Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • BMW 2 Series Gran Coupé 2020 dipertonton di M’sia

    BMW 2 Series Gran Coupé 2020 dipertonton di M’sia

    BMW Group Malaysia nampaknya kian rancak memperkenalkan model baharu untuk pasaran tempatan. Baru-baru ini, syarikat terbabit telah mempertontonkan model baharunya dalam situasi yang bukan kebiasaan, dengan memandunya di sekitar Kuala Lumpur untuk mendapatkan perhatian ramai. Malah semalam, model tersebut telah dibawa ke premis kami yang terletak di Jaya One untuk tontonan umum.

    Walau pun BMW Group Malaysia tidak menyatakan secara jelas apakah model kereta berkenaan – tambahan pula ia dilitupi lapisan camouflage rekaan NGO tempatan – tetapi identitinya masih boleh jelas kelihatan. Dan sudah tentulah ia BMW 2 Series Gran Coupé baharu, versi empat-pintu bagi model 1 Series pacuan-hadapan baharu.

    Belum ada penjelasan yang didedahkan buat masa ini, tetapi berdasarkan spyshot sebelum ini, kebarangkalian kita akan mendapat varian 218i dan M235i.

    BMW 2 Series Gran Coupé 2020 dipertonton di M’sia

    Seperti yang pernah kami maklumkan sebelum ini, ciri standard bagi 218i termasuklah lampu utama dan lampu belakang LED, lampu kabus LED, roda aloi 819 M jejari-berkembar 18-inci, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan suhu dwi-zon (dengan corong udara untuk tempat duduk belakang), tempat duduk sport larasan kuasa dengan fungsi memori untuk bahagian pemandu dan sistem infotaimen BMW Live Cockpit Plus bersama skrin sesentuh 8.8-inci dan kluster instrumen analog.

    Seperti model BMW baharu yang lain. 218i Gran Coupé juga akan didatangkan dengan pakej Driving Assistant. Ini termasuklah brek kecemasan sendiri, amaran ketibaan lorong dan pemantauan titik buta dengan kepekaan trafik lintasan belakang. Dengan adanya penderia radar di bahagian hadapan, model ini tidak menerima kawalan kelajuan adaptif.

    BMW 2 Series Gran Coupé 2020 dipertonton di M’sia

    218i dijanakan oleh enjin B38 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder petrol, dengan hamburan kuasa 140 PS dari 4,600 hingga 6,500 rpm dan tork 220 Nm dari 1,480 hingga 4,200 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi dwi-klac basah lapan-kelajuan, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan.

    Sementara itu, M235i akan menerima versi enjin yang sama dengan M135i iaitu B48 2.0 liter turbo empat-slinder yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 306 PS dari 5,200 hingga 6,250 rpm dan tork 450 Nm antara 1,750 dan 4,500 rpm. Ia juga akan menerima DCT yang sama dengan pacuannya disalurkan ke roda menerusi sistem pacuan semua-roda xDrive, dengan pecutan dari 0-100 km/j boleh dicapai dalam 4.9 saat.

     
     
  • Genesis GV70 dalam teaser – SUV kedua jenama itu

    Genesis GV70 dalam teaser – SUV kedua jenama itu

    Model yang ditawarkan oleh Genesis sekarang cuma ada empat iaitu tiga daripadanya sedan – G70, G80 dan G90 – sementara satu lagi adalah SUV, GV80. Tidak lama lagi, ia akan disertai oleh satu lagi model SUV, apabila Genesis mengeluarkan teaser untuk GV70.

    Unit dalam teaser ini menggunakan pelekat samaran yang dipanggil oleh Genesis sebagai “G-Matrix”. Menurut mereka, corak pelekat ini “mendapat inspirasi daripada pantulan cahaya berlian dan ia merupakan satu bahagian penting dalam identiti jenama Genesis.”

    Tarikh kemunculan rasmi model ini masih belum dinyatakan tetapi Genesis memberitahu unit yang menggunakan pelekat samaran ini akan diuji atas jalan awam di Korea selama satu bulan. Seperti yang boleh dilihat pada namanya, GV70 ini akan duduk di bawah GV80 dan menjadi SUV kedua Genesis yang boleh dibeli oleh pelanggan.

    Walaupun mempunyai pelekat samaran, kita masih dapat melihat konsep rekaan “Athletic Elegance” yang sinonim dengan Genesis pada GV70. Pada bahagian depan ia mendapat gril “Superman-style” yang diapit denan lampu LED nipis.

    Bentuk keseluruhan GV70 ini nampak lebih kemas dan dinamik berbanding GV80 dengan adanya bukaan udara yang besar di hujung bampar sementara cermin belakang pula kelihatan lebih condong. Rupa bahagian dalam masih belum ditunjukkan.

     
     
  • Hyundai Elantra N TCR didedahkan – satu lagi senjata untuk anda pilih bagi berlumba dalam kejohanan TCR

    Hyundai Elantra N TCR didedahkan – satu lagi senjata untuk anda pilih bagi berlumba dalam kejohanan TCR

    Kereta lumba dalam kategori TCR yang dikelola oleh FIA adalah antara kereta lumba yang paling kompetitif buat masa sekarang. Dengan satu spesifikasi, ia boleh berlumba dalam kejohanan peringkat nasional, peringkat benua dan sehingga peringkat dunia iaitu World Touring Car Cup (WTCR).

    FIA juga mensyaratkan bahawa kereta-kereta lumba TCR ini dijalankan secara program perlumbaan pelanggan, membolehkan ia dijual pada harga yang tidak terlalu mahal dan boleh dibeli oleh pasukan-pasukan persendirian, serta menerima terus bantuan teknikal dari pengeluar rasmi.

    Buat masa sekarang, setiap jenama hadir dengan hanya satu jentera TCR, seperti Civic Type R TCR dari Honda, Golf GTI TCR dari Volkswagen, O3 TCR dari Lynk & Co dan banyak lagi pengeluar lain. Tapi tidak Hyundai Motorsport, sebelum ini mereka sudah pun menawarkan dua jentera TCR iaitu i30 N TCR dan Veloster N TCR – terbaharu, jenama Korea berkenaan menawarkan satu lagi pilihan untuk pelanggan iaitu sedan Hyundai Elantra N TCR!

    Kereta lumba ini didedahkan hujung minggu lalu di Beijing Motor Show, bersama pendedahan sulung model produksi Hyundai Elantra generasi ketujuh di negara berkenaan. Ia diperkenalkan setelah di uji selama tiga bulan, dalam jarak 5,000 km, dan bakal ditawarkan kepada pelanggan yang berlumba di negara yang memasarkan Elantra standard.

    Hyundai Elantra N TCR didedahkan – satu lagi senjata untuk anda pilih bagi berlumba dalam kejohanan TCR

    Seperti dua adik beradik hatchbacknya, sedan ini menerima kelengkapan aerodinamik yang merangkumi kit badan lebih lebar bersama sayap GT pada but belakang. Menurut Hyundai, jentera ini dihasilkan oleh divisi perlumbaan pelanggan mereka dengan mengambil kelebihan sepenuhnya model asas yang sememangnya stabil, dihasilkan dari casis berprestasi tinggi.

    Dengan memenuhi undang-undang TCR FIA, Hyundai Elantra N TCR ini dijana oleh enjin 2.0 liter turbo yang diambil dari enjin baharu dalam keluarga enjin kereta produksi jalan raya Hyundai. Manakala untuk transmisi, ia dibekalkan dengan kotak gear manual sequential dengan operasi pedal penukar gear sama seperti pada i30 N TCR dan Veloster N TCR, untuk memacu roda hadapan.

    Kereta ini dihasilkan dalam dua pakej iaitu untuk bersaing dalam perlumbaan bercorak sprint dan juga pakej untuk berlumba dalam acara endurance. Kedua-dua versi tersebut telah diuji dan dibangunkan serentak bermula Jun lalu di pelbagai litar sekitar Eropah.

    “Kami telah menampilkan banyak kemajuan dalam pembangunan casis dengan ramai pemandu yang berlainan bagi menghasilkan pakej keseluruhan yang kukuh untuk pelanggan bagi membolehkan mereka terus berjaya dengan Hyundai Motorsport Customer Racing dalam persaingan TCR,” kata prinsipal Hyundai Motorsport, Andrea Adamo.

    Hyundai Elantra N TCR didedahkan – satu lagi senjata untuk anda pilih bagi berlumba dalam kejohanan TCR

    Antara pemandu yang dimaksudkan oleh Adamo adalah pemandu lagenda dalam dunia touring car iaitu Gabriel Tarquini, yang kini berlumba untuk pasukan BRC Hyundai N Lukoil Squadra Corse dalam WTCR.

    “Sebagai pemandu Elantra N TCR ini dirasakan sebagai kereta yang baik untuk dipandu, walaupun bermula sejak ujian pertama. Saya mampu untuk melengkapkan banyak pusingan lap dalam ujian kereta, memandu kedua-dua versi sprint dan endurance, yang dibangunkan bersama,” kata Tarquini yang turut terlibat dalam pembangunan i30 N TCR sebelum ini.

    “Jelas Elantra N TCR ini adalah lebih besar, tetapi pengendaliannya ketika memandu membuatkan anda tidak terasa perbezaannya. Ini adalah peringkat awal ujian untuk kereta tersebut, jadi masih lagi banyak peluang untuk memperbaiki casis serta menghasilkan pakej lebih kuat untuk pelanggan berlumba,” tambahnya lagi.

    Sejak bermulanya kejuaraan WTCR pada 2018 bagi menggantikan WTCC pada musim sebelumnya, Hyundai merupakan antara pengeluar yang paling berjaya dengan menggondol juara dunia dalam kategori pemandu untuk musim 2018 dan 2019. Secara keseluruhan pasukan-pasukan pelanggan Hyundai telah membolot lapan gelaran juara dalam kejuaraan-kejuaraan TCR di seluruh dunia pada tahun 2019.

