Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Subaru Forester 2.0i-S dipertontonkan di Malaysia

    Subaru Forester 2.0i-S dipertontonkan di Malaysia

    Motor Image Malaysia telah pun mempertontonkan varian baharu bagi SUV Forester iaitu 2.0i-S 2017. Ia dijangka akan menyertai varian sedia ada iaitu 2.0i, 2.0i-P dan 2.0 XT, yang dilancarkan pada tahun lalu, tidak lama lagi.

    Forester 2.0i-S ini menerima sedikit peningkatan berbanding varian lain yang telah pun berada di pasaran. Bagi bahagian luarannya, 2.0i-S ini ditampilkan dengan kit badan termasuklah spoiler bawah (dengan kekemasan logam) bagi bampar hadapan dan belakang. Selain itu, ia turut menampilkan rekaan gril hadapan yang sedikit berlainan dengan kemasan hitam, serta perumah cermin sisi logam.

    Menjengah bahagian kabinnya pula, kini ia menampilkan kekemasan gentian karbon tiruan pada panel pintu, keliling pemilih gear dan papan pemuka. Selain itu, ia turut ditawarkan dengan tempat duduk upholstery kombinasi kulit dan suede (seperti mana varian 2.0 XT) dengan jahitan kontras merah, alas lantai spesifik-model (dengan jalinan merah) untuk menyerlahkan gaya dalamannya.

    Lain-lain elemen yang ditampilkan pada bahagian kabinnya sama seperti pada varian 2.0i-P, termasuklah lampu utama LED bersama lampu nyalaan siang LED, roda 17-inci yang dibaluti tayar 225/60, sistem pendingin hawa dwi-zon, bukaan pintu belakang secara berkuasa dan unit utama skrin sesentuh Kenwood 7-inci.

    Seperti mana model Forester lain, ia turut dijana oleh enjin FB20 bentangan boxer 2.0 liter DOHC tanpa sistem induksi paksaan berkuasa 150 PS pada takat 6,200 rpm dan 198 Nm pada takat 4,200 rpm. Enjin baharu dengan rekaan strok yang lebih panjang dan blok enjin yang lebih ringan membolehkan ia mencapai penggunaan petrol 7.9L untuk setiap 100 km.

    Untuk sistem keselamatan, Forester dilengkapi dengan tujuh beg udara (dua di hadapan, sisi dan langsir, lutut pemandu), Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Bantuan Mula Mendaki, kerangka diperkuat dengan bentuk-cincin, sistem ABS lengkap dengan EBD dan BA, Brake Override, dan sistem pedal keselamatan. Kesemua ciri keselamatan ini adalah standard untuk semua varian.

    Buat masa ini, harganya masih belum didedahkan. Kami akan membawakan informasi selanjutnya apabila ia dilancarkan secara rasmi kelak. Untuk mengetahui ulasan pandu ujianya, sila KLIK DI SINI.

    GALERI: Subaru Forester 2.0i-P

     
     
  • GALERI : Toyota Vios 2017 dipertingkat – kamera undur 360-darjah, dash cam, pemain DVD-AVN

    GALERI : Toyota Vios 2017 dipertingkat – kamera undur 360-darjah, dash cam, pemain DVD-AVN

    April lalu, UMW Toyota telah pun mengumumkan penambahan aksesori yang diberikan secara standard bagi model Vios. Varian yang dipertingkatkan ini telah pun berada di pasaran.

    Ia merupakan model yang dipertingkatkan dari varian G, yang kini menerima cermin sisi boleh lipat automatik, pemain DVD-AVN baharu yang memaparkan imej panoramik menunjukkan pemandangan 360 darjah kenderaan menerusi empat kamera di bahagian luar, dan juga Dash Cam untuk merakam pemanduan. Ciri ini bukan sahaja standard untuk G, malah ia juga standard untuk varian GX dan TRD Sportivo.

    Kesemua varian Vios 2017 kini turut menerima satu slot pengecas USB yang terletak pada bahagian depan tapak tombol gear untuk memudahkan pengguna, manakala untuk varian E pula, ia turut menerima pemain DVD-AVN baharu bersama kamera undur 360 darjah.

    Selain itu, varian J juga boleh dilengkapi dengan monitor berkenaan sebagai sebahagian daripada pakej infotainmen DVD-AVX dengan kos tambahan RM4,441.90. Manakala untuk pembeli Vios 1.5E, ciri cermin sisi automatik boleh dimiliki dengan harga RM318.

    Harga pula kekal seperti sebelumnya; Vios 1.5J dijual pada RM76,500; 1.5J Auto pada harga RM79,800; 1.5E auto pada RM83,900; 1.5G pada RM89,800; 1.5GX pada harga RM92,800 dan TRD Sportivo pula dijual dengan harga RM96,400.

    Tiada perubahan mekanikal diberikan di mana Vios masih lagi dijana oleh enjin empat silinder 2NRFE 1.5 liter Dual VVT-i berkuasa 107 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada takat 4,200 rpm. Enjin tersebut kini dipadankan dengan transmisi CVT bersama mod tujuh-kelajuan maya, manakala varian asas J masih diberikan pilihan transmisi manual lima-kelajuan.

    GALERI:Toyota Vios 1.5L G 2017

     
     
  • Masjid Perodua dirasmikan oleh Sultan Selangor – mampu menampung 3,000 jemaah dalam satu masa

    Masjid Perodua dirasmikan oleh Sultan Selangor – mampu menampung 3,000 jemaah dalam satu masa

    Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj berkenan berangkat merasmikan Masjid Perodua yang merupakan masjid pertama dibina oleh syarikat korporat di daerah Hulu Selangor.

    Dikategorikan sebagai masjid pengurusan, masjid ini menawarkan pelbagai kemudahan kepada kakitangan Perodua dan penduduk sekitar termasuk bilik kuliah, bilik pengurusan jenazah dan kawasan khas untuk ibadah sembelihan korban.

    “Masjid Perodua mampu menampung 3,000 jemaah dalam satu-satu masa dan direka bentuk dengan fungsi dan kecekapan yang terancang,” Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata.

    Pembukaan rasmi masjid ini turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh serta wakil agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

    Pada majlis itu, Tan Sri Asmat turut mewakafkan masjid ini kepada Perbadanan Wakaf Selangor yang diterima oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.

    Masjid Perodua dirasmikan oleh Sultan Selangor – mampu menampung 3,000 jemaah dalam satu masa

    Masjid ini juga turut ditadbir oleh ahli profesional yang dipengerusikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh, juga disertai pegawai agama yang berkaliber untuk memastikan fungsi masjid ini diuruskan dengan cekap.

    Perodua telah memperuntukkan kira-kira 8.86 ekar atau 38,850 meter persegi untuk pembinaan masjid ini dan kemudahannya digunakan oleh kakitangan Perodua serta masyarakat setempat. Ia menelan belanja sebanyak RM19 juta termasuk pembinaan Pusat Perkembangan Kanak-Kanak Perodua (PCDC).

    Kompleks masjid ini dibahagikan kepada empat bahagian; yang mana bangunan utama masjid berkeluasan 3,567 meter persegi dengan peruntukan sebanyak RM10 juta. Bersebelahan masjid ialah PCDC, dengan keluasan tanah 2.7 ekar dan kompleks bangunannya seluas 2,099 meter persegi berjumlah RM9 juta.

