Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • KTM keluarkan motosikal enduro berenjin dua lejang suntikan bahan api – pertama di dunia untuk produksi

    KTM keluarkan motosikal enduro berenjin dua lejang suntikan bahan api – pertama di dunia untuk produksi

    Pengeluar motosikal dari Austria, KTM baru sahaja mendedahkan motosikal enduro mereka yang menggunakan enjin dua lejang suntikan bahan api, dan ini adalah yang pertama di dunia bagi motosikal produksi. Enjin teknologi baru ini didatangkan dalam dua kapasiti iaitu 249 cc dan 293.2 cc, masing-masing untuk model 250 EXC TPI dan 300 EXC TPI.

    Sistem utama bagi enjin dua lejang suntikan bahan api ini dinamakan sebagai Transfer Port Injection (TPI) dan ia mempunyai dua penyuntik bahan api (injector). Selain itu, motosikal ini juga mempunyai pelbagai komponen baru lain termasuk sisem pengurusan enjin (EMS), throttle body, unit pengawal elektronik (ECU), silinder, kotak angin, pam minyak dan tangki minyak.

    Kerangka motosikal ini juga adalah baru, dibina daripada besi chromoly untuk juga menempatkan tempat mengisi minyak serta hos minyak di dalam kerangka tersebut. Seperti motosikal baru yang lain, grafik model tahun 2018 ini juga adalah baru.

    Selain menetapkan tahap yang baru dengan enjin dua lejang suntikan bahan api ini, KTM juga menawarkan penggunanya dengan manfaat tambahan, selain kuasa kuat yang sudah cukup sinonim dengan enjin dua lejang, iaitu penjimatan bahan api, dan lebih memudahkan kerana mereka tidak perlu mencampur sendiri minyak 2T dan petrol, serta tidak perlu menukar tetapan jetting untuk keadaan persekitaran yang berbeza seperti yang perlu dilakukan pada enjin dua lejang sebelum ini.

    Barangan lain yang ada pada motosikal ini tetap berkualiti seperti motosikal KTM yang lain, termasuk pemula enjin elektronik, bateri lithium ion ringan, brek Brembo, klac hidraulik, suspensi WP dan pelbagai lagi.

     
     
  • Volvo jalin kerjasama dengan Google hasilkan perisian

    Volvo Cars telah mengumumkan kerjasama dengan Google untuk membangunkan sistem infotainmen dan rangkaian generasi terbaru berasaskan sistem operasi Android. Teknologi baru itu boleh didapati pada kenderaan keluaran Volvo dalam tempoh dua tahun akan datang, menawarkan pelbagai aplikasi dan perkhdimatan kepada pemilik.

    Dengan telefon pintar mempunyai peranan besar dalam kehidupan seharian kini, langkah Volvo ini akan memanfaatkan perkembangan platform sedia ada yang sudah sebati dengan kebanyakan pengguna. Sebagai tambahan adalah capaian terhadap kitaran sistem yang mengandungi ratusan aplikasi, termasuk yang popular seperti Google Maps dan Spotify.

    “Kami mengambil langkah penting yang strategik dengan kerjasama Google ini. Platform perkhidmatan sedia ada Google akan memperkaya pegalaman pemilikan dengan membolehkan lebih banyak kemungkinan untuk menepati selera peribadi pengguna. Android pula menawarkan kemudahan dari sudut pembangunannya,” jelas Naib Presiden Kanan, R&D Volvo Cars, Henrik Green.

    “Kami juga sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Volvo untuk membawakan Android ke dalam kereta generasi baru yang dihasilkan. Ini membuka peluang kepada kami untuk memberikan pengalaman rangkaian perhubungan yang lebih maju kepada pemilik kenderaan, dengan aplikasi Android serta perkhidmatan Google yang lain,” ujar Naib Presiden, Kejuruteraan Android di Google, Patrick Brady.

    Perician kerjasama ini akan diumumkan kelak ketika Persidangan Google I/O pada 17 Mei ini. Dalam perkembangan berkaitan, model kenderaan Volvo juga akan dikemaskini dengan menyertakan Google Local Search, sebuah aplikasi perkhidmatan berdasaran lokasi. Ini akan ditawarkan kepada pengguna melalui Sensus Navigatian yang dikemaskini.

     
     
  • AMG tidak akan memberi kesan terhadap eksklusiviti

    AMG tidak akan memberi kesan terhadap eksklusiviti

    Walau pun kenderaan dengan logo AMG melonjak jualannya sebanyak 44% pada tahun lalu berbanding 2015 dengan jumlah keseluruhan tahunan hampir mencecah 100,000 unit, namun ketua AMG Tobias Moers berkata, ia tidak akan membuatkan jenama ini hilang keinginan dan eksklusiviti, laporan Autocar.

    Beliau percaya peningkatan jualan model AMG tidak akan memberi kesan terhadap pembelian model-model lain, malahan turut menjangka pertumbuhan bagi tahun ini mampu melonjak dua kali ganda. Jenama ini telah pun mengeluarkan sebanyak 98,235 unit AMG pada tahun lalu.

    AMG tidak akan memberi kesan terhadap eksklusiviti

    “Ini semua mengenai strategi. Kita telah menambah jumlah daripada model 63 dan kini mengeksploitasi model 43 pula. Untuk sesetengah pelanggan, C 63 mungkin agak sedikit keterlaluan, jadi mereka bermula dengan C 43 terlebih dahulu sebelum beralih ke 63. Secara tidak langsung memberi peluang kepada kami untuk lebih fokus pada model 63,” jelasnya lagi.

    Kenyataan ini turut senada dengan Britta Seeger, ketua pemasaran dan jualan Mercedes-Benz. “Memperluaskan model bagi jenama ini turut memberikan kelebihan buat para pelanggan dalam membuat pilihan yang diingini. Kami menawarkan A 43, yang turut memiliki prestasi pemanduan yang mengagumkan bagi pemandu yang belum bersedia untuk memilih model 63.”

