Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Hyundai Elantra 2021 – kini ditawar dalam versi Hybrid, kabin mewah dengan dua skrin & lampu LED 64-warna

    Hyundai Elantra 2021 – kini ditawar dalam versi Hybrid, kabin mewah dengan dua skrin & lampu LED 64-warna

    Selepas mendedahkan sebahagian rupanya dalam teaser tempoh hari, akhirnya Hyundai Elantra generasi ketujuh membuat penampilan sulungnya untuk peringkat global di The Lot Studio, Hollywood Barat, California, Amerika Syarikat. Berbanding model generasi sedia ada, model 2021 ini tampil dengan rupa coupe empat-pintu yang lebih agresif, dihasilkan dengan elemen rekaan signatur “Sensuous Sportiness” Hyundai terkini.

    Elantra generasi baharu ini dihasilkan dari platform kompak generasi ketiga Hyundai K3 yang didakwa memberikan titik graviti lebih rendah secara tidak langsung menghasilkan kawalan yang lebih lincah. Dengan dimensi 4,676 mm panjang, 1,826 mm lebar dan 1,415 mm tinggi, bermaksud ia kini 56 mm lebih panjang, 25 mm lebih lebar dan 20 mm lebih rendah, membolehkan ia mendapat rekaan badan yang nampak lebih ‘leper’ dan sporty.

    Jarak roda pula dihasilkan sejauh 2,720 mm atau 20 mm lebih panjang, membolehkan bahagian dalamannya juga dihasilkan lebih besar dan selesa dari model sebelumnya.

    Dengan dimensi asas yang cukup berpotensi, Elantra diberikan garis-garis badan yang cukup mendebarkan – Hyundai sendiri menyifatkannya sebagai kristal geometrik. Muka sedan ini diberikan gril Cascading Hyundai dengan “paten permata parametik” yang kelihatan lebih agresif dari apa yang diberikan pada Sonata dan i20 generasi baharu.

    Hyundai Elantra 2021 – kini ditawar dalam versi Hybrid, kabin mewah dengan dua skrin & lampu LED 64-warna

    Gril berkenaan direka seakan bersepadu terus dengan kedua-dua lampu hadapan yang mengapitnya, yang turut diberikan jalur lampu nyalaan siang LED bina-dalam.

    Pada bahagian sisi, Elantra ini menampilkan rekaan yang jarang-jarang orang buat iaitu garis-garis badan pada pintu berbentuk-Z. Pelbagai set rim baharu turut direka dengan tema Parametric Dynamics, dihasilkan dalam saiz dari 15- hingga 17-inci.

    Dengan bumbung yang rendah untuk dihasilkan menyerupai coupe, bahagian belakang Elantra ini secara tidak langsung kelihatan seperti sebuah model fastback. Penutup but belakang kereta ini direka dengan bahagian atas yang ‘terjuih’ dengan rekaan seperti spoiler ekor itik bersaiz besar dengan lampu kombinasi LED yang merentangi keseluruhan bahagian belakang kereta ini diletakkan betul-betul di bawahnya.

    Pada bahagian dalaman, bahagian cowl hadapan ‘ditarik’ 50 mm kebelakang bagi menghasilkan rupa coupe untuk sedan ini. Walau bagaimanapun, Hyundai mendakwa ia tidak menjejaskan ruang kabin kerana asas kereta ini sememangnya dihasilkan lebih besar dari sebelumnya.

    Hyundai Elantra 2021 – kini ditawar dalam versi Hybrid, kabin mewah dengan dua skrin & lampu LED 64-warna

    Seperti bahagian luar, kabin Elantra ini juga nampak seperti kapal angkasa. Hyundai menggelar bentangan rekaan dalaman sedan ini sebagai “immersive cocoon”, dihasilkan bagi memberikan pemandu perasaan seperti di dalam kokpit pesawat.

    Model tertinggi akan diberikan paparan instrumen digital dan juga skrin infotainmen utama yang dihadapkan lebih kearah pemandu, kedua-duanya bersaiz 10.25-inci Manakala model lebih rendah, hanya diberikan skrin utama bersaiz lapan-inci. Walau bagaimanapun, kedua-dua sistem ini menyokong fungsi Android Auto dan Apple CarPlay yang boleh dihubungkan tanpa wayar – pertama seumpanya dalam saingan segmen-C.

