Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda untuk 2024 di Malaysia — harga CR-V e:HEV RS hibrid akan diumum, City Hatchback diberi kemaskini?

    Honda untuk 2024 di Malaysia — harga CR-V e:HEV RS hibrid akan diumum, City Hatchback diberi kemaskini?

    Tahun 2023 merupakan tahun yang penting untuk Honda Malaysia dengan pengenalan empat model terbaru. Tiga daripadanya adalah model serba baru, dengan WR-V menjadi yang pertama, diperkenalkan pada Julai. Pada September, Civic Type R FL5 pula tiba di sini, dengan pengenalan CR-V generasi keenam pada Disember lalu.

    Di antara pengenalan WR-V dan Civic Type R itu pula ada pelancaran City facelift, yang tiba di pasaran tempatan pada Ogos. Memandangkan banyak pengenalan oleh Honda Malaysia tahun lalu, tahun ini mungkin akan sedikit perlahan dari aspek pengenalan model baru yang boleh dijangkakan dari jenama ini, dan lebih banyak kempen jualan dan promosi yang akan dijalankan.

    CR-V misalnya dijangka akan memacu aktiviti pemasaran dan peningkatan jualan Honda Malaysia untuk tahun 2024. Antara perkembangan yang boleh diagak akan dilakukan tahun ini ialah pengumuman harga bagi varian CR-V 2.0L e:HEV RS, yang setakat ini masih belum didedahkan lagi — itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

    City Hatchback pula sudah tidak ke fasa yang memerlukan kemaskini. Namun, tiada lagi Accord untuk pasaran tempatan. Tiada makluman terperinci tentang mengapa model Accord dihentikan jualannya di Malaysia — dan tidak akan ada model generasi ke-11 yang terbaru untuk pasaran di sini — namun ada sumber yang menyatakan bahawa jualan model berkenaan tidak lagi mencukupi untuk operasi CKD-nya di Malaysia.

    Maka, satu-satunya model baru Honda yang mungkin akan diperkenalkan tahun ini ialah City facelift. Ia belum diperkenalkan bahkan di pasaran lain, tetapi kemungkinan besar akan tiba tahun ini — selepas pengenalannya di pasaran Thailand, seperti biasa. Diperkenalkan pertama kali pada 2020, kini tiba masa model berkenaan diberikan kemaskini.

     
     
  • Perodua keluarkan kenyataan rasmi berhubung isu “gula” dalam enjin Bezza yang tular di media sosial

    Baru-baru ini tular di hantaran media sosial yang dibuat oleh seorang pemilik Perodua Bezza yang menyatakan keretanya yang baru dibeli Oktober lalu kini tersadai di pusat servis jenama berkenaan kerana masalah enjin, hanya selepas 46 km digunakan. Susulan itu, pihak Perodua baru sahaja mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu tersebut.

    “Merujuk kepada aduan yang diterima daripada pelanggan kami mengenai kereta Perodua Bezza yang baru dibeli, kami ingin memaklumkan bahawa pihak Perodua sudah berkomunikasi dengan pelanggan terbabit sejak Oktober tahun lalu. Sejak itu, kami telah mengambil beberapa langkah untuk menyelesaikan isu terbabit termasuklah dengan menawarkan kereta sementara untuk digunakan serta menawarkan pilihan untuk membeli semula kereta berkenaan,” kata Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales Sdn Bhd, Encik JH Rozman Jaafar dalam kenyataan tersebut.

    “Perodua juga telah memberi jaminan kepada pelanggan berkenaan untuk mengutamakan kes beliau dan kami juga ingin menepis dakwaan bahawa tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak syarikat untuk menyelesaikan isu ini. Siasatan menyeluruh berhubung isu ini sedang dijalankan dan kami akan berkongsi maklumat lanjut mengenainya selepas ia selesai,” tambahnya lagi

    Perodua keluarkan kenyataan rasmi berhubung isu “gula” dalam enjin Bezza yang tular di media sosial

    Rozman turut memohon maaf ke atas semua kesulitan yang timbul dan berterima kasih di atas kerjasama yang diterima oleh pihaknya.

    Isu ini tular sejak semalam di mana pemilik Perodua Bezza berkenaan menaikkan satu hantaran menerusi akaun facebook miliknya, menyatakan kereta yang dibeli pada Oktober tahun lalu tersebut mengalami masalah enjin yang tidak boleh dihidupkan pada hari pertama ia dibawa pulang ke rumah.

    Hantaran itu juga menyebut siasatan awal dari pihak Perodua mendapati terdapat bendasing di dalam enjin berkenaan seperti gula yang menyebabkan kerosakan tersebut. Rundingan antara kedua-dua pihak untuk menyelesaikan perkara ini masih belum dimuktamadkan sehingga sekarang, mendorong pemilik tersebut membuat hantaran di media sosial itu.

     
     
  • Mitsubishi 2024 – Triton gen. ke-3, Xforce, Xpander facelift, Outlander PHEV akan ke Malaysia tahun ini?

    Mitsubishi 2024 – Triton gen. ke-3, Xforce, Xpander facelift, Outlander PHEV akan ke Malaysia tahun ini?

    Tahun lalu Mitsubishi Motors agak meriah dengan pendedahan sulung bagi peringkat global untuk dua model iaitu trak pikap Triton generasi ketiga dan juga SUV segmen-B Mitsubishi Xforce. Walau bagaimanapun, divisi tempatan bagi jenama Jepun tersebut iaitu Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) masih lagi sunyi, dan hanya menjual dua model iaitu Triton generasi kedua dan juga Xpander pre-facelift.

    Namun ‘kemeriahan’ tersebut mungkin akan dibawa ke Malaysia pada tahun ini kerana produk-produk baharu berkenaan sememangnya dihasilkan untuk pasaran Asia Tenggara. Jadi apa model yang berkemungkinan akan di bawa ke pasaran tempatan oleh MMM untuk 2024? Ikuti kupasannya menerusi artikel ini.

    Trak pikap Mitsubishi Triton generasi ketiga

    Mitsubishi 2024 – Triton gen. ke-3, Xforce, Xpander facelift, Outlander PHEV akan ke Malaysia tahun ini?

    Triton generasi baharu ini membuat kemunculan sulung globalnya di Thailand pada Julai tahun lalu. MMM sudahpun mengesahkan bahawa ia bakal masuk ke Malaysia pada separa pertama 2024 bagi menggantikan model sedia ada, namun tarikh sebenar pelancarannya masih belum di muktamadkan.

