Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Subaru Forester 2023 turun harga RM10k di M’sia; dari RM164k untuk 2.0i-L, hingga RM186k bagi GT Edition

    Subaru Forester 2023 turun harga RM10k di M’sia; dari RM164k untuk 2.0i-L, hingga RM186k bagi GT Edition

    Harga bagi barisan Subaru Forester facelift 2023 untuk Malaysia telah pun dikemaskini, di mana ia ditawarkan dengan empat varian bagi pasaran tempatan.

    Mulai 16 Ogos lalu, Forester facelift ditawarkan pada harga RM164,288 untuk 2.0i-L EyeSight,
    RM170,288 bagi GT Lite Edition EyeSight, RM174,288 untuk 2.0i-S EyeSight dan RM186,288 untuk GT Edition EyeSight. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans untuk Semenanjung Malaysia, dan kenderaan yang dijual menerusi Subaru Malaysia didatangkan dengan waranti lima-tahun/100,000 km.

    Harga yang dikemaskinikan ini ternyata menunjukkan penurunan sebanyaj RM10,000 berbanding sewaktu ia diumumkan dalam pelancaran kesemua varian SUV generasi kelima ini pada Mei lalu. Walau bagaimana pun, difahamkan, biar pun harganya diturunkan, namun tiada perubahan senarai kelengkapan bagi kesemua varian terbabit.


    Risalah harga untuk Subaru Forester facelift 2023, efektif 16 Ogos – klik untuk besarkan

    Pakej Subaru Connex turut ditawarkan bagi barisan Forester 2023 ini, bernilai RM1,900, yang merangkumi automatic crash response, enhanced breakdown assistance, VIP Assist dan banyak lagi.

    Barisan Forester facelift 2023 ini turut menerima tiga ciri baharu bagi fungsi EyeSight 4.0 yang merangkumi Innovative Stereo Camera, Adaptive Cruise Control dengan Lane Centering Function, dan Lane Departure Warning & Prevention. Manakala Pre-Collision Braking sedia ada telah dipertingkatkan dan ciri yang masih dikekalkan termasuk Lane Sway Warning, Lead Vehicle Start Alert dan Pre-Collision Throttle Management.

    Walau bagaimana pun, hanya varian 2.0i-S EyeSight yang dilengkapi ciri tambahan Autonomous Emergency Steering (AES). Manakala ciri keselamatan lain yang masih dikekalkan untuk kesemua varian termasuklah tujuh beg udara, ABS dengan EBD, Penvektoran Tork Aktif, brek parkir elektronik, dan Berhenti Kecemasan.

    Kesemua varian dijanakan oleh enjin 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder boxer dengan hamburan kuasa 156 PS pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm, dengan Lineartronic CVT bersama mod manual tujuh-kelajuan (dan pedal penukar gear di belakang stereng) dan sistem Subaru symmetrical AWD. Dua model tertinggi 2.0i-S EyeSight dan 2.0i-S GT Edition EyeSight menampilkan Dual Function X-Mode, sementara dua varian bawahnya hanya diberikan X-Mode.

    GALERI: Subaru Forester facelift 2023 dilancar di Malaysia

    GALERI: Subaru Forester facelift 2023, Eyesight GT Edition

     
     
  • Aktor Azhar Sulaiman mahu jual plat nombor MAF14 – bidaan bermula RM1.85j, tarikh tutup 24 Ogos 2023

    Aktor Azhar Sulaiman mahu jual plat nombor MAF14 – bidaan bermula RM1.85j, tarikh tutup 24 Ogos 2023

    Jika anda merupakan peminat aktor tempatan terkenal, Azhar Sulaiman, atau lebih mesra dengan panggilan ‘Behar’ sudah pasti menyedari beliau memiliki nombor plat pendaftaran yang boleh dianggap unik iaitu ‘MAF 14’ (atau MAFIA).

    Nombor plat pendaftaran berkenaan telah lama dimiliki sejak lebih sedekad yang lalu dan sebelum ini dipadankan dengan Nissan Murano rona hitam pekat miliknya.

    Walau bagaimana pun, baru-baru ini, Behar berhajat untuk menjual nombor plat berkenaan dan membuka bidaan dengan harga bermula RM1.85 juta! Perkara ini dihebahkannya menerusi laman media sosial Facebook dan Instagram rasminya sendiri.

    Aktor Azhar Sulaiman mahu jual plat nombor MAF14 – bidaan bermula RM1.85j, tarikh tutup 24 Ogos 2023

    “Harap Maklum Malaysian Mafias…..Bidding for ownership akan ditutup pada 12am 24th August 2023
    Good luck to All Mafia Applicants,” katanya yang juga merupakan seorang arkitek terkenal.

    Tidak berkongsi sebarang alasan utama beliau menjual ‘MAF14’ itu, namun menerusi ruangan komen di FB, beliau ada berseloroh, “Duit boleh digunakan untuk persediaan Behar untuk mati dengan tenang tanpa hutang dan tanggungjawab yang masih tak tertunai.”

    Sehingga semalam, difahamkan sudah ada tiga orang pembida yang berminat untuk mendapatkan ‘MAF14’. Bagi yang berminat dan berkemampuan untuk mendapatkan nombor pendaftaran berkenaan, bolehlah menghubungi nombor telefon yang turut tertera menerusi entri di FB dan IG aktor ini.

     
     
  • Lotus Emira i4 First Edition sudah boleh ditempah di M’sia – enjin Mercedes-AMG 2.0L Turbo, RM998,800!

    Lotus Emira i4 First Edition sudah boleh ditempah di M’sia – enjin Mercedes-AMG 2.0L Turbo, RM998,800!

    Selepas membuat kemunculan sulung globalnya di Goodwood Festival of Speed Julai lalu, kini Lotus Emira dalam versi yang dijana oleh enjin 2.0L empat-silinder turbo yang dibekalkan oleh Mercedes-AMG, digelar sebagai Emira i4 diumumkan sudahpun boleh ditempah di Malaysia!

    Menurut Lotus Cars Malaysia, Emira i4 akan dibawa dalam versi First Edition 2023 terlebih dahulu, dan ia akan dijual pada harga atas jalan termasuk cukai tetapi tanpa insuran RM998,800. Bagi model selepas itu iaitu model unit yang bukan tahun 2023, Emira i4 akan dijual pada harga sebenar RM1,095,000 di Semenanjung Malaysia dan RM509,000 di pulau bebas cukai Langkawi.

    Pelanggan terawal yang menempah Lotus Emira i4 ini dijangka bakal menerima kereta mereka pada November ini, dan semua pembelian adalah dilindungi waranti pengeluar selama tiga-tahun tanpa had perbatuan.

    Seperti diketahui, Emira merupakan model terakhir yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman dari Lotus kerana selepas ini jenama kereta sport British itu hanya akan menghasilkan model-model yang dijana oleh unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya.

