Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Audi bakal buka balik kilang di Eropah hujung April ini

    Audi bakal buka balik kilang di Eropah hujung April ini

    Audi mengesahkan kilang pembuatannya di Eropah akan kembali beroperasi pada hujung Aprl ini, dan kini sedang mengambil langkah awal untuk memperkenalkan langkah berjaga-jaga bagi menjamin kesihatan dan keselamatan pekerjanya.

    Pengerusi majlis pekerja am, Peter Mosch berkata, “Ia (pembukaan semula operasi) akan disertakan dengan pakej langkah komprehensif bagi memastikan kesihatan pekerja dilindungi.” Ini termasuklah peraturan penjarakkan dan kebersihan, serta mewajibkan pemakaian penutup mulut dan hidung.

    Bukan itu sahaja, ruang kerja kritikal juga telah dipasang penghadang fizikal. Sebagai contoh, pekerja di bahagian pemasangan pintu (seperti foto di bawah) selalunya berkedudukan rapat antara sama lain, walau bagaimana pun, kini pihak kilang telah memasang penghadang lut sinar yang diperbuat daripada kepingan plastik untuk melindungi mereka antara satu sama lain.

    Audi bakal buka balik kilang di Eropah hujung April ini

    Audi turut mendakwa telah pun membangunkan solusi bagi semua bahagian, termasuk ruang berkumpulan, pintu masuk kilang, ruang parkir dan trafik dalam kilang, serta katering dan restauran dalam kilang.

    Semua pekerja juga telah dimaklumkan mengenai perkara ini, dan akan menerima arahan keselamatan komprehensif daripada ketua masing-masing kelak. Bagi yang tidak terlibat dengan bahagia produksi, terus bekerja dari rumah.

    “Bahagian produksi kenderaan akan beroperasi semula akhir April ini jika mengikut perancangan asal. Manakala produksi enjin di Gyor telah pun bermula minggu ini. Bagi pekerja di kilang di Jerman yang dapat meneruskan pekerjaan mereka semula dengan peraturan waktu kerja singkat akan diteruskan buat masa itu,” ujar syarikat pengeluar tersebut dalam satu kenyataannya baru-baru ini.

     
     
  • Porsche jual 53,125 buah kenderaan sepanjang tiga bulan pertama 2020 – kurang 5% berbanding 2019

    Porsche jual 53,125 buah kenderaan sepanjang tiga bulan pertama 2020 – kurang 5% berbanding 2019

    Porsche telah mengumumkan jumlah jualan global bagi suku pertama tahun 2020, di mana mereka berjaya menjual 53,125 buah kenderaan. Jumlah ini bersamaan dengan penurunan cuma 5% berbanding tempoh sama pada tahun 2019, dengan China dan Amerika Syarikat terus menjadi pasaran paling kuat bagi jenama ini.

    Di China, Porsche menjual 14,098 buah kenderaan, menjadikan negara itu sebagai pasaran paling besar sepanjang suku pertama ini. Di Amerika Syarikat pula, 11,994 buah kenderaan berjaya dijual, diikuti oleh Jerman dengan 5,214 buah. Secara keseluruhan, 16,787 buah kenderaan yang dijual adalah untuk pasaran Eropah sementara 22,031 lagi dihantar ke Asia Pasifik, Afrika dan Timur Tengah.

    Model Porsche paling popular adalah SUV Cayenne, dengan keseluruhannya mencatat 18,417 buah, diikuti Macan 15,547 buah dan 911 8,482 buah – bersamaan peningkatan 16% berbanding tempoh sama pada tahun 2019 (model generasi 992 mendapat permintaan lebih baik). Taycan yang mula dijual pada tahun 2019 pula mencatat jumlah 1,391 buah.

    Porsche jual 53,125 buah kenderaan sepanjang tiga bulan pertama 2020 – kurang 5% berbanding 2019

    “Kami tidak bersendirian dalam merasakan kesan krisis coronavirus kepada penghantaran kami. Tetapi fokus kami sekarang adalah untuk berdiri sama dengan rakan kerja perniagaan di seluruh dunia. Dengan adanya kerjasama, kami boleh bertindak pantas dan mengambil langkah sewajarnya untuk pembangunan seterusnya,” kata ahli lembaga pengarah bahagian jualan dan pemasaran Porsche AG, Detlev von Platen.

