Sebagai membuka penawaran terbaru bagi tahun 2020, Hong Leong Yamaha memperkenalkan skuter Yamaha XMax 2020 dengan tiga warna baru – putih, kelabu dan biru – serta dijual pada harga RM21,500 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.
Skuter automatik ini menggunakan enjin silinder-tunggal 250 cc empat-lejang yang menghasilkan 22.5 hp pada 7,000 rpm dan 24.3 Nm tork pada 5,500 rpm. Bahan api disampaikan melalui sistem suntikan minyak EFI, dengan enjin Blue Core Yamaha yang memberikan lebih penjimatan.
Kuasa disalurkan menggunakan sistem transmisi CVT tali sawat. Rim depan menggunakan saiz 15-inci dengan tayar bersaiz 120/70, sementara di belakang dengan rim 14-inci serta tayar bersaiz 140/70.
Kapasiti tangki minyak yang digunakan ialah 13.2 liter yang terletak di bawah tempat duduk (yang turut menyediakan ruang luas untuk membawa barangan).
Antara ciri standard lain termasuk operasi tanpa kunci, slot pengecas 12-volt, ciri ABS serta kawalan cengkaman. Sistem pencahayaan pula mengggunakan teknologi LED, manakala satu paparan LCD turut tersedia pada kokpit, diapit oleh dua meter analog untuk memamarkan maklumat tunggangan.
Sempena musim perayaan Tahun Baru Cina 2020 hujung minggu hadapan, pihak PDRM seperti tahun-tahun sebelumnya akan menjalankan Ops Selamat bermula dari 18 Januari hingga 1 Februari 2020. Dengan slogan “Khidmat dan Penguatkuasaan Menyeluruh”, edisi ke-16 operasi ini memberi tumpuan kepada enam kesalahan utama yang kerap dilakukan oleh pengguna jalanraya.
Ini termasuk memandu melebihi had kelajuan, memandu dalam lorong kecemasan, memotong digarisan berkembar, memotong barisan, melanggar lampu isyarat serta menggunakan peranti komunikasi ketika memandu. Semua kesalahan ini boleh dikenakan saman maksimum sehingga RM300.
Selain itu, bersekali dalam tempoh perlaksanaan Ops Selamat ini, PDRM turut menawarkan potongan harga sehingga 50% bagi saman trafik terpilih, khusus untuk pembayaran secara online sahaja, melalui laman web MyEG dan Rilex.com.
Sepanjang tahun 2019, jumlah perlanggaran maut yang berlaku dilaporkan menurun sebanyak 1.8%, dengan jumlah kes keseluruhan sebanyak 5,763 kes berbanding 5,870 kes pada 2018. Dalam Ops Selamat terakhir ketika musim perayaan Aidilfitri tahun lalu, sebanyak 24,461 kemalangan trafik dilaporkan.
Jika common sense ada di jual di kedai runcit atau pasaraya, agaknya itulah benda yang paling laku sekali; untuk dibeli dan digunakan ketika manusia moden berada di atas jalanraya – dan sekaligus menjadikan jalanraya kita lebih selamat.
Anda mungkin sudah membaca artikel kami berkaitan satu insiden di Ulu Yam (atau telah menonton videonya di media sosial). Jika insiden itu melibatkan pemandu kereta, sekarang kami ingin membawa kepada perhatian anda pula sebuah lagi rakaman sehari sebelum itu, tetapi melibatkan sekumpulan penunggang motosikal pula – untuk menunjukkan bahawa, tidak kira apa jenis kenderaan yang anda bawa atau pandu, common sense ini memang mahal harganya dan cara anda memandu/menungganglah yang akan memberi kesan kepada orang lain ketika di atas jalanraya.
Di dalam video ini, nasib mungkin menyebelahi semua kerana tiada perlanggaran yang berlaku (“kemalangan” sepatutnya merujuk kepada situasi yang berada diluar jangkaan, bukannya disebabkan oleh kecuaian manusia sendiri). Perhatikan cara kumpulan penunggang ini menghampiri selekoh; jika di litar, ia mungkin sesuatu yang cool dan menunjukkan bahawa anda tahu garis menunggang dan memasuki apex. Tetapi, jika itu dilakukan ketika di atas jalan dua hala dan “memakan” jalan orang lain, itu namanya sengaja mencari masalah.