     
     
  • SPAD gesa Prasarana tingkatkan penyelenggaraan

    SPAD gesa Prasarana tingkatkan penyelenggaraan

    Gangguan serta kelewatan perkhidmatan menyebabkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggesa Prasarana untuk mempertingkatkan aspek penyelenggaraan dan pemeriksaan kenderaan, termasuk standard keselamatan, lapor The Sun.

    SPAD dalam satu kenyataan menegaskan, prosedur yang lebih ketat akan memastikan syarikat itu dapat mengesan masalah lebih awal, sebelum ia melibatkan kehadiran pengguna dan meletakkan mereka dalam keadaan tidak selesa. Ini berikutan pengumuman Rapid Rail yang terpaksa menggantung perkhidmatan beberapa tren empat gerabak akibat beberapa faktor keselamatan dikenal pasti, Jumaat lalu.

    “Walaupun kami sedar penggantungan itu perlu di atas faktor keselamatan penumpang, kami akan memantau dengan lebih dekat tindakan susulan yang akan diambil Rapid Rail untuk memastikan penumpang sentiasa mendapat perkhidmatan yang terbaik,” ujar kenyataan SPAD.

    Sementara itu, penyelenggaraan KL Monorail turut dipantau. “Kami telah meminta Prasarana untuk menyerahkan kemaskini semasa dengan lebih kerap bagi kerosakan yang dikesan pada rangkaian KL Monorail, melalui rutin pemeriksaan yang dilakukan. Ini termasuk rancangan pemulihan dan tempoh masa yang diperlukan,” tambah kenyataan itu.

    Scomi selaku pengeluar tren juga turut digesa untuk memberi kerjasama dan mempercepat serahan baki tujuh lagi tren empat gerabak untuk kegunaan KL Monorail. “Ini bagi memasrikan kekerapan perkhidmatan dapat diberikan kepada pengguna, sekaligus peningkatkan kapasiti perkhidmatan untuk menampung jumlah penumpang yang semakin bertambah,” tambahnya.

     
     
  • Warga Timur Tengah dalang sindiket kereta klon – JPJ

    Warga Timur Tengah dalang sindiket kereta klon – JPJ

    Tangkapan demi tangkapan yang membabitkan sindiket kenderaan mewah pelbagai jenis yang diklonkan yang berleluasa di negara kita, telah menemui satu lagi penemuan baru oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Di mana JPJ mendapati sindiket ini kebanyakannya membabitkan warga asing khususnya dari Timur Tengah.

    Menurut Ketua Pengarahnya Datuk Seri Nadzri Siron, siasatan awal mendapati sindiket itu kemudiannya akan menjual kenderaan tersebut dengan harga yang jauh lebih murah daripada harga pasaran kepada warga asing yang menetap di negara ini, laporan Bernama.

    “Sindiket itu menjual pelbagai jenis kenderaan klon seperti Toyota, Mitsubishi dan Honda dengan harga serendah antara RM20,000 dan RM30,000,” katanya kepada pemberita semalam.

    Bagaimanapun, JPJ masih menyiasat sejauh mana penglibatan warga asing berkenaan dalam sindiket terbabit di negara ini.

    Beliau berkata sebelum ini penjualan kenderaan klon didominasi sindiket tempatan yang menyasarkan warga tempatan terutama golongan pertengahan yang tertarik dengan kereta keluaran luar negara yang dijual dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran.

    Selasa lalu, penyerang import skuad bola sepak Liga Super Selangor, Francis Forkey Doe didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas mengaku salah memiliki kereta klon jenis BMW 325i.

     
     
  • GALERI: BMW 530i G30 M Performance kini di M’sia

    GALERI: BMW 530i G30 M Performance kini di M’sia

    cof

    Ketika dilancarkan pada Mac lalu, BMW 5 Series generasi G30 hanya ditawarkan dalam varian 530i M Sport, dengan harga jualan RM398,800. Tetapi, bagi yang inginkan prestasi lebih tinggi bagi model berkenaan, kini pakej M Performance ditawarkan. Unit yang dilihat ini dipamerkan ketika pembukaan pusat agihan alat ganti serantau BMW di Senai.

    Antara kelengkapan yang ditambah pada unit ini ialah rim 20-inci 669M dua warna dengan tayar run-flat, dijual pada harga RM33,103. Gril “kidney” hitam berkilat pula pada harga RM543.60 setiap satu bagi satu sisi, pelindung cermin sisi gentian karbon pada harga RM1,976.30 setiap satu, diffuser gentian karbon di belakang pada harga RM10,147.95 serta spoiler gentian karbon pada harga RM4,282.80.

    BMW 530i M Sport ini dilengkapi dengan aksesori M Performance berjumlah RM52,573.55. Tetapi, bukan itu saja. Pilihan lain yang tersedia ialah rim 20-inci pelbagai rekaan, dari harga bermula RM27,287.60 hingga RM33,103. Kit brek BMW M Performance dengan kaliper merah juga ada pada harga RM23,557.70. Kit badan sisi juga ditawarkan pada harga RM1,274.90 setiap satu.

    Lain-lain kelengkapan yang ditawarkan termasuk splitter hadapan gentian karbon (RM7,176) sebagai tambahan. Di belakang, kemasan bampar boleh dipilih, dengan harga RM3,448.20, sama juga dengan diffuser hitam kesat pada harga RM2,174.60. Spoiler belakang dalam warna hitam kesat juga ditawarkan pada harga RM1,946.05.

     
     
  • Daymak keluarkan “go-kart paling pantas di dunia”

    Daymak keluarkan “go-kart paling pantas di dunia”

    Sebelum membaca lebih lanjut, lihat betul-betul nama syarikat ini – ia adalah Daymak, dan bukannya Demak. Daymak adalah sebuah syarikat teknologi yang berpusat di Toronto, Canada dan mereka mempunyai pelbagai produk seperti motosikal elektrik, basikal elektrik dan motor elektrik sendiri.

