Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Proton sudah jual lebih 230,000 unit SUV sejak 2018

    Proton sudah jual lebih 230,000 unit SUV sejak 2018

    Ketika melancarkan Proton X70 pada Disember 2018, ia bukan sahaja era di mana Proton mula menjual model-model yang diasaskan dari Geely, malah ia juga merupakan detik permulaan di mana jenama automotif nasional berkenaan mula masuk ke segmen SUV. Dan ketika melancarkan X70 facelift 2025 hari ini, CEO Proton Dr. Li Chunrong mengumumkan bahawa syarikatnya kini merupakan jenama SUV no.1 di Malaysia dengan jumlah jualan kenderaan dalam segmen itu sudah pun melebihi 230,000 unit.

    Selain dari SUV segmen-C X70, sehingga kini Proton telahpun mempunyai dua lagi model SUV segmen-B Proton X50 dan SUV segmen-D Proton X90 yang kini dijual di jaringan pengedarnya. Dan dari ketiga-tiga model tersebut, X50 merupakan model paling laris dengan angka jualan yang sudah pun mencecah 120,000 unit sejak ia dilancarkan pada Oktober 2020.

    Versi tingkat taraf X50 RC juga baru sahaja dilancarkan pada Jun lalu, dan menurut Proton tempahannya kini sudahpun mencacah 13,000 unit. Untuk bulan Julai sahaja sebanyak 2,585 unit X50 telah berjaya diserahkan kepada pembeli. Ini menjadikan jumlah jualan kumulatif dari Januari hingga Julai tahun ini telah pun mencapai 12,789 unit, dan kekal sebagai SUV paling laris di Malaysia dengan pegangan pasaran sebanyak 10.3%

     
     
  • Proton X70 facelift 2025 dilancar – RM99k-RM127k, ADAS Tahap 2, Android Auto dan Apple CarPlay

    Proton X70 facelift 2025 dilancar – RM99k-RM127k, ADAS Tahap 2, Android Auto dan Apple CarPlay

    Selepas didedahkan dan tempahannya dibuka awal bulan ini, hari ini Proton X70 facelift 2025 dilancarkan secara rasmi. Model ini ditawarkan dalam empat varian berbeza bermula Standard dijual pada harga RM98,800, Executive berharga RM110,800, Premium berharga RM123,800 dan Premium X berharga RM126,800. Kesemua angka yang dinyatakan ada harga atas jalan tanpa insuran.

    Oleh itu tiada sebarang peningkatan harga pada model tingkat taraf ini, sementara Proton mendakwa bahawa kesemua penambahbaikkan yang diberikan pada X70 facelift ini sebenarnya bernilai RM13,700. Malah Proton turut menawarkan pakej istimewa untuk 3,000 pelanggan pertama model ini yang memberikan rebat tunai sebanyak RM7,000 dan juga sokongan trade-in bernilai RM2,800.

    Ya, pilihan variannya kini kurang satu berbanding model MC2 sebelumnya yang ditawarkan dalam lima varian. Ini kerana susunan kelengkapan tersebut telah dirombak untuk versi facelift terbaharu ini di mana Proton X70 tidak lagi menawarkan pilihan enjin 1.8 liter T-GDI dan juga sistem pacuan semua roda dalam mana-mana pilihan varian.

    Jadi kesemua varian Proton X70 facelift ini dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDi) yang menghasilkan kuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Kuasa disalurkan hanya pada roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7DCT yang telah dikemaskini.

    Walaupun angka kuasa masih nampak sama, Proton menyatakan bahawa unit rangkaian kuasa pada X70 facelift ini telah dikemaskini dan dapat memberikan penggunaan bahan api 7.3 liter setiap 100 km, atau 4% lebih rendah dari model MC 2022. Ia dapat dicapai menerusi penambahbaikkan dibuat pada keberkesanan pembakaran, pengurusan haba dan pengurangan geseran, secara tidak langsung turut memberikan kadar NVH yang lebih rendah.

    Facelift kali ini juga memberikan rombakan pada bahagian rupa luaran paling besar berbanding versi pertama yang dimula diperkenalkan pada 2018. Bampar hadapan, fender sisi, lampu utama, gril dan juga penutup bonet semuanya baharu dengan hampir kesemua rekaan yang disalin dari Geely Boyue facelift yang didedahkan pada 2022.

    Ia dimulakan dengan pemadanan lampu hadapan dengan rekaan lebih nipis dan bersegi dari sebelum ini, serta menggunakan teknologi LED sepenuhnya dengan rekaan tiga kluster berbeza di dalam perumah — dengan 47 unit lampu LED digunakan, lengkap dengan lampu nyalaan siang.

    Perubahan lampu tersebut turut diselarikan bersama fender hadapan berbeza bagi disesuaikan dengan bentuk baru berkenaan. Bonet hadapan pula menampilkan rekaan yang lebih berotot, manakala bampar hadapan datang dengan kemasan liang udara yang nampak lebih lebar. Untuk gril, Proton menghasilkan gril lebih unik berbanding Boyue dengan rekaan pin krom diinspirasikan dari corak kain songket seperti pada gril sedan S70 dan SUV segmen-D X90.

    Bukan hanya gril, Proton turut menghasilkan rekaan bampar belakang X70 facelift ini yang berbeza dari Boyue, menampilkan reflektor melintang seperti diinspirasikan dari rekaan pada Perdana V6 dan Perdana ‘Accord’ sebelum ini, bersama liang udara tambahan pada setiap sisi. Secara keseluruhan, rekaan semula pada bampar belakang tersebut memberikan rupa seakan ia lebih labuh dari sebelum ini.

    Ada dua rekaan rim baru untuk Proton X70 2025: bagi varian Premium dan Premium X, rim yang diberikan bersaiz 19-inci, manakala untuk Executive bersaiz 18-inci, dengan kedua-dua saiz ini datang dengan rekaan yang berbeza. Varian paling asas iaitu Standard masih dibekalkan dengan rim 17-inci lama.

    Beralih pada sebelah kabin, Proton X70 facelift ini masih diberikan rekaan asas yang masih sama seperti sebelum ini, tetapi diberikan beberapa kemasan dan tema warna berbeza bagi menyegarkan penampilannya, bersama pelbagai tingkat taraf kelengkapan yang lebih baik.

    Benda pertama yang jelas dilihat berbeza adalah roda stereng yang kini menggunakan unit rata di bawah sama seperti pada model-model terkini Proton seperti S70 dan X90. Pemandu juga menerima kluster paparan instrumen kombinasi digital LCD dengan rupa yang telah dikemaskini.

    Proton X70 facelift 2025 dilancar – RM99k-RM127k, ADAS Tahap 2, Android Auto dan Apple CarPlay

    Skrin untuk sistem infotaimen juga kini lebih besar dengan saiz 12.3-inci dan ia berbentuk segi empat sebenar berbanding bentuk seperti ‘mangkuk’ sebelum ini. Dengan perubahan skrin tersebut, perapi tengah papan pemuka tersebut juga berubah.

