Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Proton bakal memperkenalkan model pertama kerjasama Suzuki Oktober ini – MPV Ertiga

    Proton Ahmad Fuaad Kenali

    Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton Ahmad Fuaad Kenali telah mengesahkan model pertama hasil kerjasama dengan Suzuki akan diperkenalkan pada Oktober tahun ini. Beliau berkata pada pihak media dalam sidang akhbar selepas pelancaran Proton Perdana 2016 di Putrajaya pagi ini.

    Walau pun tidak menyebut secara spesifik model apa, namun kami menjangkakan ia adalah MPV yang berasaskan Suzuki Ertiga. Malah model tersebut juga telah dikesan beberapa kali sedang diuji di jalan raya di Malaysia sejak kebelakangan ini.

    Pada bulan Januari lalu, laporan berita dari Indonesia mengesahkan PT Suzuki Indomobil Sales (SIS) akan mengeksport Ertiga dalam bentuk kit komponen terurai (knocked down) ke Malaysia sebanyak 1,500 unit sebulan bermula suku kedua 2016 dan akan di‘rebadge’ dengan jenama Proton.

    Pendedahan seterusnya juga mengatakan komponen-komponen terbabit diproduksi di kilang SIS Cikarang bermula Mei 2016. Proton secara rasminya telah mengumumkan perkara ini pada Januari lalu di mana model kerjasama Proton-Suzuki itu akan memasuki produksi sebelum 2016 berakhir.

    Selepas diperkenalkan pada tahun 2012, Ertiga telah menerima penambahbaikan kecil pada tahun lalu. Baru-baru ini, model ujiannya yang dikesan dalam balutan penyamaran yang menutupi seluruh bahagian terutamanya bampar dengan lampu kabus belakang dan peresap yang telah dibentuk semula. Ia juga dipadankan dengan roda 15-inci dibaluti tayar GT Radial. Walau bagaimana pun, tidak jelas kelihatan adakah MPV ini telah pun ‘diProtonkan’ atau belum.

    MPV tujuh-tempat duduk ini memiliki ukuran 2,740 mm bagi jarak roda (Perodua Alza 2,750 mm, Proton Exora 2,730 mm) dan dijanakan oleh enjin 1.4 liter dengan kuasa 92 PS dan tork 130 Nm. Motor K14B ini dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan. Manakala varian Ertiga Dreza pula ditampilkan dengan imej yang lebih unik dan lebih banyak elemen dipertaruhkan, dan ia boleh didapati di pasaran Indonesia dan Thailand. Malah di Indonesia, Mazda turut ‘rebadged’ model Ertiga dengan nama VX-1.

    GALERI: Imej render “Proton Ertiga”


    GALLERY: Suzuki Ertiga facelift di GIIAS 2015

     
     
  • Proton Perdana baharu bakal menggunakan enjin NE01 dari Petronas dijangka bermula awal 2018

    Proton_NE01_01

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Proton Perdana 2016 bakal menggunakan enjin dan transmisi dari Proton sendiri setelah program pembangunan enjin baharu mereka tamat pada akhir 2017 nanti.

    Perkara ini dijelaskan lebih lanjut lagi oleh Proton semasa sesi sidang akhbar selepas berakhirnya majlis pelancaran Perdana 2016. Menurut Proton, model yang baharu sahaja dilancarkan ini – dengan menggunakan enjin dan transmisi sepenuhnya dari Honda – hanya akan di produksi sebanyak 7,000 unit setahun.

    Model versi dikemas kini tersebut kelak akan menggunakan enjin NE01 2.0 liter empat-silinder dengan pendesak turbo yang diambil dari Petronas. Enjin ‘square‘ (dengan ukuran gerek dan strok 86mm x 86 mm) tersebut berupaya menjana sejumlah 135 kW (181 hp) pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 245 Nm dicapai sepenuhnya pada 1800 hingga 5000 rpm.

    Proton_NE01_06

    Walaupun mempunyai kapasiti lebih kecil berbanding enjin K24Z2 DOHC i-VTEC berkuasa 177 hp/222 Nm pada varian 2.4L, enjin NE01 2.0 liter tersebut nyata lebih berkuasa.

    Enjin berkenaan juga bakal dipadankan dengan kotak gear CVT Proton baharu yang menggunakan torque converter (konsep yang sama digunakan pada transmisi CVT terbaharu dari Honda) berbanding menggunakan start-up clutch pada model-model Proton sebelum ini bagi memastikan aliran kuasa dari enjin yang lebih lancar.

    GALERI: Enjin Proton NE01

     
     
  • Proton Perdana 2016 sasar pengeluaran 7,000 unit setahun – tidak akan dieksport ke negara luar

    Proton Ahmad Fuaad Kenali

    Sejak tempahan mula dibuka pada Februari lalu, Proton telah menerima kira-kira 900 tempahan dari seluruh negara dan dijangka mampu menjual kira-kira 3,000 buah Perdana baharu ini pada akhir 2016. Namun menurut Ketua Pegawai Operasi Proton Datuk Ahmad Fuaad Kenali, pihaknya mensasarkan sebanyak 7,000 unit pengeluaran setahun bagi model ini.

    “Dalam tempoh enam bulan pertama ini, kami hanya meletakkan sasaran sebanyak 3,000 unit. Tetapi kami optimis dengan mensasarkan pengeluarannya sebanyak 7,000 unit setahun. Namun ia adalah bergantung pada jumlah permintaan dalam pasaran,” ujar Ahmad Fuuad.

    Selain itu, mengikut perjanjian, terma dan syarat bersama Honda, Perdana 2016 ini tidak akan dipasarkan ke pasaran luar dan hanya tertumpu pada Malaysia sahaja.

    Sambungnya lagi, “Kami menghormati permintaan dari Honda yang enggan membenarkan Perdana 2016 ini dieksport ke luar negara memandangkan kami menggunakan penjana kuasa dari mereka.

