Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Khidmat trak dan van bergerak Puspakom kini beroperasi 7 hari seminggu, dari Isnin hingga Ahad

    Khidmat trak dan van bergerak Puspakom kini beroperasi 7 hari seminggu, dari Isnin hingga Ahad

    Puspakom telah mengumumkan bahawa perkhidmatan pemeriksaan bergeraknya menerusi trak dan juga van kini mula beroperasi tujuh hari seminggu, dari Isnin hingga Ahad. Bagi mereka yang berminat untuk menggunakan perkhidmatan ini, tempahan boleh dibuat menerusi laman sesawang rasmi Puspakom atau dengan menghubungi nombor telefon di bawah.

    Langkah ini diambil sudah tentunya bagi memenuhi permintaan meningkat sebelum 30 September yang ditetapkan sebagai tarikh akhir untuk mereka yang mempunyai pemeriksaan tertunggak. Bagi mereka yang belum mengetahui, sebelum ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa laporan pemeriksaan Puspakom yang tamat pada Jun dan Julai akan dilanjutkan sehingga 30 September kerana sekatan pergerakan penuh yang dijalankan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

    Oleh itu, kenderaan komersil yang sepatutnya menjalani pemeriksaan pada bulan Jun dan Julai dibenarkan untuk menunda pemeriksaan mereka di Puspakom tanpa dikenakan saman. Kelonggaran tersebut hanya akan diberi sehingga 30 September ini, dan penguatkuasaan seperti biasa akan bermula pada 1 Oktober.

    Khidmat trak dan van bergerak Puspakom kini beroperasi 7 hari seminggu, dari Isnin hingga Ahad

    Laporan-laporan pemeriksaan Puspakom berkenaan termasuk pemeriksaan B2, PG11A dan PG13B. Perkhidmatan pemeriksaan B5 untuk proses tukar hak milik juga ditawarkan dalam perkhidmatan bergerak ini.

    Untuk pengguna-pengguna jalan raya yang lain, anda juga perlu beringat bahawa kelonggaran yang diberikan oleh JPJ bagi memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu juga akan berakhir pada 30 September ini. Urusan untuk transaksi tersebut kini boleh dibuat secara atas talian seperti di portal MySikap, MyEG atau secara bersemuka dikaunter JPJ dan juga pejabat pos di seluruh Malaysia.

    Walau bagaimanapun, JPJ dan Pos Malaysia sebelum ini turut telah mengumumkan bahawa pelanggan perlu membuat temu janji terlebih dahulu untuk menyelesaikan urusan-urusan berkenaan di kaunter bagi mengelakkan kesesakan, sekaligus mengelakkan penularan virus Covid-19.

     
     
  • Bilik pameran Volkswagen kini dibuka semula kecuali di Melaka, Johor, Kedah, Pahang dan Kelantan

    Bilik pameran Volkswagen kini dibuka semula kecuali di Melaka, Johor, Kedah, Pahang dan Kelantan

    Dengan semakin ramai rakyat Malaysia yang telah menerima vaksin, sektor-sektor ekonomi dalam negara kini mula bergerak semula termasuklah sektor automotif selari dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN). Terbaharu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mengumumkan bahawa bilik-bilik pameran mereka juga mula beroperasi semula.

    Menurut VPCM, pengedar-pengedar mereka di Lembah Klang, Seremban, Ipoh, Juru dan Kota Kinabalu kini sudah memulakan operasi perniagaan mereka sepenuhnya. Manakala bilik pameran yang terletak di Melaka, Johor, Kedah, Pahang dan Kelantan kerana masih menunggu kelulusan untuk beroperasi.

    Walau bagaimanapun, pengedar-pengedar yang sudah boleh beroperasi masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ditetapkan oleh kerajaan serta inisiatif Safehands yang diwujudkan sendiri oleh VPCM. Protokol berkenaan merangkumi pemeriksaan aplikasi MySejahtera, imbasan suhu, mewajibkan pemakaian pelitup muka, sanitasi bilik pameran dan kereta yang kerap serta banyak lagi.

    Juga seperti yang ditetapkan oleh kerajaan, VPCM menegaskan bahawa hanya pengunjung yang sudah lengkap divaksin dibenarkan masuk. Individu yang ingin mengunjungi bilik pameran boleh berbuat demikian selepas 14 atau 28 hari (bergantung kepada vaksin yang diambil) dari pengambilan dos vaksin yang lengkap. VPCM juga menggalakkan pelanggan membuat temu janji sebelum datang dengan menghubungi pengedar Volkswagen yang mereka ingini.

    Bilik pameran Volkswagen kini dibuka semula kecuali di Melaka, Johor, Kedah, Pahang dan Kelantan

    “Penutupan bilik pameran sejak beberapa bulan lalu nyata memberi kesan ke atas prestasi perniagaan kami. Namun, kami tidak sabar untuk melihat industri kembali dibuka dan terus maju ke hadapan dengan sokongan para pengedar kami,” kata Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter yang turut mengalu-alukan langkah kerajaan untuk membuka semula operasi jualan dan pengilangan.

    Dalam perkembangan berkaitan, VPCM turut menyatakan bahawa para pengedar Volkswagen akan menganjurkan acara bilik pameran maya di saluran media sosial masing-masing pada 27 hingga 31 Ogos sempena pembukaan semula bilik pameran dan sambutan hari Merdeka tidak lama lagi.

    Sebagai sebahagian daripada sambutan itu, Volkswagen akan menawarkan penjimatan dalam talian yang eksklusif sebanyak RM4,500 ke atas Tiguan Allspace Highline dan RM7,500 untuk model Passat R-Line bermula sekarang hingga 31 Ogos.

     
     
  • Suzuki GSX-R1000 dan GSX-R1000R 2021 tiba di Malaysia – harga belum diketahui, import dari Jepun

    Suzuki GSX-R1000 dan GSX-R1000R 2021 tiba di Malaysia – harga belum diketahui, import dari Jepun

    Selain daripada Katana 2021, satu lagi model yang dimuat naik dalam halaman Facebook Suzuki Malaysia semalam adalah GSX-R1000 dan GSX-R1000R. Mereka yang berminat dijemput melihat motosikal ini lebih dekat di pusat pameran wakil pengedar mereka.

