Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota hentikan khidmat bas tanpa pemandu e-Palette di Tokyo 2020 selepas melanggar atlit paralimpik

    Toyota hentikan khidmat bas tanpa pemandu e-Palette di Tokyo 2020 selepas melanggar atlit paralimpik

    Pada yang belum mengetahui, Toyota adalah antara salah satu penaja korporat terbesar untuk Komiti Olimpik Antarabangsa (IOC), serta bertanggungjawab menyediakan pengangkutan untuk atlit bergerak ketika berlangsungnya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 yang sedang berlangsung.

    Antara kenderaan yang disediakan oleh gergasi automotif Jepun berkenaan adalah Toyota e-Palette, iaitu sebuah ‘bas kecil’ berkuasa elektrik sepenuhnya dan boleh bergerak sendiri tanpa pemandu dengan teknologi pemanduan berautonomi. Namun, satu insiden kemalangan telah berlaku pada Khamis lalu dan Toyota menarik semula semua penggunaan kenderaan berkenaan sehari selepas itu, lapor Reuters.

    Kenderaan tersebut telah melanggar seorang atlit paralimpik dalam kelajuan 1-2 km/j, walau bagaimanapun ia terjadi ketika e-Palette tersebut mahu membuat pusingan dan ketika itu ia dikawal secara manual oleh operator menggunakan joystick.

    Presiden dan CEO Toyota, Akio Toyoda membuat permohonan maaf secara terbuka dalam satu video yang disiarkan menerusi YouTube berkenaan insiden itu. Menurutnya, pegawai-pegawai Sukan Paralimpik sudah pun memberitahu bahawa atlit berkenaan telah di bawa ke pusat perubatan perkampungan atlit dalam keadaan sedar, dan boleh berjalan sendiri pulang ke tempat penginapannya selepas itu.

    Toyota hentikan khidmat bas tanpa pemandu e-Palette di Tokyo 2020 selepas melanggar atlit paralimpik

    Toyoda menyatakan bahawa beliau ingin berjumpa sendiri dengan mangsa insiden berkenaan, namun ia masih belum dibolehkan buat masa ini.

    “Kenderaan tersebut lebih kuat dari manusia, jadi saya sudah tentu bimbangkan keadaannya,” kata Toyoda dan menambah bahawa kemalangan ini menunjukkan bahawa agak sukar untuk kenderaan berautonomi untuk beroperasi dalam situasi-situasi tertentu di perkampungan tersebut ketika Sukan Paralimpik kerana orang-orang yang berada di kawasan itu ada yang tidak nampak atau mempunyai kekurangan upaya yang lain.

    “Ini menunjukkan kenderaan berautonomi belum lagi realistik untuk digunakan pada jalan raya biasa,” kata Akio Toyoda lagi.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Toyota mengatakan bahawa mereka akan bekerjasama dengan pihak polis bagi mengenalpasti punca kemalangan berkenaan, serta turut akan melakukan penyiasatannya sendiri. Syarikat tersebut turut memberitahu bahawa mereka akan terus bekerjasama dengan Jawatankuasa Penganjuran Tokyo 2020 untuk Sukan Olimpik dan Paralimpik bagi mengelakkan insiden lain.

    Toyota e-Palette didedahkan sendiri oleh Akio Toyoda ketika hari pembukaan Tokyo Motorshow (TMS) 2019 dan ia memang direka untuk penganjuran Tokyo 2020. Ia dihasilkan dengan dimensi 5,255 mm panjang, 2,065 mm lebar, 2,760 mm tinggi dan jarak roda sejauh 4,000 mm, serta menampilkan lantai yang rendah, bersama pintu bukaan sendiri yang besar dan ramp elektrik bagi memudahkan akses terhadap orang yang berkerusi roda.

    Bas kecil elektrik sepenuhnya tersebut mampu untuk memuatkan seramai 20 orang penumpang – atau empat yang berkerusi roda dengan tujuh penumpang berdiri – dan bergerak secara berautonomi Tahap 4 dengan kelajuan 20 km/j.

    GALERI: Toyota e-Palette di Tokyo Motor Show 2019

     
     
  • Polis ingatkan jangan berkonvoi, santai hujung minggu di lokasi tumpuan sepanjang pandemik

    Polis ingatkan jangan berkonvoi, santai hujung minggu di lokasi tumpuan sepanjang pandemik

    Bagi yang aktif dengan kelab-kelab permotoran, sudah tentu anda rindu nak berkonvoi bukan? Sebelum ada yang mula mengambil kesempatan untuk berkonvoi kerana kerajaaan sudah melonggarkan beberapa sekatan pergerakan dengan tujuan merancakkan semula ekonomi negara, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan kelab atau kumpulan permotoran untuk tidak mengadakan aktiviti tersebut sewaktu negara masih berdepan varian Delta virus Covid-19 yang mudah berjangkit ketika ini.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias dalam laporan Harian Metro, pihaknya bukan sahaja memberi ingatan agar jangan berkonvoi, malah sesi perjumpaan dalam bentuk santai di lokasi tumpuan orang ramai pada hujung minggu juga wajar dielakkan.

    “Ini supaya pergerakan mereka mengikut prosedur operasi standard (SOP) sewaktu pandemik Covid-19 selain mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya sepertimana ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terutama di negeri Fasa 1 dan 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Menurut beliau lagi, pihak JSPT sudah bersedia dengan perancangan dalam mengatur penugasan Op Khas Ambang Merdeka 2021 bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini.

    Polis ingatkan jangan berkonvoi, santai hujung minggu di lokasi tumpuan sepanjang pandemik

    “Operasi ini akan dilaksanakan secara penguatkuasaan menyeluruh melibatkan kontinjen dan daerah serta Sektor Kenderaan Peronda Lebuhraya (EMPV) Bukit Aman yang bermula pada 28 Ogos hingga 1 September 2021,” katanya.

    Menurutnya, polis juga bakal mengadakan operasi secara bersepadu bersama lain-lain agensi penguatkuasaan dalam menguatkuasakan peraturan dan pematuhan kepada SOP Op Covid-19.

    “Menjelang 31 Ogos 2021, Malaysia bakal menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-64 tahun. Memandangkan pandemik Covid-19 masih belum reda dan negara dalam tempoh PPN secara berfasa, tiada sebarang sambutan atau perarakan secara besar-besaran akan diadakan di peringkat kebangsaan dan negeri,” katanya.

     
     
  • AirAsia Ride vs Grab di Malaysia — tanggapan awal untuk lihat platform mana lebih pantas dan jimat

    AirAsia Ride vs Grab di Malaysia — tanggapan awal untuk lihat platform mana lebih pantas dan jimat

    Perkhidmatan ride-sharing atau e-hailing sejak beberapa tahun kebelakangan ini terbukti menjadi sebuah perkhidmatan pengangkutan penting terutama di kawasan bandar. Ini menjadikannya sebuah perniagaan yang berbaloi untuk terus dilabur. Sebagai bukti, ini terbukti dengan pengenalan platform terbaru AirAsia Ride (AAR) beberapa hari lalu.

    Sejak Uber meninggalkan perniagaan ini dan operasinya di Asia Tenggara digabungkan pada 2018, ia didominasi oleh Grab. Ada juga beberapa pemain kecil yang datang dan pergi dalam tempoh itu, tetapi kehadiran AAR ini nampaknya benar-benar akan memberi persaingan semula kepada perniagaan berkenaan.