    Terbaru, mereka mengeluarkan teaser yang menunjukkan hasil mereka yang terkini, iaitu go-kart yang didakwa sebagai paling laju di dunia telah sedia untuk menemui pasaran. Ia dipanggil sebagai C5 Blast. Daymak akan mengeluarkan dua model bagi C5 Blast iaitu C5 Blast Standard berharga USD9,999 (RM43,315) dan C5 Blast Ultimate berharga USD59,999 (RM259,915).

    Model Ultimate tersebut adalah model yang didakwa sebagai paling pantas di dunia, dan ia dikatakan boleh memecut dari 0-60 bsj (97 km) dalam masa hanya 1.5 saat. Kuasa kenderaan ini datang daripada bateri Lithium Panasonic Sel gabungan 2400 Watt dan motor elektrik DC brushless 48 V/ 10 kW.

    Namun begitu, membezakannya dengan model asas, model Ultimate ini turut ditambah dengan lapan motor EDF 120 mm 840 KV dan 4 motor EDF 140 mm 720 KV, bersama 12 lagi bateri EDF 5000 mAH. Untuk memastikan go-kart ini boleh beroperasi dengan baik, ia dilengkapkan dengan sistem penyejukan cecair.

    Anda boleh saksikan bagaimana prestasi awal C5 Blast Ultimate dalam video berkenaan prototaip yang dikeluarkan sendiri oleh Daymak, dan mereka juga ada mengeluarkan sebuah lagi video teaser model yang lengkap.

    Go-kart C5 Blast sudah boleh ditempah melalui laman web Daymak dan masa yang diperlukan sebelum pembeli dapat menerima go-kart mereka adalah selama enam bulan kerana ia dikatakan dibina menggunakan tangan, serta bergantung kepada tempahan yang diterima di Canada.

     
     
  • Honda HR-V akan dipertingkatkan, facelift pada 2018

    Honda HR-V akan dipertingkatkan, facelift pada 2018

    Honda HR-V dikatakan bakal dipertingkatkan tidak lama lagi. Menurut laporan CarAdvice, crossover segmen-B ini bakal tampil dengan model facelift di Australia awal tahun hadapan.

    Pengesahan ini dikatakan dari pengarah Honda Australia Stephen Collins, walau pun perincian penuhnya tidak didedahkan. Namun ada yang menyarankan agar HR-V patut menerima sistem infotainmen baharu dengan navigasi satelit, menggantikan sistem berasaskan telefon pintar seperti sekarang ini – dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Honda juga boleh menjadikan sistem seperti dalam City termasuk Sistem Brek Aktif dengan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) – termasuk Amaran Pelanggaran Hadapan, Amaran Ketibaan Lorong dan Sistem Sokongan Lampu Tinggi, sebagai standard untuk semua varian.

    Honda HR-V akan dipertingkatkan, facelift pada 2018

    “HR-V adalah sangat konsisten. Secara purata sekitar 1,000 (unit) sebulan, kadangkala lebih, kadangkala kurang. (Toyota) C-HR baru saja masuk pasaran dan kita masih di peringkat konsisten. Jadi kita harus sediakan pakej yang terbaik.

    “Kami sangat gembira, biar pun semakin banyak pesaing muncul. Lebih banyak yang datang, pastinya, kami akan melakukan lebih pembaharuan. Kalau mengikut kitaran yang biasa, tahun hadapan mungkin ada sedikit perubahan dilakukan,” ujarnya.

    Tahun hadapan, dijangkakan model facelift mungkin akan ditampilkan dengan peningkatan visual seperti mana yang diperkenalkan pada City dan Jazz tahun ini, termasuk lampu utama LED sepenuhnya (model semasa hanya menawarkan pilihan LED untuk low beam), gril yang disemak semula dan bampar hadapan serta belakang yang diprofilkan. Malah dijangka kekemasan dalaman turut dipertingkatkan.

    Honda HR-V akan dipertingkatkan, facelift pada 2018

    Walau bagaimana pun, bahagian mekanikalnya mungkin dikekalkan. Seperti Malaysia, Australia menampilkan pilihan 1.8 liter i-VTEC dengan CVT dan pacuan semua-roda, namun di pasaran lain turut ditawarkan dengan enjin 1.5 liter dan pilihan kotak gear manual enam-kelajuan dan pacuan semua-roda. Di Jepun pula, turut ditawarkan dengan versi hibrid yang menggunakan sistem i-DCD Sport Hybrid.

    Mengenai kotak geak manual, Collins berkata,”Jika kita ada pilihan untuk berbuat demikian, pasti kita telah melakukannya. Saya tidak merasakan ia bakal memberikan kesan terhadap jumlah jualan yang kita capai, namun pesaing yang menawarkan varian manual pun tidak mampu menjualnya dengan jumlah yang banyak. Jika ada pilihan lain untuk kita, pasti kita akan melakukannya.”

    Collins turut menambah, Honda dilihat masih mahu mengekalkan HR-V dalam barisannya, malah ia adalah antara kekuatan jualan di sana. “HR-V sangat berjaya di sana, jadi kita mengekalkan pilihan yang ada buat masa sekarang. Malah ia turut menerima banyak maklumbalas daripada para pelanggan yang berpendapat ia merupakan kenderaan yang mempunyai prestasi yang bagus dan penjimatan bahan api yang efisien,” ujarnya lagi.

     
     
  • VIDEO: Porsche 911 yang ke-1 juta dikeluarkan

    Porsche 911 adalah satu model kenderaan yang sudah mencapai status ikon dalam dunia automotif. Sejak diperkenalkan pada tahun 1963 sebagai pengganti kepada model 356, model sports dua pintu ini telah melalui beberapa evolusi, namun masih mengekalkan DNA asalnya.

    Kini, syarikat pengeluar dari Jerman itu mencapai satu tahap yang baru dengan 911 apabila model yang ke satu juta dikeluarkan daripada kilangnya di Zuffenhausen, Jerman. Ia adalah daripada model 911 Carrera S, dan dihasilkan dengan kemasan seperti 911 pertama yang dikeluarkan 54 tahun lalu. Warna yang digunakan adalah Irish Green, dan ia juga mendapat kemasan lain serta lencana yang berwarna emas.