    Pertanyaan kami kepada Suzuki Malaysia berkenaan harga sportsbike ini masih belum berjawab, tetapi jika melihat pada harga rasmi model GSX-R1000 dan GSX-R1000R sebelum ini, ia mungkin berada di sekitar RM120,000.

    GSX-R1000 dipacu oleh enjin empat silinder sebaris 999 cc DOHC, bersama padanan kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 197 PS pada 13,200 rpm dan 117 Nm tork pada 10,800 rpm. Enjin ini juga dilengkapi dengan Suzuki Racing Variable Valve Timing (SR-VVT), yang dibangunkan melalui jentera lumba MotoGP.

    Suzuki GSX-R1000 dan GSX-R1000R 2021 tiba di Malaysia – harga belum diketahui, import dari Jepun

    Tiga mod tunggangan disediakan pada GSX-R1000, melalui butang kawalan Suzuki Drive Mode Selectro (S-DMS) di bahagian kiri pemegang sementara kawalan cengkaman pula mempunyai 10 tahap yang boleh dilaras. Pergerakan motosikal juga dipantau oleh IMU 6-axis untuk melaraskan motosikal mengikut keadaan.

    Perincian lain GSX-R1000 adalah seperti 202 kg, suspensi Showa (BPF/BFF boleh laras sepenuhnya di hadapan), brek cakera berkembar 320 mm dengan angkup Brembo empat piston di hadapan serta panel paparan LCD penuh.

     
     
  • Infiniti QX80 2022 dapat skrin InTouch 12.3″, pengecas peranti tanpa wayar, Apple CarPlay, Android Auto

    Infiniti QX80 2022 dapat skrin InTouch 12.3″, pengecas peranti tanpa wayar, Apple CarPlay, Android Auto

    Infiniti QX80 telah pun dipertingkatkan untuk model tahun 2022 dengan menerima infotainmen baharu, di mana ia adalah ciri standard untuk semua varian SUV berkenaan.

    Ia menampilkan paparan skrin sesentuh 12.3-inci baharu, dan menawarkan navigasi dengan panduan lorong sebagai tambahan untuk servis ketersambungan Infiniti InTouch. Selain itu, ia turut diberikan ketersambungan telefon pintar Apple CarPlay tanpa wayar dan juga Android Auto dengan penggunaan USB.

    Sementara itu, pertambahan ciri ini turut didatangkan dengan pengecas telefon pintar tanpa wayar dan audio di dalam kenderaan dijanakan oleh sistem bunyi Bose Premium. Seperti model tahun sebelumnya, QX80 2022 juga masih dibaluti material upholstery kulit untuk tiga barisan tempat duduknya, dengan tempat duduk hadapan bersama fungsi pemanas dan tempat duduk kapten untuk barisan kedua secara standard.

    Infiniti QX80 2022 menerima set infotainmen yang dipertingkatkan dengan skrin lebih besar; kabin QX80 2018 (kanan) sebagai perbandingan

    Untuk penjana kuasanya, Infiniti QX80 masih dikekalkan dengan enjin 5.6 liter naturally-aspirated V8 petrol, dengan hamburan kuasa 405 hp dan tork 559 Nm. Untuk model 2018, kuasa ini mampu memberikan keupayaan buat SUV bersaiz penuh ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.8 saat, dan kelajuan maksimum cecah 210 km/j. Jadi, angka tersebut adalah sama untuk model 2022 memandangkan Infiniti tidak menyatakan sebarang perubahan untuk bahagian mekanikalnya.

    Begitu juga dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan, dengan pacuan roda-belakang secara standard atau turut diberikan pilihan All-Mode Four-Wheel-Drive. Walau bagaimana pun, model 2022 ini telah ditambah dengan Intelligent Cruise Control di dalam senarai kelengkapannya.

    Untuk harganya pula, Infiniti tidak mendedahkannya lagi, namun merujuk pada model 2021, ia berharga dari US$69,050 (RM291,895) untuk versi 2WD, dan dari US$72,150 (RM304,978) untuk versi All-Mode 4WD.

     
     
  • Touch n Go eDompet perkenal tahap Premium baru — tambah nilai hingga RM20,000, had transaksi RM300k

    Touch n Go eDompet perkenal tahap Premium baru — tambah nilai hingga RM20,000, had transaksi RM300k

    Touch n Go telah memperkenalkan peringkat Premium baru bagi Touch n Go eDompet. Peringkat baru dan tertinggi ini menawarkan kemudahan seperti pertambahan saiz eDompet kepada RM20,000 serta peningkatan had transaksi tahunan kepada RM300,000. Dengan pengenalan terbaru ini, TnG eDompet kini mempunyai tiga tahap — Lite, Pro dan Premium.

    Tahap Pro yang layak untuk akaun Electronic Know-Your-Customer (eKYC) yang telah disahkan boleh menampung baki maksimum RM5,000 dengan had transaksi bulanan RM5,000. Lite pula adalah untuk pengguna TnG eDompet umum yang hanya boleh menampung maksimum RM200.

    “Dengan pengenalan Tahap Premium baru ini, TnG eDompet kini menjadi satu daripada penyedia eDompet terbesar di Malaysia. Tahap Premium ini melayakkan pengguna untuk menambah nilai sehingga RM20,000 kepada TnG eDompet mereka yang disahkan, untuk digunakan bagi tujuan pembayaran barangan yang lebih tinggi, seperti pendahuluan kenderaan, pinjaman rumah dan bayaran gaji,” ujar CEO TNG Digital, Ignatius Ong.