    Ia menggunakan platform casis ladder frame yang langsung tidak sama dengan model generasi kedua – diasaskan dari platform Nissan Navara, tetapi menerima kejuruteraan semula hampir kesemua aspek oleh Mitsubishi bagi menghasilkan sebuah platform baharu sepenuhnya.

    Oleh itu saiznya juga kini jauh lebih besar dengan dimensi 5,360 mm panjang (+55 mm), 1,930 mm lebar (+115 mm), 1,815 mm tinggi (+35 mm) bersama jarak roda sejauh 3,130 mm. Malah dengan kejuruteraan baharu ini juga membuatkan Mitsubishi yakin untuk menjual Triton kembali ke pasaran Jepun selepas ia dihentikan 12 tahun lalu.

    Mitsubishi Xforce

    Mitsubishi 2024 – Triton gen. ke-3, Xforce, Xpander facelift, Outlander PHEV akan ke Malaysia tahun ini?

    Mitsubishi Xforce merupakan SUV segmen-B penuh yang dihasilkan bagi menentang model-model seperti Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross dalam pasaran ASEAN. Walaupun ia tidak menggantikan mana-mana model yang pernah dihasilkan oleh Mitsubishi sebelum ini, namun nampaknya tugas Xforce adalah untuk mengisi kekosongan yang telah lama ditinggalkan oleh Mitsubishi ASX.

    Ia membuat kemunculan sulung global ketika berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 Ogos lalu. Model ini dihasilkan dengan dimensi 4,390 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,660 mm tinggi, meletakkan ia di tengah-tengah antara HR-V dan Corolla Cross.

    Xforce diasaskan dari platform MPV Mitsubishi Xpander, jadi ia turut berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin NA 4A91 1.5L DOHC MIVEC menghasilkan kuasa 105 PS/141 Nm digandingkan dengan kotak gear CVT dan hanya memacu roda hadapan.

    Ia turut menampilkan konfigurasi suspensi Topang McPherson di hadapan dan Torsion Beam di belakang yang sama. Namun Mitsubishi menyatakan Xforce dihasilkan khas untuk pasaran ASEAN dan bersedia untuk mengharungi banjir serta bentuk muka bumi yang mencabar, jadi ia tampil dengan jarak kelegaan roda setinggi 222 mm, serta sistem Active Yaw Controller (AYC) yang pertama kali dipadankan pada model 2WD bagi mengagihkan kuasa pacuan setiap roda hadapan.

    Buat masa sekarang Xforce hanya dipasang di kilang Mitsubishi Motors Krama Yudha Indonesia yang terletak di Bekasi, Jawa Barat. Walaupun peluang untuk melihat SUV ini dibawa ke Malaysia adalah besar, namun masih belum ada apa-apa perincian rasmi berkenaannya dari MMM.

    Mitsubishi Xpander facelift

    Mitsubishi 2024 – Triton gen. ke-3, Xforce, Xpander facelift, Outlander PHEV akan ke Malaysia tahun ini?

    Xpander facelift ini sebenarnya sudah lama dilancarkan di luar Malaysia – November 2021 pada pasaran Indonesia dan Mac 2022 di Thailand. Ia bukan sahaja melibatkan perubahan komestik, malah turut diberikan beberapa perubahan dari segi mekanikal.

    Perubahan dari segi rupa membuatkan overhang pada bampar hadapan dan belakang meningkat masing-masing 75 mm dan 45 mm. Jarak kelegaan tanah pada Xpander facelift ini juga ditingkatkan sehingga 225 mm, dan Mitsubishi mendakwa bahawa ia adalah yang terbaik dalam kelasnya.

    Ia masih dijana oleh enjin 4A91 1.5 liter NA yang menghasilkan 105 PS/141 Nm, namun dipertingkat dengan sistem EGR luaran bagi memberikan kadar penggunaan bahan api yang lebih efisien. Manakala kotak gear 4AT sebelumnya pula (masih lagi digunakan pada model pasaran Malaysia) digantikan dengan kotak gear CVT automatik. Setelah sekian lama ditawarkan di luar, mungkin 2024 kita dapat melihat model facelift ini dilancarkan di Malaysia?

    Mitsubishi Outlander PHEV

    Mitsubishi 2024 – Triton gen. ke-3, Xforce, Xpander facelift, Outlander PHEV akan ke Malaysia tahun ini?

    Mitsubishi Outlander generasi baharu ini membuat penampilan sulung globalnya pada Februari 2021. Ia diasaskan dari platform CMF-C/D Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, iaitu platform yang sama mengasaskan Nissan X-Trail generasi keempat. Manakala untuk rekaan luaran dan dalaman, Outlander serba baharu ini merupakan versi produksi untuk model konsep Mitsubishi Engelberg Tourer yang didedahkan pada 2019.

    Tiada sebarang berita dari MMM menyatakan model ini akan dibawa ke pasaran tempatan seperti model generasi sebelumnya atau tidak, namun pada Jun tahun lalu, Outlander baharu berkenaan dilihat berada di Malaysia dengan nombor plat tempatan, dalam versi PHEV (plug-in hybrid).

    Outlander PHEV ini menerima enjin 4B12 2.4 liter empat-silinder MIVEC berkuasa 133 PS. Enjin tersebut kebanyakkan masanya hanya bertugas sebagai generator untuk mengecas bateri lithium-ion 20 kWj bagi sistem elektrifikasi hibrid, tetapi masih akan menolong motor elektrik menggerakkan tayar pada kelajuan tinggi menggunakan klac lock-up dengan nisbah gear tunggal.

    Sistem PHEV ini juga masih menampilkan dua motor elektrik bagi masing-masing untuk memacu gandar hadapan dan belakang, yang merupakan sebahagian dari sistem S-AWC (Super-All Wheel Control). Motor yang memacu roda hadapan kini berkuasa 116 PS/255 Nm, dan motor pada gandar belakang pula berkuasa 136 PS/195 Nm.

    Secara keseluruhan, unit rangkaian kuasa PHEV tersebut menghasilkan kuasa gabungan 243 PS dan tork maksima 450 Nm. Bukan sahaja lebih berkuasa, malah sistem ini turut membolehkan Outlander berkenaan bergerak dengan hanya kuasa elektrik dalam jarak 55 km sehingga 87 km dalam kitaran WLTP.

    Dengan dua motor berasingan pada gandar hadapan juga membolehkan tork diagihkan dengan lebih sempurna untuk mendapatkan cengkaman tayar terbaik menerusi sistem A-AWC berkenaan, yang kini turut dibantu oleh Active Yaw Control (AYC).

