Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota labur 40 juta yen untuk hasilkan kereta terbang

    Toyota labur 40 juta yen untuk hasilkan kereta terbang

    Kereta terbang mungkin suatu perkara yang bukan menjurus ke fantasi pada masa akan datang, bahkan bakal menjadi realiti. Toyota telah bersetuju untuk melabur sebanyak 40 juta yen (RM1,520,122) dalam Cartivator, menurut Nikkei Asian Review.

    Buat masa ini, kumpulan tersebut sedang membangunkan kenderaan yang menyerupai drone, yang dipanggil Skydrive, di mana ia disasarkan bersedia untuk digunakan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

    Berdasarkan informasi yang diperoleh dari laman web kumpulan terbabit mendedahkan kenderaan tersebut berukuran 2,900 mm panjang, 1,300 mm lebar dan 1,100 mm tinggi. Skydrive tiga-roda ini akan dilepaskan dan mendarat di jalan awam dengan lebih mudah, dan mampu terbang sekitar ketinggian 10 meter.

    Ketika di udara, ia boleh terbang dalam kelajuan mencecah 100 km/j, apabila berada di daratan, kelajuan maksimumnya sehingga 150 km/j. Walau bagaimana pun, perincian yang lebih spesifik bagaimana kereta ini boleh bertukar antara mod dan anggaran efektif yang bakal digunakan tidak dapat dijawab kerana pembangunannya sedang berlangsung.

    Ide untuk menghasilkan kereta terbang ini telah bersebaran sejak sekian lama, apabila ada beberapa syarikat seperti Uber dan Airbus mensasarkan bakal membangunkan kenderaan sebegini bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas. Walau bagaimana pun, perkara ini perlu mendapat peruntukan undang-undang, sistem pelesenan, peraturan trafik yang baharu bagi pembangunan dan implementasinya.

     
     
  • SPYSHOT: Toyota Yaris GRMN – kini dengan 5-pintu

    Apabila Ford menawarkan Fiesta ST baharu dalam bentuk tiga- dan lima-pintu, Toyota turut berbuat perkara yang sama dengan Yaris GRMN. Jurufoto spyshot kami berjaya merakamkan model prototaip lima-pintu yang dikesan sedang diuji baru-baru ini.

    Secara visualnya, model ini tampil mirip seperti hot hatch tiga-pintu, dengan bampar yang agresif, roda aloi pelbagai-jejari BBS 17-inci dan wing belakang yang besar. Satu-satunya perbezaan yang ketara boleh dilihat di sini ialah ekzos yang terletak di tengah seperti mana yang dipertontonkan ketika Geneva Motor Show.

    Di bawah hudnya, Yaris GRMN lima-pintu ini turut menggunakan penjana kuasa yang sama iaitu enjin petrol 1.8 liter supercharged empat-silinder dengan 205 hp. Ia juga mungkin hanya dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan, memacu roda hadapan, tanpa pilihan kotak gear automatik.

    Seperti mana model tiga-pintu, ia turut diberikan pepegas yang lebih pendek bagi merendahkan kereta ini secara keseluruhan, dan turut dipadankan dengan penyerap hentak dari Sachs. Selain itu, ia turut tampil dengan bar anti-oleng berdiameter lebih besar pada bahagian hadapan, serta LSD jenis Torsen bagi pengendalian lebih baik. Cakera brek dengan diameter lebih besar turut diberikan pada bahagian hadapan bersama angkup brek empat-omboh.

    GALERI: Toyota Yaris GRMN (3-pintu)

     
     
  • KTM keluarkan motosikal enduro berenjin dua lejang suntikan bahan api – pertama di dunia untuk produksi

    KTM keluarkan motosikal enduro berenjin dua lejang suntikan bahan api – pertama di dunia untuk produksi

    Pengeluar motosikal dari Austria, KTM baru sahaja mendedahkan motosikal enduro mereka yang menggunakan enjin dua lejang suntikan bahan api, dan ini adalah yang pertama di dunia bagi motosikal produksi. Enjin teknologi baru ini didatangkan dalam dua kapasiti iaitu 249 cc dan 293.2 cc, masing-masing untuk model 250 EXC TPI dan 300 EXC TPI.