    Pengguna sedia ada boleh menaik taraf eDompet mereka kepada Premium dengan cara sama ada melakukan pelaburan dalam GO+ atau dengan membeli produk CarInsure. Selepas itu, pengguna boleh menikmati had transaksi sebanyak RM300,000, yang diterjemahkan kepada purata penggunaan bulanan sebanyak RM25,000.

    TnG memaklumkan naik taraf ini tepat pada masanya dan penting dalam keadaan pandemik ketika ini, memandangkan ia membolehkan beberapa penggunaan sistem tanpa tunai. Awal bulan ini, TnG turut umumkan bahawa Principal e-Cash Fund, yang menjadi dana utama bagi produk GO+, kini patuh Shariah.

     
     
  • Suzuki Katana 2021 tiba di Malaysia – harga belum ada

    Suzuki Katana 2021 tiba di Malaysia – harga belum ada

    Suzuki Malaysia melalui laman Facebook mereka nampaknya telah memuat naik gambar ketibaan beberapa model berkuasa tinggi di Malaysia, termasuklah Katana 2021. Tertulis pada gambar itu, unit ini diimport dari Jepun dan mereka yang berminat boleh melihatnya di pusat pameran.

    Walaubagaimanapun, melalui pemeriksaan kami, model ini masih belum tiba di pusat pameran, tetapi sudah ada di ibu pejabat Suzuki Malaysia di Glenmarie, Shah Alam. Harga Katana 2021 ini masih belum diberitahu, tetapi jika melihat dua tahun lepas, semasa ia baru dilancarkan di Malaysia, Katana dijual pada harga sekitar RM85k.

    Suzuki Katana menggunakan enjin empat silinder 999 cc daripada model GSX-R1000R, dan ia mampu menghasilkan kuasa 147 hp pada 10,000 rpm dan 108 Nm tork pada 9,500 rpm. Ia dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan Suzuki Clutch Assist System (SCAS).

    Sebagai sebuah motosikal moden, Katana 2021 dilengkapi dengan sistem kawalan cengkaman tiga mod serta ABS pada bahagian brek yang menggunakan cakera berkembar serta angkup Brembo empat piston di hadapan dan cakera tunggal di belakang.

    Kelengkapan lain pada model ini adalah termasuk fork USD KYB 43 mm yang boleh dilaras sepenuhnya, monoshock belakang dengan larasan pra beban dan lantunan, rim 17 inci serta meter jenis digital.

     
     
  • Lebih 190 stesen minyak Petron sediakan bank makanan bagi bantu komuniti terjejas akibat pandemik

    Lebih 190 stesen minyak Petron sediakan bank makanan bagi bantu komuniti  terjejas akibat pandemik

    Lebih 190 pengusaha stesen minyak Petron telah mengambil bahagian untuk menganjurkan inisiatif ‘Jom Bantu Bank Makanan dan Meja Komuniti’ untuk komuniti yang terkesan akibat pandemik. Mengambil inspirasi daripada mesej “Ambil Bila Perlu, Sumbang Jika Mampu,” meja komuniti yang terletak di stesen minyak Petron ini bertujuan untuk memberi akses mudah keperluan asas kepada golongan yang memerlukan, di samping memberi peluang kepada orang lain untuk membantu sektor yang terkesan.

    “Ini merupakan tahun kedua kami menjalankan program bank makanan di stesen minyak kami. Kami gembira untuk bekerjasama dengan pengusaha kami dalam membantu komuniti dan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat kita. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami yang telah turut serta menyumbang dalam inisiatif ini,” kata Choong Kum Choy, Ketua Dagangan Runcit dan Perniagaan Komersial Petron Malaysia.

    Di Kota Kinabalu, Sabah, Petron Jalam Ulam North telah menyokong petani tempatan dengan membeli buah-buahan dan sayur-sayuran segar daripada mereka. “Kami membeli buah-buahan dan sayur-sayuran segar daripada petani di luar bandar untuk menyokong perniagaan tempatan. Kemudian kami berikan kepada orang yang memerlukan. Inisatif 2-dalam-1 ini merupakan cara kami untuk membantu orang ramai di kala pandemik ini,” kata Philomena Munag, pengusaha stesen Petron Ulam North.

    Di Kedah, Petron Jalan Lunas FI menawarkan sumbangan ayam kepada masyarakat. “Saya sangat menyokong inisiatif Bank Makanan Petron bagi membantu mereka yang memerlukan. Kami mendapat idea untuk memberi seekor ayam sebagai tambahan kepada makanan dalam tin dan stok makanan kering di bank makanan kami. Sekurang-kurangnya mereka dapat menikmati hidangan ayam bersama keluarga dan membuatkan wajah anak-anak mereka tersenyum lebar,” kata Mohamad Zaini bin Yahya, pengusaha Petron Jalan Lunas FI.

    Petron juga turut bekerjasama dengan KPJ Healthcare (KPJ) untuk membuka lapan bank makanan KPJ di stesen minyak Petron yang terpilih bagi meluaskan lagi jangkauan terhadap golongan yang memerlukan dalam inisiatif ini. Bank makanan KPJ yang pertama dibuka di Petron New Larkin pada 23 Julai dan telah mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat.

    Stesen-stesen minyak Petron di Johor turut bekerjasama dengan Kementerian Perdangangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk menjayakan program pengumpulan makanan di 10 stesen minyak Petron. Program oleh KPDNHEP ini mengajak orang ramai untuk menderma makanan dan barangan keperluan asas untuk disalurkan kepada kumpulan sasaran oleh KPDNHEP Negeri.

    “Kami berharap agar dapat menyampaikan bantuan kepada lebih ramai individu melalui jaringan usaha bersama pengusaha kami, KPJ, KPDNHEP Johor dan kakitangan kami supaya tiada siapa yang ketinggalan. Ini merupakan sumbangan kecil kami untuk membantu mengurangkan kesulitan mereka yang memerlukan. Kami turut bersama anda dan kami akan berusaha untuk terus membantu sebaik mungkin,” tambah Choong.

