Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Perodua Myvi GearUp 2022 – senarai harga rasmi dan brosur untuk kit badan Ace dan aksesori pilihan lain

    Perodua Myvi GearUp 2022 – senarai harga rasmi dan brosur untuk kit badan Ace dan aksesori pilihan lain

    Katalog GearUp rasmi untuk Perodua Myvi facelift 2022 telah pun dikeluarkan. Salah satu kit badan dalam family GearUp yang disediakan untuk Myvi 2022 ini ialah Ace.

    Kit badan Ace ni terdiri daripada bampar hadapan yang dilebarkan, skirt sisi, kit bampar belakang dan spoiler belakang. Lima ciri kit badan Ace ini ditawarkan pada harga RM2,500, termasuk kos buruh dan SST. Kit ini boleh dpadankan dengan enam warna dan varian yang diberikan untuk barisan Myvi 2022, tetapi tidak didatangkan dengan lampu nyalaan siang LED. Di mana lampu nyalaan siang yang anda lihat di sini ialah ciri standard untuk varian H dan AV.

    Selain itu, aksesori Ace juga menampilkan balutan tempat duduk dengan material PVC dalam warna hitam, dengan kemasan merah dan panel gaya-gentian karbon. Ia juga diberikan logo Myvi dan Perodua berkata balutan tempat duduk ini lembut dan mudah untuk dibersihkan. Ia juga telah diuji untuk beg udara sisi dan tidak menjejaskan fungsi Isofix. Set kelengkapan ini berharga RM745 untuk varian G, X dan H – tidak bagi varian AV kerana ia sudah pun dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit.

    Perodua Myvi GearUp 2022 – senarai harga rasmi dan brosur untuk kit badan Ace dan aksesori pilihan lain

    Ciri lain yang ada dalam katalog ini termasuk plat LED illuminated scuff (Ada 4 kelengkapan dalam satu set yang berharga RM260), pencahayaan lantai merah (depan dan belakang, RM240) dan dashcam dengan resolusi HD 1080p pada 2.0MP yang dilengkapi dengan keupayaan WiFi untuk melihat paparan video menerusi telefon pintar (set ini bernilai RM500). Menurut Perodua, dashcam ini juga mempunyai “rakaman waktu malam yang berkualiti tinggi dengan Night Vision.”

    Untuk pengetahuan anda, ketiga-tiga ciri kelengkapan terbabit memerlukan wayar tambahan, dan ia dijual secara berasingan dengan harga RM60. Walau pun melibatkan penggunaan wayar ini, ia tidak akan menjejaskan waranti kereta anda. Itu kata Perodua.

    Lain-lain pilihan tanpa elektrikal termasuk pelindung pintu, kemasan cermin sisi krom, kemasan cermin krom, moulding pintu sisi dengan garisan krom, pelindung suria magnetik, scuff plate krom (tanpa pencahayaan), alas barang, alas gegelung jejaring di atas dengan alas gegelung biasa. Selain itu, ia juga diberikan ciri pilihan pad penebat untuk pintu dan bonet.

    Klik untuk besarkan

    Bukan itu sahaja, ciri pilihan lain termasuklah tempat duduk keselamatan kanak-kanak, skru pengunci tayar, dan sistem pemantauan tekanan tayar Bluetooth. Sebenarnya banyak lagi ciri yang disenaraikan dalam kategori “General Accessories” yang anda boleh lihat menerusi katalog ini.

    Akhir sekali, turut ditawarkan beberapa ciri popular yang digelar Utility Package (pelindung pintu, alat gegelung, alas barang, RM360) dan Illumination Package (pencahayaan lantai, LED scuff plates, RM450). Secara dasarnya, semua ciri kelengkapan yang anda lihat di sini boleh dipasang di semua varian Myvi kecuali balutan tempat duduk Ace, yang tidak diberikan untuk varian AV.

    GALERI: Kit badan Ace untuk Perodua Myvi GearUp 2022

    GALERI: Brosur Perodua Myvi GearUp 2022

    GALERI: Perodua Myvi 1.5 AV 2022 dalam warna Cranberry Red

     
     
  • Perodua taja restorasi penuh Viva milik ‘Abang Viva’

    Perodua taja restorasi penuh Viva milik ‘Abang Viva’

    Siapa lagi belum kenal ‘Abang Viva’ atau nama sebenarnya Azwan Omar? Pemuda dari Melaka berkenaan sebelum ini tular gigih membantu mangsa banjir di Shah Alam akhir tahun lalu, berbekal sebuah bot yang diikat di atas bumbung Perodua Viva berwarna hitam, serta duit poket hanya RM50.

    Selepas Azwan diberikan sebuah trak pikap oleh seorang usahawan tempatan untuk kerja-kerja bantuan banjirnya sebelum ini, kelibat Perodua Viva miliknya itu sudah tidak lagi kelihatan sehinggakan ada yang bertanya “dah jual ke Viva tu?”

    Bagi menjawab soalan berkenaan Azwan baru sahaja memuat naik status terbaharu Perodua Viva berkenaan di laman Facebook miliknya. Rupa-rupanya Viva tersebut sedang direstorasi secara menyeluruh di Pusat Servis Perodua Bachang, Melaka dan ditaja sepenuhnya oleh Perodua sendiri!

    “Assalam..untuk orang yang bertanyakan dimana Viva…haa ni nak update sokit…Viva masih lagi dalam proses ‘perubatan’ di ‘hospital’ Pusat Servis Perodua Bachang ..saya juga mengucapkan terima kasih kepada Perodua sebab sponsor kos untuk repair kereta ni..terima kasih jugak utk staf Perodua yngg bertungkus lumus siapkan kereta ni..korang memang terbaik..so korang jangan pula cakap saya dah jual ke apa Viva ni ye,” tulis Azwan dalam hantaran tersebut.

    Hantaran itu turut disertakan gambar Perodua Viva berkenaan ‘dibaraikan’ luar dan dalam, serta badan kereta tersebut sudah pun diberikan cat primer sebelum dilayangkan dengan warna baharu.

