Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Perodua anjur promosi hujung tahun – Ativa dapat rebat RM1.5k, diskaun RM4k untuk Aruz, hingga 31 Dis

    Perodua anjur promosi hujung tahun – Ativa dapat rebat RM1.5k, diskaun RM4k untuk Aruz, hingga 31 Dis

    Perodua kini sedang menganjurkan promosi ‘Rebat Istimewa Hujung Tahun’ untuk pembelian Ativa dan Aruz sehingga 31 Disember 2024. SUV pengecas turbo kompak Ativa diberikan rebat tunai bernilai RM1,500, manakala MPV tujuh-tempat duduk Aruz pula ditawarkan diskaun berjumlah RM4,000.

    Dilancarkan pada Mac 2021, Ativa masih menjadi satu-satunya model Perodua dengan enjin pengecas turbo. SUV segmen-A ini juga merupakan model pertama Perodua yang menggunakan platform DNGA, yang dijanakan enjin 1.0 liter turbo dengan kuasa 98 PS dan tork 140 Nm dari 2,400 hingga 4,000 rpm yang dipadankan bersama kotak gear D-CT, Ativa ditawarkan dengan harga dari RM62,500 untuk model asas X hingga RM73,400 bagi varian tertinggi AV dengan pilihan bumbung hitam.

    Manakala Aruz diperkenalkan pada awal 2019 merupakan MPV tujuh-tempat duduk dengan jarak kelegaan tanah lebuh tinggi berbanding kebanyakan SUV lain iaitu 220 mm. Aruz berbeza dengan abangnya yang juga MPV tujuh-tempat duduk iaitu Alza, kerana ia agak seperti kereta. Untuk yang mahukan kereta dengan pandangan yang lebih jelas dan boleh meredah banjir yang tidak begitu dalam, Aruz memang pilihan yang terbaik.

    Ia diberikan enjin 1.5 liter naturally-aspirated dengan 102 PS/133 Nm, dan kotak gear automatik empat-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke gandar belakang. Passion Red telah dimasukkan sebagai pilihan warna baharu pada akhir 2021.

    Jika berminat, selain berkunjung ke bilik pameran, anda juga boleh menempah menerusi Perodua Online Booking.

     
     
  • Kia Sportage 2025 dibuka tempahan di Malaysia — 1.6T, 7DCT atau 2.0L NA, 6AT; dilancar di KLIMS

    Kia Sportage 2025 dibuka tempahan di Malaysia — 1.6T, 7DCT atau 2.0L NA, 6AT; dilancar di KLIMS

    Pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia, Dinamikjaya Motors telah mengumumkan mula mengambil tempahan bagi SUV Kia Sportage 2025. Selepas penantian yang agak lama untuk model ini, ia bakal ditawarkan sebagai unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang Inokom di Kulim, Kedah.

    Bakal dilancarkan secara rasmi ketika acara Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) Disember nanti, Malaysia akan menerima Sportage generasi kelima (NQ5) dalam versi sebelum facelift terbarunya, yang diperkenalkan pada Jun 2021. Kenapa? Menurut Dinamikjaya, model facelift terbaru yang diperkenalkan bulan ini hanya telah dilancarkan secara eksklusif untuk Korea Selatan sahaja ketika ini.

    “Kami menjangkakan pengenalan model facelift terbaru itu akan dilakukan dalam tempoh dua tahun lagi. Selain itu, kenaikan harga juga mungkin akan berlaku untuk model terkini berkenaan, bukan hanya untuk pasaran Malaysia tetapi untuk pasaran lain juga,” jelas syarikat itu. Pasaran Thailand dan Indonesia juga belum menerima Sportage NQ5 ini.

    Kia Sportage 2025 dibuka tempahan di Malaysia — 1.6T, 7DCT atau 2.0L NA, 6AT; dilancar di KLIMS

    Dari segi spesifikasi, Sportage akan ditawarkan dalam dua versi enjin petrol untuk Malaysia. Yang pertama ialah unit 2.0 liter NA empat-silinder sebaris yang menghasilkan 156 hp dan 192 Nm tork yang digandingkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan.

    Yang kedua ialah unit 1.6 liter turbocas empat-silinder sebaris yang menghasilkan 177 hp dan 265 Nm serta diganding bersama transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan. Belum ada perincian tentang berapa varian yang akan ditawarkan, dan sama ada 2WD atau AWD.

    Untuk kelengkapan, Sportage terbaru ini akan dilengkapi dengan fungsi keselamatan seperti Forward Collision-Avoidance Assist (FCA; AEB), Lane Keeping Assist (LKA), Blind-Spot Collision-Avoidance (BCA), Rear Cross-Traffic Collision Avoidance (RCCA) dan banyak lagi.

    Kia Sportage 2025 dibuka tempahan di Malaysia — 1.6T, 7DCT atau 2.0L NA, 6AT; dilancar di KLIMS

    Lain-lain ciri termasuklah kluster instrumen digital 12-.3-inci serta sistem infotainmen yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay. Varian lebih tinggi juga akan dilengkapi dengan ciri keselesaan lain seperti lampu ambient, kawalan pendingin dua zon dan sistem bunyi Harman Kardon.

    Belum ada perincian harga diberikan setakat ini. Seperti juga Sorento CKD, Sportage ini akan didatangkan dengan jaminan lima-tahun atau 100,000 km dan pakej servis. Sportage akan bersaing dalam segmen yang sama dengan Honda CR-V, Proton X70 dan Mazda CX-5, dan beberapa lagi model pengeluar China.

    Kia Sportage X-line 4WD 2024 di Taiwan

     
     
  • Sime Darby Motors kini dikenali sebagai Sime Motors, UMW sebagai Sime UMW selepas dijenamakan semula

    Sime Darby Motors kini dikenali sebagai Sime Motors, UMW sebagai Sime UMW selepas dijenamakan semula

    Susulan penjenamaan Sime Darby yang kini hanya dikenali sebagai Sime minggu lalu, divisi automotif kumpulan berkenaan kini turut menerima nama baharu. Oleh itu Sime Darby Motors kini dikenali sebagai Sime Motors, manakala subsidiari UMW Holdings yang berjaya diambil alih oleh kumpulan tersebut dengan perolehan saham sebanyak 61.18% pada Disember 2023 kini dikenali sebagai Sime UWM.