    Lotus Emira i4 First Edition sudah boleh ditempah di M’sia – enjin Mercedes-AMG 2.0L Turbo, RM998,800!

    Emira sudahpun ditawarkan dalam versi enjin Toyota 2GR-FE 3.5 liter V6 yang disuap dengan supercharger Edelbrock 1740 tahun lalu, dan model i4 ini merupakan model pertama dari Lotus yang menerima enjin dibekalkan oleh Mercedes-AMG. Secara spesifiknya, enjin AMG yang digunakan untuk Emira ini adalah unit M139 yang sama digunakan pada model-model ’45’ Mercedes-AMG seperti A45, GLA45 dan CLA45, iaitu enjin produksi empat-silinder paling berkuasa di dunia buat masa sekarang.

    Walau bagaimanapun, unit M139 yang disumbat pada bahagian tengah casis Emira ini ditala bagi menghasilkan 365 PS pada takat 6,600rpm dan tork maksima 430 Nm bermula 3,000 hingga 5,500 rpm, berbanding model-model 45 AMG yang menerima lencana S menghasilkan 421 PS dan tork maksima 500 Nm.

    Tidak seperti versi V6 yang ditawarkan sama ada dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau automtik enam-kelajuan, Emira i4 hanya ditawarkan dengan satu pilihan transmisi iaitu kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan 8 DCT dengan mod Launch Control.

    Gandingan ini cukup untuk membolehkan Lotus Emira i4 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 290 km/j. Oleh itu berbanding Emira 3.5 liter V6 berharga RM1.13 juta di Malaysia yang memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 4.3 saat, model dengan enjin lebih kecil ini hanya lambat 0.1 saat dalam pecutan yang sama.

    Lotus Emira i4 First Edition sudah boleh ditempah di M’sia – enjin Mercedes-AMG 2.0L Turbo, RM998,800!

    “Sebagai model terakhir Lotus yang dikuasakan oleh enjin petrol, Emira ialah sebuah model klasik masa depan. Berprestasi tinggi, dinamik luar biasa, suspensi yang ringan dan ditala penuh teliti, sistem stereng inovatif, bahagian luaran yang direka agar aerodinamik dam ruang kabin yang fokus kepada pemandu, semua ini digabungkan untuk memberikan pengalaman memandu sebuah kereta sports sebenar yang boleh diharapkan daripada sebuah Lotus,” kata Pengarah Urusan Lotus Cars Malaysia, Jack Zaal.

    Berbanding generasi Elise dan Exige sebelum ini yang tampil ‘kosong’ dan hardcore kerana mementingkan aspek ringan untuk kelajuan, Emira adalah visi generasi baharu Lotus yang turut menawarkan ciri-ciri mewah dan mudah untuk dipandu setiap hari seperti Porsche Cayman.

    Kereta sport generasi baharu ini diasaskan dari platform Lotus Sports Car Architecture (atau digelar sebagai Elemental oleh pihak dalaman Lotus), yang dihasilkan dengan struktur aluminium terekstrud seperti diperkenalkan pertama kali pada Elise. Menurut Lotus, dengan enjin lebih kecil, model dengan enjin empat-silinder sebaris ini adalah 12 kg lebih ringan berbanding Emira yang dijana oleh V6.

    Kedua-dua versi ini menerima konfigurasi suspensi yang sama iaitu jenis double wishbone tempaan aluminium di hadapan dan belakang. Namun untuk subframe baharu bagi menempatkan enjin M139 ini, rekaan suspensi belakang untuk Emira i4 direka berbeza berbanding versi V6.

    Ia menggunakan penyerap hentak bertekanan tinggi dari Bilstein dan dipadankan dengan Spring Eibach, telah ditala dengan teliti bersama empat tetapan berbeza untuk pilihan chasis Tour dan Sport.

    Versi Tour dioptimumkan untuk kegunaan di atas jalan biasa dengan spring dan penyerap hentak lebih lembut. Manakala casis Sport pula fokus kepada kegunaan di litar dengan sudut camber dan sudut toe ditingkatkan untuk memaksimumkan cengkaman. Ketegaran bar anti-oleng turut dihasilkan khas untuk Emira ini bersama komponen pada gandar hadapan yang kini lebih ringan.

    Untuk sistem stereng, Emira menerima sistem bantuan kuasa elektro-hidraulik yang didakwa “menawarkan rasa pemanduan sebenar yang sememangnya menjadi asas kepada DNA kereta Lotus”.

    Emira i4 hadir dengan pilihan set roda yang dibangunkan khas untuk maklum balas stereng dan cengkaman, menampilkan rim aloi forged 20-inci ultra ringan dengan kemasan potongan berlian berwarna perak atau hitam berkilat, bersama tayar bersaiz 245/35/R20 di hadapan dan 295/30/R20 belakang.

    Lotus Emira i4 First Edition sudah boleh ditempah di M’sia – enjin Mercedes-AMG 2.0L Turbo, RM998,800!

    Pembeli yang memilih casis Tour menerima tayar Goodyear Eagle F1 Supersport. Manakala untuk casis Sport, ia datang standard dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang lebih hardcore untuk pemanduan litar, namun pembeli untuk model ini turut ditawarkan dengan opsyen untuk menggunakan tayar Goodyear Eagle F1 Supersport.

    Menurut Lotus, kedua-dua jenis tayar berkenaan mempunyai tulisan ‘LTS’ pada dinding tepi, menunjukkan ia adalah tayar khas yang dihasilkan bagi memenuhi spesifikasi Lotus.

    Emira i4 turut menerima sistem brek yang lebih sesuai dengan jumlah penghasilan kuasa dari enjin yang sudah tentu tidak sama seperti model V6. Model ini diberikan cakera berkembar ringan, berliang dan dipadankan bersama angkup empat omboh untuk bahagian hadapan hadapan. Pembeli boleh memilih angkup tersebut dalam empat warna berbeza tanpa kos tambahan.

    Bagi perincian dalaman, Emira i4 menerima paparan instrumen digital dengan skrin TFT 12.3-inci, skrin infotainmen bersaiz 10.25 inci yang menyokong fungsi Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, sistem bunyi 560W 10 saluran yang aspek akustiknya telah dioptimumkan, bersama enam unit pembesar suara dibangunkan dengan KEF dan teknologi Uni-QTM, serta tempat duduk yang boleh dilaras secara elektrik 12 hala dengan ciri pemanas.

    Lotus Emira i4 First Edition sudah boleh ditempah di M’sia – enjin Mercedes-AMG 2.0L Turbo, RM998,800!

    Untuk upholsteri, Emira i4 ditawarkan dengan kulit Nappa yang hadir dalam pilihan warna hitam, merah, kelabu, tan atau Alcantara hitam, bersama pilihan jahitan kontras benang berwarna kuning, merah atau kelabu. Pelanggan juga boleh memilih kulit Nappa yang sama pada stereng dengan jahitan jalur tanda pukul 12 dalam warna kuning, merah atau kelabu.

