Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PANDU UJI: BMW X3 xDrive30e M Sport — PHEV gaya segar, seronok dipandu; 252 PS/420 Nm, jarak 50 km

    PANDU UJI: BMW X3 xDrive30e M Sport — PHEV gaya segar, seronok dipandu; 252 PS/420 Nm, jarak 50 km

    Dalam keadaan sekarang, agak sukar untuk menjawab pertanyaan ini: dalam kalangan jenama premium Jerman, yang mana satu menawarkan kenderaan dengan pakej paling menarik? Dan kita tahu hanya ada dua seteru rapat dalam konteks ini di Malaysia, iaitu BMW dan Mercedes-Benz. Jika diperhatikan barisan penawaran kedua-dua jenama itu, dalam satu-satu segmen yang sama, model yang ada selalu hadir dengan kelengkapan dan memberikan nilai yang hampir sama.

    Tetapi, dalam banyak situasi, bagi sesetengah orang, untuk membandingkan model dalam segmen yang sama itu, model dari BMW akan selalu mempunyai satu kelebihan, iaitu aspek pemanduan. Ketika anda duduk di kerusi pemandu, dan merasakan sendiri apa yang ada untuk ditawarkannya, model-model BMW jarang mengecewakan dan itulah yang akan membezakan pengalaman anda bersamanya berbanding kereta dari pengeluar lain.

    Dengan percambahan dan perkembangan teknologi digital dan elektrifikasi dalam kenderaan, agaknya inilah satu-satunya “ramuan” yang masih dapat diberikan dengan cukup berkesan dan tepat oleh BMW, walaupun untuk berlaku adil terhadap pesaing yang lain, mereka tidak ketinggalan begitu jauh di belakang dalam aspek berkenaan. Tetapi, adakah pernyataan ini masih boleh diguna pakai untuk model-model SUV-nya?

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Toyota Fortuner 2022 di M’sia – DVR baharu, Android Auto, Apple CarPlay tanpa wayar; dari RM180k

    Toyota Fortuner 2022 di M’sia – DVR baharu, Android Auto, Apple CarPlay tanpa wayar; dari RM180k

    Toyota Fortuner merupakan antara model yang menerima sedikit peningkatan untuk model tahun 2022 di Malaysia. Barisan variannya masih kekal seperti sebelum ini, dan pilihan paling mampu milik adalah 2.4 AT 4×4 janaan diesel yang berharga RM179,880 atas jalan tanpa insurans.

    Juga tidak berubah ialah 2.8 VRZ AT 4×4 yang berharga RM220,880, sementara varian tunggal janaan petrol, 2.7 SRZ AT 4×4 dijual pada harga RM186,880. Seperti hampir keseluruhan model Toyota, pembeliannya disertakan dengan waranti lima-tahun/perbatuan tanpa had.

    Enjinnya juga masih dikekalkan, dengan unit 2GD-FTV 2.4 liter empat-silinder turbodiesel yang menjanakan 2.4 AT 4×4, dengan hamburan kuasa 150 PS pada 3,400 rpm dan tork 400 rpm antara 1,600 hingga 2,000 rpm. Sementara varian 2.8 VRZ AT 4×4 pula diberikan unit 1GD-FTV 2.8 liter dengan kuasa 204 PS dari 3,000 hingga 3,400 rpm dan 500 Nm dari 1,600 hingga 2,800 rpm.

    Untuk varian petrol 2.7 SRZ AT 4×4 pula, ia ditampilkan dengan enjin 2TR-FE 2.7 liter NA empat-silinder dengan kuasa 166 PS pada 5,200 rpm dan 245 Nm pada 4,000 rpm. Kesemua enjin dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan (dengan sequential shifter) dan juga sistem pacuan empat-roda separuh masa bersama automatic disconnecting differential.

    Risalah spesifikasi Toyota Fortuner 2022; klik untuk besarkan
    Ciri baharu yang diberikan untuk model 2022 ini ialah unit utama skrin sesentuh Display Audio yang kini menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar. Sistem yang dipertingkatkan itu untuk kesemua varian, menurut risalah spesifikasi terkini yang dikeluarkan oleh UMW Toyota Motor. Selain itu, antara muka bagi paparan pandangan panoramik juga telah disemak semula (standard untuk VRZ dan SRZ, pilihan bagi varian asas) serta perakam video digital (dashcam) hadapan baharu untuk semua varian yang boleh disambungkan secara tanpa wayar ke telefon pintar untuk memudahkan pemindahan data.

    Ciri yang dipertingkatkan ini juga diberikan buat Innova 2022, dan kesemua varian Fortuner turut didatangkan dengan port USB-C untuk pengecasan pantas. Senarai kit lain masih kekal seperti sebelum ini, dengan pilihan paling murah diberikan ciri standard termasuk roda aloi 17-inci (dengan tayar 265/65), lampu utama projektor bi-LED automatik, lampu nyalaan siang LED dan lampu kabus belakang.

    Ciri lain termasuk kluster instrumen Optitron dengan paparan pelbagai-info 4.2-inci, enam pembesar suara, pendingin hawa manual, roda stereng pelbagai-fungsi, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, tiga mod pemanduan, upholstery fabrik, tempat duduk hadapan manual, kamera undur, tujuh beg udara, VSC, kawalan cengkaman dan bantuan mula mendaki. ABS dan stereng Variable Flow Control hanya untuk varian diesel sahaja.

    Toyota Fortuner 2022 di M’sia – DVR baharu, Android Auto, Apple CarPlay tanpa wayar; dari RM180k

    Senarai harga Toyota Fortuner 2022; klik untuk besarkan
    Ciri pilihan lain termasuk paparan titik buta dengan kepekaan trafik lintasan belakang, PVM, Sistem Telematik Kenderaan (VTS), paparan yang dipasang di siling dan DVT belakang – dua ciri terakhir yang disebut boleh didapati untuk VRZ dan SRZ.

    Varian SRZ juga menerima penambahan ciri berbanding varian asas termasuk aloi 18-inci (dengan tayar 265/60), kawalan suhu dwi-zon (diperkenalkan sewaktu peningkatan tahun lalu), kotak penyejukan glove, kombinasi upholstery kulit, tempat duduk pemandu larasan kuasa, tailgate kuasa, pemantauan titik buta, PVM, Kawalan Bantuan Menurun Bukit, VTS, kawalan kelajuan pasif, rear differential lock dan automatic limited-slip differential.

