Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Honda tunjuk teaser model konsep EV untuk Beijing

    Honda tunjuk teaser model konsep EV untuk Beijing

    Beijing Motor Show 2020 akan berlangsung hujung bulan ini selepas awalnya tertangguh akibat pandemik Covid-19. Berikutan itu, Honda antara yang terawal mendedahkan perincian bagi apa yang bakal syarikat itu pamerkan nanti – bermula dengan satu kereta konsep terbaru.

    Masih belum ada nama yang diberikan, tetapi unit berkanaan akan menampilkan kenderaan elektrik pertama jenama itu untuk pasaran China. Honda juga belum ingin mendedahkan sepenuhnya kereta terbabit, jadi untuk sementara waktu ini hanya iklan acah yang dikeluarkan.

    Daripada gambar yang ditunjuk, kenderaan berkenaan diberikan rekaan lampu utama yang tirus, dengan LED yang mirip rekaan yang sama pada model-model terkini Honda. Ada satu jalur LED yang melintang yang menghubungi kedua-dua unit lampu berkenaan. Di bawahnya, logo Honda dengan pencahayaan.

    Rekabentuk penuh bagi EV ini bagaimanapun belum dapat dilihat dengan jelas, namun ia mungkin merupakan sebuah sedan atau crossover dengan rekaan ala coupe. Untuk tahun dengan lebih tepat, ia hanya akan didedahkan pada 26 September nanti – hari pembukaan pameran itu untuk media.

    Selain model konsep ini, ruang pamer Honda juga akan menampilkan CR-V PHEV. Ini model pertama Honda dengan sistem janaan plug-in hybrid untuk pasaran China. Ia secara tidak langsung memberi petunjuk kepada peralihan penawaran teknologi berbanding CR-V Hybrid yang ada dalam pasaran itu ketika ini.

    Model lain yang akan turut dipamerkan termasuk beberapa jenis kenderaan dengan teknologi elektrifikasi, serta model-model massa yang terbaru lainnya. Selain itu turut akan dipamerkan ialah model Acura, serta bahagian untuk model-model motosikal jenama itu.

     
     
  • GALERI: Yamaha MT-25 dan MT-15 dengan aksesori

    GALERI: Yamaha MT-25 dan MT-15 dengan aksesori

    Semasa majlis pelancaran Yamaha MT-25 dan pra tonton MT-15 minggu lalu, HLYM turut membawa satu unit bagi kedua-dua model itu, yang sudah dipasang dengan pelbagai aksesori untuk menjadikannya lebih sporty. Daripada informasi yang kami dapat, ini adalah aksesori keluaran Yamaha Thailand.

    Seperti biasa, aksesori ini kebanyakannya menggantikan unit asal dengan unit aluminium, seperti pada tuil brek dan klac, slider enjin dan roda, tapak pemegang dan beberapa bahagian lain. Kemudiannya, di atas tangki bahan api diletakkan pelekat dengan motif MT.

    Untuk menjadikan penampilan motosikal ini lebih menarik, penghadang lumpur asal diganti dengan unit aluminium bersama tempat letak nombor plet yang lebih ringkas. Pada MT-25, kami tertarik dengan ekzos Akrapovic yang turut mempunyai kemasan gentian karbon.

    Pada MT-15 pula, ekzos asal diganti dengan ekzos Yoshimura yang lebih pendek, tetapi penampilannya tidak kurang menarik kerana dilengkapi dengan fender hadapan dan belakang gentian karbon serta tambahan kemasan di atas lampunya.

    Yamaha MT-15 dikuasakan oleh enjin satu silinder 155 cc VVA yang berkuasa 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm sementara MT-25 pula digerakkan oleh enjin dua silinder selari DOHC 249 cc berkuasa 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 23.6 Nm tork pada 10,000 rpm.

    GALERI: Yamaha MT-25 dengan aksesori

    GALERI: Yamaha MT-15 dengan aksesori

     
     
  • Ferrari Portofino M didedah – DCT 8-kelajuan, 620 PS

    Ferrari Portofino M didedah – DCT 8-kelajuan, 620 PS

    Ferrari telah pun memperkenalkan Portofino M, sebagai menggantikan model terdahulu Portofino yang sudah mencapai usia tiga tahun. Facelift F164 ini diperkenalkan menerusi pelancaran secara digital dengan beberapa bahagian luaran yang dipertingkatkan dan terdapat juga perubahan pada mekanikal, termasuk peningkatan kuasanya dan juga transmisi baharu.

    Untuk perubahan mekanikal, ia dimulakan dengan padanan bampar hadapan baharu, yang menampilkan corong sisi yang direka semula dan juga pertambahan corong pengambilan udara baharu pada gerbang roda untuk meningkatkan penjimatan aero dinamik. Corong tersebut juga memberikan bonus untuk imejnya, malah memberikan aliran udara yang lebih baik untuk bahagian sisi. Manakala padanan gril yang dipertingkatkan itu juga telah dihadirkan dengan kepingan aluminium baharu.

    Bahagian belakang juga menerima padanan bampar baharu, yang telah diprofilkan semula dengan konfigurasi sistem ekzos baharu. Selain itu, diffuser belakang juga kini diasingkan daripada bampar, untuk memberikan imej yang lebih menyerlah pada bahagian belakang. 2+2 GT juga menerima kemasan berlian spesifik baharu, dan rekaan roda lima-jejari. Walau bagaimana pun, tiada perubahan pada bumbung retractable hard top, yang masih boleh dibuka dan ditutup dalam 14 saat.

    Menurut VW, huruf M membawa maksud ‘Modificata’, iaitu terma yang “digunakan untuk kereta yang mengalami evolusi yang dipertingkatkan prestasi yang ketara”. Di mana peningkatan prestasi ini disumbangkan oleh kombinasi penjana kuasa dan drivetrain yang agak berbeza dengan apa yang diberikan pada Roma.

    Ferrari Portofino M didedah – DCT 8-kelajuan, 620 PS

    Enjin 3.9 liter F154 BB twin-turbo V8 pada Portofino telah diberikan modifikasi, membawanya ke spesifikasi BE. Kuasanya dipertingkatkan menjadi 620 PS (611 hp), di mana ia lebih 20 PS (atau 19 hp) berbanding sebeluum ini, mirip pada Roma. Manakala tujahan tork masih kekal pada 760 Nm.

    Penambahan kuasa dalah hasil cam profile baharu untuk meningkatkan anjakan injap dan mengoptimakan pengisian ruang pembakaran dan juga penderia kelajuan ke unit pengecas turbo, di mana ia membolehkan anjakan rpm ke turbin secara maksimum ditambah.

    Peningkatan penjana kuasa ini turut dipadankan dengan kotak gear baharu – yang sebelum ini dengan padanan transmisi dwi-klac F1 tujuh-kelajuan yang kini digantikan dengan unit dwi-klac lapan-kelajuan. Unit ini pertama kali diberikan pada model Roma, berasal dari unit SF90 Stradale lapan-kelajuan, tetapi mempunyai mekanikal gear undur dan nisbah gear yang lebih panjang.

    Selain itu, suis manettino telah menerima mod kelima, iaitu tatapan Race, dan sistem brek juga dipertingkatkan, dengan tekanan pedal brek yang dapat diubah dan 10% pengurangan pada brek bagi menghasilkan tindak balas yang lebih cepat dan tepat terhadap input brek.

    Manakala untuk sistem ekzos baharu, perubahan termasuklah geometri baharu untuk keseluruhan jajaran ekzos, di mana ia telah ‘membuang’ dua peredam belakang pada Portofino. Dengan ketiadaan komponen terbabit, ia bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan belakang pada paip ekzos, bahkan menambahbaik bunyi pada sistem tersebut. Sebagai tambahan, injap pintasan baharu diberikan bagi meningkatkan lagi aliran bunyi ekzos.

    Bentangan bahagian dalaman Portofino tidak disentuh dengan penukaran Modificata. Kluster instrumen dengan dua paparan TFT masih berada di tempat yang sama seperti sebelum ini. Begitu juga dengan sistem infotainmen dan skrin sesentuh sentral 10.25-inci serta sokongan Apple CarPlay/Android Auto.

    Ferrari Portofino M didedah – DCT 8-kelajuan, 620 PS

    Manakala ciri baharu yang diberikan termasuklah pengudaraan dan tempat duduk dengan fungsi haba, dan elemen tambahan terkini yang paling besar melibatkan komponen bantuan pemanduan dan keselamatan bagi sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), yang ditawarkan secara pilihan.

    Ia menambahkan ciri yang sebelum ini tidak ada seperti kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi Stop&Go, sistem brek kecemasan ramalan (juga dikenali sebagai amaran pelanggaran hadapan dan AEB), pemantauan titik buta, amaran ketibaan lorong, kepekaan lintasan trafik belakang, pengesan isyarat trafik, lampu tinggi automatik dan kamera pandangan sekeliling 3D.

    Untuk jadual penghantarannya, Ferrari berkata unit pemanduan sebelah-kiri yang pertama bagi Portofino M ini akan bermula pada suku kedua tahun 2021, dan ia akan disusuli dengan pemanduan sebelah-kanan pula.

     
     
  • BMW Motorrad India siarkan gambar teaser G 310 baru

    BMW Motorrad India siarkan gambar teaser G 310 baru

    BMW Motorrad India didapati telah mengeluarkan gambar teaser model baru G 310 – R dan GS – dalam laman web mereka, dengan turut menyatakan tempahan di sana telah dibuka. Selain daripada gambar itu, perincian lain masih belum didedah.