    Perubahan ini turut menampilkan slogan baharu kumpulan berkenaan iaitu “Bridging Opportunities”, dan juga logo baharu dengan rekaan lebih moden yang menurut Sime ia adalah untuk “menghormati warisannya yang kaya sambil menonjolkan estetika yang berani dan berfokus pada masa depan.”

    Identiti jenama baharu ini akan mula digunakan secara progresif di semua pusat-pusat operasi Sime dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Menurut Sime, penjenamaan semula ini dibuat adalah sebagai mencerminkan evolusinya dan “fokus strategiknya yang diperbaharui sebagai kuasa utama dalam segmen peralatan automotif dan industri.”

    “Identiti baharu kami menepati tujuan kami untuk membawa produk dan penyelesaian terbaik untuk membolehkan Asia Pasifik bergerak dan membangun. Ia juga menonjolkan keperibadian kami sebagai jenama,” kata CEO kumpulan Sime Datuk Jeffri Salim Davidson.

    “Kami amat teruja dengan prospek yang luas di Asia Pasifik, di mana kami berada di tengah-tengah potensi pertumbuhan yang besar. Transformasi ini membolehkan Sime memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pemegang kepentingan kami sambil mewujudkan identiti yang lebih tersendiri dalam pasaran,” tambahnya lagi.

     
     
  • Polis beri 60% diskaun saman trafik pada 22-24 Nov di Pusat Konvensyen KL sempena program Madani

    Polis beri 60% diskaun saman trafik pada 22-24 Nov di Pusat Konvensyen KL sempena program Madani

    Sempena dengan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 yang akan diadakan pada 22 hingga 24 November 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KL Convention Centre), Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengumumkan penawaran pengurangan bayaran saman trafik sehingga 60% bagi kesalahan terpilih.

    Di mana kaunter pembayaran saman trafik bersama penawaran diskaun ini akan dibuka di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada tarikh berlangsungnya program tersebut, dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di KL, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

    Dengan tema “Madani di Hati, Rakyat Disantuni”, pelbagai aktiviti menarik menanti para pengunjung termasuklah reruai (booth) pameran, perkhidmatan terus kerajaan, sesi interaktif dengan agensi Kerajaan, pameran TVET, karnival kerjaya, jualan Madani dan banyak lagi.

     
     
  • Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah bagi Fasa 1B dijangka bakal siap pada September 2028

    Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah bagi Fasa 1B dijangka bakal siap pada September 2028

    Dalam usaha menyediakan infrastuktur jalan raya lebih baik untuk rakyat negeri Sabah, Fasa 1B Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dijangka siap pada September 2028, laporan Bernama.

    Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya memaklumkan Fasa 1 projek berkenaan terbahagi kepada Fasa 1A yang dijangka siap Oktober 2026 dan Fasa 1B dengan jangka masa yang dinyatakan. Keseluruhan Fasa 1 itu melibatkan 35 pakej bagi pembinaan jalan raya sepanjang 706 km.

    Ketika persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini, beliau turut berkata menerusi Fasa 1 sebanyak empat pakej kerja telah disiapkan, 28 pakej kerja sedang dalam pembinaan, dua pakej kerja dalam peringkat memuktamad perolehan manakala satu pakej kerja dalam peringkat pengeluaran surat setuju terima.

    “Fasa 2 melibatkan jajaran Tamparuli-Ranau dengan anggaran jarak sekitar 98 km dan Fasa 3 jajaran Kimanis-Keningau-Kalabakan-Tawau dengan jarak sekitar 432 km masih di peringkat perancangan. Pelaksanaannya bergantung kepada kelulusan dan keupayaan kewangan kerajaan,” katanya.

    Kenyataan tersebut bagi menjawab soalan Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) berkaitan perkembangan terbaharu dan status terkini pembinaan lebuhraya itu.

     
     
  • Dongfeng Box EV — harga didedah, 95 PS, laju maksimum 140 km/j, jarak hingga 430 km, dari RM101k

    Dongfeng Box EV — harga didedah, 95 PS, laju maksimum 140 km/j, jarak hingga 430 km, dari RM101k

    Dongfeng Box akan dijual secara rasmi untuk pasaran Malaysia tak lama lagi. Jika merujuk hantaran di media sosial pengedarnya, Central Auto Distributors (CADB), pelancaran dijangka akan berlangsung Jumaat ini, 22 November. Bagaimanapun, senarai harga bagi model berkenaan sudah didedahkan.

    Kereta kompak EV Box ini akan ditawarkan dalam dua varian. Paling asas E2 akan dijual dengan harga RM100,700 atas jalan tidak termasuk insurans, sementara E3 yang lebih tinggi spesifikasinya akan dijual dengan harga RM113,700. Ada juga pilihan warna badan dua-tona untuk E3, dengan tambahan RM2,000 menjadi RM115,700.

    Semua model dikuasakan oleh sebuah motor elektrik di bahagian depan yang menghasilkan 95 PS (70 kW) dan 160 Nm tork, membolehkan laju maksimum mencecah 140 km/j. Untuk pasaran tempatan, Dongfeng Box akan menjadi pesaing kepada BYD Dolphin Dynamic Standard Range — dengan janaan kuasa yang sama, tetapi tork yang kurang 20 Nm.

    Dongfeng Box EV — harga didedah, 95 PS, laju maksimum 140 km/j, jarak hingga 430 km, dari RM101k

    Box di Malaysia mempunyai ukuran seperti berikut: 4,000 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,540 mm tinggi dengan jarak roda 2,650 mm. Dari spesifikasi ringkas yang ditunjukkan ketika pra-tonton sebelum ini, model ini menggunakan bateri jenis lithium iron phosphate (LFP).

    Kapasiti baterinya pula ialah 31.45 kWh bagi varian E2, dengan jarak yang boleh dicapai ialah 330 km, sementara varian lebih tinggi, E3 menerima kapasiti bateri 42.3 kWh dengan jarak yang mampu diberikan ialah 430 km (10 km lebih berbanding BYD Dolphin Standard Range) — semua ini mengikut kitaran ujian CLTC versi China.