    Walau bagaimanapun sehingga sekarang mengapa unit Outlander PHEV berkenaan di bawa ke Malaysia masih tidak diketahui dengan jelas. Tetapi sekiranya ia benar-benar dilancarkan di Malaysia kelak, Outlander PHEV dengan teknologi hibrid yang canggih ini sudah tentu dijual dengan harga yang agak premium.

     
     
  • Pembayaran guna kad kredit/debit untuk MRT Laluan Putrajaya digantung sementara – tunai buat masa ini

    Pembayaran guna kad kredit/debit untuk MRT Laluan Putrajaya digantung sementara – tunai buat masa ini

    Untuk pengguna MRT Laluan Putrajaya, ini ada makluman penting buat anda. Rapid KL telah mengumumkan bahawa penggunaan kad kredit dan debit sebagai transaksi pembayaran di semua kaunter khidmat pelanggan dan mesin tiket kini digantung buat sementara.

    Oleh itu, semua transaksi haruslah secara tunai. Apa pun kaedah pembayaran yang dinyatakan ini hanyalah untuk pembelian tiket menerusi mesin dan kaunter khidmat pelanggan. Sekiranya anda menggunakan kad konsesi atau Touch ‘n Go, anda tidak terjejas.

    Buat masa ini, Rapid KL belum lagi memaklumkan sampai bila penggunaan kad kredit dan debit tidak boleh digunakan untuk membeli tiket. Harap perkara ini tidak mendatangkan sebarang masalah buat semua pengguna MRT Laluan Putrajaya.

     
     
  • Harga minyak 4-10 Januari – Masih tiada perubahan

    Harga minyak 4-10 Januari – Masih tiada perubahan

    Untuk minggu bertarikh 4 hingga 10 Januari 2024, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel masih dikekalkan.

    Di mana harga petrol RON 97 dikekalkan pada RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan sebanyak 10 sen seliter pada 20 September lalu.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 2 Januari lalu, Pangkalan Data Utama (PADU) telah dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Di mana PADU akan digunakan sebagai komponen utama untuk kerajaan menyalurkan semula subsidi bersasar dan bantuan lain. Pengenalan ini membuka jalan kepada pengagihan subsidi bersasar RON 95, yang dijangka akan mula dilaksanakan pada separuh kedua 2024 ini.

     
     
  • Proton S70 — lebih 5,000 tempahan, 109 unit didaftar pada Disember 2023, serahan dalam masa terdekat

    Proton S70 — lebih 5,000 tempahan, 109 unit didaftar pada Disember 2023, serahan dalam masa terdekat

    Sebahagian daripada pencapaian jualan terbaik sejak tahun 2012 yang menyaksikan Proton mencapai angka jualan 12,711 unit sepanjang bulan Disember 2023, model sedan terkini S70 turut menyumbang kepada angka tersebut. Daripada jumlah itu, 109 unit telah didaftarkan untuk sedan S70, dengan serahan kepada pelanggan akan mula dilakukan dalam masa terdekat.

    Setakat ini, sejumlah lebih daripada 5,000 unit S70 telah ditempah sejak pelancarannya pada November lalu. S70 merupakan sedan segmen C yang menggantikan model Proton Preve, dan menggunakan asas daripada Geely Emgrand. Ia menggunakan enjin 1.5 liter tiga-silinder yang sama turut digunakan untuk model X50 Standard dan Premium, dengan janaan 150 PS/226 Nm.

    Ketika pelancaran, empat varian Proton S70 ditawarkan dengan harga seperti berikut: Executive (RM73,800), Premium (RM79,800), Flagship (RM89,800) dan Flagship X (RM94,800) — harga atas jalan tidak termasuk insurans. Beza bagi varian ‘X’ adalah ia melibatkan tambahan ciri sunroof dan juga pilihan warna eksklusif Quartz Black.

    Keseluruhannya, sepanjang 2023, sebanyak 154,611 unit (domestik + eksport) kenderaan Proton telah terjual. Ini melibatkan peningkatan sebanyak 9.3% berbanding jualan 141,432 unit yang dicapai sepanjang tahun 2022.

    Pegangan pasaran keseluruhan Proton juga dijangka mencapai tahap 19.4% daripada jumlah TIV yang dianggarkan mencecah 794,948 unit, naik kira-kira 10.3% berbanding tahun sebelumnya. Dengan itu, Proton menamatkan tahun 2023 dengan menduduki tangga kedua dari sudut jualan, yang berjaya dikekalkan bagi tahun kelima berturut-turut.

     
     
  • Proton catat jualan tahunan 154,611 unit untuk 2023; terbaik sejak 2012, pertumbuhan 5 tahun berturut-turut

    Proton catat jualan tahunan 154,611 unit untuk 2023; terbaik sejak 2012, pertumbuhan 5 tahun berturut-turut

    Proton telah pun berjaya menjual sebanyak 12,711 unit kenderaan untuk bulan Disember lalu, membolehkan pengeluar kereta nasional tersebut menamatkan tahun 2023 dengan jumlah jualan keseluruhan sebanyak 154,611 unit (domestik + eksport).

    Angka itu sekali lagi membolehkan Proton mencatatkan pertumbuhan jualan bagi tahun kelima berturut-turut, dan ini juga merupakan rekod prestasi terbaik pernah dicatatkan sejak 2012. Jumlah jualan 2023 ini mewakili peningkatan sebanyak 9.3% berbanding 141,432 unit yang dijual pada 2022.

    Proton menganggarkan pegangan pasarannya kini adalah sebanyak 19.4% dari jumlah volum industri (TIV) yang dianggarkan 794,948 unit, atau sekitar 10.3% lebih tinggi dari tahun sebelumnya. Ini membolehkan ia terus berada di tempat kedua dalam jualan keseluruhan pasaran Malaysia juga untuk tahun kelima berturut-turut.

    Model-model PIES (Persona, Iriz, Exora dan Saga) Proton yang dibangunkan secara tempatan terus menjadi pemacu utama jumlah jualan Proton tahun lalu. Saga masih kekal sebagai model terlaris Proton dengan jumlah jualan keseluruhan sebanyak 70,184 unit, juga merupakan prestasi terbaiknya sejak tahun 2012.

    Walau bagaimanapun ini hanya meletakkan Saga sebagai model keempat paling laris di Malaysia bagi 2023. Pemintaan terhadap sedan mampu milik tersebut meningkat dengan mendadak iaitu 25.6%, dan menurut Proton ia menjadi model pilihan bagi pelanggan yang pertama kali membeli kereta.

    Manakala model yang mencatatkan pertumbuhan jualan paling besar pula adalah sedan segmen-B Proton Persona yang berjaya dijual sebanyak 24,362 unit, melonjak sebanyak 48.9% berbanding tahun sebelumnya. Ini membolehkan Persona berada di tempat kedua dalam kelasnya.

