Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Grab digesa buat sumbangan SOCSO untuk pemandu

    Grab digesa buat sumbangan SOCSO untuk pemandu

    Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran menggesa penyedia perkhidmatan Grab untuk membuat sumbangan terhadap Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO/SOCSO) bagi pemandu-pemandu yang berkhidmat dengannya. Menurut The Sun, cadangan itu timbul selepas PERKESO mendapati arwah Aiman Nasri, 27 tahun tidak mempunyai sebarang rekod dengan pertubuhan itu. Aiman ditemui mati di dalam Perodua Myvi miliknya, dilaporkan dengan kesan jerutan pada leher, baru-baru ini.

    “Saya simpati dengan keluarga mangsa. Mereka tidak menerima apa-apa manfaat di bawah skim PERKESO walaupun beliau meninggal ketika berkerja. Malahan, dari pemeriksaan yang kami jalankan, setakat April lalu hanya 4,231 pemandu teksi termasuk yang berkhidmat dengan platform e-hailing sahaja yang ada sumbangan PERKESO, daripada jumlah keseluruhan 90,000 pemandu yang berbuat demikian,” jelas beliau.

    Kulasegaran memetik undang-undang sedia ada, yang mewajibkan majikan untuk membuat sumbangan PERKESO terhada pekerjanya bagi memastikan kebajikan pekerja terjaga. Beliau juga menambah, setakat ini PERKESO telah membayar pampasan dari RM600 juta hingga RM800 juta bagi pekerja yang terlibat dalam kemalangan ketika berkerja atau ke tempat kerja.

    “Kerajaan tidak terlalu memberi penekanan terhadap pelaksanaan undang-undang terbabit oleh kerana ingin menjadi mesra perniagaan dan tidak mahu membuatkan majikan merasa terpaksa untuk melakukan hal itu. Sumbangan bagi setiap pekerja tidak banyak – hanya RM15 sebulan atau RM150 setahun. Majikan digalakkan untuk mendaftarkan pekerja mereka untuk manfaat PERKESO ini,” tambah beliau.

    CEO PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata pertubuhan itu pernah cuba bertemu dengan pihak Grab untuk mendaftarkan pemandu-pemandu mereka dengan skim yang ada, tetapi masih belum menjadi kenyataan. “Perjumpaan dengan CEO Grab telah ditunda dua kali. Kami berharap dapat duduk semeja dengan mereka dalam masa terdekat ini untuk berbincang lebih lanjut tentang hal ini,” ujar beliau.

     
     
  • Renault tunjuk crossover baharu – lancar di Rusia

    Renault tunjuk crossover baharu – lancar di Rusia

    Renault akan memperkenalkan crossover baharu tahun ini di Moscow Motor Show dan telah pun menunjukkan teaser pertama bagi model tersebut. Menurut pengeluar kereta Perancis, crossover yang belum diberi nama ini akan menjadi model segmen-C global yang akan diproduksi buat pertama kalinya di kilang di Moscow bersama Kaptur.

    “Kenderaan baharu ini akan menjadi satu kejayaan sebenar bagi pasaran SUV di Rusia, mengukuhkan kedudukan Renault Rusia dalam segmen yang makin berkembang pesat ini. Pelancaran model ini di peringkat global akan membuka lembaran baharu dalam sejarah bukan sahaja Renault Rusia,” menurut kenyataan yang diedarkan oleh syarikat terbabit.

    Berdasarkan teaser yang menunjukkan bahagian hadapan crossover ini, banyak memberikan petanda ia bakal menampilkan rekaan terkini Renault termasuk lampu nyalaan siang LED berbentuk-C, bentuk gril dan lampu utama yang langsing. Crossover ini dijangka akan menampilkan gaya yang lebih dinamik, dengan bentuk luaran umpama coupe seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini.

    Dijangka bakal diperkenalkan pada akhir Ogos ini, pasaran lain juga dikhabarkan bakal menerima model ini, namun buat masa ini lokasi lain bagi produksinya belum didedahkan.

     
     
  • BMW 1 Series Sedan dilancar di Mexico, dari RM99k

    BMW 1 Series Sedan dilancar di Mexico, dari RM99k

    Selain China, BMW 1 Series Sedan F52 juga telah dilancarkan di Mexico. Model 1 series dilancarkan buat pertama kalinya pada Februari tahun lalu dan menggunakan platform pacuan roda-hadapan UKL yang dikongsi bersama SUV X1.

    Untuk Mexico, terdapat dua varian yang akan ditawarkan, kedua-duanya dilengkapi pakej Sport Line. Varian pertama, 118iA, ditawarkan pada harga 489,900 Mexico peso (RM98,844) dan didatangkan dengan enjin petrol 1.5 pengecas turbo tiga-silinder.

    Penjana ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 136 hp dari 4,400 hingga 6,000 rpm dan tork 220 Nm dari 1,400-4,300 rpm, yang disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik Steptronic enam-kelajuan. Menurut BMW, 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 9.4 saat dan kereta ini mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 212 km/j.

    Bagi varian tertinggi pula, 120iA, ia dipadankan dengan enjin petrol 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan kuasa 192 hp dari 5,000-6,000 rpm dan tork 280 Nm dari 1,350-4,600 rpm. Turut dipadankan bersama transmisi automatik Steptronic lapan-kelajuan (dengan fungsi launch control), membolehkan ia dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.5 saat. Masih pacuan roda-hadapan, 120iA mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 235 km/j dan ditawarkan apda harga 569,900 pesos (RM114,984).