    Dongfeng tidak mendedahkan input maksimum bagi pengecasan DC bagi Box ini, dengan sekadar memaklumkan bahawa pengecasan dari 30%-80% akan mengambil masa 30 minit. Ini tempoh yang sama untuk E2 dan E3, dengan E3 boleh menampung kapasiti watt yang lebih — jika dilihat untuk pengecasan AC, memang benar: E2 dengan input 3.3 kW sementara bagi E3 dengan input 6.6 kW.

    Jadi, anda rasa Dongfeng Box akan dapat meraih lebih banyak perhatian berbanding BYD Dolphin?

     
     
  • Ford Ranger Super Duty bakal dilancar pada 2026 – dibangunkan di Australia, produksi di Thailand

    Ford Ranger Super Duty bakal dilancar pada 2026 – dibangunkan di Australia, produksi di Thailand

    Ford secara rasminya sudah mengesahkan bahawa trak pikap Ranger bakal menerima satu lagi varian iaitu Ranger Super Duty yang bakal muncul pada 2026. Sebelum ini nama ‘Super Duty’ berkenaan telahpun digunakan pada trak pikap yang lebih besar untuk pasaran Amerika Syarikat iaitu F-Series, dan ia merupakan varian yang dibina untuk kegunaan tugas lebih berat.

    Menurut Ford, ini bukan sahaja kali pertama nama Super Duty akan digunakan pada Ranger, malah sebenarnya ia juga pertama kali digunakan pada model selain dari F-Series. Ford juga menyatakan dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman web rasmi Ford Australia bahawa Ranger Super Duty ini akan menjadi “trak bersaiz sederhana baharu dengan kebolehan melakukan tugas yang trak bersaiz sederhana lain tak boleh lakukan”.

    Ford Ranger Super Duty ini akan dibangunkan dengan kolobrasi terus bersama pelanggan-pelanggan flit jenama tersebut. Ford mendakwa model ini akan memberikan tahap jisim kenderaan kasar (GVM), jisim gabungan kasar (GCM), kebolehan menunda dan juga kebolehan meredah laluan off-road yang lebih tinggi berbanding trak pikap Ranger standard.

    Model ini juga akan disasarkan untuk pelanggan yang terlibat dalam operasi kecemasan, petani, pekerja utiliti dan perhutanan, pelombong, juruteknik infrastruktur dan banyak lagi.

    “Ranger Super Duty menggabungkan ciri pintar dan keselamatan yang lebih maju berbanding Ranger sedia ada kami yang telah memenangi anugerah dengan keupayaan tugas berat dan memberikan apa yang pembeli kami perlukan tetapi tidak mampu diberikan oleh model lain. Kenderaan yang bersedia untuk bekerja ini akan memberikan pemilik fleksibiliti yang mereka perlukan untuk menyelesaikan tugas besar, dengan keyakinan jaminan yang disokong kilang,” kata Sondra Sutton Phung, pengurus besar trak global di Ford Motor Company.

    Pembangunan Ranger Super Duty ini dibuat di Australia oleh pasukan pembangunan produk IMG Ford yang terdiri dari sekumpulan 1,500 pereka, jurutera dan pakar yang kuat. Namun produksinya masih kekal dibuat di Thailand, dan model ini akan dipasarkan di seluruh dunia.

    Ford juga mengesahkan bahawa Ranger Super Duty akan mempunyai kapasiti brek menunda 4,500 kg, iaitu pada tahap yang sama seperti trak pikap saiz penuh seperti Ford F-150, Chevrolet Silverado, Ram 1500 dan Toyota Tacoma. Kadar GVM 4,500 kg dan GCM 8,000 kg juga lebih besar dari Ranger biasa yang menawarkan sehingga 3,350 kg untuk GVM dan 6,400 kg GCM pada Ranger dengan enjin 3.0 liter turbodiesel V6.

    Setakat ini Ford tidak mengumumkan perubahan pada casis atau suspensi dan juga pilihan badan untuk varian baharu ini. Ia juga dijangka bakal tampil dengan saiz yang masih sama seperti Ranger biasa kerana masih kekal dalam kelas trak pikap saiz sederhana yang lebih sesuai digunakan untuk meredah hutan dan kawasan terpencil seperti di Asia.

     
     
  • Aprilia Tuareg Rally diperkenal – kelengkapan dinaik taraf untuk lebih lasak, hampir seperti model rally-raid

    Aprilia Tuareg Rally diperkenal – kelengkapan dinaik taraf untuk lebih lasak, hampir seperti model rally-raid

    Sejak diperkenalkan pada tahun 2021, Aprilia Tuareg 660 sudah mencipta nama dalam perlumbaan rali motosikal seperti Africa Eco Race dan Italian Motorally Championship. Kini, Aprilia mahu memberi manfaat kepada pengguna, melalui pengalaman yang mereka timba dalam dunia perlumbaan dengan memperkenalkan pula Tuareg Rally.

    Secara ringkasnya, ini adalah Tuareg dalam versi lebih lasak, dengan antara kelengkapan barunya adalah seperti skid plate aluminium bentuk baru dan lebih tebal, pelindung tangan lebih tegap dengan rangka besi serta pelindung rantai lebih lasak.

    Kemudiannya untuk membantu kedudukan menunggang model yang dikatakan hampir seperti model lumba rally-raid sebenar ini, ia dipasang dengan tempat duduk 20 mm lebih tinggi serta pemegang yang bukan sahaja lebih tinggi, tetapi juga menggunakan bentuk berbeza.

    Rim, yang terdiri daripada unit 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang dinaik taraf dengan unit spoked daripada Ergal yang lebih lasak dan menggunakan tiub di dalam. Suspensi Kayaba yang sama masih dikekalkan pada Tuareg Rally ini, tetapi springnya ditukar dengan jenis yang mempunyai keupayaan anjal lebih linear, berbanding progresif. Menurut Aprilia, meskipun kualiti tunggangan menjadi lebih keras, ia membantu rasa menunggang di atas jalan offroad dan memberikan kawalan lebih baik kepada penunggang.

    Sebagai pelengkap, Tuareg Rally ini dipasang dengan sistem ekzos SC Project dengan tabung titanium yang lebih agresif serta skema warna replika perlumbaan rali, dengan fork, rim dan pemegang yang berwarna emas. Akhir sekali, tongkatnya dipasang dengan tapak yang lebih lebar.