    Proton Iriz yang terjejas di peringkat produksi tahun lalu kerana isu bekalan cip turut menunjukkan peningkatan jualan tahun ini selepas masalah tersebut berjaya diselesaikan. Iriz terjual sebanyak 7,639 unit sepanjang 2023, atau naik 33.8% berbanding 2022.

    Proton catat jualan tahunan 154,611 unit untuk 2023; terbaik sejak 2012, pertumbuhan 5 tahun berturut-turut

    Tahun 2023 merupakan tahun terakhir Proton Exora dijual di bilik pameran Proton selepas produksi MPV segmen-C tersebut ditamatkan produksinya Oktober tahun lalu. Namun MPV ini masih mampu mencatatkan kenaikan jualan sebanyak 4.6% berbanding tahun sebelumnya dengan jumlah jualan 4,473 unit sepanjang 2023. Menurut Proton, sepanjang pengeluarannya, lebih 194,000 unit telah terjual menjadikan Exora sebagai “MPV segmen C paling berjaya dalam sejarah automotif Malaysia.”

    Bagi siri X pula, Proton X50 kekal menjadi SUV paling laris Proton dengan jualan 31,829 unit sepanjang 2023 (domestik dan eksport), dan ia masih peneraju jualan dalam kelas SUV segmen-B di Malaysia. SUV segmen-D Proton X90 juga merupakan satu lagi model Proton yang paling laris dalam kelasnya dengan jualan sebanyak 4,815 unit terjual sejak dilancarkan pada 7 Mei 2023.

    Manakala untuk Proton X70, ia terjual sebanyak 11,200 unit sepanjang tahun lalu, membolehkan ia berada di tempat kedua dalam saingan SUV segmen-C di Malaysia.

    “Tahun 2023 merupakan satu lagi tahun yang mencatat rekod bagi industri automotif kerana jumlah jualan melonjak sebanyak 10.3% berbanding volum tertinggi sebelumnya yang dicapai hanya dua belas bulan sebelumnya. Faktor seperti pemenuhan pesanan untuk kereta bebas cukai sehingga akhir bulan Mac tidak syak lagi mendorong peningkatan volum pada suku pertama tahun itu, tetapi ia juga merupakan tahun yang aktif untuk pelancaran kereta dengan gangguan minimum yang disebabkan oleh kekurangan alat ganti,” kata CEO Proton, Dr Li Chunrong.

    “Proton berterima kasih atas sambutan hangat rakyat Malaysia terhadap produk kami. Kejayaan ini adalah bukti komitmen kami untuk menyampaikan lebih daripada sekadar kenderaan mampu milik kerana kami juga menekankan reka bentuk yang bergaya, teknologi canggih, dan komitmen yang kuat terhadap keselamatan dalam semua model Proton. Menjelang tahun 2024, kami yakin kami akan mengekalkan momentum ini, disokong oleh pengenalan model baharu kami, S70,” tambahnya lagi.

    “Kami mengiktiraf perjalanan yang telah kami lalui setakat ini, dan seterusnya menyampaikan kenderaan berkualiti, kami memahami kepentingan menyediakan kebanggaan pemilikan dengan pemilik. Dedikasi kami untuk menambah baik perkhidmatan selepas jualan dan alat ganti telah memainkan peranan penting dalam mencapai kejayaan ini kerana Proton kekal teguh dalam komitmennya untuk penambahbaikan berterusan dan tegas dalam memenuhi dan mengatasi jangkaan pelanggan kami,” ujar Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar dan Naib CEO Proton.

     
     
  • Honda RS-X tiba dalam warna baharu di Malaysia

    Honda RS-X tiba dalam warna baharu di Malaysia

    Memasuki tahun baru ini, Boon Siew Honda (BSH) Sdn Bhd memperkenalkan empat warna baharu bagi RS-X, dengan tiga daripadanya, iaitu Candy Scintillate Red, Force Silver Metallic (merah) dan Force Silver Metallic (biru) dijual pada harga RM9,798, manakala warna Mat Charcoal Grey Metallic (emas) diletakkan RM100 lebih tinggi iaitu RM9,848.

    Harga yang disiarkan adalah harga cadangan pengeluar, tidak termasuk insurans dan cukai jalan, dengan warna emas baru ini sudah didapati di wakil pengedar BSH bermula 4 Januari 2024, manakala tiga warna lain tiba sedikit lambar iaitu pada 18 Januari. Setiap motosikal datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Bahagian lain motosikal ini masih lagi sama, bermula dengan enjin, yang menggunakan unit suntikan bahan api satu silinder DOHC 149.16 cc, dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm tork pada 7,000 rpm. Enjin ini hanya boleh dihidupkan dengan pemula elektrik.

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan sistem cakera dengan angkup satu piston (ABS diberikan standard), sementara suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Rim adalah unit 17 inci dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada RS-X adalah seperti tangki bahan api 4.5 liter, meter digital dengan penunjuk kedudukan gear, lampu depan dan belakang LED, berat 122 kg dan klac jenis basah.

     
     
  • Porsche Taycan 2024 catat 7 minit 7.5s di Nürburgring, 17.7 saat lebih pantas dari Tesla Model S Plaid!

    Porsche Taycan 2024 catat 7 minit 7.5s di Nürburgring, 17.7 saat lebih pantas dari Tesla Model S Plaid!

    Porsche sekali lagi menunjukkan kemampuannya dalam membina kereta elektrik penuh (EV) yang pantas – selepas mencatatkan masa 7 minit 33.35 saat di Litar Nürburgring dengan Porsche Taycan Turbo S pada Ogos 2022, kini Taycan turun semula ke Litar ‘The Green Hell’ tersebut dan mencatatkan rekod baharu 26 saat lebih pantas iaitu 7 minit 7.5 saat!

    Versi yang di bawa kali ini bukanlah Taycan Turbo S yang sama, tetapi ia adalah unit pra-produksi varian baharu Taycan yang akan diperkenalkan tahun ini di mana namanya masih belum diumumkan. Ia dipandu oleh orang yang sama mencatatkan rekod sebelum ini iaitu pemandu pembangunan Porsche, Lars Kern.

    Dengan catatan ini, Porsche mengukuhkan kedudukannya sebagai EV yang lebih pantas Tesla Model S Plaid di litar tersebut. Model produksi paling berkuasa dari Tesla berkenaan sebelum ini mencatatkan 7 minit 23.231 saat di Nürburgring, bermakna rekod itu telah dibenam oleh Porsche Taycan dengan kelebihan 17.681 saat.

