Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • BMW M1000RR – versi prestasi yang dipertingkat secara menyeluruh, kuasa 212 hp dan tork 113 Nm

    BMW M1000RR – versi prestasi yang dipertingkat secara menyeluruh, kuasa 212 hp dan tork 113 Nm

    Sejak penghujung tahun 2018, BMW telah mula memperkenalkan aksesori tambahan dan prestasi M untuk superbike S 1000 RR (RR). Kini, semasa pelancaran dua model kereta M3 G80 dan M4 G82, orang ramai dikejutkan lagi dengan pengenalan M 1000 RR (dipanggil ringkas sebagai M RR).

    Ini adalah model M pertama yang menggunakan asas daripada S 1000 RR dan pelbagai bahagiannya dipertingkat untuk lebih prestasi. Antara yang utama adalah enjin empat silinder 999 cc padanya kini mampu menghasilkan kuasa 212 hp pada 14,500 rpm dan 113 Nm tork pada 11,000 rpm. Enjin ini juga diberitahu mempunyai nisbah mampatan lebih tinggi (13.5:1), pelbagai bahagian di dalam yang dinaik taraf, dan lebih berkuasa daripada RR pada tahap rpm antara 6,000 hingga 15,100.

    Untuk menghasilkan lebih banyak cengkaman dan memastikan kuasa dapat disampaikan ke atas jalan secara efektif sepanjang masa, panel badan motosikal ini dipasang dengan winglet gentian karbon serta penghadang angin jenis menggelembung yang lebih tinggi.

    Melalui M RR ini juga, BMW buat pertama kalinya telah memasang brek prestasi M pada motosikal, yang dibangunkan dengan pengalaman BMW Motorrad dalam dunia perlumbaan, terutamanya Superbike World Championship. Angkup brek ini menggunakan warna biru, berserta logo M dan dipadankan bersama rim gentian karbon M untuk prestasi terbaik.

    Panel instrumen TFT 6.5 inci M RR, adalah sama dengan RR tetapi ia mempunyai grafik animasi permulaan M. Kemudiannya, jika pemilik menaik taraf kepada pakej M Competition, ia boleh disambung dengan M GPS data logger dan laptrigger untuk memberikan informasi terperinci prestasi di dalam litar.

    Barangan lain yang termasuk dalam pakej M Competition adalah komponen aluminium seperti pada tempat letak kaki, lengan ayun yang lebih ringan 220 gram, rantai M Endurance serta penutup untuk tempat duduk belakang.

    BMW M1000RR – versi prestasi yang dipertingkat secara menyeluruh, kuasa 212 hp dan tork 113 Nm

    Kembali kepada bahagian enjin, antara bahagian yang dinaik taraf dan menjadi penyumbang kepada peningkatan prestasi dan kuasanya adalah injap titanium, piston 12 gram lebih ringan, rocker arm lebih kurus dan ringan serta connecting rod titanium.

    Motosikal ini juga dilengkapi dengan sistem ekzos titanium 3.7 kg lebih ringan, klac anti-hopping, tujuh mod tunggangan (Rain, Road, Dynamic, Race dan Race Pro 1-3), Dynamic Traction Control (DTC), DTC Wheelie Control, Engine Braking Control, Shift Assistant Pro (quickshifter) yang boleh diterbalikkan untuk penukaran jenis GP, bateri M serba ringan, Adaptive Cruise Control serta suspensi yang dinaik taraf dengan kinematik Full Floater Pro.

    Harga M RR masih belum didedah tetapi tentunya ia dijangka dijual pada harga lebih mahal berbanding RR yang dilengkapi dengan pakej M sebelum ini. Walaubagaimanapun, harga model yang boleh digunakan atas litar dan jalan biasa ini dijangka tidak akan melebihi HP4 Race.

     
     
  • Hyundai Sonata N-Line – rekaan penuh didedahkan

    Hyundai Sonata N-Line – rekaan penuh didedahkan

    Selepas lebih setahun Hyundai Sonata generasi terkini membuat kemunculan, akhirnya versi lebih sporty yang disebut-sebut iaitu Sonata N-Line didedahkan secara rasmi oleh jenama Korea berkenaan. Walau bagaimanapun, ini adalah pendedahan awalan tanpa disertakan sebarang perincian spesifikasi teknikal.

    Hyundai menyifatkan model ini sebagai “menjanjikan pengalaman yang membuatkan nadi berdegup laju di dalam sedan dengan rupa paling hangat di jalan raya buat masa sekarang”. Seperti yang anda boleh lihat, rupa Sonata yang sememangnya sudah kacak ini, diberikan penggayaan yang lebih agresif.

    Gril Cascading pada model ini diberikan kemasan hitam bersama lencana N-Line, manakala liang udara sisi pada bampar dihasilkan lebih besar dengan elemen rekaan kemasan seperti mata anak panah, bersama gril bawah juga lebih besar dari versi biasa.

    Hyundai Sonata N-Line – rekaan penuh didedahkan

    Lencana N-Line juga dilekatkan pada kedua-dua belah fender hadapan, dan penampilan bahagian sisi ini menerima rupa lebih garang menerusi pemadanan rim 19-inci istimewa N-Line dibalut tayar UHP berprofil rendah 245/40R19.

    Sekali tengok, belakang Sonata N-Line ini nampak sama dengan versi standard. Tetapi jika anda lihat dengan teliti, ia diberikan sepasang tip ekzos tambahan menjadi empat corong ekzos kelihatan pada bahagian diffuser di bawah bampar.

    Rupa bahagian kabin juga masih kelihatan sama dengan Sonata standard, namun ia diberikan perincian-perincian N-Line yang tersendiri seperti tempat duduk sport dan roda stereng N-line, serlahan jahitan benang merah pada upholsteri dan juga kemasan-kemasan krom gelap.

    Walaupun ia bukan model berprestasi dengan lencana Hyundai N penuh, Sonata N-Line ini dikhabarkan bakal menerima enjin yang lebih berkuasa dari versi biasa – dijangka menerima enjin 2.5 liter turbo berkuasa 290 hp dan tork 422 Nm, bersama kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan sama seperti Kia K5 GT.

    Untuk model biasa, ia ditawarkan dengan dua pilihan enjin; 1.6 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI), berkuasa 185 hp dan tork maksima 241 Nm, dan enjin NA 2.5 liter Smartstream dengan sistem suntikan bahan api terus, menjana 191 hp dan tork maksima 245 Nm.

    Model generasi baharu ini mungkin akan tiba ke pasaran Malaysia tidak lama lagi, di mana ia telah muncul dalam iklan Hyundai Kona dan juga video Hari Malaysia oleh Hyundai-Sime Darby Motors baru-baru ini.

     
     
  • Berbasikal di lebuhraya tetap tidak dibenarkan – PDRM

    Berbasikal di lebuhraya tetap tidak dibenarkan – PDRM

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sekali lagi telah mengulangi kenyataan berhubung dengan aktiviti berbasikal di lebuhraya yang sehingga kini masih tidak dibenarkan.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, walau demikian, aktiviti berbasikal masih dibenarkan di Jalan Persekutuan, Jalan Negeri, Jalan Bandaran dan lain-lain jalan, laporan Bernama.

    Dalam masa yang sama, JSPT turut menasihati penunggang basikal yang ingin menjalankan aktiviti berkenaan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya ditetapkan demi menjamin keselamatan diri mereka serta pengguna jalan raya lain.

