Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Perkhidmatan ETS KL – Butterworth – KL akan ditambah sempena Aidiladha dan cuti sekolah

    ktm-ets-e1437532629460

    Empat lagi perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) untuk laluan Kuala Lumpur-Butterworth-Kuala Lumpur akan ditambah oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mulai esok hingga Ahad ini dan 16 hingga 18 Sept ini, menurut laporan Bernama.

    Perkhidmatan tambahan ini bagi menampung jangkaan warga kota pulang ke kampung sempena perayaan Aidiladha pada Isnin, sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept serta cuti sekolah bermula Sabtu ini hingga 18 Sept ini.

    Empat perkhidmatan ETS sedia ada yang kini hanya beroperasi pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, akan beroperaasi setiap hari mulai esok hingga 18 Sept ini, jelas KTMB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

    Menurut kenyataan berkenaan lagi, sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 40 perkhidmatan ETS akan beroperasi setiap Isnin hingga Khamis dan 44 perkhidmatan akan beroperasi pada Jumaat, Sabtu dan Ahad. Tiket perjalanan boleh dibeli mulai semalam dan KTMB menggalakan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan tren bagi mengelak kesesakan lalu lintas di samping menjimatkan masa dan belanja.

     
     
  • Daihatsu Move Canbus – Kei-Car comel untuk wanita

    daihatsu-move-canbus-1-e1473321364728_bm

    Selain dari bentuknya yang kecil dan comel serta penggunaan bahan api dan pemilikannya yang menjimatkan, ada satu lagi daya penarik pada kei-car buatan Jepun, di mana sebahagian daripadanya diberikan ‘perwatakan’ khusus. Contohnya Daihatsu Mira L200 Felix the Cat dan Mira L500 Hello Kitty. Begitu juga dengan Toyota Passo generasi terbaharu – ia diberikan dua watak berbeza iaitu model standard X, dan juga Moda yang lebih funky.

    Terbaharu, Daihatsu memperkenalkan model Move Canbus yang berbentuk seperti van tetapi dalam saiz yang comel, dengan perwatakan lebih feminin, disasarkan untuk pembeli wanita.

    Canbus hadir dengan dimensi 3,395 mm panjang, 1475 mm lebar dan 1,655 mm tinggi, dengan jarak roda 2,115 mm. Jadi ia masih lagi diklasifikasikan sebagai K-Car dimana dimensi untuk kelas tersebut ditetapkan tidak melebihi 3,400 mm panjang, 1,480 mm lebar dan 2,000 mm tinggi.

    Undang-undang K-Car juga menetapkan kapasiti enjin yang dibenarkan adalah tidak melebihi 660 cc dan kuasa tidak melebihi 64 PS. Jadi, Canbus dikuasakan dengan enjin tiga silinder 658 cc menjana 52 PS pada takat 6,800 rpm dan tork maksima 60 Nm pada takat 5,200 rpm.

    Enjin berkenaan digandingkan bersama kotak gear CVT dengan opsyen sama ada pacuan roda hadapan atau pacuan empat roda. Untuk model pacuan hadapan, penggunaan bahan api dicatatkan pada 28.6 km untuk setiap liter mengikut kitaran JC08 Jepun. Manakala untuk model pacuan empat roda pula, penggunaan bahan api dicatatkan pada 27.4 km untuk setiap liter.

    Sesuai dengan wataknya, Canbus diberikan muka hadapan yang lebih comel berbanding Move standard atau Move Custom yang lebih agresif. Ia direka dengan konsep yang agak retro menampilkan gril dan lampu hadapan yang lebih bulat pada sudut-sudutnya. Tiang-D turut direka semula dan diwarnakan dengan warna hitam bagi memberikan penampilan seperti van sebenar.

    Bahagian belakang juga turut diberi penampilan baharu dengan lampu belakang berbentuk kiub serta pintu belakang ditukar dari pintu bukaan biasa pada Move standard kepada pintu jenis gelangsar. Menambah ciri femininnya, pembeli turut disediakan dengan pilihan warna yang luas bermula dari warna satu ton hingga pilihan kombinasi dua ton, begitu juga dengan roda aloi pelbagai corak bersaiz 14-inci yang boleh dipilih.

    daihatsu-move-canbus-3-e1473321734994_bm

    Bahagian dalaman Canbus diberikan pelbagai ciri storan yang praktikal seperti tray dibawah tempat duduk belakang yang boleh ditarik/ditolak untuk meletakkan barangan agar ia tidak jatuh. Ia juga dilengkapi dengan skrin sesentuh untuk sistem infotainmen pada varian tertentu, penghawa dingin automatik, tempat duduk pelbagai kofigurasi serta sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin.

    Untuk keselamatan, Canbus dilengkapi dengan sistem brek automatik (standard untuk semua varian), lampu hadapan LED adaptif, VSC, Kawalan Tarikan dan minimum dua beg udara (varian lebih tinggi menerima lebih banyak beg udara).

