mendapat pakej aerodinamik yang lebih baik. Kesemua ciri ini telah membolehkan Civic Type-R merampas kembali gelaran “Kereta Pacuan Roda Hadapan Terpantas di Litar Nurburging” dari Volkswagen Golf GTI Clubsport S.

    “Seperti juga pada generasi terdahulu, kami telah menjangkakan permintaan yang besar terhadap Civic Type-R. Tempahannya kini sudah dibuka dan kami kini mendapat desakan yang kuat selepas pengenalannya di Geneva Motor Show Mac lalu – dan ini sebelum pelanggan kami dapat membuat pandu uji terhadapnya,” kata Phil Webb, ketua bahagian kereta di Honda UK.

    Honda Civic Type-R generasi baharu ini diproduksi di kilang Honda Swindon, UK. Tempahannya untuk pasaran berkenaan secara rasminya dibuka dan ia bakal sampai ke pengedar pada bulan Julai ini.

     
     
  • SPYSHOT: Bajaj V15 – model Modenas seterusnya?

    SPYSHOT: Bajaj V15 – model Modenas seterusnya?

    Pada bulan April yang lalu, Modenas telah mengesahkan menjalin kerjasama dengan Bajaj Auto dari India untuk memasarkan motosikal jenama tersebut di Malaysia. Tanpa lengah, awal bulan ini pula, syarikat itu mengeluarkan teaser yang mengatakan tiga model akan dilancarkan.

    Dua gambar teaser awal yang dikeluarkan memberi bayangan kepada apa yang kami jangkakan sebagai model Bajaj RS200 dan NS200, tetapi bagi yang ketiga, walaupun teaser untuknya masih belum dikeluarkan, boleh dijangka ia adalah Bajaj V. Di India Bajaj V dijual dalam pilihan enjin 124.5 cc dan 149.5 cc, tetapi bagi Malaysia, kami menjangka yang tiba adalah model 149.5 cc.

    Menguatkan lagi jangkaan tersebut, seorang individu dengan nama Zul Mohd Ali telah memuat naik gambar sebuah motosikal yang dilihat sama seperti Bajaj V di laman Facebook Modenas. Walaupun badan motosikal ini ditutup serba hitam tanpa sebarang grafik, boleh dilihat daripada bentuk lampu belakang, ekzos, lampu hadapan serta penghadang enjinnya ia adalah Bajaj V.

    Enjin 149.5 cc Bajaj V adalah daripada binaan satu silinder SOHC empat strok penyejukan udara dan mampu menghasilkan 12 PS pada 7,500 rpm dan 12.7 Nm pada 5,500 rpm. Pada bahagian hadapan motosikal ini terdapat fork teleskopik 33 mm, brek cakera 240 mm, rim 18 inci dan tayar 90/90, sementara di belakang pula terdapat suspensi gas berkembar, brek dram, rim 18 inci dan tayar 120/80.

    Tangki minyak Bajaj V boleh diisi sebanyak 13 liter, manakala tempat duduk belakangnya mempunyai penutup yang boleh ditanggalkan, seterusnya memberi pilihan gaya berbeza kepada pemiliknya. Di India, Bajaj V 149.5 cc dijual pada harga sekitar 63,000 rupee bersamaan apabila ditukar terus kepada Ringgit Malaysia adalah RM4,239.

    GALERI: Bajaj V15

     
     
  • Genesis G80 bakal terima talaan suspensi unik untuk Australia – dinamik BMW E39 sebagai tanda aras

    Genesis G80 bakal terima talaan suspensi unik untuk Australia – dinamik BMW E39 sebagai tanda aras

    2018 G80 Sport

    Jenama mewah untuk Hyundai iaitu Genesis (seperti Lexus untuk Toyota) bakal dilancarkan secara rasmi di Australia pada September ini, menampilkan sedan besar Hyundai Genesis bakal dijual dengan nama Genesis G80 untuk pasaran berkenaan. Menurut CarAdvice, G80 pasaran Australia bakal diberikan talaan suspensi khas untuk dinamik pengendalian yang lebih baik.

    Menurut laman berkenaan lagi, pasukan Hyundai yang berpengkalan di Sydney tersebut akan mengambil talaan suspensi dari model BMW 5 Series sebagai tanda aras dinamik pengendaliannya – tetapi bukan dari 5 Series generasi ketujuh G 30 terbaharu, sebaliknya dari generasi keempat yang kini telah pun berusia lebih 20 tahun iaitu E39, yang terkenal sebagai antara 5 Series paling seimbang dari segi pengendalian dan keselesaan.

    Model Hyundai Genesis sedia ada pada pasaran Australia agak popular dikalangan pemandu limo di negara berkenaan buat masa sekarang dan disifatkan sebagai model yang selesa, besar dan mewah tetapi tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk pengendalian.

    Genesis G80 bakal terima talaan suspensi unik untuk Australia – dinamik BMW E39 sebagai tanda aras

    Masih lagi belum dapat dipastikan adakah Australia bakal menerima model Genesis G80 Sport dijana enjin V6 3.3 liter turbo berkembar berkuasa 365 hp/510 Nm yang telah didedahkan tahun lalu – menampilkan rupa yang lebih agresif serta lebih sporty.

    Genesis G80 bakal menerjah pasaran Australia bersama model Genesis G70 serba baharu yang akan membawa Hyundai ke dalam kancah persaingan segmen eksekutif premium kompak, di mana segmen berkenaan didominasi oleh BMW 3 Series, Mercedes-Benz C-Class dan Audi A4. Ia juga turut akan bersaing dengan seteru serantau seperti Lexus IS dan Infiniti Q50.

