Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kerajaan sedang perhalusi cara agihan subsidi RON95

    Kerajaan sedang perhalusi cara agihan subsidi RON95

    Kerajaan akan akan memulakan langkah untuk memperhalusi sistem agihan subsidi petrol RON95 yang diumum akan dilaksanakan pada suku kedua tahun hadapan. Ini selaras dengan pembentangan berkaitan hal sama di dalam Belanjawan 2019 minggu lalu.

    Dalam satu laporan The Star, menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan bahawa Kementerian Kewangan akan bertanggungjawab melaksanakan proses itu dalam tempoh seminggu dua akan datang.

    Mengagihkan wang tunai bagi mereka yang layak untuk subsidi berkenaan bukanlah satu pilihan. Kaedah lain seperti penggunaan kad juga sedang dipertimbangkan. “Sama ada ia dalam bentuk kad atau cip atau jalur magenetik, sistem berkenaan perlu murah dan selamat. Ini antara pilihan yang sedang diperhalusi. Kami kini dalam peringkat menentukan keperluannya. Sedikit masa sahaja lagi,” ujar beliau.

    Kerajaan sedang perhalusi cara agihan subsidi RON95

    “Ada cadangan daripada beberapa syarikat yang bersedia untuk berkongsi kepakaran mereka. Kami tidak ada masalah untuk mengenal pasti mana-mana syarikat yang berpotensi dan bersedia untuk menjalankan tender terbuka,” tambahnya lagi. Warga Malaysia dilapor menggunakan kira-kira 1.2 bilion liter petrol sebulan, dengan RON95 menjadi pilihan utama (90%) berbanding RON97 (10%).

    “Bayangkan berapa perbelanjaan yang perlu ditanggung kerajaan untuk memberi subsidi RON 95?” tanya Saifuddin, dan menjelaskan sekiranya sistem yang akan diguna pakai nanti berkesan dan cekap, ia akan dipertimbangkan untuk agihan subsidi barangan lain juga.

    Dalam pembentangan Belanjawan 2019 minggu lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan subsidi minyak selepas ini akan disasarkan kepada kelompok B40 (gaji kurang RM3,000 sebulan) dan mekanisma agihan skim berkenaan akan ditentukan bagi mengelak salah guna. Turut diumumkan ialah pemilik yang mempunyai beberapa kenderaan serta pemilik kereta mewah tidak layak untuk menerima subsidi.

    Skim ini akan menawarkan subsidi sebanyak 30 sen seliter bagi 100 liter sebulan, bagi kereta dengan kapasiti 1,500 cc ke bawah. Bagi motosikal di bawah 125 cc pula, kadar subsidi juga sama, tetapi hanya bagi 40 liter sebulan.

     
     
  • Honda CB650R dan CBR650R diperkenalkan, CB500F, CBR500R dan CB500X diperbaharui untuk tahun 2019

    Honda CB650R dan CBR650R diperkenalkan, CB500F, CBR500R dan CB500X diperbaharui untuk tahun 2019

    Pendekatan konsep rekaan Neo Sports Cafe oleh Honda pada motosikal mereka sudah digunakan untuk beberapa model termasuk CB1000R, CB250R (CB300R pada sesetengah pasaran) dan CB150R (CB125R pasaran tertentu). Kini, ia ditambah dengan satu lagi model pelengkap iaitu CB650R, yang diperkenalkan sewaktu pameran EICMA 2018.

    Seperti yang sudah boleh dijangka, model baru ini cuma menggunakan asas yang sama dengan CB650F, termasuk enjin empat silinder 650 cc, tetapi rekaannya lebih moden dan ringkas, serta dipertingkat dengan fork Showa USD 41 mm SPF, angkup brek empat piston, klac assist/slipper, Honda Selectable Torque Control dan panel instrumen digital.

    Satu lagi model baru yang diperkenalkan adalah CBR650R, dan ia akan menggantikan model CBR650F yang dipasarkan sebelum ini. Rekaan model baru ini diterapkan dengan lebih banyak inspirasi daripada CBR1000R bersama lampu depan jenis LED dan ia adalah lebih ringan 6 kg. Kedudukannya pula lebih sporty dengan pemegang 30 mm lebih ke hadapan manakala pemijak kaki ditinggikan dan diletakkan sedikit ke belakang.

    Honda juga masih tidak melupakan barisan model 500 mereka, di mana sekarang enjin dua silinder selari 471 cc CB500F, CBR500R dan CB500X mempunyai kuasa serta tork yang lebih kuat antara 3,000 hingga 7,000 rpm dan dilengkapi dengan peralatan baru seperti suspensi belakang, ekzos, klac assist/slipper, semua lampu LED, panel instrumen LCD dengan penunjuk kedudukan gear dan shift light.

    Penampilan juga semestinya diubah, dengan CB500F sekarang lebih tajam dengan panel tepi yang bersambung rapi dengan tangki, CB5R500R diterap dengan lebih gaya daripada CBR1000R, manakala CB500X pula dipertingkat dengan rim 19 inci di depan, jarak gerak suspensi lebih panjang, tempat duduk lebih kurus serta fairing yang lebih tegap dan dapat melindungi pengguna daripada angin dengan lebih baik.