    Papan pemuka tersebut digandingkan dengan roda stereng yang turut direka pelik dari kereta lain dengan rekaan yang sukar untuk disifatkan sebagai empat- atau dua-jejari, manakala liang pendingin hawa nipis direka merentangi sepenuhnya papan pemuka berkenaan seperti model-model terbaharu Audi.

    Suasana kabin kereta ini juga agak mewah dengan diberikan lampu suasana LED 64-warna sama seperti yang ditawarkan oleh Mercedes-Benz. Ciri-ciri lain yang turut dibekalkan termasuk sistem arahan suara, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, sistem terhubung Hyundai Blue Link, serta sistem audio premium Bose dengan lapan pembesar suara Super 65 pada pintu hadapan dan juga subwoofer yang diletakkan di belakang.

    Hyundai Elantra generasi baharu ini merupakan Elantra pertama yang ditawarkan dengan unit janakuasa hibrid petrol-elektrik. Model asas akan dijana enjin 2.0L MPI kitran Atkinson berkuasa 147 hp pada takat 6,200 rpm dan tork maksima 179 Nm pada takat 4,500 rpm.

    Ia akan dipadankan secara standard dengan kotak gear Intelligent Variable Transmission (IVT) yang menawarkan penggunaan bahan api terbaik dalam kelasnya, dakwa Hyundai sendiri. Kotak gear ini IVT berkenaan sebenarnya masih lagi berfungsi sama seperti transmisi CVT, namun rekaan tali sawat yang dihasilkan seperti rantai didakwa akan memberikan penggunaan bahan api 1.2% lebih baik dari biasa.

    Kotak gear IVT ini juga memberikan pecutan dan lineariti lebih baik antara input pemandu, manakala karekter penukaran gear pula dibuat bagi memberikan pemandu berasa ia seolah-olah sebuah kotak gear automatik konvensional.

    Manakala untuk Elantra Hybrid, ia dijana oleh enjin petrol lebih kecil, iaitu unit 1.6L GDI kitaran Atkinson, tetapi dibantu dengan motor elektrik magnet kekal berkuasa 43 hp yang menerima tenaga dari bateri pek bateri lithium-ion-polymer 1.32 kWj yang diletakkan di bawah tempat duduk belakang.

    Hyundai Elantra 2021 – kini ditawar dalam versi Hybrid, kabin mewah dengan dua skrin & lampu LED 64-warna

    Secara keseluruhan, unit gandingan ini menghasilkan kuasa 139 hp dan tork maksima 265 Nm dan kuasa dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik enam-kelajuan. Hyundai menganggarkan penggunaan bahan api gabungan EPA untuk model ini adalah 50 batu segelen atau 4.7 liter untuk setiap 100 km.

    Untuk sistem mekanikal lain, Elantra generasi baharu ini dibekalkan dengan suspensi yang ditala bagi memberikan dinamik pemanduan yang lebih baik. Versi hibrid akan menerima sistem suspensi bebas dari jenis multilink di bahagian belakang, bagi memberikan pemanduan yang lebih sporty, dan Hyundai mendakwa rupa kereta ini adalah sepadan dengan karekter pengendaliannnya.

    Sistem keselamatan model ini juga agak menyeluruh. Ia menerima sistem bantuan pemanduan Hyundai Smartsense sebagai ciri standard yang terdiri dari Bantuan Pengelak Pelanggaran Hadapan (FCA) dengan Pengesan Pejalan Kaki, Bantuan Kekal Lorong (LKA), Bantuan Ikut Lororng (LFA), Bantuan Lampu Tinggi (HBA), Amaran Tumpuan Pemandu (DAW), dan juga kamera belakang dengan garisan panduan dinamik.

    Pembeli juga boleh menambah ciri lain yang ditawarkan seperti Bantuan Pengelak Kemalangan Titik Buta (BCA) dengan Pengelak Kemalangan Lintasan Trafik Belakang (RCCA), Smart Cruise Control (SCC), Bantuan Pemanduan Lebuhraya (HDA), Amaran Selamat Keluar (SEW), dan juga Bantuan Pengelak Kemalangan Parkir Mengundur (PCA) dengan pengesan pejalan kaki dan halangan.

    Hyundai Elantra 2021 – kini ditawar dalam versi Hybrid, kabin mewah dengan dua skrin & lampu LED 64-warna

    Model generasi baharu ini juga dilengkapi dengan Kunci Digital, yang boleh berfungsi hanya menggunakan aplikasi telefon pintar. Ia menggunakan teknologi NFC dan Bluetooth pada telefon pintar untuk mengunci dan membuka kunci Elantra ini, dan ia dapat dikongsi dengan mudah bersama rakan dan keluarga.

