Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hyundai Sonata Hybrid, Plug-in Hybrid facelift didedah – pemanduan EV 43 km, lebih kurang 1,000 km

    Hyundai Sonata Hybrid, Plug-in Hybrid facelift didedah – pemanduan EV 43 km, lebih kurang 1,000 km

    Hyundai telah mendedahkan model Sonata Hybrid 2018 dan Plug-in Hybrid facelift yang menerima semakan rekaan, di Chicago Auto Show. Facelift besar-besaran bagi generasi ketujuh LF ini telah pun pertama kali dipamerkan di Korea Selatan pada Mac tahun lalu, dengan enjin konvensional petrol.

    Penjana kuasa model Hybrid ini tidak berubah, masih kekal dengan enjin 2.0 liter Nu GDI empat-silinder (154 hp, 190 Nm) yang dipadankan bersama transmisi automatik enam-kelajuan dengan motor elektrik 38 kW (51 hp, 205 Nm) dan penukar tork. Transmisi tersebut menggunakan pam minyak elektrik, yang membantu meningkatkan lagi penjimatannya. Jumlah keseluruhan pemanduan boleh mencapai lebih 1,046 km mengikut pemanduan biasa.

    Pek bateri polimer lithium-ion 1.76 kWh ditempatkan di bawah but, sekaligus memberikan ruang yang lebih rata dan tempat duduk belakang boleh dilipat dengan nisbah 60/40. Sonata Hybrid menawarkan ruang kargo berkapasiti 377 liter.

    Sementara Sonata Plug-in Hybrid hampir menyamai model hiibrid biasa, tetapi dengan penambahan kelebihan iaitu motor 50 kW (32% lebih kuasa berbanding hibrid, kuasa keseluruhan 202 hp) dan semua rangkaian elektrik diperluaskan. Ia juga dipadnakan dengan pek bateri polimer lithium-ion 9.8 kWh iaitu lima kali ganda lebih besar berbanding hibrid, dan mencukupi untuk pacuan semua-elektrik sehingga 43 km. Jumlah keseluruhan jarak mencapai 950 km.

    Kedua-dua Sonata Hybrod dan Plug-in menggunakan rekaan fungsi yang sama bagi mempertingkatkan lagi daya seretan sehingga 0.24 Cd, mendahului kelasnya. Ia juga tampil dengan roda baharu eco-spoke 16- dan 17-inci. Palang anti-olengan hadapan juga lebih keras, menyelaraskan semula pengendalian stereng dan bushing yang dipertingkatkan bagi respon yang lebih optimum.

    Lain-lain elemen termasuklah trunk pintar bebas-tangan, brek parkir elektronik dengan penahan auto, memori untuk tempat duduk pemandu dan cermin sisi, tirai matahari untuk tingkap belakang, tempat duduk hadapan berkuasa dengan pengaliran dan Smart Cruise Control bersama stop/start.

    Hyundai Sonata Hybrid, Plug-in Hybrid facelift didedah – pemanduan EV 43 km, lebih kurang 1,000 km

    Selain itu, ia turut didatangkan dengan sistem navigasi bersama skrin sesentuh lapan-inci dengan sambungan Apple CarPlay/Android Auto dan pengesan suara. Turut dipertingkatkan ialah sistem audio premium Infinity sembilan-pembesar suara dengan subwoofer dan amplifier luaran. Pengecas telefon tanpa wayar Qi turut didatangkan dengan model yang dilengkapi navigasi.

    Bagi aspek keselamatan, Sonata terkini bakal menerima kamera undur, tujuh beg udara dan sistem pemantauan tekanan tayar dengan paparan tekanan tayar individu secara standard. Lampu utama LED dengan fungsi Dynamic Bending Light (DBL) sebagai pilihan. Pengesan Titik Buta dengan Kepekaan Trafik Lintasan Belakang juga standard, sementara Brek Kecemasan Sendiri, Bantuan Kekal Lorong dan Bantuan Lampu Tinggi Automatik turut ditampilkan.

    Model yang dilengkapi dengan Blue-Link ini didatangkan dengan servis percuma selama tiga-tahun, dengan keselamatan, diagnostik, kawalan dan perkhidmatan navigasi yang dipertingkatkan. Blue Link membawakan teknologi termasuk Kawalan Jauh dengan Kawalan Suhu, Kawalan mengunci/membuka pintu, Pencari Kereta, Bantuan Tepi Jalan dan Pelindungan Kenderaan Dicuri.

     
     
  • Proton catat 2.1% peningkatan pasaran pada Jan 2018

    Proton catat 2.1% peningkatan pasaran pada Jan 2018

    Nampaknya sinar buat Proton menampakkan keberhasilan apabila jenama ini berjaya melonjakkan lagi jumlah jualannya pada Januari 2018 iaitu sebanyak 4,783 unit dengan jumlah unjuran pegangan pasaran 10.9%, peningkatan daripada 8.8% pegangan pasaran pada bulan sebelumnya, walaupun mencatatkan jualan lebih rendah daripada 4,802 unit pada Disember 2017.

