Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Seksyen 13 Shah Alam dilanda banjir – elak redah jalan ditenggelami air, perlunya insurans bencana alam

    Seksyen 13 Shah Alam dilanda banjir – elak redah jalan ditenggelami air, perlunya insurans bencana alam

    Hujan lebat yang melanda Shah Alam hampir sejam sejak kira-kira 3 petang tadi telah mengakibatkan banjir kilat di Seksyen 13. Beberapa jalan utama di lokasi berkenaan kelihatan ditenggelami air banjir hingga menyukarkan kenderaan melaluinya.

    Menerusi tinjauan beberapa laman Facebook dan Twitter yang berkongsikan foto-foto dan video kejadian banjir mendapati paras air banjir hampir menenggelami kenderaan yang diparkir di kawasan berkenaan. Malah air banjir kelihatan sedikit deras dan hampir memasuki premis perniagaan termasuk beberapa restauran dan kafe di kawasan sekitar.

    Buat masa ini, tiada maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan kami akan kemaskini artikel ini sekiranya terdapat info terkini mengenai kejadian banjir ini.

    Untuk penduduk dan orang ramai yang berada di kawasan sekitar, diharap sentiasa berhati-hati sewaktu memandu di kawasan berhampiran. Dan tolong elak dari meredah air banjir kerana dibimbangi ia akan merosakkan kenderaan anda dan juga kita tidak tahu bahaya atau risiko yang sedang menanti.

    Dalam situasi sebegini, sudah pasti insurans kerosakan akibat banjir atau bencana alam (special perils) untuk kenderaan adalah sangat penting. Dengannya, kita boleh merasa sedikit tenang jika dalam keadaan tidak disangka, kereta tenggelam akibat banjir atau bencana alam lain.

    Kami juga pernah kumpulkan informasi mengenai bayaran insurans bencana alam ini, daripada beberapa penyedia insurans utama Malaysia, termasuk AIA, AIG, Allianz, AXA, Etiqa, Kurnia, MPI Generali, MSIG, RHB, Takaful dan Tokio Marine. Kadarnya adalah antara 0.15% hingga 0.5% daripada jumlah keseluruhan perlindungan kenderaan anda.

    Adalah lebih baik mengambil insurans bencana alam berbanding terpaksa menghabiskan beribu-ribu ringgit apabila kenderaan anda rosak akibat banjir, kan? Sekurang-kurangnya ia mampu meringankan beban kewangan anda sekiranya kenderaan anda mengalami kerosakan akibat banjir.

     
     
  • GIIAS 2023: Porsche Cayenne facelift diperkenalkan – lebih kuasa, kelengkapan dinaiktaraf, semakan gaya

    GIIAS 2023: Porsche Cayenne facelift diperkenalkan – lebih kuasa, kelengkapan dinaiktaraf, semakan gaya

    The Porsche Cayenne facelift telah pun diperkenalkan dalam acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 selepas beberapa bulan model yang dipertingkatkan ini didedahkan di peringkat global pada April lalu. Ditawarkan dengan bentuk badan SUV dan coupe, Cayenne baharu ini diberikan beberapa penggayaan yang disemak semula dan lebih segar.

    Bermula dengan hadapannya, bahagian bonet, sisi dan lampu utama juga telah direka semula. Kini lampu utamanya hadir dengan unit matrix LED dengan unit pencahayaan pada setiap kluster. Pada bahagian belakangnya pula, Cayenne ini menerma lampu belakang tiga-dimensi baharu dengan palang cahaya, sementara tailgate pula lebih ringkas dengan plat nombor diposisikan di bahagian bawah berbanding sebelum ini.

    Di dalamnya pula, pemilih gear yang sebelum ini dihadirkan dengan tuil pada konsol tengah telah ditukar kepada suis toggle yang ditempatkan di papan pemuka. Selain itu, perubahan melibatkan skrin dengan paparan kluster instrumen digital 12.6-inci menyertai skrin sesentuh infotainmen 12.3-inci serta skrin sesentuh 10.9-inci untuk penumpang hadapan.

    GIIAS 2023: Porsche Cayenne facelift diperkenalkan – lebih kuasa, kelengkapan dinaiktaraf, semakan gaya

    Selain peningkatatan pendigitalan dalam skrin, SUV ini ini turut dipertingkatkan sistem pemantauan kualiti udara yang menggunakan data navigasi ramalan untuk mengesan apabila kenderaan menghampiri terowong dan akan menghidupkan peredaran semula udara secara automatik. Penapisan habuk bawaan udara yang lebih halus juga tersedia, bersama-sama dengan onboard ioniser untuk mengurangkan kuman dan bahan pencemar.

    Bagi penjana kuasanya, Cayenne S dikuasakan oleh unit 4.0 liter pengecas turbo V8 menggantikan enjin terdahulu 2.9 liter biturbo V6. Penjana kuasa lapan-silinder ini mampu menghamburkan kuasa hingga 474 PS dan 600 Nm, iaitu lebih 34 PS dan 50 Nm berbanding unit V6, membenarkan SUV ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.7 saat dan kelajuan maksimum cecah 273 km/j.

    Jika mahukan V6, Cayenne asas (foto si sini) dikuasakan oleh unit 3.0 liter pengecas turbo dengan 353 PS dan 500 Nm, iaitu lebih 13 PS dan 50 Nm berbanding sebelum ini. Unit V6 ini juga digunakan dalam varian plug-in hybrid menerusi Cayenne E-Hybrid yang menerima motor elektrik yang dipertingkatkan dengan kadar 176 PS untuk keseluruhan kuasa cecah 476 PS.

    GIIAS 2023: Porsche Cayenne facelift diperkenalkan – lebih kuasa, kelengkapan dinaiktaraf, semakan gaya

    Pilihan PHEV itu juga menerima pek bateri yang dipertingkatkan dengan kapasiti tenaga mencecah 25.9 kWh (naik berbanding 17.9 kWh), jadi jarak pacuan elektrik mampu cecah 90 km mengikut kitaran WLTP. Banteri ini boleh dicas di bawah 2.5 jam menggunakan pengecas onboard AC 11 kW.