     
     
  • PLUS jangka 2 juta kenderaan guna lebuhraya kendaliannya pada 29 April-9 Mei sempena Aidilfitri

    PLUS jangka 2 juta kenderaan guna lebuhraya kendaliannya pada 29 April-9 Mei sempena Aidilfitri

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan pertambahan jumlah trafik harian sebanyak 25% kepada dua juta kenderaan yang bakal menggunakan lebuhraya kendalianya menjelang Aidilfitri yang bakal tiba ini.

    Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, “Pada hari-hari puncak bermula 29 April hingga 9 Mei 2022, jumlah trafik harian boleh meningkat sebanyak 25% kepada dua juta kenderaan sehari berbanding 1.6 juta sehari pada ketika ini.

    “Oleh itu, kami menyarankan agar orang ramai supaya membuat perancangan awal dan pulang ke kampung lebih awal bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam lonjakan trafik pada tempoh berkenaan.”

    Sehubungan itu, PLUS akan turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dalam tempoh yang terdekat ini bagi membantu orang ramai merancang perjalanan balik kampung dan balik kota masing-masing pada musim perayaan ini.

    “Pasukan operasi lebuhraya kami juga telah bersiap-siaga dan bersedia untuk membantu orang ramai untuk pulang ke kampung pada cuti perayaan Aidilfitri yang amat dinanti-nantikan tahun ini.

    “Ia melibatkan pendekatan yang holistik yang merangkumi pelbagai aspek termasuklah adaptasi teknologi untuk meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan orang ramai. Pelan persediaan operasi lebuhraya tersebut akan diumumkan kemudian,” tambah Datuk Azman.

     
     
  • Penipu yang sengaja dilanggar untuk minta ganti rugi di Klang sudah ditahan polis; rupanya warga Myanmar

    Baru sahaja kami siarkan video berkenaan seorang penipu di Klang yang sengaja berlari ke arah kereta, seolah-olah dilanggar untuk mendapatkan ganti rugi – individu yang melakukan jenayah tersebut rupanya sudah pun ditahan polis.

    Menurut laporan Berita Harian, mangsa iaitu pemilik kereta dan dashcam berkenaan teah pun membuat laporan polis kira-kira jam 12 tengah hari, hari yang sama kejadian itu berlaku iaitu pada 7 April lalu. Insiden berkenaan berlaku di Jalan Goh Hock Huat, Klang melibatkan seorang suspek warga Myanmar berusia 25 tahun.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao mengesahkan lelaki terbabit ditahan di tempat kerjanya di Jalan Shahpadu di Rantau Panjang, Klang sekitar jam 10 pagi tadi.

    “Lelaki berkenaan akan ditahan reman untuk siasatan lanjut dan polis percaya dia bergerak sendiri dan bukannya membabitkan kegiatan sindiket.

    “Kes akan diklasifikasikan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Menurut Vijaya Rao, kejadian berlaku apabila pemandu kereta membelok ke kiri dan secara tiba-tiba seorang pejalan kaki melintas di jalan berkenaan.

    “Difahamkan, lelaki berkenaan berada di tengah jalan secara tiba-tiba dan terus berlari, seterusnya melompat ke arah cermin hadapan kereta.

    “Bagaimanapun, lelaki berkenaan terus beredar dari lokasi selepas pemandu memaklumkan keretanya mempunyai kamera papan pemuka dan kejadian itu dirakam,” terangnya lagi

     
     
  • Percubaan scam seorang lelaki di Klang seolah-olah dilanggar gagal; mangsa ada rakaman video dashcam

    Kita biasa melihat video-video dashcam dari luar negara, khususnya dari China yang memaparkan individu yang berlari ke arah kereta yang sedang bergerak, seolah-olah dia dilanggar oleh kereta berkenaan, bertujuan untuk mendapatkan ganti rugi berupa wang tunai. Nampaknya kegiatan yang sama telah pun mula berlaku di Malaysia.

    Video dashcam yang anda lihat ini dirakam oleh pemiliknya di Klang, atau lebih spesifik selepas jambatan ketiga untuk menuju ke Kapar. Video berkenaan dengan jelas memaparkan seorang lelaki berlari dari seberang jalan ke arah bahagian hadapan kereta tersebut, sebaik sahaja kereta itu membelok masuk ke simpang.

    Kemalangan yang sengaja dicetuskan oleh lelaki berkenaan telah menyebabkan cermin hadapan kereta tersebut turut retak teruk, sementara ‘mangsa yang dilanggar’ jatuh ke hadapan kereta. Apa yang menarik lagi, tidak semena-mena datang dua orang ‘saksi’ untuk menolong lelaki berkenaan.

    Sekali tengok, sudah tentu orang ramai dan juga polis akan percaya terhadap cerita scammer tersebut yang disokong oleh dua orang saksi bahawa dia telah dilanggar. Namun apabila pemilik kereta itu meminta mereka tunggu dahulu sehingga polis datang kerana dia mempunyai dashcam yang merakam seluruh kejadian, kesemua mereka tergesa-gesa meninggalkan tempat kejadian.

    Ada yang menyatakan bahawa polis sudah pun mengetahui modus operandi kumpulan ini kerana sebelum ini sudah ada mangsa mereka yang membuat laporan polis terhadap taktik penipuan yang dibuat. Jadi pengajarannya, kalau ada duit lebih, pasanglah dashcam. Macam-macam cara orang nak menipu zaman sekarang ni.

     
     
  • Honda RS-X Repsol Edition dilancar untuk Malaysia – keluaran terhad 5,000 unit sahaja, harga RM9,948

    Honda RS-X Repsol Edition dilancar untuk Malaysia – keluaran terhad 5,000 unit sahaja, harga RM9,948

    Boon Siew Honda hari ini memperkenalkan RS-X Repsol Edition untuk pasaran Malaysia, dan ia dijual pada harga RM9,948 tidak termasuk insurans. Disediakan sebagai pilihan kepada tiga warna sedia ada sekarang, model Repsol Edition ini juga dikatakan hanya akan dikeluarkan terhad sebanyak 5,000 unit sahaja.

    Keistimewaan utama model ini sudah tentu adalah pada grafiknya, yang menggunakan rekaan ikonik Repsol yang menggabungkan warna oren, putih, merah dan hitam, sementara bahagian lain pula adalah sama sahaja seperti RS-X biasa yang dilancarkan November tahun lalu.