    Buat perrmulaan, jenama Genesis ini akan dijual di Australia dalam premis sama yang mengedar Hyundai, tetapi bakal diberikan satu ruang khas untuknya tanpa bercampur dengan model-model biasa.

    GALERI: Genesis G80 Sport

     
     
  • SIC sedang pertimbang anjur perlumbaan Australia V8 Supercars di M’sia – berkemungkinan pada tahun 2018

    SIC sedang pertimbang anjur perlumbaan Australia V8 Supercars di M’sia – berkemungkinan pada tahun 2018

    Dengan Malaysia kini tidak lagi akan menganjurkan Formula 1 Malaysian Grand Prix bermula tahun 2018, Sepang International Circuit (SIC) berkemungkinan menganjurkan pula Australia Supercars Championship (juga dikenali sebagai V8 Supercars) tahun depan.

    Berdasarkan daripada laman web siri perlumbaan tersebut, ketua pegawai eksekutif SIC, Razlan Razali telah terlibat dalam perbincangan dengan V8 Supercars untuk menganjurkan perlumbaan tersebut pada tahun 2018. “Kami perlu memastikan apa sahaja acara yang dianjurkan selepas Formula 1 dapat memberi kelebihan kepada kedua-dua belah pihak, iaitu litar dan juga pemegang hak,” kata Razlan.

    “Kami perlu memastikan setiap acara mempunyai kesedaran dan dapat menarik orang ramai, kerana litar Sepang adalah satu tempat yang besar dengan kapasiti sebanyak 100,000 orang. Malah, kami sedang berbincang dengan V8 Supercars jika acara dapat dilakukan pada tahun 2018,” tambah beliau. Sebelum ini, siri perlumbaan tersebut telah membuat demonstrasi semasa KL City Grand Prix.

    Razali juga menambah bahawa perbincangan sedang diadakan supaya warga Malaysia dapat menyertai V8 Supercars, dan ini akan dapat menarik penonton. “Apa yang penting adalah kami perlu mengadakan program kesedaran kepada warga Malaysia supaya 60% penonton yang hadir adalah dari Malaysia sendiri. Antara yang dibincangkan adalah untuk mempunyai kereta yang dipandu oleh orang Malaysia. Kita mempunyai bekas pelumba F1, bekas pemandu uji F1 dan pemandu muda yang mungkin boleh mewakili Malaysia,” jelas beliau.

    “Kami telah berbincang dengan ketua pegawai eksekutif V8 Supercars, James Warburton, untuk acara dalam tempoh antara April-Mei-Jun. Kami dapat menerima baik sebarang masa yang mereka mahukan, cuma aspek lojistik perlu diambil kira,” tambah Razali.

    Berkenaan siri perlumbaan itu sendiri, Razali memberitahu, “saiz kereta dan penampilannya adalah berbeza dengan kereta GT seperti Lamborghini dan Ferrari. Ia besar, bising dan api boleh keluar daripada ekzosnya. Saya rasa ia cukup menarik dan penting untuk kedua-dua pihak memastikan ia berjaya untuk kali pertama ini supaya boleh dilaksanakan pada tahun seterusnya.”

    “Untuk aktiviti di luar litar, kami tidak mempunyai sebarang masalah berbincang dengan V8 SUpercars. Mereka terbuka untuk mengadakan apa sahaja aktiviti untuk menarik pengunjung. Aktiviti mendekati pengunjung oleh pemandu dan pasukan lumba juga tidak menjadi masalah.”

     
     
  • Audi perkenalkan Perakam Trafik Universal baharu di Australia – bakal tiba di Malaysia pada September 2017

    Audi telah melancarkan sistem dashcam OEM, Perakam Trafik Universal (Universal Traffic Recorder – UTR) di Australia, menurut laporan yang disiarkan oleh CarAdvice. UTR adalah sebahagian daripada barisan produk Audi Genuine Accessory dan menepati standard keselamatan ADR 69/00, TRIAS 47, ECE-R94 dan 96/79/EG.

    Boleh didapati dalam unit tunggal- (hadapan) atau dwi-kamera (hadapan dan belakang), UTR ini boleh dipasang pada model semasa A4, A6, A7, A8, Q3, Q5 dan Q7. Manakala model terpilih dari tahun 2013 juga boleh dipadankan dengan sistem ini.

    Bagi spesifikasinya, peranti UTR ini dilengkapi dengan kamera HD sepenuhnya, radar, GPS dan pengesan G-shock. Ia juga didatangkan dengan tiga mod iaitu Standard, Parking dan Event, di mana ia akan mula merakam sebaik sahaja enjin dihidupkan, dan hanya akan berhenti apabila enjin dimatikan.

    Rakaman video disimpan dalam kad SD 8GB, dan apabila kapasiti storan sudah mencapai maksimum, peranti akan mula merakam di atas data lama. Dalam mod Parking, peranti akan dihidupkan apabila enjin dimatikan, terus merakam sehingga melebihi 72 jam.

    Manakala mod Event pula akan mula merakam secara automatik apabila meter pendikit mengesan brek secara mengejut atau mendadak, seperti ketika dalam situasi pelanggaran. Peranti juga menampilkan perakam berasaskan radar, iaitu berfungsi apabila ada pergerakan dikesan.

    Selain itu, sambungan pada telefon pintar juga antara elemen lain yang ditampilkan pada UTR, dengan aplikasi bagi peranti iOS dan Android. Menerusi aplikasi tersebut, pengguna boleh melaras beberapa rakaman dan kamera termasuk secara langsung, galeri video dan pencarian kereta.

    Harga (di Australia) bermula AUD745 (RM2,380) bagi unit kamera-tunggal dan AUD845 (RM2,700) untuk dwi-kamera. Audi Malaysia turut mendedahkan rancangan bagi memperkenalkan UTR ini pada September 2017, walau bagaimana pun harganya belum dimaklumkan setakat ini.