    Seperti biasa, peminat Kei-Car tempatan hanya mampu melihat dan bertenang kerana model istimewa sebegini sudah tentunya hanya untuk pasaran JDM sahaja. Daihatsu Move Canbus dijual pada harga bermula 1,188,000 yen (RM47,225) hingga 1,668,600 yen (RM66,330).

     
     
  • Volkswagen Polo 1.6 – kini hanya RM78k, turun RM13k

    Volkswagen Polo Facelift 1

    Laman web Volkswagen Malaysia telah mendedahkan harga untuk model hatcback Polo 1.6 CKD kini telah pun disemak semula. Untuk versi facelift yang diperkenalkan tahun lalu ini, kini dijual pada harga atas jalan tidak termasuk insuran RM77,646, kurang RM13,000 berbanding sebelum ini dijual pada harga RM90,646.

    Tiada perubahan pada sistem mekanikal dimana model ini masih dijana enjin 1.6 liter empat silinder MPI yang sama berkuasa 105 PS/153 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan dari Aisin. Model ini juga masih dilengkapkan dengan roda aloi “Riverside” 15-inci dibaluti tayar bersaiz 185/60R15.

    Ciri-ciri standard juga masih sama seperti sebelum ini dimana Polo dilengkapi pemain audio utama RCD 330G dengan hubungan USB dan iPod serta kebolehan Mirrorlink, dihubungkan kepada empat unit pembesar suara.

    Kawalan Kelajuan, penghawa dingin automatik zon tunggal Climatronic dengan liang udara belakang serta lampu hadapan halogen juga turut hadir sama seperti sebelum ini. Untuk keselamatan, Polo 1.6 masih kekal dengan dua-beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX serta brek ABS dibantu dengan BA tanpa kawalan kestabilan elektronik.

    Pembeli ditawarkan dengan opsyen cagak top tether tempat duduk kanak-kanak G1 Isofix Duo Plus dengan tambahan kos RM3,048. Pembelian Polo Hatch 1.6 kini dilindungi dengan waranti selama lima-tahun dan jaminan mobiliti juga selama lima tahun. Jika anda berminat untuk memandu uji model ini, daftarkan diri anda di sini.

    GALERI: Volkswagen Polo 1.6 Hatch CKD facelift 2015 (ini merupakan model facelift versi 2015 semasa ia diperkenalkan tahun lalu)

     
     
  • VIDEO: Mazda CX-9 2016 didedahkan menerusi video

    Mazda Australia telah menyebarkan perincian mengenai Mazda CX-9 baharu menerusi video. Model ini akan dijual di negara berkenaan tidak lama lagi. Tiga video utama ini memaparkan perincian lebih lanjut mengenai prestasi, keselamatan dan teknologi yang ditampilkan pada SUV tujuh-tempat duduk ini.

    Video pertama memaparkan hal mekanikalnya. CX-9 baharu ini menerima versi pengecas turbo bagi enjin petrol 2.5 liter SkyActiv-G empat-silinder. Ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 228 hp pada 5,000 rpm dan tork 420 Nm pada 2,000 rpm bagi spesifikasi Australia. Selain itu, ia menampilkan Dynamic Pressure Turbo baharu iaitu kuasa ekzos yang berbeza-beza mengikut kelajuan enjin, bagi mengurangkan turbo lag.

    Penggunaan bahan api secara kombinasi dianggarkan sekitar 8.1 liter bagi setiap 100 km bagi model pacuan roda-hadapan, dan 8.8 liter per 100 km untuk sistem pacuan semua-roda i-Activ. Transmisi dikendalikan oleh kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan.

    Selain itu, aspek keselamatan turut dipaparkan, di mana CX-9 baharu ini turut didatangkan dengan i-ActivSense iaitu elemen standard bagi model spesifikasi Australia, ini termasuklah Pemantauan Titik Buta (BSM), Kepekaan Lintasan Trafik Belakang (RCTA) dan Sokongan Brek Pintar Bandar (SCBS). Malah ia juga dilengkapi dengan Mazda Radar Cruise Control (MRCC), dengan fungsi Stop & Go.

    Di samping itu, ia juga mengetengahkan teknologi terkini termasuk skrin sentuh bersaiz lapan-inci bagi sistem infotainmen MZD Connect, sistem bunyi premium Bose dengan 12-speaker dan paparan utama Active Driving Display yang dipertingkatkan, yang kini tampil berwarna sepenuhnya. Bukan itu sahaja, ia turut didatangkan dengan informasi navigasi dan rev counter.

    CX-9 baharu ini dijangka tiba di pasaran Malaysia sebelum 2016 melabuhkan tirainya. Biarpun harganya masih belum didedahkan oleh pengedar utamanya, Bermaz, namun kemungkinan ia berharga antara RM230k hingga RM250k.

    GALERI: Mazda CX-9 baharu di Jepun

     
     
  • Honda Civic Sedan dan Civic Hatchback 2017 versi Eropah diperkenalkan di Paris Motor Show tahun ini

    4160815_001H-e1471245540531_BM

    Honda telah mengumumkan Civic Hatchback generasi terbaharu akan melakukan kemunculan sulungnya di Paris Motor Show yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Model berkenaan untuk pasaran Amerika telahpun didedahkan pada pertengahan bulan lalu, dan akan dibina di kilang Honda Swindon, UK.

