Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pemantauan ketat bagi kesan pemandu guna lorong kecemasan Lebuhraya Utara-Selatan – Anthony Loke

    Pemantauan ketat bagi kesan pemandu guna lorong kecemasan Lebuhraya Utara-Selatan – Anthony Loke

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengesahkan pemantauan lebih rapi termasuk melalui kamera litar tertutup (CCTV) akan dilaksanakan di Lebuhraya Utara-Selatan sepanjang musim perayaan ini bagi mengenal pasti pengguna lebuh raya yang melanggar peraturan terutama menyalahgunakan laluan kecemasan, laporan Bernama.

    Katanya, sebanyak 150 buah CCTV pada jarak setiap 10 kilometer telah dipasang di sepanjang lebuh raya oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi tujuan itu.

    “Pihak PLUS akan memantau semua CCTV melalui pusat kawalan dan sekiranya ada pemandu yang menyalahgunakan lorong kecemasan mereka akan ‘zoom in’ untuk dapatkan maklumat kenderaan dan seterusnya melaporkannya kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang akan mengeluarkan saman,” katanya dalam sidang media Tinjauan Trafik Lebuhraya Utara-Selatan Sempena Hari Raya Aidilfitri di Persada PLUS semalam.

    Loke berkata sejak Ops Bersepadu sempena Hari Raya bermula 7 Jun lepas, sebanyak 83 saman membabitkan penyalahgunaan lorong kecemasan telah dikeluarkan.

    Dalam pada itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang pemandu yang menyalahgunakan lorong kecemasan termasuk melalui rakaman kamera kereta ataupun telefon bimbit supaya melaporkannya kepada JPJ untuk tindakan selanjutnya.

     
     
  • Mercedes-AMG SLC43 2019 kini tampil dengan 385 hp

    Mercedes-AMG SLC43 2019 kini tampil dengan 385 hp

    The Mercedes-Benz SLC telah menambah beberapa peningkatan untuk model 2019, sebelum ia memulakan jualannya di Amerika Syarikat. Peningkatan ini turut melibatkan model AMG, termasuk SLC 300 dan SLC 43.

    Untuk SLC 300, semakan melibatkan pilihan baharu – pencahayaan ambien, Bantuan Titik Buta, sistem bunyi Harman Kardon Logic 7, jam analog pada papan pemuka dan Parktronic. Di bawah bonetnya, terletak enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan hamburan kuasa 241 hp dan tork 370 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik sembilan-kelajuan. Dengan kuasa disalurkan ke roda belakang, ia mampu mencapai 5.8 saat bagi pacuan 0-96 km/j.

    Mercedes-AMG SLC43 2019 kini tampil dengan 385 hp

    Perubahan pada Mercedes-AMG SLC 43 pula lebih besar, dengan enjin 3.0 liter turbo-berkembar V6 yang kini tampil dengan hamburan kuasa 385 hp. Ia adalah lebih 23 hp berbanding model tahun 2018, walau bagaimana pun syarikat ini tidak memaklumkan tentang tork atau spesifikasi prestasinya. Memandangkan kuasa kudanya lebih kurang sama dengan model facelift C 43, dijangkakan V6 ini mampu menghasilkan tork sebanyak 520 Nm.

    Selain enjin, SLC 43 kini didatangkan dengan kawalan suhu dwi-zon dan lampu utama LED aktif dengan Bantuan Lampu Tinggi Adaptif secara standard. Kereta ini juga boleh ditempah dengan kekemasan warna luaran Graphite Grey.

     
     
  • Harga minyak RON 97 turun enam sen menjadi RM2.60

    Harga minyak RON 97 turun enam sen menjadi RM2.60

    Minggu ini sudah masuk minggu kedua harga petrol RON 97 ditetapkan secara apungan dan bermula hari ini, harganya turun menjadi RM2.60 seliter (daripada RM2.66 minggu lepas) dan akan dikekalkan sehingga 20 Jun. Harga bahan api lain iaitu petrol RON 95 dan diesel masih lagi kekal pada masing-masing RM2.20 dan RM2.18 seliter (RM2.28 untuk diesel Euro 5).

    Harga yang dikekalkan oleh kerajaan baru ini membawa makna penggunaan subsidi, kerana harga minyak dunia sedang meningkat sejak baru-baru ini. Menteri kewangan, Lim Guan Eng memberitahu minggu lalu bahawa kerajaan menggunakan subsidi 33 sen bagi setiap liter RON 95 dan diesel pada harga sekarang. Tanpa subsidi, harganya akan menjadi RM2.53 seliter untuk RON 95 dan RM2.51 untuk diesel.