    Kabin kereta sport ini juga menampilkan material Alcantara hitam pada bumbung, bersama perapi-perapi dalam kemasan satin krom, lampu suasana dalaman berwarna putih dan juga plat kaki jenama Lotus. Jika anda mahu memulakan perjalanan jauh dengan dengan kereta berenjin tengah ini, perlu diingat kapasiti storan yang diberikan adalah ruang 208 liter di belakang tempat duduk dan juga tambahan 151 liter di ruang kargo belakang.

    Secara asasnya, Emira i4 ditawarkan dengan 13 warna badan iaitu Hethel Yellow, Magma Red, Vivid Red, Dark Verdant, Seneca Blue, Atlantis Blue, Meridian Blue, Osmium Silver, Nimbus Grey, Shadow Grey, Zinc Grey, Mist White dan Cosmos Black.

    Selain itu Emira i4 First Edition ini turut hadir dengan empat pek pilihan sebagai ciri standard. Salah satu daripadanya ialah Lower Black Pack yang merangkumi kemasan hitam berkilat pada bumbung, bingkai bumbung, perumah cermin sisi dan emblem Lotus pada bahagian belakang. Kemasan pada ekzos pula berwarna hitam satin.

    Ia juga datang dengan Design Pack melibatkan penambahan satu kaca privasi, pedal sports, kemasan bumbung Alcantara dan karpet lantai Emira. Untuk Convenience Pack yang dijuga ditambah secara standard datang dengan penderia parkir hadapan, kamera undur, penderia pada pengelap cermin utama bersama bilah aero, cermin malap secara automatik dan jaring pada ruang penyimpanan belakang.

    Akhir sekali ialah Lotus Drivers Pack yang memberi pilihan suspensi Tour atau Sports kepada pelanggan. Tidak kira pilihan mana yang diambil, ia dilengkapi ciri Track Mode ESP dengan mode Track baharu dipaparkan pada skrin instrumen TFT yang mengutamakan maklumat diperlukan untuk pemanduan berprestasi tinggi.

    Bagi yang berminat untuk melihat Emira i4 ini dengan lebih dekat, Lotus Cars Malaysia menjemput anda untuk datang ke ke Lotus Store di Level 3, Pavilion Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun unit yang dipamerkan tersebut adalah dari versi V6, tetapi mempunyai penampilan luaran dan dalaman sama seperti model Emira i4.

    Fasiliti berkenaan dibuka bermula 10 pagi hingga 10 malam setiap hari dan akan ada pakar Lotus yang sentiasa bersiap sedia dengan konfigurator bagi membolehkan pelanggan menetapkan spesifikasi Lotus Emira i4 mereka sendiri.

    GALERI: Lotus Emira di Lotus Store Pavillion KL

     
     
  • GALERI: Yamaha Y15ZR SE dengan kit aerodinamik – harga RM9,498, penampilan istimewa biru dan emas

    GALERI: Yamaha Y15ZR SE dengan kit aerodinamik – harga RM9,498, penampilan istimewa biru dan emas

    Minggu lepas, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah memperkenalkan Y15ZR Special Edition (SE) untuk pasaran Malaysia, dijual pada harga RM9,498 tidak termasuk insurans. Setelah melihat gambar studio yang diberi, sekarang kami bawakan pula gambar motosikal sebenar yang berada di GenBlu Lifestyle Station, Sungai Buloh.

    Sementara gambar rasmi yang diberi menampakkan warna biru serta emas yang lebih terang, model sebenar di depan mata pula nampak lebih gelap dan sedap dipandang. Model ini, jika mengikut harga cadangan yang dikeluarkan, adalah RM500 lebih mahal berbanding Y15ZR biasa yang harganya diletakkan pada RM8,998.

    Keistimewaan utama Y15ZR SE seperti yang boleh dilihat adalah pada penampilannya, menggunakan panel badan berwarna biru gelap berserta jalur hitam, merah dan emas. Rim pula menggunakan warna emas. Kemudiannya, pemilik juga akan menerima kit aero lima keping, yang dipasang pada bahagian panel tepi, belakang serta penghadang angin hadapan.

    Selain daripada itu, ciri Y15ZR ini masih sama seperti versi standard, bermula dengan enjin iaitu unit satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc suntikan bahan api yang digandingkan bersama kotak gear lima kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15.5 PS pada 8,500 rpm dan 14.4 Nm tork pada 7,000 rpm. Ia datang dengan brek cakera depan dan belakang, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 4.2 liter.

    Model ini juga dilengkapi dengan meter jenis LCD digital manakala lampu utama hadapan pula adalah unit LED. Rim adalah bersaiz 17 inci, dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

    Perincian lain Y15ZR V2 adalah termasuk berat keseluruhan 117 kg, tinggi tempat duduk 780 mm, fork teleskopik hadapan, monoshock di belakang, pemula enjin elektrik, butang lampu tinggi (passing light) dan butang mematikan enjin (kill switch).

     
     
  • Aplikasi MYJalan kini boleh digunakan – memudahkan orang awam membuat aduan kerosakan jalan raya

    Aplikasi MYJalan kini boleh digunakan – memudahkan orang awam membuat aduan kerosakan jalan raya

    Cukup sebal bila terpaksa melalui jalan yang berlubang ni, ada yang dah serupa macam kena bom, tapi tak juga diperbaiki dan diturap. Malah ada juga penunggang motosikal yang terjatuh gara-gara terlanggar lubang di atas jalan raya. Nak mengadu kat ketua kampung, pengerusi JKKK Taman, tok penghulu, YB ADUN, atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ke? Seberapa pantas aduan tersebut akan diteliti dan seterusnya masalah ini diatasi?

    Apa kata aduan berkenaan terus diadukan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) yang kini telah memperkenalkan aplikasi MYJalan yang merupakan platform aduan setempat bagi memudahkan aduan dibuat.

    Menurut Menteri KKR, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, aplikasi itu boleh digunakan sejak minggu lalu untuk menyalurkan maklumat supaya kerosakan jalan raya dan kemudahan lain termasuk lampu jalan dan lampu isyarat dapat dibaik pulih, laporan Bernama.

    Aplikasi MYJalan kini boleh digunakan – memudahkan orang awam membuat aduan kerosakan jalan raya

    Alexander berkata, aplikasi berkenaan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, khamis ini, serentak dengan pelancaran Kempen MYJalan, yang bakal berlangsung di Jeti Tasik Awam, Tasik Banding, Perak.

    MYJalan menerima semua jenis aduan jalan raya yang diselenggara KKR selaras prinsip ‘No Wrong Door Policy’ atau dasar menyalurkan maklumat supaya kerosakan jalan raya, lampu jalan dan lampu isyarat dapat dibaik pulih.