    VRZ pula menerima banyak ciri tambahan setanding dengan harganya, termasuk lampu utama segi empat LED, lampu membelok berjujukan LED, port pengecas USB untuk ketiga-tiga barisan tempat duduk, Sistem Pra-Pelanggaran (brek kecemasan sendiri), kepekaan ketibaan lorong dan Kewalan Keluncuran Radar Dinamik.

     
     
  • Proton tubuh anak syarikat untuk kereta tenaga baru dan smart – dipanggil Proton New Energy Technology

    Proton tubuh anak syarikat untuk kereta tenaga baru dan smart – dipanggil Proton New Energy Technology

    Dari kiri: Sua Chek Hoong, Zhang Qiang dan Salawati Mohd Yusoff

    Proton telah menubuhkan sebuah anak syarikat baru untuk mengendalikan jualan dan pengedaran kenderaan smart serta kenderaan tenaga baru (NEV) jenama sendiri, dipanggil sebagai Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (PRO-NET). Dimiliki sepenuhnya oleh Proton, syarikat ini akan dikendalikan oleh pasukan pengurusan yang berasingan manakala kakitangan operasi terdiri daripada pekerja luar daripada pelbagai industri.

    Mengetuai syarikat itu sebagai CEO adalah Zhang Qiang. Beliau telah lama berkecimpung dalam industri automotif di China dan sebelum ini bekerja di Proton selama lima tahun di bahagian jualan dan pembangunan rangkaian. Ahli pasukan pengurusan yang lain termasuk Salawati binti Mohd Yusoff, seorang veteran industri automotif yang berpengalaman selama 25 tahun, sebagai ketua pegawai jenama, dan Sua Chek Hoong, tambahan baru ke Proton dengan pengalaman selama 20 tahun dalam industri komunikasi dan IT, sebagai ketua pegawai informasi.

    Pasukan pengurusan Pro-Net mempunyai tanggung jawab untuk memberi laporan kepada lembaga pengarah yang diketuai oleh ketua pegawai eksekutif Proton, Dr Li Chunrong, sambil disokong oleh timbalannya, Roslan Abdullah, ketua pegawai kewangan, Wang Huaibing serta naib presiden modal insan & pentadbiran, Amran Mohd Tomin.

    Proton tubuh anak syarikat untuk kereta tenaga baru dan smart – dipanggil Proton New Energy Technology

    Jualan kenderaan elektrik smart dijadualkan bermula pada awal suku ke-4 2023 dan model pertama yang akan ditawarkan kepada rakyat Malaysia ialah smart #1. PRO-NET kini sedang membuat persediaan untuk pemasarannya dan keutamaan syarikat sekarang adalah berkenaan penyelesaian isu pengecasan untuk pelanggan, termasuk di rumah dan juga awam.

    “Kajian kami menunjukkan penghalang kepada pengguna untuk membeli kenderaan tenaga baru terikat dengan kebimbangan mereka tentang ketersediaan rangkaian pengecasan. PRO-NET berhasrat untuk menangani isu ini dengan gabungan pemasangan dan penyelenggaraan pengecas di rumah dengan rangkaian awam komprehensif yang dibina bersama rakan kongsi yang pakar dalam pembangunan dan pengendalian stesen pengecasan,” kata Li.

    “Sebagai anak syarikat PROTON, PRO-NET bertanggungjawab memastikan produk dan perkhidmatan kami boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka berada. Jadi, selain daripada pengecas tetap, kami juga sedang mempertimbangkan penyelesaian mudah alih untuk meluaskan liputan kami,” tambah beliau.

    Proton tubuh anak syarikat untuk kereta tenaga baru dan smart – dipanggil Proton New Energy Technology

    “Industri kenderaan tenaga baharu sedang berkembang pesat, dan PRO-NET ingin memainkan peranan besar di Malaysia dan di luar negara. Memandangkan produk baharu ini tidak akan dibebani oleh barisan model terdahulu atau operasi perkhidmatan tradisional, ini adalah peluang untuk PROTON merangka semula pengalaman pelanggannya dan menempatkan dirinya sebagai penyedia mobiliti yang mampu menarik perhatian pembeli baharu dan tradisional,” kata Li.

    “Kami masih berada di titik permulaan perjalanan tenaga baharu tetapi dengan pengumuman rasmi hari ini mengenai PRO-NET, rancangan ini akan mendapat momentum yang membawa kepada lebih banyak perkembangan pada bulan dan tahun akan datang,” tambah Li.

    Bulan lepas Proton dan smart telah mengumumkan secara rasmi kerjasama antara dua syarikat dengan melakukan majlis tanda tangan perjanjian pengedaran, yang akan menyaksikan Proton menjual dan menyediakan servis untuk kenderaan smart di Malaysia dan juga Thailand. Proton mensasarkan penjualan antara 800 hingga 1,000 unit kenderaan smart setahun di Malaysia dan meletakkan sasaran 10,000 unit menjelang 2027.

     
     
  • Nissan X-Trail 2023 masuk pasaran Eropah – 1.5L 3-silinder VC Turbo, sistem hibrid ringkas dan e-Power

    Nissan X-Trail 2023 masuk pasaran Eropah – 1.5L 3-silinder VC Turbo, sistem hibrid ringkas dan e-Power

    Nissan X-Trail generasi keempat sudahpun membuat kemunculan sulungnya lebih dua tahun lalu iaitu pada Jun 2020, dan kemudian diperkenalkan pada pelbagai pasaran seperti China, Amerika Syarikat (dikenali sebagai Rouge), Jepun, Australia dan lain-lain. Namun SUV berkenaan sebenarnya baru sahaja diperkenalkan di Eropah baru-baru ini.

    Untuk benua berkenaan, X-Trail 2023 ini ditawarkan dalam versi lima- dan tujuh-tempat duduk. Ketika ia dilancarkan, X-Trail pasaran Eropah ini hanya menerima dua pilihan unit rangkaian kuasa dengan bantuan teknologi elektrifikasi.

    Yang pertama adalah versi VC-Turbo 1.5 liter dengan sistem hibrid ringkas 12-Volt. Bagi versi ini, ia menampilkan enjin petrol 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem mampatan bervariasi (Variable Compression atau VC). Menerusi sistem berkenaan, enjin tersebut mampu untuk memberikan nisbah mampatan yang berbeza bergantung pada situasi.

