Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • GALERI: Mazda MX-30 2023 — EV untuk rutin harian

    GALERI: Mazda MX-30 2023 — EV untuk rutin harian

    Mazda MX-30 direka dan ditawarkan sebagai sebuah crossover elektrik untuk kegunaan harian di dalam bandar. Kenapa begini? Mudah, melihat kepada jarak 199 km yang disediakan untuk satu cas penuhnya, kita tahu kepenggunaannya bagaimana: tentulah dengan jarak seperti itu, ia agak leceh untuk dipandu bagi tujuan perjalanan jauh, kerana perancangan perlu ada berkaitan di mana harus mengecas semula kenderaan ketika dalam perjalanan.

    Tetapi, untuk kegunaan tugas seharian, jarak itu sebaliknya menjadi sangat banyak. Tambahan pula, sekiranya mengambil kira semua pengecasan akan dilakukan di rumah pada sebelah malam, kereta ini bahkan akan membuatkan anda tidak perlu lagi berfikir untuk ke pam minyak, apatah lagi perancangan untuk ke stesen pengecasan EV. Semuanya lebih mudah jika itulah situasinya.

    GALERI: Mazda MX-30 2023 — EV untuk rutin harian

    Maka, dalam latar penggunaan seharian ini, Mazda MX-30 ada banyak yang ingin ditawarkan, dan mungkin juga menjadi satu-satunya model dengan ciri seperti itu dalam segmennya. Yang dimaksdukan antaranya ialah kereta ini tiada tiang B di tengah, dan bukan pintu pula sangat unik — kita pernah tengok rekaan begini misalnya untuk model kereta sport Mazda RX-8, dan sekarang dipindahkan untuk model EV ini pula.

    Yang anda lihat ini ialah versi EV High yang paling tinggi, dengan penawaran keduanya pula EV Mid. Melihat harganya, mungkin ramai yang akan berkata itu terlalu mahal — varian High dijual pada harga RM198,780. Ini memang betul. Tetapi, bila anda meluangkan masa untuk mendekati model ini dari dekat, memerhatikan segala kelebihan dan kekurangannya itu, maka boleh difahami kenapa tanda harganya agak tinggi.

    GALERI: Mazda MX-30 2023 — EV untuk rutin harian

    Setakat ini, Mazda MX-30 menjadi model di mana syarikat itu melambakkan segala macam ciri dan kelengkapan terbaik dan termaju, sekurang-kurangnya dalam konteks pasaran tempatan kita. Duduk dalam ruang kabinnya, dan cuba sentuh dan rasa sendiri kualiti material dan rekaan yang diberikan untuk model ini. Kebanyakannya semua memberi rasa premium yang berbeza berbanding model Mazda yang lain. Material kitar semula, balutan kulit yang digunakan serta banyak lagi yang berada di tahap yang cukup teliti.

    Dalam kabin, ada sistem infotainmen dengan skrin sentuh 8.8-inci (dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay) berserta paparan skrin sentuh tujuh-inci untuk kawalan suhu — ciri yang pertama kali ditawarkan oleh jenama ini. Manakala skrin ketiga pula merupakan paparan multi-info TFT LCD tujuh-inci yang terletak di hadapan pemandu. Selain itu, MX-30 turut diberikan kawalan pendingin dwi-zon, brek parkir elektronik, pencahayaan dalaman LED, pedal penukar gear, paparan utama yang dipantul ke cermin hadapan serta stereng dan tombol gear balutan kulit.

    GALERI: Mazda MX-30 2023 — EV untuk rutin harian

    Di luar, antara kelengkapan standard yang ada termasuklah lampu utama LED, DRL LED, lampu kombinasi LED Signature di belakang serta lampu kabus dan lampu undur LED. Turut disediakan ialah sensor pengilap cermin dan sistem tanpa kunci, serta empat sensor parkir di depan dan enam di belakang. Kedua-dua varian menggunakan rim 18-inci dengan tayar 215/55.

    Bila anda duduk memandunya pula, pengalaman yang lebih menarik dapat dirasai. Ia tidak langsung memberi “diskaun” terhadap aspek berkenaan. Jika kereta Mazda yang lain sebelum ini sangat memberi tumpuan kepada nikmat pemanduan, perkara itu tetap dapat dirasakan untuk model elektrik ini.

    GALERI: Mazda MX-30 2023 — EV untuk rutin harian

    Sedikit maklumat mekanikal berkaitan MX-30 ini: kuasanya dibekalkan dari bateri lithium-ion 355-voltan yang diletakkan di bahagian lantai dengan kapasiti tenaga mencecah 35.5 kWh, yang mampu memberikan jarak gerak hingga 199 km dalam pengecasan tunggal mengikut standard kitaran ujian NEDC.

    Kuasa berkenaan disalurkan pula ke motor elektrik di depan dengan janaan sebanyak 145 PS (143 hp atau 107 kW) dan tork 271 Nm, membolehkan pecutan dari 0-100 km/j dalam 9.7 saat serta kelajuan maksimum cecah 140 km/j. Untuk pengecasan, MX-30 menerima input AC (Type 2) pada kadar 6.6 kW, dengan pengecasan penuh mengambil masa sekitar lima jam jika menggunakan wallbox.

    GALERI: Mazda MX-30 2023 — EV untuk rutin harian

    Jika menggunakan pengecasan biasa pada kadar maksimum 3 kW, ia mengambil masa sekitar 12 jam untuk pengecasan penuh. Sebagai alternatif, terdapat juga pengecas pantas DC dengan soket CCS2, yang boleh menaikkan kadar bateri dari kosong ke 80% dalam masa 36 minit menggunakan input 40 kW.

    Sistem keselamatannya juga lengkap dengan tujuh beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, Dynamic Stability Control, Traction Control dan ISOFIX. Bagi sistem bantuan pemandu, kereta ini dilengkapi dengan i-Activesense yang terdiri daripada AEB, fungsi Start/Go dengan kawalan melayar adaptif Mazda, penggera perhatian pemandu, peninjau titik buta, penggera lintasan trafik di belakang, sistem bantuan mengekalkan lorong, amaran penukaran lorong — semuanya standard untuk kedua-dua varian.