    RS-X digerakkan oleh enjin suntikan bahan api satu silinder DOHC 149.16 cc, dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm tork pada 7,000 rpm. Enjin hanya boleh dihidupkan dengan pemula elektrik.

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan sistem cakera dengan angkup satu piston dan dilengkapi dengan ABS one-channel, sementara suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Rim adalah unit 17 inci dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada RS-X adalah seperti tangki bahan api 4.5 liter, meter digital dengan penunjuk kedudukan gear, lampu depan dan belakang LED, berat 122 kg dan klac jenis basah. Model ini datang dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Kapcai prestasi tinggi tidak patut diharamkan di M’sia – Zahid Hamidi kongsikan pendapat di media sosial

    Kapcai prestasi tinggi tidak patut diharamkan di M’sia – Zahid Hamidi kongsikan pendapat di media sosial

    Minggu lalu kecoh apabila video tular Suzuki Raider R150 Fi yang diuji atas mesin dyno sehingga mencatat kelajuan 177 km/j mendapat perhatian ketua polis negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, yang menyatakan rasa bimbang dan mengeluarkan saranan supaya penjualannya diharamkan.

    “Inilah (kapcai laju) antara penyumbang kepada tingginya kemalangan dan kematian dalam kalangan penunggang motosikal dan (kegiatan) merempit. Kenderaan (kapcai) seperti ini wajib diharamkan di Malaysia (kerana) tidak ada relevensi kelajuan 177 km/j di jalan raya sedangkan had laju maksimum adalah 110 km/j (di lebuh raya)” kata Acryl Sani kepada portal berita FMT.

    Sekarang, presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula muncul untuk memberi pandangan tentang isu ini, dengan mengatakan ia tidak sepatutnya diharamkan terus. Bekas timbalan perdana menteri ini turut berkongsikan beberapa perkara sebagai sokongan dan dikongsikan di laman media sosial.

    “Tanpa sedikit pun berhasrat memperkecilkan cadangan tersebut oleh mana-mana pihak, saya malah percaya beberapa perkara wajarlah diperhalusi terlebih dahulu. Pertama, motosikal walau apa prestasi jika ditunggang dengan cermat, berhemah serta mematuhi peraturan jalan raya kebarangkalian selamat adalah tinggi. Kecuali berlaku faktor-faktor luar jangka seperti disebabkan oleh kecuaian pemandu kenderaan lain, kerosakan pada motosikal atau permukaan jalan tidak selamat,” kata Zahid.

    Kapcai prestasi tinggi tidak patut diharamkan di M’sia – Zahid Hamidi kongsikan pendapat di media sosial

    “Kedua, pasaran motosikal di Malaysia dilaporkan antara yang tertinggi di Asean, malah antara yang tertinggi di dunia sebelum pandemik melanda. Langkah pengharaman ke atas ‘kapcai’ dikhuatiri akan mengganggu industri tersebut yang baru saja mahu ‘bernafas’ semula. Kesan buruknya pasti akan dihadapi oleh ramai mereka yang terlibat dalam industri berkenaan daripada pengedar, penjual sehingga kepada pekerja. Malah sektor berkaitan termasuk perniagaan alat ganti dan bengkel membaiki motosikal akan turut terkesan.

    Ketiga, dianggarkan 11 juta penduduk Malaysia menggunakan ‘kapcai’ untuk kegiatan harian termasuk ke tempat kerja atau urusan-urusan lain. Antara faktor termasuk belum mampu memiliki kereta atau membeli lebih daripada sebuah kereta, maka sama ada suami atau isteri perlu menggunakan motosikal.

    Selain itu terdapat juga faktor mahu menjimatkan kos pengangkutan, mengelak terperangkap kesesakan lalu lintas dan kesukaran mendapat parkir. Begitu juga dengan pelajar institusi pengajian tinggi. Tidak semua ibu bapa mampu membelikan kereta buat anak-anak mereka untuk ke kuliah atau kelas,” kata ahli parlimen Bagan Datuk itu.

    Kapcai prestasi tinggi tidak patut diharamkan di M’sia – Zahid Hamidi kongsikan pendapat di media sosial

    Keempat, kita pernah mendengar tentang kapcai’ walaupun speed-cut (batasan halaju) 110 km/j masih boleh diubah suai untuk ditambah kelajuan. Kerana itu juga kita pernah dengar tentang ‘kapcai’ boleh mencecah kelajuan sehingga 180 km/j untuk tujuan lumba haram. Ini bermaksud walaupun ‘kapcai’ berprestasi tinggi diharamkan, masalah sebenar iaitu kelajuan yang tidak selamat akan terus berlaku.

    Justeru, aspek paling penting dalam menangani isu kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal adalah berhubung sikap pengguna jalan raya. Tentang usaha memperkasa kesedaran mereka terhadap kepentingan mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan ketika menunggang motosikal.

    Menanam elemen prihatin dan saling mengambil berat dalam kalangan pengguna jalan raya bagi mengatasi tingkah laku pentingkan diri. Begitu juga dengan aspek penguatkuasaan peraturan jalan raya dan peranan keluarga bagi membendung remaja daripada terlibat dalam aktiviti lumba haram,” kata Zahid.

    Beliau menamatkan kenyataan pendapat dengan pepatah kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Pendapat anda pula bagaimana? Sudah tentu, pengharaman kapcai adalah sesuatu yang tidak patut kerana ramai yang bergantung kepadanya, tetapi adakah pendidikan cukup berkesan untuk mengelak masalah daripada timbul? Adakah terdapat penyelesaian lain?

     
     
  • Toyota GR Supra 2022 sah dapat transmisi manual!

    Toyota GR Supra 2022 sah dapat transmisi manual!

    Ada siapa-siapa yang dari dulu tanya “bila GR Supra nak ada manual?” Hah, ini berita baik untuk anda – Toyota mengumumkan bahawa GR Supra 2022 sah akan didatangkan dengan pilihan kotak gear manual! Pengumuman tersebut disertakan sekali dengan imej teaser menunjukkan set pedal untuk GR Supra berkenaan, yang tampil dengan pedal klac pada sebelah kiri.

