Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pemohonan pengecualian fi cukai jalan EV, kenderaan CKD modifikasi untuk OKU dibuka esok hingga 2025

    Pemohonan pengecualian fi cukai jalan EV, kenderaan CKD modifikasi untuk OKU dibuka esok hingga 2025

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah mengumumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini melaksanakan pemberian insentif pengecualian fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan sepenuhnya kepada Kategori Kenderaan Motor Elektrik (EV) bermula awal Januari lalu hingga 31 Disember 2025. Bukan itu sahaja, turut menikmati pengecualian fi LKM itu adalah kenderaan yang membawa atau dimiliki oleh Orang Kurang Upaya (OKU).

    Menurut Dr Wee, bagi Kenderaan Motor Elektrik, pengecualian fi LKM hanyalah melibatkan kenderaan yang dipacu oleh sumber elektrik sepenuhnya sahaja, sama ada yang dikuasakan dengan Bateri atau Fuel Cell sahaja. Pengecualian ini tidak terpakai kepada mana-mana kenderaan motor jenis hibrid yang masih mempunyai enjin pembakaran dalaman sama ada dengan sumber petrol mahupun diesel. Tempoh pengecualian dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2025.

    “Untuk Kenderaan Motor milik Orang Kelainan Upaya (OKU), pengecualian fi LKM sepenuhnya hanyalah terpakai kepada kenderaan motor yang telah diubahsuai khas untuk kegunaan OKU atau bagi kenderaan motor yang tidak diubahsuai, pengecualian hanya kepada Kenderaan Pemasangan Tempatan (CKD) dan Kereta Nasional sahaja.

    “Kenderaan motor terbabit hendaklah didaftarkan dan dilesenkan di atas nama individu OKU tersebut, dan individu OKU hendaklah telah berdaftar serta mempunyai kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Pengecualian juga dipanjangkan kepada kenderaan motor yang didaftarkan/dimiliki oleh ibu bapa/penjaga yang berdaftar dan mempunyai anak OKU serta pasangan suami/isteri yang mempunyai pasangan OKU, dengan syarat individu OKU terbabit juga telah berdaftar dengan JKM,”katanya menerusi kenyataan yang turut dimuatnaik ke dalam Facebook rasminya sebentar tadi.

    Jelas beliau, rebat akan diberikan kepada mana-mana pemilik kenderaan terbabit dengan dua kategori pengecualian berkenaan yang sudah melesenkan kenderaan mereka sama ada LKM baharu atau pembaharuan mulai 1 Januari lalu iaitu sebelum daripada tarikh mula permohonan berkenaan. Di mana pihak terbabit atau wakil masing-masing boleh hadir ke kaunter JPJ untuk menyerahkan balik LKM itu dan berhak dibayar dengan cara rebat apa-apa amaun sebagaimana yang ditetapkan.

    “Orang ramai boleh menghubungi talian perhubungan khidmat pelanggan JPJ bagi mendapatkan lain-lain maklumat dan perincian mengenai pelaksanaan insentif ini,” tambah beliau lagi.

    Sebelum ini, ada pemilik EV yang mengadu tidak dapat mendaftarkan kenderaan mereka dengan JPJ, jika mereka ingin menikmati pengecualian cukai jalan 100% tersebut ketika ini. Ia disebabkan pihak JPJ belum diberikan arahan untuk memansuhkan bayaran cukai jalan bagi EV baharu.

     
     
  • Subsidi kerusi keselamatan kanak-kanak dibuka mulai 1 Mac 2022 – subsidi 50% hingga RM150 ditawarkan

    Subsidi kerusi keselamatan kanak-kanak dibuka mulai 1 Mac 2022 – subsidi 50% hingga RM150 ditawarkan

    Menerusi Bajet 2022 yang dibentangkan pada Oktober tahun lalu, kerajaan turut mengumumkan pemberian subsidi 50% atau sehingga RM150 untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak oleh golongan B40.

    Di bawah pelan tersebut, ibubapa yang membeli kerusi keselamatan kanak-kanak bernilai RM300 dan kebawah akan menerima subsidi sebanyak 50% daripada harga asal, sementara subsidi maksimum pula ialah RM150 bagi yang membeli kerusi keselamatan kanak-kanak melebihi harga RM301. Menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, sebanyak RM30 juta disediakan untuk tujuan ini dan dikatakan bakal memberi manfaat kepada lebih 188,000 keluarga B40.

    Untuk menebus subsidi ini, ibubapa perlu menghantar permohonan menerusi www.mycrs.gov.my bermula 1 Mac 2022 (laman web terbabit hanya akan diaktifkan mulai hari tersebut), menurut The Rakyat Post. Berikut ialah kriteria kelayakan untuk subsidi pembelian kerusi kanak-kanak:

  • Penerima perlulah dari kategori isi rumah B40
  • Pemohon perlulah berusia 21 tahun dan ke atas
  • Rakyat yang menetap di Malaysia
  • Mempunyai anak/anak angkat yang berusia 12 tahun dan ke bawah
  • Rujukan data utama daripada penerima Bantuan Prihatin Rakyat 2021 (BPR 2021) berdasarkan maklumat yang diterima oleh LHDN/e-Kasih ICU
  • Satu keluarga yang boleh menebus satu subsidi sahaja untuk kerusi keselamatan kanak-kanak
  • Pemohon boleh menyemak keputusan permohonan bermula 1 April 2022, dan bagi sesiapa yang layak untuk mendapatkan subsidi ini bolehlah ke kedai terpilih yang diluluskan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) untuk membelinya. MIROS akan meluluskan kedai yang juga merupakan pembekal yang terlatih sebagai Penasihat Keselamatan Penumpang Kanak-kanak (COSA) untuk memastikan pembeli diberikan panduan tentang cara yang betul untuk memasang kerusi berkenaan di dalam kenderaan mereka.