    “JSPT mendapati isu larangan penggunaan basikal di lebuh raya seluruh negara kini sedang hangat diperkatakan oleh orang ramai terutama penggemar aktiviti berbasikal,” katanya.

    Jelasnya, mana-mana individu yang gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Apabila disabitkan, pesalah boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM2,000,” katanya.

     
     
  • Mercedes-Benz G 350 d tiba di M’sia – RM 1 juta, dijana enjin turbodiesel 3.0L enam-silinder, 286 PS/600 Nm

    Mercedes-Benz G 350 d tiba di M’sia – RM 1 juta, dijana enjin turbodiesel 3.0L enam-silinder, 286 PS/600 Nm

    Serentak dengan pengenalan Mercedes-Benz GLB X247 hari ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut melancarkan satu lagi varian untuk SUV G-Class pada pasaran Malaysia iaitu G 350 d. Jadi jika anda hanya mahukan gaya sebuah jentera off-road dengan gaya klasik bersama teknologi terkini tanpa mahukan prestasi rasaksa seperti Mercedes-AMG G 63 yang telah pun berada dalam pasaran sejak November 2018, G 350 d ini adalah jawapannya.

    Model ini dijana oleh enjin turbodiesel OM656 3.0 liter enam-silinder sebaris dengan pengecas turbo dua peringkat serta sistem injap bervariasi Camtronic. Ia menghasilkan kuasa kuda maksima 281 hp (286 PS) bermula 3,400 hingga 4,600 rpm, serta tork maksima 600 Nm yang dicapai seawal 1,200 hingga 3,200 rpm.

    Kuasa dihantar ke kesemua roda menerusi kotak gear automatik konvensional 9G-Tronic sembilan-kelajuan, dan sistem pacuan semua roda dengan agihan tork 40:60. Ini membolehkan G 350 d tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.4 saat dan mampu mencatatkan kelajuan maksima 199 km/j.

    Mercedes-Benz G 350 d tiba di M’sia – RM 1 juta, dijana enjin turbodiesel 3.0L enam-silinder, 286 PS/600 Nm

    Model ini juga menampilkan sistem suspensi dengan penyerap hentak adaptif, bersama cagak enjin aktif yang pertama kali diperkenalkan pada barisan model G-Wagen. Cagak enjin tersebut berada dalam mod lebih lembut ketika ia bergerak di bawah 5 km/j, dan ia akan mengeras sendiri pada kelajuan lebih tinggi bagi memberikan ‘keselesaan getaran dan dinamik pemanduan’.

    Versi pasaran Malaysia ini hadir dengan rim aloi pelbagai jejari AMG berdiameter 20-inci, termasuk pakej penggayaan luaran AMG Line, AMG Night Package, serta pakej logam tahan karat.

    Ia turut menerima perincian lain seperti pelindung bawah berwarna perak, running board, jalur pelindung luaran bersama kemasan pinstripe hitam, dan juga angkup brek dengan tulisan ‘Mercedes-Benz’. Kelengkapan standard yang diberikan termasuk lampu hadapan LED Multibeam, bumbung suria gelangsar, dan juga cermin hadapan dengan pemanas.

    Dalam kabin, G 350 d hadir dengan pakej pengayaan Exclusive dengan kemasan metal weave, tali keledar berwarna merah, serta balutan kulit pada bahagian panel atas dan bawah papan pemuka bersama serlahan jahitan benang merah. Ia juga diberikan roda stereng dengan butang pelbagai fungsi yang dibalut kulit Nappa, serta sistem Comand Online dan sistem audio dari Burmester.

    SUV ini tidak terkecuali dari menerima mod pemanduan Dynamic Select, dengan lima mod yang memberikan talaan berbeza pada enjin, transmisi, suspensi dan stereng mengikut tahap sporty yang dimahukan oleh pemandu.

    Manakala untuk keselamatan pula, G 350 d hadir dengan sistem dan kit bantuan pemanduan seperti bantuan brek aktif yang memberikan brek kecemasan automatik, bantuan anggaran jarak aktif Distronic, bantuan parkir Parktronic dengan pakej parkir bersama kamera undur, dan pelbagai lagi.

    Walaupun ia adalah varian lebih rendah, bukan bermaksud ia dijual dengan harga murah – model yang diimport sepenuhnya Mercedes-Benz G 350 d ini ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insuran RM999,888. Walau bagaimanapun, ia adalah jauh lebih ‘mampu milik’ berbanding AMG G 63 yang dijual pada harga RM1,464,888 ketika dilancarkan kira-kira dua tahun lalu.

     
     
  • Kenderaan baharu juga boleh mengalami kebocoran gas karbon monoksida – naib pengerusi NIOSH

    Kenderaan baharu juga boleh mengalami kebocoran gas karbon monoksida – naib pengerusi NIOSH

    Kejadian yang menimpa empat sekawan yang mengalami keracunan gas karbon monoksida (CO) selepas tidur di dalam kenderaan yang tidak bergerak tapi enjin masih dihidupkan, di Pulau Pinang, baru-baru ini cukup menyedihkan. Tiga daripadanya meninggal dunia, dikenali sebagai Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri, dan Nor Adilah Mohd Safwan, manakala yang masih dirawat adalah Nor Aqilah, yang merupakan kembar kepada Nor Adilah.

    Insiden ini menerima pelbagai maklumbalas daripada pakar mahu pun netizen yang memberikan pandangan mengikut fakta yang relevan, dan tak kurangnya ada yang mengulas secara membuta tuli. Walau bagaimana pun, kita disarankan agar tidak lekas terpengaruh dengan teori yang tidak tepat, termasuklah ada yang berkata kebocoran gas CO hanya boleh berlaku terhadap kenderaan lama sahaja.

    Malah ada juga yang berkata, tidur dalam kenderaan yang tidak bergerak, tetapi enjin dihidupkan dan tingkap dibuka sedikit untuk pengudaraan, tidak akan mendatangkan bahaya.

    Menurut Naib Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Senator Datuk T. Mohan, kedua-dua pandangan berkenaan adalah tidak tepat.

    Katanya, tanggapan umum bahawa kebocoran gas karbon monoksida hanya boleh berlaku pada kenderaan lama tidak benar kerana ia juga boleh berlaku pada kenderaan baharu. Selain itu, pendapat segelintir pihak kononnya menurunkan cermin kenderaan dapat mengelak keracunan gas karbon monoksida juga tidak tepat, laporan Bernama

    “Enjin kenderaan dihidupkan dalam jangka masa panjang tanpa disedari kebocoran gas boleh berlaku daripada ekzos dan masuk ke kabin penumpang. Kebocoran gas itu dapat dikesan dengan tanda awal seperti perubahan suhu dalam kabin dan rasa loya. Jika ada tanda-tanda ini, tingkap perlu dibuka dengan segera selain penyaman udara dan enjin juga perlu dimatikan dengan segera,” katanya.

    Tambahnya, pemandu diingatkan agar tidak tidur dalam kenderaan dengan enjin dihidupkan kerana ia boleh menyebabkan keracunan gas karbon monoksida.

    Mohan turut mengingatkan pemandu yang mengantuk agar berhenti dan berehat di luar kenderaan atau di tempat sesuai dengan kitaran udara yang baik, selamat serta segar tanpa membahayakan diri sendiri.