    Buat masa sekarang, untuk model produksi Elantra generasi baharu ini hanya hadir dalam model paling berkuasa N-line dengan enjin 1.6 Turbo berkuasa 201 hp/265 Nm. Dengan pendedahan kereta lumba ini mungkin sebagai petanda bahawa model prestasi penuh Elantra N yang dijana oleh enjin 2.0L turbo akan turut diperkenalkan, sama seperti i30 N dan Veloster N.

     
     
  • DBKL akan cari lokasi lain untuk Jalan Palestin, nama Jalan Raja Laut perlu dikekalkan – Annuar Musa

    DBKL akan cari lokasi lain untuk Jalan Palestin, nama Jalan Raja Laut perlu dikekalkan – Annuar Musa

    Baru-baru ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan penukaran nama Jalan Raja Laut 1 kepada Jalan Palestin secara rasminya mulai 26 September 2020. Walau bagaimana pun, semalam Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menuntut penjelasan DBKL di atas tindakan tersebut.

    Beliau melalui ciapan di Twitternya, mempersoalkan kewajaran pemilihan jalan berkenaan. Katanya, ini kerana nama asalnya itu amat bersejarah kepada bangsa Melayu dan ibu kota.

    Justeru, beliau meminta DBKL untuk mencari lokasi lain untuk dinamakan Jalan Palestin kerana nama Jalan Raja Laut perlu dikekalkan, laporan Berita Harian.

    Jelas beliau, Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan diminta mencari jalan lain lebih sesuai bagi tujuan berkenaan.

    “Saya tiada halangan hendak menamakan jalan di Kuala Lumpur dengan Jalan Palestin, tanda sokongan Kuala Lumpur kepada perjuangan pembebasan al-Quds. Namun, saya mahukan penjelasan kenapa memilih untuk tukar nama Jalan Raja Laut, nama besar sejarah Melayu dan Kuala Lumpur,” katanya dalam ciapan menerusi Twitter itu.

     
     
  • Audi Q5 Sportback – bumbung dijadikan seperti coupe

    Audi Q5 Sportback – bumbung dijadikan seperti coupe

    Keterujaan Audi terhadap SUV bentuk coupe diteruskan lagi dengan pengenalan Q5 Sportback baru, yang mengikut jejak langkah Q8, Q3 dan e-tron Sportback. Menurut Audi, Q5 Sportback dapat menawarkan utiliti dan teknologi seperti Q5 biasa, tetapi dengan “rekaan ekspresif dan tersendiri kereta sports.”

    Formula yang digunakan agak mudah. Ambil sahaja Q5 standard dan bumbungnya dijadikan lebih condong di bahagian belakang. Tinggi sebenar kenderaan masih lagi sama (begitu juga dengan lebar), tetapi panjangnya adalah lebih tujuh milimeter (4,690 mm) dan kecekapan rintangan udara bertambah baik (0.30 Cd).

    Daripada aspek rekaan, semuanya hampir sama seperti Q5 facelift generasi kedua, dan model S Line mendapat gril unik, bersama kemasan krom pada bukaan udara bampar hadapan dan muncung ekzos yang dibuang di bampar belakang, digantikan dengan kemasan krom besar.

    Audi Q5 Sportback – bumbung dijadikan seperti coupe

    Pada bahagian dalam, Multi Media Interface (MMI) digunakan, dan sistem infotainmennya terdiri daripada skrin sesentuh 10.1 inci dan kawalan suara yang boleh memahami lenggok bahasa biasa. Pilihan lain yang diberi adalah panel instrumen virtual 12.3 inci, MMI Navigation Plus dengan gambaran satelit Google Earth, pengecas tanpa wayar Qi, serta sistem bunyi 19 pembesar suara Bang & Olufsen.

    Disebabkan bumbung yang lebih rendah di belakang itu, ruang simpanan juga menjadi lebih kecil, iaitu 510 liter. Apabila tempat duduk baris kedua dilungsurkan ke hadapan, ia boleh menjadi 570 liter, dan apabila dibaringkan sepenuhnya, ia menyediakan 1,480 liter.

    Pada bahagian keselamatan, Q5 Sportback boleh dipilih dengan Adaptive Cruise Assist yang boleh memecut, membrek dan membelok stereng secara sendiri pada kelajuan dalam had yang dibenarkan. Terdapat juga pembantu kecekapan yang boleh melaras sendiri kelajuan untuk memadankannya dengan keadaan pemanduan, topografi, had laju atau pengguna jalan raya lain.

    Audi Q5 Sportback – bumbung dijadikan seperti coupe

    Semasa pelancaran, Sportback ditawarkan dengan enjin petrol dan diesel 2.0 liter turbo, yang kedua-duanya menghasilkan 204 PS dan dipadankan bersama transmisi klac berkembar S Tronic tujuh kelajuan. Terdapat juga varian SQ5 TDI yang digerakkan oleh enjin V6 diesel 3.0 liter twin turbo berkuasa 347 PS yang menggunakan transmisi automatik lapan kelajuan.

    Varian yang lebih tinggi ini juga datang dengan sistem pacuan semua roda Quattro dan hibrid ringkas. Sistem hibrid padanya membenarkan kenderaan meluncur dengan enjin tertutup dan mengaktifkan sistem start/stop apabila mengurangkan kelajuan daripada 22 km/j. Dua lagi versi PHEV akan diperkenalkan kemudian.

    Q5 Sportback juga ditawarkan dengan penyerap adaptif (pilihan tambahan), serta sistem suspensi udara yang boleh mengawal tinggi kenderaan dalam lima tahap, dengan pelarasan sehingga 60 mm. Varian SQ5 pula menggunakan suspensi udara yang ditala khas untuknya.

     
     
  • PANDU UJI: Honda Civic 1.5 TC-P 2020 – Prestasi kekal sama, imej luaran bergaya; Masih ngam ho!

    PANDU UJI: Honda Civic 1.5 TC-P 2020 – Prestasi kekal sama, imej luaran bergaya; Masih ngam ho!

    Honda Civic FC atau generasi ke-10 yang dilancarkan pada tahun 2016 menjadi antara kereta sedan segmen-C yang terlaris di Malaysia. Malahan penawaran enjin 1.5L turbo menjadi daya tarikan, selain mengekalkan unit 1.8L dan menggugurkan model 2.0L dalam barisan Civic FC ini.

    Di sini, kelibatnya kerap kelihatan di merata tempat. Olahan gayanya yang boleh dikatakan agak ketara berbanding generasi sebelum ini menjadi tarikan utama mengapa ia menjadi pilihan (dan idaman) ramai. Walau bagaimana pun, ramai juga pemilik Civic FC di sini yang melakukan modifikasi untuk memantapkan lagi gayanya. Tapi kalau sekadar standard sekali pun, Civic FC ini tetap dilihat mempersona.

    Selepas empat tahun dilancarkan dan menandakan sudah tiba masanya ia masuk ke pertengahan hayat, Civic FC menerima model facelift versi 2020. Dilancarkan pada Februari 2020 sebelum aktiviti kita semua ‘tergendala’ akibat serangan COVID-19, Civic ini masih kekal sebagai unit pemasangan tempatan (CKD), ditawarkan dengan tiga varian iaitu model asas 1.8 S, spesifikasi pertengahan 1.5 TC dan varian tertinggi 1.5 TC-P.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Antara sedan dan SUV – yang mana perlu anda pilih?

    Antara sedan dan SUV – yang mana perlu anda pilih?

    Tak boleh dinafikan, bukan sahaja pada pasaran global, malah di Malaysia sendiri SUV telah beransur-ansur mula ‘membunuh’ pasaran bukan sahaja hatchback, malah kereta dalam segmen yang dilihat antara yang paling praktikal iaitu sedan juga semakin lama semakin terancam.

    Pelbagai faktor yang mempengaruhi trend semasa ini – bukan sekadar rupa dan gaya hidup sahaja, malah SUV juga kini dihasilkan dalam pelbagai bentuk termasuk dalam segmen paling kompak iaitu segmen-A, membolehkan ia dijual pada harga lebih mampu milik.

    Kita di Malaysia, ‘permainan’ untuk segmen SUV kompak ini boleh dikatakan berubah ketika kedatangan Honda HR-V pada tahun 2015, di mana mereka yang ‘geram’ dengan CR-V, kini dapat memiliki sebuah SUV dari Honda dengan harga yang lebih mampu milik, membuatkan Honda Malaysia berkuasa dalam segmen berkenaan selama bertahun-tahun.

    Antara sedan dan SUV – yang mana perlu anda pilih?

    Tahun ini, ‘permainan’ ini nampaknya sekali lagi akan berubah dengan kedatangan Proton X50. SUV segmen-B dari Proton ini bukan sahaja dilihat akan memeningkan kepala pesaing dalam kelasnya, malah dengan harga untuk varian-varian rendah yang dijangka akan bertindan dengan harga sedan-sedan segmen-B dalam varian tinggi, ia mungkin memberikan ancaman lebih dari itu.

    Saya sendiri ada terperasan, pengguna-pengguna yang sepatutnya memerlukan sedan sebagai kenderaan harian mula jiwa kacau dengan rupa dan spesifikasi yang ditawarkan X50 ini. Sebenarnya, bukan sekadar ruang dan praktikaliti sahaja akan berubah jika anda beralih dari sedan ke SUV, bahkan ada lagi perkara lain yang perlu anda ambil kira.

    Jadi sedan atau SUV? Baca artikel ini sehingga habis, dan kemudian ia mungkin akan membantu anda membuat penilaian bagi menentukan pilihan tersebut. Ingin diingatkan, perbandingan ini hanya lebih tertumpu kepada sedan dan SUV/Crossover sahaja ya, untuk MPV-SUV macam Perodua Aruz atau Mitsubishi Xpander, mungkin akan disentuh dalam artikel lain.

    Antara sedan dan SUV – yang mana perlu anda pilih?

    Sebenarnya, rupa SUV ini sudah mula diminati sejak sekian lama, namun kerana ia tidak praktikal untuk kegunaan harian, kenderaan sebegini tidak mempunyai bahagian yang besar dalam pasaran. Pada sekitar 70’an dan 80’an dahulu, SUV dikenali sebagai 4×4, dan ia dihasilkan bukan sepenuhnya digunakan di atas jalan raya, sebaliknya ditumpukan untuk meredah laluan-laluan hutan dan pedalaman.

