Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Polis nafi Plaza Tol Duta ditutup, hanya sekatan jalan

    Polis nafi Plaza Tol Duta ditutup, hanya sekatan jalan

    Lewat petang semalam kecoh di laman media sosial dengan penularan berita yang mengatakan laluan Plaza Tol arah utara ditutup kepada semua kenderaan. Walau bagaimana pun, perkara ini dinafikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, yang mengesahkan pasukan keselamatan hanya membuat sekatan jalan dan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya mengikut Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Jalan di plaza tol tersebut tidak ditutup. Kita buat sekatan jalan untuk tapisan, pemeriksaan arahan PKP. Hanya membenarkan kenderaan yang perlu sahaja (alasan munasabah). Lain-lain dinasihatkan duduk rumah, tiada pergerakan atau berpatah balik,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Diharap netizen tidak mudah melatah dan membuat pelbagai andaian dengan penyebaran berita tular sebegini. Dapatkan info yang lebih tepat berdasarkan kenyataan dan makluman yang dikeluarkan oleh pihak berwajib sahaja. Jika tak pasti, jangan kongsi!

     
     
  • Modenas salur sumbangan kepada Hospital Sultanah Bahiyah dalam usaha bantu staf barisan hadapan

    Modenas salur sumbangan kepada Hospital Sultanah Bahiyah dalam usaha bantu staf barisan hadapan

    Pengeluar motosikal tempatan, Modenas, yang juga merupakan anak syarikat DRB-HICOM Berhad, telah menyalurkan sumbangan kepada Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah, dalam usaha membantu dan memberi sokongan terhadap staf barisan hadapan hospital terbabit yang bertungkus lumus mengekang wabak COVID-19. Sumbangan yang berupa barangan elektrik seperti kipas, cerek serta bekalan air mineral telah pun diserahkan kepada wakil hospital terbabit baru-baru ini.

    Misi kemanusiaan ini adalah bagi meringankan beban para anggota petugas barisan hadapan yang menjalankan tugasan tanpa mengenal penat lelah dalam usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19 yang sedang melanda di kawasan utara negara ini. Oleh kerana bilangan kes positif Covid-19 semakin meningkat, sokongan padu terhadap para barisan hadapan amat diperlukan bagi mereka terus kekal positif dari segi mental dan emosi, dalam menjalankan tanggungjawab.

    “Sumbangan yang tidak seberapa ini dari pihak kami, sebagai tanda penghargaan kepada para doktor, jururawat, sukarelawan, pembantu perubatan dan juga tidak ketinggalan para pegawal keselamatan. Sememangnya ia merupakan satu pengorbanan yang besar, buat kakitangan barisan hadapan di samping terpaksa meninggalkan anak kecil dan keluarga demi keselamatan negara,” ujar CEO Modenas, Roslan Roskan.

     
     
  • Mercedes-AMG A 45 S catat 7 minit 48.8 saat di Nürburgring; lebih perlahan dari Honda Civic Type R

    Bila kita berborak berkenaan Honda Civic Type R, pasti ada sahaja suara-suara yang menyatakan “baik beli AMG A 45” memandangkan harga hot-hatch Jepun tersebut yang melebihi RM300k dan hampir menyamai A 45 untuk generasi W176. Atas kertas memang A 45 jauh lebih laju dari FK8, tapi dalam litar bagaimana beza prestasi kedua-dua model ini?

    Baru-baru ini pihak Sport Auto Jerman menguji prestasi Mercedes-AMG A 45 dari versi generasi terbaharu W177 dan dalam varian paling berkuasa iaitu A 45 S di litar Nürburgring Nordschleife yang boleh anda tonton menerusi video di atas. Ujian berkenaan dilakukan oleh pelumba professional berpengalaman dalam banyak perlumbaan Nürburgring 24 jam, Christian Gebhardt, menunjukkan model ini berupaya untuk mencatatkan masa 7 minit 48.8 saat untuk satu lap di litar ‘The Green Hell’ berkenaan.

    Ini bermaksud, A 45 S tersebut ketinggalan 5 saat di belakang Civic Type R FK8, dan lebih lapan saat lebih perlahan dari pemegang rekod kereta pacuan roda hadapan produksi paling pantas di Nürburgring, Renault Megane RS Trophy-R iaitu model edisi terhad yang lebih ringan tanpa tempat duduk belakang serta dipadankan dengan rollcage secara standard dari kilang.

    Jika dilihat prestasi atas kertas, sudah tentu AMG A 45 S ini jauh mendahului Type R FK8. Hot-hatch Jerman berkenaan dijana enjin 2.0 liter produksi paling berkuasa di dunia buat masa sekarang iaitu M133 dengan pengecas turbo twin scroll yang mampu mengerah 421 PS/500 Nm. Ditambah dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan AMG Speedshift 8G dan sistem pacuan semua roda 4Matic+, pecutan 0-100 km/j dicatatkan hanya dalam 3.9 saat.

    Berbanding Honda Civic Type R, model tersebut menerima enjin 2.0 liter VTEC Turbo K20C1 yang menjana 320 PS/400 Nm. Kuasa hanya dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear manual enam-kelajuan membolehkan ia mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat.

    Di Malaysia, Type R FK8 dijual pada harga RM320,000, manakala Mercedes-AMG A 45 dari generasi W176 dijual pada harga RM348,888. Model generasi baharu W177 seperti yang diuji ini masih lagi belum dilancarkan di sini. Namun pada September tahun lalu, Mercedes-Benz Malaysia telah pun melancarkan model yang lebih rendah dari A 45 iaitu A 35 sedan V177 (306hp/400Nm) dengan harga sama iaitu RM348,888 – jadi boleh dijangka A 45 S nanti akan dijual pada harga jauh lebih mahal.