    GALERI: Mazda MX-30 2023 — EV untuk rutin harian

    Meluangkan masa untuk memandu kereta ini seharian memang menunjukkan kemampuannya yang cukup menyenangkan, baik dari segi pemanduan, ketersambungan dan juga pakej teknologi yang ada. Jarak 199 km itu juga sebetulnya sangat sukar untuk dihabiskan dalam masa sehari sekiranya yang kita lakukan hanyalah menguruskan rutin harian yang biasa. Memandunya pula membuktikan yang MX-30 masih kental dengan DNA Mazda Zoom-Zoom yang memberi lebih tumpuan kepada kepuasan pemanduan.

    Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Polymetal Gray dan Machine Gray, serta pilihan dua-tona warna Jet Black Mica (dengan tiang warna perak), Zircon Sand (dengan bumbung hitam) dan Soul Red Crystal (dengan bumbung hitam). Mazda MX-30 datang dengan jaminan lima-tahun atau 100,000 km, yang mana dulu dan bateri pula dengan jaminan lapan-tahun atau 160,000 km.

    Sebuah lagi kereta EV yang berada hampir sama dengan penawaran dan harga MX-30 ini ialah MINI Electric, yang dijual pada harga sekitar RM193,834. Kereta ini juga sama, menyediakan jarak perjalanan sejauh 232 km untuk sekali cas penuh — tetapi dalam pakej yang lebih kompak berbanding MX-30. Anda rasa sesuai EV untuk dijadikan kenderaan harian?

     
     
  • Honda Blade 2023 masuk pasaran Vietnam – RM3.6k

    Honda Blade 2023 masuk pasaran Vietnam – RM3.6k

    Di Vietnam, Honda mempunyai beberapa model motosikal kelas permulaan dengan antaranya adalah Blade. Ia sudah wujud sejak tahun 2018, melalui beberapa kali peningkatan dan tahun ini diperbaharui lagi dengan kini ditawarkan dalam tiga versi iaitu Special, Sports dan Standard, pada harga bermula 19.25 juta dong (RM3,617).

    Membezakan antara tiga varian ini adalah bahagian brek, di mana Standard cuma mendapat brek jenis dram di hadapan dan belakang, sementara Sports dan Special pula mendapat brek cakera di hadapan. Kemudiannya angkup brek serta spring penyerap belakang varian Sports dicat warna merah, manakala pada Special ia berwarna perak.

    Bahagian roda juga berbeza dengan varian Standard mendapat rim jenis spoked dan tayar bertiub, sementara Sports dan Special menggunakan rim aluminium dengan tayar tanpa tiub. Grafik setiap varian juga mempunyai keunikan masing-masing.

    Blade dipacu oleh enjin satu silinder 109.1 cc penyejukan udara, dipadankan bersama transmisi empat kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 8.3 hp pada 7,500 rpm dan 8.65 Nm tork pada 5,500 rpm. Enjin ini boleh dihidupkan secara tendang ataupun butang pemula elektrik.

    Tangki bahan api Blade berkapasiti 3.7 liter, dan kelengkapan lainnya adalah seperti panel meter dengan penunjuk kedudukan gear serta lampu jenis halogen. Berat keseluruhan Blade adalah 98 kg dan tinggi tempat duduknya adalah 769 mm.

     
     
  • KTMB perkenalkan Tren Khas Ekpres Lambaian Aidilfitri ke Pantai Timur bagi perjalanan 19-25 April

    KTMB perkenalkan Tren Khas Ekpres Lambaian Aidilfitri ke Pantai Timur bagi perjalanan 19-25 April

    Untuk warga Pantai Timur yang frust bila tiket bas ekpres dan tren habis sempena cuti Hari Raya Aidilfitri ini, jangan gusar, anda masih berkesempatan pulang ke kampung halaman dengan menaiki Tren Khas Ekspres Lambaian Aidilfitri yang diperkenalkan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

    Tren Khas Ekspres Lambaian Aidilfitri ini diperkenalkan sempena sambutan Aidilfitri dengan 1,864 tiket ditawarkan dan sebanyak empat perjalanan tren ekspres yang mula beroperasi dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya disediakan.

    “Tiket akan mula dijual pada 1 April dengan harga RM55 sehingga RM83 bagi perjalanan sehala.
    Pengguna disarankan melakukan pembelian melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman sesawang KTMB,” kata KTMB.

    Tambahnya, perkhidmatan ini adalah alternatif kepada pengguna untuk pulang beraya ke Pantai Timur menggunakan jalan darat yang sering sesak setiap kali musim perayaan. Inisiatif ini juga adalah untuk mereka yang ingin pulang ke kampung dengan selesa, selamat dan juga dengan tambang yang berpatutan.

    “Tren Khas Lambaian Aidilfitri ini akan berhenti di 16 stesen iaitu di Stesen Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Gemas, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah, Wakaf Bharu, Tumpat dan beberapa stesen lain,” katanya.

    Terdapat dua jadual bagi tren, perjalanan pertama pada 19 April bermula 11 malam dan berakhir pada 3.53 petang, manakala pada 24 April perjalanan bermula pada 10.50 malam dan akan tiba pada 3.10 petang. Perjalanan kedua pula adalah pada 20 April bermula pada 11 malam dan akan tiba pada 3.53 petang dan 25 April 10.50 malam dan berakhir pada 3.10 petang.

    Tren dilengkapi kemudahan koc katil, koc tempat duduk premier, koc tempat duduk superior, koc buffet dan koc chillax.

     
     
  • DUKE umum konfigurasi semula lorong Plaza Tol Batu mulai 31 Mac – termasuk akses terus dari Jalan Ipoh

    DUKE umum konfigurasi semula lorong Plaza Tol Batu mulai 31 Mac – termasuk akses terus dari Jalan Ipoh

    Konsortium Lebuhraya Utara Timur (KL) Sdn. Bhd. (KESTURI) pemegang konsesi bagi Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) telah mengumumkan konfigurasi semula lorong Plaza Tol Batu mulai 31 Mac 2023.

