Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mercedes-Maybach G650 Landaulet – G-Wagen V12 AMG dengan tempat duduk belakang mewah S-Class

    Mercedes-Maybach G650 Landaulet – G-Wagen V12 AMG dengan tempat duduk belakang mewah S-Class

    Mercedes-Maybach G 650 Landaulet ;*Kraftstoffverbrauch kombiniert: 17,0 l/100 km, CO2-Emissionen kombiniert: 397 g/km
    Mercedes-Maybach G 650 Landaulet; *Fuel consumption combined: 17.0 l/100 km, CO2 emissions combined: 397 g/km

    Jenama yang membuatkan Mercedes-Benz bertambah mewah – Mercedes Maybach – telah memperkenalkan kenderaan off-road lagenda Merc iaitu G-Class (atau popular dengan nama G-Wagen) versinya, digelar Mercedes-Maybach G 650 Landaulet. G-Wagen lebih mewah ini bakal muncul buat pertama kali pada Geneva Motor Show 2017, yang bakal berlangsung bulan hadapan.

    G 650 dari Maybach tersebut di ukur dengan dimensi 5,345 mm panjang dan 2,235 mm tinggi, dengan jarak roda 3,428 mm, menjadikan ia 659 mm lebih panjang dan 302 mm lebih tinggi dari G-Class standard. Jarak antara gandar hadapan dan belakang juga telah ditarik sepanjang 578 mm.

    Maybach masih lagi menggunakan gandar portal pada G 650 sama seperti G 63 AMG 6×6 dan juga G 500 4×4², yang menggunakan gear hubungan tambahan pada setiap hujung gandar bagi memberikan kelegaan tanah setinggi 450 mm. Tiga unit locking dfferential dan juga kotak gear low range masih dikekal seperti G-Wagen standard, serta diberikan roda aloi gergasi lengkap dengan tulisan “Landaulet” berdiameter 22-inci, dibaluti tayar 325/55R22.

    Mercedes-Maybach G650 Landaulet – G-Wagen V12 AMG dengan tempat duduk belakang mewah S-Class

    Mercedes-Maybach G650 Landaulet masih mengekalkan enjin AMG G 65, iaitu enjin V12 6.0 liter turbo berkembar berkuasa 630 hp dan juga tork rasaksa 1,000 Nm. Sebelum kesemua kuasa ini dihantar ke kesemua roda, ia terlebih dahulu diselia oleh kotak gear automatik tujuh-kelajuan AMG Speedshift Plus 7G-Tronic.

    Seperti juga model Maybach yang lain, bukan sekadar kuasa yang diberi perhatian, tetapi paling mustahak ialah ciri-ciri mewahnya. Oleh itu, bahagian belakang G 650 dengan jarak roda yang lebih panjang ini telah diberikan tempat duduk mewah pelbagai kontur dari S-Class, berserta semua kelengkapan mewah dari sedan tersebut.

    Tempat duduk ini menampilkan kesemua ciri termasuk larasan berkuasa, ruang udara yang mengembung untuk meningkatkan keselesaan dan juga sokongan sisi, serta fungsi pengurut Energizing yang mampu memberikan urutan tungku panas. Ia turut diberikan konsol tengah kelas business dilengkapi pemegang cawan dengan pemanas, serta meja dibalut kulit bagi memberikan ruang menulis yang selesa.

    Di hadapan penumpang belakang ini juga turut diberikan Indivdual Entertaiment System yang terdiri dari dua-unit skrin infotaimen berdefinasi tinggi bersaiz 10-inci, dan juga konsol tengah yang direka seperti konsol bahagian hadapan dengan dua glovebox.

    Untuk melengkapkan ruang ini, ia turut diberikan bumbung kanvas cabriolet penuh, bagi membolehkan penumpang menikmati suasana segar diluar. Cermin pemisah boleh laras berkuasa turut dipadankan bagi memberikan lebih privasi antara penumpang dan pemandu.

    Pembeli akan ditawarkan dengan plihan empat pilihan upholsteri dua-tona designo (dengan corak sulaman permata), tiga warna kanvas penutup bumbung cabriolet dan empat warna luaran kemasan designo. Untuk membezakan G 650 dari G-Class lain, ia diberikan gril krom dua bahagian, lencana “V12 Biturbo”, fender flare karbon bersaiz besar bagi menempatkan roda gergasi, pelindung bawah dihadapan dan belakang, serta side step berkuasa yang boleh disorokkan.

    Model istimewa ini masih dibina di kilang Magna Steyr, Graz, Austria bersama G-Wagen lain, namun penghasilannya hanya terhad kepada 99 unit sahaja untuk seluruh dunia. Ia akan mula dijual setelah didedahkan secara rasmi di Geneva nanti dan penghantaran kepada pelanggan akan bermula pada musim luruh.