    Sistem utama bagi enjin dua lejang suntikan bahan api ini dinamakan sebagai Transfer Port Injection (TPI) dan ia mempunyai dua penyuntik bahan api (injector). Selain itu, motosikal ini juga mempunyai pelbagai komponen baru lain termasuk sisem pengurusan enjin (EMS), throttle body, unit pengawal elektronik (ECU), silinder, kotak angin, pam minyak dan tangki minyak.

    Kerangka motosikal ini juga adalah baru, dibina daripada besi chromoly untuk juga menempatkan tempat mengisi minyak serta hos minyak di dalam kerangka tersebut. Seperti motosikal baru yang lain, grafik model tahun 2018 ini juga adalah baru.

    Selain menetapkan tahap yang baru dengan enjin dua lejang suntikan bahan api ini, KTM juga menawarkan penggunanya dengan manfaat tambahan, selain kuasa kuat yang sudah cukup sinonim dengan enjin dua lejang, iaitu penjimatan bahan api, dan lebih memudahkan kerana mereka tidak perlu mencampur sendiri minyak 2T dan petrol, serta tidak perlu menukar tetapan jetting untuk keadaan persekitaran yang berbeza seperti yang perlu dilakukan pada enjin dua lejang sebelum ini.

    Barangan lain yang ada pada motosikal ini tetap berkualiti seperti motosikal KTM yang lain, termasuk pemula enjin elektronik, bateri lithium ion ringan, brek Brembo, klac hidraulik, suspensi WP dan pelbagai lagi.

     
     
  • Volvo jalin kerjasama dengan Google hasilkan perisian

    Volvo Cars telah mengumumkan kerjasama dengan Google untuk membangunkan sistem infotainmen dan rangkaian generasi terbaru berasaskan sistem operasi Android. Teknologi baru itu boleh didapati pada kenderaan keluaran Volvo dalam tempoh dua tahun akan datang, menawarkan pelbagai aplikasi dan perkhdimatan kepada pemilik.

    Dengan telefon pintar mempunyai peranan besar dalam kehidupan seharian kini, langkah Volvo ini akan memanfaatkan perkembangan platform sedia ada yang sudah sebati dengan kebanyakan pengguna. Sebagai tambahan adalah capaian terhadap kitaran sistem yang mengandungi ratusan aplikasi, termasuk yang popular seperti Google Maps dan Spotify.

    “Kami mengambil langkah penting yang strategik dengan kerjasama Google ini. Platform perkhidmatan sedia ada Google akan memperkaya pegalaman pemilikan dengan membolehkan lebih banyak kemungkinan untuk menepati selera peribadi pengguna. Android pula menawarkan kemudahan dari sudut pembangunannya,” jelas Naib Presiden Kanan, R&D Volvo Cars, Henrik Green.

    “Kami juga sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Volvo untuk membawakan Android ke dalam kereta generasi baru yang dihasilkan. Ini membuka peluang kepada kami untuk memberikan pengalaman rangkaian perhubungan yang lebih maju kepada pemilik kenderaan, dengan aplikasi Android serta perkhidmatan Google yang lain,” ujar Naib Presiden, Kejuruteraan Android di Google, Patrick Brady.

    Perician kerjasama ini akan diumumkan kelak ketika Persidangan Google I/O pada 17 Mei ini. Dalam perkembangan berkaitan, model kenderaan Volvo juga akan dikemaskini dengan menyertakan Google Local Search, sebuah aplikasi perkhidmatan berdasaran lokasi. Ini akan ditawarkan kepada pengguna melalui Sensus Navigatian yang dikemaskini.

