Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota Veloz 2022 – pelancaran di Malaysia pada 18 Okt ini; kembar Perodua Alza, harga anggaran RM95k

    Toyota Veloz 2022 – pelancaran di Malaysia pada 18 Okt ini; kembar Perodua Alza, harga anggaran RM95k

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengesahkan bahawa MPV tujuh-tempat duduk baharunya iaitu Veloz bakal dilancarkan secara rasmi esok, 18 Oktober 2022. Majlis pelancaran berkenaan akan disiarkan secara langsung di laman Facebook dan saluran YouTube UMWT pada pukul 8 malam.

    Model gantian untuk Toyota Avanza berkenaan telah pun dibuka untuk tempahan pada bulan Jun lalu, dan sehingga 9 September, tempahannya telah mencecah 5,200 unit.

    Seperti yang diketahui, Veloz juga merupakan kembar terus kepada Perodua Alza 2022 yang telah pun dilancarkan pada 20 Julai 2022. Ia diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) pacuan roda hadapan yang jauh lebih model dari casis ladder frame pacuan roda belakang Avanza generasi sebelumnya.

    Veloz juga menerima unit rangkaian kuasa yang sama dengan Alza, dijana oleh enjin petrol 2NR-VE 1.5 liter empat silinder NA berkuasa 106 PS pada 6,000 rpm dan 137 Nm pada 4,200 rpm, bersama padanan kotak gear D-CVT automatik. Malah Veloz juga sebenarnya dipasang di kilang Perodua yang terletak di Sg. Choh bersama-sama Alza, seperti kembar Perodua Aruz iaitu Toyota Rush.

    Antara perincian yang sudah disahkan untuk Veloz oleh UMWT sebelum ini termasuk sistem infotaimen Display Audio dengan skrin 9-inci bersama sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, paparan instrumen digital dengan skrin tujuh-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar, brek parkir elektronik (EPB) dengan fungsi auto brake hold, lampu hadapan LED, rel bumbung, serta sistem telematik.

    Ia juga menerima pakej sistem bantuan pemanduan keselamatan Toyota Safety Sense yang memberikan fungsi termasuk Pre-Collision System (brek kecemasan automatik) dan juga Adaptive Cruise Control.

    Sebelum ini UMWT sudahpun mengumumkan bahawa Veloz bakal dijual pada harga anggaran atas jalan tanpa insuran RM95,000, atau RM20k lebih mahal berbanding model varian tertinggi Alza iaitu Alza AV. Jadi apa kelebihan dan perbezaan antara Veloz dan Alza? Kami sudahpun menyediakan satu artikel berkenaan perkara tersebut yang boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    GALERI: Toyota Veloz pasaran Malaysia

     
     
  • JPJ eBid: Siri plat nombor BRE bakal dibuka bidaan

    JPJ eBid: Siri plat nombor BRE bakal dibuka bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran bagi kenderaan baharu, ini ada lagi pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia bakal boleh dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Selangor, BRE, bakal dibuka bidaan mulai 20 Oktober 2022. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 24 Oktober ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 25 Oktober 2022. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Lebuhraya DASH – orang ramai dilihat ‘melepak’ di lorong kecemasan; bakal berlaku kemalangan?

    Lebuhraya DASH – orang ramai dilihat ‘melepak’ di lorong kecemasan; bakal berlaku kemalangan?

    Tidak seperti Lebuhraya SUKE, Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) yang baru dibuka minggu lalu tidak menyajikan pemandangan yang benar-benar cantik. Tapi nampaknya lorong kecemasan di Lebuhraya DASH turut tidak terkecuali dari menjadi ‘tempat lepak’ dan bersantai untuk sesetengah pengguna lebuhraya tersebut.

    Gambar ini dirakam semalam – dapat dilihat sekumpulan penunggang motosikal dan pemandu kereta memarkir kenderaan masing-masing di lorong kecemasan Lebuhraya DASH berkenaan berhampiran persimpangan Puncak Perdana dan juga selepas plaza tol Kota Damansara. Penunggang-penunggang dan juga pemandu-pemandu tersebut dilihat bersantai sambil menikmati pemandangan di kawasan berkenaan.

    Apa yang dilakukan tersebut bukan sahaja akan menggangu perjalanan kenderaan-kenderaan seperti trak bomba dan ambulans, malah berpotensi menyebabkan kemalangan seperti yang berlaku di SUKE sebelum ini di sebuah motosikal merempuh bahagian belakang sebuah Perodua Myvi yang diparkir di lorong kecemasan sementara pemandunya menikmati pemandangan sekitar.