    “Dua puluh enam saat adalah separuh keabadian dalam sukan permotoran. Catatan masa pusingan 7:07.55 di Nordschleife mencetuskan sensasi, meletakkan Taycan dalam liga yang sama dengan hypercar elektrik, dan satu lagi perkara yang mengagumkan mengenainya adalah Lars dapat mencatat masa yang hampir sama dalam beberapa pusingan,” kata ketua barisan model Porsche, Kevin Giek.

    Porsche menggambarkan Taycan Turbo S sebelumnya tertinggal 1.3 km di belakang ketika Taycan yang mencatatkan rekod baharu ini menamatkan satu pusingan lap di Nürburgring Nordschleife. Unit pra-produksi ini dibekalkan dengan roll cage dan tempat duduk perlumbaan jenis bucket bagi tujuan keselamatan ketika membuat percubaan memecahkan rekod tersebut.

    Walau bagaimanapun Taycan masih belum bergelar EV terpantas di Litar Nürburgring Nordschleife, dan rekod tersebut dipegang oleh Rimac Nevera Time Attack dengan catatan masa 7 minit 5.298. Namun perlu diambil perhatian kerana Taycan yang hanya tertinggal 2 saat di belakang masih lagi sebuah kereta sport empat pintu, berbanding Rimac Nevera Time Attack yang dibina sebagai hypercar sejati dua pintu, dua tempat duduk yang menerima talaan aerodinamik untuk daya downforce maksima serta bekalan kuasa 1,813 hp!

     
     
  • Hyundai Creta facelift muncul dalam teaser di India

    Hyundai Creta facelift muncul dalam teaser di India

    Hyundai Creta nampaknya akan diberikan facelift, dengan melibatkan banyak perubahan dan ditunjukkan awal melalui teaser yang dikeluarkan di India, menampilkan bintang Bollywood, Shah Rukh Khan dan Deepika Padukone. Terus boleh dilihat adalah grafik LED penuh serta kokpit baru.

    Ini adalah satu facelift yang besar bagi Creta yang sebelum ini juga sudah pernah diberikan facelift, seperti yang dijual di Malaysia, Indonesia dan Thailand. Jika dibandingkan dengan muka hadapan seakan Tucson yang digunakan sekarang, rekaan baru ini lebih tajam dan gagah, dengan gril berpetak serta kemasan seakan skid plate dan lampu utama yang tajam.

    Kemudiannya, lampu hadapan dan belakang menggunakan grafik pencahayaan berbentuk L di bucu dan bersambung di bahagian tengah manakala bahagian bawah bampar belakang melihatkan kemasan yang juga berbentuk lebih petak dan sedikit terjojol keluar.

    Bahgaian dalam turut diberikan perubahan, dengan rekaan skrin biasa pada konsol tengah sebelum ini diganti dengan dua skrin melintang yang bersambung, corong pendingin hawa lebih rendah serta konsol tengah yang tinggi. Melalui gambar yang disiarkan juga terlihat seperti Creta facelift ini menggunakan butang kawalan pendingin hawa digital.

    Media tempatan di India melaporkan Creta facelift yang akan dilancarkan 16 Januari ini masih akan menggunakan penggerak sama seperti sebelum ini dengan pasaran di sana akan menerima enjin 1.5L petrol dan diesel, dipadankan dengan sama ada transmisi manual, CVT atau automatik biasa. Khabarnya juga akan ada versi paling tinggi yang menggunakan enjin 1.5L turbo, berkuasa 160 hp dengan pilihan transmisi manual atau klac berkembar.

     
     
  • Kunjungi Tukar-Je CARnival oleh myTukar di Puchong South 12-14 Januari ini – pelbagai diskaun, promosi

    Kunjungi Tukar-Je CARnival oleh myTukar di Puchong South 12-14 Januari ini – pelbagai diskaun, promosi

    Jika anda sedang berkira-kira untuk mendapatkan sebuah kenderaan terpakai, Tukar-Je CARnival anjuran myTukar yang akan berlangsung 12-14 Januari, 2024 di Puchong South Retail Experience Centre adalah tempat sesuai untuk membuat pilihan.

    Selain boleh menyaksikan sendiri kenderaan myTukar Certified, anda juga boleh memandu uji pelbagai jenis kenderaan melalui litar slalom yang dibuat khas. Semasa di sana juga anda boleh menikmati pelbagai pakej Badan dan Cat serta tawaran untuk insurans myTukar. Pendek kata, pelbagai tawaran istimewa tersedia untuk anda, bernilai sehingga lebih RM1 juta.

    Beli kereta daripada myTukar dan nikmati:

    • Diskaun sehingga RM8,888 untuk kereta terpilih.
    • Hadiah termasuk baucar diskaun 30% untuk Pakej Badan dan Cat oleh Carro Care, diskaun 10% untuk pakej Penyelenggaraan Kenderaan Carro Care, diskaun 10% untuk memperbaharui insurans serta kad Touch n Go kustom bernilai RM50.
    • Peluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah seperti Sony Playstation 5, Nintendo Switch, Apple Watch, Apple Airpod, dash-cam dalaman kenderaan dan banyak lagi ketika membeli kenderaan myTukar Certified yang akan diserahkan dalam masa 14 hari.

    Kunjungi mana-mana pusat pemeriksaan myTukar di seluruh negara (tidak tersedia di myTukar Puchong South Retail Experience Centre semasa acara tiga hari ini) jika anda ingin trade-in kereta anda. myTukar akan melanjutkan sebahagian tawaran istimewa jika anda menjual kereta anda sepanjang Tukar-Je CARnival.

    Apa yang perlu anda lakukan ialah serahkan kereta anda yang akan dinilai segera. Jika anda menjual kereta anda dalam masa 24 jam selepas diberikan sebut harga, anda akan nikmati tawaran tambahan.

    Jual kereta kepada myTukar dan nikmati:

    • Baucar diskaun 30% untuk pakej Badan dan Cat Carro Care.
    • Diskaun 10% untuk pakej Penyelenggaraan Kenderaan Carro Care.
    • Diskaun 10% untuk memperbaharui insurans.
    • Peluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah seperti Sony Playstation 5, Nintendo Switch, Apple Watch, Apple Airpod, dash-cam dalaman kenderaan dan banyak lagi ketika anda menyerahkan kenderaan untuk diperiksan dan menjualnya dalam masa 24 jam selepas diberi sebut harga.

    Anda juga akan menikmati lebih banyak tawaran ketika servis dan memperbaharui insurans kereta anda melalui jenama ini.

    Carro Care:

    • Diskaun 30% untuk pakej Badan dan Cat berserta baucar kredit RM100.
    • Diskaun 10% untuk pakej Penyelenggaraan Kenderaan, serta minyak enjin dan penapis minyak percuma.