    “Namun untuk model Perdana yang dijangka dinaik taraf dengan menerima kehadiran enjin dan transmisi baharu yang sedang kami bangunkan, barulah ia dirancang akan dieksport ke negara luar. Enjin dan transmisi baharu ini dijangka akan siap pada akhir 2017 dan model Perdana (serta model-model lain Proton yang terlibat) yang dinaiktaraf kemungkinan besar akan diperkenalkan pada tahun 2018.”

     
     
  • PANDU UJI: Proton Perdana 2016, mampukah ‘Prime’ mengangkat semula survival armada Proton?

    Proton_Perdana_24_Grey_Ext_04

    Syarikat pembuat kereta nasional pertama negara – Proton mula memperkenalkan Perdana generasi pertama yang diasaskan dari Mitsubishi Galant Eterna generasi ke-tujuh 21 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1995. Seperti yang anda boleh lihat sekarang, sebahagian dari Perdana tersebut masih lagi gah menyelusuri jalan raya di Malaysia.

    Dilaporkan Proton telah menjual lebih dari 80,000 unit Perdana bermula dari tahun 1995 hingga tahun 2010, dengan harga yang bukan murah iaitu RM85k ketika dilancarkan pada tahun 1995 dan lebih dari RM100k untuk model V6 yang dilancarkan pada tahun 1998.

    Namun, setelah penjualannya dihentikan pada 2010 iaitu kira-kira 15 tahun dalam pasaran, Proton seakan kurang yakin dengan segmen pasaran Perdana, dan dilihat tiada langsung usaha pembangunan untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh model tertinggi dalam barisan kereta keluaran Proton itu.

    Tahun 2012, Proton kembali berminat untuk menyertai pasaran sedan eksekutif segmen-D Malaysia dengan mengumumkan kerjasama bersama gergasi automotif Jepun, iaitu Honda. Hasil awal kerjasama tersebut menyaksikan lebih kurang 3,000 unit Honda Accord CP (generasi ke-lapan) diubah sedikit pada beberapa bahagian kemasan dan kemudiannya diberi lencana Proton Perdana.

    Proton_Perdana_24_Grey_Ext_21

    Kereta-kereta tersebut tidak dijual dalam pasaran umum, tetapi hanya untuk kegunaan pegawai-pegawai kerajaan Malaysia, menggantikan Proton Perdana V6 terdahulu yang semakin berusia.

    Untuk pasaran umum, Proton telah melancarkan Perdana 2016 hari ini, jauh berbeza dari versi awalnya yang hanya dilakukan beberapa sentuhan ‘rebadge’ mudah.

    Sebenarnya, sekitar tiga minggu sebelum dilancarkan, Proton telah menjemput jurnalis-jurnalis automotif di Malaysia untuk menguji dua Perdana 2016 iaitu 2.0L dan 2.4L ini di litar ujian mereka yang terletak di Pusat Kecermelangan Proton, Shah Alam.

    Seperti yang boleh dilihat, bentuk asal Accord CP sudah tidak lagi kelihatan pada rupa luaran Perdana. Secara ringkas, muka hadapan Accord telah ‘diProtonkan’ pada segenap segi termasuk lampu hadapan, gril, bampar hadapan, bonet dan dapra.

    Proton_Perdana_24_Grey_Ext_10

    Pada bahagian sisi, Perdana masih menggunakan pintu hadapan Accord. Tiang-C telah ‘ditarik’ kebelakang bagi memberikan ruang kepada ‘quater window‘ tambahan. Oleh sebab perubahan rekaan pada tiang-C ini, tetapi Proton masih mahu menggunakan panel pintu bahagian dalam yang diambil terus dari Accord, bahagian belakang pintu bermula panel tingkap pintu terpaksa dipanjangkan sedikit. Satu perkara yang agak membimbangkan pada rekaan tersebut, ia berisiko untuk mendatangkan kecederaan pada pengguna kerana kemasan krom pada pintu itu bukan sahaja panjang, ia juga agak tajam.

    Kedua-dua varian dilengkapi dengan roda aloi berdiameter 17-inci pelbagai jejari yang sama tetapi berbeza kemasan akhir (warna perak untuk 2.0L dan warna hitam-aloi digilap untuk 2.4L). Kesemua roda dibaluti tayar Goodyear EfficientGrip bersaiz 225/50R17.

    Bahagian belakang menyaksikan rupa bentuk yang lain sepenuhnya berbanding Accord. Perdana menerima lampu belakang LED berbentuk-C dihubungkan dengan bar krom merentangi penutup but serta menempatkan logo 3D Proton yang besar. Bampar belakang pula ‘sarat’ dengan kemasan ala-diffuser yang turut menempatkan ruang nombor pendaftaran, dua reflektor serta dua perumah tip ekzos palsu.

    Apa yang nampak sedikit pelik disini, keseluruhan kemasan tersebut diwarnakan dengan warna badan, seolah-olah Proton mahu menonjolkan dan ‘membuka rahsia’ dua tip ekzos tersebut sememangnya palsu.

    Keseluruhan bahagian dalaman Perdana kelihatan hampir sama dengan Accord CP kecuali beberapa peningkatan pada sistem infotaimen. Dapat dilihat disini dua perbezaan hasil akhir pada kemasan yang diambil terus dari Honda dan komponen yang dibuat oleh Proton. Cuba anda bezakan bentuk tulisan dan hasil cetakan tulisan pada suis-suis kawalan penghawa dingin yang diambil terus dari Accord dan butang kawalan sistem audio yang direka oleh Proton, bukan sahaja jenis tulisan yang berbeza malah hasil cetakan dan kualiti ketika disentuh juga jelas terasa berbeza.

    Perdana masih mengekalkan enjin yang diambil terus dari Accord iaitu enjin R20A3 SOHC i-VTEC untuk varian 2.0 liter berkuasa 154 hp/189 Nm dan enjin K24Z2 DOHC i-VTEC untuk varian 2.4 liter berkuasa 177 hp/222 Nm. Kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear lima-kelajuan automatik.