    Penawaran terbaru syarikat ini, yang dibentuk daripada pembelian penyedia perkhidmatan ride-sharing Dacsee, akan bersaing dengan Grab dan penyedia perkhidmatan sama yang lain. Ia disepadukan ke dalam Super App syarikat itu, yang turut menyediakan khidmat penghantaran makanan dari pengambilalihan DeliverEats, beli-belah serta tempahan hotel dan tiket kapal terbang.

    Untuk itu, kami mengambil keputusan untuk mencuba perkhidmatan AAR yang terbaru ini, dan bandingkannya dengan Grab untuk mendapatkan tanggapan awal perbezaan antara kedua-duanya. Adakah AAR dapat menggugat perkhidmatan yang selama ini hanya dipelopori oleh Grab untuk pengguna tempatan?

    AirAsia Ride vs Grab di Malaysia — tanggapan awal untuk lihat platform mana lebih pantas dan jimat

    Memulakan penggunaan

    Untuk tujuan ini, empat perjalanan telah dilakukan untuk setiap platform, dengan wakil dari paultan.org, Anthony Lim dan Gerard menggunakan AAR dan Grab sebanyak dua kali sebagai pemerhatian. Masa setiap perjalanan/pengalaman bersama setiap aplikasi itu diambil, bermula dari awal membuat tempahan. Untuk menyelesaikan ujian ini, masa juga diambil ketika pemandu ditugaskan, bila kereta sampai dan ketika tiba ke destinasi.

    Kami memilih untuk tidak menggunakan kod promo atau mata ganjaran untuk mengubah/mengurangkan kos, dan tidak membuat cadangan laluan, membiarkannya ditentukan oleh pemandu sendiri. Bagi pemilihan kategori kenderaan, kami ingin mencuba semua segmen kenderaan yang ada untuk melihat perbezaan kos yang lebih meluas, tetapi akhirnya hanya memilih untuk menggunakan kenderaan kompak serta enam-tempat duduk.

    Ini kerana, tidak semua kenderaan dalam kategori itu tersedia dalam AAR, setidaknya bukan pada hari pertama perkhidmatan. Apa yang ada hanyalah kenderaan kompak, enam-tempat duduk, teksi dan “anyride”, yang bermaksud memilih apa saja kenderaan yang ada, tetapi tidak dinyatakan pilihan sama ada untuk premium atau MPV premium yang tersedia.

    Perjalanan pula dihadkan kepada jarak yang tidak terlalu jauh untuk meminimumkan masa pergerakan dan pendedahan, dan kami mematuhi semua SOP yang ada — kedua-dua orang ini juga sudah lengkap dua dos vaksin, dan lebih 14 hari daripada suntikan kedua — tetap mengenakan dua penutup muka sepanjang masa, tanpa sebarang sentuhan fizikal. Kami terus masuk ke dalam kereta, bertemu semula sebaik tiba di lokasi sebelum bergerak ke lokasi seterusnya.

    AirAsia Ride vs Grab di Malaysia — tanggapan awal untuk lihat platform mana lebih pantas dan jimat

    Perincian perjalanan

    Perjalanan pertama: UOA Business Park, Glenmarie (pejabat Driven) ke Sunway Pyramid

      AirAsia Ride

    • 3:17 pm: Buat tempahan melalui Air Asia Super App menggunakan kategori AnyRide. Tambang RM7.
    • 3:22 pm: Masih tiada pemandu ditugaskan. Aplikasi memaklumkan tiada pemandu di sekitar kawasan itu
    • 3:23 pm: Tambah upah RM3 untuk menarik perhatian pemandu.
    • 3:24 pm: Seorang pemandu ditugaskan (Perodua Axia tanpa jenama AAR).
    • 3:29 pm: Pemandu tiba.
    • 3:40 pm: Sampai di Sunway Pyramid. Tambang RM10.
    • Grab

    • 3:17 pm: Buat tempahan melalui aplikasi Grab menggunakan kategori JustGrab. Tambang RM9.
    • 3:18 pm: Pemandu ditugaskan (Proton Saga tanpa jenama Grab).
    • 3:24 pm: Pemandu tiba.
    • 3:35 pm: Sampai di Sunway Pyramid. Tambang RM9.

    Kelebihan Grab, lebih pantas lima minit dan juga jimat sedikit kos. Kos asas AAR sebetulnya kurang RM2, tetapi dengan pertambahan upah menjadikannya lebih RM1.

    Perjalanan kedua: Sunway Pyramid ke Oasis Square Ara Damansara

      AirAsia Ride

    • 3:51 pm: Buat tempahan melalui AirAsia Super App, tetapi kini kategori enam-tempat duduk. Tambang RM19.
    • 3:57 pm: Tiga percubaan, masih tiada pemandu ditugaskan.
    • 3:58 pm: Tambah upah RM3 untuk tarik perhatian pemandu.
    • 3.59 pm: Masih tiada apa-apa. Naikkan upah hingga RM6.
    • 4:00 pm: Masih tiada apa-apa. Naikkan upah sekali lagi kepada RM10.
    • 4:05 pm: Masih tiada apa-apa. Naikkan upah kepada maksimum RM20.
    • 4:08 pm: Putus asa. Beralih ke Grab. Tambang RM22.
    • 4:09 pm: Pemandu ditugaskan. (Perodua Alza tanpa jenama Grab).
    • 4:25 pm: Tiba di Oasis Square Ara Damansara. Tambang RM22.
    • Grab

    • 3:51 pm: Buat tempahan melalui aplikasi Grab, kini dalam kategori enam-tempat duduk. Tambang RM22.
    • 3:52 pm: Pemandu ditugaskan (Perodua Alza tanpa jenama Grab).
    • 3:59 pm: Pemandu tiba.
    • 4:12 pm: Sampai di Oasis Square Ara Damansara. Tambang RM22.

    Kelebihan Grab, mungkin disebabkan lokasi pusat beli-belah tersebut, perjalanan jadi 13 minit lebih cepat. Untuk hal ini, AAR masih ketinggalan. Ambil maklum juga, walaupun hanya seorang penumpang dibenarkan menaiki perkhidmatan e-hailing, tiada masalah untuk mendapatkan MPV.

    Perjalanan ketiga: Oasis Square Ara Damansara ke The School di Jaya One (tukar aplikasi)

      AirAsia Ride

    • 5.00 pm: Buat tempahan menggunakan kategori AnyRide. Tambang RM15, tetapi naik jadi RM17 sejurus selepas itu, mungkin kerana harga waktu puncak.
    • 5:01 pm: Pemandu ditugaskan (Toyota Vios dengan jenama AAR).
    • 5:06 pm: Pemandu tiba.
    • 5:28 pm: Sampai di The School di Jaya One. Tambang RM17.
    • Grab

    • 5:00 pm: Buat tempahan melalui aplikasi Grab dengan kategori JustGrab. Tambang RM16.
    • 5:01 pm: Pemandu ditugaskan (Toyota Avanza tanpa jenama Grab).
    • 5:05 pm: Pemandu tiba.
    • 5:29 pm: Sampai di The School, Jaya One. Tambang RM16.

    Ini agak mengejutkan bagi AAR — selepas kecewa di Sunway Pyramid, kami jangkakan situasinya akan lebih rumit di Oasis Square, tapi sebaliknya. Kami mendapatkan pengesahan tempahan AAR 15 saat lebih awal berbanding Grab, dan kedua-duanya tiba pada masa yang hampir sama. AAR bahkan tiba lebih awal seminit.