    Dan sekali lagi Proton menampilkan rekaan unik yang tidak sama seperti Boyue, dan ia menampilkan kemasan hitam berkilat bersama lampu suasana 72-warna bina-dalam dengan grafik seakan rekaan gril songket di hadapan pada kemasan perapi tersebut, yang boleh menyala mengikut ritma lagu yang dimainkan sistem audio.

    Liang penghembus penghawa dingin pula kini sudah berwarna hitam berbanding warna Perak sebelum ini. Ia disesuaikan dengan upholsteri kulit Nappa dalam kemasan Stone Grey bagi menggantikan warna perang, dan hanya untuk varian Premium dan Premium X ia menampilkan corak jahitan silang menyilang pada panel pintu.

    Tombol gear masih kelihatan sama seperti sebelum ini, tetapi corak penukaran gearnya telah berubah serta datang dengan butang ‘P’ berasingan.

    Kembali pada skrin yang digunakan, ia kini beroperasi dengan pemproses quad-core, RAM 4GB dan kapasiti simpanan 32 GB. Dan akhirnya, Proton sudah mula menawarkan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto pada modelnya menerusi skrin baharu X70 ini, namun pelanggan perlu menunggu untuk memuat turut aplikasi berkenaan kelak secara over-the-air (OTA) selepas ia diumumkan nanti.

    Kesemua varian X70 2025 ini menerima sistem audio dengan enam-pembesar suara, dan juga tweeter baharu pada tiang-A, tetapi ia tidak lagi menerima pembesar suara jenama Kenwood dan tiada lagi varian yang dibekalkan dengan sub-woofer.

    Selain itu, X70 2025 juga dilengkapi dengan slot USB sebelum ini di bahagian sisi konsol tengah diganti dengan jenis USB-C untuk sebelah penumpang, sebelah pemandu masih kekal menggunakan USB-A, sementara di belakang ia berikan slot USB-A dan juga USB-C. Slot USB untuk dashcam pula telah dipindahkan dari bahagian pelapik bumbung ke bahagian sisi kamera ADAS untuk menjadikannya lebih mudah dicapai.

    Bagi aspek keselamatan pula, antara ciri yang ada ialah kunci automatik ketika pengguna menjauhi kenderaan, pintu tailgate bukaan tanpa sentuh automatik (tiada lagi penderia bukaan kaki) kamera 360-darjah yang jelas serta diberikan sistem pemantau tekanan tayar (TPMS), dan juga sistem-sistem keselamatan pasif yang ada sama seperti sebelum ini.

    Untuk sistem keselamatan aktif pula, sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) bagi Proton X70 2025 ini diberikan 13 fungsi bagi membolehkan ia kini mencapai pemanduan autonomi Tahap 2, berbanding hanya Tahap 1 pada model sebelum ini.

    Fungsi-fungsi berkenaan termasuk brek kecemasan automatik (AEB) dan amaran perlanggaran depan; ACC dengan Stop/Go+ Intelligent Cruise Control; amaran penukaran lorong, penghindar penukaran lorong dan kawalan ke tengah lorong; bantuan menukar lorong dan amaran ketika membuka pintu; kawalan lampu tinggi pintar; maklumat papan tanda trafik; amaran perlanggaran belakang; dan amaran lintasan trafik di belakang.

    Walau bagaimanapun, fungsi ADAS ini hanya ditawarkan untuk varian Premium dan Premium X. Manakala untuk perbezaan perincian mengikut varian pula adalah seperti berikut:

      Proton X70 2025 Standard

    • Enjin 1.5L TGDI
    • Transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan
    • Penghidup enjin jarak jauh
    • Enam beg udara SRS
    • Lampu LED dengan DRL
    • Rim 17-inci
    • Kerusi balutan fabrik
    • IHU 12.3-inci
    • Kamera undur
    • Walkaway Auto Lock
    • Proton X70 2025 Executive

      Proton X70 facelift 2025 dilancar – RM99k-RM127k, ADAS Tahap 2, Android Auto dan Apple CarPlay

      Tambahan dari Standard 2WD

    • Rim 18-inci
    • Pintu ruang barangan kuasa elektrik
    • Kerusi balutan kulit
    • Kerusi pemandu larasan kuasa elektrik
    • Kerusi depan berliang
    • Kamera 360-darjah
    • Proton X70 2025 Premium

      Proton X70 facelift 2025 dilancar – RM99k-RM127k, ADAS Tahap 2, Android Auto dan Apple CarPlay

      Tambahan dari Executive 2WD

    • Sistem bantuan pemandu ADAS
    • Sistem tinjauan tekanan tayar
    • Rim 19-inci
    • Kerusi balutan kulit Nappa
    • Kerusi penumpang depan berkuasa elektrik
    • Lampu ambient
    • Filem penapis haba dari Ionix
    • Proton X70 2025 Premium X

      Proton X70 facelift 2025 dilancar – RM99k-RM127k, ADAS Tahap 2, Android Auto dan Apple CarPlay

      Tambahan dari Premium 2WD

    • Bumbung panoramik

    Untuk pilihan warna badan, varian Premium dan Premium X ditawarkan dengan semua lima warna badan berbeza iaitu Snow White, Armor Silver, Jet Grey, Ruby Red dan warna baru Marine Blue. Varian Executive hanya diberikan warna Snow White, Armor Silver dan Jet Grey. Manakala varian Standard cuma hadir dalam warna Snow White dan Armor Silver.

    Setiap pembeliannya akan dilindungi waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan, serta diberikan pakej data internet sebanyak 1GB sebulan selama lima-tahun, serta enam kali kos buruh percuma untuk servis penyelenggaraan.

    GALERI: Proton X70 2025 Premium X

    GALERI: Proton X70 2025 Premium

    GALERI: Proton X70 2025 Executive

     
     
  • smart Johor Bahru 2 dibuka – kendalian AG Autoworld (EV), rangkaian pengedaran kini cecah 11 cawangan

    smart Johor Bahru 2 dibuka – kendalian AG Autoworld (EV), rangkaian pengedaran kini cecah 11 cawangan

    smart Malaysia telah mengumumkan pembukaan wakil pengedaran kedua di Johor Bahru, yang dikendalikan oleh AG Autoworld (EV) yang ditubuhkan sejak 1999.

    Secara rasminya dikenali sebagai smart Johor Bahru 2, wakil pengedaran baharu ini terletak di 17&18, Jalan Tebrau, Kampung Wadi Hanna, 80250 Johor Bahru, Johor. Berkeluasan 230 kaki persegi, fasiliti ini mampu menempatkan sehingga tiga unit kenderaan, bersama ruang penyerahan, unit sokongan selepas jualan dan juga sudut pameran cenderahati smartIdea.

    Dengan pembukaan smart Johor Bahru 2, smart Malaysia kini mempunyai 13 pengedar bertauliah dan 14 cawangan secara keseluruhan, dengan 11 daripadanya beroperasi di Semenanjung.