     
     
  • RFID adalah masa depan, hapuskan kesesakan dengan cara membantu pelaksanaan MLFF dan ITS — Madani

    RFID adalah masa depan, hapuskan kesesakan dengan cara membantu pelaksanaan MLFF dan ITS   — Madani

    Sistem Touch ‘n Go RFID untuk pembayaran tol, yang dikritik selepas pelaksanaannya yang bermasalah bulan lalu di Lebuhraya PLUS, kini mendapat dukungan pula dari ada Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii). CEO Datuk Madani Sahari berkata kepada The Sun bahawa teknologi berkenaan akan membantu pemansuhan kaunter tol dan mengatasi masalah kesesakan.

    “RFID menjadi sebahagian daripada evolusi teknologi pengangkutan, membawa kita ke arah sistem pengangkutan pintar,” ujar beliau, dan menambah bahawa dengan perbincangan ketika ini hanya tertumpu kepada masalah teknikal, ia akan bertambah baik dari semasa ke semasa. “Kita akan dapat memperluas kemampuan operasinya dalam masa terdekat.”

    Beliau juga menekankan bahawa komen yang diberikan oleh Kementerian Kerja Raya hujung tahun lalu, yang mendakwa RFID patut dilihak sebagai batu loncatan ke arah teknologi yang lebih maju yang berlegar di sekitar Sistem Pengangkutan Pintar (ITS), sebagai satu bentuk komunikasi kenderaan-kepada-segalanya.

    RFID adalah masa depan, hapuskan kesesakan dengan cara membantu pelaksanaan MLFF dan ITS   — Madani

    Beliau juga memaklumkan yang objektif mana-mana lebuhraya pun adalah untuk terus mengalirkan jumlah trafik yang banyak bagi perjalanan jarak jauh dengan sedikit mungkin kesesakan. “Bagaimanapun, dengan adanya kaunter tol di laluan aliran trafik adalah punca utama kesesakan yang merugikan.”

    Madani berkata kutipan bayaran tol perlu dilakukan dengan cara paling cekap untuk meminimumkan situasi kurang senang pengguna yang membayar untuk menggunakan lebuhraya. Pelaksanaan RFID, tambahnya, adalah batu loncatan pertama ke arah sistem aliran bebas multi-lorong (MLFF) untuk sistem kutipan tol laluan terbuka berkelajuan tinggi.

    “MLFF merupakan satu daripada elemen daripada ITS. Dalam ITS, teknologi maklumat dan komunikasi digunakan untuk menambah baik pengangkutan serta menghindar atau menyelesaikan masalah,” katanya dengan menambah pelaksanaan ITS dan penyelesaiannya akan memperbaiki keselamatan, sekuriti dan boleh diharap untuk jalanraya kita. “Ia membantu pengguna untuk mengatur masa perjalanan, laluan dan pilihan pengangkutan dengan lebih baik. Ia juga membantu mengurangkan kesesakan, pencemaran dan pengurangan produktiviti.”

    RFID adalah masa depan, hapuskan kesesakan dengan cara membantu pelaksanaan MLFF dan ITS   — Madani

    Menurut Madani, ITS memerlukan inovasi baru dalam kepintaran buatan, internet of things (IoT), pembangunan bandar pintar, kenderaan autonomous dan keterhubungan dan sistem kooperatif sambungan sebagai sebahagian daripada revolusi industri keempat. “MARii sedang mengusahakan beberapa teknologi yang mendirikan ITS tersebut. Ini termasuk kesepaduan sistem dan prasarana cloud bagi penyelesaian e-bayaran, pengurusan big data dan teknologi kepintaran grid,” tambahnya.

    Beliau turut menambah yang pelaksanaan RFID merupakan sebahagian daripada rancangan ITS di negara ini yang turut melibatkan sistem dan teknologi lain yang berkaitan. “Perbincangan yang berlaku baru-baru ini tentang teknologi yang relevan seperti pengesan nombor plat automatik, perluasan kaedah bayaran serta masalah tenikal lain adalah sangat penting untuk melangkah ke depan, asalkan kesedaran dan pemanfaatan teknologi seperti ini boleh dioptimumkan. Ini seterusnya akan memastikan masa depan yang lebih baik untuk pengangkutan pintar di Malaysia.”

     
     
  • Brabus dan KTM bekerjasama hasilkan Brabus 1300R

    Brabus dan KTM bekerjasama hasilkan Brabus 1300R

    Motosikal yang anda lihat ini sebenarnya adalah KTM 1290 Super Duke R Ego, tetapi ia telah diubah suai dengan kerjasama Brabus dan dinamakan sebagai Brabus 1300R. Ia hanya akan dikeluarkan sebanyak 154 unit sahaja, dengan 77 unit untuk yang berwarna Magma Red dan 77 lagi untuk warna Signature Black.

    Nombor 77 ini sebenarnya simbolik kepada tahun 1977, iaitu tahun Brabus ditubuhkan sebagai sebuah syarikat talaan kenderaan prestasi tinggi di Bottrop, Jerman. Sekarang, apabila mendengar nama Brabus sahaja kita sudah tahu, ia adalah versi model yang lebih garang.

    Brabus 1300R terus nampak berbeza berbanding model asasnya, dengan penggunaan lampu hadapan bulat ala retro dan panel salur udara di bahagian tepi tangki. Ekzos serta rim juga datang sendiri daripada Brabus.

    Banyak panel tambahan pada motosikal ini menggunakan bahan gentian karbon, termasuklah fender hadapan, perumah lampu hadapan, bawah tempat duduk, pelindung rantai, salur penyejuk angkup brek dan pelbagai lagi. Selain daripada itu, Brabus juga telah menghasilkan triple clamp serta peletak kaki CNC aluminium khas untuk motosikal ini.

