Apa yang anda lihat ini adalah sesuatu yang boleh menggembirakan peminat tegar motosikal Vespa. Ia adalah Vespa PX150 yang dikeluarkan khas sebagai memperingati ulang tahun jenama itu yang ke 70 dan istimewanya, menggunakan enjin dua lejang berkapasiti 150 cc dan gear jenis pulas di pemegang bahagian kiri.
Motosikal ini mengekalkan ciri-ciri klasiknya seperti model yang menjadi kegilaan ramai lebih 30 tahun yang dahulu dan ini boleh dilihat dengan kelengkapannya yang asas. Pemula enjin jenis tendang masih dikekalkan (penghidup elektronik juga masih ada), butang kawalan pula hanya untuk fungsi asas, badan menggunakan besi dan pedal brek di bahagian kaki kanan.
Di bawah tempat duduknya, terdapat dua tangki berasingan; satu untuk minyak petrol dan satu lagi untuk minyak dua lejang. Bermakna, pemilik tidak perlu menyukat sendiri minyak dua lejang apabila mengisi minyak dan hanya perlu menuangnya dalam tangki yang disediakan.
Bagi model edisi khas ulang tahun ini, Vespa mengenakan PX150 dengan warna biru mutiara unik dan mempunyai tempat duduk serta beg belakang yang dicetak dengan logo ulang tahun ke 70. Turut boleh disaksikan adalah lencana ulang tahun ke 70 di bahagian panel dalam berhampiran kaki penunggang.
Naza Premira menjual Vespa PX150 edisi ulang tahun ke 70 ini pada harga RM28,780 dan ia datang dengan jumlah yang begitu terhad- 36 unit sahaja untuk pasaran Malaysia. Selain PX150, Vespa edisi ulang tahun ke 70 turut didatangkan bagi model Primavera 150 dan GTS 150 yang harganya masing-masing RM18,440 dan RM20,627.
Rancangan untuk implementasi biodiesel B10 dalam negara untuk sektor pengangkutan akan dijadualkan semula, lapor The Star. Pengenalan biodiesel B10 dan B7 (untuk sektor industri) sebelum ini dilaporkan akan dimulakan bulan hadapan, tetapi kerajaan telah mengumumkan rancangan berkenaan perlu ditangguhkan ke tarikh yang masih belum ditetapkan.
Menteri pertanian dan komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, kerajaan mahu memperkasakan program implementasi Biodiesel untuk mempertingkatkannya dengan dua jenis campuran dan penangguhan pengenalan berkenaan adalah untuk tidak membebankan orang ramai.
“Selepas satu kajian menyeluruh, mengambil kira perbezaan harga antara minyak sawit mentah dan diesel dalam pasaran yang tidak menentu, saya mengumumkan mandat untuk implementasi biodiesel akan ditangguhkan. Walaupun usaha yang signifikant telah dilakukan untuk implementasi ini, kerajaan komited untuk memastikan tiada kos tambahan yang akan membebankan rakyat kali ini,” kata beliau.
Implementasi program biodiesel B10 ini telah ditangguhkan berberapa kali. Kerajaan pada mulanya memperkenalkan bahan api campuran diesel dan minyak sawit dengan nisbah 90:10 berkenaan pada Jun lalu, tetapi ia telah ditangguhkan kerana data yang tidak mencukupi menyatakan ia memenuhi spesifikasi pengeluar-pengaluar kenderaan.
Implementasi penuh biodiesel dengan formulasi berkenaan dijangka bakal menggunakan 750,000 tan minyak sawit setiap tahun. Mandat ini mengecualikan stesen minyak yang menjual diesel bergred Euro 5 dan juga mesin-mesin industri yang sensitif dan tidak sesuai menggunakan biodiesel ini yang telah menerima “justifikasi teknikal” dari pengeluar mesin berkenaan.
Ini kali keempat saya ke litar ujian Proton di Shah Alam dan berkemungkinan kali terakhir untuk tahun ini. Proton berjanji untuk melancarkan empat model tahun ini bermula dengan Perdana, Persona, Saga, dan ini merupakan yang terakhir dari siri tersebut – MPV enam-tempat duduk segmen-B, Proton Ertiga.