    Bergantung pada varian terpilih, senarai kelengkapan termasuk roda stereng balutan kulit, upholstery kulit Sensatec, paparan infotainmen 6.5-inci untuk sistem iDrive, lampu utama halogen atau LED (dengan lampu nyalaan siang LED), roda aloi 17-inci (Style 549), tempat duduk belakang yang boleh dipisah secara 40:20:40 dan bumbung berkaca panoramik.

    GALERI: BMW 1 Series, spesifikasi China

     
     
  • GALERI: Mazda CX-3 2018 facelift dipertonton di M’sia

    GALERI: Mazda CX-3 2018 <em>facelift</em> dipertonton di M’sia

    Seperti yang ramai telah sedia maklum, Mazda CX-3 2018 facelift telah pun tiba di Malaysia dan ketika ini dipertontonkan kepada umum di One Utama, bermula hari ini hingga Ahad nanti, 1 Julai 2018. Lebih menarik, harga anggaran yang diumumkan oleh Bermaz selaku pengedar rasminya ialah RM121,134 atas jalan dan tidak termasuk insurans. Tempahan juga telah dibuka.

    Pembaharuan di luar yang dilakukan termasuklah rekaan dua kepingan krom pada gril, kemasan krom pada bahagian luaran, lampu belakang yang diinspirasikan dari CX-5 baru, rim aloi 18-inci yang direka semula, bingkai tingkap hitam gelap dan lampu kabus serta pilihan warna Soul Red Crystal seperti yang ditawarkan pada model CX-5.

    Di dalam pula, antara perubahan yang terlibat ialah tambahan fungsi brek parkir elektronik (dengan Auto Hold) yang menggantikan brek tangan manual sebelum ini. Konsol di tengah juga direka untuk menempatkan bahagian tapar tombol gear yang ada, suis pemilih Sport Mode dan tombol kawalan MZD Connect turut diposisikan semula.

    GALERI: Mazda CX-3 2018 <em>facelift</em> dipertonton di M’sia

    Turut disertakan ialah perehat tangan dengan ruang simpanan barang di bawahnya, serta perehat tangan baru dibahagian tengah untuk penumpang belakang dengan tempat letak cawan padanya. Papan pemuka turut menerima beberapa kemaskini – corong pendingin hawa lebih tirus, palang krom yang lebih pendek dan kemasan ala suede. Sementara itu, panel pintu yang lebih tebal, cermin pintu ruangan barang di belakang serta kedapan pintu yang baru membantu memperbaiki kadar NVH model ini.

    Kelengkapan lain yang masih dikekalkan termasuklah lampu utama LED automatik, lampu kabus hadapan dan lampu belakang, kemasukan tanpa kunci, tempat duduk pemandu dengan larasan berkuasa 10-hala bersama memori, bilah pengelap cermin automatik, pendingin hawa zon-tunggal automatik, paparan head-up display berwarna, paddle shifter, kawalan cruise, sistem infotainmen MZD Connect dengan skrin sentuh tujuh-inci, enam-pembesar suara dan kamera undur. Bagaimana pun, bumbung matahari tidak lagi dikekalkan pada CX-3 facelift ini.

    Untuk elemen keselamatan, CX-3 kini menerima tambahan sistem Pemantauan Titik Buta (BSM), dan Amaran Trafik Lintasan Belakang (RCTA). Kedua-dua sistem ini menyertai ciri-ciri lain sedia ada seperti ABS dan EBD serta bantuan brek, Dynamic Stability Control (DSC) enam beg udara dan tapak ISOFIX.

    Kuasa pula disalurkan dari enjin petrol 2.0 liter SkyActive-G empat-silinder yang ditala semula untuk meningkatkan tork dan lebih menjimatkan penggunaan bahan api serta mengurangkan geseran dalaman, menjadikan tidak balas enjin lebih baik. Angka janaan kuasa tidak berubah, iaitu 151 hp pada 6,000 rpm dan tork 204 Nm pada 2,800 rpm.

    Transmisi automatik enam-kelajuan masih dikekalkan, bersama sistem G-Vectoring Control (GVC) yang diperkenalkan tahun lalu, untuk meningkatkan kawalan dinamik kenderaan. Selain itu, suspensi dan sterengnya juga telah ditala semula untuk mengoptimumkan karakteristik pemanduan.

     
     
  • Toyota Crown 2018 S220 buat penampilan sulung

    Toyota Crown 2018 S220 buat penampilan sulung

    Toyota Crown 2018 hari ini sudah mula masuk pasaran domestik di Jepun. Dipertontonkan sebagai Crown Concept di Tokyo Motor Show tahun lalu, model generasi ke-5 S220 ini tampil tanpa banyak perubahan rekaan luaran berbanding model yang ditunjuk itu. Menggantikan versi S210 yang ada sejak 2012, versi terbaru 220 ini mewarisi penggayaan dari Camry 2018 – direka baru sepenuhnya, dengan imej yang lebih sporty berbanding yang sebelum ini.

    Menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), model ini ditawarkan dengan pilihan 21 varian, dengan tiga pilihan enjin serta dua sistem pacuan – pacuan roda belakang dan semua roda. Bagi pilihan warna pula, ada tujuh semuanya.