     
     
  • Sky Team lancarkan cafe racer Ace 125 – RM7,367

    Sky Team lancarkan cafe racer Ace 125 – RM7,367

    Sky Team Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat yang telah berada di Malaysia sejak tahun 2012 dengan dua produknya iaitu Lady 110 dan PBR 110 kini melancarkan sebuah lagi motosikal, yang mempunyai gaya cafe racer, dinamakan sebagai Ace 125.

    Motosikal yang asalnya dibawa dari Changzhou Jiangsu, China dan dipasang di Malaysia ini menggunakan asas daripada motosikal Honda CG125. Ia dikuasakan oleh enjin empat strok 124.11 cc, dengan sistem karburetor, dan dipadankan bersama transmisi lima kelajuan, mampu menghasilkan sehingga 8.5 Nm tork pada 7,500 rpm.

    Suspensi bahagian hadapan motosikal ini menggunakan jenis fork teleskopik, manakala bahagian belakang pula adalah dua penyerap yang berwarna krom. Untuk brek, bahagian hadapan menggunakan cakera manakala belakang pula adalah jenis dram. Kedua-dua tayar motosikal ini menggunakan rim 18 inci, dengan tayar 2.75 inci di hadapan dan 3.0 inci di belakang. Berat keseluruhan Ace 125 adalah 87 kg, dan ia menyediakan tangki minyak sebesar 9.2 liter.

    Sky Team memasarkan Ace 125 pada harga asas RM6,588 dan apabila dicampur dengan GST, insurans dan pendaftaran, ia menjadi RM7,366.78. Turut diberi adalah jaminan selama satu tahun atau 10,000 km. Buat masa awal ini, Ace 125 ditawarkan dalam tiga warna iaitu biru, perak dan kelabu, dan setiap pembeli akan diberikan tambahan satu lagi tempat duduk jenis tunggal.

    Untuk masa hadapan, Sky Team bercadang membawa lebih banyak lagi model ke pasaran Malaysia, sebagai tambahan kepada tiga model yang sekarang dan ia termasuk antaranya T Rex RV 125 cc, Bongo 125 cc, Cobra 125 cc, Skymax DAX Pro dan V Raptor 250.

    Sky Team mempunyai 153 pengedar di seluruh Malaysia, dan selain membeli produk, pemilik juga boleh menghantar motosikal mereka ke semua pengedar ini untuk khidmat servis dan baik pulih.

    GALERI: Ace 125

    GALERI Lady 110

    GALERI: PBR 110

     
     
  • Mercedes-Benz CLS baharu bakal muncul, khas untuk James Bond dan AMG GT sedan buat Jason Bourne

    Mercedes-Benz CLS baharu bakal muncul, khas untuk James Bond dan AMG GT sedan buat Jason Bourne

    Mercedes-Benz bakal memperkenalkan model generasi akan datang bagi CLS empat-pintu coupe, yang dijangka dipertontonkan di Frankfurt Motor Show September ini, menurut Auto Express. Model baharu ini akan memfokuskan gaya yang lebih menyerlah, dengan sentuhan avant-garde bagi rekaannya.

    Jenama ini nampaknya ingin mengetengahkan elemen baharu bagi CLS disebabkan versi sedan bagi AMGT GT, yang diprebiu sebagai AMG GT Concept dan dijangka mula dijual pada tahun 2019 dengan menggunakan logo GT4, meletakkan posisi CLS model akan datang ini di atas E-Class. Ia juga dijangka akan menawarkan lebih banyak orentasi-prestasi yang penuh menguja.

    “CLS ini adalah untuk James Bond, manakala GT Concept pula buat Jason Bourne,” ujar ketua pegawai rekaan Gorden Wagener ketika ditemui di New York International Auto Show (NYIAS) bulan lalu. “Ia juga digambarkan memiliki pendekatan yang berbeza berbanding kebanyakan kenderaan.”

    Mercedes-Benz CLS baharu bakal muncul, khas untuk James Bond dan AMG GT sedan buat Jason Bourne

    Wagener turut menjelaskan, CLS bakal tampil dengan gaya yang lebib minimalis berbanding model sebelumnya, di mana AMG GT sedan pula lebih sporty. “GT Concept adalah lebih kepada jentera perlumbaan empat-pintu, dan bagi saya CLS pula lebih kepada kereta yang bergaya. Malah generasi akan datang juga akan menonjolkan lebih daripada itu. Malah ia juga akan mempunyai garisan bumbung yang lebih agresif dan elemen yang lebih menakjubkan,” ujarnya.

    Katanya lagi, CLS baharu ini juga akan mempunyai ukuran yang sama bagi ruang belakang seperti sebelum ini. “Walau bagaimana pun, ia akan ditampilkan dengan roda yang lebih besar dan profil tingkap sisi lebih menonjol seperti mana lakaran asal pereka, lebih langsing.”

    Mercedes-Benz CLS baharu bakal muncul, khas untuk James Bond dan AMG GT sedan buat Jason Bourne

    Malah Auto Express juga menjangkakan CLS ini akan lebih menonjolkan lebih kehebatan varian V8, dengan padanan empat- atau enam-silinder pengecas turbo bagi enjin janaan petrol dan diesel. Sementara AMG CLS 43 pula mungkin dipadankan dengan enjin petrol turbo-berkembar enam-silinder.