    Pemilihan India sebagai negara pertama yang mengeluarkan teaser ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana siri model G 310 sememangnya dikeluarkan di India dengan kerjasama satu lagi pengeluar motosikal utama negara itu iaitu TVS Motorcycle.

    Mengikut rekod sebelum ini, G 310 adalah sebuah model global dan kelibat model baru ini sebenarnya juga sudah pernah dilihat diuji atas jalan raya di Eropah. Di negara kita, G 310 R dijual pada harga RM27k manakala G 310 GS pula RM30k.

    BMW Motorrad India siarkan gambar teaser G 310 baru

    Dalam gambar yang disiarkan, kebanyakan bahagian motosikal masih lagi gelap dan yang terang cuma cahaya dari lampu hadapan yang berkemungkinan akan jadi unit LED serta kerangka yang kini berbentuk Trellis dan berwarna merah. Enjin model baru ini juga dijangka menepati tahap Euro 4.

    Model G 310 dikuasakan oleh enjin satu silinder 313 cc DOHC bersama padanan kotak gear enam kelajuan, untuk menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 34 hp pada 9,500 rpm dan 28 Nm tork pada 7,500 rpm. Berat untuk G 310 GS adalah 169.5 kg manakala G 310 R pula 158.5 kg.

     
     
  • BMW 128ti F40 ditunjuk — 265 PS, 0-100 km/j 6.1 saat

    BMW 128ti F40 ditunjuk — 265 PS, 0-100 km/j 6.1 saat

    BMW 1 Series F40 bakal menerima varian terbaru dalam bentuk 128ti, dijangka bakal dilancarkan November nanti. Diposisikan di bawah varian paling tinggi M135i xDrive, 128ti ini sedang dalam ujian terakhir sebelum diperkenalkan – ia juga bakal menyaingi model seperti Volkswagen Golf GTI Mk8 kelak.

    Dari segi kuasa, 128ti menggunakan unit enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol yang menghasilkan 265 PS (261 hp) dengan jumlah tork yang belum dimaklumkan. Sekadar perbandingan, M135i menjana sejumlah 302 hp dan 450 Nm tork, sementara Golf GTI menghasilkan 242 hp dan 370 Nm, kedua-duanya dengan enjin 2.0 liter empat-silinder.

    Transmisi mula 128ti akan menggunakan jenis automatik lapan-kelajuan Steptronic Sport dengan LSD (limited-slip differential) Torsen, tetapi tiada sistem pacuan semua roda xDrive seperti M135i. Dengan pacuan roda depan serta kemaskini lain menjadikan 128ti ini 80 kg lebih ringan berbanding versi prestasi tersebut. Perubahan lain termasuklah talaan yang sama sekali berbeza bagi kereta ini, terutama bagi aspek suspensi M Sport dan sistem stereng.

    BMW 128ti F40 ditunjuk — 265 PS, 0-100 km/j 6.1 saat

    Antara hal yang dilakukan oleh BMW untuk itu adalah menurunkan ketinggian suspensi berkenaan sebanya 10 mm dan memanfaatkan komponen pre-stressed stabiliser bearing dan penstabil dari M135i. Selain itu, kereta ini juga akan hadir dengan brek M Sport sebagai standard, serta pilihan untuk tayar sport.

    Dari segi penampilan, 128ti kelihatan agak mirip dengan M135i, melainkan pada beberapa bahagian bucu bampar yang ditampal dengan pelekat samaran. Turut berbeza ialah kemasan krom pada keliling gril serta rekaan melintangnya pada bahagian hadapan, serta spoiler belakang yang lebih minimal. “ti” pada namanya itu bermaksud Turismo Internazionale, dan pernah digunakan oleh model-model BMW seperti 2002ti sebelum ini.

     
     
  • Hyundai i30 N facelift 2021 – teaser disiar, sah akan hadir dengan kotak gear automatik klac berkembar

    Hyundai i30 N facelift 2021 – teaser disiar, sah akan hadir dengan kotak gear automatik klac berkembar

    Selepas model biasa Hyundai i30 facelift 2020 diperkenalkan pada Februari lalu, tidak lama lagi ia akan disusuli pula dengan versi berprestasi tinggi i30 N facelift, dan gambar teaser rasmi nampaknya sudah mula disiar. Versi standard yang didedahkan tempoh hari sudah pun kelihatan lebih garang dengan lampu serta elemen muka yang lain direka dengan lebih tajam, dan versi N penuh ini sudah tentu nampak lebih agresif.

    Lampu hadapan dengan jalur LED lampu nyalaan siang yang berbentuk anak panah, gril utama, serta liang-liang utama pada bampar i30 N ini nampak seiras dengan versi N-Line, namun jalur kemasan perak pada spoiler hadapan diganti dengan jalur berwarna merah.

    Pada bahagian sisi, model kemaskini ini menyerlahkan rim berdiameter besar rekaan baharu dengan tayar berprofil rendah. Manakala di belakang, model facelift ini tampil dengan diffuser yang jauh lebih besar bersama dua tip ekzos yang juga kelihatan seakan semakin membesar.

    Hyundai secara rasmi mengumumkan bahawa model facelift ini akan ditawarkan dengan pilihan kotak gear klac berkembar automatik DCT lapan kelajuan, berbanding hanya kotak gear enam-kelajuan manual pada versi sedia ada.

    Boleh dijangka, penawaran ini akan memberikan peningkatan prestasi yang sama seperti Veloster N facelift yang sudahpun diperkenalkan, menyaksikan pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 0.5 saat lebih pantas untuk versi yang datang dengan Performance Pack, dijana enjin 2.0 liter Turbo GDI berkuasa 275 PS/353 Nm.

    Pada Veloster N facelift, penggunaan kotak gear lebih kompleks ini menyebabkan kereta berkenaan diberikan berat tambahan sebanyak 50 kg. Jadi, bagi memastikan keseimbangan beratnya masih dalam keadaan yang baik, Hyundai telah memberikan talaan suspensi termasuk spring, bump stop, penyerap hentak, bar anti-oleng dan larasan sudut camber istimewa.

    Untuk model i30 N sedia ada, Hyundai Sime-Darby Motors telah pun membawanya ke pasaran tempatan dan kami telah pun mengujinya (anda boleh baca ulasan pandu uji tersebut pada PAUTAN INI). Jadi dengan penawaran kotak gear DCT ini, ada yang berharap model facelift ini akan turut di bawa ke Malaysia?

    GALERI: Hyundai i30 Hatchback facelift dalam kemasan N-Line

    GALERI: Hyundai i30 N pasaran Malaysia

     
     
  • Brembo Greentive – cakera brek berkilat macam cermin, kurangkan debu brek, tahan lebih lama

    Brembo Greentive – cakera brek berkilat macam cermin, kurangkan debu brek, tahan lebih lama

    Pembuat brek dari Itali yang terkenal dengan produk berprestasi tinggi, Brembo kini memperkenalkan siri cakera brek baharu yang diberi nama Brembo Greentive. Tidak seperti cakera brek biasa yang memang nampak seperti logam, cakera Greentive ini menampilkan kemasan yang jauh lebih berkilat dan nampak seperti cermin.

    Kemasan ini bukan dihasilkan hanya sekadar kosmetik, tetapi ia dibuat dengan menggunakan proses salutan baharu yang digelar teknologi High-Velocity-Oxy-Fuel (HVOF). Menurut Brembo, dengan permukaan cakera yang sangat berkilat ini membolehkan ia tahan lebih lama kerana ia melusuh dengan lebih lambat dan ia akan mengurangkan penghasilan debu dari pad brek.

    Brembo menjelaskan, dengan kurangnya debu yang terhasil, cakera ini akan memastikan rim anda lebih bersih dan mengurangkan pencemaran debu brek, sesuai dengan namanya yang berasal dari perkataan ‘Green’ dan ‘Distinctive’. Tambahan pula, ia sangat sesuai dengan kereta-kereta elektrik kerana cakera ini menawarkan tahap ketahanan terhadap kakisan yang tinggi.

    Satu lagi ciri unik pada Brembo Greentive ini adalah ia turut boleh memberitahu pemilik bila sepatutnya cakera ini ditukar. Anda nampak logo Brembo pada cakera tersebut? Ia akan hilang apabila cakera ini menjadi nipis dan sudah sampai had maksimum penggunanaannya.

    Menurut syarikat ini lagi, Brembo Greentive dihasilkan bagi memenuhi permintaan dari kereta-kereta premium dan mewah, dan teknologi HVOF tersebut turut boleh diaplikasikan terhadap semua konsep rekaan cakera dari Brembo termasuk dari jenis solid, ringan, Dual Cast, dan juga cakera terapung two-piece.

     
     
  • Mystery Fuel Test RON97 paultan.org dengan sembilan model kereta spesifik — nikmati bahan api percuma!

    Mystery Fuel Test RON97 paultan.org dengan sembilan model kereta spesifik — nikmati bahan api percuma!

    Berminat untuk menikmati bahan api dan cenderahati khas DRIVEN paultan.org – yang bukan untuk dijual – secara percuma? Caranya mudah sahaja; ikut serta di dalam acara Mystery Fuel Test RON 97 anjuran paultan.org.