    Bagi enjin, model paling asas menggunakan unit 8AR-FTS 2.0 liter turbocaj seperti yang ada pada model generasi ke-14 sebelum ini, tetapi kini dengan peningkatan 10 PS – kini mampu menjana sebanyak 245 PS. Tork kekal sama, 350 Nm dari 1,650 hingga 4,400 rpm. Kotak gear kekal menggunakan transmisi automatik lapan-kelajuan.

    Dua lagi pilihan enjin terdiri daripada ialah enjin A25A-FXS 2.5 liter TNGA Dynamic Force dengan Toyota Hybrid System (THS II) dengan janaan kuasa sebanyak 184 PS pada 6,000 rpm dan 221 Nm dari 3,800 hingga 5,400 rpm. Elektrik motor dengan bateri nickel-metal hydride pula membekalkan 143 PS (atau 105 kW) dan 300 Nm. Keseluruhan sistem menumbangkan sebanyak 226 PS.

    Pilihan enjin terakhir ialah 8GR-FXS dengan Multi Stage Hybrid System seperti yang ada pada Lexus LS 500h dan LC 500h. Crown merupakan model Toyota pertama yang menggunakan enjin ini. Ia terdiri daripada enjin 3.5 liter Dual VVT-i V6 yang menjana 299 PS dan 356 Nm dan digandingkan dengan motor elektrik berkembar serta bateri lithium-ion 310 V, menghasilkan output keseluruhan 359 PS.

    Pendekatan nama bagi setiap varian juga diubah; tiada lagi Crown Royal, Crown Athlete dan sebagainya. Ia diganti dengan Crown B, diikuti dengan Crown S, Crown G dan Crown G-Executive dengan pengenalan “Four” bagi varian pacuan empat roda. Tidak ketinggalan ialah versi RS.

    Rekaan baru ini turut diterjemahkan ke bahagian kabin; kini menggunakan material dan kemasan yang lebih premium. Pilihan tujuh warna ruang dalaman ditawarkan – empat warna standard dan tiga pilihan khas. Antara kelengkapan yang tersedia ialah skrin tujuh-inci berhampiran konsol tengah, diserta dengan skrin lapan-inci terapung dikedudukan atasnya.

    Ruang kaki penumpang belakang juga lebih luas. Rekabentuk kerusi juga baru, untuk “memagang” badan penumpang dengan optimum bagi mengurangkan keletihan dalam perjalanan jauh. Bagi model G-Executive dan G-Executive Four, kemasan kayu berkualiti tinggi turut digunakan.

    Model ini juga sarat dengan teknologi kenderaan terkini, misalnya penggunaan sistem Data Communication Module (DCM), yang merangkumi pelbagai servis dengan tumpuan kepada keselamatan, keselesaan – sebagai contoh makluman penyelenggaraan berdasarkan data pemanduan masa nyata.

    Lain-lain kelengkapan keselamatan termasuk pakej Toyota Safety Sense generasi kedua. Antaranya termasuk sistem untuk mengelak perlanggaran dengan pengesanan pejalan kaki siang dan malam, radar dinamik bagi fungsi cruise control dengan kelajuan penuh, bantuan pengesanan lorong (LTA), lampu tinggi adaptif dan bantuan tanda isyarat jalan.

     
     
  • Mazda CX-3 facelift dipertontonkan di 1 Utama mulai hari ini – tempahan dibuka, harga jangkaan RM121k

    Mazda CX-3 facelift dipertontonkan di 1 Utama mulai hari ini – tempahan dibuka, harga jangkaan RM121k

    Mulai hari ini sehingga 1 Julai 2018 (Ahad), pengedar utama Mazda di Malaysia, Bermaz, mempertontonkan CX-3 facelift di Oval Concourse, pusat membeli-belah 1 Utama. Malahan tempahan bagi crossover segmen-B ini juga telah mula dibuka.

    Bermaz turut mendedahkan spesifikasi penuh dan harga jangkaan ‘rasminya’ iaitu RM121,134 (atas jalan tanpa insurans), iaitu murah sedikit berbanding model sebelumnya. Namun perlu diingat, harga ini tidak termasuk dengan kadar 10% cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan kembali dilaksanakan mulai 1 September ini.

    Didedahkan buat pertama kalinya untuk tontonan global, di New York awal tahun ini, CX-3 facelift kini tampil dengan dua kepingan krom pada gril, sentuhan krom pada luaran, lampu belakang yang diinspirasikan dari CX-5 baharu, roda aloi 18-inci yang direka semula, bingkai tingkap hitam gelap dan lampu kabus serta pilihan warna Soul Red Crystal baharu dari CX-5.

    Mazda CX-3 facelift dipertontonkan di 1 Utama mulai hari ini – tempahan dibuka, harga jangkaan RM121k

    Di dalamnya, rekaan papan pemukanya telah disemak semula dengan menampilkan kekemasan ala-suede, turut didatangkan brek parkir elektronik (dengan penahan brek auto), perehat tangan beralas dan lebih lebar, lebih sokongan untuk tempat duduk belakang. Perehat tangan tengah baharu dengan tempat letak cawan turut ditampilkan bersama panel pintu yang lebih tebal, kaca pada pintu belakang dan headliner serta pemeterai pintu yang dipertingkatkan bagi membuatkan kabin lebih senyap.