    GALERI: Honda CB650R 2019

    GALERI: Honda CBR650R 2019

    GALERI: Honda CBR500R

    GALERI: Honda CB500X 2019

    GALERI: Honda CB500F 2019

     
     
  • Super GT akan kembali ke Litar Sepang pada 2020 – dilangsungkan pada sebelah malam buat pertama kali

    Super GT akan kembali ke Litar Sepang pada 2020 –  dilangsungkan pada sebelah malam buat pertama kali

    Jika anda peminat dunia modifikasi JDM, ini mungkin berita yang ditunggu-tunggu – perlumbaan Super GT Jepun yang pernah diadakan di Malaysia bakal kembali semula ke Litar Antarabangsa Sepang. Ia disahkan akan dilangsungkan semula di litar berkenaan setelah penganjur acara Haro Sports dan Entertainment telah mencapai persetujuan dengan penganjur siri GTA berkenaan untuk melangsungkan pusingan Malaysia pada tahun 2020 nanti.

    Bukan itu sahaja, malah perlumbaan yang kali terakhir diadakan di sini pada tahun 2013 itu akan berlangsung di Sepang pada waktu malam, dan ini merupakan satu lagi catatan sejarah di mana buat pertama kali Super GT akan dilangsungkan dalam situasi sedemikian menggunakan lampu limpah yang telah pun dipasang pada litar tersebut.

    “Jepun sinonim dengan innovasi, dan di Haro, kami sentiasa menyajikan perkara yang baharu,” kata rakan pengurusan Haro, Fahrizal Bin Hasan. “Kembalinya Super GT ke Malaysia akan mencatatkan sejarah,” katanya lagi.

    Super GT akan kembali ke Litar Sepang pada 2020 –  dilangsungkan pada sebelah malam buat pertama kali

    “Kami harap bukan hanya pemandu, pasukan dan pengeluar kereta tetapi semua yang terlibat dalam Super GT akan bekerja bersama dengan Haro dan staf tempatan yang terlibat dengan operasi di Sepang untuk membantu masyarakat Malaysia berkongsi keseronokan sukan permotoran dan mewujudkan acara perlumbaan berasaskan perkongsian persefahaman dan budaya automobil. Pada masa yang sama, saya harap menerusi Super GT kami boleh menyumbang untuk saling mempromosikan antara satu sama lain yang akan membina persahabatan antara Malaysia dan Jepun,” kata pengerusi GTA, Masaaki Bandoh.

    Super GT di bawa keluar dari Jepun buat pertama kali dalam sejarah pada tahun 2000, dan destinasi tersebut adalah di Litar Antarabangsa Sepang, sebagai pusingan pertunjukkan. Acara yang sama turut diadakan pada tahun berikutnya, dan manakala pada tahun 2003, pusingan di Sepang menjadi perlumbaan sebenar dalam kalender bagi pelumba mengutip mata kejuaraan.

    Kejohanan ini mula menggunakan undang-undang Class 1 yang sama seperti perlumbaan German Deutsche Tourenwagen Masters (DTM) pada tahun 2014, jadi perlumbaan pada tahun 2020 di Sepang nanti, buat pertama kali kita akan menyaksikan jentera GT500 dengan spesifikasi baharu tersebut akan bertarung di sini.

     
     
  • Proton memperkenalkan barisan model baharu di Mesir – rancangan operasi CKD dipertimbangkan

    Proton memperkenalkan barisan model baharu di Mesir – rancangan operasi CKD dipertimbangkan

    Proton telah memperluaskan lagi pasaran di peringkat global termasuk memperkenalkan barisan model baharu di Egypt, Mesir dengan cawangan 4S baharu di Smart Village, Abbou Rawash, Giza yang telah ditambahbaik. Majlis berkenaaan telah dirasmikan oleh Steven Xu Yuan, Pengarah Jualan Antarabangsa PROTON bersama Encik Hisham Ezz Elarab, pemilik Alpha Ezz Elarab dan disaksikan oleh Mohd Haniff Abd Rahman, Duta Besar Malaysia ke Mesir.

    Seperti yang dijanjikan semasa majlis pelepasan di Tanjung Malim pada September lalu, sejumlah 246 buah kereta Proton terdiri daripada pemanduan sebelah kiri Proton Saga dan Proton Exora tiba dengan selamat di pelabuhan Mesir bulan lepas. Pengedaran kereta-kereta tersebut akan diuruskan oleh pengimport tunggal kereta Proton di Mesir iaitu Alpha Ezz Elarab yang akan melakukan penghantaran ke tujuh pusat cawangan dan pengedar yang akan menjualnya ke pasaran. Pengimport mensasarkan jualan sebanyak 1,400 unit bagi 2019, yang juga merupakan sasaran yang mampu dicapai di mana Saga dan Exora Plus baharu akan mula dijual pada pertengahan tahun depan.

    Hisham Ezz Elarab, pemilik Alpha Ezz Elarab berkata, beliau amat teruja sewaktu model-model terbaharu Proton tiba di Mesir kerana kini, dia dan pasukannya dapat bekerja untuk memperkukuhkan semula jenama PROTON berikutan dengan perubahan dinamik yang berlaku kepada jenama PROTON di Malaysia.