Seperti yang diketahui, Ertiga merupakan projek rebadge Proton terbaharu hasil usahasama dengan Suzuki. Proton, Suzuki Motor Corporation dan DRB-Hicom telah menandatangani MoU kerjasama Jun tahun lalu, dan kemudian menyaksikan penutupan Suzuki Malaysia Automobile Sdn Bhd (juga dibawah DRB-Hicom) dan juga kesemua 29 pusat jualannya di Malaysia bertukar kepada Proton Edar pada Januari tahun ini.
Seminggu selepas itu, berita dari Indonesia melaporkan Suzuki Indomobil Sales (SIS) menyatakan, Ertiga akan dieksport ke Malaysia dalam bentuk komponen terurai (knocked down) dan kemudian akan dipasang semula secara CKD di sini mulai suku kedua tahun 2016. Pada bulan April pula, kami mula menerima imej spyshot pertama sebuah Ertiga yang diuji oleh Proton di atas jalan raya Malaysia.
Akhirnya, selepas majlis pelancaran Proton Perdana 2016, CEO Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali telah mengesahkan model pertama hasil kerjasama dengan Suzuki akan diperkenalkan pada Oktober tahun ini, dan ia sebenarnya sedikit tersasar kerana Ertiga hanya akan dilancarkan minggu hadapan.
Dengan pengenalan secara rasmi MPV kompak Proton Ertiga yang akan berlangsung pada minggu hadapan, maka lengkaplah barisan empat model baharu yang ingin diperkenalkan oleh Proton bagi tahun 2016.
Tidak seperti model Persona dan Saga yang merupakan produk “asli” Proton, Ertiga mengiringi Perdana sebagai sebuah model yang dijenamakan semula (rebadge). Ia model dengan spesifikasi yang hampir sama dengan model asalnya, iaitu Suzuki Ertiga – yang sudah dipasarkan di Indonesia ketika ini.
Dan, khabarnya, tidak banyak perkara yang diubah oleh Proton melainkan gril dengan logo di hadapan (dan semua bahagian lain yang melibatkan logo Proton). Untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengalaman awal kami memandu uji Ertiga di litar ujian Proton serta serba sedikit maklumat teknikalnya, sila rujuk laporan pandu uji ringkas ini.
Seperti dicadangkan oleh tajuk di atas, artikel ini akan memberi tumpuan kepada pilihan varian yang ditawarkan serta spesifikasi yang membezakan di antara setiap satunya. Secara umum, Proton Ertiga ditawarkan di dalam tiga varian; Ertiga Executive MT, Ertiga Executive AT dan Ertiga Executive Plus AT.
Bagaimanapun, bagi varian Executive MT dan Executive AT, kedua-duanya berkongsi senarai spesifikasi yang sama melainkan penggunaan sistem transmisi manual dan satu lagi transmisi automatik. Untuk itu, di dalam senarai yang akan digunakan selepas ini, kedua-duanya dikelompokkan sekali bagi tujuan memudahkan penjelasan tentang spesifikasi yang melengkapinya.
Proton Ertiga menggunakan enjin sama yang ada pada Suzuki Swift; iaitu 1.4 liter K14B janaan petrol. Ia mampu menghasilkan kuasa 92 PS pada 6,000 rpm manakala tork 130 Nm pada 4,000 rpm. Merupakan enjin DOHC dengan pemasa injap boleh ubah serta penggunaan metal timing chain, ia turut dilengkapi sistem suntikan multi-point, pendikit drive-by-wire serta transmisi automatik empat kelajuan (Aisin) atau manual lima kelajuan.
Penggunaan minyaknya pula, dengan ujian dalam kelajuan purata 90 km/j ialah seperti berikut; 5.7 liter/100 km bagi versi manual, manakala 6.0 liter/100 km bagi versi automatik. Bacaan pecutan 0-100 km/j pula ialah 11.8 saat bagi versi manual, sementara versi automatik mencatatkan masa 13.9 saat.
Proton Ertiga dibina menggunakan platform dari Suzuki Swift yang dilanjutkan. Dimensi keseluruhan Ertiga adalah seperti berikut; 4,265 mm panjang, 1,695 mm lebar dan 1,685 mm tinggi. Jarak antara roda pula ialah 2,740 mm, dengan legaan dari permukaan tanah 185 mm.
Berat bagi versi manual ialah 1,175 kg, manakala berat bagi versi automatik pula ialah 1,185 kg. MPV kompak ini mempunyai keupayaan radius pusingan 5.2 meter. Selain itu, kapasiti tangki minyaknya ialah 45 liter.