    Ciri standard yang masih dikekalkan termasuklah lampu utama LED, lampu kabus hadapan dan lampu belakang, lampu kabus belakang, kemasukan tanpa kunci, butang push-start, tempat duduk pemandu dengan larasan berkuasa 10-hala bersama memori, lampu utama dan bilah pengelap cermin auto, pendingin hawa auto zon-tunggal, paparan utama berwarna, pedal penukar gear, kawalan kelajuan, sistem infotainmen MZD Connect dengan skrin sesentuh tujuh-inci, enam-pembesar suara dan kamera undur. Walau bagaimana pun, bumbung matahari pada model semasa tidak ditampilkan untuk CX-3 facelift ini.

    Untuk elemen keselamatan, CX-3 kini menerima Pemantauan Titik Buta (BSM), dan Kepekaan Trafik Lintasan Belakang, walau bagaimana pun i-ActivSense termasuk bantuan pemandu seperti Sokongan Brek Bandar Pintar (SCBS) tidak ditemui. Ciri lain seperti enam beg udara, ABS dengan EBD, dan bantuan brek, Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC) dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX pada tempat duduk belakang turut ditawarkan.

    Mazda CX-3 facelift dipertontonkan di 1 Utama mulai hari ini – tempahan dibuka, harga jangkaan RM121k

    Kuasa disalurkan dari enjin petrol 2.0 liter SkyActive-G naturally-aspirated empat-silinder yang ditala semula untuk meningkatkan tork dan lebih menjimatkan penggunaan bahan api dan mengurangkan geseran dalaman. Bukan itu sahaja, ia turut membuatkan enjin lebih pantas bertindakbalas, dan dalam masa yang sama turut mempertingkatkan kehalusannya. Angka kuasa tidak berubah iaitu 151 hp pada 6,000 rpm dan tork 204 Nm pada 2,800 rpm.

    Transmisi automatik enam-kelajuan juga dikekalkan, bersama sistem G-Vectoring Control (GVC) yang diperkenalkan tahun lalu, untuk meningkatkan kawalan dinamik kenderaan. Selain itu, suspensi dan sterengnya juga telah ditala semula untuk mengoptimakan karakteristik redaman dan mempertingkatkan tindakbalasnya, sementara tayar baharu juga memiliki hendakan yang lebih optima daripada permukaan jalan dan mengurangkan jarak brek.

     
     
  • Grab Malaysia lancar e-dompet GrabPay – bayaran tanpa tunai untuk kemudahan para pelanggan

    Grab Malaysia lancar e-dompet GrabPay – bayaran tanpa tunai untuk kemudahan para pelanggan

    Grab telah memperkenalkan e-dompet GrabPay, yang boleh diakses secara terus menerusi aplikasi Grab sendiri. Dengan adanya fungsi e-dompet ini, pengguna GrabPay kini boleh membuat pembayaran dari aplikasi Grab, bukan sahaja untuk kemudahan penghantaran makanan Grab dan perkhidmatan e-hailing, bahkan untuk produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat dagangan yang turut mengambil bahagian.

    “Dengan adanya e-dompet GrabPay ini, pengguna juga boleh membuat pemindahan wang secara terus antara satu sama lain dengan mudah melalui aplikasi dengan hanya beberapa klik sahaja, Malahan pengguna juga boleh menyemak perbelanjaan secara lebih mudah dan membuat pembayaran tanpa tunai dengan lebih selamat,” ujar Ooi Huey Tyng, pengarah urusan GrabPay Malaysia, Singapura dan Filipina.

    Grab turut bekerjasama dengan syarikat besar termasuk Maybank untuk membolehkan pengguna menggunakan kredit GrabPay bukan sahaja untuk syarikat yang mengambil bahagian dalam GrabPay, bahkan di semua rangkatan Maybank seluruh negara dengan penggunaan kod QR. Malah GrabPay turut bekerjasama dengan KLIA Express, Tealive, Teochew Chendul, KGB dan TedBoy Bakery.

    Untuk penumpang yang menggunakan perkhidmatan ERL, rangkaian Grab yang bekerjasama dengan KLIA Express menerusi GrabPay ini, mulai pertengahan Julai 2018, anda boleh menggunakan kredit GrabPay di KLIA, KLIA2 dan KL Sentral untuk membayar tambang.

    Ooi turut berkata, buat masa ini, tiada caj tambahan yang akan dikenakan bagi semua syarikat dagangan yang terlibat.

     
     
  • Mazda CX-3 facelift kini dalam teaser pengedar M’sia

    Ini satu lagi model facelift terbaru yang akan masuk pasaran tempatan sedikit masa lagi – Mazda CX-3. Dalam perkembangan terbaru, pengedar jenama itu, Mazda PJ Taman Megah melalui laman Facebook telah mula mengeluarkan teaser bagi crossover segment B itu secara terbuka. Dan, jika anda ingin mendekati model ini sebelum pelancarannya, Bermaz akan mempamerkannya bermula 27 Jun hingga 1 Julai 2018 di One Utama.

    Selain itu, anggaran harga bagi versi terbaru model berkenaan juga sudah didedahkan oleh Bermaz sendiri; iaitu RM121,134 tanpa insurans, dan pada kadar GST 0%. Oleh itu, Mazda CX-3 facelift ini akan menjadi lebih murah daripada harga versi semasanya yang masih dijual ketika ini pada harga RM126,775.

    Senarai sebahagian daripada spesfikasi yang ada setakat ini juga turut memberi petunjuk bahawa model baru ini akan dilengkapi ciri Blind Sport Monitoring (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA). Bagaimanapun, kelengkapan bantuan pemanduan i-ActivSense seperti Smart City Braking Support (SCBS) tidak dinyatakan.