    “PCDC merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab korporat kepada kakitangan kami dalam menyediakan kemudahan terbaik buat mereka,” kata Tan Sri Asmat.

    Masjid Perodua dirasmikan oleh Sultan Selangor – mampu menampung 3,000 jemaah dalam satu masa

    Selain itu, Perodua turut membelanjakan RM20 juta untuk membina jalan raya bagi menghubungkan ibu pejabat dan masjid sekaligus untuk kegunaan masyarakat setempat.

    “Perodua telah membelanjakan sebanyak RM39 juta secara keseluruhan untuk membina masjid, PCDC dan jalan raya demi manfaat kakitangan kami dan komuniti setempat,” kata Tan Sri Asmat lagi.

    Masjid Perodua memulakan pembinaan pada Ogos 2014 dan siap sepenuhnya pada Julai 2016.

    Sejak Ogos 2016, Masjid Perodua telah mengadakan pelbagai aktiviti antaranya ibadah korban dan mengedarkan daging korban tersebut kepada fakir miskin dan masyarakat setempat.

    Pihak Jawatankuasa masjid turut mengadakan kuliah agama berterusan untuk masyarakat yang merupakan sebahagian daripada proses pendidikan kepada komuniti.

     
     
  • VIDEO: ANCAP uji pelanggaran berdepan buat pertama kali – Toyota Corolla 1998 vs. Corolla 2015

    Program Penilaian Kereta Baharu Australasian (ANCAP) telah menyiarkan hasil ujian pelanggaran secara berdepan antara kereta-dengan-kereta pertamanya, yang turut menunjukkan peningkatan keselamatan kenderaan dari dua era berbeza. Ujian ini turut menunjukkan kelebihan kereta baharu yang lebih selamat.

    Kereta yang terlibat dalam ujian berkenaan kedua-duanya merupakan Toyota Corolla hatchback, tetapi sebuah merupakan model 1998 dan sebuah lagi model dari tahun 2015. Kedua-dua kereta ini diuji dengan berlanggar antara satu sama lain secara berdepan, dalam kelajuan 64 km/j – seperti yang anda lihat, Corolla yang lebih lama menunjukkan kesan pelanggaran yang lebih teruk.

    Bacaan yang direkodkan pada patung ujian menunjukkan risiko yang sangat tinggi untuk kecederaan serius pada kepala, dada, dan kaki pemandu, dengan markah hanya 0.4 dari 16 markah penuh (sifar-bintang) untuk Corolla 1998. Manakala untuk Corolla 2015 pula, ia berjaya mendapat markah 12.93 dari 16 markah penuh, cukup untuk diberikan penarafan lima-bintang.

    Menurut analisis oleh program penilaian prestasi keselamatan, hanya terdapat 20% kenderaan lama (yang dibina pada tahun 2000 dan sebelumnya) dari keseluruhan kenderaan yang didaftarkan di Australia, dan 33% daripadanya terlibat dalam kemalangan maut.

    Sebaliknya, kenderaan yang lebih baharu (dibina antara 2011 dan 2016) yang mewakili 31% dari jumlah keseluruhan kenderaan setakat ini hanya terlibat dalam kemalangan maut sebanyak 13%. “Yang menjadi kegusaran adalah jumlah kemalangan maut adalah empat kali lebih banyak untuk kereta lama berbanding kereta baharu,” kata CEO ANCAP, James Goodwin.

    “Keselamatan bukan kemewahan dan kami mahu semua orang kekal selamat di atas jalan, jadi pengguna perlu mencari kereta paling selamat yang mereka mampu dan kereta paling selamat yang memenuhi keperluan mereka. Hasil ujian ini adalah benar dan industri automotif, pembiayaan dan insuran boleh memainkan peranan mereka untuk membantu menggalakkan orang ramai bagi mendapatkan kereta yang lebih baharu, lebih selamat,” tambah beliau.

    Sebelum ini, Program Penilaian Kereta Baharu Eropah (Euro NCAP) turut menjalankan ujian pelanggaran lama vs. baharu seperti ini. Ujian berkenaan membabitkan Rover 100 (atau Metro) dan juga Honda Jazz 2015, berlanggar sesama sendiri secara berdepan dengan kelajuan sama iaitu 64 km/j.

     
     
  • Tukar logo jenama dan panel badan kenderaan salah?

    Tukar logo jenama dan panel badan kenderaan salah?

    Pilihan yang terhampar bagi peminat pengubahsuaian atau modifikasi kenderaan sangat luas. Ia tidak terhad hanya kepada barangan aftermarket yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak.

    Satu aspek modifikasi yang kerap juga mendapat perhatian di Malaysia ialah dengan menukar penampilan kenderaan dari yang asal. Pendekatan oleh pengeluar, yang memperkenalkan sesebuah model di dalam variasi yang berbeza, untuk pasaran-pasaran yang berbeza – sedangkan ia diasaskan pada satu model yang sama – meluaskan lagi kemungkinan ubahsuai penampilan sesebuah kenderaan.

    Tentunya ramai sudah maklum, sebagai contoh, model-model kereta kompak seperti Perodua Myvi mempunyai “saudara kembar tak serupa” dipasaran Jepun, yang dikenali sebagai Toyota Passo. Begitu juga dengan Proton Wira yang mempunyai pertalian dengan Mitsubishi Lancer terdahulu. Senarai ini sudah tentu saja boleh jadi lebih panjang.

    Dengan adanya pertalian antara model begini, ramai yang panjang akal dan terdetik untuk mengubah penampilan luar kereta mereka kepada model-model yang berkongsi kerangka yang sama itu. Anda juga pasti tidak asing lagi dengan perkara seperti ini; terlalu banyak kenderaan di atas jalan raya di Malaysia yang melakukan hal seperti itu.

    Tukar logo jenama dan panel badan kenderaan salah?

    Yang menjadi persoalan, dari sudut undang-undang, adakah hal ini tidak melanggar apa-apa peraturan sedia ada? Jika menurut Pengarah Jabatan Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk IR. HJ. Mohamad Dalib, perkara itu melanggar undang-undang sedia ada.

    “Semua kenderaan yang didaftarkan di Malaysia ada identitinya tersendiri. Siapa pengeluarnya, apa modelnya, bagaimana rekaan dan lain-lain. Perkara-perkara yang sudah diluluskan, terutamanya ketika proses Vehicle Type Approval (VTA) untuk sesebuah kenderaan itu digunakan di atas jalan raya Malaysia, tidak boleh ditukar sesuka hati” ujar beliau.

    Apa yang dimaksudkan dengan identiti kenderaan? Ada dua perkara yang diberi penekanan ketika membicarakan hal ini; iaitu logo atau lambang pengeluar serta modelnya dan kedua, panel badan kenderaan. “Walaupun pemilik hanya menukarkan logo jenama kenderaan mereka. Misalnya, dari Perodua kepada Daihatsu, atau kepada Toyota – semua itu tetap salah,” jelasnya.

    Tukar logo jenama dan panel badan kenderaan salah?

    Beliau juga sempat memberi contoh terhadap model-model yang lebih baru, seperti Proton Perdana, yang direka semua daripada model Honda Accord generasi kelapan. “Walaupun kita sedia maklum Perdana memang menggunakan Honda Accord sebagai asasnya, sekiranya lambang pengeluar atau modelnya ditukar kepada Honda Accord, ia tetap salah,” tambah beliau.