    GALERI: Mercedes-AMG A 45 S W177

     
     
  • Tentera mula bantu polis laksana sekatan jalan raya, termasuk kawal pasaraya, dan pasar awam

    Tentera mula bantu polis laksana sekatan jalan raya, termasuk kawal pasaraya, dan pasar awam

    Seperti mana yang diumumkan oleh Menteri Kanan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dua hari lalu, hari ini seramai 7,500 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula membantu pihak polis dalam mengawal keadaan di dalam negara. Jumlah keanggotaan berkenaan merangkumi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu laut, udara dan darat.

    “Anggota ATM ini ada yang dibekalkan dengan senjata ringan (M4) yang fungsinya hanya untuk memeriksa kenderaan bagi memastikan bahawa yang dibenarkan sahaja boleh melakukan perjalanan, selain untuk keselamatan anggota, dan bukannya niat untuk menakutkan orang awam,” ujar Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang menerusi laporan Bernama.

    Affendi berkata sehingga kini selain membantu dalam sekatan jalan raya, anggota keselamatan itu turut akan mengadakan rondaan menggunakan kenderaan ronda tentera dan tiada keperluan menggunakan kenderaan atau senjata berat milik ATM.

    Tentera mula bantu polis laksana sekatan jalan raya, termasuk kawal pasaraya, dan pasar awam

    “Tiada keperluan untuk itu (menggunakan kenderaan berat) kami hendak memperkasakan Perintah Kawalan Pergerakan jadi tidak perlu pakai senjata berat. Kami bukan melawan musuh, kami jalankan tugas ketenteraman awam sahaja,” katanya.

    Selain membantu melakukan sekatan jalan raya, anggota tentera dan polis juga akan memantau keadaan di pasaraya dan pasar awam memandangkan kedua-dua lokasi berkenaan masih dipenuhi orang ramai terutamanya yang mahu membuat pembelian panik. Malahan kerajaan juga telah memutuskan beberapa premis peniagaan yang dibenarkan beroperasi seperti kedai serbaneka, pasaraya dan stesen minyak tetapi dihadkan waktu operasi iaitu sehingga jam 7 malam sahaja.

    Walau bagaimana pun, memasuki hari ke-lima Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masih kelihatan ramai individu yang berada di tempat awam dan jalan raya biar pun Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah acapkali bertitah menggunakan media sosial, televisyen dan radio untuk menyeru agar orang ramai duduk di rumah sepanjang PKP bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

    Tentera mula bantu polis laksana sekatan jalan raya, termasuk kawal pasaraya, dan pasar awam

    Sikap degil segelintir masyarakat yang masih berpusu-pusu berkunjung ke pasar awam, ada yang masih berjoging di jalan raya dan sebagainya sangat mendukacitakan. Adakah kita mahu mengikut jejak langkah Itali yang telah mencatatkan peningkatan kematian mendadak akibat COVID-19?

    Menurut Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador, sebelum ini sekitar 60% sahaja masyarakat yang mematuhi PKP, terkini jumlahnya telah meningkat sebanyak 90%, dan baki 10% itulah yang masih berdegil lagi.

    Justeru, dengan bantuan anggota tentera ini, diharap mampu membantu pihak polis untuk mengawal keadaaan termasuk terlibat dengan pelaksanaan sekatan jalan raya dan rondaan di serata lokasi. Buat masa ini, tentera dan polis hanya memberikan nasihat kepada orang ramai yang masih kelihatan berada di luar rumah. Dalam gambar di atas juga, kelihatan anggota tentera dan polis memegang notis untuk orang awam mengurangkan pergerakan di luar rumah kecuali atas dasar urusan musabah mahu pun kecemasan.

    Walau bagaimana pun, jika ada yang ingkar dan bertindak agresif termasuk mempertikaikan langkah PKP ini, maka tindakan susulan boleh diambil iaitu di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan (KK). Seksyen 186 KK berkaitan menghalang penjawat awam menjalankan kerja-kerja jawatannya, manakala Seksyen 188 KK berkaitan mengingkari perintah yang diisytiharkan, oleh penjawat awam.

    Semalam, Kerajaan telah menetapkan bahawa hanya seorang individu dibenarkan untuk keluar dari rumah dan memandu untuk membeli barangan keperluan harian serta ubat-ubatan sepanjang PKP sehingga 31 Mac ini.

    Sehingga jam 6.15 petang ini, sejumlah 1,306 kes jangkitan Covid-19 telah disahkan oleh Kementerian Kesihatan, dengan 10 daripada mereka telah pun meninggal dunia. Di sini, kami di paultan.org sekali lagi ingin merayu kepada anda semua untuk sama-sama mematuhi PKP ini. Walau pun ia bukanlah Perintah Berkurung atau pun Lockdown namun tolonglah duduk di rumah sahaja dan elak keluar tanpa perkara mustahak mahu pun kecemasan.