    “Selepas suku pertama yang mencabar ini, kami sekarang bersiap sedia untuk memulakan semula pengeluaran. Keutamaan kami sekarang sudah tentu adalah kesihatan pekerja, pekerja rakan runcit dan pelanggan. Kami yakin keadaan akan bertambah baik kerana kami sudah nampak pasaran China kembali pulih; hampir semua Porsche Center di sana telah dibuka,” tambah Detlev.

     
     
  • PKP: 185 orang didakwa semalam; kena hukuman penjara atau disaman — tindakan lebih serius fasa tiga

    PKP: 185 orang didakwa semalam; kena hukuman penjara atau disaman — tindakan lebih serius fasa tiga

    Setakat Isnin, 20 April 2020, seramai 185 orang telah didakwa di beberapa negeri atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lapor Bernama. Ini sekali gus menunjukkan, sepanjang fasa tiga PKP, tindakan yang diambil terhadap mereka yang ingkar juga semakin diperketat.

    Di Pahang misalnya, 14 orang telah didakwa di Mahkamah Majistret Raub, dengan enam daripada mereka termasuk seorang warga asing telah dikenakan saman RM700 atau 14 hari penjara kerana menggali emas di hutan simpan Kekal Tersang di Batu Talam pada 16 April lalu. Lapan lagi individu berusia antara 32 hingga 52 tahun disaman RM600 atau 10 hari penjara setiap seorang kerana didapati membuka gerai tepi jalan di Kampung Gali Tengah, pagi semalam.

    Di Kedah, 23 lelaki dikenakan hukuman tujuh hari penjara dan disaman RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Petani atas kesalahan melepak dan kesalahan-kesalahan lain yang dilakukan antara 27 Mac hingga 13 April. Sementara itu, seorang pengarah syarikat kitar semula pula telah dijatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan saman RM1,000 kerana membenarkan dua pekerjanya berkerja ketika PKP.

    Di Terengganu, 27 lekaki didakwa di Mahkamah Kuala Terengganu. Antara kesnya ialah seorang lelaki yang disaman RM5,000 atau tiga bulan penjara kerana engguna seorang pegawai polis ketika ditahan di sebuah sekatan jalan raya. Antara alasan yang diberikan oleh lain-lain pesalah pula ialah ingin ke kelas mengaji, menghantar burger dan pergi membuang sampah.

    PKP: 185 orang didakwa semalam; kena hukuman penjara atau disaman — tindakan lebih serius fasa tiga

    Sementara itu di Pulau Pinang, 37 orang termasuk tiga wanita telah disaman RM1,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret Butterworth atas pelbagai kesalahan melanggar PKP. Di Selangor pula, 44 individu didakwa di dua mahkamah berasingan, termasuk 41 orang warga Myanmar yang terlibat dalam perayaan festival air di Bandar Baru Salak Tinggi ketika PKP, baru-baru ini. Mereka dikenakan saman RM1,000 atau penjara sebulan setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Sepang.

    Sementara itu di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, dua warga Indonesia dipenjara tiga bulan, sementara seorang warga tempatan disama RM800 atau penjara tiga bulan kerana berkeliaran tanpa sebarang alasan kukuh. Di Kuala Lumpur pula, 33 orang termasuk beberapa orang warga asing didakwa di tiga mahkamah atas kesalahan sama. Sebahagiannya disaman antara RM800 hingga RM2,000, dan beberapa lagi dipenjara antara enam hari hingga dua bulan.

     
     
  • Polis ekori pemuda beri alasan palsu ketika sekatan jalan PKP, temui pusat operasi judi atas talian

    Polis ekori pemuda beri alasan palsu ketika sekatan jalan PKP, temui pusat operasi judi atas talian

    Kerana menipu polis dengan memberikan alasan palsu telah menyebabkan seorang pemuda mungkin berhadapan hukuman lebih berat selain ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), setelah polis berjaya menemui premis kedai judi dalam talian, tempat pemuda berkenaan bekerja, lapor Astro Awani.

    Kejadian tersebut berlaku di Alor Star malam tadi, setelah polis mengambil keputusan untuk mengekori ke mana pemuda berusia 22 tahun itu pergi, selepas mencurigai alasannya yang mengatakan bahawa dia menerima arahan untuk ke kedai telefon bimbit milik majikannya di Kuala Sungai yang telah disamun.