    Nissan X-Trail 2023 masuk pasaran Eropah – 1.5L 3-silinder VC Turbo, sistem hibrid ringkas dan e-Power

    Contohnya ketika hanya kuasa yang rendah diperlukan, enjin berkenaan akan memberikan nisbah mampatan tinggi bagi memberikan kecekapan bahan api lebih baik yang boleh dibuat menerusi kelengkapan mekanikal istimewa pada aci engkol. Manakala bagi sistem hibrid ringkas, ia terdiri dari motor ECO dan juga bateri lithium-ion bersaiz kecil.

    Bateri berkenaan menerima cas semula dari motor ECO setiap kali kereta SUV berkenaan menyah pecut. Dan apabila kereta berhenti, enjin tidak akan dibiarkan pada kelajuan melahu, sebaliknya akan dimatikan terus, dan ketika ini bateri lithium ion berkenaan akan membekalkan kuasa elektrik pada kenderaan, membolehkan enjin terus mati dalam tempoh masa yang lama.

    Manakala ketika ia mahu bergerak semula, enjin akan dihidupkan semula secara lembut menggunakan motor ECO sebaik sahaja kaki diangkat dari pedal brek. Dan sekiranya perlu, motor ECO tersebut turut akan memberikan 6 Nm tork tambahan ketika memecut. Ini memberikan prestasi pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.6 saat serta mencapai kelajuan maksima 200 km.

    Nissan turut mendakwa bahawa X-trail 1.5 VC Turbo dengan sistem hibrid ringkas ini mampu mencapai penggunaan bahan api serendah 7.1 l/100 km mengikut standard WLTP (7.2 l/100 km untuk model 7-tempat duduk).

    Nissan X-Trail 2023 masuk pasaran Eropah – 1.5L 3-silinder VC Turbo, sistem hibrid ringkas dan e-Power

    Pilihan unit rangkaian kuasa kedua bagi X-Trail pasaran Eropah ini adalah model e-Power, iaitu sistem hibrid jenis range extander yang hampir kepada kereta elektrik sebenar. Bagi model ini, ia menerima enjin petrol 1.5 liter tiga-silinder VC Turbo yang bertugas hanya sebagai generator untuk mengecas bateri sistem hibrid.

    Manakala roda hadapan digerakkan 100% menggunakan motor elektrik yang berkuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork maksima 330 Nm. Model e-Power ini juga turut ditawarkan dengan pilihan sistem e-4ORCE yang akan memberikan satu lagi motor elektrik berkuasa 128 PS (126 hp atau 94 kW) dan tork maksima 195 Nm di belakang bagi memacu roda belakang.

    Jadi model e-Power dengan sistem e-4ORCE ini akan memberikan pacuan semua roda kepada X-Trail berkenaan serta menawarkan kuasa keseluruhan 213 PS (211 hp atau 157 kW). Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 7 saat (7.2 saat untuk model 7-tempat duduk), kelajuan maksima 180 km/j, serta penggunaan bahan api penggunaan bahan api serendah 6.3 l/100 km.

    Manakala bagi model e-Power tanpa sistem e-4ORCE pula, pecutan 0-100 km/j mengambil masa 8 saat dan mencatatkan kelajuan maksima hanya 170 km/j, tetapi mampu mencapai penggunaan bahan api lebih rendah iaitu 5.8 l/100 km.

    Dari segi rupa, X-Trail pasaran Eropah ini menampilkan rupa yang hampir sama seperti model-model pasaran lain. Begitu juga pada kabin, di mana ia juga turut menerima skrin dua skrin 12.3-inci, di mana salah satu adalah untuk sistem infotainmen NissanConnect dan satu lagi untuk paparan instrumen digital.

    Nissan menyatakan bagi model tujuh-tempat duduk, kerusi barisan paling belakang mampu untuk menempatkan penumpang berketinggian 160 cm dengan selesa, atau ia boleh dilipat bagi memberikan lebih ruang kargo. Manakala penumpang baris kedua menerima sistem pendingin hawa sendiri (tiga-zon), serta banyak port USB dan pelindung matahari bina-dalam.

    Manakala untuk sistem bantuan pemanduan, SUV ini turut menerima sistem Nissan ProPILOT bersama Navi-Link, yang memberikan fungsi seperti cruise control adaptif bersama sistem stop & go, bantuan kekal lorong dengan intervensi titik buta, serta data dari sistem navigasi turut digunakan bagi melaras semula laju apabila melalui selekoh dengan radius lebih tajam.

     
     
  • Jabatan Meteorologi ramal banjir besar pada hujung November – jangan lupa insurans bencana alam anda

    Jabatan Meteorologi ramal banjir besar pada hujung November – jangan lupa insurans bencana alam anda

    Cuaca sekarang memang sukar dijangka. Baru berada di awal bulan September, kita sudah mula mengalami hujan yang kerap tanpa mengira waktu sama ada siang, malam, pagi atau petang. Nampaknya ini cuma baru permulaan dan jabatan meteorologi (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran awal kepada semua rakyat Malaysia.

    Dengan kepakaran serta alatan canggih yang ada, MetMalaysia menjangkakan negara akan berhadapan dengan hujan lebat berterusan pada pertengahan November, dan ini mungkin membawa kepada banjir besar pada hujung bulan. Impaknya akan lebih ketara kali ini, memandangkan monsoon timur laut sedang aktif pada waktu itu, dan fenomena La Nina akan berlaku sehingga awal tahun depan.

    Menurut ketua pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, pada bulan Oktober, risiko cuaca hanya melibatkan ribut petir, yang berpotensi menyebabkan angin kuat, hujan lebat serta banjir kilat skala kecil dalam tempoh singkat. Beliau memberitahu Berita Harian bahawa kebanyakan kawasan akan mengalami hujan biasa pada bulan Oktober.

    Jabatan Meteorologi ramal banjir besar pada hujung November – jangan lupa insurans bencana alam anda

    Biasanya, Malaysia akan berhadapan dengan pertukaran monsoon pada hujung bulan September sehingga awal November.