    Enjin 1290 Super Duke yang menjadi penyebab utama motosikal ini digelar sebagai The Beast masih dikekalkan pada Brabus 1300R, di mana ia adalah unit v-twin 1,301 cc dengan kemampuan 180 hp pada 9,500 rpm dan 140 Nm tork pada 8,000 rpm. Suspensi juga masih menggunakan unit daripada WP yang boleh dilaras secara elektronik dan datang dalam beberapa mod.

     
     
  • Toyota failkan paten transmisi manual untuk EV

    Toyota failkan paten transmisi manual untuk EV

    Toyota telah memfailkan beberapa paten dengan United States Patent and Trademark Office (USPTO) bagi sistem yang mensimulasi operasi transmisi manual beberapa kelajuan dalam kenderaan elektrik. Ketika ini, banyak EV menggunakan kotak gear satu-kelajuan, walaupun beberapa pengeluar menggunakan transmisi dua-kelajuan dalam model seperti Porsche Taycan.

    Menurut paten Toyota, transmisi manual yang dicadangkan bagi EV itu disasarkan untuk pemandu yang sudah terbiasa menukar gear sendiri atau inginkan keseronokan kendalian gear manual. Sistem berkenaan disifatkan sebagai mampu untuk menukar kaawalan mod antara pemanduan biasa dan simulasi manual corak-H.

    Kawalan yang dimaksdukan itu termasuk “pedal klac” dan “penukar gear” acah, yang mencadangkan sistem berkenaan hanya akan menyediakan rasa transmisi manual tetapi tidak menyediakan tujuan khusus bagi operasi kenderaan, tidak seperti pada kereta dengan enjin pembakaran dalaman biasa. Pedal yang dimaksudkan juga datang dengan “penjana daya reaksi penukaran” untuk memberikan sensasi yang biasanya diperoleh ketika seretan klac di flywheel ketika ia dilepaskan sebahagiannya.

    Bergantung kepada kedudukan penukar yang bertindak balas terhadap gear maya, karekteristik tork yang bersangkutan dengan kelajuan pusingan motor elektrik adalah sedikit berbeza. Pengawalnya akan mengira kelajuan maya enjin pada enjin maya yang berasaskan gear maya yang dipilih, yang kemudiannya dipaparkan di tachometer.

    Disember lalu, Toyota dan Lexus mempersembahkan prototaip yang mempertontonkan EV berpotensi yang mungkin menjadi barisan kenderaannya menjelang 2030. Beberapa kereta sport turut terlibat, dan teknologi yang dinyatakan ini mungkin akan digunakan untuk model2 tersebut. Apapun, masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada benar Toyota akan membangunkan sistem yang dipatenkan ini.

     
     
  • Puspakom tutup sementara cawangan Senai, Johor

    Puspakom tutup sementara cawangan Senai, Johor

    Puspakom telah mengumumkan penutupan sementara Pusat Pemeriksaan Kenderaan cawangan Senai, Johor mulai hari ini (14 Februari 2022) bagi melakukan proses disinfeksi dan sanitasi. Ini adalah bagi memastikan keselamatan semua pihak.

    Menurut Puspakom, pengoperasian semula cawangan terbabit akan diumumkan kelak. Justeru, bagi pelanggan yang telah membuat temujanji pemeriksaan di cawangan tersebut, bayaran temujanji akan dipulangkan secara automatik dalam tempoh 30 hari dan pelanggan diminta untuk mengabaikan Peringatan Temujanji MyPUSPAKOM jika ada menerimanya.

    “Sebagai alternatif, pelanggan yang terlibat boleh hadir ke cawangan berdekatan seperti Puspakom cawangan Johor Bahru atau Kluang dan dibenarkan hadir secara walk-in dan membuat bayaran di sana dengan membawa slip temujanji Puspakom Senai sebagai bukti temujanji,” kata Puspakom lagi menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambahnya, orang ramai boleh mengikuti Facebook Puspakom Sdn Bhd atau melayari www.puspakom.com.my untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung operasi Pusoakom dari semasa ke semasa.

     
     
  • Chery Omoda 5 sah akan dilancar di M’sia;1.6L Turbo 197 PS, 7DCT – pencabar Proton X50 dan Honda HR-V!

    Chery Omoda 5 sah akan dilancar di M’sia;1.6L Turbo 197 PS, 7DCT – pencabar Proton X50 dan Honda HR-V!

    Lewat tahun lalu, Chery telah mengesahkan bahawa mereka bakal masuk semula ke pasaran Malaysia pada 2022. Dan satu lagi berita yang baharu kami terima, jenama automotif China berkenaan mengesahkan bahawa SUV segmen-B dengan rekaan funky iaitu Chery Omoda 5 sah bakal dilancarkan pada pasaran kita.

    Omoda 5 didedahkan secara rasmi buat pertama kali pada November 2021, manakala produksinya di China baru sahaja bermula. Ia adalah model global yang akan dijual di pasaran Eropah dan Australia, serta Malaysia turut disenaraikan antara pasaran awal yang akan menerima SUV tersebut. Menurut pengerusi Chery, Omoda 5 akan “menetapkan standard baharu untuk Chery dalam aspek kepuasan pelanggan, tahap kompetitif, corak pemikiran digital, pembuatan dan kualiti.”

    Manakala naib pengurus besar Chery, Gao Xinhua pula menyatakan bahawa Omoda 5 telah berada dalam peringkat pembangunan dalam masa 18 bulan, disasarkan untuk menjadi produk global sebenar, serta menerima maklum balas yang baik diperingkat domestik dan antarabangsa selepas didedahkan di Guangzhou Auto Show 2021 kira-kira tiga bulan lalu.

