Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kadar tambang e-hailing mungkin naik jika ramai pemandu gagal dapatkan lesen PSV sebelum 12 Jul ini

    Kadar tambang e-hailing mungkin naik jika ramai pemandu gagal dapatkan lesen PSV sebelum 12 Jul ini

    Para penyedia perkhidmatan e-hailing seperti Grab dan Dacsee memberikan amaran bahawa kadar tambang untuk servis berkenaan mungkin akan naik sekiranya ramai pemandu-pemandu mereka gagal untuk mendapatkan lesen PSV mereka selepas undang-undang berkenaan dikuatkuasakan bermula 12 Julai ini, lapor New Straits Times.

    Pendaftaran untuk mendapatkan lesen berkenaan hanya dibuka pada 1 April lalu, dan selain dari membayar RM200, para pemandu juga perlu menghadiri kelas latihan selama enam-jam di pusat-pusat latihan memandu yang telah dilantik khas oleh Pengendali e-Hailing (eHO). Jadi dengan tempoh masa yang dilihat singkat, ramai yang mempertikaikan adakah kesemua pemandu berkenaan akan menerima lesen mereka menjelang bulan Julai ini.

    “Ada kira-kira 200,000 pemandu e-hailing di seluruh negara. Adakah anda rasa kesemua mereka akan menerima lesen PSV pada Julai ini? Tambahan pula, tenaga pegajar juga tidak mencukupi bagi melatih pemandu untuk modul baharu ini,” kata Mohd Faizul Ezmin, wakil dari Dacsee.

    Kadar tambang e-hailing mungkin naik jika ramai pemandu gagal dapatkan lesen PSV sebelum 12 Jul ini

    Menurutnya, ini mungkin akan menyebabkan kadar tambang untuk perkhidmatan mereka akan naik mendadak, terutamanya pada waktu puncak kerana tidak ramai pemandu dapat memberikan perkhidmatan ketika permintaan terhadap servis itu sedang meningkat.

    “Pemandu e-Hailing yang akan menjalankan sistem ini. Jika ramai dari pada mereka tidak dapat bertugas kerana gagal mendapatkan lesen PSV sebelum tarikh yang ditetapkan, jadi kadar tambang pastinya akan naik. Ketika waktu puncak, tidak akan cukup pemandu dan tempoh menunggu turut akan menjadi lebih lama. Pengguna sudah tentu akan marah,” jelas Faizul.

    “Menteri (pengangkutan) terus bercakap bahawa pemandu e-hailing perlu mendapatkan lesen mereka sebelum Julai. Beliau telah bercakap mengenai perkara ini sejak minggu pertama Januari. Tetapi, JPJ hanya menlancarkan modul tersebut pada 1 Paril. Proses untuk mendapatkan lesen PSV ini juga tidak jelas. Syarikat penyedia e-hailing dan pemandu perlu menyelesaikan kesemua ini hanya dalam masa tiga bulan. Saya mendesak agar (pihak berwajib) agar tarikh akhir berkenaan ditunda,” katanya lagi.

    Kadar tambang e-hailing mungkin naik jika ramai pemandu gagal dapatkan lesen PSV sebelum 12 Jul ini

    Awal minggu ini, ketua pengarah JPJ Datuk Shaharuddin Khalid memberitahu NST bahawa ada 30 hingga 35 syarikat e-hailing yang telah berdaftar di Malaysia, dengan empat daripada mereka telah mempunyai fasiliti latihan PSV mereka sendiri – Grab dan Dacsee adalah dua diantara mereka. Beliau turut menambah bahawa modul PSV untuk pemandu e-hailing telah tersedia di mana-mana 211 akademi memandu yang telah disahkan dan pusat-pusat e-hailing seluruh negara.

    Di bawah undang-undang baharu ini, semua pemandu teksi dan e-hailing perlu mempunyai lesen PSV seperti yang telah disenaraikan di bawah Seksyen 56 Akta Pangangkutan Jalan 1987. Kenderaan yang digunakan untuk tugas-tugas e-hailing perlulah berumur tiga tahun ke bawah dan mereka perlu menukar status kenderaan tersebut dari kenderaan persendirian kepada kenderaan persendirian e-hailing. Kereta-kereta yang berumur tiga tahun keatas pula perlu dihantar ke Puspakom untuk diperiksa dengan bayaran RM55.

     
     
  • Harga bahan api 6-12 April 2019 – semua kekal

    Harga bahan api 6-12 April 2019 – semua kekal

    Minggu lalu, harga untuk petrol RON 97 dilaporkan naik dari RM2.27 pada minggu sebelumnya kepada RM2.63 seliter. Minggu ni, kerajaan telah mengumumkan bahawa tiada sebarang perubahan untuk mana-mana jenis bahan api.

    Ini bermaksud, harga petrol RON 97 kekal dijual pada RM2.63 seliter manakala RON 95 pula sememangnya telah ditambat pada harga RM2.08 seliter. Diesel Euro 2M pula dijual pada harga RM2.18 seliter, manakala diesel 5M pula terus jual pada harga RM2.28 seliter.