    Perjalanan keempat: The School, Jaya One ke UOA Business Park (pejabat Driven)

      AirAsia Ride

    • 7:10 pm: Buat tempahan dengan AirAsia Super App untuk kategori AnyRide. Tambang RM15.
    • 7:14 pm: Ditugaskan pemandu yang dipilih dari senarai cadangan (Perodua Bezza dengan pelekat AAR).
    • 7:23 pm: Pemandu tiba.
    • 7:45 pm: Sampai di UOA Business Park. Tambang RM15.
    • Grab

    • 7.10 pm: Buat tempahan Grab menggunakan kategori JustGrab. Tambang RM19.
    • 7:11 pm: Ditugaskan pemandu (Perodua Bezza disewa dari program sewa kenderaan).
    • 7:12 pm: Pemandu tiba.
    • 7:34 pm: Sampai di UOA Business Park. Tambang RM19.

    Kelebihan Gran adalah lebih cepat, manakala AAR pula dari sudut harga. Sejurus selepas menerima tempahan, pemandu AAR membuat panggilan memaklumkan dia memerlukan tujuh hingga lapan minit untuk datang; satu tindakan yang menyenangkan.

    AirAsia Ride vs Grab di Malaysia — tanggapan awal untuk lihat platform mana lebih pantas dan jimat

    Antaramuka aplikasi pengguna

    Kedua-dua aplikasi mudah dan lancar dicapai bila diperlukan, dan lokasi yang tertera pada kedua-duanya juga tepat, dan tempahan dibuat tanpa sebarang masalah. Berkaitan antaramuka, Grab lebih mudah digunakan, dan itu bukanlah kerana kami telah terbiasa dengannya. Tataletaknya terasa lebih organik.

    Sebagai contoh, pemilihan jenis kenderaan pada AAR memerlukan anda untuk skrol kiri ke kanan berbanding atas dan bawah, yang dirasakan kurang natural. Namun, ada sebab untuk semua itu; sebahagian besar laman muka berkenaan adalah untuk memaparkan pilihan pemandu yang dicadangkan (Gold-, Platinum-tier, lengkap dengan profil peribadi) untuk pengguna pilih (berbanding platform berkenaan yang tentukan).

    Ketika uji-guna yang kami lalukan, ini cuma muncul dua kali, menjadikannya banyak ruang kosong. Apapun, senarai cadangan itu kami jangkakan bakal bertambah baik dari semasa ke semasa. Bagi paparan maklumat untuk tempahan pula (ID pemandu, model/warna/plat kereta dll), agak jelas terpampang bagi kedua-dua platform. Resit bagi Grab bagaimanapun mengandungi maklumat tambahan seperti laluan yang diambil.

    Bagi kedua-dua perkhidmatan, bayaran boleh dibuat secara tunai, kad kredit atau kad debit, dan dalam kes Grab, melalui GrabPay e-dompet. Jika anda bayar guna kad, sistem akan mengingat itu sebagai kaedah bayaran pilihan. Anehnya, bayaran AAR akan kembali kepada kaedah tunai walaupun perjalanan terakhir dibayar menggunakan kad, tetapi kami telah menetapkan itu kepada kaedah kad. Perlu ambil perhatian tentang ini.

    AirAsia Ride vs Grab di Malaysia — tanggapan awal untuk lihat platform mana lebih pantas dan jimat

    Keadaan kereta, luar dan dalam

    Semua kereta yang kami naiki berada dalam keadaan baik, dan tiada masalah, walaupun bagi kereta yang berusia lima-tahun yang sempat kami naik, dengan bacaan odometer 460,000 km. Maksudnya, semua pemandu memberi perhatian kepada hal ini.

    Sama juga dengan bahagian dalaman, semua berada dalam keadaan bersih dan baik. Ini mungkin didorong oleh pandemik, yang memerlukan pemandu sentiasa melakukan sanitasi dan membersihkan kenderaan mereka. Botol pembersih sanitasi juga ada kelihatan di ruang tempat duduk belakang. Tidak lupa, begitu juga dengan cecair sanitasi tangan untuk kegunaan penumpang, serta kod MySejahtera untuk kemudahan semua.

    Perbualan dengan pemandu

    Semua pemandu yang kami temui sudah melakukan kerja ini untuk tempoh beberapa waktu, dengan pengalaman sekurang-kurangnya tiga tahun. Tidak semua pemandu Grab yang ditemui tahu kewujudan AAR, dan tetap gembira untuk beroperasi dalam platfrom mereka untuk capaian yang lebih meluas. Seorang pemandu pula memaklumkan dia akan memanfaatkan mana-mana platform yang akan menyediakan hal itu, tidak hanya dengan Grab.

    Pemandu Grab yang lebih lama pula berkata manfaat yang ada sebelum ini lebih baik berbanding sekarang. Bonus masih ada, tetapi pemandu perlu mencapai kriteria tertentu seperti beroperasi dalam tempoh spesifik, misalnya dalam waktu puncak (7-9 am, 5-8 pm). Yang melegakan sedikit, program sewa kenderaan Grab kini lebih rendah pada RM35 sehari berbanding RM50 sehari sebelum PKP dulu.

    Kebanyakan pemandu AAR adalah dari platform Dacsee, yang telah dibeli oleh AirAsia. Kelebihan utama mungkin kadar potongan yang diambil oleh AAR dari pemandu adalah RM15%. Ini lebih rendah daripada Grab yang mengambil RM20%; membolehkan pemandu AAR membawa pulang 85% daripada tambang.

    Pemandu AAR juga ada yang menyatakan sitausinya hampir sama saja ketika beroperasi di bawah Dacsee, walaupun mereka kini menerima lebih banyak tugasan KLIA2. Semua kelebihan ini bagaimanapun hanya akan dapat dinikmati dengan jelas apabila kadar pengguna bertambah di masa hadapan.

    Menariknya, walaupun syarikat itu memaklumkan mereka tidak akan mendenda pemandu yang menolak tugasan perjalanan, pemandu AAR yang kami temui tetap percaya bahawa menolak tugasan bukanlah sesuatu yang baik untuk mereka. AAR akan menggunakan model galakkan yang memberikan memandu lebih banyak ganjaran dan manfaat untuk mengambil lebih banyak tugasan, sebagai pemangkin untuk pemandu.

    Keselamatan diutamakan

    Kadar penumpang menurun dengan drastik sepanjang tempoh pandemik ini, terutama disebabkan oleh PKP, yang menyaksikan orang ramai tidak dibenarkan untuk ke mana-mana. Seorang daripada pemandu AA memaklumkan sebelum tahun 2020, jumlah penumpangnya sehari boleh mencecah 20 orang. Kini, untuk dapat tiga penumpang sahaja sudah cukup bernasib baik.

    Pemandu berkata mereka mengambil langkah ketat untuk melindungi diri mereka dan penumpang. Semua hal seperti dinyatakan sebelumnya menjadi amalan, misalnya kerap melakukan sanitasi terhadap kenderaan, serta menyediakan cecair sanitasi tangan untuk penumpang. Sebelum mengambil tugasan juga, pemandu diminta untuk menjawab dan mengesahkan beberapa soalan tentang kesihatan mereka.

    AirAsia Ride vs Grab di Malaysia — tanggapan awal untuk lihat platform mana lebih pantas dan jimat

    Membandingkan kedua-dua perkhidmatan

    Ujian yang kami lakukan ini mungkin singkat dan ringkas, tetapi dalam beberapa hal Grab masih menyediakan yang terbaik, setakat ini. Rangkaiannya lebih meluas, untuk mendapatkan pemandu lebih mudah dan untuk ke destinasi dalam bandar, ia lebih pantas.