    Model ini dihasilkan sebagai lawan terus kepada Honda HR-V, dan sekiranya ia tiba di Malaysia sudah tentu perlu berhadapan dengan Proton X50. Omoda 5 merupakan produk pertama dalam startegi Chery 4.0, dan jenama tersebut turut mengatakan bahawa SUV ini disasarkan kepada “pembeli muda dalam kumpulan umur 25-30 tahun.”

    Chery Omoda 5 sah akan dilancar di M’sia;1.6L Turbo 197 PS, 7DCT – pencabar Proton X50 dan Honda HR-V!

    Di Malaysia jika kita menyebut tentang Chery, sudah tentu akan teringat rupa MPV Chery Eastar yang pernah dijual di sini satu ketika dahulu bukan? Tetapi, Omoda 5 menampilkan rupa yang nampak seperti langsung tiada kaitan dengan Chery Eastar.

    Falsafah rekaan baharu pada Omoda 5 ini dikenali sebagai “Art in Motion” (seni dalam pergerakan). Muka SUV tersebut diberikan gril hadapan yang sangat besar tanpa bingkai, dengan lampu nyalaan siang LED nipis yang dilihat seperti ‘diadun’ bersama gril berkenaan.

    Lampu hadapan utama LED dengan teknologi Matrix SUV ini pula diletakkan pada bahagian bampar, seperti rekaan terkini Hyundai dan juga Mitsubishi. Garis bumbung Omoda 5 ini direka landai kebelakang, bersama lampu-lampu belakang yang direka tajam, membuatkan ia nampak seakan model-model rekaan terkini dari Lexus/Toyota.

    Dari segi saiz, Omoda 5 dihasilkan dengan dimensi 4,400 mm panjang, 1,830 mm lebar and 1,585 mm tinggi, dengan jarak roda sejauh 2,630 mm. Sebagai perbandingan, Honda HR-V terbaharu (generasi ketiga yang belum dilancarkan di Malaysia) dihasilkan dengan dimensi 4,330 mm panjang, 1,790 mm lebar, 1,590 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,610 mm – jelas Omoda 5 adalah sedikit lebih besar.

    Chery Omoda 5 sah akan dilancar di M’sia;1.6L Turbo 197 PS, 7DCT – pencabar Proton X50 dan Honda HR-V!

    Dalam kabin, Omoda 5 diberikan perincian seperti roda stereng balutan kulit rata di bawah, skrin berkembar 12.3-inci (untuk instrumen dan infotainmen, seperti Mercedes-Benz), kawalan pusat untuk media dan pendingin hawa, dan juga terowong tengah yang tinggi untuk memisahkan ruang pemandu dan penumpang hadapan, serta tempat duduk sport yang kelihatan mewah.

    Menurut laporan sebelum ini, Chery Omoda 5 menerima enjin dari siri Kunpeng terbaharu Chery iaitu unit 1.6 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (TGDI) berkuasa 197 PS dan 290 Nm, digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh kelajuan untuk memacu roda hadapan.

    Malaysia mungkin menerima Honda HR-V 2022 dengan enjin 1.5L VTEC Turbo berkuasa 182 PS/240 Nm, manakala Proton X50 Flagship pula sememangnya telah dilancarkan dengan enjin 1.5L TGDI berkuasa 177 PS/255 Nm. Sekiranya Chery Omoda 5 ini dilancarkan dengan harga yang betul, adakah anda sanggup mengenepikan dua pilihan yang lebih popular berkenaan untuk kuasa lebih besar atau rupa yang lebih tersendiri?

     
     
  • Proton X50 kini di Mauritius, harga bermula RM121k

    Proton X50 kini di Mauritius, harga bermula RM121k

    Secara senyap-senyap, rupanya Proton telahpun mula menjual SUV segmen-B mereka iaitu Proton X50 ke pasaran Mauritius awal bulan ini. Tiada sebarang hebohan mahupun pelancaran dibuat, namun menerusi hantaran yang dibuat di laman Facebook Proton Mauritius, model berkenaan mula dijual secara rasmi bermula pada 4 Februari lalu.

    Pengumuman bahawa X50 ini akan masuk ke pasaran Mauritius telahpun dibuat pada November tahun lalu, dengan pra tempahan dibuka pada 10 Disember 2021. Proton Mauritius juga mengumumkan bahawa 10-unit X50 yang ditawarkan untuk dipra tempah tersebut habis dijual kesemunya pada hari yang sama!

    Pada pasaran berkenaan, X50 dijual pada harga atas jalan tidak termasuk insuran bermula 1,275,000 Rupee Mauritius. Ia juga menerima perlindungan waranti pengeluar selama lima tahun atau 150,000 km.

    Kami cuba mencari maklumat berkenaan harga dan spesifikasi Proton X50 ini di laman sesawang rasmi Proton Mauritius, namun hasilnya agak mengecewakan kerana bukan sahaja tiada harga, malah ia masih dalam keadaan caca-marba seolah-olah mereka yang membuat laman tersebut tidak tahu membezakan antara spesifikasi X50 dan X70.

    Menerusi foto-foto yang disiarkan dalam laman Facebook berkenaan, dan juga kandungan video dalam akaun YouTube Car Doctor (ditaja oleh Proton Mauritius), nampaknya kepulauan berkenaan menerima X50 dalam varian tertinggi Flagship dengan spesifikasi hampir sama dengan model pasaran Malaysia.