    Sistem Kunci Digital ini turut membolehkan pemilik menetapkan sendiri berberapa fungsi kenderaan seperti durasi penggunaan kereta. Walau bagaimanapun, setakat ini fungsi Kunci Digital berkenaan hanya boleh digunakan pada sistem Android.

    Produksi Hyundai Elantra 2021 ini hanya akan bermula di Ulsan, Korea dan Montgomery, Alabama, pada September nanti. Manakala jualannya pula akan bermula pada suku keempat tahun ini. Di Australia, Elantra akan dijual sebagai i30 Sedan, manakala di Korea ia kekal dikenali sebagai Avante.

     
     
  • VW tutup bilik pameran, pusat servis hingga 31 Mac

    VW tutup bilik pameran, pusat servis hingga 31 Mac

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) turut mengambil langkah menutup bilik pameran dan pusat servisnya di seluruh negara, bermula hari ini, 18 hingga 31 Mac ini. Ia adalah susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan oleh kerajaan yang dilaksanakan selama dua minggu ini sebagai mencegah penularan wabak COVID-19.

    Walau bagaimana pun, untuk pelanggan yang memerlukan perkhidmatan bantuan tepi jalan, bolehlah menghubungi talian 1-800-88-2389 atau pun pusat perkhidmatan pelanggan 1-800-18-8947 untuk sebarang pertanyaan. VPCM turut memaklumkan jika pelanggan sudah membuat temujanji untuk penyelenggaraan kenderaan dalam tempoh dua minggu ini, syarikat ini terus menghormati waranti yang dikeluarkan. Maka, jangan risau sebab waranti anda takkan terjejas disebabkan perkara ini.

    Segala perkembangan mengenai perkara berkaitan juga akan disiarkan menerusi laman web rasmi dan saluran media sosial VPCM, dan juga aplikasi Volkswagen Care. Malah kami di paultan.org juga akan melaporkan perkembangan terkini jika ada.

     
     
  • Kaunter bayar saman trafik tutup hingga 31 Mac – KPN

    Kaunter bayar saman trafik tutup hingga 31 Mac – KPN

    Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador telah memaklumkan, semua kaunter pembayaran saman trafik dan permohonan lesen di seluruh negara berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini sehingga 31 Mac 2020.

    Menurutnya, tindakan itu bertujuan bagi mematuhi perintah kawalan berkenaan.

    “Jika ada mana-mana pihak yang terdesak seperti akan dikenakan tindakan disenarai hitam atau sebagainya, mereka boleh membuat pembayaran secara dalam talian.

    “Selain itu, orang ramai juga disarankan untuk berkomunikasi dengan balai polis berhampiran bagi menyelesaikan permasalahan berkenaan. Tindakan ini bagi mengelakkan orang ramai berkumpul di tempat awam,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Kaunter bayar saman trafik tutup hingga 31 Mac – KPN

    Semalam, beliau turut mengumumkan bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu ini, orang ramai yang mahu membuat perjalanan keluar antara negeri perlu memaklumkan kepada polis. Ini bermakna mereka yang mahu membuat perjalanan keluar antara negeri, perlu mengisi borang khas iaitu Kebenaran Rentas Negeri serta menyertakan dokumen pengesahan tentang keperluan membuat perjalanan berkenaan.

    Di mana borang khas itu boleh diisi di mana-mana balai polis berhampiran atau ibu pejabat polis daerah masing-masing bagi membolehkan pihak polis mengeluarkan Permit Pengecualian Kawalan Pergerakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan.

    Sejurus pengumuman ini dilakukan, orang ramai yang merancang untuk memulakan perjalanan antara negeri termasuk yang ingin pulang ke kampung, berpusu-pusu ke balai polis untuk mendapatkan surat pelepasan. Ini membuatkan kebanyakan balai polis di serata lokasi turut sesak dibanjiri orang ramai. Malah kebanyakan lebuhraya dan terminal bas juga sesak teruk. Lantas ini memaksa PDRM untuk menangguh sementara permit berkenaan hingga waktu yang dimuktamadkan semula.

