Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PLUS memaklumkan kerja-kerja merobohkan Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau telah pun dimulakan

    PLUS memaklumkan kerja-kerja merobohkan Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau telah pun dimulakan

    PLUS Malaysia Berhad telah memaklumkan semua kerja-kerja perobohan struktur fizikal Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau telah bermula dan dijangka selesai sepenuhnya penghujung Mac yang akan datang.

    Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, “Kerja-kerja perobohan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut jadual kerja yang diluluskan.”

    Menurut Azman, pada ketika ini, PLUS telah membuat persiapan kerja pelencongan jalan serta proses membawa masuk peralatan di lokasi perobohan. Kerja-kerja pengurusan trafik dan penutupan lorong di Plaza Tol Batu Tiga telah bermula semalam, 20 Februari, manakala bagi Plaza Tol Sungai Rasau akan bermula pada malam ini, 21 Februari sepertimana yang dijadualkan.

    “Kerja-kerja awalan seperti pemindahan peralatan tol, papan tanda serta aset-aset lain telah bermula 22 Januari lalu dan tamat pada 8 Februari,” katanya.

    PLUS memaklumkan kerja-kerja merobohkan Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau telah pun dimulakan

    Pada masa yang sama, PLUS menasihatkan semua pemandu yang melalui kedua-dua plaza tol tersebut supaya lebih berhati-hati dan memperlahankan kenderaan mereka.

    “Terdapat banyak papan tanda amaran disediakan di lokasi terutamanya melibatkan papantanda amaran seperti had kelajuan kenderaan, dilarang memotong, lencongan di hadapan dan sebagainya untuk memberi peringatan kepada kira-kira 150,000 pemandu yang melalui kawasan terbabit setiap hari,” jelas Azman.

    Selain daripada itu, PLUS turut meletakkan kon-kon keselamatan berpelekat pemantul cahaya di lokasi untuk membolehkan pemandu mengetahui kedudukan lorong.

    “Lampu-lampu jalan (highmast) turut dinyalakan pada waktu malam untuk membantu orang ramai,” katanya.

    Pihak PLUS sentiasa prihatin atas keselamatan pengguna jalan raya dan juga pekerja kontraktor perobohan semasa kerja perobohan ini dijalankan.

     
     
  • Lexus UX – crossover bakal dipamerkan di Geneva

    Lexus telah menyiarkan iklan acah (teaser) rasminya bagi crossover baharu yang digelar UX, yang bakal dipamerkan di Geneva Motor Show 2018 bulan hadapan. Nama tersebut berkongsi dengan model konsep yang pernah dipertontonkan di Paris Motor Show 2016 lalu.

    Tidak seperti model konsep yang menerima rekaan yang sedikit pelik, namun model yang mungkin diproduksi ini tampil dengan imej yang lebih relevan. Imej teaser ini hanya menunjukkan bahagian belakang model tersebut, dengan jaluran lampu belakang yang kelihatan lebar serta “fins” dihujungnya dengan efek yang dinamik.

    Tanpa sebarang foto tambahan, kemungkinan imej keseluruhan yang diperaga oleh UX ini kelihatan mantap, termasuk gril “spindle” yang menjadi trademark jenama ini, dengan lampu hadapan yang agresif. Berdasarkan namanya, mungkin apa yang kita lihat ini memungkinkan ia model UX F Sport.

    Lexus belum mendedahkan lagi UX ini bakal diposisikan di antara barisan crossover/SUV, walau pun mungkin ia berada di bawah NX. Jika dikutkan dengan model konsep yang sama nama dengannya, ia dipertontonkan sebagai SUV konsep dengan jarak roda berukuran 2,640 mm, iaitu kurang daripada NX dengan 2,660 mm. Di mana kalau ikutkan jarak roda model konsep itu, ia lebih menghampiri persamaan dengan Toyota C-HR.

    Bagi penjana kuasanya, imej yang diberikan itu memungkinkan ia model hibrid, di mana terdapat logo ‘UX 250h’ pada bahagian kanan bawah. Seperti varian UX 200 dan UX 250, tanda dagang telah difailkan dengan United States Patent and Trademark Office. Dan mungkin juga Audi Q3, BMW X1 dan Mercedes-Benz GLA diletakkan sebagai model persaingan bagi UX.