    Antara barangan keperluan asas yang diletakkan di meja komuniti berkenaan termasuklah beras, gula, garam, tepung, minyak masak, biskut, telur, mi, makanan dalam tin, makanan kering, tisu dan sabun berserta pelbagai barang keperluan yang lain. Bahan ini boleh diperolehi di stesen yang terlibat dan percuma kepada mereka yang memerlukan.

    Senarai penuh stesen yang menyediakan meja komuniti ini boleh didapati di laman web korporat Petron di www.petronmalaysia.com.my beserta perincian cara menderma.

     
     
  • Pengeluar kenderaan sasar angka jualan kenderaan akan dapat dipulihkan sepanjang baki 2021 — MAA

    Pengeluar kenderaan sasar angka jualan kenderaan akan dapat dipulihkan sepanjang baki 2021 — MAA

    Kini masa yang agak mencabar untuk industri automotif Malaysia, disebabkan kesan pandemik yang mengakibatkan penutupan sektor ekonomi serta PKP yang menyekat pergerakan orang ramai. Semua ini antara lain telah menyumbang kepada penurunan jualan kenderaan baru di negara ini. Persatuan Automotif Malaysia (MAA) baru-baru ini menjelaskan bahawa industri itu telah kehilangan sebanyak RM14 bilion bagi Jun dan Julai 2021.

    Menurut laporan The Star, anggaran MAA itu adalah berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, yang menunjukkan purata kerugian sebanyak RM12 bilion bagi jualan sebulan bagi kedua-dua kenderaan baru dan terpakai, kecuali motosikal.

    Dengan andaian kenderaan baru menyumbang sebanyak 60% daripada angka jualan, MAA menganggarkan kerugian jualan kenderaan baru bagi kedua-dua bulan itu adalah RM14.4 bilion keseluruhannya. Ambil maklum bahawa ini belum lagi mengambil kira kehilangan pendapatan daripada aktiviti eksport dan jualan alat ganti.

    Pengeluar kenderaan sasar angka jualan kenderaan akan dapat dipulihkan sepanjang baki 2021 — MAA

    Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad memaklumkan yang syarikat pengeluar kenderaan telah mengurangkan kos mereka sejak PKP pertama yang diperkenalkan pada Mac 2020. “Pemegang francais automtotif mungkin masih mampu bertahan, tetapi pengedar kenderaan yang mempunyai kos operasi yang tinggi dan masalah kewangan mungkin akan gulung tikar,” jelas beliau.

    Bagaimanapun, dengan kelonggoran beberapa aktiviti ekonomi yang diumumkan beberapa hari lalu, persatuan itu beserta ahlinya yakin bahawa industri ini akan dapat bangkit dan pulih bagi tempoh berbaki sepanjang tahun 2021 ini. Bulan lalu, persatuan itu menetapkan semula sasaran TIV kepada anggaran 500,000 unit berbandung ramalan asal dengan 570,000 unit yang diumumkan pada Januari. Angka terakhir setakat ini bagi tahun 2021 pada akhir Julai 256,215 unit.

    “Kini sektor automotif sudah boleh beroperasi semula, kami akan tetap dengan ramalan TIV 500,000 unit. Pengecualian SST yang akan berlangsung hingga akhir tahun ini juga akan membantu menaikkan jualan,” ujar Aishah.

    Pengeluar kenderaan sasar angka jualan kenderaan akan dapat dipulihkan sepanjang baki 2021 — MAA

    Beberapa pengeluar kenderaan di negara ini juga berkongsi pandangan yang sama, termasuk Honda yang memaklumkan bahawa syarikat itu mengalami penurunan jualan kenderaan sebanyak 52% bagi tempoh Mei hingga Julai. Berpandangan sekatan pergerakan tidah hanya melumpuhkan pengeluaran kenderaan, tetapi turut memberi kesan sama kepada rantaian bekalan yang lebih luas. Syarikat itu juga memastikan pematuhan SOP ketat di kilangnya di Melaka selepas dibenarkan beroperasi semula, dengan matlamat untuk memenuhi pesanan sedia ada secepat mungkin.

    CEO Kumpulan Naza, Datuk Nik Hamdam Nik Hassan pula berkata perniagaan automotif syarikat itu mengalami penurunan sebanyak 70% pada Julai. Beliau menambah, disebabkan itu syarikat mencari jalan lain untuk melayani pelanggan dan percaya permintaan dalam pasaran masih sihat.

    “Membeli dan menjual kini boleh dilakukan secara dalam talian. Walaupun ketika PKP, pekerja kami masih mampu berusan dengan pelanggan secara maya. Bagaimanapun, kaedah itu adalah terhad kepada sebehagian perkhidmatan sahaja, memandangkan pelanggan tetap mahu berkunjung ke bilik pameran untuk pengalaman yang lebih nyata,” ujar Nik Hamdan.

    Pengeluar kenderaan sasar angka jualan kenderaan akan dapat dipulihkan sepanjang baki 2021 — MAA

    “Dengan pemulihan ekonomoi, dan harapnya ia dipacu oleh kadar vaksinasi yang tinggi, kami boleh menjangkakan penegnalan model baru akan diumumkan. Kami ingin memanfaatkan tempoh tanpa SST hingga hujung tahun nanti,” tambahnya lagi.

    Bermaz Auto selaku pengedar kenderaan Mazda berkata terdapat kekurangan dalam bekalan alatan dan komponen tempatan, yang diburukkan lagi dengan kekurangan cip peringkat global. Masalah cip ini juga diakui dan dialami oleh Proton dan Mercedes-Benz Malaysia, yang menyebabkan kelewatan bagi penyerahan kenderaan kepada pelanggan. Bagaimanapun, kedua-dua syarikat telah berusaha untuk memastikan tempoh serahan itu dapat disegerakan, dan dalam masa sama telah juga memperkenalkan beberapa model baru untuk menggalakkan lagi rantaian aktiviti automotif keseluruhannya.