    Andai masih ramai yang enggan mematuhi arahan kerajaan dan jumlah kes jangkitan COVID-19 ini kian meningkat, tidak mustahil PKP akan dilanjutkan ke tempoh yang lebih lama. Pasti kita semua tidak mahu perkara ini berlaku. Dengan itu, TOLONGLAH BERTANGGUNGJAWAB demi kesejahteraan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

     
     
  • Hanya pemandu berseorangan dibenarkan dalam sebuah kereta ketika Perintah Kawalan Pergerakan

    Hanya pemandu berseorangan dibenarkan dalam sebuah kereta ketika Perintah Kawalan Pergerakan

    Kerajaan telah menetapkan bahawa hanya seorang individu dibenarkan untuk keluar dari rumah dan memandu untuk membeli barangan keperluan harian serta ubat-ubatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berlangsung sekarang. Perkara ini diumumkan oleh menteri kanan Datuk Seri Fadillah Yusof dalam sidang media yang dibuat pada petang semalam (21 Mac), menurut laporan The Star.

    Jelasnya, hanya ketua keluarga seorang dibenarkan untuk keluar dari rumah bagi mendapatkan barang-barang yang diperlukan, bermaksud sebuah kereta hanya boleh membawa seorang individu iaitu pemandu itu sendiri sahaja. Katanya lagi sekiranya polis mengesan ada lebih seorang individu dalam sebuah kereta ketika melalui sekatan jalan, penumpang selebihnya perlu memberikan alasan kepada polis, dan kemudian polis akan bertindak atas budi bicara mereka.

    “Itu garis panduan asas, hanya seorang yang dibenarkan. Namun jika mereka ada alasan (lebih dari seorang) seperti ada kematian ahli keluarga mereka perlu jelaskan kepada polis,” katanya.

    Hanya pemandu berseorangan dibenarkan dalam sebuah kereta ketika Perintah Kawalan Pergerakan

    Walau bagaimanapun Fadillah menggesa rakyat agar tidak keluar dari rumah jika tidak perlu. “Hanya perlu keluar jika anda terpaksa. Apabila anda keluar, ikut garis panduan yang telah ditetapkan kementerian kesihatan. Basuh tangan anda, jaga kesihatan dan pastikan anda amalkan penjarakkan sosial,” jelasnya.

    Setakat 21 Mac 2020, sejumlah 1,153 kes jangkitan Covid-19 telah disahkan oleh Kementerian Kesihatan, dengan lapan daripada mereka telah pun meninggal dunia. Dalam situasi yang semakin meruncing ini, kami nasihatkan anda agar ikut saranan kerajaan dengan tidak keluar dari rumah sewenang-wenangnya. Kalau boleh, gunakan sebanyak yang boleh perkhidmatan atas talian dan penghantaran seperti untuk memesan keperluan mahupun makanan.

    Bermula tengah malam ini, 22 Mac, pihak tentera akan mula membantu polis bagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan yang diwartakan kerajaan sehingga 31 Mac ini. Jadi, boleh dijangkakan jumlah sekatan jalan raya turut akan lebih banyak selepas ini.

     
     
  • KTMB kurangkan perkhidmatan tren mulai 21-31 Mac

    KTMB kurangkan perkhidmatan tren mulai 21-31 Mac

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengambil keputusan untuk mengurangkan frekuensi atau kekerapan perkhidmatan tren bermula esok, 21 hingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berlangsung ini.

    CEO KTMB Datuk Ir. Kamaruzaman Zainal berkata, perkhidmatan tren yang terlibat ialah ETS, KTM Antarabandar, KTM Komuter dan Skypark Link. Di mana perkhidmatan ETS akan beroperasi sebanyak lapan perkhidmatan sehari berbanding 40 kali sebelum ini. Manakala KTM Antarabandar pula akan beroperasi sebanyak 10 perkhidmatan berbanding 18 perkhidmatan sebelum ini. Untuk KTM Komuter pula akan beroperasi sebanyak 164 perkhidmatn sehari berbanding 208 sehari.

    “Operasi Komuter pada hujung minggu pula akan dikurangkan kepada 138 perkhidmatan berbanding 167 sebelum ini. Untuk tren Shuttle Tebrau yang beroperasi di antara Stesen Johor Bahru Sentral, Johor Bahru dan Stesen Woodlands, Singapura, akan dikurangkan ke lapan perkhidmatan sehari, berbanding 31 sebelum ini,” ujarnya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    KTMB kurangkan perkhidmatan tren mulai 21-31 Mac

    Turut dikurangkan ialah tren Skypark Line di antara Stesen Kuala Lumpur Sentral dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, kepada lapan perkhidmatan sehari berbanding 32 sebelum ini.

    Kamarulzaman berkata pengurangan perkhidmatan itu dilakukan bagi mengoptimumkan operasi tren sejajar dengan arahan Kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi menggurangkan pergerakan rentas antara negeri.

    “Ia turut mengambil kira faktor pengurangan jumlah penumpang yang mendadak ekoran bertambahnya kes penyebaran wabak COVID-19,” katanya lagi, sambil menambah, operasi semua tren itu akan dikaji dari semasa ke semasa, bergantung kepada keperluan dan arahan terkini Kerajaan.

     
     
  • Harga minyak 21-27 Mac – semua turun kaw-kaw!

    Harga minyak 21-27 Mac – semua turun kaw-kaw!

    Dalam kekalutan orang ramai yang harus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dalam tempoh dua minggu ini, harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama bagi minggu bertarikh 21 hingga 27 Mac dilaporkan turun, menjadi harga yang agak luar biasa!

    Petrol RON97 dilaporkan turun sebanyak 36 seliter, menjadi RM1.74 seliter berbanding RM2.10 seliter pada minggu sebelum ini. Manakala petrol RON95 pula kini menjadi RM1.44 seliter berbanding RM1.82 seliter pada minggu sebelum ini. Ia melibatkan penurunan harga yang paling banyak iaitu 38 sen seliter.