    Sebaik tiba, polis mendapati premis yang didakwa sebagai kedai telefon adalah kedai judi dalam talian dan selepas siasatan dia mengaku bekerja di situ.

    Walau bagaimanapun, laporan berita ini hanya menyebut bahawa Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan suspek ditahan kerana ingkar (PKP) dan akan disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan Peraturan 3(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

     
     
  • Harga minyak mentah di US merudum paling rendah dalam sejarah – negatif US$37.63, jatuh lebih 300%

    Harga minyak mentah di US merudum paling rendah dalam sejarah – negatif US$37.63, jatuh lebih 300%

    Industri minyak antarabangsa minggu ini menyaksikan satu perkembangan yang luar biasa; di Amerika Syarikat, harga minyak mentah bagi West Texas Intermediate (WTI) yang akan tamat pada Mei menyaksikan kejatuhan mendadak lebih 300% kepada negatif US$37.63 setong pada Isnin – ini harga paling rendah yang pernah direkodkan.

    Sementara itu, harga minyak mentah Brent, yang diguna-pakai oleh kebanyakan negara-negara pengeluar minyak sebagai penanda aras, menurun dengan margin yang ketara iaitu 8.9% kepada US$25.57 bagi setong. Kejatuhan harga ini adalah akibat kesan penularan wabak Covid-19 ketika ini.

    Baru-baru ini, OPEC+, yang terdiri daripada OPEC, serta Rusia dan juga negara-negara pengeluar minyak lain telah bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran minyak mentah global menjadi 9.7 juta tong sehari bermula Mei tetapi ini masih tidak cukup untuk menaikkan semula harga di pasaran.

    Di Amerika Syarikat, penurunan mendadak harga minyak mentah WTI adalah disebabkan hal teknikal, memandangkan kontrak penghantaran bagi bulan Mei tamat pada Selasa, 21 April 2020, yang menjadi hari terakhir pengeluar boleh meniagakan minyak yang dijadualkan penghantarannya bulan depan (Mei), ketika simpanan minyak bagi WTI dijangka menghampiri hadnya.

    Harga negatif bagi WTI Mei ini bermaksud ada beberapa pembeli bagi komoditi berkenaan dan pengeluarnya akan membayar peniaga untuk mengurangkan minyak dalam simpanan mereka. Bagaimanapun, ini tidak dicerminkan di dalam WTI bulan Jun, yang akan menjadi harga default minyak WTI bermula hari ini – yang berada lebih tinggi daripada US$20 setong pada Isnin.

     
     
  • Hyundai Veloster N 2020 – tampil dengan pilihan kotak gear DCT lapan-kelajuan baharu yang lebih pantas

    Hyundai Veloster N 2020 – tampil dengan pilihan kotak gear DCT lapan-kelajuan baharu yang lebih pantas

    Ini mungkin berita yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang ‘geram’ dengan jentera N Hyundai, tetapi tak berminat nak pijak pedal klac dan tolak tombol gear sendiri – Hyundai sudahpun mendedahkan versi kemaskini Veloster N 2020 untuk pasaran Korea, dan ia kini hadir dengan pilihan kotak gear klac berkembar automotik DCT 8-kelajuan baharu!

    Selain tidak perlu mengimbangi pedal klac secara manual, serta didakwa Hyundai akan memberikan pemanduan lebih seronok, selesa dan efisien, versi dengan kotak gear DCT ini juga sebenarnya lebih pantas – pecutan 0-100 km/j kini dicatatkan pada 5.6 saat, atau 0.5 saat lebih pantas dari versi kotak gear manual enam-kelajuan, walaupun enjin 2.0 liter dengan pengecas turbo dan sistem suntikan terus masih menghasilkan 275 hp/353 Nm.

    Dengan transmisi baharu ini juga, Veloster N menerima satu lagi mod iaitu N Grin Shift (NGS), yang bukan sahaja meningkatkan tahap responsif kotak gear tersebut, ia turut berhubung dengan fungsi overboost pada enjin yang memberikan tujahan tork sehingga 377 Nm dalam masa 20 saat apabila diperlukan.

    Hyundai Veloster N 2020 – tampil dengan pilihan kotak gear DCT lapan-kelajuan baharu yang lebih pantas

    Manakala dalam mod paling hardcore iaitu mod N, model dengan kotak gear automatik ini juga diberikan fungsi N Power Shift (NPS), yang akan memberikan tukaran naik gear berdasarkan kelajuan enjin, serta memberikan karekter penukaran yang lebih agresif.