    Model-model yang terkenal seperti Mitsubishi Pajero, Isuzu Trooper dan Toyota Land Cruiser dihasilkan dari platform ladder frame yang lasak seakan lori, dan juga sistem pacuan semua roda yang hardcore dengan transfer case untuk gear mendaki, dan juga gandar belakang jenis hidup (live axle). Malah, banyak juga model yang dijana oleh enjin diesel seperti lori kecil.

    Jadi agak sukar untuk menala SUV-SUV purba ini untuk menjadikan ia sebuah kereta harian yang selesa. Malah dengan tayar jenis off-road yang perlu disarung pada rim, dan lebih banyak komponen untuk sistem transmisi, kos untuk ‘membela’ sebuah SUV 4X4 ini adalah jauh lebih tinggi dari kereta biasa ketika itu.

    Antara sedan dan SUV – yang mana perlu anda pilih?

    Namun pengeluar-pengeluar tahu, ramai yang jatuh hati dengan rupa lasak pada SUV-SUV ini. Jadi dari tahun ke tahun, SUV ditransformasi dari sebuah kenderaan untuk hutan tropika, kini lebih mesra digunakan dalam bandar. Casis ladder frame mula digantikan dengan casis unibody.

    Dan sekarang, SUV telah dihasilkan dengan kerangka monocoque yang dikongsi dengan kereta biasa, manakala sistem 4WD telah diganti dengan sistem AWD bagi membolehkan suspensi belakang diberikan sistem gandar bebas. Malah untuk pasaran Malaysia, SUV segmen-B dan segmen-C kini ditawarkan kebanyakkannya dalam versi pacuan roda hadapan.

    Ini membolehkan SUV dipandu dengan pengendalian hampir sebaik kereta, keselesaan kadang kala lebih baik dari sedan, dan juga kos penyelenggaraan yang jauh lebih murah dari SUV 4X4 sebelumnya.

    Walau bagaimanapun, anda masih lagi perlu meneliti sebahagian kos yang masih tinggi pada SUV ini, terutamanya tayar. Buat masa sekarang, SUV untuk segmen-B biasanya diberikan pilihan rim bermula dari saiz 16-inci, manakala untuk SUV segmen-C varian tertinggi seperti Mazda CX-5 dan Proton X70, ia menerima rim 19-inci – tayar-tayar ini dijual dengan harga yang jauh lebih mahal dari tayar model-model sedan.

    Jika anda biasa dengan sedan dengan rim antara 14-inci hingga 17-inci, melihat harga tayar-tayar untuk SUV yang lebih tebal dan lebar ini mungkin akan membuatkan mata anda terbeliak jika tidak bersedia. Dengan tayar dan juga badan yang lebih berat, SUV memerlukan cakera brek yang lebih besar dan sudah tentu pad breknya juga dijual pada harga lebih mahal. Malah faktor berat juga membuatkan SUV mustahil untuk mendapat kadar penggunaan bahan api sejimat sedan biasa.

    Untuk model-model yang dilengkapi sistem AWD, sudah tentu ia akan menambah lagi kos penyelenggaraan. Sistem ini memerlukan minyak pada gandar belakang ditukar mengikut jadual yang disediakan pengeluar. Dan selepas pemilikan lebih lama, mungkin ada komponen haus dan lusuh seperti bearing, gasket, bush, penyambung-penyambung dan sebagainya yang perlu ditukar.

    Antara sedan dan SUV – yang mana perlu anda pilih?

    Yang agak kelakar, pusat-pusat mencuci kereta juga biasanya mengenakan caj yang lebih tinggi kepada SUV – contohnya untuk mencuci Honda HR-V yang ‘nampak besar’ kerana lebih tinggi adalah lebih mahal dari Honda Civic, padahal hakikatnya saiz sedan segmen-C tersebut sebenarnya adalah jauh lebih besar.

    Walaupun SUV kebanyakkan memberikan pengendalian yang baik, namun mengikut hukum fizik, jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi sudah tentu memberikan titik graviti yang juga lebih tinggi dari kereta. Oh, kita sekarang berbicara tentang SUV mampu milik ya, tak termasuk SUV premium seperti Porsche Macan atau Lamborghini Urus.

    Jadi untuk SUV seperti ini, ia mempunyai daya olengan yang lebih banyak dari kereta dan sukar untuk memberikan pemanduan yang lebih lincah ketika dipandu di jalan berliku. Malah, ada juga SUV yang akan terasa sedikit bergoyang ketika dipotong oleh lori atau bas di lebuh raya.

    Antara sedan dan SUV – yang mana perlu anda pilih?

    Walau bagaimanapun, kedudukan yang tinggi ini ada juga kelebihannya – sudut pandangan ditempat pemandu anda akan menjadi lebih jauh ke hadapan, dan mudah untuk mengagak jarak sekeliling ketika memandu ditempat yang sempit. Bagi sesetengah pemandu, ini secara tidak langsung turut akan memberikan keyakinan yang lebih tinggi ketika memandu.

    Bagi yang memilih SUV disebabkan ruang, anda sebenarnya lebih perlu berhati-hati dengan perkara ini. Jika anda memilih SUV segmen-C, ya, ia adalah alternatif baik kepada model wagon yang agak sukar diperolehi dalam negara kita. Ruang kargo pada SUV jenis ini memang besar dan boleh mengisi barang yang lebih tinggi berbanding ruang but pada sedan.

    Namun untuk SUV segmen-B seperti Honda HR-V dan Proton X50, model-model sebegini sebenarnya adalah sebuah hatchback dengan tayar besar, dan usahlah mengharapkan ruang but yang besar. Mazda CX-3 misalnya, hanya menyediakan ruang kargo dengan kapasiti 350 liter, berbanding Perodua Bezza dengan but berkapasiti 508 liter.

    Begitu juga dengan kabin belakang, jangan pula anda mengharap SUV segmen-B ini akan memberikan ruang lutut yang luas seperti sedan segmen-B, malah dengan rekaan bumbung yang landai kebelakang seperti Honda HR-V dan Toyota C-HR bagi memberikan rupa yang sporty, ruang untuk kepala juga agak terhad dan anda tidak akan terasa ‘lapang’.

    Jadi, ini adalah antara pandangan kami berkenaan pro dan kontra antara pemilihan SUV atau sedan berdasarkan pengalaman kami menguji pelbagai jenis kenderaan. Namun untuk yang pernah memiliki sedan kemudian beralih ke SUV, mungkin anda ada lebih banyak pengalaman dan sudi untuk berkongsi dengan pembaca lain dalam ruang komen di bawah.

    Ingatlah, tiada kereta yang dihasilkan sempurna dalam dunia ini. Jadi setiap kali mahu memilih kereta untuk di beli (bukan berangan), kaji semula semua perkara bukan sahaja melibatkan trend semasa dan rupa sahaja, ambil kira sekali bagaimana keperluan pengunaan harian anda, dan juga bajet (bayaran bulanan, servis, dan lain-lain) yang anda ada.

     
     
  • Polestar Precept — pengeluaran EV terbaru disahkan

    Polestar Precept — pengeluaran EV terbaru disahkan

    Polestar secara rasminya telah umumkan yang syarikat itu akan mengeluarkan model konsep Presecept sebagai satu komitmen terhadap visi masa depan serta arah tuju rekaan yang bakal dihasilkan kelak. Pengeluaran model terbabit akan dilakukan di kemudahan neutral-karbon terbaru mereka di China, yang didakwa menjadi antara kilang pemasangan automatif yang paling pintar dan terhubung di peringkat global.

    Polestar sebelum ini telah mengeluarkan model 1 plug-in hybrid di Chengdu sejak 2019, dan kemudahan itu, yang menggunakan 100% tenaga diperbaharui menjadi yang pertama menerima penarafan LEED Gold di China.

    Ketika Beijing Auto Show 2020, CEO syarikat, Thomas Ingenlath berkata; “China merupakan pasaran utama bagi Polestar dan kami mengenal pasti kesungguhan terhadap memacu kemapanan di sini. Dengan kilang baru ini, kami akan mengunjurkan lagi sempadan, dengan sasaran untuk mengeluarkan kereta elektrik paling maju dan premium di China dengan jejak karbon paling rendah.”

    Polestar Precept — pengeluaran EV terbaru disahkan

    Keputusan untuk menjadikan Precept sebuah model produksi didorong oleh maklum balas positif daripada orang awam dan juga media. “Pelanggan ingin melihat lebih banyak perubahan dalam industri ini. Kini, Precept hadir sebagai satu pernyataan yang kuat. Kami komited untuk mengurangkan kesan ke atas alam sekitar dalam mengeluarkan kenderaan kami serta menjalankan perniagaan kami. Sasarannya adalah untuk menyumbang kepada keadaan iklim neutral untuk jangka panjang,” ujar beliau.

    Banyak perkara tentang Precept adalah berkaitan penggunaan semula dan kemapanan. Bahagian pada pintu, lantai dan papan pemuka adalah menggunakan komposit ampliTex, diperkukuh dengan teknology powerRibs yang diilhamkan oleh urat daun. Polestar mendakwa ini meyumbang kepada pengurangan 50% berat dan 80% pengurangan penghasilan sisa buangan plastik berbanding material lain sebelum ini.

    Kerusinya saja menggunakan alas yang dikait secara 3D daripada benang yang 100% diperbuat daripada botol kitar PET semula. Begitu juga dengan bahagian tempat duduk dan perehat kepala yang menggunakan vinyl diperbuat daripada cork yang dikitar semula dari industri pengeluaran wine. Karpet Econyl pula disulam menggunalan Nylon 6 dari jaring pukat ikan.

    Polestar Precept — pengeluaran EV terbaru disahkan

    Walaupun begitu, Precept merupakan sebuah kereta moden. Di tengah papan pemuka menempatkan skrin 15-inci menegak dengan ciri pembahagian paparan untuk dua aplikasi sekaligus. Terdapat juga Google Assistant dengan pengesanan percakapan termaju dalam beberapa bahasa, servis penstriman video (ketika parkir atau mengecas) serta Polestar Digital Key.