    “Sepanjang tempoh ini, cuaca biasanya elok di waktu pagi, sementara bila petang sehingga awal malam, ribut petir akan berlaku lebih kerap terutamanya di kawasan pantai barat serta pedalaman Semenanjung, Sarawak (barat dan tengah) dan barat Sabah. Risiko untuk berlaku banjir kilat adalah tinggi dalam tempoh ini terutama di kawasan rendah di pantai barat Semenanjung,” kata Helmi.

    Tidak kisahlah ia ribut petir “biasa” atau yang teruk seperti dijangka berlaku pada bulan November, apa pun kita perlu bersedia dengan mendapatkan insurans kerosakan akibat banjir atau bencana alam (special perils) untuk kenderaan. Dengannya, kita boleh merasa sedikit tenang jika dalam keadaan tidak disangka, kereta tenggelam akibat banjir atau bencana alam lain.

    Jabatan Meteorologi ramal banjir besar pada hujung November – jangan lupa insurans bencana alam anda

    Ia juga tidaklah terlalu mahal. Tahun lepas kami telah kumpulkan bayaran insurans bencana alam ini, daripada beberapa penyedia insurans utama Malaysia, termasuk AIA, AIG, Allianz, AXA, Etiqa, Kurnia, MPI Generali, MSIG, RHB, Takaful dan Tokio Marine. Kadarnya adalah antara 0.15% hingga 0.5% daripada jumlah keseluruhan perlindungan kenderaan anda.

    Contohnya, jika jumlah yang diinsurankan untuk kereta anda adalah RM25,000, anda hanya perlu membayar serendah RM50 untuk perlindungan tambahan special perils ini untuk insuran seperti Allianz, AXA, MSIG dan Tokio Marine. Untuk insuran yang mengenakan kadar lebih tinggi seperti AIA, AIG, Etiqa, Kurnia, RHB dan Takaful, jumlah bayaran tambahan untuk kereta yang diinsurankan sebanyak RM25,000 tersebut adalah antara RM63 sehingga RM125.

    Sudah tentu, ini adalah lebih baik berbanding terpaksa menghabiskan beribu-ribu ringgit apabila kenderaan anda rosak akibat banjir, kan?

     
     
  • Harga rasmi SUV Mercedes-Benz EV – RM329k bagi EQB350, EQC400 pada RM389k; SST + bebas-cukai

    Harga rasmi SUV Mercedes-Benz EV – RM329k bagi EQB350, EQC400 pada RM389k; SST + bebas-cukai

    Mercedes-Benz EQC400 4Matic
    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mengesahkan harga rasmi bagi EQB350 4Matic dan EQC400 4Matic. SUV elektrik ini masing-masing ditawarkan pada harga RM328,888 dan RM388,888, atas jalan tanpa insurans. Disebabkan kedua-duanya EV janaan bateri, sekaligus melayakkannya mendapat bebas-cukai tetapi dengan 10% bagi cukai jualan untuk kereta penumpang selepas ‘cuti cukai’ berakhir pada 30 Jun lalu.

    EQB dan EQC telah ditampilkan menerusi persembahan EQ oleh MBM pada Julai lalu, yang turut menyaksikan pelancaran bagi model perdana EV EQS450+ AMG Line. Model elektrik setanding S-Class itu ditawarkan pada harga RM700k. Dalam acara berkenaan, MBM memberikan harga jangkaan sekitar RM330,000 untuk EQB dan EQC pula RM390,000, jadi harga rasminya yang diumumkan ini tidak jauh dari apa yang dijangka.

    EQB hadir dengan padanan transmisi satu-kelajuan dalam keadaan standard. Motor di hadapan adalah unit asynchronous (ASM) sementara motor di belakang pula menggunakan unit permanently excited synchronous (PSM). Pacuan kuasanya mencecah 292 PS dan tork 520 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 6.2 saat, manakala laju maksimum mencecah 160 km/j.

    Harga rasmi SUV Mercedes-Benz EV – RM329k bagi EQB350, EQC400 pada RM389k; SST + bebas-cukai

    Mercedes-Benz EQB350 4Matic
    Kuasanya dipacukan dari pek bateri lithium-ion 420-voltan dengan kapasiti tenaga 66.5 kWh, yang mampu memberikan jarak gerak 419 km.

    Manakala EQC 400 4Matic diberikan penjana kuasa dwi-motor dengan hamburan output 408 hp dan tork 765 Nm, membolehkan ia dipacu dari 0-100 km/j dalam 5.1 saat dan kelajuan maksimum cecah 180 km/j.

    Ia juga digandingkan dengan bateri 80 kWh, yang membolehkan EQC 400 4Matic yang mampu memberikan jarak hingga 437 km, dengan sokongan pengecasan AC dengan kapasiti 11 kW yang mengambil masa sekitar 11 jam jika menggunakan wallbox di rumah atau stesen pengecasan awam. Sementara pengecas pantas DC pula berkapasiti 110 kW, dengan status pengecasan dari 10% hingga 80% dalam 40 minit.

    Dengan pengenalan model EQB350 dan EQC400 ini sekaligus telah menyertai versi yang paling kecil EQA250 (dilancarkan pada Mac lalu) dalam barisan SUV EQ oleh MBM untuk pasaran Malaysia.

    GALERI: Mercedes-Benz EQB350 4Matic

    GALERI: Mercedes-Benz EQC400 4Matic

     
     
  • Toyota Innova 2022 dapat Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, DVR dikemaskini, port USB-C

    Toyota Innova 2022 dapat Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, DVR dikemaskini, port USB-C

    Selain mengumumkan prestasi jualan untuk bulan Ogos, UMW Toyota Motor (UMWT) turut mengemaskini beberapa modelnya untuk pasaran tempatan. Ini termasuklah MPV Innova yang masih ditawarkan dengan tiga varian iaitu model asas 2.0E, pertengahan 2.0G dan tertinggi 2.0X.

    2.0G ditawarkan pada harga RM131,888 atas jalan tanpa insurans, sementara 2.0X pula berharga RM141,880. Ini termasuk dengan waranti lima-tahun/perbatuan tanpa had. Untuk model asas, 2.0E, ia berharga RM123,880.

    Secara mekanikalnya, kesemua model Innova pasaran Malaysia ini dijana oleh enjin petrol 1TR-FE 2.0 liter empat silinder berkuasa 139 PS pada 5,600 rpm dan tork 183 Nm pada 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik konvensional enam kelajuan bagi memacu roda belakang. Kotak gear tersebut turut diberikan mod manual pada tuil penukar gear, serta tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Power.