    Menurut Pengarah Urusan KESTURI, Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng, penstrukturan semula konfigurasi lorong Plaza Tol Batu ini bakal memberi kemudahan dan manfaat kepada penduduk kawasan setempat.

    “Susur keluar dari Plaza Tol Batu arah timur ini akan memanfaatkan pengguna lebuhraya DUKE dari Jalan Duta, Jalan Kuching dan Sri Damansara untuk menuju ke Bamboo Hills, Jalan Ipoh serta Pusat Bandaraya.

    “Setelah dibuka, perjalanan orang ramai di kawasan Jalan Ipoh juga akan menjadi lebih mudah kerana lorong tol ini menyediakan akses terus dari lebuhraya DUKE dan secara tidak langsung memendekkan perjalanan serta menghubungkan penduduk di sini dengan kawasan sekitar,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Plaza Tol Batu ini terletak berhadapan dengan Bamboo Hills, ia dilengkapi dengan dua lorong tol dengan sistem pembayaran tanpa tunai menerusi kad Touch ‘n Go, Touch ‘n Go e- Wallet, RFID serta Smart Tag bagi memastikan pengguna lebuh raya dapat menikmati perjalanan yang lancar dan selesa.

     
     
  • Cadangan projek MRT3 dengan anggaran kos RM50.2 bilion belum dimuktamadkan – Ahmad Maslan

    Cadangan projek MRT3 dengan anggaran kos RM50.2 bilion belum dimuktamadkan – Ahmad Maslan

    Kerajaan masih belum memuktamadkan keputusan mengenai cadangan pelaksanaan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang dianggarkan dengan kos RM50.2 bilion bagi melengkapkan rangkaian rel bandar di Kuala Lumpur.

    Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, kerajaan meminta anggaran kos itu diturunkan lagi, laporan Berita Harian.

    “Ada pandangan ia boleh diturunkan sehingga RM45 bilion, kita tunggu cadangan mengenainya. Jarak MRT3 adalah 50.8 kilometer supaya dapat melengkapkan lingkaran (rel) itu. Jika tidak buat MRT3, kita tidak dapat melaksanakan keseluruhan perjalanan itu,” katanya dalam sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2022) 2023 di Dewan Rakyat semalam.

    Cadangan projek MRT3 dengan anggaran kos RM50.2 bilion belum dimuktamadkan – Ahmad Maslan

    Tambahnya, kerajaan juga akan melaksanakan kajian menyeluruh keberkesanan pelaksanaan projek MRT3 berbanding Transit Aliran Bas (BRT), dengan mengambil kira kesesuaian tempat, kadar trafik dan kos keseluruhan.

    “Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan,” katanya.

    Kenyataan ini dikeluarkan bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) mengenai sama ada Kementerian Kewangan akan membuat kajian perbandingan impak antara MRT3 dan BRT, mengambil kira faktor penggunaan perkhidmatan dan kos.

    MRT3 Laluan Lingkaran dmerupakan bahagian terakhir yang penting bagi melengkapkan rangkaian rel bandar di Kuala Lumpur, dengan jajaran yang melalui sepanjang perimeter bandar raya. Ia akan mengelilingi Kuala Lumpur melalui kawasan berkepadatan tinggi, termasuk Setiawangsa, Titiwangsa, Mont Kiara, Pantai Dalam dan Pandan Indah.

     
     
  • Enam stesen LRT Laluan Ampang-Sri Petaling dihentikan operasi mulai 2 April – bas disediakan

    Enam stesen LRT Laluan Ampang-Sri Petaling dihentikan operasi mulai 2 April – bas disediakan

    Rapid Rail Sdn Bhd selaku pengendali transi aliran ringan (LRT) telah mengumumkan sebanyak enam stesen LRT Laluan Ampang-Sri Petaling dihentikan operasinya mulai 2 April 2023. Stesen terbabit ialah Stesen Bandaraya, Sultan Ismail, PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pemberhentian operasi itu kerana tren digunakan untuk perkhidmatan antara Stesen Bandaraya ke Stesen Sentul Timur tidak lagi dapat memenuhi kriteria pengoperasian ditetapkan dan terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.

    “Ia susulan kejadian kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya yang menyebabkan tren tidak dapat kembali ke Depoh LRT di Ampang untuk menjalani kerja-kerja penyelenggaraan sejak 27 Januari lalu.

    “Bagi menampung keperluan dan melancarkan perjalanan penumpang terjejas, pihak Rapid Rail akan menyediakan perkhidmatan bas ekspres percuma LRT 13 dan LRT 14 bermula Ahad ini sebagai tambahan kepada perkhidmatan Bas LRT 11 sedia ada,” katanya.

    Enam stesen LRT Laluan Ampang-Sri Petaling dihentikan operasi mulai 2 April – bas disediakan

    Di mana laluan perkhidmatan bas itu akan meliputi Bas LRT 11 dari LRT Masjid Jamek-LRT Bandaraya-LRT PWTC-LRT Titiwangsa-LRT Sentul-LRT Sentul Timur. Manakala Bas Ekspres LRT 13 pula dari LRT Masjid Jamek-LRT Sentul-LRT Sentul Timur dan Bas Ekspres LRT 14 dari LRT Masjid Jamek-LRT Titiwangsa.

    “Perkhidmatan bas LRT 11, 13 dan 14 ini akan beroperasi dengan 40 bas dan kekerapan antara 10 hingga 15 minit pada waktu puncak bergantung kepada keadaan trafik semasa,” katanya.

    Tambahnya, mulai 2 April ini juga, perkhidmatan bas LRT 9 (LRT Hang Tuah-LRT Bandaraya) dan bas LRT 10 (LRT Masjid Jamek-LRT Bandaraya) akan ditamatkan.

    “Bagi melancarkan perjalanan, semua perkhidmatan bas ini akan menggunakan laluan bas khas yang sudah disediakan. Penguatkasaan akan dijalankan oleh pihak berkuasa bagi memastikan laluan bas ini tidak disalahguna oleh kenderaan lain,” katanya.