    Kerajaaan turut memberitahu, sekiranya RON 95 tidak ditambat, harga jualannya untuk minggu ini akan meningkat kepada RM2.36 seliter mengikut kiraan Mekanisma Harga Automatik (APM).

    Seperti biasa, harga yang diumumkan ini akan berkuatkuasa pada tengah malam ini (6 April) sehingga 12 April.

     
     
  • Ford Escape 2020 untuk China – Kuga terima gril besar

    Ford Escape 2020 untuk China – Kuga terima gril besar

    Ford Kuga baharu baru sahaja diperkenalkan, tapi SUV saiz sederhana ini telah pun diberikan solekan tersendiri, khas untuk pasaran China. Dikenali sebagai Escape, ia menerima sentuhan yang lebih bergaya untuk bahagian hadapannya bagi varian Trim.

    Perubahannya hanya melibatkan sedikit elemen tetapi cukup menyerlah, dengan gril yang lebih besar – menggantikan saiz sedia ada pada Kuga. Malah bukaan oktagonal menerima kemasan “Nebula Shield” dengan paten haksagon dan kemasan krom dengan sentuhan hitam, ditambah dengan kemasan di sekitarnya hingga ke lampu utama. Corong udara juga telah diprofil semula untuk kesesuaian.

    “Selepas melakukan kajian, kami mendapati pelanggan di China mahukan gaya yang lebih “dinamik dan halus” – mereka mahukan rekaan yang bersahaja tapi berkuasa,” ujar timbalan presiden rekaan global Moray Callum.

    Ford Escape 2020 untuk China – Kuga terima gril besar

    Bahagian lain untuk SUV ini lebih mirip pada Kuga, termasuk rekaan yang lebih lembut, tipikal dengan model Ford kebelakangan ini. Tiada perincian mekanikal didedahkan, tapi Kuga yang terdapat di pasaran dunia dipadankan dengan enjin 1.5 liter, 2.0 liter pengecas turbo EcoBoost petrol dan diesel EcoBlue, hibrid ringkas 2.0 liter diesel, hibrid standard dan plug-in hybrid dengan kuasa semua-elektrik hingga jarak lebih 50 km.

    Seperti kembarnya, Escape dibangunkan dengan senibina C2 global terbaharu dari Ford yang menjanjikan ketegaran dan menawarkan penjimatan berat sehingga 90 kg. Model generasi sebelumnya akan terus dijual bersama tawaran baharu, yang mengelirukan yang dipanggil Kuga.

     
     
  • Volkswagen rancang model Golf R Plus berkuasa 400 hp, saingan terus kepada Mercedes-AMG A 45 4Matic

    DB2014AU00414_large.JPG.

    Pada tahun 2014, Volkswagen telah mendedahkan satu model konsep Golf yang lebih berkuasa dari versi R, digelar Golf R400, dijana enjin 2.0 liter TSI berkuasa 400 PS dan tork maksima 450 Nm. Model berkenaan dirancang untuk diproduksi, namun kerana skandal Dieselgate yang menyebabkan sumber kewangan VW terjejas, projek tersebut terpaksa dibatalkan.

    Menerusi Golf generasi Mk8 baharu, projek ini sekali lagi dikhabarkan akan diteruskan. Menurut laporan Autocar, divisi berprestasi tinggi Volkswagen R kini sedang merancang varian Golf R Plus yang dijana enjin “hampir 400 hp” bagi memberikan cabaran terus kepada Mercedes-AMG A45 4Matic generasi W177 yang akan muncul tidak lama lagi.

    “Kami cuba untuk memperkenalkan model prestasi ‘halo’ yang akan menawarkan prestasi lebih tinggi dari Golf R selepas ini,” kata sumber dalaman VW kepada portal automotif UK berkenaan.

    ‘Mega hot-hatch’ berkenaan dikatakan kini sedang dibina bersama Golf R generasi baharu di ibu pejabat R&D Volkswagen, Braunschweig, Jerman. Model tersebut diasaskan dari Golf Mk8, tetapi unit janakuasanya mungkin menyamai apa yang ada pada model konsep Golf Mk7 R400 Concept dan teknologi dari kereta lumba Golf TCR yang dibangunkan oleh Volkswagen Motorsport.

    Kereta ini turut menerima sistem pacuan semua roda dan di dakwa sebagai “Golf paling ekstrem dan berkuasa setakat ini”. Ia akan menggunakan enjin petrol turbo EA888, dengan talaan sekitar 400 hp. Model konsep R400 sebelum ini mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat dengan kelajuan maksima 280 km/h – ini akan menjadi tanda aras kepada Golf R Plus yang akan dilahirkan nanti.

    Walaupun produksi untuk model Golf lebih liar ini masih belum diluluskan, menurut sumber itu lagi boss VW, Herbet Diess menyokong kuat akan projek berkenaan. Sekiranya ia benar-benar masuk ke pasaran kelak, ia mungkin akan dijual pada harga lebih kurang sama dengan satu lagi model prestasi di bawah payung VW Group iaitu Audi RS3.