    Kerajaan juga telah menyediakan peruntukan RM3 bilion sehingga hujung tahun 2018 untuk membiayai subsidi minyak ini, dan mengekalkan harga petrol RON 95 serta diesel seperti sekarang untuk sepanjang tahun.

    Dalam satu laporan lain, Salah seorang dari ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin ada menyatakan, cadangan untuk pembaharuan subsidi bahan api akan dibentangkan kepada perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam minggu ini.

     
     
  • MV Agusta Turismo Veloce 800 Lusso SCS guna klac automatik elektronik Rekluse, kuasa 110 hp, 80 Nm

    MV Agusta Turismo Veloce 800 Lusso SCS guna klac automatik elektronik Rekluse, kuasa 110 hp, 80 Nm

    Model jelajah sport keluaran MV Agusta kini ditambah dengan satu lagi varian istimewa yang dipanggil sebagai Turismo Veloce 800 Lusso SCS. Huruf di hujung nama model tersebut membawa maksud Smart Clutch System, dan ini adalah kelengkapan istimewa pada model baru tersebut.

    MV Agusta mendakwa, SCS ini adalah eksklusif untuk motosikal mereka, dan pertama kali digunakan pada motosikal produksi, tetapi sebenarnya ia dibangunkan bersama Rekluse, yang sememangnya sudah terkenal dengan pengeluaran klac anti-mati terutamanya untuk motosikal offroad.

    Dengan adanya klac SCS ini, pengguna boleh memilih sama ada mahu menggunakan klac di tangan ataupun terus saja memasukkan gear tanpa menarik apa-apa tuil. Selain itu, klac ini juga dapat mengelakkan enjin mati apabila transmisi masih dalam gear, dan motosikal terhenti sambil penunggang tidak menarik klac.

    Menambahkan lagi keistimewaannya, MV Agusta telah memasang penutup klac lutsinar, membolehkan orang melihat ke bahagian dalam klac, dan ia juga disertakan dengan sistem quickshift elektronik naik dan turun MV EAS 2.0.

    Bahagian lain motosikal ini masih sama seperti Turismo Veloce 800 Lusso yang lain, iaitu menggunakan enjin tiga silinder 798 cc bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 110 hp dan 80 Nm tork. Berat keseluruhan model ini adalah 192 kg dan ia mampu mencapai kelajuan maksimum 230 km/j.

    Pada bahagian elektronik, model ini juga dilengkapi dengan antaranya empat mod kuasa, lapan tahap kawalan cengkaman, brek ABS two-channel dan paparan meter digital sepenuhnya. Suspensi pula menggunakan unit daripada Sachs di depan dan belakang.

     
     
  • Aston Martin Rapide AMR – 603 PS daripada enjin V12

    Aston Martin Rapide AMR – 603 PS daripada enjin V12

    Selepas dipertontonkan semasa Geneva Motor Show tahun lepas, Aston Martin akhirnya memperkenalkan secara rasmi Rapide AMR baru, yang kini menjadi model terbaru di bawah jenama sub Rapide, selepas DB11 AMR.

    Model ini hanya akan dikeluarkan sebanyak 210 unit, dan syarikat dari British ini menggambarkan ia sebagai “sebuah kenderaan sports yang mampu membawa satu pasukan pelumba ke litar di benua lain, dan apabila tiba di litar, boleh terus digunakan untuk perlumbaan.”

    Secara logiknya, model ini mendapat beberapa peningkatan daripada Rapide standard. Enjin V12 5.9 liter NA padanya kini mendapat salur kemasukan udara pada manifold yang lebih besar, diambil daripada Vantage V12 serta kalibrasi baru untuk enjin dan kotak gear automatik Touchtronic lapan kelajuannya.

    Hasilnya, kenderaan ini boleh menghasilkan 603 PS pada 7,000 rpm dan 630 Nm tork, kesemuanya dihantar ke roda belakang melalui gandar dengan limited-slip differential. Walaupun dengan perubahan itu, Rapide AMR masih berkongsi catatan pecutan 0-100 km/j yang sama dengan Rapide S, iaitu 4.4 saat, tetapi mempunyai lebih sedikit kelajuan maksimum iaitu 330 km/j (berbanding 327 km/j).

    Selain penambahan kuasa, Rapide AMR turut dijadikan lebih dinamik dan lincah untuk mengambil selekoh. Ia kini 10 mm lebih rendah berbanding Rapide S dan penyerap adaptif tiga tahap padanya telah dilaras untuk menyokong inisiatif tersebut.