     
     
  • Yamaha Majesty S 155 – enjin sama seperti NMax, datang terus dengan monoshock di belakang

    Yamaha Majesty S 155 – enjin sama seperti NMax, datang terus dengan monoshock di belakang

    Di negara kita, dan beberapa negara jiran yang lain, Yamaha cuma menjual dua model skuter yang menggunakan enjin 155 cc iaitu NMax dan NVX. Tetapi di Jepun ada satu lagi iaitu Majesty S. Majesty adalah satu nama yang cukup popular bagi model yang dijual di Jepun dan ia juga ada ditawarkan dalam versi 400 cc.

    Majesty S 155 mempunyai rekaan yang tersendiri dan dimensinya juga berbeza dengan NMax. Tempat duduk yang lebih gebu menjadikannya lebih tinggi, iaitu 795 mm sementara NMax pula cuma 765 mm. Berat keseluruhan Majesty S adalah 145 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 7.4 liter (Nmax 6.6 liter).

    Apa yang lebih menarik sebenarnya adalah pada suspensi belakang, di mana Majesty S menggunakan sistem monoshock dan bukannya dua penyerap hentak seperti NMax atau NVX dan menurut Yamaha, ia memberikan lebih keselesaan waktu dinaiki dua orang.

    Kedua-dua bahagian brek depan dan belakang Majesty S menggunakan unit cakera tetapi ia tidak dilengkapi dengan ABS. Apa yang menarik pada brek ini, cakera hadapannya jauh lebih besar berbanding NMax iaitu 267 mm, siap dengan bentuk kelopak (Nmax menggunakan cakera 230 mm).

    Enjin pada Majesty S adalah sama seperti NMax iaitu unit satu silinder SOHC suntikan bahan api 155 cc yang mampu menghasilkan kuasa 15 PS pada 7,500 rpm dan 14 Nm tork pada 6,000 rpm. Rim yang digunakan adalah bersaiz 13 inci, dengan tayar 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang. Harganya di Jepun bermula 345,000 yen (RM14,037) dan lebih murah berbanding NMax di sana.

     
     
  • Volvo Car Malaysia tutup operasi hingga 31 Mac

    Volvo Car Malaysia tutup operasi hingga 31 Mac

    Volvo Car Malaysia (VCM) turut mengumumkan operasi perniagaan bagi semua rangkaian pengedaran yang sah ditutup dari 18 hingga 31 Mac ini. Langkah ini diambil susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di negara ini.

    Bagi pemilik kenderaan Volvo yang memerlukan perkhidmatan bantuan tepi jalan 24 jam yang disediakan oleh VCM, bolehlah menghubungi talian perkhidmatan pelanggan 1800-88-1728.

    Sebelum ini beberapa syarikat kereta turut mengambil langkah yang sama, termasuklah Perodua, Proton, Honda Malaysia, Edaran Tan Chong Motor, dan UMW Toyota.

     
     
  • Volkswagen Amarok generasi kedua mula ditunjuk

    Volkswagen Amarok generasi kedua mula ditunjuk

    Dalam perjumpaan untuk taklimat media baru-baru ini, Volkswagen mendedahkan lakaran rekaan bagi model Amarok generasi kedua yang dijangka memasuki pasaran pada 2022. Trak pikap baru itu merupakan usaha sama antara Volkswagen Commercial Vehicle dan Ford, yang terjalin sejak 2019.

    Disebabkan itu, Amarok baru ini nanti akan punyai banyak persamaan dengan Ranger generasi seterusnya, walaupun model Ford berkenaan belum lagi ditunjuk. Bila dan di mana model ini akan dipasang juga masih belum diumumkan.

    Berdasarkan lakaran digital yang didedahkan, Amarok baru itu nanti bakal menampilkan rekaan yang lebih sasa berbanding model lamanya. Bagaimanapun, rekaan sebenar nanti kemungkinan akan lebih bertenang dan ringkas dan tidak terlalu gagah berbanding lakaran yang biasanya di lebih-lebihkan.

    Daripada apa yang dapat dilihat, bahagian grilnya kini bersambung dengan bahagian lampu utama, rekaan bonet yang mengelembung, tayar off-road besar dan sistem gantungan yang juga nampak besar. Versi sebenar nanti bagaimanpun dirasakan tidak akan tampil sepenuhnya seperti ini. Hasil kerjasama Volkswagen-Ford ini, dijangka Ford Transit Connect juga akan diperkenalkan dengan meminjam asas daripada Caddy 2020.