    Bersama dengan Tuareg Rally ini, Aprilia turut mengumumkan peningkatan yang dibuat pada Tuareg 2025, di mana enjin dua silinder selari DOHC 659 cc padanya menerima throttle body 52 mm, berbanding 48 mm sebelum ini. Tiada sebarang peningkatan kuasa yang diberitahu, tetapi sebelum ini, Tuareg mampu menghasilkan 80 hp pada 9,250 rpm dan 70 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Aprilia Tuareg Rally diperkenal – kelengkapan dinaik taraf untuk lebih lasak, hampir seperti model rally-raid

    Daripada aspek penampilan, hanya sedikit perubahan dibuat pada bahagian panel lampu hadapan, menjadikannya nampak lebih kemas, sementara warna baru yang ditawarkan adalah Tornado Green dan Hailstorm White.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada Tuareg 660 adalah termasuk skrin TFT-LCD 5.0 inci, sistem elektronik yang termasuk ABS, kawalan cengkaman, cruise control serta empat mod tunggangan, brek cakera berkembar dengan angkup Brembo di hadapan dan tangki bahan api berkapasiti 18 liter.

    GALERI: Aprilia Tuareg Rally 2025

    GALERI: Aprilia Tuareg 2025

     
     
  • GV Ride sertai segmen e-hailing di M’sia — yang pertama tawarkan perjalanan EV di Lembah Klang

    GV Ride sertai segmen e-hailing di M’sia — yang pertama tawarkan perjalanan EV di Lembah Klang

    Kini mungkin waktu yang menarik untuk memanfaatkan perkhidmatan e-hailing. Bulan ini saja ada dua perkhidmatan baru yang serupa, masuk pasaran — Bolt dan Lalamove Ride. Kini ada satu lagi pemain baru yang tidak mahu ketinggalan, GV Ride, yang dilancarkan minggu lalu.

    Sudah pun memulakan pra-operasinya pada September lalu, GV Ride ingin menjadi lebih menonjol berbanding pesaingnya dengan menawarkan perkhidmata dengan kereta elektrik bermula bulan depan, lapor New Straits Times.

    Dalam laporan tersebut, CEO GV Car Ventures (GVV), Kabeer Maand memaklumkan syarikat itu mensasarkan untuk menggerakkan 2,500 unit EV bermula di Lembah Klang, dengan perbincangan bersama pembekal dari China sedang berlangsung dalam fasa pertama. “Ini merupakan antara usaha syarikat untuk memperluas peniagaan kami dan dalam masa yang sama mempromosi penggunaan EV dalam industri e-hailing,” ujarnya.

    Kabeer menambah, GV Ride — yang membolehkan pelanggan tawar-menawar harga dengan pemandu — hanya mengenakan caj 9% komisen bagi setiap tempahan, bernbanding 20% untuk Grab. “Kami ketika ini mempunyai 15,000 pemandu berdaftar, dan mensasarkan untuk meningkatkan angka tersebut kepada 50,000 menjelang akhir tahun ini,” jelasnya.

    Kabeer added that GV Ride – which also enables customers to negotiate fares with drivers – only charges drivers a nine per cent commission per booking, compared to 20% for the likes of Grab. “We currently have 15,000 registered drivers, and we aim to increase this number to 50,000 by the end of the year,” he said.

    Ahli Exco Selangor bagi Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han yang merasmikan pelancarannya berkata, GV Ride menyediakan pilihan yang lebih baik kepada pelanggan, terutamanya di negeri itu. “Perkhidmatan e-hailing merukan komponen penting dalam ekosistem pengangkutan negara bersama dengan keretapi, bas dan kenderaan persendirian. Kami berbesar hati untuk melihat sebuah lagi syarikat e-hailing tempatan meneroka bidang ini dan meneroka perkhidmatan kepada rakyat,” ujarnya.

    Ketika acara, GVV menandatangani MoU bersama beberapa rakan niaga, termasuk Zlata Resources untuk pelindungan insurans pemandu, Sejamas World untuk bateri kenderaan, Network EV untuk pengecas EV dan Persatuan Pemandu E-Hailing Utara (NeHDA) untuk sokongan di bahagian Utara.

    Bagi meraikan pelancarannya, GV Ride menawarkan satu juga perjalanan percuma kepada pelanggan, asalnya perjalanan itu bernilai RM15 ke bawah.

     
     
  • Projek pembinaan MRT3 dijangka bermula 2027 – CEO

    Projek pembinaan MRT3 dijangka bermula 2027 – CEO

    Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim memaklumkan pembinaan di tapak projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) hanya dijangka bermula pada 2027 iaitu setelah syarikat tersebut
    menyelesaikan proses pemerolehan tanah, laporan Bernama.

    Katanya lagi, ketika ini proses berkenaan sedang berjalan dengan pemeriksaan awam akan dilaksanakan hingga 2 Disember 2024. Selepas daripada itu baru pihaknya boleh memuktamadkan laluan dan memulakan proses pemerolehan tanah yang dijangka mengambil masa 24 bulan iaitu hingga tahun 2026.

    “Kami (MRT Corp) berharap menjelang 2027, kerajaan akan mempunyai cukup kapasiti untuk meneruskan projek ini. Itu sasaran peribadi saya tetapi ia bergantung kepada keadaan ekonomi. Seperti yang kita tahu ekonomi semakin pulih, jadi beri masa beberapa tahun lagi dan saya rasa ia akan jadi landasan kukuh untuk kita memulakannya,” katanya.

    Pada Mac tahun lalu, kerajaan memaklumkan masih belum memuktamadkan keputusan mengenai cadangan pelaksanaan projek MRT3 yang dianggarkan dengan kos RM50.2 bilion bagi melengkapkan rangkaian rel bandar di Kuala Lumpur.

    Projek pembinaan MRT3 dijangka bermula 2027 – CEO

    Pada Mac 2022, peta rasmi MRT3 yang didedahkan menunjukkan terdapat 31 stesen termasuk hab utama di Titiwangsa, tetapi tidak termasuk dua stesen pinggiran yang turut disenaraikan (Salak Jaya dan Bukit Kiara).