    Sementara itu, Presiden Toyota, Ravindran Kurusamy memaklumkan syarikat itu menerima angka tempahan yang menggalakkan bagi model barunya, dan akan menyambung semula operasi dengan giat untuk mengurangkan kesan terhadap perniagaannya serta pelanggan. “Setakat ini, tiada sebarang kesan terhadap perniagaan kami, dalam hal-hal berkaitan kekurangan cip di peringkat global,” tambahnya.

     
     
  • BMW Malaysia siar teaser SUV elektrik iX – boleh daftar minat, xDrive50 dan xDrive40 dalam senarai

    BMW Malaysia siar teaser SUV elektrik iX – boleh daftar minat, xDrive50 dan xDrive40 dalam senarai

    BMW Malaysia nampaknya sudah bersedia untuk melancarkan model iX tidak lama lagi kerana sudah dilihat memuat naik teaser ketibaan SUV elektrik penuh tersebut. Mereka yang berminat juga sudah boleh mula mendaftar di laman web mereka. iX diperkenalkan buat kali pertama pada November tahun lalu, sebelum ia muncul di laman web BMW Malaysia sebulan selepas itu.

    Ada dua varian yang dipaparkan pada halaman model tersebut, termasuk xDrive40 dan xDrive 50, tetapi mereka belum mengesahkan sama ada kedua-duanya akan tiba. Model iX xDrive50 telah mula dijual di Thailand dan ia dilengkapi dua motor elektrik (satu untuk setiap gandar), dengan kuasa 523 PS (516 hp atau 385 kW) dan 765 Nm tork, sekaligus membenarkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat.

    Sementara itu, tetapan dua motor pada xDrive40 pula menghasilkan kuasa 326 PS (322 hp atau 240 kW) dan 630 Nm tork, dengan pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan pada masa 6.1 saat. Laju maksimum kedua-dua varian adalah 200 km/j. Untuk jarak gerak, xDrive40 yang dilengkapi bateri lithium ion 71 kWh boleh memberikan jarak gerak 425 km sekali cas sementara xDrive50 dengan bateri 105.2 kWh pula boleh pergi sehingga 630 kWh.

    Walaupun dengan kapasiti bateri yang berbeza, kedua-dua iX ini datang terus dengan pengecas AC 11 kW, di mana dengan menggunakannya, bateri boleh penuh dalam masa lapan jam bagi xDrive 40 dan bawah 11 jam bagi xDrive50.

    Model ini juga boleh digunakan dengan pengecas pantas DC sehingga 200 kW, dan ia boleh menaikkan tahap bateri dari 10% ke 80% dalam masa sekitar 35 minit. Kadar pengecasan DC xDrive40 adalah lebih rendah, iaitu 150 kW, tetapi disebabkan kapasiti bateri yang lebih kecil, kadar pengecasan yang sama boleh dicapai dalam masa cuma 31 minit. Jika pengguna boleh menjumpai pengecas DC dengan output yang dinyatakan, mereka boleh mendapat jarak gerak 100 km selepas mengecas selama enam minit bagi xDrive50 dan lapan minit bagi xDrive 40.

    Kita boleh melihat pelbagai pilihan warna serta senarai kelengkapan untuk iX, tapi bagi model yang bakal tiba di Malaysia, setakat ini kita masih belum mengetahui bagaimana keadaan sebenarnya. Harga serta tarikh pelancaran sebenar juga masih belum diberitahu.

    GALLERY: BMW iX xDrive40


    GALLERY: BMW iX xDrive50 with Sport package

     
     
  • BMW C400X, C400GT 2021 kini di M’sia – dari RM45k

    BMW C400X, C400GT 2021 kini di M’sia – dari RM45k

    Skuter BMW C400X dan C400GT 2021 yang kini sudah mendapat penarafan emisi Euro 5 sudah tiba di Malaysia, dengan harga tidak termasuk insurans yang ditetapkan pada RM44,500 untuk C400X dan RM48,500 bagi C400GT.

    Peningkatan lain pada model tahun 2021 ini adalah sistem throttle-by-wire, yang dipanggil oleh BMW sebagai “E-Gas” di mana ia memberikan lebih stabiliti waktu melahu bersama penyampaian kuasa lebih lancar. Bagi aspek emisi, antara bahagian yang ditukar adalah catalytic convertor, sensor oksigen, serta sedikit modifikasi pada bahagian head.

    Walaupun skuter ini tidak mempunyai klac tangan, bahagian klacnya dipertingkat untuk memberikan maklum balas lebih baik apabila pendikit dipulas. Kuasa lantunan spring di dalam klac ini ditambah sementara kelajuan enjin ditingkatkan sedikit pada waktu klac kembali melekat.

    Penggerak utama skuter ini masih tidak berubah, di mana ia menggunakan enjin satu silinder penyejukan udara, OHC 350 cc yang mampu menghasilkan kuasa 34 hp pada 7,500 rpm dan 35 Nm tork pada 6,000 rpm. Sistem Stability Control C400 ini juga telah dirujuk semula manakala tuil brek dilaras semula untuk memberikan maklum balas lebih baik pada angkup dua piston di roda hadapan.

    Sekarang, fungsi BMW Connectivity dengan aplikasi BMW Connected diberikan standard pada C400, dan ia membenarkan penunggang menikmati pelbagai fungsi termasuk navigasi, pemain muzik serta membuat dan menjawab panggilan.

    Di bawah tempat duduk skuter ini terdapat ruang simpanan 31 liter, dan ia datang dengan soket USB serta soket kuasa 12V. Pilihan warna yang diberikan untuk pasaran Malaysia adalah Black Storm Style Triple Black, Callisto Grey dan Alpine White untuk C400GT sementara C400X pula ditawarkan hanya dalam warna Black Storm Style Triple Black.

    GALERI: BMW C400X 2021

    GALERI: BMW C400GT 2021

     
     
  • Proton Saga Knight Concept untuk Hari Merdeka 2021!

    Proton Saga Knight Concept untuk Hari Merdeka 2021!