     
     
  • Beberapa stesen LRT, MRT dan Monorel dilanjutkan waktu operasi hingga 12.30 pagi pada 17 Ogos 2024

    Beberapa stesen LRT, MRT dan Monorel dilanjutkan waktu operasi hingga 12.30 pagi pada 17 Ogos 2024

    Rapid KL telah memaklumkan bahawa beberapa stesen LRT, MRT dan Monorel akan dilanjutkan waktu operasinya hingga jam 12.30 pagi pada 17 Ogos (setepatnya pada 18 Ogos) ini. Ia adalah sempena dengan perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor yang akan berlangsung di Stadium Merdeka pada tarikh berkenaan.

    Stesen yang terbabit ialah Stesen Monorel Maharajalela, Stesen MRT Merdeka, Stesen LRT Hang Tuah, Stesen MRT Titiwangsa, Stesen LRT Pasar Seni dan Stesen LRT KL Sentral.

    “Stesen-stesen sambungan juga turut dilanjutkan waktu operasi bagi membawa penumpang ke destinasi akhir. Anda disarankan menggunakan kad TnG dan pastikan baki kad anda mencukupi untuk kelancaran perjalanan,” kata Rapid KL.

    Beberapa stesen LRT, MRT dan Monorel dilanjutkan waktu operasi hingga 12.30 pagi pada 17 Ogos 2024

    Rapid KL turut berkongsikan tip untuk ke Stadium Merdeka bagi pengguna perkhidmatannya. Bagi yang menaiki monorel, boleh turun di Stesen Monorel Maharajalela dan keluar dari pintu B, kemudian berjalan kaki sejauh 100 meter menuju ke Gate 8 stadium terbabit. Bagi yang menaiki monorel dan turun di stesen Hang Tuah, boleh keluar ke pintu A dan berjalan kaki sejauh 700 meter untuk ke Gate 3 dan 4 di stadium.

    Bagi yang menaiki MRT pula, boleh turun di stesen Merdeka dan keluar dari pintu B, kemudian berjalan kaki sejauh 500 meter untuk ke Gate 3 dan 4 di stadium. Manakala yang menaiki LRT, boleh turun di stesen Hang Tuah dan berjalan kaki sejauh 720 meter juga untuk ke gate yang sama di stadium.

    Turut dimaklumkan bahawa laluan akses di Stesen Monorel Maharajalela terus ke perkarangan stadium dan Masjid Al-Sultan Abdullah akan dibuka untuk kemudahan pengguna.

     
     
  • JPJ sedang perinci sistem dan selaras proses peralihan lesen B1/B2 untuk tukar ke B penuh

    JPJ sedang perinci sistem dan selaras proses peralihan lesen B1/B2 untuk tukar ke B penuh

    Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli mengesahkan pihaknya sedang memperincikan sistem dan penyelarasan proses bagi program peralihan khas yang perlu dijalani pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2, sebelum dapat tukar ke B penuh.

    Jelasnya, perkara tersebut sedang diteliti sebelum diumumkan dalam masa terdekat. Di mana menerusi program peralihan khas ini, pemegang lesen B1/B2 sedia ada tidak akan diberikan penukaran lesen B penuh secara automatik sebaliknya perlu menjalani latihan selama dua jam sahaja sebelum menduduki ujian amali di institut memandu.

    “Kerajaan sudah menetapkan syarat untuk menyertai program ini iaitu individu terbabit telah memegang LMM kelas B1 atau B2 melebihi tempoh 10 tahun, tiada saman dan tidak mempunyai senarai hitam (kesalahan JPJ). Masih ada ujian amali iaitu mereka perlu menunggang motosikal lebih 500cc dan penilaian serta kelulusan daripada pegawai JPJ bagi menentukan mereka (penunggang) ini layak atau tidak (mendapatkan lesen kelas B),” katanya menerusi laporan eksklusif Bernama.

    Tambahnya lagi, calon yang menyertai program itu akan dikenakan yuran sebanyak RM160, berbanding proses bagi mendapatkan LMM kelas B sebelum ini membabitkan dua jam kelas teori dan 9.5 jam latihan litar dengan bayaran RM900.

    JPJ sedang perinci sistem dan selaras proses peralihan lesen B1/B2 untuk tukar ke B penuh

    Pada 2 Ogos lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan program peralihan khas yang membabitkan pemegang lesen kelas B1 dan B2 untuk beralih dan mendapatkan LMM kelas B bermula 1 Oktober ini.

    Selain daripada pelaksanaan program khas peralihan, Loke turut memaklumkan bahawa lesen kelas B1 (motosikal kurang 499cc) juga akan digabungkan dengan kelas B. Di mana penggabungan ini ditetapkan setelah mengambil kira permintaan mendapatkan LMM kelas B1 adalah terlalu rendah pada setiap tahun kerana orang ramai akan terus memilih mendapatkan kelas B sahaja.

    “Mulai 1 Oktober 2024, tiada lagi program mendapatkan LMM kelas B1 di IM akan dibuka kepada orang ramai. Dengan mendapatkan LMM Motosikal kelas B, individu layak memandu semua kuasa (cc) motosikal, dan tidak terhad kepada motosikal berkuasa 499cc ke bawah sahaja bagi kelas B1. Bagi pemegang lesen B1 sedia ada, mereka akan kekal di kategori berkenaan atau boleh menjalani program khas di atas bagi mendapatkan kelas B,” katanya.

     
     
  • Harga minyak 15-21 Ogos – Diesel turun 5 sen seliter

    Harga minyak 15-21 Ogos – Diesel turun 5 sen seliter

    Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 15 hingga 21 Ogos 2024, harga runcit bagi diesel diturunkan sebanyak 5 sen seliter kepada RM3.25 seliter. Ini merupakan penurunan harga kali kedua bagi diesel sejak 10 Jun lalu ketika rasionalisasi subsidi bahan api diumumkan. MOF berkata, penurunan harga itu seiring dengan penurunan harga pasaran minyak di peringkat global. Walau bagaimana pun harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Manakala untuk tempoh yang sama, petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Pertengahan Julai lalu, Kementerian Ekonomi berkata, buat masa ini, kerajaan masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat termasuk petrol RON95.

    “Kerajaan juga sedang meneliti keperluan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95. Walau bagaimanapun, buat masa ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasaran subsidi diesel menjadi stabil, sekaligus mencapai objektif yang ditetapkan.
    Kerajaan pada masa ini masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat, termasuk petrol RON95,” katanya.

     
     
  • Prasarana akan tambah 300 van Demand Responsive Transit (DRT) untuk kesalinghubungan ‘first-last mile’

    Prasarana akan tambah 300 van Demand Responsive Transit (DRT) untuk kesalinghubungan ‘first-last mile’

    Sebanyak 300 baharu bagi perkhidmatan ‘Demand Responsive Transit’ (DRT) di bawah operasi Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan ditambah bagi menampung peningkatan permintaan di kalangan penumpang.

    Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah, perkhidmatan van itu beroperasi dalam radius dua kilometer dari stesen Transit Aliran Ringan (LRT) terpilih dengan pengambilan penumpang di lokasi yang ditempah melalui aplikasi, laporan Berita Harian.

    “Van baharu itu dijangka akan diterima bermula bulan Disember 2024 dengan penambahan 30 van dan selebihnya akan diterima secara berfasa sehingga bulan Jun 2025. Penambahan jumlah van adalah untuk menampung peningkatan permintaan bagi perkhidmatan Rapid DRT yang diperkenalkan, di mana daripada jumlah itu, sebanyak 10 van akan dilengkapi dengan ciri-ciri yang mesra Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.

    Tambah Azharuddin, perkhidmatan Rapid DRT yang mengenakan kadar tambang RM1 bagi setiap perjalanan, adalah bagi menyokong perkhidmatan sedia ada Rapid Bus dan juga menjadi tonggak kesalinghubungan ‘first-last mile’ bagi perkhidmatan rel Rapid KL di Lembah Klang.

    “Komitmen daripada pihak kerajaan dan Prasarana akan memberi kemudahan kepada pengguna pengangkutan awam dengan menggunakan inisiatif berlandaskan teknologi dan inovasi. Sejak diperkenalkan pada bulan Mei 2023, hanya satu laluan sahaja yang menggunakan van ini, namun perkhidmatan Rapid DRT di Lembah Klang kini telah dikembangkan kepada sembilan laluan dengan 18 van,” katanya.

    Beliau berkata, perkhidmatan ini telah mencatatkan purata kenaikan penumpang sebanyak 32% dengan jumlah penggunaan keseluruhan seramai 126,656 orang setakat 31 Julai 2024.

    “Dari segi pembayaran pula, buat masa ini hanya menggunakan Touch n Go atau My50 dan kami sedang dalam proses untuk menyediakan sistem pembayaran terbuka yang boleh digunakan di mana-mana perkhidmatan seperti rel, bas, atau DRT. Dari segi kos, penggunaan DRT adalah dua peratus lebih rendah daripada bas dan ini merupakan penambahbaikan kerana kami ingin mengurangkan kos kepada kerajaan,” katanya.

    Dalam pada itu, Azharuddin berkata, jumlah keseluruhan penumpang yang direkodkan pada Julai lalu adalah sekitar 1.2 juta orang yang terdiri daripada 950,000 menggunakan perkhidmatan Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dan 200,000 ke 250,000 orang menggunakan perkhidmatan bas.

    Jelasnya lagi, “Dengan adanya penambahan 300 van, kami menjangkakan (berlaku) penambahan penumpang. Malahan perkhidmatan ini juga akan dikembangkan untuk mencapai kawasan yang kini tiada perkhidmatan rel atau bas, dan Kuala Kubu Baharu di Selangor akan menjadi salah satu lokasi untuk menerima perkhidmatan DRT menjelang tahun depan. Setiap perjalanan perkhidmatan van DRT akan berharga RM1, dan ini juga terpakai kepada pas bulanan perjalanan tanpa had RM50,” tambahnya.

     
     
  • Perodua Ativa dahului segmen B SUV di Malaysia — Proton X50 atasi HR-V, Aruz dan Corolla Cross

    Perodua Ativa dahului segmen B SUV di Malaysia — Proton X50 atasi HR-V, Aruz dan Corolla Cross

    Dalam pasaran SUV segmen B, Perodua Ativa merupakan model paling laris bagi Julai 2024 dengan sejumlah 3,734 unit didaftarkan, mengikut data daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Kedudukan kedua pula diisi oleh Proton X50 dengan 2,494 unit serta Perodua Aruz di tempat ketiga dengan 1,736 unit.

    Jika menurut saiz, memang ada sebahagian daripada model dalam segmen ini yang lebih menghampiri segmen C SUV, tetapi turut diambil kira ialah harganya sebagai penentu senarai ini — elemen yang sangat penting dan berpengaruh dalam menentukan pilihan pengguna.

    Perodua Ativa dahului segmen B SUV di Malaysia — Proton X50 atasi HR-V, Aruz dan Corolla Cross

    Sebagai contoh ialah Toyota Corolla Cross yang secara fizikalnya sedikit lebih besar daripada Honda HR-V, tetapi mempunyai tanda harga yang hampir sama. Corolla Cross menyaksikan 1,545 unit didaftarkan bulan lalu dan menduduki tempat keempat dan mendahului HR-V yang mencatatkan 1,495 unit.

    Senarai berkenaan diikuti pula oleh model Honda WR-V dengan 706 unit di tempat keenam, diikuti Chery Omoda 5 (238 unit), Suzuki Jimny (123 unit), GAC GS3 (80 unit), Mazda CX-3 (67 unit), Peugeot 2008 (enam unit) dan Hyundai Creta (satu unit).

    Perlu juga ambil maklum bahawa data JPJ ini mengambil kira kenderaan baru dan juga “recon”, yang mungkin menjadi sebab mengapa Jimny menduduki tempat yang agak tinggi. Sementara itu, GS3 bulan lalu sudah menyaksikan unit pemasangan tempatan (CKD) dikeluarkan, dengan pesanan CBU sebelum ini yang belum diserahkan akan ditukar kepada unit CKD terbaru.

    Perodua Ativa dahului segmen B SUV di Malaysia — Proton X50 atasi HR-V, Aruz dan Corolla Cross

    Bagi angka jualan tahunan setakat ini (YTD), Ativa mendahului dengan 21,475 unit didaftarkan dalam tempoh tujuh bulan pertama 2024. Ia diikuti oleh X50 (12,472 unit), HR-V (12,298 unit), Aruz (8,656 unit) dan Corolla Cross (8,419 unit) untuk kedudukan lima teratas.

    Selain itu, Chery Omoda 5 mencatatkan angka 5,494 unit yang terjual bagi tempoh Jan-Julai 2024, dan diikuti oleh Honda WR-V dengan 4,781 unit. Model lain seperti Jimny, CX-3, GS3, 2008 dan Creta bagaimana pun tidak melepasi angka jualan 1,000 unit.

     
     
  • Honda CR-V dahului SUV segmen C di Malaysia dari Jan-Julai 2024 — atasi Mazda CX-5 dan Proton X70

    Honda CR-V dahului SUV segmen C di Malaysia dari Jan-Julai 2024 — atasi Mazda CX-5 dan Proton X70

    Honda CR-V mendahului pasaran SUV dalam segmen C dari segi jualan bulan lalu dengan sejumlah 980 unit terjual dan didaftarkan, menurut data dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Di tempat kedua ialah Chery Tiggo 7 Pro dengan jualan sebanyak 769 unit, sementara Maxda CX-5 di tempat ketiga dengan 641 unit.