    Rapid Rail juga menyarankan agar penumpang menggunakan laluan rel alternatif termasuk bagi yang menuju ke Hang Tuah boleh menaiki Laluan Monorel melalui Stesen Titiwangsa.

    “Bagi penumpang yang mahu ke Chan Sow Lin pula boleh menaiki Laluan MRT Putrajaya melalui Stesen Titiwangsa.

    “Penumpang juga digalakkan menggunakan aplikasi PULSE untuk merancang perjalanan dan mengikuti laman media sosial Rapid KL untuk mendapatkan maklumat terkini.Anggota operasi rel, polis bantuan dan troopers akan ditempatkan di stesen terbabit bagi membantu dan mengawal pergerakan penumpang.

    “Rapid Rail memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi oleh penumpang. Kami berterima kasih dan menghargai kesabaran penumpang,” katanya.

     
     
  • Teknologi RFID dan ANPR bakal digunakan dalam pelaksanaan POC MLFF di Lebuhraya Besraya – LLM

    Teknologi RFID dan ANPR bakal digunakan dalam pelaksanaan POC MLFF di Lebuhraya Besraya – LLM

    Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan pelaksanaan Proof of Concept bagi sistem Aliran Bebas Pelbagai-Lorong atau Multi-Lane Fast Flow (MLFF) dengan memilih Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) sebagai lokasi pertama akan menggunakan gabungan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dan Automatic Number Plate Recognition (ANPR) selewat-lewatnya hujung Oktober ini.

    Menurut LLM, keputusan untuk menggunakan kedua-dua teknologi berkenaan telah diteliti dan diputuskan di peringkat Jawatankuasa Teknikal MLFF, Makmal Value Assessment dan Makmal Value Engineering yang diadakan dengan penglibatan agensi-agensi teknikal yang terlibat.

    “Pelaksanaan POC ini melalui struktur gantri MLFF berskala sebenar adalah bertujuan bagi menguji dan menentusahkan kecekapan sistem front end gantri MLFF terhadap Petunjuk Prestasi Utama yang ditetapkan dalam operasi lebuhraya kelak.

    “Komitmen dan sokongan berterusan pengguna amatlah diharapkan untuk penambahbaikan pengoperasian lebuhraya bertol di negara ini,” kata LLM menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah mengumumkan terdapat lima lebuhraya akan mula melaksanakan sistem bayaran terbuka ini — yang muncul sebagai respon segera kepada isu monopoli oleh Touch n Go — termasuk Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Pantai Baharu (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Jambatan Pulau Pinang.

    Kemudian, senarai ini ditambah dengan lima lagi lebuhraya yang akan ikut serta iaitu Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) dan Terowong SMART — menjadikan 11 lebuhraya keseluruhannya ketika ini.

     
     
  • Audi Q6 e-tron sah akan masuk Malaysia — SUV EV guna platform PPE 800-volt baru, dijangka tiba 2024

    Audi Q6 e-tron sah akan masuk Malaysia — SUV EV guna platform PPE 800-volt baru, dijangka tiba 2024

    Menurut Pengarah Urusan PHS Automotive Malaysia (PHSAM), Erik Winter, syarikat itu akan membawa masuk sebuah lagi model Audi e-tron ke dalam barisan kenderaannya di sini selain model Q8 e-tron dan e-tron GT. Model yang dimaksudkan ialah Q6 e-tron.

    Bagaimanapun, ini mungkin memerlukan masa yang lebih lama memandangkan ia masih belum diperkenalkan di peringkat global secara rasmi lagi. Awal bulan ini, Audi mula menunjukkan kelibat model terbabit, dengan pelekat samaran, ketika ia sedang diuji dalam cuaca sejuk.

    Q6 e-tron akan menjadi model pertama jenama itu yang menggunakan platform Premium Platform Electric (PPE), yang merupakan lanjutan dan evolusi kepada platform J1 yang digunakan oleh e-tron GT. Menampilkan binaan elektrikal 800-volt, SUV tersebut mampu dicas dalam waktu yang singkat; bagaimanapun masih belum ada perincian lanjut ketika ini.

    Audi Q6 e-tron sah akan masuk Malaysia — SUV EV guna platform PPE 800-volt baru, dijangka tiba 2024

    Platform PPE ini juga akan digunakan untuk Porsche Macan EV akan datang dan boleh memanfaatkan motor elektrik tunggal (RWD) atau dwi (AWD). Maklumat awal model Porsche itu memberi petunjuk bahawa kapasiti baterinya adalah 100 kWh, pengecasan pantas DC melebihi 270 kW dan output keseluruhan sistem sehingga 612 PS (603 hp atau 450 kW) dan 1,000 Nm tork.

    Sama seperti Q8 e-tron dan Q4 e-tron, Q6 e-tron akan ditawarkan dalam bentuk badan standard dan Sportback: bentuk kedua ini mengenakan rekaan ada coupe untuk tampil lebih dinamik. Pengenalan global Q6 e-tron ini dijangka dilakukan pada suku kedua tahun ini, jadi ia mungkin sampai di Malaysia tahun hadapan.

     
     
  • Audi Q8 e-Tron 2023 tampil sulung di Asia Tenggara — lancar di M’sia Jun nanti, anggaran RM369k-RM476k

    Audi Q8 e-Tron 2023 tampil sulung di Asia Tenggara — lancar di M’sia Jun nanti, anggaran RM369k-RM476k

    Audi Q8 e-tron akan membuat penampilan sulungnya di Asia Tenggara dalam pameran House of Progress di ArtScience Museum, Singapura bermula 31 Mac hingga 16 April nanti. SUV elektrik tersebut didedahkan di peringkat global November tahun lalu dan kini dibuka tempahannya untuk pasaran tempatan.

    Q8 e-tron akan ditawarkan dalam versi 50 dan S Line 55, kedua-duanya lengkap dengan pacuan semua roda quattro yang turut ditawarkan untuk versi Sportback SUV berkenaan. Keseluruhannya, ada empat pilihan, dengan harga dianggarkan bermula antara RM369,000 dan RM476,000.