    Dari segi prestasi enjin dan pengendalian, secara ringkas ia ‘bagai sebuah Accord’. Enjin 2.0 sebenarnya sudah memadai untuk memberikan kuasa pecutan yang mencukupi, linear dan sangat lancar digandingkan dengan kotak gear lima kelajuan automatik. Bagi mereka yang mahukan lebih ‘ummphh’, anda boleh memilih varian 2.4 liter yang bukan sahaja lebih berkuasa, malah anda turut boleh bermain dengan gear menerusi penukar gear yang dilengkapi pada roda stereng.

    Begitu juga pada bahagian suspensi, bukan sahaja kesemua komponen sistem double wishbone pada bahagian hadapan dan sistem multilink dibahagian belakang berkongsi dengan Accord, malah Proton berterus terang tiada sebarang perbezaan talaan dibuat memandangkan jurutera Honda sebelum ini telah pun memberikan talaan terbaik untuk kerangka siri CP pasaran Malaysia.


    Enjin DOHC i-VTEC 2.4L (kiri) dan enjin SOHC i-VTEC 2.0L (kanan)

    Saya hanya memandu lebih kurang enam pusingan untuk setiap varian di litar ujian Proton berbentuk oval tersebut. Jadi tiada ruang untuk menguji kelincahan sedan segmen-D ini. Seperti yang disebut tadi, keseluruhan sistem suspensi dan talaan dari Accord diserapkan terus ke Perdana, jadi pada kelajuan tinggi, karekter Perdana adalah setanding dengan segmen-D dalam pasaran, stabil dan selesa.

    Walaupun tiada ruang untuk menguji kelincahan pengendalian Perdana baharu ini, boleh dijangka karekter pengendalian Perdana juga adalah menyerupai dinamik pengendalian Honda Accord CP.

    Walaupun diberitahu secara jujur oleh jurutera-jurutera Proton yang segalanya adalah diambil terus dari Accord, saya dan rakan-rakan penulis yang lain sedar akan satu perkara iaitu Perdana lebih senyap dari Accord. Ini mungkin disebabkan tayar Goodyear Efficient Grip yang dibekalkan pada Perdana menjadikan keseluruhan NVH sedan ini lebih baik.

    Walau bagaimanapun, bunyi yang agak bising kedengaran pada bahagian belakang jika memandu kereta ini ketika hujan (kebetulan, hujan turun dengan lebat di litar ujian Proton ketika sesi pandu uji dijalankan) akibat percikan air dari tayar ke pelapik pada bahagian dalam ruang roda.

    Satu lagi perkara yang agak diluar jangkaan kami ialah keselesaan pada span yang digunakan untuk binaan tempat duduk. Kesemua tempat duduk Perdana dibina dengan sangat selesa, sehingga anda akan terasa sedikit tenggelam dek kerana empuknya tempat duduk tersebut.

    Dari segi sistem keselamatan, semua varian Perdana dibekalkan dengan empat beg udara, sistem brek ABS serta EBD, penderia parkir hadapan dan belakang, tingkap kuasa dengan fungsi anti-perangkap untuk semua bahagian serta cagak ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak. Agak mengecewakan, sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) hanya dilengkapi pada varian tertinggi 2.4L dan tiada pada varian 2.0L, walhal sistem tersebut dibekalkan secara standard pada Iriz varian terendah 1.3 Standard.

    Tentu ramai yang tertanya-tanya, mengapa ciri-ciri Perdana 2016 agak ketinggalan bukan sahaja dengan sedan segmen-D terkini, dengan adiknya sendiri iaitu Preve dan Suprima S. Perdana tidak dilengkapi dengan tujuh beg udara mahupun sistem kunci pintar beserta butang penghidup enjin. Sekali lagi ditegaskan, Perdana dibina dari Accord generasi ke-lapan atas sebab mahu menjimatkan kos.

    Ciri-ciri yang disebutkan tadi jika mahu ditambah bukan sahaja melibatkan rekaan semula pada komponen-komponen mudah, ia mungkin akan melibatkan rekaan semula keseluruhan pada sistem pendawaian, kotak komputer baharu dan juga sistem perisian komputer baharu. Ini tentunya melibatkan kos yang besar dan mungkin akan menyebabkan harga akhir Perdana ini tidak kompetitif.

    Namun, semua sistem ini mungkin akan ditingkat taraf oleh Proton setelah model Perdana dipadankan dengan enjin Proton sendiri, iaitu enjin Petronas NE01 2.0 liter dilengkapi pendesak turbo dan juga enjin turbo 1.5 liter pancitan bahan-api terus (TGDI) yang didakwa mampu menghasilkan kuasa 180 hp/250 Nm, apabila program pembangunan enjin mereka lengkap pada akhir 2017 nanti. Kedua-dua enjin baharu tersebut turut bakal dipadankan dengan kotak gear CVT torque converter automatik baharu. Dengan sistem enjin dan transmisi baharu kelak, sudah tentu sistem elektrikal badan Perdana turut mendapat sistem baharu, memungkinkan ciri elektronik lain turut dipertingkat.

    Jadi, dengan teknologi dan sistem mekanikal yang diambil dari Accord generasi terdahulu, dilengkapi dengan beberapa trend rekaan terkini serta harga jualannya yang hanya pada paras yang sama dengan sedan segmen-C, adakah Proton Perdana 2016 mampu bertahan dalam pasaran seperti generasi sebelum ini dan seterusnya mengangkat semula Proton ke landasan sebenar?