    Rekaan luaran untuk Golf ini juga didakwa sudah lengkap, menampilkan rupa yang lebih agresif dari Golf R dengan sayap hadapan yang lebar, dihasilkan bersama dimensi trek hadapan yang juga lebih lebar. Tiada versi tiga pintu untuk Volkswagen Golf Mk8 nanti, jadi model ini juga akan menggunakan asas hatchback lima-pintu.

    GALERI: Volkswagen Golf R400 Concept

     
     
  • Bentley Bentayga V8 Design Series rasmi didedahkan

    Bentley Bentayga V8 Design Series rasmi didedahkan

    Bentley Bentayga V8 Design Series baharu telah pun didedahkan secara rasminya, yang pada dasarnya adalah versi Crewe bagi model SUV yang paling mewah. Berdasarkan Bentayga V8, varian ini menampilkan beberapa sentuhan yang unik untuk memberikan imej yang lebih menyerlah.

    Ia bermula dengan pakej Blackline yang didatangkan secara standard, di mana apron bawah pada bampar hadapan sama dengan warna badan dan didatangkan juga dengan paip belakang berkembar hitam berkilat. Selain itu lencana Design Series ditempatkan pada bawah pintu hadapan.

    Tidak cukup dengan itu, roda Mulliner Paragon dengan rekaan tujuh-jejari dan kemasan Palladium Grey metalik gelap. Ia turut menampilkan Mulliner Self Levelling Wheel Badges, dengan lencana ‘B’ kekal pada posisi asalnya.

    Ciri dalaman juga kekal seperti sebelum ini, dan pembeli boleh memilih salah satu daripada empat tema yang ditampilkan –Pillar Box Red, Orange, Mulliner White dan Klein Blue – dengan upholstery kulit Beluga.

    Design Series memperkenalkan rekaan sentuhan kontras baharu, yang boleh dilihat di sekeliling konsol dan bahagian bawah papan pemuka. Corak gentian karbon juga diaplikasikan pada pemuka dan pintu, sementara kemasan hitam berkilat kelihatan di serata tempat.

    Tiada perubahan di bawah hud, masih mengekalkan enjin 4.0 liter turbo-berkembar V8 yang mampu meledakkan kuasa 550 PS (542 hp) dan tork 770 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan dan pacuan semua-roda.

     
     
  • BMW terus menawarkan enjin V12 hingga 2023

    BMW terus menawarkan enjin V12 hingga 2023

    Apabila Mercedes-Benz merancang untuk menghentikan enjin V12 untuk varisan C-Class, pesaingnya, BMW pula tidak akan menuruti langkah yang sama. Enjin V12 yang dijanakan untuk barisan 7 Series masih akan diteruskan, walau hanya untuk beberapa tahun ini – lebih tepat lagi dalam tempoh empat tahun.

    Laporan yang disiarkan oleh Top Gear, memetik kenyataan daripada ketua bagi penjana kuasa 7 Series terkini, Michael Bayer, berkata, “kita akan meneruskannya (V12) untuk generasi ini, sekurang-kurangnya sehingga 2023.”

    Baru-baru ini barisan 7 Series telah diberikan facelift dan satu-satunya varian dengan enjin petrol V12 didatangkan untuk M760Li xDrive. Ia menampilkan penjana kuasa 6.6 liter turbo-berkembar V12 (N74B66) dengan 585 PS dan 850 Nm, dan ia hanya mengambil 3.8 saat untuk mencapai pecutan 0-100 km/j berbanding kuasa sebelum ini (610 PS dan 800 Nm).

    Pilihan “yang lebih kecil” didapati pada 750i/750Li, yang menerima versi yang disemak semula untuk 4.4 liter turbo-berkembar V8 (N63B44) dengan 530 PS dan 750 Nm. Lain-lain yang ditawarkan sama ada plug-in hybrid (745e/745Le).

    Menurut BMW, enjin besar masih kekal menjadi pilihan yang popular di kalangan pelanggan dari luar Eropah termasuk Amerika Syarikat, Timur Tengah dan China. Walau pun mereka ini harus mengeluarkan belanja yang besar untuk mendapatkan enjin yang lebih besar ini.

     
     
  • Yamaha Y15ZR V2 – harga diumumkan, RM8,168

    Yamaha Y15ZR V2 – harga diumumkan, RM8,168

    Hong leong Yamaha Motor (HLYM) telah mendedahkan harga Yamaha Y15ZR V2 hari ini, di mana kapcai berkenaan akan dijual pada harga cadangan RM8,168, tidak termasuk cukai jalan dan yuran pendaftaran. Model yang paling ditunggu-tunggu tersebut telah pun membuat penampilan sulungnya pada hujung bulan lalu, ketika berlangsungnya pusingan pertama Kejohanan Cub Prix di Jasin, Melaka.

    ‘Y suku’ versi terbaharu ini ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Striking Cyan, Blazing Red, Storm Blue dan Dynamic Grey. HLYM juga turut menawarkan kunci brek cakera bernilai RM100 secara percuma untuk pelanggan yang membeli motosikal ini.