    Supra generasi kelima ini diperkenalkan buat pertama kali pada 2019. Disebabkan ia adalah kembar kepada BMW Z4 G29, yang juga tampil tanpa pilihan kotak gear manual, maka Supra terus dijual hanya dengan kotak gear automatik sehingga kini. Jadi untuk GR Supra manual ini, ia mungkin akan menerima kotak gear enam kelajuan manual sama seperti yang dilengkapkan pada BMW M3 G80 dan M4 G82.

    Toyota GR Supra 2022 sah dapat transmisi manual!

    Tiada perincian spesifikasi lain diumumkan setakat ini. Bagi model sedia ada, GR Supra ditawarkan dalam dua jenis enjin – model asas dengan enjin 2.0 liter empat silinder menjana 258 PS/400 Nm, dan model paling berkuasa dengan enjin BMW B58 3.0 liter enam-silinder turbo menghasilkan 388 PS/500 Nm.

    Kuasa disalur hanya kepada gandar belakang, dan kedua-dua versi enjin berkenaan sebelum ini hanya dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan. Macam mana? Jadi beli ke bila Supra dah ada pilihan manual nanti ni?

     
     
  • Avatr 11 MMW – SUV yang dipacu oleh motor elektrik Huawei 578 PS, rekaan bersama pengasas Givenchy

    Avatr 11 MMW – SUV yang dipacu oleh motor elektrik Huawei 578 PS, rekaan bersama pengasas Givenchy

    Ini adalah Avatr 011, iaitu satu edisi keluaran istimewa bagi SUV elektrik tersebut, yang direka bersama oleh pengasas jenama 1017 ALYX 9SM dan pengarah kreatif jenama mewah Givenchy, Matthew M. Williams (MMW).

    Terhad hanya 500 unit untuk seluruh dunia, Avatr 011 MMW ini mendapat sentuhan unik yang menggambarkan jenama MMW. Warna hitam diambil sebagai tema utama, dan digunakan pada hampir semua bahagian termasuk rim 22 incinya.

    Warna perak pula digunakan bagi memberi sedikit kontras, pada bahagian seperti angkup brek, serta kemasan di dalam termasuk pada konsol tengah, panel pintu serta tempat duduk yang dibalut dengan kombinasi kulit Nappa serta Nuprima.

    Melengkapkan penampilannya adalah tulisan “AVATRMMW” pada banyak bahagian, termasuk penyandar kepala, angkup brek, tepi pintu dan but, kancing di belakang tempat duduk, pada ruang simpanan barang, bawah konsol tengah serta dalam but.

    Avatr 11 MMW – SUV yang dipacu oleh motor elektrik Huawei 578 PS, rekaan bersama pengasas Givenchy

    Gambar yagn disiarkan ini juga menunjukkan kepada kita bahagian dalam 011, yang sebelum ini, semasa pelancarannya November lalu tidak ditunjuk. Ia memang nampak moden, dengan sekurang-kurangnya terdapat tiga skrin, termasuk untuk panel instrumen digital, serta unit sesentuh di hadapan penumpang dan di tengah.

    Skrin paling besar yang terletak di tengah digunakan untuk semua fungsi kenderaan, dan disebabkan itu, konsol tengahnya tidak mempunyai sebarang butang kawalan dan hanya terdapat tempat meletak cawan dan pengecas telefon tanpa wayar. Pada bahagian lain, kita boleh melihat rekaan papan pemuka melengkung, serta roda stereng yang mempunyai bentuk rata di atas.

    Selain bahagian dalam, bahagian luar juga nampak sama futuristik dengan terdapat jalur DRL LED nipis serta lampu utama yang terletak lebih rendah di bawah. Tiada gril seperti kereta biasa pada SUV ini dan ia hanya menggunakan bukaan pada bahagian bawah bampar.

    Avatr 11 MMW – SUV yang dipacu oleh motor elektrik Huawei 578 PS, rekaan bersama pengasas Givenchy

    Melihat dari tepi, pembuka pintu 011 dijadikan sama rata dengan permukaan (jenis tersembunyi) serta kemasan pada fender yang sebenarnya diletakkan dengan kamera. SUV ini mempunyai garis bumbung seperti coupe yang menjunam di belakang, dan ia membawa kepada cermin belakang yang condong serta jalur lampu yang bersambung dari kiri ke kanan kenderaan.

    Untuk saiz, 011 adalah kecil sedikit berbanding Porsche Cayenne, dengan catatan panjang 4,880 mm (-39 mm), lebar 1,970 mm (-13 mm) dan tinggi 1,601 mm (-35 mm), sementara jarak roda pula ia lebih panjang iaitu 2,975 mm (+80 mm).

    Avatr sebenarnya adalah satu jenama yang dulunya dikenali sebagai Changan Nio, dan merupakan satu kerjasama antara Changan Automobil dari China dengan Nio. Selepas Nio keluar daripada kerjasama itu pada tahun 2018, Avatr Technology diwujudkan bersama dengan penglibatan Huawei serta pengeluar bateri, CATL.

    Model 011 ini adalah model pertama daripada Avatr dan dilengkapi dengan dua motor elektrik daripada Huawei yang menyediakan kuasa keseluruhan 578 PS (570 hp atau 425 kW). Syarikat teknologi itu kini aktif dalam bidang automotif, dengan turut terlibat dalam pembangunan satu lagi kereta iaitu Seres EF5. Huawei juga mempunyai jenama kereta mereka sendiri, iaitu AITO, yang bermaksud “Adding Intelligence to Auto,” dan menyediakan M5 (SF5 versi PHEV) sebagai produk pertama mereka.

    Pek bateri CTP ternary lithium pada 011 datang daripada CATL, dan ia mempunyai kapasiti 90.38 kWh dan boleh menyediakan jarak gerak sehingga 700 km. Daripada aspek prestasi, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa tiga saat dan mencapai kelajuan maksimum sehingga 200 km/j. Ia juga datang dengan sistem pengecasan pantas 750 volt yang boleh menerima kuasa 240 kW dan mengisi semula bateri dari 30-80% dalam masa cuma 15 minit.

    Sebagai tambahan, 011 juga datang dengan Huawei Inside (HI), iaitu sistem penuh kenderaan pintar, yang menggabungkan platform komputer 400 TOPS (operasi tera per saat) bersama tiga sensor lidar, enam radar gelombang milimeter, 12 radar ultrasonik dan 13 kamera. Ia dijangka dijual di China bermula suku kedua tahun ini.