    Kereta ini juga mampu untuk mengesan sekiranya ia dipandu di dalam litar berdasarkan pecutan dan brek lebih agresif yang diberikan pemandu. Jika ia dikesan, fungsi N Track Sense Shift (NTS) pula akan diaktifkan – ia akan menurunkan gear setiap kali kereta sedang nyah pecut, dan Hyundai mendakwa ia seperti tindakan seorang pelumba profesional serta mampu memberikan catatan waktu dalam litar lebih baik berbanding Veloster N manual.

    Walau bagaimanapun, penggunaan kotak gear lebih kompleks ini menyebabkan kereta berkenaan diberikan berat tambahan sebanyak 50 kg. Jadi, bagi memastikan keseimbangan beratnya masih dalam keadaan yang baik, Hyundai telah memberikan talaan suspensi termasuk spring, bump stop, penyerap hentak, bar anti-oleng dan larasan sudut camber isitimewa untuk Veloster N DCT ini.

    Selain itu, model kemaskini berkenaan turut diberikan pilihan tempat duduk bucket yang lebih 2 kg lebih ringan serta datang dengan balutan Alcantara dan lencana N yang menyala. Selepas ini, Veloster N 2020 turut akan diperkenalkan ke pasaran lain di luar Korea Selatan. Dan berkemungkinan, kotak gear sama turut akan ditawarkan pada model-model N lain seperti i30 N Hatchback dan i30 N Fastback kerana kedua-dua model ini masih menggunakan enjin yang sama.

     
     
  • TVS beli Norton, pengeluaran kekal di United Kingdom

    TVS beli Norton, pengeluaran kekal di United Kingdom

    Jenama motosikal terkemuka dari United Kingdom (UK), Norton Motorcycles sudah bergelut dengan masalah kewangan agak lama dan sekarang ia telah pun dibeli oleh salah satu syarikat pengeluar motosikal terbesar di India iaitu TVS Motorcycles dengan harga 16 juta pound sterling (RM87.41 juta).

    Laporan media di UK menyatakan individu yang dinamakan sebagai pengarah untuk Norton sekarang terdiri daripada K N Radhakrishnan, iaitu Presiden dan CEO TVS, serta Sharad Mohan Mishra yang juga adalah Presiden Strategi Kumpulan TVS Motor Company.

    Perancangan masa hadapan Norton di bawah pemilikan baru ini masih belum diumum namun dalam laporan carandbike.com, Pengarah Urusan Bersama TVS, Sudarshan Venu menyatakan bahawa fasiliti rekaan dan pemasangan Norton masih akan kekal di Donington Park tetapi di premis yang baru.

    “Kami akan mengambil alih semua pekerja kecuali beberapa sahaja, iaitu pengurusan lama. Pasukan rekaan dan pemasangan yang cukup kuat akan berada di bawah kami, dan kami akan menggunakan kekuatan mereka dan bekerjasama untuk menghasilkan lebih banyak motosikal jenama ini,” kata Sudarshan.

    Beliau juga memberitahu setakat ini tiada perancangan untuk menghasilkan motosikal Norton berkapasiti rendah, dan memberitahu antara fokus sekarang adalah untuk meneruskan legasi serta produk yang ada serta membina semula nama Norton sebagai jenama motosikal premium.

     
     
  • Kementerian Pengangkutan keluarkan garis panduan untuk perkhidmatan penghantaran bermotosikal


    klik untuk besarkan

    Sepanjang tempoh kawalan pergerakan (PKP) ini, penghantaran bermotosikal adalah antara khidmat yang beroperasi aktif setiap hari bagi memudahkan orang ramai. Bagi memastikan mereka yang terlibat dalam industri ini serta orang ramai tidak terkesan dengan penyebaran wabak Covid-19, kementerian pengangkutan (MOT) telah mengeluarkan garis panduan khas terutamanya untuk penghantar bermotosikal.

    Kebanyakan perkara yang dinyatakan dalam garis panduan ini adalah perkara asas yang sepatutnya sudah diketahui (seperti mempunyai lesen, insurans dan mematuhi peraturan jalan raya lain), tetapi ia boleh dirujuk semula dan diberikan perhatian supaya tidak timbul sebarang masalah. Ada 16 perkara yang dinyatakan dalam garis panduan ini tetapi kami nyatakan beberapa yang penting di sini.