    Civic Hatchback bakal menembusi pasaran seluruh Eropah bermula awal tahun 2017. Tiada perincian sepenuhya didedahkan oleh Honda berkenaan model ini selain dinyatakan bakal dijana dengan pilihan enjin petrol 1.0 liter atau 1.5 liter VTEC Turbo.

    Enjin VTEC Turbo paling kecil dengan kapasiti 1.0 liter berkenaan berupaya untuk menjana sejumlah 127 hp dan tork 200 Nm, manakala enjin 1.5 liter VTEC Turbo untuk pasaran Eropah mampu menjana 201 hp dan tork 260 Nm, berbanding untuk pasaran ASEAN (termasuk Malaysia) hanya berkuasa 173 PS dan tork 220 Nm. Enjin-enjin ini berkemungkinan akan dipadankan dengan pilihan kotak gear manual enam-kelajuan dan CVT.

    Civic Type-R generasi terbaharu turut dikesan sedang diuji di Sepanyol baru-baru ini dan kelihatan hampir lengkap untuk diproduksi, tetapi masih belum jelas adakah Honda akan melakukan kejutan dengan menampilkan model ini di Paris nanti.

    Selain dari hatchback, Honda turut akan mendedahkan Civic Sedan untuk pasaran Eropah, yang turut bakal berada di pasaran benua berkenaan tahun hadapan. Tidak seperti model hatchback, model sedan ini akan diproduksi di kilang Honda Gebze, Turki. Namun, model ini dijangka akan menerima unit janakuasa yang sama dengan versi hatchback.

     
     
  • Mercedes-Benz E 250 Avantgarde & Exclusive Line kini dibuka tempahan – harga bermula RM421k

    w213-mercedes-benz-e250-exclusive-1-1

    Pada awal Jun lalu, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melancarkan barisan model W213 serba baharu iaitu bagi varian E 200 Avantgarde. Hari ini pula, giliran bagi varian E 250 Avantgarde Line dan E 250 Exclusive Line pula diperkenalkan. Manakala varian E 300 AMG Line pula akan menyusul pada November nanti.

    Tempahan bagi E 250 Avantgarde Line dan E 250 Exclusive Line juga telah dibuka. Harga atas jalan (termasuk GST dan tanpa insurans) yang ditawarkan bagi varian E 250 Avantgarde ialah RM RM 420,888, manakala E 250 Exclusive Line pula ialah RM 425,888. Kedua-duanya didatangkan dengan waranti pengeluar selama dua-tahun tanpa perbatuan terhad dan waranti lanjutan juga selama dua-tahun (yang mana tiba terlebih dahulu).

    Sama seperti E 200, kedua-dua varian tersebut juga dikuasakan dengan enjin M 274 DE AL 2.0 liter empat-silinder turbo namun memiliki terjahan kuasa dan tork yang berbeza. Jika E 200 memiliki keupayaan kuasa 184 hp/300 Nm, E 250 Avantgarde Line dan E 250 Exclusive Line pula ditala dengan terjahan yang lebih cemerlang iaitu 211 hp pada 5,500 rpm dan tork 350 Nm pada 1,200 rpm. Namun kesemua varian tetap dipadankan dengan kotak gear yang sama iaitu 9G-Tronic Mercedes automatik sembilan-kelajuan.

    w213-mercedes-benz-e250-exclusive-18-1

    Bagi E 250 Avantgarde Line baharu, ia boleh diidentifikasikan menerusi gril radiator sport dengan lambang bintang Mercedes yang besar di tengah-tengahnya. Selain itu, trim bagi radiator dengan dua lourves berwarna perak dan krom di dalamnya cukup menyerlahkan lagi penampilannya. Corong udara di bahagian bampar hadapan turut memberikan efek dinamik, selain serlahan gaya oleh roda aloi lima0jejari 19-inci.

    E 250 Exclusive Line pula diserlahkan dengan gaya yang lebih model dengan perincian yang diperkemaskinikan termasuk bampar hadapan yang dipertingkatkan dengan elemen trim krom. Malah trim bagi radiator dengan tiga louvres dan gril radiator bersama bingkai tiga-dimensi serta lambang bintang Mercedes memberikan gaya yang klasik bagi varian ini.

    Kedua-dua varian juga dilengkapi dengan lampu utama Multibeam dengan 84 LED yang mampu memberikan aspek pencahayaan yang lebih cemerlang tanpa mengganggu penglihatan pengguna jalan raya yang lain.

    Pada bahagian belakang pula, ia dilengkapi sepasang lampu belakang single-piece (tanpa lampu tambahan pada penutup but) menampilkan rekaan dua bar optik kristal dan mempunyai bentuk seakan lampu belakang S-Class.