    Selain daripada itu, ia juga membariskan Cayenne Turbo GT dengan enjin yang lebih padu iaitu unit 4.0 liter biturbo V8 dengan ledakan kuasa 659 PS (+19 PS), dengan pecutan 0-100 km/j dalam 3.3 saat dan kelajuan maksimum cecah 305 km/j. Kesemua varian diberikan transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda.

    Bahagian casis juga disemak semula termasuk damper dengan teknologi dua-injap untuk memisahkan seksyen pemampatan dan rebound (lantunan semula), di mana Porsche berkata ia membanti menawarkan prestasi yang lebih meluas di antara pengendalian yang lebih selesa. Gegelung keluli juga diberikan secara standard, sementara suspensi udara adaptif ditawarkan secara pilihan dengan skop pelarasan yang menawarkan pembezaan yang lebih luas di antara mod pemanduan Normal, Sport dan Sport Plus.

     
     
  • Triumph tunjuk teaser enjin motocross serba baharu

    Triumph tunjuk teaser enjin motocross serba baharu

    Siri teaser Triumph untuk motocross serba baru mereka diteruskan dengan penyiaran video yang memberikan gambaran awal kepada enjin yang akan digunakan. Perincian teknikal sudah tentu masih dirahsiakan, tetapi kita boleh melihat, seperti kebanyakan motosikal lain jenis ini, ia menggunakan antaranya tetapan satu silinder serta sistem penyejukan cecair.

    Daripada siaran akhbar yang pernah dikeluarkan oleh Triumph berkenaan penyertaan dalam FIM Motocross World Championship, mereka akan bermula dengan motosikal MX empat strok 250 cc serba baru pada tahun 2024 dan diikuti 450 cc pada tahun 2025.

    Bekas pelumba motocross professional, Ricky Carmichael yang boleh dikatakan sebagai muka utama dalam pembangunan motocross Triumph menyatakan enjin baru yang ringan dan kompak ini mempunyai identiti tersendiri, dan mampu memberikan penyampaian kuasa yang baik pada kedua-dua tahap rpm rendah dan juga tinggi.

    Ia dapat dicapai dengan pembangunan yang menggabungkan ciri terbaik dalam maklumat yang mereka perolehi, dan dengan karekter seperti ini, ia mudah disesuaikan dengan pelbagai jenis penunggang dan perlumbaan yang disertai.

    Dalam masa beberapa minggu ke hadapan, beberapa lagi video berkenaan jentera motocross baru Triumph ini akan dikeluarkan, dan episod seterusnya mungkin akan menunjukkan enjin ini sudah dipasang pada casis aluminium dan dibelasah oleh Carmichael.

     
     
  • Yamaha Y15ZR SE dilancar untuk pasaran Malaysia – harga RM9.5k, dapat warna khas dan kit aerodinamik

    Yamaha Y15ZR SE dilancar untuk pasaran Malaysia – harga RM9.5k, dapat warna khas dan kit aerodinamik

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini mengumumkan pengeluaran Y15ZR Special Edition (SE) untuk pasaran Malaysia, dijual pada harga RM9,498 tidak termasuk insurans. Jika mengikut harga cadangan yang dikeluarkan, model ini RM500 lebih mahal berbanding Y15ZR biasa yang harganya diletakkan pada RM8,998.

    Keistimewaan utama Y15ZR SE seperti yang boleh dilihat adalah pada penampilannya, menggunakan panel badan berwarna biru gelap berserta jalur hitam, merah dan emas. Rim pula menggunakan warna emas. Kemudiannya, pemilik juga akan menerima kit aero lima keping, yang dipasang pada bahagian panel tepi, belakang serta penghadang lumpur hadapan.

    Selain daripada itu, ciri Y15ZR ini masih sama seperti versi standard, bermula dengan enjin iaitu unit satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc suntikan bahan api yang digandingkan bersama kotak gear lima kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15.5 PS pada 8,500 rpm dan 14.4 Nm tork pada 7,000 rpm. Ia datang dengan brek cakera depan dan belakang, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 4.2 liter.

    Model ini juga dilengkapi dengan meter jenis LCD digital manakala lampu utama hadapan pula adalah unit LED. Rim adalah bersaiz 17 inci, dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

    Perincian lain Y15ZR V2 adalah termasuk berat keseluruhan 117 kg, tinggi tempat duduk 780 mm, fork teleskopik hadapan, monoshock di belakang, pemula enjin elektrik, butang lampu tinggi (passing light) dan butang mematikan enjin (kill switch).

    Harga yang dinyatakan di atas adalah harga cadangan pengeluar, dan setiap pembelian diberikan jaminan dua tahun atau 20,000 km, serta kunci cakera brek yang bernilai RM100 secara percuma.

     
     
  • Regas Premium Sabah lancar fasiliti cas EV awam pertama di Sabah – 2 pengecas 11 kW, RM6 sejam

    Regas Premium Sabah lancar fasiliti cas EV awam pertama di Sabah – 2 pengecas 11 kW, RM6 sejam

    Regas Premium Sabah, pengedar tunggal BMW Group Malaysia di Sabah sejak 2018, telah melancarkan fasiliti pengecasan kenderaan elektrik (EV) awam pertama di negeri berkenaan.

    Terletak di ruang parkir bawah tanah T1 Bundusan di Kota Kinabalu, fasiliti ini menampilkan dua pengecas AC dengan kapasiti kuasa 11 kW. Regas Premium telah bekerjasama dengan JomCharge untuk memasang fasiliti pengecasan yang dibuka 24 jam sehari ini untuk kegunaan orang ramai dengan kadar bayaran standard RM6 sejam.