    Spyshot di bawah ini turut menunjukkan rekaan yang berlainan berbanding yang ditampilkan sebelum ini, termasuk bahagian gril yang dipadankan bersama lamu utama seperto mana yang ditonjolkan pada model Concept A Sedan. Malahan garisan fender belakang pada model semasa juga akan digantikan dnegan imej yang lebih ringkas, sementara bahagian belakangnya dipadankan dengan lampu dan pemegang plat nombor yang lebih nipis.

    GALERI: Spyshot Mercedes-Benz CLS generasi akan datang

    GALERI: Spyshot Mercedes-AMG GT4

     
     
  • Range Rover Evoque Landmark Edition – model khas rai penghasilan 600,000 unit sepanjang enam tahun

    Range Rover Evoque Landmark Edition – model khas rai penghasilan 600,000 unit sepanjang enam tahun

    Range Rover Evoque merupakan antara produk yang berjaya dalam barisan model Land Rover. Buktinya, SUV kompak ini telah dijual lebih daripada 600,000 ribu unit dalam masa enam-tahun, dengan 80% daripadanya telah dieksport ke 130 pasaran luar. Produksi tambahan turut dijalankan di China dan Brazil bagi menampung permintaan pasaran tempatan kedua-dua negara tersebut.

    Walaupun sudah berada dalam pasaran lebih dari enam-tahun, permintaan terhadap SUV ini masih lagi tinggi. Pada Mac tahun ini, Evoque mencatatkan rekod jualan bulanan tertinggi sejak diperkenalkan iaitu hampir 18,000 unit terjual.

    Untuk meraikan kejayaan tersebut, model istimewa digelar Evoque Landmark Edition telah diperkenalkan. Model khas ini hadir dengan warna unit Moraine Blue yang diinspirasikan dari tasik firus di Pergunungan Rocky Kanada (warna Yulong White dan Corris Grey turut ditawarkan), dan turut diberikan kit badan serta perincian bahagian luaran berwarna kelabu – termasuk bumbung panaromik kemasan Carpathian Grey, rim aloi 19-inci kelabu gelap, serta gril, bonet, liang fender, dan juga tulisan pada bahagian belakang dengan kemasan Graphite Atlas.

    Elemen kelabu gelap turut diberikan pada bahagian dalaman, terdapat pada konsol tengah dengan kemasan seperti satin yang diberus, dikelilingi tempat duduk dengan kulit Ebony bersama serlahan jahitan Light Lunar dan kemasan berliang pada bahagian tengah.

    Landmark Edition ini hadir dengan teknologi terkini dari Land Rover termasuk ciri opsyenal sistem InControl Touch Pro dengan skrin 10-inci menampilkan aplikasi seperti Spotify dan hotspot Wifi 4G. Aplikasi Remote Premium pula boleh memberikan informasi seperti paras bahan api, status kunci, lokasi dan juga fungsi pra-pemanasan/penyejukan kabin pada telefon pintar.

    Servis Touch Pro menawarkan peta dengan maklumat trafik masa-sebenar, satelit dan paparan ‘street level’ serta sidebar ‘Live Apps’ yang memberikan maklumat cuaca, tajuk berita utama, pengesan penerbangan dan banyak lagi.

    “Apa yang membuatkan Evoque sangat istimewa adalah kerana relevannya. Rekaannya kekal moden dan segar. Evoque dikenali ramai kerana telah membawa pembeli dari kalangan generasi muda kepada jenama Range Rover, termasuk lebih wanita. Kejayaannya jelas dari mula dan memberikan kami keyakinan untuk memulakan sesuatu yang baru, yang anda boleh lihat pada kenderaan seperti Evoque Convertible,” kata Gerry McGovern, ketua pegawai rekabentuk Land Rover.

     
     
  • Ferrari akan perkenal model hypercar dalam tempoh 3 hingga 5 tahun lagi – bakal atasi kehebatan LaFerrari?

    Ferrari akan perkenal model hypercar dalam tempoh 3 hingga 5 tahun lagi – bakal atasi kehebatan LaFerrari?

    LaFerrari

    Bagi peminat jentera Ferrari, mungkin akan ternanti-nanti, apakah akan ada model hypercar lain yang diperkenalkan selepas kehadiran LaFerrari. Walau pun selepas pelancaran LaFerrari, Ferrari telah mengeluarkan jentera yang diasaskan dari model terbabit yang dipanggil Ferrari FXX K.

    Namun, pastinya peminat Ferrari mahukan jentera yang tidak dibayangi oleh LaFerrari, sebaliknya ditampilkan dengan kehebatan yang tersendiri. Malah mungkin kehebatannya lebih menyerlah berbanding LaFerrari.

    Menurut Autocar, model hypercar baharu yang akan diperkenalkan oleh Ferrari dijangka lebih inovatif tetapi masih praktikal untuk digunakan di jalan raya biasa.

    “Apabila kami mengeluarkan pelan perancangan bagi teknologi dan inovasi, kami telah pun mempertimbangkan untuk mengeluarkan model bagi menggantikan LaFerrari. Mungkin dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, ia akan didedahkan,” ujar Ketua Pegawai Teknologi Ferrari Michael Leiters kepada Autocars.

    Katanya lagi, Ferrari mahu membuat sesuatu yang berbeza daripada sebelum ini. “Ia bukanlah jentera yang boleh digunakan di jalan biasa, dengan enjin Formula 1, tetapi lebih realistik. Ia perlu melahu antara 2,500 hongga 3,000 rpm dan rev hingga 16,000 rpm. Masih menggunakan enjin F1 tetapi perlu melakukan lebih banyak perubahan terhadapnya,” sambungnya lagi.

    Walau pun tidak mendedahkan perincian lebih lanjut mengenai perancangan ini, namun Leiter mengesahkan bahawa pihaknya sedang menuju ke arah pengeluaran model hypercar baharu, tetapi menjadi tanda tanya bagaimana syarikat ini akan memberikan lebih hamburan kuasa mengatasi 950 hp milik LaFerrari?