Kerana, dalam keadaan laluan dua hala, anda tidak akan tahu seperti apa kenderaan yang datang dari arah bertentangan, apa lagi ketika berada di selekoh dengan sudut buta. Kalau dilihat dari sudut mada sekali pun, cara tunggangan kumpulan motosikal ini memang sangat merbahaya dan lebih penting, salah di sisi undang-undang.
Menunggan motosikal tidak menjadikan anda entitled untuk berbuat sesuka hati di jalanraya dan menganggap orang lain yang terpaksa memberikan laluan untuk anda. Situasi seperti di dalam video ini sangat biasa berlaku, misalnya ketika hujung minggu, di laluan Lebuhraya Karak atau naik ke Genting Highlands atau Bukit Tinggi.
Apa yang kami ingin sampaikan di sini sangat mudah dan jelas; jika ingin berlumba atau menunjuk kemampuan menunggang anda (yang pada kebanyakan waktu tidaklah seberapa itu), jalanraya bukan tempatnya. Anda mungkin merasakan diri hebat mengendalikan kenderaan, tetapi pengguna jalanraya yang lain tidak berkongsi pandangan yang sama. Tambahan pula, itu jalanraya atau lebuhraya awam, dan bukannya litar khusus.
Jangan berlumba di jalanraya terbuka. Untuk menunggang atau memandu laju, asalkan dalam keadaan selamat dan tidak menyusahkan orang, silakan. Tetapi perlu diingat, perbuatan itu masih salah disisi undang-undang; dan kalau kena saman, jangan nak merengek dan melantunkan ego ke merata hala. Kalau betul hebat, masuk litar.
Ada banyak acara yang dianjurkan kini yang membolehkan mana-mana penunggang untuk turut serta. Sebagai contoh, kita ada acara beberapa siri perlumbaan seperti Malaysia Speed Festival (MSF) atau Malaysian Superbikes (MSBK), dua perlumbaan yang diadakan di litar Sepang. Ada juga dalam skala yang lebih kecil, seperti BRAAAP Racing untuk jentera berkapasiti kecil. Memanglah ada bayaran dikenakan, itu pun tujuannya untuk memastikan keselamatan anda juga, bukan orang lain.
Motif atau kepentingan kami sebagai sebuah platform media automotif di Malaysia hanya satu, untuk membantu setakat yang termampu dalam menjadikan jalanraya kita lebih selamat. Apa pun yang anda ingin lakukan dijalanraya, tolong pastikan dulu bahawa perkara itu selamat untuk anda dan juga pengguna yang lain.
Selagi anda memandu atau menunggang dengan penuh tanggungjawab, jalanraya kita pasti akan menjadi lebih selamat. Ingin memandu laju? Terserah, tetapi janganlah sampai mengandaikan bahawa itu sesuatu yang tidak salah dari sudut undang-undang. Paling utama dan sangat pasti, tidak kira apa pun argumen anda, jalanraya bukanlah tempatnya untuk berlumba. Itu hanya untuk mempamerkan ego orang-orang yang hanya tahu pentingkan diri. Nak pilih yang mana?
Driven Movie Night kembali lagi, dan kali ini akan bawakan kepada anda kisah dua pembenteras jenayah, Mike Lowery dan Marcus Burnett yang dilakonkan oleh Will Smith serta Martin Lawrence, yang berganding bahu di layar perak melalui filem Bad Boys For Life.
Tayangan akan berlangsung pada 21 Januari 2020, dan anda berpeluang untuk menontonnya lebih awal bersama kami. Lapan pasang tiket ditawarkan untuk dimenangi, untuk 16 orang pembaca bertuah ehsan dari Sony Pictures Entertainment Malaysia. Anda juga berpeluang untuk memenangi cenderahati Bad Boys For Life.
Sertai peraduan ini sekarang untuk menonton aksi-aksi Lowery dan Burnett di dalam Bad Boys For Life. Ambil maklum bahawa filem ini adalah untuk tontonan 18 tahun ke atas, maka pihak pawagam berhak untuk menafikan kemasukan bagi penonton-penonton yang berusia di bawah 18 tahun.
* Tarikh akhir penyertaan ini ialah pada Jumaat, 17 Januari 2020. Pemenang akan diumumkan di laman paultan.org dan dimaklumkan melalui emel dan SMS pada Isnin, 20 Januari 2020. Keputusan adalah muktamad, dan sebarang bantahan tidak akan dilayan. Tayangan akan diadakan pada Selasa, 21 Januari 2020 jam 8.30 malam di GSC One Utama di Petaling Jaya. Pemenang perlu menuntut tiket mereka satu jam sebelum tayangan. Disebabkan lokasi tayangan ini, peraduan hanya terbuka kepada mereka yang berada di sekitar Lembah Klang sahaja.