     
     
  • GALERI: Peugeot 208 GTi 2017 – harga belum didedah, kini 208 hp/300 Nm dan beberapa elemen digugurkan

    GALERI: Peugeot 208 GTi 2017 – harga belum didedah, kini 208 hp/300 Nm dan beberapa elemen digugurkan

    Seperti yang pernah diuar-uarkan sebelum ini, Peugeot 208 GTi 2017 bakal dilancarkan tidak lama lagi, mungkin pada hujung bulan ini atau pun Mac depan. Malah Nasim juga masih merahsiakan harga bagi model facelift ini, namun dijangkakan tidak begitu banyak beza dengan model sebelumnya yang diperkenalkan pada hujung tahun 2014 iaitu sekitar RM140k.

    Walau bagaimana pun, dengan keadaan ringgit yang agak lemah dalam pertukaran mata wang asing pada masa ini, jika Nasim berjaya mengekalkan harganya di sekitar RM140k, maka ia satu pencapaian bagi syarikat ini, memandangkan kebanyakan pengeluar kenderaan membuat keputusan untuk menaikkan harga bagi model sedia ada dan juga model baharu dalam pasaran tempatan.

    Bagi model facelift 208 GTi ini, rekaan gril dan bampar hadapan sama seperti model standard, namun disertakan dengan lampu belakang LED baharu dengan lampu arah “lion claw”. Manakala lampu utama spesifik-GTi dengan indikator LED bentuk-C dan roda aloi dwi-tona “Carbone” 17-inci dikekalkan, sementara kekemasan merah pada gril pula kini didatangkan dalam jaluran ringkas terletak di bahagian bawah gril.

    Walau bagaimana pun, elemen yang ada pada model sebelum ini iaitu bumbung matahari, pengesan parkir hadapan dan parkir automatik telah digugurkan untuk 208 GTi 2017. Manakala tayarnya juga telah ditukar iaitu dari Pilot Exalto 2 ke Pilot Sport 3.

    Manakala bagi bahagian kabinnya, kekemasan dekorasi merah pada model terdahulu telah digantikan dengan elemen hitam berkilat (piano black). Begitu juga dengan pemegang pintunya menerima jaluran merah yang sama dengan model 30th Anniversary Edition (kini dipanggil 208 GTi oleh Peugeot Sport tetapi tidak akan dipasarkan di sini). Namun bagi model facelift ini, ia telah ditambah dengan elemen mod ECO bersama fungsi start/stop automatik.

    Penjana kuasanya juga masih dikekalkan iaitu enjin 1.6 liter THP turbo empat-silinder, tetapi telah ditambahkan dengan jumlah kuasa serta torknya sebanyak 8 hp dan 25 Nm menjadi 208 hp dan 300 Nm, iaitu sama output dengan 30th Anniversary Edition. Malah transmisi manual enam-kelajuan turut dikekalkan.

     
     
  • PM umum peruntukan RM30 juta bina litar di Kedah

    PM umum peruntukan RM30 juta bina litar di Kedah

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan akan meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk membina sebuah litar lumba di Kedah. Harian Metro melaporkan beliau membuat pengumuman berkenaan ketika majlis pelancaran Program Gen Y bersama Perdana Menteri, hari ini.

    Dengan adanya litar berkenaan kelak, adalah diharapkan ia akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh anak muda untuk tujuan riadah serta mencungkil bakal dalam sukan permotoran dengan cara yang lebih sistematik, dengan harapan mereka tidak lagi berlumba di jalan raya.

    “Saya nak sahkan atas permintaan Menteri Besar, saya luluskan peruntukan RM30 juta untuk pembinaan litar lumba di Sungai Petani. Selepas ini tak payah jadi mat rempit lagi, lumbalah sepuasnya di litar ini dan tak payah lumba di atas jalan lagi,” jelas beliau di hadapan kira-kira 4,000 hadirin, termasuk generasi muda pada majlis berkenaan.

    Tambah Najib, litar lumba berkenaan akan dilancarkan tidak lama lagi dan ia sebagai satu daripada komitmen kerajaan dalam membantu generasi muda di negara ini dalam aktiviti sukan.

     
     
  • Volvo bakal perkenalkan buat pertama kali kenderaan elektrik sepenuhnya pada 2019, tampil bateri 100 kWh

    Volvo bakal perkenalkan buat pertama kali kenderaan elektrik sepenuhnya pada 2019, tampil bateri 100 kWh

    Volvo dilaporkan akan memperkenalkan kenderaan elektrik sepenuhnya menggunakan bateri (BEV) dan sistem hibrid mild 48 V baharu menjelang tahun 2019 nanti, bersama unit janakuasa plug-in hybrid T5 Twin Engine pada 2018, lapor Green Car Congress. Perkara ini telah didedahkan oleh Mats Anderson, pengarah senior sistem pendorong elektrik Volvo, semasa Simposium Teknologi Kenderaan Elektrik dan Hibrid SAE di San Diego.