    Untuk diesel pula, Euro 2 bakal berharga RM1.75 seliter dan Euro 5 pula RM1.85 seliter, penurunan sebanyak 12 sen seliter.

    Semua harga runcit baharu bagi ketiga-tiga bahan api berkenaan efektif bermula 12 tengah malam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 27 Mac 2020.

    Jika bukan dalam Perintah Kawalan Pergerakan, pastinya berita harga bahan api yang menjunam ini, lebih menggembirakan rakyat jelata. Ini isi minyak pun, kita tetap kena duduk rumah kan. Jangan pulak merancang balik kampung atau berjalan suka hati, nanti kena ‘nasihat’ dengan askar dan polis pulak.

    Tapi kalau terpaksa pergi isi minyak jugak, jangan lupa pakai sarung tangan getah ‘pakai-buang’ untuk pegang nozzle, tekan nombor pin (jika guna kad debit/kredit) dan pastikan beratur dalam jarak 1 meter masa hendak membuat pembayaran (secara tunai). Gunakan hand sanitizer atau basuh bersih-bersih tangan anda menggunakan sabun/air bersih selepas selesai mengisi minyak.

    #juststayathome

     
     
  • Honda Civic Type R Limited Edition habis dijual di UK

    Honda Civic Type R Limited Edition habis dijual di UK

    Honda UK mengumumkan bahawa kuota 20 unit Civic Type R Limited Edition yang mereka terima kesemuanya sudah habis dijual selepas hanya sebulan diperkenalkan. Kereta tersebut sebenarnya hanya diumumkan di media tanpa dipamerkan di mana-mana, bermaksud tidak ada seorang pun dari pembeli berkenaan yang pernah melihat kereta tersebut di hadapan mata mereka sendiri sebelum bersetuju untuk membeli kereta dengan harga £39,995 (RM207k) ini.

    Secara keseluruhan, benua Eropah hanya menerima 100 buah (termasuk 20 buah di UK) FK8 Limited Edition ini, manakala di Amerika Syarikat sebanyak 600 unit disediakan untuk direbut oleh pembeli. Apa yang istimewa sangat dengan kereta ini selain dari dihasilkan dalam jumlah terhad?

    Honda Civic Type R FK8 Limited Edition ini dihasilkan dengan ‘semangat’ yang sama seperti Civic Type R pertama iaitu EK9 dan juga model-model Type R lain yang sezaman dengannya. Oleh itu, beratnya perlu dibuang sebanyak yang mungkin menerusi pelbagai aksesori yang perlu dicabut termasuk pengelap cermin belakang, penutup tonneau, skrin infotainmen beserta sistem audio, sistem pendingin hawa bersama saluran pemanas untuk bahagian belakang dan mengurangkan penebat-penebat bunyi.

    Honda Civic Type R Limited Edition habis dijual di UK

    Model edisi terhad ini juga diberikan rim 20-inci aluminium forged khas yang dibuat yang lebih ringan dari versi biasa, serta dibaluti tayar lebih serius Michelin Cup 2. Ya, memang ia tidak lagi selesa, kerana Type R Limited ini direka lebih menumpukan kepada pemanduan di litar.

    Dengan semua perkara yang dibuat tersebut, model ini adalah 47 kilogram lebih ringan dari model Type R FK8 biasa. Selain itu, Honda turut menala semula suspensi dan juga sistem stereng Type R Limited Edition ini bagi membolehkan pemandu memberikan kawalan dan respon pada tahap maksimum.

    Honda hanya menghasilkan Type R Limited ini hanya dengan satu warna iaitu Phoenix Yellow (dikenali sebagai Sunlight Yellow di UK). Jika anda peminat tegar Type R, anda tentu tahu bahawa warna ini berasal dari EK9 Type R dan sinonim dengan penala lagenda Honda iaitu Spoon.

    Honda Civic Type R Limited Edition habis dijual di UK

    Model edisi terhad ini juga diberikan perincian khas lain termasuk kemasan hitam berkilat istimewa pada bumbung, penutup cermin sisi, liang udara pada penutup hud enjin, manakala di belakang ia hadir dengan lencana Civic berwarna krom gelap. Bagi menambah nilai eksklusif, kesemua FK8 istimewa ini akan diberikan plat dengan nombor serial unik.

    Honda tidak memberikan sebarang penambahan kuasa pada model edisi terhad ini. Ia masih dijana enjin K20C1 2.0 liter empat-silinder VTEC Turbo berkuasa 320 PS (pasaran Malaysia sebelum ini hanya 310 PS) dan tork maksima 400 Nm, digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan nisbah rapat, lengkap dengan LSD.


     
     
  • Honda CT125 Hunter Cub mula masuk pasaran Jepun – lebih mahal daripada Super Cub, RM17,500

    Honda CT125 Hunter Cub mula masuk pasaran Jepun – lebih mahal daripada Super Cub, RM17,500

    Honda CT125 Hunter Cub pertama kali dipertontonkan kepada umum waktu Tokyo Motor Show 2019, dan kini ia sudah pun memasuki pasaran utamanya iaitu di Jepun pada harga 440,000 yen (RM17,500). Harga ini adalah lebih tinggi daripada Super Cub C125 dan Monkey 125 yang dijual pada harga 407,000 yen (RM16,000).

    Meskipun CT125 menggunakan asas yang sama seperti C125, termasuk enjin empat strok satu silinder 124 cc OHC yang berkuasa 8.8 PS dan 11 Nm tork (-0.9 PS dan +1 Nm tork berbanding C125), kerangkanya telah dipanjangkan dan diperkuat untuk menyesuaikannya dengan kegunaan jelajah termasuk jalan tidak berturap.