    Sekiranya berlaku kemalangan seperti itu, anda mungkin akan disiasat di bawah kaedah 16 LN 166/59 iaitu halangan sehingga menyebabkan kemalangan, dan individu yang cuai menyebabkan kemalangan boleh dikompaun sehingga RM300. Kompaun mungkin boleh di bayar, tetapi jika ia melibatkan kemalangan jiwa bagaimana?

     
     
  • Penceroboh tol kantoi di SILK – Prolintas giat kesan pengguna culas bayar tol di lebuhraya kendaliannya

    Penceroboh tol kantoi di SILK – Prolintas giat kesan pengguna culas bayar tol di lebuhraya kendaliannya

    Nampak gayanya, usaha Prolintas selaku pengendali beberapa lebuhraya di Lembah Klang dalam mengesan pengguna yang culas membayar kadar tol yang ditetapkan membuahkan hasil. Hari ini, Prolintas telah berkongsi ciapan menerusi Twitter dengan perkhabaran pihaknya berjaya menahan seorang pemandu kereta yang kantoi membayar tol di Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) malam tadi.

    “Kali ini, pemandu kereta Honda pula kantoi selepas 59 kali terlepas bayar tol, dengan tunggakan bayaran sejumlah RM256.20 termasuk caj pentadbiran,” ujar perkongsian yang dibuat itu.

    Menurut Prolintas, pemandu kereta berkenaan telah pun membayar amaun kerugiaan berkenaan pada masa dan di lokasi yang sama selepas terkantoi dengaan syarikat konsesi ini.

    Ciapan tersebut juga menarik perhatian para netizen, malah ada yang menyarankan agar pihak pengendali lebuhraya mengenakan denda sebanyak lima kali ganda daripada amaun kadar tol yang sepatutnya terhadap si pelaku.

    Ekoran kes sebegini, Prolintas turut berkata pihaknya terus giat menjalankan operasi mengesan penceroboh tol melalui pasukan operasi lebuh raya bagi menahan pengguna tidak bertanggungjawab agar melangsaikan tunggakan bayaran tol.

    Sebelum ini, Prolintas pernah juga berkongsi kenyataan berhubung perkara yang sama iaitu pengguna culas membayar tol di Lebuhraya AKLEH.

     
     
  • Pelumba maut akibat kemalangan dalam perlumbaan drag Battle of the Kings 2022 di Terengganu

    Pelumba maut akibat kemalangan dalam perlumbaan drag Battle of the Kings 2022 di Terengganu

    Seorang pelumba drag, Muhamad Hafez Jamal Jamaludin atau dikenali sebagai Apeh Jamal maut sewaktu menyertai perlumbaan drag Battle of The Kings (BOTK) 2022 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak sebentar tadi.

    Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas kereta lumba yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas merempuh pokok di tepi litar.

    Penganjur BOTK 2022, MUSC Motorsport yang mengeluarkan kenyataan menerusi laman sosial Facebook rasminya berkata, akibat kemalangan maut berkenaan, siri perlumbaan yang sepatutnya berakhir esok ditamatkan serta-merta hari ini dan akan ditangguhkan ke suatu tarikh lain, bagi menghormati mangsa dan keluarga.

    Beberapa rakaman video dan foto kejadian berkenaan turut tular di laman media sosial. Al-Fatihah buat mangsa dan salam takziah untuk keluarganya.

     
     
  • Volkswagen ID.4 EV dipertontonkan di M’sia – pesaing Ioniq 5 dan EV6 yang bakal dilancar tidak lama lagi

    Volkswagen ID.4 EV dipertontonkan di M’sia – pesaing Ioniq 5 dan EV6 yang bakal dilancar tidak lama lagi

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) sedang mempertontonkan SUV semua-elektrik ID.4 dalam acara Volkswagen Fest 2022 yang dilangsungkan sehingga esok di Sentul Depot, Kuala Lumpur. Buat masa ini, SUV terbabit sedang diuji di negara kita, dan menurut Pengarah Urusan VPCM Erik Winter, pihaknya bekerja keras untuk membawanya ke pasaran tempatan “secepat mungkin”.

    EV yang dipertontonkan di sini ialah varian ID.4 Pro Performance, yang menampilkan motor elektrik 204 PS yang menjanakan roda belakang (0-100 km/j dalam 8.5 saat), bateri lithium-ion 77 kWh dan boleh dipacu sehingga jarak 519 km dengan pengecasan penuh mengikut ujian kitaran WLTP. Ia mengambil masa 7.5 jam untuk mengecasnya dengan pengecas AC 11 kW dan hanya 38 minit (status pengecasan dari 5%-80%) dengan DC berkapasiti 125 kW.