    Pembinaan E-Class generasi terbaharu ini diasaskan dari platform Modular Rear Architecture (MRA) iaitu platform yang sama dengan C-Class generasi terkini. Berbanding model terdahulu, jarak roda keseluruhan E-Class terbaharu ini telah dipanjangkan lebih 65 mm iaitu diukur sepanjang 2,939 mm. Manakala panjang keseluruhan model ini diukur sepanjang 4,923 mm, 43 lebih panjang dari model sebelum ini.

    w213-mercedes-benz-e250-exclusive-19-1

    Bahagian dalaman E-Class terbaharu ini menampilkan rekaan yang seiras dengan S-Class terdiri dari liang penghawa dingin bulat, kemasan-kemasan yang dibalut dengan kulit dan motif kayu, pad sesentuh pada roda stereng, dan pilihan opsyen dua skrin besar bersaiz 12.3-inci untuk paparan instrumen dan sistem infotainmen COMAND.

    Pemandu boleh memilih tema yang bersesuaian dengan mereka pada paparan instrument digital sepenuhnya tersebut yang terdiri dari “Classic”, “Sport” dan “Progresive”. Unit infotaimen juga disertakan dengan unit kawalan Touchpad pada konsol tengah yang boleh dikawal dengan tulisan tangan dan kawalan menggunakan suara LINGUATRONIC.

    E-Class E 250 turut menawarkan sistem hubungan dari telefon pintar ke kereta tanpa wayar menggunakan sistem NFC. Sistem tersebut bukan sahaja menghubungkan telefon pintar dengan sistem infotaimen, malah turut boleh mengecas semula telefon pintar anda tanpa menggunakan sebarang wayar. Anda hanya perlu meletekkan telefon pintar anda pada ruang storan yang disediakan yang terletak di bahagian konsol tengah hadapan.

    w213-mercedes-benz-e250-exclusive-2-1

    Sedan mewah generasi baharu ini turut dilengkapi dengan pelbagai fungsi bantuan pemanduan. Ini termasuk sistem Parking Pilot yang membantu pemandu kereta mencari petak parkir seterusnya memarkir kereta tersebut pada petak parkir sama ada secara selari atau menegak, Bantuan Kekal Laluan Aktif, Bantuan Tukar Laluan Aktif, Bantuan Titik Buta Aktif, Pre-Safe Plus dan pelbagai lagi.

    Sistem Pre-Safe pada model ini juga telah dipertingkatkan dengan sistem Impulse side baharu (menggunakan peninggi tempat duduk untuk menolak penumpang menjauhi bahagian sisi yang dilanggar untuk memberikan ruang selamat yang lebih baik) dan sistem Sound (memberikan bunyi prima pada telinga penumpang menggunakan isyarat gangguan pendek sekiranya ia mengesan pelanggaran dengan bunyi dentuman yang kuat akan berlaku).

    Untuk maklumat lanjut mengenai barisan Mercedes-Benz E-Class baharu yang diperkenalkan ini, sila layari Carbase.my.

    GALERI: Mercedes-Benz E 250 Exclusive

     
     
  • SPYSHOT: Toyota Supra generasi baharu dijumpai buat kali pertama dalam ujian di jalan raya awam!

    toyota-supra-2_bm

    Sebelum ini, kami hanya mendapat berita berkenaan Toyota Supra generasi baharu yang sedang dibina bersama BMW Z5. Toyota juga dilihat sudahpun mendaftarkan tanda dagangan “Supra” di Eropah dan Ketua Jurutera Global Toyota, Tetsuya Tada sangat menginginkan nama Supra ini diabadikan pada jentera yang sedang dibina tersebut.

    Namun disebalik berita-berita berkenaan, masih belum kelihatan susuk sebenar jentera terbaharu ini walaupun Toyota mendakwa ia sudah memasuki fasa yang sama dengan BMW Z5 – yang sudah pun ditemui sedang diuji di atas jalan raya sebenar. Jadi, imej yang baru kami terima dari jurugambar intipan kami ini adalah imej yang ditunggu-tunggu – Toyota Supra generasi terbaharu sedang diuji di jalan raya!

    toyota-supra-8_bm

    Walaupun menggunakan penyamaran berat dengan dilindungi pelekat pada hampir keseluruhan badan, masih dapat dilihat rekaan Supra ini diinspirasikan sepenuhnya dari model konsep Toyota FT-1. Ia manampilkan muncung berbentuk kon, cermin hadapan yang kelihatan seperti bersambung dengan tingkap sisi serta spoiler dibina bersepadu dengan bahagian belakang yang agak tinggi, sama seperti model konsep FT-1. tetapi, liang udara pada hud hadapan dari FT-1 tidak kelihatan pada model yang sedang diuji ini.

    Walaupun dibina dengan platform yang sama, rekaan Supra ini jelas berbeza dari BMW Z5 yang tampil dengan bentuk badan Roadster, tidak seperti apa yang terjadi pada kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ.

    toyota-supra-13_bm

    Tetapi, lain pula hal nya pada bahagian dalaman. Supra dilihat mengambil terus rekaan dalaman dari BMW, dengan roda stereng tiga jejari, skrin paparan pada bahagian tengah papan pemuka, paparan instrumen separa-maya dan juga suis-suis kawalan penghawa dingin. Namun, ini hanyalah model ujian dan diharapkan ia akan berubah dengan rekaan lebih tersendiri pada model produksi sebenar nanti.