    Mungkin juga ia akan dijana dengan gabungan kuasa elektrik, hibrid atau ada perancangan lain yang lebih gempak? Kenalah tunggu langkah Ferrari yang seterusnya untuk membocorkan lebih banyak maklumat mengenainya.

     
     
  • Volkswagen batal projek transmisi DSG 10-kelajuan

    Volkswagen batal projek transmisi DSG 10-kelajuan

    Mengikut perancangan, Volkswagen Golf GTI dijadualkan bakal menerima kotak gear DSG 10-kelajuan pada tahun ini. Namun, ia nampaknya tidak akan menjadi kenyataan setelah syarikat berkenaan dilaporkan kini telah menghentikan terus projek transmisi berkenaan.

    “Dua bulan lalu, saya telah memusnahkan prototaip tersebut,” kata ketua unit janakuasa Volkswagen, Friedrich Eichler kepada Automotive News pada Vienna Motor Symposium 2017. Walau bagaimanapun, Eichler menjelaskan beliau masih lagi menyimpan semua data pembangunan transmisi berkenaan.

    Pengenalan kotak gear ini diumumkan buat pertama kali pada Vienna Motor Symposium 2013 bersama enjin diesel berprestasi tinggi. Kotak gear tersebut sepatutnya diperkenalkan buat pertama kali pada Passat B8 semasa penampilan sulungnya untuk peringkat global pada tahun 2015, dan kemudian dijangka bakal diberikan kepada jenama-jenama lain di bawah payung VW Group.

    Mengikut perancangan tersebut juga, selain dari Golf GTI, varian GTD dan R juga bakal diberikan transmisi DSG 10-kelajuan pada tahun ini, dan ia mampu menerima tujahan tork 550 Nm serta bakal dibina bukan sahaja untuk pacuan hadapan, malah untuk versi pacuan belakang.

    Volkswagen batal projek transmisi DSG 10-kelajuan

    Mengulas lanjut kepada Automotive News, Eichler menjelaskan projek transmisi 10-kelajuan DSG ini merupakan sebahagian dari prinsip VW “lebih besar lebih baik” pada ketika itu, dan ia tidak lagi relevan dengan syarikatnya buat masa sekarang.

    Berita berkenaan projek transmisi ini tidak akan menjadi kenyataan tersebar buat pertama kali pada Frankfurt Motor Show 2015 apabila sumber dalaman yang tidak mahu dikenali memberitahu projek tersebut dihentikan kerana kosnya terlalu tinggi dan binaannya terlalu kompleks.

    Jika benar apa yang dikatakan oleh sumber dalaman berkenaan, kotak gear DSG dilihat seakan telah tiba pada batas teknologinya. Baru-baru ini naib-presiden BMW M, Peter Quintus turut dilaporkan berkata bahawa masa hadapan untuk teknologi transmisi adalah kotak gear automatik konvensional yang kini semakin pantas, efisien dan lebih pintar. Quintus turut meramalkan transmisi manual bakal lenyap terus dari pasaran dalam masa enam hingga tujuh tahun dari sekarang, dan mungkin akan diikuti oleh teknologi klac-berkembar.

     
     
  • Shell lancar barisan bahan api baharu – petrol dan diesel dengan formula Dynaflex untuk pasaran M’sia

    Shell lancar barisan bahan api baharu – petrol dan diesel dengan formula Dynaflex untuk pasaran M’sia

    Shell Malaysia hari ini telah melancarkan bahan api baharu yang meliputi semua jenis produk petrol dan dieselnya. Masih lagi mengekalkan nama asal iaitu FuelSave 95 (RON 95), V-Power 97 (RON 97), V-Power Racing, FuelSave Diesel (diesel Euro 2M) dan juga FuelSave Diesel Euro 5, kesemua produk ini kini menampilkan formulasi baharu digelar Teknologi Dynaflex.

    Menurut Shell, formulasi Dynaflex baharu berkenaan di dakwa mampu membersihkan karbon deposit yang melekat pada komponen-komponen dalaman enjin yang terlibat dengan proses pembakaran seperti injap kemasukan dan juga penyuntik bahan api, seterusnya mengekalkan keadaan enjin dalam kondisi paling efisien.

    Selain dari itu, Dynaflex juga memberikan lebih perlindungan pada enjin dengan menawarkan geseran yang kurang pada komponen dalaman, khususnya pada bahagian-bahagian seperti omboh dan dinding blok.

    Shell turut mendakwa formulasi pada V-Power 97 dan V-Power Racing mampu mengurangkan daya geseran tiga-kali ganda berbanding FuelSave 95, manakala Dynaflex yang terdapat pada semua barisan petrol baharunya adalah 20% lebih molekul pembersih berbanding formulasi terdahulu.

    Untuk diesel pula, Shell menyatakan formulasi Dynaflex yang disertakan turut membawa molekul yang mampu membersihkan kotoran bagi mengekalkan kebersihan serta kecekapan enjin.

    “Bahan bakar Shell baharu kami disasarkan untuk membersihkan dan memelihara enjin kereta, menjadikan ia lebih efsien untuk membantu anda menikmati perjalanan di atas jalan raya. Kami percaya ia bukan hanya kemana anda pergi, tetapi juga bagaimana anda pergi turut menjadi keutamaan. Kami berharap pengguna kenderaan akan mendapat faedah dari bahan api baharu kami, yang telah ditingkat taraf dengan teknologi Dynaflex terbaharu kami,” kata pengarah urusan Shell Malaysia Trading dan Shell Timur, Shairan Huzani Husain.