     
     
  • AMG tidak akan memberi kesan terhadap eksklusiviti

    AMG tidak akan memberi kesan terhadap eksklusiviti

    Walau pun kenderaan dengan logo AMG melonjak jualannya sebanyak 44% pada tahun lalu berbanding 2015 dengan jumlah keseluruhan tahunan hampir mencecah 100,000 unit, namun ketua AMG Tobias Moers berkata, ia tidak akan membuatkan jenama ini hilang keinginan dan eksklusiviti, laporan Autocar.

    Beliau percaya peningkatan jualan model AMG tidak akan memberi kesan terhadap pembelian model-model lain, malahan turut menjangka pertumbuhan bagi tahun ini mampu melonjak dua kali ganda. Jenama ini telah pun mengeluarkan sebanyak 98,235 unit AMG pada tahun lalu.

    AMG tidak akan memberi kesan terhadap eksklusiviti

    “Ini semua mengenai strategi. Kita telah menambah jumlah daripada model 63 dan kini mengeksploitasi model 43 pula. Untuk sesetengah pelanggan, C 63 mungkin agak sedikit keterlaluan, jadi mereka bermula dengan C 43 terlebih dahulu sebelum beralih ke 63. Secara tidak langsung memberi peluang kepada kami untuk lebih fokus pada model 63,” jelasnya lagi.

    Kenyataan ini turut senada dengan Britta Seeger, ketua pemasaran dan jualan Mercedes-Benz. “Memperluaskan model bagi jenama ini turut memberikan kelebihan buat para pelanggan dalam membuat pilihan yang diingini. Kami menawarkan A 43, yang turut memiliki prestasi pemanduan yang mengagumkan bagi pemandu yang belum bersedia untuk memilih model 63.”

     
     
  • SPAD gesa Prasarana tingkatkan penyelenggaraan

    SPAD gesa Prasarana tingkatkan penyelenggaraan

    Gangguan serta kelewatan perkhidmatan menyebabkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggesa Prasarana untuk mempertingkatkan aspek penyelenggaraan dan pemeriksaan kenderaan, termasuk standard keselamatan, lapor The Sun.

    SPAD dalam satu kenyataan menegaskan, prosedur yang lebih ketat akan memastikan syarikat itu dapat mengesan masalah lebih awal, sebelum ia melibatkan kehadiran pengguna dan meletakkan mereka dalam keadaan tidak selesa. Ini berikutan pengumuman Rapid Rail yang terpaksa menggantung perkhidmatan beberapa tren empat gerabak akibat beberapa faktor keselamatan dikenal pasti, Jumaat lalu.

    “Walaupun kami sedar penggantungan itu perlu di atas faktor keselamatan penumpang, kami akan memantau dengan lebih dekat tindakan susulan yang akan diambil Rapid Rail untuk memastikan penumpang sentiasa mendapat perkhidmatan yang terbaik,” ujar kenyataan SPAD.

    Sementara itu, penyelenggaraan KL Monorail turut dipantau. “Kami telah meminta Prasarana untuk menyerahkan kemaskini semasa dengan lebih kerap bagi kerosakan yang dikesan pada rangkaian KL Monorail, melalui rutin pemeriksaan yang dilakukan. Ini termasuk rancangan pemulihan dan tempoh masa yang diperlukan,” tambah kenyataan itu.

    Scomi selaku pengeluar tren juga turut digesa untuk memberi kerjasama dan mempercepat serahan baki tujuh lagi tren empat gerabak untuk kegunaan KL Monorail. “Ini bagi memasrikan kekerapan perkhidmatan dapat diberikan kepada pengguna, sekaligus peningkatkan kapasiti perkhidmatan untuk menampung jumlah penumpang yang semakin bertambah,” tambahnya.

     
     
  • Warga Timur Tengah dalang sindiket kereta klon – JPJ

    Warga Timur Tengah dalang sindiket kereta klon – JPJ

    Tangkapan demi tangkapan yang membabitkan sindiket kenderaan mewah pelbagai jenis yang diklonkan yang berleluasa di negara kita, telah menemui satu lagi penemuan baru oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Di mana JPJ mendapati sindiket ini kebanyakannya membabitkan warga asing khususnya dari Timur Tengah.