    Sementara itu, bahagian dalam pula mendapat kemasan tempat duduk houndstooth, bersama stereng yang diperbuat daripada kayu mahogany, dan transmisi manual. Untuk menjadikannya lebih istimewa, terdapat juga grafik ‘1,000,000’ yang dipaparkan pada panel instrumennya.

    Saksikan video penghasilan kenderaan bersejarah ini, kerana ia bukan untuk dijual dan hanya akan digunakan untuk pameran jelajah seluruh dunia, sebelum akhirnya disimpan di muzium Porsche berhampiran kilang di Zuffenhausen, Jerman.

     
     
  • VIDEO: Aksi Honda CR-V 1.5L Turbo di Indonesia

    Honda CR-V terbaru telah dilancarkan untuk pasaran Indonesia ketika IIMS 2017 bulan lalu. Indonesia menjadi pasaran ASEAN kedua yang menerima SUV generasi kelima dari Honda ini. Namun, spesifikasinya berbeza dari versi yang dijual di Thailand, dan sepatutnya lebih dekat dengan versi yang akan diterima oleh pasaran Malasyia tahun ini.

    Video rasmi produk berkenaan oleh Honda Indonesia ini memaparkan CR-V, dengan penekanan terhadap ciri-ciri yang melengkapi varian 1.5L Turbo Prestige. Ia ada tujuh tempat duduk, dan dikuasakan oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo denga janaan 190 PS dan 240 Nm tork dari 2,000 rpm hingga 5,000 rpm. Turut ditawarkan ialah versi lima tempat duduk dengan enjin 2.0L dengan kuasa 154 PS dan 189 Nm.

    Ciri standard bagi semua variannya ialah lampu projektor halogen, kawalan cruise, butang telefon dan audio pada stereng, skrin sentuh tujuh-inci, corong pendingin hawa di belakang, kamera undur, brek parkir elektronik dengan Auto Hold, dua beg udara, VSA dan Hill-Start Assist.

    VIDEO: Aksi Honda CR-V 1.5L Turbo di Indonesia

    Varian 1.5L Turbo pula menerima beberapa tambahan; dua corong ekzos, kemasan kayu ruang dalaman, pendingin hawa dwi-zon dengan penapis udara Nano, sistem pendingin di belakang (corong udara pada bumbung) dan operasi tanpa kunci. Skrin sentuh 9-inci dengan navigasi, kamera undur pelbagai sudut juga antara yang tersedia.

    Versi 1.5L Turbo Prestige dibezakan dari yang lain dengan penggunaan lampu utama LED, lampu kabus LED dan rim lima jejari 18 inci yang lebih menonjol. Antara lain, ia juga hadir dengan pintu ruang belakang berkuasa, bumbung panoramik dan enam beg udara.

    Sebagai SUV premium di Indonesia, Honda CR-V dijual pada harga 432 juta Rupiah (RM141,018) bagi varian 2.0L manakala varian 1.5L Turbo pula ialah 468 juta Rupiah (RM152,773). Sementara itu, varian tertinggi, 1.5L Turbo Prestige dijual pada harga 508 juta Rupiah (RM165,841).

    Honda Malaysia kini dalam persiapan untuk memperkenalkan model ini, dengan pemasangan tempatan yang dijangka akan dilancarkan tahun ini. Ia juga sudah dilihat sedang diuji di jalan raya di sini, seperti yang dilihat di Genting Highland baru-baru ini.

    GALERI: Honda CR-V 1.5L Turbo Prestige

     
     
  • Arnold Benz Motor Carriage 1896 – kereta pertama di dunia terima saman akibat dipandu melebihi had laju

    Arnold Benz Motor Carriage 1896 – kereta pertama di dunia terima saman akibat dipandu melebihi had laju

    Di bawah ‘Akta Bendera Merah 1865’ di UK pada era berkenaan, had laju ditetapkan pada hanya 10 bs/j (16 km/j) di jalan besar dalam bandar, diturunkan kepada hanya 2 bs/j (3 km/j) di dalam bandar dan 4 bs/j pada jalan kawasan pedalaman. Namun, Arnold Benz Motor Carriage 1896 yang dipandu sendiri oleh Walter Arnold pada 28 Januari 1896 telah melanggar undang-undang berkenaan, dikesan memandu pada kelajuan 8 bs/j (13 km/j) dalam kawasan bandar – empat kali lebih laju dari had yang dibenarkan.

    Arnold telah dikejar dan ditahan oleh polis yang menunggang basikal, kemudiannya diberi saman bernilai 1 shilling bersama kos, menjadikannya beliau dan keretanya yang pertama di dunia disaman atas kesalahan melebihi had laju.

    Namun pada tahun 1896, dengan ‘Akta Lokomotif’ yang diperkenalkan, Akta Bendera Merah dan had laju 2 bs/j tersebut telah dimansuhkan dan digantikan dengan had laju baru 14 bs/j (23km/j). Untuk meraikan akta baharu tersebut, perlumbaan kereta yang digelar Emancipation Run berlangsung dari London ke Brighton diadakan, dan Walter Arnold turut menyertainya. Perlumbaan tersebut masih lagi diadakan sehingga sekarang – dikenali sebagai Veteran Car Run yang dijalankan oleh Royal Automobile Club pada setiap tahun.

    Istimewa pada acara Concours of Elegance 2017 yang bakal diadakan di Istana Hampton Court, UK, September ini, Arnold Benz Motor Carriage tersebut bakal dipamerkan untuk tontonan orang ramai. Ia akan diiringi oleh kereta-kereta yang menyertai perlumbaan Veteran Car Run, iaitu kereta-kereta yang di bina pada pra-1905.

    Acara tersebut juga bakal mempamerkan kereta-kereta paling laju yang pernah dihasilkan termasuk Jaguar XJR-9 yang memenangi perlumbaan Le-Mans serta McLaren F1 GTR dengan livery perlumbaan Harrods yang mampu mencatatkan kelajuan lebih dari 385 km/j.