    Untuk BEV, Volvo bakal membina pek bateri modular yang boleh dipadankan pada platform sedia ada iaitu Compact Modular Architecture (CMA) dan juga Scalable Product Architecture (SPA), bagi memastikan kos yang efektif serta membolehkan Volvo mencapai pelbagai jenis penggunaan berlainan.

    Kadar kuasa yang dihasilkan pula ialah bermula 100 kW (134 hp) hingga 450 (603 hp), dengan suapan kuasa dari pek bateri berkapasiti hingga 100 kWh. Tiada lagi maklumat rasmi berkenaan jarak perjalanan yang dapat dicapai, tetapi dilaporkan ia mampu menawarkan sehingga 482 km untuk sekali cas penuh.

    Unit janakuasa elektrik berkenaan dikatakan menyokong cas AC sehingga 20 kW dan juga cas DC berkelajuan tinggi, dengan sokongan dari Combined Charging System (CCS) dan standard cas cepat CHAdeMO. Volvo yang juga ahli persatuan Charging Interface Initiative, merancang untuk memperkenalkan satu juta kenderaan elektrik jenamanya di atas jalan raya menjelang 2025.

    Pada 2019, Volvo akan memperkenalkan sistem hibrid mild 48 V, yang boleh digunakan untuk enjin petrol dan diesel. Sistem ini akan menampilkan motor elektrik 10 kW pada generasi pertamanya, dengan rancangan untuk memperkenalkan pula unit 15 kW pada masa akan datang. Bateri Li-ion berkuasa 0.25 kWh 48V akan membekalkan tenaga kepada motor, bersama bateri 12V berasingan.

    Unit janakuasa T5 Twin Engine yang bakal diperkenalkan bersama platform CMA pula bakal didedahkan pada 2018. Unit janakuasa ini dikatakan akan diperkenalkan pada model XC40 baharu yang bakal dilancarkan tahun ini, menampilkan enjin petrol Drive-E 1.5 liter tiga-silinder, bersama motor elektrik berkuasa 55 kW (74 hp) serta bateri Li-ion 9.7 kWh yang diletakkan pada terowong tengah platform tersebut.

     
     
  • Nissan guna peranti pengubah di Korea – mahkamah

    Nissan guna peranti pengubah di Korea – mahkamah

    Mahkamah di Korea Selatan mendapati Nissan menggunakan peranti pengubah bagi sisa buangan pembakaran enjin diesel pada model Qashqai. Hal berkenaan adalah lanjutan daripada saman yang dikeluarkan oleh Nissan kepada menteri alam sekitar Korea yang mendakwa perkara berkenaan tahun lalu.

    Dalam sebuah laporan oleh Automotive News, Mahkamah Pentadbiran Seoul mendapati Nissan menggunakan peranti pengubah berkenaan untuk mematikan sistem pengurangan sisa buangan di dalam 814 unit Qashqai dalam suasana pemanduan biasa, yang membawa kepada kadar pembebasan nitrogen oxide (NOx) yang lebih tinggi daripada apa yang dibenarkan.

    “Adalah munasabah untuk menyatakan bahawa kenderaan di dalam kes ini mendapatkan pensijilan dengan cara yang salah dan tidak betul,” seperti yang dinyatakan oleh mahkamah. Bagaimanapun, Nissan kekal dengan pendirian syarikat itu tidak menggunakan peranti yang dilarang dalam kenderaannya, dan akan mempertimbangkan langkah selanjutnya berkaitan hal ini.

    Awal tahun ini, pentadbiran Korea Selatan melarang penjualan 10 model kenderaan, termasuk dari Nissan, BMW dan Porsche selepas pengeluarnya didapati menggunakan dokumen pensijilan yang dipalsukan, berkaitan ujian pembebasan sisa pembakaran enjin dan tahap kebisingan. Larangan itu turut melibatkan saman berjumlah 7.17 bilion won (RM27,700,982).

     
     
  • VIDEO: Penukaran inflator beg udara kenderaan Honda – lihat bahagian yang boleh mengancam nyawa anda

    Panggilan semula berkenaan beg udara Takata kenderaan Honda sudah menjadi berita yang luas tersebar, tetapi tahukah anda bagaimana proses yang perlu dilalui? Honda Malaysia telah mengeluarkan video ini, dipadatkan dengan segala perjalanan dari pemeriksaan nombor VIN kenderaan secara atas talian, hinggalah bagaimana proses penukaran dilakukan.