    Proton memperkenalkan barisan model baharu di Mesir – rancangan operasi CKD dipertimbangkan

    Selain menjadi pengimport tunggal, Alpha Ezz Elarab merupakan syarikat pertama yang membawa Identiti Korporat terkini PROTON pada bilik pameran luar negara. Dibuka kepada orang ramai bermula 10 November, pusat cawangan ini menyediakan perkhidmatan jualan, servis, alat-alat ganti serta mempunyai kemudahan membaiki yang meliputi kawasan sebesar 15,000 meter persegi. Cawangan-cawangan Proton lain di Mesir yang akan menampilkan Identiti Korporat baharu adalah di Al-Battal Street, Mohandessee dan Nahas Street, Bandar Nasr.

    “Mesir berpotensi memainkan peranan besar dalam membantu PROTON mencapai sasaran jualan masa hadapannya dengan meningkatkan jumlah jualan eksport kami. Syarikat dan pengimport di Mesir perlu bekerjasama dengan lebih rapat untuk memastikan keperluan pasaran dapat dipenuhi apabila produk diperkenalkan beserta harga yang sesuai untuk pembeli di sini. Sekiranya kami mampu melakukannya dan dapat menyerahkan kereta tepat pada masanya, maka kami boleh berjaya,” kata Steven Xu, Pengarah Jualan Antarabangsa Proton.

    Tahun 2019 akan memperlihatkan perubahan besar pada pasaran automotif Mesir. Pengurangan cukai import untuk kereta- kereta Eropah secara beransur-ansur akan membawa kepada harga yang lebih rendah dan pengguna akan memilih untuk membeli kereta-kereta tersebut. Untuk mengatasi cabaran ini, Proton dan rakan kongsinya di Mesir sedang mempertimbangkan pelbagai strategi termasuk memulakan operasi CKD.

    Proton memperkenalkan barisan model baharu di Mesir – rancangan operasi CKD dipertimbangkan

    Walau bagaimanapun, strategi yang dirancang memerlukan pengambilan beberapa langkah penting termasuk kajian kebolehlaksanaan untuk memastikan ia menjadi pelaburan ekonomi munasabah oleh semua pihak yang terlibat. Dengan mewujudkan operasi CKD ia bermakna Proton akan dapat memanfaatkan insentif pemasangan tempatan dan Mesir boleh digunakan sebagai hab serantau untuk menghasilkan kereta-kereta yang akan dijual di rantau Timur Tengah Afrika Utara (MENA).

    “Model-model yang kami lancarkan di Mesir ini akan memulakan penjenamaan semula PROTON di pasaran negara berkenaan. Aktiviti susulan harus dilaksanakan bagi memastikan momentum jualan berterusan dan diharapkan proses CKD dapat dimulakan selepas itu. Matlamat kami dengan operasi CKD di Mesir, ia tidak akan hanya terhad kepada hanya pasaran tempatan kerana kami juga akan cuba memenuhi permintaan dari seluruh negara MENA,” ujar Dr Li Chunrong.

     
     
  • Benelli 752S diperkenal – enjin dua silinder selari 77hp

    Benelli 752S diperkenal – enjin dua silinder selari 77hp

    Setelah sekian lama tidak mempunyai model baru bagi segmen naked pertengahan, Benelli kini muncul kembali untuk bersaing dengan pengenalan 752S, yang membawa rekaan sebuah naked tradisional seperti Ducati Monster, MV Agusta Brutale ataupun Suzuki Gladius – menggunakan lampu bulat di depan dan bahagian belakang lebih tirus.

    Tidak banyak panel badan kecuali tangki minyak dan penghadang lumpur, motosikal ini menampakkan kerangka Trellis berwarna hitamnya (lengan ayun juga menggunakan besi berbentuk bulat) dan ia digunakan untuk memegang enjin baru dua silinder 750 cc DOHC penyejukan cecair yang boleh menghasilkan 77 hp pada 8,500 rpm dan 67 Nm tork pada 6,500 rpm. Transmisi adalah unit enam kelajuan dengan klac basah.

    Bagi memberikan tunggangan yang sporty, 752S dipasang dengan fork USD Marzocchi berdiameter 50 mm yang boleh dilaras, brek cakera berkembar 320 mm serta angkup Brembo empat piston di hadapan manakala di belakang pula terdapat monoshock dengan pelarasan pra beban, brek cakera 260 mm tunggal serta angkup Brembo satu piston. Melengkapkan keseluruhannya adalah sistem brek ABS two-channel.

    Pada bahagian kokpit, anda boleh melihat motosikal ini menggunakan panel instrumen digital berwarna penuh dan kesemua lampunya menggunakan unit LED. Spesifikasi lain 752S adalah tangki 14.5 liter, berat keseluruhan 228 kg, tinggi tempat duduk 810 mm dan rim 17 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan sewaktu EICMA 2018, Benelli menyatakan 752S ini akan berada di wakil pengedar mereka di Eropah pada musim panas tahun depan dan ditawarkan dalam tiga warna iaitu putih, hitam dan hijau. Harga walaubagaimanapun masih belum didedahkan.