    Memetik rencana khas yang ditulis sendiri oleh Alexander mengenai infrastruktur jalan raya yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 20 Ogos lalu, “Kempen MYJalan dipilih sebagai inisiatif kerajaan dilaksanakan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memupuk rasa cinta kepada infrastruktur jalan raya yang lama menjadi nadi penggerak rakyat dan ekonomi.

    Aplikasi MYJalan dan advokasi penyenggaraan serta keselamatan jalan raya adalah pengisian utama Kempen MYJalan sebagai langkah memperkenal dan memberi kesedaran kepada rakyat untuk lebih prihatin terhadap aspek penjagaan jalan raya seluruh negara.

    Advokasi ingin dibawa KKR seharusnya membangkitkan kesedaran awam mengenai jenis jalan raya, perbezaan jalan raya, tatacara kerja penyenggaraan dan menggalakkan rakyat melaporkan aduan kerosakan jalan serta perabot jalan melalui saluran aduan betul.

    Ini secara tidak langsung menyumbang kepada perasaan sense of belonging atau sifat kepunyaan di setiap jiwa rakyat. Apabila kesedaran awam ini diperluas menerusi hebahan media sosial dan aktiviti libat urus di beberapa kawasan dan organisasi sudah dikenal pasti, pengguna jalan raya akan lebih mengenali, bertanggungjawab dan menyayangi infrastruktur jalan raya.

    KKR juga menyediakan satu sistem aduan bagi menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan sistem itu sebagai antara saluran aduan bagi memastikan kerosakan jalan raya atau perabot jalan dibaik pulih. Pembangunan aplikasi MYJalan bakal menjadi platform aduan setempat bagi memudahkan pengguna membuat aduan walaupun jalan itu bukan diselenggara KKR selaras dengan prinsip No Wrong Door Policy.

    Satu lagi aspek penting Kempen MYJalan ini ialah penumpuan terhadap penambahbaikan sistem pemantauan penyenggaraan jalan ke atas semua syarikat konsesi diberi amanah dan tanggungjawab kontrak menyenggara. Setiap ringgit diperuntukkan kerajaan harus dijelmakan dengan hasil mematuhi spesifikasi dan kualiti penyenggaraan demi keselamatan serta an keselesaan pengguna.”

     
     
  • Polis keluarkan 8,718 saman di seluruh negara pada hari pertama pelaksanaan Op Saman Tembak Laju

    Polis keluarkan 8,718 saman di seluruh negara pada hari pertama pelaksanaan Op Saman Tembak Laju

    Bagi hari pertama pelaksanaan Operasi Saman Tembak Laju di seluruh negara oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), sebanyak 8,718 saman telah dikeluarkan, laporan Bernama.

    Menurut Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nasri Omar, pemandu kereta mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 8,352 saman manakala penunggang motosikal sebanyak 44 saman. Manakala
    kenderaan perdagangan dan perkhidmatan pula merekodkan sebanyak 322 saman.

    “Notis pemberitahuan saman K170A bagi kesalahan memandu melebihi had laju akan disampaikan kepada pemilik kenderaan mengikut alamat lesen memandu secara pos surat berdaftar. Semua kesalahan memandu melebihi had laju boleh dikompaun dan boleh dijelaskan di mana mana bahagian trafik daerah di seluruh negara,” katanya.

    Tambah beliau, operasi saman tembak laju atau ‘saman ekor’ dijalankan bagi memberi peringatan kepada semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan yang ditetapkan di dalam negara.

    Dalam operasi berkenaan, JSPT menggunakan kamera tembak laju bagi merakam mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar had laju yang ditetapkan dengan saman dan notis saman K170A akan diposkan kemudian.

    Mohd Nasri turut berkata, kesalahan memandu melebihi had laju adalah antara punca utama kemalangan jalan raya di negara ini.

     
     
  • Proton S50 – unit prototaip kini dilihat diuji dengan kit badan, nampak lebih tegap dari Geely Emgrand

    Proton S50 – unit prototaip kini dilihat diuji dengan kit badan, nampak lebih tegap dari Geely Emgrand

    Akhir-akhir ini unit prototaip sedan terbaharu Proton yang dijangka akan digelar sebagai S50 semakin kerap dilihat diuji di atas jalan raya. Maklumlah, sebelum ini Proton ada menyatakan bahawa model tersebut bakal dilancarkan pada akhir tahun ini, sudah tentulah ujiannya perlu dibuat lebih kerap bukan?

    Namun unit prototaip terkini yang imejnya berjaya dirakam oleh Joseph Kong ini nampak lebih menarik dari unit-unit sebelum ini – ia nampak lebih sporty kerana telah pun diberikan kit aero tambahan! Kit tersebut dengan jelas menampilkan lips bawah bampar hadapan, skirt sisi, spoiler ‘ekor itik’ pada but belakang dan juga unit diffuser belakang yang nampak lebih besar dari sebelum ini.

    Walaupun masih berselindung sepenuhnya disebalik pelekat penyamaran, kit aero yang dipadankan ini sudahpun memberikan bentuk badan yang lebih tegap dari model asas pembinaannya iaitu Geely Emgrand. Bukan sahaja lebih kacak, Proton S50 juga dijangka akan menerima perincian yang lebih canggih dari Geely Emgrand yang sudah dijual di China dan Filipina.

    Berdasarkan kamera monokular pada bahagian atas cermin hadapan dan trade plate yang digunakan pada bahagian hadapan mempunyai lubang empat segi yang mungkin digunakan untuk menguji radar gelombang milimeter, S50 nampaknya akan menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang tidak ditawarkan pada Emgrand.

    Proton S50 – unit prototaip kini dilihat diuji dengan kit badan, nampak lebih tegap dari Geely Emgrand

    Dengan kelengkapan-kelengkapan tersebut, berkemungkinan sistem ADAS pada S50 ini akan memberikan pemanduan autonomi Tahap 2 yang memberikan fungsi bukan sahaja brek kecemasan automatik, malah sistem cruise control adaptif dengan bantuan kekal/pengelak keluar lorong.

    Selain itu, S50 turut dijangka akan menampilkan unit rangkaian kuasa lebih baik iaitu enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh kelajuan seperti pada Proton X50, berbanding Emgrand di China yang hanya menerima enjin 1.5 liter NA dengan kotak gear CVT.

    Ini kerana setakat ini Proton tidak membayangkan akan menggunakan enjin 1.5L NA dari Geely berkenaan untuk mana-mana model baharu, sebaliknya menyatakan enjin 1.5L Turbo yang kini sudahpun dipasang di Tanjung Malim akan menjadi enjin utama untuk model-model baharunya yang akan dilancarkan pada 2023 dan 2024.

    Enjin yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo serta dikenali dengan kod dalaman GEP3 tersebut akan menggantikan tugas enjin 1.6 liter Campro Turbo sebelum ini yang telahpun ditamatkan terus pembangunannya.