    Bagi memberi kuasa henti pula, sistem brek seramik karbon digunakan, dengan cakera saiz 400 mm di hadapan bersama angkup enam piston, dan cakera 360 mm di belakang bersama angkup empat piston. Buat pertama kali juga, Aston Martin menggunakan rim 21 inci pada model ini, dan apabila ditambah dengan salur udara ke bahagian brek dan pelindung habuk daripada Vanquish S, ia dapat menyejukkan brek.

    Secara visualnya, kenderaan ini masih nampak sama seperti model konsep yang ditunjukkan di Geneva, termasuk perincian pada gril, dan lampu siang berbentuk bulat, inspirasi daripada model Zagato. Komponen aerodinamik seperti splitter, sill, diffuser belakang, bonet berskup dan spoiler di belakang semuanya dibuat daripada gentian karbon.

    Aston Martin Rapide AMR – 603 PS daripada enjin V12

    Beberapa pilihan warna dan skema rekaan disediakan kepada pelanggan, tetapi yang lebih ikonik adalah warna Stirling Green dengan kemasan dan jalur Lime seperti dalam gambar. Warna ini memberi kesinambungan kepada model lumba pasukan Aston Martin Racing.

    Bahagian dalam juga mengikut skema warna yang sama, dan pelanggan boleh memilih sama ada jahitan AMR Lime ataupun Galena Silver. Konsol tengah gentian karbon penuh dan tempat duduk yang dibalut dengan Alcantara menambahkan ciri sporty pada kenderaan ini dan ia juga pertama kali digunakan pada model Rapide. Setiap kenderaan juga datang dengan plat tanda pemeriksaan AMR, lencana AMR dan plat tepi pintu karbon.

    Di United Kingdom, Rapide AMR dijual pada harga 194,950 pound (RM1,040,366), manakala di Amerika Syarikat US$240,000 (RM958,920) dan di Jerman 229,950 euro (RM1,078,010). Kereta ini juga akan ditawarkan di seluruh dunia, kecuali China dan Russia. Penghantaran pula akan bermula pada suku keempat tahun 2018.

     
     
  • Polis Perak pantau 66 laluan berbahaya di negeri itu

    Polis Perak pantau 66 laluan berbahaya di negeri itu

    Polis Perak telah mengenal pasti sebanyak 52 kawasan panas dan 14 kawasan hitam yang kerap berlaku kemalangan maut di negeri tersebut. Justeru, polis akan mempergiatkan pemantauan di kawasan berkenaan dan juga laluan lain sepanjang Ops Selamat ke-14 sempena Hari Raya Aidilfitri.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak Supt Ahmad Adnan Basri, kawasan panas tersebut membabitkan Ipoh (4), Taiping (3), Selama (1), Batu Gajah (1), Hilir Perak (3), Manjung (5), Muallim (1), Sungai Siput (4), Tapah (2), Kuala Kangsar (3), Perak Tengah (2), Pengkalan Hulu (1), Gerik (14), Kampar (4) dan Kerian (4), laporan Bernama.

    “Kawasan hitam yang dikenal pasti pula membabitkan satu kawasan di daerah Muallim, tiga di Taiping, lima di Manjung, satu di Hilir Perak dan empat di Gerik,” katanya kepada pemberita semalam.

    Menurut Ahmad Adnan, seramai 450 anggota JSPT kontinjen Perak akan ditugaskan di kesemua kawasan hitam dan panas berkenaan.

     
     
  • Majlis Penasihat Kerajaan bakal bentang cadangan pembaharuan subsidi bahan api kepada PM minggu ini

    Majlis Penasihat Kerajaan bakal bentang cadangan pembaharuan subsidi bahan api kepada PM minggu ini

    Salah seorang dari ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin menyatakan cadangan untuk pembaharuan subsidi bahan api akan dibentangkan kepada perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam minggu ini, menurut laporan temu ramah oleh Bernama.

    Bekas menteri kewangan itu berkata Majlis Penasihat berkenaan telah menjalankan lebih dari 200 mensyuarat dengan pelbagai agensi, syarikat dan juga individu sejak sebulan lalu,bagi mengkaji isu seperti subsidi bahan api, pemansuhan tol dan juga pemansuhan cukai GST.

    Menurut Tun Daim lagi, CEP juga sudah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pemegang kepentingan yang berkaitan mengenai kaedah terbaik dalam melaksanakan perubahan subsidi bahan api sebelum membuat keputusan. Namun beliau enggan mengulas lanjut, tetapi menegaskan subsidi bahan api akan berbentuk subsidi bersasar.

    Daim turut berkata CEP juga menyedari sepenuhnya impak kewangan ke atas pasaran akibat daripada pemansuhan bayaran tol, iaitu salah satu perkara yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan ketika Pilihanraya Umum ke-14 lalu. “Walaupun kita mahu mengurangkan tol untuk rakyat, kita juga menyedari impak dalam pasaran jika tol dibatalkan dengan segera,” katanya.