    • Mementingkan soal kesihatan, mengamalkan penjarakan sosial, menggunakan transaksi tanpa sentuhan, memakai topeng muka dan menggunakan pembasmi kuman.
    • Menjalankan proses pembasmian kuman pada kotak penghantaran setiap hari mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM).
    • Beri kerjasama sepenuhnya kepada KKM untuk mengesan hubungan sekiranya ada pekerja yang dijangkit Covid-19.
    • Penunggang tidak dibenarkan meneruskan khidmat sekiranya dijangkiti Covid-19 atau mempunyai simptom.
    • Dinasihatkan tidak menggunakan lebuh raya antara negeri untuk penghantaran lebih 10 km dan tidak memasuki zon merah.
    • Hanya boleh beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam dan barangan yang dibawa tertakluk kepada zon yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
    • Sentiasa membawa surat pengesahan syarikat atau surat pendaftaran dengan PBT.
    • Diwajibkan muat turun dan mendaftar di aplikasi mySejahtera (mysejahtera.malaysia.gov.my) dan menunjukkan bukti pendafataran kepada pihak berkuasa.

    Sekiranya terdapat sebarang aduan atau pertanyaan, anda boleh menghubungi MOT melalui emel ke [email protected], WhatsApp ke 0192907723, hubungi talian hotline MOT di 1800887723 atau Pusat Pengurusan Operasi Negara, Majlis Keselamatan Negara di 0388882010.

     
     
  • Ford Mustang kekal kereta sport paling laris di dunia tahun ke-5 berturut-turut, sejak dieksport pada 2015

    Ford Mustang kekal kereta sport paling laris di dunia tahun ke-5 berturut-turut, sejak dieksport pada 2015

    Selepas diperkenalkan buat pertama kali diperkenalkan pada tahun 1964, Ford Mustang hanya memenuhi “American Dreams” kerana muscle car berkenaan hanya dibuat khas untuk pasaran negara Uncle Sam tersebut. Mustang terus digilai di pasaran berkenaan dan diiktiraf sebagai kereta sport paling laris di Amerika Syarikat selama 50-tahun.

    Namun, Ford mengambil keputusan untuk menghasilkan Mustang sebagai kereta sport global (turut dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kanan dan dieksport secara rasmi ke seluruh dunia) menerusi model generasi keenam pada tahun 2015, dan ia ternyata satu langkah yang tepat kerana Mustang berjaya menjadi kereta sport paling laris didunia sehingga kini – memegang takhta tersebut selama lima tahun berturut-turut!

    Menurut Ford, dari bermulanya eksport berkenaan pada tahun 2015 sehingga Disember 2019, sebanyak 633,000 unit Mustang telah berjaya dijual. Data pendaftaran kenderaan IHS Markit pula menunjukkan bahawa 102,090 Mustang telah terjual diseluruh dunia, dengan jualan di Jerman naik 33%, manakala jualan di Poland naik hampir 50%.

    Ford Mustang kekal kereta sport paling laris di dunia tahun ke-5 berturut-turut, sejak dieksport pada 2015

    Di Eropah secara keseluruhannya tahun lalu, sebanyak 9,900 unit Mustang telah berjaya dijual, atau naik 3% berbanding tempoh sama pada tahun 2018. Dari jumlah tersebut, 1,300 unit daripadanya telah dijual di UK. Setakat ini, model yang dikelaskan sebagai kereta sport coupe dua pintu (termasuk model convertible) oleh IHS Markit tersebut telah dijual di 146 negara seluruh dunia.

    “Kami bangga dapat meluaskan model-model Mustang dan varian prestasinya. Dari Sweden hingga Shanghai, semakin ramai mereka yang suka memandu menikmati rasa kebebasan dan jalan terbuka Amerika dengan Mustang baharu ini. Kami bangga kerana dapat memberikan khidmat kepada pemilik, dan peminat selama 56 tahun dan mendatang,” kata COO Ford, Jim Farley.

    Mustang ‘dilahirkan’ pada 17 April 1964. Jadi pada tahun 2020, ia bukan sahaja berbangga sebagai kereta sport paling laris di dunia untuk tahun kelima berturut-turut, Mustang juga meraikan ulangtahunnya yang ke-56.