    “Pengguna kenderaan juga katanya perlu memastikan penyaman udara kenderaan diselenggara sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh enam bulan bagi mengelak insiden tidak diingini,”katanya lagi.

     
     
  • BMW M3 G80, M4 G82 – gambar rasmi bocor awal

    BMW M3 G80, M4 G82 – gambar rasmi bocor awal

    Melalui gambar spyshot dan teaser rasmi yang dikeluarkan, kita sudah boleh tahu gambaran awal rupa BMW M3 G80 dan M4 G82 yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Kini, beberapa gambar rasmi pula telah bocor awal dan didedahkan kepada umum oleh laman Instagram CarsWithoutLimits.

    Selain rekaan gril yang menyerupai 4 Series Coupe G22 (dilancarkan pada bulan Jun lalu), kereta prestasi sedan dan coupe ini juga dilihat menggunakan warna unik model masing-masing iaitu Isle of Man Green dan Sao Paulo Yellow.

    Seperti biasa, rupa hadapan dua model ini kelihatan serupa, tetapi M4 nampak seperti lebih lebar dan menggunakan rim berwarna hitam. Rekaan rim ini nampak seperti sama, dengan M3 pula menggunakan warna yang lebih cerah.

    BMW M3 G80, M4 G82 – gambar rasmi bocor awal

    Pada bahagian belakang, kedua-dua model mendapat empat muncung ekzos yang keluar pada diffuser, manakala bukaan udara di penjuru bampar pula kelihatan lebih tinggi dan rapat ke lampu pada M4. Selain logo BMW, tiada lencana pada M3 tetapi M4 mendapat lencana yang diwarnakan hitam.

    Turut boleh dilihat adalah kedua-dua model ini menggunakan bumbung warna hitam, yang berkemungkinan adalah unit gentian karbon bagi mengurangkan berat. Bagi enjin, keduanya telah disahkan menggunakan unit enam silinder twin turbo 3.0 liter S58 dengan kuasa 480 PS untuk versi standard dan 510 PS bagi versi Competition. Enjin 510 PS dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan sementara enjin 480 PS pula bersama transmisi manual enam kelajuan.

    GALERI: Spyshot BMW M3 G80

    GALERI: Spyshot BMW M4 G82

     
     
  • Proton X50 – kadar penggunaan bahan api didedah; 6.4 L setiap 100km untuk 1.5L 3-silinder Turbo GDI

    Proton X50 – kadar penggunaan bahan api didedah; 6.4 L setiap 100km untuk 1.5L 3-silinder Turbo GDI

    Selepas pendedahan eksklusif untuk pihak media dibuat minggu lalu, Proton masih belum mengumumkan bila tarikh sebenar X50 ini akan dilancarkan secara rasmi dalam pasaran. Buat masa sekarang, jenama automotif nasional tersebut sedang menjalankan ‘City Preview’, menjelajah ke destinasi tertentu bagi membolehkan tetamu yang dijemput melihat dengan lebih dekat SUV segmen-B yang akan menjadi saingan utama kepada Honda HR-V berkenaan.

    Apa yang menarik, ada maklumat didedahkan ketika sesi ‘City Preview’ tersebut yang tidak disebut ketika sesi untuk media di Tanjung Malim sebelumnya, iaitu kadar penggunaan bahan api untuk X50 ini.

    Seperti yang diberitahu sebelum ini, tiga varian lebih rendah akan dijana oleh enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan sistem suntikan pelbagai titik (MPI) menghasilkan 150 PS/226 Nm, manakala varian tertinggi Flagship pula dijana enjin sama tetapi dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI) menghasilkan 177 PS/255 Nm.

    Untuk itu, slide pada pembentangan ketika majlis City Preview berkenaan tertulis bahawa varian Standard, Executive dan Premium dengan enjin Turbo MPI akan memberikan kadar penggunaan bahan api 6.5 liter untuk setiap 100 km (15.4 km/l), manakala model dengan enjin 1.5L T-GDI pula mampu mencatatkan bacaan lebih rendah iaitu 6.4 liter setiap 100 km (15.6 km/l).

    Walau bagaimanapun, ia tidak memperincikan ujian kitaran yang digunakan, tetapi ia mungkin kitaran sama seperti kadar yang diumumkan pada Proton X70 iaitu bacaan kitaran gabungan yang diperolehi dari Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii). Proton X70 menerima pengiktirafan EEV dari MARii dengan kadar penggunaan bahan api 7.6 liter untuk setiap 100 km (13.2 km/l).

    Walaupun Proton menawarkan enjin berbeza bergantung kepada varian, kotak gear yang diberikan pada kedua-dua jenis enjin adalah sama iaitu transmisi klac-berkembar jenis basah automatik tujuh-kelajuan yang dibangunkan oleh Geely bersama Volvo, dan kuasa hanya memacu roda hadapan.

    Untuk perincian lain, kami telah pun mendedahkan secara ekstensif dalam laporan eksklusif untuk majlis minggu lalu dan anda boleh bacanya pada artikel di PAUTAN INI. Namun gambar-gambar yang kami sertakan hanyalah dari varian tertinggi Flagship kerana Proton masih belum menunjukkan model-model dalam varian lebih rendah.

    Tetapi untuk membandingkan spesifikasi setiap varian, ia adalah seperti berikut:

      Proton X50 1.5T Standard 2020

      Ciri standard:

    • 1.5 liter turbocas tiga-silinder petrol
    • Sekitar 150 PS dan 226 Nm tork
    • DCT tujuh-kelajuan (klac basah) automatik dengan mod manual
    • Empat beg udara
    • Lampu dan DRL LED
    • Rim aloi 17-inci
    • Kerusi balutan fabrik
    • Corong pendingin hawa belakang
    • Unit infotainmen dengan skrin lapan-inci
    • Kamera undur
    • Proton X50 1.5T Executive 2020

      Tambahan:

    • Enam beg udara
    • Stereng balutan kulit
    • Lampu automatik
    • Lampu kabus depan
    • Kerusi balutan kulit
    • Proton X50 1.5T Premium 2020

      Tambahan:

    • Sistem pemantauan tekanan tayar
    • Rim aloi 18-inci
    • Kerusi kuasa elektrik untuk pemandu
    • Unit infotainmen dengan skrin sentuh 10.25-inci
    • Kamera 360-darjah
    • Proton X50 1.5 TGDi Flagship 2020

      Tambahan:

    • 1.5 liter turbocas suntikan terus tiga-silinder petrol
    • 177 PS dan 255 Nm tork
    • Advanced Driver Assistance System (ADAS)
    • Warna luaran dua tona (bumbung dan tiang hitam)
    • Bumbung kaca panoramik

    GALERI: Pilihan warna Proton X50 2020

    Proton X50 1.5 TGDi Flagship 2020

    Gambar rasmi Proton X50

     
     
  • Mercedes-AMG GLB 35 4Matic kini di Malaysia — 2.0 liter turbo, 306 PS; 0-100 km/j 5.2 saat, dari RM363k

    Mercedes-AMG GLB 35 4Matic kini di Malaysia — 2.0 liter turbo, 306 PS; 0-100 km/j 5.2 saat, dari RM363k

    Pelancaran barisan model Mercedes-Benz GLB Z247 di Malaysia hari ini turut disertai oleh satu varian AMG, Mercedes-AMG GLB 35 4Matic. Dijual pada harga RM363,136.52 atas jalan tanpa insurans serta pengecualian cukai SST yang masih berlangsung hingga 31 Disember 2020 nanti, ini model paling berkuasa bagi GLB yang ditawarkan.