    Bagi AAR pula, ketersediaan pemandu masih rendah, bergantung kepada kawasan dan lokasi — mungkin juga sebab ini sebuah perkhidmatan baru. Ketika ini, AAR memiliki 1,500 rakan pemandu berdaftar, tetapi syarikat itu menjangkakan akan ada 5,000 pemandu dalam tempoh enam bulan ke hadapan dengan matlamat untuk diperluaskan di seluruh negara.

    Dari segi harga, perjalanan dengan AAR pada dasarnya sedikit lebih murah berbanding percubaan kami — melainkan anda perlu menambah upah untuk menarik perhatian pemandu. Mungkin, bila jumlah pemandunya lebih ramai nanti, aspek ini akan jadi lebih menyenangkan dan menjimatkan untuk penumpang.

    Terakhir, perlu juga disebutkan yang perjalanan Grab akan datang dengan mata ganjaran. Ketika ini, belum ada manfaat yang sama untuk AAR — mungkin platform itu akan menggunakan BIG sebagai ganjaran perjalanan di masa hadapan.

    AirAsia Ride vs Grab di Malaysia — tanggapan awal untuk lihat platform mana lebih pantas dan jimat

    Sangat menjanjikan

    Tanggapan pertama menggunakan AAR ini menunjukkan ia bermula dengan cara yang agak baik sebenarnya. Kecuali berkaitan sukar untuk mendapatkan pemandu, ia menyediakan perkhidmatan yang boleh menjadi alternatif kepada Grab ketika ini.

    Namun ini juga sukar dijangka, kerana ia tertakluk sepenuhnya kepada kawasan dan lokasi. Apa pun, ini dijangka akan bertambah baik dari semasa ke semasa, sesuai dengan usia perkhidmatan yang masih baru ini. AAR ketika ini hanya meliputi Kuala Lumpur dan Selangor, dan akan diperluas ke Pulau Pinang, Kelantan, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak menjelang hujung tahun.

    Secara umumnya, ia perkembangan yang bagus untuk Grab tidak lagi bergerak secara monopoli dalam industri ini. Persaingan dalam perniagaan biasanya akan memberikan lebih banyak kelebihan kepada pengguna. Jadi, apa pandangan anda tentang AAR? Adakah anda juga akan mencubanya dalam masa terdekat? Silakan berbuat demikian, dan kongsi pandangan anda dengan kami.

     
     
  • Sistem telematik Subaru Connex dilancarkan untuk XV dan Forester di Malaysia – RM1,900; boleh retrofit

    Sistem telematik Subaru Connex  dilancarkan untuk XV dan Forester di Malaysia – RM1,900; boleh retrofit

    TC Subaru, pengedar eksklusif kenderaan Subaru di Malaysia, telah melancarkan sistem telematik Subaru Connex selepas berjaya dalam ujian percubaannya selama dua tahun. Harganya sekitar RM1,900, Connex boleh didapati mulai 10 september 2021 untuk pelanggan yang memiliki SUV XV dan Forester, sama ada unit baharu atau pun sedia ada (boleh retrofit atau dipasangkan).

    Harga yang ditawarkan untuk Connex ini merangkumi pemasangan perkakasan yang diperlukan, cukai yang berkaitan dan juga langganan selama setahun. Yuran pembaharuan langganan sebanyak RM360 akan dicaj selepas tahun kedua dan ke atas.

    Seperti mana-mana sistem telematik di Malaysia (Toyota VTS, Honda Connect, Hyundai Telematics, dan lain-lain), pengguna Connex perlulah memuat turun aplikasi khas yang disediakan ke peranti Android atau iOS untuk mengakses semua ciri.

    Ini termasuklah respons dan kepekaan kemalangan automatik, di mana ketika kemalangan berlaku, sistem akan merekodkan lokasi kenderaan, kelajuan pelanggaran dan impak kemalangan sebelum menghantar maklumat terbabit ke pusat panggilan.

    Pemandu dan penumpang akan dihubungi untuk mengetahui adakah mereka memerlukan bantuan perubatan dan/atau bantuan tepi jalan, yang akan segera dihantar sekiranya perlu. Walau bagaimana pun, jika tiada respons pada peti suara dalam kereta yang didaftarkan dan impak kemalangan telah dikenalpasti, pusat panggilan akan segera menghantar servis kecemasan terus ke lokasi kemalangan.

    Ia juga memudahkan pemilik Subaru untuk mendapatkan bantuan tepi jalan, apa yang perlu mereka lakukan hanya menekan butang bCall pada aplikasi, dan pasukan bantuan akan dihantar ke lokasi kemalangan dengan kadar segera. Pengguna juga boleh meminta bantuan perubatan untuk dihantar segera ke lokasi mereka, dan servis SOS ini juga boleh digunakan sekiranya mereka menyaksikan kemalangan atau mahu membantu sesiapa yang memerlukannya.

    Selain berkenaan keselamatan, Connex juga didatangkan dengan ciri lain termasuk Smart Alarm untuk memaklumkan pengguna sekiranya kenderaan mereka dihidupkan atau pun ditunda. Sementara itu, Car Status pula membolehkan pengguna memeriksa voltan dan status bateri, voltan bateri peranti, status pencucuhan, sejarah pemanduan dan lokasi parkir terakhir.

    Untuk kemudahan lain, sistem ini juga berkeupayaan mengesan lokasi kenderaan di mana ia membantu jika ada kes kecurian kenderaan. Lain-lain ciri termasuklah pengingatan penyelenggaraan kenderaan dan memberikan skor untuk setiap kali perjalanan yang dibuat.

    Sistem telematik Subaru Connex  dilancarkan untuk XV dan Forester di Malaysia – RM1,900; boleh retrofit

    Jika anda mahu meminjamkan kereta anda kepada orang lain, anda juga boleh menyemak perjalanan yang lepas dan juga menentukan kepekaan kelajuan sekiranya kereta tersebut dipandu melebihi had kelajuan yang ditetapkan. TC Subaru menambah Connex juga merupakan Usage-Based Insurance (UBI), tetapi informasi berkenaan hanya boleh disalurkan apabila program berkenaan dilancarkan pada awal 2022.

    TC Subaru turut menambah pengguna Connex akan mendapat banyak manfaat eksklusif termasuk khidmat tunda tanpa had ke mana-mana bengkel Subaru yang diiktiraf jika berlaku sebarang insiden tidak diingini (banjir, rosak atau kemalangan), perkhidmatan baik pulih di lokasi sehingga RM300 (hanya untuk kos buruh) bagi setiap kemalangan, dan pembayaran balik pengangkutan sehingga RM2,000 bagi baik pulih akibat kemalangan.

    “Subaru Connex merupakan masa yang tepat apabila keselamatan menjadi lebih penting. Peranti ini juga meningkatkan komitmen kami yang berterusan dalam aspek keselamatan, memberikan pemandu Subaru sesuatu yang boleh mereka harapkan jika memerlukan bantuan kecemasan,” ujar Eugene Tay, pengurus negara di TC Subaru.

     
     
  • Pengeluar cip di Malaysia hadapi kesukaran bagi penuhi permintaan, jejas produksi automotif global

    Pengeluar cip di Malaysia hadapi kesukaran bagi penuhi permintaan, jejas produksi automotif global

    Malaysia adalah antara negara yang mempunyai kilang pengeluaran cip semikonduktor yang cukup banyak – sekitar 50 kilang komponen tersebut berada dalam negara dan kapasiti pembungkusan dan ujian yang berada di Malaysia adalah mewakili 13% dari kapasiti keseluruhan global, serta 7% semikonduktor di seluruh dunia perlu ke Malaysia terlebih dahulu kerana pelbagai sebab sebelum dieksport keluar.