    Proton Saga masih kekal sebagai model yang paling popular, diikuti oleh Persona dan Exora iaitu jumlah keseluruhannya merangkumi 80% daripada jumlah jualan kereta Proton untuk Januari tahun ini.

    “Sebagai kereta dengan harga yang paling berpatutan dan memberikan nilai hebat bagi segmennya, Saga tetap menjadi pilihan paling popular di kalangan pelanggan Proton, melibatkan sebanyak 41% daripada keseluruhan jualan kereta Proton,” kata Abdul Rashid Musa, Naib Presiden, Jualan dan Pemasaran, Proton.

    Sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini, Proton turut menawarkan ganjaran kepada para pelanggannya dengan diskaun-diskaun (tertakluk pada terma & syarat) hebat untuk semua model Proton, sehingga RM500 untuk Exora, sehingga RM1,000 untuk Saga, sehingga RM1,000 untuk Persona, sehingga RM5,000 untuk Iriz, dan sehingga RM13,888 untuk Perdana.

    Dalam masa yang sama, para pelanggan juga boleh mengunjungi mana-mana pusat servis Proton yang diiktiraf untuk pemeriksaan keselamatan 20 mata percuma sebelum memulakan perjalanan jauh.

     
     
  • Treeletrik T-MV7 – harga di Malaysia dari RM66,000

    Treeletrik T-MV7 – harga di Malaysia dari RM66,000

    Sebelum ini, kami pernah melaporkan tentang sebuah lori elektrik kecil Treeletrik T-MV7 yang dibawa masuk untuk pasaran Malaysia. Kini, harga jualannya sudah disahkan – RM66,000 bagi casis sahaja, sebelum GST dan kos atas jalan lainnya.

    Seperti dimaklumkan sebelum ini, terdapat empat pilihan bagi jenis ruang barangan atau ruang kargo di belakang yang akan ditawarkan; panel tertutup, panel tertutup untuk barangan beku, panel terbuka serta bahagian belakang tanpa penghadang.

    Treelektrik T-MV7 ini beroperasi secara elektrik sepenuhnya, dengan kos yang didakwa hanya seredah RM0.03 (berdasarkan tarif elektrik RM0.28 bagi setiap kW/j). Datang dari mana model ini? Ia sebenarnya rebadge daripada model Cenntro Metro, yang dihasilkan oleh Cenntro Automotive Group.

    Akan ada dua versi ditawarkan; satu menggunakan bateri lead asid (8.64 kWh), dan satu lagi hadir dengan bateri lithium-ion (14.4 kWh). Berat tanpa bateri kenderaan ini ialah 558 kg, sementara had maksimum muatan beban yang boleh dibawa ialah 615 kg.

    Model ini menggunakan bateri berkapasiti 72V yang mampu menghasilkan kuasa puncak sebanyak 32.2 hp (13.4 hp nominal power). Bagi bateri lead asid, ia mempunyai jangka hayat 45,000 km, dengan satu cas penuh boleh mencapai jarak 80 km perjalanan. Laju maksimumnya pula ialah 55 km/j.

    Bagi versi lithium-ion pula, satu cas penuh boleh memberikan perjalanan sejauh 180 km, dengan kelajuan maksimum yang mampu dicapai ialah 80 km/j. Hayat baterinya pula ialah 100,000 km. Bagi yang ada perniagaan kecil, macam mana? Berminat?

     
     
  • Petronas mulakan kempen Coffee Break sempena Tahun Baharu Cina di lebih 140 stesen terpilih

    Petronas mulakan kempen Coffee Break sempena Tahun Baharu Cina di lebih 140 stesen terpilih

    Kempen Coffee Break yang dianjurkan oleh Petronas Dagangan Berhad (PDB) setiap kali pada musim perayaan menjelang, kini kembali lagi sempena Tahun Baharu Cina yang bakal disambut hujungn minggu hadapan.

    Kali ini, kempen tersebut akan bermula pada 14 hingga 15 Februari 2018 dan 18 hingga 19 Februari melibatkan 141 buah stesen Petronas di seluruh Malaysia, dengan menawarkan kopi dan snek percuma untuk pelanggan yang berhenti sebentar di Petronas, sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

    Menurut Pengarah Urusan dan CEO PDB Dato’ Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunos, “Kami ingin mengingatkan semua pengguna kenderaan agar mementingkan keselamatan ketika berada di jalan raya. Kami juga mahu mereka selamat tiba di destinasi yang ditujui dan meraikan perayaan ini bersama insan yang tersayang.”

    Sepanjang kempen ini juga, stesen Petronas yang terpilih akan menyediakan pemeriksaan kesihatan dengan kerjasama St.John Ambulance Malaysia (SJAM) secara percuma. Malah PDB juga berbesar hati untuk menaja bahan api percuma kepada 50 buah ambulan SJAM yang ditempatkan di sepanjang lebuhraya untuk sebarang kemungkinan dan kecemasan pada musim perayaan ini.