    Mystery Fuel Test RON 97 anjuran paultan.org kembali lagi, dan anda berpeluang untuk menerima bahan api serta kemeja-T DRIVEN paultan.org eksklusif secara percuma. Kali ini, tumpuan akan diberikan kepada minyak petrol RON 97, dan untuk itu kami sedang mencari pemilik kenderaan yang menggunakan petrol RON 97 untuk kereta mereka. Kami mencari sembilan model kereta yang spesifik ini untuk menyertai kami:


      1. Mercedes-Benz C 200 W205 2018-2020
      2. Volkswagen Passat 1.8 TSI B8 2016-2019
      3. BMW 330i G20 2019-2020
      4. Honda Civic 1.5 Turbo FC 2016-2020
      5. Mazda3 2.0 SkyActiv BP 2019-2020 (sedan atau hatchback dibenarkan)
      6. Mazda CX-5 2.5 SkyActiv-G 2WD KF 2017-2020 (bukan 4WD)
      7. Proton X70 1.8TGDi 2WD 2018-2019 (CBU)
      8. Mercedes-Benz A250 W177 2018-2020 (sedan or hatchback allowed)
      9. Toyota 86/Subaru BRZ (standard, tak kira tahun dan transmisi yang mana)

    Apa yang perlu anda lakukan sangat mudah. Datang ke lokasi isian minyak di MAEPS, Serdang dan isikan minyak kereta anda – itu sahaja. Anda boleh balik semula atau teruskan dengan urusan harian anda dan kembali lagi ke situ selang dua atau tiga hari untuk isian semula, bagi tempoh keseluruhan tujuh kali dalam masa tiga minggu. Setiap kali anda mengisi semula minyak, anda perlu meluangkan masa satu atau dua jam di lokasi. Tiada pemanduan dengan cara konvoi.

    Semua kos minyak akan ditanggung oleh kami sepanjang tempoh tiga minggu berkenaan. Bukan itu sahaja, kami juga akan beri kad isian minyak bernilai RM300 secara percuma! Turut disediakan ialah hidangan ringan bagi sesi isian minyak yang pertama.

    Anda dikehendaki hadir ke semua tujuh sesi isian semula bertempat di MAEPS, Serdang pada tarikh dan waktu berikut:

    • Sabtu, 3 Oktober: Satu hingga dua jam untuk isian semula minyak serta sesi taklimat. Hidangan ringan disediakan. Pilihan pagi atau petang.
    • Rabu, 7 Oktober: Satu jam isian semula minyak, antara jam 4 petang hingga 11 malam
    • Sabtu, 10 Oktober: Satu jam isian semula minyak, antara jam 10 pagi hingga 5 petang
    • Rabu, 14 Oktober: Satu jam isian semula minyak, antara jam 4 petang hingga 11 malam
    • Sabtu, 17 Oktober: Satu jam isian semula minyak, antara jam 10 pagi hingga 5 petang
    • Rabu, 21 Oktober: Satu jam isian semula minyak, antara jam 4 petang hingga 11 malam
    • Sabtu, 24 Oktober: Satu hingga dua jam untuk isian semula minyak terakhir. Pilihan pagi dan petang


    *Peserta dari Lembah Klang diutamakan.
    *Pengguna RON 97 sepenuhnya diutamakan, dengan campuran RON 95 dan RON 97 sebagai pilihan kedua
    *Kenderaan dengan enjin standard diutamakan.

    Anda akan dikehendaki untuk berkongsi maklum balas selepas setiap sesi isian semula melalui Google Forms. Ya, memang semudah ini! Jangan ketinggalan untuk ambil bahagian, isi borang di bawah segera.

     
     
  • Carta warna Proton X50 didedahkan – 6 warna, merah ‘Passion Red’ hanya untuk Premium dan Flagship

    Carta warna Proton X50 didedahkan – 6 warna, merah ‘Passion Red’ hanya untuk Premium dan Flagship

    Semalam ketika berlangsungnya prebiu eksklusif untuk pihak media untuk Proton X50, jenama automotif nasional tersebut turut menyenaraikan pilihan enam warna untuk SUV segmen-B ini iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ocean Blue, Citric Orange dan Passion Red.

    Namun, bukan semua warna ini ada ditawarkan untuk semua varian. Untuk varian asas Standard, ia hanya hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Snow White, Armour Silver dan Ocean Blue. Untuk varian satu tangga lebih tinggi iaitu Executive pula akan ditambah dengan warna Jet Grey and Citric Orange.

    Manakala untuk varian tertinggi Premium dan Flagship, kelima-lima warna ini boleh dipilih dengan tambahan satu lagi warna iaitu warna hero, merah yang benar-benar merah Passion Red. Dan seperti yang kami laporkan semalam, beza antara varian tertinggi Flagship berbanding varian-varian lebih rendah lain, ia tampil dengan badan dua-tona di mana bumbungnya dihitamkan.

    Walau bagaimanapun, Proton tidak menyertakan gambar-gambar rasmi dengan pilihan warna lain dalam kit media yang disertakan semalam. Tapi anda tak perlu susah untuk membayangkannya kerana ‘ahli sihir’ kami dari unit fotografi telah menghasilkannya untuk anda lihat pada galeri di bawah.

    Nak tahu apa lagi perbezaan antara empat varian pada Proton X50 ini? Ketahuinya dengan membaca satu lagi artikel kami pada PAUTAN INI.

    GALERI: Pilihan warna Proton X50 2020

    GALERI: Proton X50 1.5 T-GDI Flagship 2020

     
     
  • Nissan Z Proto didedahkan – kelahiran semula Datsun 240Z dengan enjin turbo berkembar, transmisi manual!

    Nissan Z Proto didedahkan – kelahiran semula Datsun 240Z dengan enjin turbo berkembar, transmisi manual!

    Ketika Toyota GR Supra didedahkan, kita boleh lihat sebahagian peminat-peminatnya melontarkan pelbagai kritikan terhadap model generasi baharu tersebut, antaranya ada yang menyatakan bahawa ia adalah BMW, dan rupanya tidak sama dengan model generasi keempat JZA80 serta tidak secantik model konsep Toyota FT-1.

    Rasanya perkara yang sama tidak langsung akan diluahkan oleh peminat model Fairlady Z dari Nissan ketika model prototaip untuk generasi seterusnya didedahkan sebentar tadi – model yang masih digelar sebagai Z Proto tersebut adalah projek 100% dari Nissan, dan ia menyerlahkan dengan jelas rupa model klasik kereta sport Z generasi pertama iaitu Nissan Fairlady 240Z/Datsun 240Z S30Z!

    Walaupun ia masih dalam bentuk prototaip, Presiden Nissan Makoto Uchida mengesahkan bahawa ini bukan kereta konsep dan bentuknya adalah sangat hampir pada bentuk produksi. Anda boleh lihat hampir kesemua bahagian pada model generasi baharu ini dihasilkan berdasarkan rupa pada 240Z.

    Nissan Z Proto didedahkan – kelahiran semula Datsun 240Z dengan enjin turbo berkembar, transmisi manual!

    Pertama sekali pada mukanya – ia diberikan bonet hadapan yang panjang bersama bonjol tengah berbentuk-V, dan juga dua lagi bonjol sisi yang masing-masing berhubung terus dengan lampu hadapan. Lampu berkenaan juga direka seakan lampu 240Z, atau lebih spesifik dari model ‘homologation special’ 240ZG yang menampilkan pelindung lutsinar diluarnya, mankala dua jalur LED lengkung di atas dan bawah membayangkan lampu bulat pada model klasik tersebut.

    Sekali tengok, bampar hadapan Z Proto ini kelihatan seperti bampar model generasi Z33 350Z, tapi jika anda lihat dengan lebih teliti, ia sebenarnya masih diinspirasikan dari 240Z yang menggunakan spoiler hadapan tambahan seperti watak anime/manga Wangan Midnight, ‘Devil-Z’.

    Pada bahagian sisi, garis badan Proto Z ini tidak boleh dinafikan bahawa ia sama seperti 240Z. Ia tampil dengan bumbung yang curam kebelakang dan juga tingkap cermin sisi belakang yang bersaiz kecil. Untuk menambah imej retro model ini, ia turut diberikan satu jalur kemasan krom sepanjang atas tingkap terus ke sisi pintu hatch belakang.

    Oh ya, logo ‘Z’ pada bahagian sisi atas belakang ini dan pada bahagian-bahagian lain juga kini kembali menggunakan logo lama seperti pada 240Z.

    Di belakang, Nissan menyatakan lampu dan juga keselurhan panel berwarna hitam pada bahagian tersebut adalah diinspirasikan model generasi keempat Z32 300ZX. Namun ia tidak kelihatan janggal kerana 240Z juga menampilkan lampu belakang dengan elemen rekaan dua bar melintang.

    Bampar belakang Z Proto ini menerima kemasan diffuser gentian karbon yang besar dan turut menempatkan dua tip ekzos. Emblem ‘Fairlady Z’ dengan tulisan sama seperti pada model S30Z turut dilekatkan pada sebelah kanan pintu hatch model prototaip generasi baharu ini.

    Nissan Z Proto didedahkan – kelahiran semula Datsun 240Z dengan enjin turbo berkembar, transmisi manual!

    Rupa luaran Z Proto ini dilengkapkan dengan warna dua tona; badan kuning dengan bumbung hitam, kemasan-kemasan gentian karbon pada spoiler hadapan dan skirt sisi, serta rim aloi 19-inci dalam kemasan emas gelap, bersama tayar yang diberikan tulisan putih ‘Nissan Z’ bagi memberikan perisa retro sebenar.

    Elemen rekaan 240Z bukan hanya untuk luaran, malah ia turut dibawa ke kabin. Anda boleh lihat dengan jelas rekaan ikonik roda stereng tiga jejari ‘deep dish’ dan juga ‘meter tiga-beradik’ pada bahagian atas tengah papan pemukan sama seperti S30Z diterapkan pada Z Proto ini.