    Klik untuk besarkan

    Antara ciri kelengkapan yang diberikan pada kereta yang dipamerkan ini termasuklah aloi 19-inci, lampu utama matrix LED, lampu belakang LED 3D, Dynamic Chassis Control (DCC) dan sistem bantuan pemanduan aktif termasuk brek kecemasan sendiri (AEB), kawalan kelajuan adaptif (ACC) dengan fungsi stop and go, Bantuan Perjalanan, Bantuan Lorong dan Bantuan Kecemasan.

    ID.4 berukuran 4,584 mm panjang, 1,852 mm lebar dan 1,636 mm tinggi dengan jarak roda 2,765 mm. Sebagai perbandingan, saiznya lebih kurang sama dengan Hyundai Ioniq 5 dan Kia EV6, pesaingnya yang telah pun berada di pasaran Malaysia dan dijual pada harga antara RM208k dan RM301k.

     
     
  • Kadar tol Lebuhraya SUKE diumumkan – RM2.30 di setiap plaza tol Ampang dan Bukit Teratai mulai 15 Okt

    Kadar tol Lebuhraya SUKE diumumkan – RM2.30 di setiap plaza tol Ampang dan Bukit Teratai mulai 15 Okt

    Kadar tol bagi Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) telah pun diumumkan, dan ia efektif mulai jam 12.01 tengahmalam ini, 15 Oktober 2022 (Sabtu). Kadar yang ditetapkan untuk lebuhraya ini ialah RM2.30 bagi setiap plaza tol iaitu untuk kenderaan Kelas 1, atau kenderaan penumpang.

    Ia meibatkan plaza tol Ampang dan Bukit Teratai, yang berada dalam fasa pertama bagi lebuhraya berkenaan yang telah pun mula beroperasi sejak sebulan yang lalu. Fasa pertama sepanjang 16.6 km ini adalah dari persimpangan Cheras-Kajang ke Bukit Antarabangsa.

    Manakala plaza tol ketiga di antara jajaran Alam Damai bakal dibuka tidak lama lagi, dijangkakan sama kadarnya iaitu RM2.30, ini menjadikan kos keseluruhan bagi kadar tol sehala di jajaran SUKE untuk fasa pertama ini adalah mencecah RM6.90. Ketika fasa pertama dilancarkan pada 16 September 2022, pengguna lebuhraya berkenaan berpeluang menikmati kadar tol secara percuma selama sebulan.

    Kadar tol Lebuhraya SUKE diumumkan – RM2.30 di setiap plaza tol Ampang dan Bukit Teratai mulai 15 Okt

    Memiliki sejumlah 14 persimpangan dengan panjang sebenarnya mencecah 57.7 km, persimpangannya melibatkan Sri Petaling, Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Cheras-Hartamas, Bukit Teratai, Tasik Tambahan, Permai, Kosas, Pekan Ampang, Ampang Point, Ulu Kelang, Hillview dan Bukit Antarabangsa.

    SUKE juga menghubungkan lebuhraya-lebuhraya lain seperti Kesas (Sri Petaling), Lebuhraya KL-Seremban, Sungai Besi Expressway (Besraya), Grand Saga, Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH) dan Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE), yang buat masa sekarang kesemuanya bersambung dengan MRR2.

    Selepas sebulan fasa pertama SUKE dibuka, syarikat konsesi yang sama, Prolintas melancarkan pula Lebuhraya Damansara-Shah Alam semalam dan diberikan kadar tol percuma sehingga 30 November 2022.

     
     
  • Sony Honda Mobility ditubuhkan, tempahan model EV pertama akan dibuka pada separuh pertama 2025

    Sony Honda Mobility ditubuhkan, tempahan model EV pertama akan dibuka pada separuh pertama 2025

    Sony Honda Mobility kini menjadi sebuah entiti yang sah dan baru ditubuhkan, berikutan pengumuman usaha sama itu yang diumumkan Jun tahun lalu. Ini dimeterai selepas dua konglomerat besar Jepun itu menandatangani MoU pada Mac untuk sama-sama membangunkan kenderaan bateri elektrik dengan nilai tambah yang tinggi untuk dikomersialkan.

    Entiti baru itu diumumkan oleh wakil pengarah, pengerusi dan CEO Yasuhide Mizuno (dari Honda) dan presiden serta COO Izumi Kawanishi (dari Sony). Dalam kenyataannya, Sony Honda Mobility (SHM) berhasrat untuk menjadi sebuah syarikat teknologi mobiliti berasaskan perisian dengan menyediakan produk dan servis bernilai tambah, dan dengan membina hubungan baru dengan pelanggan.

    Tempahan untuk produk pertama SHM juga akan dibuka sebelum 2025, diikuti dengan serahan pertama kepada pelanggan di Amerika Syarikat pada 2026. Serahan untuk pasaran Jepun pula akan dimulakan pada separuh kedua 2026. Produk pertama itu akan dikeluarkan dari kilang Honda di Amerika Utara.