    Majlis Penasihat Kerajaan bakal bentang cadangan pembaharuan subsidi bahan api kepada PM minggu ini

    CEP juga sedang mengenal pasti pelbagai pilihan mengenai cara untuk menangani isu berkenaan, berpandukan kepada prinsip bahawa keputusan yang dibuat akan berjalan secara berperingkat dan berstruktur. Ini akan memastikan keputusan akhir kekal akan adil kepada semua pemegang kepentingan, menurut Daim.

    “Setakat ini, maklum balas daripada rakyat sangat menggalakkan. Tidak perlu memansuhkan tol serta-merta, maksud saya mereka faham. Mereka tahu ia disebut dalam manifesto, sekarang realiti sudah diketahui, mereka memahami kedudukan kewangan dan masalahnya. Kami telah memikirkan semua perkara ini. Kami cuba lakukan mengikut kaedah ini sehingga semuanya kembali seimbang. Pasaran akan gembira, pemiliknya gembira dan pengguna juga gembira,” katanya.

    Daim turut menambah bahawa pengumuman untuk membatalkan dan mengkaji semula projek-projek mega tidak bermakna kerajaan mengalihkan tumpuan ekonomi tetapi ia hanya didorong oleh hakikat bahawa beberapa projek ini tidak masuk akal – contohnya projek MRT memerlukan banyak wang. “Pampasan untuk tanah sahaja sudah tinggi. Dan ia hanya di KL, bagaimana dengan tempat lain?” katanya.

    Majlis Penasihat Kerajaan bakal bentang cadangan pembaharuan subsidi bahan api kepada PM minggu ini

    Beliau berkata ekonomi terus dipacu oleh permintaan dalam negeri, dengan perbelanjaan penggunaan swasta menyumbang 54 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Oleh itu, kerajaan hanya bertanggungjawab secara fiskal dalam perbelanjaan untuk mengurus kedudukan hutang fiskal, jelas Daim. “Projek yang memberi manfaat kepada rakyat perlu diteruskan, tetapi kita perlu mengkaji semua projek untuk memastikan keberkesanan kos dan tidak berlaku penyelewengan,” katanya.

    Walau bagaimanapun, Daim juga menyatakan keyakinan bahawa hasil daripada pada rejim percukaian baharu (SST) serta penjimatan daripada merasionalisasi perbelanjaan operasi, dapat mengurangkan kemungkinan kekurangan pendapatan daripada pengurangan GST. Beliau turut menambah bahawa kerajaan juga kini melakukan pembaharuan untuk memastikan pembaziran dan kebocoran diminimumkan.

    “Sejumlah RM43 bilion (pendapatan daripada GST) tidak termasuk bayaran balik. Pada tahun 80-an saya mahukan GST. Negara lain juga melaksanakan GST tetapi wang yang dikumpul kembali kepada rakyat. Di sini ia hanya pergi kepada BR1M. Sebab itulah rakyat kecewa. Di sini GST dikenakan dari masa sebelum anda dilahirkan sehinggalah anda meninggal dunia, sedangkan, di Barat, GST menjaga anda sejak dilahirkan sehingga anda mati,” katanya.

     
     
  • M’sia dapat tingkatkan keupayaan kejuruteraan dengan cadangan projek kereta nasional baharu – Tun M

    M’sia dapat tingkatkan keupayaan kejuruteraan dengan cadangan projek kereta nasional baharu – Tun M

    Memiliki projek kereta nasional baharu dijangka mampu membantu meningkatkan keupayaan kejuruteraan Malaysia, menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam laporan yang disiarkan Bernama hari ini.

    Katanya, ketika beliau mula melaksanakan projek kereta Proton pada tahun 1980-an, Malaysia tidak mempunyai pengetahuan langsung mengenai cara membuat kereta tetapi secara beransur-ansur memperoleh pengetahuan untuk mereka bentuk, membuat dan mengeluarkan kereta secara besar-besaran selama lebih daripada dua dekad.

    “Malangnya Proton telah dijual kepada orang China yang telah diberi hak untuk menguruskan Proton, jadi Malaysia sekarang tidak memanfaatkan kemahiran terbabit,” katanya kepada wartawan Malaysia ketika mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke Jepun pada Selasa lalu.

    Tambahnya, agak banyak syarikat kejuruteraan Malaysia terpaksa ditutup kerana mereka tidak dapat membekalkan barangan mengikut permintaan pemilik atau pengurus baharu Proton.