    Namun rekaan tersebut diubah sedikit di mana meter dan juga segala kawalan pada konsol tengah lebih dihalakan kepada pemandu, dan diadun bersama teknologi moden dengan kelengkapan seperti panel instrumen digital sepenuhnya bersaiz 12.3-inci dan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh.

    Nissan Z Proto didedahkan – kelahiran semula Datsun 240Z dengan enjin turbo berkembar, transmisi manual!

    Nissan masih belum memperincikan spesifikasi mekanikal pada kereta sport Z generasi baharu ini. Namun apa yang telah disahkan, ia akan kembali dijana enjin V6 dengan dua pengecas turbo seperti Z33 300ZX, dan juga menerima kotak gear manual enam-kelajuan – sistem transmisi ini satu lagi ciri yang tidak ditawarkan pada lawan senegaranya Toyota GR Supra.

    “Z adalah lebih dari sekadar berkuasa dan lincah. Ia direka bagi mewujudkan hubungan antara pemandu, bagi menjadikan kereta tersebut sebagai teman untuk menari untuk pengembaraan mereka di atas jalan,” kata ketua pakar produk Z Proto, Hiroshi Tamura.

    Menerusi pelbagai laporan media sebelum ini, dalam bentuk produksi, Proto Z ini akan digelar sebagai 400Z, dan akan dihasilkan menggunakan platform FM (asas yang sama seperti Infiniti Q60 Coupé) yang diolah semula. Ia akan dijana oleh enjin 3.0 liter V6 turbo berkembar menjana lebih dari 400 hp/500 Nm dan kuasa berkenaan dihasilkan sepenuhnya dari kaedah pembakaran dalaman konvensional, tanpa sebarang bantuan sistem hibrid elektrik walaupun Nissan kini sedang beralih ke teknologi elektrifikasi.

     
     
  • VIDEO: Pusing keliling Proton X50 1.5TGDi Flagship

    Proton dah pun memberi jawapan kepada banyak pertanyaan dari ramai orang yang sebelum ini sangat berminat dengan model SUV kedua keluarannya, X50. Tirai dinaikkan, dan sebahagian daripada perincian dan kelengkapan penawaran pun banyak yang didedahkan hari ini.

    Proton X50 akan hadir dalam empat varian; Standard, Executive, Premium dan Flagship. Gambar-gambar sebenar yang anda lihat ini menunjukkan varian paling tinggi, Flagship. Semua varian X50 diberikan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo, namun tiga versi paling rendah hadir dengan sistem suntikan bahan api pelbagai-titik (MPI), manakala varian Flagship menerima sistem suntikan bahan api terus (GDI).

    Jadi, untuk model Turbo-GDI, kuasa yang dihasilkan adalah sama seperti Geely Binyue 1.5 T-GDI iaitu 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Manakala untuk tiga varian lebih rendah dengan enjin Turbo-MPI pula, ia menjana kuasa lebih rendah iaitu 150 PS dan tork maksima 226 Nm.

    Proton X50 ini menggunakan platform B-segment Modular Architecture (BMA) Geely-Volvo yang menampilkan suspensi topang MacPherson di hadapan dan juga Torsion Beam di belakang. Ia dihasilkan dalam dengan dimensi 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,609 mm tinggi, bersama jarak roda 2,600 mm.

    Untuk tinjauan lebih lanjut berkenaan X50, kami bawakan anda video ini yang menyingkap segenap penawaran yang ada pada mdoel tersebut. Ketahui semua kelebihan, kekurangan serta nilai yang ditawarkan dengan menontonnya.

    GALERI: Pilihan warna Proton X50 2020

    Gambar rasmi Proton X50

     
     
  • Hyundai Tucson 2021 generasi ke-empat didedahkan

    Hyundai Tucson 2021 generasi ke-empat didedahkan

    Hyundai telah mendedahkan model SUV serba baharu Tucson, yang disahkan bakal mula dijual di Korea bulan ini. Ini merupakan Tucson generasi keempat, dan diposisikan di bawah segmen-C bagi SUV dan bersaing dengan model-model lain seperti Honda CR-V, Nissan X-Trail serta Toyota RAV4. Ia akan menggantikan model Tucson sedia ada, yang mula diperkenalkan pada 2015, dan diberi facelift baru pada 2018 sebelum ini.

    Bagi model serba baharu ini, Hyundai mengadaptasikan bahasa rekaan “Sensuous Sportiness” bagi rupa “dinamik parametrik” dengan beberapa permukaan permata kinetik yang banyak membantu menyerlahkan lagi gaya penampilannya.

    Gril parametrik membuatkan bahagian SUV ini kelihatan lebih bergaya dan futuristik, ditambah dengan lampu utama langsing Parametric Hidden Lights yang disambung pada gril berbentuk permata, dengan lampu nyalaan siang jenis separuh-cermin.

    Hyundai Tucson 2021 generasi ke-empat didedahkan

    Tema rekaan kinetik juga diteruskan pada bahagian belakang dengan padanan lampu lebar sepenuhnya, yang disambung pada bentuk segitiga separa-tersembunyi yang hanya boleh dilihat jika ia menyala, senada dengan tema pencahayaan di hadapan. Untuk memberikan ruang kepada bar cahaya yang tidak terganggu, Hyundai turut mengalihkan logo jenamanya ke bahagian skrin belakang, manakala bilah pengelap cermin belakang juga kini disembunyikan di bawah spoiler belakang untuk rupa yang lebih kemas.

    Secara keseluruhan, Tucson baharu ini memiliki imej ala coupe, dengan beberapa permukaan yang dinamik serta gerbang roda yang lebih menyerlah. Hyundai berkata, Tucson ini akan ditawarkan dengan versi jarak roda panjang dan pendek, bergantung pada negara bagi memenuhi kehendak pasaran masing-masing.

    Di dalamnya, kelihatan kabin “interspace” dengan gaya papan pemuka berlapis yang dibaluti kemasan perak. Manakala kluster instrumen digital turut ditampilkan dengan tidak banyak butang kawalan disertakan.

    Secara standard, panel tengah dua-skrin didatangkan bersama skrin sesentuh berwarna lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, yang diposisikan di atas panel kawalan suhu. Paparan navigasi 10.25-inci dengan skrin sesentuh dengan pengesan suara yang dipertingkatkan turut diberikan.

    Selain itu, ciri lain yang turut hadir termasuklah sistem audio Bose Premium, pencahayaan ambien 64-warna boleh laras hingga ke tahap 10 untuk kecerahannya serta fungsi Multi-Command.

    Tucson baharu ini juga menampilkan Hyundai Digital Key di mana dengan telefon pintar yang ada fungsi Near Field Communication (NFC) boleh digunakan sebagai kunci pintar untuk mengunci/membuka pengunci kenderaan, mengaktifkan panic alert dan menghidupkan enjin serta sistem kawalan suhu pada jarak sejauh 28 meter daripada kenderaan.

    Hyundai Tucson 2021 generasi ke-empat didedahkan

    Ciri pilihan yang ditawarkan untuk pasaran terpilih termasuklah sistem pembersih udara untuk sistem kawalan suhu dan juga Car-to-home baharu yang membolehkan pemandu mengawal peralatan rumah pintar seperti pencahayaan, pendingin hawa, dari dalam kenderaan sebagai persediaan sejurus tiba di rumah.

    Pada pengenalannya, Tucson ini akan ditawarkan dengan dua pilihan penjana kuasa. Yang pertama, unit petrol Smartstream 2.5 liter suntikan-terus empat-silinder NA yang menawarkan hamburan kuasa sehingga 190 PS dan tork 260 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan.

    Manakala pilihan kedua pula ialah unit pengecas turbo 1.6 liter empat-silinder, yang menampilkan sama ada versi hibrid atau plug-in hybrid bagi Tucson. Enjin ini mampu menghasilkan sehingga 180 PS dan 264 Nm, digabungkan dengan motor elektrik dan gabungan sistem ini mampu memberikan keseluruhhan kuasa sebanyak 230 PS dan 350 Nm.

    Hyundai Tucson 2021 generasi ke-empat didedahkan

    Tucson baharu ini juga akan disertakan dengan pilihan pacuan roda-hadapan dan pacuan semua-roda HTRAC, dengan versi hibrid dan PHEV yang turut didatangkan dengan teknologi E-Handling. Hyundai berkata, ia mampu menambah baik respon stereng dan kestabilan arah ketika di selekoh atau jika melalui keadaan jalan yang agak teruk.

    Bagi aspek keselamatnnya, Tucson ini dilengkapi dengan ciri keselamatan SmartSense yang merangkumi bantuan pemanduan lebuhraya (HDA), bantuan mengelak pelanggaran hadapan (FCA) dengan pengesan pejalan kaki, bantuan kekal lorong (LKA) dan bantuan ikut lorong (LFA) serta pemantauan pandangan titik buta secara standard. Selain itu, ia turut hadir dengan bantuan lampu tinggi dan paparan pandangan sekeliling.

    Sementara jualan domestiknya bermula pada bulan ini, pembeli di pasaran negara lain pula perlu menunggu sehingga tahun hadapan untuk membeli Tucson generasi ke-empat ini. Difahamkan, jualan peringkat global bagi SUV ini akan bermula pada separuh pertama tahun 2021. Menurut Hyundai, versi N Line untuk Tucson ini juga direncanakan bagi masa hadapan.