    Proton S50 – unit prototaip kini dilihat diuji dengan kit badan, nampak lebih tegap dari Geely Emgrand

    Unit ujian Proton S50 yang dijumpai tanpa kit badan sebelum ini

    Di Filipina, Emgrand merupakan sedan segmen-B yang bersaing dengan model seperti Honda City dan juga Toyota Vios. Namun menerusi petunjuk yang didedahkan oleh CEO Proton Dr Li Chunrong pada Mac lalu, Proton S50 bukanlah model sedan segmen-B yang akan menggantikan Proton Persona sedia ada kerana ia merupakan model serba baharu dan tidak akan menggantikan mana-mana model yang sedang dijual di bilik pameran Proton buat masa sekarang.

    Oleh itu S50 ini dijangka akan menjadi sedan Proton untuk bersaing dalam kelas segmen-C di Malaysia bagi berhadapan dengan Honda Civic dan Toyota Corolla, kerana ia mempunyai enjin yang cukup berkuasa dan juga sistem ADAS yang cukup canggih setaraf dengan saingannya.

    Malah saiz Emgrand di China turut hadir dengan saiz yang agak besar berbanding saingan segmen-B, membolehkan ia masuk ke saingan segmen-C, menampilkan dimensi 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm.

    Proton S50 – unit prototaip kini dilihat diuji dengan kit badan, nampak lebih tegap dari Geely Emgrand

    Unit ujian Proton S50 yang dijumpai tanpa kit badan sebelum ini

    Jika dibandingkan dengan Honda Civic FE, Emgrand hanya hanya 40 mm lebih pendek, dan ia adalah 18 mm lebih lebar. Manakala jarak rodanya pula adalah sama sepenuhnya dengan sedan segmen-C Proton yang sudah tidak lagi ditawarkan iaitu Proton Preve.

    Kami juga menjangkakan S50 turut akan menampilkan harga seperti Preve iaitu harga seperti segmen-B tetapi dengan ciri seperti segmen-C. Preve sebelum ini dijual pada harga bermula RM59,990 sehingga RM72,990 ketika ia dilancarkan pada 2012, manakala Proton Persona dijual pada harga bermula RM47,800 untuk varian 1.6L Standard CVT hingga RM58,300 untuk varian tertinggi 1.6L Premium CVT.

    Jadi kami jangkakan varian paling rendah untuk Proton S50 ini kelak mungkin boleh dijual bermula RM60k untuk varian paling asas. Apa pun kita tunggu sahaja pengumuman rasmi dari Proton kerana kita sudahpun berada dipertengahan suku ketiga 2023, tak lama lagi akan mula masuk suku terakhir tahun ini.

     
     
  • Supercharger Tesla di Pavilion mula beroperasi — RM1.25 per kWh, RM4 seminit jika biar kenderaan?

    Supercharger Tesla di Pavilion mula beroperasi — RM1.25 per kWh, RM4 seminit jika biar kenderaan?

    Ada makluman yang menyatakan bahawa Tesla Supercharger di Pavilion Kuala Lumpur kini sudah beroperasi. Sebuah tangkap layar tentang lokasi berkenaan di dalam aplikasi telah dimuat naik ke MyEVOC Facebook Group hari ini, dengan petunjuk tujuh daripada lapan stesen ada tersedia, dan sudah tentu ada diantaranya merupakan pengecas Tesla berkenaan.

    Bayaran dibuat kepada Tesla melalui kad kredit/debit yang didaftarkan dalam aplikasi. Kadar yang dikenakan bagi Supercharger Pavilion Kuala Lumpur adalah RM1.25 per kWh dengan yuran membiar kenderaan ialah RM4 seminit. Ketika ini, ruang berkenaan hanyalah untuk kenderaan Tesla sahaja. Untuk masa hadapan, akan ada ruang pengecasan sama yang terbuka untuk digunakan oleh EV dari jenama lain — selari dengan keperluan yang digariskan oleh MITI di dalam program BEV Global Leaders.

    Ini bermakna, sekiranya telah selesai mengecas dan pengguna membiarkan kenderaan mereka diparkir di situ, mereka akan dikenakan bayaran RM4 seminit kerana tidak mengosongkan pengecas. Jika pengguna mematikan sambungan dan mengalih kereta dalam tempoh lima minit selepas tempoh pengecasan tamat, yuran membiarkan kenderaan itu akan dibatalkan.

    Supercharger Tesla di Pavilion mula beroperasi — RM1.25 per kWh, RM4 seminit jika biar kenderaan?

    Walaupun kadar bayaran membiarkan kenderaan ini baik untuk mengelakkan salah guna ruang dan kemudahan untuk pengguna lain, tetap belum ada cara untuk mendenda mana-mana kenderaan Tesla yang diparkir di ruang supercharger itu tanpa ada apa-apa sambungan pengecasan.

    Kemudahan tersebut dimaklumkan mempunyai kuasa maksimum 250 kW, namun tentunya bukan semua lapan ruang itu mampu memberikan 250 kW dalam masa yang sama. Kapasiti pengecasan kenderaan Tesla juga tidak mampu menampung 250 kW itu untuk tempoh yang lama, dan dengan kadar bayaran adalah berdasarkan kWh dan bukannya masa, kuasa maksimum tidak memberi kesan kepada pengecasan.

    Selain Pavilion Kuala Lumpur, lokasi lain yang telah dikenal pasti untuk Tesla Supercharger sebelum ini termasuklah lima di Lembah Klang; Dengkil dan Petaling Jaya di Selangor, dan Bukit Jalil serta dua lagi lokasi di KL. Dua lagi akan berada di kawasan Utara — Ipoh dan Perai — sementara di Selatan juga akan ada dua — di Negeri Sembilan dan Iskandar Puteri.

     
     
  • BYD kaji buka kilang pemasangan EV di Filipina

    BYD kaji buka kilang pemasangan EV di Filipina

    BYD dilaporkan sedang meneroka kemungkinan untuk membuka kilang pemasangan EV di Filipina. Namun, langkah itu akan bergantung kepada tahap sokongan dan insentif kerajaan yang diterima, termasuklah pengecualian cukai, lapor Philippine Daily Inquirer.

    Menurut Pengarah Urusan BYD Filipina dan Singapura, James Ng, syarikat itu masih dalam peringkat meneroka dan menjalankan kajian awal untuk membina kilang pemasangan tempatan di sana. “Kami tiada perancangan buat masa ini, tetapi sedang meneroka kemungkinan,” ujarnya.

    Ng juga menambah, syarikat itu ketika ini sedang memberi tumpuan terhadap kerjasama pengedaran dengan AC Motors, sebuah anak syarikat Ayala Corporation. Awal bulan ini, BYD dan AC Motors telah mengumumkan perjanjian kerjasama dengan 12 pengedar BYD dijangka akan dibuka di Filipina dalam tempoh 12 bulqn akan datang, dan Atto 3 akan diperkenalkan pada hujung tahun nanti.