     
     
  • Toyota Corolla sedan 2019 diperkenal di China 16 Nov

    Toyota Corolla sedan 2019 diperkenal di China 16 Nov

    Kita telah lama menantikan detik pelancaran Toyota Corolla sedan baharu, malah sejak hatchback diperkenalkan di Geneva awal tahun ini. Dan barulah sekarang, Toyota telah mengesahkan generasi ke-12 segmen-C ini akhirnya akan diperkenalkan di Guangzhou Motor Show pada 16 November ini – di mana ia dikenali sebagai Levin di China.

    Walau bagaimana pun, perincian mengenainya belum dibongkarkan buat masa sekarang, namun menerusi beberapa laporan dan spyshot sebelum ini, rekanaannya memang banyak diambil dari versi hatch – terutamanya pada bahagian sudut hadapan dengan gril atas yang lebih nipis, gril bawah yang sedikit besar dan lampu utama berbentuk-L telah dipadankan.

    Bahagian belakang pula lebih konvensional, dengan foto spyshot telah menunjukkan dua kepingan lampu belakang yang disambungkan pada plat nombot; manakala penerbitan dari Brazil Auto Esporte ini telah menunjukkan keseluruhan rekaannya. Imej ini datang dari laporan yang mengesahkan beberapa perincian mengenai model ini.

    Salah satu perinciannya bagi sedan ini ialah tidak akan didatangkan enjin petrol 1.2 liter pengecas turbo empat-silinder seperti pada versi hatch. Ini bermakna hanya didatangkan dengan 2.0 liter Dynamic Force suntikan-terus dan naturally-aspirated sebagai pilihan enjin bukan hibrid. Juga kemungkinan enjin sedia ada 1.8 liter dan 2.0 liter Dual VVT-i masih diteruskan, untuk sesetengah pasaran.

    Malah model hibrid juga akan ditawarkan untuk sedan Corolla ini buat pertama kalinya di luar China. Toyota mengesahkannya pada Ogos lalu. Ini bermakna, model empat-pintu ini akan menampilkan sekurang-kurangnya satu daripada dua penjana kuasa hibrid dari hatchback, sama ada enjin petrol 1.8 atau 2.0 liter. Juga sama seperti model hatch dan wagon, Corolla sedan baharu ini juga menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA).

    GALERI: Spyshot Toyota Corolla sedan 2019

     
     
  • Mitsubishi Triton 2019 – kemunculan sulung global di Thailand, enam-kelajuan auto, muka Dynamic Shield

    Mitsubishi Triton 2019 – kemunculan sulung global di Thailand, enam-kelajuan auto, muka Dynamic Shield

    Selepas berberapa kali imej teaser disiarkan, akhirnya trak pikap Mitsubishi Triton 2019 kini telah membuat kemunculan sulung peringkat globalnya di Bangkok, Thailand. Model generasi kelima yang disegarkan semula ini sememangnya ditunggu-tunggu kerana akhirnya Triton menerima muka Dynamic Shield seperti Pajero Sport.

    Walau bagaimanapun, rupa muka Triton baharu ini adalah lebih unik dan tersendiri berbanding Pajero – ia lebih moden dan kearah seperti Mitsubishi Xpander dan juga SUV Eclipse Cross.

    Garis pada bonet depan kini lebih tinggi dari model terdahulu, manakala lampu hadapan bi-LED dengan lampu nyalaan siang LED bina dalam pada trak pikap ini direka nipis. Lampu-lampu berkenaan dihubungkan antara kedua-duanya dengan gril dua bar baharu. Bagi menyerlahkan rupa Dynamic Shield berkenaan, perumah lampu kabus direka lebih menyerlah bersama kemasan krom yang tebal.

    Mitsubishi Triton 2019 – kemunculan sulung global di Thailand, enam-kelajuan auto, muka Dynamic Shield

    Skid plate dengan kemasan perak satin turut diberikan bagi melengkapkan muka trak pikap baharu ini. Tiada perubahan pada bahagian pintu, namun sisi Triton disegarkan dengan pemadanan set rim 16-inci baharu. Pada bahagian belakang, model ini diberikan lampu belakang LED yang direka dengan grafik seperti air meleleh. Secara keseluruhan rupa luaran Triton kini hampir menyerupai versi konsepnya – GR-HEV – yang muncul pada Bangkok Motorshow 2013.

    Penyegaran turut dibuat untuk bahagian kabin. Suis-suis kawalan dan liang penghawa dingin kini direka semula, dan ia kini menerima plastik sentuhan lembut pada perehat tangan, konsol lantai dan juga tuil brek tangan bagi memberikan rasa yang lebih baik.

    Mitsubishi Triton 2019 masih ditawarkan dengan dua enjin. Model varian rendah dijana enjin turbodiesel 2.5 liter empat-silinder yang ditala bagi menghasilkan dua versi kuasa iaitu 107 hp dan tork maksima 200 Nm, dan juga 134 hp tork maksima 324 Nm. Model varian tinggi pula menerima enjin 4N15 MIVEC turbodiesel 2.4 liter yang mampu menjana 179 hp pada takat 3,500 rpm dan tork maksima 430 Nm bermula 2,500 rpm.