    Penukaran inflator beg udara ini sebenarnya adalah satu proses yang ringkas dan tidak mengambil masa yang lama – 20 minit untuk bahagian pemandu dan sehingga 45 minit untuk bahagian penumpang yang memerlukan proses lebih rumit. Kenderaan anda pada mulanya akan melalui proses pemeriksaan, dan apabila sudah ditukar, dipasang dengan pelekat sebagai tanda ia telah dilaksanakan.

    Panggilan semula ini dijalankan di seluruh dunia, dan jumlahnya agak besar. Walaupun begitu, Honda Malaysia berjaya memastikan stok alat yang perlu diganti sentiasa ada dan sehingga penghujung tahun 2016, ia cukup 100 peratus bagi inflator bahagian pemandu dan 70 peratus bagi bahagian penumpang.

    Semasa penukaran, Honda memberitahu kenderaan anda akan dikendali oleh juruteknik yang berpengalaman dan perhatian penuh akan diberi untuk mengelakkan sebarang kerosakan. Seperti juga kenderaan yang dihantar untuk servis, bahagian tempat duduk dan stereng akan ditutup dengan kain khas untuk menjaga kebersihan.

    Ini adalah perkara yang menjadi kerisauan bagi sesetengah pemilik dan menyebabkan mereka bertangguh untuk menghantar kereta, meskipun sudah diberitahu. Sebenarnya, tiada sebab untuk mereka berbuat begitu, dan proses penukaran ringkas ini, jika tidak dilakukan, boleh menyebabkan musibah teruk termasuk kecederaan dan kematian.

    Honda Malaysia telah melaksanakan pelbagai langkah proaktif – mengeluarkan 240,000 surat, 35,000 emel, 2,000 panggilan telefon dan 126,000 SMS, dan itu hanyalah sehingga bulan Julai 2016 sahaja. Selepas itu, mereka menambah lagi usaha dengan meletakkan risalah informasi (flyer) pada kenderaan yang diletakkan di kawasan awam, dan menghantar pekerja pergi terus berjumpa dengan pemilik. Syarikat ini juga bekerjasama dengan JPJ untuk mendekati pemilik kenderaan yang terlibat dalam panggilan semula ini.

    Sebagai imbasan kembali, Honda Malaysia telah mengeluarkan beberapa panggilan semula: pada bulan Mei, Jun dan Julai 2015, dan sekali lagi pada bulan Mei dan Jun 2016. Sehingga akhir tahun 2016, jumlah kenderaan yang dipanggil balik untuk masalah inflator beg udara bahagian pemandu adalah 264,000 unit manakala 273,000 unit lagi untuk inflator beg udara bahagian penumpang.

    VIDEO: Penukaran inflator beg udara kenderaan Honda – lihat bahagian yang boleh mengancam nyawa anda

    Satu lagi kumpulan kenderaan dipanggil balik awal bulan ini, dan ia termasuk model Honda Accord (2003-2012), City (2003-2013), Civic (2001-2011), Civic Hybrid (2003, 2007-2012), CR-V (2002-2011, 2013), Freed (2009-2012), Insight (2011-2013), Jazz (2003-2007, 2009-2013), Jazz Hybrid (2012-2013), Odyssey (2004-2008) dan Stream (2003-2005, 2007-2013).

    Untuk mengawal panggilan semula berskala besar ini, Honda Malaysia memperkenalkan beberapa langkah khas. Semua pusat servis berdaftar di dalam negara diarahkan untuk menggunakan 50 peratus sumber dan kapasiti mereka untuk kerja penukaran inflator beg udara ini. Syarikat ini juga membuka hab servis untuk mengurangkan beban pengendali pusat servis dan memberikan lebih kesenangan kepada pemilik kenderaan. Jika pemilik benar-benar tidak dapat menghantar kenderaan ke pusat servis atau hab yang disediakan, penukaran di tempat mereka boleh diuruskan.

    Jika belum, bertindaklah sekarang dan mulakan dengan memeriksa status kenderaan anda di www.productrecall.honda.com.my, telefon nombor percuma tol 1-800-88-2020 atau pergi terus ke pengedar/ pusat servis rasmi Honda di seluruh negara. Jika anda tahu sesiapa lagi yang memiliki kenderaan yang terlibat dalam panggilan semula ini, beritahu mereka supaya lakukannya dengan cepat. Bahayanya memang boleh dilihat, dan kematian sudah berlaku disebabkan ini di dalam negara kita sendiri.

     
     
  • BMW taja 200 kenderaan untuk Le Tour de Langkawi

    BMW taja 200 kenderaan untuk Le Tour de Langkawi

    Selaku penyedia kenderaan rasmi bagi acara Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 yang akan berlangsung dari 22 Februari hingga 1 Mac ini, BMW akan menyerahkan kira-kira 200 buah kenderaan keluarannya untuk kegunaan ketika perlumbaan itu. Ini termasuk barisan kenderaan dari jenama BMW sendiri, MINI dan BMW Motorrad.