    BYD kaji buka kilang pemasangan EV di Filipina

    Filipina bukanlah satu-satunya negara di rantau ini yang sedang mempertimbang untuk membuka kilang BYD. Awal tahun ini, dilaporkan Vietnam dan Indonesia juga turut bersaing untuk menjadi lokasi pembinaan kilang pemasangan oleh jenama pengeluar China itu.

    Seperti Indonesia, Filipina juga merupakan pengeluar utama nickel, dirujuk sebagai pengeluar terbesar peringkat global pada 2022, menjadikannya pilihan terbaik untuk pengeluar EV dan bateri, yang mana bahan berkenaan menjadi bahan utama pembuatan.

    Terlepas peluang pelaburan sebelum ini disebabkan kadar tenaga yang tinggi, menuju ke depan, Filipina ingin menempatkan negaranya sebagai hab bagi kemudahan pengeluaran mapan. Menjelang 2040, negara itu mensasarkan akan meningkatkan kadar perkongsian tenaga boleh diperbaharui kepada separuh untuk tenaga elektrik, daripada kadar sekarang yang hanya melibatkan 30%.

     
     
  • Ferrari 812 Competizione Tailor Made dengan konsep conteng luar dan dalam akan dibuka untuk lelongan

    Ferrari 812 Competizione Tailor Made dengan konsep conteng luar dan dalam akan dibuka untuk lelongan

    Tahun ini di acara Monterey Car Week, Ferrari telah menunjukkan 812 Competizione unik, lain daripada yang lain, yang akan dilelong sewaktu Ferrari Gala di New York 17 Oktober nanti. Kereta yang dihasilkan oleh cabang Tailor Made pengeluar Itali itu mengambil inspirasi daripada konsep kertas kosong, iaitu bagaimana pusat rekaan Ferrari memulakan penyelidikan kreatif untuk setiap model baru.

    Model 812 Competizione sudah sedia merupakan model yang terhad, dengan hanya 999 unit dibuat untuk seluruh dunia, tetapi unit khas Tailor Made ini dijadikan lebih istimewa dengan penampilan seperti lukisan di atas kertas.

    Contengan Nero DS Sketch matte di sekeliling badan berwarna Giallo Tristrato kereta ini sebenarnya dibuat untuk menjelaskan lagi bahagian pentingnya termasuk panel gentian karbon atas bonet yang bertindak sebagai salur udara untuk enjin V12 6.5 liter di bawahnya.

    Anda juga dapat melihat contengan pada bahagian louvre tepi serta vortex generator pada panel badan belakang. Tidak cukup dengan luar, bahagian dalam juga mendapat rekaan konsep contengan sama dengan tempat duduknya mempunyai sulaman seperti lukisan. Begitu juga dengan papan pemuka.

    Di dalam siaran akhbar Ferrari tertulis, “cabaran utama adalah mencari keseimbangan antara realisasi teknikal sempurna dan mengekalkan cetusan kreatif serta hasil kerja berseni yang mengalir daripada lukisan ketua pereka Ferrari, Flavio Manzoni, yang menjadi inspirasi kepada model ini berserta perinciannya.”

    Bahagian mekanikal tidak diubah, dengan model ini masih mampu menghasilkan 830 PS dan tork 692 Nm. Enjin V12 itu dipadankan bersama kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan untuk memacu roda belakang, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.85 saat dan mencapai kelajuan maksimum 340 km/j.

     
     
  • Polis hantar saman ‘ekor’ terus ke rumah pesalah trafik bagi kesalahan pandu melebihi had laju

    Polis hantar saman ‘ekor’ terus ke rumah pesalah trafik bagi kesalahan pandu melebihi had laju

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengesahkan berkuat kuasa semalam, saman ‘ekor’ akan dihantar terus ke rumah pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan memandu melebihi had laju. Penguatkuasaan berkenaan dilaksanakan terhadap kesalahan memandu laju bagi pengeluaran notis K170A di semua lebuh raya termasuk jalan persekutuan.

    Menurut Timbalan Pengarah JSPT, Bukit Aman Datuk Mohd Nasri Omar, penguatkuasaan saman bagi kesalahan memandu melebihi had laju ini akan dijalankan secara berterusan di semua kontinjen dan daerah, laporan Harian Metro.

    Jelasnya, tindakan yang dilaksanakan ini adalah bagi memberi peringatan kepada semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan di dalam negara.

    “Kita (JSPT) akan menggunakan kamera tembak laju bagi merakam mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar had laju yang ditetapkan. Saman kompaun sebanyak RM300 akan dikenakan kepada mereka yang dikesan dan ia akan dipos ke rumah mereka,” katanya.

    Beliau menambah, memandu melebihi kelajuan adalah salah satu punca utama kemalangan jalan raya di negara ini yang mana pemandu gagal mengawal kenderaan lalu berlaku hilang kawalan.

    “JSPT menasihati semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mengikut peraturan yang ditetapkan dan memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi tanpa kompromi. Kerjasama daripada orang ramai diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran ke atas kepentingan menjaga keselamatan diri dan orang lain,” katanya.

     
     
  • Maserati MCXtrema diperkenal – MC20 versi litar dengan kuasa 730 PS, keluaran terhad 62 unit sahaja

    Maserati MCXtrema diperkenal – MC20 versi litar dengan kuasa 730 PS, keluaran terhad 62 unit sahaja

    Maserati telah memperkenalkan MCXtrema, iaitu sebuah MC20 versi litar yang akan dikeluarkan cuma sebanyak 62 unit untuk seluruh dunia. Dipanggil oleh Maserati sebagai sebuah kereta lumba homologasi, MCXtrema masih menggunakan enjin 3.0 liter ‘Nettuno’ sama seperti MC20 biasa, tetapi menghasilkan 100 PS lebih, menjadi keseluruhannya 730 PS pada 7,500 rpm dan tork 730 Nm pada 3,000 rpm.

    Kuasa yang naik banyak ini datang daripada penggunaan pengecas turbo baru serta sistem ekzos lumba yang masih mempunyai catalytic converter. Unit pengawal enjin (ECU) pula menggunakan Bosch MS6.4, dengan kawalan cengkaman daripada Maserati Corse.

    Bahagian transmisi menggunakan resepi yang sudah terbukti di litar, iaitu menggantikan unit klac berkembar tujuh kelajuan dengan unit lumba sequential enam kelajuan bersama pedal penukar di stereng. Turut dipasang pada MCXtrema adalah klac lumba serta differential belakang limited slip dan boleh kunci sendiri.

    Sama seperti MC20 biasa, MCXtrema menggunakan kerangka tab monocoque gentian karbon dengan suspensi double wishbone di setiap penjuru. Penghentian kereta dilaksana oleh brek gentian karbon dengan tekanan serta ABS yang boleh dilaras.

    Secara keseluruhannya MCXtrema mencatat berat kering 1,300 kg, dengan ukuran panjang 5,199 mm dan lebar 2,405 mm. Sebagai kereta kegunaan litar, MCXtrema ditambah dengan roll cage di dalam, tangki minyak FT3 120 liter serta sistem pengangkat udara – semuanya mendapat kelulusan FIA.