    GALERI: Lexus UX Concept

     
     
  • Kawasaki Rouser 160 dilancar di Filipina – RM6k, 160 cc, guna rangka sama seperti Modenas Pulsar NS200

    Kawasaki Rouser 160 dilancar di Filipina – RM6k, 160 cc, guna rangka sama seperti Modenas Pulsar NS200

    Selain KLX150, Kawasaki Motors Malaysia tidak menawarkan sebarang model jalanan yang menggunakan enjin di bawah 250 cc di negara kita. Tetapi di Filipina, jenama itu baru saja melancarkan sebuah model yang dinamakan sebagai Kawasaki Rouser NS160, pada harga 85,000 piso (RM6,340).

    Jika anda rasa seperti pernah melihat motosikal ini, ia sebenarnya menggunakan asas daripada Bajaj Pulsar NS160, di mana kalau di negara kita, ia dipasarkan dengan enjin berkapasiti lebih besar dan dikenali sebagai Modenas Pulsar NS200. Kerangka motosikal ini adalah sama, tetapi enjinnya lebih kecil iaitu unit satu silinder SOHC twin-spark 160.3 cc, dengan kuasa 15.2 hp dan 14.6 Nm tork.

    Di Filipina, Pulsar NS200 dan RS200 juga ada dijual di sana, tetapi seperti yang sudah diketahui, model ini mempunyai enjin 199.5 cc dengan kuasa 24.1 hp dan 18.2 Nm tork. Kemudiannya, model ini dilengkapi dengan kotak gear enam kelajuan dan brek cakera di depan dan belakang.

    Kawasaki Rouser NS160 pula mempunyai kelengkapan yang lebih ringkas, di mana kotak gearnya cuma adalah unit lima kelajuan, yang menyampaikan kuasa ke roda belakang melalui sistem rantai, kemudiannya brek cakera pula digunakan hanya di bahagian hadapan. Brek belakang adalah unit dram.

    Tiga warna yang ditawarkan untuk Kawasaki Rouser NS160 ini iaitu merah, perak dan biru. Di Filipina, model ini bersaing dengan antaranya Suzuki GSX-S 150, Honda CB 150R, Yamaha SZ 16 dan TVS Apache 200. Di Malaysia, Modenas Pulsar NS200 dijual pada harga RM9,222, manakala RS200 RM11,342.

     
     
  • Plaza Tol Batu Tiga dijangka siap dirobohkan hujung Mac ini – program pengurusan trafik dilaksanakan

    Plaza Tol Batu Tiga dijangka siap dirobohkan hujung Mac ini – program pengurusan trafik dilaksanakan

    Ekoran kemalangan kali kedua yang berlaku malam kelmarin di Plaza Tol Batu Tiga selepas operasinya ditamatkan sejak Januari lalu,

    Kementerian Kerja Raya memaklumkan kerja-kerja merobohkan struktur binaan plaza tol berkenaan dijangka akan selesai selewat-lewatnya 28 Mac ini.

    Menurut Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkara itu telah dimaklumkan oleh PLUS Malaysia Berhad kepada pihak kementerian dan ketika ini proses pengalihan aset membabitkan peralatan tol, papan tanda dan sebagainya giat dijalankan sebelum perobohan struktur fizikal bermula, laporan Bernama.

    Katanya, buat masa ini, pihak PLUS sedang dalam proses mengalihkan aset-aset mereka dari kawasan itu dan apabila telah sempurna, barulah kerja-kerja meroboh struktur bangunan akan dapat dibuat.

    “Kita turut dimaklumkan bahawa program pengurusan trafik juga akan dijalankan bagi memastikan aliran trafik tidak terganggu semasa kerja-kerja perobohan sedang dilaksanakan,” katanya.

    Awal pagi kelmarin, kemalangan kedua (selepas plaza tol berkenaan ditamatkan operasi Januari lalu) telah berlaku hingga mengorbankan dua nyawa. Ini mendorong orang ramai mendesak pihak terlibat agar menyegerakan proses merobohkan plaza tol tersebut.

    Fadillah berkata, pihaknya berharap pengguna lebuh raya itu berwaspada dan tidak memandu dalam keadaan berbahaya, sekali gus mengelak daripada berlaku kesesakan dan kemalangan yang boleh meragut nyawa.

    “Saya menyeru pengguna jalan raya supaya berhati-hati sebab akhirnya yang menentukan kita selamat atau tidak di jalan raya adalah diri kita sendiri. Kita kena pandu secara berhemah dan pastikan berjaga-jaga untuk elakkan sebarang kemalangan tidak diingini daripada berlaku,” katanya.

