Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Chery Tiggo 7 Pro diserah kepada Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang menangi pingat gangsa Olimpik Paris

    Chery Tiggo 7 Pro diserah kepada Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang menangi pingat gangsa Olimpik Paris

    Seperti yang dijanjikan, Chery Malaysia telah pun menyerahkan hadiah penuh bermakna buat atlet Malaysia yang berjaya meraih pingat di dalam Olimpik Paris 2024. Dalam majlis ringkas yang berlangsung di bilik pamerannya di Bandar Bukit Puchong, Chery Malaysia telah meraikan pasangan bergu badminton negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dengan menghadiahkan seunit SUV Tiggo 7 Pro bagi setiap seorang selepas berjaya meraih pingat gangsa dalam kejohanan sukan dunia itu.

    Pemain perseorangan Lee Zii Jia yang turut memenangi pingat yang sama, juga menerima model SUV yang sama, walau bagaimana pun, beliau tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana sedang menyertai kejohanan di luar negara.

    Turut hadir di dalam majlis berkenaan ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang juga mengumumkan ketiga-tiga atlet berkenaan turut menerima RM100,000 setiap seorang di atas kejayaan memperoleh pingat untuk Malaysia. “Kami percaya bahawa sukan adalah elemen penyatuan bagi Malaysia. Kami menggalakkan sektor swasta untuk memainkan peranan mereka dalam memberi ganjaran kepada atlet apabila mereka berjaya membawa pulang pingat. Apa yang membuatkan sumbangan Chery istimewa adalah mereka meraikan semua pemenang pingat,”kata Yeoh.

    Chery Tiggo 7 Pro diserah kepada Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang menangi pingat gangsa Olimpik Paris

    Timbalan Presiden Chery Malaysia Michael Chew pula berkata, “Kami berasa amat bangga atas kemenangan Aaron, Wooi Yik dan Zii Jia dan kami ingin menghadiahkan setiap seorang dengan CHERY TIGGO 7 PRO yang baru atas pencapaian luar biasa mereka di Sukan Olimpik Paris. Kecekalan, ketabahan, dan kegigihan mereka sepanjang Sukan Olimpik benar-benar memberi inspirasi, dan kami berbangga untuk meraikan kejayaan mereka dengan kenderaan yang mencerminkan sifat-sifat ini.”

    Bukan setakat itu sahaja, Chery Malaysia turut menawarkan semua pemegang pingat dan atlet yang berjaya melayakkan diri hingga ke pusingan separuh akhir (termasuk pemain bergu wanita Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan serta atlet angkat berat Aniq Kasdan) diskaun sebanyak 30% untuk mana-mana model janaan petrol keluaran Chery iaitu Tiggo 8 Pro dan Omoda 5. Manakala diskaun sebanyak 15% pula diberikan untuk mana-mana atlet Malaysia yang turut bertanding dalam Olimpik Paris 2024.

    Dilancarkan pada Jun, Tiggo 7 Pro merupakan SUV lima-tempat duduk segmen-C yang bersaing rapat dengan Proton X70. Ia ditawarkan pada harga RM123,800 tanpa insurans dan dijanakan oleh enjin 1.6 liter pengecas turbo empat-silinder petrol yang mampu menghasilkan 197 PS dan tork 290 Nm. Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac basah tujuh-kelajuan.

    GALERI: Chery Tiggo 7 Pro

     
     
  • MG HS didedah untuk pasaran Malaysia – 1.5L Turbo, lawan Proton X70, harga dianggar RM130k-RM150k

    MG HS didedah untuk pasaran Malaysia – 1.5L Turbo, lawan Proton X70, harga dianggar RM130k-RM150k

    Serentak dengan pengenalan MG5, SAIC Motor Malaysia hari ini turut memperkenalkan sekali SUV segmen-C MG HS yang juga bakal dilancarkan di sini tak lama lagi. Model ini akan hadir dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand, ditawarkan dalam dua varian iaitu varian asas MG HS Standard dan juga varian tertinggi MG HS Lux, dan harga anggarannya pula bermula masing-masing dibawah RM130,000 hingga RM150,000.

    Kedua-dua model ini digerakkan dengan unit rangkaian kuasa yang sama iaitu menggandingkan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 162 PS pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 250 Nm bermula 1,700 rpm hingga 4,400 rpm, bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang memacu hanya roda hadapan.

    Sama seperti Thailand dan Indonesia, kita di Malaysia masih menerima MG HS dalam versi generasi pertama, bukan model generasi baharu yang didedahkan di Goodwood Festival of Speed bulan lalu. Dari segi saiz ia dihasilkan dengan dimensi 4,574 mm panjang, 1,876 mm lebar, 1,664 mm tinggi dengan jarak roda sejauh 2,720 mm.

    MG HS didedah untuk pasaran Malaysia – 1.5L Turbo, lawan Proton X70, harga dianggar RM130k-RM150k

    Jadi berbanding saingan sekelasnya iaitu Proton X70, MG HS ini adalah 48 mm lebih panjang, 45 mm lebih lebar serta jarak roda 50 mm lebih jauh. Model ini juga menampilkan suspensi topang McPherson di hadapan bersama sistem multilink di belakang.

    Pada sebelah luar MG HS Standard menerima kelengkapan seperti lampu hadapan LED automatik bersama lampu nyalaan siang, lampu belakang LED, cermin sisi Kawalan elektrik, rel bumbung, spoiler belakang dan juga rim aloi 17-inci.

    Manakala MG HS Lux ditambah dengan bumbung suria panaromik, pintu tailgate belakang bantuan kuasa, pengelap Fermin hadapan dengan penderia hujan dan set roda ditingkat taraf dengan rim aloi 18-inci kemasan Diamond Cut. Selain itu MG HS Lux ini turut boleh dikenali menerusi angku brek hadapan dan belakang yang serlahkan dengan kemasan merah.

    MG HS didedah untuk pasaran Malaysia – 1.5L Turbo, lawan Proton X70, harga dianggar RM130k-RM150k

    Manakala dalam kabin, MG HS Standard diberikan perincian termasuk upholsteri kulit hitam, tempat duduk hadapan Kawalan elektrik (6-hala pemandu, 4-hala penumpang), paparan instrumen analog dengan skrin pelbagai-info 7-inci, skrin infotainmen 10.1-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, dihubungkan kepada empat pembesar suara.

    Model asas ini juga diberikan sistem pendingin hawa zon tunggal dengan penapis udara PM 2.5 dan liang penghembus kabin belakang, dan juga empat port USB.

    Untuk MG HS Lux pula bahagian dalamannya dipertingkat dengan paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, tempat duduk Sport, mod pemanduan Super Sport, pedal penukar gear, enam-pembesar suara, lampu suasana 64-warna dan penghawa dingin dua zon.

    Bagi sistem keselamatan, kedua-dua varian ini dibekalkan standard dengan enam-beg udara, kawalan kestabilan elektronik, kawalan brek ketika selekoh, Active Rollover Protection, bantuan mula mendaki, kawalan menurun cerun dan juga kamera undur.

    Varian lebih tinggi MG HS Lux pula menerima kamera 360-darjah dan juga tambahan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) MG Pilot, menampilkan fungsi termasuk Amaran Pelanggaran Hadapan, cruise control adaptif, bantuan kesesakan trafik, Amaran dan Pengelak Keluar Lorong dan Bantuan Tukar Lorong, Pengesan Titik Buta, Amaran Pelangganra Belakang, Amaran Lintasan Trafik Belakang dan Amaran Bukaan Pintu.

    Empat warna badan ditawarkan untuk pasaran Malaysia ini iaitu Dynamic Red, Arctic White, Black Pearl dan Camden Grey. SAIC Motor Malaysia turut memberikan perlindungan waranti pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan untuk kenderaan, bersama waranti berasingan untuk unit rangkaian kuasa (enjin dan transmisi) selama tujuh-tahun tapa had perbatuan.

    Jika anda mahu melihat MG HS ini lebih dekat, ia akan dibawa untuk dipamerkan di bilik-bilik pameran MG iaitu 23 hingga 26 Ogos di Glenmarie dan Juru, 30 Ogos hingga 2 September di Cheras dan Chan Sow Lin, 6 hingga 9 September di Klang dan Setia Alam, 13 hingga 17 September di Plentong dan Skudai (Johor), dan 20 hingga 23 September di Seremban dan Melaka.