    Bermula dari Titiwangsa di KL dan menuju arah Setapak, stesen yang terlibat termasuklah Kampung Puah, Jalan Langkawi, Danau Kota, Setapak, Rejang, Setiawangsa, AU2, Taman Hillview, Tasik Ampang, Kampung Pandan, Pandan Indah dan Taman Kencana. Jalur dengan stesen lain termasuklah di sekitar Cheras, melibatkan Taman Cheras (a.k.a. Yulek), Taman Midah, Jalan Yaacob Latif dan Sri Permaisuri.

    Laluan kemudiannya menuju ke Salak Selatan, Salak Jaya, Kuchai dan Jalan Klang Lama. Ia kemudiannya masuk ke kawasan Lembah Pantai, melibatkan stesen Pantai Dalam, Pantai Permai, Universiti dan UM. Laluan terakhir pula melibatkan Bukit Kiara South, Bukit Kiara, Sri Hartamas dan Mont Kiara sebelum menuju ke Bukit Segambut, Taman Sri Sinar (berdekatan Kepong), Dutamas dan Jalan Kuching sebeluk kembali semula ke Titiwangsa.

    Kitaran Jajaran MRT3 melibatkan jarak 50.8 km panjang, dengan 10.7 km daripadanya akan melibatkan laluan bawah tanah. Berdasarkan peta rasmi ini, seksyen laluan bawah tanah adalah dari Rejang ke Setiawangsa, Universiti ke Bukit Kiara Selatan (stesen UM di bawah tanah) dan dari Sri Hartamas hingga berdekatan stesen Jalan Kuching. Hampir semua jajaran ini (39 km) berada di KL manakala bakinya di Selangor.

     
     
  • Hyundai Ioniq 9 EV akan didedah 21 November ini di LA – SUV elektrik tiga baris tempat duduk, dibuat di AS

    Hyundai Ioniq 9 EV akan didedah 21 November ini di LA – SUV elektrik tiga baris tempat duduk, dibuat di AS

    Menyusuli teaser yang dikeluarkan sebelum ini, kita diberitahu bahawa Hyundai Ioniq 9 akan didedah sewaktu AutoMobility LA – Los Angeles Auto Show 21 November ini. SUV elektrik tiga baris tempat duduk ini akan didedah oleh bakal presiden dan CEO Hyundai Motor Company (bermula 1 Januari 2025), Jose Munoz.

    “Ioniq 9 yang berada di kelas atas dan sedia untuk pengembaraan ini akan menampilkan bahagian dalam luas, rekaan aerodinamik moden, jarak gerak meyakinkan dan tanda unik lampu digital pixel keluarga Ioniq,” kata beliau.

    “Bentuk aerodinamik Ioniq 9, lekuk yang cantik dan saiz besarnya dibangunkan untuk mencipta satu bentuk padu yang nampak berseni. Parametric Pixels tersendiri Ioniq diterapkan secara kemas kepada permukaan ratanya. Di dalam, bentuk-bentuk bulat memanjang mengalir merata-rata, mencipta satu suasana yang menenangkan dan menyenangkan. Ioniq 9 menjanjikan ruang rehat untuk anda dan yang tercinta,” kata timbalan presiden kanan dan ketua Hyundai Design Center, Simon Loasby.

    Sejak model konsep Seven didedahkan pada tahun 2021, kita tertunggu-tunggu SUV besar yang akan terletak paling tinggi dalam barisan model EV Ioniq. Awalnya ia dijangka menggunakan nama Ioniq 7, seperti model konsep itu, tetapi teaser pertama yang didedahkan bulan lepas menampakkan nama Ioniq 9.

    Gambar teaser itu juga memberi gambaran rekaan mirip dengan kereta konsep yang dipamerkan dulu. Perincian seperti DRL Parametric Pixel (di sini hadir dengan rekaan perumah lampu depan yang lebih besar), tiang D yang lebih tebal serta bahagian belakang yang agak tegak. Lipatan tajam di belakang yang mengambil ilham dari hanbok juga dikekalkan.

    Pendekatan rekaan Aerosthetic yang ada selebihnya terpapar pada SUV ini mengambil inspirasi daripada bot, dengan satu garis lengkung untuk bumbung dan jarak roda yang panjang menggambarkan ruang dalaman yang selesa untuk kabinnya. Rekaan lain, seperti turbin, digunakan untuk rim aloinya, dengan rekaan pemegang pintu yang tersembunyi dan lampu belakang menegak berbentuk T.

    Menggunakan Electric Global Modular Platform (E-GMP) dengan Ioniq 5 dan 6, kereta ini dijangkan menggunakan spesifikasi mekanikal yang sama dengan kembarnya, Kia EV9, yang hadir dengar varian tertinggi GT-Line dengan pacuan semua roda dan menjana 385 PS (283 kW), 700 Nm dengan jarak perjalanan 505 km melalui bateri 99.8 kWh.

     
     
  • Mitsubishi buka pusat 4S kedua di Sarawak

    Mitsubishi buka pusat 4S kedua di Sarawak

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) dan Auto Pacifica Sdn Bhd telah membuka pusat 4S Mitsubishi Motors yang kedua di Sarawak, yang juga merupakan cawangan ke-lapan di Malaysia.

    Terletak di Lot 4168, Blok 24, Jalan Datuk Mohd Musa, 94300 Kota Samarahan, fasiliti seluas 21,700 kaki persegi ini berada di jalan utama Kota Samarahan-Kuching. Ia dilengkapi ruang lounge dengan kemudahan WiFi, sudut permainan kanak-kanak, pusat servis dan fasiliti mengetuk dan mengecat kenderaan.

    “Memandangkan MMM memperkenalkan model Mitsubishi Motors baharu di Malaysia, matlamat kami adalah untuk meningkatkan keselesaan pelanggan dengan mengembangkan rangkaian bilik pameran dan pusat servis kami. Pembukaan bilik pameran baharu di Kota Samarahan ini merupakan langkah strategik ke arah mencapai lokasi yang belum diterokai dan meluaskan perkhidmatan kami kepada khalayak yang lebih ramai.