     
     
  • VIDEO: Toni Bou berlatih dalam rumah masa lockdown

    Perintah berkurung di negara Eropah dan beberapa negara lain telah dilaksanakan lebih awal, dan bagi mereka yang biasanya aktif, ini pasti memberi kesan. Antoni (Toni) Bou, penunggang motosikal trial profesional dari Sepanyol cuba mengatasi masalah ini dengan menjadikan rumah beliau tempat bermain.

    Dengan kemahiran yang ada, Toni tidak bermasalah mengendalikan jentera trial beliau sambil melakukan rutin harian seperti menggosok gigi, membuat kopi, mengeluarkan baju dalam almari, masuk dalam lif, turun tangga dan pelbagai lagi.

    Kalau anda masih tidak mengenali Toni, beliau sebenarnya adalah pemegang gelaran juara Kejohanan Trial Dunia sebanyak 13 kali untuk Outdoor dan dan 13 kali untuk Indoor. Tidak keterlaluan untuk mengatakan beliau mempunyai kawalan motosikal antara yang terbaik di dunia.

     
     
  • UMW tutup operasi Toyota dan Lexus, perlumbaan Vios Challenge di Sepang batal kerana COVID-19

    UMW tutup operasi Toyota dan Lexus, perlumbaan Vios Challenge di Sepang batal kerana COVID-19

    Seperti syarikat-syarikat automotif yang lain, UMW Toyota turut menghentikan sepenuhnya operasi dua jenama dibawahnya iaitu Toyota dan Lexus, selaras dengan arahan kerajaan dalam langkah Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.

    Oleh itu, semua operasi UMW termasuk kilang Assembly Services Sdn Bhd (ASSB), semua fasiliti jualan serta servis jenama Toyota dan Lexus akan ditutup bermula hari ini (18 Mac) hingga 31 Mac 2020. Walau bagaimanapun, jika pelanggan mempunyai masalah, mereka masih boleh menghubungi pusat-pusat berkenaan, manakala untuk stok kereta baharu hanya model-model CKD yang akan terjejas.

    “Keselamatan pekerja kami, pemegang kepentingan kami dan semua pelanggan kami merupakan perkara paling penting buat kami. Berdasarkan arahan dari kerajaan, walaupun operasi kami dihentikan, kami akan terus bersedia berkhidmat kepada pelanggan jika mereka ada sebarang bantuan yang diperlukan berkenaan kereta Toyota dan Lexus mereka,” kata presiden UMW Toyota, Ravindran K.

    UMW tutup operasi Toyota dan Lexus, perlumbaan Vios Challenge di Sepang batal kerana COVID-19

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, UMW Toyota turut mengumumkan bahawa pusingan ketiga siri perlumbaan one-make Toyota Vios Challenge dan juga Festival Toyota Gazoo Racing yang dijadualkan akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 18 dan 19 April nanti turut dibatalkan. Walau bagaimanapun, perlumbaan tersebut akan dijadualkan semula dan dilangsungkan tanpa kehadiran penonton.

    “Kami sedang memantau rapat situasi dan untuk melindungi dan atas faktor keselamatan staf serta pelanggan, kami akan membuat pertimbangan dan keputusan berdasarkan arahan dari kerajaan. Untuk maklumat dan pertolongan lanjut, anda boleh hubungi Toyota di talian 1800-8-869682 atau Lexus di talian 1800-88-53987. Kedua-dua hotline ini adalah bebas tol,” kata naib pengerusi UMW Toyota, Akio Takeyama.

     
     
  • Proton hentikan semua operasinya hingga 31 Mac ini

    Proton hentikan semua operasinya hingga 31 Mac ini

    Proton turut mengumumkan semua operasinya dihentikan buat sementara sehingga 31 Mac ini, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu bermula hari ini. Perintah Kawalan Pergerakan ini adalah bagi mencegah penularan wabak pandemik COVID-19.

    Syarikat ini juga berkata operasinya melibatkan perkhidmatan jualan dan selepas jualan, dan juga aktiviti produksi di kilang pengeluarannya di Tanjung Malim dan Shah Alam, kesemuanya dihentikan dari 18 hingga 31 Mac ini sebagai cara untuk membantu mencegah wabak ini dari terus merebak.

    Justeru, Proton menasihati para pelanggannya yang berhadapan dengan kes kecemasan seperti kereta rosak (breakdown) atau kemalangan, diharap terus menghubungi Perkhidmatan Pelanggan di talian
    1-800-888-398 untuk bantuan segera. Sebarang pertanyaan atau pun aduan, boleh disalurkan terus menerusi e-mel [email protected].