    “Dengan pelancaran rasmi fasiliti pengecasan tersebut, kami ingin mengucapkan tahniah kepada Regas Premium Sabah yang telah lama bersama dengan kami sebagai rakan pengedar, atas langkah berani yang diambil ini untuk meluaskan aksesibiliti terhadap mobiliti lestari buat para pelanggan dan semua pemilik EV di Kota Kinabalu. Kepentingan pencapaian ini terletak pada potensinya untuk mencorak semula tabiat mobiliti di samping memacu penggunaan kenderaan elektrik di rantau ini,” kata Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.

    Regas Premium Sabah lancar fasiliti cas EV awam pertama di Sabah – 2 pengecas 11 kW, RM6 sejam

    “Kami membayangkan Sabah di mana gaya hidup yang berasaskan kepentingan terhadap alam sekitar menjadi satu norma, dan pelancaran fasiliti pengecasan EV awam yang sulung di sini merupakan satu langkah yang besar ke arah visi itu.

    “Ia bukan sahaja menggalakkan penggunaan EV tapi juga sejajar dengan insentif kerajaan untuk menggalakkan pengangkutan lestari. Kami di Regas Premium Sabah percaya bahawa bekalan infrastruktur pengecasan yang mudah diakses akan membolehkan lebih ramai individu beralih ke arah pemilikan EV dengan lebih yakin,” kata Datuk Matthew Tan Yaw Tzuu selaku Prinsipal Pengedar merangkap Pengarah Urusan Regas Premium Sabah.

    Regas Premium Sabah merancang untuk memperkembangkan lagi infrastruktur pengecasan EV yang lebih mudah untuk diakses di negeri berkenaan dengan menumpukan beberapa lokasi termasuk Tawau. Setakat ini, BMW Group Malaysia telah mempunyai lebih 1,000 fasiliti pengecasan di seluruh negara, ada di antaranya bekerjasama dengan ChargEV dan Yinson GreenTech; JomCharge; Gentari; Shell Recharge; ParkEasy; ChargeN’Go; ChargeSini; Go To-U; dan Flexi Parking.

     
     
  • Carro rekod keuntungan suku tahunan terbaik bagi S1 TK2024 – EBITDA tertinggi lebih AS$4j bagi Jun 2023

    Carro rekod keuntungan suku tahunan terbaik bagi S1 TK2024 –  EBITDA tertinggi lebih AS$4j bagi Jun 2023

    Platform kereta terbesar dan paling menguntungkan di Asia Tenggara, Carro yang juga merupakan syarikat induk bagi myTukar, telah mencatatkan EBITDA tertinggi dengan nilai melebihi AS$4 juta bagi bulan Jun. Syarikat ini juga telah melebihi sasaran keuntungan untuk Separuh Pertama Tahun Kewangan 2024 (S1 TK2024), meskipun suku tahun yang lebih lemah memandangkan musim perayaan Hari Raya, dan Songkran di rantau ini.

    Margin Untung Kasar S1 TK2024 Carro juga meningkat kepada 14%, jauh lebih awal daripada Margin Untung Kasar FY2023 sebanyak 9%. EBITDA kini berada pada kadar ‘run-rate’ tahunan melebihi AS$50 juta, lebih daripada 10 kali ganda daripada apa yang telah dicapai untuk keseluruhan FY2023.

    “Tumpuan kami kepada perkara asas dan keengganan kami untuk turut menyertai perang subsidi telah membolehkan kami untuk memberikan empat suku EBITDA yang positif. Pelaksanaan model perniagaan yang dipandu ekosistem digital kami telah menjadikan perniagaan kami secara asasnya lebih kuat dan tahan lasak dengan aliran pendapatan sampingan berulang yang ketara.

    Carro rekod keuntungan suku tahunan terbaik bagi S1 TK2024 –  EBITDA tertinggi lebih AS$4j bagi Jun 2023

    “Kadar lampiran sampingan meningkat apabila kami lebih fokus pada platform kami. Pelaburan daripada Jardine C&C akan membantu kami memacu pertumbuhan pendapatan, terutamanya daripada perkhidmatan selepas jualan Perkongsian teknologi insurans kami dengan ZA Tech dan MSIG membuahkan hasil, dengan Premium Bertulis Kasar berkembang hampir 100% tahun ke tahun,” kata CEO dan pengasas bersama Carro, Aaron Tan.

    Sebelum ini, Carro telah mengumumkan rancangan untuk memasuki Jepun dan pasaran lain. “Dengan aliran tunai yang kuat tanpa kerugian operasi, kami telah membuat satu keputusan strategik untuk memasuki pasaran baru tahun ini yang akan memastikan pertumbuhan yang lebih kuat untuk Carro bagi tahun-tahun yang akan datang,” tambahnya.

    Ketua Pegawai Kewangan Carro, Ernest Chew pula berkata, “Carro telah menentang aliran industri dan menunjukkan prestasi yang baik pada suku pertama dengan metrik keuntungan meningkat secara menyeluruh. EBITDA suku pertama kami sudah lebih daripada tiga kali ganda daripada keseluruhan tahun kewangan kami yang lalu dan kami terus positif EBITDA dalam semua pasaran teras.

    Carro rekod keuntungan suku tahunan terbaik bagi S1 TK2024 –  EBITDA tertinggi lebih AS$4j bagi Jun 2023

    “Perkhidmatan sampingan pula mewakili hampir 60% daripada keuntungan kasar kami, jadi kami tidak tertekan untuk menjual lebih banyak hanya untuk memenuhi sasaran keuntungan.”

    Tambahnya lagi, perniagaan pasaran Carro juga telah menyumbangkan hampir 85% daripada keuntungan, sekaligus telah menggandakan margin keuntungan kasar dalam tempoh 12 bulan yang lalu. Selain itu, keuntungan kasar untuk mobiliti meningkat hampir 200% dan perkhidmatan selepas jualan pula meningkat lebih 150%, manakala pembiayaan dan insurans meningkat kira-kira 50% setiap tahun.

    Sambungnya lagi, “Kami menjangkakan pertumbuhan pendapatan yang pesat dalam tempoh terdekat. Kami adalah salah satu daripada segelintir syarikat permulaan teknologi yang menguntungkan, bukan sahaja di Asia, tetapi juga di peringkat global.”