     
     
  • Malaysia sasar bawa Tata Group dari India melabur dalam sektor automotif tempatan – Ong Ka Chuan

    Malaysia sasar bawa Tata Group dari India melabur dalam sektor automotif tempatan – Ong Ka Chuan

    Menteri perdagangan antarabangsa dan industri kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, Malaysia kini mensasarkan untuk membawa India ke industri automotif tempatan bagi memperkasakan lagi sektor berkenaan, lapor The Sun Daily.

    “Ini merupakan usaha terbaharu, memandangkan Proton berada di landasan yang betul dan kini kita perlu pergi lebih jauh,” katanya yang merujuk kepada kerjasama yang dibentuk oleh pengeluar automotif nasional berkenaan dengan Zhejiang Geely (ZGH) dari China.

    “Kami sasarkan pengeluar automotif multinasional terbesar India iaitu Tata Group, yang kini memiliki pengeluar automotif premier Britain Jaguar dan Land Rover. Pembelian dari pengeluar ternama dunia pastinya akan menyumbang kepada industri automotif dalam negara,” tambahnya.

    “Kami mahu mereka membuka kilang di Malaysia (Tanjung Malim). Idea kami adalah untuk mewujudkan hab automotif. Dengan populasi 1.3 bilion, India mempunyai potensi yang luas,” jelasnya lagi. Ong turut menyatakan bahawa perdana menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan menteri besar perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir telah menunjukkan sokongan mereka terhadap idea ini.

    Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa insentif yang menarik perlu ditawarkan kepada pelabur luar bagi meyakinkan mereka untuk datang ke Malaysia. “Kami akan menawarkan taman perindustrian bersebelahan dengan Proton City untuk mereka bangunkan kilang,” kata beliau.

     
     
  • Volkswagen I.D Vizzion – MPV elektrik konsep dengan sistem pemanduan autonomous tanpa roda stereng

    Volkswagen I.D Vizzion – MPV elektrik konsep dengan sistem pemanduan autonomous tanpa roda stereng

    Semasa Geneva Motor Show yang akan berlangsung pada bulan hadapan, Volkswagen akan memperkenalkan sebuah lagi model konsep I.D iaitu I.D Vizzion. Ia adalah model I.D yang keempat selepas sebelum ini pernah ditunjukkan model I.D Concept, I.D Buzz EV dan I.D Crozz, dan beberapa gambar awalnya telah disiarkan.

    Jika sebelum ini teknologi kenderaan elektrik sudah ditunjukkan pada kenderaan I.D, untuk model baru ini yang mempunyai bentuk MPV, Volkswagen mengetengahkan pula teknologi pemanduan autonomous, di mana ia mempunyai pelbagai sistem bantuan yang mengawal kenderaan – tanpa roda stereng atau butang kawalan. Kereta konsep ini boleh bergerak sendiri dan ia boleh berkomunikasi melalui hos virtual secara arahan tangan atau suara.

    Sistem yang menggerakkan kenderaan berukuran 5.11 meter ini adalah berkuasa 225 kW dan boleh mencapati kelajuan maksimum 180 km/j. Ini adalah hasil daripada penggunaan bateri lithium ion 111 kWh, yang juga boleh memberikan jarak pergerakan sehingga 665 km apabila sistem penjanaan semula kuasa brek turut diaktifkan. Dua motor elektrik digunakan, dan kuasa disampaikan kepada semua tayar.

    Volkswagen I.D Vizzion – MPV elektrik konsep dengan sistem pemanduan autonomous tanpa roda stereng

    Volkswagen I.D Vizzion mahu menunjukkan potensi yang ada pada reka bentuk kenderaan elektrik penuh mereka. Ia juga adalah tulang belakang kepada teknologi kenderaan elektrik masa depan jenama itu, yang mampu memberikan jarak penggunaan lebih jauh dan penggunaan ruang maksimum pada kos yang optima. Menjelang tahun 2025, syarikat itu mensasarkan pengenalan lebih 20 model kenderaan elektrik.

    Selain menjadikan kenderaan lebih bersih, selamat, menyenangkan dan selesa, teknologi inovatif yang ada pada kenderaan ini, bersama kualiti lainnya dapat meneruskan kesinambungan dan nilai sesebuah kenderaan. Sebagai tambahan, ia juga dianggap berguna bagi mereka yang sudah tidak boleh memandu, sebagai contoh, mereka yang sudah berumur.