    MG HS Standard

    MG HS Lux

     
     
  • MG5 didedah di Malaysia – dianggar bawah RM100k, 1.5L NA, saiz Civic dengan harga seperti City

    MG5 didedah di Malaysia – dianggar bawah RM100k, 1.5L NA, saiz Civic dengan harga seperti City

    SAIC Motor Malaysia hari ini mendedahkan rupa dan spesifikasi untuk sedan MG5 untuk pasaran tempatan yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Ditawarkan hanya dalam satu varian, model ini diumum bakal dijual pada harga anggaran di bawah RM100,000. Ia datang dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand.

    Walaupun pada pasaran luar MG5 ini bertanding dalam kelas segmen-C seperti Honda Civic, untuk pasaran Malaysia SAIC Motor meletakkan model ini dalam saingan segmen-B. Ia menampilkan dimensi 4,675 mm panjang, 1,842 mm lebar, 1,473 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,680 mm. Jadi berbanding Honda City, MG5 ini adalah 86 mm lebih panjang, 94 mm lebih lebar dan jarak rodanya adalah 80 mm lebih jauh.

    Sama seperti Thailand dan Indonesia, kita di Malaysia menerima MG5 yang dijana oleh enjin 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 114 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,500 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT automatik bersama lapan-kelajuan maya.

    MG5 didedah di Malaysia – dianggar bawah RM100k, 1.5L NA, saiz Civic dengan harga seperti City

    Manakala untuk casis, ia berikan suspensi topang McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang. Bonus untuk sedan segmen-B ini, ia dibekalkan dengan brek cakera pada sebelah belakang dan juga sistem brek elektronik bersama fungsi auto-hold.

    Untuk rupa luaran, ia nampak serupa dengan model pasaran Indonesia yang kami jumpa di GIIAS 2024 sebelum ini. Ia diberikan perincian seperti lampu hadapan automatik LED dengan lampu nyalaan siang, cermin sisi kawalan elektrik, cermin suria dan juga set rim aloi ‘Tomahawk’ berdiameter 17-inci.

    Dalam kabin pula, MG5 pasaran Malaysia menerima perincian seperti tempat duduk pemandu larasan elektrik enam-hala, upholsteri tempat duduk kulit hitam dengan serlahan merah, paparan instrumen digital penuh dengan skrin 7-inci, skrin infotainmen 10.25-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta enam pembesar suara.

    MG5 didedah di Malaysia – dianggar bawah RM100k, 1.5L NA, saiz Civic dengan harga seperti City

    Ia juga menerima sistem pendingin hawa zon tunggal dengan kawalan digital, disertakan bersama liang penghembus udara untuk kabin belakang.

    Dan bagi kelengkapan keselamatan, MG5 pasaran Malaysia ini dibekalkan dengan enam-beg udara, kawalan kestabilan elektronik, kawalan traction, dan kawalan brek ketika selekoh.

    Sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) MG Pilot juga diberikan secara standard, menampilkan fungsi termasuk Amaran Keluar Lorong dan Bantuan Tukar Lorong, Pengesan Titik Buta, Amaran Pelangganra Belakang dan juga Amaran Lintasan Trafik Belakang.

    Lima warna badan ditawarkan untuk pasaran Malaysia ini iaitu Nuclear Yellow, Dynamic Red, Arctic White, Black Pearl dan Camden Grey.

    SAIC Motor Malaysia turut memberikan perlindungan waranti pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan untuk kenderaan, bersama waranti berasingan untuk unit rangkaian kuasa (enjin dan transmisi) selama tujuh-tahun tanpa had perbatuan.

    Jika anda mahu melihat MG5 ini lebih dekat, ia akan dibawa untuk dipamerkan di bilik-bilik pameran MG iaitu 23 hingga 26 Ogos di Petaling Jaya, 30 Ogos hingga 2 September di Puchong, 6 hingga 9 September di Klang, 13 hing 17 September di Muar (Johor), dan 20 hingga 23 September di Melaka.

     
     
  • Proton eMas 5 EV dibayangkan — Geometry Xingyuan, lawan BYD Dolphin dengan 116 PS, jarak 410 km

    Proton eMas 5 EV dibayangkan — Geometry Xingyuan, lawan BYD Dolphin dengan 116 PS, jarak 410 km

    Selepas Proton eMas 7 diumumkan dan menanti tarikh pelancaran rasminya di Malaysia, menarik juga untuk melontarkan pertanyaan model EV apa pula yang akan hadir di bawah jenama itu nanti? Bulan lalu, dalam iklan teaser EV bagi pengenalan eMas 7, ada juga pembayang sebuah lagi sedan dari S70 (berkemungkinan versi hibrid) dan sebuah lagi SUV kecil misteri yang ditunjukkan.

    Sebelum ini juga Kementerian Industri dan Teknologi Informasi (MIIT) China telah menaikkan maklumat berkenaan EV baru yang bakal dilancarkan oleh salah satu jenama EV Geely, Geometry Xingyuan yang merupakan sebuah hatchback segmen-B yang bakal menjadi pesaing terus bagi BYD Dolphin. Apa yang menarik, bentuk sisi Geometry Xingyuan ini dilihat seakan sama dengan siluet model hatchback yang muncul dalam teaser jenama EV Proton yang dimaksudkan itu.

    Proton eMas 5 EV dibayangkan — Geometry Xingyuan, lawan BYD Dolphin dengan 116 PS, jarak 410 km

    Jadi, gambar yang disertakan ini adalah sebuah bayangan digital dari model Proton eMas 5 seperti yang telah dihasilkan oleh pereka Theophilus Chin — dia turut menggunakan gambar rasmi bagi smart #3 untuk imej bayangan ini.

    Dari segi saiz, Geometry Xingyuan ini menampilkan ukuran 4,135 mm panjang, 1,805 mm lebar, 1,570 mm tinggi dengan jarak roda 2,650 mm. Berbanding BYD Dolphin, hatchback EV Geometry ini adalah 155 mm lebih pendek, 35 mm lebih lebar serta jarak roda pula 50 mm lebih pendek.

    Proton eMas 5 EV dibayangkan — Geometry Xingyuan, lawan BYD Dolphin dengan 116 PS, jarak 410 km

    Di depan, rekaan lampunya bujur jelas kelihatan, begitu juga dengan bukaan udara kecil serta kemasan menegak krom yang ada. Rim dua-tona warnanya unik, serta bahagian tiang C menyerupai apa yang ada pada kereta EV smart berkenaan, menjadikan eMas 5 ini juga ada penampulan bumbung terapung. Lencana dan tulisan nama Proton juga dihadirkan dengan ketara.

    Geometry Xingyuan ditawarkan dalam dua pilihan motor elektrik tunggal, iaitu unit 79 PS (58 kW) dan 116 PS (85 kW), dengan kedua-duanya hanya memacu roda hadapan. Model tersebut bakal ditawarkan dengan dua pilihan kapasiti bateri iaitu 30.12 kWj untuk jarak gerak 310 km dan 40.16 kWj untuk jarak gerak 410 km.

     
     
  • MG3 Hybrid+ 2024 dilancar di Thailand – hatchback segmen-B dengan 194 PS; dua varian; dari RM72k

    MG3 Hybrid+ 2024 dilancar di Thailand – hatchback segmen-B dengan 194 PS; dua varian; dari RM72k

    MG3 Hybrid+ telah dilancarkan di Thailand, selepas beberapa bulan hatchback elektrik ini diperkenalkan di peringkat global pada Mac lalu. Model ini juga telah dipertononkan di Indonesia baru-baru ini menerusi penganjuran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) menjelang penjualannya mulai November ini.

    Untuk pasaran Thailand, MG3 Hybrid+ ditawarkan dengan dua varian, bermula dengan D yang dijual pada harga 559,900 baht (sekitar RM72k), sementara model tertinggi X berharga 599,900 (RM77k). Kedua-duanya berkongsi penjana kuasa yang sama iaitu 1.5 litre kitaran-Atkinson empat-silinder sebaris petrol yang mampu menghasilkan 102 PS (101 hp atau 75 kW) dan tork 128 Nm.