Ferrari Portofino, yang diperkenalkan sebagai model pengganti kepada California T, pertama kali dipamerkan dipentas global ketika Frankfurt Motor Show 2017. Untuk pasaran Malaysia, ia diperkenalkan pada pertengahan 2018; membawakan imej supercar convertible yang hadir sekali dengan prestasi dinamik.
Ia menggunakan enjin V8 3.9 liter twin-turbo yang telah dipertingkatkan, antaranya dengan piston dan conrod baharu, serta sistem ekzos dan masukan udara yang direka semula. Dengan peningkatan berkenaan, Portofino dapat memberi pecutan dan maklumbalas lebih pantas di dalam semua kedudukan gear, bersama sistem Variable Boost Management yang melaraskan penyampaian tork bergantung kepada gear yang dipilih.
Berbanding California T, kuasa keseluruhannya juga telah dipertingkatkan sebanyak 40 hp, menjadi 600 hp pada 7,500 rpm dan 760 Nm tork antara 3,000 hingga 5,250 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi dwi-klac F1 tujuh-kelajuan. Ferrari juga mendakwa penggunaan bahan api menjadi lebih baik iaitu pada kadar 10.5 l/100 km. Jentera ini juga mampu memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 3.5 saat serta kelajuan maksimum yang dicapai sehingga 320 km/j.
Kami dekati model ini di dalam video pandu uji ini untuk melihat dengan lebih dekat keunikan dan prestasi yang ditawarkan oleh Ferrari Portofino. Silakan menonton.
Setelah dibuka tempahan sejak 21 November 2019, hari ini Mazda CX-30 telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia. SUV Crossover yang diasaskan dari Mazda 3 ini diposisikan di tengah antara model CX-5 dan CX3.
Menurut Bermaz, versi awalan ini adalah diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, dan mereka merancang untuk memproduksi CX-30 ini secara pemasangan tempatan (CKD) di kilang Inokom yang terletak di Kulim, Kedah pada masa akan datang.
Bagi pasaran tempatan, CX-30 hadir dengan pilihan enjin petrol dan diesel, ditawarkan dalam tiga varian berbeza. Untuk versi petrol, ia ditampilkan dengan enjin 2.0 liter NA, dibahagikan kepada dua varian iaitu 2.0 G SkyActiv-G 2WD dijual pada harga RM143,059 dan 2.0 G High SkyActiv-G 2WD berharga RM164,059. Bagi enjin diesel pula tampil dengan varian tunggal 1.8 D High SkyActiv-D 2WD yang dijual pada harga RM172,943.60. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.
Untuk versi petrol, ia dijanakan oleh enjin 2.0 liter SkyActiv-G dengan hamburan kuasa 163 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 213 Nm pada takat 4,000 rpm. Manakala bagi versi diesel, ia dipadankan dengan enjin 1.8 liter SkyAvtiv-D yang mampu menjana 116 PS pada takat 4,000 rpm dan tork maksima 270 Nm bermula 1,600 hingga 2,700 rpm.
Kedua-dua enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActive-Drive dengan mod manual, memacu roda hadapan. Kelajuan maksimum bagi enjin 2.0 liter ialah 196 km/j, manakala 183 km/j bagi diesel 1.8 liter. Kesemua model mempunyai tangki minyak berkapasiti 51 liter, dengan anggaran penggunaan untuk enjin petrol 2.0 liter sekitar 6.4 liter per 100 km, dan 4.9 liter per 100 km bagi diesel 1.8 liter.
Berbanding CX-5 yang tampil sebagai SUV sebenar, CX-30 lebih kepada crossover bagi Mazda 3 hatchback dengan tayar lebih besar dan suspensi lebih tinggi. Ia mempunyai ukuran dimensi 4,395 mm panjang, 1,795 mm lebar, 1,540 mm tinggi dan jarak antara roda 2,655 mm. Untuk memudahkan anda bayangkan saiznya, dimensi bagi CX-3 adalah 4,275 mm panjang, 1,765 mm lebar, 1,535 mm tinggi, bersama jarak roda 2,570 mm, manakala CX-5 pula adalah 4,550 mm panjang, 1,840 mm lebar, 1,675 mm tinggi bersama jarak roda 2,700 mm.