    Panel badan MCXtrema dibuat oleh Maserati Centro Stile, menggunakan bahan komposit penuh serba ringan bersama sayap belakang, splitter hadapan dan diffuser belakang yang boleh dilaras, serta bahagian bawah kenderaan yang ditutup sepenuhnya menggunakan gentian karbon. Mengikuti keperluan FIA, kereta ini mempunyai tempat keluar di atas, manakala cermin hadapan dan tingkap tepi diganti dengan polikarbonat.

    Maserati MCXtrema diperkenal – MC20 versi litar dengan kuasa 730 PS, keluaran terhad 62 unit sahaja

    Bahagian dalam MCXtrema cuma mempunyai satu tempat duduk bucket lumba serta tali pinggang six point. Pemandu boleh menjadikan kedudukan lebih selesa dengan pelarasan pada pedal serta stereng, sementara pendingin hawa masih dikekalkan dan terdapat pelbagai butang kawalan pada stereng gentian karbonnya. Tidak ketinggalan adalah pemadam api mengikut spesifikasi FIA.

    Maserati menjelaskan MCXtrema adalah “lain daripada yang lain”, sambil menyatakan banyak lagi model istimewa keluaran terhad akan diperkenalkan, termasuk dengan tetapan lumba seperti MCXtrema ini. Untuk pengetahuan, semua 62 unit MCXtrema ini sudah habis dijual.

     
     
  • Toyota tanam strawberi dan tomato ceri di kilang bagi percepat usaha ke arah neutral karbon, bantu petani

    Toyota tanam strawberi dan tomato ceri di kilang bagi percepat usaha ke arah neutral karbon, bantu petani

    Kita tahu dalam usahanya kearah neutral karbon menjelang 2035, Toyota bukan hanya menumpukan terhadap teknologi kenderaan elektrik (EV), malah lebih dari itu termasuk terus menambahbaik teknologi hibrid dan juga sedang giat membangunkan enjin yang dijana oleh hidrogen.

    Tak cukup dengan itu, Toyota turut melihat semula bagaimana sisa-sisa dari barisan produksinya boleh digunakan semula bagi mempercepatkan proses kearah karbon neutral tersebut – salah satunya adalah mewujudkan kebun tanaman di fasiliti pengilangannya di Jepun.

    Untuk itu, kilang Kamigo Toyota yang menghasilkan enjin untuk Toyota Crown dan juga model-model Lexus kini mempunyai kebun yang menanam pokok strawberi, manakala kilang Myochi yang menghasilkan komponen-komponen sistem rangkaian kuasa pula kini mempunyai kebun yang menanam pokok tomato ceri.

    Menurut laporan Toyota Times, kilang-kilang yang terlibat dalam projek ini mempunyai rumah hijau yang diwujudkan bagi menempatkan kebun tumbuh-tumbuhan tersebut. Ia menggunakan sisa gas karbon dioksida (CO2) dan yang terhasil dari kilang berkenaan untuk membantu proses fotosintesis pada pokok-pokok yang ditanam, dalam masa yang sama pokok-pokok tersebut akan membebaskan gas oksigen dalam proses itu.

    Malah sisa haba yang dihasilkan oleh kilang-kilang tersebut juga dapat membantu mengekalkan suhu rumah-rumah hijau yang dibina bagi membolehkan tanaman-tanaman membuahkan hasil sepanjang tahun tanpa mengira musim.

    Toyota turut menggunakan kepakaran mereka dalam bidang produksi bagi menambahbaik proses penanaman tersebut termasuk kepakaran untuk meramal cuaca dan pasaran, menggunakan Toyota Production System (TPS) dan pelbagai lagi. Kebun-kebun iyu juga menampilkan beberapa ciri inovatif contohnya pokok-pokok yang ditanam pada bekas yang mempunyai rel di bawahnya bagi membolehkan ia ditanam secara rapat dan menjimatkan ruang.

    Lampu-lampu pada rumah hijau ini juga menggunakan LED yang berwarna merah jambu yang didakwa dapat memberikan hasil buah strawberi yang lebih manis.

    “Buah strawberi tidak akan menjadi baik sekiranya cahaya terlalu terang atau terlalu lemah, sebab itu lah kami kawal cahaya dengan LED pada hari hujan atau mendung,” kata Daichi Shinkai, pengurus kumpulan divisi kejuruteraan pengeluaran enjin yang turut terlibat dalam projek di kilang Kamigo ini.

    “LED tersebut nampak berwarna merah jambu sebab kami telah buang tona hijau. Cahaya hijau tidak diperlukan untuk fotosintesis, iaitu proses yang penting dalam tumbesaran tumbuh-tumbuhan. Kami turut menggunakan cahaya ultra ungu bagi membunuh bakteria bagi membolehkan kami mengurangkan penggunaan racun serangga,” katanya lagi.

    Toyota tanam strawberi dan tomato ceri di kilang bagi percepat usaha ke arah neutral karbon, bantu petani

    Toyota turut bekerjasama dengan petani-petani setempat untuk memulakan projek ini pada April tahun lalu. Hasil buah-buahan yang dituai tidak dijual dipasaran dan besaing dengan petani-petani lain, sebaliknya ia dibekalkan kepada kafeteria pekerja di kilang berkenaan secara percuma.

    “Kami di sini bukan mahu mengambil kerja petani, tetapi kami mahu membantu mereka bagi menghasilkan sistem pertanian yang efisien serta memberikan pelbagai sokongan teknikal lain,” kata Hiroshi Okajima, pengurus besar projek divisi R&D dan pengurusan kejuruteraan Toyota Jepun.

    “Jika kita tengok keseluruhan perniagaan makanan, produksi duduk di bahagian paling bawah. Anda tak boleh naikkan keuntungan tanpa mengambilkira infrastruktur bagi memproses dan mengedarkan. Saya juga di sini percaya kami boleh gunakan kepakaran Toyota, sama ada dalam perkhidmatan langganan atau model perniagaan yang berjaya yang telah diamalkan oleh syarikat dengan pengedar,” tambah Okajima lagi.

     
     
  • Honda WR-V di M’sia – 2,200 unit telah dihantar kepada pelanggan dalam sebulan dilancar, varian RS terlaris

    Honda WR-V di M’sia – 2,200 unit telah dihantar kepada pelanggan dalam sebulan dilancar, varian RS terlaris

    Honda Malaysia (HM) mengumumkan bahawa pihaknya telah menghantar sejumlah 2,200 unit model WR-V kepada pelanggan terawal yang menempahnya, dalam tempoh sebulan ia dilancarkan pada 13 Julai lalu.