    M’sia dapat tingkatkan keupayaan kejuruteraan dengan cadangan projek kereta nasional baharu – Tun M

    “Kita perlu menghidupkan mereka semula kerana keseluruhan idea mengenai pelaburan dalam kereta nasional bukan sekadar membina sebuah kereta nasional, ia menjadi pemangkin untuk meningkatkan keupayaan kejuruteraan Malaysia,” katanya yang turut mengakui industri automotif adalah pasaran yang sangat besar.

    “Di seluruh dunia, syarikat memperoleh komponen kereta melalui sumber luar, kita boleh menghasilkan komponen kereta berjenama di Malaysia dan mengeksportnya yang akan menghasilkan banyak pertukaran asing.

    “Dan sesiapa sahaja yang mahu terlibat dalam projek kereta baharu itu perlu mengemukakan cadangan. Jika cadangan itu baik, kita perlu memberi peluang kepada mereka. Bagaimanapun, kita tidak mahu memberi lesen kepada orang untuk mereka jual (kepada pihak lain). Ini adalah sesuatu yang kerajaan ini akan hentikan. Sekiranya kita memberi lesen kepada orang itu, orang itu mesti melakukan kerja itu. Jika dia didapati menjual lesen itu kepada orang lain, kita akan mengambilnya balik,” tambahnya.

     
     
  • Ada rakyat Malaysia sanggup berbelanja besar sewa kereta mewah untuk pulang ke kampung – laporan

    “Biar papa, asal bergaya”, itulah perumpamaan bagi seseorang individu yang sanggup berhabisan duit termasuk ada yang rela berhutang sana sini semata-mata mahu tampil bergaya.

    Sesuai dengan perumpamaan itu, Kosmo hari ini memaparkan laporan mengenai segelintir rakyat Malaysia yang menghabiskan jutaan ringgit bagi menyewa kenderaan mewah untuk dibawa pulang ke kampung halaman pada hari raya, bercuti atau pun sekadar mahu dibawa ke majlis perkahwinan.

    Menurut laporan terbabit, trend yang dikatakan makin menjadi-jadi itu sehingga membuatkan seseorang sanggup berbelanja besar untuk menyewa kereta mewah termasuk BMW, Toyota Vellfire dan Mercedes-Benz dengan kadar sewaan antara RM10,000 hingga RM19,600 seminggu. Manakala model kereta yang lebih sederhana seperti Honda City, Toyota Vios dan Perodua Myvi pula disewa pada kadar antara RM1,000 hingga RM1,700 seminggu.

    Presiden Koperasi Pengusaha Kereta Sewa Malaysia Bhd, (Kopkes), Mohd Afendi Aman berkata, pihaknya menganggarkan sebanyak 137 buah syarikat kereta sewa yang bernaung di bawah Kokpes bakal mengaut keuntungan sehingga RM5 juta bagi aktiviti sewa kereta pada musim perayaan Aidilfitri ini. Anggaran keuntungan tersebut berdasarkan perkiraan purata sewa kenderaan daripada pelbagai jenis, daripada Vellfire hinggalah Myvi dengan harga serendah RM200 sehari bagi setiap yang meyewanya.

    Ada rakyat Malaysia sanggup berbelanja besar sewa kereta mewah untuk pulang ke kampung – laporan

    “RM5 juta itu adalah anggaran yang dikutip dalam kalangan 137 ahli Kopkes. Macam mana pula dengan ratusan syarikat sewa kereta yang lain yang tidak menjadi ahli Kopkes. Trend sewa kereta sudah menjadi trend biasa di kalangan rakyat Malaysia dan tidak sukar mencari syarikat yang menjalankan perniagaan menyewa kenderaan,” ujarnya sambil menambah terdapat lebih 1,000 syarikat seumpama ini di Malaysia dan jika diambil kira, nilai sewaan tersebut boleh mencecah lebih RM10 juta.

    Laporan terbabit turut menyebut terdapat beberapa alasan yang diberikan bagi pelanggan yang memilih untuk menyewa kenderaan sebegini. Ada yang sanggup membayar RM3,800 seminggu semata-mata mahu menyewa Hyundai Starex demi keselesaannya sekeluarga untuk bertandang ke rumah sanak saudara pada hari raya. Dan ada juga yang memilih Honda Civic dengan kadar sewaan RM2,450 seminggu kerana tidak mahu terikat untuk membayar ansuran bulan kereta dan cukup sekadar memiliki sebuah motosikal untuk berulang alik ke tempat kerja.