    Bagaimanapun, GLB 35 ini tidak didatangkan dengan pilihan tujuh-tempat duduk untuk barisan ketiga, maka kapasiti maksimum hanyalah lima penumpang. Untuk mengimbangkan kekurangan tersebut, GLB sarat dengan kuasa; enjinnya menggunakan unit M260 2.0 liter empat-silinder yang menjana 306 PS (302 hp) dari 5,800 hingga 6,100 rpm dan 400 Nm tork dari 3,000 rpm hingga 4,000 rpm.

    Ia digandingkan pula dengan transmisi lapan-kelajuan AMG Speedshift DCT klac berkembar, serta sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic. Dari sudut prestasi, SUV ini memecut 0-100 km/j dalam masa hanya 5.2 saat dengan laju maksimum yang dihadkan secara elektronik pada 250 km/j. GLB 35 ini turut hadir dengan ciri suspensi adaptif AMG Ride Control dan rim aloi 20-inci AMG sebagai standard.

    Mercedes-AMG GLB 35 4Matic kini di Malaysia — 2.0 liter turbo, 306 PS; 0-100 km/j 5.2 saat, dari RM363k

    Cakera brek berliang digunakan, dengan saiz 350 mm untuk memberi daya brek yang cekap pada model ini, dengan kaliper empat-omboh untuk bahagian depan. Di belakang, cakera saiz 330 mm digunakan, dengan kaliper omboh tunggal. Kelengkapan lain bagi varian ini termasuk lampu depan Multibeam LED dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, yang tiada pada GLB varian biasa. Pakej luaran AMG Line juga adalah standard, dengan GLB 35 menggunakan gril Panamericana serta muncung ekzos bulat untuk membezakannya daripada model biasa.

    Di dalam, GLB 35 berkongsi beberapa perkara yang sama dengan GLB 250, termasuk stereng balutan kulit Nappa, kemasan karbon, kemasan kulit Artico/mikrofiber Dinamica (dengan benang merah), tikar lapik AMG dan kerusi sport (tali keledar merah).

    Mercedes-AMG GLB 35 4Matic kini di Malaysia — 2.0 liter turbo, 306 PS; 0-100 km/j 5.2 saat, dari RM363k

    Kelengkapan standard bagi varian ini termasuk sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan paparan 10.25-inci khas AMG, kawalan pendingin hawa dua-zon Thermotronic dengan corong belakang, kerusi depan larasan elektrik dengan fungsi memori, lampu suasana, model LTE bagi servis Mercedes me connect, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, berserta sistem bunyi Burmester.

    Aspek keselamatan, GLB 35 dilengkapi dengan kamera undur, bantuan titik buta, penghidup enjin dari jauh, Active Parking Assist dengan Parktronic, Pre-Safe, bantuan brek aktif, Keyless-Go, sistem tinjauan tekanan tayar dan pintu ruang belakang Easy-Pack. Satu ciri yang ada pada varian ini tetapi tidak ada pada GLB biasa ialah bantuan mengekalkan lorong aktif.

     
     
  • Mercedes-Benz GLB dilancarkan di Malaysia — GLB 200 Progressive Line, GLB 250 AMG Line; dari RM269k

    Mercedes-Benz GLB dilancarkan di Malaysia — GLB 200 Progressive Line, GLB 250 AMG Line; dari RM269k

    Mercedes-Benz Malaysia hari ini memperkenalkan secara rasmi model kompak terbaru, GLB X247 untuk pasaran tempatan. Dibangun menggunakan binaan MFA2 (Modular Front Architecture), model ini pertama kali dipertontonkan di peringkat global Jun lalu, dan diposisikan antara GLA dan GLC sebelum ini.

    Untuk pasaran Malaysia, GLB ditawarkan dalam dua varian – GLB 200 Progressive dan GLB 250 4Matic AMG Line – serta pilihan ketiga model AMG, GLB 35 4Matic. GLB 200 dijual pada harga RM269,118.15 manakala GLB 250 pula pada harga RM318,009.26. Ini merupakan harga atas jalan tanpa insurans. Sekadar perbandingan, model GLC ketika ini dijual bermula RM286,379 bagi GLC 200. Jaminan tanpa had empat-tahun disertakan sekali.

    Apa bezanya GLB dengan GLC, misalnya? Selain beza platform yang digunakan (GLC dengan platform pacuan belakang Modular Rear Architecture, MRA), GLB menyediakan pilihan tempat duduk untuk tujuh penumpang (dalam tiga baris) berbanding GLC yang cuma hadir dengan lima-tempat duduk.

    Mercedes-Benz GLB dilancarkan di Malaysia — GLB 200 Progressive Line, GLB 250 AMG Line; dari RM269k

    Walaupun disifatkan sebagai kenderaan kompak Mercedes-Benz, GLB mempunyai saiz yang akan “lumayan” besar. Dengan 4,634 mm panjang, 1,834 mm lebar, 1,659 mm (lima-tempat duduk) atau 1,663 mm (tujuh-tempat duduk) tinggi, serta dengan 2,829 mm jarak antara roda, saiz GLB lebih mirip GLC (dengan dimensi 4,656 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,639 mm tinggi serta jarak antara roda 2,873 mm).

    Dari segi rekaan, GLB menampilkan praktikaliti. Pendekatan rekaan berkotak digunakan, dengan bahagian bumbung yang rata hingga ke belakang, termasuk bahagian depan yang tegar dengan rekaan lampu petak dan gril enam-bucunya – berbeza sedikit penampilannya dengan model dalam kategori kompak yang lain.

    GLB 200 hadir dengan pakej Progressive, yang termasuk di dalamnya gril depan dengan dua jalur melintang serta skid plate di depan, dan juga kemasan krom pada bahagian dalam pintu serta yang menghiasi muncung ekzos berkembarnya. GLB 250 pula sementara itu datang dengan kemasan AMG Line, tampil dengan bampar depan yang lebih agresif. Ia juga menerima kemasan krom di depan dan belakang – dengan gril rekaan jalur tunggal serta diffuser di belakang.

    Mercedes-Benz GLB dilancarkan di Malaysia — GLB 200 Progressive Line, GLB 250 AMG Line; dari RM269k

    Kedua-dua varian menerima lampu LED High Performance dengan landasan bumbung aluminium sebagai standard, dibezakan dengan rim aloi yang digunakan; GLB 200 menggunakan saiz 18-inci manakala GLB 250 dengan saiz 19-inci rim AMG jejari berkembar. Pilihan luaran pula terdiri daripada lapan warna; Polar White, Iridium Silver, Denim Blue, Galaxy Blue, Digital White, Cosmos Black, Mountain Grey dan Patagonia Red.

    Di dalam, papan pemukanya mirip rekaan yang sama pada model kompak Mercedes-Benz yang lain; corong udara bulat serta sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) digunakan. Ini termasuk paparan 10.25-inci dan dikawal melalui skrin sentuh sentral, kawalan pada stereng, touchpad atau pengesanan suara.

    Semua ini penawaran standard bagi GLB 200 dan GLB 250, termasuk modul LTE yang membolehkan penggunaan servis Mercedes me connected, sokongan kepada Android Auto dan Apple CarPlay, kerusi depan kuasa elektrik dengan fungsi memori, pintu ruang belakang kuasa elektrik, serta kawalan pendingin hawa dua zon Thermotronic.