     
     
  • UMW Toyota akan buka semula pusat servis terpilih

    UMW Toyota akan buka semula pusat servis terpilih

    UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) telah mengumumkan bakal membuka semula beberapa pusat servis rasmi Toyota terpilih, serta memulakan operasi cawangan servis terpilih untuk kecemasan dan keperluan servis segera dalam kapasiti minimum. Langkah ini diambil selepas mendapat kelulusan MITI untuk kembali beroperasi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah memasuki fasa ketiga.

    Walau bagaimana pun, buat masa ini, perkhidmatan kepada pelanggan adalah berdasarkan temujanji sahaja. Di mana pelanggan perlu menghubungi pusat servis terdekat untuk mengesahkan pusat servis berkenaan telah mula beroperasi, dan seterusnya menetapkan temujanji yang sesuai sebelum datang ke premis. Pelanggan juga dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi PKP ketika dalam perjalanan.

    Selain, UMWT turut akan tetap mengambil langkah-langkah seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan keselamatan dan perlindungan pelanggan ketika mereka berada di pusat servis. Malah menasihati pelanggan agar terus menjaga jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter atau lebih bagi mengelakkan kemungkinan jangkitan virus.

    UMW Toyota akan buka semula pusat servis terpilih

    “Kami selalu meletakkan pelanggan sebagai keutamaan, dan untuk itu semua kenderaan Toyota yang dihantar ke pusat servis akan diperiksa secara menyeluruh untuk memastikan ia berada dalam keadaan terbaik. Bagaimanapun, kami juga ingin menggesa pelanggan untuk terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dan membantu untuk menghentikan penularan wabak Covid-19 di Malaysia,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, K. Ravindran.

    Berkenaan semua kenderaan yang dibeli daripada UMWT atau pengedar rasmi dengan tempoh jaminan sah yang berakhir di dalam tempoh PKP, lanjutan 30 hari akan diberikan bermula dari hari terakhir PKP dilaksanakan nanti.

    UMWT juga akan terus menyediakan sokongan serta bantuan kepada semua pelanggan yang mempunyai sebarang kecemasan atau pertanyaan sepanjang tempoh PKP melalui talian hotline 1800-8-TOYOTA (869682) atau e-mel [email protected] bagi sebarang pertanyaan dan bantuan umum. Manakala untuk bantuan kecemasan 24 jam pula boleh hubungi 1800-888-247.

     
     
  • Honda hasilkan iklan Civic yang dibuat sepenuhnya di rumah ketika kawalan pergerakan bendung Covid-19

    Ketika kawalan pergerakan yang berlangsung di seluruh dunia bagi membendung penularan wabak Covid-19, masyarakat perlu lakukan sesuatu yang baharu bagi memastikan hidup kita berjalan seperti biasa walaupun tidak boleh keluar dari rumah dan bergaul dengan komuniti.

    Video di atas ini adalah iklan sedan Honda Civic yang dibuat oleh Honda UAE, yang mendakwa ia “mungkin iklan kereta pertama dalam dunia yang ditulis, diarah, disunting dan ditonton secara keseluruhannya di dalam rumah”. Macam mana nak buat iklan sedemikian? Ya, Honda guna model Civic dalam skala jauh lebih kecil untuk penggambaran iklan ini.

    Ia memaparkan perincian luaran Civic berkenaan yang begitu realistik, dan mungkin hanya akan perasan ia hanya sebuah model skala ketika bergerak di bawah meja, atau ketika pintunya ditutup oleh tangan ‘gergasi’ pada pengakhiran video tersebut.

    Selain dari mempromosikan Civic, iklan ini juga sebenarnya menggalakkan orang ramai untuk tidak keluar dari rumah, bagi mengelakkan diri dari dijangkiti Coronavirus yang sedang mengganas sekarang. Seperti juga di Malaysia, UAE khususnya di Dubai, pergerakan rakyat dikawal dimana tiada siapa dibenarkan keluar dari rumah sesuka hati kecuali untuk membeli barangan keperluan (hanya seorang sahaja dalam satu keluarga dibenarkan), kecemasan, ataupun mereka yang terlibat dalam sektor essential service.