    Mitsubishi Triton 2019 – kemunculan sulung global di Thailand, enam-kelajuan auto, muka Dynamic Shield

    Berita baik untuk mereka yang gemarkan transmisi automatik untuk Triton, model 2019 tersebut kini ditawarkan dengan kotak gear enam-kelajuan auto bagi menggantikan kotak gear lima-kelajuan INVECS II sebelum ini. Versi manual masih menerima enam-kelajuan, namun menurut Mitsubishi, kotak gear pada trak pikap baharu ini memberikan penukaran yang lebih lancar dan halus serta memberikan pecutan yang lebih berkuasa.

    Model 4WD disertakan dengan sistem Super-Select 4WD dan Easy-Select 4WD. Mitsubishi menyatakan bahawa kedua-dua sistem tersebut menawarkan cengkaman dan karekteristik optimum pada semua permukaan dan prestasi pada laluan off-road juga telah dipertingkat. Model pacuan empat roda juga menerima sistem Kawalan Menurun Bukit secara ekslusif buat pertama kali pada Triton.

    Bukan itu sahaja, kini sistem 4WD tersebut turut menawarkan mod pemanduan Gravel, Mud/Snow, Sand dan Rock pada gear 4L. Menerusi sistem ini, kuasa enjin, transmisi dan cengkaman tayar (dikawal menerusi brek oleh komputer) akan ditala semula mengikut mod yang dipilih pemandu bagi mendapatkan prestasi off-road yang optima.

    Trak pikap ini juga dibekalkan dengan cakera brek berliang dan angkup yang lebih besar pada bahagian hadapan. Ia juga kini lebih selesa menerusi set penyerap hentak dengan diameter lebih besar, yang mampu menampung lebih banyak cecair penyerap.

    Sistem keselamatan juga mendapat perhatian Mitsubishi di mana ia menerima pelbagai kelengkapan termasuk Pengelak Pelanggaran Hadapan, Amaran Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang. Sistem Pengelak Salah Pecut Ultrasonic turut diberikan di mana sistem ini membantu untuk mengelakkan kemalangan yang berlaku kerana pemandu yang menekan pedal secara tidak betul semasa mula bergerak atau mengundur pada ruang sempit.

    Penderia Parkir hadapan juga dibekalkan bersama Monitor Pemantau Sekeliling yang memberikan paparan 360 darjah dari sudut mata burung kepada pemandu sekiranya diperlukan.

    Trak pikap Mitsubishi Triton 2019 ini akan dilancarkan di Thailand 17 November ini, kemudian akan diedarkan ke 150 negara seluruh dunia. Malaysia dijangka akan menerima model ini sekitar suku pertama tahun hadapan.

    Triton yang lebih hensem ini akan dipamerkan di booth Mitsubishi pada Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018, yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula 23 November hingga 2 Disember nanti. Ia bukan sahaja akan diprebiu untuk pasaran Malaysia, malah mereka yang berminat turut boleh terus menempahnya pada acara berkenaan. Namun bagi mereka yang tidak berkesempatan ke KLIMS, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) turut akan membawa model ini ke lokasi dan tarikh di bawah:

    Mitsubishi Triton 2019 – kemunculan sulung global di Thailand, enam-kelajuan auto, muka Dynamic Shield

    MMM turut akan mempamerkan Triton 2019 ini di Johor Bahru pada tarikh yang akan diumumkan kemudian. Lebih perincian berkenaan lokasi dan maklumat lain, anda boleh layari laman yang disediakan oleh MMM PADA PAUTAN INI.

    GALERI: Pendedahan Sulung Mitsubishi Triton facelift 2019 di Thailand

    GALERI: Gambar Rasmi Mitsubishi Triton 2019

     
     
  • BMW C 400 GT lebih selesa dan berkemampuan untuk jarak jauh – enjin 350 cc 34 hp, panel instrumen digital

    BMW C 400 GT lebih selesa dan berkemampuan untuk jarak jauh – enjin 350 cc 34 hp, panel instrumen digital

    Bermula pada tahun 2011, BMW telah menyertai segmen skuter dengan penawaran C 600 Sport dan C 650 GT, kemudiannya diikuti pula C 400 X yang diperkenalkan pada tahun 2017. Terbaru, syarikat dari Jerman itu memperkenalkan pula C 400 GT (Gran Turismo) yang diterapkan dengan lebih kemampuan untuk perjalanan jarak jauh dan lebih selesa.

    Asasnya sama sahaja dengan C 400 X termasuklah enjin, menggunakan unit satu silinder 350 cc yang berkemampuan 34 hp pada 7,500 rpm dan 35 Nm tork pada 6,000 rpm, dipadankan bersama transmisi jenis CVT. Menurut BMW, enjin yang menggunakan sistem suntikan bahan api ini telah dioptimakan untuk penggunaan bahan api lebih baik dan disambungkan dengan Automatic Stability Control (ASC) bagi meningkatkan keselamatan waktu memecut, terutamanya atas jalan licin.