     
     
  • Polis batal larangan perjalanan rentas antara negeri

    Polis batal larangan perjalanan rentas antara negeri

    Petang tadi Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Hamid Bador memaklumkan orang ramai tidak boleh membuat perjalanan keluar antara negeri sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan mereka perlu membuat Kebenaran Rentas Negeri serta menyertakan dokumen pengesahan tentang keperluan membuat perjalanan tersebut terlebih dahulu. Namun nampaknya arahan ini telah dibatalkan serta merta menerusi pengumuman yang baharu sahaja dibuat sebentar tadi.

    Menurut laporan BH Online, perkara tersebut dibatalkan setelah pihak polis mendapati orang ramai berpusu-pusu mengisi dokumen keluar di balai polis seluruh negara.

    “Sehubungan dengan itu, kami menarik balik larangan itu dan orang ramai boleh melakukan perjalanan dengan selamat, secara berhemah malam ini.

    “Tiada sebarang sekatan akan dikenakan ke atas mereka sehingga satu keputusan baru bakal diumumkan selepas mesyuarat berhubung perkara ini, esok,” kata Tan Sri Hamid.

    Petang tadi satu sidang media dibuat oleh PDRM bagi menerangkan lebih lanjut berkenaan langkah Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan. Dan tindakan untuk mengehadkan perjalanan orang awam merentas negeri dipercayai dapat memberikan lebih keberkesanan terhadap langkah berkenaan.

     
     
  • Orang ramai diminta ke balai polis berdekatan jika ingin keluar antara negeri dari 18-31 Mac – KPN

    Orang ramai diminta ke balai polis berdekatan jika ingin keluar antara negeri dari 18-31 Mac – KPN

    Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Hamid Bador memaklumkan orang ramai yang mahu membuat perjalanan keluar antara negeri perlu memaklumkan kepada polis. Ia adalah bagi tempoh dua minggu bermula 18 hingga 31 Mac ini sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

    Ini bermakna mereka yang mahu membuat perjalanan keluar antara negeri, perlu mengisi borang khas iaitu Kebenaran Rentas Negeri serta menyertakan dokumen pengesahan tentang keperluan membuat perjalanan berkenaan. Di mana borang khas itu boleh diisi di mana-mana balai polis berhampiran atau ibu pejabat polis daerah masing-masing bagi membolehkan pihak polis mengeluarkan surat pelepasan.

    “Untuk mengawal pergerakan dari satu negeri ke negeri atau daerah, interstate, sebab pelaksanaan ini amat perlu. Kita yakin ia akan dapat menyekat penularan dari satu negeri ke satu negeri.

    “Apa yang perlu dibuat oleh orang ramai apabila timbul keperluan misalnya tinggal di Kuala Lumpur hendak balik ke Sarawak, dia perlu maklumkan kepada Ketua Polis Balai mengenai hasrat itu dan polis akan beri dokumen menyatakan bahawa pembawa dokumen ini telah memaklumkan kepada polis, bahawa dia perlu lakukan perjalanan ini atas sebab demikian,” kata Abdul Hamid dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman petang tadi.

    Orang ramai diminta ke balai polis berdekatan jika ingin keluar antara negeri dari 18-31 Mac – KPN

    Menurutnya lagi, orang ramai yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan bermula esok sehingga 31 Mac depan, akan ditahan dibawah Akta 574 Kanun Keseksaan.

    “Perlu saya ingatkan disini, sebarang bentuk pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa pada 18 sehingga 31 Mac depan, ada beberapa kesalahan jenayah boleh diambil dibawah Kanun Keseksaan Akta 574. Pertama dibawah Seksyen 186, iaitu menghalang penjawat awam daripada menjalankan kerja.

    “Keduanya, Seksyen 188 dimana pesalah mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh penjawat awam tadi. Ketiga cuai sehingga menyebabkan jangkitan boleh mengakibatkan bahaya kepada nyawa dan keempat, mengingkari aturan kuarantin itu tadi,” tegasnya.

    Perintah Kawalan Pergerakan ini dilaksanakan selama dua minggu (18-31 Mac 2020) adalah bagi mencegah penularan wabak pandemik COVID-19 yang setakat ini dilaporkan telah menyebabkan dua kematian di dalam Malaysia.