    Sebuah lagi model dari Mazda dalam segmen yang sama, CX-30 pula mencatatkan sebanyak 404 unit yang didaftarkan dan berada di depan Proton X70 yang hanya terjual sebanyak 276 unit. Bagi Proton, ini adalah kerana yang direkodkan itu merupakan model sedia ada, dan pasaran sedang menanti pelancaran secara rasmi X70 facelift yang akan berlangsung esok, dan dijangka jualannya akan kembali meningkat untuk bulan depan.

    Honda CR-V dahului SUV segmen C di Malaysia dari Jan-Julai 2024 — atasi Mazda CX-5 dan Proton X70

    Selain lima kedudukan teratas itu, serahan bagi model GWM Tank 300 kini mencecah 83 unit bulan lalu, diikuti oleh Volkswagen Tiguan (79 unit), Subaru XV (70 unit), Subaru Forester (55 unit) dan Nissan X-Trail (46 unit). SUV dengan jualan angka tunggal pula seperti berikut: Peugeot 5008 (enam unit), Hyundai Tucson (lima unit) dan Jaecoo J7 (lima unit).

    Bagi Honda CR-V, ia tidak hanya menjadi pendahulu bagi jualan bulan Julai 2024, tetapi juga mencatatkan jualan tahunan setakat ini (YTD) yang tertinggi. Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2024, sebanyak 7,052 unit CR-V telah didaftarkan, mendahului Mazda CX-5 yang mencatatkan 4,299 unit bagi tempoh sama.

    Honda CR-V dahului SUV segmen C di Malaysia dari Jan-Julai 2024 — atasi Mazda CX-5 dan Proton X70

    Proton X70 dan Mazda CX-30 menyaksikan persaingan sengit untuk tempat ketiga, dengan X70 hanya mendahuli dengan 16 unit. Tiggo Pro 7 pula di kedudukan kelima dengan 2,000 unit, dan diikuti oleh model Tiguan (543 unit), XV (491 unit), Forester (432 unit), X-Trail (400 unit), Tank 300 (89 unit), Tucson (22 unit), 5008 (14 unit) dan J7 (sembilan unit). Serahan bagi J7 juga dijangka akan meningkat selepas pengedar menerima unit untuk diserahkan kepada pelanggan dalam bulan-bulan akan datang.

    Dengan tersisa lima bulan lagi untuk tiba di penghujung 2024, adakah X70 mampu memintas CR-V dan CX-5 untuk merampas tempat teratas?

     
     
  • Chery Omoda 5 2024 dapat lima-bintang untuk Asean NCAP dengan 88.64 mata — tertinggi diterima Chery

    Chery Omoda 5 2024 dapat lima-bintang untuk Asean NCAP dengan 88.64 mata — tertinggi diterima Chery

    Dengan penarafan lima-bintang bagi Asean NCAP yang diterima oleh Chery Omoda 5 2024 baru-baru ini, Chery Malaysia memaklumkan bahawa kadar mata yang diraih untuk protokol tersebut adalah yang tertinggi setakat ini untuk syarikat tersebut, dengan 88.64 mata.

    “Pencapaian yang diraih oleh Chery Omoda 5 untuk empat kategori ujian terbabit menunjukkan kesungguhan kami terhadap aspek keselamatan serta usaha berterusan untuk mempertingkatnya melalui produk kami,” jelas Presiden Chery Malaysia, Michael Chew dalam sebuah majlis taklimat bersama media.

    Diumumkan awal minggu ini, Asean NCAP memaklumkan yang Chery Omoda 5 2024 menerima penarafan lima-bintang dalam setiap kategori penilaian yang terlibat, sekaligus menunjukkan pencapaian yang sangat memberangsangkan.

    Varian yang diuji ialah Omoda 5 H, yang dipasarkan di Brunei, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam. Menurut ASEAN NCAP, Omoda 5 berprestasi ‘sangat baik’, mencapai penarafan maksimum lima-bintang dalam semua kategori penilaian.

    Kelengkapan keselamatan pasif yang ada bagi Omoda 5 2024 termasuklah enam beg udara secara standard untuk semua varian, di samping ABS, kawalan kestabilan elektronik, pengingatan tali pinggang keledar dan pengesan penumpang tempat duduk belakang.

    Turut diberikan untuk Omoda 5 2024 ialah brek kecemasan autonomous, pengesan titik buta, lampu tinggi automatik dan teknologi perlindungan pejalan kaki. Ciri kelengkapan standard yang turut ditawarkan untuk Omoda 5 2024 ialah amaran ketibaan lorong, amaran pelanggaran hadapan dan bantuan kekal lorong.

    Untuk kategori perlindungan penumpang dewasa (AOP), Omoda 5 2024 menerima 29.42 daripada 32.00 mata, sementara kategori perlindungan penumpang kanak-kanak (COP), ia mendapat sejumlah 44.26 daripada 51.00 mata. Omoda 5 ini juga meraih 20.49 daripada 21.00 mata bagi kategori bantuan keselamatan dan kategori keselamatan motosikal dengan 12.00 daripada 16.00 mata.

     
     
  • GWM Tank 300 – 100 unit pertama dihantar kepada pelanggan di Malaysia selepas sebulan dilancarkan

    GWM Tank 300 – 100 unit pertama dihantar kepada pelanggan di Malaysia selepas sebulan dilancarkan

    Great Wall Motor (GWM) Malaysia mengumumkan telah menghantar sebanyak 100 unit GWM Tank 300, dalam tempoh sebulan ia dilancarkan pada pertengahan Julai lalu. Awal bulan ini, syarikat tersebut berkata pihaknya telah menerima lebih 300 unit tempahan bagi SUV off-road, yang diimport sepenuhnya dari China dan berharga RM250,000.

    Penerima ke-100 Tank 300 ini, profesor Steven Leow berkata dia tertarik dengan SUV ini selepas mencubanya buat pertama kali di China. “Sebagai peminat kereta, Tank 300 cukup menarik perhatian saya dengan spesifikasi dan teknologi yang luar biasa,” katanya sewaktu acara penyerahan kenderaan ini.

    Tambahnya, “Saya tidak menyangka kenderaan off-road ini mempunyai tahap keselesaan seperti kereta sedan, dan ia memang di luar jangkaan saya. Bukan itu sahaja, teknologi puntas seperti ADAS penuh, pengecas tanpa wayar dan transparent chassis memang menepati keperluan gaya hidup model yang diperlukan.”

    Tank 300 dipacu oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo, yang mampu menghasilkan 220 PS (217 hp atau 162 kW) pada 5,500 rpm dan tork 380 Nm dari 1,800 hingga 3,600 rpm. Kuasa ini disampaikan kepada roda melalui transmisi automatik lapan-kelajuan, dengan sistem pacuan empat-roda yang datang dengan fungsi 2H, 4H, 4L, serta pengunci differential hadapan dan belakang elektronik.

    Ciri kelengkapan standard untuk SUV ini termasuk lampu utama LED, roda aloi dua-tona 18-inci (tayar Michelin Primacy HT), sepasang skrin (meter 12.3-inch dan skrin sesentuh 12.3-inch), pendingin hawa automatik (dengan corong belakang), tempat duduk hadapan larasan kuara, upholstery kulit Nappa tiruan, sistem bunyi Infinity dengan sembilan-pembesar suara, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, bumbung suria larasan kuasa dan pencahayaan ambien 64-warna.