    Menurut Ketua Pengarahnya Datuk Seri Nadzri Siron, siasatan awal mendapati sindiket itu kemudiannya akan menjual kenderaan tersebut dengan harga yang jauh lebih murah daripada harga pasaran kepada warga asing yang menetap di negara ini, laporan Bernama.

    “Sindiket itu menjual pelbagai jenis kenderaan klon seperti Toyota, Mitsubishi dan Honda dengan harga serendah antara RM20,000 dan RM30,000,” katanya kepada pemberita semalam.

    Bagaimanapun, JPJ masih menyiasat sejauh mana penglibatan warga asing berkenaan dalam sindiket terbabit di negara ini.

    Beliau berkata sebelum ini penjualan kenderaan klon didominasi sindiket tempatan yang menyasarkan warga tempatan terutama golongan pertengahan yang tertarik dengan kereta keluaran luar negara yang dijual dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran.

    Selasa lalu, penyerang import skuad bola sepak Liga Super Selangor, Francis Forkey Doe didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas mengaku salah memiliki kereta klon jenis BMW 325i.

     
     
  • GALERI: BMW 530i G30 M Performance kini di M’sia

    GALERI: BMW 530i G30 M Performance kini di M’sia

    cof

    Ketika dilancarkan pada Mac lalu, BMW 5 Series generasi G30 hanya ditawarkan dalam varian 530i M Sport, dengan harga jualan RM398,800. Tetapi, bagi yang inginkan prestasi lebih tinggi bagi model berkenaan, kini pakej M Performance ditawarkan. Unit yang dilihat ini dipamerkan ketika pembukaan pusat agihan alat ganti serantau BMW di Senai.

    Antara kelengkapan yang ditambah pada unit ini ialah rim 20-inci 669M dua warna dengan tayar run-flat, dijual pada harga RM33,103. Gril “kidney” hitam berkilat pula pada harga RM543.60 setiap satu bagi satu sisi, pelindung cermin sisi gentian karbon pada harga RM1,976.30 setiap satu, diffuser gentian karbon di belakang pada harga RM10,147.95 serta spoiler gentian karbon pada harga RM4,282.80.

    BMW 530i M Sport ini dilengkapi dengan aksesori M Performance berjumlah RM52,573.55. Tetapi, bukan itu saja. Pilihan lain yang tersedia ialah rim 20-inci pelbagai rekaan, dari harga bermula RM27,287.60 hingga RM33,103. Kit brek BMW M Performance dengan kaliper merah juga ada pada harga RM23,557.70. Kit badan sisi juga ditawarkan pada harga RM1,274.90 setiap satu.

    Lain-lain kelengkapan yang ditawarkan termasuk splitter hadapan gentian karbon (RM7,176) sebagai tambahan. Di belakang, kemasan bampar boleh dipilih, dengan harga RM3,448.20, sama juga dengan diffuser hitam kesat pada harga RM2,174.60. Spoiler belakang dalam warna hitam kesat juga ditawarkan pada harga RM1,946.05.

     
     
  • Daymak keluarkan “go-kart paling pantas di dunia”

    Daymak keluarkan “go-kart paling pantas di dunia”

    Sebelum membaca lebih lanjut, lihat betul-betul nama syarikat ini – ia adalah Daymak, dan bukannya Demak. Daymak adalah sebuah syarikat teknologi yang berpusat di Toronto, Canada dan mereka mempunyai pelbagai produk seperti motosikal elektrik, basikal elektrik dan motor elektrik sendiri.

    Terbaru, mereka mengeluarkan teaser yang menunjukkan hasil mereka yang terkini, iaitu go-kart yang didakwa sebagai paling laju di dunia telah sedia untuk menemui pasaran. Ia dipanggil sebagai C5 Blast. Daymak akan mengeluarkan dua model bagi C5 Blast iaitu C5 Blast Standard berharga USD9,999 (RM43,315) dan C5 Blast Ultimate berharga USD59,999 (RM259,915).