Masih mengekalkan bahasa rekaan Kodo, model asas 2.0 diberikan lampu hadapan LED, manakala versi 2.0 High dan 1.8D pula menerima lampu hadapan LED dengan pencahayaan signatur Mazda. Kesemua varian hadir standard dengan operasi dan larasan aras lampu hadapan automatik dan pengelap cermin automatik, tetapi hanya 2.0 High dan 1.8D diberikan lampu belakang LED dengan pencahayaan signatur.
Malah model asas 2.0 dipadankan dengan rim aloi 16-inci dengan tayar 215/65/R16, manakala model 2.0 High dan 1.8D diberikan rim aloi 18-inci dengan tayar 215/55R18.
Kedua-dua model tertinggi itu juga dilengkapi dengan sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin, pintu tailgate berkuasa serta sensor parkir hadapan dan belakang. Manakala ciri seperti cermin sisi berkuasa bersama lampu isyarat membelok, bumbung suria dan spoiler belakang merupakan ciri standard untuk semua varian.
Menjengah bahagian kabinnya, model asas 2.0 hadir dengan sistem pendingin hawa dan tempat duduk hadapan larasan manual, berbanding 2.0 High dan 1.8D yang diberikan sistem kawalan suhu automatik dua-zon lengkap dengan corong dan kawalan berasingan di belakang, tempat duduk pemandu larasan berkuasa 10-hala dengan memori dan upholsteri kulit hitam.
Bagi sistem hiburan, kesemua varian diberikan sistem infotainmen Mazda Connect dengan skrin 8.8-inci, fungsi kawalan menggunakan suara, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, Bluetooth serta boleh dikawal dengan suis Commander Control. Bunyi dari sistem tersebut disalurkan kepada lapan pembesar suara, dan skrin utama turut memaparkan imej dari kamera undur lengkap dengan garisan panduan.
Bagi aspek keselamatan, CX-30 ini dilengkapi dengan 7 beg udara (hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu), brek dengan sistem ABS, EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, isyarat berhenti kecemasan, brek parkir elektronik dengan auto hold dan kunci pintu automatik dan amaran pemakaian tali pinggang keledar untuk setiap tempat duduk dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX. Kesemua ciri tersebut adalah standard untuk ketiga-tiga varian.
Walau bagaimana pun, varian 2.0 High dan 1.8D didatangkan dengan ciri keselamatan tambahan termasuk lampu hadapan adaptif, kawalan lampu tinggi, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran perhatian pemandu, brek kecemasan autonomous (AEB) dan cruise control adaptif kawalan radar Mazda (MRCC).
Barisan Mazda CX-30 ini ditawarkan dengan lapan pilihan warna iaitu Soul Red Crystal, Machine Gray, Snowflake White Pearl, Deep Crystal Blue, Sonic Silver, Polymetal Gray, Titanium Flash dan Jet Black. Setiap pembelian akan dilindungi dengan waranti pengeluar selama lima-tahun/100,000 km dan juga pakej penyelenggaraan percuma selama lima-tahun.
Untuk perincian lanjut mengenai spesifikasi barisan Mazda CX-30, sila layari CarBase.my.
Kawasaki Heavy Industries (KHI) sememangnya sudah mempunyai pegangan ekuiti dalam Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), namun tahun lepas ia ditingkatkan kepada 30%. Berita ini turut manambahkan keterujaan kepada orang ramai dengan harapan model Kawasaki akan berada dalam pasaran dalam harga yang lebih murah.
Dalam perkembangan terbaru, semasa acara tunggang uji Pulsar NS200 ABS ke Melaka, ketua pegawai eksekutif Modenas, Roslan Roskan memberitahu para media bahawa tahun ini Modenas akan melancarkan beberapa model Kawasaki untuk pasaran Malaysia.
Tambah beliau, walaupun model-model ini akan dipasang oleh Modenas, pengguna tidak perlu risau berkenaan kualiti kerana ia akan mengikut spesifikasi teknikal dan berada di bawah seliaan KHI.
Berkenaan model dan segmen motosikal tersebut, ia tidak diberitahu, dengan jawapan masih dalam kajian, tetapi Roslan ada merujuk kepada model yang sudah sedia popular dalam pasaran Malaysia dan menyebut nama Ninja serta Versys.