    Insurans:

    Nikmati diskaun 10% tambahan ketika anda memperbaharui insurans kenderaan dengan myTukar Insurans. Dapatkan sebut harga segera melalui servis insurans baru myTukar, yang membolehkan anda untuk mencari dan membandingkan sebut harga oleh pelbagai penyedia insurans seperti Takaful Ikhlas, Takaful Malaysia, MSIG, Allianz, Zurich dan AIA.

    Servis berkenaan termasuklah pembaharuan cukai jalan segera serta pengiraan NCB (No Claim Bonus). Dengan platform insurans myTukar, anda boleh merancang pelan insurans yang bersesuaian dengan keperluan anda.

    Jangkakan lebih banyak keseronokan!

    Kunjungi Tukar-Je CARnival oleh myTukar di Puchong South 12-14 Januari ini – pelbagai diskaun, promosi
    Kunjungi Tukar-Je CARnival oleh myTukar di Puchong South 12-14 Januari ini – pelbagai diskaun, promosi

    Bukan karnival namanya kalau tiada aktiviti menyeronokkan untuk anda dan keluarga. Bawa keluarga anda dan berhibur dengan konsert mini yang menampilkan beberapa artis tempatan. Anak-anak juga boleh mengalami sendiri bagaimana menjadi pemandu yang bertanggungjawab di Sekolah Memandu Kanak-kanak myTukar, dan mereka boleh memandu kenderaan elektrifikasi dalam litar khas dan akan diberikan lesen memandu eksklusif!

    Dan, jangan lupa untuk segarkan tenaga! Makan dan minum dengan hidangan jalanan yang disediakan, penuh dengan hidangan tempatan daripada pelbagai penyedia trak makanan yang terlibat.

    Berkunjunglah ke Tukar-Je CARnival myTukar di myTukar Puchong South Retail Experience Centre 12-14 Januari ini, dari 10 pagi hingga 7 malam setiap hari. Untuk maklumat lanjut, layari laman web myTukar.

    myTukar Puchong South Retail Experience Centre
    Lot 14225, KM 3.8
    Lebuhraya Damansara–Puchong
    47100 Puchong, Selangor.

    Google Maps
    Waze

    *Semua promosi tertakluk kepada terma dan syarat.


    Honda City

    Honda HR-V

    Perodua Axia

    Perodua Myvi

    Toyota Vios

     
     
  • Perodua 2024 – SUV D66B model hibrid pertama? Aruz facelift? Myvi G3 sudah 7 tahun, kemaskini baru?

    Perodua 2024 – SUV D66B model hibrid pertama? Aruz <em>facelift</em>? Myvi G3 sudah 7 tahun, kemaskini baru?

    Tahun lalu Perodua melancarkan satu model baharu dan satu model kemaskini kecil, bermula dengan Axia generasi kedua muncul pada Februari 2023, diikuti dengan Axia E manual atau ‘Axia Rahmah’ pada Jun iaitu model generasi pertama yang disambung produksi dengan spesifikasi ‘kosong’ dan juga kotak gear manual.

    Model tersebut dilancarkan semula dengan harga lebih rendah dengan hanya RM22,000, bagi mengisi kekosongan model paling mampu milik Perodua kerana bagi model generasi kedua yang diasaskan dari platform DNGA, Axia dijual pada harga bermula RM38,600 untuk varian G tanpa pilihan transmisi manual.

    Kalau diikutkan, pada tahun 2023 Perodua tidak menggunakan kapasiti penuh mereka yang mampu untuk melancarkan satu model serba baharu dan dua model facelift setahun. Namun ia sudah cukup membuatkan pekerja-pekerja kilangnya di Rawang sangat sibuk – pada akhir Oktober 2023, Perodua sudah pun mencatatkan produksi tahunan mencecah 280,452 unit, naik 22% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, membolehkan sasaran produksi keseluruhan 2023 dinaikkan dari 314,000 unit kepada 330,000 unit.

    Jadi untuk 2024, agak-agaknya apa pula model baharu yang akan dilancarkan oleh Perodua bagi mengekalkan momentum jualan dan pengeluaran yang sangat tinggi ini? Di sini kami jangkakan beberapa halatuju model-model Perodua sepanjang tahun ini.

    Perodua Aruz

    Perodua 2024 – SUV D66B model hibrid pertama? Aruz <em>facelift</em>? Myvi G3 sudah 7 tahun, kemaskini baru?

    Dari kesemua enam model dalam barisan model Perodua, Aruz merupakan model yang paling lama tidak dikemaskini oleh jenama tersebut. SUV dengan tujuh tempat duduk ini dilancarkan pada 2019 tetapi tidak pernah diberikan sebarang facelift sepanjang lima tahun dijual. Ia cuma pernah menerima perubahan kecil pada 2021 dengan beberapa perincian dan pilihan warna baharu.

    Kembar Aruz di Indonesia iaitu Daihatsu Terios baru sahaja diperkenalkan dalam versi facelift pada Jun tahun lalu, jadi ada kemungkinan Perodua turut akan membuat kemaskini yang sama tahun ini. Walaupun Aruz dilihat tidak canggih seperti Alza, model ini tetap mempunyai pasarannya tersendiri kerana ia mempunyai jarak kelegaan tanah yang tinggi dengan kebolehan seperti SUV.

    Perodua Bezza

    Perodua 2024 – SUV D66B model hibrid pertama? Aruz <em>facelift</em>? Myvi G3 sudah 7 tahun, kemaskini baru?

    Bezza juga merupakan antara model Perodua yang sudah lama berada dalam pasaran. Sedan ini diperkenalkan sekitar lapan tahun lalu iaitu pada pertengahan 2016. Model yang dibangunkan oleh Perodua dan tiada kembar Daihatsu atau Toyota ini sudahpun diberikan facelift pada Januari 2020, genap empat tahun dalam masa beberapa hari lagi.

    Kalau diikutkan kitaran hayat produksinya, Bezza sepatutnya sudahpun perlu dihasilkan dalam versi generasi kedua. Namun momentum jualan sedan segmen-A ini bukan sahaja tidak pudar, malah semakin meningkat dengan menjadi model Perodua paling laris tahun lalu mengatasi jumlah jualan Myvi.

    Ditambah dengan beberapa pengumuman dari Perodua sebelum ini, dapat disimpulkan Bezza generasi baharu sudah pasti tidak akan dilancarkan pada 2024. Ia masih lagi dalam peringkat pembangunan dan mungkin akan diperkenalkan dalam beberapa tahun lagi. Jadi ada kemungkinan model generasi sedia ada akan diberikan beberapa pembaharuan tahun ini bagi membolehkan ia relevan dalam tempoh setahun-dua sebelum model serba baharu diperkenalkan.