    Dari sudut rekaan, ia mengekalkan ciri dari rekaan Volvo, misalnya seperti lampu utama Thor’s Hammer, wing depan bersambung untuk aerodinamik, corong udara di belakang, lampu belakang dengan rekaan U terbalik dengan sirip, pod LIDAR pada bumbung serta saiz rim 22-inci. Setakat ini, belum ada lagi pendedahan berkaitan perincian lanjut kereta elektrik ini.

     
     
  • Geely Sustainable Experience Architecture – platform EV yang juga akan ditawarkan kepada pengeluar lain

    Geely Sustainable Experience Architecture – platform EV yang juga akan ditawarkan kepada pengeluar lain

    Geely Holding telah melancarkan Sustainable Experience Architecture (SEA), iaitu satu struktur kenderaan elektrik yang dapat “menjanjikan perubahan kepada penawaran kenderaan tanpa emisi dan trak dalam pasaran automotif terbesar dunia.”

    Geely memberitahu mereka akan menggunakan struktur binaan SEA ini pada semua sembilan jenama automotif yang dimiliki (jumlah ini termasuk Proton), di mana jualan secara keseluruhannya berjumlah lebih dua juta unit pada tahun 2019. Model pertama yang akan menggunakannya adalah Lynk & Co Zero Concept dan produksi akan bermula tahun hadapan.

    Geely juga mendakwa struktur ini akan ditawarkan kepada pengeluar kenderaan lain, dan ini adalah yang pertama di dunia. Perbincangan awal dengan pengeluar OEM global lain berkenaan potensi penggunaan SEA sudah dilakukan, tetapi buat masa awal ini, ia cuma akan digunakan bagi jenama di bawah Geely yang mahu merancakkan pengeluaran model EV.

    Menurut pereka struktur ini, ia boleh digunakan bagi kenderaan segmen A hinggalah D atau E, dan mempunyai varian untuk kenderaan komersial ringan. Untuk pacuan pula, semua 2WD, RWD atau AWD boleh digunakan padanya. Tambah Geely, SEA dibangunkan dalam masa tiga tahun di pusat penyelidikan dan pembangunan mereka di China, Sweden, UK dan Jerman.

    Dalam siaran akhbarnya juga ada menyebut, “Penggunaan SEA akan menarik pelanggan, kedua-dua B2B dan B2C, dengan sistem sambungan, fungsi perkongsian kenderaan, kemampuan e-motor serta kemas kini atas talian yang tidak boleh disaingi, dan ia akan mempunyai fungsi pemanduan autonomous paling canggih dan menawarkan jarak gerak maksimum lebih 700 km, serta kapasiti untuk jarak ini boleh ditingkatkan pada masa hadapan.”

     
     
  • Honda SUV e:concept diperkenal di China – petunjuk kereta elektrik pertama Honda untuk negara itu

    Honda SUV e:concept diperkenal di China – petunjuk kereta elektrik pertama Honda untuk negara itu

    Selepas beberapa teaser, Honda akhirnya telah mendedahkan model SUV e:concept di Beijing Motor Show, di mana ia memberikan petunjuk awal kepada kereta elektrik pertama yang akan diperkenalkan oleh Honda di China. Waktu jualannya masih belum diberitahu tetapi ia dikata “akan dikeluarkan secara besar-besaran secepat mungkin.”

    SUV konsep ini nampak agak menyerlah dengan rekaan tajam pada bahagian bawah bampar sementara gril tertutup sepenuhnya dan dipasang dengan logo Honda yang menyala. Lampu LED yang digunakan agak nipis dan ia mempunyai sambungan di tengah.

    Pada bahagian tepi anda akan melihat ia mempunyai bentuk yang tegap, lekuk agak dalam pada pintu, kemasan plastik pada keliling roda, tempat mengecas di bahagian fender serta rim 21 inci. Memandangkan ini adalah sebuah model konsep, Honda telah memasangnya dengan pintu yang dibuka ke atas. Perincian berkenaan penggerak model ini masih belum diberitahu tetapi apabila melihat soket pengecasnya yang terbuka, kita boleh menjangka kedua-dua AC dan DC boleh digunakan.

    Honda SUV e:concept diperkenal di China – petunjuk kereta elektrik pertama Honda untuk negara itu

    Bahagian belakang juga menggunakan lampu yang nipis seperti di depan, dan bersambung dengan jalur di tengah sementara di bawah pula terdapat kemasan berjalur hitam. Walaupun tidak begitu jelas, bentuk keseluruhan model konsep ini mengingatkan semula kepada HR-V generasi baru yang sudah ditemui dalam bentuk prototaip.

    Menurut Honda, bahagian dalam SUV e:concept direka oleh pasukan muda mereka di China dan ia melibatkan rekaan yang agak futuristik dan minimalis. Stereng menggunakan bentuk petak, dan terdapat empat tempat duduk.

    Kelengkapan yang menjadi perhatian utama adalah skrin sesentuh menegak yang berada di tengah dan perumahnya bersambung hingga ke bawah dan diletakkan dengan tombol pemilih gear. Sistem yang digunakan adalah Honda Connect generasi seterusnya, yang diberitahu mempunyai ciri pembantu AI, sambungan telefon pintar, kemas kini tanpa wayar dan pelbagai lagi ciri ketersambungan lain seperti beli-belah atas talian dan telematik.

    Satu lagi teknologi yang ditunjuk pada kereta ini adalah pakej Honda Sensing generasi seterusnya yang disokong dengan sistem bantuan pemandu omnidirectional ADAS. Honda memberitahu, sistem ini menawarkan pengenalan, jangkaan serta pembuat keputusan yang lebih baik, bersama perkakasan baru.

    Antara yang boleh dilakukan adalah menjadikan sudut kamera hadapan lebih luas dan menggunakan radar 360 darjah untuk membantu kenderaan mengesan keadaan sekitar lebih tepat. Fungsi letak kereta sendiri dan pemanduan tanpa sentuhan juga ada ditunjuk sewaktu majlis pengenalannya, tapi kita masih belum tahu berapa banyak daripada fungsi ini akan dibawa kepada kenderaan produksi.

     
     
  • Geely Xing Rui diperkenal di China — Preface versi produksi, sedan CMA yang pertama, 2.0T dan 7DCT

    Geely Xing Rui diperkenal di China — Preface versi produksi, sedan CMA yang pertama, 2.0T dan 7DCT

    Geely telahpun memperkenalkan versi produksi bagi model konsep Preface ketika pameran Beijing Motor Show 2020 yang sedang berlangsung ketika ini. Sedan yang menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) itu diberi nama Xing Rui bagi pasaran di China, dan akan mula dijual bulan hadapan. Xing bermaksud “bintang” manakala Rui pula mewakili “petanda masa depan yang lebih baik”.

    “Geely Xing Rui menandakan perjalanan baru bagi jenama Geely Auto dengan membawakan teknologi CMA ke dalam segmen sedan, mengimbangi antara segmen SUV dan sedan yang diterokai Geely Auto ketika ini. Geely Preface merupakan sebuah model yang tidak berkompromi dengan kualiti, rekaan, teknologi, ruang dan nilai,” jelas Presiden Geely Auto Group, An Conghui.

    Pengeluar kenderaan China itu berkata, Xing Rui merupakan kenderaan pertama bagi era 4.0 Geely. Ia merupakan kenderaan generasi keempat yang menggunakan asas senibina modular yang maju, yang membolehkan tahap ketersambungan, kepintaran dan kualiti yang lebih tinggi digunakan, terutama aspek keselamatan, sebagai penawaran standard.

    Geely Xing Rui diperkenal di China — Preface versi produksi, sedan CMA yang pertama, 2.0T dan 7DCT

    Xing Rui merupakan model kedua yang menggunakan platform CMA selepas CUV Coupr Xing Yue. Menurut Geely, dengan menggunakan platform CMA ini telah membolehkan pasukan rekaan mereka merealisasikan model konsep Preface menjadi sebuah model produksi dalam masa yang singkat. CMA telah menjadi asas lebih daripada 700,000 kenderaan keluaran Geely Group; Xing Rui ini akan dikeluarkan dari kilang CMA Super Factory di Luqiao yang turut menghasilkan Lynk & Co 01, Polestar 2 dan Volvo XC40 untuk pasaran China.

    Xing Rui mempunyai ukuran 4,785 mm panjang dan 1,869 mm lebar, dengan jarak antara roda 2,800 mm. Ini adalah 100 mm lebih pendek daripada Toyota Camry semasa, tetapi 29 mm lebih lebar. Jarak antara roda Camry pula 25 mm lebih panjang. Geely mendakwa sedan terbaru keluarannya ini adalah yang terbesar dan paling luas dalams segmennya, dengan keutamaan diberikan terhadap keselesaan penumpang belakang dan ruang kaki.

    Geely Xing Rui diperkenal di China — Preface versi produksi, sedan CMA yang pertama, 2.0T dan 7DCT

    Model ini menggunakan enjin 2.0 liter turbocas yang dipadankan dengan kotak gear automatik tujuh-kelajuan klac berkembar yang sama digunakan oleh barisan model Geely yang lain. Belum ada pendedahan terhadap angka-angka prestasinya, tetapi menurut Geely platform CMA memberikan Xing Rui kelebihan dari sudut ruang dalaman, bunyi bising dalam kabin, ekonomi petrol serta prestasi.

    Geely juga mendakwa model ini disambungkan kepada teknologi capaian pintar menerusi cloud bagi sistem infotainmennya, yang boleh menerima kemaskini over the air (OTA). Jadi, rasanya adakah model ini yang akan menggantikan Proton Perdana untuk pasaran Malaysia nanti?

     
     
  • Jalan Raja Laut 1 kini dikenali sebagai Jalan Palestin

    Jalan Raja Laut 1 kini dikenali sebagai Jalan Palestin

    Mulai 26 September lalu, Jalan Raja Laut 1 di tengah bandar Kuala Lumpur telah ditukarkan nama menjadi Jalan Palestin secara rasminya. Perasmian disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.