Sistem suspensinya menggunakan jenis MacPherson Struts untuk bahagian depan, sementara di belakang menggunakan jenis Torsion Beam. Bagi brek, bahagian depan menggunakan brek cakera dan di belakang menggunakan brek dram.
Tempat duduk barisan kedua dan ketiga juga agak fleksibel. Bagi barisan tengah, ia boleh dianjak sebanyak 240 mm, dengan nisbah lipatan 60:40. Akses ke barisan ketiga hanya melalui satu butang sahaja. Turut dilengkapi dengan perehat lengan, barisan ini disediakan dengan dua tapak Isofix. Sementara tempat duduk barisan belakang pula mempunyai nisbah lipatan 50:50.
Berikut merupakan senarai perincian bahagian luaran dan dalaman yang melengkapi model Proton Ertiga:
Luaran
Lampu utama reflektor halogen
Lampu kabus depan dan belakang
Lampu belakang jenis bulb
Gril depan krom
Kemasan krom di bahagian belakang, lanjutan daripada lampu belakang
Penunjuk lampu isyarat di bahagian fender depan
Cermin sisi kawalan elektrik
Kunci kawalan jauh
Rim aloi 15 inci dengan tayar GT Radial Champiro Eco (185/65/R15)
Tayar ganti jimat ruang
Dua sensor parkir di belakang
Pengilap cermin belakang
Empat warna: Ruby Red, Carnelian Brown, Metal Grey dan Cotton White
Dalaman
Kemasan dwi-tona warna (kelabu dan beige)
Roda stereng Polyurethane (boleh laras ketinggian)
Unit radio dengan sambungan USB/CD
Empat pembesar suara
Kluster meter nyalaan belakang dengan fungsi Trip Meter
Pendingin hawa manual
Pendingin hawa belakang pada bumbung (dengan kawalan tahap kekuatan angin)
Soket kuasa 12V (1 di depan, 1 di barisan tengah)
Enam tali keledar 3-poin
Fabrik dalam warna beige
Ruang storan bawah lantai
Sebagai membezakan varian Ertiga 1.4L Executive Plus AT pula, ia dilengkapi dengan beberapa ciri dan kemasan tambahan. Antara kelengkapan yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
Kemasan krom pada bahagian lampu kabus
Cermin sisi kuasa (power-foldable)
Lampu isyarat LED pada cermin sisi
Penebat bahagian bawah bonet
Kawalan audio pada stereng
Dua dashboard tweeter (enam pembesar suara semuanya)
Larasan ketinggian tempat duduk pemandu
Kemasan krom pada pemegang pintu di sebelah dalam
Poket di belakang tempat duduk hadapan
Dari segi aspek keselamatan, Ertiga menerima penarafan empat bintang bagi ASEAN NCAP. Antara lain, ia juga dipasangkan dengan dua beg udara, ciri ABS dengan EBD serta penghadang hentaman sisi untuk mengurangkan risiko kecederaan kepada pemandu dan penumpang.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mengeluarkan kenyataan rasmi hari ini berhubung dengan pihaknya yang sedang mengadakan rundingan dengan Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Pengangkutan untuk meminda undang-undang bagi mengawal selia aplikasi e-hailing.
Menurut kenyataan tersebut, pindaan yang dimuktamadkan itu kemudiannya akan dibentangkan kepada kabinet sebelum diluluskan Parlimen. Di mana SPAD mengatakan bahawa kelulusan kabinet oleh Parlimen dianggarkan tercapai pada suku pertama 2017. Apabila pindaan kepada undang-undang itu diluluskan Parlimen, SPAD akan melaksanakan dan mengawal selia aplikasi e-hailing, laporan Bernama
Aplikasi e-hailing menjadi pilihan pengguna pengangkutan awam di negara ini kerana ia lebih mudah ditempah, kadar tambang lebih murah dan penumpang dapat menganggar kadar tambang sebelum memulakan perjalanan.
Dalam melaksanakan Program Transformasi Industri Teksi, SPAD menjelaskan pihaknya telah menjalankan langkah-langkah segera bagi inisiatif yang tidak memerlukan pindaan undang-undang oleh Parlimen, seperti liberalisasi permit teksi kepada pemandu teksi individu di bawah sistem model Pajak.