    Antara model-model yang akan digunakan ialah MINI Countryman, 2 Series GT, X1, X4, X5, dan model plug-in hybrid 330e, sementara bagi jentera dua roda pula diwakili oleh sebuah R1200 GS. Dengan semuanya merupakan kenderaan janaan petrol, majoriti model yang akan digunakan ialah 2 Series GT serta X4.

    BMW turut menaja White Jersey, yang akan dinobatkan kepada pengayuh Asia terbaik pada perlumbaan berkenaan. Tajaan itu merupakan sebahagian daripada usaha BMW Group Malaysia untuk mengiktiraf, membangunkan serta memberi sokongan terhadap bakat-bakat muda serantau, terutamanya kerana sukan berbasikal secara tradisinya didominasi oleh Eropah.

    Taruhan terbaik dan cabaran pengayuh dari Malaysia yang akan bersaing di dalam Le Tour de Langkawi tahun ini akan digalas pengayuh terbaik Asia tahun lalu, yang berasal dari Terengganu berusia 26 tahun, Muhamad Adiq Hussainie Othman.

    Tahun ini menyaksikan penyertaannya yang ke lapan dalam perlumbaan itu; dia juga merupakan pelumba Malaysia pertama menang di dalam Le Tour de Langkawi sejak edisi 1998. “Kesungguhan Adique untuk mempertahankan White Jersey dengan sokongan pasukannya TSG, merupakan antara perkara menarik untuk diperhatikan. Ia juga membuktikan bahawa bakat tempatan juga mampu bersaing dengan nama-nama besar lainnya,” ujar CEO LTdL, Emir Abdul Jalal.

     
     
  • Kerajaan arah teksi motosikal Dego Ride dihentikan

    Kerajaan arah teksi motosikal Dego Ride dihentikan

    Perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride diarah dihentikan serta-merta oleh kerajaan atas faktor keselamatan.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lain, pihaknya juga tidak akan memberikan lesen operasi kepada pengendali perkhidmatan tersebut buat masa ini dan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya masih lagi beroperasi, laporan Bernama.

    “Kita ada kuasa untuk mengawal perkara ini kerana ia melibatkan keselamatan yang terletak di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Kesalahan ini jelas kerana penunggang tidak boleh membawa orang awam dan mengutip bayaran. Jika ada unsur bayaran, ia adalah satu kesalahan di bawah JPJ,” katanya kepada pemberita semalam.

    Liow berkata sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk menawarkan perkhidmatan itu.

    “Kita faham ada orang awam yang menggunakannya kerana masalah kesesakan lalu lintas, namun ketika ini kita sedang meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam seperti LRT dan MRT untuk kesenangan semua,” katanya.

    Sebelum ini, Ketua Pengarah JPJ Datuk Nadzri Siron dilaporkan berkata Dego Ride menimbulkan kontroversi kerana tidak mempunyai permit sah, namun boleh terus beroperasi sekiranya mendapat kebenaran SPAD.

    Nadzri turut menasihati orang ramai tidak menggunakan perkhidmatan itu sehingga mendapat ‘lampu hijau’ daripada SPAD.

    Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj sebelum ini dilaporkan mendakwa tiada peruntukan undang-undang yang menghalang mereka menawarkan perkhidmatan tersebut.

     
     
  • Rali Sweden: Jari-Matti Latvala juara, kemenangan pertama Toyota dalam WRC selepas 17 tahun

    Rali Sweden: Jari-Matti Latvala juara, kemenangan pertama Toyota dalam WRC selepas 17 tahun

    FIA WORLD RALLY CHAMPIONSHIP 2017 -WRC Sweden (SWE) – WRC 09/02/2017 to 12/02/2017 – PHOTO : @World

    Selepas kemenangan Didier Auriol pada pusingan Rali China pada tahun 1999 dengan Toyota Corolla WRC, pasukan Toyota tidak lagi mencatatkan mana-mana kemenangan dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) berikutan penarikan diri sepenuhnya dari perlumbaan berkenaan untuk musim 2000. Namun, kemenangan yang dicatatkan oleh pemandu Toyota Yaris WRC, Jari-Matti Latvala di Rali Sweden semalam telah memahat satu lagi detik istimewa setelah mereka kembali semula ke kancah WRC tahun ini.

    Kemenangan ini bukan sahaja beremosi untuk Toyota, malah untuk Latvala sendiri setelah urusan kemasukannya ke pasukan Toyota dilakukan pada saat akhir kerana pasukannya sebelum ini – Volkswagen – membuat keputusan untuk menarik diri dari WRC pada saat akhir.