    “Auto Pacifica telah menjadi rakan kongsi dipercayai Mitsubishi sejak 2009, dan ini merupakan cawangan ketiga mereka di Sarawak. Dengan kemudahan bilik pameran moden dan peralatan perkhidmatan canggih, kami yakin pelanggan Mitsubishi kami di Kota Samarahan akan menerima perkhidmatan dan sokongan yang luar biasa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MMM Shinya Ikeda.

     
     
  • Insentif bagi pengecasan EV akan diteruskan — MITI

    Insentif bagi pengecasan EV akan diteruskan — MITI

    Kerajaan akan terus memberikan insentif bagi pembangunan prasarana pengecasan EV walaupun perkara tersebut tidak disebutkan dengan spesifik dalam Belanjawan 2025, lapor Bernama.

    Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), program Green Investment Tax Allowance (GITA) memberian pengecualian cukai 100% bagi pengendali pengecasan (CPO) yang menepati kriteria, dalam bentuk Elaun Cukai Pelaburan bagi tempoh lima tahun, yang boleh digunakan untuk menampung sehingga 100% pendapatan berkanun bagi setiap tahun taksiran.

    “Sebagai tambahan, insentif dalam bentuk pengecualian cukai pendapatan juga ditawarkan kepada syarikat pengeluaran kelengkapan pengecasan EV ke tas pendapatan berkanun dari tahun taksiran 2023-2032,” jelas MITI.

    Perkara ini dinyatakan dalam jawapan bertulis oleh kementerian tersebut secara dalam talian di laman web parlimen semalam kepada soalan oleh Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.

    Insentif bagi pengecasan EV akan diteruskan — MITI

    MITI turut memaklumkan yang kerajaan menjangkakan sekurang-kurangnya 400,000 kenderaan elektrik penumpang dan komersial (termasuk hibrid, plug-in hybrid, bateri-elektrik dan fuel-cell elektrik) akan berada di atas jalan Malaysia menjelang 2030. Angka semasa ialah 33,319 unit setakat 30 September lalu. Bagi keseluruhan tahun 2023 pula ialah 35,723 unit.

    Sementara itu, sebagai sokongan kepada pembangunan EV Charging Bay (EVCB), kementerian berkenaan memaklumkan bahawa anak syarikat Petronas, Gentari dan Tenaga Nasional Berhad telah memberi komitmen untuk melabur dan telah membelanjakan sekitar RM76 juta sehingga Jun 2024.

    Dengan penglibatan kewangan yang besar daripada kedua-dua syarikat itu, lebih banyak EVCB akan dibina di seluruh negara, dan disokong oleh CPO (kini ada 30 keseluruhannya) yang turut akan menyediakan perkhidmatan pengecasan EV.

    “Pembangunan positif ini telah membantu melonjakkan keyakinan peminat EV untuk membeli dna menggunakan kenderaan jenis ini,” tambah MITI.

     
     
  • Polis Kelantan beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 25-28 Nov 2024 di BSPTD, IPD Pasir Mas

    Polis Kelantan beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 25-28 Nov 2024 di BSPTD, IPD Pasir Mas

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pasir Mas, Kelantan, mengumumkan pengurangan bayaran saman trafik sehingga 50% bagi kesalahan terpilih pada 25 hingga 28 November 2024.

    Di mana kaunter pembayaran saman trafik bersama penawaran diskaun ini akan dibuka di Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD), Kompleks IPD Pasir Mas. Ia akan dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 4 petang pada 25 hingga 27 November. Walau bagaimana pun, untuk 28 November pula, kaunter beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 11 pagi kerana ia ditutup awal bagi proses audit dan pengiraan penutupan akaun bulan ini.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di sekitar Pasir Mas atau daerah berhampirannya, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • Toyota Tundra versi pemanduan sebelah kanan mula dijual di Australia; varian Limited bermula RM454k

    Toyota Tundra versi pemanduan sebelah kanan mula dijual di Australia; varian Limited bermula RM454k

    2025 Toyota Tundra Limited

    Selepas menerima kelulusan dari Toyota Motor Corporation di Jepun pada September lalu, Toyota Tundra versi pemanduan sebelah kanan (RHD) kini secara rasmi telah pun dijual pada pasaran Australia. Trak pikap yang jauh lebih besar dari Hilux ini ditawarkan hanya dalam satu varian ketika dilancarkan iaitu Tundra Limited, dijual pada harga bermula AUD$155,990, atau sekitar RM454k.

    Kerja-kerja kejuruteraan semula yang dibuat bagi mengubah model pemanduan sebelah kiri (LHD) yang dibuat di Amerika Syarikat kepada versi RHD ini telah dibuat oleh Walkinshaw Automotive Group, dan ia diproduksi di fasiliti syarikat tersebut yang terletak di Melbourne, Australia. Toyota mengesahkan bahawa ini merupakan kali pertama ia bekerjasama dengan pihak ketiga dalam projek sedemikian.

    Toyota Tundra dihasilkan menerusi platform ladder frame TNGA-F, iaitu platform yang sama dengan Land Cruiser 300 Series dan juga Land Cruiser Prado generasi baharu. Oleh itu banyak komponen dari dua model tersebut dapat digunakan pada Tundra RHD ini, antaranya adalah sistem stereng kuasa elektrik yang diambil dari Land Cruiser 300 dan pelbagai lagi.

    Toyota Tundra versi pemanduan sebelah kanan mula dijual di Australia; varian Limited bermula RM454k

    2025 Toyota Tundra Limited

    Toyota Tundra Limited pasaran Australia ini digerakkan dengan unit rangkaian kuasa hibrid i-Force Max yang menghasilkan kuasa keseluruhan 437 hp dan tork maksima 790 Nm. Ia menggandingkan enjin petrol V35A-FTS 3.5 liter V6 turbo dan juga unit motor elektrik (juga berfungsi sebagai generator) yang diletakkan di antara enjin dan transmisi.

    Motor generator tersebut menerima kuasa yang dibekalkan oleh bateri hibrid nikel-logam 288-volt yang disimpan di bawah tempat duduk belakang. Manakala kuasa dialirkan ke roda menerusi sistem 4WD separa-masa dengan transfer case jenis dual range. Tundra pasaran Australia ini juga mempunyai kapasiti brek tunda setinggi 4.5 tan, kebolehan menunda sehingga 3.5 tan, manakala bed belakang boleh membawa beban sehingga 758 kg.