    Model Ultimate tersebut adalah model yang didakwa sebagai paling pantas di dunia, dan ia dikatakan boleh memecut dari 0-60 bsj (97 km) dalam masa hanya 1.5 saat. Kuasa kenderaan ini datang daripada bateri Lithium Panasonic Sel gabungan 2400 Watt dan motor elektrik DC brushless 48 V/ 10 kW.

    Namun begitu, membezakannya dengan model asas, model Ultimate ini turut ditambah dengan lapan motor EDF 120 mm 840 KV dan 4 motor EDF 140 mm 720 KV, bersama 12 lagi bateri EDF 5000 mAH. Untuk memastikan go-kart ini boleh beroperasi dengan baik, ia dilengkapkan dengan sistem penyejukan cecair.

    Anda boleh saksikan bagaimana prestasi awal C5 Blast Ultimate dalam video berkenaan prototaip yang dikeluarkan sendiri oleh Daymak, dan mereka juga ada mengeluarkan sebuah lagi video teaser model yang lengkap.

    Go-kart C5 Blast sudah boleh ditempah melalui laman web Daymak dan masa yang diperlukan sebelum pembeli dapat menerima go-kart mereka adalah selama enam bulan kerana ia dikatakan dibina menggunakan tangan, serta bergantung kepada tempahan yang diterima di Canada.

     
     
  • Honda HR-V akan dipertingkatkan, facelift pada 2018

    Honda HR-V akan dipertingkatkan, facelift pada 2018

    Honda HR-V dikatakan bakal dipertingkatkan tidak lama lagi. Menurut laporan CarAdvice, crossover segmen-B ini bakal tampil dengan model facelift di Australia awal tahun hadapan.

    Pengesahan ini dikatakan dari pengarah Honda Australia Stephen Collins, walau pun perincian penuhnya tidak didedahkan. Namun ada yang menyarankan agar HR-V patut menerima sistem infotainmen baharu dengan navigasi satelit, menggantikan sistem berasaskan telefon pintar seperti sekarang ini – dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Honda juga boleh menjadikan sistem seperti dalam City termasuk Sistem Brek Aktif dengan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) – termasuk Amaran Pelanggaran Hadapan, Amaran Ketibaan Lorong dan Sistem Sokongan Lampu Tinggi, sebagai standard untuk semua varian.

    Honda HR-V akan dipertingkatkan, facelift pada 2018

    “HR-V adalah sangat konsisten. Secara purata sekitar 1,000 (unit) sebulan, kadangkala lebih, kadangkala kurang. (Toyota) C-HR baru saja masuk pasaran dan kita masih di peringkat konsisten. Jadi kita harus sediakan pakej yang terbaik.

    “Kami sangat gembira, biar pun semakin banyak pesaing muncul. Lebih banyak yang datang, pastinya, kami akan melakukan lebih pembaharuan. Kalau mengikut kitaran yang biasa, tahun hadapan mungkin ada sedikit perubahan dilakukan,” ujarnya.

    Tahun hadapan, dijangkakan model facelift mungkin akan ditampilkan dengan peningkatan visual seperti mana yang diperkenalkan pada City dan Jazz tahun ini, termasuk lampu utama LED sepenuhnya (model semasa hanya menawarkan pilihan LED untuk low beam), gril yang disemak semula dan bampar hadapan serta belakang yang diprofilkan. Malah dijangka kekemasan dalaman turut dipertingkatkan.

    Honda HR-V akan dipertingkatkan, facelift pada 2018

    Walau bagaimana pun, bahagian mekanikalnya mungkin dikekalkan. Seperti Malaysia, Australia menampilkan pilihan 1.8 liter i-VTEC dengan CVT dan pacuan semua-roda, namun di pasaran lain turut ditawarkan dengan enjin 1.5 liter dan pilihan kotak gear manual enam-kelajuan dan pacuan semua-roda. Di Jepun pula, turut ditawarkan dengan versi hibrid yang menggunakan sistem i-DCD Sport Hybrid.