    Jadi apabila dunia sedang berhadapan dengan masalah bekalan cip semikonduktor kerana permintaan terhadap komponen tersebut meningkat, berikutan permintaan terhadap telefon pintar dan juga kelengkapan kesihatan yang semakin tinggi dalam musim pandemik, ia diburukkan lagi dengan masalah kilang-kilang di Malaysia yang tidak boleh beroperasi kerana tertakluk di bawah Pelan Pemulihan Negara bagi mengurangkan penularan wabak Covid-19 dalam negara, kata seorang eksekutif industri dalam laporan The Edge.

    Kilang syarikat-syarikat seperti STMicroelectronics dan Infineon (salah satu pengeluar semikonduktor yang terbesar di dunia) dalam negara kini tidak boleh beroperasi, dan ia turut menjejaskan produksi untuk sektor automotif di seluruh dunia.

    Kerana masalah kilang cip di Malaysia yang tidak boleh beroperasi ini telah menyebabkan kilang Ford di Jerman yang menghasilkan Fiesta telah tergendala. Toyota dan Nissan juga terpaksa mengurangkan jumlah produksi mereka sementara kilang Infineon tidak boleh beroperasi buat sementara waktu. Nio dan juga Tesla juga terjejas sama.

    Pengeluar cip di Malaysia hadapi kesukaran bagi penuhi permintaan, jejas produksi automotif global

    Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, Wong Siew Hai memberitahu akhbar berkenaan bahawa banyak pengeluar kenderaan telah mengecilkan pesanan mereka tahun lalu kerana menjangkakan permintaan yang lebih rendah, jadi pengeluar cip di Malaysia telah mengalihkan peruntukan berkenaan kepada sektor lain dalam industri elektronik.

    “Apabila tiba bulan Januari, industri automotif sedar mereka mahukan semula kapasiti berkenaan namun perancang fabrikasi semikonduktor sudah tidak ada kapasiti untuk mereka,” kata Wong. Walau bagaimanapun beliau berpendapat bahawa masalah ini akan mula reda menjelang akhir tahun ini kerana pekerja-pekerja yang telah divaksin sepenuhnya mula kembali bekerja.

    “Jangkaan berdasarkan data yang saya lihat, situasi ini sepatutnya akan semakin baik, tetapi kami masih tidak dapat memenuhi sepenuhnya permintaan,” kata Wong dan menambah permintaan dilihat semakin meningkat sejak hujung tahun lalu. “Kekangan yang kami hadapi sejak Jun dan awal Julai kini mula menurun, dan lebih volum telah dihantar kerana kami sekarang dibenarkan beroperasi pada peratusan lebih tinggi.”

    Apabila ditanya apa impak yang diterima selepas sekatan pergerakan yang dilanjutkan, Wong berkata bahawa kerugian yang perlu ditanggung dengan mudah mencecah berbilion ringgit. Eksport elektrikal dan elektronik bernilai US$92 bilion (RM386 bilion) adalah mewakili 39.4% dari jumlah keseluruhan eksport Malaysia pada 2020.

     
     
  • BMW R nineT 2021 tiba di M’sia – harga dari RM87k

    BMW R nineT 2021 tiba di M’sia – harga dari RM87k

    Barisan model BMW R nineT 2021 kini sudah tiba di Malaysia dengan harga yang ditetapkan pada RM96,500 untuk R nineT, RM82,500 untuk R nineT Pure dan RM86,500 untuk R nineT Scrambler. Semua harga ini tidak termasuk insurans.

    Model ini menggunakan enjin boxer 1,170 cc yang mampu menghasilkan kuasa 109 hp pada 7,250 rpm dan 116 Nm tork pada 6,000 rpm, dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghantar kuasa kepada roda belakang menggunakan sistem syaf.

    Pada bahagian elektronik, motosikal ini dilengkapi dengan dua mod tunggangan iaitu Road dan Rain, Automatic Stability Control (ASC) dan ABS Pro dengan Dynamic Brake Control (juga dipanggil sebagai Cornering ABS). Suspensi menggunakan fork USD 46 mm di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang.

    Bagi model tahun 2021 ini, antara peningkatan yang dibuat adalah panel instrumen, yang kini mempunyai paparan baru. Semua lampu pada model ini menggunakan unit LED dan soket pengecas USB datang secara standard.

    Bagi versi R nineT, selain warna Black Storm Metallic, pelanggan juga diberi pilihan warna Option 719 Black dan Option 719 Aluminium dengan bayaran tambahan, sementara R nineT Pure didatangkan dalam pilihan warna Teal Blue Metallic dan Mineral Grey Metallic manakala R nineT Scrambler hanya dalam satu warna iaitu Kalamata Metallic Matte.

    GALERI: BMW R nineT 2021

    GALERI: BMW R nineT Pure 2021

    GALERI: BMW R nineT 2021

     
     
  • Sukar dapat temujanji? JPJ galak orang ramai guna khidmat atas talian untuk perbaharui lesen, cukai jalan

    Sukar dapat temujanji? JPJ galak orang ramai guna khidmat atas talian untuk perbaharui lesen, cukai jalan

    Pasti ramai daripada anda sedang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan temujanji untuk urusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bukan? Menerusi kenyataan yang baru dikeluarkan, JPJ meminta orang ramai agar menggunakan perkhidmatan atas talian bagi mengatasi masalah ini.

    JPJ memberitahu bahawa tindakan untuk mengehadkan jumlah pelanggan di kaunter JPJ adalah bertujuan untuk mengelakkan kesesakan orang ramai supaya dapat menghindari daripada berlakunya jangkitan wabak Covid-19 di tempat awam, dan ia selaras dengan arahan Pengoperasian Pejabat Kerajaan dan keperluan untuk pematuhan SOP yang dikelurkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Justeru, JPJ meminta orang ramai menggunakan khidmat atas talian menerusi portal MySikap bagi tujuan memperbaharui Lesen Memandu (LLM) dan juga Cukai Jalan (LKM). Menerusi portal tersebut, pengguna boleh hadir ke mana-mana kaunter JPJ tanpa temu janji bagi mengambil LLM dan juga LKM yang telah dibayar secara atas talian dengan hanya mengemukakan resit pembayaran.

    Sukar dapat temujanji? JPJ galak orang ramai guna khidmat atas talian untuk perbaharui lesen, cukai jalan

    Selain dari portal MySikap, urusan memperbaharui LLM dan LKM ini juga boleh dibuat secara atas talian menerusi rakan strategik JPJ iaitu MyEG. Pengguna juga boleh melakukan urusan-urusan tersebut menerusi kaunter Pos Malaysia. Dalam kenyataan yang sama, JPJ turut menyatakan stok kad lesen memandu sentiasa mencukupi, sekaligus menyangkal dakwaan yang dibuat dalam satu laporan akhbar.

    Terdahulu mengingatkan orang ramai agar memperbaharui LMM dan LKM termasuk termasuk Lesen Vokasional (GDL/PSV) yang telah tamat tempoh sebelum 30 September 2021 kerana tempoh lanjutan pembaharuan bagi LKM dan LMM tidak akan disambung selepas tarikh tersebut. JPJ dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan kembali membuat pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan mulai 1 Oktober 2021.

    Bagi melancarkan lagi proses pembaharuan tersebut, JPJ kini membuka kaunter mereka pada hari Ahad bermula pada 13 Ogos lalu, serta membuka perkhidmatan kaunter pandu lalu (Drive-Thru) untuk orang ramai melaksanakan urusan tanpa perlu hadir secara fizikal ke dalam premis.