     
     
  • 47% pembeli Toyota GR Supra 2023 di Amerika Syarikat pilih kotak gear manual berbanding 8AT

    47% pembeli Toyota GR Supra 2023 di Amerika Syarikat pilih kotak gear manual berbanding 8AT

    Ketika diperkenalkan pada 2019, Toyota tidak pernah bercadang untuk menawarkan kotak gear manual pada GR Supra A90. Namun selepas mendapat banyak permintaan dari pengguna, versi kemaskininya iaitu GR Supra A91 yang muncul pada tahun lalu telah pun ditawarkan dengan transmisi manual enam-kelajuan selain dari pilihan kotak gear automatik lapan kelajuan sedia ada.

    Apa yang diminta oleh pasaran nampaknya benar-benar diterjemahkan dalam jualan – menurut laporan Road & Track, 47% pembeli GR Supra A91 2023 di Amerika Syarikat memilih kereta sport berkenaan dalam versi manual.

    Toyota Supra generasi kelima ini merupakan kembar kepada BMW Z4 G29, sebab itulah ia tidak ditawarkan dengan kotak gear manual pada peringkat awal. Bagi menyediakan Supra manual ini, Toyota telah menyusun sendiri konfigurasi mereka menggunakan seleksi komponen dari BMW dan juga komponen lain yang dibangunkan sendiri oleh Toyota.

    Binaan transmisi manual untuk Supra A91 ini terdiri dari perumah kotak gear yang diambil dari BMW 3-Series, manakala komponen lain seperti linkage dan shifter dihasilkan baharu oleh Toyota sendiri. Konsol terowong juga direka semula bagi menempatkan pemasangan tuil manual berkenaan.

    Transmisi ini juga kemudiannya diadaptasikan bersama perisian i-MT yang direka oleh Toyora bagi memberikan sistem rev match automatik, membolehkan pemandu menurunkan gear secara agresif tanpa kemahiran heel & toe. Bagi menyesuaikan kotak gear ini dengan gandar belakang, nisbah gear akhir pada unit differential telah diubah dari 3.15 kepada 3.46.

    Kotak gear ini walau bagaimanapun hanya ditawarkan pada Supra A91 dengan enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris turbo berkembar berkuasa 387 PS dan tork maksima 500 Nm. Model dengan enjin 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 258 PS dan tork maksima 400 Nm hanya hadir dengan kotak gear automatik.

    Supra A91 dengan kotak gear manual ini telah pun dilancarkan secara rasmi di Malaysia oleh UMW Toyota pada Februari lalu. Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM645,000, manakala versi dengan kotak geat automatik 8AT pula adalah RM10k lebih mahal iaitu RM655,000.

    GALERI: Toyota GR Supra A91 2023 pasaran Malaysia dengan kotak gear manual enam-kelajuan

     
     
  • KTMB umum pintu dan platform baharu di KL Sentral untuk pengguna ETS dan Komuter mulai 21 Ogos

    KTM Berhad (KTMB) telah mengumumkan pintu dan platform baharu untuk pengguna perkhidmatan ETS dan KTM Komuter di KL Sentral bermula 21 Ogos 2023.

    Bagi perkhidmatan tren ETS, para penumpang perlu berkumpul di ruang yang ditetapkan iaitu di Pintu B yang terletak di Aras 2 bagi penumpang kelas biasa dan Ruby Lounge di Aras 3 bagi penumpang kelas perniagaan.

    Kemudian, para penumpang dikehendaki semak dan imbas tiket di Automated Control Gate (ACG) di Pintu B, Aras 2. Selepas itu, pegawai KTMB yang bertugas akan membawa para penumpang ke Pintu C (penumpang kelas biasa) dan Pintu D (penumpang kelas perniagaan) yang terletak di Aras 1 untuk menaiki tren ETS di Platform 3.

    KTMB turut berkata, para penumpang dinasihati agar berada di stesen satu jam sebelum tren berlepas bagi kelancaran perjalanan.

    Manakala bagi perkhidmatan tren KTM Komuter pula, platform 1 dan 2 yang digunakan buat sementara sebelum ini telah ditutup sepenuhnya. Di mana terdapat pertukaran platform bagi perkhidmatan ETS di KL Sentral.

    Untuk laluan Tanjung Malim-Pelabuhan Klang-Tanjung Malim, para penumpang perlu menggunakan Platform 4. Manakala bagi penumpang laluan Batu Caves-Pulau Sabang-Batu Caves, perlu menggunakan Platform 5 dan 6.

    “Penumpang dinasihatkan untuk melihat notis platform dan sentiasa memastikan berada di platform yang betul untuk perjalanan ke destinasi anda. Selain itu, pastikan anda mematuhi panduan pergerakan serta arahan kakitangan bertugas bagi memastikan kelancaran perjalanan anda,” kata KTMB.

     
     
  • Neta V dipapar berharga RM79,800 dalam siri jelajahnya – Intro Synergy nafi, umum bulan depan

    Neta V dipapar berharga RM79,800 dalam siri jelajahnya – Intro Synergy nafi, umum bulan depan

    Satu foto yang diambil menerusi siri jelajah kereta elektrik Neta V yang berlangsung di sebuah pusat membeli-belah yang memaparkan tanda harga RM79,800, telah dikongsikan menerusi laman media sosial hujung minggu lalu. Kami mengesan foto terbabit yang dimuatnaik menerusi MyEVOC Facebook.

    Ia menimbulkan rasa ingin tahu dan kami sendiri tertanya-tanya adakah kerajaan telah memutuskan untuk menghapuskan sekatan penjualan kereta EV CBU di bawah RM100k. Kami bertanyakan terus kepada Intro Synergy Sdn Bhd, anak syarikat GoAuto Group Sdn Bhd buat, yang menguruskan jualan jenama tersebut di Malaysia. Menurut Intro Synergy, ia merupakan kesilapan daripada pihak pengedar dan senarai harga berkenaan telah ditarik kembali.