    “Sebagai sebahagian daripada acara tahunan, kempen Coffee Break ini juga akan dilaksanakan pada Hari Raya dan Festival Keamatan dan Gawai, yang biasanya merekodkan jumlah penambahan kenderaan di jalan raya. Dalam memainkan peranan ini, kami berharap pelanggan kami tidak penat untuk meneruskan perjalanan menerusi kempen yang mengutamakan aspek keselamatan ini,” kata Ibrahimnuddin lagi.

    Turut memberi sokongan bagi kempen ini termasuklah Nestle Products Sdn.Bhdm Delfi Marketing Sdn Bhd. Julie’s Marketing Sdn Bhd, Mondelez Malaysia Sales Sdn Bhd, Munchworld Marketing Sdn dan Suntory Beverage & Food Malaysia Sdn Bhd. Dua lagi rakan niaga yang turut serta pada tahun ini ialah Shope Mobile Malaysia Sdn Bhd dan Dunkin’ Donuts.

     
     
  • Mitsubishi Malaysia buka Pusat 3S di Sg.Buloh

    Mitsubishi Malaysia buka Pusat 3S di Sg.Buloh

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah membuka Pusat 3S (jualan, servis & alat ganti) di daerah Sungai Buloh, Selangor. Pusat 3S yang dioperasikan oleh Esperance Motors ini terletak di Lot 26, Jalan LGSB 1/2, Pusat Komersial LGSB, Off Jalan Hospital, Sungai Buloh.

    “Esperance Motors baru saja menjadi rakan kongsi perniagaan Mitsubishi Motors dan ini merupakan pusat 3S pertama kelolaan mereka. Kami yakin syarikat ini mampu mengembangkan lagi perkongsian pasaran untuk jenama Mitsubishi di Lembah Klang,” ujar Tomoyuki Shinnishi, CEO MMM.

    Menurut Alex Sim dari Esperance Motors pula, pihaknya merancang untuk membuka bilik pameran Mitsubishi yang kedua pada suka kedua tahun ini dan bakal menjadi cawangan utama yang terletak di Rawang. “Pusat 3S tersebut dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada pertengahan tahun ini dan menjadi fasiliti terbesar dengan enam petak penyelenggaraan. Malah kami juga akan menyediakan lebih banyak perkhidmatan seperti baikpulih kenderaan yang kemalangan dan juga tuntutan insurans.”

    Buat masa ini, MMM telah mempunyai 55 bilik pameran, dengan 48 daripadanya ada Pusat 3S dan 54 cawangan servis di seluruh negara. Manakala untuk Malaysia Timur sahaja, MMM memiliki 14 bilik pameran iaitu enam di Sarawak dan lapan di Sabah.

     
     
  • PLUS sedia tampung 1.6 juta kenderaan ketika waktu puncak cuti CNY – lorong tambah nilai TnG ditutup

    PLUS sedia tampung 1.6 juta kenderaan ketika waktu puncak cuti CNY – lorong tambah nilai TnG ditutup

    Sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina 2018 minggu depan, PLUS menjangkakan akan berlaku peningkatan kadar kenderaan yang menggunakan lebuhraya itu sebanyak 10.3% berbanding hari biasa, mencecah sekitar 1.6 juta kenderaan pada tarikh-tarikh dan waktu puncak sepanjang tempoh berkenaan.

    Untuk menghadapi situasi seperti itu, pihak PLUS akan mengambil pelbagai langkah untuk memastikan situasi lalulintas sentiasa terkawal dan keselesaan pengguna berada pada tahap terbaik – tarikh-tarikh kritikal yang dijangka bakal menyaksikan peningkatan ialah pada 14, 15, 18, 19, 24 dan 25 Februari nanti.

    Selain daripada rebat tunai 20% (bagi pengguna kad Touch n’ Go yang berdaftar dengan portal PlusMiles sahaja) dan cadangan waktu perjalanan (TTA) yang diumumkan sebelum ini, terdapat beberapa lagi perkara yang perlu diketahui pengguna untuk memudahkan perancangan perjalanan.

    PLUS sedia tampung 1.6 juta kenderaan ketika waktu puncak cuti CNY – lorong tambah nilai TnG ditutup

    Selain kerja-kerja pembinaan dan naik taraf yang akan diberhentikan sementara bermula 10 hingga 25 Februari, pengguna juga tidak lagi boleh menambah nilai kad Touch n’ Go mereka di plaza-plaza tol kerana perkhidmatan itu akan diberhentikan sementara, dari 14 hingga 25 Februari.

    Ini disebabkan, daripada pemerhatian PLUS, satu transaksi tambah dinilai di plaza tol akan memakan masa sekurang-kurangnya tiga minit, dan dalam keadaan trafik yang meningkat, ia akan menyumbang kepada kesesakan.

    Bagaimanapun, pengguna tidak perlu khuatir kerana setakat ini sudah terdapat 9,200 lokasi untuk mereka berbuat demikian diseluruh negara. Ini termasuk 16 kiosk layan diri disediakan serta 50 lagi lokasi tambah nilai tanpa caj disepanjang lebuhraya berkenaan – yang diberhentikan sementara hanya tambah nilai di plaza tol.