    Antara perincian standard untuk Toyota Tundra Limited pasaran Australia ini termasuk rim aloi 20-inci, lampu hadapan LED, tempat duduk balutan kulit dengan larasan elektrik, pemanas dan liang pengudaraan, skrin infotainmen 14-inci dengan sokongan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto hubungan wayar, sistem bunyi dengan 12-pembesar suara dari JBL, penghawa dingin dua-zon dan pengawal brek treler.

    Toyota Tundra versi pemanduan sebelah kanan mula dijual di Australia; varian Limited bermula RM454k

    2025 Toyota Tundra Limited

    Untuk keselamatan, Toyota Tundra Limited ini hadir dengan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense, menampilkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, bantuan stereng kecemasan, cruise control adaptif, bantuan mengesan garis jalan, amaran keluar lorong, lampu tinggi automatik, pemantau titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang.

    Ia juga diberikan kamera pemantau panaromik dan juga kamera undur. Ia turut menerima cermin pandang belakang digital yang menggunakan kamera bagi memberikan pandangan belakang sepenuhnya walaupun bahagian belakang dipenuhi dengan barang.

    Sembilan warna badan disediakan untuk Toyota Tundra pasaran Australia ini termasuk Glacier White, Frosted White, Graphite, Silver Storm, Eclipse Black, Feverish Red, Vintage Brown Pearl, Jungle Khaki dan Saturn Blue.

     
     
  • Pemandu rali Rusia ke WRC Rally Japan dengan livery ‘Kedai Tauhu Fujiwara’ pada Citroen C3 Rally2

    Pemandu rali Rusia ke WRC Rally Japan dengan livery ‘Kedai Tauhu Fujiwara’ pada Citroen C3 Rally2

    Nikolay Gryazin, pemandu rali dari Rusia (tetapi memegang lesen memandu dari Bulgaria) hadir ke pusingan terakhir Kejuaraan Rali Dunia (WRC) tahun ini iaitu Rally Japan 2024 dengan kejutan apabila jentera rali Citroen C3 Rally2 yang dipandunya mengenakan warna badan putih-hitam ‘Panda’, seperti Toyota Sprinter Trueno AE86 milik watak utama dalam anime Jepun, Initial D.

    Tema warna berkenaan menggantikan warna merah-putih-hitam dengan tajaan dari syarikat minyak pelincir Yacco sebelum ini. Menurut laman Facebook rasmi Forum8 Rally Japan, Gryazin memilih warna panda pada kereta ralinya kali ini kerana beliau begitu menggemari siri animasi berkisar perlumbaan jalan raya dari Jepun berkenaan.

    Livery baharu berkenaan terdedah ketika Gryazin melakukan ujian sebelum berlangsungnya Rally Japan 2024 di jalan-jalan bukit sekitar wilayah Aichi dan Gifu hujung minggu ini. “Kereta rasa bagus walaupun di atas permukaan jalan yang licin. Rally Japan ada banyak selekoh kelajuan rendah, dan ia agak sukar untuk membuat strategi. Sasaran saya adalah untuk menang WRC2!” katanya.

    Gryazin berada dalam kedudukan keempat dalam carta pungutan mata bagi kelas WRC2 musim ini. Namun dia merupakan antara pelumba yang berpeluang untuk menjadi juara kelas tersebut selain pemandu Toyota, Sami Pajari yang berada di tangga ketiga.

    Ini kerana pendahulu kejohanan, Oliver Solberg dan Yohan Rossel yang berada di tempat kedua sudah melengkapkan tujuh pusingan dari 13 pusingan untuk musim ini. Bagi kelas WRC2 iaitu satu kelas di bawah kategori utama Rally1, pelumba hanya diberikan peluang untuk mengutip mata dalam 7 pusingan sahaja, salah satunya adalah untuk mengekalkan kejohanan ini boleh disertai dengan kos lebih rendah.

     
     
  • MAA naikkan jangkaan TIV Malaysia kepada 800k unit

    MAA naikkan jangkaan TIV Malaysia kepada 800k unit

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA), meningkatkan jangkaan jumlah keseluruhan industri (TIV) 2024 untuk jualan kenderaan baru di Malaysia kepada 800,000 unit – lapor Bernama.

    Ini bersamaan peningkatan sebanyak 35,000 unit berbanding jangkaan yang dibuat pada bulan Julai sebanyak 765,000 unit, sementara pada bulan Januari ia disasarkan cuma berada pada 740,000 unit. Keyakinan MAA ini membawa kepada persoalan, adakah catatan sebenar nanti akan memecahkan rekod 799,731 unit yang dibuat pada tahun 2023?

    Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, ramalan positif untuk beberapa bulan ke hadapan ini dipacu oleh promosi semasa yang dibuat oleh pengeluar kenderaan.

    MAA naikkan jangkaan TIV Malaysia kepada 800k unit

    “Mencapai sasaran asal 765,000 unit sepatutnya tidak menjadi masalah. Malah, saya menjangkakan jumlah yang sedikit lebih tinggi, mencecah 800,000 unit. Sasaran asal 765,000 unit itu dibuat pada bulan Mei dan Julai, sewaktu kami menjangkakan momentum menurun.

    “Walaubagaimanapun, kami tidak mengambil kira sepenuhnya tempahan tertunda, terutamanya untuk model tertentu, dan daripada pengeluar kenderaan tempatan,” kata beliau sewaktu sidang media di majlis pelancaran Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024.

     
     
  • Lori rempuh 11 kereta, sebuah motosikal di MRR2

    Lori rempuh 11 kereta, sebuah motosikal di MRR2

    Ada lagi satu kemalangan terbaru yang melibatkan sebuah lori dan beberapa kenderaan. Tengahari semalam, sebuah lori lima-tan telah merempuh 11 kereta dan sebuah motosikal di Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2). Tiga orang mengalami cedera ringan, dan tiada yang terkorban.

    Bernama melaporkan bahawa semua mangsa adalah warga negara yang berumur antara 43 hingga 65 tahun, dan telah diserahkan kepada pegawai kesihatan untuk rawatan lanjut.