    GALERI: Proton Perdana 2.4L 2016

    GALERI: Proton Perdana 2.0L 2016

     
     
  • Proton Perdana 2016 dilancarkan – enjin Honda 2.0L dan 2.4L, berasaskan Accord, harga dari RM113,888

    Proton_Perdana_24_Red_Ext_03

    Selepas sekian lama berteka-teki bilakah Proton Perdana 2016 bakal diperkenalkan kepada umum secara rasminya, pagi ini tibalah masa yang dinanti-nanti. Bertempat di PICC, Putrajaya, pelancaran model Perdana 2016 ini telah pun disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dengan diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Seri Syed Faisal Albar, Pengerusi Proton dan Datuk Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Perdana generasi ke-empat ini hadir dengan dua varian iaitu 2.0 dan 2.4. Ia ditawarkan pada harga atas jalan (termasuk GST dan insurans) RM113,888 bagi varian 2.0. Manakala 2.4 pula berharga RM138,888. Kedua-duanya turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu).

    Seperti mana yang semua sedia maklum, Proton telah menjalinkan usahasama dengan Honda bagi ‘melahirkan’ Perdana 2016 ini. Di mana Perdana 2016 ini dibina berasaskan model Honda Accord (CP)2007. Kalau diikutkan, ia merupakan konsep ‘rebadged’ yang diberikan suntikan tersendiri bagi rekaan luarannya, namun masih menggunakan elemen yang sama bagi organ dalam hudnya termasuk penjana kuasa dan transmisi.

    Proton_Perdana_20_Grey_Ext_11

    Untuk pengetahuan semua, Proton sedang membangunkan enjin dan transmisi baharu (CVT akan digunakan bagi menggantikan kotak gear konvensional automatik) bagi beberapa modelnya termasuk Perdana yang dijangka akan diperkenalkan pada akhir tahun 2017. Ok, kita ketepikan sejenak mengenai ‘jantung’ baharu yang sedang dibangunkan oleh Proton ini.

    Berbalik kepada Perdana 2016, jika dilihat dari imej luarannya, ternyata Perdana 2016 ini cuba lari dari dibayangi oleh model Accord. Bahagian hadapan Perdana 2016 ditampilkan dengan kemasan berwarna hitam beserta bar krom yang tebal merentanginya. Logo Proton baharu yang besar dan berkonsepkan 3D diletakkan di bahagian tengah. Kemasan trim nipis turut ditempatkan pada barisan kedua gril tersebut.

    Varian 2.0L hanya dilengkapi dengan sepasang lampu hadapan projektor halogen, manakala varian 2.4L dilengkapi dengan lampu hadapan projektor HID bersama larasan automatik. Kedua-dua varian juga dilengkapi dengan lampu nyalaan siang dibina sekali pada lampu hadapan yang kelihatan seperti kening jika dihidupkan.

    DNA Proton turut ditampilkan pada penutup bonet hadapan di mana bahagian tengah bonet tersebut timbul bermula pada bahagian logo Proton pada gril hadapan, dan mengembang sehingga ke bahagian belakang bonet tersebut (seperti Preve, Iriz dan lain-lain).

    Apron hadapan turut direka dengan menempatkan gril pada bahagian bawah yang meliputi sekali perumah lampu kabus pada setiap sisi. Kedua-dua varian turut boleh dibezakan pada bahagian ini kerana varian 2.4 dilengkapi dengan kemasan krom nipis merentanginya (tiada pada varian 2.0L).

    Selain lengkok yang berbeza pada bahagian hadapan dapra (fender) kerana lampu hadapan yang telah direka semula, Proton turut menempatkan kemasan unik berwarna hitam dan disertakan kemasan krom yang bersambung terus dengan garisan badan pada pintu hadapan hingga pintu belakang. Perdana 2016 masih menggunakan pintu yang sama dengan Accord untuk bahagian hadapan, tetapi pintu belakang, ia telah direka semula oleh Proton.

    Perdana dilengkapi dengan roda aloi 17-inci pelbagai jejari rekaan terbaharu Proton. Kedua-dua varian menerima roda dengan motif rekaan yang sama, tetapi dibezakan dengan kemasan akhir di mana roda varian 2.0L berwarna perak manakala varian 2.4L menerima roda dengan kemasan akhir dua-ton (hitam dan aloi digilap).

    Tiang-C Perdana telah ‘ditarik’ lebih ke belakang lagi serta turut menempatkan sebuah lagi tingkap ‘quater window‘ tambahan. Perubahan ini bukan sahaja membuatkan profil sisi Perdana kelihatan seperti Nissan Teana atau Ford Mondeo, ia turut menampakkan badannya seolah-olah jauh lebih besar berbanding Accord CP.

    Proton_Perdana_24_Red_Ext_25

    Selain itu, bahagian belakang Perdana merupakan bahagian yang langsung berbeza dari Accord. Bermula dari tiang-C yang telah dipanjangkan tadi, but belakang Perdana seakan dibina lebih tinggi berbanding Accord. Sebuah bar krom diletakkan merentangi penutup but yang turut menempatkan logo 3D Proton bersaiz besar, menghubungkan sepasang lampu belakang LED berbentuk-C.

    Lampu belakang tersebut turut bersambung dengan sebahagian lagi lampu yang terletak pada penutup but, di atas kemasan bar krom. Berbeza dengan lampu brek ketiga Accord yang terletak pada cermin belakang, lampu brek ketiga Perdana turut diletakkan pada bahagian tengah penutup but.

    Bampar belakang Perdana menerima kemasan bahagian bawah yang direka berbentuk seakan ‘diffuser‘ yang turut menempatkan sepasang reflektor, sepasang ‘perumah tip ekzos palsu’ (Perdana hanya dilengkapi dengan muffler dan tip ekzos tunggal pada sebelah kanan dan menghala ke bawah) perumah nombor pendaftaran dan juga kamera undur. Nampak agak sarat apabila bahagian ini diwarnakan pula sama dengan warna badan, secara tidak langsung menyerlahkan ‘kepalsuan’ perumah tip ekzos berkenaan.