    Latvala mula mendahului pada bahagian terakhir dengan kelebihan 3.8 saat berbanding Ott Tänak dari Ford, setelah Thiery Neuvillve dari Hyundai terbabas pada malam hari kedua rali. Latvala juga menang kesemua tiga ujian kelajuan diatas permukaan bersalji dan ais untuk menambah jarak pendahuluan kepada 29.2 saat.

    Setelah memenangi pusingan Rali Sweden dengan mata maksimum (turut memenangi Power Stage) dan juga mendapat tempat kedua dalam pusingan Rali Monte Carlo hujung bulan lalu, Latvala kini mendahului empat mata dalam carta pungutan mata kategori pemandu WRC. Ini juga merupakan pertama kali pemandu selain dari juara WRC empat kali, Sebastien Ogier mendahului carta berkenaan sejak Februari 2014.

    “Ia menakjubkan. Pasukan baharu, kereta baharu, rali kedua, dan kami menang. Tiada perkataan untuk menggambarkannya, saya sangat emosional. Kami berada pada tahap yang bagus tetapi kini kami terus kehadapan dan ia akan bertambah sukar. Selepas ini Mexico dan saya sangat bermotivasi untuk kejuaraan,” kata Latvala.

    Pemandu Ford Ott Tänak pula berkata, dia tidak berpuas hati dengan pengendalian jenteranya dan setelah hilang tujuh saat pada SS pembukaan, Tänak menghabiskan perlumbaan di tempat kedua, dan merupakan pencapaian terbaiknya dalam WRC setakat ini. Rakan sepasukan Tänak, Sebastien Ogier pula menamatkan Rali Sweden ditempat ketiga, 30.3 saat di belakang Tänak.

    Selepas dua pusingan pembukaan yang diadakan pada musim sejuk, jentera-jentera WRC generasi baharu ini akan berjuang pula pada permukaan off-road dan cuaca panas di Rali Mexico bulan hadapan.

     
     
  • Pusat 3S Kia di Jalan Pahang, KL dilancarkan

    Pusat 3S Kia di Jalan Pahang, KL dilancarkan

    Hujung minggu lalu, Naza Kia Malaysia Sdn Bhd telah pun melancarkan pusat 3S terkini yang terletak di Jalan Pahang, Kuala Lumpur. Ia merupakan salah satu daripada lima pusat servis yang dilancarkan pada tahun ini dan merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengembangkan rangkaian serta menaiktaraf semua pusat servis sedia ada menjadi pusat 3S.

    Dibina dengan kos bernilai RM1.5 juta, pusat 3S ini turut dilengkapi dengan pusat jualan, servis dan alat ganti. Ia mampu mempamerkan empat buah kereta dalam bilik pameran dengan empat petak penyelenggaran yang berkeupayaan menyelenggara sehingga 14 buah kereta sehari. Ia turut dilengkapi dengan kemudahan lounge untuk para pelanggannya dan wifi.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holding, Dato’ Samson Anand George, pembukaan pusat 3S Jalan Pahang ini mensasarkan pelanggan Kia yang tinggal di kawasan berhampiran termasuk dari Jalan Genting Klang, Setapat dan Titiwangsa. “Ia terletak di lokasi yang cukup strategik iaitu di tengah-tengah ibu kota. Memberikan kelebihan untuk para pelanggan sedia ada termasuk pelanggan berpotensi Kia mendapatkan perkhidmatan yang diinginkan,” ujar Samson.

    Kini Naza Kia Malaysia telah mempunyai 33 pusat servis di seluruh negara. “Kami mahu memperluaskan lagi rangkaian dengan memperkenalkan lima lagi pusat 3S baharu (termasuk di Jalan Pahang) untuk tahun ini. Malahan kami akan memperkemaskan dan meningkatkan lagi standard bagi semua rangkaian dengan mensasarkan peningkatan kualiti dan memperbaiki keberkesanan. Justeru, pelanggan kami dapat merasai pengalaman yang lebih memuaskan terhadap perkhidmatan selepas jualan ini,” kata Samson lagi.

     
     
  • Tarikh akhir bagi penyerahan proposal rakan strategik asing Proton ialah pada 15 Februari – Menteri

    Tarikh akhir bagi penyerahan proposal rakan strategik asing Proton ialah pada 15 Februari – Menteri

    Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani semalam mendedahkan bahawa tarikh akhir bagi penyerahan kertas cadangan atau proposal bagi rakan strategik Proton Holdings Bhd ialah pada 15 Februari, iaitu pada Rabu minggu ini, seperti dilaporkan Bernama.

    Tarikh itu ditetapkan bagi mana-mana syarikat asing yang berminat untuk menjadi rakan strategik Proton untuk mereka menyerahkan proposal berkenaan. “Penilaian terhadap proposal-proposal yang diserahkan akan dilakukan selepas tarikh berkenaan, sebelum keputusan dibuat selepas itu,” ujar beliau.