    Menurut Kementerian Wilayah Persekutuan, penukaran nama ini adalah sebagai simbolik kita menentang dan memperjuang kebebasan Palestin dari rejim Zionis Israel. Malahan ia dikatakan menjamin dan memperluas hubungan dua hala antara kedua-dua negara persaudaraan dan menegaskan mengenai Malaysia dan sokongan rakyat Malaysia kepada Palestin dan rakyatnya.

    Kementerian itu turut berkata, cadangan untuk mewujudkan Jalan Palestin di Kuala Lumpur tercetus semasa majlis Himpunan Hari Al-Quds sedunia yang diadakan di Dataran DBKL pada 26 hingga 31 Mei 2019. Proses untuk mengenalpasti jalan yang sesuai sebagai Jalan Palestin telah mengambil masa yang agak lama kerana perlu dibuat secara teliti dan juga perlu melalui prosedur yang ditetapkan.

     
     
  • Honda Civic Type R Limited Edition – Honda Australia buat sistem loteri bagi pilih pelanggan yang layak beli

    Honda Civic Type R Limited Edition – Honda Australia buat sistem loteri bagi pilih pelanggan yang layak beli

    Selain dari Eropah, Amerika Syarikat dan Kanada, Australia juga terpilih sebagai pasaran yang menerima model istimewa, Honda Civic Type R Limited Edition yang didedahkan awal tahun ini. Seperti pasaran UK yang menerima 20 unit dari 100 unit keseluruhan ditawarkan di Eropah, Australia juga menerima Type R Limited tersebut dalam jumlah yang sama.

    Walau bagaimanapun Honda Australia memberitahu hanya 19 unit yang akan dijual, manakala 1 unit akan disimpan sebagai bahan untuk promosi. Dan masalahnya, sejak model ini diumumkan akan di bawa ke negara berkenaan pada Februari lalu, sebanyak lebih dari 700 orang telah mendaftarkan minat untuk membeli kereta ini di laman sesawang rasmi jenama berkenaan.

    Jadi bagi memastikan peluang untuk membeli Honda Civic Type R Limited Edition adalah adil untuk semua orang, lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19 yang masih belum reda, Honda Australia akan membuat satu sistem loteri bagi memilih pembeli yang layak bagi membelinya.

    Buat masa sekarang, pautan untuk mendaftarkan minat untuk membeli kereta ini sudahpun dipadam dari laman sesawang tersebut, manakala mereka yang berminat untuk menyertai loteri ini perlu mendaftar sekali lagi, bakal dibuka bermula 1 Oktober sehingga 31 Oktober 2020.

    Honda Civic Type R Limited Edition – Honda Australia buat sistem loteri bagi pilih pelanggan yang layak beli

    Jemputan akan dihantar kepada mereka yang telah melengkapkan pendaftaran dengan deposit AUD5,000 bagi menyertai loteri berkenaan, dan cabutannya akan dibuat pada November nanti.

    “Dengan jumlah Civic Type R Limited Edition yang sangat kecil ditawarkan pada pasaran kita, kami mahu memberikan peluang yang adil kepada semua pelanggan yang mahu membeli salah satu kereta-kereta ini, tidak kira di mana lokasi mereka, akses pengedar atau hubungan internet,” kata pengarah Honda Australia, Stephen Collins.

    “Kami percaya pertandingan loteri ini akan memberikan semua peminat Type R di Australia peluang yang adil untuk membeli salah sebuah model istimewa ini, sambil merasa debaran yang hanya boleh diberikan oleh cabutan loteri,” tambahnya lagi.

    Apa yang istimewa sangat dengan kereta ini selain dari dihasilkan dalam jumlah terhad? Honda Civic Type R FK8 Limited Edition ini dihasilkan dengan ‘semangat’ yang sama seperti Civic Type R pertama iaitu EK9 dan juga model-model Type R lain yang sezaman dengannya.

    Honda Civic Type R Limited Edition – Honda Australia buat sistem loteri bagi pilih pelanggan yang layak beli

    Oleh itu, beratnya perlu dibuang sebanyak yang mungkin menerusi pelbagai aksesori yang perlu dicabut termasuk pengelap cermin belakang, penutup tonneau, skrin infotainmen beserta sistem audio, sistem pendingin hawa bersama saluran pemanas untuk bahagian belakang dan mengurangkan penebat-penebat bunyi.

    Model edisi terhad ini juga diberikan rim 20-inci aluminium forged khas yang dibuat yang lebih ringan dari versi biasa, serta dibaluti tayar lebih serius Michelin Cup 2. Ya, memang ia tidak lagi selesa, kerana Type R Limited ini direka lebih menumpukan kepada pemanduan di litar.

    Dengan semua perkara yang dibuat tersebut, model ini adalah 47 kilogram lebih ringan dari model Type R FK8 biasa. Selain itu, Honda turut menala semula suspensi dan juga sistem stereng Type R Limited Edition ini bagi membolehkan pemandu memberikan kawalan dan respon pada tahap maksimum.

    Honda hanya menghasilkan Type R Limited ini hanya dengan satu warna iaitu Phoenix Yellow (dikenali sebagai Sunlight Yellow di Australia). Jika anda peminat tegar Type R, anda tentu tahu bahawa warna ini berasal dari EK9 Type R dan sinonim dengan penala lagenda Honda iaitu Spoon.

    Model edisi terhad ini juga diberikan perincian khas lain termasuk kemasan hitam berkilat istimewa pada bumbung, penutup cermin sisi, liang udara pada penutup hud enjin, manakala di belakang ia hadir dengan lencana Civic berwarna krom gelap. Bagi menambah nilai eksklusif, kesemua FK8 istimewa ini akan diberikan plat dengan nombor serial unik.

    Honda tidak memberikan sebarang penambahan kuasa pada model edisi terhad ini. Ia masih dijana enjin K20C1 2.0 liter empat-silinder VTEC Turbo berkuasa 320 PS (pasaran Malaysia sebelum ini hanya 310 PS) dan tork maksima 400 Nm, digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan nisbah rapat, lengkap dengan LSD.

    Apa yang dibuat terhadap Honda Civic Type R Limited Edition ini bukan hanya gimik semata-mata, dan ianya telah pun dibuktikan dengan merampas semula gelaran kereta produksi pacuan hadapan terpantas di litar Suzuka dari Renault Megane RS Trophy-R, dengan catatan masa hampir 2 saat lebih laju.

    Hanya 1,020 unit Type R Limited ini dihasilkan untuk pasaran seluruh dunia, dan ‘hype‘ untuk model ini bukan sekadar di Australia – di Kanada misalnya, kesemua 100 unit yang dibawa ke pasaran berkenaan habis dijual dalam masa empat minit sejurus tempahannya dibuka, walaupun harga sebenarnya masih di umumkan.

    Di Australia, Honda Civic Type R Limited Edition ini akan dijual pada harga AUD70,000 (RM206k), berbanding model standard yang dijual pada harga AUD54,990 (RM162k). Mereka yang berjaya untuk membeli model istimewa ini dijangka akan menerima kereta mereka pada April hingga Jun tahun hadapan.


    GALERI: Honda Civic Type R Limited Edition

     
     
  • GALERI: Volkswagen Tiguan Allspace 1.4, 2.0 R-Line

    GALERI: Volkswagen Tiguan Allspace 1.4, 2.0 R-Line

    Pada 12 Ogos lalu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah memperkenalkan Tiguan Allspace iaitu salah satu model kenderaan yang dilancarkan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih sedang berjalan. SUV ini adalah berasaskan model Tiguan, tetapi telah ditambah lagi dua-tempat duduk, menjadikannya tujuh-tempat duduk dalam tiga barisan. Sekaligus memberikan satu lagi pilihan untuk pengguna yang inginkan SUV berkapasiti tujuh-tempat duduk.

    Dipasang di kilang pemasangan Volkswagen di Pekan, Pahang, ia menawarkan dua versi iaitu Tiguan Allspace Highline 1.4TSI dan Tiguan Allspace R-Line 2.0TSI. Dengan adanya pengecualian cukai, Tiguan Allspace Highline 1.4 TSI serba baharu ditawarkan pada harga atas jalan RM164,430.75 dan Tiguan Allspace R-Line 2.0 TSI pula berharga RM208,553.79 sehingga 31 Disember 2020.

    Dengan harga lebih RM200,000, model Tiguan Allspace R-Line memasuki barisan kenderaan pemium di pasaran tempatan. Ia dikuasakan oleh enjin turbo pancitan terus 2.0 TSI dan dipadankan dengan kotak gear klac basah direct shift tujuh-kelajuan (DSG). Enjin itu mampu menjana kuasa mencecah 220 PS dan tork 350 Nm. Ini menjadikan Tiguan Allspace R-Line sebagai kenderaan paling berprestasi dalam segmennya. Malahan hamburan kuasanya hampir menyamai Mk7.5 Golf GTI, dan berkongsi angka tork yang sama.

    GALERI: Volkswagen Tiguan Allspace 1.4, 2.0 R-Line

    Ia juga diberikan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan, pacuan semua-roda 4Motion dan peredam adaptif Dynamic Chassis Control (DCC), sama seperti Golf R. Ia juga menawarkan sehingga 15 gaya pilihan dan empat mod pemanduan – Comfort, Normal, Individual dan Off-Road. Setiap penyerap hentak disambungkan ke satu sistem yang mampu mengira data daripada sensor bagi memberikan talaan optimum untuk dipadankan dengan keperluan serta kecenderungan pemandu. Varian ini mampu dipecut dari sifar ke 100 km/j dalam hanya 6.8 saat.

    Manakala bagi varian Highline pula, dipadankan dengan enjin turbo pancitan terus 1.4 TSI dengan kotak gear klac basah direct shift enam-kelajuan (DSG). Ia mampu menjana kuasa 150 PS dan tork 250 Nm. SUV ini juga menawarkan penggunaan bahan api sekitar 7.3l/100km. Varian ini juga menawarkan penggunaan bahan api sekitar 7.3l/100km.