    Bahagian badan juga sudah tentu berbeza, di mana CT125 tidak menggunakan banyak panel badan, ekzos terletak tinggi, rak barangan lebih panjang, suspensi lebih tinggi (165 mm dari tanah dan tinggi tepat duduk 800 mm), fender depan besi serta tangki bahan api 5.3 liter (3.7 liter pada C125).

    Kemudiannya, ia dilengkapi dengan rim jejari 17 inci yang dibalut tayar 80/90 di depan dan belakang, brek cakera depan dan belakang bersama sistem ABS one-channel (depan sahaja), kotak gear empat kelajuan tanpa klac tangan, fork teleskopik dan dua penyerap hentak di belakang.

    Bahagian pemegang CT125 turut dijadikan lebih tinggi, dan anda juga boleh melihat ia dipasang dengan besi pelindung enjin, semua lampu jenis LED, pemula jenis tendang dan elektronik serta lampu tambahan pada bahagian hadapan.

    GALERI: Honda CT125 di Tokyo Motor Show 2019

     
     
  • Toyota Hilux 2.8L vs Mitsubishi Triton 2.4L – trak pikap yang mana satu lebih jimat penggunaan bahan api?

    Toyota Hilux 2.8L vs Mitsubishi Triton 2.4L – trak pikap yang mana satu lebih jimat penggunaan bahan api?

    Anda pernah tertanya-tanya, antara dua model trak pikap popular Toyota Hilux dan Mitsubishi Triton, mana satu yang lebih jimat minyak? Melalui artikel ini, perkara itulah yang ingin kami car kepastiannya – dengan cara mengujinya sendiri.

    Untuk tujuan itu, kedua-dua model yang ditampilkan ini merupakan varian paling tinggi dan lengkap bagi model masing-masing. Toyota Hilux diwakili oleh model dengan enjin 2.8 liter turbodiesel 1GD-FTV dengan janaan 177 PS dan 450 Nm. Sementara itu, Triton pula dengan enjin 2.4 liter aluminium MIVEC turbodiesel, menghasilkan 181 PS dan 430 Nm tork.

    Kedua-dua trak ini dilengkapi dengan kotak gear automatik enam-kelajuan. Penting juga untuk dimaklumkan bahawa Hilux sebenarnya mempunyai berat 2,100 kg, lebih 170 kg berbanding Triton dengan 1,930 kg. Di atas kertas, Triton punya banyak kelebihan dari aspek ini, tetapi ada eloknya kita uji dalam penggunaan nyata untuk lihat apakah bacaan yang sebenarnya – adakah betul Triton lebih jimat minyak, atau sebaliknya Hilux lebih cekap?

    Toyota Hilux 2.8L vs Mitsubishi Triton 2.4L – trak pikap yang mana satu lebih jimat penggunaan bahan api?

    Untuk menjadikan semuanya sama rata, kami memilih satu laluan tetap sejauh 306 km, bermula dari stesen Petronas Solaris Putra menuju ke Lebuhraya KL-Seremban. Semua pembolehubah dikawal – suhu pendingin hawa ditetapkan pada 20 darjah Celsius dengan kelajuan hembusan medium, dan tekanan tayar diperiksa agar mengikut cadangan daripada pengeluar masing-masing. Lain-lain beban tambahan juga telah dikeluarkan.

    Seterusnya, kedua-dua trak pikap diisi dengan Petronas Dynamic Diesel Euro 5 dengan Pro-Drive melalui kaedah tiga-klik (tunggu sehingga pam minyak berhenti secara automatik, dan diulang proses ini sebanyak tiga kali dalam selang 10 saat), dan trip meter diset kepada sifar sebelum memulakan perjalanan.

    Keadah ujian juga sangat mudah. Di lebuhraya, kelajuan ditetapkan antara 70 km/j hingga 110 km/j bergantung kepada aliran trafik. Walaupun kedua-dua trak mempunyai ciri kawalan melayar pasif, hanya input menggunakan pedal kaki digunakan sepanjang pemanduan untuk menjadikan pemanduan lebih kepada cara penggunaan sebenar oleh manusia.

    Toyota Hilux 2.8L vs Mitsubishi Triton 2.4L – trak pikap yang mana satu lebih jimat penggunaan bahan api?

    Sepanjang perjalanan, kedua-duanya bergerak sebagai konvoi longgar bagi mengelakkan drafting effect sebelum berhenti di R&R Seremban untuk bertukar kenderaan. Ini bertujuan menjadikan gaya pemanduan lebih sekata antara kedua-dua trak pikap berkenaan. Bagi bahagian suasana pemanduan di tengah bandar, ini diwakili dengan persinggahan pertama di Jonker Street, Melaka – berehat sekejap menikmati cendol gula Melaka.

    Dalam perjalanan pulang menuju Paya Jaras, Selangor, kaedah yang sama diterapkan. Pemanduan mengikut keadaan trafik, dan berhenti untuk bertukar kenderaan di R&R Ayer Keroh dan R&R Seremban.

    Dipenghujung perjalanan sejauh 306 km itu, keputusan seperti ini yang diperoleh – Hilux 2.8L menggunakan 21.565 liter diesel Euro 5 manakala Triton 2.4L menggunakan 19.488 liter bahan api yang sama. Itu mewakili 14.19 km per liter bagi Hilux, sementara Triton pula mencatatkan 15.7 km per liter penggunaan. Ujian ini menunjukkan yang Triton 10.65% lebih cekap penggunaan bahan apinya, atau menggunakan 9.63% kurang diesel berbanding Hilux.