    PLUS sedia tampung 1.6 juta kenderaan ketika waktu puncak cuti CNY – lorong tambah nilai TnG ditutup

    Beberapa lokasi yang dijangka bakal menyaksikan peningkatan trafik mendadak juga telah dikenal pasti, misalnya laluan antara Bukit Beruntung-Slim River (naik 145%), Behrang-Sungkai (naik 140%) dan Slim River-Simpang Pulai (naik 128%) antara yang tertinggi bagi perjalanan pulang ke kampung.

    Di kawasan-kawasan ini, PLUS juga bersedia untuk membuka laluan kontra sekiranya keadaan memerlukan atau jika ada berlaku kemalangan yang melibatkan penutupan lorong. Sebagai contoh, ini melibatkan laluan di Gua Tempurung, Slim River-Sungkai, Seremban-Senawang, Ayer Keroh-Jasin serta dibeberapa lagi kawasan.

    Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, kesedaran pengguna terhadap TTA sejak beberapa tahun ini dan kepatuhan untuk mengikuti tempoh waktu perjalanan telah terbukti dapat mengatasi masalah kesesakan teruk. Tahun 2017 memberikan pencapaian terbaik bagi pendekatan ini (rujuk gambar rajah).

     
     
  • BHPetrol, Go Shop tawar baucer bernilai RM10j mulai kini hingga 18 Feb bagi pembelanjaan minimum RM30

    BHPetrol, Go Shop tawar baucer bernilai RM10j mulai kini hingga 18 Feb bagi pembelanjaan minimum RM30

    Sempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang ini, BHPetrol, dengan kerjasama Go Shop Malaysia, ingin memberi ganjaran kepada rakyat Malaysia dengan 500,000 baucer Go Shop bernilai RM20 setiap satu.

    Bonanza ini bermula sekarang sehingga 18 Februari 2018, dengan memerlukan pelanggan membeli bahan api atau pun barangan (kecuali Touch n’ Go, perkhidmatan e-pay dan rokok) bernilai minimum RM30 bagi melayakkannya menerima baucer Go Shop RM20.

    Pelanggan boleh menebus baucer tersebut menerusi laman web rasmi Go Shop atau pun aplikasi dalam talian dengan memasukkan kod promo yang terdapat di belakang baucer berkenaan. Baucer tersebut sah sehingga 31 Mac 2018.

    Bagi pelanggan yang bertuah juga berpeluang memenangi baucer BHPetrol bernilai RM1,000 setiap satu sekiranya berjaya menebus baucer Go Shop tersebut. Terdapat produk bernilai RM10,000 daripada Go Shop untuk direbut oleh 43 pelanggan bertuah.

     
     
  • TVS Zeppelin Cruiser Concept dipamer di India – guna gabungan enjin 220 cc dan motor elektrik 1,200 Watt

    TVS Zeppelin Cruiser Concept dipamer di India – guna gabungan enjin 220 cc dan motor elektrik 1,200 Watt

    Selain melancarkan skuter canggih NTorq 125, TVS yang juga adalah rakan pengeluar BMW di India telah mempertontokan sebuah model cruiser konsep yang dinamakan sebagai Zeppelin Cruiser Concept. Model ini sekadar mempamerkan teknologi motosikal yang mampu dihasilkan oleh syarikat tersebut.

    Enjin yang digunakan pada model ini adalah unit satu silinder 220 cc, yang menurut TVS, boleh menghasilkan 20 hp pada 8,500 rpm, 18.5 Nm tork pada 7,000 rpm. Di bahagian hadapan enjin ini, apa yang kelihatan seperti sangkar radiator sebenarnya adalah untuk hiasan sahaja, bermakna enjin ini menggunakan sistem penyejukan udara.

    Uniknya pada motosikal ini, enjin petrol tersebut turut dibantu oleh unit starter generator (ISG), yang dikatakan dapat memberi boost tambahan semasa pecutan awal. Sistem ini terdiri daripada motor regenerative 1,200 Watt, yang mendapat kuasa daripada bateri lithium-ion 48-volt. TVS memanggil sistem ini sebagai E-Boost dan ia dapat menambah 20% lagi pecutan kepada Zeppelin.

    Kuasa yang terhasil daripada gabungan enjin dan motor elektrik ini dihantar ke tayar belakang melalui kotak gear lima kelajuan dan sistem pacuan tali sawat. Tambah TVS, ia boleh memecut sehingga kelajuan maksimum 130 km/j. Suspensi hadapan adalah fork USD dan di belakang terdapat satu monoshock.

    Motosikal konsep ini juga didatangkan sekali dengan brek ABS, dan tugasnya dilaksanakan oleh angkup brek Bybre bersama cakera 300 mm di hadapan dan 240 mm di belakang. Rim pula adalah unit jejari (spoked) 17 inci di hadapan dan 15 inci di belakang, dengan tayar yang lebih lebar.