    Bagi ciri keselamatan, kedua-dua varian turut datang dengan kamera undur, Active Parking Assist dengan Parktronic, Pre-Safe, bantuan brek aktif, Keyless Go, sistem peninjau tekanan tayar dan pintu ruangan belakang Easy Pack.

    Kelengkapan yang khusus untuk varian bagi GLB 200 pula termasuk kemasan corak gelung, stereng balutan kulit, kerusi selesa, tikar alas kaki dan kemasan kerusi kulit buatan Artico hitam. GLB 250 pula mendapat lebih perincian; ini termasuk kemasan struktur karbon, stereng balutan kulit Nappa, kerusi sport, kemasan kulit Artico/mikrofiber Dinamica (dengan benang merah), lampu suasana, tikar AMG, bantuan titik buta dan fungsi menghidupkan enjin dari jauh.

    Untuk enjin, GLB 200 pacuan roda depan dikuasakan oleh unit M282 yang sama digunakan pada A 200. Enjin 1.33 liter turbocas empat-silinder berkenaan menghasilkan 163 PS (161 hp) pada 5,500 rpm dan 250 Nm tork dari 1,620 hingga 4,000 rpm. Ini digandingkan dengan transmisi 7G-DCT tujuh-kelajuan klac berkembar.

    Mercedes-Benz GLB dilancarkan di Malaysia — GLB 200 Progressive Line, GLB 250 AMG Line; dari RM269k

    GLB 250 pula menggunakan enjin yang lebih berkuasa, 2.0 liter turbo empat-silinder – unit sama digunakan pada A 250 – dengan janaan 224 PS (221 hp) pada 5,800 rpm dan 350 Nm dari 1,800 hingga 4,000 rpm. Ini digandingkan pula dengan kotak gear 8G-DCT klac berkembar lapan-kelajuan serta sistem pacuan semua roda 4Matic.

    Suspensi yang mengutamakan keselesaan adalah standard bagi kedua-dua varian, tetapi GLB 250 dilengkapi dengan pakej Off-Road Engineering, yang ada tambahan mod pemanduan bagi sistem Dynamic Select-nya, serta fungsi Downhill Speed Regulation (DSR) dan paparan khas pada kluster instrumen digitalnya.

    Mercedes-Benz GLB 200 Progressive X247


    Mercedes-Benz GLB 250 AMG Line X247


     
     
  • Ford Ranger XLT Plus 2020 kini di Malaysia – RM130k

    Ford Ranger XLT Plus 2020 kini di Malaysia – RM130k

    Sime Darby Auto ConneXion telah mengumumkan satu lagi varian Ford Ranger T6 2020 telah pun berada di pasaran. Varian Ranger XLT Plus merupakan model Ranger 2020 yang diperkenalkan pada tahun ini selepas pengenalan Raptor, WildTrak dan FX4.

    Semakan yang dibuat terhadap Ranger XLT Plus facelift ini melibatkan rekaan baharu bagi lampu utamanya, seperti mana yang ditampilkan pada Raptor dan WildTrak. Ia merangkumi kanta projektor persegi dan unit pencahayaan yang lebih terang dengan unit bi-LED yang menawarkan 17% pencahayaan penembusan yang lebih baik untuk meningkatkan penglihatan pada waktu malam. Unit LED terbabit adalah bagi menggantikan konfigurasi lampu tinggi halogen/lampu utama xenon yang digunakan pada model terdahulu.

    Bukan itu sahaja, XLT Plus turut menerima kemasan bampar dengan warna badan baharu bersama lip bumper rona perak seperti yang ditampilkan pada WildTrak. Varian ini turut menerima gril krom baharu yang didatangkan secara eksklusif.

    Ford Ranger XLT Plus 2020 kini di Malaysia – RM130k

    Selain itu, semuanya masih kekal sama seperti mana model sebelumnya. XLT Plus dijanakan oleh enjin 2.0 liter EcoBlue turbodiesel, dengan konfigurasi turbo-tunggal yang menawarkan kuasa hingga 180 PS dan tork 420 Nm. Penjana kuasa ini masih dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan.

    Kelengkapan standard termasuklah kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, Easy Lift Tailgate, sistem infotainmen SYNC 3 dengan skrin sesentuh lapan-inci, enam pembesar suara dan kamera undur serta tempat duduk balutan kulit, pendingin hawa auto dwi-zon dan sistem MyKey. Untuk kit keselamatan, XLT Plus dilengkapi dengan dua beg udara, ABS, EBD, kawalan menurun bukit dan bantuan naik bukit.

    Terdapat lima warna luaran yang ditawarkan untuk Ranger XLT Plus facelift ini iaitu Aluminium Metallic, Arctic White, Lightning Blue, Meteor Grey dan Absolute Black. Trak pikap ini ditawarkan pada RM129,888 (harga atas jalan, tanpa insurans), dan sama seperti barisan Ranger lain, ia didatangkan dengan waranti tiga-tahun atau 100,000 km, yang mana tiba terlebih dahulu.

     
     
  • Nissan Sylphy kini model paling laris China; syarikat dilihat bakal pulih di pasaran kedua terbesar global

    Nissan Sylphy kini model paling laris China; syarikat dilihat bakal pulih di pasaran kedua terbesar global

    Seperti yang ramai tahu, Nissan antara syarikat automotif yang sedang terjejas bukan sahaja akibat pandemik Covid-19, malah bergelut dengan skandal dalaman membabitkan bekas pengerusinya, Carlos Ghosn sejak 2018. Namun setelah pelbagai usaha dibuat, jenama tersebut dilihat kini sedang memulih, terutamanya di pasaran automotif kedua terbesar di dunia iaitu China, menurut laporan Automotive News.

    Di China, Nissan mewujudkan kerjasama 50:50 dengan DongFeng Motor Group, membolehkan ia menjadi antara jenama Jepun yang terkuat di republik berkenaan. Jun lalu, jualan jenama tersebut berada ditangga keempat (tidak termasuk MPV) dengan pegangan pasaran 6.7%, mengekori dua lagi syarikat kerjasama Volkswagen Group di China dan juga GM-SAIC Motor.

    Ketika jualan global Nissan merudum secara drastik pada bulan sama, penghantaran di China hanya jatuh 1%, dan ia masih mewakili jualan satu pertiga dari jumlah jualan global sebanyak 4.93 juta kereta. Jualan Nissan di negara berkenaan sebenarnya telah meningkat sejak April, dan kemuncaknya pada Julai lalu dengan jualan 121,000 unit (naik 12% berbanding Julai 2019).

    Malah pada bulan Ogos lalu, jualan sedan segmen-C Nissan Sylphy generasi baharu telah mengatasi jualan Volkswagen Lavida untuk menjadi model paling laris di pasaran negara berkenaan. CEO Nissan Ashwani Guota memberitahu Bloomberg News bahawa syarikatnya “telah membuat penampilan yang kukuh di China dan akan terus bertumbuh dengan fokus kepada kepuasan pelanggan.”

    Bersama Dongfeng, ia mensasarkan untuk meningkatkan jumlah jualan kenderaan kepada 2.6 juta unit menjelang 2022. Nissan telah menjual sebanyak 1.55 juta unit kereta di China dalam tahun fiskal terkininya.