    Ia dijana oleh enjin 1.5 liter tiga silinder-turbo dengan sistem suntikan terus (T-GDI) menghasilkan 177 PS dan tork maksima 255 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan bagi memacu roda hadapan. Ia juga menerima pelbagai perincian lain seperti bumbung panaromik, cat tema dua tona dengan bumbung berwarna hitam, rim aloi 18-inci kemasan dua tona, upholsteri dalaman dengan kulit sintetik leatherette, sistem arahan “Hi,Proton” dan pelbagai lagi.

    Proton X50 Flagship ini juga menerima sistem bantuan pemanduan dengan kebolehan autonomi Tahap 2, menampilkan sistem seperti Adaptive Cruise Control dengan Lane Centring Assist, sistem bantuan letak kenderaan untuk keluar dan masuk, brek kecemasan automatik, Lane Keeping Assist serta lampu tinggi automatik.

     
     
  • Nissan bawa tiga model konsep berasaskan Frontier 2022 ke Chicago Auto Show 2022 minggu ini

    Nissan bawa tiga model konsep berasaskan Frontier 2022 ke Chicago Auto Show 2022 minggu ini

    Nissan telah mengumumkan bahawa mereka akan membawa beberapa model konsep yang berasaskan Frontier 2022 ke Chicago Auto Show 2022 minggu ini. Ia masing-masing dinamakan sebagai Project 72X, Project Hardbody dan Project Adventure.

    Bagi Frontier Project 72X, ia memberikan gambaran moden kepada trak popular Datsun 720 yang pertama kali diperkenalkan di Amerika Syarikat pada tahun 1979. Antara suntikan inspirasi daripada trak klasik itu yang digunakan adalah seperti warna luar kelabu dengan jalur grafik putih, rim besi yang dicat putih, kit tinggi 2.5 inci serta sport bar di bahagian belakang.

    Frontier Project Hardbody yang berwarna merah pula dihasilkan sebagai penghormatan kepada trak ikonik Nissan Hardbody D21, dan ia menerima kit tinggi tiga inci, rim rekaan khas block style seperti Hardbody asal, tempat meletak tayar gantian di bahagian atas ruang belakang serta grafik gaya 80-an.

    Paling ganas antara tiga trak konsep ini adalah Frontier Project Adventure. Kedudukannya ditinggikan sehingga lima inci dan dipadankan bersama tayar mud-terrain 34 inci, salur udara gentian karbon, pemijak tepi serta struktur khas di atas bumbung yang bukan sahaja boleh digunakan untuk meletak barang, tetapi juga khemah untuk berehat.

    Frontier yang digunakan sebagai asas untuk model konsep ini dilancarkan untuk pasaran Amerika Syarikat pada bulan Februari 2021, dan ia merupakan sebuah trak pikap saiz sederhana yang menggantikan Frontier D40 (dikenali di negara kita sebagai Navara “Mother Trucker”). Ia dipacu oleh enjin petrol V6 direct injection 3.8 liter berkuasa 310 hp/381 Nm, bersama padanan transmisi automatik sembilan kelajuan.

     
     
  • Ta Win Holdings bangunkan kilang baru bagi rebut peluang peningkatan industri EV di Asia Tenggara

    Ta Win Holdings bangunkan kilang baru bagi rebut peluang peningkatan industri EV di Asia Tenggara

    Anda mungkin tak tahu, ada bahagian penting dalam kereta elektrik Tesla sebenarnya dihasilkan di Malaysia bukan? Ta Win Holdings, salah satu pengeluar tembaga terbesar dalam negara yang membekalkan rod wayar tembaga kepada Tesla dan Toyota menerusi pembekal komponen automotif iaitu Aptiv yang berpusat di Ireland, menjangkakan ia akan membuka kilang baharu dengan teknologi pembuatan mereka sendiri.

    Ini adalah kerana syarikat tersebut mahu merebut peluang-peluang baharu dalam industri mobiliti elektrik yang kini semakin rancak. Pengarah urusan Ta Win, Ngu Tieng Ung memberitahu Nikkei Asia bahawa permintaan terhadap produk yang dikeluarkan syarikatnya kini sedang meningkat naik, terutamanya apabila semakin banyak jenama automotif mewujudkan barisan pembekalan dan pembuatan mereka di Asia Tenggara.

    November lalu, Ta Win telah pun mula membina kilang penyinaran alur elektron pertama dalam negara milik swasta menerusi anak syarikatnya iaitu Cyprium Wire Technology. Kilang berkenaan terletak di Alor Gajah, Melaka. Teknologi pembinaan dan juga pembuatan kilang tersebut diuruskan oleh CGN Dasheng Electron Accelerator Technology, iaitu anak syarikat China General Nuclear Power Group.

    Menurut Ngu, setelah kilang tersebut siap ia akan membantu Ta Win untuk membekalkan wayar ikatan silang penyinaran untuk industri kenderaan elektrik global, dan juga produk-produk kabel yang menggunakan teknologi ikatan silang alur elektron mereka yang sudah dipatenkan.

    Ngu turut menjelaskan bahawa wayar ikatan silang penyinaran tersebut mampu bertahan sehingga 25 tahun dan tahan panas sehingga 300 darjah selsius – ia adalah jauh lebih baik dari produk menggunakan penebat biasa yang hanya bertahan selama tujuh tahun dan tahan suhu hanya sehingga 105 darjah selsius. Wayar ikatan silang penyinaran ini juga lebih kalis terhadap lecetan, api, minyak dan asid, membolehkan ia lebih sesuai sebagai material untuk aplikasi EV bervoltan tinggi.

    Ta Win Holdings bangunkan kilang baru bagi rebut peluang peningkatan industri EV di Asia Tenggara

    Ngu berkata kilang baharu tersebut akan mempunyai kapasiti untuk menghasilkan wayar dan kabel ikatan silang penyinaran sepanjang 420 km sehari. Kereta elektrik biasanya memerlukan wayar sepanjang 6 km hingga 8 km, “di mana 70% daripadanya adalah wayar voltan tinggi,” tambah Ngu lagi.