    Perodua Myvi

    Perodua 2024 – SUV D66B model hibrid pertama? Aruz <em>facelift</em>? Myvi G3 sudah 7 tahun, kemaskini baru?

    Rasanya macam baru lagi Myvi generasi ketiga dilancarkan kan? Namun model ini juga sebenarnya sudah tujuh tahun dalam pasaran selepas ia muncul pada tahun 2018. Jika dilihat pada dua generasi sebelumnya, dengan jualan yang begitu tinggi Myvi dijual hanya dalam masa enam tahun setiap generasi (2005-2011 untuk generasi pertama dan 2011-2017 untuk generasi kedua). Jadi bukankah sepatutnya model generasi keempat akan muncul tak lama lagi?

    Walau bagaimanapun, hayat Myvi G3 ini mungkin masih lama dalam pasaran dengan versi facelift baru sahaja diperkenalkan dua tahun lalu. Ia bukan sahaja menampilkan perubahan rekaan luaran, malah turut menerima kotak gear baharu dengan peningkatan yang agak besar pada pelbagai perincian.

    Model generasi sedia ada ini dibangunkan sendiri oleh Perodua di Rawang, dan mungkin proses yang sama juga akan dibuat bagi model generasi keempat kelak. Myvi serba baharu nanti sudah pasti bakal diasaskan dari platform DNGA dan mungkin akan menjadi model pertama Perodua yang ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa elektrik penuh (EV), tetapi ia mungkin tidak akan muncul tahun ini. Jadi untuk Myvi, kami jangkakan tiada sebarang pembaharuan besar akan dibuat tahun ini.

    SUV segmen-B penuh D66B

    Toyota Yaris Cross (kiri) dan lakaran digital bayangan Perodua Nexis (kanan)

    Ini merupakan model paling dinantikan dengan hype sebenarnya sudah bermula tahun lalu. Sehingga kini ia hanya dikenali dengan nama kod projek D66B, tetapi ada yang menggelarnya sebagai Perodua Nexis kerana nama tersebut telah didaftarkan oleh Perodua di MyIPO. Namun hakikatnya masih belum ada petunjuk berat bahawa nama Nexis ini akan diberikan pada model baharu berkenaan.

    Berbanding Ativa yang dihasilkan dengan saiz hampir kepada segmen-A, D66B pula adalah SUV segmen-B penuh yang akan berhadapan dengan model seperti Honda HR-V, dan paling penting ia adalah jawapan Perodua kepada Proton X50. Juga tiada sebarang gambaran sebenar bagaimana rupa D66B ini, tetapi dengan pelbagai petunjuk, ia adalah kembar kepada Toyota Yaris Cross yang sudahpun dilancarkan di Indonesia dan Thailand tahun lalu.

    Di Indonesia, varian asas Yaris Cross ditawarkan dengan enjin 1.5L NA yang sama boleh ditemui pada Alza, Myvi dan Toyota Vios. Tak cukup canggih? Bagi model tertinggi, SUV tersebut turut ditawarkan dalam versi 1.5L dengan sistem hibrid penuh.

    Jadi untuk D66B nanti, dijangkakan ia bukan sahaja akan menjadi model pertama produksi Perodua yang dijual dengan menawarkan unit rangkaian kuasa hibrid, malah ia juga boleh menjadi alternatif lebih moden dan efisien berbanding enjin 1.5L Turbo pada Proton X50. Malah ia juga sejajar dengan sasaran Perodua sebelum ini yang mengumumkan bahawa model hibrid pertamanya akan muncul pada 2024.

     
     
  • BYD pintas kedudukan Tesla sebagai pengeluar EV terbesar dunia – produksi 526,409 unit pada Q4 2023

    BYD pintas kedudukan Tesla sebagai pengeluar EV terbesar dunia – produksi 526,409 unit pada Q4 2023

    Nampak gayanya Tesla harus melangkah lebih agresif bagi tahun ini selepas takhtanya dirampas oleh syarikat China, BYD, sebagai pengeluar kenderaan elektrik (EV) terbesar di dunia untuk 2023.

    Menurut laporan BBC, rekod angka jualan yang dikeluarkan semalam menunjukkan BYD telah memproduksi sebanyak 526,409 unit EV untuk suku keempat (Q4) tahun lalu, berbanding syarikat milik Elon Musk yang hanya mengeluarkan sekitar 484,507 unit EV bagi tempoh yang sama.

    Namun begitu, menurut data Tesla, syarikatnya telah mencatatkan peningkatan sebanyak 11% dari segi pengeluaran berbanding tahun sebelum ini, namun angka tersebut masih tidak mampu mendahului BYD. Malahan prestasi agresif BYD turut memberikan kesan terhadap saham Tesla yang sedikit menurun semalam.

    Namun dari segi jualan pula, Tesla masih mencatatkan angka yang jauh lebih cemerlang dengan jualan mencecah 484,500 unit EV dalam tiga bulan terakhir 2023, dengan rekod tahunan keseluruhan mencecah 1.8 juta unit.

    Manakala bagi BYD yang berpangkalan di Shenzen, China pula telah menjual lebih tiga juta unit kenderaan tenaga baharu (NEV), termasuk EV dan hibrid, dengan hampir 1.6 juta daripadanya EV sahaja bagi tahun 2023.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI Mk8 2024 kini di Malaysia – RM253k, sistem bunyi Harman Kardon, HUD

    Volkswagen Golf GTI Mk8 2024 kini di Malaysia – RM253k, sistem bunyi Harman Kardon, HUD

    Selepas diperkenalkan di Malaysia buat pertama kali pada Februari 2022, kemudian menerima tingkat taraf sistem bantuan pemanduan IQ.Drive tahun lalu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini mengumumkan bahawa Volkswagen Golf GTI Mk8 kini diberikan kemaskini bagi versi 2024, menampilkan pelbagai peningkatan dari segi kelengkapan.

    Menerusi model kemaskini ini 2024 ini VPCM sudah pun memadankan sistem bunyi premium 480-watt Harman Kardon dengan 10-pembesar suara, berbanding hanya tujuh-pembesar suara tanpa jenama pada sistem model terdahulu. Ia masih disambungkan kepada sistem infotainmen Discover Media dengan skrin 10-inci yang memberikan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay sambungan tanpa wayar.