    Mazda CX-3 facelift kini dalam <em>teaser</em> pengedar M’sia

    Model terbaru ini pertama kali diperkenalkan di New York awal tahun ini. Ia menggunakan enjin 2.0 liter SkyActiv-G empat-silinder yang dipertingkat dengan talaan baru, serta disifatkan lebih jimat minyak. Ia menghasilkan kuasa sebanyak 148 hp dan 201 Nm tork. Transmisi pula menggunakan kotak gear automatik enam-kelajuan – dan tak lupa juga sistem G-Vectoring.

    Antara pembaharuan lain yang dilakukan ialah talaan semula pada bahagian stereng dan suspensi yang digunakan untuk mengoptimumkan penyerapan hentakan model terbabit serta meningkatkan maklum balas agar lebih cekap.

    Bermaz juga ada menawarkan aksesori tambahan sebagai pilihan kepada pelanggan yang berminat. Ini termasuk Sistem Navigasi Mazda (RM1,198.11) dan juga filem keselamatan SkyTint (RM1,792.45). Mazda CX-3 facelift ini juga didatangkan dengan jaminan lima tahun (atau 100,000 km, yang mana dahulu) dan penyelenggaraan percuma selama tiga-tahun (atau 60,000 km, yang mana dahulu).

     
     
  • VIDEO: Nissan Serena S-Hybrid di Malaysia – perbandingan di antara model C26 lama vs C27 baru

    Nissan Serena S-Hybrid C27 2018 walaupun masih mengekalkan asas dan bentuk keseluruhan yang sama seperti model C26 terdahulu sebenarnya mempunyai banyak kelainan. Ia kini diberi peningkatan untuk menjadi lebih baik berbanding model lama.

    Perbezaan pertama yang dapat dilihat tentulah dari segi rekaan luarannya, terutama wajah hadapan MPV ini. Serene terbaru kini menggunakan rekaan gril “V-Motion” seperti yang terdapat pada model-model terkini Nissan yang lain. Ia lebih besar dan menonjol, dengan penggunaan material krom berkilau.

    Enjin walaupun sama, tetap diberi penambahbaikan. Begitu juga dengan motor elektrik yang ada. Sistem suspensi dan serapan hentakan juga diperkemas, kini memberikan pemanduan yang lebih meyakinkan dan selesa. Bagi penumpang, tempat duduk barisan kedua kini hanya akan memuatkan dua orang sahaja – tetapi lebih selesa dan ruang luas dengan captain seat. Model lama, keseluruhannya lapan tempat duduk tersedia.

    Terdapat banyak lagi pembaharuan yang menjadi kelebihan pada Serena versi terbaru ini. Dan, itulah yang cuba kami beri perhatian di dalam video ini – perbezaan menyeluruh antara model baru dan lama bagi Nissan Serena. Dari segi harga misalnya, model baru ini lebih mahal antara RM2,300 hingga RM4,100 berbanding model C26 dahulu. Video ini butiran yang lebih terperinci tentang kedua-duanya. Jangan lupa tonton.

    Nissan Serena S-Hybrid C27 2018

    Nissan Serena C26

     
     
  • Data jualan kenderaan untuk Mei 2018 ikut jenama – Perodua +10%, Nissan +30%, Toyota -63%, Volvo -78%

    Data jualan kenderaan untuk Mei 2018 ikut jenama – Perodua +10%, Nissan +30%, Toyota -63%, Volvo -78%

    Jualan kenderaan di Malaysia untuk Mei 2018 mengalami penyusutan berbanding pencapaian pada April lalu, dengan sejumlah 42,983 unit didaftarkan, iaitu 9% atau kurang 4,106 unit berbanding bulan sebelumnya.

    Pergerakan yang perlahan ini disumbangkan oleh faktor pengumuman kerajaan tentang kadar 0% bagi cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada pertengahan Mei lalu, yang mendorong pengguna menangguhkan pembelian tersebut.

    Berikut merupakan pecahan bagi hampir kesemua jenama yang terbabit. Walau pun tidak banyak peningkatan, namun ia tetap menyumbang angka yang memberangsangkan biarpun situasi jualan yang sedikit suram. Pendahulu pasaran Perodua (+10.2%), Honda (+4.4%), Proton (+2.3%) dan Nissan (+29.8%) merupakan jenama yang menunjukkan pergerakan positif. Berdasarkan angka yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Perodua mencapai 51.1% dalam perkongsian pasaran bagi Mei, diikuti pencabar terdekatnya iaitu Honda, dengan 18.7%.

    Malahan, Proton kini menduduki tangga ketiga, di hadapan Toyota, dengan perkongsian pasaran di bawah 10%. Selain itu, Kia pula menunjukkan pencapaian yang agak statik, dengan lebih satu unit berbanding April.

    Sementara itu, jenama yang menunjukkan penurunan termasuklah Toyota (-63.3%), Mazda (-45.3%), Ford (-45.9%), Mitsubishi (-59.2%), Subaru (-53.9%), Volkswagen (-68.2%), Hyundai (-56.9%) dan Peugeot (-56.2%).

    Seperti yang dijangka dengan pengumuman GST 0%, jualan kenderaan premium juga terkesan, dengan Mercedes-Benz (-26.5%), BMW (-40%), Mini (-36.4%), Volvo (-78.2%), Audi (-86.4%) dan Lexus (-92.5%). Manakala Jaguar mengakhiri bulan Mei dengan sifar unit, berbanding sembilan pada bulan sebelumnya.