    Supra generasi baharu ini dijangka akan dikuasakan dengan enjin empat silinder sebaris dan enam silinder sebaris bersama pengecas turbo dari BMW dan varian paling berkuasa dengan unit janakuasa hibrid bakal dilengkapi kapasitor serta sistem pacuan empat roda. Jentera baharu ini turut menggunakan kepakaran BMW dalam pembinaan komponen gentian karbon, seperti yang terdapat pada BMW i3, i8 dan 7 Series G12.

    Kita di Malaysia biasa melihat model-model lama BMW diubahsuai dengan menggunakan enjin 1JZ dan 2JZ dari Supra generasi ketiga (JZA70) dan keempat (JZA80) kerana ia lebih mudah untuk diselenggara dan lebih kuasa bukan? Nampaknya ia sudah berlaku sebaliknya pada pembinaan jentera baharu ini. Jadi, apa pula pendapat anda? Kongsikan bersama kami pada ruangan komen di bawah.

    GALERI: Spyshot BMW Z5


    GALERI: Toyota FT-1 Concept

    GALERI: Evolusi Toyota Supra

     
     
  • Mercedes-Benz tunjuk van penghantar konsep; tiada stereng dan pedal, dron di bumbung jadi pembantu

    mercedes-benz-vision-8-bm

    Bagi menunjukkan orang ramai ke mana hala tuju serta apa yang sedang dilakukan oleh syarikat bagi segmen kenderaan penghantar, Mercedes-Benz mengeluarkan sedikit perincian berkenaan van konsepnya yang digelar sebagai Vision.

    Ia dikuasakan oleh motor elektrik sepenuhnya berkuasa 100hp supaya dapat beroperasi dengan mudah di dalam bandar yang tidak membenarkan kemasukan kenderaan berenjin biasa dan senyap tanpa sebarang bunyi.

    Untuk mengendalikannya pula, pemandu hanya perlu mengawal joystick seperti permainan video kerana ia tidak mempunyai stereng atau pedal setelah menggunakan sistem drive-by-wire.

    Di atas bumbung van konsep ini, terdapat dua dron yang juga dapat membantu kelancaran penghantaran pakej. Sistem berkomputer pada awalnya telah mengambil rekod alamat, berat, dimensi serta waktu untuk penghantaran, dan penerima juga akan ditanya sama ada mereka mempunyai tapak untuk dron tersebut mendarat.

    Menurut wakil Mercedes-Benz, van konsep Vision ini masih lagi satu konsep dan mungkin mengambil masa 10 tahun lagi sebelum berada di pasaran. Walaubagaimanapun, ini adalah gambaran ke mana hala tuju mereka dan hasil daripada maklum balas mereka yang memerlukannya.

     
     
  • Volvo S60 T6 Drive-E terima status EEV – kini RM239k

    Volvo-S60-T6-Drive-E-official-2-e1463545522418_BM

    Selepas diperkenalkan di pasaran Malaysia pada pertengahan Mei lalu, model pemasangan tempatan (CKD) Volvo S60 T6 Drive-E kini telah diumumkan menerima status Kenderaan Cekap Tenaga (EEV). Sekaligus, harganya kini menjadi lebih murah iaitu RM238,888 (harga atas jalan tanpa insurans), iaitu kurang RM42,000 berbanding harga yang diperkenalkan sebelum ini (RM280,888).

    Setiap pembelian didatangkan standard dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan serta pakej bantuan Volvo On Call secara percuma juga selama lima tahun.

    Selain harganya, tiada perubahan yang dilakukan terhadap S60 T6 ini. Ia masih dilengkapi dengan dua sistem induksi paksaan iaitu turbo dan supercharge (untuk takat rpm rendah), membolehkan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder ini mengekstrak kuasa keseluruhan 306 hp pada takat 5,700 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,100 sehingga 4,800 rpm.

    Kesemua kuasa dari enjin ini memacu kedua-dua roda hadapan menerusi kotak gear lapan-kelajuan automatik dari Aisin, dan dilengkapi dengan penukar gear pada roda stereng. Gabungan tersebut membolehkan sedan ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.9 saat dengan kelajuan maksima 230 km/j.

    Untuk keselamatan, S60 T6 Drive-E dilengkapi dengan sistem brek kecemasan automatik bandar (yang berfungsi pada kelajuan sehingga 50 km/j), Sistem Informasi Titik Buta (BLIS) yang beroperasi menggunakan radar, Amaran Lintasan Trafik (CTA), Amaran Pelanggaran dengan Brek Automatik Sepenuhnya. Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC), Bantuan Kekal Laluan (LKA), Pengesan Pejalan Kaki dan Penunggang Basikal serta Informasi Tanda Jalan (RSI) turut ditawarkan secara standard.

    Untuk maklumat lanjut mengenai S60 T6 ini, sila layari Carbase.my.