    Berbanding Tiguan lima-tempat duduk, Tiguan Allspace ini memiliki dimensi 215 mm lebih panjang iaitu pada 4,701 mm dan menawarkan lebih 57% kapasiti kargo. Jarak rodanya pula dilebarkan sebanyak 106 mm (2,787 mm) dan barisan tempat duduk kedua pula boleh digelangsar sehingga 178 mm.

    GALERI: Volkswagen Tiguan Allspace 1.4, 2.0 R-Line

    Dengan kedudukan semua tujuh tempat duduk dalam keadaan menegak, Tiguan Allspace menawarkan 230 liter ruang kargo, tetapi jika barisan tempat duduk ketiga dibaringkan, ia boleh meningkat sehingga 700 liter. Dan jika barisan tempat duduk kedua juga dibaringkan, secara keseluruhannya boleh mencapai 1,775 liter bagi ruang but.

    Bagi luarannya, Tiguan Allspace Highline dilengkapi lampu utama dan lampu belakang LED penuh, rim Kingston 18-inci serta lampu kabus di hadapan dan belakang. Manakala Tiguan Allspace R-Line pula menampilkan gayaan sporty menerusi bampar hadapan dan belakang R-Line, garis pada panel sisi hadapan, ekzos berkembar serta spoiler belakang. Penampilan keseluruhannya disempurnakan lagi dengan lampu utama dan lampu belakang LED serta rim aloi Sebring bersaiz 19-inci.

    Untuk kelengkapan di dalam kabin, Tiguan Allspace Highline hadir dengan upholsteri kulit ‘Vienna’, tempat duduk elektrik 12-talaan untuk pemandu dan sistem pendingin hawa bersama kawalan suhu 3 zon demi keselesaan semua penumpang. Stereng multi fungsi yang dibalut kulit dengan paddle shifter dan kawalan jelajah membuatkan pemanduan Tiguan Allspace Highline cukup menyeronokkan.

    Selain itu, ia juga dilengkapi Digital Cockpit bersaiz 11.7-inci dengan paparan colour thin-film transistor (TFT) beresolusi tinggi menawarkan pelbagai fungsi dan ciri dalam paparan grafik 2D dan 3D untuk navigasi serta media. Skrin dengan enam pandangan boleh ubah menawarkan aspek personalisasi ke tahap baru dengan lebih 30 pilihan kombinasi.

    Bagi Tiguan Allspace R-Line pula, selain daripada tempat duduk hadapan dengan talaan elektrik 12-cara yang dibalut kulit Vienna, ruang kabinnya turut dipasang dengan lencana R-Line pada tempat duduk, stereng, pedal sports aluminium tahan karat, plat pelindung aluminium pada bahagian hadapan dan belakang, kemasan dekoratif ‘Dark Grid’ serta kemasan bumbung berwarna hitam.

    Bukan itu sahaja, selain Digital Cockpit yang cukup jelas, Tiguan Allspace R-Line juga dilengkapi sistem infotainmen navigasi Discover Pro bersaiz 9.2-inci yang mudah dioperasi. Ia turut dilengkapi plug-in App Connect bagi ketersambungan Apple Carplay, Android Auto dan Mirrorlink yang lengkap dengan kawalan suara dan gestur untuk memberikan ketersambungan bebas tangan sepenuhnya kepada pemandu.

    Berkenaan dengan aspek keselamatannya pula, kedua-dua varian dilengkapi enam beg udara, Kawalan Keselamatan Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Bantuan Brek (BA), brek Multi-collision, Sistem Respons Pelanggaran Pintar (ICRS), Brek Parkir Elektronik (EPB) serta hill-hold control. Walau bagaimana pun, Tiguan Allspace R-Line menerima sistem keselamatan tambahan Hill Descent Control (HDC) ialah satu ciri keselamatan tambahan yang menawarkan kawalan laluan off-road mengujakan apabila mod Off-Road diaktifkan.

    Varian Tiguan Allspace Highline dan Tiguan Allspace R-Line didatangkan dalam Blue Silk, Pure White, Deep Black, Platinum Grey dan Pyrite Silver.

    GALERI: Volkswagen Tiguan Allspace 1.4 TSI Highline

    GALERI: Volkswagen Tiguan Allspace 2.0 TSI 4Motion R-Line

     
     
  • Harga minyak 26 Sept-2 Okt – Petrol RON97 dan RON95 naik sehingga 5 sen, diesel pula naik 4 sen

    Harga minyak 26 Sept-2 Okt – Petrol RON97 dan RON95 naik sehingga 5 sen, diesel pula naik 4 sen

    Kementerian Kewangan telah memaklumkan bagi minggu bertarikh 26 September hingga 2 Oktober 2020, harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api di negara ini akan mengalami kenaikan harga.

    Bagi bahan api petrol, ia melibatkan kenaikan harga sebanyak lima sen seliter. Ini bermakna harga petrol RON 97 akan menjadi RM1.98 seliter, berbanding RM1.93 seliter sebelum ini. Manakala RON 95 pula, daripada 1.63 seliter, akan menjadi RM1.68 seliter.

    Untuk bahan api diesel pula yang mengalami kenaikan sebanyak empat sen seliter, diesel Euro 2M menjadi RM1.71 seliter manakala bagi diesel Euro 5 pula seperti mahal 10 sen daripada harga itu, menjadi RM1.81 seliter.

    Kesemua harga baharu berkenaan akan efektif mulai 12.01 tengahmalam ini sehingga Jumaat hadapan, 2 Oktober 2020.

     
     
  • Peugeot 508 PSE didedahkan – sedan dan wagon SW berkuasa 350 hp/520 Nm, hibrid dua motor, AWD!

    Peugeot 508 PSE didedahkan – sedan dan wagon SW berkuasa 350 hp/520 Nm, hibrid dua motor, AWD!

    Peugeot secara rasmi telah melancarkan sayap prestasi tinggi baharu mereka yang digelar Peugeot Sport Engineered (PSE), dan serentak dengan itu, badan berkenaan memperkenalkan secara rasmi model produksi pertamanya iaitu pasangan model sedan Peugeot 508 PSE dan wagon Peugeot 508 SW PSE.

    Model produksi sebenar untuk 508 berkuasa tinggi ini nampaknya tak lari jauh dengan versi konsep 508 Sport Engineered yang didedahkan di Geneva Motor Show awal tahun lalu. Menurut Peugeot lagi, kedua-dua model ini merupakan model produksi paling berkuasa pernah dihasilkan mereka setakat ini.

    508 PSE dijana oleh enjin petrol turbo 1.6 liter dengan sistem suntikan bahan api terus yang menghasilkan 200 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 300 Nm dicapai seawal 3,000 rpm, dipadankan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik.

    Peugeot 508 PSE didedahkan – sedan dan wagon SW berkuasa 350 hp/520 Nm, hibrid dua motor, AWD!

    Ia turut digandingkan dengan sistem hibrid plug-in yang menggunakan dua motor elektrik – satu berada di gandar hadapan, dan satu lagi di gandar belakang, menjadikan ia sebuah model pacuan semua roda. Motor elektrik di hadapan menghasilkan kuasa 110 hp/320 Nm manakala di belakang pula menjana 113 hp/166 Nm.

    Secara keseluruhan, 508 PSE ini dibekalkan dengan kuasa 360 hp dan tork maksima 520 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dibuat dalam masa 5.2 saat, dan dari pegun hingga jarak 1 km dicapai hanya dalam masa 24.5 saat. Kereta ini mampu mencapai kelajuan maksima 250 km/j, dan dengan hanya menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya ia boleh mencapai kelajuan 140 km/j.

    Kuasa elektrik untuk kedua-dua motor berkenaan dibekalkan dari bateri lithium-ion 11.5 kWj, dan ia boleh dicaj penuh dalam masa tujuh jam dengan menggunakan sumber kuasa domestik standard – jika menggunakan soket diperkuat 16-amp, ia boleh dibuat lebih cepat dengan hanya empat jam.

    Peugeot 508 PSE didedahkan – sedan dan wagon SW berkuasa 350 hp/520 Nm, hibrid dua motor, AWD!

    Untuk lebih cepat, ia boleh dicaj dengan sistem pengecaj wallbox 32-amp, yang memerlukan masa hanya 2 jam untuk satu caj penuh. Menurut Peugeot, bateri sistem hibrid pada 508 PSE ini tidak menggangu ruang pada bahagian kabin bagi model sedan dan wagon.

    Berbanding Peugeot 508 standard, versi paling berkuasa ini menerima pelbagai tingkat taraf pada casis. Ia termasuk suspensi yang menggunakan penyerap hentak adaptif dengan mod Comfort, Hybrid dan Sport, trek roda dan belakang yang masing-masing dilebarkan lagi sebanyak 24 mm dan 12 mm, angkup brek hadapan empat omboh dengan cakera 380 mm, rim 20-inci bersama tayar Michelin Pilot Sport 4S.

    Peugeot 508 PSE ini diberikan lima mod pemanduan iaitu Electric, Comfort, Hybrid, Sport dan 4WD. Mod pemanduan ini ditala menerusi larasan semula pada enjin dan transmisi, serta pada kawalan casis. Dengan memilih mod Electric, kereta ini akan bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sehingga 140 km/j. Dengan satu caj penuh bateri, ia boleh bergerak sejauh 42 km dengan hanya menggunakan elektrik.

    Jika mod Hybrid dipilih, kereta ini akan berfungsi sebagai model hibrid sebenar dengan kecekapan bahan api dioptimakan serta suspensi yang dilembutkan untuk keselesaan maksimum. Pada mod Sport, kuasa dari enjin petrol dan juga motor elektrik akan dioptimakan, bersama pemetaan pendikit yang ditajamkan dan juga stereng dan penyerap hentak yang turut dilaras untuk pemanduan prestasi tinggi.

    Sistem janaan kuasa pada 508 PSE ini akan memastikan enjin petrol sentiasa mengecaj semula bateri sehingga penuh bagi memastikan output kuasa dapat dibekalkan secara maksima pada setiap masa, serta memastikan mod 4WD dapat membekalkan cengkaman pada permukaan jalan yang licin.