    Klik carta di bawah untuk versi yang lebih jelas.

    Data jualan kenderaan untuk Mei 2018 ikut jenama – Perodua +10%, Nissan +30%, Toyota -63%, Volvo -78%

     
     
  • Tun M kagum dengan kualiti, pembuatan SUV Proton

    Tun M kagum dengan kualiti, pembuatan SUV Proton

    Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini berpeluang memandu uji SUV baharu Proton untuk versi pemanduan sebelah-kanan. Menurut The Malaysian Insight, Tun M telah memandu uji model prototaip ini pada minggu lalu dan berasa kagum dengan kualiti dan pembuatan SUV tersebut.

    “Saya telah menguji kereta tersebut. Ia benar-benar bagus. Kualitinya juga tinggi dan saya berpendapat ia adalah kereta yang bagus untuk pasaran,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan.

    Pengerusi Pakatan Harapan ini juga telah menemui wakil Geely untuk berbincang tentang masa depan Proton, dan berkata ia sepatutnya mempunyai lebih ramai wakil Malaysia. “Proton boleh diuruskan oleh Geely, tetapi kami mahu rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam urusan bekalan. Pengilang Malaysia perlu mengambil bahagian dalam proses ini,” ujarnya.

    SUV Proton secara dasarnya dari Geely Boyue facelift, dan unit merah menyala yang dipandu oleh Tun M ini adalah unit pacuan pemanduan-kanan. Berdasarkan laporan sebelum ini, Proton akan melancarkan SUV pertamanya ini pada Oktober 2018 dan model import-sepenuhnya (CBU) akan diperkenalkan terlebih dahulu. Manakala model pemasangan-tempatan (CKD) akan dimulakan tahun hadapan.

    SUV Proton yang masih belum diberi nama ini, akan dipadankan dengan enjin 1.8 liter pengecas turbo dan suntikan-terus empat-silinder, dengan lencana TGDi pada pintunya. Ia mampu memberikan kuasa sehingga 181 hp dan tork 285 Nm, dan enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan. SUV ini sama ada pacuan roda-hadapan atau semua-roda.

    Apa yang kami tahu setakat ini, senarai kit yang ditawarkan termasuklah roda 18-inci berbanding 19-inci yang diperkenalkan pada facelift, dan juga kulit upholstery coklat. Lain-lain ciri termasuk bumbung matahari panoramik besar, kamera 360-darjah (dengan fungsi pandangan tiga-dimensi) dan paparan skrin sesentuh lapan-inci.

    Turut dilengkapi kamera yang terpasang di cermin hadapan sebagai sistem bantuan pemandu. Selain itu, ia turut didatangkan dengan brek kecemasan sendiri, amaran ketibaan lorong dan kawalan kelajuan adaptif. Jika SUV ini cukup bagus pada pandangan Tun M, adakah ia juga mampu menarik perhatian anda?

    GALLERY: Geely Boyue facelift

     
     
  • Proton SUV – imej render dengan rekaan gril terbaru

    Proton SUV – imej <em>render</em> dengan rekaan gril terbaru

    Semalam, antara berita yang menjadi tumpuan ialah tentang Tun Mahathir yang berkesempatan melihat dari dekat dan memandu uji prototaip model SUV Proton pertama yang akan dilancarkan kelak, dijangka Oktober nanti. Hal itu memberikan kita kesempatan untuk melihat buat pertama kali sosok keseluruhan SUV terbabit dengan lebih jelas dan menyeluruh.

    Dan, berdasarkan penampilan terbaru berkenaan, pakar render yang hasil kerjanya telah banyak kami paparkan di laman ini, Theophilus Chin tampil pula untuk membayangkan wajah depan SUV Proton berkenaan di dalam imej render terbaru yang dihasilkan ini. Sebelum ini, ada versi render lain yang pernah ditampilkan.

    Imej yang beliau hasilkan ini menampakkan dengan lebih jelas keseluruhan badan SUV yang diasaskan daripada model Geely Boyue berkenaan, terutama bahagian wajah depannya. Seperti yang dapat dilihat, versi Proton hanya melibatkan perbezaan yang minimal. Antaranya ialah bahagian rekaan gril yang berbeza daripada Geely Boyue – antarnya untuk disesuaikan dengan reka bentuk logo Proton sendiri.

    Turut kelihatan ialah rim dengan saiz yang lebih kecil, 18-inci berbanding rim 19-inci yang digunakan pada Boyue facelift. Selebihnya kekal sama. Model berkenaan akan diperkenalkan dalam bentuk CBU terlebih dahulu – dengan perubahan minimal seperti yang dimaklumkan – dan akan diperkenalkan kemudiannya dalam bentuk CKD pula pada 2019, dijangka dengan perubahan yang lebih banyak.

    Proton SUV – imej <em>render</em> dengan rekaan gril terbaru

    “Ini selari dengan permintaan daripada kerajaan yang inginkan produk baru ini masuk ke pasaran tempatan dalam kadar segera. Setakat ini, kami berada di landasan yang betul,” jelas CEO Proton, Li Chunrong.

    Daripada gambar yang didedahkan semalam, nampaknya akan terdapat banyak kelengkapan pada SUV pertama Proton itu nanti. Antaranya seperti bumbung panoramik, kamera 360-darjah serta skrin sentuh infotainmen bersaiz lapan-inci. Terdapat juga ciri-ciri maju lain yang sudah disahkan akan ditawarkan pada model ini – seperti autonomous emergency braking (AEB), kawalan cruise adaptif dan sistem arahan suara (voice command).