     
     
  • Edaran Tan Chong Motor tutup operasi hingga 31 Mac

    Edaran Tan Chong Motor tutup operasi hingga 31 Mac

    Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) selaku pengedar kereta jenama Nissan turut akur dengan keputusan kerajaan bagi menutup premis perniagaannya termasuklah bilik pamerannya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac ini.

    Malahan ini turut melibatkan penutupan pusat servis Tan Chong Ekspres Auto Servis Sdn. Bhd. (TCEAS). Justeru, sepanjang tempoh penutupan premis berkenaan, penasihat jualan ETCM akan menghubungi semua pelanggan baharu Nissan untuk menjadual semula temujanji penghantaran kereta yang telah ditempah ke bulan April ke atas.

    Manakala penasihat servis TCEAS pula menasihati para pelanggannya untuk menjadualkan semula temujanji bagi menyelenggara kereta masing-masing menerusi panggilan telefon, SMS atau pun aplikasi DriveOn. Kedua-dua perkhidmatan bilik pameran dan pusat servis ini akan beroperasi semula mulai 1 April 2020.

     
     
  • Hong Leong Yamaha juga tangguh operasi dua minggu

    Hong Leong Yamaha juga tangguh operasi dua minggu

    Selain Modenas yang umumkan penangguhan keseluruhan operasi syarikat untuk sementara waktu, Hong Leong Yamaha juga mengambil langkah sama. Ini adalah susulan daripada pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan berkaitan Covid-19 yang diumumkan kerajaan semalam. Hong Leong Yamaha akan memberhentikan sebarang operasi syarikat itu bagi tempoh 18 hingga 31 Mac 2020.

    Ini termasuk semua aktiviti-aktiviti di ibu pejabat, pusat alat ganti dan semua cawangan di seluruh negara. Untuk itu, bagi sebarang perkembangan dan pengumuman lanjut oleh Yamaha, pelanggan boleh terus mengikuti laman media sosial Facebook Yamaha Motor Malaysia dan laman web rasmi www.yamaha-motor.com.my.

     
     
  • Stesen minyak kekal beroperasi dari 18 hingga 31 Mac

    Stesen minyak kekal beroperasi dari 18 hingga 31 Mac

    Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan mulai 18 hingga 31 Mac ini seperti mana yang telah ditetapkan oleh kerajaan dalam usaha mencegah penularan wabak COVID-19, bukanlah situasi Perintah Berkurung atau pun Lockdown. Orang ramai masih diberi kelonggaran untuk keluar bagi membeli barangan keperluan di pasaraya, kedai runcit, kedai serbaneka, dan beberapa premis perniagaan yang disenaraikan boleh beroperasi seperti biasa.

    Ini termasuk juga dengan stesen minyak yang kekal beroperasi seperti biasa. Shell Malaysia turut telah mengeluarkan kenyataan stesennya kekal beroperasi, tetapi tetap mengambil langkah berjaga-jaga untuk keselamatan peruncit dan kakitangan. Perkara ini seharusnya turut dilakukan oleh pemain industri yang lain.

    Sebelum ini, Puspakom, dan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengumumkan terus beroperasi seperti biasa. Walau bagaimana pun, syarikat kereta seperti Honda Malaysia, dan Perodua telah mengumumkan penutupan sementara operasi bagi bilik pameran, pusat servis dan kilang pengeluarannya sepanjang tempoh dua minggu ini. Begitu juga dengan Mitsubishi Motors Malaysia dan Edaran Tan Chong Motor yang merupakan pengedar Nissan juga berbuat perkara yang sama dengan mengumumkan penutupan bilik pameran dan pusat servisnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.

     
     
  • Modenas hentikan semua operasi di seluruh negara berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19

    Modenas hentikan semua operasi di seluruh negara berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19

    Susulan daripada pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan berkaitan Covid-19 yang diumumkan kerajaan semalam, Modenas turut mengumumkan pemberhentian sebarang operasi syarikat itu bagi tempoh 18 hingga 31 Mac 2020.

    Ini termasuk semua aktiviti-aktiviti di ibu pejabat, semua cawangan serta pusat servis Modenas di seluruh negara. Untuk itu, bagi sebarang perkembangan dan pengumuman lanjut oleh Modenas, pelanggan boleh terus mengikuti laman media sosial Facebook dan laman web rasmi jenama berkenaan. Sebarang kesulitan amat dikesali.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024