    “Sebagai pengeluar wayar tembaga voltan tinggi milik swasta di rantau ini, kami mempunyai peluang yang sangat cerah…kami sudah mula menerima pelbagai pertanyaan,” kata Ngu.

    Kilang berkenaan dijangka akan siap pada Jun, tetapi Ta Win merancang untuk menambah dua lagi fasiliti produksi dalam masa 24 bulan. “Ia tentu akan meletakkan kami di landasan bagi terus memacu perniagaan kami dalam rantaian pembekalan EV global serta memperkasakan prospek jangka masa panjang kami untuk maju kehadapan,” tambahnya lagi.

    Ta Win Holdings telahpun tersenarai dalam Bursa Malaysia dan mempunyai nilai pasaran berjumlah RM478 juta. Selain membekalkan wayar tembaga kepada Aptiv, Ta Win turut memegang kontrak jualan eksklusif dengan Posco International (syarikat perdagangan terbesar Korea Selatan) untuk membekalkan rod wayar tembaga.

    Kontrak yang bernilai kira-kira RM2.7 bilion tersebut melibatkan pembekalan produk tembaga seberat 65,000 tan metrik selama tiga tahun kepada pelanggan utama Posco iaitu lljin Materials dan SK Nexilis.

     
     
  • Toyota Camry 2022 facelift untuk Malaysia ditunjuk dalam teaser, pelancaran pada 17 Februari

    Toyota Camry 2022 facelift untuk Malaysia ditunjuk dalam <em>teaser</em>, pelancaran pada 17 Februari

    Dilancarkan di Thailand November lalu, Toyota Camry facelift kini bakal tiba pula di Malaysia. Pengedarnya, UMW Toyota Motor telah mengeluarkan petunjuk bahawa pelancarannya akan dilakukan pada 17 Februari ini. Versi dikemaskini berkenaan ditawarkan selepas tiga tahun model XV70 generasi ketiga itu diperkenalkan pada 2018.

    Tidak banyak yang boleh dilihat dalam gambar wajah depan yang ditunjuk ini, melainkan bukaan udara di tengah yang lebih ketara dan diapit oleh kerangka bentuk C di sisinya. Pembaharuan lain mungkin juga akan melibatkan rekaan rim baru dan lampu belakang dalam penyudah gelap.

    Di dalam, perubahan dijangkakan lebih ketara, dengan tambahan skrin sentuh terapung untuk infotainmen berukuran sembilan inci. Kelengkapan bantuan pemandu Toyota Safety Sense 2.5+, yang kini melibatkan pengesan pejalan kaki waktu malam dan pengesan pengayuh basikal waktu siang serta kawalan melayar adaptif yang diperkemas antara hal yang akan termasuk sekali.

    Toyota Camry 2022 facelift untuk Malaysia ditunjuk dalam <em>teaser</em>, pelancaran pada 17 Februari

    Ada juga petunjuk kepada sistem janaan kuasa baru yang akan diperkenalkan untuk model berkenaan. Sebelum ini, Camry menggunakan enjin lama 2AR-FE 2.5 liter Dual VVT-i empat-silinder dengan transmisi enam-kelajuan dari model generasi ketujuh berbanding enjin Dynamic Force yang ditawarkan di pasaran lain.

    Ketika itu, khabar angin mengatakan keputusan untuk menggunakan enjin lama tersebut adalah disebabkan oleh kekurangan bekalan enjin baru yang ada, yang kini semakin bertambah baik. Enjin Dynamic Force sejak itu sudah mula diperkenalkan di Malaysia untuk model RAV4 serta Lexus ES 250.

    Jika ini menjadi kenyataan, Camry baru ini nanti akan menerima pertambahan kuasa. Dilengkapi dengan suntikan terus D-4S dan nisbah mampatan 13:1 serta mampu mencapai kecekapan suhu 40%, unit A25A-FKS ini menghasilkan 25 PS dan 15 Nm tork tambahan, memberikan 209 PS pada 6,000 rpm dan 250 Nm pada 5,000 rpm. Ini akan digandingkan dengan transmisi automatik Direct Shift lapan-kelajuan.

     
     
  • Great Wall Motor kembali ke M’sia tahun 2022 – Haval H6, Jolion, Ora Good Cat EV dijangka diperkenalkan

    Great Wall Motor kembali ke M’sia tahun 2022 – Haval H6, Jolion, Ora Good Cat EV dijangka diperkenalkan

    Great Wall Motor (GWM) telah mengumumkan rancangan untuk mengembangkan perniagaannya di Asia Tenggara dengan memasukkan Malaysia dan tiga lagi negara lain ke dalam operasi serantaunya tahun ini. Perkara ini didedahkan oleh Elliot Zhang, presiden Great Wall Motor ASEAN dan Thailand, ketika taklimat rancangan 2022 untuk pasaran Thai, laporan Nikkei Asia.

    “Untuk tahun 2022, kami akan terus mengembangkan perniagaan kami di ASEAN, dengan Thailand sebagai lokasi untuk ibu pejabat serantau. Bagi usaha untuk mengembangkan lagi perniagaan di antara rantau ASEAN, kami merancang untuk melancarkan GWM ke empat lagi buah negara, iaitu Malaysia, Vietnam, Filipina dan Singapura,” ujarnya. Buat masa ini, jenama tersebut berada di pasaran Thailand, Laos, Kemboja dan Brunei.

    Pengeluar kereta itu memasuki pasaran Thailand pada tahun lalu apabila memperoleh kilang pemasangan General Motors, dan kemudian mengulangi hasrat untuk menjadikan kemudahan tersebut sebagai hab pembuatan untuk Asia Tenggara. “Kami sudah mempunyai kilang kami di Rayong, dan kami akan terus melabur dalam kilang itu untuk menjadi hab bagi mengeluarkan produk kami untuk pasaran ASEAN,” kata Zhang.