    Kereta yang ditampilkan ini digelar sebagai Q8 advanced e-tron 50 quattro, yang menampilkan bateri lithium-ion dengan kapasiti 95 kWh (89 kwh boleh digunakan). Ini memberikan jarak sejauh 410 km menurut PHS Automotive Malaysia (PHSAM), pengedar kenderaan Audi di Malaysia.

    Audi Q8 e-Tron 2023 tampil sulung di Asia Tenggara — lancar di M’sia Jun nanti, anggaran RM369k-RM476k

    Bateri berkenaan menyalurkan kuasa kepada sepasang motor elektrik yang menghasilkan output sistem sebanyak 340 PS (335 hp atau 250 kW) dan 664 Nm tork. Ini juga membolehkan laju maksimum mencapai 200 km/j, dengan 100 km/j pertama dalam masa enam saat dari kedudukan pegun.

    Dari segi kelengkapan, Q8 e-tron ini datang dengan suspensi udara adaptif, pakej lampu suasana plus, MMI Navigation plus dengan respon sentuhan MMI, kokpit virtual plus, pengecas tanpa wayar, kawalan pendingin empat zon, bantuan parkir plus dengan kamera 360-darjah, Audi pre sense depan dan belakang, bantuan menukar lorong, amaran lintasan trafik di belakang dan kawalan melayar adaptif.

    Pilihan yang turut diberikan untuknya termasuk pakej kemasan hitam dengan landasan bumbung hitam, kemasan aluminium kesat, kerusi sport dengan balutan kulit Valcona dan rim aloi 22-inci lima-jejari dalam penyudah kelabu. Untuk Malaysia, spesifikasi dijangka tidak terlalu berbeza kelak. Perincian lanjut akan disahkan ketika pelancarannya nanti, dijangka sekitar Jun tahun ini.

    Audi Q8 e-Tron 2023 tampil sulung di Asia Tenggara — lancar di M’sia Jun nanti, anggaran RM369k-RM476k

    Q8 e-tron untuk Malaysia juga akan ditawarkan dalam versi S line 55, yang memberikan jarak 481 km dengan kapasiti bateri 114 kWh (106 kWh boleh digunakan). Dengan tetapan pacuan semua roda, ia lebih berkuasa dengan janaan 408 PS, dengan tork maksimum kekal 664 Nm. Versi Sportback untuk Q8 e-tron menampilkan garis bumbung ala coupe yang lebih dinamik, dengan dua tingkat kemasan yang sama juga.

    Q8 e-tron akan bersaing dengan BMW iX, dengan model BMW itu dijual pada harga antara RM385,430 dan RM528,430 (RM403,800 hingga RM546,800 jika dengan pakej jaminan lanjutan). Mercedes-Benz EQE SUV juga akan menjadi pesaingnya kelak.

     
     
  • Modenas Kriss 110 diberi penampilan baru – dari RM4k

    Modenas Kriss 110 diberi penampilan baru – dari RM4k

    Modenas Kriss 110 yang sebelum ini diperkenalkan pada tahun 2019 dan diberi peningkatan pada tahun 2020 kini diberikan penampilan baru lebih segar.

    Masih lagi ditawarkan dalam dua versi iaitu yang menggunakan brek dram hadapan pada harga RM3,917 dan yang menggunakan brek cakera pada harga RM4,437, Kriss 110 ini ditawarkan dalam tiga warna – hitam, biru dan kuning untuk versi brek dram dan hitam, biru dan merah untuk versi brek cakera.

    Bahagian lain motosikal ini masih lagi sama, bermula degan enjin, yang meruapakan unit satu silinder SOHC penyejukan udara 107 cc (karburetor) bersama padanan kotak gear empat kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 6.6 hp pada 8,000 rpm dan 6.7 Nm tork pada 6,000 rpm.

    Kemudiannya, beberapa ciri yang diberikan sebagai peningkatan sebelum ini masih lagi ada, termasuk lampu yang menggunakan jenis multi reflector, pengecas USB di bawah tempat duduk, lampu kecemasan (hazard light), paparan panel meter yang diubah untuk menunjukkan kedudukan gear secara digital serta tempat duduk yang lebih selesa hasil penggunaan bahan baru.

    Tangki bahan api Kriss 110 berkapasiti 4.2 liter dan ia juga datang dengan pemula enjin jenis elektrik, tetapi sebagai sebuah motosikal mampu milik, ia tidak dilengkapi dengan brek ABS. Jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Mercedes-Benz E300 AMG Line 2023 dikemaskini di Malaysia – roda baharu, brek besar; RM399,888

    Mercedes-Benz E300 AMG Line 2023 dikemaskini di Malaysia – roda baharu, brek besar; RM399,888

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mengemaskini kelengkapan untuk varian E300 AMG Line bagi model E-Class W213 facelift, selepas dua tahun model pemasangan tempatan (CKD) ini diperkenalkan buat pertama kalinya pada Julai 2021. Ditawarkan pada harga atas jalan RM399,888 tanpa insurans, varian yang disemak semula ini adalah RM2,000 lebih mahal berbanding sebelum ini, merujuk harga berserta SST yang diumumkan Julai tahun lalu.

    Merujuk risalah spesifikasinya, perubahan yang dilakukan untuk E300 ini termasuk menampilkan set baharu roda aloi-ringan 10-jejari AMG 19-inci yang menggantikan unit aloi jejari-berkembar-lima AMG sebelum ini.

    Selain roda baharu, varian ini turut menerima cakera brek yang lebih besar serta spoiler di belakang. Manakala sistem Keyless-Go kini digandingkan dengan fungsi Akses Bebas Tangan yang membantu anda membuka but dengan hanya menggoyangkan kaki anda di bawah bampar belakang. Untuk dalam kabin pula, roda stereng sport juga menerima sedikit perubahan rekaan.

    Klik untuk besarkan imej

    Itu sahaja perubahan yang dilakukan untuk varian 2023 ini, selain daripada itu, ciri-ciri kelengkapan sedia ada masih dikekalkan. Di bawah bonetnya, jentera ini diberikan unit M264 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dengan hamburan kuasa 258 PS (255 hp) dari 5,800 hingga 6,100 rpm dan tork 370 Nm dari 1,800 hingga 4,000 rpm, dengan pacuannya disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan.