    Mengenai kotak geak manual, Collins berkata,”Jika kita ada pilihan untuk berbuat demikian, pasti kita telah melakukannya. Saya tidak merasakan ia bakal memberikan kesan terhadap jumlah jualan yang kita capai, namun pesaing yang menawarkan varian manual pun tidak mampu menjualnya dengan jumlah yang banyak. Jika ada pilihan lain untuk kita, pasti kita akan melakukannya.”

    Collins turut menambah, Honda dilihat masih mahu mengekalkan HR-V dalam barisannya, malah ia adalah antara kekuatan jualan di sana. “HR-V sangat berjaya di sana, jadi kita mengekalkan pilihan yang ada buat masa sekarang. Malah ia turut menerima banyak maklumbalas daripada para pelanggan yang berpendapat ia merupakan kenderaan yang mempunyai prestasi yang bagus dan penjimatan bahan api yang efisien,” ujarnya lagi.

     
     
  • VIDEO: Porsche 911 yang ke-1 juta dikeluarkan

    Porsche 911 adalah satu model kenderaan yang sudah mencapai status ikon dalam dunia automotif. Sejak diperkenalkan pada tahun 1963 sebagai pengganti kepada model 356, model sports dua pintu ini telah melalui beberapa evolusi, namun masih mengekalkan DNA asalnya.

    Kini, syarikat pengeluar dari Jerman itu mencapai satu tahap yang baru dengan 911 apabila model yang ke satu juta dikeluarkan daripada kilangnya di Zuffenhausen, Jerman. Ia adalah daripada model 911 Carrera S, dan dihasilkan dengan kemasan seperti 911 pertama yang dikeluarkan 54 tahun lalu. Warna yang digunakan adalah Irish Green, dan ia juga mendapat kemasan lain serta lencana yang berwarna emas.

    Sementara itu, bahagian dalam pula mendapat kemasan tempat duduk houndstooth, bersama stereng yang diperbuat daripada kayu mahogany, dan transmisi manual. Untuk menjadikannya lebih istimewa, terdapat juga grafik ‘1,000,000’ yang dipaparkan pada panel instrumennya.

    Saksikan video penghasilan kenderaan bersejarah ini, kerana ia bukan untuk dijual dan hanya akan digunakan untuk pameran jelajah seluruh dunia, sebelum akhirnya disimpan di muzium Porsche berhampiran kilang di Zuffenhausen, Jerman.

     
     
  • VIDEO: Aksi Honda CR-V 1.5L Turbo di Indonesia

    Honda CR-V terbaru telah dilancarkan untuk pasaran Indonesia ketika IIMS 2017 bulan lalu. Indonesia menjadi pasaran ASEAN kedua yang menerima SUV generasi kelima dari Honda ini. Namun, spesifikasinya berbeza dari versi yang dijual di Thailand, dan sepatutnya lebih dekat dengan versi yang akan diterima oleh pasaran Malasyia tahun ini.

    Video rasmi produk berkenaan oleh Honda Indonesia ini memaparkan CR-V, dengan penekanan terhadap ciri-ciri yang melengkapi varian 1.5L Turbo Prestige. Ia ada tujuh tempat duduk, dan dikuasakan oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo denga janaan 190 PS dan 240 Nm tork dari 2,000 rpm hingga 5,000 rpm. Turut ditawarkan ialah versi lima tempat duduk dengan enjin 2.0L dengan kuasa 154 PS dan 189 Nm.

    Ciri standard bagi semua variannya ialah lampu projektor halogen, kawalan cruise, butang telefon dan audio pada stereng, skrin sentuh tujuh-inci, corong pendingin hawa di belakang, kamera undur, brek parkir elektronik dengan Auto Hold, dua beg udara, VSA dan Hill-Start Assist.