    Johari menambah, selain syarikat-syarikat dari China, beberapa syarikat dari Eropah juga ada menunjukkan minat mereka untuk menjadi rakan strategik Proton. Antara nama yang pernah disebut-sebut sebelum ini antaranya ialah Geely dari China, serta PSA dan Renault dari Eropah.

    Tarikh akhir bagi penyerahan proposal rakan strategik asing Proton ialah pada 15 Februari – Menteri

    Sementara itu, DRB-Hicom selaku pemilik Proton juga sebelum ini sangat yakin bahawa dengan rakan strategik asing, Proton akan lebih maju dan berdaya saing untuk menghasilkan barisan produk yang lebih baik. Dalam perkembangan yang sama juga, kerajaan tidak ada halangan sekiranya DRB-Hicom ingin melepaskan pegangan majoriti syarikat itu dalam Proton.

    Bagaimanapun, DRB-Hicom tetap akan memiliki pegangan yang signifikan dalam Proton selepas proses berkenaan. “Pencarian rakan strategik asing ini tidak bermaksud kami mengabaikan tanggungjawab terhadap negara, sebaliknya adalah bertujuan untuk memantapkan lagi kedudukan Proton sebagai sebuah jenama pengeluar kenderaan, serta meletakkan Malaysia di dalam peta global,” jelas Pengarah Urusan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar dalam satu kenyataan minggu lalu.

     
     
  • Proton bakal pindahkan kilang pemasangan di Shah Alam ke Tanjung Malim sepenuhnya tahun hadapan

    Proton bakal pindahkan kilang pemasangan di Shah Alam ke Tanjung Malim sepenuhnya tahun hadapan

    Setelah beberapa lama berita mengenai perpindahan operasi kilang pemasangan Proton di Shah Alam ke Proton City di Tanjung Malim diperkatakan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan mengesahkan, ia akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

    “Perpindahan ke Tanjung Malim itu bertujuan untuk meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran selain memusatkan pengoperasian kumpulan. Malah ia juga memberi peluang pekerjaan kepada kira-kira 10,000 masyarakat setempat,” ujarnya, laporan Bernama.

    Dalam masa yang sama, beliau turut mengulas mengenai kerjasama strategik antara Proton dengan beberapa syarikat pengeluar asing. Katanya ia sangat diperlukan bagi memastikan Proton terus mampu menghasilkan kereta yang lebih berkualiti selain meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.

    Proton bakal pindahkan kilang pemasangan di Shah Alam ke Tanjung Malim sepenuhnya tahun hadapan

    “Kerjasama ini juga akan menyokong pembiayaan penyelidikan dan pembangunan Proton kerana kerjasama dengan syarikat yang mempunyai kedudukan kukuh dan stabil akan menjadikannya lebih kompetitif,” katanya, senada dengan kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hujung minggu lalu.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Johari yang menyebut, kerajaan menganggap perkembangan itu baik untuk Proton dan membolehkannya muncul sebagai jenama antarabangsa yang dikenali berbanding hanya bertumpu di peringkat tempatan dan menjual antara 200,000 dan 300,000 unit kenderaan yang disifatkannya sebagai tidak memadai.

    Tambah Ka Chuan lagi, keputusan untuk menentukan rakan strategik ini terletak sepenuhnya kepada Proton yang kini merupakan syarikat persendirian dan bukan lagi milik kerajaan.

    “Kerajaan tidak berhasrat untuk mencampuri urus niaga Proton kerana kita tidak mempunyai sebarang kepentingan. Maka, Proton bebas membuat keputusan, namun kita (kerajaan) akan terus memberi pandangan,” ujarnya lagi.

     
     
  • Apollo Tyres kini menawarkan waranti tanpa syarat 1-tahun di Malaysia selain waranti pengeluar 5-tahun

    Apollo Tyres kini menawarkan waranti tanpa syarat 1-tahun di Malaysia selain waranti pengeluar 5-tahun

    Apollo Tyres telah mengumumkan kini menawarkan waranti tanpa syarat (UCW) selama setahun bagi semua jenis tayar bagi kenderaan penumpang untuk para pelanggannya di Malaysia. Tawaran ini adalah tambahan selain waranti pengeluar lima-tahun standard, dan ini turut merangkumi pelindungan kemalangan yang disebabkan keroskan tayar atau impak brek.

    “Jenama Apolloo bagi tayar ini diperkenalkan di Malaysia kira-kira setahun yang lalu, dan sejak itu kami bekerja keras untuk menempatkan diri di dalam pasaran ini. Kepercayaan terhadap kualiti, ketahanan dan prestasi produk kami adalah menjadi keutamaan selain waranti UCW yang ditawarkan buat pelanggan di Malaysia,” ujar Shubhro Ghosh, ketua kumpulan rantau ASEAN bagi Apollo Tyres.