    Melihat risalah spesifikasi terkini, varian 2.0G dan 2.0X menerima unit utama skrin sesentuh Display Audio sembilan-inci baharu yang kini menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar. Malah UMWT turut memaklumkan varian ini turut menerima port pengecasan pantas USB-C dan antaramuka paparan pandangan panoramik (PVM) yang disemak semula.

    Khas untuk 2.0X pula ialah perakam video digital (dashcam) hadapan baharu yang boleh disambungkan secara tanpa wayar ke telefon pintar untuk memudahkan pemindahan rakaman video. Selain daripada perubahan ini, ciri semua varian Innova ini masih kekal seperti sebelum ini.

    2.0E didatangkan secara standard dengan roda aloi 16-inci (dengan tayar 205/65), lampu utama halogen automatik, lampu nyalaan siang jenis mentol, lampu kabus belakang, gril hadapan perak dan hitam, cermin sisi larasan kuasa, lampu belakang kluster instrumen, unit utama standard, enam pembesar suara, pengecas tanpa wayar (diperkenalkan pada November lalu), pendingin hawa manual (dengan kawalan dan corong di belakang), roda stereng pelbagai-fungsi dan tombol gear urethane, upholstery fabrik hitam, tempat duduk hadapan manual, ABS, VSC, penderia parkir hadapan dan belakang dan tujuh beg udara.

    Risalah spesifikasi Toyota Innova 2022 dan senarai harga; klik untuk besarkan

    Ciri tambahan diberikan untuk varian 2.0G dengan lampu kabus hadapan, gril krom dengan tona kelabu, cermin sisi krom yang boleh dilaras, pemegang pintu krom, panel meter Optitron dengan paparan pelbagai-info 4.2-inci, sistem Display Audio, pendingin hawa automatik, pencahayaan ambien, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, tailgate yang mudah ditutup, pemantauan titik buta dengan kepekaan trafik lintasan belakang, Sistem Telematik Kenderaan (VTS) dan PVM.

    Untuk varian tertinggi, pastinya diberikan lebih banyak ciri tambahan termsuk roda aloi 17-inci (dengan tayar 215/55), pakej penggayaan dalaman, lampu utama projektor LED, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan LED, gril krom gelap dengan rona hitam, kombinasi kulit upholstery, tempat duduk pemandu larasan kuasa, tempat duduk kapten untuk barisan kedua (dengan bangku yang boleh dilipat 60:40) dan DVR hadapan.

    Ciri seperti DVR, pemantauan titik buta dengan kepekaan trafik lintasan belakang dan PVM turut ditawarkan secara pilihan untuk 2.0E bersama kos tambahan, tetapi belum dinyatakan lagi. Manakala varian 2.0G dan 2.0X kini ditawarkan dengan perakam video digital (dashcam) hadapan dan belakang yang menjadi sebahagian daripada pakej Tech-Up bernilai RM1,100, dengan aksesori lain termasuk lapisan filem solar dan keselamatan premium bernilai RM2,120.

    GALERI: Toyota Innova 2.0X 2021 (pra-peningkatan)

     
     
  • UMW Toyota catat jualan 9,091 unit kenderaan pada Ogos 2022 – jualan tahunan lebih 61k unit, naik 59%

    UMW Toyota catat jualan 9,091 unit kenderaan pada Ogos 2022 – jualan tahunan lebih 61k unit, naik 59%

    UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan bahawa ia telah mencatatkan jualan sebanyak 9,091 unit kenderaan sepanjang Ogos 2022. Dari jumlah berkenaan, 8,961 unit daripadanya adalah kenderaan berjenama Toyota, dan 130 unit selebihnya adalah dari jenama Lexus.

    Jumlah jualan berkenaan juga mewakili peningkatan sebanyak 2,454 unit kenderaan berbanding jumlah jualan 6,637 unit yang dicatatkan oleh UMWT pada Julai 2022, atau kenaikan sebanyak 37%.

    Manakala untuk jualan kumulatif tahunan setakat ini pula, UMWT telah menjual sebanyak 61,639 unit kenderaan (Toyota dan Lexus) untuk lapan bulan pertama 2022, atau naik kira-kira 59% berbanding jumlah jualan 38,805 unit yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu – ketika itu industri automotif tempatan terjejas secara keseluruhannya kerana Covid-19.

    UMW Toyota catat jualan 9,091 unit kenderaan pada Ogos 2022 – jualan tahunan lebih 61k unit, naik 59%

    “Pasukan di UMW Toyota Motor sangat bersyukur dengan sokongan kuat dan kami sentiasa bekerja keras bagi memacu produksi untuk memastikan kereta baharu dapat diserahkan kepada pemilik,” kata presiden UMWT, Ravindran Kurusamy.

    UMWT turut mengumumkan bahawa ia akan melancarkan MPV tujuh-tempat duduk yang menggantikan Toyota Avanza iaitu Veloz ke pasaran Malaysia tidak lama lagi. Selepas tempahan model itu dibuka Jun lalu, syarikat tersebut menyatakan bahawa ia telah menerima tempahan sebanyak 5,200 unit Veloz sehingga kini.

    Seperti diketahui, Veloz merupakan kembar kepada Perodua Alza 2022 yang juga baru dilancarkan pada 20 Julai lalu. UMWT sebelum ini telahpun mengumumkan bahawa Veloz bakal dijual pada harga anggaran atas jalan tanpa insuran RM95,000, atau RM20,000 lebih mahal berbanding varian tertinggi Perodua Alza AV. Apa perbezaan antara Veloz dan Alza? Kami sudahpun menyediakan satu artikel berkenaan perkara tersebut yang boleh anda baca pada PAUTAN INI.

     
     
  • Toyota Veloz – tempahan cecah 5,200 unit sebelum dilancar, bakal dirasmikan dalam masa terdekat

    Toyota Veloz – tempahan cecah 5,200 unit sebelum dilancar, bakal dirasmikan dalam masa terdekat

    UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan bahawa selepas tempahan Toyota Veloz dibuka pada Jun lalu, MPV berkenaan kini sudahpun ditempah sebanyak 5,200 unit. Syarikat berkenaan turut menyatakan bahawa model ini bakal dilancarkan secara rasmi “tidak lama lagi”.