     
     
  • PANDU UJI: BMW 330e – berbaloikah memiliki PHEV?

    PANDU UJI: BMW 330e – berbaloikah memiliki PHEV?

    Pencemaran alam adalah satu isu yang diambil penting pada masa kini dan kenderaan adalah antara penyumbangnya kerana menggunakan bahan api untuk memberi kuasa kepada enjin, seterusnya membebaskan gas karbon dioksida ke udara. Digandakan dengan jumlah kenderaan yang berada atas jalan, kesannya cukup besar.

    Ini seterusnya memaksa pengeluar kenderaan memikirkan penyelesaian untuk mengurangkan kesan penggunaan kenderaan terhadap alam sekitar dan antara caranya adalah menggunakan sumber alternatif bagi memberi kuasa kepada enjin, dan yang paling berkesan sekarang adalah bateri. Hasilnya, wujudlah kenderaan elektrik, hibrid dan plug-in hybrid.

    Malaysia juga menyatakan sokongan terhadap langkah ini, seterusnya memperkenalkan rebat khas untuk kenderaan cekap tenaga (EEV). Model-model hibrid adalah antara yang terawal mengambil manfaat daripada insentif ini, dan pengguna berpeluang memiliki kenderaan seperti Toyota Prius, Honda CR-Z dan Lexus CT200h pada harga yang cukup menarik.

    Walaubagaimanapun, struktur insentif tersebut telah dirujuk semula, dan kini hanya model yang dipasang di dalam negara sahaja yang layak menerima insentif tersbut. Ini mengakibatkan jumlah model yang ditawarkan menjadi kurang, dan banyak perkara yang perlu dilakukan oleh pengeluar supaya harga model seperti ini dapat ditetapkan pada tahap bersesuaian bagi pengguna.

    Antara yang terbaru dilancarkan di Malaysia adalah Hyundai Ioniq. Model seperti ini tidak terhad hanya kepada jenama biasa, tetapi turut serta adalah jenama mewah, di mana Mercedes-Benz contohnya ada menawarkan S400h dan C350e, Volvo dengan XC90 T8 manakala BMW pula mempunyai X5 Hybrid, 7 Series Hybrid dan 3 Series Hybrid.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Produksi kilang milik Pakatan Renault-Nissan turut tergendala berikutan serangan siber global

    Produksi kilang milik Pakatan Renault-Nissan turut tergendala berikutan serangan siber global

    Operasi pengeluaran Pakatan Renault-Nissan turut tergendala berikutan serangan siber global yang dilancarkan pihak tidak bertanggungjawab tempoh hari, menurut laman UK, Autocar, berdasarkan laporan dari berita BBC.

    Berita berkenaan mengatakan serangan tersebut dilancarkan oleh pihak yang sama menggodam sistem komputer hospital-hospital di UK, yang mencuri dan menyulitkan fail dan dokumen sebelum meminta wang tebusan sekitar £230 (kira-kira RM1.3k) untuk membuka kembali setiap fail dan data berkenaan. Secara keseluruhan, setakat ini kira-kira 75,000 sistem pada 99 negara dipercayai telah terjejas menerusi serangan siber ini.

    Untuk Pakatan Renault-Nissan, mereka telah diserang di kilang Nissan yang terletak di Sunderland, England, yang kini memproduksi SUV Qashqai dan Infiniti Q30.

    “Group Renault mengesahkan ia telah terkesan dengan serangan siber global yang bermula pada lewat Jumaat 12 Mei. Ia terdiri dari virus Ransomware. Langkah penyelesaian proaktif telah diambil serta merta untuk menghentikan penularan virus serta melindungi kumpulan. Diagnosis lengkap telah berjalan bagi menentukan langkah yang sesuai untuk meneruskan operasi,” kata jurucakap Renault UK.

    “Seperti juga kebanyakkan organisasi kilang kami telah dijadikan sasaran serangan ransomware menjejaskan sebahagian sistem kami pada petang Jumaat,” tambah jurucakap berkenaan dan menjelaskan mereka kini sedang menyelesaikan masalah ini.

     
     
  • Honda Civic Hatchback Orange Edition untuk Australia

    Honda Civic Hatchback Orange Edition untuk Australia

    Honda Australia telah mengumumkan kehadiran Honda Civic Hatch Orange Edition, yang hanya ditawarkan sebanyak 100 unit di negara berkenaan. Berbanding dengan model Civic Hatch standard, versi Orange Edition ini ditawarkan dengan warna Crystal Black Pearl dengan kekemasan Tucson Orange.

    Orange Edition ini turut menerima aloi Jet Black 17-inci yang dipadankan dengan warna badan hitam, bersama front lip, spoiler bawah belakang, skirt sisi dan pelekat yang kesemuanya berwarna jingga. Malahan jaluran jingga juga didapati pada cermin sisi dan juga grafik pada warna yang sama bagi pintu. Didapati pada varian VTi, VTi-S, VTi-L dan VTi-LX, pek Orange ini ditawarkan dengan harga tambahan sebanyak A$2,998 (RM9,617) bersama harga normal Civic.

    Honda Civic Hatchback Orange Edition untuk Australia

    Pernah melihatnya sebelum ini? Civic Hatch Orange Edition pada asasnya adalah Civic Hatchback dengan kit Modulo yang pernah kami rakamkan fotonya di Bangkok International Motor Show 2017 pada Mac lalu, dengan pelekat tambahan dan rim berlogo Honda bagi kereta pertujukan edisi Modulo di Thai.

    Di Australia, Civic Hatch boleh didapati dengan enjin 1.8L SOHC i-VTEC dengan kuasa 141 PS/174 Nm atau 1.5L VTEC Turbo (173 PS/220 Nm dari 1,700 hingga 5,500 rpm). Seperti di Thai, tiada pilihan bagi transmisi manual enam-kelajuan, sebaliknya hanya CVT automatik bersama pedal penukar gear bagi varian turbo. Di Malaysia, setakat ini tiada perancangan untuk membawa masuk varian Civic Hatch ke pasaran tempatan.