    Mungkin ada yang bertanya, apa kesalahan yang dilakukan sebenarnya? Beliau menjelaskan; “Menukar identiti kenderaan tanpa kebenaran dan boleh dikenakan saman serta-merta.” Ini turut termasuk bagi model-model lain yang jatuh di dalam situasi seumpama ini, misalnya seperti Proton Inspira.

    Jadi, sebagai langkah berjaga-jaga, sekiranya masih ada pemilik yang ingin berbuat demikian, adalah lebih elok untuk merujuk kepada pihak JPJ terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa perubahan, walaupun seringkas menukar logo pengeluar pada kereta anda.

    Ikuti juga artikel berkaitan maklum balas JPJ terhadap penggunaan sayap belakang besar (rear wing) dan lampu HID pada kenderaan yang pernah kami ketengahkan sebelum ini.

     
     
  • Banyak stesen minyak terpaksa ‘gulung tikar’ akibat harga siling bahan api secara mingguan – PDAM

    Banyak stesen minyak terpaksa ‘gulung tikar’ akibat harga siling bahan api secara mingguan – PDAM

    Sejak penetapan harga siling bahan api diimplementasikan secara mingguan. terdapat banyak rungutan daripada para pengusaha stesen minyak di seluruh negara. Sebelum ia dilaksanakan, terdapat ramai di kalangan pengusaha yang tidak bersetuju dengan langkah tersebut memandangkan ia dijangka tidak memberikan keuntungan yang memberangsangkan, sebaliknya hanya lebih menguntungkan para pengguna.

    Presiden Persatuan Pengedar Petrol Malaysia (PDAM) Datuk Khairul Annuar berkata, sejak mekanisma penetapan harga siling bahan api dilakukan secara bulanan mulai Disember 2014, antara 30 hingga 40 stesen pelbagai jenama terpaksa menamatkan operasi mereka.

    “Malahan jumlah ini semakin bertambah sejak harga tersebut ditetapkan secara mingguan mulai 1 April lalu. Kami berasa sangat khuatir sekiranya perkara ini berterusan,” ujarnya kepada The Star semalam.

    Khairul juga berkata, pengusaha stesen minyak seluruh negara dilihat terjejas dengan masalah ini termasuk di Sabah dan Sarawak.

    Banyak stesen minyak terpaksa ‘gulung tikar’ akibat harga siling bahan api secara mingguan – PDAM

    “Terutamanya yang melibatkan kawasan yang memiliki banyak stesen minyak, dan juga kawasan luar bandar yang mana hasil jualan mereka rendah dan hanya mempunyai stesen minyak yang berkapasiti kecil,” ujarnya lagi.

    Tambahnya lagi, jika perkara ini menjejaskan kos operasi, ia juga memberikan risiko terhadap kakitangannya. Di Malaysia, ada sejumlah 3,500 stesen minyak dengan jumlah keseluruhan pekerja seramai 14,000 orang yang berhadapan dengan risiko kehilangan pekerjaan. Terdapat kajian yang dijalankan oleh PDAM ke atas 840 buah stesen minyak mendapati, hanya 21% sahaja melibatkan pekerja asing, selebihnya adalah warga tempatan.

    Bukan setakat masalah melibatkan para pekerja, bahkan stok bahan api yang berada dalam simpanan juga turut menjadi isu.

    “Apabila stok bahan api yang masih ada dalam simpanan tidak dapat dijual habis apabila harga baharu diumumkan, kebarangkalian ia boleh menyebabkan kerugian yang agak besar. Terutamanya melibatkan petrol RON 97 dan diesel di mana jualannya rendah tetapi memiliki stok yang agak tinggi.

    Banyak stesen minyak terpaksa ‘gulung tikar’ akibat harga siling bahan api secara mingguan – PDAM

    “Bagi petrol RON 95, jika ada lebihan stok dalam tiga hingga lima hari selepas tengahmalam harga baharu diumumkan, pengusaha perlu menjualnya dengan margin yang kosong bagi tempoh tiga ke lima hari minggu berkenaan,” ujarnya yang turut mengakui penurunan harga sebanyak 10 sen sahaja boleh menyebabkan kerugian yang besar dalam tempoh tiga hingga lima hari.

    PDAM menjangkakan pengusaha stesen minyak boleh berhadapan dengan kerugian antara RM3,000 hingga RM5,000 seminggu, malah ada sesetengah pengusaha yang hanya untung sekitar RM5,000 sebulan.

    Dalam masa yang sama, Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa pengusaha-pengusaha stesen minyak di negara ini untuk menjadi lebih kreatif untuk menjana pendapatan dan tidak semata-mata bergantung kepada hasil jualan bahan api sahaja.

    Beliau menjelaskan, sebagai contoh, pengusaha stesen minyak boleh menjalankan perniagaan sampingan di stesen mereka untuk tujuan itu. “Terserah kepada pengusaha stesen minyak untuk mencari alternatif bagaimana untuk menjana keuntungan. Kreativiti mereka boleh digunakan untuk menjalankan perniagaan sampingan lain dipremis sama,” ujarnya.

     
     
  • Nissan rai ulangtahun ke-60 model ikonik Skyline dengan poster Hokusai – tampil setiap generasinya

    Nissan Skyline, nama yang begitu ikonik dalam industri automotif Jepun. Nama berkenaan telah bermula sejak tahun 1957 lagi, ketika itu Skyline dibina oleh pengeluar asalnya iaitu Prince Motor Company (PMC). Tahun ini, nama Skyline telah pun genap 60-tahun, dan Nissan meraikannya dengan menerbitkan siri poster yang menampilkan generasi pertama Skyline, hingga ke generasi sedia ada.

    Poster-poster ini disiarkan oleh laman Jepun, LeVolant Boost, menampilkan setiap generasi Skyline dengan latar belakang tempat-tempat terkenal di Jepun seperti Pergunungan Fuji dan hasilkan seperti karya pelukis silam Jepun – Hokusai. Laman berkenaan turut menyebut bahawa poster ini akan dipamerkan di lokasi-lokasi pertandingan gusti Grand Sumo sekitar Jepun bermula 14 hingga 28 Mei ini.

    Untuk pengetahuan anda, siri poster ini adalah untuk meraikan jenama Skyline sahaja, tanpa melibatkan nama GT-R yang telah dipisahkan bermula dari model R35. Seperti yang disebutkan tadi, generasi pertama Skyline dibina oleh PMC pada tahun 1957 dengan kod casis ALSI. Setelah berberapa perubahan dilakukan dan melahirkan pelbagai versi, model generasi pertama ini dihentikan pada tahun 1964.

    Generasi kedua Skyline masih lagi dibina di bawah payung PMC. Dengan diberikan kod casis S50, model ini direka oleh ‘The Godfather of Skyline‘ Shinichiro Sakurai pada tahun 1963. Pada tahun 1964 pula, Sakurai mula memadankan enjin enam silinder pada Skyline ini, digelar Skyline GT – model yang dibina untuk membolehkannya berlumba di Grand Prix Jepun, bersaing dengan Porsche 904. Disebabkan enjin yang lebih panjang, Sakurai terpaksa memanjangkan lagi bahagian hadapan jentera berkenaan sebanyak 200 mm dari model biasa.