Syarikat yang beroperasi di California iaitu Rezvani, telah mengeluarkan kenderaan terbaru mereka digelar Beast Alpha. Ia sebenarnya boleh dianggap sebagai versi hardtop bagi model tahun lepas dan kini dilengkapi dengan bumbung gaya Targa dan pintu gelungsur ‘SideWinder’.
Praktikaliti pintu seperti ini, melihat cara ia dibuka masih tidak dapat dipastikan, tetapi yang pasti, memberi karekter unik pada Beast Alpha. Badan dengan gaya menarik ini dipadankan dengan enjin K24 2.4L DOHC daripada Honda, dengan pengecas turbo. Kuasa sebanyak 500 hp mampu dihasilkan oleh enjin ini dan transmisi yang digunakan adalah manual enam kelajuan.
Berat Beast Alpha hanya 884 kg, dan ini membolehkan ia membuat pecutan 0-96 km/j (0-60 bsj) dalam masa 3.5 saat sahaja, dengan kotak gear manual. Jika unit yang dilengkapi kotak gear automatik, ia boleh mencatat 0.3 saat lebih pantas.
Masuk ke bahagian dalamnya, anda akan disambut dengan bahagian yang sama ada dibalut dengan kulit atau Alcantara. Walaupun adalah sebuah kenderaan prestasi, pengguna juga dapat menikmati kelengkapan yang menjamin keselesaan seperti tingkap kuasa elektrik, pendingin hawa serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Bagi informasi operasi kenderaan, paparan digital seperti kenderaan lumba digunakan.
Rezvani Beast Alpha ini sudah tentu bukan sembarangan kereta kerana harganya sahaja sudah USD200,000 (RM881,530). Jika wang bukan satu hal, anda fikir ia berbaloi?
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh mengesahkan sejumlah 58 jalan di 10 kawasan utama di sekitar KL akan ditutup esok, 19 Nov, mulai jam 7 pagi, disebabkan perhimpunan jalanan Bersih 5.
Jalan-jalan di kawasan yang terlibat termasuklah Dataran Maybank Bangsar, Little India, Brickfields, Masjid Negara, Muzium Negara, Sogo, Dataran Merdeka, Parlimen, Bank Negara, Jalan Pudu, PWTC dan Chow Kit.
Penutupan jalan ini adalah bagi mengelakkan pertembungan antara beberapa kumpulan, terutamanya kumpulan Bersih yang berbaju kuning dan pro-kerajaan berbaju merah. Selain itu, polis turut menjangkakan dua lagi kumpulan yang bakal terlibat iaitu Baju Putih dan Baju Hitam, yang turut serta dalam demostrasi jalanan pada masa dan tempat yang sama, laporan News Strait Times.
Amar turut berkata, sehubungan itu lencongan jalan akan dilaksanakan bagi penguraian trafik di jalan-jalan yang terbabit. Walau pun pihak polis telah mengarahkan kumpulan-kumpulan terbabit tidak meneruskan rancangan untuk perhimpunan jalanan ini, namun mereka masih berdegil. Malahan pihak polis akan menempatkan sejumlah besar anggotanya di sekitar KL, dan tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya jika ada di antara peserta perhimpunan tersebut didapati mencetuskan kekecohan dan melanggar undang-undang.
Kehangatan perlumbaan SuperGT untuk tahun 2017 sudah bermula apabila semakin banyak pengeluar yang menunjukkan kenderaan mereka untuk musim baru. Nissan adalah yang terkini dengan jentera GT-R Nismo GT500 2017 mereka. Sudah tentu, kenderaan baru ini dipersiap supaya menepati peraturan baru yang ditetapkan.
Ini termasuk saya belakang baru, yang jika dilihat dari tepi, melebihi keseluruhan bahagian belakang. Lengkuk roda juga lebih besar, dengan pelbagai lagi ‘pembelah angin’ pada bahagian bonet, bampar hadapan dan tepi.
Walaupun kelihatan begitu, sebenarnya peraturan baru menyebabkan 25 peratus kurang daya tolakan ke bawah (downforce). Tetapi Nissan telah mengimbangi perkara tersebut dengan kelebihan kuasa, yang mana berbunyi seperti lebih kemampuan daripada enjin empat silinder 2.0 liternya. Walaupun enjin yang digunakan adalah sekadar 2.0 liter, ia sebenarnya mampu mengeluarkan sehingga 600 hp.