     
     
  • VIDEO: Aspark Owl – supercar elektrik 430 hp Jepun buat pecutan 0-100 km/j dalam masa bawah 2.0 saat

    Tahun lalu, sebuah syarikat dari Jepun telah memperkenalkan supercar elektrik keluarannya, yang dinamakan sebagai Aspark Owl dan dipamerkan sewaktu Frankfurt Motor Show 2017. Walaupun pada waktu itu ia masih sebuah kereta konsep, syarikat ini sebenarnya sedang giat meneruskan pembangunan, dan dalam satu video di Youtube, mereka disaksikan sedang melakukan ujian pecutan.

    Ini cuma satu ujian ringkas yang berkemungkinan dilakukan di belakang kilang mereka sendiri, tetapi menunjukkan kemampuan kereta yang mempunyai berat cuma 850 kg ini memecut. Kuasa elektrik yang menggerakkan kenderaan ini datang daripada padanan bateri dan supercapacitor 300V dan kuasa maksimum yang mampu dihasilkan adalah sebanyak 320 kW dan 764 Nm tork.

    Seperti yang boleh dilihat dalam video ini, walaupun pecutan yang dihasilkan Aspark Owl mampu mengalahkan kereta produksi lain termasuk Tesla Model S, ia menggunakan tayar slick, bermakna ia masih belum mengikut spesifikasi yang dibenarkan atas jalan biasa. Walaupun begitu, Aspark masih berusaha ke arah itu.

    VIDEO: Aspark Owl – supercar elektrik 430 hp Jepun buat pecutan 0-100 km/j dalam masa bawah 2.0 saat

    Kami sendiri tidaklah begitu faham dengan bahasa Jepun, tetapi jika menyaksikan catatan yang terhasil pada komputer yang disambung pada kenderaan tersebut, ia mencatat masa terbaik pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 1.921 saat.

    Catatan ini mungkin boleh mengejutkan ramai pihak, tetapi kami lebih tertarik dengan betapa yakinnya pekerja yang terlibat dalam projek ini, dengan melakukan ujian pecutan kereta supercar di kawasan yang sempit. Anda lihatlah sendiri di hujung jalan tersebut – bukit dan tiang elektrik menanti sekiranya brek kenderaan ini tidak berfungsi.

     
     
  • MRT Sg Buloh-Serdang-Putrajaya dijangka siap ikut jadual yang ditetapkan – bakal dilancar pada Julai 2022

    MRT Sg Buloh-Serdang-Putrajaya dijangka siap ikut jadual yang ditetapkan – bakal dilancar pada Julai 2022

    Transit Aliran Massa (MRT) jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya yang kini sedang rancak dalam pembinaan dijadualkan mampu siap tepat pada masanyanya, menurut pengarah projek Datuk Amiruddin Ma’aris seperti yang dilaporkanoleh the Sun.

    Syarikat terbabit dijangka akan mencapai satu lagi penanda aras dalam pembangunan jajaran rel berkenaan apabila satu daripada 12 tunnel boring machine (TBMs) sedia dipasang pada bulan hadapan, katanya. Pengarah projek berkenaan turut menaruh keyakinan yang jajaran terbabit boleh dibuka untuk kegunaan orang awam pada Julai 2022; sambungan daripada Fasa 2 jajaran Sungai Buloh-Kajang yang telah beroperasi sejak Julai tahun lalu.

    “Mengikut kadar semasa, kami yakin yang kami mampu melakukannya (menyiapkan jajaran SSP) dalam masa yang ditetapkan, seperti mana yang kami lakukan bagi jajaran SBK,” ujarnya memberitahu akhbar terbabit. TBM pertama bagi jajaran bawah tanah SSP dijangka siap bulan hadapan, dengan mesin pertama yang dipasang di stesen Bandar Malaysia Utara di Kuala Lumpur, menurut laporan terbabit.

    MRT Sg Buloh-Serdang-Putrajaya dijangka siap ikut jadual yang ditetapkan – bakal dilancar pada Julai 2022

    “Sebaik sahaja siap dipasang, kami akan melakukan beberapa ujian sebelum memulakan operasinya. Kami menjangka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan TBM pada bulan hadapan,” katanya. Sebanyak lapan TBM diperlukan bagi jajaran SSP, berbanding lapan yang diperlukan untuk jajaran SBK berikutan terdapat beberapa stesen bawah tanah (11 untuk SSP berbanding tujuh bagi SBK), dengan penjajaran bawah tanah yang terpanjang iaitu 13.5 km berbanding 9.5 km.