    Model V2 ini menerima perubahan utama pada bahagian lampu hadapannya, di mana ia menggunakan bentuk baru dan merupakan nyalaan LED. Manakala pada bahagian meter, ia kini menggunakan paparan LCD.

    Jika mengikutkan versi yang sudah pun dilancarkan di beberapa negara luar, Y15ZR V2 direka dengan dimensi sedikit berbeza dari model sebelum ini, di mana panjang dan tingginya bertambah masing-masing 15 mm dan 20 mm, tinggi tempat duduk bertambah 15 mm, manakala berat juga bertambah 2 kg.

    Berkemungkinan besar ini adalah kerana ia menggunakan tayar hadapan lebih besar (bersaiz 90/80), dan suspensi belakang juga telah ditala semula. Kelengkapan lain pada motosikal ini adalah termasuk fender lebih besar untuk memuatkan tayar yang kini lebih besar, butang lampu tinggi (passing light) dan butang mematikan enjin (kill switch)

    Untuk aspek mekanikal, Y15ZR V2 masih lagi menampilkan spesifikasi sama termasuk enjin satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc berkuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm, digandingkan dengan kotak gear lima kelajuan. Tangki bahan api masih 4.2 liter dan tayar belakang menggunakan saiz 120/70R17.

     
     
  • Pelaksanaan projek LPT3 akan diumumkan selepas dapat pengesahan daripada kerajaan – Baru Bian

    Pelaksanaan projek LPT3 akan diumumkan selepas dapat pengesahan daripada kerajaan – Baru Bian

    Menteri Kerja Raya, Baru Bian mengesahkan perbincangan dan rundingan dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi serta Kementerian Kewangan berhubung pelaksanaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), sudah dimulakan minggu lalu.

    Menurutnya, penentuan tempoh pelaksanaan projek itu akan diumumkan selepas menerima pengesahan mengenai model pelaksanaan dan peruntukan kewangan, laporan Berita Harian.

    “Mengenai hala tuju projek LPT3, Kementerian Kerja Raya sudah memulakan rundingan dengan kementerian berkaitan berikutan pengumuman lima projek baharu yang bakal dilaksanakan di Wilayah Pantai Timur (ECER). Sehubungan itu, tempoh pelaksanaan LPT3 akan diumumkan sebaik kita menerima pengesahan, terutama membabitkan model pelaksanaan dan soal kewangan yang diperuntukkan,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat semalam.

    Beliau menjawab soalan Datuk Seri Idris Jusoh (BN-Besut) yang ingin mengetahui bila projek LPT3 akan dimulakan selepas diluluskan oleh kerajaan awal bulan lalu.

    Baru berkata, kajian kemungkinan bagi projek LPT3 sudah disiapkan oleh Kementerian Kerja Raya pada 2009.

    “Hasil kajian terbabit, cadangan jajaran yang dipilih ialah dari Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu hingga ke Pengkalan Kubor, Kelantan sepanjang 147 kilometer yang membabitkan tiga daerah di Terengganu dan lima daerah di Kelantan. Berdasarkan kajian itu, projek LPT3 berpotensi dan berdaya maju untuk dilaksanakan bagi melengkapkan keseluruhan jajaran Lebuhraya Pantai Timur (LPT) membabitkan Pahang, Terengganu dan Kelantan,” katanya.

     
     
  • ‘Lexus Alphard’ akan didedahkan di Shanghai?

    ‘Lexus Alphard’ akan didedahkan di Shanghai?

    Laman Lexus Taiwan telah menyiarkan satu imej teaser memaparkan bahagian muka sebuah model baharu. Tiada perincian berkenaan model tersebut, tetapi kapsyen yang diberikan menyebut “Kemewahan pada ruang” dan “ia akan didedahkan di Shanghai Auto Show 2019”.

    Adakah ini petanda Lexus bakal menampilkan sebuah kenderaan yang mempunyai ruang luas seperti MPV kita berlangsungnya Auto Shanghai pertengahan bulan ini? Ini mungkin menguatkan khabar bahawa Lexus bakal hadir dengan Alphard versi mereka sendiri, yang tentunya diberikan ciri yang lebih mewah.

    “[Toyota] Alphard versi Lexus sebenarnya dalam senarai apa yang saya mahukan,” kata Presiden Lexus Manila, Raymond Rodriguez dalam laporan sebelum ini dan menyatakan bahawa hanya masa yang akan menentukan bila Lexus bakal melancarkan MPV tersebut.

    Jika dilihat dari sudut pasaran Filipina, Rodriguez berkata “Lexus Alphard” bakal menjadi produk hangat dikalangan pelanggan, berdasarkan angka jualan dan tempoh menunggu Toyota Alphard itu sendiri. MPV dari Lexus yang dibina jauh lebih mewah dan selesa bakal membolehkan Lexus Manila mengambil sebahagian pasaran van-van dari Mercedes-Benz.

    ‘Lexus Alphard’ akan didedahkan di Shanghai?