     
     
  • VIDEO: Nissan GT-R – menyorot mitos Godzilla

    Nissan GT-R mempunyai sejarah lampaunya yang seakan kisah mitos. Lagenda bermula pada 1964 apabila Shinchiro Sakurai atau dikenali sebagai “Father of Skyline” menyumbat enjin enam selinder sebaris pada Nissan Skyline yang ketika itu merupakan sebuah sedan keluarga, seterusnya menewaskan sebuah Porsche 904 di litar Fuji Speedway.

    Justeru, Nissan telah menyiarkan video untuk menyorot sebahagian peristiwa seakan mitos dalam sejarah perjalanan Skyline GT-R sehingga hadir sebagai sebuah kereta sport asli yang kini dikenali dengan nama Nissan GT-R. Video ini dimulakan dengan babak ketika Nissan Skyline GT-R R32 diharamkan dari menyertai Australian Touring Car Championship (ATCC) setelah menjuarai kejohanan tersebut tiga tahun berturut-turut dari 1990 hingga 1992.

    Dalam kejohanan berkenaan, hanya Ford Sierra RS500 yang dijana enjin turbo berkuasa lebih dari 500 hp dilihat boleh menewaskan R32 GT-R. Tetapi Sierra menghadapi masalah pengendalian pada sesetengah selekoh kerana sistem pacuan belakangnya tidak mampu menampung kuasa yang begitu besar dihasilkan dari enjin. GT-R pula sebaliknya, walaupun dijana oleh enjin RB26DETT berkuasa lebih dari 500 hp, ia masih melekat pada permukaan jalan dalam apa jua situasi kerana dilengkapi dengan sistem pacuan empat roda, sekaligus membuatkan ia seakan seekor raksasa yang tidak boleh dikalahkan sesiapa dan digelar sebagai “Godzilla”.

    Oleh itu, penganjur ATCC telah mengharamkan penggunaan enjin berkuasa turbo dan sistem pacuan empat roda pada musim seterusnya, secara tidak langsung mengharamkan Skyline GT-R untuk terus berlumba dan mendominasi kejohanan di benua itu.

    Walaupun disingkirkan dari perlumbaan litar, lagenda Skyline GT-R tidak terhenti begitu sahaja. Godzilla terus menjadi ikon sebagai sebuah jentera berkuasa dalam dunia perlumbaan jalanan. Akhirnya, pada tahun 2003, Nissan Skyline R34 GT-R muncul dilayar perak, membintangi filem 2 Fast 2 Furious yang memperlihatkan keadaan sebenar bagaimana GT-R dihormati dalam dunia modifikasi jalanan.

    Litar “The Green Hell” Nürburgring Nordschleife merupakan satu lagi episod yang memahatkan kisah lagenda GT-R dalam riwayatnya. Model R35 GT-R telah berberapa kali memecahkan rekod lap terpantas Porsche dilitar tersebut dalam kategori kereta produksi sehingga Porsche mendakwa Nissan mengeluarkan catatan masa palsu. Rekod terkini lap produksi terpantas dipegang oleh R35 GT-R Nismo terbaharu dengan masa 7 minit 8.679 saat.

    Model GT-R 2017 terbaharu menerima rupa luaran yang lebih segar dan bahagian dalaman yang lebih premium dan mewah serta sistem infotainmen yang dipertingkatkan.Ia masih mengekalkan enjin VR38DETT 3.8 liter turbo-berkembar V6 tetapi telah ditala semula bagi menghasilkan kuasa sehingga 565 hp pada 6,800 rpm dan tork 633 Nm dari 3,300 hingga 5,800 rpm, meningkat sebanyak 15 hp dan 3 Nm berbanding model 2016 – hampir lebih 90 hp berbanding versi asal GT-R R35.

    Kotak gear klac berkembar pada model baharu ini turut diolah semula bagi memberikan tukaran gear yang lebih lancar serta lebih senyap. Prestasi pengendalian juga telah dipertingkat menerusi sistem suspensi yang ditala semula serta kerangka badan yang telah diperkuatkan.

    GALERI: Nissan GT-R 2017

     
     
  • SPAD minta pelan penambahbaikan perkhidmatan LRT

    LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

    Ekoran masalah gangguan teknikal kuasa elektrik yang berlaku di stesen LRT Kelana Jaya yang menyebabkan perkhidmatan tren ini tergendala pagi semalam, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah meminta Rapid Rail Sdn Bhd, pengendali sistem pengangkutan itu, supaya mengemukakan laporan penuh selewat-lewatnya 21 September ini.

    Dalam masa yang sama, SPAD juga meminta agar Rapid Rail mengemukakan langkah-langkah bagi penambah baikan penyampaian perkhidmatan dan masa tindak balas, laporan Bernama.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh SPAD, pihaknya akan terus memantau isu-isu berkenaan LRT dan memandang serius mengenai gangguan perkidmatan di laluan Kelana Jaya pagi semalam.

    Malah SPAD akan memastikan Rapid Rail menjalankan pengauditan dan siasatan untuk mengenal pasti punca utama gangguan dan mengemukakan langkah-langkah mitigasi untuk mengelakkan insiden itu pada masa depan.