    Barisan bahan api dengan Dynaflex ini kini boleh didapati di semua stesen minyak Shell seluruh negara. Ia juga kini telah diedarkan kepada pelanggan industri menerusi saluran perniagaan-kepada-perniagaan serta pemilik-pemilik komersial berskala besar.

     
     
  • Renault Megane RS 2018 – gambar belakang terdedah

    Renault Megane RS 2018 – gambar belakang terdedah

    Satu-satunya imej yang dipercayai dari model Renault Megane RS kini sedang beredar diinternet. Gambar yang bocor itu menunjukkan bahagian belakang model hatchback yang bakal diperkenalkan tahun ini, dan menjadi gambar pertamanya yang tidak diselindung. Renault sport sebelum ini pernah menampilkan teaser, tetapi dengan kain litup.

    Dibandingkan dengan Megane GT sedia ada – yang ditala oleh bahagian prestasi pengeluar dari Perancis itu, namun belum sepenuhnya jentera RS – Megane RS menampilkan ekzos yang besar tunggal di tengah dengan paip berkembar sebagai sambungan (versi GT mempunyai ekzos berkembar). Lubang trapezoid ditempatkan pada bahagian diffuser dan bampar yang lebih besar, dengan dua corong melintang dibucunya. Badannya juga lebih lebar, dari apa yang dapat dilihat.

    Megane RS terbaru ini akan menjadi pesaing yang sama padan bagi Focus RS dan Honda Civic Type R. “Jenama kami bukan tentang faktor agresif. Kami cuba untuk mempunyai produk barkuasa, tetapi ringkas dengan bentuk yang tidak terlalu “keras”. Ini apa yang cuba kami capai melalui RS seterusnya. Ia lebih payah daripada menjadi agresif. Untuk mendapatkan imbangan yang betul adalah sukar, tetapi saya fikir kami sudah mencapainya,” jelas ketua pereka Renault, Stephane Janin kepada Autocar.

    Menurut majalah automtotif Britain itu, Megane RS seterusnya akan dilengkapi sistem AWD dengan enjin 2.0 liter turbo dengan kuasa lebih daripada 300 hp (versi terdahulu hanya 275 hp dan 0-100 km/j dalam 5.8 saat), kotak gear enam kelajuan (EDC klac berkembar akan ditawar sebagai pilihan buat pertama kali) dan pacuan roda depan. Ciri ini akan mendahului Focus RS, Volkswagen Golf R dan Audi RS3 Sportback sebagai satu-satunya yang memiliki AWD.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia keluarkan teaser enam model AMG 43 yang akan diperkenalkan secara serentak

    Mercedes-Benz Malaysia keluarkan teaser enam model AMG 43 yang akan diperkenalkan secara serentak

    Satu acara besar akan berlangsung Khamis ini, dengan Mercedes-Benz Malaysia telah mengeluarkan teaser ketibaan enam model baru sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun AMG yang ke 50.

    Ayat di dalam teaser yang dikeluarkan dalam laman Facebook syarikat itu turut menyatakan, “enam kereta, tiga huruf, satu enjin,” dan ini memberi petunjuk jelas kepada barisan kenderaan “43” keluaran syarikat Jerman itu.

    Secara keseluruhannya, terdapat 11 model yang menggunakan nama “43” iaitu C 43 Sedan, C 43 Estate, C 43 Coupe, C 43 Cabriolet, E 43 Sedan, E 43 Estate, GLC 43, GLC 43 Coupe, GLE 43, GLE 43 Coupe dan SLC 43. Bagi pasaran Malaysia, anda boleh menjangkakan antara enam model tersebut, ia akan termasuk C 43 Sedan, C43 Coupe, GLC 43, GLC 43 Coupe, E 43 dan SLC 43.

    Mercedes-Benz Malaysia keluarkan teaser enam model AMG 43 yang akan diperkenalkan secara serentak

    Walaupun masih belum dinyatakan secara tepat model mana yang akan termasuk dalam pengenalan besar-besaran ini, kesemuanya dikuasakan oleh enjin V6 biturbo 3.0 liter. Enjin ini ditala untuk menawarkan beberapa jumlah kuasa berbeza, bergantung kepada model. Ia kemudiannya dipadankan bersama transmisi automatik 9G-Tronic (sesetengah model mendapat sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic).

    Bagi C 43 Sedan, C 43 Coupe, GLC 43, GLC 43 Coupe dan SLC 43, enjin V turbo ini mampu menghasilkan 367 hp dan 520 Nm tork, manakala bagi E 43, ia berkuasa 401 hp dan 520 Nm. Kesemua enam model ini mampu memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa bawah lima saat.

     
     
  • Mercedes-Benz akan guna platform MFA generasi seterusnya pada lapan model – A-Class sedan, GLB

    Mercedes-Benz akan guna platform MFA generasi seterusnya pada lapan model – A-Class sedan, GLB

    Menurut laporan oleh Car and Driver, Mercedes-Benz akan memperkenalkan lapan model yang dibina atas platform pacuan roda hadapan generasi seterusnya, dan ia dikata dipanggil sebagai Modular Front Architecture 2 (MFA2).

    Perkara ini diketahui berdasarkan isyarat yang diberi oleh ketua Mercedes-Benz Group Research & Mercedes-Benz Cars Development, Ola Kallenius, tetapi tidak diberitahu model apakah yang akan menggunakan platform MFA2 tersebut.

    Antara model yang dijangka adalah penyambung generasi kepada hatchback A-Class, B-Class, CLA, CLA Shooting Brake dan GLA. Model ini juga mungkin disertai oleh model serba baru seperti A-Class sedan (diperlihat awal melalui A Sedan Concept), SUV GLB dan versi jarak roda panjang bagi A-Class Sedan (berkemungkinan untuk pasaran China).