    Toyota Hilux 2.8L vs Mitsubishi Triton 2.4L – trak pikap yang mana satu lebih jimat penggunaan bahan api?

    Lanjutan daripada itu, bagi tempoh pemilikan sehingga 100,000 km, Hilux akan menggunakan 7,047.22 liter bahan api, sementara Triton hanya akan menggunakan sebanyak 6,369.42 liter. Ini mencatatkan perbezaan 677.80 liter – ini bermaksud, sepanjang tempoh itu, pemilik Triton jimat penggunaan diesel sebanyak RM1,477.60 jika didasarkan kepada harga siling diesel RM2.18 seliter. Bagi diesel Euro 5 pula, Triton akan jimat sekitar RM1,545.38 (pada harga RM2.28 seliter) berbanding Hilux.

    Dengan taburan data daripada keputusan yang diperoleh ini, boleh disimpulkan bahawa Triton 2.4L lebih jimat penggunaan bahan apinya. Jika anda berhasrat untuk membeli trak pikap, jangan lupa untuk membaca artikel berkaitan perbandingan kos penyelenggaraan bagi tempoh lima tahun bagi Triton, Hilux dan juga Ranger.

    Sebagai tambahan, menarik juga untuk diingatkan bahawa cukai jalan bagi Triton juga lebih murah, sekitar RM793.60 berbanding Hilux yang dikenakan RM1,248. Apa pandangan anda tentang semua perkara yang dinyatakan ini? Mana satu pilihan yang lebih berbaloi untuk anda?

    Hilux vs. Triton

    Toyota Hilux 2.8L

    Mitsubishi Triton 2.4L

     
     
  • VIDEO: Bilik rahsia Valentino Rossi simpan koleksi

    VIDEO: Bilik rahsia Valentino Rossi simpan koleksi

    Walaupun sudah berusia lebih 40 tahun, Valentino Rossi masih lagi dilihat kompetitif dalam dunia perlumbaan dan sekarang ini merupakan antara pelumba paling berpengalaman yang masih lagi aktif. Sepanjang tempoh karier, sudah tentu beliau sudah merasakan sendiri evolusi baik pada pengurusan pasukan, jentera mahupun kelengkapan yang dipakai.

    Dainese sebagai penaja yang sudah bekerjasama dengan Rossi sejak dari awal beliau berlumba sehingga sekarang telah menyiarkan siri video meneroka “bilik rahsia” Rossi di mana beliau menyimpan kelengkapan seperti sut, helmet, but dan pelbagai lagi yang pernah digunakan, dari dulu hinggalah yang terbaru.

    Semuanya disimpan rapi sebagai kenangan dan anda boleh menyaksikan sendiri bagaimana semasa menerangkan tentang kelengkapan tersebut, Rossi boleh mengingati pengalaman atau tahun di mana ia digunakan, dan betapa berhati-hatinya beliau mengeluarkan setiap simpanan itu menunjukkan ia sangat berharga.

    Kami percaya, ramai di antara kita juga ada menyimpan barangan Rossi sebagai koleksi, dan setelah melihat video ini, rasanya rekaan mana atau barangan apa yang paling menarik bagi anda?

     
     
  • Nissan daftar logo baru untuk syarikat dan model Z

    Nissan daftar logo baru untuk syarikat dan model Z

    Tidak banyak yang diketahui setakat ini berkenaan pengganti baru Nissan 370Z, tetapi logo baru untuk syarikat dan model Z telah beredar. Menurut Motor Trend, logo baru Z telah difailkan sebagai tanda niaga di Canada manakala logo baru syarikat pula didaftar di United Kingdom, Peru, Uruguay, Chile dan Argentina.

    Logo baru Nissan yang dilihat ini mempunyai rekaan dua dimensi, sama seperti pendekatan yang diambil oleh Volkswagen dan BMW baru-baru ini, dan ia sebenarnya telah ditunjukkan lebih awal melalui kereta konsep Ariya, dengan diletakkan pada gril hadapannya. Meskipun mempunyai bentuk sama, logo itu walaubagaimanapun diletakkan atas lencana tiga dimensi.

    Sementara itu bagi logo model Z baru pula, ia mengikut gaya yang digunakan pada model Z terdahulu seperti 240Z, 260Z dan 280Z. Ia dianggap bersesuaian kerana model baru Z nanti dilapor bakal mempunyai gaya ‘inspirasi warisan’, tetapi dengan enjin yang lebih moden – mungkin V6 3.0 liter twin turbo.

    Enjin ini sekarang diguna pada Infiniti Q50 dan Q60 Red Sport dan dipadankan bersama transmisi automatik sembilan kelajuan. Model baru Z nanti mungkin mempunyai pilihan manual dan automatik. Sebelum ini juga Nissan Motorsport pernah memasang enjin V6 3.0 liter biturbo pada Fairlady 370Z, tetapi sebagai satu projek khas untuk pameran SEMA.

     
     
  • Tentera bakal bantu polis kawal keadaan mulai 22 Mac ini bagi Perintah Kawalan Pergerakan – DS Ismail Sabri

    Tentera bakal bantu polis kawal keadaan mulai 22 Mac ini bagi Perintah Kawalan Pergerakan – DS Ismail Sabri

    Berita terbaharu yang dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi Bernama TV melaporkan
    Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob mengumumkan mulai 22 Mac 2020 (Ahad ini), tentera akan membantu polis dalam memantau keadaan yang berlaku kini terutamanya bagi memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini.