     
     
  • Honda HR-V Hybrid 2021 di Malaysia berharga RM114k — hampiri varian 1.8V, lampu LED, Apple CarPlay

    Honda HR-V Hybrid 2021 di Malaysia berharga RM114k — hampiri varian 1.8V, lampu LED, Apple CarPlay

    Honda Malaysia telah mengumumkan harga rasmi bagi HR-V Hybrid, yang dijual pada harga RM113,954.82 atas jalan tidak termasuk insurans. Harga ini telah mengambil kira pengecualian SST bagi kenderaan CKD hingga hujung tahun nanti.

    Sebelum ini tiada tanda harga disertakan bagi HR-V Hybrid (atau mana-mana model hibrid Honda yang lain) ketika syarikat itu mengumumkan senarai harga kenderaannya tahun lalu untuk mencerminkan keputusan kerajaan untuk mengurangkan SST untuk kenderaan.

    Varian hibrid ini masih juga tiada harga rasmi ketika Honda mengemaskini HR-V pada Januari lalu. Varian ini menerima beberapa penawaran sama dari gred V, termasuk pemegang pintu krom (sebelum ini warna badan), lampu utama LED (sebelum ini halogen), lampu kabus depan LED (sebelum ini unit blub biasa) dan lampu belakang LED dengan gaya baru.

    Honda HR-V Hybrid 2021 di Malaysia berharga RM114k — hampiri varian 1.8V, lampu LED, Apple CarPlay

    Perubahan lain termasuk tambahan warna Platinum White Pearl (warna Orchid White Pearl tiada lagi) serta Lunar Silver Metallic dan Modern Steel Metallic. Ia kekal dilengkapi dengan rim 17-inci yang dipasangkan tayar berprofil 215/55.

    Versi Hybrid ini kekal menggunakan janaan kuasa Sport Hybrid i-DCD seperti sebelumnya, yang terdiri daripada enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson (132 PS dan 156 Nm), sebuah motor elektrik (30 PS dan 160 Nm), bateri lithium-ion dan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan. Keseluruhannya, sistem ini menghasilkan 152 PS dan 190 Nm tork.

    Kelengkapan selebihnya juga tidak berubah. Antaranya termasuk sistem tanpa kunci dan butang penghidup enjin, kerusi balutan separa kulit, paparan kluster instrumen multi-info, paddle shifter, empat pembesar suara, enam beg udara, Brake Hold automatik, ABS, EBD, bantuan mula mendaki dan VSA.

    Ketika HR-V facelift diperkenalkan pada Januari 2019, model Hybrid diberikan harga antara varian V dan RS, dengan jurang yang agak ketara. Dengan harga terbaru yang diumumkan ini, Hyrbid (RM113,954.82) kini terletak lebih hampir dengan Gred V (RM113,421.92) berbanding RS (RM118,581.81).

    “HR-V kekal menjadi pilihan utama SUV kompak bagi rakyat Malaysia kerana kepelbagaiannya, keluasan serta gaya penampilannya. Selepas mengambil kira maklum balas dan permintaan pasaran, kami telah memperkenalkan peningkatan luaran kepada varian hibrid. Dengan pakej keseluruhan dan harga yang menarik, kami percaya ia akan terus menjadi pilihan ramai, dengan prestasi pemanduan hibrid yang mengujakan,” ujar Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Madoka Chujo.

    Honda juga mengesahkan bahawa syarikat itu telah memulakan semula operasi kilangnya di Melaka, serta operasi cawangan pengedarnya. Jika anda ingin mengekalkan kontak fizikal yang minimum, pelanggan boleh menggunakan servis pra-tempahan dalam talian Honda.

     
     
  • BMW 330e M Sport G20 di M’sia tiada lagi kunci digital, pengecas wireless kerana isu cip; RM1.6k lebih murah

    BMW 330e M Sport G20 di M’sia tiada lagi kunci digital, pengecas <em>wireless</em> kerana isu cip; RM1.6k lebih murah

    Masalah kekurangan bekalan semikonduktor nampaknya berlarutan dan makin menjejaskan pengeluaran kenderaan di seluruh dunia, termasuklah produksi bagi model BMW 330e M Sport G20 pemasangan tempatan. Ketika ini, dikhabarkan, sedan plug-in hybrid berkenaan dijual pada harga bermula RM249,849, iaitu RM1,600 lebih murah berbanding sebelum ini.

    Penurunan harga berkenaan disebabkan dua ciri kelengkapan yang digugurkan iaitu Kunci Digital BMW dan juga sistem pengecasan telefon pintar tanpa wayar Qi. Pasaran lain juga dikhabarkan turut terjejas, dengan kedua-dua pilihan berkenaan tidak lagi ditawarkan untuk sesetengah model.

    Klik untuk besarkan: Risalah spesifikasi 330e M Sport Ogos 2021

    Sumber dari BMW Malaysia telah mengesahkan perkara yang berkaitan dengan masalah kekurangan semikonduktor ini, tetapi menyatakan isu ini hanya bersifat sementara. Bukan setakat 330e M Sport, model lain yang turut diberikan Kunci Digital BMW dan pengecas tanpa wayar sebelum ini – seperti 320i Sport dan X5 xDrive45e – juga mungkin terjejas sama.

    Walau bagaimana pun, syarikat ini akan memastikan bahawa selepas krisis ini berakhir, kedua-dua ciri berkenaan akan diperkenalkan semula (bersama dengan semakan harga) pada model yang terjejas.

     
     
  • Google Maps bakal paparkan harga tol seperti Waze tidak lama lagi, bantu pengguna buat pilihan laluan

    Google Maps bakal paparkan harga tol seperti Waze tidak lama lagi, bantu pengguna buat pilihan laluan

    Tak semua orang suka pakai Waze dan lebih gemar menggunakan Google Maps kan? Berita baik untuk pengguna Google Maps, aplikasi navigasi berkenaan bakal memaparkan harga tol yang perlu anda lalui tidak lama lagi, sama seperti fungsi pada Waze yang telah pun diperkenalkan pada 2019.

    Menurut laporan Android Police, Google sudahpun menghantar mesej kepada ahli-ahli program prebiu Google Maps, memberitahu bahawa mereka sedang menghasilkan satu ciri baharu yang bakal memaparkan anggaran kos tol dan lain-lain perkara yang perlu dikeluarkan sepanjang laluan yang ditunjukkan secara automatik. Ahli-ahli program berkenaan diminta untuk menjalankan tinjauan bagi membantu pasukan pembangunan Google Maps.

    Mesej dari Google tersebut juga menyatakan bahawa harga anggaran tol akan dipaparkan untuk setiap pilihan laluan pemanduan sebelum pengguna memilihnya – ini bagi membantu pengguna membuat keputusan laluan mana untuk dipilih. Walau bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan bila ujian ini akan bermula dan adakah ia turut akan diterapkan untuk penggunaan di negara lain seluruh dunia.

    Buat masa sekarang, Google Maps hanya memberikan amaran sama ada laluan yang anda pilih ada tol atau tidak, tanpa memperincikan berapa kos tol yang perlu dikeluarkan. Jika kos berkenaan dipaparkan, sudah tentu anda boleh membandingkan pelbagai lagi faktor selain masa, termasuk kos tol yang diperlu dikeluarkan serta membuat perancangan untuk mengisi kredit dalam kad Touch&Go.

    Bagi Waze, fungsi harga tol berkenaan dapat dipaparkan menerusi input dari komuniti, dan ia ditawarkan pada 15 negara termasuk Malaysia. Namun tahukah anda Waze sebenarnya telah dimiliki oleh Google sejak lapan tahun lalu?