    Senarai kelengkapan yang diberikan termasuk lampu utama Multibeam LED (dengan Adaptive Highbeam Assist Plus), sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan dwi paparan 12.3-inci, pengecas tanpa wayar, bumbung suria gelangsar panoramik, kawalan suhu tiga-zone Thermotronic, alas lantai AMG, sistem bunyi Burmester dan sistem Urban Guard. E300 turut menampilkan tempat duduk kulit asli, kemasan kayuan hitam dan beberapa permukaan termasuk papan pemuka yang dibaluti kulit Artico.

    Bagi sistem bantuan pemandu, E300 didatangkan dengan Bantuan Parkir Aktif dengan Parktronic, Pre-Safe, Bantuan Brek Aktif (brek kecemasan sendiri), kamera 360-darjah dan Pakej Bantuan Pemanduan, merangkumi Active Distance Assist Distronic (kawalan kelajuan adaptif), Bantuan Stereng Aktif, Bantuan Brek Aktif, Bantuan Kekal Lorong Aktif, Bantuan Titik Buta Aktif dan Pre-Safe Plus.

    GALERI: Mercedes-Benz E300 AMG Line W213 2021 di Malaysia

     
     
  • JPJ eBid: Siri nombor JWD dan DES dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Johor dan Kelantan dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JWD, sudah pun boleh dibida mulai hari ini, 30 Mac 2023. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 3 April. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 4 April 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Kelantan, DES, bakal dibuka bidaan mulai 6 April 2023. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 10 April, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 11 April 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Perkhidmatan LRT mungkin bakal diwujudkan di JB

    Perkhidmatan LRT mungkin bakal diwujudkan di JB

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan kerajaan sedang menimbangkan cadangan untuk membina jajaran pengangkutan sistem transit aliran ringan (LRT) di bandar raya Johor Bahru. Ia adalah bagi mewujudkan sistem pengangkutan lebih bersepadu selain mengurangkan kesesakan trafik di sana.

    Katanya, sebuah syarikat swasta turut berminat membangun LRT di bandar raya ini dengan cadangan projek berkenaan sudah dihantar untuk penilaian kementerian.

    “Kita akan pertimbangkan semua cadangan untuk bina LRT di Johor Bahru termasuk daripada pihak swasta. Sebuah syarikat swasta, baru-baru ini juga sudah menyatakan minat untuk membina LRT di Johor Bahru namun ia masih di peringkat awal dan memerlukan penilaian lanjut Kerajaan Persekutuan,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.

    Mengenai perkembangan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, Loke berkata, kementeriannya sudah meminta Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) memastikan projek berkenaan dilaksanakan mengikut jadual.

    “Sudah tentu terdapat sedikit kelewatan, tetapi MRT Corp sedang membetulkan masalah itu. Saya sudah memberi arahan dari semasa ke semasa supaya projek bilateral antara dua negara ini dapat disiapkan pada penghujung 2026. Ini kerana RTS dijadualkan beroperasi pada 2027, maka ia perlu siap mengikut jadual,” katanya.

     
     
  • Kerajaan sasar 1.5 juta EV di M’sia menjelang 2040

    Kerajaan sasar 1.5 juta EV di M’sia menjelang 2040

    Kerajaan meletakkan sasaran sejumlah 1.5 juta kenderaan elektrik (EV) bakal berada di Malaysia menjelang tahun 2040. Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, sasaran itu susulan berlaku gerakan ‘penghijrahan’ bagi infrastruktur EV di peringkat global, membabitkan pertukaran kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) yang menggunakan petrol kepada EV.

    Tambahnya, sasaran baharu itu juga meningkat berbanding sasaran yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) sebelum ini, iaitu sejumlah 90,000 kenderaan EV pada 2040, laporan Bernama.

    “Kerana kita merasakan dengan adanya tekanan daripada negara-negara maju untuk ‘berhijrah’ ke kenderaan elektrik, maka kita perlu lebih bersedia. Atas dasar itu, ia juga tergambar (berkait) dengan sasaran-sasaran tentang (pembinaan) stesen pengecasan, yang dibina oleh misalnya Gentari Sdn Bhd (Gentari), Tenaga Nasional dan juga pihak swasta seluruh negara dalam usaha membantu usaha eletrifikasi berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

    Nik Nazmi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) berkaitan pendekatan menyeluruh kerajaan bagi memastikan keberkesanan Strategi Rendah Karbon Jangka Panjang (LT-LEDS).

     
     
  • VIDEO: Toyota Vios 2023 generasi ke-4 — lagi mantap!

    VIDEO: Toyota Vios 2023 generasi ke-4 — lagi mantap!

    Terdapat banyak perkara yang boleh diperkatakan tentang Toyota Vios generasi ke-4 2023 yang baru dilancarkan untuk pasaran Malaysia minggu lalu. Antara yang paling utama, ini model serba baru yang telah beralih untuk menggunakan platform DNGA — platform yang sama dengan Perodua Ativa, Alza dan Axia — yang secara langsung memberikan pertambahan ukuran dimensi kepada sedan segmen B popular ini: ukuran dimensi berkenaan adalah 4,425 mm panjang (+5 mm), 1,740 mm lebar (+10 mm) dan 1,480 mm tinggi (+5 mm). Lebih penting, jarak antara rodanya kini 70 mm lebih panjang dengan 2,620 mm.

    Kedua, rekaan yang ditampilkan juga jauh lebih matang berbanding Vios yang sebelum ini, kerana sekali imbas, ia seperti “baby Camry” dengan reka bantuk dan arah tuju rekaan yang matang, banyak mengenakan garisan-garisan tajam yang ketara serta bahagian belakang yang menerapkan cermin landai ala fastback seperti yang selalu kita lihat digunakan untuk kereta Audi terbaru.

    Ketiga, hanya ada dua varian yang ditawarkan, berbanding empat varian sebelum ini. Varian paling asas, E dijual pada harga RM89,600 manakala varian paling tinggi G dengan harga RM95,500. Dengan varian G ini, penawarannya yang paling berbaloi — beza harga sekitar RM6k ini memberikan nilai yang jauh lebih berbaloi bagi varian G, apatah lagi jika mengambil kira jumlahnya yang dibahagikan mengikut jumlah tahun tempoh pembiayaan pinjaman kenderaan.