    “Pengenalan Toyota Veloz ini akan menjadi detik yang sigifikant buat kami dan kami yakin ia akan menjadi popular dikalangan rakyat Malaysia dengan penawaran premium berbaloi, perincian canggih, dan sudah tentu, kualiti dan ketahanan Toyota yang sudahpun diketahui,” kata presiden UMWT, Ravindran K.

    “Kami sedang gigih berusaha untuk menyediakan pakej yang betul untuk pelanggan. Sudah menjadi hala tuju kami untuk ‘Extra Mile’ dengan memberikan keutamaan dan perhatian yang tinggi kepada keperluan pelanggan menerusi penawaran jualan dan selepas jualan kami,” tambahnya lagi.

    Toyota Veloz – tempahan cecah 5,200 unit sebelum dilancar, bakal dirasmikan dalam masa terdekat

    Seperti yang diketahui sebelum ini, Veloz merupakan kembar kepada Perodua Alza yang diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang sama, menggunkan enjin dan transmisi serupa, serta turut diproduksi bersama di kilang Perodua di Sg. Choh.

    Sebelum ini UMWT sudahpun mengumumkan bahawa Veloz bakal dijual pada harga anggaran atas jalan tanpa insuran RM95,000, atau RM20k lebih mahal berbanding model varian tertinggi Alza iaitu Alza AV. Jadi apa kelebihan dan perbezaan antara Veloz dan Alza? Kami sudahpun menyediakan satu artikel berkenaan perkara tersebut yang boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    GALERI: Toyota Veloz pasaran Malaysia

     
     
  • MyBayar Saman PDRM secara online, caranya mudah!

    MyBayar Saman PDRM secara online, caranya mudah!

    Biasanya, ramai yang tak sedar yang kenderaan di didaftarkan di bawah nama mereka ada saman yang tertunggak. Dan, kalau ada pun saman yang sudah sampai ke tangan, orang selalu merasakan tak ada masa yang tepat untuk keluar ke kaunter bayaran untuk melangsaikannya.

    Jika anda rasa semua ini menyusahkan, jangan khuatir lagi. PDRM kini sudah pun memperkenalkan laman online khusus untuk tujuan berkenaan, melalui portal myBayar Saman di pautan https://mybayar.rmp.gov.my/

    Melalui laman ini, semakan dan bayaran boleh dilakukan dengan mudah dan dalam masa yang singkat. Jika anda belum pernah menggunakan laman ini, berikut adalah cara langkah demi langkah bagaimana untuk membuat pembayarannya, dalam masa kurang dari 5 minit!

    Bagaimana untuk gunakan MyBayar Saman?

    1. Daftar perincian peribadi anda

    Pendaftaran hanya memerlukan beberapa maklumat peribadi sahaja. Pertama, pilih jenis akaun sama ada Persendirian atau Syarikat, dan kemudian diikuti dengan maklumat seperti Nama, No. Kad Pengenalan, Alamat serta nombor telefon pengguna.

    2. Tunggu nombor OTP untuk pengesahan

    MyBayar Saman PDRM secara online, caranya mudah!

    Nombor sekuriti OTP akan dihantar ke telefon anda. Masukkannya dan anda akan di bawa ke lembar berikutnya untuk memasukkan kata laluan bagi akaun anda.

    3. Semakan saman

    MyBayar Saman PDRM secara online, caranya mudah!

    Selesai semua itu, anda sudah boleh log masuk. Perkara pertama yang akan terpapar adalah semakan saman bagi semua kenderaan yang didaftarkan di bawah nama anda, dengan jumlah saman yang dikenakan, sekiranya ada. Dalam kes saya sendiri, baru saya tahu ada satu saman untuk sebuah motosikal lama sejak tahun 2007!

    4. Pilih saman yang ingin dibayar

    MyBayar Saman PDRM secara online, caranya mudah!

    Anda boleh klik saman mana yang hendak dibayar dahulu. Ia kemudian akan membawa anda ke laman pemilihan kaedah bayaran. Saya memilih bayaran melalui pindahan wang online dari akaun bank. Ia terus akan membawa anda ke laman bank berkaitan, dan bayaran akan terus dibuat.

    5. Makluman bayaran telah berjaya dibuat

    MyBayar Saman PDRM secara online, caranya mudah!

    Sejurus selepas transaksi dari bank dibuat, anda akan menerima maklumat bahawa bayaran telah berjaya dibuat, dan saman yang berkenaan tidak lagi akan berada dalam rekod ketika semakan.

    Itu sahaja, mudahkan? Jadi, kita sekarang ini tidak punya alasan lagi untuk tidak membayar saman. Tetapi ambil maklum juga, yang portal ini hanya memaparkan saman bagi kenderaan yang didaftarkan di bawah nama pemilik. Sekiranya ada kes saman yang lebih rumit, misalnya oleh pemandu yang kenderaannya oleh pemilik lain, itu perlu dirujuk di kaunter untuk penjelasan lajut.

     
     
  • Melaka rancang bina laluan sepanjang 120km hubungkan M’sia-Indo – pembinaan dijangka 20 tahun

    Melaka rancang bina laluan sepanjang 120km hubungkan M’sia-Indo – pembinaan dijangka 20 tahun

    Mungkin selepas ini rakyat Malaysia dan Indonesia boleh berulang alik ke kedua-dua negara berkenaan dengan menggunakan jalan darat apabila Melaka telah mengeluarkan cadangan untuk membina laluan melibatkan jarak kira-kira 120 km iaitu melalui Masjid Tanah (Melaka)-Dumai (Tanah Besar Sumatera).

    Menurut Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, laluan yang dirancang dibina dalam bentuk terowong atau jambatan itu dijangka mengambil masa 20 tahun bakal dibangunkan dengan kerjasama syarikat swasta, laporan Bernama.

    Tambah beliau, dengan adanya laluan tersebut, ia mampu memberi impak kepada perkembangan ekonomi kedua-dua negara dalam pelbagai sektor khususnya perindustrian dan pelaburan.

    “Cadangan pembinaan laluan ini telah dikemukakan pihak swasta dan menerusi kajian yang dilakukan, jarak antara pesisir pantai di Dumai, Indonesia ke Telok Gong, Masjid Tanah di sini hanya sejauh 47 km.