    Sempena sebuah acara webinar anjuran Persatuan Pereka Perindustrian Malaysia (PEREKA) pada Hari Merdeka 31 Ogos nanti, Saharudin Busri dalam hasil rekaan konsep terbarunya memberi tumpuan pula kepada model Proton Saga Knight untuk dibayangkan semula.

    Walaupun rekaan 3D versi akhir untuk ini hanya akan didedahkan pada tarikh tersebut, beliau bagaimanapun telah menunjukkan teaser kepada rekaan tersebut. Projek ini dihasilkan untuk tujuan perkongsian berkaitan rekaan automotif, terutama dari segi teknik dan penggunaan perisian 3D.

    Menurut Saharudin, beliau memilih Proton Saga kerana ia model ikonik yang menjadi kebanggaan negara sejak dari awal lagi. Dan, sempena Hari Merdeka tahun ini, beliau merasakan waktunya sangat sesuai untuk membayangkan semula dan mengemaskini rekaan model lama tersebut untuk diberikan sentuhan kekinian yang lebih segar. Tidak ada versi yang lebih menarik untuk melakukan hal itu melainkan bagi versi Saga Knight aeroback yang paling sporty untuk model tersebut.

    Proton Saga Knight Concept untuk Hari Merdeka 2021!

    Untuk rekaan dalaman pula, Saharudin bekerjasama dengan sebuah syarikat jam tangan tempatan Artwist untuk menterjemahkan perincian daripada jam edisi terhad dengan tema hitam dan merah yang syarikat itu reka untuk kumpulan Wings. Ilham dari situ akan diterapkan untuk rekaan dalaman Proton Saga Knight Concept ini. Mengapa Artwist? Kerana pemilik syarikat berkenaan juga merupakan individu yang rapat dengan Saharudin ketika bertugas di Proton dahulu.

    Dari segi rekaan, banyak ciri-ciri utama Proton Saga yang asal masih dikekalkan. Cuma, hal yang banyak dibayangkan semula adalah untuk mengenakan rekaan tersebut dengan unsur dan teknologi moden untuk menjadikan penampilannya lebih bergaya.

    Antara yang jelas kelihatan dalam rekaan ini tentulah wajah depannya — dengan tumpuan kepada rekaan dan elemen lampu LED — yang memperlihatkan keserasian rekaan tersebut untuk Saga. Bahagian bukaan bawah bampar, walaupun hadir dengan tema hitam keseluruhannya, tetap diberikan perincian warna merah sebagai kontras.

    Proton Saga Knight Concept untuk Hari Merdeka 2021!

    Lampu LED dengan enam kiub setiap sisi, ditambah pula dengan jalur panjang LED yang mungkin boleh dianggap sebagai DRL yang merentang di keseluruhan lebar wajah depannya memberikan penampilan yang berbeza. Namun, jangan lupa, logo lama Proton masih dikekalkan.

    Rekaan belakangnya mungkin paling menarik untuk diperhatikan. Dengan potongan hatchback yang agak tinggi bahagian bumbung belakang, rekaan lampu LED dalam jalur panjang memberi bayangan rekaan itu memang ingin mengambil ilham dari banyak model-model semasa yang ada ketika ini, misalnya pernah kita lihat pada Porsche Macan. Untuk rekaan sepenuhnya, terus perhatikan ruang ini. Kami akan bawakan kepada anda sebaik sahaja ia didedahkan nanti.

     
     
  • Nissan Terra facelift dilancarkan di Thailand – terima lebih banyak ciri keselamatan, harga dari RM152k

    Nissan Terra facelift dilancarkan di Thailand – terima lebih banyak ciri keselamatan, harga dari RM152k

    Selepas tiga tahun Nissan Terra diperkenalkan di Thailand, kini SUV berasaskan pikap Navara itu telah pun dipertingkatkan. Jika di Timur Tengah, ia diperkenalkan pada November lalu dengan nama X-Terra.

    Bahagian hadapannya banyak diinspirasikan berdasarkan model facelift Navara dan Patrol. Beberapa ciri yang dipertingkatkan termasuklah gril V-motion yang lebih besar, lampu utama LED berbentuk-C dengan sepasang projektor berbentuk kuib ais (yang didakwa mampu meningkatkan kecerahan sehingga 34%), corong. udara tengah yang diposisikan sedikit atas dan juga lampu kabus menegak, serta corong fender hadapan tiruan.

    Ciri yang direka semula juga melibatkan bahagian belakang dengan lampu belakang yang dibentuk semula dan jaluran krom berbentuk lengkungan hingga ke lencananya dan juga plat nombor. Bahagian bampar juga diprofil semula, serta diletakkan reflektor yang lebih lebar sedikit ke bawah. Kini ia turut diberikan roda aloi dua-tona gaya-turbin bersaiz 18-inci secara standard.

    Nissan Terra facelift dilancarkan di Thailand – terima lebih banyak ciri keselamatan, harga dari RM152k

    Untuk bahagian dalamnya pula, kabinnya telah dipertingkatkan dengan elemen komprehensif termasuk papan pemuka yang diinspirasikan dari model Almera, berbeza dengan Navara, termasuk menampilkan lebih banyak switchgear. Tempat duduk juga telah dibentuk semula untuk lebih keselesaan, sementara brek parkir elektronik telah menggantikan brek tangan konvensional. Cermin hadapan dan juga cermin sisi hadapan pula telah diperbiat daripada kaca akustik untuk mengurangkan bunyi bising kabin – yang pertama dalam segmennya.

    Terra juga kini dilengkapi dengan skrin sesentuh sembilan-inci yang lebih besar untuk sistem infotainmen NissanConnect – dilengkaoi dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar – berbanding paparan lapan-inci, dengan paparan pelbagai-info tujuh-inci pada kluster instrumen untuk trak pikap.

    Lain-lain peningkatan termasuklah sistem bunyi Bose lapan-pembesar suara, monitor belakang yang boleh diterbalikkan ke bawah bersaiz 11-inci dengan HDMI, cermin pandang belakang digital, pengecas tanpa wayar Qi 15-watt dan lima port USB termasuk USB-C. Pintu belakang bebas-tangan pemasangan oleh wakil pengedar juga ditawarkan.