    Di sebalik panel badan yang kelihatan dinamik ini, C 400 GT menggunakan kerangka besi berbentuk bulat manakala suspensi pula adalah unit fork teleskopik 35 mm di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang. Brek menggunakan set cakera berkembar 265 mm di hadapan dan unit tunggal di belakang, siap dengan sistem ABS two-channel.

    Sebagai sebuah skuter, C 400 GT menawarkan pelbagai kemudahan kepada pengguna yang termasuk ruang simpanan luas bawah tempat duduk dan bawah pemegang, perlindungan daripada angin yang telah dipertingkat, penyandar belakang badan untuk penunggang serta panel instrumen TFT 6.5 inci warna penuh yang boleh memaparkan pelbagai informasi.

    Barangan standard lain yang diberikan pada C 400 GT adalah termasuk sistem Keyless Ride, lampu LED, tangki bahan api 12.8 liter serta padanan rim 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 203 kg dan ia ditawarkan dalam dua warna iaitu Alpine White dan Moonwalk Grey

     
     
  • Volkswagen Polo edisi Black & White dilancarkan – harga RM68,488, terhad 11 unit dan hanya di Lazada

    Volkswagen Polo edisi Black & White dilancarkan – harga RM68,488, terhad 11 unit dan hanya di Lazada

    Sebagai lanjutan kepada edisi Volkswagen ‘JOIN’ bagi model Polo, Vento, Tiguan dan Passat, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) sekali lagi bekerja sama dengan Lazada bagi Polo Black & White. Terhad 11 unit, edisi istimewa ini akan dijual secara eksklusif hanya di Lazada sempena festival beli-belah 11.11 yang akan berlangsung pada 11 November ini.

    Polo Black & White akan dijual pada harga RM68,488 atas jalan tanpa insurans; harga ini turut termasuk aksesori tambahan bernilai RM7,500. Selain itu, bank rasmi promosi ini, Hong Leong Bank akan turut menawarkan kadar faedah tahunan serendah 1.11% bagi pinjaman lima tahun.

    Untuk membuat tempahan, anda perlu menyediakan RM799, yang boleh dibayar menggunakan Lazada Wallet, kad kredit atau perbankan atas talian. Selepas itu, wakil jualan Volkswagen akan menghubungi anda untuk tindakan lanjut.

    Edisi Black & White ini menggunakan asas dari Polo 1.6 Comfort Line Vienna (dijual RM74,990) dengan enjin 1.6 liter empat-silinder petrol (105 PS/153 Nm) dan padanan transmisi automatik enam-kelajuan Tiptronic.

    Tema bagi edisi ini seperti dicadangkan namanya, hitam dan putih, dengan warna badan yang ditawarkan hanyalah Candy White. Ia disertai dengan kemasan hitam, termasuk pada bahagian spoiler belakang, sisi, rim 15-inci Riverside serta perumah cermin sisi. Filem penapis haba juga disertakan sekali, dengan kemasan kulit hitam dan unit audio R340G dengan App-Connect merupakan ciri standard dari kereta asal.

    “Cara pelanggan membeli kenderaan telah berubah. Kami berbangga untuk menjadi sebahagian daripada pengeluar yang memainkan peranan ke arah itu. Kerjasama kami dengan Lazada telah menunjukkan hasilnya sebelum ini – Beetle dan barisan model JOIN. Ini menunjukkan pembeli memanfaatkan saluran atas talian untuk mencari tawaran terbaik,” jelas Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter.

     
     
  • Sabah mahu guna teknologi pembinaan jalan raya berasaskan getah – Kota Belud lokasi projek perintis

    Sabah mahu guna teknologi pembinaan jalan raya berasaskan getah – Kota Belud lokasi projek perintis

    Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah mahu memperuntukkan sebahagian daripada RM100 juta dalam Belanjawan 2019 dapat digunakan untuk melaksanakan teknologi pembinaan jalan raya berasaskan getah di negeri tersebut.

    Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata sebagai projek perintis, kementeriannya akan menggunakan teknologi tersebut untuk menaik taraf jalan sepanjang dua kilometer di Kampung Tambulaung-Podos, Kota Belud, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, laporan Bernama.

    Menurutnya, membangunkan teknologi tersebut dalam projek menaik taraf jalan raya bukan sahaja boleh menyelesaikan keperluan membina jalan raya malah akan mewujudkan permintaan terhadap bahan mentah getah, sekali gus boleh meningkatkan harga getah.

    Ewon, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, berkata, projek perintis tersebut akan menggunakan Cup-Lump Modified Bitumen (CMB) iaitu campuran bitumen dengan sekerap getah.

    “Ini adalah jalan pertama di Sabah menggunakan hasil kajian teknologi oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan sebahagian besar kosnya akan dibiayai oleh LGM sendiri,” katanya.

     
     
  • Beberapa peraturan MotoGP dipinda untuk tahun 2019

    Beberapa peraturan MotoGP dipinda untuk tahun 2019

    Semasa pusingan perlumbaan MotoGP di Litar Sepang minggu lalu, ahli jawatankuasa tertinggi siri perlumbaan tersebut yang termasuk wakil dari Dorna, International Road-Racing Teams Association (IRTA) dan MSMA telah bersetuju meminda beberapa peraturan untuk musim 2019.