Kenderaan ini juga diihat mempunyai titik graviti lebih rendah, bersama dengan pembahagian berat yang lebih optimum. Ini sepatutnya dapat membantu GT-R Nismo mendapat kembali kejayaan dalam kategori GT500, yang mana pada tahun 2014 dan 2015 mereka dapat mengaut gelaran juara bagi pemandu dan pengeluar, tetapi tewas pada tahun 2016 kepada Lexus. Bagi musim 2017, GT-R Nismo akan bersaing dengan LC GT500 dan NSX-GT.
Dengan berat yang hanya lebih sedikit daripada 1,000 kg, Nissan GT-R Nismo GT500 2017 adalah hampir setengah tan lebih ringan berbanding GT-R versi produksi biasa. Nissan juga memberitahu lebih lagi peningkatan akan dilakukan sebaik ia diuji dan mula berlumba nanti.
Pengeluar kenderaan yang beroperasi di United Kingdom, Briggs Automotive Company (BAC) membawa kenderaan satu tempat duduk terkenalnya, dipanggil Mono ke Los Angeles Motor Show. Model tahun 2017 ini menggunakan enjin 2.5 liter N/A dan mempunyai kuasa maksimum sebayak 305 hp dan tork 308 Nm. Jumlah ini mungkin tidak seberapa, tetapi disebabkan badan yang ringan – 580 kg, nisbah kuasa dan beratnya boleh jadi menakjubkan iaitu 525 hp bagi setiap tan.
Dengan tetapan seperti ini, BAC Mono 2017 boleh mencapai kelajuan maksimum 273 km/j dan boleh memecut dari 0-60 bsj dalam masa 2.8 saat. Prestasi ini juga dibantu dengan penggunaan kotak gear sequential enam kelajuan daripada Hewland FTR. Bahagian gandar pula dilengkapi dilengkapi dengan LSD.
Naik taraf lain yang diberi bagi model 2017 ini adalah kawalan cengkaman lima tahap, intelligent launch control dan fungsi penukaran gear ke atas secara automatik yang juga boleh ditutup dengan butang yang ada pada sterengnya. Selain itu, rak stereng kenderaan ini juga boleh dipusing dengan lebih pantas dan hanya memerlukan pusingan sebanyak 1.7 kali dari satu hujung ke hujung yang lain.
BAC Mono sudah diimport ke lebih 28 negara dan Amerika Syarikat adalah antara negara yang semakin menunjukkan minat terhadap kenderaan satu tempat duduk unik ini. Oleh sebab itu, BAC kini sedang berusaha untuk meningkatkan servis serta penawaran produk mereka di negara tersebut dengan melantik lebih banyak pengedar. Bagi model semasa, BAC Mono dijual pada harga 74,950 pound (RM409,714).
Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke 70 Vespa, Naza Premira mengeluarkan tiga model istimewa yang terdiri daripada Primavera 150, GTS 150 dan PX 150. Harga untuk setiap model edisi khas ini masing-masing adalah RM18,440, RM20,627 dan RM28,780.
Semua model edisi ulang tahun ke 70 ini datang dalam warna biru muda berkilat yang dipanggil Azzurro 70, dan dilengkapi pakej aksesori termasuk rak belakang berserta beg buatan Itali. Barangan lain yang membezakan model edisi khas ini dengan model standard adalah tempat duduk berwarna coklat siap dengan logo Vespa Settantesimo 70th Anniversary, pelekat di bahagian sisi dan lencana edisi khas di bahagian depan.
Model Primavera dan GTS 150 menggunakan enjin 154.8 cc satu silinder, empat strok EFI yang sama dan masing-masing mampu menghasilkan 12.7 hp dan 11.6 hp. Bagi model PX150 pula, ia menggunakan enjin dua strok 150 cc berpenyejukan udara satu silinder bersama sistem minyak karburator. Ini menghasilkan bunyi unik sebuah Vespa seperti waktu dahulu dan masih boleh menghasilkan 8.85 hp.
Primavera dan GTS 150 menggunakan kotak gear CVT automatik manakala PX 150 pula dilengkapi kotak gear empat kelajuan dan penukaran gear dilakukan dengan memulas bahagian kiri pemegang. Ketiga-tiga model edisi khas ini ada dipamerkan di pusat pameran Naza Premira dan kuantiti yang dibuka untuk jualan adalah terhad.
Menurut laporan yang disiarkan oleh CarAdvice, Mazda bakal memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) menjelang 2019, di mana ia disasarkan bakal menyumbang sebanyak 10% bagi jualan kenderaannya pada tahun 2020.