    Versi paling berkuasa Skyline generasi kedua ini dikenali dengan kod casis S54B menampilkan penggunaan tiga karburator perlumbaan Weber DCOE 40 bersama omboh, rod penghubung dan aci engkol yang diperkuat, transmisi manual lima-kelajuan nisbah-rapat dan juga LSD pada gandar belakang.

    Skyline mula dikenali sebagai sebuah model keluaran Nissan menerusi model generasi ketiganya setelah PMC disatukan dengan Nissan. Model ini hadir dalam pasaran pada tahun 1968 dengan kod casis C10. Model ini juga merupakan generasi pertama Skyline yang diberikan lencana GT-R, menampilkan enjin S20 2.0 liter DOHC enam-silinder sebaris dengan tiga buah karburator perlumbaan sebagai ciri standard. C10 juga sering dirujuk dengan nama ‘Hakosuka’ di mana hako bermaksud kotak dan suka sebenarnya sebutan Sky (dari nama Skyline) dalam pelat Jepun.

    Pada 1972, generasi keempat Skyline membuat penampilan. Model ini mula direka dengan bentuk badan ‘botol coke’, cuba menyaingi rekaan kereta-kereta American Muscle ketika itu seperti Dodge Charger dan sebagainya. Dikenali dengan kod casis C110, model ini juga turut digelar sebagai ‘Kenmeri Skyline’ – merujuk kepada watak Ken dan Mary yang dicipta untuk mempromosikannya. Versi GT-R juga hadir pada generasi ini menggunakan enjin S20 yang sama, tetapi produksinya terpaksa dihentikan dalam masa yang singkat kerana krisis bahan api yang melanda pada era tersebut (hanya 197 unit dihasilkan, menjadikan ia GT-R paling rare dalam sejarah!).

    Skyline terus dihasilkan pada tahun 1977 (C210/Skyline Japan), 1981 (R30/Paul Newman Skyline/Iron Mask) dan 1985 (R31), tetapi ketiga-tiga generasi ini tidak lagi diberikan lencana GT-R. Hanya model 2000 GT-S diberikan sebagai varian paling berkuasa. Model R32 hadir pada tahun 1989. Variasi model GT-S masih lagi kekal, tetapi Nissan telah mengambil keputusan untuk membawa semula GT-R dalam barisan model Skyline.

    R32 mula menggegar dunia perlumbaan bukan sahaja kerana enjin RB26DETT 2.6 liter turbo berkembar yang sangat berkuasa, tetapi kemampuan sistem pacuan semua roda Attesa ETS-Pro yang dilengkapkan membuatkan ia hampir mustahil untuk dikejar di dalam litar – akhirnya ia diharamkan terus dari menyertai perlumbaan Australian Touring Car Championship (ATCC) pada tahun 1993 setelah menjuarai kejohanan tersebut tiga tahun berturut-turut dari 1990 hingga 1992.

    Nissan rai ulangtahun ke-60 model ikonik Skyline dengan poster Hokusai – tampil setiap generasinya

    Versi GT-R terus hadir bersama Skyline generasi seterusnya iaitu R33 pada tahun 1993 dan juga R34 pada tahun 1998. Namun untuk generasi ke-11 pada tahun 2001, Skyline dan GT-R mula dipisahkan. Skyline dikenali dengan kod casis V35 (hadir dengan bentuk badan coupe 2-pintu dan sedan 4-pintu), manakala GT-R dikenali dengan kod casis R35, tetapi hanya membuat kemunculan sulung pada tahun 2007. V35 juga dijual diluar Jepun secara rasmi tetapi dengan nama Infiniti G35.

    Generasi ke-12 Skyline terus dihasilkan pada tahun 2006, kali ini dengan kod casis V36 dan nama Infiniti G35 terus digunakan untuk pasaran luar Jepun. Skyline generasi terakhir pula hadir pada tahun 2014 dengan kod casis V37. Pasaran Malaysia turut menerima model V37 ini, tetapi sama juga seperti pasaran luar Jepun lain, ia dikenali sebagai Infiniti Q50 pada pasaran tempatan.

     
     
  • Kawasaki anjur siri jelajah “Always Close To You”

    Kawasaki anjur siri jelajah “Always Close To You”

    Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) hari ini mengadakan siri jelajah tunggang uji yang terbuka kepada umum, bertempat di Bulatan Bazarena, Stadium Melawati, Shah Alam dari pukul 10 pagi hingga 6 petang. Dikenali sebagai siri Jelajah “Always Close To You”, ia menampilkan barisan model 2017 jenama itu.

    Ketika acara ini berlangsung, Kawasaki akan mempamerkan model-model seperti Kawasaki Z650 ABS, Ninja 650 ABS, Z900 ABS dan Versys-X 250. Pengunjung berpeluang untuk menunggang uji semua model berkenaan untuk mengetahui pengalaman sebenar bersama barisan jentera terbaru keluaran syarikat itu.

    Laluan khas juga telah direka untuk memberi peluang kepada penunggang merasakan aspek-aspek berlainan yang ada jenteranya, termasuk ketangkasan tunggangan dan keupayaan membelok. Pemilik Kawasaki sedia ada juga boleh membawa motosikal mereka untuk pemeriksaan dan servis – dengan caj buruh percuma. Ia akan diselia oleh juruteknik profesional dari Kawasaki Exclusive Service Centre (KESC) Glenmarie.

    Acara ini turut disertai oleh beberapa pihak lain seperti Alpinestar Malaysia, Shoei Malaysia, serta Bridgestone yang turut akan mempamerkan barisan produk masing-masing. Selain itu, AEON Credit Services dan Tokio Marine Insurance akan turut berada di sana dengan tawaran pembiayaan kepada yang berminat.

     
     
  • G30 BMW 5 Series terima enjin dan varian baharu

    G30 BMW 5 Series terima enjin dan varian baharu

    BMW telah memperkenalkan enjin tambahan dan varian baharu bagi pacuan empat-roda untuk G30 5 Series, iaitu termasuk model baharu 520i yang bakal didapati mulai Julai ini.

    520i dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan kuasa 181 hp dan tork 290 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik Steptronic lapan-kelajuan yang memacukan kuasa ke roda belakang, memberikannya pacuan dari 0-100 km/j dalam hanya 7.8 saat (8.2 saat untuk Touring).

    Bagi penggunaan bahan apinya, versi sedan didakwa menggunakan sekitar 5.4 liter per 100 km (5.8 liter per 100 km bagi Touring), dan emisi pula antara 141 hingga 124 gram bagi CO2 per km.

    Dua enjin turbodiesel baharu turut ditawarkan untuk 5 Series, iaitu 2.0 liter empat-silinder pada model 525d, yang menawarkan 228 hp dan 500 Nm. Manakala enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris pula bagi model 540 xDrive dengan kuasa 315 hp dan tork 680 Nm, diposisikan di bawah model yang baru diperkenalkan iaitu M550d xDrive.

    G30 BMW 5 Series terima enjin dan varian baharu

    Kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik Steptronic lapan-kelajuan, dengan penjana kuasa yang lebih besar turut menerima sistem pacuan empat-roda. Bagi prestasinya, 525d boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 6.6 saat (Sedan) dan 6.8 saat (Touring). Bagi penggunaan bahan apinya pula, dicatatkan dengan anggaran lebih rendah iaitu 4.4 liter per 100 km (Sedan) dan 4.7 liter per 100 km (Touring).