    Zeppelin diberitahu mempunyai berat 168 kg, dan ia datang dengan pelbagai kelengkapan berteknologi canggih seperti kunci pintar, sambungan atas talian dan kamera HD yang diletakkan di atas lampu utama. Turut boleh dilihat melalui set gambar daripada Indian Autos Blog ini adalah ia mempunyai penutup crankcase lutsinar.

     
     
  • GALERI: Honda Amaze 2018 di India Auto Expo

    GALERI: Honda Amaze 2018 di India Auto Expo

    Semalam kami melaporkan bahawa sedan segmen-A Honda Amaze generasi baharu telah membuat kemunculan sulung globalnya di India Auto Expo 2018. Hari ini kami bawakan pula galeri lebih jelas sedan kecil berkenaan, ehsan dari portal IndianAutosBlog.

    Amaze generasi kedua ini telah menerima rekaan baharu sepenuhnya, namun ia masih lagi kekal sebagai sedan entry-level dengan dimensi sub-empat meter. Berbanding model sebelum ini, Amaze baharu berkenaan direka lebih garang dengan diberikan bar krom lebih tebal pada gril hadapan diinspirasikan dari rekaan Civic generasi ke-10.

    Gril berkenaan diapit dengan sepasang lampu lebih tirus dari sebelum ini, manakala bampar pula menampilkan bahagian lampu kabus yang lebih kecil. Namun disebabkan bahagian hidung yang tinggi tetapi dengan saiz keseluruhan yang pendek, kereta ini kelihatan agak pelik jika dilihat dari sisi.

    GALERI: Honda Amaze 2018 di India Auto Expo

    Tiang-A kereta ini juga tidak direka tirus untuk lebih kelihatan sporty – nampaknya rekaan tersebut lebih menjurus untuk mendapatkan bahagian kabin yang lebih luas dengan ruang terhad tersebut. Badan kereta ini juga hanya menampilkan satu garisan badan ringkas yang menghubungkan lampu hadapan dan lampu belakang.

    Kereta ini turut diberikan lampu belakang baharu yang kelihatan seperti Civic FB atau Perodua Bezza. Kemasan pada penutup but belakang yang menghubungkan kedua-dua lampu serta mewujudkan ruang nombor pendaftaran pula direka dengan dua versi berbebeza – pertama mempunyai bar krom merentanginya bersama logo ‘H’ ditengah, dan kedua tanpa bar tersebut.

    Rekaan dalaman Amaze juga berbeza dari sebelum ini, yang menampilkan rekaan papan pemuka lebih menegak. Papan pemuka baharu ini menampilkan liang dan pengawal penghawa dingin serta sistem infotainmen yang dipisahkan dengan jelas, serta menerapkan rekaaan yang lebih mengikut peredaran semasa.

    GALERI: Honda Amaze 2018 di India Auto Expo

    Amaze juga diberikan rekaan roda stereng baharu, yang bukan sahaja berbeza dari model sebelumnya, malah tidak sama dengan roda stereng model terkini Honda lain dengan menampilkan bahagian tengah empat segi yang kecil. Roda stereng berkenaan juga diberikan kawalan infotaimen serta cruise control.

    Begitu juga dengan paparan instrumen, ia kini diberikan kluster baharu dengan rekaan dua-pod, berbanding rekaan tiga-gelung pada model sebelumnya.

    Walau bagaimanapun, Honda masih lagi belum mendedahkan pilihan enjin yang diberikan pada model ini. Untuk model terdahulu, Amaze dijana enjin petrol 1.2 liter i-VTEC dan juga pilihan enjin diesel 1.5 liter i-DTEC. Dalam gambar ini juga mendedahkan, Amaze akan terus diberikan pilihan kotak gear lima-kelajuan manual, dan kami jangkakan transmisi CVT diberikan untuk versi automatik.

     
     
  • Hero XPulse – motosikal jelajah 200 cc pertama India

    Hero XPulse – motosikal jelajah 200 cc pertama India

    Selain Bajaj dan TVS, satu lagi syarikat pengeluar antara yang terbesar di India adalah Hero Motorcorp, dan syarikat itu telah memperkenalkan beberapa buah model baru semasa acara Auto Expo 2018 di New Delhi. Dua daripadanya adalah skuter, tetapi yang lebih menarik perhatian adalah sebuah motosikal jelajah bernama XPulse.

    Model ini dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok OHC 199.6 cc bersama padanan kotak gear lima kelajuan, sama seperti model naked Hero Extreme 200R, dan ia boleh menghasilkan kuasa sebanyak 18.4 PS pada 8,000 rpm dan 17.1 Nm tork pada 6,500 rpm. Bahan api pula disampaikan kepada enjin menggunakan sistem suntikan elektronik (EFI).

    Seperti yang boleh dilihat dalam gambar, motosikal ini jelas mahu memberikan keupayaan untuk menjelajah termasuk atas jalan offroad, dan ia disediakan dengan suspensi teleskopik jarak gerak 190 mm di hadapan, monoshock boleh laras dengan jarak gerak 170 mm di belakang, padanan rim 21 inci dan 18 inci, ekzos yang mendongak ke atas, pelindung bawah enjin kerangka yang menggunakan besi diperkuat.