    Mengenai keselamatan pula, MRT Corp telah mengambil segala aspek sebagai pertimbangan sebelum memulakan kerja di bawah tanah, katanya. Kebimbangan yang paling umum di kalangan prang ramai termasuklah penyuraian trafik yang boleh menyebabkan kesesakan, dengan bunyi bising dari tapak pembinaan, tambahnya lagi.

    Tunnel boring machine terakhir bagi jajaran SSP dijangka akan dilancarkan pada pertengahan tahun hadapan.

     
     
  • Red Bull Racing tunjuk jentera lumba F1 musim 2018

    Red Bull Racing tunjuk jentera lumba F1 musim 2018

    Pasukan Red Bull Racing menjadi antara yang terawal menunjukkan jentera F1 musim 2018 dan mereka mendedahkannya semasa sesi ujian di litar Silverstone, United Kingdom. Perkara pertama yang boleh dilihat pada kenderaan yang digelar sebagai RB14 ini adalah grafik istimewa hitam dan biru yang dipanggil ‘Disruption’.

    Dalam tahun kebelakangan ini, setiap pasukan mengambil langkah untuk memperkenalkan jentera mereka agak lambat, bagi membolehkan pereka menggunakan sebanyak masa yang mungkin untuk mereka sebuah kenderaan yang hebat. Bagi penonton kasual Formula One, kenderaan tahun ini mungkin sukar dibezakan berbanding tahun lepas, tapi ia masih mempunyai beberapa bahagian baru.

    Antara yang penting adalah Halo, iaitu rangka pelindung yang berada di hadapan pemandu, seperti rangka untuk cermin hadapan (tetapi sebenarnya tiada cermin). Halo ini perlu dijadikan kuat, dan melalui ujian perlanggaran yang dikatakan seperti meletakkan sebuah bas dua tingkat di atasnya.

    Red Bull Racing tunjuk jentera lumba F1 musim 2018

    Menurut Daniel Ricciardo yang berpeluang menguji jentera ini, Halo tidak menimbulkan sebarang masalah kepada beliau semasa di atas litar. “Saya boleh melihat dengan jelas. Sejujurnya, jika tiada sebarang papan tanda di atas, saya tiada isu dengan penggunaan bahagian ini atas litar rata.”

    Sesi ujian musim sejuk Formula One akan bermula minggu hadapan, manakala perlumbaan sebenar pula akan bermula di Australia pada 22 hingga 25 Mac. Keseluruhan musim 2018 akan melibatkan perlumbaan di 21 litar dan ia akan berakhir di Abu Dhabi 23 hingga 25 November.

     
     
  • Renault Zoe 2018 kini dilengkapi motor elektrik R110 yang lebih berkuasa – 108 hp dan tork 225 Nm

    Renault Zoe 2018 kini dilengkapi motor elektrik R110 yang lebih berkuasa – 108 hp dan tork 225 Nm

    Hatchback kompak yang dijana kuasa elektrik sepenuhnya (EV) Renault Zoe kini hadir dengan versi kemaskini 2018. Antara peningkatan drastik pada kereta hijau comel ini adalah pada motor elektriknya sendiri yang kini lebih berkuasa.

    Renault Zoe 2018 dilengkapkan dengan motor elektrik R110, menggantikan unit R90 sebelum ini. Ia adalah motor revolusi dari model sebelumnya dan ia dibangunkan sendiri oleh Renault di kilang Cleon, barat daya Paris selama dua tahun. Motor R110 ini mampu menghasilkan 108 hp dan tork maksima 225 Nm, atau 16 hp lebih berkuasa dari R90.

    Pakej elektronik baharu ini bukan sahaja menjadikan Zoe lebih berkuasa, malah berat asalnya turut dapat dikekalkan. Oleh itu, model yang dikemaskini berkenaan mampu memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 11.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 135 km/j. Ia juga mampu memecut dari 80-120 km/j lebih cepat dari model sebelumnya.

    Motor berkenaan menerima bekalan kuasa dari bateri bateri lithium-ion 41-kWj yang didakwa mampu bertahan sekurang-kurangnya untuk perjalanan sejauh 300 km, menurut ujian awalan. Seperti juga model konvensional lain, kadar penggunaan kuasa untuk setiap kilometer Zoe ini masih lagi dinilai oleh undang-undang baharu Harmonized Light Vehicles Test Procedure (WLTP) yang telah diwartakan di Eropah 1 September tahun lalu untuk menggantikan NEDC.