    Di dalam, dengan penggunaan platform DNGA tersebut, dapat juga dilihat bebarapa kelengkapan yang “dipinjam” daripada model-model Perodua sedia ada yang menggunakan platform sama. Yang dimaksudkan adalah stereng dan tombol gearnya. Ciri maju lain seperti Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar — serta pengecas telefon tanpa wayar — juga ada disediakan.

    Melalu video ini, kami membawa anda untuk melihat secara ringkas apa yang ada ditawarkan oleh Vios G 2023 ini berbanding varian E. Yang mana satu lagi berbaloi agaknya?

    Toyota Vios G 2023

     
     
  • Sime Darby, Inokom akan mulakan pemasangan tempatan untuk model Jaguar Land Rover di Malaysia?

    Sime Darby, Inokom akan mulakan pemasangan tempatan untuk model Jaguar Land Rover di Malaysia?

    Anak syarikat Sime Darby, Inokom dilaporkan sedang dalam perbincangan dengan Jaguar Land Rover untuk menjalankan pemasangan tempatan beberapa model terpilih jenama itu di sini, menurut sumber seperti yang dilaporkan oleh The Edge Markets. Ketika ini, semua model Jaguar Land Rover yang dijual di Malaysia merupakan unit import sepenuhnya (CBU).

    Model terbaru jenama itu untuk pasaran tempatan ialah Jaguar I-Pace yang diperkenalkan semalam, yang merupakan model elektrik dan ditawarkan dalam dua varian dengan harga antara RM460,800 hingga RM498,800. Kedua-duanya datang dengan sistem dua motor elektrik yang menjana 400 PS/696 Nm dengan bateri 90 kWh. Ini membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat dan jarak perjalanan maksimum 470 km (WLTP) untuk satu cas penuh.

    Bagi jenama Land Rover pula, model terbaru yang sampai di sini ialah SUV Range Rover L460 generasi kelima Februari lalu yang hadir dalam versi standard wheelbase (SWB) dengan satu pilihan enjin, 4.4 liter petrol V8 dan dengan tanda harga RM2.5 juta.

    Sime Darby, Inokom akan mulakan pemasangan tempatan untuk model Jaguar Land Rover di Malaysia?

    “Sime Darby Motors adalah rakan niaga pilihan bagi sebahagian jenama utama dunia, dan memberikan akses terhadap pelanggan kami kepada rangkaian produk dan servis bertaraf global. Walaupun begitu, kami sentiasa mencari rakan niaga baru untuk mempertingkatkan penawaran. Kami juga sedang ingin memperkukuh hubungan dengan rakan sedia ada,” jelas Sime Darby Motors dalam satu kenyataan bertulis sebagai jawapan kepada The Edge Markets.

    Dalam perkembangan berasingan, Inokom juga difahamkan sedang dalam peringkat akhir rundingan untuk memasang kenderaan Chery, serta dalam perancangan untuk meningkatkan output pemasangan tempatan bagi kenderaan Porsche.

    Porsche pertama kali mengumumkan operasi CKD kenderaannya pada Ogos 2021, yang dimulakan pada 2022, dalam kehadiran Porsche Cayenne 2022 model paling asas untuk pasaran di sini, sekaligus menjadi model pertama jenama itu yang dipasang di luar Eropah.

    Ketika ini, Inokom memasang kenderaan bagi jenama termasuk BMW, MINI, Hyundai, Kia, Mazda dan Porsche. Sime Darby pengawal lebih daripada 51% dalam Inokom,, dengan 51% pegangan dilakukan 100% melalui anak syarikatnya Sime Darby Motors. Pemegang saham lain dalam Inokom termasuklah Bermaz Auto (29%), Hyundai Motor Company (15%) dan Sime Darby Hyundai (5%), menurut The Edge Market.

     
     
  • Harga minyak 30 Mac-5 April – Masih tiada perubahan

    Harga minyak 30 Mac-5 April – Masih tiada perubahan

    Kementerian Kewangan (MOF) telah memutuskan untuk terus mengekalkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel untuk minggu bertarikh 30 Mac hingga 5 April 2023. Ini merupakan minggu ke-14 harga runcit petrol dan diesel masih dikekalkan.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.35 seliter, selepas ia mengalami penurunan harga selama tiga minggu berturut-turut sepanjang Disember 2022. Manakala petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling pula, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 13 Mac lalu, kerajaan berkata rancangan untuk memperkenalkan program subsidi bahan api bersasar masih diteruskan, namun akan dimulakan dengan diesel, manakala bagi petrol RON 95 akan ditangguhkan untuk tempoh lain. Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan, subsidi yang disasarkan akan terlebih dahulu melibatkan elektrik dan diesel apabila ia dilaksanakan

     
     
  • MOT arah Prasarana selesaikan segera isu LRT, MRT

    MOT arah Prasarana selesaikan segera isu LRT, MRT

    Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan agar Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) selaku pengendali Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) menyelesaikan segera isu teknikal yang kerap kali dihadapi oleh kedua-dua perkhidmatan berkenaan.

    Menurut Menteri MOT Anthony Loke, langkah itu bagi membolehkan Prasarana memberikan laporan penuh kepada kementerian berhubung kekerapan perkhidmatan itu berdepan masalah teknikal, sekali gus menggusarkan pengguna.

    Selain itu, ia juga bagi membolehkan Prasarana mengambil langkah perlu bagi memastikan bahawa semua masalah teknikal LRT dapat diatasi sepenuhnya, laporan Bernama.

    “Dalam dua minggu yang lalu, memang LRT dan MRT mengalami beberapa kerosakan dan masalah teknikal yang memberikan gangguan kepada penumpang. Saya berasa amat kesal dan memohon maaf atas semua penumpang yang terbabit terutamanya warga kerja yang bergegas untuk ke pulang ke rumah untuk berbuka puasa.