    Perdana 2.0 (kiri) & Perdana 2.4 (kanan)

    Di sebalik ‘kulit’ Perdana 2016 di bahagian luaran, bentangan kabin sedan segmen-D ini masih kelihatan mirip dengan Accord. Berbeza dengan Accord yang mempunyai hanya sebuah skrin TFT 6.2-inci pada bahagian atas dan sistem pemain audio dengan suis kawalan analog pada bahagian bawah, konsol tengah pada papan pemuka Perdana menampilkan dua buah skrin iaitu skrin bahagian atas yang memberikan maklumat berkaitan sistem penghawa dingin, sistem audio dan jam digital serta sistem navigasi (untuk varian 2.4) manakala skrin bahagian bawah merupakan skrin untuk sistem infotaimen.

    Varian 2.0 akan menerima kabin dengan tema warna hitam digandingkan dengan kemasan-kemasan berwarna perak dan hitam berkilat. Varian 2.4 akan menerima dua tema warna iaitu warna Beige dan warna hitam, digandingkan dengan kemasan bermotif kayuan dan sedikit kemasan berwarna perak.

    Kedua-dua varian menerima kemasan pintu dan roda stereng pelbagai fungsi dibaluti kulit, penghawa dingin automatik dua-zon, corong penghawa dingin untuk tempat duduk belakang, tempat duduk belakang boleh lipat, tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan-hala, kamera undur, sistem anti-perangkap untuk tingkap hadapan, enam-speaker (tambahan Subwoofer untuk varian 2.4) dan roda stereng teleskopik.

    Tempat duduk varian 2.0 dibaluti dengan fabrik bersama kulit, manakala varian 2.4 pula dibalut dengan kulit sepenuhnya. Varian 2.4 juga menerima tempat duduk penumpang hadapan larasan berkuasa empat-hala dan pedal penukar gear di belakang roda stereng.

    Walau bagaimana pun, kedua-dua model tidak mempunyai sistem kemasukan kunci pintar dan butang penghidup enjin, sebaliknya menggunakan kunci konvensional. Malah Perdana 2016 masih mengekalkan tuil brek parkir konvensional.

    Bagi varian 2.0L, ia berukuran 4,999 mm panjang, selebar 1,845 mm, setinggi 1,475 mm dan jarak roda 2,800 mm. Sama seperti varian 2.4L, cuma ia berbeza bagi ukuran panjangnya iaitu 5,020 mm. Ia turut berkongsi jejari pusingan yang sama iaitu 5.7 m dan tangki bahan apinya pula berkapasiti 70 liter.

    Bagi aspek keselamatannya, ia hanya pada tahap sederhana dan memadai dengan empat beg udara (dua di hadapan, dua di sisi) bagi kedua-dua varian. Selain menampilkan ABS dengan EBD, Isofix, tali pinggang keledar pra-regangan serta pengesan parkir hadapan dan belakang. Manakala tambahan elemen bagi varian 2.4L yang dilengkapi dengan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC).

    Menyentuh mengenai sudut mekanikalnya, seperti yang dinyatakan pada awal artikel ini, Perdana 2016 ini
    masih lagi mengekalkan enjin Honda K24Z 2.4 liter i-VTEC DOHC empat-silinder untuk varian 2.4L dengan kuasa sehingga 178 hp pada takat 6,500 rpm dan tork puncak 222 Nm pada takat 4,300 rpm.

    Perdana 2.0 (kiri) & Perdana 2.4 (kanan)

    Begitu juga dengan varian 2.0L dengan enjin Honda R20A 2.0 liter i-VTEC SOHC empat-silider dengan hamburan kuasa 154 hp pada takat 6,300 rpm dan tork sehingga 189 Nm pada takat 4,300 rpm. Kedua-dua varian ini juga menggunakan kotak gear automatik lima-kelajuan, juga dari Honda.

    Bagi sistem suspensinya, ia dipadankan dengan Independent Double Wishbone dengan gegelung pegas dan penstabil bagi hadapan, manakala untuk belakang pula dengan Independent Multi-Link juga bersama gegelung pegas dan penstabil. Manakala sistem brek pula dengan cakera Ventilated untuk hadapan dan cakera Solid di belakang.

    Perdana 2016 ini ditawarkan dengan enam pilihan warna iaitu Graphite Grey, Sterling Silver, Ruby Red, Cotton White, Midnight Black dan Citrine Gold.

    Sejak tempahan mula dibuka pada Februari lalu, Proton telah menerima kira-kira 900 tempahan dari seluruh negara dan dijangka mampu menjual kira-kira 3,000 buah Perdana baharu ini pada akhir 2016.

    GALERI: Proton Perdana 2.4L

    GALERI: Proton Perdana 2.0L

     
     
  • Imej Proton Perdana 2016 didedahkan hampir sepenuhnya di akaun Instagram Proton sendiri

    Proton-Perdana-Instagram_BM

    Menjelang pelancarannya esok, akaun Instagram rasmi Proton telah mendedahkan imej keseluruhan sedan segmen-D nasional tersebut, tetapi dipecahkan dalam bentuk kolaj.

    Pelawat yang melayari laman instagram tersebut dapat melihat bahagian penuh tiga perempat Perdana serba baharu berkenaan. Walau bagaimanapun, ini bukanlah pertama kali imejnya dapat dilihat berikutan kebocoran imej sedan segmen-D ini bocor di internet bermula dari imej dengan pelekat penyamaran ketika diuji sehingga imej ianya dihantar ke pengedar.

    Seperti yang boleh dilihat dengan jelas, Perdana merupakan model yang direka semula berasaskan Honda Accord generasi kelapan. Terdapat beberapa perubahan kecil juga dilakukan pada bahagian dalaman termasuk tema warna baharu dan juga sistem infotaimen yang terkini.

    Perdana masih lagi dikuasakan dengan dua pilihan enjin yang sama seperti Accord iaitu enjin 2.0 liter R20A3 berkuasa 154 hp/189 Nm dan enjin K24Z 2.4 liter DOHC i-VTEC berkuasa 178 hp/222 Nm. Kedua-dua enjin dipadankan dengan kotak gear automatik lima kelajuan dengan penukar gear.