    Zoe yang ditingkat taraf ini juga kini ditawarkan dengan warna baharu digelar Blueberry Purple, manakala varian tertinggi Intens dapat dikenalpasti dengan Blueberry Purple Pack. Pek berkenaan terdiri dari warna badan luaran, serta kemasan ungu pada papan pemuka, sekeliling tapak tombol gear, sekeliling pembesar suara dan juga upholsteri bersama serlahan jahitan. Sistem infotainmen R-Link Evolution pada kereta ini juga kini diberikan sokongan Android Auto.

     
     
  • Shell lancar diesel Euro 5 untuk pasaran Sarawak

    Shell lancar diesel Euro 5 untuk pasaran Sarawak

    Shell telah pun melancarkan bahan api diesel Euro 5 di pasaran Sarawak. Ini membolehkan pemilik kenderaan diesel di negeri tersebut untuk menikmati kelebihan yang ditawarkan oleh Shell FuelSave Diesel Euro 5 ini. Shell terlebih dahulu memperkenalkannya di stesennya di Bintulu, dan diikuti dengan bandar besar lain di Sarawak termasuk Miri, Kuching dan Sibu.

    Menurut Pengarah Urusan Shell Timur Sdn Bhd Shairan Huzani Husain, “Kami berbesar hati mengumumkan bahawa kini Shell FuelSave Diesel Euro 5 telah ditawarkan di stesen kami di Sarawak. Ini membolehkan kami memberikan bahan api disel terbaik untuk pengguna di negeri berkenaan, di samping menambah pengalaman pemanduan yang lebih bermakna.”

    Tambahnya lagi, selain kandungan sulfur rendah pada kadar 10 ppm (parts per million), berbanding 500 ppm bagi diesel Euro 2M, FuelSave Diesel Euro 5 ini turut diformulasikan dengan bahan kecekapan aktif, menjanjikan kecekapan enjin dan jarak perjalanan yang dipertingkat. Turut ada sebagai kandungan ialah elemen pembersih yang menghindarkan enapan pada bahagian penyuntik.

     
     
  • Mazda kini jadikan Toyota Camry sebagai tanda aras, bukan lagi model-model BMW yang semakin bosan

    Mazda kini jadikan Toyota Camry sebagai tanda aras, bukan lagi model-model BMW yang semakin bosan

    Jika sebelum ini Mazda gemar untuk menjadikan model-model dari BMW sebagai tanda aras menghasilkan produk-produk mereka, namun kini tidak lagi kerana kereta-kereta dari jenama Jerman berkenaan dikatakan tidak lagi seronok untuk dipandu seperti dahulu. Perkara ini diceritakan oleh jurutera Mazda sendiri kepada portal AS, AutoGuide.com.

    Menurut jurutera berkenaan, sebelum ini BMW membangunkan kereta-kereta yang dibina sepenuhnya dengan falsafah “Ultimate Driving Machine” dan menghasilkan jentera yang seronok untuk dipandu serta fokus kepada kehendak pemandu – ia jelas seiring dengan falsafah Mazda sendiri yang menghasilkan kereta-kereta berteraskan dinamik pemanduan dan mengambil berat tentang pengendaliannya.

    Namun untuk model-model terbaharu, Mazda mendakwa BMW tidak lagi mengambil berat terhadap keseronokan memandu dan jenama tersebut kini dikritik bagaimana pendekatan mereka terhadap perasaan pada stereng, enjin dan bunyi ekzos serta berat keseluruhannnya. Kesimpulannya, kereta-kereta BMW terkini diberikan karekter tiruan yang dibuat-buat dan bukan lagi yang sebenar, menjadikan ia tidak lagi seronok untuk dipandu.

    Jadi jika BMW tidak lagi dijadikan sebagai kayu ukur, jenama mana pula yang dijadikan tanda aras untuk penghasilan model-model baharu Mazda? Jurutera berkenaan menjelaskan, syarikatnya kini melihat Toyota Camry sebagai model yang boleh dibuat untuk perbandingan untuk membangunkan model-model baharunya.

    Menurutnya, Camry generasi baharu yang dibina berdasarkan Toyota New Global Architecture (TNGA) berkenaan tidak dapat dinafikan kini mempunyai karekter pengendalian yang lebih tajam dan lebih menyeronokkan, tidak sama dengan model-model bosan dari generasi sebelumnya. “Jika sebelum ini mereka dapat menjual Camry dengan baik walaupun sangat bosan untuk dipandu, sekarang mereka mempunyai kereta dengan pengendalian yang baik di tangan mereka!” jelasnya.