    Malah seorang pengusaha syarikat sewa kereta memberitahu, ada pelanggannya yang sanggup berbelanja sebanyak RM9,000 untuk menyewa Vellfire pada saat akhir walau pun sedar terpaksa mengeluarkan kos yang besar sedangkan sewaan biasa hanya sekitar RM3,000 seminggu. Bukan itu sahaja, ada yang sengaja menyewa kereta mewah semata-mata mahu nampak lebih bergaya ketika pulang berhari raya ke kampung halaman, selain ada yang terpaksa menyewa kereta kerana kereta peribadi mengalami kerosakan.

    Walau bagaimana pun cara anda memilih untuk bergaya pada hari raya, amalkanlah berbelanja secara berhemah. Ikutlah resam, “ukur baju di badan sendiri” iaitu berbelanjalah ikut kemampuan dan tahap kewangan sendiri. Bukannya dengan niat mahu menunjuk-nunjuk, riak, sanggup berbelanja di luar kemampuan dan ada yang sanggup berhutang sana sini, asalkan dapat memenuhi citarasa yang tinggi itu. Tepuk dada, tanya selera (dan Iman).

     
     
  • Jualan kenderaan naik 50% bagi tempoh cuti cukai

    Jualan kenderaan naik 50% bagi tempoh cuti cukai

    Kini sudah dua minggu kita berada dalam bulan Jun 2018; dengan kadar GST 0% dan sekaligus kita sedang berada dalam tempoh cuti cukai sehinggalah SST diperkenalkan semula nanti. Antara kesan yang dapat dilihat tentulah harga kenderaan yang kini lebih murah berbanding sebelumnya.

    Di sebabkan perkembangan ini juga, dijangka angka jualan kenderaan penumpang di Malaysia boleh meningkat sehingga 50% bagi tempoh tanpa cukai ini, begitu menurut laporan The Malaysia Reserve. Ini merupakan pemerhatian yang dilakukan terhadap kecenderungan pengguna terhadap pembelian kenderaan bagi tempoh dua minggu ini.

    Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Proton, Abdul Rashid Musa menyatakan tempahan kenderaan dan kunjungan pelanggan ke bilik pameran telah meningkat sehingga 50% bagi jenama itu. Yang menjadi tarikan tentulah kadar cukai baru yang ditambah pula dengan promosi sempena Hari Raya.

    Jualan kenderaan naik 50% bagi tempoh cuti cukai

    “Kami melihat peningkatan dalam kalangan pelanggan yang semakin ramai berkunjung ke bilik pameran dan membuat tempahan. Bagaimanapun, kesan GST 0% ini hanya boleh diketahui pada Julai nanti selepas musim Hari Raya berlalu,” ujar beliau. Ketika ini, menurut beliau, model Saga dan Persona mendahului senarai tempahan bagi Proton.

    Mazda juga berkongsi pandangan yang sama. Pengarah Eksekutif Bermaz Auto, Datuk Francis Lee menyatakan tempahan bagi model-model kenderaan Mazda memperlihatkan peningkatan dari sehari ke sehari. “Kami akan menerima seberapa banyak tempahan yang boleh dan akan menilai situasinya sebaik sahaja SST kembali dilaksanakan nanti,” tambah beliau, sambil menyatakan model Mazda CX-5 antara yang diterima baik ketika ini.

    Volkswagen juga sama; Pengarah Urusan Volkswagen Passenger Cars Malaysia, Erik Winter juga menjangkakan jualan syarikat itu akan melonjak sebanyak 50%. Beliau menegaskan jualan dan tempahan bagi kenderaan Volkswagen adalah sangat menggalakkan sejak 1 Jun lalu; model yang paling mendapat perhatian ialah Tiguan dan Passat.

     
     
  • Dieselgate: Mercedes-Benz panggil balik 774,000 buah kenderaan yang dipasang dengan alat tidak diiktiraf

    Dieselgate: Mercedes-Benz panggil balik 774,000 buah kenderaan yang dipasang dengan alat tidak diiktiraf

    Minggu lalu, menteri pengangkutan Jerman, Andreas Scheuer menggertak untuk menyaman Daimler sehingga 3.75 bilion euro (sekitar RM17.6 bilion) sekiranya Mercedes-Benz didapati menipu dalam ujian emisi dengan menggunakan alat khas yang tidak diiktiraf pada kenderaan diesel mereka.

    Nampaknya paling baru, Kementerian Pengangkutan Jerman telah mengarahkan syarikat itu untuk memanggil balik 774,000 kenderaan di sekitar Eropah selepas ujian mendapati setiap kenderaan menggunakan perisian tidak diiktiraf, yang boleh memanipulasi emisi ekzos diesel. Menurut kenyataan rasmi kementerian tersebut, antara model yang terlibat adalah Vito, C-Class dan GLC di Jerman.