    Car and Driver juga menyatakan bahawa model yang menggunakan platform MFA2 ini akan menjadi lebih elegan dan matang berbanding penampilan sekarang. Pilihan enjin mungkin termasuk diesel empat silinder dan petrol dengan transmisi automatik klac berkembar (serta tambahan manual).

     
     
  • SDAP lancar program “Pengenalan kepada Porsche”

    SDAP lancar program “Pengenalan kepada Porsche”

    Sime Darby Auto Performance (SDAP) baru sahaja melancarkan program pemanduan buat pemilik baru kenderaan Porsche, yang membawa mereka ke Litar Antarabangsa Sepang untuk belajar lebih lagi serta meningkatkan lagi penghargaan terhadap kereta mereka.

    Semua pemilik kenderaan Porsche empat pintu baru yang didaftarkan pada tahun 2017 akan menerima jemputan eksklusif percuma untuk menyertai acara “Penghargaan kepada Porsche.” Antara mereka yang layak adalah pembeli Macan, Cayenne dan Panamera baru.

    SDAP lancar program “Pengenalan kepada Porsche”

    Dalam acara ini, mereka akan diajar oleh pelatih Porsche, dan melalui beberapa siri latihan pemanduan progresif yang menunjukkan asas kawalan kenderaan. Pengalaman pemanduan dalam litar penuh menggunakan kereta sports Porsche dua pintu juga termasuk dalam program ini.

    Menurut ketua pegawai eksekutif SDAP, Arnt Bayer, “Penghargaan kepada Porsche” adalah satu program pengalaman pemanduan untuk pelanggan yang ditambah kepada acara “Porsche Open Track Day” yang ada sekarang. Ia bertindak menawarkan pemilik Porsche asas bagaimana meningkatkan keupayaan memandu mereka, mengawal kenderaan dalam keadaan kecemasan dan meneroka kemampuan kenderaan empat pintu mereka.

     
     
  • Mercedes-AMG S63 Coupe oleh Fostla dengan 740 hp

    Mercedes-AMG S63 Coupe oleh Fostla dengan 740 hp

    Pertembungan antara prestasi dan kemewahan; Mercedes-AMG S63 Coupe mempertemukan keduanya dengan begitu menarik. Namun, masih ada yang beranggapan model dua pintu itu ada kekurangan sesuatu yang sepatutnya mampu menjadikannya lebih menawan. Untuk itu, Fostla hadir membawakan pakej talaan khusus bagi jentera Jerman itu.

    Bermula dari enjin; 740 hp kuasa yang dihasilkan dari enjin 5.5 liter biturbo V8 – hasil kerja PP-Performance. Ia 155 hp melebihi edisi standard dan dijangka akan memberik kesan kepada prestasi keseluruhan walaupun belum ada maklumat rasmi didedahkan.

    Untuk memadankan kuasa yang dihasilkan dengan rupa luarannya, kit badan yang lebih lebar oleh Prior-Design digunakan, melengkapinya adalah rim aloi dengan kemasan anthracite.

    Jurang antara roda juga dikurangkan, dengan kehadiran modul khusus yang oleh dikawal dari stereng. Tarikan lain ialah pelekat badan dalam warna krom oren kesat turut digunakan, yang sudah tentu akan menjadikannya begitu menonol ketika di atas jalan.

     
     
  • Kerajaan galak penggunaan jalan-jalan persekutuan

    Kerajaan galak penggunaan jalan-jalan persekutuan

    Kerajaan kini menggalakkan pengguna jalan raya untuk memanfaatkan jalan-jalan persekutuan dengan lebih kerap. Selain ia pilihan yang lebih murah berbanding menggunakan lebuhraya, laluan berkenaan turut memberikan tarikan dan kemudahan lainnya.

    Bernama melaporkan, menutu Menteri Kerjaraya, Datuk Fadillah Yusof, jalan-jalan persekutuan merupakan pilihan yang terbaik bagi mereka yang inginkan perjalanan santai. “Hari ini, tanggapan kebanyakan orang ialah, lebuhraya merupakan laluan utama, sedangkan ia sebetulnya merupakan laluan alternatif. Ia pilihan untuk mereka yang ingin cepat,” tambahnya.

    Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kementerian telah mempromosi jalan-jalan persekutuan melalui media dalam beberapa siri jelajah untuk memberi penekanan terhadapnya. Harapannya adalah untuk menarik lebih ramai pengguna untuk menggunakannya sebagai pilihan utama ke destinasi mereka.

    Jelajah terkini melibatkan kawasan selatan, ia turut diikuti oleh program sama di kawasan tengah (Ogos tahun lalu) dan kawasan timur (Februari lalu). Berlangsung dari 7-9 Mei, program di bahagian selatan meliputi kawasan-kawasan di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, merangkumi jarak sejauh 688 km.

     
     
  • Royal Enfield akan beli Ducati daripada Volkswagen?

    Royal Enfield akan beli Ducati daripada Volkswagen?

    Sebelum ini Reuters pernah melaporkan bahawa Volkswagen berkemungkinan melepaskan jenama motosikal Ducati, yang kini dimiliki melalui salah sebuah syarikatnya, iaitu Audi. Kini satu lagi khabar angin sedang berlegar bahawa Royal Enfield dari India mungkin sedang mempertimbangkan pemilikan jenama motosikal dari Itali tersebut. Perkara ini dilaporkan oleh Times of India, yang memberitahu bahawa Eicher Motors, iaitu pemilik jenama Royal Enfield telah didekati oleh bank pelaburan Evercore berkenaan perkara itu.