     
     
  • Cadangan pembinaan Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJDLink) kini dalam proses rundingan

    Cadangan pembinaan Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJDLink) kini dalam proses rundingan

    Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan cadangan pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) kini dalam proses rundingan antara pihak kerajaan Persekutuan dengan syarikat pencadang.

    Menerusi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pertanian, Perladangan dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, kerajaan negeri melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 30 September 2020 mengambil maklum pembentangan projek daripada LLM berkenaan cadangan projek berkenaan, laporan Bernama.

    Katanya, MMKN dalam mesyuarat yang sama sudah menimbang dan bersetuju secara dasar dengan cadangan projek PJD Link dan menetapkan syarat, antaranya projek dilaksanakan mengikut tatacara pemprosesan permohonan secara rundingan di bawah Seksyen 20A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

    Cadangan pembinaan Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJDLink) kini dalam proses rundingan

    “LLM perlu mengadakan perbincangan lanjut dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi penyelarasan pembinaan projek dengan pembangunan yang diluluskan di peringkat MBPJ di kawasan rizab sungai; proses pengambilan balik tanah perlu diselesaikan terlebih dahulu dan penyelenggaraan sungai diserahkan kepada pihak konsesi.

    “Ia berikutan 2.5 kilometer daripada jajaran lebuh raya ini berada di atas rizab sungai dengan pembinaan maksimum sehingga ke sempadan rizab sungai,” katanya ketika menjawab soalan R Rajiv (PH-Bukit Gasing) mengenai status cadangan pembinaan Lebuhraya PJD Link.

    Mengikut cadangan awal, Lebuhraya PJD Link adalah sepanjang 34.3 km dengan melibatkan lapan persimpangan, bakal menghubungkan Petaling Jaya Utara (PJU), Bandar Utama, Taman Tun Dr. Ismail, Pusat Bandar Petaling Jaya, Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Bukit Jalil Technology Park.

    Projek pembinaannya dijangka selesai dalam tempoh tiga tahun. Lebuhraya ini juga akan menghubungkan ke enam lebuhraya utama iaitu NKVE, SPRINT, Lebuhraya Persekutuan, NPE, KESAS dan Lebuhraya Bukit Jalil.

     
     
  • BMW M1000RR dilancarkan untuk Malaysia – RM250k

    BMW M1000RR dilancarkan untuk Malaysia – RM250k

    Model superbike M pertama yang menggunakan asas S1000RR, iaitu M1000RR (dipanggil ringkas sebagai M RR) kini sudah tiba di Malaysia dengan harga jualan tidak termasuk insurans RM249,500 dan diberikan bersama jaminan serta program bantuan tepi jalan selama tiga tahun.

    Pelbagai bahagian pada motosikal ini dipertingkat untuk memberikan lebih prestasi, dengan pada bahagian enjin termasuk penggunaan injap titanium, piston 12 gram lebih ringan, rocker arm lebih kurus dan ringan serta connecting rod titanium. Hasilnya, enjin ini boleh mengeluarkan 212 hp pada 14,500 rpm dan 113 Nm tork pada 11,000 rpm – boleh dikerah maksimum sehingga 15,100 rpm.

    Untuk menghasilkan lebih banyak cengkaman dan memastikan kuasa dapat disampaikan ke atas jalan secara efektif sepanjang masa, panel badan motosikal ini dipasang dengan winglet gentian karbon serta penghadang angin jenis menggelembung yang lebih tinggi.

    Melalui M RR ini juga, BMW buat pertama kalinya telah memasang brek prestasi M pada motosikal, yang dibangunkan dengan pengalaman BMW Motorrad dalam dunia perlumbaan, terutamanya Superbike World Championship. Angkup brek ini menggunakan warna biru, berserta logo M dan dipadankan bersama rim gentian karbon M untuk prestasi terbaik.

    Panel instrumen TFT 6.5 inci M RR, adalah sama dengan RR tetapi ia mempunyai grafik animasi permulaan M. Kemudiannya, jika pemilik menaik taraf kepada pakej M Competition, ia boleh disambung dengan M GPS data logger dan laptrigger untuk memberikan informasi terperinci prestasi di dalam litar.

    BMW M1000RR dilancarkan untuk Malaysia – RM250k

    Barangan lain yang termasuk dalam pakej M Competition adalah komponen aluminium seperti pada tempat letak kaki, lengan ayun yang lebih ringan 220 gram, rantai M Endurance serta penutup untuk tempat duduk belakang.

    Motosikal ini juga dilengkapi dengan sistem ekzos titanium 3.7 kg lebih ringan, klac anti-hopping, tujuh mod tunggangan (Rain, Road, Dynamic, Race dan Race Pro 1-3), Dynamic Traction Control (DTC), DTC Wheelie Control, Engine Braking Control, Shift Assistant Pro (quickshifter) yang boleh diterbalikkan untuk penukaran jenis GP, bateri M serba ringan, Adaptive Cruise Control serta suspensi yang dinaik taraf dengan kinematik Full Floater Pro.

     
     
  • Socar dan Tenaga Nasional Berhad jalin usaha sama manfaatkan data untuk tingkatkan penerimaan EV

    Socar dan Tenaga Nasional Berhad jalin usaha sama manfaatkan data untuk tingkatkan penerimaan EV

    Socar Mobility Malaysia (Socar) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) baru-baru ini mengumumkan sebuah memorandum persefahaman (MoU) dengan matlamat untuk mempercepatkan lagi penerimaan dan penggunaan kenderaan elektrik di Malaysia dan mengurangkan pembebasan gas rumah hijau daripada pengangkutan, yang dianggarkan menyumbang sekitar 21% pembebasan CO2 di sini pada 2016.

    Kedua-dua syarikat pernah bekerjasama sebelum ini pada Disember 2019, ketika Socar menambah Renault Zoe EV ke dalam barisan kenderaan mereka. Pelanggan boleh menempat Zoe di beberapa lokasi dalam Cyberjaya, yang mempunyai stesen pengecas yang dipasang dengan sokongan Tenaga Nasional.

    Mou tersebut memperluaskan lagi skop kerjasama sebelum ini, dan akan menyaksikan TNB memanfaatkan data penggunaan kenderaan dan corak perjalanan dari Socar. Ini bertujuan untuk mengenal pasti lokasi strategik serta laluan perjalanan utama untuk membantu menentukan lokasi, jumlah dan jenis pengecas (termasuk pengecas pantas DC) yang ingin dipasang.

    Ini akan membantu memperbaiki prasarana mengecas di negara ini, yang turut akan menyokong rancangan Socar sendiri untuk memperluaskan barisan kenderaan dalam perkhidmatannya melibatkan ratusan EV dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang. Socar juga akan meningkatkan jumlah zon EV kepada 50 menjelang penghujung 2022.

    Socar dan Tenaga Nasional Berhad jalin usaha sama manfaatkan data untuk tingkatkan penerimaan EV

    Dengan lebih banyak EV tersedia untuk pelanggan, Socar mensasarkan untuk menjadikannya lebih mudah diakses dari sudut harga, mengurangkan jurang kos yang menghadkan penggunaan EV kini. Melalui pangkalan data penggunaan perkongsian kenderaan, syarikat itu juga akan dapat menentukan model EV mana yang perlu disertakan, dan di lokasi mana.

    Menurut Socar, Malaysia mempunyai kadar penembusan EV yang rendah, dengan hanya melibatkan 0.05% daripada anggaran 14.5 juta kereta persendirian yang didaftarkan di negara ini. Socar melihat ini sebagai satu peluang untuk meningkatkan lagi penggunaannya melalui cara perkongsian kenderaan yang sekaligus dapat juga mendidik pengguna tentang EV.