    Pengarah Urusan GWM Malaysia Cui An Qi berkata, pihaknya gembira dengan sambutan yang menggalakkan untuk Tank 300 daripada pelanggan Malaysia. “Pencapaian ini telah mengukuhkan keyakinan pelanggan kami terhadap jenama kami dan mengukuhkan kepercayaan mereka terhadap produk berkualiti tinggi kami,” katanya.

    GALERI: GWM Tank 300

     
     
  • Proton S70 dahului sedan segmen-C di M’sia – Honda Civic tempat ke-2, diikuti Mazda 3, Toyota Corolla

    Proton S70 dahului sedan segmen-C di M’sia – Honda Civic tempat ke-2, diikuti Mazda 3, Toyota Corolla

    Berdasarkan data dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Proton S70 buat masa ini mendahului pasaran sedan segmen-C di Malaysia untuk tahun ini. Untuk tujuh bulan pertama tahun 2024, sebanyak 12,315 unit S70 telah dijual, hampir sekali ganda dari Honda Civic yang berada di tangga kedua dengan 6,959 unit.

    Walau bagaimana pun data JPJ ini bukan berdasarkan gaya badan untuk sesetengah model, seperti Mazda 3 (yang ditawarkan dalam bentuk sedan dan hatchback) telah didaftar sebanyak 693 unit sekaligus meletakkannya di tempat ketiga. Manakala Toyota Corolla pula di tempat ke-empat dengan 530 unit, sementara Peugeot 408 yang mula dijual pada April lalu merekodkan sebanyak 213 pendaftaran, dan Subaru WRX (sedan dan wagon) pula hanya 21 unit.

    Kedudukan ini lebih kurang sama dengan kenderaan di bawah segmen yang sama yang didaftarkan pada Julai, namun dibezakan dengan model 408 dengan 87 unit, manakala Corolla sekadar 71 unit. Manakala subaru WRX pula hanya empat unit sahaja yang didaftarkan, sementara di tangga teratas masih S70 (1,622 unit), Honda Civic (1,147 unit) dan Mazda 3 (129 unit).

    Klik untuk besarkan

    Berdasarkan angka tahunan setakat ini (YTD), S70 masih selesa di tangga teratas sedan segmen-C yang berada dalam jualan. Manakala Civic pula yang khabarnya akan menerima model facelift tidak lama lagi, cuma masih belum diketahui bila pelancarannya. Bagi Mazda 3 pula, ia telah berada di pasaran sejak Julai 2019 dan menerima kemaskini pada tahun lalu dengan menyaksikan perubahan dalam barisan varian dan senarai kelengkapan. Untuk Corolla pila, ia telah dikemaskini pada Ogos tahun lalu dengan pertambahan varian GR Sport.

    Tinggal beberapa bulan lagi yang masih berbaki sebelum tahun 2024 melabuhkan tirainya. Adakah selepas ini Mazda 3 masih mampu berada di kedudukan di hadapan Corolla? Bagaimana pula dengan S70 dan Civic, adakah ia masih kekal di kedudukan yang sama atau pun beralih posisi dalam tempoh lima bulan akan datang?

     
     
  • Tesla masih dialu-alukan buka pusat R&D di Malaysia terutamanya di Selangor – MB Amirudin Shari

    Tesla masih dialu-alukan buka pusat R&D di Malaysia terutamanya di Selangor – MB Amirudin Shari

    Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan bahawa pihaknya masih mengalu-alukan kehadiran Tesla untuk membuka pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Malaysia. Ini kerana syarikat pengeluar EV tersebut sudah pun membuka ibu pejabat du Cyberjaya, laporan Berita Harian.

    Katanya, difahamkan bahawa Tesla juga merancang menambahkan jumlah pusat-pusat pengecasan yang sedia ada selain membuka sektor perkilangan pada masa akan datang.

    “Ibu pejabat, mereka sudah buka. Pusat servis mungkin mereka akan buka selepas ini sebab mereka hendak luaskan pasaran di Asia, jadi yang lain-lain itu kalau ada keperluan R&D kita alu-alukan. Kita ada banyak lagi (pelaburan) dan sekarang kita sudah terjun dalam semikonduktor, tapak di Sepang dan beberapa tempat kita fokuskan persediaan untuk semikonduktor ataupun industri lain,” katanya.

    Pada 10 Ogos lalu, media melaporkan wakil daripada ibu pejabat Tesla di Amerika Syarikat (AS) akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada 22 Ogos ini untuk membincangkan rancangan selanjutnya berkaitan pelaburan syarikat itu di Malaysia.

    Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata kenyataan rasmi akan dikeluarkan selepas pertemuan dengan wakil Tesla dan memastikan komitmen yang dijanjikan sebelum ini akan terus dipenuhi.

     
     
  • Jualan Proton, Perodua dijangka naik selepas semakan gaji penjawat awam dibuat – penganalisis

    Jualan Proton, Perodua dijangka naik selepas semakan gaji penjawat awam dibuat – penganalisis

    AmInvestment Bank menjangkakan permintaan terhadap sektor automobil akan meningkat tahun ini selepas semakan gaji perkhidmatan awam dibuat kerana 1.5 juta penjawat awam akan mempunyai kuasa beli yang lebih tinggi dan lebih mudah menerima kelulusan bank, lapor Bernama.

    Dengan mengambil faktor tersebut, bank pelaburan itu telah membuat semakan semula ke atas jumlah volum industri (TIV) pada 2024 dan mensasarkan ia akan mencapai 750,000 berbanding sasaran awal 740,000 yang buat sebelum ini.

    Walaupun masih belum diketahui kadar sebenar kenaikan gaji berkenaan, sebelum ini Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telahpun memberi bayangan bahawa gaji penjawat awam akan dinaikkan sebanyak 15 peratus kepada 43 peratus menjelang penghujung tahun 2024. Butiran akhir akan diumumkan menjelang 16 Ogos depan.

    “Gaji yang lebih tinggi secara automatik bermakna nisbah keberhutangan yang lebih baik dan kami percaya pembiaya pinjaman kereta dengan senang hati akan meluluskan pemohon pinjaman baharu.

    Jualan Proton, Perodua dijangka naik selepas semakan gaji penjawat awam dibuat – penganalisis

    “Kami yakin Perodua serta Proton akan menikmati permintaan yang lebih besar memandangkan mereka merupakan jenama paling popular dalam kalangan penjawat awam,” kata AmInvestment Bank menerusi laporan kemas kini sektor tersebut semalam, terapi turut menambah bahawa jenama lain mungkin tidak terlalu terkesan.