    Manakala 540d xDrive pula, bagi pacuan 0-100 km/j, ia mencatatkan masa yang lebih pantas iaitu 4.7 saat (Sedan) dan 4.9 saat (Touring). Manakala penggunaan bahan api kombinasi pula serendah 5.2 liter per 100 km (Sedan) dan 5.5 liter per 100 km (Touring).

    BMW turut menambah xDrive sebagai pilihan buat 520d dan 530i. Bagi 520d xDrive, ia dipadankan dengan enjin 2.0 liter empat-silinder turbodiesel dengan hamburan kuasa 188 hp dan 400 Nm, sementara untuk 530i xDrive pula bersama enjin petrol 2.0 liter empat-silinder dengan 248 hp dan 350 Nm.

    Kedua-dua penjana kuasa ini turut dilengkapi dengan transmisi automatik Steptronic lapan-kelajuan, dan untuk 520d xDrive, dari 0-100 km/j hanya dalam 7.9 saat, dengan penggunaan bahan api sekitar 4.9 liter per 100 km (paling rendah). Manakala 530i xDrive pula, 0-100 km/j dalam hanya 6.3 saat, dengan penggunaan bahan api sekitar 6.5 liter per 100 km.

    Selain daripada penjana kuasa, pilihan baharuyang ditawarkan dari BMW Individual bagi 5 Series, termasuklah warna badan dengan metalik istimewa dan kekemasan metalik Frozen. Untuk dalaman pula, pilihan kekemasan kulit Merino dan semua-kulit Merino kekemasan butiran halus ditampilkan. Kedua-duanya dengan pilihan warna Smoky White, Tartufo dan Caramel.

    Elemen baharu yang turut ditawarkan termasuk jaluran kekemasan dalaman dalam kekemasan kayuan Sen Light Brown dan Plum Brown bagi BMW Individual , selain material kulit yang membaluti panel instrumen BMW Individual, lapisan bumbung Alcantara Anthracite dan balutan kulit berwarna hitam berkilat untuk roda stereng.

     
     
  • Hyundai Kona dilihat tanpa sebarang penyamaran

    Hyundai Kona dilihat tanpa sebarang penyamaran

    Imej teaser SUV segmen-B baharu dari Korea yang bakal bersaing dengan Honda HR-V dan Toyota C-HR – Hyundai Kona – telah pun disiarkan berberapa kali sebelum ini, menampilkan lampu nyalaan siang dan juga keseluruhan mukanya. Sebelum kemunculan sulungnya, laman autoweek.nl terlebih dahulu telah menyiarkan imej penuh model berkenaan tanpa sebarang penyamaran.

    Imej tersebut diambil ketika SUV ini membuat penggambaran iklan, memberikan gambaran jelas bagaimana rupa sebenarnya. Jika C-HR menampilkan rupa yang lebih agresif bagi menenggelamkan bayangan HR-V, Kona pula dilihat mempunyai imejnya yang tersendiri.

    Seperti yang didedahkan pada imej teaser sebelum ini, muka Kona menampilkan rupa unik di mana lampu utama SUV ini diletakkan pada bahagian bawah, manakala lampu tirus di bahagian atas hanya berfungsi sebagai lampu nyalaan siang dan lampu isyarat membelok – direka dengan konsep yang sama seperti Citroen C3 dan Nissan Juke. Lampu berkenaan mengapit gril “cascading” seperti i30 baharu.

    Bahagian sisi Kona pula menampilkan susuk badan yang agak berotot dengan panel-panel roda yang diberi gelembung, bersama kemasan-kemasan pelindung yang kelihatan lasak. Kemasan pelindung berkenaan turut bersambung dengan lampu hadapan, begitu juga bahagian belakang yang bersambung dengan lampu isyarat belakang.

    Bumbung diwarnakan dengan kemasan hitam bermula dari tiang-A, manakala pada tiang-C diberikan kemasan krom sebagai pemisah bumbung dan badan membuatkan bumbungnya kelihatan seperti terapung. Selain dari lampu isyarat pada bampar, Kona turut diberikan lampu belakang utama yang direka tirus diletakkan pada bahagian atas.

    Spyshot yang kami terima sebelum ini turut mendedahkan bahagian dalam SUV ini, yang dilihat direka agak ringkas menampilkan rekaan papan pemuka dengan aspek melintang, roda stereng tiga-jejari, dua meter analog utama, liang penghawa dingin lonjong, bersama skrin sesentuh sistem infotaimen yang diletakkan pada kedudukan agak tinggi.

    Kona berkemungkinan besar dibina berasaskan platform yang sama dengan Creta/ix25 – direka untuk pasaran China dan India, dan juga platform sama untuk binaan i20. Jadi, dijangkakan SUV ini bakal menerima unit janakuasa yang sama seperti model-model berkenaan dan juga i30, iaitu enjin petrol empat-silinder 1.4 liter T-GDI turbo serta 1.6 liter turbodiesel CRDi. Kedua-dua enjin ini dipadankan sama ada dengan transmisi enam-kelajuan manual atau klac-berkembar automatik tujuh-kelajuan.

    Seperti juga model-model SUV Hyundai lain, nama model baharu ini diambil dari nama tempat di Amerika – Kona merupakan satu daerah di Kepulauan Hawaii, dan ia menggambarkan imej energetik serta gaya hidup yang unik. Model baharu ini bakal diletakkan di bawah Tucson dan Santa Fe dalam barisan SUV Hyundai.

    GALERI: Spyshot Hyundai Kona

     
     
  • Dua pemegang konsesi tol berhadapan dengan bangkrap, mohon bantuan kerajaan – Fadillah

    Dua pemegang konsesi tol berhadapan dengan bangkrap, mohon bantuan kerajaan – Fadillah

    Dua syarikat pemegang konsesi tol menghadapi risiko kebangkrapan dan telah meminta bantuan pihak kerajaan Persekutuan untuk mengambil alih pengurusan, dedah Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

    Fadillah turut mendedahkan terdapat satu lagi pemegang konsesi pula dalam proses penstrukturan semula syarikat apabila menghadapi masalahh yang sama, laporan News Strait Times.

    “Kerajaan terpaksa masuk campur dalam perkara ini bagi mengelakkan masalah di lebuhraya yang dikendalikan oleh pemegang konsesi terbabit. Buat setakat ini, hanya lima lebuhraya yang didapati mampu menjana keuntungan,” ujarnya kepada pihak pemberita semalam.

    Walau bagaimana pun, Fadillah enggan mendedahkan pemegang konsesi yang sedang berhadapan dengan masalah kewangan yang meruncing itu.

    Katanya lagi, pihak kerajaan sedang dalam proses mengkaji semua sistem tol di negara ini.

    “Buat masa ini, terdapat empat jenis penjanjian konsesi termasuk yang terkini yang merupakan penjanjian generasi keempat. Penjanjian generasi pertama tidak menyebelahi denga pihak kerajaan sejak kita memperkenalkan kaedah dan syarat baharu dan semua dokumen telah ditandatangani dan dirumuskan. “Perjanjian (generasi pertama) lebih kepada permintaan syarikat konsesi,” ujarnya lagi.

    Manakala perjanjian lagi tiga generasi, telah ditambahbaik termasuk dengan satu peruntukan penghapusan peningkatan kadar tol pada setiap tahun.