     
     
  • Proton X50 ditunjuk secara rasmi – tempahan dibuka, TGDi 1.5L 3-silinder, ciri semi autonomous Tahap 2

    Proton X50 ditunjuk secara rasmi – tempahan dibuka, TGDi 1.5L 3-silinder, ciri semi autonomous Tahap 2

    Sejak diumumkan, Proton X50 serta-merta menjadi sebuah model yang ditunggu-tunggu. Oleh kerana ia keluaran Proton, ramai juga yang berharap tanda harganya nanti menjadi betul-betul kompetitif bagi segmennya. Tambahan pula, ini segmen yang belum pernah ada penawaran daripada Proton; SUV kompak atau crossover segmen B – sama seperti ketika X70 diperkenalkan, ia menjadi yang pertama untuk Proton bagi SUV.

    Dan kini, bukan lagi rahsia yang model ini akan diperkenalkan secara rasmi dalam masa terdekat. Beberapa kali sebelum ini Proton X50 telah dilihat sedang diuji di jalanraya Malaysia, dan sempena Hari Merdeka tempohari, X50 sekali lagi diacah dalam video iklan Proton di mana model berkenaan turut membuat cameo. Kemudian, hujung minggu lalu, Proton tidak lagi mahu berselindung dengan model terbaru ini dengan menunjukkan gambar-gambar terawal X50 secara rasmi kepada umum.

    Hari ini mungkin hari yang dinantikan oleh mereka yang telah lama memendam rasa terhadap model ini – Proton X50 dipertontonkan dalam satu majlis di fasiliti Tanjung Malim – jangan salah faham, ini bukan pelancaran rasmi, sebaliknya sesi preview awal dengan sebahagian pendedahan perincian dan penawaran berkaitan model berkenaan.

    Faktanya, walaupun telah lama disebut-sebut, telah digunakan dan bukan lagi kejutan, hari ini secara rasmi Proton sendiri mengumumkan bahawa crossover segmen B ini sah akan menggunakan nama Proton X50. Dan, seperti yang telah kita lihat di dalam pendedahan rasmi Proton sebelum ini, X50 masih mengekalkan iras yang hampir sama dengan model ia diasaskan, iaitu Geely Binyue.

    Proton X50 ditunjuk secara rasmi – tempahan dibuka, TGDi 1.5L 3-silinder, ciri semi autonomous Tahap 2

    Menurut Proton lagi, untuk transformasi dari Binyue ke X50, kerja-kerja kejuruteraan semula yang dibuat melibat rombakan dilakukan pada 406 komponen dihasilkan unik untuk model pasaran Malaysia ini.

    Dari segi penawaran pula, Proton X50 akan hadir dalam empat varian; Standard, Executive, Premium dan Flagship. Gambar-gambar sebenar yang mengiringi laporan ini menunjukkan varian paling tinggi, Flagship. Kesemua varian X50 diberikan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo, namun tiga versi paling rendah hadir dengan sistem suntikan bahan api pelbagai-titik (MPI), manakala varian Flagship menerima sistem suntikan bahan api terus (GDI).

    Jadi, untuk model Turbo-GDI, kuasa yang dihasilkan adalah sama seperti Geely Binyue 1.5 T-GDI iaitu 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Manakala untuk tiga varian lebih rendah dengan enjin Turbo-MPI pula, ia menjana kuasa lebih rendah iaitu 150 PS dan tork maksima 226 Nm.

    Proton menjelaskan bahawa enjin 1.5 turbo MPI ini hanya dihasilkan khas untuk X50 di Malaysia dan belum digunakan oleh mana-mana jenama lain di bawah kumpulan Geely. Di China, selain dari enjin 1.5 liter T-GDI ini, Binyue ditawarkan dalam versi lebih rendah 1.0 liter T-GDI dan 1.4 liter empat-slinder turbo – anda boleh bayangkan rakyat Malaysia yang akan tak henti-henti bertanya sama ada SUV ini boleh ‘panjat Genting’ atau tidak sekiranya ia ditawarkan sebagai varian lebih rendah di sini.

    Walaupun enjin dengan sistem MPI tersebut menghasilkan kuasa 27 PS/29 Nm kurang dari versi GDI, ia masih lagi antara model yang paling berkuasa dalam kelas SUV segmen-B. Sebagai perbandingan, Honda HR-V 1.8L i-VTEC menghasilkan 140 hp/172 Nm dan Toyota C-HR 1.8 Dual VVT-i menghasilkan 138 hp/171 Nm.

    Proton X50 ditunjuk secara rasmi – tempahan dibuka, TGDi 1.5L 3-silinder, ciri semi autonomous Tahap 2

    Walau bagaimanapun, kedua-dua enjin berkenaan menerima hanya menerima satu jenis kotak gear yang sama iaitu transmisi klac-berkembar automatik tujuh-kelajuan yang dibangunkan bersama Geely-Volvo. Juga, ia hanya memacu roda hadapan tanpa pilihan sistem pacuan semua roda.

    Proton X50 ini diasaskan dari platform B-segment Modular Architecture (BMA) Geely-Volvo yang menampilkan suspensi Topang McPherson di hadapan dan juga Torsion Beam di belakang. Ia dihasilkan dalam dengan dimensi 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,609 mm tinggi, bersama jarak roda 2,600 mm.

    Sebagai perbandingan, dimensi X70 pula adalah 4,519 mm panjang, 1,831 mm lebar dan 1,694 mm tinggi, dengan jarak roda 2,670 mm. Manakala berbanding pesaing utamanya Honda HR-V, X50 adalah 4 mm lebih pendek, 10 mm lebih lebar, 4 mm lebih tinggi serta jarak roda yang 10 mm lebih pendek.

    Dari wajah depan, X50 dilengkapi dengan rekaan jeriji infinite weave dengan jalur bingkai warna merah. Tidak lupa juga, X50 menggunakan logo baru Proton di tengahnya, dengan saiz yang sedikit lebih besar. Bahagian ini diapit oleh penggunaan lampu utama LED dengan dua jalur DRL di dalamnya, yang menyumbang kepada rupa khusus model ini. Semua varian X50 akan dibekalkan dengan lampu hadapan LED, manakala varian Executive ke atas diberikan fungsi lampu automatik dan juga lampu kabus LED.

    Proton X50 ini nyata nampak lebih mendebarkan jika diperhatikan dengan teliti. Anda boleh lihat ‘otot-otot’ yang bermula pada penutup bonet hadapan bersambung pada fender sisi, dan kemudian ia mengalir ke pintu, mewujudkan satu garis bahu yang cukup jelas dan memberikan imej lebih teguh. Cermin sisi paling belakang diberikan garisan bawah seperti X70, manakala tiang-D menerima kemasan hitam bagi membuatkan bumbung nampak seakan terapung.

    Berita baik, semua varian X50 menerima kit badan agresif seperti Binyue varian Sport di China dengan ciri seperti bampar hadapan lebih garang dengan gril lebih besar, skirt sisi lebih menyerlah dan diffuser bawah bampar belakang yang juga lebih besar dengan kemasan seakan gentian karbon. Tetapi X50 tidak diberikan spoiler bumbung bersaiz besar seperti Binyue kerana Proton merasa ia terlalu ‘melebih-lebih’, namun ia tetap diberikan spoiler dengan rekaan dua slot.

    Untuk tiga varian lebih rendah, tiada skema warna dua-tona yang diberikan. Untuk roda pula, dua varian bawah X50 ini tampil dengan rim aloi bersaiz 17-inci, manakala bagi model Premium dan Flagship menerima rim aloi bersaiz 18-inci dalam kemasan dua-tona, bersama angkup brek yang diwarnakan merah.

    Kesemua varian Proton X50 ini menerima dua tip ekzos berkembar atau empat corong logam yang diserlahkan pada setiap sisi diffuser – berbeza dengan pengeluar lain khususnya dari Eropah yang cenderung memberikan tip palsu pada diffuser, tip logam berkembar pada Proton X50 ini adalah tip ekzos sebenar.

    Emblem ‘T-GDI’ diberikan pada bahagian bawah pintu model Flagship, manakala model lain dibiarkan kosong. Sebanyak enam pilihan warna badan ditawarkan untuk Proton X50 ini iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ocean Blue, Citric Orange dan Passion Red. Model Flagship juga tampil dengan skema warna dua-tona, dengan kemasan cat hitam pada bumbung.

    Di dalam, rekaan yang sama seperti yang pernah dilihat pada Binyue masih dikekalkan. Ia direka dengan menampilkan kemasan aluminium brushed serta corong pendingin hawa yang kelihatan seperti bahagian belakang enjin jet, bersama ruang storan terlindung di bahagian belakang konsol tengah persis rekaan-rekaan dari Volvo, serta hendal pemegang untuk penumpang hadapan pada konsol terowong.

    Pemandu menerima paparan panel instrumen digital dengan skrin LCD bersaiz tujuh-inci. Untuk sistem infotainmen pula, model Premium dan Flagship menerima skrin beresolusi 1920×720 dengan saiz 10.25-inci, manakala varian lebih rendah diberikan skrin beresolusi 1024×600 dengan saiz hanya 8-inci.

    Kedua-dua skrin tersebut dikuasakan dengan sistem Geely Key User Interface (GKUI) 19 sama seperti Binyue Pro. Namun untuk hubungan 4G, versi lebih rendah menampilkan slot kad eSIM pada pemain utama, manakala versi tertinggi diberikan eSIM yang terletak di dalam kotak telemetik.

    Sistem ini dikatakan lebih responsif dengan pemproses quad-core dan unit pemproses grafik (GPU) khas untuknya, serta hadir dengan lebih banyak fungsi. Ini merupakan antaramuka baru jika dibandingkan dengan apa yang ada pada X70, tetapi kekal menampilkan aplikasi yang sama – antaranya ialah navigasi atas talian baharu (tidak lagi menggunakan aplikasi Baidu) dan aplikasi streaming muzik Joox.