    Oleh itu AmInvestment Bank menjangkakan penerima manfaat utama ialah MBM Resources (yang memiliki 20 peratus dalam Perodua), Sime Darby (yang menguasai Perodua sebanyak 38 peratus) dan DRB HICOM yang mempunyai 50 peratus kepentingan dalam Proton.

    Jadi ini bakal menaikkan unjuran pendapatan MBM Resources bagi tahun kewangan 2024 kepada tahun kewangan 2026 masing-masing sebanyak 3.0 peratus, 5.2 peratus dan 3.7 peratus, berdasarkan jangkaan semakan gaji kakitangan awam yang bakal melonjakkan jualan kereta terutama bagi segmen kereta mampu milik iaitu model Perodua Axia dan Bezza, kata bank pelaburan itu lagi

     
     
  • BYD Sealion 6 DM-i dilancar di Thailand – rebadge Seal U, 1.5L PHEV 218 PS, jarak EV 92 km, RM119k

    BYD Sealion 6 DM-i dilancar di Thailand – rebadge Seal U, 1.5L PHEV 218 PS, jarak EV 92 km, RM119k

    Selepas memperkenalkan beberapa kenderaan elektrik (EV) di Asia Tenggara, BYD akhirnya melancarkan model plug-in hybrid (PHEV) pertamanya di rantau ini. Sealion 6 DM-i telah pun dilancarkan di Thailand, sekaligus memperkenalkan siri Super Dual Mode (DM) bagi penjana kuasa elektrik-petrol.

    Kalau tengok kereta ini, nampak macam familiar kan… ini disebabkan Sealion 6 adalah model rebadge Seal U (atau di China dikenali sebagai Song Plus), yang diperkenalkan buat pertama kalinya di Australia pada Mei. Walau bagaimana pun, kereta ini tiada kaitan dengan Sea Lion 07, yang menjadi pesaing bagi Tesla Model Y.

    Hanya satu varian sahaja yang ditawarkan di Thailand, iaitu Dynamic, berharga 939,900 baht (RM119,300). Ia dipadankan dengan motor elektrik tunggal yang dipasang di hadapan, yang mampu menghamburkan 197 PS (145 kW) dan tork 300 Nm – tidak banyak beza dengan Atto 3 dan Dolphin Premium Extended Range.

    BYD Sealion 6 DM-i dilancar di Thailand – rebadge Seal U, 1.5L PHEV 218 PS, jarak EV 92 km, RM119k

    Ia digandingkan dengan enjin 1.5 liter Xiaoyun naturally-aspirated, kitaran-Atkinson empat-silinder, dengan kuasa 98 PS (72 kW) dan 122 Nm, sekaligus memberikan keseluruhan kuasa cecah 218 PS dan 300 Nm. Ia membolehkan Sealion 6 dipecut dari sifar ke 100 km/j dalam 8.5 saat.

    Untuk janaan elektrik sepenuhnya, Sealion 6 DM-i dikuasakan bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) 18.3 kWh, membolehkannya digerak sehingga 92 km dalam pengecasan tunggal, menyumbang kepada kombinasi petrol-elektrik yang mencecah 1,092 km. Ia menyokong pengecas pantas DC, berkapasiti hingga 18 kW, mengambil masa sekitar 35 minit untuk mengecas dari 30 hingga 80%. Ia juga menerima pengecas AC hingga 6.6 kW.

    Sealion 6 lebih besar berbanding SUV segmen-C. Ia berukuran 4,775 mm panjang, 1,890 mm lebar dan 1,670 mm tinggi, iaitu lebih panjang sebanyak 84 mm, 24 mm lebih lebar dan 11 mm lebih rendah berbanding Honda CR-V, sementara jarak rodanya cecah 2,765 mm iaitu 64 mm lebih panjang. Malah saiznya juga hampir sama dengan Kia Sorento (panjang 4,810 mm).

    BYD Sealion 6 DM-i dilancar di Thailand – rebadge Seal U, 1.5L PHEV 218 PS, jarak EV 92 km, RM119k

    Kit standard di Thailand termasuk lampu utama dan lampu belakang LED, roda aloi dua-tona 19-inci, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, bumbung suria kaca panoramik, kawalan suhu dwi-zon, tempat duduk larasan kuasa, upholstery kulit tiruan, paparan instrumen 12.3-inci, skrin sesentuh infotainmen boleh pusing 12.8-inci, Apple CarPlay dan Android Auto, dwi pengecas tanpa wayar Qi, sembilan pembesar suara, sistem kamera 360-darjah dan tailgate kuasa.

    Untuk keselamatan, Sealion 6 didatangkan dengan enam beg udara, kawalan kestabilan, brek kecemasan autonomous, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan pemusatan lorong, amaran pelanggaran belakang, pengesan isyarat trafik, pemantauan titik buta, kepekaaan trafik lintasan belakang dan hadapan dengan brek auto, amaran membuka pintu dan lampu tinggi automatik.

    Jika Seal U ditawarkan dengan EV sepenuhnya, Sealion 6 hanya akan didapati dengan plug-in hybrid, sekurang-kurangnya untuk pasaran pemanduan sebelah-kanan, dan versi elektrik hanya untuk pemanduan sebelah-kiri sahaja.

     
     
  • Kesatuan Eropah tak patut haramkan jualan kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman – CEO BMW

    Kesatuan Eropah tak patut haramkan jualan kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman – CEO BMW

    CEO BMW, Oliver Zipse menyatakan bahawa rancangan Kesatuan Eropah (EU) untuk mengharamkan penjualan kereta baharu dengan enjin pembakaran dalaman bermula 2035 merupakan pendekatan yang salah, dan beliau menggesa agar usaha untuk pengeluaran bahan api sintetik (e-fuels) dipercepatkan, lapor Autocar.

    Di bawah rangka kerja perundangan semasa, EU bakal mengharamkan jualan kereta dengan enjin pembakaran dalaman pada tahun 2035, kecuali enjin berkenaan beroperasi dengan bahan api sintetik neutral karbon.

    Selain model sel bahan api elektrik bateri dan hidrogen, enjin pembakaran akan dibenarkan untuk terus dijual, selagi ia beroperasi menggunakan bahan api neutral karbon seperti e-fuels. Oleh itu Zipse telah meminta Suruhanjaya Eropah untuk mempercepatkan daya maju bahan api sintetik tersebut untuk menjadikan penggunaannya praktikal menjelang 2035.

    Sekiranya langkah itu tidak dibuat, Zipse menyifatkan undang-undang yang bakal dilaksanakan di benua tersebut hanyalah “larangan sengaja yang dibuat untuk mengharamkan enjin pembakaran melalui pintu belakang.”

    Ini adalah “penyelesaian palsu”, kata Zipse, sambil menambah bahawa “larangan [kategori] pada enjin pembakaran pada 2035 adalah pendekatan yang salah.” Walau bagaimanapun, pengeluaran bahan api sintetik memerlukan sejumlah besar tenaga kerana ia memerlukan hidrogen ‘hijau’, yang dibuat menerusi kaedah elektrolisis air dengan menggunakan elektrik boleh diperbaharui.