    VIDEO: Aksi Honda CR-V 1.5L Turbo di Indonesia

    Varian 1.5L Turbo pula menerima beberapa tambahan; dua corong ekzos, kemasan kayu ruang dalaman, pendingin hawa dwi-zon dengan penapis udara Nano, sistem pendingin di belakang (corong udara pada bumbung) dan operasi tanpa kunci. Skrin sentuh 9-inci dengan navigasi, kamera undur pelbagai sudut juga antara yang tersedia.

    Versi 1.5L Turbo Prestige dibezakan dari yang lain dengan penggunaan lampu utama LED, lampu kabus LED dan rim lima jejari 18 inci yang lebih menonjol. Antara lain, ia juga hadir dengan pintu ruang belakang berkuasa, bumbung panoramik dan enam beg udara.

    Sebagai SUV premium di Indonesia, Honda CR-V dijual pada harga 432 juta Rupiah (RM141,018) bagi varian 2.0L manakala varian 1.5L Turbo pula ialah 468 juta Rupiah (RM152,773). Sementara itu, varian tertinggi, 1.5L Turbo Prestige dijual pada harga 508 juta Rupiah (RM165,841).

    Honda Malaysia kini dalam persiapan untuk memperkenalkan model ini, dengan pemasangan tempatan yang dijangka akan dilancarkan tahun ini. Ia juga sudah dilihat sedang diuji di jalan raya di sini, seperti yang dilihat di Genting Highland baru-baru ini.

    GALERI: Honda CR-V 1.5L Turbo Prestige

     
     
  • Arnold Benz Motor Carriage 1896 – kereta pertama di dunia terima saman akibat dipandu melebihi had laju

    Arnold Benz Motor Carriage 1896 – kereta pertama di dunia terima saman akibat dipandu melebihi had laju

    Di bawah ‘Akta Bendera Merah 1865’ di UK pada era berkenaan, had laju ditetapkan pada hanya 10 bs/j (16 km/j) di jalan besar dalam bandar, diturunkan kepada hanya 2 bs/j (3 km/j) di dalam bandar dan 4 bs/j pada jalan kawasan pedalaman. Namun, Arnold Benz Motor Carriage 1896 yang dipandu sendiri oleh Walter Arnold pada 28 Januari 1896 telah melanggar undang-undang berkenaan, dikesan memandu pada kelajuan 8 bs/j (13 km/j) dalam kawasan bandar – empat kali lebih laju dari had yang dibenarkan.

    Arnold telah dikejar dan ditahan oleh polis yang menunggang basikal, kemudiannya diberi saman bernilai 1 shilling bersama kos, menjadikannya beliau dan keretanya yang pertama di dunia disaman atas kesalahan melebihi had laju.

    Namun pada tahun 1896, dengan ‘Akta Lokomotif’ yang diperkenalkan, Akta Bendera Merah dan had laju 2 bs/j tersebut telah dimansuhkan dan digantikan dengan had laju baru 14 bs/j (23km/j). Untuk meraikan akta baharu tersebut, perlumbaan kereta yang digelar Emancipation Run berlangsung dari London ke Brighton diadakan, dan Walter Arnold turut menyertainya. Perlumbaan tersebut masih lagi diadakan sehingga sekarang – dikenali sebagai Veteran Car Run yang dijalankan oleh Royal Automobile Club pada setiap tahun.

    Istimewa pada acara Concours of Elegance 2017 yang bakal diadakan di Istana Hampton Court, UK, September ini, Arnold Benz Motor Carriage tersebut bakal dipamerkan untuk tontonan orang ramai. Ia akan diiringi oleh kereta-kereta yang menyertai perlumbaan Veteran Car Run, iaitu kereta-kereta yang di bina pada pra-1905.

    Acara tersebut juga bakal mempamerkan kereta-kereta paling laju yang pernah dihasilkan termasuk Jaguar XJR-9 yang memenangi perlumbaan Le-Mans serta McLaren F1 GTR dengan livery perlumbaan Harrods yang mampu mencatatkan kelajuan lebih dari 385 km/j.

     
     
  • PANDU UJI: BMW 330e – berbaloikah memiliki PHEV?