    Sambungnya lagi, “Kami percaya UCW yang ditawarkan ini mampu meningkatkan kepercayaan pengguna di Malaysia terhadap jenama Apollo, di samping meningkatkan jualan bagi tayar kenderaan penumpang.” Syarikat ini turut mengumumkan pada tahun lalu untuk menyediakan pejabat di Malaysia, serta menubuhkan kumpulan bagi jualan dan kakitangan perkhidmatan yang perlu memenuhi kehendak pelanggan tempatan.

    Tayar jenama Apollo dibangunkan di fasiliti yang terletak di Baroda dan Chennai, India. Di Malaysia, Apollo Tyres menawarkan barisan 4G bagi tayar kenderaan penumpang, yang direka dan dibangunkan oleh fasiliti penyelidikan syarikat ini di Netherlands.

     
     
  • Nissan, Renault dan Mitsubishi rancang bina platform kenderaan elektrik bersama, bantu kurangkan kos

    Nissan, Renault dan Mitsubishi rancang bina platform kenderaan elektrik bersama, bantu kurangkan kos

    Pakatan Renault Nissan bakal melaraskan semua platform kenderaan elektrik mereka, termasuk dari Mitsubshi setelah pakatan berkenaan membeli 34% kepentingan dalam Mitsubishi Motors Corporation (MMC). Penyeragaman platform berkenaan dilihat bakal merendahkan kos pembinaan kenderaan elektrik dengan menggunakan skala ekonomi, menurut laporan Nikkei Asian Review.

    Untuk semua kenderaan elektrik Renault dan Mitsubishi selepas ini akan menggunakan platform yang bakal menjadi asas kepada Nissan Leaf generasi seterusnya. Ketiga-tiga jenama ini bakal menggunakan komponen utama yang sama seperti motor elektrik, bateri dan inverter. Ini bakal merendahkan lagi harga permulaan Leaf kepada 20% lebih murah yang dijangka $17,000 (RM76,131).

    “Kami percaya sinergi ini akan mengembalikan 10% dari pelaburan Nissan pada 2017 dan lebih dari 20% tahun berikutnya. Serentak dengan kerjasama kami meningkat pada tahun akan datang, kami akan mengenal pasti sinergi tambahan pada peringkat rantau, serta meneroka faedah spesifik untuk Renault dan rakan kongsi lain kami,” kata pengerusi dan CEO Nissan Carlos Ghosn.

     
     
  • Peugeot 208 GTi 2017 dikesan di Malaysia – bakal dilancarkan pada suku pertama tahun ini?

    Peugeot 208 GTi 2017 dikesan di Malaysia – bakal dilancarkan pada suku pertama tahun ini?

    Sewaktu pelancaran model facelift Peugeot 208 dan 2008 sebulan yang lalu, Nasim telah mengesahkan model 208 GTi bakal kembali ke Malaysia.

    Menurut pengurus besar kanan Nasim, Yasser Awam, hot-hatch tiga-pintu dengan kuasa 200 hp ini merupakan antara model paling berjaya untuk syarikat, malah menjadi idaman para penggemarnya. Malahan harganya juga dikatakan berpatutan, iaitu sewaktu dilancarkan pada hujung 2013 dengan harga RM140k.

    Bagi model facelift 208 GTi ini, rekaan gril dan bampar hadapan sama seperti model standard, namun disertakan dengan lampu belakang LED baharu dengan lampu arah “lion claw”. Manakala lampu utama spesifik-GTi (dengan indikator LED bentuk-C) dan roda aloi dwi-tona “Carbone” 17-inci dikekalkan, sementara kekemasan merah pada gril pula kini didatangkan dalam jaluran ringkas terletak di bahagian bawah gril.

    Di dalamnya, kekemasan dekorasi merah telah digantikan dengan elemen hitam berkilat, dengan pemegang pintunya menerima jaluran merah yang sama dengan model 30th Anniversary Edition (kini dipanggil 208 GTi oleh Peugeot Sport tetapi tidak akan dipasarkan di sini).

    208 GTi facelift ini masih mengekalkan enjin 1.6 liter THP turbo empat-silinder, tetapi telah ditambahkan dengan jumlah kuasa serta torknya, 8 hp dan 25 Nm menjadi 208 hp dan 300 Nm, iaitu sama output dengan 30th Anniversary Edition. Begitu juga dengan transmisi manual enam-kelajuan masih dikekalkan.

    Memandangkan buat masa ini ringgit agak lemah dalam pertukaran mata wang asing, adalah satu pencapaian jika Nasim berjaya mengekalkan harganya di sekitar RM140k. Dengan foto spyshot ini, tidak kelihatan bumbung berkaca panoramik yang menjadi standard bagi kereta pre-facelift tempatan.

    GALERI: Peugeot 208 GTi facelift

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025