    Malahan Intro Synergy telah memuat naik kenyataan rasminya menerusi laman Facebook Neta Auto Malaysia untuk menafikan harga tersebut. Dalam masa yang sama, syarikat ini juga berkata, harga rasmi bagi Neta V akan diumumkan dalam majlis pelancaran rasminya yang bakal berlangsung September 2023.

    Harga Neta V pertama kali diumumkan pada Mei 2023. Ketika itu, harga anggarannya sekitar RM99,800 dengan diskaun sebanyak RM10,000 untuk 100 pembeli pertama yang membuat tempahan yang bakal memperoleh harga RM89,800.

    Neta V didatangkan dengan bateri lithium-ion 38.5 kWh yang memberikan jarak bergerak 380 km mengikut kitaran NEDC. Untuk pengecasan, AC dengan Type 2 pada kadar maksimum 6.6 kW akan memerlukan masa lapan jam untuk cas penuh. Pengecasan pantas DC juga ada (dengan CCS2) pada kadar 100 kW dan mampu mengecas dari 30-80% dalam masa 30 minit. Ia juga boleh menjadi sumber tenaga kepada peranti lain melalui sistem vehicle-to-load (V2L) yang mampu menyalurkan sebanyak 3.3 kW.

    Motor elektrik depan kereta ini membekalkan 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan 150 Nm tork. Pengeluarnya mendakwa pecutan 0-50 km/j boleh dicapai dalam masa 3.9 saat, dan laju maksimum 120 km/j. Neta V mempunyai ukuran 4,070 mm panjang, 1,690 mm lebar, 1,540 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,525 mm.

    Neta V dipapar berharga RM79,800 dalam siri jelajahnya – Intro Synergy nafi, umum bulan depan

    Untuk pasaran Malaysia, ia ditawarkan hanya dalam satu varian, yang dilengkapi rim aloi 16-inci (profil 185/55), lampu projektor halogen automatik, DRL LED, lampu belakang LED, sistem tanpa kunci, panel instrumen digital 12-inci, parkir brek elektronik, skrin intotainmen 14.6-inci dengan kamera undur dan enam pembesar suara, kerusi balutan kulit buatan dan larasan empat-arah.

    Aspek keselamatan pula datang dengan dua beg udara, ABS, EBD, bantuan brek, kawalan cengkaman dan ESC. Tiada sistem keselamatan aktif seperti AEB dan bantuan mengekalkan lorong, tetapi ada ciri lain seperti Auto Brake Hold, bantuan mula mendaki, kawalan menuruni curam, peninjau tekanan tayar dan kawalan melayar pasif.

     
     
  • GIIAS 2023: Toyota Agya G dan GR Sport dipamerkan, kembar Axia dengan enjin 1.2L, RM53k dan RM72k

    GIIAS 2023: Toyota Agya G dan GR Sport dipamerkan, kembar Axia dengan enjin 1.2L,  RM53k dan RM72k

    Kembar kepada Perodua Axia generasi kedua iaitu Toyota Agya 2023 sudahpun dijual di pasaran Indonesia bermula Mac lalu. Dan ketika berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 tempoh hari, kami sempat untuk melihat unit sebenar Agya ini yang dipamerkan di situ.

    Ketika dilancarkan, Agya 2023 ditawarkan dalam lima varian berbeza iaitu Agya E MT, Agya G MT, Agya G CVT, serta dua varian paling sporty iaitu Agya GR-Sport MT dan Agya GR-Sport CVT. Namun di GIIAS, hanya dua varian dipamerkan oleh Toyota iaitu varian G CVT yang dijual pada harga Rp 191.4 juta (RM53k) dan juga varian paling sporty iaitu Agya GR Sport CVT berharga Rp 253.5 juta (RM72k).

    Agya diberikan rekaan muka lebih tersendiri berbanding Axia dan juga satu lagi kembarnya di sana iaitu Daihatsu Ayla. Kesemua varian Agya diberikan lampu hadapan LED dengan kluster lampu yang direka lebih nipis dari Axia, serta menampilkan jalur LED lampu panduan dengan kedudukan kontra – Agya di atas, dan Axia pula di bawah.

    Untuk model biasa, Agya menerima gril seakan Toyota Yaris pasaran Jepun. Pada bahagian ‘pipi’ bampar berkenaan diberikan lekuk seakan liang ambilan udara, dan apa yang menarik ia turut disertakan dengan lampu nyalaan siang yang disusun menegak ala-Perodua Myvi facelift.

    Bagi model GR Sport, bamparnya direka seakan mengambil inspirasi dari hot-hatch GR Yaris, dengan apron agesif menampilkan liang udara sisi bersegi dan besar, bersama rekaan spoiler pada bahagian bawah. Logo GR ditampal pada bar tengah yang memisahkan gril atas dan juga bawah.

    Agya GR Sport juga menerima skirt sisi, spoiler belakang lebih besar berwarna hitam, bumbung berwarna hitam dan juga serlahan-serlahan hitam berkilat pada cermin sisi dan juga gril hadapan bagi memberikan rupa yang lebih garang. Versi paling garang ini juga menerima rim aloi lebih besar lima-jejari berkembar dua-tona yang dibalut dengan tayar profil lebih rendah.

    Toyota Agya G (kiri) dan GR Sport (kanan)

    Sama seperti model generasi sebelumnya, Agya di Indonesia menerima enjin 1.2 liter – 200 cc lebih besar berbanding Axia di Malaysia yang hanya menerima enjin 1.0 liter. Namun untuk model generasi baharu ini, ia datang dengan enjin baharu WA-VE 1.2L tiga-silinder bagi menggantikan enjin 3NR-VE empat-silinder sebelumnya.

    Enjin berkenaan merupakan unit yang sama pada perut varian lebih rendah kembar Perodua Ativa di Indonesia iaitu Daihatsu Rocky dan Toyota Raize. Ia menghasilkan kuasa 88 PS yang sama seperti enjin 3NR, tetapi dengan tork lebih besar iaitu 113 Nm berbanding 108 Nm sebelum ini.