     
     
  • P. Pinang sediakan kad pergerakan PKP untuk yang terlibat sebagai peniaga dan penghantar makanan

    P. Pinang sediakan kad pergerakan PKP untuk yang terlibat sebagai peniaga dan penghantar makanan

    Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah memperkenalkan Kad Pergerakan PKP bagi peniaga, penjaja dan petugas penghantar makanan yang beroperasi di pulau itu sepanjang tempoh PKP, lapor The Star. Menurut Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang, langkah itu dilakukan bagi meninjau, mengawal dan menyelaras pergerakan mereka yang terlibat, dalam usaha untuk memudahkan urusan polis sepanjang PKP.

    Dua kumpulan yang layak mendapatkan kad berkenaan ialah peniaga makanan dan penghantar makanan, yang bertugas untuk menghantar makanan atau barang keperluan harian seperti makanan basah, sayur dan buah dan sebagainya yang berkaitan. Mereka boleh memohon melalui laman Facebook MBPP, dengan yuran sebanyak RM5 dikenakan bagi setiap kad.

    “Perkara ini diputuskan selepas mengadakan perbincangan dengan polis P. Pinang untuk memudahkan pemberian kelonggaran bagi mereka yang perlu bertugas berkaitan makanan dan menghantarnya kepada pelanggan. Bagaimanapun pemegang kad ini hanya boleh menggunakannya dalam jarak 10 km dari alamat perniagaan mereka.

    “Kad ini hanya akan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan untuk memudahkan pergerakan ketika PKP. Tolong jangan salah guna. Kami ada hak untuk membatalkannya pada bila-bila masa tanpa sebarang notis sekiranya pemegang didatapi menyalahgunakan kad berkenaan,” ujar Yew. Harapnya, kalau kemudahan begini sudah disediakan untuk mereka yang berkaitan, tak adalah pihak yang saja-saja menyalahgunakannya. Nanti menyusahkan orang lain yang memerlukan.

     
     
  • VPCM kemaskini kempen “Welcome Back” – diskaun 10%, tempahan diutamakan bagi barisan hadapan

    VPCM kemaskini kempen <em>“Welcome Back”</em> – diskaun 10%, tempahan diutamakan bagi barisan hadapan

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengemaskini kempen selepas jualan “Welcome Back” yang memberikan manfaat tambahan kepada pemilik Volkswagen yang bertugas sebagai barisan hadapan (frontliner) dalam memperjuangkan pencegahan penularan COVID-19 di negara ini.

    Manfaat baharu yang kini menjadi sebahagian daripada kempen berkenaan termasuklah tempahan yang diutamakan, pembersihan kereta secara percuma dan diskaun sebanyak 10% untuk jumlah keseluruhan bil. VPCM berkata inisiatif ini adalah sebagai tanda penghargaan bagi semua petugas barisan hadapan untuk meringankan beban mereka selain memberikan ketenangan pemilihan.

    Bagi mendapatkan manfaat yang ditawarkan ini, mana-mana pemilik Volkswagen yang merupakan barisan hadapan perlulah memberikan butiran mengenai bidang masing-masing apabila mendaftar di laman web rasmi VPCM. Daripada situ, wakil jualan Volkswagen akan menghubungi pelanggan terbabit untuk pengesahan, dan apabila sudah mendapat kelulusan, manfaat tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun aplikasi Volkswagen Cares mereka.

    Pemilik tersebut akan menikmati manfaat tersebut untuk temujanji pra-temoahan, di mana ia boleh dilakukan dalam tempoh 30 hari selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan dan semua pusat servis dibuka semula. Untuk mereka yang bukan bertugas sebagai barisan hadapan, mereka akan menerima cenderahati percuma apabila mendaftar dalam tempoh kempen “Welcome Back” ini.

    Untuk mereka yang belum menebus servis penyelenggaraan percuma atau pun bukan ahli Volkswagen Care Plus (VCP) layak untuk menerima baucer minyak enjin bernilai RM50. Syarikat ini juga akan terus melanjutkan tempoh waranti bagi kereta yang tidak dapat memenuhi jadual penyelenggaraan sepanjang tempoh PKP.

     
     
  • PKP: Operasi mesin ATM kini hanya sampai 8 malam

    PKP: Operasi mesin ATM kini hanya sampai 8 malam

    Macam-macam alasan orang cari untuk mengesahkan tindakan mereka keluar rumah sepanjang PKP ini, terutama sekali di waktu malam ketika semua urusniaga seperti kedai makan telah ditetapkan tamat pada 8 malam sebelum ini.