    Jenama itu juga menggariskan strategi pertumbuhannya untuk Thailand, mengatakan bahawa ia bersedia untuk melancarkan lima model baharu di negara tersebut dan menjadikan jualan di pasaran itu kepada 20,000 unit tahun ini, meningkat dengan ketara daripada 3,702 unit yang diperoleh pada 2021.

    Syarikat ini menambah pihaknya akan terus mengembangkan bidang elektrifikasi di Thailand, dan dijangka ia dilihat menerusi perkembangan ketara dalam segmen itu pada tahun ini. Menurut Pengarah Urusan GWM Thailand Narong Sritalayon, jumlah jualan kereta tahunan Thailand dijangka mencecah 850,000 unit pada 2022, meningkat 12% daripada tahun sebelumnya, dan daripada jumlah itu, 11.4% (atau kira-kira 94,000 unit) adalah menjadi model elektrik.

    Ini adalah lebih daripada dua kali ganda daripada 40,000 kenderaan elektrik yang dijual di negara tersebut pada tahun lepas, katanya. Untuk mengembangkan lagi pasaran, Narong berkata syarikat itu akan melabur dalam infrastruktur EV, terutamanya dalam stesen pengecasan, dan pihaknya berharap untuk menambag kepada 55 stesen di seluruh negara tahun ini.

    Dengan kembalinya jenama tersebut ke pasaran Malaysia bakal menyaksikan beberapa model yang dijangkakan diperkenalkan di sini. Ini termasuklah Haval Jolion, yang pernah dilihat sedang diuji di sini pada tahun lepas dan sekali lagi pada Januari lalu. Di Thailand, SUV segmen-B itu turut ditawarkan dalam varian hibrid, dikuasakan oleh enjin 1,.5 liter pengecas turbo empat-silinder elektrifikasi yang menghasilkan kuasa kombinasi sehingga 190 PS dan tork 375 Nm, dengan transmisi DCT menyalurkan pacuan ke roda hadapan.

    Selain itu, Haval H6 di pasaran Thailand juga ditawarkan dengan varian plug-in hybrid. Ia dikuasakan oleh enjin 1.5 liter pengecas turbo dan motor elektrik, dengan kuasa 243 PS dan 530 Nm. Model ketiga pula adalah Ora Good Cat, yang pernah dipertontonkan di sini pada Disember tahun lalu. Ia dijangka akan diperkenalkan oleh Go Auto pada tahun ini.

    GALERI: Haval Jolion Hybrid, pasaran Thailand

    GALERI: GWM Ora Good Cat, LHD dipertontonkan di Malaysia

    GALERI: Haval H6 Plug-in Hybrid

     
     
  • Volkswagen Passat Elegance 2022 kini diberikan aloi Bonneville 18″, Android Auto tanpa wayar – RM184k

    Volkswagen Passat Elegance 2022 kini diberikan aloi Bonneville 18″, Android Auto tanpa wayar – RM184k

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan sedikit peningkatan untuk kelengkapan yang diberikan kepada Passat Elegance 2.0 TSI. Untuk model tahun 2022, sedan segmen-D ini diberikan set baharu roda aloi Bonneville 18-inci dua-tona, menggantikan unit aloi pelbagai-jejari Liverpool 18-inci yang digunakan pada model sebelum ini.

    Selain itu, ia juga diberikan panel sentuhan baharu dengan maklumbalas haptic untuk sistem suhu tiga-zon Climatronic, yang mirip ditawarkan pada model Passat R-Line dan Arteon. Manakala unit utama Discover Pro 9.2-inci, yang sebelum ini hanya menyokong Apple CarPlay tanpa wayar, kini ia turut ditambah dengan Android Auto tanpa wayar.

    Bukan itu sahaja, ia juga kini ditampilkan dengan lencana VW baharu (dengan huruf yang lebih nipis), dan termasuk pada lencana pada roda stereng. Walau bagaimana pun, dengan adanya ciri yang dipertingkatkan ini, harganya juga naik sedikit. Kini Passat Elegance 2.0 TSI berharga RM183,680 (termasuk pengecualian SST), naik sebanyak RM1,824 berbanding sebelum ini.

    Volkswagen Passat Elegance 2022 kini diberikan aloi Bonneville 18″, Android Auto tanpa wayar – RM184k

    Lain-lain ciri masih dikekalkan, begitu juga dengan pilihan warna dan juga enjin 2.0 liter empat-silinder. Untuk Elegance, enjin ini mampu memberikan kuasa hingga 190 PS dan tork 320 Nm, dipadankan dengan transmisi dwi-klac DSG tujuh-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan.

    Walau bagaimana pun, model ini masih tidak didatangkan dengan brek kecemasan sendiri, tetapi dikekalkan dengan ciri sedia ada termasuk pemantauan titik buta Side Assist dengan kepekaan trafik lintasan belakang, sistem pemantauan titik buta, enam beg udara dan kawalan kestabilan.

     
     
  • Bosch tambah pelaburan RM1.9b bagi kembangkan fasiliti semikonduktor di Malaysia dan Jerman

    Bosch tambah pelaburan RM1.9b bagi kembangkan fasiliti semikonduktor di Malaysia dan Jerman

    Krisis semikonduktor di peringkat global nampaknya mungkin tidak akan selesai dalam masa terdekat ini. Menurut laporan Reuters, Bosch menjangkakan masalah cip dan peningkatan kos bahan mentah akan terus menjejaskan pengeluaran kenderaan sepanjang 2022.