    Ismail Sabri turut menegaskan agar orang ramai jangan mempersoalkan kuasa polis dan tentera dalam hal keselamatan negara.

    “Dari laporan pihak polis, peratusan pematuhan oleh rakyat makin meningkat. Terima kasih atas kerjasama ini.Walau bagaimana pun, masih ada insiden di mana ada yang ingkar dengan arahan pihak polis. Ini termasuk ada yang membawa anak-anak bermain di taman permainan kanak-kanak, makan di restoran dan sebagainya. Walau pun diminta bersurai, tapi masih ramai yang berdegil.

    “Walau bagaimana pun pihak polis memaklumkan, ada sampai tahap individu yang degil yang tidak boleh berkompromi dengan nasihat yang diberikan oleh polis, maka tindakan lebih tegas boleh diambil termasuk tangkapan. Namun jika boleh, kita tidak mahu perkara itu berlaku. Mengenai perintah darurat, kerajaan tiada niat untuk mengumumkannya. Tiada aset tentera yang digerakkan untuk perintah darurat seperti yang disebarkan semalam. Diharap rakyat tidak mudah percaya dengan berita palsu ini,” tegas Ismail Sabri.

    Tentera bakal bantu polis kawal keadaan mulai 22 Mac ini bagi Perintah Kawalan Pergerakan – DS Ismail Sabri

    Perkara ini terpaksa diputuskan memandangkan masih ramai orang awam yang ingkar dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang mula dilaksana sejak tiga hari lalu. Sejak hari pertama pelaksanaannya, begitu banyak video yang dimuat naik di laman media sosial oleh netizen yang memaparkan ragam orang ramai yang tidak mengendahkan larangan untuk tidak berada di luar rumah. Masih ramai yang bersesak-sesak di pasar pagi, menjamu selera di kedai makan, berpiknik di tepi pantai dan melepak secara berkumpulan.

    Walau pun pada malam pertama pelaksanannya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya berulang kali meminta dan merayu kepada seluruh rakyat supaya duduk diam-diam di rumah dalam tempoh 14 hari penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula semalam sehingga 31 Mac.

    Just stay at home. Luangkan masa bersama anak, isteri dan ahli keluarga. Tidak perlu ke mana-mana. Dengan cara ini saudara saudari terhindar daripada jangkitan COVID-19 dan penularan wabak ini insya-Allah dapat dibendung. Inilah tujuan sebenar Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan oleh kerajaan,” ujar beliau dalam perutusannya itu. Malah berkali-kali beliau mengulangi ayat “Just stay at home” atau “Duduk saja di rumah”. Sedihnya, masih ramai yang tidak mengendahkannya.

    Menurut Ketua Polis Negara pula, Tan Sri Abdul Hamid Bador, pada masa ini pihaknya masih menggunakan pendekatan memberi amaran dan nasihat kepada orang awam yang mengingkari arahan kerajaan untuk berada dalam rumah, kecuali membabitkan pekerja dan kakitangan perkhidmatan penting.

    Tentera bakal bantu polis kawal keadaan mulai 22 Mac ini bagi Perintah Kawalan Pergerakan – DS Ismail Sabri

    “Jadi disebabkan inilah pihak kami mengadakan lebih banyak sekatan jalan raya dengan keseluruhan jumlah semalam membabitkan 504 sekatan. Selain sekatan jalan raya, pihak polis turut mewujudkan pasukan tertentu yang memantau lokasi panas yang menjadi tumpuan orang ramai yang masih berdegil dan berkumpul.

    “Saya berharap kita dapat mencapai sasaran sebanyak 80 hingga 90% jumlah orang awam yang mengikut arahan kerajaan. Mungkin boleh mencecah 95% dan dianggap baik. Saya harap orang ramai faham ya. Jangan biarkan sampai ke tahap bahaya nanti kami terpaksa mengambil tindakan lebih drastik dengan melakukan tangkapan. Janganlah sampai ke tahap itu. Apa yang penting kita tidak mahu tambahkan lagi risiko jangkitan COVID-19 ini,” katanya seperti yang disiarkan dalam Berita Harian.

    Hamid berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama yang baik dalam usaha bersama menangani jangkitan Covid-19 daripada menular dan merebak kepada orang lain.

    Menurut undang-undang Malaysia, orang awam yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan (KK). Seksyen 186 KK berkaitan menghalang penjawat awam menjalankan kerja-kerja jawatannya, manakala Seksyen 188 KK berkaitan mengingkari perintah yang diisytiharkan, oleh penjawat awam.

    Semalam, seorang individu telah direman selama tiga hari sehingga 23 Mac mengikut Seksyen 186/509 Kanun Keseksaan kerana enggan memberi kerjasama dengan polis ketika ditahan bagi pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan di Labis, Segamat. Menurut laporan Harian Metro, lelaki berkenaan didapati bertindak agresif yang menyerang anggota polis yang menjalankan pemeriksaan terhadapnya.

     
     
  • Kia Picanto facelift terbaru dilihat dalam versi GT Line

    Kia Picanto <em>facelift</em> terbaru dilihat dalam versi GT Line

    Daripada imej yang dikongsi oleh Korean Car Blog ini, ada dua petanda yang makin jelas. Pertama, pengenalan Kia Picanto facelift terbaru sudah semakin hampir, dan kedua, pembaharuan rekaan yang diterapkan juga banyak – paling tidak untuk bahagian depan.