    Selain itu Golf GTI 2024 ini juga ditambah dengan paparan head-up yang dipancarkan pada cermin bagi memudahkan pemandu memantau maklumat pemanduan penting tanpa mengalihkan pandangan. Maklumat lain masih dibekalkan menerusi paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 10.25-inci.

    Volkswagen Golf GTI Mk8 2024 kini di Malaysia – RM253k, sistem bunyi Harman Kardon, HUD

    Model 2024 ini juga masih dibekalkan dengan kelengkapan sama dengan versi sebelumnya, antaranya rim aloi ‘Richmond’ 18-inci, lampu hadapan LED dengan lampu isyarat membelok dinamik, sistem pendingin hawa tiga-zon, sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, lampu suasana kabin dan upholsteri kulit Vienna untuk tempat duduk.

    Unit rangkaian kuasa juga kekal dengan enjin 2.0 liter turbo empat silinder berkuasa 245 PS dan tork maksima 370 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik (klac basah) tujuh kelajuan, bagi memacu sepenuhnya roda hadapan.

    Kotak gear tersebut juga menerima sistem differential lock elektronik XDS yang berfungsi berasaskan sistem ESC bagi memberikan lebih cengkaman roda hadapan ketika mengambil selekoh. Manakala sistem Vehicle Dynamics Manager bersama Dynamic Chassis Control juga dibekalkan bagi membantu pengedalian.

    Volkswagen Golf GTI Mk8 2024 kini di Malaysia – RM253k, sistem bunyi Harman Kardon, HUD

    Manakala bagi sistem bantuan pemanduan IQ.Drive, ia terdiri dari fungsi seperti Travel Assist dengan cruise control adaptif (ACC), Bantuan Sisi dengan amaran lintasan trafik belakang (RCTA), Front Assist (brek kecemasan automatik), Emergency Assist dan juga Lane Assist.

    Dengan perincian yang telah dikemaskini, Volkswagen Golf GTI Mk8 2024 ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM252,990. Harga tersebut juga merangkumi versi terbaharu Volkswagen Assurance Package (VAP) yang menawarkan waranti pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan serta pakej servis selama lima tahun, 75,000 km.

    Berbanding versi sebelumnya yang dijual pada harga RM246,012, model 2024 ini adalah RM6,978 lebih mahal. VAP versi terdahulu juga hanya menawarkan pakej servis selama tiga tahun/45,000 km. VPCM masih belum memberikan harga model 2024 ini tanpa VAP (hanya dengan waranti standard dua-tahun), dan kami akan mengemaskini laporan ini sekiranya maklumat tersebut diberikan kelak.

     
     
  • Lebuhraya WCE: Kutipan tol di Plaza Tol Assam Jawa bermula 3 Januari 2024, kadar RM5.05 untuk kereta

    Lebuhraya WCE: Kutipan tol di Plaza Tol Assam Jawa bermula 3 Januari 2024, kadar RM5.05 untuk kereta

    Bermula jam 12.01 tengahmalam ini, 3 Januari 2024, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) akan memulakan kutipan tol di Plaza Tol Assam Jawa, selepas ia beroperasi secara percuma selama 42 hari sejak dilancarkan pada 21 November 2023.

    Menurut syarikat konsesinya, West Coast Expressway Sdn Bhd, kadar tol untuk setiap kelas kenderaan adalah berdasarkan nilai yang telah ditetapkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Di mana untuk kenderaan Kelas 1, kadar tolnya ditetapkan sebanyak RM5.05 di persimpangan Bandar Bukit Raja Selatan dan RM4.12 untuk persimpangan Bandar Bukit Raja Utara. Manakala untuk kenderaan Kelas 2, pengguna perlu membayar sebanyak RM10.11 untuk persimpangan Bandar Bukit Raja Selatan dan RM8.24 bagi persimpangan Bandar Bukit Raja Utara.

    Untuk kenderaan Kelas 3 pula, kadar tol ditetapkan pada RM15.16 di persimpangan Bandar Bukit Raja Selatan dan RM12.36 untuk persimpangan Bandar Bukit Raja Utara. Manakala kenderaan Kelas 4 (teksi), kadar tolnya sebanyak RM2.53 untuk persimpangan Bandar Bukit Raja Selatan dan RM2.06 di persimpangan Bandar Bukit Raja Utara. Bagi kenderaan Kelas 5 (bas) pula, kadar tolnya sebanyak RM3.79 di persimpangan Bandar Bukit Raja Selatan dan RM3.09 untuk persimpangan Bandar Bukit Raja Utara.

    Kadar bayaran tol yang ditetapkan untuk setiap kelas kenderaan; klik untuk besarkan

    “Kutipan tol Lebuhraya WCE adalah secara elektronik sepenuhnya dan kami menasihatkan pengguna untuk memastikan baki e-wallet dan kad Touch n Go anda mencukupi. Sila pastikan anda menggunakan lorong pembayaran yang betul. Rujuk infografik berikut (di atas) atau muat turun Aplikasi WCE untuk maklumat lebih lanjut,”kata syarikat konsesi lebuhraya ini menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Jajaran Seksyen 6, Persimpangan Bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke Persimpangan Bertingkat Assam Jawa, Lebuhraya WCE ini adalah sepanjang 21.8 kilometer yang menghubungkan secara terus pengguna lebuh raya dari Kapar ke Assam Jawa, Selangor.

    Laluan ini dibina menggunakan standard R6 dengan dua lorong dua hala yang mampu mengubah landskap pengangkutan di kawasan tersebut dengan penjimatan masa perjalanan antara bandar-bandar utama sekitar Klang, Shah Alam, Puncak Alam dan Kuala Selangor.

    Iai dikatakan dapat menjimatkan masa perjalanan dari Kapar ke Assam Jawa (Ijok) yang akan mengambil masa hanya 15 minit sahaja berbanding 45 minit sebelum ini melalui laluan sedia ada. Pengurangan masa perjalanan selama 30 minit ini menjanjikan kemudahan dan keselesaan yang lebih baik kepada pengguna lebuhraya.

    Lebuhraya WCE Seksyen 6 ini juga mempunyai sambungan secara terus dengan Lebuhraya LATAR yang menawarkan lebih kesalinghubungan antara rangkaian lebuh raya untuk kemudahan pengguna.

    Empat seksyen pertama Lebuhraya WCE telah dibuka sebelum ini pada tahun 2019, melibatkan tiga seksyen di Perak iaitu Seksyen 8 (Hutan Melintang–Teluk Intan), Seksyen 9 (Lekir–Changkat Chermin) dan Seksyen 10 (Changkat Chermin-Beruas), manakala satu seksyen di Selangor iaitu Seksyen 5 (Bandar Bukit Raja Selatan-Bandar Bukit Raja Utara).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025