Ini seterusnya menimbulkan pertanyaan lain, seperti apa pula tugas Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) selepas itu. Adakah syarikat itu turut akan mempunyai bahagian sendiri dalam kerjasama Modenas dan KHI? Mungkinkah juga (KMSB) cuma akan memasarkan model CBU selepas ini? Bersama kita tunggu pengumuman daripada KMSB pula selepas ini.
Sebuah lagi model yang baru diperkenalkan oleh Honda Big Wing untuk pasaran tempatan bersekali dengan model Honda GL1800 Gold Wing 2020 dan Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 2020 ialah model CRF1100 Africa Twin 2020 ini. Ada tiga varian yang ditawarkan; CRF1100L Africa Twin (RM98,888); CRF1100L Africa Twin Adventure Sports Manual (RM111,888); dan CRF1100L Africa Twin Adventure Sports DCT (RM117,888).
Banyak pembaharuan yang telah dilakukan kepada model kembara Honda ini. Antaranya ialah penggunaan enjin baru 1,084 cc parallel twin yang menghasilkan kuasa sebanyak 75 kW @ 7,500 rpm dengan tork maksimum 105 Nm pada 6,250 rpm. Kerangkanya juga dikemaskini dan dijadikan lebih ringan dan teguh sekaligus, dengan swingarm gaya sama seperti CRF450R yang turut dipertingkat.
Bagi mod tunggangan, tambahan terbaru ialah mod Off-Road; keseluruhannya kini ada empat mod termasuk Tour, Urban dan Gravel. Dua mod User juga tersedia untuk penunggang menentukan sendiri talaan individu yang ingin disimpan. Paparan Multi Information Display (MID) pada kokpit adalah dari jenis TFT-LCD bersaiz 6.5-inci dengan ciri skrin sentuh. Tidak ketinggalan, ia turut mempunyai sokongan bagi Apple CarPlay serta sambungan Bluetooth.
Selain itu, bahagian ekzos kini menampilkan ciri Exhaust Control Valve (ECV) bagi mengoptimumkan bunyi ketika rpm rendah dan prestasi ketika rpm tinggi. Untuk membantu menjadikan kawalan tunggangan lebih selamat, ABS ketika di selekoh menjadikannya lebih meyakinkan.
Tambahan ciri terbaru yang perlu juga disebutkan ialah Inertia Measurement Unit (IMU) six-axis yang bukan hanya mengawal Honda Selectable Torque Control (HSTC) tujuh-tahap, tetapi juga termasuk beberapa ciri terbaru untuk model 2020 ini seperti Wheelie Control tiga-tahap, Cornering ABS seperti yang dinyatakan tadi (dengan talaan off-road), Rear Lift Control serta pengesan selekoh DCT.
Bagi varian Adventure Sports pula, beberapa peningkatan daripada varian biasa ini telah diberikan. Antaranya kapasiti tangki minyaknya adalah lebih besar, iaitu 24.8L dan mampu memberikan jarak perjalanan lebih 500 km. Kesan tampanan angin juga lebih baik, disumbangkan oleh panel sisi pada fairing, manakala ketinggian skrin juga boleh dilaraskan.
Selain itu, penghadang bahagian enjin juga lebih besar, kotak barangan aluminium di belakang serta penggunaan tayar tanpa tiub juga antara kemaskini yang diberikan. Juga ditawarkan sebagai ciri standard ialah pengecas ACC serta pemegang dengan ciri pemanas. Suspensi depan dan belakang model ini pula datang dengan Showa EERA sebagai standard, dengan empat mod sedia ada untuk penunggang; Soft, Mid, Hard dan Off-Road sebagai pilihan – tidak lupa juga mod User untuk talaan persendirian penunggang.
Versi Adventure Sport ini juga dilengkapi dengan ciri lampu selekoh tiga-tahap, yang diselenggarakan oleh IMU yang sama, bertindak melaraskan capahan cahaya berdasarkan sudut motosikal ketika di selekoh. Versi Adventure Sport ditawarkan dalam warna eksklusif Pearl Glare White Tricolour, manakala versi biasa pula hanya dalam warna Grand Prix Red. Semua model ini akan berada mula berada di bilik pameran Honda Big Wing pada suku kedua 2020. Mana satu yang diidamkan?