    Konsep EV nilai tinggi itu, seperti dinyatakan oleh SHM, akan membawakan pemanduan autonomous Tahap 3 dalam keadaan terhad, serta membolehkan bantuan pemandu Tahap 2+ dalam keadaan memandu lebih luas, seperti di persekitaran urban. Antaramuka antara manusia dan mesin dengan sambungan kepada servis cloud juga akan diperkenalkan.

    SHM beribupejabat di Minato-ku di Tokyo, Jepun dengan modal permulaan 10 bilion yen (RM319 juta). Nisbah pelaburan itu dibahagikan sama rata antara Sony Group Corporations dan Honda Motor Company, dengan lembaga pengarahnya terdiri daripada Shugo Yamaguchi sebagai pengarah dan timbalan presiden; Kojiro Okabe sebagai pengarah dan EVP; Manabu Ozawa sebagai pengarah dari Honda dan Naoya Horii sebagai pengarah dari Sony — sebagai tambahan kepada Mizuno dan Kawanishi yang dinyatakan itu.

    Pada Januari 2020, Sony menunjukkan kereta Vision-S di CES 2020, menampilkan penggunaan kamera, skrin, kemampuan pemanduan autonomous serta servis penstriman untuk katalog multimedia Sony dan boleh juga disambung dengan konsol permainan PlayStation.

    Ini diikuti pula dengan Vision-S 02 konsep tujuh-tempat duduk, dua tahun selepas model sedan berkenaan. Walaupun Sony sebelum ini menyatakan pihaknya tidak akan mengeluarkan kenderaan itu untuk umum, mereka tetap ada menjalankan ujian jalanan, dan kemudian diteruskan dengan usahanya mencari rakan automotif untuk mengkomersialkan projek EV itu.

     
     
  • Satu lagi kes lori rempuh kereta di Tambak Johor; sebabkan Perodua Bezza ‘renyuk’, pemandu tersepit

    Satu lagi kes lori rempuh kereta di Tambak Johor; sebabkan Perodua Bezza ‘renyuk’, pemandu tersepit

    Baru sahaja bulan Julai lalu berlaku satu insiden kereta dirempuh lori di Tambak Johor, dan semalam satu lagi insiden yang sama berlaku dan videonya telah dimuat naik oleh laman Facebook SG Road Vigilante.

    Menurut laman tersebut, kejadian ini berlaku pada 13 oktober 2022 sekitar pukul 9 pagi. Menerusi video dashcam yang dimuat naik, dapat dilihat lori berkenaan merempuh kereta perakam video berkenaan (Toyota Mark X) dari belakang ketika sedang beratur.

    Walaupun sudah merempuh sebuah kereta, ia masih tidak cukup untuk menghentikan lori tersebut dan ia terus meluru kehadapan dan merempuh sebuah Perodua Bezza. Malang sekali, Bezza berkenaan ‘renyuk’ kerana terhimpit di antara lori yang hilang kawalan itu dan sebuah lagi lori yang juga sedang beratur di hadapannya.

    Dalam laporan Channel News Asia, pemandu Bezza yang terperangkap di dalam keretanya berjaya dikeluarkan, dan polis mengesahkan bahawa dia telah di bawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk menerima rawatan. Dia mengalami kecederaan yang dikelaskan di bawah “zon kuning”, diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi.

    Laporan berita tersebut turut menyatakan bahawa kesemua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu adalah menggunakan nombor pendaftaran Malaysia. Pemandu lori yang hilang kawalan berkenaan (berkemungkinan kerana masalah brek) juga merupakan warganegara Malaysia yang berumur 30-tahun.

    Insiden ini juga telah menyebabkan kesesakan di Tambak Johor yang sememangnya sesak kerana dua dari tiga lorong di jalan tersebut terpaksa ditutup.

    Sudah terlalu banyak insiden seperti ini berlaku dalam negara, dan ia turut pernah meragut nyawa, walaupun di Malaysia setiap kenderaan perdagangan diwajibkan menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), bagi memastikan ia selamat digunakan di atas jalan raya.

    Antara pemeriksaan yang kritikal setiap kali kenderaan-kenderaan berkenaan diperiksa adalah pemeriksaan brek – kenderaan yang gagal dalam ujian ini akan disenarai hitamkan dan keputusan pemeriksaan berkenaan akan dihantar ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Buat masa sekarang, dalam senarai pemeriksaan yang dibuat oleh Puspakom terhadap kenderaan komersil, hanya kegagalan sistem brek perlu dirujuk semula kepada JPJ, di mana pemilik perlu membaiki kegagalan sistem brek berkenaan dan kemudian perlu membuat permohonan untuk menjalani pemeriksaan semula.