     
     
  • Subaru Outback 2023 facelift didedahkan – wagon dengan wajah lebih bergaya; enjin 2.4L turbo, 2.5L NA

    Subaru Outback 2023 facelift didedahkan – wagon dengan wajah lebih bergaya; enjin 2.4L turbo, 2.5L NA

    Subaru telah mendedahkan model facelift bagi Outback dalam penganjuran New York International Auto Show (NYIAS) 2022, selepas hampir tiga tahun wagon (jenama ini menggelarnya sebagai SUV) generasi ke-enam diperkenalkan buat pertama kalinya.

    Untuk model tahun 2023, Outback menerima penggayaan yang dipertingkatkan dengan bahagian hadapan berwajah baharu, ditampilkan bersama gril yang lebih menyerlah. Tiada lagi kepingan melintang yang ditampilkan pada model sebelum ini, digantikan dengan kemasan baharu yang lebih berketerampilan dengan diserlahkan palang krom.

    Bampar baharu juga diberikan untuk model facelift ini bersama lampu utama yang direka semula dengan sentuhan lebih bergaya, sama seperti yang ditampilkan pada model terkini WRX dan Levorg. Sementara itu, penutup hitam juga diaplikasikan pada bampar bagi melindungi bahagian bawah hadapan model ini, dan dilunjurkan sedikit hingga bersambung ke lampu utama.

    Subaru Outback 2023 facelift didedahkan – wagon dengan wajah lebih bergaya; enjin 2.4L turbo, 2.5L NA

    Rekaan ini diinspirasikan dari varian Wilderness bagi Outback yang diperkenalkan Mac lalu (tidak disertakan bagi facelift ini), dengan sentuhannya dikurangkan sedikit untuk menutupi sebahagian kecil bampar. Bukan itu sahaja, lapisan gerbang roda diberikan tambahan untuk menampakkan model ini lebih bergaya disamping memberikan perlindungan ektra. Selain daripada perubahan yang dinyatakan ini, ciri lain bagi Outback masih dikekalkan seperti sebelum ini.

    Untuk kelengkapannya, semua varian Outback didatangkan dengan sistem bantuan pemandu dan keselamatan Subaru EyeSight sebagai ciri standard, yang kini beroperasi secara lebih lancar dalam apa jua situasi pemanduan. Penambahbaikan ini hasil daripada perisian kawalan yang ditingkatkan dan juga tambahan bagi electric brake booster, di mana kemasan tertinggi Touring turut diberikan kamera mono sudut yang lebih lebar yang bekerjasama dengan sistem dwi-kamera EyeSight.

    Subaru berkata pandangan bagi “third eye” turut ditambahkan bagi mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal secara lebih pantas apabila kenderaan memasuki persimpangan dalam kelajuan rendah. Touring juga menerima cermin pandang-belakang digital dengan auto-kelam, kompas dan HomeLink.

    Subaru Outback 2023 facelift didedahkan – wagon dengan wajah lebih bergaya; enjin 2.4L turbo, 2.5L NA

    Ia juga dilengkapi dengan Pengesan Titik Buta dengan Bantuan Menukar Lorong dan Kepekaan Trafik Lintasan Belakang, EyeSight kini juga diberikan Stering Kecemasan Automatik. Ciri baharu ini bekerjasama dengan Sistem Brek Pra-Pelanggaran yang membantu mengelak pelanggaran dalam kelajuan kurang daripada 80 km/j.

    Penawaran enjin masih sama seperti sebelum ini, termasuk unit FA24F 2.4 liter turbo empat-silinder petrol dengan lonjakan kuasa 260 hp dan tork 376 Nm, serta enjin tanpa-turbo FB25DI 2.5 liter empat-silinder dengan 182 hp dan 239 Nm sebagai alternatif. Kesemua model Outback digandingkan dengan Lineartronic CVT bersama nisbah maya lapan-kelajuan dan pedal menukar gear, serta Symmetrical All-Wheel Drive.

    Selain Trim, Outback juga dibarisi model asas, Premium, Limited dan Onyx Edition. Di mana varian Onyx Edition kini boleh ditempah dengan enjin tanpa-turbo jika tidak mahu unit FA24F.

     
     
  • Proton Iriz RX antara pencabar utama di 5 Nations British Rallycross C’ship pusingan 1 & 2 minggu ini

    Proton Iriz RX antara pencabar utama di 5 Nations British Rallycross C’ship pusingan 1 & 2 minggu ini

    Pusingan pertama dan kedua siri perlumbaan 5 Nations British Rallycross Championship akan berlangsung hujung minggu ini, di litar ikonik untuk disiplin rallycross di UK iaitu Lydden Hill Race Circuit. Senarai pelumba yang akan menyertai dua pusingan pertama musim 2022 berkenaan sudah pun dikeluarkan, dengan nama Ollie O’Donovan dari pasukan Team RX Racing yang akan memandu Proton Iriz RX berada pada kedudukan paling atas senarai tersebut.

    Ollie bertanding dalam kategori tertinggi dalam kejohanan ini iaitu kelas Supercar, yang akan menyaksikan pertembungan 14 jentera rallycross berkuasa 600 hp dari pelbagai jenama. Pelumba dari Ireland yang berumur 55 tahun tersebut merupakan nama besar dalam perlumbaan rallycross di UK – bergelar juara dalam kejohanan ini pada tahun 2007, dan sebagai naib juara untuk musim 2021 (hanya kalah 2 mata berbanding juara Derek Tohill), Iriz RX Ollie akan menggunakan nombor ‘2’ sebagai nombor perlumbaan.

    Projek penghasilan Proton Iriz RX yang dibangunkan oleh Mellors Elliot Motorsport (MEM) dan Tony Bardy Motorsport (TBM) ini tidak mendapat penajaan terus dari Proton. Menurut ketua jurutera Team RX Racing dan juga pemilik TBM, Tony Bardy, projek ini dimulakan apabila Ollie memerlukan jentera baharu selepas berlumba dengan Ford Focus dan Ford Fiesta RX selama 15-tahun.