    Ia turut digandingkan dengan motor elektrik berkapasiti 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan 250 Nm, sekaligus memberikan keseluruhan output mencecah 194 PS (192 hp atau 143 kW). Motor elektrik dijanakan oleh bateri lithium-ion 1.83-kWh dan transmisinya pula ialah automatik E-AT tiga-kelajuan. Enjin ini juga mengikut pematuhan E20 gasohol seperti kebanyakan kereta di Thailand.

    Bagi kelengkapan standard, kedua-dua varian ini diberikan roda aloi 16-inci, mod pemanduan (Eco, Normal, Sport), lampu utama LED automatik, lampu nyalaan siang LED, kluster instrumen digital tujuh-inci, pendingin hawa automatik dengan penapis PM2.5 dan corong untuk tempat duduk belakang, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, brek parkir elektronik, sistem infotainmen skrin sesentuh 10-inci, enam-pembesar suara serta sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Walau bagaimana pun varian trtinggi X diberikan ciri tambahan termasuk kulit sintetik/upholstery fabrik dalam dua-tona putih dan hitam (hanya hitam untuk D), pad pengecasan tanpa wayar, kamera 360-darjah (D hanya dapat kamera undur), dan kelengkapan sistem bantuan pemandu termaju. Ia merangkumi lampu tinggi automatik, amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan autonomous, kawalan kelajuan adaptif dengan bantuan kesesakan trafik dan bantuan kekal lorong.

    MG3 Hybrid+ disasarkan untuk bersaing dengan Honda City Hatchback, Toyota Yaris dan Mazda 2 Hatchback, dan mengikut saiznya, ia berukuran 4,113 mm panjang, 1,797 mm lebar, 1,502 mm tinggi dan jarak rodanya pula 2,570 mm.

    Minggu ini juga MG Malaysia akan memperkenalkan MG5 GT dan HS dalam barisan modelnya, jadi adakah kebarangkalian MG3 Hybrid+ mempunyai harapan untuk dijual di sini sebagai satu lagi alternatif untuk pasaran hatchback segmen-B?

     
     
  • Piala FA 2024 Selangor VS JDT: Beberapa jalan di sekitar Stadium Bukit Jalil akan ditutup pada 24 Ogos

    Piala FA 2024 Selangor VS JDT: Beberapa jalan di sekitar Stadium Bukit Jalil akan ditutup pada 24 Ogos

    Beberapa jalan di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil akan ditutup pada Sabtu ini, 24 Ogos, bersempena dengan perlawanan akhir Piala FA 2024 di antara pasukan Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT), laporan New Straits Times.

    Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, SAC Datuk Rusdi Mohd Isa, lencongan trafik akan bermula dari jam 9 pagi, dan anggota trafik akan ditempatkan di lokasi yang terlibat untuk mengawal aliran lalu lintas di sekitar stadium bagi mengelakkan kesesakan.

    Trafik dari Lebuhraya Kesas ke lampu isyarat Sukom dan dari lampu isyarat Sukom ke Jalan Merah Chagar akan dilencongkan ke Awan Kecil/Awan Besar. Manakala dari Lebuhraya Kesas ke Jalan Barat akan dilencongkan ke Jalan Radin/Sri Petaling dan trafik dari Jalan Radin ke Jalan Barat akan dilencongkan ke Shah Alam.

    Piala FA 2024 Selangor VS JDT: Beberapa jalan di sekitar Stadium Bukit Jalil akan ditutup pada 24 Ogos

    Sementara itu, trafik dari bulatan Jalan Kuda ke Jalan Barat melalui Puchong Link akan dilencongkan ke Kinrara, dari Puchong Link ke Jalan Barat, dan dari Kinrara ke bulatan Kuda.

    Kenderaan yang diletakkan di tepi jalan di sekitar pintu masuk dan keluar stadium akan dikenakan saman dan tunda, kata Rusdi.

    Beliau juga memberi saranan kepada para penyokong untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam termasuk LRT bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas memandangkan hanya 4,968 lot parkir sahaja yang disediakan di sekitar stadium. “Pihak polis akan melaksanakan penutupan jalan dan lencongan sekiranya diperlukan,” katanya lagi.

    Malahan Rapid KL juga telah mengumumkan bahawa operasi stesen LRT Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga jam 1 pagi pada 25 Ogos.

     
     
  • Piala FA 2024 Selangor VS JDT – Operasi Stesen LRT Bukit Jalil dilanjutkan hingga 1 pagi pada 25 Ogos

    Piala FA 2024 Selangor VS JDT – Operasi Stesen LRT Bukit Jalil dilanjutkan hingga 1 pagi pada 25 Ogos

    Rapid KL telah mengumumkan bahawa operasi stesen LRT Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga jam 1 pagi pada 25 Ogos 2024.

    Ia adalah sempena dengan perlawanan akhir Piala FA 2024 di antara pasukan Selangor menentang JDT yang bakal berlangsung pada 24 Ogos ini, jam 9 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil.

    Turut dimaklumkan bahawa stesen-stesen sambungan juga turut dilanjutkan waktu operasi bagi membawa penumpang ke destinasi akhir. Walau bagaimana pun, para penumpang diingatkan untuk menggunakan kad Touch ‘n Go bagi memudahkan perjalanan. Sila pastikan baki tambah nilai di dalam kad berkenaan mencukupi.

     
     
  • Dongfeng Box EV di M’sia — dua varian, RHD global pertama, 95 PS, jarak hingga 430 km, tiba Oktober 2024

    Dongfeng Box EV di M’sia — dua varian, RHD global pertama, 95 PS, jarak hingga 430 km, tiba Oktober 2024

    Setelah beberapa kali pernah dilihat sedang diuji dan berada di atas jalan raya negara ini, model EV Dongfeng Box sah akan dibawa masuk ke Malaysia. Buat pertama kalinya, sesi preview dilakukan secara rasmi awal minggu ini untuk membolehkan kita mendekati model ini serta mengetahui lebih banyak tentang perinciannya serta perancangan yang terlibat.

    Akan dibawa masuk dan diedarkan oleh Central Auto Distributors Bhd (CADB), yang merupakan anak syarikat kepada Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), model yang dikenali di China dengan nama Nammi 01 ini akan dipasarkan dengan nama Dongfeng Box di Malaysia. Ini juga sekaligus menjadi perkembangan baru bagi Pekema yang memperluas rangkaian perniagaannya sebagai pengedar kereta baru selain perniagaan kereta terpakai yang diceburi selama ini.

    Unit yang sedang anda lihat ini juga merupakan antara unit terawal yang berada di Malaysia ketika ini: ada tiga unit semuanya, yang merupakan unit pra-produksi dan bertujuan untuk ujian dan pemerhatian bagi penggunaannya di negara ini.

    Dongfeng Box EV di M’sia — dua varian, RHD global pertama, 95 PS, jarak hingga 430 km, tiba Oktober 2024

    Jadi, unit yang akan dilancarkan kelak akan melibatkan beberapa perubahan penampilan dan kemasan — misalnya tidak akan menggunakan nama Nammi (cabang kenderaan EV untuk Dongfeng di China) dan sebaliknya akan diselaraskan dengan jenama dan model Dongfeng Box.

    Penting juga untuk dinyatakan, unit yang sedang anda lihat ini adalah pengenalan global pertama bagi versi pemanduan sebelah kanan (RHD), walaupun unit contoh dan ujian yang dibawa masuk ini didatangkan dari China yang menggunakan versi pemanduan sebelah kiri.

    Perancangan CADB adalah untuk melancarkannya secara rasmi pada suku keempat 2024, dijangka pada Oktober, dengan memperkenalkan dua varian sebagai pilihan: Dongfeng Box E2 (kereta kuning) dan juga Dongfeng Box E3 (kereta ungu). Bagaimanapun, CADB memaklumkan yang varian E3 yang akan diberi tumpuan untuk jualan, dengan varian E2 akan dibawa masuk hanya sedikit bagi tujuan kajian pasaran.