    Nissan Terra facelift dilancarkan di Thailand – terima lebih banyak ciri keselamatan, harga dari RM152k\

    Peningkatan yang paling impresif ialah jumlah kit keselamatan yang diberikan. Kesemua model dilengkapi dengan Nissan 360-Degree Safety Shield yang merangkumi brek kecemasan sendiri dan amaran ketibaan lorong. Untuk model spesifikasi penuh VL pula ditambah dengan pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang. dan sistem kemera 360 darjah dengan Pengesan Objek Bergerak (MOD). Enam beg udara dan kawalan kestabilan diberikan secara standard.

    Hanya ada satu saja pilihan enjin yang ditawarkan iaitu unit YS23DDTT 2.3 liter pengecas turbo-berkembar diesel, yang mampu memberikan kuasa hingga 190 PS pada 3,750 rpm dan tork 450 Nm antara 1,500 dan 2,500 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear automatik tujuh-kelajuan, dengan VL turut ditawarkan dengan pacuan semua-roda dan
    locking rear differential.

    Harga untuk barisan Nissan Terra facelift ini adalah dari 1,199,000 baht (RM152,300) untuk model asas E 2WD hingga 1,499,000 baht (RM190,400) untuk varian tertinggi VL 4WD. Empat pilihan warna diberikan – White Pearl, Brilliant Silver, Black Star dan Twilight Gray – dengan varian VL turut menerima dua lagi warna tambahan iaitu Forged Copper dan Coulis Red. Varian ini juga menerima sama ada skim warna dalaman beige atau burgundy.

     
     
  • Proton Persona dibayangkan dengan rupa lebih sporty

    Proton Persona dibayangkan dengan rupa lebih sporty

    Bulan lalu kita telah menyaksikan kemunculan Proton Persona facelift, yang diberikan pelbagai perubahan rupa, kelengkapan serta barisan varian yang dirujuk semula. Walaubagaimanapun, tidak seperti Iriz, sedan segmen B ini tidak mendapat varian yang betul-betul menyerlah seperti Iriz Active. Tapi kalau ada, bagaimana rupanya agaknya?

    Bagi mereka yang tertanya-tanya, ini dia jawapan yang diberikan oleh pakar ubah suai digital, Theophilus Chin. Beliau telah menghasilkan sebuah Persona facelift, dengan rupa yang lebih sporty dan menggunakan bampar daripada Toyota GR Yaris.

    Menambahkan lagi tarikannya, bahagian bonet diletakkan dengan skup udara, memberi idea seakan bahagian enjin juga diubah suai dengan terdapat intercooler di atas. Bahagian fender pula ditambah dengan kemasan seperti Iriz Active, dan menggunakan warna sama dengan badan. Kemudiannya kedudukan kereta ini direndahkan dan dipasang dengan rim serta brek yang diambil juga daripada GR Yaris.

    Untuk bahagian belakang pula, Theo telah meletakkan sayap besar, yang nampaknya seperti diambil daripada Subaru WRX STI manakala muncung ekzos berkembar bersama kemasan diffuser di bawah diambil daripada GR Yaris. Melengkapkan rupanya, kemasan pada beberapa bahagian seperti gril, cermin sisi, lampu depan, lampu belakang, bawah skirting dan panel but dicat warna hitam, termasuk juga bumbung.

    Jadi, apa pendapat anda dengan rekaan daripada Theo ini? Apa lagi yang mahu diubah? Adakah siapa-siapa yang suka dengan rekaan ini dan akan cuba menghasilkan kit yang sebenar? Cuba anda beritahu di ruangan komen.

     
     
  • Pengecas kereta elektrik mudah alih buatan anak Malaysia – mampu tambah jarak gerak sekitar 15 km

    Pengecas kereta elektrik mudah alih buatan anak Malaysia – mampu tambah jarak gerak sekitar 15 km

    Range anxiety atau perasaan sentiasa bimbang akan bekalan kuasa sama ada boleh bertahan atau tidak sampai ke destinasi masih menjadi antara faktor mengapa orang masih tidak mahu memiliki kereta elektrik sepenuhnya (EV). Maklumlah, akses untuk mengecaj kereta berkenaan masih lagi belum semudah akses kepada stesen minyak, dan mengecaj kereta elektrik juga masih akan mengambil masa yang lama.

    Jika kereta elektrik ini ‘tersadai’ di tepi jalan kerana kehabisan kuasa, satu-satunya opsyen yang boleh dibuat sekarang adalah dengan menghubungi trak tunda. Tidak seperti kereta petrol atau diesel yang berhadapan masalah sama, kita boleh menghubungi rakan atau ‘menapak’ sendiri ke stesen minyak berhampiran bagi membeli bahan api dan mengisinya ke dalam tong, atau paling bagus menggunakan jerry can yang sememangnya dibuat untuk tujuan itu.

    Jadi, masalah ini telah memberi idea kepada peminat kereta elektrik tempatan, Datuk Abdul Ghaffar Ramli bagi menghasilkan satu inovasi yang digelar EV Jerry Can, iaitu satu alat yang memudahkan kereta elektrik yang kehabisan kuasa ketika dalam perjalanan ‘diselamatkan’ tanpa perlu memanggil trak tunda.

    Datuk Abdul Ghaffar pernah bertugas sebagai pegawai penyelidik di Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail (PUSPATI) dengan memulakan perkhidmatannya pada tahun 1979. Beliau kemudiannya dilantik sebagai ketua program teknologi nuklear pada tahun 1984.

    Pengecas kereta elektrik mudah alih buatan anak Malaysia – mampu tambah jarak gerak sekitar 15 km

    Beliau juga pernah memegang jawatan pengarah pusat sains dan teknologi pertahanan, dan kemudian dilantik sebagai ketua pengarah di Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan (STRIDE) pada 2002, sehingga bersara pada tahun 2013.