    Versi-versi CVT menerima kotak gear D-CVT sama seperti Axia di Malaysia menggantikan kotak gear automatik konvensional 4AT sebelum ini, manakala model-model MT pula diberikan kotak gear manual lima-kelajuan. Bagi model Agya GR-Sport, ia turut menerima talaan semula pada sistem stereng dan juga suspensi untuk memberikan pemanduan yang lebih sporty.

    Bagi model G, Agya menerima meter kelajuan analog di tengah bersama bersama skrin pelbagai info TFT pada sebelah kanan dan juga butang mod ‘Power’. Manakala varian GR-Sport pula diberikan skrin instrumen TFT 7-inci. Manakala bagi model yang menerima kotak gear CVT, Agya diberikan pedal penukar gear di mana perincian ini tidak diberikan pada mana-mana varian Axia di Malaysia.

    Tiada varian yang menerima upholsteri kulit untuk Agya di Indonesia. Namun bagi Agya GR-Sport, ia diberikan sarung tuil gear dan juga roda stereng dengan logo GR balutan kulit, tempat duduk semi-bucket dengan upholsteri gabungan fabrik sued bersama sulaman logo GR, kemasan bendul sisi aluminium GR dan juga serlahan-serlahan jahitan benang merah.

    Model paling sporty ini juga diberikan pengecas telefon pintar tanpa wayar, skrin infotaimen lapan-inci dengan logo pemula GR serta sokongan hubungan Mirrolink dan memberikan visual untuk kamera undur, pengecas telefon pintar tanpa wayar, dashcam, dan juga sistem telemetik T Intouch. Sementara model G pula hanya menerima skrin tujuh-inci yang turut menerima hubungan Mirrorlink.

    Selain dari dua model yang dijual di bilik pameran ini, Toyota turut membawa dua buah jentera lumba Agya GR Sport 2023 Toyota Gazoo Racing Indonesia (TGRI) yang dibina untuk perlumbaan Gymkhana dan touring car ITCR 1,200. Perincian untuk kedua-dua kereta lumba tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    GALERI: Toyota Agya GR Sport di GIIAS 2023

    GALERI: Toyota Agya G di GIIAS 2023

     
     
  • MyBAS Konsesi dilancarkan – Tambang percuma untuk OKU, warga emas, pelajar sekolah 7-17 tahun

    MyBAS Konsesi dilancarkan – Tambang percuma untuk OKU, warga emas, pelajar sekolah 7-17 tahun

    Sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2023, Kementerian Pengangkutan (MoT) telah mengumumkan inisiatif kepada rakyat dengan menyediakan tambang percuma menerusi program MyBAS Konsesi. Ia menawarkan tambang percuma bagi perkhidmatan bas henti-henti MyBAS bermula hari ini, 15 Ogos 2023.

    Menurut Menteri MoT, Anthony Loke, inisiatif itu yang dilaksanakan di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) dilaksanakan di tiga bandar iaitu di Seremban, Ipoh dan Johor Bahru. Ia disasarkan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas berusia 60 tahun ke atas dan pelajar sekolah berusia tujuh hingga 17 tahun di kawasan liputan perkhidmatan.

    “Dikendalikan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), inisiatif ini dijangka dapat dimanfaatkan oleh lebih 2,500 pengguna golongan sasar bagi menikmati subsidi kos tambang di ketiga-tiga bandar berkenaan yang melibatkan keseluruhan 58 laluan.

    “Mereka yang berkelayakan boleh mendaftar di kaunter perkhidmatan myBAS dengan membawa dokumen pengenalan diri seperti MyKad, MyKid atau MyTentera. Pendaftaran hanya perlu dilakukan sekali sahaja tetapi perlu diperbaharui setiap tahun bagi tujuan kemaskini maklumat. Walau bagaimana pun, untuk golongan OKU dan warga emas, kita akan tengok bagaimana untuk memudahkan pendaftarannya supaya mereka tak perlu perbaharui kad setiap tahun,” katanya.

    MyBAS Konsesi dilancarkan – Tambang percuma untuk OKU, warga emas, pelajar sekolah 7-17 tahun

    Untuk Seremban, lokasi pendaftaran bagi MyBAS Konsesi ini boleh dilakukan di Stesen Bas Bahau, Terminal 1 Seremban, Terminal Bas Tampin, Nilai Sentral dan Terminal Bas Port Dickson. Bagi Ipoh pula, hanya satu kaunter pendaftaran dibuka iaitu di Stesen Bas Medan Kidd.

    Manakala untuk Johor Bahru pula, sebanyak tujuh lokasi kaunter pendaftaran disediakan iaitu di KSL City Mall, TF Value Mart (Nusa Bestari), Terminal Bas Gelang Patah, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Terminal Bas Kulai dan JB CIQ.

    “Sebagai tambahan, kanak-kanak di bawah usia 6 tahun dan kebawah juga boleh menaiki MyBAS Konsesi ini secara percuma dan tiada pendaftaran diperlukan,” katanya lagi sambil menambah MoT juga bercadang memperluaskan pelaksanaan tambang percuma ini ke negeri lain secara berperingkat.

     
     
  • Geely Galaxy E8 – perincian didedah; kuasa sehingga 272 PS, HUD 25.6 inci, lancar Q4 di China, dari RM141k

    Geely Galaxy E8 – perincian didedah; kuasa sehingga 272 PS, HUD 25.6 inci, lancar Q4 di China, dari RM141k

    Perincian untuk Geely E8 telah didedahkan oleh kementerian industri dan teknologi informasi (MIIT) China, selepas kewujudannya diberitahu oleh Geely sendiri Februari lalu – lapor 42How.

    Geely E8 adalah sebuah model elektrik yang berukuran 5,010 mm panjang, 1,920 mm lebar 1,465 mm tinggi dan jarak roda antara hadapan dan belakang 2,925 mm. Jarak roda antara kiri dan kanan pula adalah 1,641 mm di hadapan dan 1,646 mm di belakang.