    “Sebagai penyedia khidmat pengangkutan berasaskan teknologi semasa, kami komited untuk merancakkan lagi tahap penerimaan pengangkutan mapan. Bagi kami, ini bermaksud menggunakan platform dan sumber yang kami ada untuk membolehkan lebih ramai pemandu merasai sendiri pemanduan EV, sekaligus membantu mereka untuk beralih kepada kenderaan dengan teknologi tersebut,” ujar CEO Socar Mobility Malaysia, Leon Foong.

    Socar dan Tenaga Nasional Berhad jalin usaha sama manfaatkan data untuk tingkatkan penerimaan EV

    Beliau berkata, pemilik EV telah menganggarkan bahawa dengan prasarana mengecas yang ada sekarang, Nissan Leaf akan memerlukan 24 jam untuk dipandu sehingga jarak 1,000 km dari Johor Bahru ke Kota Bharu, termasuk masa yang diperlukan untuk mengecas semula kenderaan.

    Sementara itu, bagi MINI Cooper SE pula akan mengambil masa 20 jam, dengan lapan jam diluangkan untuk mengecas semula. “Untuk mengatasi halangan ini, setiap negeri di Semenanjung perlu ada pengecas pantas 150 kW di sekurang-kurangnya hab utama perjalanan, untuk dimanfaatkan oleh pengguna antara dalam perjalanan antara negeri,” jelas Foong.

    TNB telahpun menzahirkan sokongannya terhadap e-mobiliti di negara ini. Selain Socar, TNB juga telah menjalin usaha sama dengan DHL Express Malaysia dan juga GreenTech Malaysia. “TNB bersedia untuk menerajui dalam usaha meningkatkan penerimaan EV di Malaysia, terutamanya dalam kalangan pengusaha perkhidmatan dengan barisan kenderaan yang banyak. Dan, satu daripada caranya adalah untuk memanfaatkan laluan perjalanan yang telah diketahui kekerapannya,” jelas Ketua Pegawai Runcit TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan.

     
     
  • Audi Q5 Sportback tiba di Malaysia – satu varian S Line 2.0 TFSI Quattro sahaja, CBU, RM404,878

    Audi Q5 Sportback tiba di Malaysia – satu varian S Line 2.0 TFSI Quattro sahaja, CBU, RM404,878

    Satu minggu selepas Q5 facelift diperkenalkan, kini Audi Malaysia melancarkan pula Q5 Sportback. Hanya satu varian yang dipaparkan pada laman web mereka, iaitu Q5 Sportback S Line 2.0 TFSI, dan dijual pada harga RM404,878 tidak termasuk insurans – RM30k lebih mahal berbanding Q5 biasa.

    Secara mekanikalnya, kedua-dua model ini menggunakan enjin hibrid ringkas 2.0 liter yang mampu menghasilkan 249 hp pada 5,000 hingga 6000 rpm, dan 370 Nm tork pada 1,600 hingga 4,500 rpm. Transmisi S Tronic tujuh kelajuan klac berkembar dan pacuan AWD Quattro datang secara standard, dan ia membolehkan SUV ini memecut 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat sebelum mencapai laju maksimum 240 km/j – catatan masa sama dengan Q5 biasa.

    Sistem MHEV 12-volt pada kenderaan ini terdiri daripada starter-generator pacuan tali sawat yang disambungkan kepada bateri lithium-ion kecil. Ia dapat menjana semula tenaga apabila pedal minyak dilepaskan dan membrek, dan boleh membenarkan enjin dihidupkan dan dimatikan dengan lebih lancar (hanya pada kelajuan di bawah 22 km/j). Penggunaan bahan api berada pada sekitar 8.0 liter bagi setiap 100 km atau 12.5 km/l.

    Audi Q5 Sportback tiba di Malaysia – satu varian S Line 2.0 TFSI Quattro sahaja, CBU, RM404,878

    Antara kelengkapan standard yang diberikan pada Q5 Sportback ini adalah termasuk lampu utama LED dengan DRL LED, lampu belakang kombinasi LED, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula enjin, pintu but bukaan elektrik, rim 20 inci dengan tayar 255/45, pakej Black Appearance (tambahan RM2.8k bagi Q5 biasa) serta penyerap adaptif.

    Pemilik kemudiannya diberikan pilihan barangan lain seperti rim 20 inci cabang V Anthracite Black (RM5,708), rim 21 inci kelabu matte (RM11,640), pelindung cermin sisi warna hitam (RM1,118), angkup brek warna merah (RM3,487), lampu utama Matrix LED (RM10,478) dan lampu belakang OLED dengan paparan istimewa (RM12,594). Dua barang terakhir boleh digabungkan bersama dengan harga RM20,956.

    Bahagian kokpit secara asasnya sama sahaja seperti Q5 biasa, dengan Audi Virtual Cockpit Plus diberikan standard dan ia termasuk paparan instrumen digital penuh 12.3 inci, skrin sesentuh 10.1 inci di tengah siap dengan MMI Navigation Plus, Audi Connect, Audi Smartphone Interface serta sistem bunyi premium Bang & Olufsen 3D (bagi Q5 biasa sistem bunyi ini dijual pada harga tambahan hampir RM9k).

    Turut diberi adalah tempat duduk sport dan roda stereng balutan kulit, cermin pandang belakang malap sendiri, kemasan aluminium rhombus, pengawal suhu tiga zon dan pakej Ambient Lighting. Bagi Q5 Sportback ini, ruang butnya sedikit kecil, iaitu 510 liter, tetapi apabila tempat duduk belakang dilipat, ia menjadi 1,480 liter.

    Pilihan tambahan lain yang disediakan adalah head-up display (RM10,373), roda stereng dinamik dengan bahagian bawah rata (RM11,805), serta bumbung panoramik kaca saiz penuh (RM16,082).

    Ciri keselamatan pada Q5 Sportback ini juga adalah sedikit lebih baik berbanding Q5 biasa, dengan Audi Pre Sense belakang, Rear Cross-Traffic Assist, Exit Warning System, Lane Change Warning, Park Assist dan kamera 360 darjah diberikan terus. Walaubagaimanapun, ia masih tidak dilengkapi Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dan Lane Keep Assist.

     
     
  • Puspakom Miri dan Segamat ditutup sementara

    Puspakom Miri dan Segamat ditutup sementara

    Puspakom Sdn Bhd telah mengumumkan penutupan sementara pusat pemeriksaan kenderaannya bagi cawangan Segamat di Johor dan Miri di Sarawak bermula semalam (26 Ogos) sehingga ke tarikh yang bakal dimaklumkan kelak. Ini berikutan pelaksanaan kerja-keja proses disinfeksi dan sanitasi bagi memastikan keselamatan semua pihak.

    Menurut Puspakom, bagi pelanggan yang telah membuat temujanji bagi tarikh dalam tempoh berkenaan, slot berkenaan terpaksa dibatalkan dan bayaran temujanji akan dipulangkan secara automatik dalam tempoh 30 hari.

    “Temujanji pemeriksaan boleh dilakukan semula apabila pusat pemeriksaan buka kembali seperti biasa. Sehubungan dengan ini, pelanggan diminta untuk mengabaikan Peringatan Temujanji MyPUSPAKOM jika menerimanya sepanjang tempoh penutupan cawangan tersebut.

    “Orang ramai boleh mengikuti Facebook Puskapom atau melayari www.puspakom.com.my untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung operasi Puspakom dari semasa ke semasa,” ujar kenyataan yang dikeluarkan itu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025