    Untuk badannya pula, XPulse mempunyai fender hadapan tinggi seperti motocross, lampu LED di hadapan, penghadang angin kecil di atasnya, besi penghadang tepi enjin, pelindung tangan, rak meletak barangan serta tempat duduk yang lebar. Panel meter motosikal ini pula adalah jenis digital sepenuhnya, dan ia boleh disambung dengan telefon pintar untuk memaparkan arahan navigasi.

    XPulse 200 ini masih belum dilancarkan lagi, dan ini cumalah satu pra tonton sahaja kepada pasaran itu, tetapi ia dijangka mempunyai harga yang menarik dan bakal memberi saingan kuat kepada model sedia ada seperti Royal Enfield.

     
     
  • Subaru bakal tampil model plug-in hybrid tahun ini

    Subaru bakal tampil model plug-in hybrid tahun ini

    Seiring dengan trend teknologi semasa, Subaru bakal menampilkan model dengan teknologi janakuasa plug-in hybrid (PHEV) pertamanya tahun ini, menurut laporan Automotive News. Ini merupakan langkah pertama yang diambil jenama dari Jepun berkenaan dalam teknologi janaan elektrik sebelum kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) diperkenalkan pada tahun 2021 kelak.

    Untuk teknologi peringkat awal ini, Subaru masih perlu bergantung dengan Toyota (pemegang saham terbesarnya) bagi membangunkan unit janakuasa hibrid berkenaan. “Untuk plug-in hybrid kami yang akan diperkenalkan tahun ini, kami akan menggunakan teknologi Toyota sebanyak yang mungkin,” kata ketua pengarah teknikal Subaru, Takeshi Tachimori.

    Sistem hibrid berkenaan bakal menerapkan sistem yang kebanyakkannya diambil dari Toyota Prius Prime. Walau bagaimanapun, ia tetap perlu disesuaikan dengan teknologi Subaru sendiri kerana jenama tersebut masih lagi akan mengekalkan enjin bentangan boxer yang dipasang menghadap kebelakang, berbanding Toyota yang menggunakan bentangan empat-silinder sebaris konvensional yang dipadankan secara melintang.

    Desakan untuk teknologi elektrik ini adalah kerana undang-undang pencemaran udara yang kini semakin ketat, dan kerjasama ini perlu kerana saiz Subaru yang sederhana serta dalam keadaan bajet yang terhad. “Kami tidak boleh terbabit dengan pembangunan berskala besar,” jelas Tachimori.

    Walau bagaimanapun, model mana yang bakal diperkenalkan untuk versi PHEV ini masih belum jelas. Namun boleh diagak ia mungkin akan ditampilkan pada Impreza atau XV, kerana kedua-dua model tersebut diasaskan dari Subaru Global Platform yang sememangnya direka bagi membolehkan sistem hibrid atau unit janakuasa elektrik sepenuhnya dipadankan.

    Bukan hanya pada model penumpang biasa, laporan-laporan sebelum ini juga mendedahkan Subaru bakal menggunakan teknologi hibrid berkenaan pada model berprestasi tingginya – Subaru WRX dan WRX STI generasi baharu yang bakal muncul pada tahun 2020 nanti.

     
     
  • Yamaha YZF-R15 V3 masuk pasaran India – RM7,620

    Yamaha YZF-R15 V3 masuk pasaran India – RM7,620

    Model sports terkecil yang menggunakan kod nama ‘R’ oleh Yamaha, iaitu YZF-R15 versi generasi ketiga (ringkasnya dikenali sebagai R15 V3) sudah berada di pasaran Indonesia sejak awal tahun 2017 lagi, dan kini ia memasuki pula pasaran India dengan harga jualan 1.25 juta rupee (RM7,620).

    Seperti yang anda boleh lihat pada gambar daripada Indian Autos Blog ini, R15 V3 mempunyai panel badan sporty, dengan panel-panel aerodinamik seperti model R yang lebih besar, dan ia boleh dilihat pada bahagian fairing, tangki yang mempunyai sirip dan panel belakang.

    Model ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 155 cc, DOHC sejukan cecair, dengan teknologi VVA dan ia mampu menghasilkan kuasa sebanyak 19.3 hp dan 15 Nm tork. Padanan transmisi yang digunakan adalah enam kelajuan, dan klac jenis slipper & assist diberikan secara standard.

    Yamaha YZF-R15 V3 masuk pasaran India – RM7,620

    Walaupun menggunakan enjin berkapasiti rendah, R15 V3 ini datang dengan kelengkapan sporty seperti tayar yang lebar – 00/80-17 di depan, 140/70-17 di belakang, cakera brek depan berdiameter 282 mm, panel instrumen LCD, kerangka Deltabox dan swingarm aluminium. Kami juga terperasan, model di India ini tidak menggunakan fork terbalik (USD) di hadapan seperti model di Indonesia, dan digantik dengan fork teleskopik biasa.