    Dongfeng Box EV di M’sia — dua varian, RHD global pertama, 95 PS, jarak hingga 430 km, tiba Oktober 2024

    Untuk pasaran tempatan, Dongfeng Box ini merupakan pesaing langsung bagi model BYD Dolphin. Box di Malaysia mempunyai ukuran seperti berikut: 4,000 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,540 mm tinggi dengan jarak roda 2,650 mm.

    Dari spesifikasi ringkas yang ditunjukkan, model ini akan menggunakan bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) dan menurut CADB, ini memberikan kemampuan janaan kuasa sebanyak 95 PS (70 kW) serta juga 160 Nm tork, dengan laju maksimum yang boleh dicapai ialah 140 km/j.

    Kapasiti baterinya pula ialah 31.45 kWh bagi varian E2, dengan jarak yang boleh dicapai ialah 330 km, sementara varian lebih tinggi, E3 menerima kapasiti bateri 42.3 kWh dengan jarak yang mampu diberikan ialah 430 km (10 km lebih berbanding BYD Dolphin Standard Range) — semua ini mengikut kitaran ujian CLTC versi China.

    Dongfeng tidak mendedahkan input maksimum bagi pengecasan DC bagi Box ini, dengan sekadar memaklumkan bahawa pengecasan dari 30%-80% akan mengambil masa 30 minit. Ini tempoh yang sama untuk E2 dan E3, dengan E3 boleh menampung kapasiti watt yang lebih — jika dilihat untuk pengecasan AC, memang benar: E2 dengan input 3.3 kW sementara bagi E3 dengan input 6.6 kW.

    Dari segi penampilan, Dongfeng Box mempunyai ciri dan rekaan kompak hatchback yang sinonim untuk kegunaan urban, dengan jalur lampu depan LED (ada mirip rekaan EV smart), garis bumbung rata hingga ke belakang untuk memberikan ruang kabin yang luas serta pilihan warna yang pop (boleh dilihat dari warna ungu dan kuning menyerlah yang digunakan untuk dua unit pra-produksi ini) dengan pilihan bumbung putih kelak untuk lebih memikat.

    Box antara lain menggunakan rim 17-inci dengan rekaan berbeza antara E2 dan E3. Di dalam, banyak juga kelengkapan yang mengisi ruangnya, antaranya konsol tengan apungan, pengecas tanpa wayar Qi, ruang simpanan dalam perehat lengan serta talam simpanan unik di ruang glove box. Ia juga hadir dengan kluster instrumen lima-inci, skrin sentuh untuk infotainmen pula bersaiz 12.8-inci, walaupun belum disediakan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Untuk harga, belum ada sebarang pengumuman atau pengesahan yang dibuat. Tetapi, memandangkan Box akan bersaing dengan Dolphin (yang hadir dengan sokongan lepas jualan dari Sime-Darby Motors), Box tentunya tidak akan dijual melebihi harga Dolphin ketika ini. Kami menjangkakan ia bahkan sedikit lebih murah berbanding Dolphin untuk membolehkannya bersaing. Ketika pelancarannya, BYD Dolphin diperkenalkan dengan harga RM99,900 bagi varian Dynamic Standard Range dan RM124,900 bagi varian Premium Extended Range.

    Peringkat awal ini, unit Dongfeng Box akan dibawa masuk dari China secara CBU terlebih dahulu menuju pelancarannya. Dijangka 300 unit akan tiba sekitar September nanti, dengan CADB mensasarkan untuk menjual sebanyak 800-1,000 unit sepanjang baki tahun 2024 ini.

    Jun lalu pula, berita tentang pemasangan tempatan bagi model Dongfeng di kilang pemasangan NexV Manufacturing yang terletak di Chembong, Rembau, Negeri Sembilan. Ini mungkin akan menyusul pada 2025, selepas kilang berkenaan siap dibina dan memulakan operasinya dijangka pada Mac tahun depan. Dan, tentulah, versi CKD ini juga nanti akan mempengaruhi penawaran harga Dongfeng Box yang mungkin akan menjadi lebih rendah berbanding harganya ketika pelancaran nanti.

    Dongfeng Box E3

    Dongfeng Box E2

     
     
  • Geely Jiaji versi EV bakal dilancar di Indonesia di bawah jenama Aletra – jarak gerak sehingga 515 km

    Geely Jiaji versi EV bakal dilancar di Indonesia di bawah jenama Aletra – jarak gerak sehingga 515 km

    Selepas kerjasama Proton dan Geely dimeterai pada 2017, setahun selepas itu Proton disahkan menerima lesen untuk mengilangkan tiga model Geely dengan jenamanya di Malaysia iaitu Boyue (sebagai Proton X70), Binyue (sebagai X50) dan juga MPV tujuh-tempat duduk Jiaji yang dikhabarkan akan menggantikan Exora.

    Tetapi rancangan asal untuk menghasilkan model MPV tersebut nampaknya berubah, kerana Proton menghasilkan SUV tujuh tempat duduk X90 yang diasaskan dari Geely Haoyue. Namun nampaknya Jiaji bakal dijelmakan juga dalam versi pemanduan sebelah kanan, tetapi bukan dengan jenama Proton. Sebaliknya ia akan masuk ke pasaran Indonesia di bawah jenama yang dikenali sebagai Aletra.

    Berdasarkan maklumat yang dicungkil dari laman LinkedIn jenama itu, Aletra adalah sebahagian dari syarikat yang dikenali sebagai PT Sinar Armada Globalindo (PT SAG). Syarikat tersebut telah menjalinkan kerjasama eksklusif dengan Livan Automotive sejak 2023.

    Geely Jiaji versi EV bakal dilancar di Indonesia di bawah jenama Aletra – jarak gerak sehingga 515 km

    Livan Automotive ini pula juga merupakan jenama baharu yang dibentuk pada 2022, menerusi penyatuan Shanghai Maple yang dimilik oleh Geely dengan Lifan Technology, dan kerjasama antara Lifan Group dan Geely Qizheng (juga dimiliki oleh Zhejiang Geely Holding).

    Aletra telah pun mewujudkan laman sosialnya, dan berdasarkan hantaran yang dibuat model pertama jenama tersebut yang akan dilancarkan di Indonesia merupakan MPV EV yang diasaskan dari model Geely/Livan Maple 80V L. Macam kenal rupa MPV tersebut bukan? Ya, ia sebenarnya Geely Jiaji dalam versi yang diana unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya (EV).

    Geely/Livan Maple 80V L pasaran China

    Di China Maple 80V L ini digerakkan oleh satu motor elektrik yang memacu roda hadapan berkuasa 136 PS (100 kW) dan tork maksima 230 Nm. Ia menerima dua pilihan bateri lithium logam fosfat (LFP) sama ada dengan kapasiti 50.4 kWj bagi memberikan jarak gerak 407 km (CLTC) atau dengan kapasiti 68.08 kWj memberikan jarak gerak 515 km (CLTC). Harganya pula bermula 161,700 yuan hingga 178,700 yuan atau sekitar RM99k hingga RM110k.

    Menerusi hantaran media sosial itu juga ada menyebut MPV Aletra ini akan dilancarkan dalam 93 hari lagi, mungkin akan membuat kemunculan di Gaikindo Jakarta Auto Week (GJAW) kerana ia berlangsung pada November nanti. Nama rasmi dan juga perincian lain untuk MPV pasaran Indonesia ini mungkin hanya diumumkan ketika pelancarannya nanti.

    GALERI: Geely Jiaji L 2022 pasaran China

     
     
  • Harga minyak 22-28 Ogos – diesel turun 2 sen seliter

    Harga minyak 22-28 Ogos – diesel turun 2 sen seliter

    Pantas betul masa berlalu, kini kita bakal memasuki minggu ke-empat bulan Ogos 2024. Bagi tempoh 22 hingga 28 Ogos, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa harga runcit bagi diesel di Semenanjung diturunkan lagi sebanyak 2 sen seliter, menjadi RM3.23 seliter. Ini merupakan penurunan harga kali ketiga bagi diesel sejak 10 Jun lalu ketika rasionalisasi subsidi bahan api diumumkan. Walau bagaimana pun harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Manakala untuk tempoh yang sama, petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Pertengahan Julai lalu, Kementerian Ekonomi berkata, buat masa ini, kerajaan masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat termasuk petrol RON95.