    GALERI: Honda Civic Hatchback dengan aksesori Modulo di BIMS 2017

     
     
  • Mercedes-Benz GLA dalam ‘teaser’, dilancar 25 Mei

    Mercedes-Benz GLA dalam ‘teaser’, dilancar 25 Mei

    Hujung minggu lalu, Mercedes-Benz Malaysia menaikkan sebuah teaser di laman Facebook rasminya, memamarkan gambar kelam dengan wajah hadapan sebuah kenderaan. Profil yang kelihatan itu mencadangkan ia sebuah Mercedes-Benz GLA yang diperbaharui.

    Model facelift versi X156 itu bakal menyertai A-Class W176 dan CLA-Class C117 untuk pasaran tempatan, melengkapi barisan model utama dengan platform MFA yang ditawarkan di negara ini. Berdasarkan iklan ringkas itu juga, pengenalan rasminya adalah pada 25 Mei nanti.

    Sama seperti sebelum ini, tiga varian dijangka akan ditawarkan di sini; GLA 200, GLA 250 dan GLA 45 4Matic yang mula diperkenalkan di sini sejak November 2014. Output bagi dua varian awal itu juga kekal sama; enjin 1.6L pada GLA 200 menghasilkan 154 hp/200 Nm manakala enjin GLA 250 pula dengan 208 hp dan 350 Nm.

    Enjin M133 2.0 liter pada GLA 45 4Matic pula akan menampilkan kuasa dari versi kemaskini dari tahun 2015, dengan angka 375 hp dan 475 Nm (pertambahan 20 hp dan 25 Nm). Selain daripada perubahan luaran padanya, ciri lain yang turut ditambah ialah Apple CarPlay dan Android Auto, kamera undur, sistem kamera 360 darjah serta skrin paparan lapan inci.

    Mercedes-Benz GLA facelift di Hungary

     
     
  • Mazda buka muzium kereta klasiknya di Jerman

    Mazda buka muzium kereta klasiknya di Jerman

    Mazda secara rasminya telah membuka muzium untuk mempertontonkan barisan model-model klasiknya di Eropah. Muzium yang terletak di Augsburg, Jerman berkenaan merupakan muzium pertama Mazda di benua tersebut, dan merupakan satu-satunya muzium jenama itu yang dibuka di luar Jepun.

    Dinamakan sebagai Muzium Kereta Klasik Mazda Frey, ia sebenarnya projek yang diusahakan oleh pengedar Mazda di Jerman – Auto Frey – dan mendapat kerjasama dari Mazda Jerman.

    Muzium tersebut dibangunkan untuk menyorot kembali revolusi Mazda yang hampir mencecah 100 tahun, mempamerkan 45 buah kereta vintaj yang dijual secara rasmi pada pasaran Jerman dan juga model yang dijual pada pasaran lain – termasuk berberapa model ‘rare‘ milik keluarga Frey sendiri.

    Muzium ini mempamerkan model-model Mazda yang dijana enjin Rotary Wankel bermula dari model pertama Mazda dengan enjin berkenaan iaitu Mazda Cosmo Sport 1967, Mazda Luce 929 atau dikenali juga sebagai RX-4 1969, Mazda RX-7 SA22C 1978 dan juga Mazda RX-7 FD-3S 1992.

    Selain itu, ia juga turut mempamerkan model-model penting Mazda lain termasuk Mazda R360 (kereta penumpang pertama jenama tersebut yang diproduksi secara besar-besaran), trak ringan tiga-roda Mazda K360 1962, Mazda Familia 1000 coupe 1966, Mazda 616 1976 (model pertama dijual di Jerman secara rasmi pada tahun 1973), dan juga kereta sport kei berenjin tengah Mazda AZ-1 1992.

    Seleksi pameran ini akan terus berubah dengan tambahan dari koleksi Frey serta lebih dari 120-buah kereta lagi yang akan dihantar dan dipamerkan secara bergilir-gilir.

    “Unik dan mengagumkan, muzium pertama Mazda di luar Jepun ini melambangkan impian keluarga Frey yang telah menjadi kenyataan untuk berkongsi dengan orang awam koleksi Mazda vintaj yang tersendiri dari seluruh dunia,” kata naib presiden eksekutif Mazda Motor Corporation Akira Marumoto. “Semua orang di Ibu Pejabat Mazda berbangga bahawa Frey merupakan sebahagian dari organisasi kami dan telah mewujudkan sesuatu yang luar biasa,” tambahnya.

    Fasiliti ini sebenarnya merupakan depoh tram Ausburg yang telah wujud pada tahun 1897. Selain dari ruang pameran,ia turut dilengkapi dengan kawasan acara, restoran dan juga kedai cenderamata. Pihak pengurusan muzium ini juga berharap tempat ini akan dijadikan hab pertemuan kelab-kelab Mazda vintaj dan juga acara kereta klasik am.

     
     
  • Rapid Rail sediakan bas perantara untuk KL Monorail

    Rapid Rail sediakan bas perantara untuk KL Monorail

    Mulai hari ini, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) telah menyediakan bas perantara bagi melengkapkan perkhidmatan KL Monorail iaitu bagi waktu kemuncak pagi dan petang.

    Bas perantara itu disediakan antara Stesen KL Sentral di hadapan NU Sentral dan Stesen Raja Chulan iaitu antara setiap tujuh dan 15 minit di beberapa stesen yang sibuk antara pukul 7 dan 9 pagi serta 5 petang hingga 7 malam, laporan Bernama.

    “Bas perantara itu juga disediakan antara Stesen Chow Kit dan Bukit Bintang di hadapan Plaza Sungei Wang, serta antara Stesen Hang Tuah dan Raja Chulan,” kata Datuk Zohari Sulaiman, CEO Rapid Rail, dalam kenyataannya semalam.

    Beliau berkata tambang RM1 dikenakan kecuali di stesen bersepadu Hang Tuah bagi penumpang dari Laluan Sri Petaling/Ampang di mana mereka dikecuali daripada tambang.