    Selepas berlakunya insiden di Tambak Johor Julai lalu, JPJ telah merancang tindakan bersepadu melalui pemantauan dan peningkatan intensiti penguatkuasaan roadworthiness termasuk memperketat Prosedur Operasi Standard (SOP) pemeriksaan kenderaan dengan kerjasama Puspakom.

    Namun sehingga kini, kejadian rempuhan lori-lori ‘brek rosak’ ini nampaknya secara terus-menerus masih berlaku, dan tidak mustahil kita adalah mangsa seterusnya. Apa yang tidak kena sebenarnya?

     
     
  • ACE 2022 paultan.org 5-6 November ini — tawaran menarik kenderaan baru dan terpakai, baucar RM2.5k

    ACE 2022 <em>paultan.org</em> 5-6 November ini — tawaran menarik kenderaan baru dan terpakai, baucar RM2.5k

    Selepas kejayaan pameran jualan Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org Mac lalu, kini tiba masa untuk sebuah lagi cara serupa yang menampilkan lebih banyak kenderaan dari jenama massa, Auto Car Expo (ACE). Edisi tahun 2022 ini — yang merupakan tajaan bersama oleh Petron, Yinson Greentech dan myTukar — dijadualkan berlangsung pada hujung minggi 5-6 November 2022, bertempat di Pusat Persidangan Setia City (SCCC).

    Sama seperti tahun lalu, acara jualan kenderaan ini menjanjikan pelbagai tawaran menarik ke atas pelbagai jenis kenderaan daripada pelbagai jenama. Antara jenama yang bakal ikut serta adalah Honda, Toyota, Nissan, Hyundai, Proton, Perodua dan Subaru. Selain itu, wakil daripada jenama premium juga ada, dengan Mercedes-Benz (melalui Cycle & Carriage) dan BMW/MINI (melalui Auto Bavaria) akan ikut serta.

    Sama seperti PACE, anda berpeluan untuk memandu uji dan membeli kenderaan yang dihajatkan sepanjang ACE 2022 berlangsung — unit baru atau terpakai, semuanya ada, dengan tawaran menarik daripada semua jenama yang terlibat.

    ACE 2022 <em>paultan.org</em> 5-6 November ini — tawaran menarik kenderaan baru dan terpakai, baucar RM2.5k

    Selain daripada promosi daripada jenama terlibat, yang akan kami umumkan dari semasa ke semasa, anda juga boleh menikmati tawaran khas oleh paultan.org. 200 pelanggan terawal yang membuat tempahan kenderaan baru akan menerima baucar gabungan bernilai RM2,500 yang terdiri daripada baucar RM500 bagi filem penapis haba V-Kool, RM500 bagi baucar Dodomat, baucar RM500 untuk penapis udara Blueair, baucar RM500 Recaro untuk kerusi keselamatan kanak-kanak dan baucar RM500 DK Schweizer bagi balutan kulit kustom untuk ruang dalaman kenderaan.

    myTukar juga menawarkan baucar RM1,000 bagi 25 pelanggan pertama yang membuat tempahan kereta terpakai atau trade-in kenderaan mereka menerusi platform berkenaan. Mereka yang trade-in kenderaan akan menerima baucar RM500 masing-masing untuk V-Kool dan Blueair. Sementara 25 lagi pelanggan terawal yang membuat tempahan kereta terpakai akan menerima baucar RM500 untuk Dodomat dan RM500 untuk kerusi kanak-kanak Recaro. Jika anda trade-in kenderaan dan menempah kereta terpakai lain sekaligus, jumlah baucar akan meningkat kepada RM1,500.

    ACE 2022 <em>paultan.org</em> 5-6 November ini — tawaran menarik kenderaan baru dan terpakai, baucar RM2.5k

    Hadiahnya tidak berakhir di situ. Tempahan kereta baru yang telah disahkan pula akan membolehkan anda untuk layak dalam cabutan bertuah dengan tawaran pelbagai hadiah, termasuk 10 telefon pintar bernilai RM2,300 setiap satu dan hadiah utama terdiri daripada pakej percutian untuk dua orang bernilai RM10,000!

    Walaupun dengan peraturan pandemik Covid-19 yang semakin longgar kini, kami masih akan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan semua orang. Pengunjung adalah digalakkan untuk menggunakan pelitup muka sepanjang masa ketika berada di dalam ruang pameran, dan cecair sanitasi tangan juga akan diletakkan di beberapa tempat di sepanjang acara berlangsung.