    Menurut Car News China, kuasa penggerak model ini datang daripada bateri lithium-iron phosphate, dan mampu menghasilkan kuasa sehingga 200 kW (272 PS) dan laju maksimum 190 km/j. Kadar rintangan angin pula cuma 0.19 Cd.

    Menurut media dari China lagi, Galaxy E8 mempunyai lidar bersepadu di dalam bumbungnya, serta kamera definisi tinggi di kedua-dua sisinya. Gambar daripada MIIT juga menunjukkan E8 mempunyai kamera di bahagian hadapan dan belakang kereta.

    Turut dilaporkan adalah bahagian dalam Galaxy E8 akan dilengkapi dengan panel instrumen digital 10.25 inci, skrin infotainmen tengah 13.2 inci, serta skrin 16.2 inci di bertentangan pemandu hadapan. Paparan augmented reality 25.6 inci pula dipancarkan kepada cermin hadapan.

    Sebagai model paling tinggi dalam barisan model Galaxy, Galaxy E8 ini dijangka memasuki pasaran dengan harga antara 219,800 yuan (RM140,954) ke 331,800 yuan (RM212,778), dan akan bersaing dengan model seperti BYD Han, yang mempunyai jarak gerak sehingga 600 km.

     
     
  • GIIAS 2023: Toyota Agya GR Sport versi perlumbaan TGRI dipamerkan, bakal gegar Gymkhana dan ITCR

    GIIAS 2023: Toyota Agya GR Sport versi perlumbaan TGRI dipamerkan, bakal gegar Gymkhana dan ITCR

    Jika kita di Malaysia ada Vios produksi yang dihasilkan untuk perlumbaan one make Vios Challenge dan juga versi lebih berkuasa Vios dan Yaris MTC yang berlumba dalam Sepang 1000km, di Indonesia ayam tambatan untuk Toyota Gazoo Racing adalah Toyota Agya GR Sport. Ya, hatchback segmen-A kembar kepada Perodua Axia ini merupakan model paling cemerlang Toyota dalam dunia perlumbaan di sana buat masa sekarang!

    Agya GR Sport generasi sebelum ini merupakan bintang dalam kejohanan disiplin Gymkhana di Indonesia iaitu Kejurnas Slalom MLDSPOT dengan memenangi juara keseluruhan bagi empat kategori tahun lalu, dan kini sedang mengungguli perlumbaan sama untuk musim 2023 setelah berlangsungnya tiga pusingan terawal.

    Hatchback kompak ini juga menunjukkan kehandalannya dalam kejohanan Touring Car Indonesia (ITCR) dalam kategori 1,200 cc, di mana pemandunya muda Jordan Johan merupakan pencabar kelompok hadapan dalam siri perlumbaan tersebut.

    GIIAS 2023: Toyota Agya GR Sport versi perlumbaan TGRI dipamerkan, bakal gegar Gymkhana dan ITCR

    Seperti yang kita tahu, Toyota telah pun memperkenalkan model generasi baharu Agya pada awal tahun ini. Maka, kereta-kereta lumba Agya GR Sport sedia dalam pasukan Toyota Gazoo Racing Indonesia (TGRI) juga perlu digantikan dengan model serba baharu ini.

    Dan ketika berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 bermula minggu lalu, kereta-kereta lumba baharu berkenaan telahpun didedahkan dan dipamerkan kepada umum.

    Dua spesifikasi dihasilkan dan ditunjukkan, iaitu versi untuk perlumbaan Gymkhana dan juga untuk perlumbaan Touring Car ITCR 1,200. Kedua-dua kereta lumba ini diasaskan dari Agya GR Sport yang sama dijual dalam pasaran, dijana oleh enjin WA-VE 1.2 liter tiga silinder NA berkuasa 88 PS (87 hp atau 65 kW) dan tork maksima 113 Nm, bagi menggantikan enjin 3NR-VE 1.2 liter empat silinder sebelum ini.

    GIIAS 2023: Toyota Agya GR Sport versi perlumbaan TGRI dipamerkan, bakal gegar Gymkhana dan ITCR

    Enjin berkenaan masih kekal standard pada kereta lumba ini, dan ia digandingkan dengan kotak gear lima kelajuan manual. Ubahsuai lain yang turut diberikan adalah suspensi dan set roda yang sesuai dengan disiplin perlumbaan masing-masing.

    Untuk kereta lumba yang dibina untuk Gymkhana, ia tidak diberikan rollcage malah masih mengekalkan kebanyakkan perincian dalaman seperti model produksi biasa. Yang ditukar cuma roda stereng perlumbaan dari OMP, dan juga tuil gear tanpa konsol kemasan (mungkin telah menggunakan quick shifter) dan juga brek tangan yang diubahsuai bagi membolehkan aksi hand brake turn dilakukan dengan lebih mudah.

    Manakala untuk versi touring car, Agya GR Sport ini menerima perlindungan rollcage penuh, sepasanag tempat duduk hadapan perlumbaan, karpet serta tempat duduk belakang yang sudah dibuang, diberikan kelengkapan keselamatan lain seperti pemadan api dan lain-lain. Namun papan pemuka dan juga panel dalaman pintu kereta lumba kecil ini masih diberikan pelekat penyamaran.

    Kereta lumba Gymkhana TGRI Agya GR Sport 2023 sebenarnya telah membuat kemunculan sulungnya di perlumbaan yang berlangsung di Bekasi, Jawa Barat pada Jun lalu. Kereta tersebut masih lagi dalam pembangunan, namun telah memnunjukkan prestasi awalan yang positif terutamanya pada casis yang lebih tegar, secara tidak langsung menjadikan pengendaliannya lebih baik.

    Manakala untuk versi Touring Car, TGRI menggunakan khidmat seorang lagi pelumba muda Indonesia iaitu Amato Rudolph yang bersaing dalam ITCR 1,200 bermula musim ini.