    Setiausaha agung Persatuan Kereta Penumpang China (CPCA), Cui Dongshu berkata: “Pencapaian Nissan di China adalah kerana kuasa jenamanya yang menarik menerusi model-model yang kompetitif dihasilkan berberapa tahun kebelakangan ini. Namun ia masih lagi sukar untuk berhadapan dengan Toyota kerana jenama tersebut telah membuktikan daya saing mereka dalam inovasi serta kompetensi dalam memenangi hati pengguna kenderaan bukan hanya menerusi jenama Toyota, malah juga dengan Lexus.”

    Penganalisa Bloomberg, Tatsua Yoshida pula menambah bahawa 12 bulan mendatang adalah sangat kritikal untuk Nissan, dan ia perlu memperkenalkan lebih banyak model baharu. “Jika Nissan lambat walaupun sedikit, ia akan terus meletakkan mereka di posisi lebih lemah. Toyota dan Nissan akan sentiasa hadir dengan model baharu,” katanya.

    Jualan kenderaan di China merangkumi hampir 30% dari jumlah jualan kenderaan kenderaan seluruh dunia, dan ia adalah satu-satunya negara di dunia dengan jumlah jualan keseluruhan tahunan yang boleh mencapai 20 juta unit.

     
     
  • MINI Electric First Edition – terhad 15 unit, RM238,380

    MINI Electric First Edition – terhad 15 unit, RM238,380

    BMW Group Malaysia telah memperkenalkan MINI Electric First Edition, iaitu sebuah model keluaran istimewa yang dijual cuma untuk 15 unit sahaja. Jika dibandingkan dengan model Cooper SE biasa yang digunakan sebagai asas kepada model ini, harga MINI Electric First Edition adalah lebih RM20,000, iaitu pada RM238,380. Ia datang sekali dengan jaminan tanpa had batuan serta servis berkala percuma selama empat tahun, dan jaminan lapan tahun atau 100,000 km untuk bateri.

    Antara ciri unik model First Edition ini adalah warna MINI Yours Enigmatic Black, bumbung panoramik, plet tepi pintu First Edition, kemasan First Edition pada fender (siap dengan nombor keluaran), serta cermin anti silau. Pelanggan juga masih diberikan pilihan warna White Silver, tetapi kedua-duanya masih lagi menggunakan rekaan rim 17 inci yang sama, dibalut dengan tayar run-flat.

    Bahagian dalam dibalut dengan kulit Walknappa Leather Lounge Upholstery dan terdapat kemasan unik lain seperti corak Union Jack pada penyandar kepala, roda stereng Walknappa Leather Lounge dengan jahitan putih serta tempat duduk hitam.

    Barangan lain adalah sama seperti Cooper SE, termasuk sistem bunyi Harman Kardon 12 pembesar suara, lampu suasana LED 12 warna, panel instrumen 5.5 inci, kawalan pendingin hawa dua zon, serta skrin sesentuh 8.8 inci untuk sistem MINI Visual Boost dengan sambungan MINI Connected dan Apple CarPlay.

    Penggerak elektrik kenderaan ini juga tidak diubah, di mana ia masih menyediakan 184 hp (135 kW) pada 7,000 rpm dan tork 270 Nm dari 100 hingga 1,000 rpm, serta padanan transmisi satu kelajuan yang membenarkan ia memecut 0-60 km/j dalam masa 3.9 saat, 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat dan mencecah kelajuan maksimum 150 km/j (dihadkan secara elektronik).

    Bateri yang memberikan kuasa adalah unit lithium ion 32.6 kWh, yang beroperasi pada kadar 350.4 volt. Menurut MINI, ia boleh memberikan jarak gerak 234 km mengikut kitaran WLTP (270 km mengikut kitaran NEDC). Berkenaan cas, kereta ini datang dengan pengecas 11 kW dan kabel pengecas tiga pin Type 2 untuk kegunaan di rumah biasa. Pengecas MINI Wallbox Plus 22 kW dengan kabel Type 2 pula disediakan sebagai pilihan tambahan.

    MINI Electric First Edition – terhad 15 unit, RM238,380

    Apabila menggunakan pengecas 11 kW (soket tiga pin rumah biasa), bateri ini akan mengambil masa 12 jam untuk mencapai tahap 80%, dari kosong tetapi apabila menggunakan wallbox three-phase 11 kW ia akan mengambil masa cuma 3.5 jam untuk penuh 100%. Kereta ini juga boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC 50 kW dan akan mengambil masa cuma 1.4 jam untuk penuh, tetapi ia memerlukan sambungan CCS Combo 2.

    Pada bahagian keselamatan, kereta ini didatangkan secara standard dengan MINI Driving Assistant dan Parking Assistant, yang merangkumi fungsi seperti Autonomous Emergency Braking (Light City Braking Function; antara 6 km/j hingga 60 km/j), Traffic Sign Recognition, Approach Control Warning dan Person Warning.

     
     
  • ‘Tear off’ Quartararo masuk dalam salur udara Ducati Jack Miller – penyebab jentera kehilangan kuasa

    Kadang-kadang apabila menonton perlumbaan motosikal seperti MotoGP, kita akan dapat menyaksikan ada pelumba yang kedudukannya semakin menurun tanpa mengetahui sebab sebenar. Ada masa ia boleh menjadi masalah tayar, enjin, brek atau pelbagai lagi.

    Semasa perlumbaan di Rimini semalam, pelumba Pramac Ducati adalah antara yang menunjukkan masalah tersebut. Beliau bermula di baris paling hadapan, iaitu di petak kedua tetapi selepas pusingan kedua kedudukan beliau semakin ke belakang dan akhirnya terpaksa menarik diri dari perlumbaan dengan baki masih ada 20 pusingan.

    Kita yang menonton semalam tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi tetapi hari ini Pramac Ducati telah mengeluarkan kenyataan bahawa sekeping tear off telah memasuki kotak udara jentera Jack Miller pada pusingan kedua dan membuatkan ia hilang kuasa.

    Jack Miller melalui laman Instagram juga memuat naik status sama, tetapi siap dengan gambar tear off tersebut yang mempunyai nombor lumba Fabio Quartaro iaitu 20. Nada kecewa boleh dilihat daripada ayat Miller tetapi beliau tidak menyalahkan sesiapa.

    Tear off adalah satu lapisan plastik yang selalu dipakai pelumba motosikal pada cermin hadapan helmet, dan apabila ia kotor, mereka akan mencabutnya untuk pandangan yang lebih jelas. Setakat ini masih belum ada sebarang peraturan berkenaan tear off dan pelumba biasanya mencampak sahaja lapisan plastik tersebut di atas litar.

    Kejadian yang berlaku pada Miller ini menunjukkan tear off mempunyai kesan buruk kepada perlumbaan dan kami yang kerap menonton perlumbaan juga sering risau sekiranya tear off yang berada atas permukaan litar akan menyebabkan tayar tidak mencengkam seterusnya memberi risiko kepada pelumba.

     
     
  • MV Agusta jalin kerjasama dengan QianJiang di China

    MV Agusta jalin kerjasama dengan QianJiang di China

    Setelah bergelut dengan pelbagai masalah kewangan, pengeluar motosikal dari Itali, MV Agusta telah mengumumkan kerjasama baru dengan QianJiang Motor dari China untuk pengedaran dan jualan di negara itu. Menurut Visor Down, MV Agusta melihat kerjasama ini dilihat sebagai rancangan jangka masa panjang untuk pengedaran motosikal di dalam negara tersebut.