    Rapid Rail sediakan bas perantara untuk KL Monorail

    “Sebagai tambahan kepada perkhidmatan bas perantara itu, penumpang juga boleh memilih bas percuma Go KL khususnya Laluan Biru Go KL antara Chow Kit dan Bukit Bintang, serta Laluan Hijau Go KL antara KLCC dan Bukit Nanas. Kami akan memantau corak perjalanan penumpang serta keperluan mereka dan akan menyusun semula jadual bas jika diperlukan,” katanya.

    Beliau berkata bas perantara itu diperkenalkan sebagai pilihan kerana KL Monorail beroperasi menggunakan dua tren sahaja bagi satu-satu perjalanan setiap lapan minit sehingga diberitahu kelak, berikutan pemberhentian perkhidmatan empat tren setiap perjalanan sejak Jumaat lepas.

    “Kami telah mengenal pasti beberapa perkara berkaitan keselamatan berkaitan perkhidmatan menggunakan empat tren dan telah meminta Scomi, pengeluar tren itu, untuk melakukan kerja penambahbaikan serta menilai semula sama ada ia layak digunakan. Ini bagi memastikan tren itu sesuai beroperasi dan keselamatan awam tidak diketepikan,” katanya.

    Dalam masa yang sama, Zohari turut berkata, lebih ramai tenaga kerja termasuk polis bantuan dan staf operasi akan ditempatkan di stesen bagi membuat kawalan orang ramai serta membantu penumpang.

    Bagi mengetahui status perkhidmatan tersebut, sila layari Facebook @myrapid dan Twitter @AskRapidKL atau @MyRapidKL.

     
     
  • GALERI: Toyota C-HR dipertontonkan di Malaysia

    GALERI: Toyota C-HR  dipertontonkan di Malaysia

    UMW Toyota Motor hari ini mempertontonkan buat pertama kali di Malaysia model yang dinanti-nantikan, Toyota C-HR. Bakal menyaingi model-model seperti Honda BR-V dan Mazda CX-3 di pasaran tempatan. Unit yang dipamerkan ini adalah dari versi 1.2L turbo dengan spesifikasi unit dari pasaran Australia.

    Untuk pasaran Malaysia, masih belum disahkan versi mana yang akan dipasarkan atau bila ia akan diperkenalkan. Di pasaran Australia, hanya model dengan enjin 1.2L turbo dipasarkan (enjin 8NR-FTS dengan janaan kuasa 115 PS dan 185 Nm tork). Sementara itu, pilihan enjin 1.8L hibrid juga ditawarkan untuk pasaran Jepun sebagai tambahan kepada pilihan enjin yang lebih kecil itu.

    Selain Jepun dan Australia, pasaran Indonesia pula ada ura-ura akan turut menerima enjin 1.5 liter – dengan unit yang turut dipasang di sana. Apa yang pasti, untuk pasaran Malaysia, pilihan enjin 1.2L turbo tidak akan diperkenal.

    Toyota C-HR merupakan model kedua yang dibangun menggunakan platform modular Toyota New Global Architecture (TNGA) selepas Prius versi terkini. Pengeluarnya menjanjikan prestasi pemanduan yang responsif, hasil daripada penalaan suspensi dan ujian global yang dijalankan. Platform berkenaan juga disifatkan 65% lebih kukuh berbanding platform pada model segmen C Toyota sebelum ini.

    Versi hibrid pula disifatkan mampu memberikan bacaan penggnunaan petrol 30.2 km/l bagi kitaran ujian Jepun (15.4 km/l bagi 1.2L). Unit utamanya menggunakan enjin 1.8 liter VVT-i Atkinson Cycle empat silinder, motor elektrik dan kotak gear CVT – gandingan yang sama melengkapi Prius. Versi ini hanya datang dengan sistem pacuan 2WD.

     
     
  • Honda Jazz Sport Hybrid i-DCD facelift tampil di M’sia – 1.5 DOHC i-VTEC, hibrid baharu, DCT 7-kelajuan

    Honda Jazz Sport Hybrid i-DCD facelift tampil di M’sia – 1.5 DOHC i-VTEC, hibrid baharu, DCT 7-kelajuan

    Setelah tempahannya dibuka 11 Mac lalu, hari ini Honda Malaysia telah mendedahkan Jazz Sports Hybrid untuk diprebiu bagi pasaran Malaysia. Buat pengetahuan anda, Malaysia merupakan pasaran luar Jepun pertama di dunia yang menerima model ini, dan ia tampil dalam versi facelift yang baharu sahaja didedahkan di Jepun baru-baru ini, serta hanya akan dilancarkan di Jepun pada bulan hadapan. Boleh dikatakan juga, pendedahan Jazz Hybrid facelift pada hari ini merupakan kemunculan sulungnya untuk peringkat dunia.

    Jazz dengan teknologi hibrid baharu menggunakan unit janakuasa yang berbeza dari model generasi sebelumnya. Unit janakuasa yang digelar Sports Hybrid i-DCD berkenaan menggunakan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama motor elektrik dengan suapan kuasa dari bateri lithium-ion yang diletakkan di bawah lantai kargo (bermaksud ia tidak akan mengganggu konfigurasi tempat duduk Ultra). Gabungan berkenaan menghasilkan kuasa akhir 137 PS, sama seperti kemampuan yang dihasilkan oleh enjin 1.8 liter, menurut Honda.

    Jazz Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual Clutch Drive) menggunakan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan, bukan lagi kotak gear CVT seperti teknologi IMA pada Jazz Hybrid sebelum ini. Transmisi berkenaan bukan sahaja memberikan aliran kuasa yang lebih responsif, malah dengan sistem i-DCD ini, Jazz Hybrid kini boleh dipandu dengan mod elektrik sepenuhnya. Mod EV Drive, Hybrid Drive dan Engine Drive akan berubah secara automatik berdasarkan situasi pemanduan ketika itu.