    Apple CarPlay dan Android Auto masih tidak disediakan dalam kedua-dua sistem tersebut, namun ia hadir dengan fungsi mirroring QDLink, yang membolehkan aplikasi telefon pintar anda tidak kira iOS atau Android dapat digunakan pada skrin infotainmen X50 ini.

    Semua varian X50 dilengkapi dengan sistem arahan suara “Hi,Proton”. Namun untuk varian Standard dan Executive, kawalan sistem berkenaan hanya terhad kepada sistem infotainmen sahaja seperti sistem pada Persona dan Iriz. Manakala pada varian Premium dan Flagship, ia menampilkan kawalan untuk sistem elektronik lain seperti sistem pendingin hawa, tingkap berkuasa dan lain-lain sama dengan sistem pada X70.

    Dua model tertinggi X50 ini juga menerima sistem kawalan jauh menggunakan telefon pintar menerusi aplikasi Proton Link seperti X70. Dengan sistem ini, anda boleh menghidupkan enjin terlebih dahulu sebelum masuk ke kereta untuk tujuan memanaskan enjin. Jika anda tidak masuk ke kereta dalam masa 10 minit, enjin akan dimatikan secara automatik.

    Namun, versi pada X50 ini telah ditambah baik di mana selain menghidupkan enjin, ia juga boleh mengawal tetapan sistem pendingin hawa seperti suhu dan tempoh masa operasi dari jarak jauh. Dan jika anda malas mahu menggunakan aplikasi telefon pintar, kunci kawalan jauh X50 ini juga turut disertakan dengan suis penghidup enjin, sama seperti Honda Civic FC dan Honda Accord 1.5 Turbo.

    Proton X50 juga nampaknya diberikan elemen infinite weave pada kabin di mana rekaan yang diinspirasikan dari ukiran kayu pada rumah tradisional melayu tersebut boleh dilihat pada kemasan penutup tweeter dan juga gril pembesar suara pada pintu. Namun pada suis larasan ketinggian lampu hadapan dan pemalap instrumen serta pada kemasan panel suis/lampu pada bumbung masih kelihatan elemen rekaan tembok besar China sama seperti Binyue.

    Untuk membezakan setiap varian, versi asas standard menerima upholsteri fabrik dan paparan dari kamera undur pada skrin infotainmen, manakala untuk versi Executive menerima roda stereng yang dibalut kulit bersama tempat duduk dengan upholsteri kulit sintetik. Kedua-dua varian permulaan ini diberikan tema dalaman berwarna hitam sepenuhnya.

    Manakala untuk versi Premium, ia ditambah dengan tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-hala, kamera pemantau 360 darjah dan juga sistem pemantau tekanan tayar. Untuk varian tertinggi Flagship pula hadir dengan tambahan bumbung panaromik.

    Varian tertinggi ini turut menampilkan upholsteri kulit dengan tema warna merah-hitam pada bahagian kabin. Balutan-balutan kulit tersebut bukan hanya pada tempat duduk, malah turut diberikan pada papan pemuka dan juga panel pintu yang juga menggunakan material sentuhan lembut.

    Sebagai model yang dikaitkan dengan Volvo, sudah tentu aspek keselamatan antara faktor yang menggusarkan saingan lain dalam kelasnya. Model asas diberikan empat beg-udara, sistem brek ABS, EBD bersama BA, kawalan kestabilan elektronik, bantuan mula mendaki, serta cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX di belakang. Model Executive ke atas pula diberikan enam-beg udara.

    Manakala untuk model Flagship, ia menampilkan fungsi pemanduan sendiri (autonomous) tahap 2, terdiri dari cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, bantuan kekal tengah di lorong, bantuan kekal lorong dan juga sistem bantuan parkir yang membolehkan ia diparkir sendiri oleh komputer pada kedudukan selari dan berserenjang.

    Jadi, berapa harga jualan untuk semua varian Proton X50 ini? Malangnya, Proton masih belum membuka mulut tentang perkara ini dan kita masih perlu menunggu sehingga pelancaran rasminya nanti. Walau bagaimanapun, bermula esok, 16 September 2020, serentak dengan sambutan Hari Malaysia, SUV ini sudahpun boleh ditempah dengan bayaran sebanyak RM500.

    Proton memberitahu bahawa mereka berupaya untuk menghasilkan sebanyak 8,000 unit X50 untuk sepanjang tahun 2020. Jadi sebelum tempoh pengecualian cukai jualan yang diberikan kerajaan dalam insentif PENJANA, mereka akan berusaha untuk menghantar seberapa banyak unit dari 8,000 unit tersebut kepada pelanggan bagi membolehkan pembeli menikmati potongan harga tanpa cukai SST.

    Namun sekiranya ada unit-unit yang tidak sempat untuk dihantar sebelum 31 Disember, Proton mengarahkan semua pengedarnya agar memberikan tarikh sebenar kereta tersebut akan diberikan, dan menerangkan kepada pelanggan sama ada mereka dapat atau tidak pengecualian cukai jualan berkenaan.

    Untuk melihat dengan jelas perincian setiap spesifikasi Proton X50 ini, anda boleh bacanya pada PAUTAN INI.

    GALERI: Proton X50 1.5 T-GDI Flagship 2020

    GALERI: Pilihan warna Proton X50 2020

    Gambar rasmi Proton X50

     
     
  • Proton X50 2020: Perbezaan spesifikasi bagi setiap varian — Standard, Executive, Premium dan Flagship

    Proton X50 2020: Perbezaan spesifikasi bagi setiap varian — Standard, Executive, Premium dan Flagship

    Jadi, hari ini Proton X50 telah pun dipertontonkan dan dibuka untuk tempahan secara rasmi esok, walaupun masih belum lagi dilancarkan. Tetapi, itu sudah cukup untuk membolehkan sebahagian daripada perincian penawarannya juga turut diumumkan.

    Satu perkara yang ramai yang ingin tahu tentulah penawaran spesifikasinya. Dan, itu memang telah didedahkan dengan perincian penuh. Keseluruhannya akan ada empat varian untuk pengguna – 1.5T Standard, 1.5T Executive, 1.5T Premium dan 1.5L TGDi Flagship.

    X50 merupakan SUV kedua oleh Proton selepas X70; jika SUV X70 menggunakan asas dari model Geely Boyue, X50 juga mengikut jejak yang sama dengan menggunakan asas daripada model yang lebih kecil, Geely Binyue (juga dikenali dengan nama Coolray di sesetengah pasaran).

    Proton X50 2020: Perbezaan spesifikasi bagi setiap varian — Standard, Executive, Premium dan Flagship

    Dari segi penampilan, tidak banyak perbezaan antara Binyue dan X50. Bagaimanapun, menurut Proton, sekitar 406 komponen telah menerima peralihan atau rekaan baru, terutamanya yang melibatkan peralihan kedudukan pemanduan dari sebelah kiri ke sebelah kanan. Perbezaan paling ketara, seperti yang ramai sedia maklum, ialah rekaan gril infinite weave yang digunakan; kontras antar hitam dengan bahagian busur panahnya kini dengan warna merah.

    Logo baru “kepala harimau” Proton juga digunakan, dengan saiz yang lebih besar daripada logo lama sebelum ini dan lebih mudah dilihat. Logo yang sama turut ada pada rim. Banyak kelengkapan menarik, dari segi kualiti dan juga teknologi, yang ada pada X50, terutama pada varian Flagship yang anda lihat ini. Lampu misalnya menggunakan jenis LED penuh di depan dan belakang.

    Dari segi saiz, X50 tidak jauh berbeza dari Honda HR-V yang berada dalam segmen yang sama. X50 mempunyai dimensi ukuran 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,609 mm tinggi. Ini bermakna X50 adalah 4 mm lebih pendek, 10 mm lebih lebar dan 4 mm lebih tinggi berbanding HR-V. Jarak antara rodanya juga 10 mm lebih pendek.

    Proton X50 2020: Perbezaan spesifikasi bagi setiap varian — Standard, Executive, Premium dan Flagship

    Daripada empat varian yang ditawarkan itu pula, terdapat dua enjin berbeza yang melengkapi model ini. Tiga model paling bawah – Standard, Executive dan Premium – menggunakan unit “1.5T” turbo dengan janaan kuasa 150 PS dan 226 Nm; ini merupakan penawaran yang unik untuk pasaran Malaysia, kerana baru pertama kali digunakan.

    Paling penting dan menarik tentulah varian Flagship. Walaupun dengan kapasiti yang sama, unit 1.5L adalah berbeza – turbocas tiga-silinder petrol yang dibangunkan oleh Volvo dan Geely. Enjin ini menjana sebanyak 177 PS dan 255 Nm tork dari 1,500 hingga 4,000 rpm. Semua varian X50 digandingkan dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan. Tak ada versi 4WD untuk SUV kompak ini.

    Sama seperti Binyue, X50 menggunakan platform B-segment Modular Architecture (BMA) oleh Geely, dengan tetapan suspensi MacPherson strut di depan dan torsion beam di belakang. X50 akan dipasang sepenuhnya di kilang Proton Tanjung Malim, dengan ketika ini kadar kandungan tempatannya berada pada tahap 40%. 70 vendor tempatan terlibat di dalam projek ini.

    Untuk mengetahui dengan lebih terperinci perbezaan spesifikasi bagi setiap varian, sila rujuk senarai pecahan di bawah.