     
     
  • SPYSHOT: Volkswagen Polo 2017 tanpa penyamaran

    SPYSHOT: Volkswagen Polo 2017 tanpa penyamaran

    Spy-Shots of Cars
    This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Menjelang pengenalan rasminya untuk peringkat global yang bakal berlangsung bulan hadapan, Volkswagen telah menyiarkan video teaser yang memaparkan keseluruhan VW Polo generasi baharu, tetapi dengan pelekat penyaraman diseluruh badan. Namun, wakil jurugambar penyiasat kami di Eropah berjaya mendapatkan gambar model berkenaan tanpa sebarang pelekat penyamaran.

    Polo berkenaan dipercayai sedang diuji untuk peringkat terakhir dan hanya diberikan sedikit pelekat untuk menyembunyikan perinciannya, terutamanya pada sekeliling lampu hadapan.

    Hatchback segmen-B generasi baharu ini dibina berasaskan platform MQB A0 yang juga dijadikan asas Seat Ibiza baharu yang telah pun diperkenalkan. Model baharu ini menampilkan dimensi yang lebih besar dari model sedia ada, yang jelas dapat dilihat menerusi imej ini.

    SPYSHOT: Volkswagen Polo 2017 tanpa penyamaran

    Spy-Shots of Cars
    This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Dengan panjang keseluruhan 4,053 mm dan lebar 1,751 mm, Polo 2017 ini 81 mm lebih panjang dan 69 mm lebih lebar dari sebelum ini. Oleh itu, ruang dalamannya juga dapat direka lebih luas dengan jarak roda yang kini 94 mm lebih panjang, meningkat dari 2,470 mm kepada 2,564. Polo baharu ini juga direka lebih rendah 97 mm kepada 1,446 mm, menjadikan rupanya lebih sporty.

    Model generasi baharu ini bakal dijana dengan pilihan enjin TSI dan TDI. Barisan enjin turbo Euro 6 juga seperti pada Seat Ibiza juga dijangka bakal menjana Polo berkenaan.

    Ketika diperkenalkan Februari lalu, Seat Ibiza hadir dengan enjin 1.0 liter tiga-silinder TSI berkuasa 95 PS dan 115 PS (bergantung pada varian). Ia bakal disertai oleh enjin empat silinder 1.5 liter TSI EVO berkuasa 150 PS tahun ini. Untuk diesel pula, ia diberikan enjin 1.6 liter TDI yang ditala dengan pilihan kuasa 80 PS dan 95 PS. Kesemua enjin ini dipadankan sama ada dengan tansmisi lima-kelajuan manual, enam kelajuan manual atau tujuh-kelajuan DSG automatik.

     
     
  • MRT catat 1.8 juta orang pengguna bagi Januari-April

    MRT catat 1.8 juta orang pengguna bagi Januari-April

    Bagi tempoh sejak Januari lalu hingga April tahun ini, fasa pertama Mass Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh-Kajang (SBK) mencatatkan seramai 1.8 juta orang pengguna yang menggunakan perkhidmatan itu.

    Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Wira Othman Aziz menyatakan angka ini sangat menggalakkan, mengambil kira MRT masih belum dihubungkan kepada perkhidmatan tren aliran ringan yang lain, termasuk Monorail, lapor Bernama.

    “Warga kota dijangka akan menerima dan menggunakan MRT ini secara berperingkat sebagai satu kaedah baru pengangkutan harian mereka, terutama sebaik sahaja laluan keseluruhannya siap (laluan SBK Fasa Dua dan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya),” jelasnya.

    MRT catat 1.8 juta orang pengguna bagi Januari-April

    “Setakat ini, laluan SBK Fasa Satu mencatatkan kira-kira 15,000 pengguna harian dan ia dijangka meningkat kepada 150,000 orang sebaik saja Fasa Dua siap, merangkumi 19 lagi stesen dari Semantan ke Kajang yang akan mula beroperasi pada Julai ini,” tambahnya.

    Laluan SBK Fasa Satu mula beroperasi sejak 16 Disember 2016, meliputi 12 buah stesen antara Sungai Buloh dan Semantan. Laluan MRT SBK ini menelan belanja RM23 bilion, merangkumi jarak 51 km dengan 31 stesen. Untuk menggalakkan lebih ramai pengguna menggunakan perkhidmatan ini, perkhidmatan bas perantara disediakan untuk membawa penumpang ke stesen serta kawasan letak kereta.

     
     
  • Pengusaha stesen minyak perlu lebih kreatif, jangan hanya bergantung kepada jualan bahan api – KPDNKK

    Pengusaha stesen minyak perlu lebih kreatif, jangan hanya bergantung kepada jualan bahan api – KPDNKK

    Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa pengusaha-pengusaha stesen minyak di negara ini untuk menjadi lebih kreatif untuk menjana pendapatan dan tidak semata-mata bergantung kepada hasil jualan bahan api sahaja, lapor Bernama.

    Beliau menjelaskan, sebagai contoh, pengusaha stesen minyak boleh menjalankan perniagaan sampingan di stesen mereka untuk tujuan itu. “Terserah kepada pengusaha stesen minyak untuk mencari alternatif bagaimana untuk menjana keuntungan. Kreativiti mereka boleh digunakan untuk menjalankan perniagaan sampingan lain dipremis sama,” ujarnya.

    Perkara ini dibangkitkan susulan daripada rungutan yang kedengaran bahawa sebahagian kecil pengusaha stesen minyak yang tidak gembira dengan perlaksanaan penetapan harga siling bahan api yang diumumkan setiap hari Rabu seperti yang berlaku kini.

    Beliau turut menegaskan, pendekatan terbaru itu digunakan oleh kerajaan adalah bertujuan untuk mengutamakan keperluan pengguna kebanyakan, memastikan agar harga yang dikenakan adalah pada kadar pasaran semasa. Penetapan harga bahan api secara mingguan itu menggantikan harga bulanan, dan mengambil kira purata kos bahan api siap diproses serta kadar tukaran mata wang asing mingguan.

    Sistem baru ini mula dilaksanakan pada 30 Mac lalu.

     
     
  • BMW Malaysia lancar Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau di JB – hab bagi lebih 23 negara di rantau ini

    BMW Malaysia lancar Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau di JB – hab bagi lebih 23 negara di rantau ini

    BMW Group Malaysia telah merasmikan pembukaan Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau baharunya di Zon Industri Bebas, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor Bahru.

    Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau BMW Group yang melibatkan pelaburan bernilai lebih RM130 juta ini, merupakan salah sebuah kemudahan BMW paling besar seumpamanya di rantau Asia Pasifik. Ia akan menyokong lebih 23 buah negara di rantau ini sebagai gudang logistik serta pusat pengedaran alat ganti untuk alat ganti selepas jualan, komponen dan barangan gaya hidup bagi jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad.

    Terletak di atas tanah seluas 775,000 kaki persegi di Zon Industri Bebas di daerah berkenaan, ia bakal menyaksikan pelanggan di seluruh rantau ini terus dapat menikmati kebolehdapatan dan tempoh lebih pantas dari segi penghantaran alat ganti selepas jualan, komponen dan barangan gaya hidup ke para pengedar BMW.

    BMW Malaysia lancar Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau di JB – hab bagi lebih 23 negara di rantau ini

    Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, “Menilai kembali operasi kami selama 14 tahun di Malaysia, BMW Group Malaysia bukan sahaja mengukuhkan posisinya selaku peneraju dalam menyediakan mobiliti mapan dan individual, malah sebagai sebuah organisasi yang menunjukkan pertumbuhan dalam semua aspek – prestasi kami terbukti menerusi peningkatan jualan sebanyak 16% pada tahun lalu. Kematangan portfolio produk kami juga terserlah dengan pengenalan model-model plug-in hybrid baru-baru ini yang mendapat sambutan luar biasa di pasaran tempatan.”