    Picanto dalam gambar ini tampul dalam versi GT Line yang paling sporty dengan bampar depan yang baru sepenuhnya. “Tiger nose” masih lagi dikekalkan, tetapi perincian kini berubah dengan kehadiran dua palang yang digunakan. Bukaan bawahnya juga dengan enam bucu, serta lampu kabus ditempatkan dalam perumah krom – semuanya terarah kepada bukaan udara di sudut yang kini dikemaskan dengan rekaan sirip hitam berkilat.

    Lampu utama juga berbeza bagi model spesifikasi tinggi; kemasan perak kini disertakan di bahagian dalamnya sebagai lanjutan daripada gril. Lampu DRL empat-titik pula sangat jelas kelihatan, dengan lampu isyarat LED terletak di bawah.

    Rim juga diberikan rekaan baru dengan ciri banyak jejari – lapan daripadanya diberi penyudah dua-tona. Bampar belakang juga dijangka akan diberi rekaan baru sepenuhnya sebagai padanan bahagian depan. Tidak ketinggalan juga kemungkinan pengenalan rekaan lampu belakang yang baru. Di dalam, pembaharuan kemasan dan perincian dijangka turut diberikan, serta kelengkapan infotainmen yang dipertingkat – sama seperti yang dilihat pada Hyundai i10 baru.

    Juga seperti Hyundai i10 baru, Picanto ini dijangka bakal mengekalkan unit enjin dan spesifikasi mekanikal sedia ada – enjin 1.0 liter tiga-silinder 67 PS/96 Nm dan 1.25 liter 84 PS/122 Nm empat-silinder NA. Tidak ketinggalan ialah enjin 1.0 liter turbcas dengan janaan 100 PS/172 Nm suntikan terus. Pilihan kotak gear terdiri daripada manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan juga mungkin dikekalkan.

    Kia Picanto GT Line 2019 di Malaysia

     
     
  • Daihatsu Sirion dikemaskini di Indonesia – warna dan kit aero baharu, masih hanya 1.3L, RM55k-RM59k

    Daihatsu Sirion dikemaskini di Indonesia – warna dan kit aero baharu, masih hanya 1.3L, RM55k-RM59k

    Selepas diperkenalkan buat pertama kali di Indonesia pada tahun 2018, Daihatsu kini memdedahkan Sirion dengan berberapa kemaskini untuk pasaran berkenaan serentak dengan pelancaran adiknya, Daihatsu Ayla 2020 semalam.

    Untuk mereka yang masih belum mengetahui, Daihatsu Sirion di Indonesia ini bukanlah model yang dibangunkan di Jepun, sebaliknya ia adalah produk rebadge dari Perodua Myvi yang di bangunkan di Rawang, Selangor. Malah Sirion pasaran Indonesia ini juga diimport dari Malaysia dan bukan dipasang oleh Astra Daihatsu Motor.

    Tidak banyak perubahan yang diberikan untuk Sirion 2020, selain ditawarkan dengan warna baharu yang dipanggil Electric Blue dan Granite Gray Metallic, ia juga kini diberikan kit aero baharu yang terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi yang digelar pelindung batu, dan juga bahagian plat nombor pendaftaran belakang yang digelapkan.

    Sebenarnya kalau anda tengok dengan teliti, tiada apa yang baharu kerana kit aero yang ditambah ini adalah ciri standard untuk Myvi 1.5 High dan 1.5 AV untuk pasaran Malaysia. Untuk pengetahuan anda juga, tiada Sirion yang diberikan enjin 1.5L disini, tetapi hanya dijual dalam versi 1.3L dengan enjin 1NR-VE berkuasa 94 hp/121 Nm bersama pilihan kotak gear sama ada lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik.

    Daihatsu Sirion dikemaskini di Indonesia – warna dan kit aero baharu, masih hanya 1.3L, RM55k-RM59k

    Untuk ciri lain, ia masih kekal sama seperti sebelum ini iaitu dibekalkan dengan rim 15-inci seiras Myvi 1.5L, dan juga kit kelengkapan yang setara dengan Myvi 1.3 Premium X – terdiri dari lampu LED, lampu kabus, penderia parkir hadapan dan belakang, sistem kunci pintar dan butang penghidup enjin.

    Bagi bahagian dalaman, skrin sesentuh untuk pemain audio utama kini telah ditingkat taraf bagi membolehkan ia menyokong fungsi hubungan mirrorlink kepada telefon pintar. Kelengkapan lain masih kekal dengan diberikan roda stereng dengan balutan kulit dan butang pelbagai fungsi, perehat kepala belakang boleh laras, kawalan penghawa dingin digital dan pengecas USB pada bahagian sisi pemandu.

    Untuk keselamatan, model ini menerima sistem ABS, EBD, VSC, pengingat pemakaian tali keledar belakang dan empat beg udara (dua hadapan, dua sisi). Walau bagaimanapun, Sirion tidak diberikan sistem start-stop enjin automatik Eco-Idle seperti Myvi 1.3 Premium X.

    Dengan kapasiti enjin lebih dari 1.2L, Sirion tidak layak untuk diklasifikasikan sebagai kereta hijau kos rendah (LCGC) Indonesia seperti Ayla. Dengan pertambahan berberapa kit juga menyebabkan harga Sirion naik sikit dari sebelum ini – model dengan transmisi manual dijual pada harga 200.1 juta rupiah (RM55k), manakala model automatik pula berharga 214.85 juta rupiah (RM59k).

    GALERI: Daihatsu Sirion di GIIAS 2018

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024