    “Secara dasarnya kedua-dua negara telah bersetuju untuk perkara ini diperincikan dan langkah awal di peringkat kerajaan negeri Melaka, kita telah membawa semua agensi kerajaan melihat kawasan yang akan dibina jajaran baharu ini semalam,” katanya.

    Jelasnya, laluan berkonsepkan ‘Satu Jalur Satu Jalan’ itu akan menjadi ikon baharu kedua-dua negara dan pelbagai prasarana akan turut dibangunkan termasuk kawasan penyuraian trafik dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

    Selain itu, kawasan perindustrian baharu yang menempatkan pelbagai kegiatan perindustrian seperti semikonduktor dan automotif akan dibangunkan secara berperingkat di Masjid Tanah melibatkan keluasan kira-kira 2,023 hektar, katanya. Di mana ia diuruskan oleh Melaka Corporation, yang dahulunya dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM)

     
     
  • Honda ZR-V terima pilihan aksesori ‘Premium Style’ oleh Honda Access di Jepun – kit badan, rim 19-inci

    Honda ZR-V terima pilihan aksesori ‘Premium Style’ oleh Honda Access di Jepun – kit badan, rim 19-inci

    Pengeluar aksesori rasmi Honda yang juga pemilik jenama Modulo iaitu Honda Access telahpun memperkenalkan barisan aksesori rasmi untuk SUV Honda ZR-V pada pasaran Jepun. Barisan aksesori yang digelar “Premium Style” tersebut menawarkan pelbagai perincian penggayaan untuk luaran dan dalaman untuk Honda ZR-V.

    Untuk kelengkapan luaran, aksesori Premium Style ini terdiri dari perapi kemasan perak pada bampar hadapan, skirt sisi dan bampar belakang, serta kemasan perumah nombor pendaftaran belakang berwarna hitam yang menghubungkan lampu belakang kiri dan kanan, spoiler belakang lebih menonjol, penutup cermin sisi berwarna hitam, lampu kabus LED (pilihan putih atau kuning), rim aloi 19-inci, emblem ZR-V berwarna hitam dan juga lampu puddle yang memancarkan grafik jalur berkembar.

    Pada bahagian kabin pula, barisan aksesori ini menampilkan banyak pencahayaan LED berwarna putih yang boleh ditemui pada perapi bendul pintu dengan logo ZR-V (depan dan belakang), kotak konsol tengah, poket pintu dan ruang letak kaki.

    Honda ZR-V terima pilihan aksesori ‘Premium Style’ oleh Honda Access di Jepun – kit badan, rim 19-inci

    Honda ZR-V merupakan SUV segmen-C Honda, yang lebih kecil dari CR-V, tetapi lebih besar dari HR-V, diasaskan dari platform yang sama dengan Honda Civic generasi ke-11. Ia merupakan model global yang setakat ini telah didedahkan di China dan Jepun, tetapi untuk pasaran Amerika Syarikat, model ini diberi nama Honda HR-V.

    Ia menampilkan panjang 4,568 mm dan lebar 1,840 mm. Jadi berbanding HR-V generasi terkini pasaran Malaysia, Z-RV ini adalah 183 mm lebih panjang dan 50 mm lebih lebar.

    Saingan sebenar bagi ZR-v ini sebenarnya adalah Toyota Corolla Cross, namun ia diiukur 108 mm lebih panjang, 15 mm lebih lebar dari SUV Toyota berkenaan serta jarak roda 15 mm lebih jauh kepada 2,655 mm.

    Honda ZR-V ini ditawarkan dalam versi enjin petrol sepenuhnya dengan unit 1.5 liter turbo dan juga pilihan unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV yang menampilkan enjin 2 liter yang digandingkan bersama motor elektrik.

    Sebagai sebuah model global, tidak mustahil Honda ZR-V ini akan di bawa ke Asia Tenggara, khususnya di Malaysia. Anda rasa bagaimana? Adakah Honda hanya patut mengekalkan barisan SUV sedia ada iaitu CR-V dan HR-V di sini, atau membawa model baharu ini untuk berhadapan terus dengan Toyota Corolla Cross?

    GALERI: Honda ZR-V pasaran China

    GALERI: Honda HR-V 2023 pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Beberapa jalan di Putrajaya bakal ditutup pada 11 Sept ini untuk menjayakan acara Garmin Marathon 2022

    Klik untuk besarkan

    Adakah anda antara 10,000 pelari yang bakal menyertai Garmin Run Asia 2022 Series – Malaysia Marathon yang bakal berlangsung pada 11 September, Ahad ini? Kalau nak jumpa wakil Paultan.Org yang bakal sertai larian ini, bolehlah jumpa di Putrajaya ya. Okay. Ini ada satu pengumuman penting buat warga Putrajaya dan semua peserta acara tersebut.

    Atas faktor kelancaran acara dan juga keselamatan semua pihak, terdapat beberapa jalan utama di sekitar Putrajaya yang bakal ditutup untuk laluan trafik. Sama ada penutupan penuh atau pun sebahagian jalan yang terlibat, seperti mana yang dinyatakan menerusi imej yang dikongsikan ini.

    Klik untuk besarkan

    Penutupan jalan akan bermula pada jam 3.20 pagi Ahad ini, iaitu 10 minit sebelum pelari full marathon (42 km) memulakan larian pada 3.30 am (untuk pelari 21 km bermula jam 4.15 pagi, dan 10 km pada 7 pagi), dan acara akan berlangsung sehingga ke tengahari. Kawasan karnival pula akan bertempat di hadapan Mahkamah Kehakiman, dan tempat parkir pula disediakan berhampiran JPN dan McDonald.

    Jadi, jika anda yang berada di luar Putrajaya tetapi berhajat untuk sana pada Ahad ini, mungkin anda patut mempertimbangkan semula perancangan anda itu. Kalau mahu juga berkunjung ke sana terutamanya yang berhajat mahu ke Floria DiRaja Putrajaya yang dilanjutkan sehingga 11 Sept ini, mungkin boleh ke sana selepas jam 12 tengahari (jika anda mahu ke sana pada Ahad ini lah, atau pergi Sabtu lagi okay).