    Turut hadir sama dalam majlis perasmian ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Dato’ Azman Mahmud dan Naib Presiden Kanan Rantau Asia, Pasifik dan Afrika Selatan BMW Group, Hendrik von Kuenheim.

    Siap sepenuhnya pada Disember 2016, Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau BMW Group menjadi fasa pertama pembinaan kemudahan pembuat kenderaan premium itu. Kemudahan itu akan memanfaatkan lokasinya yang strategik dan infrastruktur moden, di samping akses pelabuhan laut dan udara di Zon Industri Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru.

    Pusat pengedaran alat ganti baharu itu akan membekalkan barangan ke Malaysia, Singapura, Thailand, Korea Selatan, Australia, New Zealand, Indonesia, Taiwan, Hong Kong, Macau, Filipina, Brunei, Laos, Kemboja, Myanmar, Vietnam, Bangladesh, Mongolia, Sri Lanka, Tahiti, New Caledonia, Fiji dan Guam. Pusat baharu itu juga dijangka menawarkan 120 peluang pekerjaan.

     
     
  • SPYSHOT: Honda CR-V generasi baharu dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo dilihat sekali lagi diuji di Malaysia

    SPYSHOT: Honda CR-V generasi baharu dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo dilihat sekali lagi diuji di Malaysia

    Nampaknya saat pelancaran SUV segmen-C Honda CR-V generasi baharu semakin hampir kerana model tersebut kini dilihat makin giat diuji. Sebelum ini SUV berkenaan dilihat diuji di sekitar kilang Honda Pegoh, Melaka, terbaharu ia dilihat pula diuji mendaki Genting Highland dan gambarnya berjaya dirakam oleh pembaca kami, William Loo.

    Gambar bahagian belakang SUV ini jelas menampakkan lampu belakangnya yang sememangnya menyerlah. Tip ekzos berkembar (satu setiap sisi) juga dapat dilihat dan mengesahkan ia dari varian 1.5 liter VTEC Turbo.

    Di Thailand, CR-V generasi baharu ini dilancarkan pada Mac lalu dengan dua varian iaitu varian asas 2.4L petrol NA dan varian tertinggi 1.6L Turbodiesel – kedua-duanya diberikan konfigurasi tujuh-tempat duduk. Pasaran Malaysia berkemungkinan besar akan menyamai spesifikasi CR-V pasaran Indonesia yang telah dilancarkan bulan lalu dengan varian asas 2.0L NA dan 1.5L VTEC Turbo.

    Walau bagaimanapun, untuk Indonesia ia hadir dengan dua konfigurasi tempat duduk berbeza iaitu lima-tempat duduk untuk versi 2.0L NA dan tujuh-tempat duduk untuk versi 1.5L VTEC Turbo (konfigurasi tempat duduk untuk pasaran Malaysia masih belum dapat dipastikan). Pasaran Indonesia juga tidak diberikan pilihan pacuan semua roda, di mana kedua-dua versi memacu roda hadapan menerusi transmisi CVT dan diberikan pedal penukar gear.

    Walaupun enjin 1.5 liter VTEC turbo ini sama seperti pada Civic FC, namun ia diberikan talaan yang lebih berkuasa iaitu 190 PS/240 Nm (173 PS/220 Nm untuk Civic). Manakala untuk enjin R20 2.0 liter SOHC NA pula, ia diambil terus dari CR-V sedia ada, menghasilkan kuasa 155 PS dan 190 Nm.

    GALERI: Honda CR-V 1.5L Turbo Prestige (varian pasaran Indonesia)

    GALERI: Honda CR-V 2.0L (varian pasaran Indonesia)

     
     
  • Volkswagen Polo Allstar kini di Malaysia – aksesori tambahan bernilai RM6,000, harga RM72,888

    Volkswagen Polo Allstar kini di Malaysia – aksesori tambahan bernilai RM6,000, harga RM72,888

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan model Polo edisi istimewa pada hujung minggu ini, yang digelar Volkswagen Polo Allstar, dengan penambahan aksesori bernilai RM6,000 iaitu lebih RM2,841 berbanding model standard. Polo Allstar ini ditawarkan pada harga atas jalan RM72,888 tanpa insurans.

    Aksesori yang ditampilkan termasuklah jaluran kekemasan hitam pada pintu, spoiler belakang, kekemasan hitam di belakang dan logo “Allstar”. Di dalamnya, ia turut didatangkan dengan pedal aluminium, bersama tempat duduk balutan kulit, scuff plate sisi dan alas lantai, semuanya khas untuk “Allstar”.

    Lain-lain elemen masih kekal sama seperti Polo standard, termasuklah lampu utama halogen, lampu kabus, roda aloi “Riverside” 15-inci, cermin tingkap berkuasa automatik, pendingin hawa automatik dan sistem infotainmen RCD 330G dengan skrin sesentuh dan empat-pembesar suara. Bagi aspek keselamatannya, ia didatangkan dengan dua beg udara, ABS dengan bantuan brek dan cagak ISOFIK pada tempat duduk belakang.

    Malah bahagian mekanikalnya turut dikekalkan iaitu dengan enjin petrol 1.6 liter MPI empat-silinder yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 105 PS pada 5,250 rpm dan tork 150 Nm pada 3,000 rpm. Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik Aisin enam-kelajuan.

     
     
  • SPYSHOT: Peugeot Traveller dikesan diuji di Malaysia

    SPYSHOT: Peugeot Traveller dikesan diuji di Malaysia

    Pada akhir tahun lalu, sumber dari Nasim, pengedar rasmi Peugeot di Malaysia, menyatakan syarikat tersebut berminat untuk memperkenalkan MPV bersaiz besar. Malah dijangkakan satu model MPV Peugeot bakal dilancarkan di pasaran tempatan berkemungkinan besar pada suku ketiga tahun ini.

    Malah sumber berkenaan turut menyatakan, mengikut perangcangan, ia akan dipasang secara CKD di Gurun, Kedah (Malaysia merupakan hab pemasangan Peugeot untuk rantau ini) dan turut mungkin akan dieksport jika terdapat permintaan.

    Kami baru saja menerima kiriman foto MPV Traveller ini yang dikesan sedang diuji di sini. Bagai memberikan gambaran yang semakin jelas bahawa model ini bakal diperkenalkan di Malaysia tidak lama lagi.

    SPYSHOT: Peugeot Traveller dikesan diuji di Malaysia

    Diperkenalkan di peringkat global pada tahun 2015, Traveller dibina menggunakan platform yang sama dengan dua lagi MPV seangkatannya iaitu Citroen SpaceTourer dan Toyota ProAce. Ia adalah disebabkan ketiga-tiga MPV berkenaan adalah kerjasama antara PSA Peugeot Citroen dan Toyota tetapi masih menampilkan rekaan yang tersendiri untuk jenama masing-masing. Ia dipasang oleh Peugeot di Perancis.