    Menurut Pembantu Pengarah Operasi Bomba Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian berkenaan pada pukul 3.09 pm semalam. Tujuh anggota bomba dari stesen Selayang telah digerakkan ke tempat kejadian dengan dua jentera bomba, dan semua operasi menyelamat selesai pada pukul 4.43 pm.

    Lori rempuh 11 kereta, sebuah motosikal di MRR2

    Melalui gambar yang ada, kejadian tersebut bukanlah terlalu asing berlaku di Malaysia. Beberapa kenderaan tersepit di antara satu sama lain — mungkin ketika mengikuti dari belakang dengan jarak dekat — sebelum satu daripadanya melakukan brek kecemasan, dan yang lain tidak sempat memberi reaksi yang sama.

    Selalu ingat untuk tidak mengekori dari dekat kenderaan di depan anda. Selalu juga biarkan ada jarak selamat dengan kereta di depan. Jika adan yang memantu dengan rampat di depan atau di belakang anda, biar mereka pergi jauh terlebih dahulu. Lebih penting, berikan tumpuan sepenuhnya kepada jalan dan terhadap pemanduan. Jangan mengalih perhatian kepada telefon misalnya.

    Kejadian ini adalah tambahan terbaru kepada kejadian serupa melibatkan lori sebelum ini. Minggu lalu sahaja ada dua kejadian berasingan, satu di Bukit Mertajam dan satu lagi di Simpang Renggam. Tumpu sepenuh perhatian dan berhati-hati di jalan raya.

     
     
  • Kereta pengiring VIP langgar kereta awam dalam hujan

    Sebuah kereta polis yang dipercayai sedang mengiringi seorang VIP telah melanggar belakang kereta sebuah Proton Saga di KM 259 Lebuhraya PLUS, ketika cuaca hujan dan jalan basah pada 16 November lalu. Bernama melaporkan yang PDRM sedang menyiasat kemalangan tersebut.

    Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata bahawa jabatan tersebut tahu tentang kemalangan yang melibatkan dua kenderaan itu dan sedang melalukan siasatan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut diminta untuk menyalurkan maklumat tersebut bagi membolehkan siasatan di selesaikan,” jelas beliau.

    Dalam sebuah video yang beredar di media sosial, yang datang dari dashcam Saga terlibat itu menunjukkan sebuah Proton X70 polis sedang membuka laluan bagi konvoi mereka dalam keadaan hujan lebat dan pandangan terhad akibat cuaca buruk.

    Sebuah kenderaan warna gelap dengan lampu strob kemudian mengikut dengan kelajuan yang sama, menukar lorong dan kemudian melanggar Saga berkenaan. Seorang kanak-kanak kemudiannya terdengar menangis sebelum video itu dipotong untuk menunjukkan bahagian belakang Saga yang remuk teruk. Sebuah Toyota Camry yang tidak terlihat dalam video juga difahamkan mengalami kerosakan lampu depan sebelah kirinya pecah — puncanya belum diketahui.

     
     
  • Hyundai Elantra N TCR Edition diperkenal – model edisi khas ‘replika’ jentera lumba untuk jalan raya!

    Hyundai Elantra N TCR Edition diperkenal – model edisi khas ‘replika’ jentera lumba untuk jalan raya!

    Hujung minggu lalu pemandu pasukan BRC Hyundai Squarda Corse, Norbert Michelisz berjaya mempertahankan gelaran juara dunia kejohanan TCR World Tour buat kali kedua berturut-turut pada pusingan terakhir siri tersebut untuk musim 2024 di Macau. Mungkin sudah menjangkakan keputusan berkenaan, Hyundai terus memperkenalkan edisi istimewa untuk Elantra N iaitu Elantra N TCR Edition, ‘replika’ untuk jalan raya bagi jentera lumba Elantra N TCR yang dipandu oleh Norbi.

    Jadi berbanding Elantra N biasa, model TCR Edition ini diberikan beberapa perincian yang menyerupai kereta lumba sebenar Elantra N TCR. Ia termasuk spoiler GT belakang dengan tiang ‘tengkuk angsa’ bersama sayap boleh laras, rim aloi forged 19-inci dan juga set brek hadapan empat omboh N Performance. Manakala untuk pelanggan di Korea Utara, mereka juga boleh memilih grafik badan TCR Edition yang mirip dengan livery perlumbaan kereta-kereta lumba Hyundai N.

    Untuk sebelah dalam, Elantra N TCR Edition ini diberikan perincian istimewa seperti roda stereng balutan Alcantara dengan penanda pukul 12 berwarna Performance Blue, tali pinggang keledar juga berwarna Performance Blue dan juga lencana eksklusif TCR Edition.

    Hyundai Elantra N TCR Edition diperkenal – model edisi khas ‘replika’ jentera lumba untuk jalan raya!

    Walau bagaimanapun, Hyundai tidak menyebut sebarang peningkatan prestasi mahupun pengendalian Elantra N TCR Edition ini. Oleh itu ia sudah tentu masih dijana oleh unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin 2.0 liter empat silinder turbo dengan sistem suntikan terus yang menghasilkan 280 PS dan tork maksima 392 Nm.

    Pada pasaran tertentu, Elantra N datang dengan pilihan transmisi sama ada kotak gear klac berkembar automatik DCT lapan-kelajuan atau manual enam-kelajuan bagi memacu roda hadapan serta diberikan e-LSD secara standard. Namun Hyundai juga tidak memperincikan sama ada pilihan yang sama turut ditawarkan pada TCR Edition ini atau tidak.

    Hyundai Elantra N TCR Edition diperkenal – model edisi khas ‘replika’ jentera lumba untuk jalan raya!

    Model yang dilengkapi kotak gear DCT turut diberikan fungsi N Grin Shift (NGS) yang memberikan lebih tujahan boost selama 20 saat dengan satu sentuhan butang bagi menghasilkan kuasa maksima 290 PS. Dengan sistem Launch Control, ia boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat, sebelum mencatatkan kelajuan maksima 250 km/j. Manakala untuk model manual, ia diberikan mod rev-match automatik membolehkan gear diturunkan dengan agresif tanpa memerlukan kemahiran heel & toe.

    Model istimewa ini akan mula dijual di Korea Selatan bermula Disember ini, manakala untuk pasaran global ia akan mula ditawarkan pada tahun hadapan.