“Kemungkinan pada tahun 2020, antara 5 hingga 10% (bagi jualan kenderaan) adalah disumbangkan oleh EV, manakala selebihnya iaitu 90 hingg 90% oleh enjin pembakaran dalaman (ICE). Oleh demikian ICE masih menjadi teknologi paling penting di seluruh dunia,” ujar Kiyoshi Fujiwara, ketua pembangunan dan penyelidikan Mazda.
Tambahnya lagi, “Memang kita memerlukan EV. Seperti apa yang diketahui, di Norway misalnya, sumber tenaga sepenuhnya ialah air, jadi EV adalah lebih baik untuk CO2 di sana. Tetapi tidak di Amerika Syarikat atau China. Oleh demikian, kita masih fokus dengan ICE, tetapi untuk sesetengah rantau kita memerlukan EV, jadi pada 2019 (atau) dalam lingkungan tersebut, kita akan memperkenalkan EV di mana-mana yang diperlukan dalam dunia ini.”
Bagi EV buatan Mazda, mungkin ia akan meneripa input daripada Toyota, di mana kedua-dua syarikat telah menandatangani perjanjian sefahaman yang diumumkan pada tahun lalu. Kebarangkalian Toyota akan menyalurkan teknologi sel bahan api dan hibrid kepada Mazda, sementara Mazda pula akan berkongsikan teknologi enjin petrol dan dan diesel SkyActiv yang menjimatkan sebagai imbalan.
Perincian bagi model masa depan ini masih disimpan terlebih dahulu, namun Fujiwara berkata EV ini mungkin akan menggunakan platform yang sesuai dengan ICE sedia ada, berbanding platform EV asli memandangkan pek bateri berkapasiti kecil yang akan dipasang.
“Jika menggunakan volume bateri yang besar, ya (kita memerlukan platform baharu), tetapi jika tidak, platform unik tidak diperlukan. Untuk pengetahuan, kita telah pun memiliki unit penyambung yang disalurkan oleh enjin rotary, dan sistem ini mampu membantu untuk sesetengah jarak. Jadi, kita akan mempunyai dua sistem,” jelasnya lagi.
Model yang dinyatakan ini merujuk pada Mazda 2 generasi ketiga (atau Demio) yang dipadankan dengan enjin rotary dan unit kuasa tambahan. Malahan mereka juga sudah memiliki Demio elektrik-sepenuhnya yang didedahkan pada tahun 2012 yang mampu dipacu sehingga jarak 200 km.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, data jualan kenderaan bagi bulan Oktober 2016 yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan penurunan yang berterusan, jika dibandingkan dengan bulan Ogos dan September lalu. Melihat kepada pecahan jenama-jenama yang ada, walaupun di dalam suasana pasaran yang menguncup, tetapi ada beberapa jenama yang mencatatkan peningkatan.
Sebagai contoh, Proton antara yang mencatatkan peningkatan dan dalam masa sama, mengekalkan kedudukannya di tempat ketiga, mengatasi Toyota. Pengeluar kenderaan nasional itu mencatatkan kenaikan 26% jumlah jualan, daripada 6,062 unit pada September kepada 7,640 unit bagi Oktober. Pengenalan model baharu Saga berkemungkinan besar menjadi faktor bagi perkembangan positif ini.
Sementara itu, Perodua juga masih kekal di tempat teratas carta, walaupun mencatatkan penurunan jualan sebanyak 5.8%; jenama itu menjual 16,148 unit, 999 unit berkurangan jika dibandingkan dengan jualan September 2016. Angka terbaharu ini mencatatkan jumlah jualan keseluruhan Perodua setakat ini pada angka 167,037 unit bagi 2016.
Bagi pengeluar kenderaan bukan nasional pula, Honda berjaya merekodkan peningkatan jualan sebanyak 9.4%, membantunya kekal ditangga kedua dengan 8,204 unit terjual pada Oktober. Jenama Jepun lain seperti Toyota, Nissan, Mitsubishi, Mazda dan Subaru semuanya mencatatkan penurunan; Subaru misalnya susut sehingga 25.3%.
Mercedes-Benz pula beranjak ke kedudukan kelapan dari kedudukan keenam pada September lalu akibat penurunan jualan 20.5%; hanya 940 kereta dijual sepanjang Oktober berbanding 1,183 unit pada bulan sebelumnya.