    Pada bahagian dalam, 508 PSE ini masih diberikan kabin signatur Peugeot iaitu i-Cockpit, bersama roda stereng yang diberikan motif rekaan ‘cakaran’ berwarna Kryptonite (Lime Green), serta logo-logo Peugeot Sport Engineered. Untuk sistem bunyi, komponen dari Focal Audio dibekalkan secara standard.

    Peugeot 508 PSE didedahkan – sedan dan wagon SW berkuasa 350 hp/520 Nm, hibrid dua motor, AWD!

    Lencana-lencana PSE tersebut bukan hanya hadir dalam bentuk fizikal, malah ia turut dipaparkan pada grafik animasi menerusi instrumen digital pemandu serta pada skrin infotainmen HD 10-inci. Tempat duduk model prestasi tinggi ini menerima upholsteri gandingan kulit, mesh 3D dan Alcantara dengan kemasan Tramontane grey dan serlahan jahitan benang Kryptonite.

    Kedua-dua versi 508 PSE ini akan dikilangkan di Mulhouse, Perancis dan ia ditawarkan dalam warna Perla Nera (hitam), Pearl White dan rona eksklusif PSE iaitu Selenium Grey. Tempahan untuk 508 PSE dan 508 PSE SW ini akan mula dibuka pada pertengahan Oktober nanti.

     
     
  • Honda City RS i-MMD 2020 — lebih banyak perincian dan gambar, varian dengan ciri penuh Honda Sensing

    Honda City RS i-MMD 2020 — lebih banyak perincian dan gambar, varian dengan ciri penuh Honda Sensing

    Ketika ini, ada beberapa perincian baru berkaitan Honda City 2020 – dalam versinya yang paling tinggi RS e:HEV – mula muncul. Dalam kunjungan wakil kami ke kilang Honda di Pegoh, Melaka minggu ini, syarikat itu menunjukkan unit pengeluaran bagi model sedan segmen B generasi kelima itu lebih awal berbanding tarikh pelancarannya yang dijangkakan bulan depan. Selain itu, lebih banyak maklumat tentang varian itu turut diketahui berbanding sebelumnya.

    Yang pertama, kita lihat dimensi kereta ini. City terbaru ini memiliki 4,553 mm panjang, 1,748 mm lebar dan 1,467 mm tinggi. Ini menjadikannya 111 mm lebih panjang, 54 mm lebih lebar dan 10 mm lebih rendah berbanding versinya yang lama. Jarak antara roda pula belum didedahkan, begitu juga dengan berat kering dan angka-angka lainnnya.

    Bagi luaran, spesifikasinya termasuklah lampu utama LED baru (hanya bagi RS dan V), DRL LED serta lampu belakang yang juga dari jenis LED. Varian RS ini juga datang dengan kit aksesori dalam bentuk gril hitam berkilat, lip depan dengan corak gentian karbon, diffuser pada bampar belakangnya serta perumah cermin sisi dan spoiler belakang dalam warna hitam berkilat juga. Hanya varian RS yang menggunakan rim 16-inci dua-tona, dengan varian lain hanya menggunakan rim warna perak.

    Honda City RS i-MMD 2020 — lebih banyak perincian dan gambar, varian dengan ciri penuh Honda Sensing

    Honda bagaimanapun masih lagi belum mendedahkan rekaan dalaman bagi model pasaran tempatan, tetapi sekarang kita tahu akan ada corong pendingin hawa besar di belakang, serta RS akan dilengkapi dengan brek parkir elektrik – satu-satunya varian yang ada ciri itu. Selebihnya, ciri menghidupkan enjin dari jauh (sama seperti Civic) ditawarkan pertama kali untuk segmen ini.

    Seperti yang dinyatakan sebelum ini, City baru ini bakal dilengkapi dengan Honda Sensing. Pakej keselamatan berkenaan tidak ditawarkan untuk pasaran Thailand. Malaysia akan jadi pasaran pertama yang menerima sistem itu untuk model City.

    Untuk itu, walaupun sebelum ini tidak jelas sama ada sistem berkenaan akan ditawarkan selengkapnya pada City, kini sudah boleh disahkan bahawa ciri berkenaan akan ditawarkan untuk varian RS. Honda Sensing terdiri daripada:

    • Adaptive Cruise Control (ACC)
    • Collision Mitigation Braking System (CMBS)
    • Forward Collision Warning (FCW)
    • Lane Keeping Assist System (LKAS)
    • Road Departure Mitigation (RDM)
    • Lane Departure Warning (LDW)
    • Auto High-Beam (AHB)

    Honda City RS i-MMD 2020 — lebih banyak perincian dan gambar, varian dengan ciri penuh Honda Sensing

    Sistem Honda Sensing ini menampilkan sebuah kamera di depan untuk mengesan sitausi serta pejalan kaki atau penunggang basikal. Model ini juga akan menerima sistem kamera sisi Honda LaneWatch. Ini juga akan ditawarkan pada satu varian di bawah RS, iaitu V Grade, sama seperti penawaran untuk model HR-V sebelum ini – walaupun SUV kompak itu tidak dilengkapi Sensing.

    Pilihan warna luaran kereta ini juga telah didedahkan, ada lima semuanya – Modern Steel Metallic, Passion Red Pearl, Platinum White Pearl, Crystal Black Pearl dan Lunar Silver Metallic. Selebihnya, maklumat masih kekal sama dengan apa yang pernah kami laporkan sebelum ini. Malaysia akan jadi negara peratma yang menawarkan City dalam sistem janaan kuasa i-MMD hibrid, yang sebelum ini pernah ditawarkan pada Jazz terlebih dahulu.

    Sistem i-MMD berkenaan menampilkan enjin 1.5 liter i-VTEC kitaran Atkinson berkuasa 98 PS/127Nm yang digandingkan dua motor elektrik. Dengan gandingan tersebut, Fit/Jazz Hybrid itu dibekalkan dengan kuasa 109 PS dan tork maksima sama seperti yang diumumkan pada City e:HEV ini iaitu 253 Nm.

    Bagi empat varian lainnya, City 2020 menerima enjin 1.5 liter petrol konvensional, tetapi tidak sama dengan unit yang ada pada model generasi sebelumnya. Ia kini dikemaskini dengan kepala silinder aci sesondol berkembar (DOHC i-VTEC). Kuasa untuk enjin ini juga masih belum diumumkan, tetapi untuk City generasi baru bagi pasaran India, ia berupaya untuk menjana 121 PS dan tork maksima 145 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik bagi menghantar kuasa ke roda hadapan.

     
     
  • Honda City 2020: Pengeluaran CKD berjalan pada kapasiti tertinggi, kilang dinaik taraf seperti Jepun

    Honda City 2020: Pengeluaran CKD berjalan pada kapasiti tertinggi, kilang dinaik taraf seperti Jepun

    Proses pengeluaran Honda City 2020 CKD di kilang Honda Malaysia di Pegoh, Melaka kini berjalan pada kapasiti penuh, sebelum ia dilancarkan secara rasmi Oktober nanti. Walaupun masih belum disahkan, sedan segmen B ini nanti mungkin ditawarkan dalam empat varian termasuk yang paling canggih, City RS e:HEV dengan sistem hibrid i-MMD baru.

    Menurut sumber kami daripada Honda Malaysia, persediaan untuk pemasangan City RS i-MMD hibrid telah bermula sejak lima tahun dulu, demi memberikan mereka masa untuk mempersiapkan baris No.1 dan No.2 di kilang itu dengan mesin, robot dan alat yang dinaik taraf. Peningkatan juga dibuat pada baris pengeluaran lain, daripada pemasangan kerangka dan panel badan, proses kimpalan dan mengecat, hinggalah fasa pemeriksaan akhir.

    Untuk kimpalan, City generasi kelima melalui proses “kimpalan dalaman” robotik sepenuhnya, yang membantu meningkatkan ketegaran struktur kenderaan. Kemudian, ia melalui pula proses mengecat enam tahap, yang termasuk mencelup keseluruhan rangkanya dalam ejen anti karat, serta dimasukkan dalam takungan air untuk memeriksa sebarang kebocoran.

    Langkah ini diberitahu dapat meningkatkan kualiti pengeluaran kenderaan CKD, dan pada masa sama menggunakan beberapa kelengkapan pengeluaran paling maju Honda Motor Company. Peningkatan ini perlu dilakukan demi membawa City hibrid i-MMD ini ke Malaysia dan negara kita menjadi yang pertama dalam dunia menerimanya. Ia juga menunjukkan bahawa kilang ini nanti boleh mengeluarkan model i-MMD yang lain pada masa hadapan.

    Bagi menjadikan City hibrid i-MMD ini mendapat manfaat daripada pengecualian cukai EEV, 30% daripada komponen utamanya (termasuk bahagian untuk penjana hibrid, sistem pacuan, badan dan dalaman) mestilah datang dari dalam negara. Malah, pek bateri hibridnya – dipanggil sebagai Intelligent Power Unit (IPU) – juga dipasang dengan tangan dalam persekitaran tanpa statik dan suhu terkawal (25 darjah sepanjang masa).

    Honda Malaysia memberitahu, mereka telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan tiada IPU yang bermasalah diberikan kepada pengguna. Salah satu caranya adalah memasang bateri kepada kenderaan dalam masa 180 hari daripada waktu sel lithium ion itu dikeluarkan. Langkah ini saja dapat mengurangkan kadar kepincangan, tetapi sekiranya ada juga IPU yang bermasalah dihasilkan, ia akan dipulangkan semula kepada pengeluar atau dikitar semula oleh Honda Assembly Malaysia.

    Enjin kitaran Atkinson 1.5 liter i-VTEC pada sistem i-MMD ini juga dipasang di kilang sama dengan prosedur 19 langkah. Sebagai rujukan, enjin hibrid Sport Hybrid i-DCD sebelum ini juga dibuat di kilang sama.