    Setakat ini, pengeluaran kenderaan di Eropah masih belum pulih ke tahap pra-pandemik. Pada tahun 2019, lebih 92 juta kenderaan dihasilkan di Eropah, berbanding 80 juta pada 2021. Walau pun pengeluaran yang jauh lebih rendah, namun banyak pengeluar kereta utama mencatatkan keuntungan yang tinggi, dan Bosch meramalkan sebanyak 85 juta kenderaan akan dikeluarkan di Eropah pada tahun ini.

    Bagi mengekalkan bekalan cip, Bosch merancang untuk melabur sekitar US$457 million (RM1.9 bilion) untuk mengembangkan fasiliti pembuatan semikonduktor di Pulau Pinang (Malaysia), Dresden dan Stuttgart (Jerman). Difahamkan syarikat terbabit tidak merancang untuk melakukan sebarang pelaburan selain perancangan tersebut.

    Bosch tambah pelaburan RM1.9b bagi kembangkan fasiliti semikonduktor di Malaysia dan Jerman

    CEO Bosch Stefan Hartung memberitahu penerbitan terbabit, “Tahun lalu, secara jelasnya kami tidak mempunyai cip yang mencukupi untuk memenuhi permintaan. Namun ia akan menjadi lebih baik untuk 2022, signifikannya pada separuh kedua tahun ini. Moga pada 2023 ia semakin bertambah baik dan segera pulih.”

    Bosch menduduki tangga tertinggi dalam senarai Automotive News Europe bagi 100 pembekal utama global, dengan jualan mencecah US$46.52 bilion (RM194.62 bilion) pada 2020. Untuk 2021 pula, ia mencatatkan keuntungan sebanyak US$90 bilion (RM376.51 bilion) melebihi paras pra-pandemik, dengan margin EBIT sebanyak 4% (meningkat daripada 2.8% pada 2020).

    Syarikat itu menjangkakan pendapatan akan meningkat semula tahun ini, sekiranya “tiada gangguan tambahan yang besar.” Bahagian penyelesaian mobilitinya, yang terdiri daripada segmen komponen automotif yang membawa masuk sebahagian besar hasil Bosch, menyaksikan pertumbuhan yang lebih lemah disebabkan oleh kekurangan cip.

     
     
  • Ford Ranger Raptor 2023 bakal didedahkan pada 22 Februari ini – akan dijana enjin 3.0L V6 Turbodiesel?

    Ford Ranger Raptor 2023 bakal didedahkan pada 22 Februari ini – akan dijana enjin 3.0L V6 Turbodiesel?

    Selepas model generasi baharu trak pikap Ford Ranger didedahkan pada November tahun lalu, kini tiba masa ia tampil dengan varian prestasinya – Ford mengesahkan bahawa Ranger Raptor 2023 akan didedahkan untuk peringkat global pada bulan ini! Pendedahan tersebut akan dibuat secara atas talian, dan anda boleh menyaksikannya secara langsung PAUTAN INI pada 22 Februari nanti.

    Tiada sebarang perincian teknikal mahupun petunjuk rasmi berkenaan Ranger Raptor ini disebut oleh Ford, namun jenama Blue Oval tersebut menyifatkan bahawa Ranger Raptor 2023 tersebut “dibangunkan untuk peminat off-road,” dan ia telah “menerima kejuruteraan teknologi yang lebih pintar untuk mengawal komponen-komponen yang lebih lasak bagi mewujudkan Ranger Raptor paling canggih pernah dihasilkan.”

    Awal bulan ini, unit prototaip ujian Ranger Raptor generasi baharu tersebut dilihat sedang diuji di Thailand. Walaupun mengenakan pelekat penyamaran, Ranger Raptor berkenaan jelas menerima pelindung badan plastik yang nampak lebih menonjol, bersama overfender yang lebih tebal serta pemijak sisi magnesium khas.

    Ia juga dijangka akan menerima perincian lain kamera pemantau 360-darjah, pemantau titik buta, lampu kombinasi LED di belakang serta rim 20-inci sama seperti Ranger Wildtrak. Raptor merupakan varian model paling tinggi bagi Ranger, jadi boleh dijangkakan ia turut akan hadir dengan paparan instrumen digital dan ciri bantuan pemanduan lengkap.

    Unit ujian Ford Ranger Raptor 2023 yang dilihat di Thailand

    Untuk unit rangkaian kuasa, pelbagai spekulasi telah tersebar. Ada laporan mengatakan Ranger Raptor 2023 ini mungkin akan dijana oleh enjin diesel 2.0 liter dengan dua pengecas turbo seperti model sedia ada. Menurut eksekutif Ford pula, mereka boleh sahaja menyumbat enjin Coyote V8 5.0 liter dari Mustang kerana asas Ranger generasi baharu ini banyak dikongsi bersama SUV Ford Bronco.

    Namun spekulasi yang paling relevan untuk Ranger Raptor ini mungkin ia akan menerima enjin 3.0 liter V6 turbodiesel. Ini kerana enjin tersebut sememangnya telah dipadankan pada varian Wildtrak untuk Ranger generasi baharu ini. Enjin berkenaan mungkin akan menerima talaan lebih berkuasa untuk Ranger Raptor kelak.

    Apa pun, kita tunggu sahaja pendedahan Ford Ranger Raptor 2023 ini yang akan dibuat tidak sampai dua minggu dari sekarang. Tapi jangan lupa untuk terus bersama kami kerana Ford mungkin akan mendedahkan beberapa perincian kecil sebelum ia didedahkan sepenuhnya.

    GALERI: Ford Ranger Wildtrak 2022

    GALERI: Ford Ranger Sport 2022

    GALERI: Ford Ranger XLT 2022

    GALERI: Lakaran-lakaran rekaan Ford Ranger 2022

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025