    Traveller dibina menggunakan Efficient Modular Platform (EMP2) PSA yang turut digunakan pada kereta penumpang dan juga SUV, menjadikan ia 100-400 kg lebih ringan dari pesaingnya, menurut Peugeot. Bagi pasaran global, tiga versi dihasilkan dengan panjang yang berbeza iaitu model Compact 4.60m, Standard 4.95m dan Long 5.30m. Ia dipadankan sehingga sembilan tempat duduk dengan ruang but berkapasiti 1,500 liter, atau sehingga 4,900 liter menerusi tempat duduk barisan kedua dan ketiga yang boleh dialihkan.

    MPV ini turut didatangkan dengan elemen yang sofistikated termasuk bentangan tempat duduk “Business VIP” bersama empat tempat duduk individu balutan kulit yang disusun secara berhadapan. Selain itu, ia turut menampilkan bumbung pelbagai-fungsi dengan pendingin hawa tiga-zon yang menurut Peugeot, mampu menyebarkan hawa dingin yang lebih lembut umpama dalam pesawat dan ia merupakan ciri-ciri yang eksklusif dalam segmennya.

    SPYSHOT: Peugeot Traveller dikesan diuji di Malaysia

    Ciri unik lain termasuk pintu gelangsar tanpa sentuh (diaktifkan menggunakan kaki pada bahagian juntaian belakang), lampu mood,paparan head-up dan sistem bacaan papan tanda dengan saranan had laju, tingkap belakang yang boleh dibuka, panel bumbung kaca, Brek Keselamatan Aktif dan suis lampu tinggi automatik, navigasi kawalan suara baharu dan informasi trafik masa sebenar, kamera undur VisioPark dengan pandangan tinggi 180-darjah serta zum untuk pandangan belakang, dan Amaran Perhatian Pemandu.

    Bagi pasaran Eropah, Traveller dijana dengan lima pilihan penjana kuasa diesel BlueHDI termasuklah enjin 1.6 liter dan 2.0 liter Euro 6 yang mampu menjana kuasa dari 95 hp hingga 180 hp, serta kesemuanya dipadankan dengan sistem auto start-stop dan kotak gear enam kelajuan (manual dan automatik). Tiada pilihan enjin petrol ditawarkan buat masa sekarang.

    Namun untuk pasaran Malaysia, kena nantikan perkembangan selanjutnya dari pihak Nasim, apakah spesifikasi yang ditampilkan pada Traveller ini. Adakah ia mampu menyaingi MPV persaingnya termasuk Toyota Alphard dan Vellfire.

     
     
  • SPYSHOT: Kia Optima GT dijumpai di Malaysia – hampir dilancarkan pada pasaran tempatan?

    SPYSHOT: Kia Optima GT dijumpai di Malaysia – hampir dilancarkan pada pasaran tempatan?

    Pembaca kami, See Zhanwei telah mengesan kehadiran Kia Optima GT di Malaysia baru-baru ini. Sedan segmen-D berkenaan dilihat sedang dibawa di atas sebuah lori pengangkut kereta.

    Berdasarkan dua gambar yang kami terima ini, terdapat berberapa bahagian yang dapat disahkan ia adalah Optima GT. Walaupun bahagian belakang sedan ini kurang jelas bagi menampakkan diffuser dan tip ekzos oval Optima GT yang sememangnya menonjol, bahagian sisinya jelas ia diberikan rim 18-inci yang memang dibina khas untuk model tersebut.

    Walau bagaimanapun, imej-imej ini gagal untuk memperlihatkan bahagian hadapanya yang menampilkan bampar hadapan lebih sporty bersama liang udara sisi berbentuk segi tiga dan juga jalur krom di bahagian bawah.

    Kia Optima GT muncul buat pertama kali di Frankfurt dua tahun lalu. Sedan tersebut dijana enjin T-GDI 2.0 liter empat-silinder dengan pengecas turbo menghasilkan kuasa 242 hp/353 Nm. Kuasa berkenaan dilihat hampir sama dengan angka yang dihasilkan oleh BMW 330i M Sport iaitu 252/350 Nm.

    SPYSHOT: Kia Optima GT dijumpai di Malaysia – hampir dilancarkan pada pasaran tempatan?

    Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan automatik, memacu roda hadapan. Padanan berkenaan membolehkan Optima GT memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 7.4 saat. Sedan ini juga diberikan talaan suspensi berprestasi, cakera brek lebih besar dan juga sistem stereng kuasa elektrik Kia R-MPDS yang ditala semula.

    Berita kedatangan Optima GT telah bermula pada Februari lalu setelah Naza Kia Malaysia mengumumkan sedan berkenaan bakal membarisi varian Optima generasi keempat di pasaran tempatan. Usaha membawa model ini adalah antara usaha Naza Kia untuk memperkasakan lagi nilai jenama dari Korea tersebut.

    Walau bagaimanapun, Naza Kia masih lagi belum mengesahkan spesifikasi model GT ini di Malaysia dan masih lagi belum jelas sama ada kita akan menerima model yang kurang berkuasa atau sebaliknya.

    GALERI: Kia Optima GT

     
     
  • Hyundai Elantra Sport T-GDi dipertonton di Malaysia

    Hyundai Elantra Sport T-GDi dipertonton di Malaysia

    Selepas pernah dilihat penampilannya di sini, akhirnya Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) kini mempertontonkan secara terbuka model Hyundai Elantra terbaru di Mid Valley Megamall. Unit yang sedang dipamer di sana adalah dari varian Hyundai Sport.

    ‘Sport’ pada namanya bukanlah sekadar merujuk kepada penampilan; ia menggunakan enjin 1.6 liter turbo yang menjada 204 hp dan 265 Nm di pasaran Korea Selatan. Ini kelihatannya ingin menyaingi kemampuan Honda Civic FC yang turut berada dalam segmen C yang sama.

    Di Korea Selatan, enjin Gamma T-GDi pada Avante digandingkan sama ada dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik klac berkembar tujuh-kelajuan. Namun, Malaysia hanya akan menerima versi automatik. Enjin yang sama turut digunakan pada model Tucson dan Veloster Turbo di sini.

    Varian Sport ini datang dengan rekaan gril unik; terdapat perincian krom, serta lambang “Turbo” pada satu sisi. Bukaan kemasukan udara juga lebih besar (lihat elemen bentuk C dengan lampu nyalaan siang LED) serta rekaan lampu utama yang lebih menarik. Bahagian belakang pula dilengkapi diffuser, dua hujung ekzos dan lambang “Sport”. Rim 17 inci yang digunakan juga berbeza dari yang biasa.

    Bahagian dalam di dominasi oleh latar warna merah; tempat duduk, kemasan benang pada stereng dan tombol gear serta karpet yang digunakan semuanya menggunakan warna merah sebagai yang utama. Stereng dengan bahagian bawah yang rata sama seperti yang ada pada model Ioniq.

    Turut menghiasi adalah kemasan dengan penggayaan gentian karbon, pendingin hawa dwi-zon, keyless entry dengan butang Push Start serta kawalan kruise. Selain sunroof, kami difahamkan ini yang paling hampir bagi spesifikasi Malaysia yang akan kita perolehi.

    Tidak semua orang mahukan enjin turbo. Untuk itu, turut akan ditawarkan ialah Elantra dalam varian selain “Sport”, yang akan menggunakan enjin 2.0 liter Nu MPi dengan torque converter enam-kelajuan automatik. Nampak gaya, pengenalan model ini secara rasmi untuk pasaran tempatan tidaklah terlalu lama lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026