    Bagi enjin pula, ia akan menggunakan enjin 1.8 liter turbo empat silinder oleh Geely. Ia menghasilkan kuasa sebanyak 181 hp dan tork 285 Nm, digandingkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan – sistem pacuan juga dijangka ada dua; pacuan roda depan atau AWD. Kalau betul macam inilah mirip wajah depan model berkenaan, apa pandangan anda?

     
     
  • BMW mungkin tutup kilang di Britain kerana ketidakpastian Brexit – melibatkan MINI, Rolls-Royce

    BMW mungkin tutup kilang di Britain kerana ketidakpastian Brexit – melibatkan MINI, Rolls-Royce

    BMW mungkin terpaksa tutup kilang pengeluaran MINI dan Rolls-Royce di Britain sekiranya Brexit secara serius mengganggu rantaian bekalan, ujar sumber dari pengeluar kenderaan Jerman itu kepada Financial Times.

    “Apa yang boleh dikatakan kami akan cuba yang terbaik untuk melaksana dan bersedia untuk semua perkara, tetapi jika bekalan rantaian berhenti di sempadan, maka sukar untuk kami teruskan produksi di UK,” ujar Stephan Freismuth, pengurus kastam BMW.

    Sekitar 60% daripada 378,000 MINI dikeluarkan oleh BMW pada tahun lalu diproduksi di kilang Oxford. Bagi kilang di Swindon,Hams Hall dan Oxford, buat masa ini mereka mempunyai 6,300 pekerja.

    Tambah Freismuth lagi, BMW mahu meneruskan kilang di UK, tetapi jika gangguan terhadap komponen import berterusan, ia akan menaikkan kos dan mungkin mampu merosakkan model pembuatannya. Lebih kurang 90% komponen yang digunakan untuk kilang pemasangan BMW di Britain adalah diimport dari tanah besar sekitar Eropah.

    BMW mungkin tutup kilang di Britain kerana ketidakpastian Brexit – melibatkan MINI, Rolls-Royce

    “Jika ia terpaksa diberhentikan suatu hari nanti, ia akan melibatkan sejumlah besar wang, bukan itu sahaja, pihak pengurusan kami akan mengalami kesukaran untuk membuat keputusan mengenainya (hal penamatan pengeluaran ini). Buat masa ini, kami masih kekal komited terhadap operasi pengeluaran di UK dan akan teruskannya seperti biasa, walau pun terdapat pelbagai kemungkinan yang bakal berlaku dan mungkin ia berpotensi memberikan impak terhadap perniagaan kami,” ujarnya lagi.

    Bagaimana pun, BMW turut meluahkan kerisauan terhadap perjanjian kastam pada masa hadapan kerana ia mungkin memberikan impak terhadap perniagaan mereka di benua tersebut, laporan Reuters pula.

    “Seperti yang dinyatakan sebelum ini, ketidakpastian yang sedang berlaku di sekitar rundingan Brexit tidak membantu apabila membuat keputusan perniagaan jangka panjang. Ini termasuklah komponen yang tidak dapat dihantar ke kilang pada waktu yang ditetapkan membuatkan operasi produksi tidak dapat dijalankan dengan lancar,” ujar BMW.

    Walau bagaimana pun, BMW berkeyakinan kerajaan Britain akan membantu mengatasi masalah ini kerana ia turut memberikan kesan terhadap ekonomi dan pelaburan pada masa hadapan.

     
     
  • Kerajaan mahu lebih banyak parkir kenderaan percuma di semua stesen komuter – Anthony Loke

    Kerajaan mahu lebih banyak parkir kenderaan percuma di semua stesen komuter – Anthony Loke

    Bagi kemudahan orang ramai, kerajaan mahukan lebih banyak ruang parkir kenderaan percuma disediakan di semua stesen komuter.

    Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, ketika ini tidak ada sistem pakir standard di stesen berkenaan yang dikendalikan pihak KTMB dan operator pakir yang dilantik Perbadanan Aset Keretapi (RAC), laporan Berita Harian.

    “Masalah timbul apabila harga tiket pakir dikenakan adalah berbeza. Untuk mengatasinya saya meminta RAC berbincang dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT). Tanah di stesen kereta api dan komuter ini boleh disewakan kepada PBT dan terpulang kepada mereka sama ada lantik operator atau sediakan pakir kenderaan percuma untuk penduduk sekitar stesen,” ujarnya dalam lawatan kerja di ibu pejabat RAC hari ini.

    Sambungnya, beliau turut menggalakkan PBT yang mampu untuk beri kemudahan pakir percuma kepada pengguna. Langkah itu adalah yang terbaik sekali gus menggalakkan lebih ramai menggunakan pengangkutan awam. Walau bagaimana pun, perkara tersebut akan diserahkan kepada RAC dan PBT untuk menentukan mekanisme terbaik berkaitan penyediaan pakir kenderaan.

    “Di kawasan Parlimen saya (Seremban) misalnya ada dua stesen komuter iaitu di Batang Benar dan Nilai. Dulunya RAC nak lantik operator pakir, tapi dibantah penduduk setempat. Jadi sekarang tiada kutipan pakir tapi tiada penyelenggaraan oleh RAC. Kita akan bincang dengan PBT, mungkin mereka boleh bayar rendah kepada RAC dan kita serahkan pakir untuk mereka uruskan,” katanya.