    Proton Iriz RX antara pencabar utama di 5 Nations British Rallycross C’ship pusingan 1 & 2 minggu ini

    “Kami ada kereta lain yang dirancang untuk masa hadpaan, tapi Ollie tak nak sama dengan orang lain, dia mahu sesuatu yang berlainan. Saya juga memikirkan perkara yang sama, tapi untuk bermula dari asas ia akan mengambil masa bertahun-tahun untuk membina dan membangunkan sesuatu yang benar-benar baru,” kata Tony Bardy.

    Menurut Bardy lagi, Iriz dipilih bukan sahaja ia tidak pernah lagi dihasilkan sebagai sebuah jentera rallycross seperti yang dimahukan oleh Ollie, malah MEM telah membuktikan bahawa Iriz kompetitif dengan jentera-jentera rali terkini dan telahpun memenangi banyak perlumbaan rali di UK.

    Pembangunan jentera ini dibuat di fasiliti MEM yang terletak di Derbyshire, UK, diasaskan dari jentera rali Iriz R5 yang dibangunkan sebelum ini. Tiada sebarang perincian teknikal diumumkan ketika jentera ini didedahkan. Namun menurut spesifikasi Supercar RX1 yang telah ditetapkan oleh FIA, jentera-jentera yang bertanding dalam kelas berkenaan perlu dijana oleh enjin 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan sekitar 600 hp, digandingkan dengan kotak gear sequential enam-kelajuan, sistem pacuan semua roda serta ditimbang sekitar 1,300 kg.

    Dilihat dari bahagian luar, Iriz RX ini menampilkan kelengkapan aerodinamik yang hampir sama dengan Iriz R5, khususnya pada bampar hadapan dan belakang, serta panel wide body pada keempat-empat ruang roda. Namun apa yang berbeza, Iriz RX ini diberikan lampu ‘dummy’ di hadapan bersama liang udara yang lebih banyak pada gril bawah dan perumah lampu kabus, overfender belakang yang lebih lebar serta spoiler dua tingkat di belakang yang lebih besar diperbuat dari karbon.

    Jika anda perasan juga, terdapat liang udara besar pada kedua-dua belah pintu belakang, dan juga penutup but belakang yang telah ditebuk juga untuk aliran udara. Ini sebenarnya adalah untuk sistem penyejukkan enjin jentera lumba berkenaan, kerana radiator kereta rallycross lazimnya dialihkan ke bahagian belakang, bagi mengelakkan ia rosak ketika ‘dog fight’ yang lebih agresif berlaku setiap kali dalam disiplin perlumbaan tersebut.

    Menurut Team RX Racing, walaupun Iriz RX ini diasaskan dari Iriz R5, pembinaannya dibuat secara spesifik untuk kegunaan perlumbaan rallycross, bermula dengan kerangka kosong sebuah Iriz produksi.

    “Kereta ini berkongsi asas dengan Iriz R5, tetapi turut menampilkan banyak perincian yang unik, dan konsep berkenaan dikembangkan lagi bagi diadaptasi untuk rallycross lebih dari semua kemungkinan yang difikirkan sejak dari mula. Tetapi selepas kereta ini menjalani ujian pertama, ia ada kelajuan. Kereta ini mempunyai cengakaman yang banyak, dan lebih banyak potensi belum didedahkan. Kami semua tak sabar untuk perlumbaan pertama!” kata Tony Bardy lagi.

    Perlumbaan yang diadakan di Lydden Hill minggu ini akan berlangsung pada 16 hingga 18 April ini. 5 Nations British Rallycross Championship akan berlangsung sebanyak 10-pusingan tahun ini, dengan pusingan seterusnya akan dibuat di Pembrey (Wales), Mondello Park (Ireland), dan Dreux (Perancis).

    Anak Ollie iaitu Patrick O’Donovan turut akan menyertai 5 Nation BRX untuk musim ini, memandu satu lagi jentera pasukan Team RX Racing iaitu Ford Fiesta RX, bekas jentera yang digunakan Ollie untuk musim-musim sebelum ini. Apa yang menarik lagi, Ollie turut akan kembali ke siri European Rallycross Championship musim ini, yang akan bermula di Nyirad, Hungary bulan hadapan, diikuti pusingan di Norway, Sweden, Portugal, Latvia, Portugal dan Belgium.

     
     
  • Kad Enhanced Touch ‘n Go – kad RM10 baru dengan cip NFC dijual semula berharga RM19 via dalam talian

    Kad Enhanced Touch ‘n Go – kad RM10 baru dengan cip NFC dijual semula berharga RM19 via dalam talian

    Kad baharu Touch ‘n Go dengan teknologiNFC (near field communication) bakal dilancarkan tidak lama lagi, membolehkan pengguna untuk menambah nilai kad fizikal mereka secara terus dari aplikasi Touch ‘n Go eWallet.

    Ia bakal dijual pada harga RM10 setiap satu, tetapi tinjauan menerusi platform dalam talian mendapati, ada penjual (reseller) yang menjualnya dengan harga RM19, atau pun kenaikan sebanyak 90%. Namun iklan tersebut telah ‘disembunyikan’, mungkin sebab kad terbabit telah habis dijual. Malahan dilaporkan kad Enhanced Touch ‘n Go ini telah pun dijual secara rasminya di cawangan TNG di Nu Sentral, tetapi setakat jam 6 petang kelmarin, ia juga telah habis dijual.

    Wakil paultan.org mahu membeli kad tersebut di stesen LRT, di mana pada mulanya kami dimaklumkan bahawa ia telah kekurangan stok, dan disarankan untuk kembali ke premis yang sama pada jam 6 pagi. Namun pagi ini, kami dimaklumkan bahawa stesen LRT hanya menjual kad versi lama, dan ternyata kami menerima informasi yang berbeza dari dua orang pegawai LRT.

    Kad Enhanced Touch ‘n Go – kad RM10 baru dengan cip NFC dijual semula berharga RM19 via dalam talian

    Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, fungsi baharu NFC akan boleh digunakan apabila kad baharu ini dilancarkan kelak. Di mana kad baharu ini boleh dikenalpasti oleh ikon NFC pada hujung kanan kad berkenaan. Ini bermakna pengguna perlu membeli kad Enhanced Touch ‘n Go itu untuk menggunakan fungsi tersebut.