    Perkara ini diumumkan dalam majlis penyerahan WR-V kepada pelanggan pertama yang menempahnya, Nurain Mohamad, yang berlangsung di pusat pengedar Honda yang dikendalikan oleh Accord Auto Sdn. Bhd. Dalam majlis berkenaan, HM turut berbesar hati menghadiahkan Nurain pakej aksesori Honda, Ultra Glass Body Coating dan cenderahati rasmi jenama ini, kesemuanya bernilai RM5,000.

    “Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pelanggan kami atas kepercayaan mereka terhadap jenama Honda dan sokongan untuk WR-V serba baharu, yang merupakan model serba baharu dalam segmen Bukan Nasional.

    “Sejak dilancarkan, model ini telah diterima baik di pasaran dan mencapai prestasi jualan yang luar biasa. Varian RS adalah penyumbang terbesar merangkumi 60% daripada jumlah jualan setakat ini. Kami juga berbesar hati untuk berkongsi bahawa WR-V serba baharu merupakan model kedua terlaris dalam barisan Honda kami untuk bulan Julai 2023,” kata Pengarah Urusan dan CEO HM Hironobu Yoshimura.

    Pemilik Accord Auto Sdn Bhd, Ng Jit Hua pula berkata, “Kami amat berbesar hati kerana dapat menghantar WR-V serba baharu berdaftar kepada Nurain, pemilik pertama WR-V di Malaysia. Kami komited memenuhi jangkaan pelanggan kami dan terus memberikan perkhidmatan jualan dan selepas jualan berkualiti tinggi kepada semua pelanggan Honda.”

    ““Apabila Honda Malaysia mengumumkan bahawa mereka melancarkan WR-V serba baharu, saya membuat kajian tentang kereta itu dan langsung kagum dengan reka bentuk dan cirinya. Model ini mempunyai profil muda dan bertenaga, dipamerkan dengan gaya dan penampilan menarik yang mencerminkan keperibadian saya. Saya suka WR-V serba baharu kerana mempunyai reka bentuk kompak di luar tetapi masih mempunyai ruang yang luas di dalam. Oleh itu, saya percaya saya boleh menikmati pengalaman di atas jalan yang selesa dan inilah SUV kecik yang sempurna yang saya cari,” kongsi Nurain pula.

    Honda WR-V di M’sia – 2,200 unit telah dihantar kepada pelanggan dalam sebulan dilancar, varian RS terlaris

    Untuk pasaran Malaysia, WR-V menawarkan empat varian iaitu model asas 1.5 S yang dijual pada harga RM89,900, diikuti varian pertengahan 1.5 E berharga RM95,900, manakala 1.5 V pula berharga RM99,900. Model spesifikasi tertinggi 1.5 RS pula ditawarkan pada harga RM107,900. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans, dan WR-V 2023 diberikan waranti pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan dan lima kali penyelenggaran dengan kos buruh percuma.

    WR-V 2023 ini menerima enjin yang sama seperti Honda City dan varian asas HR-V Grade S iaitu unit L15ZF 1.5 liter naturally-aspirated (NA) DOHC i-VTEC empat-silinder petrol yang menghasilkan kuasa 121 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,300 rpm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik dan hanya memacu roda hadapan. Jadi dari segi kuasa juga WR-V adalah lebih besar dari Ativa yang digerakkan oleh enjin 1.0L turbo tiga-silinder berkuasa 97 hp dan tork 140 Nm.

    Dengan padanan mekanikal tersebut, kelajuan maksimum yang mampu dicapai oleh WR-V 2023 mencecah 160 km/j. Untuk varian S dan E, pecutan dari 0-100 km.j boleh dicapai dalam 11 saat, manakala 11.1 saat untuk varian V dan RS pula 11.3 saat.


    Untuk kelengkapan keselamatan pula, kesemua varian diberikan ciri standard termasuk cagak Isofix, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), ABS dengan EBD, Bantuan Mula Mendaki (HSA), Isyarat Berhenti Kecemasan, dua penderia undur, pengingatan pemakaian tali pinggang keledar dan juga Honda LaneWatch. Model spesifikasi penuh 1.5 RS menerima enam beg udara, manakala empat unit bagi tiga varian di bawahnya.

    Tiga varian tertinggi juga menerima ciri Honda Sensing yang merangkumi sistem pemberitahu kereta hadapan bergerak (LCDN), kawalan kelajuan adaptif (ACC), Sistem Brek Pengelak Pelanggaran (CMBS) bersama Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Pengelak Keluar Jalan (RDM), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB)

    GALERI: Honda WR-V 1.5 RS

     
     
  • GWM Cannon Ultra dibuka tempahan di Malaysia – 66 unit pertama trak pikap double-cab, dari RM128k

    GWM Cannon Ultra dibuka tempahan di Malaysia – 66 unit pertama trak pikap double-cab, dari RM128k

    GWM Cannon telah pun merekodkan sejumlah 500,000 unit yang diproduksi, dan trak pikap double-cab itu kini telah dibuka tempahannya di Malaysia, dengan 66 unit pertama telah pun tiba di sini.

    Pertama kali dipertontonkan dalam Malaysia Autoshow pada Mei lalu, Cannon P12 terlebih dahulu dipromosi di Malaysia dengan varian Ultra yang ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insuran RM127,800. Ia dilindungi waranti selama lima-tahun atau 150,000 km. Manakala varian P11 iaitu trak pikap double-cab yang lebih kepada trak komersil pula dikatakan akan diperkenalkan kemudian.

    Trak pikap ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter turbodiesel empat-silinder yang mampu menghasilkan sehingga 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan tork maksima 400 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dari ZF bersama sistem pacuan empat roda.

    Cannon P12 Ultra yang sesuai untuk kegunaan persendirian harian ini menerima gril hadapan dengan elemen melintang yang disalut krom bersama lampu hadapan bersama lampu nyalaan siang LED, berbanding P11 yang diberikan gril dengan elemen batu berlian bersama lampu hadapan dengan bentuk sedikit berbeza, tanpa lampu nyalaan siang.

    Perincian lain yang turut diberikan pada Cannon P12 termasuk differential boleh kunci pada gandar belakang, pelbagai mod pemanduan, lampu utama LED automatik, lampu belakang LED, cermin sisi larasan kuasa, pemijak kaki belakang, dan roda aloi 18-inci dengan tayar 265/60.

    Untuk kabinnya, ia dilengkapi upholsteri kulit, tempat duduk larasan kuasa, penukar gear di stereng, panel instrumen digital tujuh inci, skrin sesentuh sembilan-inci (dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay), pendingin hawa automatik (dengan corong di belakang) serta sistem tanpa kunci, stereng berkuasa elektrik dan butang penghidup enjin.

    Bagi sistem keselamatan dan bantuan pemanduan, P12 dilengkapi dengan enam beg udara, kamera 360 darjah, brek parkir elektronik, sistem pengenalan tanda jalan dan ciri pemanduan autonomous Tahap 2 yang merangkumi sistem Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Lane Centring Assist dan Autonomous Emergency Braking (AEB).

    GALERI: GWM Cannon P12

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025