    Banyak lagi perincian promosi yang akan kami kongsikan daripada jenama-jenama yang ikut serta nanti, jadi teruskan bersama kami. Sementara itu, tandakan kalendar anda untuk 5-6 November 2023 untuk ACE 2022 di SCCC. Jumpa di sana!

     
     
  • Renault siar teaser SUV hibrid yang diasaskan dari model Geely – platform CMA; rebadge dari Xingyue S?

    Renault siar <em>teaser</em> SUV hibrid yang diasaskan dari model Geely – platform CMA; rebadge dari Xingyue S?

    Lanjutan dari kerjasama yang dimeterai oleh Renault dan Geely pada Ogos tahun lalu, ini dia, Renault telahpun menyiarkan teaser pertama untuk SUV hibrid yang dibina berasaskan model Geely. Seperti yang diumumkan pada Januari tahun ini, SUV berkenaan bakal diproduksi di Korea Selatan.

    Menurut Renault, model baharu ini adalah sebahagian dari “barisan model serba baharu” yang menampilkan teknologi hibrid elektrik diasaskan dari teknologi terkini Geely-Volvo, dan ia akan dipasarkan ke peringkat antarabangsa bermula 2024. Tiada perincian lain didedahkan oleh Renault kecuali mengesahkan bahawa model baharu ini menawarkan fungsi hubungan digital dan juga diasaskan dari “platform hibrid baharu dan meyakinkan”.

    Namun sebelum ini Renault-Samsung Motors (RSM) ada menyatakan bahawa model-model yang dibina bersama Geely ini bakal menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) yang telah dibangunkan oleh Geely bersama Volvo, menjadi asas kepada model seperti Geely Xingyue L, Polestar 2, Lynk & Co 01 serta Volvo XC40. Ia juga bakal menerima unit rangkaian kuasa dari jenama automotif China berkenaan.

    Renault siar <em>teaser</em> SUV hibrid yang diasaskan dari model Geely – platform CMA; rebadge dari Xingyue S?

    Teaser yang disiarkan ini menunjukkan bayangan profil sisi SUV hibrid tersebut yang direka seakan coupe empat pintu. Jadi ada kemungkinan model baharu ini diasaskan dari Geely Xingyue S yang telah diperkenalkan di China pada 2019. Geely Xingyue S juga merupakan salah satu model yang diasaskan dari platform CMA, dan untuk pasaran China ia ditawarkan dalam versi petrol sepenuhnya dan juga dua versi hibrid elektrik iaitu hibrid ringkas (mild hybrid) dan plug-in hybrid (PHEV).

    Bagi model mild hibrid, Xingyue S menerima enjin 1.5L tiga silinder turbo yang sama seperti Proton X50, ditala bagi menghasilkan kuasa 174 hp dan tork maksima 255 Nm, serta digandingkan dengan sistem hibrid ringkas 48-volt bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 188 hp. Ia dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan, dan memberikan penggunaan bahan api 5.6 liter/100 km.

    Manakala untuk model PHEV, ia turut menerima enjin 1.5 liter turbo yang sama, tetapi digandingkan dengan motor elektrik hibrid sebenar bagi membolehkan ia menghasilkan kuasa keseluruhan 255 hp dan tork maksima 415 Nm. Dua kapasiti bateri ditawarkan pada model PHEV ini iaitu versi 11.3 kWh dengan jarak gerak menggunakan elektrik sepenuhnya sejauh 56 km dan pengunaan bahan api 1.6L/100 km, dan juga versi 15.2 kWh dengan jarak gerak elektrik penuh 80 km serta penggunaan bahan api 1.2L/100 km.

    Renault siar <em>teaser</em> SUV hibrid yang diasaskan dari model Geely – platform CMA; rebadge dari Xingyue S?

    2018 – Show-car Renault ARKANA

    Kedua-dua versi PHEV ini menyokong penggunaan pengecas pantas DC, di mana bateri versi 11.3 kWj boleh dipenuhkan dalam masa 90 minit, dan bateri versi 15.2 kWj pula boleh dipenuhkan dalam masa 105 minit.

    SUV baharu ini akan diproduksi di kilang milik RSM yang terletak di Busan, Korea Selatan. Buat masa sekarang kilang berkenaan memproduksi SUV Coupe Renault Arkana yang bukan sahaja dihasilkan untuk pasaran domestik, malah turut dieksport ke Eropah. Kerjasama antara Geely dan Renault ini juga menyaksikan Geely telah mendapatkan saham sebanyak 34% di dalam RSM pada bulan Mei tahun ini.