    Paling utama untuk semua pelumba Grand Prix FIM adalah penggunaan helmet yang diluluskan sendiri oleh FIM. Sebelum ini, mereka cuma bergantung kepada standard yang berbeza seperti SNELL, ECE dan JIS, tetapi sekarang FIM sudah melakukan ujian dan mewujudkan satu standard sendiri.

    Senarai pengeluar helmet yang mendapat kelulusan daripada FIM ini diharap dapat dikeluarkan semasa pusingan perlumbaan di Valencia kerana sekarang masih ada pengeluar yang sedang menjalani ujian dan penilaian sedang dibuat. Melalui standard sendiri FIM ini juga, ia akan memudahkan kerja pemeriksa yang hanya perlu mengimbas kod pada helmet pelumba untuk mengetahui spesifikasinya.

    Beberapa peraturan MotoGP dipinda untuk tahun 2019

    Beberapa peraturan teknikal lain turut diubah termasuk pengarah teknikal boleh memuat turun data terus daripada ECU untuk pemeriksaan dan akan dipadamkan selepas itu, hanya penyambung ECU/IMU khas jenis CAN yang diberi sahaja boleh digunakan (tanpa sebarang ubah suai), selang masa yang lebih panjang antara waktu suhu sekitar diumumkan dan masa mengisi minyak (dari 60 ke 75 minit) dan spesifikasi bahan yang digunakan pada bahagian brek yang lebih terperinci.

    Aspek disiplin juga disentuh. Walaupun sekarang sudah ada saman €200 (RM950) bagi kesalahan memandu laju di pit, pada masa hadapan pihak FIM berkemungkinan mengenakan saman lebih tinggi kepada mereka yang melakukan kesalahan tersebut berulang kali dalam acara yang sama dan penalti lain juga boleh dikenakan sebagai tambahan.

     
     
  • Projek kereta nasional ketiga diharap jadikan Melaka sebagai hab utama; Alor Gajah sebagai lokasi – KM

    Projek kereta nasional ketiga diharap jadikan Melaka sebagai hab utama; Alor Gajah sebagai lokasi – KM

    Melaka menaruh harapan bakal terpilih sebagai hab utama bagi projek kereta nasional ketiga. Menurut Ketua Menterinya, Adly Zahari, pihaknya sedang menunggu jawapan mengenai tawaran tersebut secara formal daripada kerajaan persekutuan.

    Beliau berkata tawaran tersebut dibuat kerana yakin dan cukup bersedia dengan pelbagai kemudahan bagi projek kereta nasional baharu yang disuarakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu bertapak di kawasan Alor Gajah, Melaka.

    “Kita telah berikan persetujuan kepada kerajaan pusat untuk projek itu dapat dibuat di Melaka. Keyakinan itu kerana Melaka telah jayakan industri automotif Honda (termasuk semua sektor sokongannya) di Simpang Ampat, Alor Gajah. Kita harap kerajaan persekutuan akan memberi pertimbangan. Selain bersedia dengan infrastruktur automotif dan sektor sokongan kepada industri automobil yang banyak, kita juga telah sediakan tapak di kawasan dekat Alor Gajah,” katanya kepada Bernama.

    Adly berkata sekiranya sektor automobil berkenaan berjaya bertapak dan berkembang secara lebih pesat di Melaka, ia akan merancakkan lagi sektor ekonomi negeri itu yang cukup sinonim melalui sektor pelancongan dengan kehadiran pengunjung seramai 17 juta pada tahun ini.

     
     
  • Proton R3 siar teaser jentera S1K 2018 – Saga VVT!

    Proton R3 siar teaser jentera S1K 2018 – Saga VVT!

    Tahun lalu, Proton sekali lagi mendominasi perlumbaan endurance Sepang 1000 km (S1K) 2018 dengan dua buah jentera iaitu Iriz dan juga Suprima S. Dan tahun ini Proton baru sahaja mengesahkan mereka akan menyertai perlumbaan berkenaan, kali ini dengan jentera baharu. Mereka tidak menyiarkan gambar penuh jentera tersebut, sebaliknya hanya menunjukkan bahagian papan pemuka – ia jelas adalah Proton Saga generasi terbaharu!

    Menerusi gambar tersebut, Saga berkenaan diberikan roda stereng perlumbaan OMP dan juga papan pemuka yang ‘dikosongkan’ untuk memberi laluan kepada peralatan perlumbaan seperti panel kawalan custom dengan pelbagai suis termasuk pengatur nisbah kuasa brek dan juga killer switch, serta diberikan set pedal perlumbaan dari Tonnka.

    Tiada perincian penuh berkenaan jentera ini, tetapi jika dilihat sejarah penghasilan kereta-kereta lumba yang dibina oleh R3 untuk S1K, mereka masih mengekalkan enjin asal namun diubahsuai untuk mengekstrak lebih kuasa, serta memadankan kelengakapan perlumbaan sebenar seperti roll cage penuh dan lain-lain.