BMW dan Audi sebaliknya memperlihatkan peningkatan; 20 unit dan 10 unit masing-masing. Bagaimanapun, sebuah lagi jenama pengeluar Jerman, Volkswagen, mencatatkan penurunan jualan sehingga 50%; cuma 203 unit kenderaan dijual berbanding 406 unit pada September lalu.
Dari segi jualan setakat ini bagi 2016, Perodua terus mendahului dengan 167,037 unit, diikuti Honda (71,466 unit), Proton (57,731 unit), Toyota (50,020 unit), Nissan (32,852 unit) dan Mazda dengan 11,088 unit.
Proton dijangka bakal melancarkan model baharu keempatnya buat tahun ini, MPV yang sah diberi nama Proton Ertiga sebelum November 2016 berakhir. Malah video teaser Ertiga telah pun diluncurkan menerusi laman media sosial rasmi Proton sendiri.
Menerusi teaser ini, pelakon yang membintangi video Ertiga adalah yang sama seperti video bagi model Persona dan Saga iaitu Fazura, Zul Arifin, Zahirah McWilson dan Aeril Zafril. Ternyata video Ertiga yang juga terbitan KRU Studio ini adalah sekuel terakhir bagi dua video Proton sebelum ini. Jadi hendak tahu apakah kesudahan jalan cerita misteri mereka, kena tunggu Ertiga dilancarkan.
Seperti semua sedia maklum, Ertiga adalah hasil kerjasama Proton dan Suzuki, merupakan MPV enam-tempat duduk yang bakal memberikan persaingan buat Perodua Alza. Menerusi foto spyshot yang diperoleh sebelum ini, bahagian depan unit tersebut kelihatan menawarisi rupa dari model Ertiga dengan wajah baharu (facelift), yang dipamerkan tahun lalu ketika pameran GIIAS di Indonesia.
Bagaimanapun, bahagian belakang unit ini kelihatan seperti model Ertiga sebelum versi facelift. Ini boleh menjadi satu lagi petunjuk bahawa Proton boleh memilih apa yang jenama itu mahu untuk diperkenalkan pada MPV ini kelak.
Proton juga dijangka akan mendedahkan perincian Ertiga sedikit masa lagi, iaitu sebelum ia dilancarkan kelak. Jadi kena nantikan perincian selanjutnya mengenai Ertiga ini, adakah terdapat banyak perubahan yang dilakukan oleh Proton bagi Ertiga versi Malaysia (dan versi Proton) berbanding model yang berada di pasaran negara jiran termasuk Thailand dan Indonesia sendiri.
Menurut Suzuki Indomobil Sales (SIS) dalam kenyataannya pada Januari lalu, Ertiga akan dieksport ke Malaysia dalam bentuk komponen terurai (knocked down) dan kemudian akan dipasang semula (CKD) mulai suku kedua (Q2) tahun 2016.
Pada tahun 2017, Mazda Motor Sports akan membawa kereta yang dinamakan sebagai RT 24-P ini sebagai pesaing dalam perlumbaan khas kategori kenderaan prototaip di Amerika Syarikat (AS). Rekaan luar kenderaan ini masih lagi mengekalkan konsep KODO yang diterapkan pada semua kenderaan generasi baru Mazda, namun ia lebih agresif mengambil kira aerodinamik yang sangat penting.
Di sebalik badan itu, terdapat casis Riley Mk.30 yang dibangunkan oleh Riley Technologies, sebuah syarikat yang cukup terkenal dalam dunia perlumbaan dan kejuruteraan di AS. Bagi memacu kenderaan ini, Mazda memilih menggunakan enjin 2.0 liter MZ-2.0T dengan pengecas turbo dan ia cukup mengujakan dengan jumlah kuasa maksimum yang mampu dihasilkan sebanyak 600 hp.
Dalam ujian awal yang dijalankan untuk RT 24-P, ia terbukti bukan sahaja sangat laju tetapi juga tahan lasak, seterusnya memberi keyakinan kepada Mazda untuk memberikan prestasi cemerlang dalam perlumbaan yang akan bermula dengan saingan 24 jam di litar Daytona Januari 2017. Kemunculan kenderaan ini pastinya menarik lebih ramai penonton bagi perlumbaan kategori prototaip yang disertainya.