Honda CRF1100L Africa Twin 2020 Manual
Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports DCT 2020
Bagi pemilik kenderaan “import terpakai” (atau import persendirian), penyelenggaraan dan jaminan merupakan perkara utama yang akan menentukan kualiti pengalaman pemilikan kenderaan tersebut. Terdapat banyak sebab mengapa pelanggan membeli kenderaan bukan daripada pengedar rasmi, tetapi jika anda inginkan jaminan serta perlindungan dan servis rasmi, apa pilihan yang ada?
Di sinilah Audi Conformity Check memainkan peranannya. Ia merupakan sebuah rutin yang melibatkan pemeriksaan 300-perkara dan dilakukan oleh juruteknik bertauliah untuk memastikan kenderaan Audi anda selamat untuk dipandu. Sebaik sahaja kenderaan Audi berkenaan disahkan atau diiktiraf, pemilik akan menerima Audi Conformity Certificate, kad keahlian dan pelekat.
Manfaat yang akan diperolehi sebagai sebahagian daripada program Audi Conformity Check ini termasuk pendaftaran lokasi kenderaan anda ke dalam pangkalan data Audi, yang akan membolehkan sebarang penyempuraan servis atau kempen panggilan semula dilakukan dengan segera, penyelenggaraan pencegahan serta kemaskini perisian untuk memastikan kenderaan Audi anda sentiasa berada di dalam keadaan terbaik.
Sebagai tambahan, pelanggan boleh menikmati harga yang sama untuk servis dan baik pulih seperti yang diterima oleh mana-mana kenderaan Audi yang dijual oleh pengedar sah di Malaysia. Ini juga akan menyumbang kepada nilai jualan semula yang lebih baik, akses kepada pakar-pakar bertauliah Audi, maklumat secara langsung terhadap tawaran istimewa dan acara berkaitan, serta yang paling penting, pemilik tidak perlu runsing atau risau lagi untuk memiliki kenderaan Audi dari saluran mana pun.
Bukan itu saja, turut ada hadiah yang ditawarkan; bagi 10 pelanggan pertama yang mengesahkan kenderaan Audi “import terpakai” mereka di bawah program Audi Conformity Check ini, mereka akan menerima hadiah berupa penginapan satu malam di Ritz-Carlton. Pelanggan yang lain pula boleh menebus cenderahati Audi yang terdiri daripada kotak barangan boleh lipat atau nombor plat Audi Sport.
Berminat untuk memberikan yang terbaik kepada kendearan Audi “import terpakai” anda? Daftar minat anda untuk Audi Conformity Check di sini dan nikmati potongan RM100 daripada nilai sebenar RM988 ketika anda memandu uji model Audi yang baru. Lekas, dan jangan ketinggalan untuk merebut tawaran yang diberikan ini!
Maserati telah memperkenalkan siri istimewa Royale baharu, dengan barisan Quattroporte, Ghibli dan Levante secara ekslusif untuk 100 pelanggan yang berminat. Hanya model V6 sahaja yang menerima sentuhan Royale, dengan penawaran enjin 3.0 liter V6 diesel (275 hp), dan juga 3.0 liter V6 petrol (kedua-duanya dengan talaan 350 hp dan 430 hp).
Sebagai permulaan, model Royale menerima dua tona warna biru dan hijau unik – Blu Royale dan Verde Royale. Ketiga-tiga model tersebut juga akan dipadankan dengan roda aloi Anteo 21-inci buatan-khas, dengan Levante turut menerima kemasan Anthracite, sementara kedua-dua sedan pula dengan kemasan Titanium. Kesemua model turut didatangkan dengan kaliper brek perak.
Di dalamnya, ia dipadankan dengan kemasan GranLusso, dan juga boleh didapati dengan kulit Zegna PelleTessuta Cuoio (kulit woven) atau dua tona Pione Fiore. Kemasan kulit dibuat secara eksklusif untuk Maserati dan direka dengan menggunakan jaluran nipis kulit Nappa untuk menghasilkan “fabrik ultra-mewah” yang lebih ringan, lembut dan tahan lama.
Selain itu, terdapat serlahan berkilat di dalam kereta, termasuklah plak “One of 100” untuk melengkapkan gaya kabin. Ciri lain termasuk sistem bunyi Bowers & Wilkins, bumbung matahari berkuasa, dan lapisan cermin privasi. Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan paparan skrin sesentuh Maserati Touch Control Plus 8.4-inci, kawalan HVAC, operasi ‘sun blind’ serta ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Untuk keselamatan, Royale Special Series didatangkan dengan Cold Weather, Premium dan Driving Assistance Plus Packages secara standard. Ia turut menampilkan Sistem Bantuan Pemanduan Termaju yang merangkumi Kawalan Kelajuan Adaptif dengan fungsi Stop & Go, Bantuan Kekal Lorong, Kamera Pandangan Sekeliling, Sistem Bantuan Lebuhraya, Bantuan Titi Buta Aktif, Pengesanan Isyarat Trafik dan Amaran Pelanggaran Hadapan.