    Proton Perdana 2016 bakal dilancarkan esok. Anda juga boleh menyaksikan pelancaran tersebut secara langsung dengan mengikuti laman kami tetapi perlu pastikan anda mempunyai akses internet dan YouTube. Seperti biasa, laporan pelancaran tersebut turut akan kami sediakan termasuk galeri lengkap Proton Perdana 2016.

     
     
  • Subaru perkenal BRZ Series.Yellow edisi terhad – hanya 500 unit, pilihan transmisi manual sahaja

    17BRZ_Series.Yellow-exterior-e1465789352350_BM

    Subaru Amerika telah mendedahkan Subaru BRZ Series.Yellow 2017 edisi terhad, dihasilkan dari versi facelift kereta sport dua pintu berkenaan yang baharu sahaja diperkenalkan sebelum ini. Hanya 500 unit diproduksi, yang kesemuanya diasaskan dari model Limited versi transmisi manual.

    Sesuai dengan namanya, Series.Yellow menerima warna badan keseluruhan kuning cerah digandingkan bersama lencana Subaru dan BRZ serta cermin sisi berwarna hitam. Ia turut dipadankan dengan roda aloi 17-inci kemasan hitam. Performance Package yang disertakan bersama model Limited turut diberikan kepada Series.Yellow sebagai ciri standard.

    Bahagian dalaman BRZ Series.Yellow pula menerima upholstery balutan Alcantara pada beberapa bahagian termasuk pada tempat duduk. Seperti juga pada bahagian luaran, ia turut menerima gandingan warna kuning pada serlahan jahitan benang, kemasan pada tempat duduk dan juga sulaman logo BRZ pada perehat belakang tempat duduk.

    17BRZ_Series.Yellow-interior_BM

    Pakej tersebut terdiri dari tingkat-taraf pada sistem brek BRZ ini dengan menampilkan angkup brek hadapan empat silinder beserta cakera brek dari Brembo dan angkup brek dua silinder pada bahagian belakang. Penyerap hentak berprestasi tinggi dari Sachs turut dipadankan untuk memberikan pengendalian dan kestabilan yang lebih baik.

    Selain dari itu, sistem mekanikal lain pada BRZ masih lagi kekal tanpa apa-apa perubahan. Ia masih dijana oleh enjin 2.0 liter boxer empat silinder tanpa induksi paksaan dengan sistem pancitan bahan api terus D-4S berkuasa 205 hp/214 Nm. Kesemua kuasa dialirkan ke gandar belakang yang dilengkapi LSD dari jenis Torsen menerusi kotak gear enam-kelajuan manual.

     
     
  • Grab bakal lancar perkhidmatan perkongsian kenderaan bagi laluan Singapura-Johor Bahru

    Grab rebranding Singapore-3

    Bagi memudahkan lagi perjalanan rakyat Singapura dan Malaysia (Johor Bahru) yang berulang-alik ke dua negara berkenaan dengan kos yang lebih berpatutan, Grab telah melancarkan perkhidmatan perkongsian kenderaan untuk kedua-dua hala seperti mana yang diumumkan hari ini.

    Menurut laporan Today Online, GrabHitch JB-SG bakal dilancarkan secara rasmi pada 20 Jun ini, akan membenarkan pemandu menyediakan ruang kosong bagi mengambil penumpang yang mahu menyeberang Tambak Johor bagi kedua-dua arah. Dengan perkhidmatan ini, para penumpang hanya dikenakan bayaran tambang yang cukup berpatutan, di samping lebih selamat dan selesa berbanding menggunakan pengangkutan awam lain.

    Penumpang boleh membuat pra-tempahan dalam tempoh tujuh hari atau selewat-lewatnya 30 minit sebelum menggunakan perkhidmatan tersebut. Lokasi mengambil dan menurunkan penumpang adalah ditetapkan mengikut Grab iaitu melibatkan destinasi yang popular.

    Tambang sehala dan destinasi perkhidmatan ini adalah seperti berikut:
    Screen Shot 2016-06-13 at 1.41.28 PM

     
     
  • JPJ sita hampir 2,000 kenderaan klon di seluruh negara, 28 kes telah diselesaikan di mahkamah

    Cloned-cars-1

    Daripada hampir 2,000 kenderaan klon yang berjaya disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sebanyak 28 kes berkaitannya telah pun diselesaikan di mahkamah, laporan Bernama.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad, pihaknya sangat komited dan konsisten bagi menjejaji sindiket kenderaan klon ini. Dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), pelbagai operasi bersepadu telah dijalankan dan ia akan diteruskan dari semasa ke semasa.

    “Kebanyakan kenderaan klon yang dikesan di negara ini adalah dari Singapura dan usaha bagi mengekang kegiatan itu sedang dipertingkatkan,” ujarnya.

    Baru-baru ini JPJ turut mengakui mungkin terdapat ‘pihak’ yang mengambil kesempatan ke atas sistem mereka bagi membolehkan sindiket kenderaan klon mempunyai akses terhadap nombor-nombor pendaftaran kenderaan negara yang tidak aktif digunakan.

    Walau bagaimanapun, JPJ tidak pasti sama ada ‘pihak’ tersebut melibatkan orang dalaman JPJ ataupun sebaliknya.

     
     
  • Honda RS150R 2016 dilancarkan di Malaysia – tampil dengan dua varian, harga dari RM8,213

    2016-Honda-RS150R-launch-4

    Pengedar rasmi motosikal jenama Honda di Malaysia, Boon Siew Honda, telah pun melancarkan model kapchai RS150R sebentar tadi. Ia dilancarkan oleh Pengarah Boon Siew Honda, Datuk Seri Tan Hui Jin dan turut dihadiri oleh pelumba Moto3 negara Khairul Idham Pawi, yang memenangi Moto3 GP di Argentina pada April lalu.