      Proton X50 1.5T Standard 2020

      Ciri standard:

    • 1.5 liter turbocas tiga-silinder petrol
    • Sekitar 150 PS dan 226 Nm tork
    • DCT tujuh-kelajuan (klac basah) automatik dengan mod manual
    • Empat beg udara
    • Lampu dan DRL LED
    • Rim aloi 17-inci
    • Kerusi balutan fabrik
    • Corong pendingin hawa belakang
    • Unit infotainmen dengan skrin lapan-inci
    • Kamera undur
    • Proton X50 1.5T Executive 2020

      Tambahan:

    • Enam beg udara
    • Stereng balutan kulit
    • Lampu automatik
    • Lampu kabus depan
    • Kerusi balutan kulit
    • Proton X50 1.5T Premium 2020

      Tambahan:

    • Sistem pemantauan tekanan tayar
    • Rim aloi 18-inci
    • Kerusi kuasa elektrik untuk pemandu
    • Unit infotainmen dengan skrin sentuh 10.25-inci
    • Kamera 360-darjah
    • Proton X50 1.5 TGDi Flagship 2020

      Tambahan:

    • 1.5 liter turbocas suntikan terus tiga-silinder petrol
    • 177 PS dan 255 Nm tork
    • Advanced Driver Assistance System (ADAS)
    • Warna luaran dua tona (bumbung dan tiang hitam)
    • Bumbung kaca panoramik

    Enam warna diberikan sebagai pilihan, termasuk; Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ocean Blue, Citric Orange dan Passion Red. Tempahan mula dibuka esok, 16 September dengan bayaran RM500. Siri jelajah setiap bandar utama juga akan dilakukan oleh Proton bermula 19 September nanti. Jika berminat, anda boleh mendekati model ini nanti untuk melihat dari dekat.

    GALERI: Pilihan warna Proton X50 2020

    Proton X50 1.5 TGDi Flagship 2020

    Gambar rasmi Proton X50

     
     
  • Aston Martin AMR-C01 – simulator lumba RM305k

    Aston Martin AMR-C01 – simulator lumba RM305k

    Aston Martin buat pertama kalinya telah memperkenalkan sebuah simulator mewah AMR-C01 yang dibangunkan bersama dengan syarikat Curv Racing Simulators. Hanya 150 buah akan dijual, pada harga £57,500 (RM305,745) dan penghantaran kepada pelanggan akan bermula hujung tahun ini.

    Untuk rekaan simulator ini – dibangunkan sendiri oleh pasukan pereka Aston Martin di ibu pejabat – ia dibuat dengan mengambil inspirasi daripada kereta Aston Martin sementara bahagian dalamnya pula diberitahu mempunyai posisi tempat duduk seperti hypercar Valkyrie.

    Badan monocoque AMR-C01 dibuat daripada gentian karbon, memberikan kedudukan yang tegap dan kemudiannya dijadikan lengkap dengan kemasan serta kualiti akhir seperti kereta Aston Martin. Bahagian hadapan mempunyai gril Aston Martin Racing. Bagi sistem permainannya, Curv telah menggunakan perisian terkini Assetto Corsa.

    Aston Martin AMR-C01 – simulator lumba RM305k

    “Ini adalah satu cabaran bagi pasukan rekaan. Walaupun simulator ini bukan sebuah kereta, ia masih diinspirasikan daripada kereta lumba kami. Ia mestilah menunjukkan ciri elegan yang sama, mempunyai garis dinamik sama dan seimbang seperti kereta Aston Martin lain dalam dunia lumba,” kata ketua pegawai kreatif Aston Martin, Marek Reichman.

    “Kami telah mencipta sebuah simulator rumah luar biasa yang dapat menawarkan pengguna peluang untuk berlumba dalam dunia virtual secara memuaskan, dari rumah. Sasaran kami adalah untuk membina sebuah simulator yang dapat memberikan kepuasan seperti kereta lumba sebenar,” kata pakar simulator daripada Curv, Darren Turner.

     
     
  • Porsche Taycan 2020 akan diperkenalkan di Malaysia 18 September ini – saksikan secara langsung di sini

    Porsche Taycan 2020 akan diperkenalkan di Malaysia 18 September ini – saksikan secara langsung di sini

    Kereta yang dinobatkan sebagai kereta paling inovatif di dunia, iaitu Porsche Taycan akan membuat penampilan pertama di Malaysia, 18 September, Jumaat ini. Sama seperti majlis pengenalan 911 Speedster dan 718 sebelum ini, anda juga boleh menyaksikan pelancaran digital Taycan melalui pautan ini.

    Kereta elektrik pertama Porsche ini diperkenalkan kepada dunia pertama kali pada Spetember 2019, dan telah memenangi lebih 40 anugerah antarabangsa termasuk World Car of the Year 2020 (untuk kedua-dua World Performance Car dan World Luxury Car), China Green Car of the Year, German Car of the Year dan Game Changer of the Year oleh BBC TopGear Magazine.

    Taycan menggunakan asas penggerak 800 volt berteknologi tinggi dan dipasang dengan transmisi dua kelajuan pada bahagian gandar belakang. Saintis daripada Centre of Automotive Management (CAM) juga memberi pengiktirafan kepada penjanaan semula kuasa tinggi oleh kenderaan ini yang boleh mencecah 265 kW – terbaik dalam segmennya.

    Porsche Taycan 2020 akan diperkenalkan di Malaysia 18 September ini – saksikan secara langsung di sini

    Pada masa ini terdapat tiga versi Taycan yang ditawarkan iaitu untuk permulaan, Taycan 4S yang berkuasa 571 PS dan boleh gerak sehingga 463 km, Taycan Turbo dengan kuasa 680 PS dan 850 Nm tork, dan paling atas, Taycan Turbo S yang mampu menghasilkan 761 PS dan 1,050 Nm tork dalam mod overboost. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan model ini dalam masa cuma 2.8 saat.

    Kedua-dua Taycan Turbo S dan Turbo menggunakan bateri 93.4 kWh (79.2 kWh untuk Taycan 4S), seterusnya memberikan jarak gerak antara 381 hingga 450 km untuk Taycan Turbo, dan 388 hingga 412 km untuk Turbo S. Semua jumlah ini adalah apabila menggunakan kitaran WLTP.

    Untuk mengecas, semua tiga varian boleh menggunakan pengecas pantas DC 270 kW. Selepas dicas 5.5 minit, kereta sudah boleh bergerak sehingga 100 km. Daripada tahap 5%, ia boleh dicas sehingga 80% (untuk bateri Turbo dan Turbo S yang lebih besar) melalui pengecas 270 kW sama akan mengambil masa cuma 22.5 minit. Anda juga boleh menggunakan pengecas AC 11 kW, tetapi ia akan mengambil masa sembilan jam untuk penuh.

     
     
  • Perodua sumbang lebih 7,700 unit pelindung muka ke sekolah rendah sekitar Putrajaya dan Hulu Selangor

    Perodua sumbang lebih 7,700 unit pelindung muka ke sekolah rendah sekitar Putrajaya dan Hulu Selangor

    Perodua kian giat aktif dalam misi kemanuasiaan dan kerja amalnya membantu golongan masyarakat setempat. Terkini, syarikat pengeluar kereta ini telah menyumbang lebih 7,700 pelindung muka kepada 66 sekolah rendah di kawasan Putrajaya dan Hulu Selangor baru-baru ini, untuk kegunaan kakitangan akademik dan sokongan.

    “Setelah menyumbang kira-kira 11,000 pelindung muka kepada sekolah-sekolah menengah di Putrajaya dan Hulu Selangor pada Jun, Perodua kini menyumbang kepada sekolah-sekolah rendah pula di kawasan-kawasan tersebut.

    “Tujuan sumbangan ini adalah untuk perlindungan, kesihatan dan kesejahteraan para murid, guru dan kakitangan sokongan. Selain itu, ia juga sebagai tanda penghargaan kepada kerajaan atas usaha-usaha mereka dalam menangani COVID-19. Malah ini juga sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat sekeliling yang telah menyokong dan menyambut baik kami selama 27 tahun kami bertapak di sini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Perodua sumbang lebih 7,700 unit pelindung muka ke sekolah rendah sekitar Putrajaya dan Hulu Selangor

    Setakat ini, Perodua telah menyerahkan lebih 30,000 pelindung muka secara keseluruhan, antaranya kepada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Majlis Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah dan klinik-klinik Hulu Selangor, Majlis Perbandaran Selayang dan para penjaja pasar pagi dan malam di Hulu Selangor dan Selayang.

    Dihasilkan oleh salah satu syarikat bersekutu Perodua, pelindung muka tersebut mempunyai bahagian pelindung tahan kabus yang diperbuat daripada polyethylene terephthalate untuk penglihatan yang optimum. Kusyen span pada bahagian dahi menghalang kemasukan titisan air manakala jalur elastik boleh dilaraskan untuk pemakaian yang selamat dan selesa.

    “Di Hari Malaysia ini, Perodua, sebagai syarikat yang prihatin, bertanggungjawab dan mengutamakan insan, ingin menyeru rakyat Malaysia supaya terus berwaspada dan mematuhi semua garis panduan kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan, agar kita dapat menewaskan COVID-19 sebagai satu negara,” ujar Dato’ Zainal.