    Projek EV Jerry Can ini dimulakan oleh Datuk Abdul Ghaffar bermula pada Jun lalu, ketika dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh dan ia dibangunkan sepenuhnya dengan dananya sendiri. Secara asasnya, alat berkenaan adalah “power bank yang sangat besar” untuk kereta elektrik, dan prototaip berkenaan didedahkan kepada komuniti peminat kereta elektrik secara dalam talian.

    EV Jerry Can tersebut dihasilkan dengan saiz lebih kurang bagasi troli pesawat. Di dalamnya terdapat sel-sel bateri 32650 LFP (lithium besi fosfat), dan ia boleh dicaj dengan pengecaj 500 W bagi memenuhkan kapasiti maksima 2.4 kWj dalam masa lima jam.

    Hubungan kepada kereta elektrik pula menggunakan protokol CEE 16, yang kemudiannya dihubungkan kepada EVSE mudah alih dan sama ada penghubung Type 1 atau Type 2, bergantung kepada sistem yang digunakan pada kereta berkenaan. Datuk Abdul Ghaffar sendiri memiliki Renault Zoe EV yang menggunakan penghubung jenis Type 2.

    Pengecas kereta elektrik mudah alih buatan anak Malaysia – mampu tambah jarak gerak sekitar 15 km

    Walaupun pek bateri berkenaan mempunyai kadar 2.4 kWj, menurut Datuk Abdul Ghaffar beliau tidak dapat mengecas secara maksimum kerana terdapat sel yang bermasalah. Namun penilaian awal menunjukkan penukaran dari AC ke DC berkesan sebanyak 82%, atau sekitar 2 kWj. Dengan kadar penggunaan tenaga Zoe adalah 140 Wj setiap km, jumlah 2 kWj dalam Jerry Can tersebut sepatutnya membolehkan kereta tersebut bergerak sekitar 14 hingga 15 km.

    Jarak 14 hingga 15 km berkenaan sudah tentu memang tidak banyak, tetapi ia mungkin cukup untuk bergerak ke punca kuasa yang lebih besar di lokasi berdekatan. Selepas ini, Datuk Abdul Ghaffar bakal menghasilkan satu pek bateri baharu yang akan menggunakan 16 sel bateri prismatik (berbanding 128 sel bateri silinder 32650 pada unit sedia ada) dengan berat 35.4 kg.

    Pek bateri kedua tersebut tidak mempunyai inverternya sendiri, tetapi akan digandingkan pek bateri sedia ada. Beliau mensasarkan pek bateri kedua berkenaan untuk mencapai kapasiti 2.5 kWj serta memberikan penjimatan berat sebanyak 28 kg, berbanding sasaran kapasiti 2 atau 5 kWj sebelum ini yang mungkin memberikan berat keseluruhan 37 kg.

    Secara teorinya, ia bakal memberikan kapasiti bateri keseluruhan 4.9 kWj dan secara tidak langsung akan menggandakan jarak 14 hingga 15 km sedia ada kepada sekitar 30 km dengan pek bateri kedua ini. Walau bagaimanapun, keseluruhan kuasa tersebut tidak boleh digunakan sekaligus, tetapi perlu secara berturutan.

    Pengecas kereta elektrik mudah alih buatan anak Malaysia – mampu tambah jarak gerak sekitar 15 km

    Menurut Datuk Abdul Ghaffar, ini adalah untuk tujuan keselamatan kerana jumlah voltan dalam kedua-dua pek bateri berkenaan mungkin berbeza.

    Setakat ini pembangunan pek bateri EV Jerry Can ini telah pun menelan belanja sebanyak RM3,500. Namun adakah Datuk Abdul Ghaffar bercadang untuk menjualnya dalam pasaran? “Saya tak berniat untuk mengkomersilkannya, namun saya ada berbincang dengan beberapa syarikat untuk melihat adakah mereka berminat,” katanya

    Beliau turut mempertimbangkan untuk menyewakan EV Jerry Can ini kepada syarikat-syarikat yang menjalankan perkhidmatan pembaikan tepi jalan. “Ia mungkin lebih murah dari menunda,” katanya.

     
     
  • Rapid KL umum penutupan sementara 15 stesen LRT, 8 MRT dan kesemua Monorel esok, 9 pagi-3 petang

    Rapid KL umum penutupan sementara 15 stesen LRT, 8 MRT dan kesemua Monorel esok, 9 pagi-3 petang

    Rapid KL telah mengumumkan pentupan sementara sejumlah besar stesen tren esok, 21 Ogos 2021, iaitu dari jam 9 pagi hingga 3 petang, dan difahamkan ia adalah untuk “memelihara keselamatan awam”.

    Sejumlah 15 buat stesen LRT, lapan stesen MRT, dan kesemua stesen Monorel akan ditutup sepanjang tempoh itu. Ia melibatkan laluan masuk/keluar dan ke/dari pusat bandar Kuala Lumpur.

    Bagi stesen LRT Laluan Ampang dan Sri Petaling, stesen yang terlibat ialah Chan Sow Lin, Hang Tuah, Masjid Jamek, Sultan Ismail, Pudu, Plaza Rakyat, Bandaraya dan Cheras. Manakala stesen LRT Laluan Kelana Jaya pula termasuklah Kampung Baru, Masjid Jamek, KL Sentral, Abdullah Hukum, Dang Wangi, Pasar Seni dan Bangsar. Rapid KL juga memaklumkan Kaunter Kad Konsesi MyRapidKL di LRT Pasar Seni juga ditutup.

    Manakala stesen MRT yang terlibat pula ialah Taman Pertama, Cochrane, Bukit Bintang, Pasar Seni, Maluri, Tun Razak Exchange (TRX), Merdeka dan Muzium Negara. Malah kesemua stesen KL Monorel juga ditutup sepanjang tempoh itu. Walau bagaimana pun, menurut Rapid KL, untuk stesen yang tidak disebutkan, akan kekal beroperasi seperti biasa.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025