    GALERI: Geely Xingyue S

     
     
  • Volkswagen Setia Alam dilancarkan – pusat 4S ke-18 di Malaysia, yang ke-3 dikendalikan Goh Brothers Motor

    Volkswagen Setia Alam dilancarkan – pusat 4S ke-18 di Malaysia, yang ke-3 dikendalikan Goh Brothers Motor

    Volkswagen and Passenger Cars Malaysia (VPCM), dengan kerjasama Goh Brothers Motor, telah melancarkan pusat 4S Volkswagen terbaharu yang terletak di Setia Alam, Selangor. Volkswagen Setia Alam ini merupakan wakil pengedaran Volkswagen ke-18 di negara ini dan cawangan ketiga yang dikendalikan oleh Goh Brothers Motor selepas cawangan Juru dan Ipoh.

    Berkeluasan 60,000 kaki persegi, fasiliti empat tingkat ini menampilkan identiti korporat terkini Volkswagen, menempatkan ruang pameran seluas 2,970 kaki persegi yang mampu mempamerkan sehingga 8 unit kereta dan juga ruang lounge yang selesa untuk para pelanggan.

    Selain itu, ia turut menempatkan dua tingkat pusat servis yang berkeluasan 10,200 kaki persegi. Dikendalikan oleh 15 juruteknik berpengalaman, fasiliti ini boleh mengendalikan sehingga 30 kenderaan Volkswagen sehari.

    Sempena dengan pelancaran Volkswagen Setia Alam, pelanggan yang belum menyelenggara kereta mereka melebihi enam bulan diundang untuk membawanya ke cawangan ini dan akan diberikan diagnostik keselamatan 20-mata percuma sepanjang Oktober ini.

    Volkswagen Setia Alam dilancarkan – pusat 4S ke-18 di Malaysia, yang ke-3 dikendalikan Goh Brothers Motor

    “Pembukaan cawangan ini turut mengembangkan rangkaian pengedaran dan menperkukuhkan jenama Volkswagen di negara ini. Tahniah kepada Goh Brothers kerana membuka cawangan ini dan kami hargai komitmen mereka terhadap jenama ini,” ujar Erik Winter selaku pengarah urusan VPCM.

    Pengarah urusan Goh Brothers, Goh Kian Sin pula berkata, “Dengan mengembangkan perniagaan di kawasan baharu ini, Volkswagen Setia Alam disasarkan untuk memberikan perkhidmatan buat para pelanggan d kawasan sekitar termasuk Shah Alam dan Klang. Kami mengalu-alukan kedatangan peminat dan pelanggan Volkswagen untuk berkunjung ke pusat 4S kami dan nikmati pengalaman pemilikan dengan Goh Brothers Motor.”

    Volkswagen Setia Alam terletak di U13, 22 A Persiaran Setia Dagang Seksyen, Setia Alam, 40170 Shah Alam, Selangor. Cawangan ini dibuka dari Isnin hingga Ahad dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang, tetapi perkhidmatan selepas jualan hanya beroperasi dari Isnin hingga Sabtu.

     
     
  • Lebuhraya LEKAS ditutup sementara pada 15-16 Oktober untuk acara RHB LEKAS Highway Ride 2022

    Lebuhraya LEKAS ditutup sementara pada 15-16 Oktober untuk acara RHB LEKAS Highway Ride 2022

    Bagi menjayakan acara RHB Lekas Highway Ride 2022, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) akan ditutup sementara kepada semua lalu lintas mulai jam 5 petang pada 15 Oktober 2022 (Sabtu) hingga 4 pagi pada Ahad ini (16 Oktober). Acara berbasikal ini akan berlangsung pada jam 7.45 malam esok.

    Menurut pengendali LEKAS, penutupan jalan bermula dari Persimpangan Kajang Selatan hingga ke Persimpangan Paroi dengan sejumlah 19 persimpangan akan ditutup bagi memastikan kelancaran dan keselamatan bagi 5,618 peserta.

    Untuk laluan alternatif, pengguna dari arah utara (Kuala Lumpur, Cheras dan Kajang) dan arah selatan (Seremban, Senawang dan Kuala Pilah) dinasihatkan menggunakan Jalan Persekutuan 1 atau Lebuhraya Utara Selatan.

     
     
  • Yamaha Tenere 700 bakal tiba di M’sia melalui HLYM?

    Yamaha Tenere 700 bakal tiba di M’sia melalui HLYM?

    Semasa pelancaran Yamaha TMax Tech Max sebentar tadi oleh Hong Leong Yamaha Motor, di dalam siaran akhbarnya terdapat satu perenggan yang mengatakan skuter itu adalah “satu tanda permulaan kepada lebih banyak lagi model motosikal besar Yamaha yang akan diperkenalkan kepada pasaran Malaysia.”