    Apabila menerima kad fizikal Enhanced Touch ‘n Go itu, pengguna perlu melakukan pautan kad tersebut ke eWallet, membolehkan pengguna menyemak baki nilai di dalam kad, seperti mana kad sebelum ini, serta melakukan proses tambah nilai. Untuk melakukannya, kad baharu ini perlulah diletakkan di belakang telefon pintar yang mempunyai fungsi NFC selama lima saat. Video yang telah ‘disorokkan’ itu turut menunjukkan fungsi ini boleh digunakan bagi peranti iOs dan Android.

    Apabila kad Enhanced Touch ‘n Go dilancarkan kelak, ia membolehkan pengguna untuk menambah nilai kad fizikal mereka tanpa perlu ke kios atau kaunter perkhidmatan. Ini akan menjadi kemudahan tambahan kerana kad Touch ‘n Go fizikal masih digunakan untuk bayaran tempat letak kereta dan pengangkutan awam, selain PayDirect boleh digunakan untuk caj tol lebuh raya.

    Walau bagaimana pun, difahamkan baki kad baharu ini masih diasingkan dari baki eWallet. Dan buat masa ini, pautan antara kad fizikal, kad Touch ‘n Go dan aplikasi eWallet adalah bagi fungsi PayDirect, di mana transaksi pembayaran tol akan ditolak terus dari baki eWallet berbanding baki yang masih ada dalam kad Touch ‘n Go. Apabila baki eWallet telah habis, barulah caj tol akan ditolak daripada kad fizikal, yang boleh dihalang dengan mengaktifkan ciri muat semula automatik pada eWallet.

     
     
  • Voyah Dreamer – MPV elektrik produksi terpantas di dunia dari China, 0-100 km/h 5.9 saat, 435 PS/620 Nm

    Voyah Dreamer – MPV elektrik produksi terpantas di dunia dari China, 0-100 km/h 5.9 saat, 435 PS/620 Nm

    Selepas ditunjuk dalam versi konsep di Guangzhou tahun lalu, MPV bersaiz besar buatan China yang dikatakan lebih pantas dari hot-hatch iaitu Voyah Dreamer kini sudah pun didedahkan dalam versi produksi sebenar. Ia diperkenalkan dalam versi hibrid range extender (EREV) dan juga versi elektrik penuh (EV).

    Bagi model EREV, Voyah Dreamer ini menerima dua buah motor elektrik memacu gandar hadapan dan belakang, menghasilkan kuasa keseluruhan 290 kW (394 PS) dan tork maksima 610 Nm. Manakala enjin petrol 1.5 liter turbo yang diberikan bertugas semata-mata untuk mengecas bateri elektrik. Ini membolehkan MPV berkenaan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.

    Versi EV pula menerima dua buah motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 320 kW (435 PS) dan tork maksima 620 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.9 saat! Menurut Voyah, ini adalah MPV produksi paling pantas di dunia yang boleh dibeli dalam pasaran buat masa sekarang.

    Voyah Dreamer – MPV elektrik produksi terpantas di dunia dari China, 0-100 km/h 5.9 saat, 435 PS/620 Nm

    Untuk rekod, sebelum ini Mercedes pernah menghasilkan model R63 AMG, iaitu MPV R Class dengan enjin V8 6.2 liter menghasilakn 510 PS/630 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat.

    Berbalik pada Voyah Dreamer, kedua-dua versi EREV dan EV mempunyai berat keseluruhan 2,540 kg dan 2,625 kg, serta kelajuan maksima kedua-duanya dihadkan hanya pada 200 km/j. Bagi model EV, jarak gerak untuk satu cas penuh adalah 600 km, manakala model EREV pula menampilkan jarak gerak 700 km. Tiada sebarang spesifikasi bateri mahupun sistem pengecas didedahkan setakat ini.

    Rupa luaran dan dalaman Voyah Dreamer versi produksi ini dilihat hampir sama dengan versi konsep terdahulu. Ia menampilkan gril hadapan yang besar diapit lampu hadapan yang nipis. Tidak seperti Lexus LM yang direka tinggi seperti van, Dreamer menampilkan badan yang nampak lebih lebar dengan jarak kelegaan tanah yang nampak rendah (menggunakan sistem suspensi udara).

    Voyah Dreamer – MPV elektrik produksi terpantas di dunia dari China, 0-100 km/h 5.9 saat, 435 PS/620 Nm

    Kabin belakang boleh diakses dengan pintu gelangsar berkuasa elektrik. Manakala lampu belakang turut direka nipis melintang bersambung antara kedua-dua sisi dengan bar yang merentangi pintu tailgate. Versi produksi ini turut menampilkan warna badan dua tona, sementara perincian dan kemasan-kemasan krom yang ‘meriah’ masih dikekalkan. Enam warna badan boleh dipilih pembeli, termasuk warna Deep Purple yang sama seperti versi konsep sebelum ini.

    Dari segi saiz, MPV ini dihasilkan dengan dimensi 5,315 mm panjang, 1985 mm lebar, 1,820 mm tinggi dan jarak roda sejauh 3,200 mm. Berbanding Toyota Alphard, Voyah Dreamer ini adalah 370 mm lebih panjang, 135 mm lebih lebar, 75 mm lebih rendah serta jarak roda 200 mm lebih jauh.

    Secara standard, Voyah Dreamer menawarkan kofigurasi tujuh-tempat duduk dengan diberikan kerusi kapten pada baris kedua dan kerusi bench untuk tiga penumpang pada baris belakang. Menurut Voyah, dengan konfigurasi ini, ia masih mampu menempatkan empat beg pakaian bersaiz 24-inci pada ruang but belakang.

    Voyah Dreamer – MPV elektrik produksi terpantas di dunia dari China, 0-100 km/h 5.9 saat, 435 PS/620 Nm

    Untuk pilihan lebih mewah, Voyah Dreamer turut boleh dipilih dalam versi hanya empat tempat duduk seperti Lexus LM, yang menawarkan ruang privasi lebih luas dan menurut jenama tersebut ia boleh dijadikan sebagai pejabat bergerak.