Penghantaran pertama dijadualkan pada Mac 2020, dan tempahan bagi edisi terhad Royale ini telah pun dibuka. Harga untuk Ghibli Royale bermula pada £78,900 (RM416k), £85,300 (RM450k) untuk Levante, dan £103,150 (RM544k) bagi Quattroporte.
BMW 330i M Sport G20 kini sudah ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan. Berbeza dengan harga unit CBU sebelum ini yang dijual pada RM328,800, model CKD sebaliknya sekitar RM40,000 lebih murah dengan tanda harga RM288,800.
Walaupun lebih murah, senarai penawaran kekal sama, melainkan ciri BMW ConnectedDrive Services. Luarannya tampilkan dengan pakej M Sport, dengan lampu utama LED adaptif dan lampu kabus LED, serta roda aloi Style 790 M jejari berkembar Orbit Grey 18-inci, dengan tayar run-flat.
Manakala di dalam, ia digandingkan dengan sistem infotainmen BMW Live Cockpit Professional, bersama skrin tengah 10.25-inci dan paparan instrumen digital-sepenuhnya 12.3-inci serta reverse-direction rev counter. Model ini menggunakan enjin petrol B48 2.0 liter pengecas turbo menjadi nadi utama, mampu menghasilkan 258 hp pada 5,000 rpm dan tork 400 Nm dari 1,550 hingga 4,400 rpm.
Dipadankan dengan transmisi ZF automatik lapan-kelajuan, membolehkannya memecut dari titik sifar ke 100 km/j dalam 5.8 saat dan penggunaan bahan api dianggarkan sekitar 5.8 hingga 6.1 liter untuk setiap 100 km. Suspensi M Sport pasif masih kekal. Untuk tahu lebih lanjut berkaitan BMW 330i M Sport G20, tonton video yang kami sediakan ini.
Bagi memantau pergerakan trafik di beberapa lokasi di lebuhraya kendaliannya sempena perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengambil pendekatan untuk menggunakan teknologi dron.
Menurut Pengerusi PLUS, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif, penggunaan teknologi dron itu bertujuan memberi maklumat semasa pergerakan dan kelancaran trafik di lebuh raya selain mengoptimumkan penggunaan media sosial.
Untuk musim perayaan CNY ini, PLUS menjangkakan kira-kira dua juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya kendaliannya pada hari puncak sepanjang cuti berkenaan dengan peningkatan sebanyak 18% berbanding 1.7 juta pada hari biasa.
“Berdasarkan kajian dan analisis, PLUS menjangkakan jumlah kenderaan di lebuh raya akan berada pada tahap tertinggi pada 22 hingga 28 Jan serta 31 Jan dan 1 Feb ini,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.
Ditemui dalam Majlis Pelancaran Op Selamat 16/2020 sempena Tahun Baharu Cina di Persada PLUS pagi tadi, beliau turut berkata, seramai 5,000 kakitangan PLUS akan bertugas pada musim perayaan itu bagi memastikan trafik terkawal di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.
“PLUS dengan kelulusan Polis Diraja Malaysia akan membuka laluan kontra di lokasi tertentu, namun ia bergantung kepada keperluan dan keadaan trafik. Selain itu, kerja-kerja penyelenggaraan yang memerlukan penutupan lorong akan dihentikan sementara bagi membolehkan pengguna jalan raya menikmati perjalanan tanpa gangguan,” katanya.
Dalam pada itu, PLUS juga menasihati orang ramai mengikut Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi membantu pengguna lebuh raya merancang perjalanan balik kampung masing-masing.
Sempena dengan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) yang bakal disambut hujung minggu hadapan, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) akan menambah dua unit perkhidmatan kereta api (ETS) baharu bagi memenuhi permintaan yang lebih tinggi.
Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, perkhidmatan ini akan disediakan untuk laluan KL Sentral-Butterworth, Padang Besar.