     
     
  • GIIAS 2023: Daihatsu Terios facelift – kembar Aruz dan Rush diberikan perubahan gaya, enjin masih sama

    GIIAS 2023: Daihatsu Terios facelift – kembar Aruz dan Rush diberikan perubahan gaya, enjin masih sama

    Daihatsu Terios facelift telah diberikan diperkenalkan Jun lalu, dan sekarang ia dipamerkan di acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023. SUV tiga baris tempat duduk yang disegarkan semula ini mempunyai persamaan dengan Toyota Rush dan Perodua Aruz di pasaran kita, dan dijual pada harga antara 236,050,000 rupiah (RM71,260) dan 303,250,000 rupiah (RM91,547).

    Antara perubahan visual yang dibuat pada model baru ini adalah gril atas lebih nipis, yang menyambungkan lampu utama jenis smoked di kiri dan kanan, serta gril bawah yang lebih menonjol dan mempunyai kemasan kecil di tengah. Lampu kabus juga menggunakan bentuk yang berbeza dan diletakkan di penjuru bampar.

    Jika dibandingkan dengan bahagian luar, bahagian dalam cuma menerima perubahan yang sedikit, iaitu kemasan, balutan tempat duduk serta penambahan pengecas tanpa wayar serta fungsi mirroring pada skrin sesentuh di tengah. Terios facelift ini juga disediakan dengan pakej tambahan ADS (seperti dalam gambar), yang memberikan lebih banyak kemasan krom, berserta rim 17 inci dan kemasan tambahan lain di bahagian dalam.

    Pada bahagian keselamatan, Terios facelift datang dengan enam beg udara, serta Vehicle Stability Control secara standard. Warna badan yang disediakan sekarang ada enam, dengan dua daripadanya, iaitu Silver Metallic dan Greenish Gun Metal memerlukan bayaran tambahan.

    Di bawah bonet, SUV ini masih lagi menggunakan enjin empat silinder 1.5 liter NA 2NR-VE dengan Dual VVT-i, mampu menghasilkan kuasa sehingga 104 PS (103 hp atau 76 kW) dan tork 136 Nm, dan disediakan dalam pilihan transmisi manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan.

     
     
  • GIIAS 2023: Daihatsu Vision-F didedahkan – model konsep van Gran Max EV, jarak gerak 200 km

    GIIAS 2023: Daihatsu Vision-F didedahkan – model konsep van Gran Max EV, jarak gerak 200 km

    Jika tahun lalu mereka memperkenalkan model konsep Ayla EV, tahun ini Astra Daihatsu Motor (ADM) motor muncul dengan satu lagi konsep EV di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) – kali ini ia memperkenalkan Daihatsu Vizion-F, iaitu kenderaan komersil ringan berkuasa elektrik sepenuhnya (EV) yang diasaskan dari van Daihatsu Gran Max sedia ada.

    Van ini masih menampilkan bentuk asas Gran Max, namun ia diberikan perincian lebih futuristik sama seperti Ayla EV sebelum ini. Pada bahagian muka, Vizion-F menerima lampu hadapan yang lebih nipis, dan tiada lagi sebarang liang udara diberikan pada gril dan bampar.

    Begitu juga pada bahagian belakang, ia diberikan lampu nipis yang diletak melintang, dan pintu tailgate belakang direka rata sepenuhnya serta tidak diberikan cermin belakang. Mungkin ia diberikan kamera bagi membolehkan pemandu melihat belakang hanya menerusi skrin?

    Rekaan ringkas juga diberikan pada bahagian sisi di mana tiada tingkap sisi belakang diberikan seperti van-van panel komersil lain. Manakala cermin tingkap sisi hadapan pula seakan bersambung dengan cermin hadapan menerusi kemasan hitam yang diberikan.

    GIIAS 2023: Daihatsu Vision-F didedahkan – model konsep van Gran Max EV, jarak gerak 200 km

    Juga sama seperti model konsep Ayla EV sebelum ini, badan Vizion-F ini menerima cat berwarna Metal Grey bersama serlahan jalur Electric Yellow di bawah kemasan hitam pada cermin. Ia turut menerima rim gaya-aero bagi melengkapkan rupa sebuah van komersil dari masa hadapan.

    Pada sebelah dalam, Vizion-F ini diberikan papan pemuka yang direka semula. Bahagian tengahnya diberikan skrin utama bersaiz besar yang turut berfungsi memberikan pelbagai kawalan termasuk untuk ‘menukar gear D’. Liang penghembus udara dihasilkan nipis, dan roda stereng juga tampil dengan rekaan tersendiri.

    Untuk bergerak, Vizion-F ini menerima motor elektrik berkuasa 48 PS (47 hp or 35 kW), yang menerima bekalan dari bateri 28 kWj. Daihatsu menyatakan bahawa bateri tersebut membolehkan van EV ini bergerak sejauh 200 km dengan satu cas penuh, dan ia boleh mencapai kelajuan maksima 100 km/j.

    Jika menggunakan sistem pengecas pantas DC, bateri berkenaan boleh dipenuhkan dalam masa hanya sejam. Manakala dengan pengecas AC pula masa yang diambil untuk memenuhkan bateri adalah sembilan jam. Walau bagaimanapun Daihatsu tidak menyatakan kapasiti pengecas untuk kedua-dua cara tersebut.

    Menurut ADM selain digunakan untuk mengangkut barang-barang, Vizion-F juga boleh digunakan dalam pelbagai kegunaan komersil lain seperti trak makanan, kenderaan bantuan tepi jalan dan juga menawarkan pengecas mudah alih bagi membantu kenderaan EV lain yang kehabisan cas ketika dalam perjalanan.

    Malah Vizion-F turut boleh berfungsi seperti ‘powerbank gergasi’ bagi membantu membekalkan kuasa elektrik di kawasan yang ditimpa musibah.

    Walau bagaimanapun, ADM tidak mengesahkan sama ada Vizion-F ini akan dihasilkan sebagai model produksi atau tidak. Apa pendapat anda pula? Adakah ini adalah idea yang baik untuk dibawa ke barisan produksi dan turut dijelmakan dalam versi Perodua dan diperkenalkan sebagai kenderaan komersil ringan seperti van Rusa satu ketika dahulu?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025