     
     
  • Huawei Aito M5 diperkenal di China – elektrik penuh dengan bateri 80 kWh, jarak gerak sehingga 620 km

    Huawei Aito M5 diperkenal di China – elektrik penuh dengan bateri 80 kWh, jarak gerak sehingga 620 km

    Huawei telah menunjukkan kenderaan elektrik penuh pertama mereka, iaitu Wenjie M5 EV, yang akan dijual melalui jenama AITO. Ia sebenarnya adalah satu versi elektrik penuh bagi Wenjie M5, iaitu sebuah model yang diubah suai daripada SF5 (dibangunkan bersama oleh Huawei dengan Seres) dan diperkenalkan Disember lalu.

    AITO sebelum ini cuma mempunyai dua model, iaitu Wenjie M5 dan Wenjie M7 (SUV besar yang diperkenalkan Julai lalu), dengan kedua-duanya adalah EV range extender yang mempunyai enjin petrol empat silinder turbo 1.5 liter sebagai generator untuk mengecas bateri lithium ion 40 kWh (tetapan satu motor atau dua motor).

    Wenjie M5 EV pula tidak mempunyai sebarang enjin pembakaran dalaman, dan menggunakan bateri 80 kWh yang lebih besar. Dibina atas platform DriveONE Huawei, M5 EV Standard Edition menggunakan motor elektrik terletak di belakang, yang boleh menghasilkan kuasa 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan tork 360 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 7.1 saat.

    Model Standard Edition dijual pada harga 288,600 yuan (RM186,429), sementara Performance Edition dijual pada 319,800 yuan (RM206,530). Harga yang lebih tinggi pada Performance Edition memberikan tetapan dua motor dan pacuan empat roda, hasil daripada motor elektrik di hadapan yang mampu menghasilkan 224 PS (221 hp atau 165 kW) dan tork 315 Nm, dan motor elektrik belakang yang mampu menghasilkan 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan 360 Nm.

    Huawei Aito M5 diperkenal di China – elektrik penuh dengan bateri 80 kWh, jarak gerak sehingga 620 km

    Pakej penggerak yang lebih berkuasa ini juga menghasilkan pecutan 0-100 km/j yang lebih pantas, iaitu 4.5 saat, tetapi jarak geraknya menjadi 552 km dengan sekali cas (Standard Edition boleh bergerak sehingga 620 km). Kedua-dua penggerak mendapat sistem Dynamic Adaptive Torque System (DATS) secara standard.

    Menurut Huawei, kedua-dua varian M5 EV ini akan mengambil masa 10.5 jam untuk dicas dari tahap bateri 10% ke 90%, dengan menggunakan pengecas AC berkuasa 7 kW. Ia juga boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC, dan apabila menggunakan pengecas 100 kW, baterinya boleh naik dari 30% ke 80% dalam masa 30 minit.

    Berkenaan dimensi, M5 EV sedikit panjang berbanding M5 range extender, dengan catatan ukuran panjang 4,785 mm (+15 mm), sementara tingginya pula adalah 1,620 mm (-5 mm), manakala lebar dan jarak rodanya adalah sama (masing-masing 1,930 mm dan 2,880 mm).

    Disebabkan M5 EV ini tidak mempunyai enjin pembakaran dalaman, gril hadapannya ditutup sepenuhnyha, dan jalur LED menegak pada M5 diganti dengan bukaan udara. Selain daripada perubahan ini, bahagian lain M5 EV ini nampak sama sahaja seperti M5 range extender.

    Begitu juga dengan keadaan di bahagian dalam, walaubagaimanapun M5 EV mendapat pengecas tanpa wayar yang berupaya mengecas dua telefon pada satu-satu masa, pada konsol tengah. Kelengkapan elektronik lain yang diberi adalah panel instrumen digital 10.25 inci, dan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 15.6 inci yang dikuasakan oleh OS Harmony.

    Kedua-dua varian M5 EV ini juga datang secara standard dengan bumbung panoramik, lampu LED, lampu suasana 128 warna, pengawal suhu automatik dengan penapis PM2.5, balutan kulit Nappa, kunci NFC, 19 pembesar suara, enam beg udara serta pakej keselamatan lengkap yang termasuk AEB, Blind Spot Monitor, Adaptive Cruise Control dan Lane Keep Assist. Rim bersaiz 19 inci.

     
     
  • Royal Enfield Scram 411 dilancar untuk pasaran M’sia – 411 cc EFI, tiga varian, harga dari RM26,900

    Royal Enfield Scram 411 dilancar untuk pasaran M’sia – 411 cc EFI, tiga varian, harga dari RM26,900

    Dilancarkan kali pertama di India Mac lalu, Royal Enfield Scram 411 kini sudah tiba di Malaysia dengan tawaran tiga varian, dengan harga bermula RM27,400 untuk Premium, RM27,100 untuk Mid dan RM26,900 untuk Base. Semua harga ini tidak termasuk insurans dan pendaftaran.

    Beza antara varian ini cumalah tema warnanya, iaitu Premium datang dalam warna White Flame dan Silver manakala Mid ditawarkan dalam warna Skyline Blue dan Blazing Black, dan Base disediakan dalam pilihan tiga warna iaitu Graphite Yellow, Graphite Red dan Graphite Blue.

    Enjin sama seperti Himalayan 411 digunakan pada Scram 411 ini, iaitu unit satu silinder LS-410 dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair, berkapasiti 411 cc, dan mampu menghasilkan kuasa 24.3 hp pada 6,500 rpm dan 32 Nm tork pada antara 4,000 hingga 4,500 rpm.

    Penggayaan ala scrambler digunakan pada model ini, dengan suspensi yang tinggi, iaitu fork dengan jarak gerak 190 mm di hadapan dan monoshock dengan jarak gerak 180 mm di belakang, bersama padanan rim 19 inci dan 17 inci serta tayar jenis pelbagai guna.

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan sistem cakera dan datang dengan sistem ABS, sementara tempat duduk pula dijadikan serba empuk untuk menjamin keselesaan pengguna. Bahagian pemegang terletak tinggi dan mudah dicapai penunggang.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada model ini adalah panel meter gabungan digital dan analog, transmisi lima kelajuan, pemula enjin elektrik, tangki bahan api 15 liter dan berat keseluruhan 185 kg. Pod Royal Enfield Tripper Navigation serta beg barangan dijual berasingan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025