    Portal berita dari Jepun, Chukei-News turut ada melaporkan berita berkenaan MPV mewah dari Lexus ini. “Toyota Motor merancang untuk memperkenalkan minivan (MPV) pertama untuk jenama mewah mereka iaitu Lexus. Syarikat tersebut akan memulakan produksi besar-besaran pada tahun 2020 di kilang subsidiarinya Toyota Auto Body Inabe (Inabe City)” sebut laporan tersebut.

    “Buat permulaan, eksport dan jualan dijangka akan disasarkan pada pasaran China dan Asia. Di China dan Asia, populariti minivan besar, terutamanya untuk golongan berada sangat menggalakkan,” sebut laporan tersebut lagi.

    Buat masa sekarang, Toyota Alphard dan kembarnya, Vellfire sememangnya produk yang boleh dikategorikan sebagai mewah. Atas permintaan yang tinggi pada pasaran kereta recond telah mendorong UMW Toyota untuk membawa sendiri MPV ini dengan penyesuaian khas untuk Malaysia serta lengkap dengan waranti pengeluar. Ia dijual pada harga bermula RM351k hingga RM541k, bergantung pada varian.

    Toyota Alphard ini pun rasanya dah cukup mahal, dah cukup mewah. Kalau betul-betul versi Lexus ini didedahkan nanti, entah macam mana lagilah dia punya mewah kan?

    GALERI: Toyota Alphard 3.5 Executive Lounge

     
     
  • Kerajaan sedang pertimbang tamatkan monopoli – Puspakom, MyEG antara yang sedang dinilai semula

    Kerajaan sedang pertimbang tamatkan monopoli – Puspakom, MyEG antara yang sedang dinilai semula

    Dalam usaha untuk menggalakkan persaingan dan menurunkan kos sara hidup di negara ini, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memecahkan sebarang bentuk monopoli yang berlangsung di Malaysia. Menurut sebuah laporan The Star, Menteri Perdagangan Domestik dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan telah mengenal pasti beberapa syarikat dalam kedudukan seperti itu dalam pasaran ketika ini.

    Antara syarikat yang dimaksudkan itu, sebahagiannya berurusan dalam bidang automotif, misalnya Puspakom dan MyEG Services Berhad. Bagi Puspakom, ia satu-satunya syarikat yang menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan wajib baik bagi kenderaan perdagangan dan persendirian di Malaysian untuk sekian lama.

    Sementara itu, bagi MyEG pula, ia menyediakan perkhidmatan atas talian terhadap beberapa perkara, misalnya memperbaharui cukai jalan kenderaan serta bayaran saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak PDRM.

    Saifuddin menjelaskan, terdapat tiga perkara yang dipertimbangkan bagi penilaian isu monopoli ini, termasuk dasar-dasar berkaitan yang membawa kepada wujudnya monopoli ini, saiz pelaburan yang dilakukan serta kesannya kepada ekonomi. “Kami belum menyerahkan apa-apa cadangan kepada Kabinet lagi setakat ini berkaitan syarikat-syarikat berkenaan,” jelas beliau.

    Kerajaan sedang pertimbang tamatkan monopoli – Puspakom, MyEG antara yang sedang dinilai semula

    “Ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membuka industri lebih luas dan mempromosikan persaingan sihat serta inovasi teknologi dalam perniagaan dan perkhidmatan,” tambahnya lagi. Menurut beliau lagi, kawalan sumber oleh sekumpulan kecil individu atau syarikat besar dalam monopoli dipercayai turut menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup.

    Buat masa ini, kerajaan akan terus menilai situasi berkenaan menerusi pasukan tugas khas yang dibentuk tahun lalu, yang diketuai oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dengan penglibatan lain antaranya oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Pertanian, Datuk Salahuddin Ayub.

    “Antara pilihan yang akan dicadangkan nanti adalah sama ada untuk menamatkan monopoli itu atau tetap membenarkan mereka meneruskan perniagaan seperti biasa. Kami masih dalam peringkat perbincangan. Monopoli tidak semestinya memberi kesan buruk. Tetapi yang menjadikannya buruk adalah apabila mereka menghalang persaingan, memanipulasi harga dan mengawal bekalan,” tambah Saifuddin.

     
     
  • PANDU UJI: Proton X70 serlah gaya & prestasi sederhana – mampukah jadi SUV paling popular?

    PANDU UJI: Proton X70 serlah gaya & prestasi sederhana – mampukah jadi SUV paling popular?

    Proton X70 boleh dikatakan SUV yang agak laris sejak ia dilancarkan pada Disember lalu. SUV pertama daripada Proton hasil kerjasama dengan Geely ini, kini sudah beribu unit berada di jalan raya. Ternyata, usaha Proton dengan memperkenalkan X70 ini bertepatan, apatah lagi sejak kebelakangan ini makin ramai yang memilih SUV sebagai kenderaan keluarga kerana faktor saiznya.

    Biar pun sudah berbulan berada di pasaran, sehingga kini, kami sendiri banyak menerima pertanyaan mengenai SUV ini. Soalan paling utama, sudah pasti mengenai prestasi dan penjimatan bahan apinya. Jadi, untuk tidak menghampakan sesiapa yang ingin mengetahui mengenai SUV sulung Proton ini, nah ulasan pandu uji dari kami..khas untuk anda.