    Honda City 2020: Pengeluaran CKD berjalan pada kapasiti tertinggi, kilang dinaik taraf seperti Jepun

    Naik taraf lain yang dibuat pada kilang ini adalah termasuk pencahayaan lebih sekata di kawasan pemeriksaan (seperti yang boleh dilihat dalam gambar di atas) untuk mengurangkan sebarang kecacatan cat, serta menggunakan semula ruang mengecat lama untuk proses suntikan semburan buih baru untuk memenuhkan lubang pada rangka bawah City. Langkah ini dikatakan dapat memperbaiki NVH sehingga 33%.

    Honda Malaysia telah membuat pelaburan yang banyak untuk memperbaiki operasi CKD mereka. Sekarang ini, mereka memberitahu baris pengeluaran City i-MMD sudah sama canggih seperti kemudahan Honda Japan. Latihan untuk pengeluaran City generasi kelima ini juga sudah bermula setahun yang lalu, jadi bermakna semuanya sudah bersedia.

    Kapasiti pengeluaran pula, bagaimanapun masih tidak berubah. Kedua-dua kilang masih lagi mampu menghasilkan 100,000 kenderaan penumpang (digabungkan) dalam masa setahun. Kawasan kemudahan ini juga mempunyai litar ujian 2.1 km, bahagian penyelidikan dan pembangunan, serta beberapa pusat pemeriksaan sebelum penghantaran dengan kapasiti menyimpan sehingga 16,000 buah kenderaan dalam satu-satu masa.

     
     
  • Audi A5 Sportback 2020 dipertonton di Malaysia – varian quattro 2.0 TFSI 190 PS dan 245 PS ditawarkan

    Audi A5 Sportback 2020 dipertonton di Malaysia – varian quattro 2.0 TFSI 190 PS dan 245 PS ditawarkan

    Sudah hampir setahun sejak Audi A5 Sportback generasi kedua diperkenalkan di Malaysia, kini muncul pula model facelift menggantikannya. Model sebelum ini agak lewat dilancarkan untuk pasaran tempatan, namun demikian model facelift ini pula menepati garis masa yang ditetapkan.

    Model fastback lima-pintu yang diberikan suntikan lebih segar ini akan ditawarkan dengan 2.0 TFSI, kedua-duanya dalam versi quatrro dan baharu, dengan varian pacuan roda-hadapan; dan kereta yang anda lihat ini adalah versi spesifikasi tertinggi. Setakat ini, tiada perincian kelengkapan dan harga didedahkan, kena tunggu sehingga ia dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi.

    Enjin yang digunakan ialah unit EA888 2.0 liter pengecas turbo petrol empat-silinder. Bagi model asas, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 190 PS dari 4,200 hingga 6,000 rpm dan tork 32o Nm antara 1,450 dan 4,200 rpm. Ia turut menerima sistem mild hybrid 12-voltan yang membolehkan kereta terus dipandu dengan enjin dimatikan dan mengoperasikan sistem start-stop apabila dipacu dari 22 km/j. Ia mampu dipecut dari sifar hingga 100 km/j dalam 7.5 saat dan kelajuan maksimum mampu dicapai sehingga 241 km/j.

    Bagi model pacuan semua-roda quattro, angka prestasinya mampu melonjak sehingga 249 PS dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork 370 Nm antara 1,600 dan 4,500 rpm, di mana ia sedikit kurang berkuasa berbanding model semasa. Dari 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 6.2 saat dan kereta ini mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 250 km/j. Kedua-dua model dilengkapi transmisi dwi-klac basah S tronic tujuh-kelajuan.

    Audi A5 Sportback 2020 dipertonton di Malaysia – varian quattro 2.0 TFSI 190 PS dan 245 PS ditawarkan

    Dengan pilihan warna hijau, A5 ini ditampilkan dengan rekaan terkini Audi dengan beberapa perubahan demi memantapkan lagi gayanya. Pada bahagian hadapan, ia diberikan gril bingkai tunggal dan bampar yang direka semula dengan rekaan corong pengambilan udara kelebaran penuh, di samping kemasan perak. Ia turut digandingkan dengan lampu utama matrix LED yang gelap di dalam dengan lampu nyalaan siang segmentasi.

    Bahagian profil sisi juga ada beberapa perubahan, dengan rekaan skirt sisi yang lebih tajam dan padanan roda aloi pelbagai-jejari dua-tona 19-inci baharu melengkapkan lagi gayanya, Manakala di belakangnya, padanan lampu baharu diberikan, bersama rekaan yang hampir sama dengan lampu nyalaan siang hadapan. Bampar belakangnya juga direka semula dengan sambungan corong ekzos trapezoidal.

    Di dalamnya, ia menerima roda stereng dengan rekaan baharu, serta paparan tengah 10.1-inci yang diposisikan di bahagian tengah papan pemuka dengan skrin sesentuh bagi menggantikan rotary dial lama.

    Audi A5 Sportback 2020 dipertonton di Malaysia – varian quattro 2.0 TFSI 190 PS dan 245 PS ditawarkan

    Paparan baharu ini adalah versi terkini bagi Multi Media Interface (MMI), dengan rekaan yang lebih minimalis, gerakan pelbagai-sentuhan seperti telefon pintar dan juga sistem kawalan suara baharu dengan pengesan bahasa. Kereta yang dilihat ini juga didatangkan dengan MMI navigation plus berserta paparan instrumen kokpit maya 12.3-inci.

    Sementara kita belum mengetahui spesifikasi penuh kereta ini, bagi model quattro kelihatannya menerima kit yang sama tahap dengan model terdahulu, termasuk kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan suhu tiga-zon, tempat duduk sport untuk pemandu dengan larasan kuasa dan fungsi memori, balutan upholstery kulit asli dan palsu, kemasan Silver Aluminium Ellipse, 10-pembesar suara, sistem bunyi 180-watt, kamera undur dan powered tailgate.

    Tiada peredam adaptif untuk kali ini tetapi ciri keselamatannya ditambah. A5 Sportback kali ini didatangkan dengan amaran ketibaan lorong. Walau bagaimana pun, A5 Sportback ini masih tidak dilengkapi brek kecemasan sendiri (AEB) walau pun harga pasaran yang ditawarkan agak tinggi.

     
     
  • Tesla tunjuk rekaan bateri tanpa tab yang lebih cekap

    Tesla tunjuk rekaan bateri tanpa tab yang lebih cekap

    Pengeluar kenderaan elektrik dari Amerika Syarikat, Tesla, baru sahaja mendedahkan rekaan sel bateri 4680 tanpa tab baru yang menampilkan sel berukuran 80 mm tinggi dan diameter 46 mm. Bateri ini menjanjikan ketumpatan tenaga lima kali lebih tinggi dan kuasa enam kali lebih tinggi, seterusnya membawa kepada jarak gerak kenderaan 16% lebih jauh.

    Biasanya komponen bateri kenderaan elektrik terdiri daripada anode, cathode dan juga separator. Tab pula ada satu komponen tambahan kepada struktur bateri utama, yang membantu memindahkan kuasa daripada sel kepada sumber luar.

    Dalam sel lithium ion format besar, terdapat kimpalan ‘foil-to-tab’ yang mengumpul kerajang (foil) dan menyatukannya dalam tab. Lithium ion mengalir dari anode ke cathode melalui separator untuk mengecas dan mengeluarkan cas bateri. Menurut Tech Crunch, proses aliran untuk bateri ini sudah kekal sama sejak sekian lama dan kebanyakan pembangunan dan naik taraf hanya pada sains bahan dan saiz bateri.

    Tambah Baglino, perubahan kepada saiz untuk meningkatkan kuasa dan ketumpatan tenaga membawa kepada masalah panas. “Ini adalah cabaran yang cuba diatasi oleh pasukan kami. Kami muncul dengan rekaan tanpa tab ini, yang boleh mengatasi masalah kepanasan, seterusnya membenarkan kami meneruskan proses dengan mengambil kira faktor kos paling rendah serta proses pengeluaran yang paling ringkas,” kata beliau.

    Kerajang sedia ada dicorak menggunakan laser, dan membenarkan banyak sambungan ke dalam bahan aktif melalui satu lingkaran. Rekaan baru ini juga membawa makna proses pengeluaran lebih ringkas, tidak banyak bahagian dan pendawaian lebih pendek. Inilah cara bagaimana Tesla mengatasi masalah kepanasan tersebut,” kata Baglino.

    Dalam kata lain, walaupun secara fizikalnya sel bateri baru ini lebih besar, mereka dapat menjadikan suhunya sama seperti sel bateri lebih kecil, dan mampu memampatkan lebih kuasa ke dalamnya. Selain daripada itu, dengan rekaan sel bateri baru ini juga Tesla tidak perlu lagi meletakkan penyokong struktur pada rangka badan kenderaan mereka.

    Tesla tunjuk rekaan bateri tanpa tab yang lebih cekap

    Dalam rekaan pek bateri untuk sel baru ini, perumah bateri ini akan bertindak sebagai penguat dan penyokong dengan menyambungkan lapisan atas dan bawah lantai. Memandangkan sel bateri ini dapat diletakkan dekat dengan bahagian tengah kenderaan, mereka tidak perlu menggunakan struktur penguat tambahan, sekaligus meningkatkan kecekapan bateri dan memperbaiki pembahagian berat kenderaan – untuk kawalan lebih baik.

    Kedudukan bateri yang lebih ke tengah juga dapat meningkatkan keselamatan apabila berlanggar kerana ia lebih jauh daripada impak tepi. Melalui apa yang dipanggil oleh Tesla sebagai ‘revolusi kejuruteraan badan dan bateri’ ini, ia membawa kepada pengurangan berat keseluruhan sebanyak 10%, potensi penambahan jarak gerak 14% dan kurang 370 alat ganti, berbanding binaan yang digunakan sekarang.

    Ketua pegawai eksekutif Tesla, Elon Musk memberitahu syarikat yakin melalui pembangunan yang berjalan sekarang, mereka akan dapat “mereka bentuk dan mengeluarkan kenderaan elektrik berharga $25,000 (RM104,177)” dalam masa sekitar tiga tahun dan ia juga akan dilengkapi dengan ciri pemanduan autonomous penuh.