    Ini membawa kepada persoalan, apakah sebenarnya model tersebut dan kami cuba mendapatkan jawapannya. Satu sumber di dalam HLYM sendiri yang tidak mahu dinamakan memberitahu, “kami telah menjalankan kajian dan mendapati segmen offroad memang sedang meningkat. Ini akan menjadi satu hala tuju baru bagi HLYM.”

    Memang, nama Tenere 700 tidak disebut, tetapi itulah model yang sekarang ini menjadi kegilaan ramai, terutamanya mereka yang gemar menjelajah pelbagai tempat termasuk melalui jalan lasak. Kemampuan motosikal ini juga sudah terbukti di seluruh dunia, termasuk menguasai perlumbaan Rimba Raid yang berlangsung di Kuala Tahan baru-baru ini.

    Persoalan sekarang adalah harga dan pemasangannya, sama ada dibuat di luar (CBU) ataupun dalam negara (CKD). Tiada penunjuk tepat untuk perkara ini, tetapi jika melihat kepada pasaran negara jiran, ia dijual pada harga RM51k di Filipina dan RM58k di Thailand. Sekiranya ini boleh diambil sebagai rujukan, harga di Malaysia mungkin berada di antara RM50k ke RM60k.

    GALERI: Yamaha Tenere 700

     
     
  • Yamaha TMax Tech Max dilancar untuk pasaran Malaysia – enjin 562 cc 47.6 hp, meter TFT, RM74,998

    Yamaha TMax Tech Max dilancar untuk pasaran Malaysia – enjin 562 cc 47.6 hp, meter TFT, RM74,998

    Satu tahun selepas TMax 560 diperkenalkan kepada pasaran Malaysia, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) kini melancarkan pula versi terbaru bagi skuter maxi tersebut, iaitu TMax Tech Max. Ia dijual pada harga RM74,998 tidak termasuk insurans dan cukai jalan dan ditawarkan dalam dua warna, iaitu Dark Petrol dan Power Grey.

    TMax Tech Max diperkenalkan buat kali pertama kepada dunia April lalu, di Eropah, dan ia menampilkan rekaan serba baru yang lebih sporty, bersama lampu hadapan jenis projector baru yang bentuknya lebih nipis serta disepadukan sekali dengan lampu penunjuk arah (tiada lagi lampu penunjuk arah berasingan di bawah). Lampu belakang juga adalah baru, dengan nyalaan LED berbentuk T serta juga lampu penunjuk arah bersepadu.

    Bagi memberikan tunggangan lebih sporty dan pada masa sama selesa kepada penunggang serta penumpang, ergonomik skuter ini diubah sedikit, melibatkan tempat duduk serta pelantar kaki yang dipanjangkan, badan yang lebih ramping serta pemegang yang menghasilkan tunggangan sedikit menunduk.

    Meter sebelum ini yang menggunakan gabungan analog dan LCD telah diganti dengan unit TFT tujuh inci berwarna penuh baru, yang selain memaparkan pelbagai informasi penting, juga boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi MyRide-Link untuk memberikan akses kepada panggilan, notifikasi, muzik serta navigasi (sistem peta dari Garmin memerlukan bayaran tambahan RM27 untuk bulan pertama).

    Bahagian lain masih sama seperti sebelum ini, termasuk enjin dua silinder selari DOHC 562 cc yang dipadankan bersama transmisi CVT dengan sistem pacuan tali sawat, menghasilkan 47.6 hp pada 7,500 rpm dan 55.7 Nm tork pada 5,250 rpm.

    Senarai kelengkapan pada skuter ini juga agak panjang dan melibatkan pelbagai ciri canggih seperti penghadang angin kawalan elektrik, cruise control, pemanas tangan dan tempat duduk, sistem tanpa kunci, traction control, mod tunggangan, ruang simpanan besar di bawah tempat duduk serta tongkat tengah anti kecurian (hanya boleh diturunkan apabila kunci pintar ditekan).

    Yamaha TMax Tech Max dilancar untuk pasaran Malaysia – enjin 562 cc 47.6 hp, meter TFT, RM74,998

    Perincian lain TMax Tech Max 2022 ini adalah rim 15 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang, brek cakera 267 mm berkembar di hadapan dan cakera 282 mm di belakang, fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang, tangki bahan api 15 liter, berat 220 kg dan tinggi tempat duduk 800 mm.

    Model yang dipasarkan di Malaysia ini dipasang di dalam negara (CKD), dan setakat ini, 40 unit pengeluaran pertama dan 40 unit lagi yang bakal dipasang pada bulan November sudah pun dijual kepada pelanggan. Selain jaminan dua tahun atau 20,000 km, 100 pelanggan pertama skuter ini juga akan menerima pek hadiah istimewa TMax.


     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025