    “Kerajaan juga sedang meneliti keperluan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95. Walau bagaimanapun, buat masa ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasaran subsidi diesel menjadi stabil, sekaligus mencapai objektif yang ditetapkan.
    Kerajaan pada masa ini masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat, termasuk petrol RON95,” katanya.

     
     
  • Raptai Hari Kebangsaan 2024 – jalan utama di Putrajaya ditutup selama 6 jam sehari dari 27-31 Ogos

    Raptai Hari Kebangsaan 2024 – jalan utama di Putrajaya ditutup selama 6 jam sehari dari 27-31 Ogos

    Sebanyak 21 jalan utama di sekitar Putrajaya akan ditutup selama enam jam sehari bermula 27 hingga 31 Ogos 2024 bagi kelancaran sesi raptai Hari Kebangsaan 2024.

    Di mana jalan terbabit yang akan ditutup dari jam 5 pagi hingga 11 pagi, dari 27 hingga 29 Ogos ialah:

    • Laman Perdana
    • Lebuh Wawasan – Jalan Tun Abdul Razak
    • Lebuh Bestari – Jalan Tun Abdul Razak
    • Jalan P2K – Persiaran Perdana
    • Jalan Pembangunan – Persiaran Perdana
    • Jalan P3C – Persiaran Perdana
    • Jalan P3F – Persiaran Perdana
    • Jalan Kemerdekaan – Jalan P3G
    • Jalan P4B – Persiaran Perdana
    • Lebuh Setia – Jalan Perpaduan
    • Lebuh Perpaduan – Lebuh Saujana
    • Lingkaran Gemilang – Persiaran Perdana
    • Lebuh Saujana – Jalan Tun Hussein
    • Lebuh Setia – Persiaran Perdana
    • Jalan Kemerdekaan – Persiaran Perdana
    • Jalan Pembangunan – Persiaran Perdana
    • Jalan P2P – Persiaran Perdana
    • Lebuh Bestari – Jalan P2F
    • Jalan P2S – Persiaran Perdana
    • Jalan P2W – Persiaran Perdana
    • Lebuh Wawasan – Persiaran Perdana

    Raptai Hari Kebangsaan 2024 – jalan utama di Putrajaya ditutup selama 6 jam sehari dari 27-31 Ogos

    Manakala terdapat 10 jalan utama juga di Putrajaya yang akan ditutup pada 30 hingga 30 Ogos ini, iaitu dari jam 7 malam pada 30 Ogos sehingga selesai sambutan Hari Kebangsaan. Jalan-jalan yang terbabit ialah:

    • Persiaran Barat – Lebuh Saujana
    • Lebuh Sentosa – Lebuh Saujana
    • Lebuh Sentosa – Lebuh Wawasan
    • Jalan Presint 8 – Lebuh Wawasan
    • Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah susur Laman Perdana
    • >Jalan Presint 18 – Lebuh Bestari
    • Jalan Presint 18 – Jalan Tun Hussein
    • Lebuh Setia – Jalan Tun Hussein
    • Lebuh Saujana – Jalan Tun Hussein
    • Jalan Presint 5 – Lebuh Gemilang Perdana

    Justeru, pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan diminta untuk berhati-hati dan mematuhi papan tanda keselamatan bagi memastikan perjalanan anda lancar dan selamat.

     
     
  • Toyota siar video ASMR enjin Boxer Subaru dengan durasi selama 3-jam – kembali hasilkan bunyi ‘guruh’!

    Toyota siar video ASMR enjin Boxer Subaru dengan durasi selama 3-jam – kembali hasilkan bunyi ‘guruh’!

    Tidak seperti pengeluar lain yang menggunakan enjin empat silinder sebaris sebagai enjin utama, Subaru merupakan satu-satunya pengeluar yang masih setia menawarkan enjin dalam bentangan empat-silinder Boxer untuk semua model-model utamanya (tidak termasuk model K-Car dan EV) yang dijual sehingga kini.

    Enjin ini menampilkan susunan silinder dengan dua di sebelah kiri dan dua di sebelah kanan, dan berbanding enjin V di mana kedua-dua tebing blok enjin tersebut berada dalam kedudukan condong, silinder untuk enjin Boxer ini adalah ‘dibaringkan’ sepenuhnya.

    Ini menghasilkan titik graviti yang jauh lebih rendah bukan hanya pada enjin, malah pada badan kereta itu sendiri bagi memberikan kesan terus terhadap pengendalian yang lebih baik. Dan dengan rekaan itu juga, enjin Boxer ini turut menghasilkan bunyi enjin seakan guruh yang lebih garang dari enjin empat silinder biasa.

    Nak nikmati bunyi unik enjin Boxer berkenaan? Ini dia laman YouTube Toyota Times ada memuatnaik video ASMR yang menyajikan bunyi enjin tersebut dalam durasi cukup lama, iaitu lebih tiga jam! Video ini ‘dibinatangi’ oleh Subaru Levorg Layback.

    Levorg berkenaan dilengkapi dengan enjin CB18, iaitu enjin boxer generasi terkini yang dihasilkan Subaru dan diperkenalkan bermula 2020. Dan kalau anda dengar dengan teliti, enjin siri CB ini telah kembali menghasilkan bunyi ‘guruh’ asal (walaupun tidak ‘seganas’ bunyi seperti yang dihasilkan oleh enjin siri EJ) yang sebelum ini telah lenyap pada enjin generasi FA/FB.

    Menurut Jun Hirano, jurutera yang bertanggungjawab membangunkan enjin-enjin Subaru selama 20-tahun, bunyi ‘guruh’ pada enjin siri FB dan FA sebelum ini terpaksa dilenyapkan kerana ia bukan sahaja perlu dihasilkan untuk menjana kuasa yang lebih efisien, malah ia turut perlu mematuhi undang-undang pencemaran bunyi yang semakin ketat.

    Toyota siar video ASMR enjin Boxer Subaru dengan durasi selama 3-jam – kembali hasilkan bunyi ‘guruh’!

    Hirano yang kini merupakan Pengurus Besar Projek di Bahagian kejuruteraan divisi pembangunan alam sekitar kenderaan Subaru menjelaskan, bunyi berkenaan dilenyapkan menerusi pemadanan paip manifold ekzos yang dihasilkan sama panjang dari tebing sebelah kiri dan kanan enjin.

    Namun untuk enjin siri CB, jurutera Subaru mendapati kuasa dapat dihasilkan dengan lebih efisien dan juga memberikan respon lebih baik sekiranya pengecas turbo menerima gas ekzos dari manifold dengan jarak yang tidak sama dari antara kedua-dua kepala enjin.

    Untuk itu pengecas turbo pada enjin CB ini diletakkan di bawah blok enjin untuk silinder 3 dan 1, menyebabkan paip ekzos sebelah kanan lebih pendek dengan ukuran sekitar 100 mm, manakala paip sebelah kiri lebih panjang dengan ukuran sekitar 350 mm hingga 400 mm. “Ini membolehkan pengecas turbo boleh berputar lebih laju”, kata Hirano.

    Toyota siar video ASMR enjin Boxer Subaru dengan durasi selama 3-jam – kembali hasilkan bunyi ‘guruh’!

    Bagi membolehkan enjin ini melepasi undang-undang pencemaran bunyi pula, Subaru memadankan peredam bunyi yang direka untuk melenyapkan sebanyak mungkin bunyi yang dihasilkan oleh enjin. Namun bagi mereka yang mahukan bunyi boxer sebenar pada kereta masing-masing, Subaru menawarkan peredam jenis Sport Muffler menerusi badan penalanya iaitu STI sebagai pilihan aksesori aftermarket, sama seperti yang dipadankan pada Levorg dalam video ASMR ini.

    Tapi kenapa pula macam Toyota yang bersungguh-sungguh mempromosikan enjin Boxer Subaru ini? Bagi yang belum mengetahui, Toyota kini telah mewujudkan ikatan kerjasama dengan Subaru dan Mazda bagi membangunkan enjin-enjin pembakaran generasi baharu.

    Ia disasarkan untuk memastikan enjin pembakaran dalaman masih terus relevan dan dengan pelbagai teknologi terkini yang membolehkan enjin-enjin tersebut lebih mesra alam, ia boleh menjadi alternatif kepada teknologi kenderaan elektrik penuh (EV) dalam menuju kearah neutraliti karbon.