    Honda Jazz Sport Hybrid i-DCD facelift tampil di M’sia – 1.5 DOHC i-VTEC, hibrid baharu, DCT 7-kelajuan

    Menurut Honda Malaysia, unit janakuasa Sports Hybrid i-DCD ini telah diuji di Malaysia selama dua tahun – diletakkan pada badan Jazz sedia ada bagi tujuan ujian (sebab itu kehadirannya di Malaysia langsung tidak dapat dikesan). Ini bagi memastikan sistem berkenaan benar-benar sesuai dengan situasi dan keadaan cuaca di negara ini.

    Bagi sistem mekanikal untuk versi petrol pula, Jazz facelift bakal dikuasakan oleh unit janakuasa sama seperti sebelum ini iaitu enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC berkuasa 120 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,600 rpm bersama transmisi CVT Earth Dreams.

    Selain itu, sistem stereng Jazz kini juga kini menerima talaan lebih sporty, disamping diberikan tingkat taraf lain seperti kamera undur paparan pelbagai sudut dan tempat duduk separa kulit (ciri ini turut diberikan pada Jazz petrol varian lebih tinggi). Bermula model facelift 2017 ini juga, kesemua varian Jazz termasuk varian asas akan diberikan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin.

    Walau bagimanapun, bahagian luar Jazz facelift untuk pasaran Malaysia ini menampilkan rupa berbeza dari model pasaran Jepun yang telah didedahkan sebelum ini. Ia diberikan gril dan bampar baharu dengan kemasan seperti liang kemasukan udara sisi direka lebih besar, tetapi tampil dengan kemasan dengan bentuk berbeza. Berbanding model JDM yang menerima lampu kabus berbentuk bulat, model pasaran Malaysia diberikan lampu kabus yang lebih bersegi.

    Ia juga turut diberikan lampu hadapan bersama lampu nyalaan siang baharu. Untuk keseluruhan, versi pasaran Malaysia ini dilihat tidak tajam seperti Jazz facelift JDM kerana tidak diberikan lip spoiler yang panjang.

    Perbezaan lain yang turut dilihat berbanding versi JDM adalah pada lampu belakang (pasaran Malaysia masih menggunakan lampu sama seperti sebelum ini), dan juga rekaan pada rim aloi yang dibekalkan, menampilkan corak dan kemasan yang langsung tidak sama.

    Honda Jazz Sport Hybrid i-DCD facelift tampil di M’sia – 1.5 DOHC i-VTEC, hibrid baharu, DCT 7-kelajuan

    Malangnya, sama seperti prebiu model-model Honda terdahulu, Jazz ini diberikan filem penapis haba yang tebal untuk melindungi bahagian dalamannya dari kelihatan. Tetapi menerusi pendedahan di Jepun sebelum ini, Jazz facelift diberikan tempat duduk dengan penyokong sisi hingga ke bahagian atas, serta kemasan jalur tengah seperti pada Civic FC.

    Model hibrid diberikan tuil penukar gear yang direka berbeza dengan tuil normal pada versi petrol – menampilkan rekaan bersegi bersama batang tuil lebih pendek.

    Jazz Sport Hybrid bersama versi petrol facelift bakal dilancarkan di Malaysia pada suku kedua tahun ini, manakala pelanggan akan menerima kereta mereka pada Ogos 2017. Honda Malaysia juga masih lagi belum memberikan sebarang maklumat berkenaan julat harga.

    GALERI: Honda Jazz facelift 2017 varian Sports Hybrid i-DCD pasaran Malaysia

    GALERI:Honda Jazz/Fit Hybrid facelift 2017 pasaran Jepun

     
     
  • GALERI: Toyota Hilux 2.4G dengan aksesori TRD

    GALERI: Toyota Hilux 2.4G dengan aksesori TRD

    Pengedar kereta Toyota di Malaysia, UMW Toyota Motor telah mempamerkan sebuah Toyota Hilux 2.4G yang dipasang dengan pelbagai aksesori TRD. Seperti yang dilihat pada cermin hadapan kenderaan ini, terdapat pelekat yang tertulis Wing Hin, dan itu adalah nama syarikat (yang juga adalah pengedar rasmi barangan TRD) yang melaksanakan pemasangan kit ini.

    Kebanyakan barang TRD yang dipasang berada di bahagian hadapan, bermula dengan gril dan penghadang bampar yang berwarna kelabu, penghadang bawah enjin berwarna merah serta jalur pelekat TRD di atas hud depan. Dari sisi pula, anda akan dapat melihat tambahan pada lengkuk roda berwarna kelabu matte, rim 18 inci, pemijak tepi pintu, jalur pelekat di pintu dan palang besi sports di ruang barangan belakang.

    Pergi ke bahagian belakang, terdapat pula bebola cangkuk penarik pada bamparnya dan muncung ekzos gentian karbon keluar ke bahagian kanan trak. Kebanyakan barangan ini mempunyai cop unik TRD dan bagi rim, skrunya juga adalah daripada TRD.

    Sebagai sebuah kenderaan varian 2.4G, kelengkapan pada kenderaan ini masih sama iaitu ia mempunyai lampu utama halogen, sistem pemasukan tanpa kunci, butang pemula enjin, filem penapis haba Premium Security & Solar Film, lampu dan pengelap cermin automatik, tempat duduk yang boleh dilaras, tempat duduk kulit, perakam video digital, sistem hiburan dan informasi dengan skrin sesentuh 6.1 inci, kamera undur dan enam pembesar suara.

    Tiada sebarang perubahan pada bahagian enjin, di mana ia masih lagi menggunakan 2.4 liter 2GD-FTV turbodiesel, berkemampuan 150 PS pada 3,400 rpm dan 400 Nm antara 1,600 hingga 2,000 rpm. Enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik dan sistem pacuan empat roda separuh masa, bersama pilihan mod Eco dan Power. Untuk aspek keselamatan, varian 2.4G ini dilengkapi dengan tiga beg udara, ABS dengan EBD dan BA, stability control dan cagak ISOFIX di belakang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026