    Honda RS150R 2016 pemasangan tempatan ini dijanakan oleh enjin 149.7 cc penyejuk-cecair, empat-injap DOHC yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 15.6 hp pada 9,000 rpm dan tork 13.5 Nm pada 6,500 rpm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan.

    Selain itu, ia turut menampilkan struktur bingkai perimeter-berkembar, sepit-udang teleskopik tanpa-pelarasan di hadapan, penyerap hentak tunggal di belakang serta cakera hidraulik hadapan dan belakang, dengan ukuran 296 mm dan 190 mm, yang disabungkan pada roda aloi.

    Model kapchai ini hanya seberat 122 kg, dan ketinggian tempat duduknya hanya 764 mm. Ia juga dipadankan dengan lampu utama LED, dan kapasiti tangki bahan apinya ialah 4.5 liter.

    Selepas diperkenalkan di Indonesia dan Vietnam, Boon Siew Honda mensasarkan jualan sebanyak 24,000 unit dalam tempoh 12 bulan akan datang.

    Ia turut menawarkan empat pilihan warna bagi dua varian ini iaitu Merah Metalik dan Repsol, serta biru dan hitam sebagai standard. Ditawarkan pada harga (termasuk GST) RM8,213.94 bagi varian standard dan RM8,377/94 untuk Advance, Honda RS150R 2016 boleh didapati di semua pengedar Honda di seluruh negara mulai Ogos ini.

     
     
  • Polis, JPJ tidak kisah dengan info semasa Waze dan Twitter, bukan halangan banteras jenayah – laporan

    Waze police

    Sama ada polis mahu pun Jabatan Pengangkutan Awam (JPJ), tidak mengambil kisah dengan informasi dalam aplikasi seperti Waze dan Twitter, di mana para pengguna jalan raya boleh memberikan amaran kepada orang ramai tentang lokasi dan penguatkuasaan yang dijalankan, menurut The Sun.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, walau pun informasi dalam aplikasi dalam talian tersebut adakalanya ‘mengganggu’ operasi yang dijalankan oleh polis, ia tidak menghalang pihak berkuasa untuk membanteras jenayah.

    “Kami sedar dengan sebaran informasi dari orang awam di Waze dan lain-lain aplikasi dari semasa ke semasa tentang penguatkuasaan yang dijalankan termasuk operasi kami di jalan raya atau pun ketika kereta peronda kami menahan suspek atau pun pesalah trafik. Tetapi kami tahu tindakan yang perlu kami lakukan,” tegasnya.

    Mohmad turut menambah beliau turut sedar tentang penyebaran maklumat dalam talian yang lebih cepat ini namun katanya polis mempunyai strategi tersendiri bagi memberkas penjenayah. Beliau bercakap kepada pihak media selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada polis, JPJ dan kakitangan media yang terlibat dalam operasi khas membenteras samseng-samseng “Tonto’ baru-baru ini.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad pula berkata operasi berkenaan dianggap berjaya, dan ia akan diperluaskan di lain-lain negeri tidak lama lagi. “Buat masa ini, kami hanya memfokuskan pada tiga negeri terlebih dahulu iaitu Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Kami sudah bersedia untuk menyertai operasi bersama pihak polis dalam jangka masa panjang,” ujarnya.

     
     
  • Kadar tol naik di lapan lebuhraya tidak lama lagi

    TOL PLUS

    Tahun lalu sebanyak 18 buah plaza tol telah terlibat dengan kenaikan kadar dan kebanyakannya adalah secara drastik. Bagi tahun ini pula, kerajaan dikatakan bakal membuat keputusan untuk menaikkan kadar tol bagi lapan lagi syarikat konsesi, menurut The Sun.

    Akhbar berbahasa Inggeris itu turut memetik dari Sin Chew Daily, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jika ingin mengekalkan kadar tol yang sama pada harga kini, kerajaan perlu membayar pampasan kepada pihak konsesi dalam jumlah yang sangat besar dan ini membebankan kerajaan dalam hutang jangka masa panjang.

    Beliau turut menambah, kerajaan telah berhadapan dengan kesukaran untuk membuat keputusan berhubung perkara ini. Namun hanya ada dua pilihan di bawah rancangan penstrukturan semula tol iaitu membenarkan kenaikan kadar tol dan pengguna perlu membayar lebih untuk menggunakan lebuh raya, atau menanggung beban kos pampasan tersebut.

    Fadillah berkata syarikat konsesi yang dibenarkan untuk menaikkan kadar tol di lapan buah lebuhraya iaitu Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Hubungan Kedua (Linkedua), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB) pada 1 Januari tahun ini, menurut persetujuan yang telah ditandatangani sebelum ini. LDP juga telah pun menaikkan kadar tol pada tahun lalu.

    NKVE_KM15

    Jika kerajaan tidak meluluskan kenaikan kadar tol ini, jumlah pampasan yang perlu dipayar adalah sebanyak RM539 juta. “Jika kerajaan menangguhkan kelulusan kenaikan kadar tol, jumlah tersebut (pampasan), akan meningkat setiap tahun. Dalam erti kata lain, ia boleh menyebabkan hutang dalam jangka masa panjang untuk kerajaan,” ujar Fadillah.

    Menteri tersebut turut menambah, antara tahun 2008 dan 2014, kerajaan telah menolak permohonan untuk menaikkan kadar tol oleh syarikat konsesi lebuhraya, dan ia menyebabkan lebih dari RM2.2 bilion pampasan terpaksa dibayar.

    Fadillah juga enggan mendedahkan sebarang butiran mengenai kadar tol tersebut, sambil menambah jawatankuasa kerja telah berunding untuk mengemukakan laporannya kepada kabinet bagi menentukan keputusan hasil perbincangan bersama pemegang konsesi lebuh raya tersebut berakhir kelak.