     
     
  • Fleet card subsidi diesel disalah guna akan dibatal

    Fleet card subsidi diesel disalah guna akan dibatal

    Fleet card bagi tujuan subsidi diesel yang telah dikeluarkan akan dibatalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sekiranya didapati disalah guna, lapor New Straits Times.

    Kementerian itu telah mengesan kaedah baru penyalahgunaan bahan api bersubsidi tersebut untuk kegunaan lain, jelas Timbalan Pengarah Penguatkuasaan (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil. Penyalahgunaan tersebut telah dikesan berlaku di Pulau Pinang dan Selangor, dan kementerian juga sudah mengambil tindakan.

    “Berdasarkan tinjauan semasa, ada corak dan kaedah baru salag guna RON95 dan diesel. Kementerian sedar tentang perkara ini dan sudah mengambil tindakan ke atas pelaku kesalahan yang menyalah guna fleet card dengan membeli bahan api berkenaan dan digunakan untuk kenderaan yang tidak didaftarkan bagi kad tersebut. Kami akan mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, dan sekiranya di dapati bersalah, fleet card berkenaan akan dibatalkan dan tindakan akan diambil terhadap pemegangnya,” jelas beliau.

    Fleet card subsidi diesel disalah guna akan dibatal

    “Bagi mengekang ketirisan subsidi, kementerian telah menjalankan program advokasi dan mengeluarkan Arahan Kawalan Bekalan kepada pengendali stesen minyak di negeri-negeri bersempadan dengan Thailand,” ujar Shamsul Nizam, dengan menjelaskan Arahan Kawalan Bekalan itu bertindak selaku peringatan kepada semua stesen minyak agar melaporkan kepada kementerian sekiranya ada kenderaan didapati mengisi minyak RON95 dan diesel secara berulang-ulang.

    Pelarasan subsidi bahan api bermula dengan diesel pada 10 Jun lalu, dengan harga meningkat sebanyak RM1.20, atau 56% kepada RM3.35 seliter. Sejak itu, harga bagi bahan api berkenaan pernah turun 10 sen dua minggu lalu, menjadikan harga semasanya ialah RM3.25 seliter.

    Diesel bersubsidi hanya diberikan kepada kenderaan logistik yang layak dan berdaftar di bawah Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0, yang membolehkan pengendali kenderaan terbabit mendapatkan diesel pada harga subsidi RM2.15 seliter. Bagi SKDS 1.0 yang melibatkan kenderaan pengangkutan awam darat seperti bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan jentera bomba kekal dengan kadar RM1.88 seliter, sementara diesel bersubsidi untuk nelayan kekal RM1.65 seliter.

     
     
  • Mitsubishi Xpander facelift 2024 dilihat di M’sia — perubahan rekaan bahagian belakang, kemasan sisi

    Mitsubishi Xpander facelift 2024 dilihat di M’sia — perubahan rekaan bahagian belakang, kemasan sisi

    Mitsubishi Xpander facelift 2024 semakin jelas dilihat di Malaysia. Hantaran terbaru dalam kumpulan Facebook Mitsubishi Xpander Owners Club (MXOC) ini misalnya menunjukkan beberapa unit MPV tujuh-tempat duduk berkenaan sedang berada di atas trailer pengangkut dengan bahagian badannya terdedah.

    Dengan hanya menutup beberapa perincian pada Mitsubishi Xpander 2024 (versi terkini pernah dipamerkan juga di Thailand) — ada pelekat yang menutupi bahagian logo dan nama model — ini memberikan gambaran yang lebih jelas terhadap perubahan dan kemaskini bagi versi terbaru yang akan dilancarkan itu.

    Daripada gambar yang dikongsikan tersebut, agak jelas kelihatan kemaskini yang telah dibuat untuk Xpander 2024, terutamanya untuk bahagian belakangnya. Rekaan lampu sepertinya baru, dengan LED dan perumah yang gelap. Begitu juga dengan rekaan bampar dan bahagian bawah bampar yang datang dengan kemasan perak gelap, yang nampak berbeza daripada model sebelum ini.

    Mitsubishi Xpander facelift 2024 dilihat di M’sia — perubahan rekaan bahagian belakang, kemasan sisi

    Pelekat putih di belakang itu pula tentunya lencana nama Mitsubishi atau Xpander, yang mana kedudukannya juga kini lebih tinggi dan sama tahap dengan ruang untuk nombor platnya. Selain itu, lampu pemantul/reflektornya juga kini dalam rekaan menegak di sudut bampar.

    Tidak ketinggalan ialah bahagian spoiler yang dapat juga dilihat dengan jelas, yang boleh diagak bahawa unit dalam gambar ini merupakan varian paling lengkapnya. Meninjau rekaan rimnya juga akan menampakkan kelainan berbanding rekaan bilah lurus yang lama, yang mungkin juga akan datang dengan saiz yang lebih besar.

    Bahagian sisinya pula menunjukkan adanya bodykit atau skirting sisi dengan warna perak gelap yang sama dengan bahagian bawah bampar belakang. Ini kita boleh jangkakan akan diterapkan juga ke bahagian bampar depannya.

    Mitsubishi Xpander facelift 2024 dilihat di M’sia — perubahan rekaan bahagian belakang, kemasan sisi

    Untuk bahagian depan juga dapat dilihat beberapa perubahan. Antaranya ialah rekaan lampu (yang terletak di bahagian bampar) kini lebih besar berbentuk ‘T’, manakala kemasan krom di sekitarnya yang berbentuk ‘C’ juga seperti makin tebal. Keluasan untuk bahagian gril jaring hitamnya juga seperti lebih besar.

    Dengan kemunculan Mitsubishi Xpander facelift 2024 ini, kita sudah boleh jangkakan yang model berkenaan kini sudah siap sedia untuk diperkenalkan ke dalam pasaran. Persoalannya, bila? Dan dari segi spesifikasi mekanikal, akan ada perubahan juga atau sebaliknya?

     
     
  • MINI Aceman SE 2024 dilancar di Thailand – lebih kecil dari Countryman; jarak gerak 405 km; dari RM255k

    MINI Aceman SE 2024 dilancar di Thailand – lebih kecil dari Countryman; jarak gerak 405 km; dari RM255k

    Susulan pengenalan di peringkat dunia pada April tahun ini, kini MINI Aceman telah pun dilancarkan di Thailand. SUV kompak ini diposisikan antara Cooper dan Countryman dalam barisan jenama MINI, ditawarkan dengan varian tunggal SE pada harga 1.999 juta baht (sekitar RM255k).

    Dengan harga tersebut, Aceman SE menampilkan motor elektrik yang dipasang di hadapan, berkuasa 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan tork 330 Nm, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.1 saat dan kelajuan maksimum cecah 170 km/j.

    Motor elektrik tersebut dijanakan oleh bateri dengan kapasiti tenaga cecah 54.2 kWh, yang mampu memberikan jarak gerak hingga 405 km memgikut standard WLTP. Untuk pengecasannya, Aceman SE ini menyokong pengecasan AC dengan kapasiti puncak 11 kW, yang mampu mencapai pengecasan penuh dari 0-100% sekitar lima jam 45 minit. Ia juga menyokong pengecas pantas DC berkapasiti maksimum 95 kW dengan status bateri dari 10-80% dapat dicapai dalam 31 minit.

    Berkenaan dengan saiznya, Aceman berukuran 4,076 mm panjang, 1,754 mm lebar, 1,515 mm tinggi dan jarak roda 2,606 mm. Jika dibandingkan dengan MINI Cooper (3,858 mm panjang, 2,526 mm jarak roda) dan Countryman (4,433 mm panjang, 2,692 mm jarak roda).

    Ciri kelengkapan standard yang diberikan untuk Aceman spesifikasi Thailand ini termasuk roda aloi dua-tona ‘Night Flash Spoke’ 18-inci, lampu utama LED dengan bantuan lampu tinggi, bumbung kaca panoramik, rel bumbung, kulit Vescin sintetik (dalam rona Nightshade Blue atau Beige), kemasan dalaman ‘Favoured’, tempat duduk sport John Cooper Works, roda stereng sport, skrin sesentuh OLED bulat, pengecas tanpa wayar, sistem bunyi Harmon kardon, paparan utama dan MINI Experience Modes.