     
     
  • Pelajar Palestin bina model prototaip kereta solar bagi mengatasi masalah sekatan bahan api oleh Israel

    Solar_car

    Akibat tindakan Israel yang mengenakan sekatan bahan api terhadap wilayah Palestin, dua orang pelajar kelahiran Palestin yang menuntut di Universiti Al-Azhar cawangan Gaza telah mencipta sebuah kereta yang menggunakan tenaga solar.

    Khalid al-Bardawil dan Jamal al-Miqaty yang mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Jabatan Kejuruteraan Mekatronik universiti terbabit telah mengembleng tenaga bagi menghasilkan kereta berkapasiti satu-tempat duduk yang memiliki panel solar di atas bumbungnya, laporan RT.com.

    Walau pun tidak memiliki kos kewangan yang besar, namun hajat untuk membina kereta solar berkenaan berjaya direalisasikan. Masih di peringkat prototaip, kereta beroda tiga ini mampu mencapai kelajuan sekitar 29 km/j.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Universiti Al Azhar, idea membangunkan kereta solar ini adalah satu langkah inovatif dalam menangani sekatan ke atas kehidupan harian dalam wilayah Palestin.

    Menurut Al-Miqaty pula, “Motor penjanaan elektrik tidak ada di Gaza dan tiada siapa di antara kami yang tahu untuk membuatnya. Justeru, kami terpaksa berusaha keras untuk membawa masuknya dari luar dan melakukan modifikasi terhadapnya. Ia bukanlah suatu usaha yang mudah, namun akhirnya kami berjaya melakukannya.”

     
     
  • Spanco anjur program pemanduan defensif; ingin kurangkan kos baik pulih yang mencecah RM8 juta

    2016 SPANCO Defensive Driving - 2

    Bagi mengurangkan pembiayaan baik pulih kenderaan di bawah pengurasannya, Spanco yang bertanggungjawab menguruskan barisan kenderaan milik kerajaan melaksanakan program pemanduan defensif bagi pemandu-pemandu kerajaan yang terlibat mengendalikan kenderaan berkenaan.

    Spanco kini menguruskan lebih daripada 12,000 kenderaan sedan kerajaan yang bernilai RM700 juta di seluruh Malaysia. Berikutan itu, syarikat berkenaan berdepan dengan masalah kos yang semakin tinggi bagi kenderaan yang terlibat dengan kemalangan mahupun kos penyelenggaraan biasa.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Spanco, Datuk Hamzah Mohd Salleh, sebanyak 2,707 kemalangan dicatatkan pada 2015 bagi kenderaan di bawah seliaannya, melibatkan RM8.1 juta kos pembaikan.

    Program berkenaan melibatkan 55 penjawat awam dari beberapa kementerian dan agensi kerajaan. Ia disasarkan kepada mereka yang memandu kenderaan rasmi kerajaan dalam urusan seharian.

    “Lebih membimbangkan, setakat Ogos tahun ini, 2,666 kemalangan dicatatkan, dan ini melibatkan kos baik pulih sehingga RM8 juta. Jumlah berkenaan hampir sama dicatatkan bagi keseluruhan tahun 2015,” jelas beliau. Kenderaan di bawah Spanco turut terlibat dengan 72,000 saman trafik dan had laju.

    Beliau menambah, kadar kemalangan yang tinggi bagi kenderaan kerajaan tidak hanya membawa kerugian besar kepada Spanco, tetapi turut menyebabkan gangguan jadual kenderaan yang tersedia akibat sebahagiannya tidak dapat digunakan kerana sedang dibaiki. Program ini diharap dapat memperbaiki situasi itu, dengan memberikan pendedahan lebih berguna kepada pemandu-pemandu terlibat.

     
     
  • PANDU UJI: Honda Civic 1.5T Premium 2016 – kembalikan semula sedan dengan gaya sporty sebenar

    DSC_0178 civic_kk_drive

    Seingat saya, sejak saya kecil lagi iaitu pada sekitar era 80’an dan 90’an, seperti sudah disematkan dalam minda masyarakat Malaysia, kereta berjenama Honda seringkali dikaitkan dengan kejayaan seseorang. “Aku tengok Amy Search tu, huu.. dah bawak Honda Accord dah! Herrr.. kan, Honda Accord, engkau tahu.. kan”. Ini antara dialog oleh watak Jijo dalam filem Rock (2005) arahan Mamat Khalid untuk menggambarkan betapa berjayanya Amy Search pada era ‘rock kapak’ berkenaan.

    Begitu juga dengan seorang usahawan yang ada bau-bau bacang dengan keluarga saya, memiliki Honda CRX EF dan kemudiannya bertukar kepada Honda Civic EG hatchback dalam usia muda, sering menjadi buah mulut dalam keluarga.

    Ya, Civic sering dikaitkan dengan ‘kaki kereta’ yang mempunyai latar belakang kejayaan dalam kehidupan sejak era 80’an dahulu bermula dengan ‘Civic Mayat’ iaitu Honda Civic hatchback generasi ketiga (SB3) yang hadir dengan varian SI, dijana oleh enjin 1.6 liter ZC DOHC. Kegilaan Civic terus menular pada generasi keempat iaitu Civic EF, apabila Honda memadankan enjin DOHC VTEC buat pertama kali pada kerangka Civic menerusi varian EF9 SiR, seterusnya pada EG6/Ferio EG9 SiR dan beralih kepada Civic pertama dengan lencana Type-R iaitu EK9.