     
     
  • Mercedes-AMG C43 dipasang di Thai, harga RM513k – adakah Malaysia bakal hasilkan AMG versi CKD?

    Mercedes-AMG C43 dipasang di Thai, harga RM513k – adakah Malaysia bakal hasilkan AMG versi CKD?

    Mercedes-Benz telah memperkenalkan versi pemasangan tempatan (CKD) bagi model Mercedes-AMG C 43 Coupé di Thailand, menurut laporan Bangkok Post. Kereta mewah dua-pintu ini merupakan model Mercedes berorientasikan prestasi pertama yang dipasang di negara berkenaan, menggantikan model import sepenuhnya (CBU, dari Jerman) yang dilancarkan tahun lalu, sekaligus menerima harga yang lebih signifikan.

    Bagaimana harganya dikatakan signifikan? Harganya telah menjunam dari 5.19 juta baht (RM642,500) ke 4.14 juta baht (RM512,500). Berbanding model CBU yang dijual di sini pada harga RM548,888 tanpa insurans, dengan versi sedan pula RM499,888. Walau bagaimana pun, ia masih jauh lebih murah berbanding C 63 yang berharga 10 juta baht (RM1.2 juta).

    Walau bagaimana pun, bahagian mekanikal model ini tidak berubah, dengan C 43 masih mengekalkan enjin M276 3.0 liter pengecas turbo-berkembar V6 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 362 hp dari 5,500 ke 6,000 rpm dan tork 520 Nm antara 2,000 dan 4,200 rpm. Ia juga dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan dan pacuan semua-roda 4Matic.

    Adakah Malaysia bakal mengikut jejak langkah Thailand dalam memasang barisan AMG siri-43 (tidak lama lagi menjadi siri-53)? Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun memasang model C- dan E-Class sedan di kilang pemasangan di Pekan, Pahang, begitu juga dengan GLC crossover – jadi untuk model 43 pastinya tidaklah menyukarkan.

    Mercedes-Benz AMG C43 4Matic Coupe di Malaysia

     
     
  • Volvo perkenal XC40 T3 -Drive-E 1.5 liter turbo, tiga-silinder 156 hp/265 Nm- bersama pakej Inscription

    Volvo perkenal XC40 T3 -Drive-E 1.5 liter turbo, tiga-silinder 156 hp/265 Nm- bersama pakej Inscription

    New Volvo XC40 – exterior

    Setelah beroperasi selama 91 tahun, buat pertama kalinya Volvo memperkenalkan sebuah enjin kompak yang beropersi dengan hanya tiga-silinder. Enjin petrol Drive-E T3 1.5 liter berkenaan akan menjana SUV kompak baharu Volvo XC40, yang akan dijual bersama varian sedia ada lain dikuasakan enjin petrol 2.0 liter empat silinder Turbo T4 dan juga diesel 2.0 liter D3.

    Enjin baharu 1.5 liter berkenaan dibangunkan sendiri oleh Volvo berdasarkan rekaan modular yang sama seperti enjin Drive-E empat-silinder. Ia menampilkan penggunaan material aluminium untuk blok dan juga kepala silinder serta diberikan sistem suntikan bahan api terus.

    Walaupun kecil, unit janakuasa baharu ini mampu menghasilkan 156 hp pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 265 Nm bermula 1,850 hingga 3,850 rpm. Untuk permulaan, ia akan digandingkan dengan kotak gear M76 R6.2 manual enam-kelajuan (sama seperti unit pada V40 sedia ada), namun kotak gear automatik lapan-kelajuan automatik akan ditawarkan pada tahun hadapan.

    Volvo perkenal XC40 T3 -Drive-E 1.5 liter turbo, tiga-silinder 156 hp/265 Nm- bersama pakej Inscription

    Drive-E 4 cylinder Diesel Engine – D3/D2 Front

    Volvo XC40 yang digerakkan oleh enjin T3 ini mampu untuk memecut dari 0-100 km/h dalam masa 9.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 200 km/j. Menerusi kaedah baharu ujian Worldwide Harmonized Light vehicles Test Procedure (WLTP), model T3 ini menerima penarafan penggunaan bahan api gabungan 7.1 liter untuk setiap perjalanan 100 km.

    Menurut Volvo, enjin T3 ini direka bagi membolehkan ia digabungkan bersama sistem hibrid plug-in Twin Engine, seperti yang diprebiu sebagai unit janakuasa T5 Twin Engine sebelum ini.