     
     
  • MG5 GT dan HS bakal didedahkan secara rasmi di Malaysia 22 Ogos ini – sedan dan SUV segmen-C

    MG5 GT dan HS bakal didedahkan secara rasmi di Malaysia 22 Ogos ini – sedan dan SUV segmen-C

    MG Malaysia baru sahaja menyiarkan teaser untuk dua model baharu yang bakal diperkenalkan ke pasaran tempatan tidak lama lagi iaitu sedan segmen-C MG5 GT dan SUV segmen-C MG HS. Berdasarkan hitung undur yang disiarkan menerusi grafik yang dihantar menerusi laman sosial MG Malaysia itu, kedua-dua model tersebut akan didedahkan secara rasmi dua hari lagi, iaitu pada 22 Ogos nanti.

    Ini merupakan dua model pertama dengan enjin pembakaran dalaman di bawa oleh MG ke Malaysia kerana dua model yang sudah dilancarkan iaitu MG4 dan MG ZS merupakan model dengan unit rangkaian kuasa elektrik penuh (EV). Kedua-dua model ini juga telah berada di dua pasaran ASEAN terbesar iaitu Indonesia dan Thailand.

    Bagi MG5 (GT di Indonesia, tanpa GT di Thailand), ia merupakan sedan yang dihasilkan dengan dimensi 4,675 mm panjang, 1,842 mm lebar, 1,473 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,680 mm – cukup membolehkan ia bertanding dengan sedan segmen-C lain seperti Honda Civic, Toyota Corolla dan Mazda 3.

    Tiada lagi sebarang perincian berkenaan spesifikasi sedan ini, namun di Indonesia dan Thailand, kedua-dua pasaran ini menerima unit rangkaian kuasa yang menggandingkan enjin 1.5 liter NA berkuasa 114 PS/150 Nm dan juga kotak gear CVT automatik.

    Walau bagaimanapun, di Australia MG5 yang digerakkan dengan unit rangkaian kuasa yang lebih bertenaga iaitu enjin 1.5 liter empat-silinder turbo berkuasa 162 PS dan tork maksima 250 Nm, digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

    Berdasarkan gambar yang dimuat naik oleh pengedar-pengedar MG di laman-laman sosial sebelum ini, ada beberapa perincian yang boleh kita lihat mungkin ditawarkan pada pasaran Malaysia. Antaranya rim aloi 17-inci, skrin infotainmen bersaiz 10-inci, lampu hadapan LED dan juga paparan instrumen digital sepenuhnya.

    Manakala untuk MG HS, SUV ini menampilkan dimensi 4,574 mm panjang, 1,876 mm lebar, 1,664 mm dengan jarak roda 2,720 mm, iaitu saiz yang membolehkan ia bertanding dalam kelas sama seperti Proton X70, Honda CR-V dan Mazda CX-5. Di Indonesia dan Thailand, MG HS masih dijual dalam versi facelift generasi pertama yang telah diperkenalkan sejak 2020, bukan model generasi baharu yang didedahkan di Goodwood Festival of Speed bulan lalu.

    Malaysia juga masih akan menerima model generasi yang sama seperti di Thailand dan Indonesia yang dijana enjin 1.5 liter turbo berkuasa 162 PS/250 Nm dan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, berdasarkan apa yang didedahkan beberapa pengedar MG sebelum ini.

    Di Thailand, MG HS ini turut ditawarkan dalam varian plug-in hybrid (PHEV) yang menerima tambahan motor elektrik dengan kuasa 122 PS/230 Nm, bagi membekalkan kuasa keseluruhan 284 PS/480 Nm. Versi ini juga disertakan dengan bateri 16.6 kWh untuk jarak gerak elektrik sepenuhnya sejauh 67 km (NEDC) serta kotak gear EDU II 10-kelajuan (enam untuk enjin, empat untuk motor elektrik).

    Apa pun, untuk mengetahui spesifikasi sebenar MG5 GT dan HS pasaran Malaysia ini, pastikan anda bersama kami sehingga 22 Ogos nanti. Setakat ini apa pendapat anda berkenaan kedua-dua model ini? Kongsikannya dengan kami pada ruang komen di bawah atau di laman-laman sosial kami.

     
     
  • Chery Tiggo 7 Sport – Jaecoo J7 dengan muka ala Range Rover untuk pasaran China diperkenalkan

    Chery Tiggo 7 Sport – Jaecoo J7 dengan muka ala Range Rover untuk pasaran China diperkenalkan

    Jaecoo J7 baru sahaja dilancarkan di Malaysia bulan lalu. Tidak seperti SUV segmen-C lain yang diberikan sistem pacuan semua roda biasa, sistem AWD pada J7 ini agak serius dan ia seperti Range Rover dalam versi lebih murah. Dan di China, kini ada Jaecoo J7 yang telah dikemaskini menampilkan muka seperti sebuah Range Rover!

    Namun ia dijual dengan nama syarikat induk Jaecoo iaitu Chery, diberi nama sebagai Chery Tiggo 7 Sport. Menurut laporan media-media China seperti Autohome dan Sohu, Tiggo 7 Sport ini hanya akan dilancarkan pada bulan September nanti, namun ada unit-unit telah pun berada di jaringan pengedar Chery di China.

    Untuk yang belum mengetahui, Chery Tiggo 7 Pro yang dijual di China dan Malaysia sebenarnya memang berkongsi platform dan juga enjin yang sama dengan Jaecoo J7. Dan mungkin ini lah sebab ia dipanggil ‘Tiggo 7 Sport’ kerana ia masih hadir dengan saiz dan enjin yang sama, tetapi menampilkan rupa dan kebolehan seperti Range Rover.

    Keseluruhan bahagian hadapan J7 ini telah dirombak bagi memberikan rupa seakan Range Rover termasuk lampu, gril, bampar, fender dan juga penutup bonet hadapan. Manakala pada bahagian muncung penutup bonet tersebut diberikan tulisan “CHERY” bagi memastikan anda tidak tertipu bahawa ini bukanlah Range Rover sebenar.

    Chery Tiggo 7 Sport – Jaecoo J7 dengan muka ala Range Rover untuk pasaran China diperkenalkan

    Tidak ada perubahan besar dibuat di bahagian belakang kerana rekaan asal Jaecoo J7 itu sendiri sebenarnya memang sudah mengambil inspirasi dari model-model terkini Range Rover yang menampilkan lampu belakang bersegi dan nipis. Cuma imej lasaknya diserlahkan lagi dengan panel skid plate pada bawah bampar belakang direka lebih besar dari J7 biasa.

    Satu lagi perincian yang mungkin boleh menyebabkan orang percaya bahawa ini adalah Range Rover sebenar adalah pemadanan kotak storan pada bahagian luar cermin sisi belakang seperti kotak storan pada Land Rover Defender.

    Pada sebelah dalam, ada beberapa perubahan diberikan pada Tiggo 7 Sport ini berbanding J7 biasa. Ia kini diberikan tema warna tan yang nampak lebih mewah, bersama perubahan pada konsol terowong di bahagian tombol gear dan pemegang cawan.

    Selain dari enjin 1.6 liter turbo berkuasa 197 PS/290 Nm digandingkan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan yang dikongsi bersama Tiggo 7 Pro dan Jaecoo J7, Tiggo 7 Sport ini dilaporkan turut menerima enjin lebih berkuasa iaitu unit 2.0 liter turbo berkuasa 256 PS/390 Nm bersama kotak gear lapan kelajuan automatik yang sama dengan Tiggo 8 Pro.

    Tidak seperti ‘Range Rover Evoque palsu’ China iaitu Land Wind X7 yang disaman oleh Range Rover kerana meniru rekaannya satu ketika dahulu, rekaan pada Chery Tiggo 7 Sport ini mungkin sudah mendapat ‘restu’ dari Range Rover.

    Ini kerana Jaguar Land Rover dan Chery sememangnya merupakan rakan kerjasama di China yang telah berlangsung lebih sedekad yang lalu, dengan Chery diberikan hak untuk mengilangkan dan menjual model-model Land Rover di negara tersebut.