    QianJiang merupakan antara pengeluar motosikal terbesar di China, dengan operasi utamanya bertempat di Winling, Zhejiang. Benelli juga sudah menjadi milik syarikat ini. Kerjasama pengedaran dengan MV Agusta akan menyaksikan QianJiang mengambil alih tujuh kedai pengedar di China dan akan membuka 21 buah lagi dalam masa 12 bulan akan datang.

    “Saya teruja dengan perjanjian bersama QianJiang ini, untuk fasa kedua pengembangan kami dalam pasaran China. Ia adalah satu kerjasama jangka masa panjang yang sangat bercita-cita tinggi, dan akan menjadikan MV Agusta sebagai jenama motosikal Itali Premium nombor satu di China dalam masa lima tahun,” kata ketua pegawai eksekutif MV Agusta, Timur Sardarov.

     
     
  • Porsche Centre Ara Damansara kini dibuka – pusat 3S Porsche terbesar di Asia Pasifik, pelaburan RM15 juta

    Porsche Centre Ara Damansara kini dibuka – pusat 3S Porsche terbesar di Asia Pasifik, pelaburan RM15 juta

    Semasa majlis pelancaran model Taycan di Malaysia, Sime Darby Auto Performance (SDAP) turut membuat pembukaan rasmi pusat pameran Porsche Centre Ara Damansara. Ini adalah pusat pengedar ketiga milik syarikat itu, dan pembukaannya dilakukan serentak dengan sambutan ulang tahun ke-10 SDAP sebagai pengedar rasmi kenderaan Porsche di Malaysia.

    Porsche Centre Ara Damansara dibina atas tanah seluar 12,102 meter persegi, dengan pelaburan lebih RM15 juta dan kini merupakan Porsche Centre 3S yang terbesar dalam satu kawasan di Asia Pasifik.

    Dalam kawasan itu, ruang 8,000 meter persegi digunakan sebagai ruang kerja yang dibahagikan kepada lima tingkat, dan dua tingkat di bawah adalah pusat pameran yang menempatkan 26 buah kereta. Ruang sambut tetamu juga agak besar dengan terdapat bahagian jualan aksesori Porsche Tequipment dan Porsche Driver’s Selection.

    Sementara itu, dua tingkat lagi yang merupakan kawasan servis dan bengkel mempunyai 21 ruang untuk kenderaan serta kelengkapan canggih termasuk pengangkat hidraulik minyak teleskopik tanpa bingkai dan alatan membaiki bateri voltan tinggi untuk model yang mempunyai kuasa elektrik seperti PHEV dan EV.

    Lagi berkenaan kenderaan elektrik, SDAP telah menyediakan pengecas pantas DC di Porsche Centre Ara Damansara, sama seperti kemudahan di Sungai Besi dan Pulau Pinang. Pengecas ini boleh memberikan kuasa mengecas paling tinggi sebanyak 175 kW, sekaligus menjadikannya yang paling pantas di dalam negara. Untuk pengecas AC pula, pelanggan boleh menggunakan Porsche Charging Dock.

     
     
  • Proton X70 akan terima kemaskini Here Maps, QDLink mirroring melalui OTA — bakal gantikan Baidu Maps

    Proton X70 akan terima kemaskini Here Maps, QDLink mirroring melalui OTA — bakal gantikan Baidu Maps

    Pemilik Proton X70 bakal menerima kemaskini periodic over-the-air (OTA) bagi sistem sedia ada dalam masa terdekat ini. Ketika acara pra-tonton X50 bersama pihak media minggu lalu, Proton mendedahkan yang X70 akan menerima Here Maps dan sistem QDlink melalui OTA.

    Fungsi navigasi bagi sistem infotainmen X70 ketika ini menggunakan Baidu Maps, tetapi ini akan digantikan dengan aplikasi peta AMAP baru yang dikenali Here Maps. Januari tahun ini, diumumkan bahawa AMAP – aplikasi peta oleh Alibaba – telah memilih Here Maps sebagai penyedia global bagi pemetaan dan data trafiknya di luar China. Dimiliki oleh Nokia sebelum ini, Here Technologies merupakan syarikat berpangkalan di Jerman dan dimiliki oleh konsortium pengeluar kenderaan di negara itu.

    Proton menjanjikan pengelaman penggunaan yang lebih baik dengan Here Maps. Bagi X50 pula, model berkenaan akan terus dilengkapi dengan AMAP terbaru ini yang datang bersekali dengan sistem Geely Key User Interface GKUI 19.

    Proton X70 akan terima kemaskini Here Maps, QDLink mirroring melalui OTA — bakal gantikan Baidu Maps

    Ciri baru lain yang boleh dijangkakan oleh pemilik sedia ada X70 ialah QDLink yang membolehkan mereka “memancarkan” aplikasi dari telefon bimbit terus ke skrin utama. MirrorLink semasa pada X70 ketika ini hanya membolehkan sambungan kepada telefon Android sahaja, sementara QDLink membolehkan sambungan kepada telefon Android dan iOS sekali – ciri ini bolehlah melegakan sedikit kekurangan terhadap sambungan Android Auto dan Apple CarPlay pada X70 dan X50.

    Ambil maklum bahawa kemaskini tersebut hanya untuk X70 sahaja, dan bukannya untuk varian Premium bagi Saga, Persona, Iriz dan Exora. Bagi Joox Music pula, Proton menyatakan akan kekal menggunakan penyedia servis berkenaan dan akan terus memperbaiki pengalaman penggunaannya. Joox telah menggantikan servis Unlimited Music terdahulu pada X70 sejak Mac lalu.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia bagi Ogos 2020 susut 8.2%

    Jualan kenderaan di M’sia bagi Ogos 2020 susut 8.2%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan bagi bulan Ogos 2020. Selepas kenaikan jualan berlaku pada Julai, namun nampak gayanya nasib tidak begitu menyebelahi bulan Ogos kerana ia direkodkan mengalami penyusutan angka. Di mana keseluruhan jumlah jualan pada bulan Ogos hanyalah sekitar 52,800 unit, iaitu kurang 4,752 unit atau 8.2% berbanding yang dicatatkan pada Julai yang mencecah 57,552 unit.

    Walau bagaimana pun, jumlah tersebut lebih baik berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, di mana Ogos 2019 mencatatkan sejumlah 51,148 unit, iaitu kurang 1,652 unit berbanding Ogos tahun ini. Bagi jumlah tahun-ke-tahun, setakat lapan bulan pertama tahun 2020 telah mencatatkan sejumlah 285,045 unit. Namun ternyata ia lebih rendah berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 113,274 unit atau kurang 28.4%, bagi tempoh tersebut, sebanyak 389,319 unit dicatatkan dari Januari sehingga Ogos 2019.

    MAA berkata, penyusutan jualan pada Ogos disebabkan peningkatan tempahan pada Julai susulan pengecualian cukai jualan yang diumumkan oleh kerajaan pada Jun lalu. Selain itu, ia juga disebabkan waktu bekerja yang lebih pendek disebabkan beberapa cuti umum.

    Untuk bulan September, persatuan ini menjangkakan jumlah jualan akan kekal seperti mana pada Ogos – walau pun terdapat kempen promosi yang berterusan dan pelepasan SST sehingga 31 Disember, malah sentimen pengguna yang mengambil langkah berhati-hati disebabkan program moratorium bakal berakhir pada 30 September ini.