    Pada tahun 2018, ketika ura-ura Proton R3 akan ditutup, pasukan tersebut menyertai perlumbaann S1K dengan dua buah jentera, dan turut disokong oleh CEO baharu mereka, Dr. Li ChunRong yang turut turun ke paddock. Setelah sembilan jam bertarung, Suprima S R3 akhirnya dinobatkan sebagai juara pada lap ke-181, meninggalkan Honda Jazz R Engineering bernombor 12 di tempat kedua dengan jarak 42.567 saat, manakala Iriz R3 pula 9-lap di belakang dan berjaya merangkul tempat kelima.

     
     
  • Ke mana hala tuju dan apa yang boleh dijangkakan dari Proton – wawancara dengan CEO, Dr Li Chunrong

    Ke mana hala tuju dan apa yang boleh dijangkakan dari Proton – wawancara dengan CEO, Dr Li Chunrong

    Dalam tempoh setahun selepas mula menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong lebih berminat menumpukan perhatian terhadap kerja-kerja untuk membawa Proton kembali kepada tahap kegemilangan seperti yang pernah dikecapi dahulu. Dan, seperti yang boleh dijangkakan, ia bukanlah satu tanggungjawab yang mudah.

    Banyak aspek yang perlu diberikan perhatian, seperti yang ditetapkan dalam perancangan 10 tahun ke hadapan yang telah digariskan untuk meletakkan Proton kembali di depan. Antara yang dapat dilihat umum ketika ini tentulah dua perkara paling utama; pengenalan model SUV pertama Proton X70 yang akan dilakukan tidak lama lagi dan naik taraf lebih 100 buah cawangan kepada pusat 3S/4S tahun ini.

    Namun, di sebalik tabir pengurusan operasi dan jenama Proton, banyak lagi perkara yang turut diubah. Dasar-dasar syarikat, amalan perniagaan yang dipraktik sejak dulu, jangkaan terhadap vendor dan pembekal dan banyak lagi, semuanya terpaksa dilakukan hanya untuk mencapai satu tujuan – meningkatkan kualiti keseluruhan barisan produk Proton dan meraih semula kepercayaan pelanggan terhadap Proton. Dan, memang inilah yang diperlukan oleh Proton ketika ini.

    Untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan perancangan serta usaha-usaha yang sedang dijalankan itu, kami berkesempatan untuk duduk bersama beliau untuk satu wawancara minggu lalu di Pusat Kecemerlangan Proton. Apa yang boleh dijangkakan daripada Proton untuk bergerak kehadapan? Kami ajukan terus soalan-soalan berkaitan kepada beliau.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Mazda 3 generasi baharu – teaser disiar lagi, buat penampilan di LA Auto Show akhir 2018 November ini

    Mazda 3 generasi baharu – <em>teaser</em> disiar lagi, buat penampilan di LA Auto Show akhir 2018 November ini

    Bulan lalu, Mazda telah menyiarkan video pendek dengan durasi hanya 16 saat sebagai teaser untuk kemunculan Mazda 3 generasi baharu. Sebelum kemunculan sulungnya di Los Angeles Auto Show 2018 bermula akhir bulan ini, jenama dari Hiroshima berkenaan menyiarkan lagi satu teaser berupa gambar menunjukkan sebahagian kecil versi sedan dan hatchback.

    Menerusi gambar ini, jelas Mazda menerapkan banyak rekaan yang diambil dari model Kai Concept yang muncul pada Tokyo Motor Show 2017. Ia termasuk tiang-C bersaiz besar, kemasan krom bahagian bawah keliling tingkap, lampu belakang tirus dan spoiler bumbung berwarna hitam. Manakala untuk sedan pula, ia menampilkan rekaan pintu yang hampir sama dengan hatchback. Bahagian lain pada model sedan ini seperti but dan lampu belakang masih lagi diselindungkan.

    Walau bagaimanapun, kami sudah pun menerima gambar illustrasi untuk versi sedan tersebut. Di belakang, lampu tirus ‘two-piece’ masih untuk sedan masih kekal, namun ia diberikan grafik dua gelang di dalamnya seperti pada model konsep Kai. Kedudukan nombor pendaftaran pula dipindahkan ke bahagian bampar.

    Manakala pada bahagian dalaman, illustrasi berkenaan mendedahkan Mazda 3 diberikan papan pemuka baharu dengan paparan instrumen (berkemungkinan dari jenis digital) diapit oleh liang penghawa dingin, manakala suis kawalan dan juga liang udara untuk penumpang terletak pada tingkat tengah. Skrin infotaimen pula kini diletakkan berdiri pada bahagian tengah atas.

    Mazda 3 2019 ini bukan sekadar berubah dari segi rupa. Menurut Mazda, mereka akan membekalkan pelbagai perubahan teknologi menerusi model berkenaan, terutamanya penggunaan enjin petrol SkyActiv-X, iaitu enjin dengan gabungan teknologi sistem nyalaan pencucuhan dengan sistem nyalaan mampatan seperti enjin diesel bagi memberikan kadar efisien yang lebih tinggi. Ia juga dibina berasaskan platform baharu yang lebih tegar, namun sistem suspensi multilink di belakang akan digantikan dengan torsion beam yang didakwa akan meningkatkan keselesaan dan pengendalian.

    GALERI: Mazda Kai Concept di Tokyo Motor Show 2017

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025