    Di Indonesia, motosikal ini dijual pada harga 34.5 juta rupiah (RM9,475), manakala di India 1.25 juta rupee (RM7,620). Unit ujian model ini juga sudah pernah ditemui di atas jalan di Malaysia, dan harapnya ia boleh dilancarkan dengan harga yang berpatutan secepat mungkin. Kami pasti, ramai yang sudah menunggu.

     
     
  • Renault Megane GT kini rasmi di pasaran M’sia – 1.6L turbo, 205 PS/280 Nm, EDC tujuh-kelajuan, RM228k

    Renault Megane GT kini rasmi di pasaran M’sia – 1.6L turbo, 205 PS/280 Nm, EDC tujuh-kelajuan, RM228k

    Setelah diprebiu buat pertama kali di Malaysia pada November tahun lalu, kini hatchback generasi baharu Megane sudah mula dijual pada pasaran tempatan. Namun jangan salah anggap, model yang dilancarkan terlebih dahulu ini bukan dari versi RS yang paling berkuasa, tetapi dari versi GT, dijual dengan warna Iron Blue pada harga atas jalan tanpa insuran RM228,000.

    Model ini dijana enjin petrol empat silinder 1.6 liter turbo yang mampu menjana 205 PS pada takat 6,000 rpm, serta tork maksima 280 Nm bermula 2,400 rpm. Enjin yang digelar TCe 205 tersebut menyalurkan kuasa ke kotak gear klac berkembar automatik EDC tujuh-kelajuan dengan klac basah, memacu hanya roda hadapan. Padanan berkenaan membolehkan model GT ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j.

    Walaupun bukan sebuah model RS sebenar, model GT ini masih menerima sentuhan dari Renault Sport pada casis dan juga suspensi. Ia turut dipadankan dengan sistem Multi-Sense yang menawarkan lima mod pemanduan, manakala mod Eco kini ditukar kepada mod R.S Drive.

    Renault Megane GT kini rasmi di pasaran M’sia – 1.6L turbo, 205 PS/280 Nm, EDC tujuh-kelajuan, RM228k

    Selain itu, Megane GT turut menerima sistem stereng pada keempat-empat roda yang digelar 4Control bagi memberikan pengendalian yang lebih tangkas. Ia juga hadir standard dengan sistem Multi Change Down yang membolehkan pemandu menurunkan gear dengan agresif pada transmisi EDC berkenaan serta mengaktifkan fungsi launch control. Kawalan hatchback ini dilengkapkan dengan rim aloi 17-inci kemasan gunmetal, dibaluti tayar 225/45R17.

    Bagi membezakan model GT ini dari versi standard Megane generasi keempat, ia diberikan bampar hadapan dan belakang yang lebih agresif, diffuser pada bawah belakang bersama dua tip ekzos krom, serlahan kemasan luaran lebih gelap serta lencana-lencana GT pada tempat sepatutnya.

    Logo-logo GT berkenaan turut menghiasi berberapa bahagian pada bahagian kabin bersama upholsteri berwarna hitam/biru, serlahan panel kemasan krom satin, kemasan bendul pintu khas, balutan kulit pada roda stereng, dan juga padel penukar gear aluminium. Tempat duduk juga direka lebih sporty lengkap dengan logo R.S.

    Kelengkapan lain yang turut dibekalkan pada hatchback ini termasuk lampu hadapan automatik LED sepenuhnya Pure Vision bersama lampu nyalaan siang LED singnatur Renault, lampu belakang LED dan juga pengelap cermin automatik. Manakala untuk sistem infotainmen pula, Megane GT dibekalkan dengan skrin sistem R-Link 2 tujuh-inci dihubungkan kepada sistem bunyi 3D Arkamys dengan lapan-pembesar suara.

    Ia juga datang standard dengan sistem penghawa dingin dua-zon, paparan instrumen digital tujuh-inci, pedal aluminium dan kamera undur. Untuk keselamatan pula, Megane GT diberikan ciri standard seperti enam beg udara (dua hadapan, sisi dan tirai), empat penderia parkir, ESC, traction control, bantuan mula mendaki dan sistem brek ABS lengkap bersama EBD dan EBA.

    Setiap pembelian Renault Megane GT diberikan perlindungan waranti selama tiga tahun atau 100,000 km. Pembeli juga ditawarkan dengan filem penapis haba dari Raytech dan V-Kool dengan bayaran bermula RM1,049 hingga RM4,436 (termasuk GST) serta tray untuk bahagian kargo berharga RM200.

     
     
  • TVS NTorq 125 dilancar di India – skuter canggih yang boleh disambung dengan telefon pintar, aplikasi khas

    TVS NTorq 125 dilancar di India – skuter canggih yang boleh disambung dengan telefon pintar, aplikasi khas

    Pengeluar motosikal dari India, TVS Motorcycle telah melancarkan sebuah skuter baru yang dinamakan sebagai NTorq 125 untuk pasaran di negara itu. Walaupun nampak seperti sebuah skuter biasa, NTorq 125 mempunyai pelbagai ciri sambungan canggih, malah ia adalah skuter pertama di India yang mempunyai ciri seperti itu.