    Dan terbaharu, kerjasama ini naik satu tahap lagi apabila Land Rover menyerahkan lesen bagi jenama Freelander kepada Chery bagi membolehkan jenama automotif China tersebut bagi membangunkan model-model SUV elektrik (EV).

    GALERI: Jaecoo J7 AWD

     
     
  • Lorong bas Rapid KL di Jalan Klang Lama telah mula beroperasi; dari jam 6 pagi-8 malam, Isnin-Jumaat

    Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) selaku pengendali perkhidmatan pengangkutan bas Rapid KL dan bas perantara MRT, telah melancarkan projek percubaan lorong bas di Jalan Klang Lama dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

    Lorong bas sepanjang 6.37 kilometer ini bermula dari Jalan Puchong ke Jalan Klang Lama Off Jalan Halimahton dan merupakan projek lorong bas ketiga buat Rapid KL. Projek ini dijangka dapat membantu mengurangkan masa perjalanan serta kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit, dan memberi penjimatan masa perjalanan sehingga 10 minit dari Kinrara ke arah Pusat Bandaraya.

    Muhammad Yazurin Sallij, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus berkata, “Semenjak pelaksanaan lorong bas di koridor Jalan Ampang dan koridor Jalan Genting Kelang pada tahun 2023, pihak Rapid Bus telah mencatatkan peningkatan penumpang masing-masing sebanyak 27% dan 42%. Kami berharap manfaat kelancaran perkhidmatan dan penjimatan masa akan dapat terus menarik minat orang ramai untuk beralih menggunakan pengangkutan bas.”

    Beroperasi pada waktu puncak pagi, iaitu dari jam 6 pagi sehingga 8 malam, Isnin hingga Jumaat (kecuali cuti umum), projek percubaan lorong bas di Jalan Klang Lama ini akan memberi manfaat kepada komuniti penduduk di sekitar kawasan Puchong, Sri Manja, Taman Kinrara, Taman Desa, Taman OUG dan Jalan Kuchai Lama.

    Lorong bas Rapid KL di Jalan Klang Lama telah mula beroperasi;  dari jam 6 pagi-8 malam, Isnin-Jumaat

    Ia melibatkan 42 buah bas dari enam laluan iaitu 600 (Hab Puchong Utama – Hab Pasar Seni), 640 (Hab Seri Manja – Hab Pasar Seni), 650 (Taman Desa – Hab Pasar Seni), 641 (Pearl Point – LRT Subang Jaya), 651 (Pearl Point – LRT Muhibbah), dan 652 (Batu 3 Jalan Klang Lama,BHP–LRT Awan Besar).

    “Para penumpang yang menggunakan laluan-laluan tersebut tidak hanya terhad untuk ke destinasi di hentian-hentian bas ini sahaja. Mereka boleh meneruskan perjalanan lebih jauh dengan kesalinghubungan yang boleh mereka nikmati termasuk Hab Pasar Seni dengan menaiki LRT Laluan Kelana Jaya untuk ke Putra Heights atau Gombak, dengan menaiki MRT Laluan Kajang untuk ke Kajang mahupun Kwasa Damansara, dengan menggunakan perkhidmatan bas GoKL.

    “Selain itu, dengan menaiki LRT Subang Jaya, penumpang boleh meneruskan perjalanan ke Putra Heights atau Gombak dengan menaiki LRT Laluan Kelana Jaya serta dari LRT Muhibbah / LRT Awan Besar dengan meneruskan perjalanan ke Putra Heights atau Sentul Timur dengan menaiki LRT Laluan Sri Petaling,” kata kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Puspakom umum cawangan Petaling Jaya bakal ditutup sepenuhnya bermula 31 Ogos 2024

    Puspakom umum cawangan Petaling Jaya bakal ditutup sepenuhnya bermula 31 Ogos 2024

    Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) hari ini membuat pengumuman rasmi bahawa cawangan Puspakom Petaling Jaya bakal dihentikan operasi sepenuhnya bermula 31 Ogos 2024. Menurut syarikat itu langkah ini adalah selari dengan strateginya dalam menuju ke arah liberalisasi pasaran di dalam industri pemeriksaan kenderaan di Malaysia.

    “Penutupan ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan memastikan pelanggan sentiasa mendapat perkhidmatan yang terbaik daripada Puspakom”, kata syarikat itu dan menambah pelanggan yang lazimnya menggunakan perkhidmatan cawangan Petaling Jaya kini boleh berurusan di Puspakom Glenmarie, Puspakom Padang Jawa atau Puspakom Cheras.

    “Penutupan cawangan Petaling Jaya merupakan langkah strategik syarikat dan tidak akan menjejaskan mutu perkhidmatan, malah kami melanjutkan waktu operasi cawangan Puspakom Glenmarie bermula 2 September 2024 dari jam 7.00 pagi sehingga 11.00 malam untuk memberikan kemudahan yang lebih fleksibel kepada pelanggan,” kata CEO Puspakom, Mahmood Razak Bahman pula.

     
     
  • Penggunaan tilam dalam MPV/van yang sedang bergerak tidak wajar dilakukan, tidak selamat

    Penggunaan tilam dalam MPV/van yang sedang bergerak tidak wajar dilakukan, tidak selamat

    Memandu dalam jarak jauh mahu pun dekat untuk ke mana-mana lokasi boleh jadi menyeronokkan, apatah lagi untuk road trip atau bercuti bersama mereka yang tersayang. Walau bagaimana pun, aspek keselamatan usah sekali diabaikan. Kadang kita tidak sedar, ada perkara yang kita rasa selamat tetapi sebenarnya…tidak selamat!

    Ini seperti yang dipaparkan menerusi klip video yang dikongsikan melalui X/Twitter yang menunjukkan sebuah keluarga seramai empat orang sedang berada sama ada di dalam MPV, dengan tempat duduk penumpang belakang telah dikeluarkan.

    Dengan ruang kosong yang ada di bahagian penumpang belakang, tilam dibentang bagi menggantikan tempat duduk sedia ada, dengan seorang wanita bersama dua anak kecil berada di bahagian itu, menikmati hidangan. Manakala seorang lelaki pula berada di tempat duduk pemandu.

    Walaupun perjalanan seperti yang ditunjukkan dalam klip video ini kelihatan lancar, dan jalan raya juga bebas daripada kesesakan lalu lintas seperti yang dilihat melalui cermin depan, amalan ini sebenarnya boleh mendatangkan bahaya kepada penumpang di dalam kenderaan tersebut, sekiranya berlaku pelanggaran, terbabas dan sebagainya.

    Para penumpang juga tidak memakai tali pinggang keledar, bahkan banyak peralatan di dalam kenderaan berkenaan yang boleh mendatangkan bahaya sekiranya berlaku insiden. Sebagai contoh, sekiranya penumpang tercampak dan terhantuk akibat brek mengejut mahu pun berlaku pelanggaran.

    Sekiranya menggunakan caravan sekalipun, harus diingat, bukan sahaja pemandu yang wajib menggunakan tali pinggang keledar, bahkan para penumpang juga perlu berada di tempat duduk dan memakai tali pinggang keledar. Demi keselamatan!

    Walau bagaimana pun, memang ramai di antara kita yang mengabaikan aspek keselamatan sebegini. Ada yang memberikan alasan, “Ala bukannya pandu laju pun…” atau “Rimaslah pakai seatbelt!” Memang mungkin anda seorang pemandu yang cermat dan memandu mengikut kelajuan yang ditetapkan. Tetapi jangan sangka semua pengguna jalan raya akan bertindak seperti anda. Mungkin ada yang memandu sesuka hati, kenderaan yang dipandu tiba-tiba mengalami kerosakan atau pun kenderaan lain hilang kawalan. Anda mungkin terpaksa brek mengejut dan kebarangkalian besar penumpang di belakang boleh terhantuk, tercampak atau terhumban.

    Sebelum perkara sebegitu berlaku, silalah beringat dan ambil langkah paling penting…utamakan keselamatan. Anda boleh tonton video di bawah, impak yang berlaku sekiranya berlaku pelanggaran. Apa yang terjadi pada penumpang di belakang yang tidak memakai tali pinggang keledar? Dia terhumban di hadapan dan berisiko mengalami kecederaan, mahu pun kematian.