     
     
  • VIDEO: Kia K5 GT 2021 buat aksi ngeri lompat sambil berpusing 360-darjah, dan mendarat dengan selamat

    Macam-macam gimik yang dilakukan pengeluar-pengeluar automotif dalam mempromosikan model-model baharu mereka, tetapi apa yang dilakukan oleh Kia K5 GT ini mungkin anda tidak pernah lagi lihat – ia dipandu dengan melompat dari satu ramp ke satu ramp sambil membuat pusingan 360-darjah!

    Lagak ngeri ini dibuat untuk iklan K5 GT tersebut di Amerika Syarikat, dan ia membabitkan kerjasama Kia dan Anugerah Emmy ke-72. “Bekerjasama dengan Anugerah Emmy ke-72 membawa K5 serba baharu ini ke hadapan dan ke tengah ketika acara televisyen secara langsung dengan jumlah penonton paling ramai sepanjang tahun tersebut disiarkan,” kata pengarah operasi pemasaran Kia Motors Amerika, Russell Wager.

    Seperti yang anda boleh lihat pada video tersebut, ia sememangnya satu aksi lagak ngeri yang dramatik di mana pemandu perlu membuat pusingan yang tepat pada waktunya ketika berlepas, bagi memastikan ia berpusing dan mendarat semula dengan selamat pada ramp sebelah lagi.

    Kia K5 2021 didedahkan di Amerika Syarikat pada Julai lalu. Model GT ini adalah versi paling berkuasa dijana enjin 2.5 liter T-GDi menghasilankan kuasa 290 hp dan juga tork maksima 422 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan, membolehkan pecutan dari 0-96 km/j (0-60 bsj) dibuat dalam masa hanya 5.8 saat.

    K5 generasi baharu ini turut ditawarkan dalam versi enjin 1.6 liter turbo Smartstream yang menghasilkan 180 hp dan tork maksima 264 Nm. Selain dijana dengan enjin yang begitu bertenaga, sedan segmen-D ini turut menampilkan rupa yang begitu agresif bersama senarai kelengkapan yang begitu komprehensif.

    GALERI: Kia K5 GT 2021 pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • BMW M3 G80, M4 G82 – beberapa bahagian didedah

    BMW M3 G80, M4 G82 – beberapa bahagian didedah

    Sekali lagi, BMW mengeluarkan teaser untuk M3 dan M4 baru yang akan diperkenalkan bulan ini. Melalui gambar yang dikaburi oleh asap berwarna ini, kita dapat melihat beberapa perincian, antaranya warna yang dikatakan oleh BMW Blog sebagai Isle of Man Green.

    Setakat ini kita sudah tahu M3 dan M4 ini akan menggunakan enjin enam silinder sebaris, twin turbo 3.0 liter S58 yang akan ditawarkan dalam dua talaan kuasa iaitu 480 PS dan 510 PS. Dalam teaser kali ini juga kita boleh melihat transmisi manual enam kelajuan serta pacuan roda belakang diberikan standard, manakala varian Competition yang lebih tinggi dan berkuasa 510 PS akan menggunakan transmisi automatik lapan kelajuan serta pacuan M xDrive.

    Bahagian lain yang boleh dilihat adalah tempat duduknya, yang mana mempunyai bentuk seperti tempat duduk kereta lumba dan terdapat lubang antara penyandar kepala dan penyandar belakang untuk memasukkan tali pinggang jenis lumba. Kita juga boleh melihat model M3 menggunakan empat muncung ekzos.

    Model M3 dan M4 generasi baru ini juga buat pertama kalinya akan diperkenalkan dengan M3 Touring yang menggunakan kod model G81. Varian yang boleh memberi lebih banyak ruang ini sedang melalui proses pembangunan selama dua tahun sementara model M4 Convertible G83 pula akan tiba selepas itu.

    Perincian teknikal untuk M3 Touring masih belum didedahkan tetapi ia berkemungkinan menggunakan transmisi automatik bersama enjin S58 yang sudah pun digunakan pada X3 M dan X4 M. Pada SUV prestasi tersebut, ia membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.2 saat bagi versi 480 PS dan 4.1 saat bagi versi 510 PS.

     
     
  • Mitsubishi Xpander guna komponen suspensi Evo X?

    Mitsubishi Xpander guna komponen suspensi Evo X?

    Tidak seperti memilih sebuah kereta ‘bujang’, sebagai ketua keluarga pastinya ramai yang mengambil aspek keselesaan melebihi keinginan sebuah kenderaan dengan pengendalian yang baik ketika memilih pengangkutan untuk keluarga bukan? Namun, ada juga model keluarga yang dihasilkan untuk memberikan keseimbangan antara kedua-dua aspek berkenaan, misalnya MPV-SUV tujuh tempat duduk, Mitsubishi Xpander yang bakal dilancarkan ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

    Xpander dikatakan menerima penyerap hentak dengan “injap berprestasi tinggi” yang diinspirasikan dari Mitsubishi Lancer Evolution X. Dakwaan ini dibuat oleh Mitsubishi Motors Filipina ketika sesi pandu uji media di pasaran berkenaan dan kemudian dilaporkan oleh Top Gear Filipina. Malah, dakwaan ini turut disertakan dalam material pemasaran di pelbagai negara termasuk Mesir.

    Namun apa yang menarik, Mitsubishi Motors sebenarnya tidak pernah menyatakan tentang injap pada penyerap hentak tersebut dalam siaran media mahupun material pemasaran pada Evolution X. Mereka hanya menyatakan bahawa Evo X hadir dengan dua jenis penyerap hentak yang boleh dipilih, di mana High Performance Package diberikan penyerap hentak dari Bilstein.

    Jadi apa faedah sekiranya teknologi dari sedan sport yang dihasilkan untuk perlumbaan rali ini sekiranya diadaptasi kepada model MPV yang boleh memuatkan seisi keluarga? Teknologi suspensi ini sebenarnya bukan hanya memberikan kelebihan untuk menampung aplikasi kuasa kuda dan g-force yang tinggi – dengan penggunaan komponen yang lebih baik juga boleh memberikan kenderaan tersebut pemanduan yang stabil dan selesa walaupun pada laluan jalan yang teruk.

    Mitsubishi Xpander guna komponen suspensi Evo X?

    Struktur penyerap hentak terdiri dari tiub yang mempunyai omboh, dan diisi dengan bendalir, di mana omboh berkenaan mempunyai orifis dan injap kecil yang akan membolehkan sebahagian kecil bendalir berkenaan mengalir melaluinya, seterusnya memberikan daya untuk menyerap hentakan.

    Dengan injap yang lebih baik akan memberikan kawalan serapan hentakan yang lebih baik, yang bukan sahaja dapat mengurangkan kadar olengan badan malah turut akan memberikan kualiti pemanduan yang lebih baik. “Injap berprestasi tinggi” berkenaan dapat memberikan Xpander rasa lebih sofistikated di atas jalan raya, walaupun pada bahagian belakang MPV ini hanya diberikan sistem torsion beam.

    Adakah komponen yang dihasilkan berdasarkan pengalaman Mitsubishi menghasilkan Lancer Evolution X ini akan memberikan impak kepada pemandu Xpander? Kami sendiri sebenarnya tidak sabar untuk menguji model ini setelah ianya dilancarkan di Malaysia sedikit masa lagi.

    GALERI: Prebiu Mitsubishi Xpander 2020 pasaran Malaysia