    Kesatuan Eropah tak patut haramkan jualan kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman – CEO BMW

    Walau bagaimanapun Autocar turut memetik laporan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa pada 2019 yang menyatakan bahawa untuk menghasilkan semua hidrogen perindustrian hari ini menggunakan elektrik akan mewujudkan permintaan elektrik sebanyak 3,600TWj, atau 1,000 TWj lebih daripada keseluruhan pengeluaran tenaga EU pada 2022, dalam masa yang sama hanya 39.4% daripadanya merupakan tenaga boleh diperbaharui.

    Dan angka ini hanya dilihat berdasarkan keluaran hidrogen hari ini, bukan lebihan yang diperlukan untuk mengindustrikan bahan api elektronik secara besar-besaran nanti.

    Terdapat beberapa pengeluar Eropah lain yang kini turut membangunkan bahan api sintetik berkenaan. Antaranya Porsche yang telah membuat pelaburan sebanyak US$75 juta pada pengeluaran bahan api neutral karbon HIF Global bagi membangunkan bersama produksi bahan api sintetik, dan jenama kereta sport Jerman berkenaan telah menggunakan bahan api bio yang boleh diperbaharui tersebut untuk siri perlumbaan one make Porsche Supercup.

    Ferrari juga telah menyuarakan sokongan mereka untuk bahan api neutral karbon, di mana CEO pengeluar supercar Itali berkenaan, Benedetto Vigna menyatakan bahawa “masih terdapat banyak cara yang berdaya maju untuk kereta-kereta yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman.”

     
     
  • RM4b daripada 41j saman trafik tidak berbayar; warga S’pura catat angka tertinggi dengan 35,011 kompaun

    RM4b daripada 41j saman trafik tidak berbayar; warga S’pura catat angka tertinggi dengan 35,011 kompaun

    Sebanyak 41 juta saman trafik bernilai RM4 bilion yang masih belum dibayar sejak tahun 1990 sehingga Jun tahun ini, laporan New Straits Times. Daripada jumlah tersebut, kira-kira 51,128 saman bernilai RM5.1 juta melibatkan warga asing dari negara jiran termasuk Singapura, Brunei dan Thailand.

    Mendahului senarai warga asing dengan saman yang tidak dibayar ialah warga Singapura dengan 35,011 saman berjumlah RM3.5 juta, menurut Utusan Malaysia. Walau bagaimana pun, menurut Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, pihaknya akan mengeluarkan notis pemberitahuan kepada pesalah trafik bagi memaklumkan jumlah saman tertunggak mereka.

    Kegagalan menjelaskan saman ini boleh mengakibatkan pesalah disenaraihitamkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dengan kesalahan tafik yang dilakukan iaitu daripada enam kesalahan besar seperti melanggar lampu isyarat merah, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan peranti komunikasi semasa memandu, memotong barisan dan melanggar had laju.

    “Pembayaran saman boleh dibuat menerusi dalam talian melalui MyBayar, jadi tidak perlu ke balai polis untuk tujuan itu. Bagi warga asing, polis akan meningkatkan usaha dalam menangani saman yang tidak dibayar apabila masuk atau keluar negara,” kata Mohd Yusri.

    Tambahnya, bagi diskaun saman, sebanyak 50% penawaran akan diberikan secara automatik dalam tempoh sebulan seperti yang dinyatakan pada notis saman. Manakala diskaun untuk saman tertunggak ditawarkan secara terpilih dan berdasarkan permintaan agensi. “Kami telah melihat pemulihan yang ketara. Kutipan terkini dianggarkan mencecah ratusan juta ringgit,” katanya.

     
     
  • Careplus Group lancar Program ESG sebagai komitmen operasi mapan di kilang NeXV Chembong

    Careplus Group lancar Program ESG sebagai komitmen operasi mapan di kilang NeXV Chembong

    Careplus Group Berhad telah melancarkan Program ESG yang merupakan sebuah komitmen daripada kumpulan itu terhadap kemapanan dan tanggungjawab sosial sebagai sebahagian daripada nilai teras yang akan diamalkan dalam perniagaan yang diceburi, terutama dalam pengilangan dan pengeluaran kenderaan elektrik.

    Pelancaran itu — yang diadakan di dua lokasi — telah dirasmikan oleh Exco Kerajaan Negeri dan Pengerusi Lembaga Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Sembilan, YB Puan Nicole Tan Lee Koon dan disaksikan oleh Menteri Pengangkutan, YB Tuan Loke Siew Fook. Dua lokasi yang dimaksudkan ialah di Careplus Mall di Seremban 2 dan juga kilang pemasangan NeXV Manufacturing di Chembong, Rembau.

    Program ini memberikan penekanan terhadap operasi yang mapan dan mesra alam, dengan secara simboliknya telah memindahkan sebatang pokok berusia 30 tahun dari Careplus Mall ke kilang NeXV di Chembong berkenaan.

    Careplus Group lancar Program ESG sebagai komitmen operasi mapan di kilang NeXV Chembong

    Sebaik sahaja memulakan operasinya pada 2025 nanti, kilang tersebut dijangka akan mengurangkan jejak karbon dari operasinya melalui penyelesaian mesra alam, termasuk memanfaatkan teknologi yang tidak membebaskan sisa air buangan, sifar kebisingan, sementara sisa pepejal pula akan diproses terlebih dahulu melalui pusat kitar semula yang terletak di dalam premis kilang terbabit. Sebahagian besar sumber tenaga untuk kegunaan kilang itu juga akan dijana melalui panel solar yang akan dipasang di bahagian bumbung.

    Dengan kapasiti pengeluaran dijangka mencapai 50,000 unit setahun, kilang berkenaan juga akan menawarkan 600 tenaga kerja yang akan diisi oleh masyarakat setempat.

    Pada April lalu, kilang NeXV Manufacturing tersebut telah mencapai 30% tahap pembinaannya yang telah disiapkan. Dan, yang terbaru, struktur, lantai pemasangan serta sub-stesen elektrikal telah pun dipasang dengan projek berkenaan akan selesai mengikut jadual yang ditetapkan pada 2025 nanti.

    Careplus Group lancar Program ESG sebagai komitmen operasi mapan di kilang NeXV Chembong

    Fasa 1 projek berkenaan melibatkan pembangunan kilang pemasangan yang dijangka akan bermula beroperasi untuk ujian pada suku keempat 2024. Sementara itu, Fasa 2 dan 3 pula akan masing-masing bermula pada 2026 dan 2028, dengan meningkatkan kapasiti pengeluarannya menjadi 100,000 unit setahun. Pelaburan keseluruhan bagi pembangunan kilang adalah sekitar RM600 juta.

    Majlis ini turut disertai oleh konvoi beberapa model EV dari Careplus Mall ke tapak kilang NeXV, melibatkan EV dari jenama BMW, Mini, BYD, MG, Ora, Tesla, Chery dan Neta sendiri yang mewakili model-model EV dalam pasaran Malaysia ketika ini.