    PANDU UJI: BMW 330e – berbaloikah memiliki PHEV?

    Pencemaran alam adalah satu isu yang diambil penting pada masa kini dan kenderaan adalah antara penyumbangnya kerana menggunakan bahan api untuk memberi kuasa kepada enjin, seterusnya membebaskan gas karbon dioksida ke udara. Digandakan dengan jumlah kenderaan yang berada atas jalan, kesannya cukup besar.

    Ini seterusnya memaksa pengeluar kenderaan memikirkan penyelesaian untuk mengurangkan kesan penggunaan kenderaan terhadap alam sekitar dan antara caranya adalah menggunakan sumber alternatif bagi memberi kuasa kepada enjin, dan yang paling berkesan sekarang adalah bateri. Hasilnya, wujudlah kenderaan elektrik, hibrid dan plug-in hybrid.

    Malaysia juga menyatakan sokongan terhadap langkah ini, seterusnya memperkenalkan rebat khas untuk kenderaan cekap tenaga (EEV). Model-model hibrid adalah antara yang terawal mengambil manfaat daripada insentif ini, dan pengguna berpeluang memiliki kenderaan seperti Toyota Prius, Honda CR-Z dan Lexus CT200h pada harga yang cukup menarik.

    Walaubagaimanapun, struktur insentif tersebut telah dirujuk semula, dan kini hanya model yang dipasang di dalam negara sahaja yang layak menerima insentif tersbut. Ini mengakibatkan jumlah model yang ditawarkan menjadi kurang, dan banyak perkara yang perlu dilakukan oleh pengeluar supaya harga model seperti ini dapat ditetapkan pada tahap bersesuaian bagi pengguna.

    Antara yang terbaru dilancarkan di Malaysia adalah Hyundai Ioniq. Model seperti ini tidak terhad hanya kepada jenama biasa, tetapi turut serta adalah jenama mewah, di mana Mercedes-Benz contohnya ada menawarkan S400h dan C350e, Volvo dengan XC90 T8 manakala BMW pula mempunyai X5 Hybrid, 7 Series Hybrid dan 3 Series Hybrid.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Produksi kilang milik Pakatan Renault-Nissan turut tergendala berikutan serangan siber global

    Produksi kilang milik Pakatan Renault-Nissan turut tergendala berikutan serangan siber global

    Operasi pengeluaran Pakatan Renault-Nissan turut tergendala berikutan serangan siber global yang dilancarkan pihak tidak bertanggungjawab tempoh hari, menurut laman UK, Autocar, berdasarkan laporan dari berita BBC.

    Berita berkenaan mengatakan serangan tersebut dilancarkan oleh pihak yang sama menggodam sistem komputer hospital-hospital di UK, yang mencuri dan menyulitkan fail dan dokumen sebelum meminta wang tebusan sekitar £230 (kira-kira RM1.3k) untuk membuka kembali setiap fail dan data berkenaan. Secara keseluruhan, setakat ini kira-kira 75,000 sistem pada 99 negara dipercayai telah terjejas menerusi serangan siber ini.

    Untuk Pakatan Renault-Nissan, mereka telah diserang di kilang Nissan yang terletak di Sunderland, England, yang kini memproduksi SUV Qashqai dan Infiniti Q30.

    “Group Renault mengesahkan ia telah terkesan dengan serangan siber global yang bermula pada lewat Jumaat 12 Mei. Ia terdiri dari virus Ransomware. Langkah penyelesaian proaktif telah diambil serta merta untuk menghentikan penularan virus serta melindungi kumpulan. Diagnosis lengkap telah berjalan bagi menentukan langkah yang sesuai untuk meneruskan operasi,” kata jurucakap Renault UK.

    “Seperti juga kebanyakkan organisasi kilang kami telah dijadikan sasaran serangan ransomware menjejaskan sebahagian sistem kami pada petang Jumaat,” tambah jurucakap berkenaan dan menjelaskan mereka kini sedang menyelesaikan masalah ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.13 (0.00)
Last Updated Sep 25, 2025