     
     
  • SPYSHOT: BMW M235i xDrive Gran Coupe F44 di M’sia

    SPYSHOT: BMW M235i xDrive Gran Coupe F44 di M’sia

    BMW Malaysia bakal melancarkan model BMW 2 Series Gran Coupé F44 tidak lama lagi, dan varian 218i M Sport berwarna Misano Blue pernah dikesan sedang diangkut di atas treler oleh pembaca paultan.org Athiithan Khan. Dan terbaharu, sekali lagi model ini telah dikesan sedang diangkut dengan treler tapi kali ini melibatkan varian M218i xDrive dengan balutan penyamaran, yang dikesan oleh pembaca alldisc. Malah ia merupakan model spesifikasi tertinggi kerana merupakan satu-satunya varian dalam barisan F44 yang menerima dua corong ekzos trapezoidal dan low profile spoiler di atas but.

    Sebagai varian tertinggi, M235i xDrive menerima pakej M Sport secara standard, merangkumi gril ‘kidney’ BMW, corong pengambilan udara besar, serlahan luaran Cerium Grey dan roda aloi lima-jejari berkembar 18-inci dibaluti tayar Pirelli P Zero UHP.

    Selain itu, ia turut menerima pertambahan ciri lain termasuk kawalan suara Intelligent Personal Assistant dan Digital Key yang membolehkan pemandu membuka pengunci dan menghidupkan enjin menerusi telefon pintar Samsung terpilih.

    SPYSHOT: BMW M235i xDrive Gran Coupe F44 di M’sia

    Pesaing bagi Mercedes-AMG CLA 35 ini dijanakan oleh enjin B48 2.0 liter empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 306 PS dan tork 450 Nm. Pecutan dari titik sifar ke 100 km/j boleh dicapai dalam masa 4.9 saat dan kelajuan maksimum mampu mencecah 250 km/j. Penggunaan bahan api kombinasi dianggarkan sekitar 6.7 hingga 7.1 liter per 100 km.

    Kuasa disalurkan ke semua roda menerusi kotak gear sport auto lapan-kelajuan dan sistem xDrive AWD yang turut dilengkapi dengan mechanical Torsen limited-slip differential.

    Ciri tambahan lain termasuk strut tower brace, pengukuh di sekitar subframe hadapan dan tunnel tengah, stereng, brek dan suspensi M Sport serta sistem near-actuator wheel slip limitation (ARB) yang membantu mengurangkan understeer kuasa.

    Untuk keselamatan, dijangkakan pakej Driving Assistant akan ditawarkan secara standard, ini termasuklah amaran ketibaan lorong, bantuan kekal lorong, amaran pelanggaran belakang dan amaran lintasan trafik, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop/go, brek kecemasan sendiri dan mungkin juga dengan sistem Bantuan Parkir.

     
     
  • Honda N-One 2020 ditunjuk di Jepun — gaya baru, Honda Sensing, enjin turbo, enam-kelajuan manual

    Honda N-One 2020 ditunjuk di Jepun — gaya baru, Honda Sensing, enjin turbo, enam-kelajuan manual

    Untuk tahun 2020, Honda N-One dijangka akan diberi banyak peningkatan, dengan pelancarannya untuk pasaran Jepun adalah pada musim luruh tahun ini. Kei-car lima-pintu ini mengambil ilham daripada model klasik N360, dan mula diperkenalkan pada 2012 sebelum diberi kemaskini facelift pada 2017.

    Model barunya masih mengekalkan bentuk dan menampilan comel yang terdahulu, tetapi dengan beberapa kemaskini menggayaan seperti DRL bentuk bulat untuk lampu depan LED-nya. Di belakang, lampunya juga menerima rekaan baru, dengan gelung kanan cahaya baru serta diode persendirian untuk memberikan menampilan yang tersendiri.

    Honda akan menawarkan N-One dalam tiga tingkat kemasan; Original akan menerika palang hitam di atas gril serta bukaan intake bahagian bawah yang direka semula. Versi Premium pula menggunakan rekaan gril hexagonal serta kemasan metalik pada bahagian bawah bampar, dan juga dengan rim antara saiz 14 atau 15-inci – saiz yang lebih besar itu adalah bagi varian Premium Tourer.

    Honda N-One 2020 ditunjuk di Jepun — gaya baru, Honda Sensing, enjin turbo, enam-kelajuan manual

    Versi yang paling sporty ialah RS, yang menggunakan rekaan gril yang sama seperti Premium, tetapi tanpa rekaan melintang di dalamnya. Ia juga menerima rim 15-inci multispoke, komponen dalam warna hitam serta wing belakang. Sama seperti sebelum ini, kereta kompak ini hadir dengan penawaran pelbagai pilihan warna – satu tona atau dua-tona – untuk bahagian luaran, begitu juga dengan pelbagai aksesori lain.

    Di dalam, papan pemuka N-One diberi rekaan serba baru, yang mirip dengan rekaan dalaman pada Jazz terkini. Corong udara bulat untuk pemandu, manakala bukaan bersegi untuk penumpang – mungkin ada sedikit keanehan bagi sesetengah orang. Skrin sentuh utama di tengah, dan di bawahnya terletak tombol kawalan pendingin hawa.

    Brek elektronik dengan fungsi auto brake hold yang menggantikan brek kaki pada model terdahulu. Roda stereng dan kluster instrumen untuk memandu juga diberi rekaan baru, sementara barisan slot USB tersusun di bahagian bawah di tengah.

    Honda N-One 2020 ditunjuk di Jepun — gaya baru, Honda Sensing, enjin turbo, enam-kelajuan manual

    Dari sudut keselamatan, sistem Honda Sensing akan ditawarkan sebagai standard pada N-One buat kali pertama. Dan ini termasuk beberapa fungsi seperti brek kecemasan autonomous, mengekalkan lorong, kawalan melayar adaptif, false start suppression, pengesan tanda jalan dan lampu tinggi automatik.

    Perincian mekanikal masih belum didedahkan, tetapi N-One RS akan menerima enjin turbocas dan transmisi manual enam-kelajuan. Oleh kerana peraturan kei-car di negara itu, kemungkinan besar model ini akan menggunakan enjin tiga-silinder 660 cc sedia ada, yang menghasilkan 64 PS dan 104 Nm. Versi tanpa turbo enjin yang sama akan menghasilkan 58 PS dan 65 Nm, digandingkan dengan CVT dan sistem pacuan semua roda.

     
     
  • SPYSHOT: Honda HR-V 2021 dijumpai sedang jalani ujian jalan raya di Jepun – ia kini nampak lebih besar

    SPYSHOT: Honda HR-V 2021 dijumpai sedang jalani ujian jalan raya di Jepun – ia kini nampak lebih besar

    Honda HR-V generasi kedua sudah pun berada cukup lama dalam pasaran – muncul di Jepun sebagai Vezel pada akhir 2013, kemudian masuk ke pasaran Malaysia pada awal 2015. Kebiasaannya satu-satu model dari Jepun itu hanya berada dalam pasaran sekitar enam-tahun, dan HR-V jelas sudah berada pada hujung usia produksinya.

    Jadi tidak hairanlah, unit prototaip generasi seterusnya sudah pun dilihat mula diuji di Jepun. Unit prototaip yang dibalut sepenuhnya dengan pelekat penyamaran ini dijumpai Daikoku PA di Metropolitan Expressway, Tokyo – tempat yang terkenal sebagai ‘port lepak’ jika anda sering mengikuti perkembangan budaya ubahsuai Jepun, terutamanya di ‘Wangan Bay Route’.

    Gambar ini dimuat naik oleh pengguna Twitter dengan akaun Date_aHikarin, dan boleh dilihat rupa keseleruhan HR-V generasi baharu ini agak berlainan dari model generasi sedia ada. Pada bahagian hadapan, model baharu ini menerima lampu utama yang lebih nipis, dengan lampu nyalaan siang bina dalam bersama jalur LED yang membentuk kening. Ia juga menerima gril hadapan yang nampak seakan jelas membentuk enam penjuru, dengan elemen bar melintang yang nipis di tengah.

    SPYSHOT: Honda HR-V 2021 dijumpai sedang jalani ujian jalan raya di Jepun – ia kini nampak lebih besar

    Namun, ia masih menerima perincian-perincian identiti HR-V sedia ada seperti liang udara bawah pada bampar hadapan dan juga lekuk pada penutup bonet enjin yang mengalir ke tiang-A. Cermin sisi pula nampaknya kini telah ‘disangkut’ pada bahagian pintu hadapan, dan lampu belakang pula nampak lebih nipis.

    HR-V ini turut dilihat menerima antena sirip yu pada bumbungnya, manakala pembuka pintu belakang masih kekal ‘disorok’ di atas panel pintu belakang seperti model sedia ada. Bahagian belakang HR-V ini juga nampak seakan lebih panjang dari sebelum ini.

    Ada laporan mengatakan bahawa saiz Honda HR-V 2021 ini sememangnya dihasilkan lebih besar dari model sebelumnya. Berdasarkan apa yang lazimnya dibuat oleh Honda terhadap model-model lain, jarak roda HR-V baharu ini mungkin juga lebih panjang bagi memberikan kabin yang lebih besar.

    SPYSHOT: Honda HR-V 2021 dijumpai sedang jalani ujian jalan raya di Jepun – ia kini nampak lebih besar

    Ruang kepala dan kargo di bahagian belakang juga mungkin dihasilkan lebih besar kerana ia tidak lagi menampilkan garis bumbung yang ‘bulat’ di belakang, tetapi lebih rata dengan cermin belakang direka lebih landai dan bersegi.

    Masih lagi belum jelas tentang perincian mekanikal lain, namun boleh dijangka HR-V ini mungkin turut akan diberikan varian yang dijana oleh sistem petrol hybrid terbaharu Honda iaitu Sport Hybrid i-MMD seperti Honda Fit dan juga Honda City RS pasaran Malaysia.