UMW Toyota Motor telah mengumumkan Toyota Camry 2016 sudah bersedia menerima tempahan. Terdapat empat varian yang ditawarkan, yang kesemuanya adalah hasil pemasangan tempatan (CKD) termasuklah varian terdahulu 2.0E. Bagi varian 2.0G, ia kini dikenali sebagai 2.0GX, manakala model 2.5 hybrid ditawarkan dengan model asas Premium dan spesifikasi tertinggi Luxury.
Model yang diperbaharui telah diperkenalkan pada tahun lalu, jadi tiada perubahan daripada sudut mekanikal. Ia masih kekal dengan enjin petrol 6AR-FSE 2.0 liter empat-silinder dengan VVT-iW dan suntikan D-45 bagi varian 2.0E dan 2.0G yang menawarkan output 167 PS pada 6,500 rpm dan 199 Nm pada 4,600 rpm iaitu 17 PS dan 9 Nm lebih berbanding pra facelift. Penjana kuasa ini berkeupayaan menukar kitaran antara Otto (untuk kuasa) dan Atkinson (untuk penjimatan) – dipadankan dengan kotak gear Super ECT enam-kelajuan.
Begitu juga dengan 2.5 hybrid. Dengan enjin petrol 2AR-FXE 2.5 liter VVT-i empat-silinder (160 PS pada 5,700 rpm dan 213 Nm pada 4,500 rpm), digabungkan dengan motor elektrik (143 PS/270 Nm) dengan padanan bateri hidrida logam nikel, jumlah keseluruhan kuasa yang mampu dijanakan mencecah 205 PS. Enjin ini juga dipadankan dengan transmisi e-CVT.
Berbanding dengan model 2015, bagi Camry 2016 ini lebih banyak ditampilkan dengan kit tambahan dan paling utama, ia turut menambahkan lagi elemen keselamatannya. Sama seperti Corolla facelift, Camry 2016 ini memperkenalkan tujuh beg udara (termasuk untuk bahagian lutut pemandu), VSC, kawalan cengkaman, bantuan mendaki bukit dan isyarat berhenti kecemasan untuk semua varian.
Sebelum ini, varian 2.0E hanya didatangkan dengan dua beg udara dan tidak mempunyai VSC, dan walau pun 2.0GX model terdahulu mempunyai senarai elemen di atas, namun masih didatangkan dengan dua beg udara. Jadi barisan baharu Camry ini telah melonjakkan lagi aspek keselamatan yang lebih optimum. Manakala varian 2.5 hybrid masih kekal seperti sebelum ini termasuk dengan Paparan Titik Buta dengan Kepekaan Lintasan Trafik Belakang.
Elemen standard bagi semua varian model facelift ini termasuklah kawalan suhu dwi-zon automatik dengan corong udara pada tempat duduk belakang, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, Isofix untuk tempat duduk belakang, pengesan parkir hadapan dan belakang.
Namun terdapat pertambahan elemen bagi 2.0GX termasuklah roda aloi 17-inci (16-inci bagi model terdahulu) dibaluti tayar 215/55, dua-DIN, unit utama skrin sesentuh tujuh-inci dengan sambungan WiFi. Tidak seperti sistem tujuh-inci pada model hibrid, bagi 2.0GX, ia tidak didatangkan dengan navigasi sebagai standard, dan hanya ditawarkan sebagai opsyen. Juga pengecas tanpa wayar Qi, sama seperti varian hibrid.
Bagi 2.5 hybrid, untuk varian Premium, ia dipadankan dengan roda aloi 16-inci dan tayar 215/60 (17-inci dan 215/55 bagi Luxury) dan didatangkan secara standard sistem audio dan pemain CD (skrin sesentuh tujuh-inci sebagai kit opsyen) dan cermin pandang belakang asas siang/malam (electro-chromic untuk Luxury). Malah Premium juga tidak didatangkan dengan pengecas tanpa wayar, nanoe ioniser dan paparan Titik Buta, tidak seperti Luxury.
UMW Toyota Motor turut mengumumkan harga bagi barisan baharu Camry ini iaitu 2.0E berharga RM152,900 (turun RM2k berbanding model semasa dengan RM154,900) dan 2.0GX pula kini RM159,900 (berbanding RM164,900 bagi model semasa).
Manakala 2.5 Hybrid Premium pula berharga RM164,900, dan RM174,900 bagi 2.5 Hybrid Luxury. Kesemuanya adalah harga atas jalan, termasuk insurans dan GST.