    MOT arah Prasarana selesaikan segera isu LRT, MRT

    “Sudah tentu apa yang berlaku pada waktu puncak semalam memberikan kesan kepada ramai penumpang. Oleh itu, saya sudah mengarahkan Pengerusi Prasarana Tan Sri Jamaludin Ibrahim, untuk mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan semua masalah teknikal ini supaya langkah mengatasi segala isu teknikal dapat diambil,” katanya.

    Tambahnya lagi, mesyuarat khas Prasarana itu amat penting bagi membolehkan punca utama kepada semua masalah teknikal yang berlaku dikenal-pasti sepenuhnya.

    “Ini kerana, dalam tempoh dua minggu yang lalu kerap berlaku. Malam tadi di LRT laluan Kelana Jaya dan sebelum itu, pagi semalam juga berlaku di MRT laluan Kajang. Perkara ini sesuatu yang kita amat ambil perhatian secara serius dan saya berasa amat kesal atas apa yang berlaku. Sudah tentu pelbagai usaha akan dilakukan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan LRT dan MRT,” katanya.

     
     
  • Kawasaki Ninja ZX-4R – bunyi apabila dipasang dengan pelbagai ekzos dan laju maksimum atas dyno

    Kawasaki Ninja ZX-4R – bunyi apabila dipasang dengan pelbagai ekzos dan laju maksimum atas dyno

    Kawasaki Indonesia yang baru sahaja melancarkan ZX-4R untuk pasaran republik itu menyiarkan beberapa video bagi menunjukkan kelebihan motosikal sports tersebut. Selain video pembentangan produk, kita juga dapat melihat video laju maksimum atas mesin dyno serta bunyi motosikal tersebut apabila dipasang dengan beberapa jenis ekzos.

    Walaupun cuma datang dengan enjin berkapasiti 399 cc, bunyi ZX-4RR kedengaran seperti motosikal yang lebih besar kerana menggunakan tetapan empat silinder. Ketajaman bunyi yang lebih sinonim dengan motosikal berkapasiti tinggi ada pada motosikal ini dan kita boleh mendengarnya melalui bukan sahaja ekzos standard, tetapi juga unit aftermarket daripada Akrapovic dan Yoshimura.

    Pergi pula kepada video atas mesin dyno, kita boleh melihat pengendali motosikal di dalam video tanpa belas mengerah ZX-4R baru tersebut sehingga mencecah garisan merah rpm di tahap 15,000 pada setiap gear sehingga mencapai laju maksimum 253 km/j pada gear keenam.

    Melalui apa yang ditunjukkan ini, pastinya ZX-4R dapat memberikan lebih prestasi berbanding motosikal kategori 400 cc lain yang menggunakan enjin satu atau dua silinder dan Kawasaki juga meletakkan kelengkapan yang bersesuaian dengan kemampuannya seperti transmisi enam kelajuan, quickshifter, suspensi Showa boleh laras (depan dan belakang bagi versi RR), sistem kawalan cengkaman KTRC serta meter TFT.

    Beberapa negara berdekatan dengan kita sudah mula menerima ZX-4R ini tetapi Indonesia membuat sedikit kejutan apabila harga bagi versi RR yang diperkenalkan, iaitu 239.9 juta rupiah (RM70,031) meletakkan ia hampir seperti Z900 yang dijual di sana pada harga 264.3 juta (RM77,150) sementara di Thailand pula, ZX-4R dijual pada harga 320,000 baht (RM41,500).

    GALERI: Kawasaki Ninja ZX-4RR pasaran Indonesia

     
     
  • MOT bakal perkenalkan aplikasi untuk batalkan pendaftaran kenderaan buruk atau rosak tanpa ke JPJ

    MOT bakal perkenalkan aplikasi untuk batalkan pendaftaran kenderaan buruk atau rosak tanpa ke JPJ

    Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang berusaha untuk membangunkan sistem melalui aplikasi secara dalam talian bagi tujuan pembatalan pendaftaran kenderaan motor. Perkara ini disahkan sendiri oleh Timbalan Menterinya, Datuk Hasbi Habibollah yang berkata, aplikasi berkenaan bertujuan untuk memudahkan mana-mana individu yang berhasrat untuk melupuskan kenderaan buruk atau yang telah rosak dengan membuat pembatalan pendaftaran kenderaan tanpa perlu hadir ke kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Memetik laporan Sinar Harian, Hasbi berkata, kenderaan yang dibatalkan pendaftarannya akan boleh dilupuskan oleh syarikat pelupusan sisa pepejal, Kemudahan Rawatan Automatif Berlesen (AATF) yang diiktiraf mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh agensi berkaitan.

    “Diharap dengan pelaksanaan inisiatif ini, ia akan dapat menyelesaikan itu lambakan kenderaan buruk dan usang di Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat pada pagi tadi bagi menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang memintanya menyatakan usaha-usaha kerajaan bagi menguruskan pelupusan kenderaan buruk dan kenderaan akhir hayat (ELV), di samping menjaga kelestarian alam sekitar.

    MOT bakal perkenalkan aplikasi untuk batalkan pendaftaran kenderaan buruk atau rosak tanpa ke JPJ

    Hasbi turut berkata, perkara melibatkan pelupusan kenderaan dan kelestarian alam sekitar bukan hanya terletak di bawah tanggungjawab MOT semata-mata tetapi turut melibatkan kementerian lain.

    Tambahnya, kerajaan memberi perhatian kepada isu lambakan kenderaan motor yang tidak lagi sesuai digunakan di atas jalan raya sama ada dari aspek keselamatan penggunaannya serta dari aspek pencemaran kepada alam sekitar.

    “Dalam hal ini, Kementerian melalui JPJ sedia bekerjasama dengan agensi kerajaan terlibat untuk mengkaji hala tuju jangka masa panjang mengenai perkara ini termasuk mengkaji konsep pelupusan kenderaan usang.

    “Pelaksanaan sistem pelupusan ini berupaya menyumbang kepada peningkatan tahap keselamatan jalan raya, mengurangkan pencemaran daripada kenderaan yang telah lama dan berusia serta merancakkan permintaan kenderaan yang akan menyumbang kepada kelestarian sektor automotif negara,” katanya.