    “Kerajaan akan mengarahkan 238,000 kenderaan Daimler untuk dipanggil semula serta-merta di Jerman kerana penggunaan alat penggagal,” kata kementerian tersebut. Model sebenar yang dipanggil semula masih belum dijelaskan, tetapi menurut Autocar, yang sudah termasuk dalam senarai adalah Vito 119 CDI, C 220 d dan GLC 220 d

    Kementerian itu juga masih belum mendedahkan umur kenderaan yang terlibat, dan ada yang berkata, ia melibatkan model generasi baru dengan sijil emisi EU6. Panggilan balik ini berlaku selepas Scheuer bertemu dengan pengerusi Mercedes-Benz, Dieter Zetsche di Berlin untuk membincangkan apa yang disebut sebagai “penyelewengan dalam keputusan ujian bebas beberapa model Mercedes-Benz, melibatkan enjin diesel empat silinder turbo syarikat itu.”

    Dieselgate: Mercedes-Benz panggil balik 774,000 buah kenderaan yang dipasang dengan alat tidak diiktiraf

    Sejak daripada itu, Daimler telah berjanji untuk mengeluarkan semula perisian yang tidak sah tersebut dan bekerjasama dengan penguatkuasa. Antara fungsi yang dipersoalkan oleh Kementerian Pengangkutan Jerman adalah penggunaan perisian yang mengawal jumlah kemasukan rumusan Ad Blue ke dalam penapis SCR kenderaan yang dipanggil balik tersebut.

    Menurut Autocar lagi, perisian ini diprogramkan untuk mengurangkan jumlah Ad Blue yang disuntik ke dalam penapis SCR setelah tempoh tertentu. Ini sekaligus mengurangkan keberkesanan penapis SCR tersebut dan membawa kepada pembebasan karbon dioksida yang lebih tinggi apabila dipandu dalam keadaan sebenar – lebih tinggi daripada catatan yang dikeluarkan oleh Mercedes-Benz waktu ujian.

    Mercedes-Benz memberitahu mereka telah dapat membangunkan penyelesaian teknikal yang membolehkan mereka mengemas kini perisian tersebut, dan ini seterusnya dapat mengelakkan syarikat daripada dikenakan saman yang tinggi oleh Kesatuan Eropah.

     
     
  • Sistem AES dikaji semula, keputusan diumumkan dalam tempoh dua bulan lagi – Anthony Loke

    Sistem AES dikaji semula, keputusan diumumkan dalam tempoh dua bulan lagi – Anthony Loke

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sedang dikaji semula dan keputusannya hanya akan diumumkan dalam tempoh satu atau dua bulan selepas perkara itu dibawa ke Kabinet.

    Katanya, pegawai Kementerian Pengangkutan dan jabatan-jabatan berkaitan akan menyediakan cadangan konkrit dan beliau akan membincangkan opsyen dengan para pegawai tersebut sebelum membawa perkara itu ke Kabinet, laporan Bernama.

    “Kementerian perlu mengkajinya dahulu sebelum membuat pengumuman. Banyak orang belum membayar saman mereka dan bagi mereka yang mempunyai saman tertunggak, tiada tindakan diambil,” kata beliau pada sidang media semalam sambil enggan mengulas sama ada AES akan dimansuhkan atau tidak.

     
     
  • Sembang PT #2: Batal pembinaan HSR/MRT3, betul ke tidak? Cuti cukai, harga kenderaan jadi lagi murah?

    Bermula 1 Jun tempoh hari, tak lain tak bukan isu utama yang mendapat perhatian ramai ialah berkaitan pelaksanaan kadar 0% GST dan tempoh cuti cukai selama tiga bulan sementara menunggu cukai SST dilaksanakan semula pada September nanti.

    Antara kesan yang paling ketara disebabkan itu adalah harga kenderaan jadi makin murah. Pengguna juga mungkin tertanya-tanya, adakah sekarang ini masa terbaik untuk beli kereta atau motosikal baru? Bila SST diperkenalkan semula nanti, harga akan naik banyak mana?

    Apa yang pasti, tempoh cuti cukai yang sedang kita nikmati ketika ini memang menjadikan pembelian mana-mana model kenderaan sangat berbaloi. Kalau tak percaya, boleh tengok senarai baru harga kenderaan yang dikeluarkan secara rasmi oleh hampir semua jenama yang ada di Malaysia ini.

    Paling kurang, model-model kereta penumpang yang asas akan memberikan anda penjimatan sampai RM4,000. Ini kira yang paling minimum. Ditambah pula dengan promosi Hari Raya dan sebagainya, jadi bertambah banyak wang yang boleh dijimatkan.