    Kami diberikan varian X70 1.8 TGDI Premium 2WD untuk dipandu selama beberapa hari. Ini merupakan varian yang paling tinggi, selain model Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD yang turut membarisi X70 yang dibangunkan berasaskan model Geely Boyue.

    Untuk kesemua varian, tiada perbezaan daripada sudut mekanikalnya. Ia dijanakan oleh enjin yang sama iaitu 1.8 liter turbo TGDi empat-silinder petrol dengan hamburan kuasa 181 hp dan tork 285 Nm dari 1,700 hingga 4,400 rpm bersama padanan kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Hyundai uji prototaip stereng dengan dua skrin sentuh

    Hyundai uji prototaip stereng dengan dua skrin sentuh

    Dalam usaha untuk jadikan kenderaan lebih mesra pengguna dan mudah dikendalikan, Hyundai mendedahkan sebuah prototaip sebenar kokpit maya yang dibangunkannya, dengan terdapat dua skrin yang menggantikan butang kawalan pada stereng biasa – dengan paparan butang yang boleh ditentukan sendiri.

    Skrin berkenaan boleh disesuaikan untuk memenuhi keperluan semua pemandu dan sangat peka untuk memberikan sebarang maklum balas. Unit yang dilihat ini dipasang pada sebuah i30 – menunjukkan bahawa inovasi maju tidak hanya bagi kenderaan dalam segmen yang lebih tinggi sahaja.

    Bahagian paparan maklumat pemanduan pula menggunakan paparan pelbagai lapisan (MLD) yang menggantikan paparan digital sepenuhnya. Ia terpisah kepada dua paparan yang bertindan enam milimeter dari satu sama lain. Ini memberikan kesan visual 3D; satu bahagian akan ditunjukkan pada paparan depan, dan satu lagi pada paparan belakang. Hyundai mendakwa perkara ini kurang mengganggu perhatian pemandu.

    Hyundai uji prototaip stereng dengan dua skrin sentuh

    Untuk menguji teknologi ini, Hyundai mengadakan kajian gangguan pemandu bersama Würzburg Institute for Traffic Science (WIVW) untuk menilai keboleh-gunaan kokpit baru ini ketika memandu. Bagi semua kes, Hyundai mendakwa kajian itu menunjukkan bahawa kokpit baru ini berada pada tahap yang lebih rendah bagi gangguan ketika memandu seperti yang ditetapkan oleh AAM dan NHTSA.

    Bagi ujian yang lebih rumit, semua individu yang diuji menunjukkan hanya sedikit terganggu, tanpa memberi kesan ketara kepada perhatian ketika memandu. Peserta juga memberi maklum balas positif kepada rekaan yang ditampilkan secara visual serta maklum balas sistem berkenaan.

     
     
  • Toyota tawar pesaing untuk guna teknologi hibridnya tanpa minta royalti dengan geran hingga tahun 2030

    Toyota tawar pesaing untuk guna teknologi hibridnya tanpa minta royalti dengan geran hingga tahun 2030

    Toyota menawarkan pada mana-mana pengeluar kenderaan termasuk pesaing-pesaingnya untuk menggunakan teknologi elektrik yang telah mereka bangunkan, semata-mata mahukan teknologi sedemikian lebih cepat tersebar dalam pasaran.

    “Jika jumlah kenderaan dengan teknologi elektrik meningkat secara signifikant dalam masa 10 tahun akan datang ia akan menjadi standard,” kata naib presiden eksekutif Toyota, Shigeki Terashi.

    “Berdasarkan permintaan yang tinggi kami terima terhadap sistem elektrifikasi kenderaan kami dari syarikat-syarikat yang dikenalpasti perlu mempopularkan hibrid serta teknologi kenderaan elektrik lain, kami percaya sekarang masa yang sesuai untuk bekerjasama,” jelas Terashi.

    Dengan itu, Toyota akan berkongsi sejumlah 23,740 paten yang terdiri dari sistem motor elektrik, sistem kawalan kuasa, dan sistem-sistem kawalan lain dalam teknologi tersebut, tanpa meminta bayaran royalti. Menurut jenama tersebut lagi, selain dari teknologi hibrid, sistem-sistem tersebut juga boleh digunakan pada sistem hibrid plug-in dan sel bahan api.

    Selain dapat menggunakan teknologi-teknologi berkenaan, Toyota turut menawarkan sokongan teknikal untuk syarikat lain menghasilkan kenderaan dengan teknologi elektrik yang menggunakan motor elektrik, bateri dan sistem kawalan elektrik keluarannnya. Tetapi untuk khidmat ini ada bayaran yang perlu dikenakan, dengan khidmat berkenaan membolehkan firma luar “mencapai prestasi kenderaan yang tinggi.”

    Kesemua hampir 24,000 paten berkenaan ditawarkan kepada pengeluar lain yang berminat dengan geran dari sekarang hingga tahun 2030. Toyota turut pernah menawarkan perkongsian sebegini untuk sistem sel bahan apinya sejak tahun 2015.