    Volvo turut mendedahkan bahawa XC40 versi hibrid dan juga janaan elektrik sepenuhnya bakal diperkenal tidak lama lagi. Ia sudah dijangka kerana asas Compact Modular Architecture (CMA) sememangnya direka bagi membolehkan sistem hibrid, hibrid plug-in mahupun sistem elektrik sepenuhnya dipadankan dengan mudah, selain dari unit janakuasa konvesional petrol dan diesel.

    Volvo perkenal XC40 T3 -Drive-E 1.5 liter turbo, tiga-silinder 156 hp/265 Nm- bersama pakej Inscription

    New Volvo XC40 – exterior

    Sebagai perbandingan versi T4 2.0 liter turbo mampu menghasilkan 190 hp pada takat 4,700 rpm dan tork maksima 300 Nm 1,400 rpm hingga 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear AW TG-81SC automatik lapan-kelajuan automatik. Model ini diberikan opsyen sama ada untuk menggunakan sistem pacuan roda hadapan sahaja atau hadir dengan sistem pacuan semua roda.

    Kedua-dua versi tersebut mampu mencapai kelajuan 210 km/j, namun versi pacuan hadapan mampu memecut dari 0-100 km/j lebih cepat iaitu 8.4 saat, berbanding model AWD. Begitu juga dengan ekonomi penggunaan bahan api, dimana model FWD mencatatkan 7.7 l/100 km berbanding 8.0 l/100km pada model AWD.

    Untuk model diesel pula, enjin D3 berkenaan mampu menjana kuasa 150 hp pada takat 3,750 rpm dan tork maksima 320 Nm bermula 1,750 hingga 3,000 rpm. Ia juga digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan yang sama dengan T4 serta pilihan sama ada menggunakan pacuan hadapan atau AWD. Versi diesel ini turut ditawarkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual M76 R7.0 untuk pacuan hadapan atau M66F (juga manual enam-kelajuan) bagi yang memilih sistem AWD.

    Selain dari penawaran unit janakuasa baharu ini, Volvo turut mengumumkan kemasan Inscription untuk XC40, meluaskan lagi pilihan selain pakej Momentum dan R-Design sedia ada. Pakej kemasan Inscription berkenaan terdiri daripada rekaan unik pada skid plate, kemasan tingkap sisi, elemen pada gril hadapan dan juga warna badan istimewa khas untuknya.

    Bahagian kabin pula, kemasan Inscription ini akan menampilkan tombol gear kristal serta panel-panel Driftwood Décor seperti yang ditampilkan buat pertama kali pada XC60. Pelbagai pilihan rim aloi turut disediakan dengan saiz bermula 18 hingga 20-inci.

    Volvo turut menawarkan pakej aksesori lebih sporty untuk XC40 berkenaan yang terdiri dari skid plate kemasan brushed stainless steel, dua tip ekzos bina-dalam serta rim aloi berdiameter 21-inci kemasan Black Diamond Cut.

     
     
  • Dua lagi maut akibat kemalangan di Plaza Tol Batu 3

    Dua lagi maut akibat kemalangan di Plaza Tol Batu 3

    Satu lagi nahas berlaku di Plaza Tol Batu Tiga awal pagi tadi yang mengakibatkan dua nyawa terkorban. Ini merupakan nahas kedua yang berlaku di lokasi yang sama, dengan kejadian pertama berlaku pada 15 Januari lalu selepas plaza tol terbabit ditamatkan operasinya.

    Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata kereta yang dinaiki sepasang sahabat datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Shah Alam dipercayai dipandu laju dan hilang kawalan lalu merempuh tembok tol dalam kejadian 12.55 pagi tadi.

    Pengguna Lebuhraya Persekutuan sebelum ini telah mendesak pihak yang bertanggungjawab supaya segera merobohkan plaza toll Batu Tiga dan Sungai Rasau. Kedua-dua plaza tol berkenaan yang tamat beroperasi sejak Januari tahun ini, menerusi Bajet 2018 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Syarikat konsesi lebuhraya PLUS telah mengumumkan kerja-kerja merobohkan kedua-dua plaza tol berkenaan akan selesai hujung Mac ini.

    Tinjauan kami sebentar tadi mendapati, pondok tol berkenaan telah pun dirobohkan namun tembok dan struktur di kedua-dua plaza tersebut masih dalam peringkat dirobohkah. Justeru, kami menasihati para pemandu yang melalui laluan tersebut agar lebih berhati-hati dalam pemanduan dan jangan memandu laju ketika menghampiri lorong tol berkenaan. Amalkan pemanduan selamat!

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025