    Papan pemuka MPV ini dipenuhi dengan tiga buah skrin – satu untuk paparan instrumen digital, dua lagi untuk sistem infotainmen. Sistem berkenaan dikuasakan chipset Qualcomm 8155 serta mempunyai keupayaan ketersambuang 5G bersama kemaskini perisian menerusi sistem over-the-air. Ia juga disertakan dengan sistem bunyi premium dari DYNAudio.

    Tempat duduk kapten MPV ini turut disertakan dengan fungsi pemanas, pengalir udara dan juga pengurut. Kesemua tempat duduk diberikan upholsteri kulit sintetik OEKO-TEX bagi memastikan ia lebih mesra alam. Pembeli boleh memilih dua tema warna untuk kabin iaitu perang cerah atau cream.

    Voyah Dreamer – MPV elektrik produksi terpantas di dunia dari China, 0-100 km/h 5.9 saat, 435 PS/620 Nm

    Untuk sistem keselamatan, Voyah Dreamer diberikan sistem bantuan pemanduan autonomi Tahap 2, menampilkan fungsi seperti cruise control adpatif bersama bantuan kekal tengah lorong. Ia juga diberikan sistem parkir kawalan jauh dan juga pengenal gestur.

    Menurut CarNewsChina, Voyah Dreamer akan dijual pada harga bermula 380,000 RMB (RM252k) sehingga 480,000 RMB (RM319k). Manakala bagi model custom dengan hanya empat tempat duduk, ia akan dijual pada harga bermula 600,000 RMB (RM399k).

     
     
  • Audi e-tron GT EV menangi Kereta Prestasi Tahunan Dunia 2022, tewaskan BMW M3/M4 dan Toyota GR86

    Audi e-tron GT EV menangi Kereta Prestasi Tahunan Dunia 2022, tewaskan BMW M3/M4 dan Toyota GR86

    Audi e-tron GT quattro dinobatkan sebagai Kereta Prestasi Tahunan Dunia 2022, meneruskan pacuan yang agresif untuk segmen kenderaan elektrik (EV) bagi penganugeraan berprestij edisi tahun ini.

    Model elektrik sepenuhnya buatan Jerman ini telah menewaskan finalis dalam kelas yang sama iaitu BMW M3 dan M4, Porsche 911 GT3, Toyota GR86/Subaru BRZ serta Volkswagen Golf GTI dan Golf R. Sebelum diumumkan pemenang, senarai awal tersebut dipendekkan kepada tiga finalis sahaja iaitu e-tron GT quattro, M3/M4 dan GR86/BRZ.

    Sebagai model asas dalam barisan e-tron GT, e-tron GT quattro diberikan penjana kuasa dwi-motor dengan kuasa 238 PS untuk motor hadapan dan 435 PS bagi motor belakang, menjadikan keseluruhan kuasanya mencecah 476 PS, atau 530 PS dan 640 Nm dalam Launch Control untuk pacuan 2.5 saat. Dengan angka prestasi tersebut, jentera ini boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.1 saat dan kelajuan maksimumnya mampu cecah 245 km/j.

    e-tron GT quattro ini sebenarnya lebih maskulin jika hendak dibandingkan dengan model yang sama barisannya dengannya iaitu RS e-tron GT, yang menerima lonjakan kuasa hingga 598 PS dan tork 830 Nm, atau 646 PS dalam mod boost. RS e-tron GT juga boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 3.3 saat dan kelajuan maksimumnya cecah 250 km/j.

     
     
  • Isuzu Malaysia catat jualan 1,233 unit bagi D-Max untuk Mac 2022 – rekod bulanan tertinggi sejak 2005

    Isuzu Malaysia catat jualan 1,233 unit bagi D-Max untuk Mac 2022 – rekod bulanan tertinggi sejak 2005

    Isuzu D-Max 1.9 Premium Auto

    Isuzu Malaysia telah mengumumkan prestasi jualan bagi trak pikap D-Max yang dicatatkan pada Mac 2022 mencecah 1,233 unit. Malahan jumlah tersebut mengatasi jualan bulanan tertinggi yang pernah dicapai sejak syarikat berkenaan sejak beroperasi di sini pada tahun 2005.

    Menurut syarikat berkenaan, rekod bulan Mac 2022 yang memberangsangkan ini didorong oleh serahan kenderaan yang kembali meningkat bertujuan untuk memenuhi pesanan tertangguh sebelum ini. Angka baharu ini mengatasi rekod Isuzu yang sebelumnya, dengan 885 unit terjual pada Disember 2014 selepas pengenalan varian 3.0 liter V-Cross yang sangat popular ketika itu.

    Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo berkata, peningkatan serahan dari kilang telah membolehkan syarikat itu memendekkan penantian pelanggan bagi mendapatkan kenderaan baru mereka.

    “Sebagai sebuah jenama yang mementingkan pelanggan, dan faham bahawa pemilik kenderaan kami sangat bergantung kepada kenderaan Isuzu mereka untuk selalu bersedia berkhidmat bagi segala urusan, keutamaan kami adalah untuk meningkatkan bekalan bagi memenuhi permintaan yang juga semakin bertambah terhadap trak pikap pelbagai guna ini.

    “Saya sangat berterima kasih kepada semua pelanggan yang sabar menunggu ketibaan D-Max terbaharu mereka. Kami akan terus meningkatkan bekalan bagi bulan-bulan mendatang bagi mengurangkan lagi tempoh menunggu untuk pelanggan mendapatkan kenderaan mereka,” katanya.

    Peningkatan bekalan berkenaan dapat dicapai melalui peruntukan tambahan dari kilang dan menyaksikan varian paling banyak diserahkan sepanjang Mac adalah varian 1.9 Premium Auto dengan sejumlah 350 unit.

    Permintaan terhadap varian flagship X-Terrain juga memperlihatkan peningkatan kepada 163 unit serahan, walaupun model ini, yang merupakan model popular di peringkat global, turut mengalami kekurangan bekalan.

    Setakat ini, Isuzu Malaysia mempunyai 54 cawangan pengedaran rasmi di seluruh negara. Syarikat ini juga berkata, aktiviti rangkaian akan dikembangkan lagi dengan segera untuk memastikan pelanggan menikmati pengalaman yang lebih komprehensif di dalam suasana lebih selesa dan kondusif.

    GALERI: Isuzu D-Max 3.0L X-Terrain 4×4 AT

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025