     
     
  • Kenderaan asing yang memiliki saman tertunggak tidak akan dihalang masuk Malaysia buat masa ini

    Kenderaan asing yang memiliki saman tertunggak tidak akan dihalang masuk Malaysia buat masa ini

    Susulan kepada perkembangan pihak Singapura akan melarang kenderaan asing yang mempunyai saman tertunggak di republik itu daripada masuk semula ke sana, Bukit Aman memaklumkan setakat ini Malaysia tidak akan mengambil langkah yang sama.

    Buat masa ini Bukit Aman akan berbincang dengan pihak berkuasa berkaitan untuk melihat keperluan untuk menyeranai-hitamkan dan menghalang kenderaan asing yang ada saman tertunggak daripada memasuki negara ini, lapor The Star.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ketika ini masih belum ada arahan daripada kerajaan kepada pihak berkuasa, termasuk polis, untuk melaksanakan tindakan itu. “Operasi untuk mengesan pesalah trafik, termasuk yang dilakukan pemandu luar adalah seperti biasa yang dijalankan sebelum ini,” ujar beliau.

    Mengulas tentang langkah baru yang diambil oleh Singapura, Puzi berkata itu hak negara tersebut untuk menlaksanakannya. Sebelum ini, pihak berkuasa Singapura memaklumkan, semua kenderaan dari luar yang masuk ke republik itu perlu mematuhi undang-undang di sana dan menjelaskan sebarang pembayaran saman lalu lintas yang tertunggak, sekiranya ada. Mereka yang enggan akan dilarang daripada memasuki Singapura.

    Media Singapura melaporkan terdapat 50 kenderaan asing yang tidak dibenarkan masuk dan terkandas di Woodlands dan Tuas sejak peraturan ini dilaksanakan pada 1 April. Pihak berkuasa imigresen ICA memaklumkan semua mereka diminta untuk meletak kenderaan di kawasan khas sebelum diperiksa. Jadi, kalau anda rasa nak bawa kenderaan sendiri masuk ke Singapura, olek pastikan kenderaan anda tak ada saman tertunggak.

     
     
  • Ford Kuga 2019 diperkenalkan di peringkat global – menawarkan varian hibrid ringkas, penuh dan plug-in

    Ford Kuga 2019 diperkenalkan di peringkat global –  menawarkan varian hibrid ringkas, penuh dan plug-in

    Ford telah pun memperkenalkan model generasi ketiga bagi SUV saiz sederhana, Kuga (atau lebih dikenali sebagai Escape di Amerika Utara), dengan menampilkan teknologi dan enjin baharu.

    Kuga baharu ini merupakan SUV pertama yang menggunakan binaan C2 global terbaharu dari Ford, dengan memberikan penjimatan berat sehingga 90 kg untuk memberikan ruang dalaman yang lebih baik, prestasi pelanggaran yang dipertingkatkan, aerodinamik yang lebih efisien dan juga mempertingkatkan kadar ketegarannya sebanyak 10%.

    Dengan platform baharu ini, rekaan yang lebih menyerlah dapat ditampilkan, malah mengambil banyak inspirasi dari model adik-beradiknya, Focus. Jarak roda dan bonet juga lebih panjang, dengan cermin hadapan yang lebih landai dan garisan bumbung yang lebih rendah memberikan rupa yang lebih mengagumkan, sementara lampu utama dan gril trapezoidal menjadi sebahagian daripada identiti korporat terkini Ford. Lampu belakang juga besar menampilkan grafik berbentuk-L.

    Seperti Focus dan Fiesta, Kuga pasaran Eropah kini didatangkan dengan varian mewah Vignale dan sporty ST-Line. Varian Vignale menampilkan bampar hadapan dan belakang yang unik dengan gril hadapan dan paip belakang berkembar krom, dipadankan bersama kemasan satin aluminium pada rel bumbung, bampar dan ambang sisi. Di dalamnya, tempat duduk balutan kulit Windsor, roda stereng dengan fungsi haba balutan kulit dan alas lantai premium diberikan.

    Ford Kuga 2019 diperkenalkan di peringkat global –  menawarkan varian hibrid ringkas, penuh dan plug-in

    Sementara untuk ST-Line pula, menerima lapisan sama dengan warna badan dan bampar hadapan yang lebih agresif dengan gril hitam dan tiga corong udara. Di belakangnya, terdapat spoiler yang lebih besar, dan diffuser dengan kemasan hitam berkilat. Di dalamnya, ia menampilkan headlining gelap, rekaan eksklusif untuk tempat duduk dengan jahitan merah sebagai kontras, pedal aloi, roda stereng leper-di bawah dan alas lantai ST-Line serta scuff plate.

    Bahagian dalamnya boleh dikatakan banyak sama dengN Focus, dengan rekaan papan pemuka melintang dan skrin sesentuh ‘freestanding’ lapan-inci yang disambungkan pada sistem infotainmen Ford SYNC 3 dengan ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay, bersama FordPass Connect untuk info trafik secara langsung, kawalan jauh untuk beberapa ciri menerusi aplikasi telefon pintas serta boleh menjadi WiFi hotspot yang boleh digunakan oleh 10 peranti.