    Satu lagi isu yang turut disentuh dalam video kali ini ialah tentang pengangkutan awam. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sebelum ini pernah umumkan pembatalan dua projek jaringan pengangkutan awam, iaitu keretapi laju HSR KL-Singapura dan MRT 3. Tetapi dalam satu wawancara di Jepun yang terbit semalam, beliau kata HSR hanya ditunda pembinaannya.

    Apa kesan semua perkembangan ini kepada kita? Macam mana pula dengan perkhidmatan e-hailing dan teksi, akan ada perubahan tak? Ikuti perbincangan Hafiz dan Durrani di dalam video sembang santai ini.

     
     
  • Twenty Two Motors Flow – skuter elektrik pintar dari India dengan sambungan Bluetooth dan sistem GPS

    Twenty Two Motors Flow – skuter elektrik pintar dari India dengan sambungan Bluetooth dan sistem GPS

    Sebuah syarikat baru di India, Twenty Motors telah memperkenalkan motosikal sulung mereka yang merupakan sebuah skuter elektrik untuk pasaran di sana. Nama model tersebut adalah Flow dan ia dikuasakan oleh bateri lithium-ion dan motor elektrik buatan Bosch.

    Apabila berada dalam cas penuh, kuasa bateri ini boleh bertahan sehingga sejauh 160 km, dengan laju maksimum 60 km/j dan tork maksimum 90 Nm pada 100 rpm. Bateri skuter ini boleh dikeluarkan daripada badan motosikal dan dengan pengecasan pantas, ia boleh mencecah tahap 70% penuh dalam masa satu jam. Ia juga boleh dicas menggunakan soket 5 amp biasa.

    Selain kuasa pemacu elektrik, kelengkapan lain yang ada pada Flow adalah sistem brek CBS dengan tetapan cakera depan dan belakang, tayar tanpa tiub, sistem penjanaan semula kuasa brek (KERS), ruang simpanan bawah tempat duduk untuk dua helmet serta mod Reverse, Cruise dan Drag.

    Apa yang lebih menarik, skuter ini juga boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui sistem Bluetooth, seterusnya memberikan tambahan fungsi seperti pemerhati corak tunggangan, informasi terkini keadaan jalan, kualiti udara dan trafik, diagnosis motosikal serta amaran sekiranya motosikal keluar daripada kawasan tertentu (untuk mengelakkan kecurian).

    Dengan semua fungsi ini, pemilikan Flow akan menjadi lebih mudah; sebagai contoh, pengguna boleh tahu bila waktu untuk servis skuter mereka, membeli alat ganti secara atas talian dan melihat di mana skuter mereka. Selain daripada itu, Twenty Motors juga menyediakan khidmat ganti bateri secara percuma jika perlu. Harga Flow di India adalah sekitar 60,000 rupee RM3,500).

     
     
  • PLUS buka laluan kontra di Persimpangan Bertingkat Rawang Selatan dan Sungai Buaya pada 13-14 Jun

    PLUS buka laluan kontra di Persimpangan Bertingkat Rawang Selatan dan Sungai Buaya pada 13-14 Jun

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan laluan kontra di antara Persimpangan Bertingkat Rawang Selatan dan Sungai Buaya menghala ke Utara di Lebuhraya Utara-Selatan telah diaktifkan pada hari ini dan esok bagi membantu menyuraikan trafik.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, “Laluan kontra untuk kenderaan ringan (Kelas 1) tersebut akan mula diaktifkan seawal jam 6:00 pagi dan berakhir pada 7 malam pada 13 dan 14 Jun ini. Oleh itu, PLUS menasihatkan agar orang ramai yang melalui kawasan terbabit supaya mematuhi arahan serta semua papantanda yang disediakan.”

    PLUS turut menasihatkan pengguna yang ingin keluar ke Persimpangan Rawang Selatan, Rawang atau singgah di R&R Rawang agar tidak memasuki laluan kontra terbabit, tetapi terus menggunakan laluan kiri yang sedia ada untuk memudahkan mereka memasuki persimpangan yang berkaitan.

    “Selain Rawang Selatan-Sungai Buaya, PLUS juga telah mengenal pasti 6 lagi lokasi tambahan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan yang berpotensi untuk pengaktifan laluan kontra bagi membantu melancarkan pergerakam trafik iaitu di antara Seremban-Senawang, Hentian Sebelah Rawang-Sungai Buloh, Ayer Keroh-Jasin, sekitar Bukit Moakil, Simpang Renggam-Sedenak serta Senai Utara-Kulai. Namun begitu, lokasi laluan kontra tambahan ini hanya akan dibuka bergantung kepada keperluan dan kesesuaian keadaan trafik,” tambah Zakaria.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025