“Kita telah mendapat kelulusan untuk kedua-dua set kereta api baharu ini yang boleh digunakan serta merta bagi tempoh lima hari dari 20 hingga 24 Januari (KL Sentral – Butterworth, Padang Besar) dan dari 27 hingga 31 Januari (Butterworth, Padang Besar-KL Sentral),” katanya seperti yang dilaporkan menerusiBernama.
Jelasnya, terdapat penambahan tempat duduk sebanyak 12,480 termasuk 1,440 bagi kelas perniagaan. Bagi yang mahu menggunakan perkhidmatan ETS untuk pulang ke kampung halaman atau mana-mana destinasi pilihan sempena CNY, tiket boleh dibeli mulai hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan juga telah memaklumkan, KTMB akan melaksanakan kadar tambang fleksi mulai 1 Mac ini. Di mana tambang ditentukan berdasarkan pilihan perjalanan penumpang, di samping itu, ia akan memberi mereka peluang untuk membuat pelan perjalanan dan pilihan mengikut keperluan mereka. Tiket tambang Flexi akan dibuka mulai 15 Jan ini untuk perjalanan di antara 1 hingga 31 Mac.
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 50% bagi pembayaran saman trafik secara dalam talian bermula dari 18 Jan hingga 1 Feb ini.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, pihaknya akan lebih menekankan e-pembayaran bagi mana-mana pihak untuk melunaskan saman-saman tertunggak terutama sempena musim perayaan ini.
“Tapi kali ini saya cuba beri diskaun istimewa iaitu sebanyak 50%. Ini tidak pernah kami buat maka saya fikirkan ‘bayaran dalam talian’ yang tidak memerlukan anda semua berbaris sehingga berjam lamanya.
Anda semua boleh membuat pembayaran secara dalam talian dengan MyEg dan Rilex.com,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.
Azisman turut memaklumkan kadar kemalangan maut pada tahun 2019 dilaporkan turun sebanyak 1.8%, dengan sejumlah 5,763 kes berbanding 5,870 kes pada tahun 2018.
“Ini merupakan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) JSPT yang kami berjaya turunkan sebanyak 107 jumlah kemalangan maut, atau 1.8 peratus. Walaupun jumlah kecil tapi ini KPI kita, dan kami berharap jumlah ini semakin berkurang setiap tahun,” katanya.
Pasukan Mellors Elliot Motorsport (MEM) yang membina jentera rali Proton Iriz R5 telah membawa kereta tersebut ke Autosport International Show 2020 hujung minggu lalu, yang diadakan di National Exhibition Centre, Birmingham, UK. Apa yang menarik, Iriz R5 kini mengenakan livery baharu bagi menggantikan grafik berwarna oren jenama minuman keras Thornbridge Brewery sebelum ini.
Pelekat Thornbridge masih lagi ada pada bonet hadapan kereta ini, tetapi mungkin MEM telah mendapat tajaan pihak lain yang lebih besar, rekaan livery tersebut perlu diubah semula. Ia kini menerima warna putih di atas dan kuning yang seiras kuning jentera MEM untuk Kejuaraan Rali Dunia (WRC) sebelum ini, Proton Satria Neo S2000 mendominasi bahagian bawah badan.
Juga, logo Proton Motorsport dibintangi kepala harimau ‘Thundercats’ kini mendominasi bahagian sisi kereta ini, yang mungkin memberikan jawapan siapa yang menjadi penaja utama mereka sekarang. Hanya satu gambar yang sisi yang disiarkan oleh MEM setakat ini dan kurang jelas pelekat-pelekat penaja lain mereka, kecuali logo tayar yang sinonim dengan dunia rali iaitu MRF.
MEM juga hanya menyatakan mereka “teruja untuk 2020 dan rancangan penuh akan didedahkan dalam masa terdekat”. Adakah jentera ini sempat untuk menyertai pusingan pertama WRC di Monte Carlo pada penghujung bulan ini? Sama-sama kita nantikan.
Proton Satria Neo S2000 yang juga dihasilkan oleh MEM untuk bertarung di WRC
MEM mula membangunkan Proton Iriz R5 ini sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11 yang hampir sama dengan enjin Mitsubishi Lancer Evo X (juga asas untuk enjin Proton Inspira) yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5, digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.
Untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth. Kereta ini telah pun menerima homologasi penuh dari FIA pada Mac tahun lalu bagi membolehkan ia mengambil bahagian dalam mana-mana pusingan Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2.