    Selain itu, paparan instrumen 12.3-baharu yang didakwa oleh Ford dengan gelaran ‘free-form technologu’, membolehkan ia menjadi bentuk yang berbeza dari bentuk biasa segi empat tepat. Lain-lain ciri yang ditampilkan termasuklah pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, paparan unit utama, 10-pembesar suara, sistem bunyi Bang & Olufsen 575-watt dan penyingkiran bunyi bising aktif.

    Memiliki ukuran 44 mm lebih lebar dan 89 mm lebih panjang, dengan 22 mm lebih panjang bagi jarak roda, Kuga ini juga memiliki lebih 43 mm bagi ruang bahu dan lebih 57 mm untuk ruang pinggul untuk hadapan (masing-masing 20 mm dan 36 mm untuk belakang), tetapi 20 mm lebih rendah, serta lebih 13 mm untuk ruang kepala di hadapan dan lebih 35 mm di belakang. Tempat duduk belakang boleh ditolak ke hadapan dan belakang untuk memberikan ruang kaki yang lebih luas sehingga 1,035 mm atau tambahan 67 liter untuk ruang but.

    Ford Kuga 2019 diperkenalkan di peringkat global –  menawarkan varian hibrid ringkas, penuh dan plug-in

    Selain itu, pintu but boleh diakses secara bebas-tangan dan turut menampilkan kawalan jauh untuk membaringkan tempat duduk belakang serta alas lantai boleh digunakan dengan kedua-dua permukaan untuk mengelakkan permukaan yang basah atau kotor mengotori ruang dalaman.

    Untuk aspek keselamatan, Kuga didatangkan dengan bantuan pemanduan Ford Co-Pilot360, termasuk Bantuan Pra-Pelanggaran dengan Pengesan Penunggang Basikal dan Pejalan Kaki, Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC) dengan fungsi Stop & Go, Pengesan Isyarat Kelajuan dan Lane-Centring, dan terbaharu, gabungan Sistem Kekal Lorong dengan Bantuan Titik Buta.

    Turut disertakan ialah Evasive Steering Assist, Lane-Keeping Aid dan Wrong Way Alert, ditambah dengan lampu utama adaptif bersama lampu tinggi auto dan Post-Collision Braking baharu yang akan diaplikasi apabila terdapat tekanan pada brek selepas kemalangan dan ia mengurangkan kecederaan dan kerosakan yang teruk daripada pelanggaran kedua yang berpotensi. Selain itu, ia turut menampilkan Active Park Assist 2 dan perpendicular parking.

    Ford mendakwa Kuga baharu ini adalah produk elektrifikasinya, dengan menawarkan tidak kurang daripada tiga varian hibrid. Untuk pasaran Eropah dan Amerika Utara akan berkongsi versi parallel dan plug-in hybrid, dengan kedua-duanya dijanakan enjin petrol 2.5 liter Atkinson-cycle empat-silinder. Yang awalnya menambah motor elektrik, generator dan bateri lithium-ion yang memberikan sistem kuasa keseluruhan sebanyak 201 PS dan penggunaan bahan api sekitar 5.6L bagi setiap 100 km.

    Ford Kuga 2019 diperkenalkan di peringkat global –  menawarkan varian hibrid ringkas, penuh dan plug-in

    Bagi PHEV, ia dilengkapi pek bateri yang lebih besar 14.4 kWh dengan kuasa keseluruhan 225 PS dan mensasarkan jarak elektrik sepenuhnya lebih 50 km, ditambah dengan penggunaan bahan api sekitar 1.2 liter untuk setiap 100 km. Pasaran Eropah turut menerima varian hibrid ringkas 48-voltan yang dipadankan dengan kuasa 150 PS bagi diesel turbo-tunggal EcoBlue baharu dengan
    belt-driven integrated starter/generator (BISG) yang memberikan penjimatan bahan api sekitar 5.0 liter per 100 km.

    Penjana kuasa EcoBlue ini juga didapati tanpa sistem hibrid ringkas, memberikan 190 PS dan dianggarkan menggunakan bahan api sekitar 5.7 liter per 100 km. Enjin yang lebih kecil 1.5 liter diesel pula dengan 120 PS bersama penggunaan bahan api sekitar 4.8 liter per 100 km.

    Untuk enjin petrol pula, unit 1.5 liter EcoBoost pengecas turbo tiga-silinder dengan pengaktifan silinder dan sama ada 120 PS atay 150 PS untuk Eropah dan 182 PS di Amerika, yang turut menerima unit 2.0 liter empat-silinder dengan 253 PS. Versi hibrid biasa dan ringkas menerima kotak gear automatik lapan-kelajuan, dengan Eropah memiliki satu lagi pilihan manual enam-kelajuan. Pacuan semua-roda turut ditawarkan sebagai pilihan.

    GALERI: Ford Kuga 2019 (pasaran Eropah)

    GALERI: Ford Escape 2020 (pasaran US)

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025