    Kemuncak imej sporty Civic hadir menerusi model generasi kelapannya yang dikenali dengan kod casis FD. Model ini direka mendahului zaman menampilkan bukan sahaja prestasi begitu baik dari enjin DOHC i-VTEC K20 (untuk varian 2.0 liter) dan pengendalian yang jitu, malah rekabentuknya juga tampil sangat sporty dan futuristik. Binaan over-engineered pada Civic FD2 ini membuatkan model generasi kesembilan iaitu Civic FB sebagai sebuah model yang bosan dan tidak memberi aura seperti generasi sebelumnya.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Audi perkenalkan Audi A5 dan S5 Sportback terkini – enjin turut diperbaharui, kelengkapan lebih canggih

    Audi A5 Sportback

    Tujuh tahun selepas pengenalan Audi A5 Sportback yang pertama, kini Audi memperkenalkan versi terbaharu kenderaan coupe lima pintu tersebut.

    Pada aspek luarannya, kenderaan ini direka supaya nampak lebih dinamik dan tegap tetapi masih mengekalkan identiti Audi seperti penggunaan gril Singleframe, namun ia lebih lebar dan rata berbanding model sebelumnya.

    Lampu utama pula kini diberikan pilihan sama ada LED ataupun Matrix LED, dengan lampu penunjuk arah dinamik.

    Perbandingan lain yang boleh dibuat dengan model sebelumnya adalah termasuk pengurangan berat sebanyak 85kg, dengan berat keseluruhan 1,470kg dan kecekapan rintangan angin (drag coefficiency) 0.26cd.

    Untuk bahagian enjin, Audi A5 Sportback akan dilancarkan secara keseluruhan dengan pilihan lima enjin; dua TFSI (petrol) dan tiga TDI (diesel), masing-masing dengan kuasa antara 190hp hingga 286hp. Jumlah ini juga menunjukkan peningkatan kuasa sebanyak 17 peratus dan penggunaan bahan api yang lebih menjimatkan sebanyak 22 peratus berbanding model sebelumnya.

    Semua pilihan enjin ini akan digabungkan dengan transmisi yang bersesuaian, sama ada manual enam kelajuan, automatik klac berkembar S Tronic tujuh kelajuan ataupun Tiptronic lapan kelajuan.

    Namun, bagi varian prestasi lebih tinggi iaitu Audi S5 Sportback, ia akan ditawarkan dengan enjin 3.0 TFSI V6 yang dipadankan bersama kotak gear Tiptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan empat roda Quattro, menghasilkan sehingga 354hp kuasa maksimum dan 500Nm tork.

    Selain itu, Audi A5 Sportback juga akan ditawarkan sebagai bivalent g-tron, yang dikuasakan oleh sama ada e-gas Audi, gas asli ataupun gasolin.

    Audi S5 Sportback

    Casis juga adalah antara tarikan utama Audi A5 dan S5 Sportback, dan untuk model baharu ini, A5 Sportback akan dilengkapi dengan stereng kuasa elektromekanikal dan pilihan stereng dinamik yang boleh mengawal nisbah gear bergantung kepada kelajuan dan sudut pusingan stereng.

    Seperti kenderaan Audi lain, mod pemanduan didatangkan standard pada Audi A5 dan S5 Sportback baharu.

    Pada bahagian dalam Audi A5 Sportback, keluasannya bertambah bagi pemandu dan penumpang, dengan kelengkapan lain yang berkualiti tinggi termasuk lampu suasana dalam 30 warna berbeza yang boleh dipilih.

    Ciri lain pada Audi A5 Sportback adalah ruang simpanan belakang 480 liter, tempat duduk belakang 40:20:40 yang boleh menjadikan ruang simpanan 1,300 liter, monitor TFT 12.3 inci beresolusi tinggi dengan pelbagai paparan serta sambungan telefon pintar Apple Car Play dan Android Auto.

    Bagi yang mahukan lebih daripada itu, Audi turut menyediakan pilihan pengesan untuk membuka ruang simpanan belakang secara automatik, Head Up Display, Audi Connect SIM, MMI Navigation Plus, sistem pengecas telefon tanpa wayar dan sistem bunyi 19 pembesar suara Bang & Olufsen.

    Audi A5 dan S5 Sportback akan berada di pusat pameran di Jerman dan negara Eropah lain pada Januari 2017 dengan harga bermula EUR37,800 (RM172,775) bagi A5 Sportback dan EUR62,500 (RM285,673) bagi S5 Sportback.

    Untuk pasaran Malaysia, ketibaan serta pilihan enjinnya masih belum dipastikan, namun Audi Malaysia sedang memberikan perhatian kepada model A4 baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (+1.20)
EURO 5 B7 RM3.55 (+1.20)
Last Updated Jun 06, 2024