    Tahun lalu, sejumlah 18 buah lebuhraya di seluruh Malaysia terlibat dengan kenaikan tol, dalam tarikh yang sama iaitu 15 Oktober. Ini termasuklah AKLEH, Besraya, DUKE, Grand Saga, Lebuhraya Guthrie, Kajang SILK, Karak, LATAR, LEKAS, LKSA, MEX, NPE, terowong SMART, Lebuhraya Senai-Desaru, SKVE, Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Sprint dan LDP.

     
     
  • GALERI: Mercedes-Benz 540 K Special Roadster milik Sultan Johor dan model-model klasik lain dipamerkan

    540-K-Special-Roadster-1939-2_BM

    Sempena pelancaran Mercedes-Benz E Class W213 minggu lalu, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut mempamerkan model-model ikonik terdahulu Mercedes-Benz termasuk salah sebuah dari dua varian 540 K Special Roadster dari Koleksi Automobil Diraja Johor.

    Mercedes-Benz 540K tersebut dibeli oleh Almarhum Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar yang memerintah Johor dari 1895 hingga 1959. Kaiser of Prussia yang rapat dengan Sultan Ibrahim ketika itu mempelawa baginda untuk membeli dua unit terakhir 540K yang dibina hanya 25 unit oleh Mercedes-Benz, dimana unit yang dipamerkan ini dipercayai hanya satu-satunya unit pemanduan sebelah kanan di dunia.

    Roadster ini juga telah dipandu oleh Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (yang ketika itu sebagai Tunku Mahkota Johor) pada Johor Grand Prix 1940, menjuarai perlumbaan tersebut menewaskan 15 peserta lain dari seluruh Malaya.

    Turut dipamerkan pada acara tersebut termasuk 190 SL 1955, roadster dua pintu yang ketika zamannya menjadi alternatif lebih mampu milik berbanding ‘abangnya’ 300 SL Gullwing. Kereta-kereta open-top klasik Mercedes-benz juga dipamerkan yang terdiri dari model dua-pintu 220 S Ponton Cabriolet 1956 dan model empat pintu, empat tempat duduk 320 Cabriolet D 1937.

    Model lain yang turut dipamerkan ialah 280 E 3.5 Coupe Edisi Terhad 1972 (dibina dengan tangan berdasarkan kerangka model W111 unibody) dan model dua tempat duduk 280 SL W113 Pagoda 1963.

     
     
  • 50 unit Ferrari di Malaysia terlibat dalam panggilan semula berhubung masalah beg udara Takata

    ferrari 458 italia

    Minggu lalu, dilaporkan sebanyak 359 unit Ferrari yang dibina antara 2009 hingga 2011 dipanggil semula di Australia berhubung beg udara keluaran Takata yang dipasang berkemungkinan bermasalah.

    Komponen yang diambil dari luar pada beg udara sebelah penumpang berkemungkinan tidak mematuhi piawaian. Jika kereta tersebut terlibat dalam kemalangan yang akan menyebabkan beg udara meletup, ketidakpatuhan tersebut mungkin akan menyebabkan kegagalan pada unit inflator dan letupan beg udara yang tidak betul pada sebelah penumpang, meningkatkan risiko berlakunya kecederaan.

    Australian Competition and Consumer Commission (ACCC) mengesahkan di laman web mereka dengan menyiarkan notis rasmi panggilan semula tersebut dan Ferrari Australiasia menyenaraikan 458 Italia, 458 Spider, California dan FF sebagai model yang terlibat.

    Untuk kemaskini isu ini dari sudut perspektif di Malaysia, Pejabat Ferrari Timur Jauh telah mengesahkan dengan paultan.org bahawa 50 unit Ferrari terlibat dengan panggilan semula berhubung isu yang sama. Model yang terlibat termasuk 458 Italia, California dan FF. Alat ganti akan ditukar pada kereta-kereta yang terlibat tanpa sebarang kos yang perlu dikeluarkan oleh pemilik.

    Sebelum ini Ferrari memanggil semula sekitar 2,600 model diseluruh dunia pada Julai 2015 berhubung masalah beg udara Takata sebelah pemandu, di mana 11 daripadanya yang terdiri dari model 458 Italia, FF, 458 Spider, 458 Speciale/Speciale A, California T, F12 Berlinetta and LaFerrari direka untuk pasaran Malaysia.

     
     
  • Plat nombor ‘F1’ dijangka dibida melebihi RM1j – JPJ

    W1A

    Tidak lama lagi, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bakal menerima nombor pendaftaran kenderaan baharu yang bermula dengan abjad ‘F’ dan ‘V’ untuk kenderaan yang didaftarkan pada Jun dan Julai ini. Di mana Timbalan Menteri pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi berkata abjad-abjad awalan tersebut telah dipilih selepas menerima permohonan dari Perbadanan Putrajaya.

    Ekoran itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjangkakan nombor pendaftaran ‘F1’ bagi Putrajaya mampu dibida hingga melebihi RM1 juta, laporan Bernama. Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad, jumlah bidaan bagi nombor pendaftaran itu tidak ditetapkan dan terbuka untuk mana-mana pihak yang berminat.

    “Nombor pendaftaran yang paling mahal setakat ini dibeli pihak tertentu adalah W1N pada harga RM746,000 dan bagi nombor plat ‘F1’ pula dijangka lebih RM1 juta,” katanya.

    Bagaimanapun, Ismail enggan mendedahkan identiti individu yang membuat permohonan membida nombor pendaftaran ‘F1’ itu berikutan tempoh pembukaan tender masih berbaki dua hari lagi.

    Sebelum ini, dilaporkan jutawan perusahaan kosmetik terkenal Datuk Seri Hasmiza Othman, atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida turut menyampaikan hasratnya untuk membida nombor berkenaan. Di mana beliau telah bersedia ‘meletakkan harga yang cukup menarik’ bagi bidaan tersebut.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jun 27, 2024