     
     
  • GALERI: Volvo XC60 T5 Momentum, T8 Inscription versi pemasangan tempatan – CKD bermula RM282k

    GALERI: Volvo XC60 T5 Momentum, T8 Inscription versi pemasangan tempatan – CKD bermula RM282k

    Masa baru dilancarkan Januari lepas, hanya ada Volvo XC60 versi CBU ditawarkan untuk pelanggan di sini. Unit CBU bagi varian XC60 T8 Twin Engine Inscription Plus ketika itu dijual pada harga RM373,888 termasuk GST. Tetapi, versi CKD memang sejak awal dimaklumkan akan menyusul.

    Kini, telah hadir versi CKD pemasangan tempatan di Shah Alam bagi model XC60 terbabit. Barisan penawarannya terdiri daripada versi T5 Momentum yang dijual pada harga RM282,011 tanpa GST. Bagaimanapun, tiada versi T6 ditawarkan, dan terus kepada varian T8 Twin Engine plug-in hybrid dengan kemasan Inscription pada harga RM314,030 (tanpa GST).

    Model XC60 T8 berkenaan turut ditawarkan dalam tahap kemasan Inscription Plus yang dijual pada harga RM324,464, tanpa GST. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tidak termasuk insurans.

    GALERI: Volvo XC60 T5 Momentum, T8 Inscription versi pemasangan tempatan – CKD bermula RM282k

    Versi T5 dikuasakan oleh enjin Drive-E 2.0 liter turbocaj empat-silinder, dengan janaan 254 hp dan 350 Nm tork dari 1,500 rpm hingga 4,800 rpm. Kuasa disampaikan ke semua roda melalui transmisi automatik lapan-kelajuan Aisin. Ciri AWD tidak terdapat pada model XC60 sebelumnya; ia merupakan tambahan dan kelebihan bagi versi terbaru ini, dengan peningkatan harga sebanyak RM30k berbanding model lama.

    Model XC60 paling asas ini juga mencatatkan pecutan 0-100km/j dalam masa 6.8 saat dengan kelajuan maksimum 220 km/j. Penggunaan bahan api pula ialah pada kadar 7.2 liter bagi setiap 100 km.

    Kit penggayaan Momentum pada T5 termasuk gril standard dengan rekaan bujur, perincian hitam dengan bukaan ruang udara sudut hiasan, perumah cermin sisi warna badan dengan dua corong ekzos. Ia menggunakan rim aloi 18-inci dengan tayar 235/60, seperti pada kereta hitam dalam gambar.

    Kelengkapan standard pula termasuk lampu utama LED dengan auto high-beam, lampu DRL LED Thor’s Hammer, panel instrumen digital 12.3-inci, Sensus Connect dengan skrin sentuh sembilan-inci, pendingin hawa dwi-zon dengan ciri Clean Zone, Park Assist, kamera belakang dan sistem audio 224-watt dengan 10 pembesar.

    Ruang kabin dilengkapi dengan Comfort Seat yang dibalut oleh material kulit berwarna gelap (semua versi CKD datang dengan pilihan warna Maroon Brown), perincian “Iron Ore”, tempat duduk depan kuasa elektrik (dengan memori untuk sebelah pemandu), perincian “Unideco” pada stereng serta material kulit pada tuil gear.

    Bagi XC60 T8 Twin Engine pula, ia menggunakan enjin 2.0 liter Drive-E, dengan supercas dan turbocas, T8 plug-in hybrid – menghasilkan sebanyak 320 hp dan 400 Nm kuasa dan tork. Ia digandingkan pula dengan motor elektrik (bateri 10.4 kWh) dengan bekalan kuasa 87 hp dan 240 Nm tork. Gabungan kedua-dua sistem ini memberikan janaan kuasa sebanyak 407 hp dan 640 Nm.

    Ini memberikannya prestasi yang juga mengkagumkan. 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat dan kelajuan maksimum pula 230 km/j. Ia memiliki sistem pacuan semua roda dan dilengkapi sistem transmisi automatik lapan-kalajuan.

    Kemasan Inscription dibesakan dengan penggunakan rekaan gril perak menegak, seperti yang ada pada kereta berwarna perak di dalam gambar. Bahagian sisi juga menggunakan kemasan krom serta dua ekzos yang disekalikan pada bahagian diffuser. Ia menggunakan rim 19-inci 10-jejari dengan tayar 235/55.

    Tambahan pada T8 ialah ciri seperti Active Bending Lights, head-ups display, kunci balutan kulit Inscription, kamera 360-darjah, Navigation Pro, Park Assist Pilot, Parking Climate serta bumbung panoramik.

    T8 Inscription Plus pula ada semua kelengkapan berkenaan, dengan tambahan sistem audio Bowers & Wilkins 1,100-watt dengan 15 pembesar suara serta amplifier 10-saluran pada harga tambahan RM10k.

    Apa beza dengan unit CBU T8 Inscription Plus? XC60 CKD menggunakan Dynamic Chassis yang terdiri daripada leaf spring komposit dan penyerap hentak hidraulik. Model CBU yang lebih mahal RM30k itu pula menggunakan Active Chassis dengan suspensi udara. Dan, kini tiada lagi pilihan kemasan kabin Linear Lime atau Metal Mesh. Hanya kemasan Driftwood sahaja ditawarkan.

    Volvo XC60 T5 Momentum CKD 2018

    Volvo XC60 T8 Inscription CKD 2018

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025