    Antara pemerhatian yang dilakukan oleh pihak berkuasa baru-baru ini, segelintir warga menggunakan alasan keluar rumah untuk ke mesin ATM bagi mengeluarkan duit. Disebabkan perkara ini, Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di dalam taklimat hariannya semalam memaklumkan bahawa semua operasi mesin ATM perlu ditamatkan pada jam 8 malam setiap hari (8 pagi hingga 8 malam sahaja) sepanjang baki PKP yang berlangsung.

    “Polis memberi makluman kepada kita bahawa ramai orang yang masih keluar di sebelah malam dengan alasan untuk ke mesin ATM, menyatakan ada kecemasan. Jadi, komiti bertanggungjawab telah mengambil keputusan untuk menghadkan tempoh operasi semua mesin ATM. Tak ada lagi alasan untuk mereka keluar di sebelah malam untuk keluarkan wang,” tambah beliau.

    Setakat semalam, jumlah kes baru positif Covid-19 di Malaysia sekali lagi dilaporkan di bawah 100 kes (84 kes sahaja), menjadikan jumlah keseluruhan 5,389 kes. Lengkuk graf positif jangkitan mungkin telah mendatar dan stabil, tetapi kita masih jauh daripada mengatasi jangkitan ini. Jadi, terus kekal di rumah melainkan anda terlibat dengan urusan atau perkhidmatan penting.

     
     
  • Polis tangkap 1,174 individu yang didapati ingkar PKP semalam, beberapa kawasan lagi dikenakan PKPD

    Polis tangkap 1,174 individu yang didapati ingkar PKP semalam, beberapa kawasan lagi dikenakan PKPD

    Memasuki PKP fasa tiga ketika ini, masih ramai lagi warga yang masih berdegil dan tidak mahu patuh kepada perintah berkenaan. Merujuk kepada maklumat dari saluran rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam sahaja polis telah menangkap seramai 1,174 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP.

    Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, daripada jumlah berkenaan, 1,012 orang telah direman, sementara 162 orang lagi dibebaskan dengan jaminan polis. Walaupun beberapa lagi perkhidmatan penting yang mula dibenarkan untuk beroperasi, sangat penting untuk semua kita memahami bahawa PKP masoh berjalan seperti biasa tanpa sebarang kelonggaran. Adalah langkah tidak bijak dan pentingkan diri sekiranya orang-ramai mengandaikan sebaliknya.

    Dalam beberapa perkembangan berkaitan, selain Selangor Mansion dan juga Malayan Mansion di ibu negara yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sebelum ini, terbaru terdapat dua kawasan lagi yang diletakkan di bawah pengawasan dan status yang sama. Lokasi yang dimaksudkan ialah Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur dan juga kawasan sekitar Pasar Borong Selayang, bagi tempoh sehingga 3 Mei 2020.

    Polis tangkap 1,174 individu yang didapati ingkar PKP semalam, beberapa kawasan lagi dikenakan PKPD

    Memetik laporan Astro Awani, kawasan terlibat bagi PKPKD ke-enam ini termasuk:

    • Parcel A: Jalan 6/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur
    • Parcel B: Jalan 6/3A dan 9/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur
    • Parcel C: Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur
    • Parcel D: Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur
    • Parcel E1: Taman Sri Murni Fasa 2, Jalan 1/2D, Kuala Lumpur
    • Parcel E2: Taman Sri Murni Fasa 1, Jalan 1/2D, Kuala Lumpur
    • Parcel E3: Taman Sri Murni Fasa 3, Jalan 1/2B, Kuala Lumpur
    • Parcel F: Taman Batu View dan Taman Batu Hampar, Kuala Lumpur

    “Pasar borong kita tak tutup, kita hanya tutup kawasan perumahan di sekitarnya, terutamanya yang melibatkan rakyat ramai rohingya yang memegang UNHCR…itu yang kita tutup. Pasar borong masih dibuka seperti biasa,” jelas Ismail. Dengan perkembangan ini, beliau memberi jaminan bahawa bekalan makanan dan keperluan harian adalah mencukupi dan mampu memenuhi permintaan semasa.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (+1.20)
EURO 5 B7 RM3.55 (+1.20)
Last Updated Jun 06, 2024