    Ducati dikatakan kini bernilai 1.5 bilion euro (RM7.12 bilion), dan diperolehi oleh Audi pada tahun 2012 dengan harga 860 juta euro (RM4.08 bilion). Sumber yang tidak dinamakan memberitahu bahawa Eicher sedang meneliti terma pemilikan ini, berserta harga dan bagaimana Ducati akan masuk dalam portfolio jenama mereka.

    Apabila didekati untuk maklum balas berkenaan perkara ini, pengarah urusan serta ketua pegawai eksekutif Eicher, Siddartha Lal memberitahu,”Kami tidak boleh memberi kenyataan berkenaan perkara ini. Saya mempunyai pendapat yang terbuka berkenaan perkara ini. Kami sentiasa terbuka untuk buah fikiran dan idea. Tetapi seperti yang anda tahu, kami adalah sebuah syarikat yang sangat fokus dan selektif,” kata Lal.

    Royal Enfield akan beli Ducati daripada Volkswagen?

    Barisan motosikal Royal Enfield kini terdiri daripada Classic, Bullet dan Thunderbird yang menggunakan enjin antara 350 cc dan 500 cc, Himalaya berenjin 410 cc dan Continental GT menggunakan enjin 535 cc. Pembelian Ducati yang mempunyai pelbagai jenis motosikal, daripada superbike kepada dual-purpose dan retro dilihat bersesuaian untuk menjadikan Enfield satu jenama global.

    Pada tahun 2016, Ducati mencatatkan jualan 593 juta euro (RM2.81 bilion), iaitu bersamaan 55,451 unit, dan ini adalah peningkatan sebanyak 1.2%. Pihak lain yang mungkin berminat untuk membeli Ducati adalah termasuk Suzuki, Honda, Polaris dan Harley-Davidson.

     
     
  • Ford Mustang 2018 – inspirasi wajah Darth Vader

    Ford Mustang 2018 – inspirasi wajah Darth Vader

    Ford Mustang generasi keenam versi facelift 2018 sudahpun didedahkan pada awal tahun ini. Selain dari menerima pelbagai tingkat taraf dari segi kelengkapkan dan aspek mekanikal, rupa jentera American Muscle ini turut diolah semula terutama pada bahagian muka dan belakang.

    Satu perkara yang baharu sahaja didedahkan menerusi laman Autoblog, muka baharu Mustang ini sebenarnya diilhamkan dari wajah watak antagonis dalam filem Star Wars iaitu Darth Vader; yang melakukan penampilan terakhir pada filem Rogue One: A Star Wars Story 2016.

    Ford Mustang 2018 – inspirasi wajah Darth Vader

    “Semasa kami membuat rekaan Mustang 2018 baharu, pasukan pereka mahu membuatkan model baharu berkenaan nampak lebih agresif, dan satu tempat di mana kami mendapatkan inspirasi adalah salah seorang paling watak jahat sepanjang zaman dalam dunia perfileman. Hidung yang bersegi dan kontur pada topeng Darth Vader menjadi inspirasi kepada bentuk skup lampu kabus dan bentuk keseluruhan bahagian hadapan Mustang,” kata pengurus rekaan Ford, Melvin Betancourt dalam laporan Autoblog.

    Turut disertakan di sini adalah lakaran Mustang 2018 bersama muka Darth Vader bagi membolehkan anda melihat kesinambungannya.

     
     
  • Toyota Land Speed Cruiser – SUV terpantas di dunia

    Toyota Land Cruiser merupakan sebuah SUV yang jarang dikaitkan dengan kepantasan dan kelajuan tinggi. Namun, Toyota USA ada idea yang berbeza daripada imej kenderaan itu – mereka mengubahsuai SUV berkenaan untuk menjadikannya sebuah SUV terpantas di dunia.

    Perkara pertama yang dilakukan ialah untuk mendapatkan lebih kuasa daripada enjin 3UR-FE 5.7 liter V8 yang digunakan dengan menambah pengecas turbo Garrett dengan lonjakan boost sebanyak 55 PSI. Untuk memastikan enjin tahan, omboh dan rod yang lebih kuat digunakan, serta intake manifold khas digunakan.

    Dengan enjin berkenaan yang menghasilkan lebih dariada 2,000 hp, serta sistem transmisi perlumbaan yang dapat menampung bebanan berkenaan, mereka kemudiannya memberi tumpuan kepada badan dan casis Land Speed Cruiser itu. Kedudukan yang direndahkan, ciri-ciri aerodinamik, kerangka yang lebih “sempit” serta tayar Michelin Pilot Super Sport yang lebar merupakan antara hal yang diberi perhatian.

    Individu bertanggungjawab terhadap kerja-kerja ini ialah pemandu NASCAR Toyota, Carl Edwards, yang berjaya mendapatkan rekod tidak rasmi jenter berkenaan dengan kelajuan 370.18 km/j (230.02 mph). Ini disahkan melalui GPS dan rakaman video, di mana mereka turut menyatakan jentera berkenaan mampu pergi lebih laju sekiranya laluan yang ada lebih panjang.

    “Rekod SUV paling laju sebelum ini ialah 339.57 km/j (211 mph). Itu sangat laju. Kami berfikir; mengapa tidak kita hasilkan sebuah Land Cruiser yang mempunyai kuasa yang sangat tinggi dan lihat berapa laju ia mampu capai,” ujar Pengurus Pusat Teknikal Perlumbaan Toyota, Chuck Wade.

    “Pada 225 mph, ia sedikit sukar dikawal. Namun, saya hanya ingat pesan Craig; walau apa pun situasinya, kekalkan kaki anda pada pedal. Akhirnya kami mampu capai 230 mph. Ia satu pencapaian terpantas bagi SUV di dunia,” ujar Edwards.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026