    Antara ciri yang dimaksudkan adalah motosikal ini boleh disambung secara Bluetooth dengan telefon pintar, seterusnya informasi seperti notifikasi panggilan, mesej dan kadar bateri boleh dipaparkan pada panel meter digital motosikal ini.

    Bukan itu sahaja, sebenarnya meter digital penuh ini pelbagai lagi fungsi termasuk paparan mod Street dan Sport, statistik pusingan litar terbaik, bantuan navigasi dan lokasi terakhir ia diletakkan. Untuk pengalaman yang lebih memuaskan, aplikasi khas yang perlu dimuat turun di telefon pintar juga disediakan untuk pengguna skuter ini.

    TVS NTorq 125 dilancar di India – skuter canggih yang boleh disambung dengan telefon pintar, aplikasi khas

    NTorq 125 menggunakan panel badan dengan banyak garisan tajam, dan menurut TVS, ia adalah inspirasi daripada jet pejuang. Lampu utamanya diletakkan rendah di bahagian hadapan, bersama lampu siang jenis LED. Rim yang digunakan pula adalah bersaiz 12 inci, dengan sistem suspensi teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang.

    TVS Ntorq dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok 124.79 cc OHC, dan ia mampu menghasilkan kuasa sebanyak 9.4 PS pada 7,500 rpm dan 10.5 Nm tork pada 5,500 rpm. Harga jualannya di India bermula daripada Rs 58,750 (RM3,582).

     
     
  • Petronas Dagangan Berhad tawar faedah perlindungan kemalangan diri untuk pemegang kad Mesra, dari RM1

    Petronas Dagangan Berhad tawar faedah perlindungan kemalangan diri untuk pemegang kad Mesra, dari RM1

    Ini berita baik buat pemegang kad Mesra Petronas. Petronas Dagangan Berhad (PDB), Shieldcard Holdings Sdn Bhd dan Zurich General Insurance Malaysia Berhad (ZGIMB) telah mengumumkan kerjasama strategik untuk menawarkan faedah Kemalangan Diri Mesra (Mesra Personal Accident (PA)) eksklusif untuk pemegang kad Mesra.

    Perlindungan dan faedah ini turut boleh menjadi satu lagi saluran bagi penukaran mata ganjaran Mesra; pemegang kad Mesra boleh menikmati Pelan PA Mesra dengan hanya RM1 (100 mata ganjaran Mesra) sebulan, apabila mereka berbelanja minima RM100 sebulan di mana-mana stesen Petronas di seluruh negara.

    Perlindungan sepanjang masa 24/7 di seluruh dunia ini memberikan pemegang kad manfaat Bayaran Hospital Harian (Accidental Hospital Income) sebanyak RM50 sehari bagi tempoh maksimum 30 hari.

    Bagi kes membabitkan kematian atau hilang upaya diri, pemegang kad Mesra yang terbabit dalam kemalangan, keluarga dan waris terdekat mereka layak mendapat pampasan wang tunai sehingga RM25,000 (meningkat sehingga RM50,000 jika kejadian berlaku pada hari cuti am yang diwartakan oleh kerajaan).

    Sebagai tambahan, apabila mendaftar dengan Pelan PA Mesra, pemegang kad Mesra secara automatik didaftarkan untuk program AXXESS secara percuma. Program ini boleh didapati di rangkaian perniagaan yang mengambil bahagian – membantu mengurangkan atau membayar sepenuhnya premium kenderaan motor tahunan pemegang kad.

    “Kerjasama yang dimeterai adalah hasil pemerhatian kami terhadap keperluan pelanggan bagi meningkatkan faedah terhadap program kesetiaan kami, termasuk perkara yang penting untuk mereka seperti perlindungan insurans,” jelas Ketua Divisyen Perniagaan Runcit PDB, Aadrin Azly.

    Semua pemegang kad Mesra akan menerima SMS atau emel daripada Petronas untuk memaklumkan mereka berkaitan faedah yang disediakan ini. Pemegang kad yang ingin mendaftar Pelan PA Mesra akan dihubungkan dengan laman sesawang khas untuk tujuan pendaftaran. Dan, bagi pemegang kad yang mendaftar sebelum 28 Februari 2018, mereka akan menerima faedah PA Mesra secara percuma untuk bulan pertama.

    Sementara itu, program AXXESS yang dikenali kerana faedah manfaat perniagaannya yang unik diperkenalkan pada penghujung Mac 2017 dan beroperasi pada Ogos 2017. Ia bermatlamat untuk meningkatkan daya perbelanjaan harian seseorang dengan menyediakan penyelesaian terhadap kos insurans yang semakin meningkat, terutama sekali peningkatan kos dalam penjagaan kesihatan awam dan ketidaktentuan premium insurans kenderaan motor, terutama selepas industri ini mula melaksanakan liberalisasi tarif.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025