Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BMW M4 Competition Convertible G83 dengan MxDrive diperkenal – kini guna bumbung jenis fabrik, 510 PS

    BMW M4 Competition Convertible G83 dengan MxDrive diperkenal – kini guna bumbung jenis fabrik, 510 PS

    Selepas M3 dan M4 baru diperkenalkan September tahun lalu, kini BMW memperkenalkan pula varian bumbung boleh buka bagi M4. Dipanggil sebagai M4 Competition Convertible dengan M xDrive, pengeluarannya akan bermula Julai ini di kilang BMW Dingolfing, diikuti jualan tidak lama selepas itu.

    Melihat kepada prestasi, M4 Convertible baru ini mengambil masa 3.7 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j, sekaligus menjadikan ia 0.2 saat lebih pantas berbanding M4 CS sebelm ini, tetapi 0.2 saat lebih perlahan berbanding model G82 dengan M xDrive. Mengambil kira laju maksimum pula model G83 baru ini boleh mencecah kelajuan 250 km/j dalam keadaan asal, tetapi apabila ditambah dengan M Driver’s Package ia boleh naik menjadi 280 km/j.

    Jumlah ini didapati hasil daripada penggunaan enjin sama seperti M3 sedan dan coupe, iaitu unit enam silinder selari twin-turbo 3.0 liter S58B30T0 yang dipadankan bersama transmisi automatik M Steptronic lapan kelajuan serta sistem pacuan semua roda M xDrive untuk menghasilkan kuasa 510 PS (503 hp) dan 650 Nm tork.

    Dalam kebanyakan masa, sistem pacuan semua roda model ini menghantar lebih kuasa kepada roda belakang, dan di dalam transfer case terdapat klac yang dikawal secara elektronik untuk mengawal pembahagian kuasa ini. Active M Differential pula mengawal pembahagian tork untuk mengimbangi semula sekiranya ada roda yang kehilangan cengkaman. Pemandu juga boleh mengaktifkan mod 2WD dan sistem DSC akan dimatikan secara terus.

    BMW M4 Competition Convertible G83 dengan MxDrive diperkenal – kini guna bumbung jenis fabrik, 510 PS

    Lebih mudah, butang M Mode dapat digunakan untuk menukar pelbagai mod yang disediakan, dan pemandu boleh melaras sendiri program untuk butang M pada roda stereng. Kemampuan melaras ini bukan setakat untuk maklum balas enjin dan transmisi, tetapi juga stereng, suspensi adaptif, DSC dan rasa pedal brek. Jika mahukan lebih lagi, anda boleh mendapatkan pakej M Drive Professional yang memberikan mod Track, M Drift Analyser, M Laptimer dan M Traction Control.

    Tidak seperti model sebelumnya, G83 ini menggunakan bumbung jenis fabrik, bukannya jenis keras, dan ia adalah 40% lebih ringan. Bumbung ini ditawarkan dalam warna hitam atau perak, dan dikatakan dapat memberi keselesaan akustik dan termal yang lebih baik berbanding rekaan bumbung kain biasa yang lain dan tidak mengambil banyak ruang.

    BMW memberitahu, terdapat ruang simpanan 300 liter di belakang apabila bumbung diturunkan, dan ini adalah 80 liter lebih besar berbanding model F83 sebelum ini. Apabila bumbung dinaikkan pula, ia menjadi 385 liter. Masa yang diambil untuk membuka dan menutup bumbung ini adalah 18 saat, dan ia boleh dilakukan pada kelajuan sehingga 50 km/j.

    Selain daripada bumbung, b-pillar dan bahagian penutup but yang direka semula, bahagian lain model ini sama sahaja seperti M4 Coupe. Ini termasuklah rekaan gril berwarna hitam, lampu, sirip tepi, lampu belakang, diffuser serta muncung ekzos yang berwarna krom gelap.

    M4 Convertible ditawarkan dalam lapan warna, termasuklah Sao Paulo Yellow, Toronto Red dan Isle of Man Green, sementara pilihan lain tersedia melalui program BMW Individual. Selain daripada itu, pelanggan juga boleh memilih penutup cermin sisi yang sama warna dengan badan serta muncung ekzos krom, sementara pakej M Carbon luar pula memberikan kemasan gentian karbon pada bukaan udara hadapan, pelindung cermin sisi dan diffuser belakang.

    Lengkuk roda yang lebih menonjol pada M4 Convertible ini menempatkan rim M 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang, seterusnya menjadikan ia 17 mm lebih lebar (1,887 mm) berbanding model sebelum ini, sementara lebar pula lebih 40 mm berbanding 4 Series Convertible. Dibandingkan pula dengan F83, G83 ini mencatat ukuran panjang 4,794 mm (+122 mm), tinggi 1,395 mm (+8 mm) dan jarak roda 2,857 mm (+45 mm).

    Bahagian dalam masih mempunyai empat tempat duduk, seperti G82 sekarang, sementara bahagian kabin pula lebih menyamai model coupe. Barangan standard yang diberi termasuk sistem Live Cockpit Professional khas M dan tempat duduk M Sport dengan logo M4 menyala dan balutan kulit Merino.

    BMW M4 Competition Convertible G83 dengan MxDrive diperkenal – kini guna bumbung jenis fabrik, 510 PS

    Bermacam lagi kelengkapan tambahan ditawarkan oleh BMW untuk menambah seri di bahagian dalam, termasuklah kemasan gentian karbon, tempat duduk bucket M Carbon, Open Air Package, pemanas tengkuk, liang udara pada tempat duduk, kawalan suhu tiga zon, sistem bunyi Harman Kardon 16 pembesar suara, Comfort Access, head-up display dan lampu suasana.

    Ada di antara barangan ini, seperti tempat duduk dan kemasan gentian karbon diberikan sekali dalam pakej M Race Track, yang turut menyediakan brek seramik M Carbon dan rim M (25 kg lebih ringan) yang boleh dipilih bersama tayar semi slick.

    Sebagai sebahagian daripada pilihan tambahan Driving Assistant Professional, BMW turut menawarkan Steering and Lane Control Assistant, bersama Active Navigation dan Emergency Lane Assistant. Reversing Assistant pula termasuk dalam pakej Parking Assistant.

     
     
  • PKP 3.0: Bilangan SJR dipertingkatkan dengan kini 567 lokasi, pemantauan turut diperkasakan – PDRM

    PKP 3.0: Bilangan SJR dipertingkatkan dengan kini 567 lokasi, pemantauan turut diperkasakan – PDRM

    Susulan tindakan kerajaan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) meningkatkan pemantauan dalam memastikan orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan.

    Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, PDRM menerusi semua kontijen negeri di seluruh negara menambah bilangan sekatan jalan raya serta pasukan pemantauan SOP susulan arahan dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi tujuan itu.

    “Bermula semalam, kita menambah 51 sekatan jalan raya di seluruh negara kepada 576 sekatan berbanding 525 sekatan didirikan bagi melaksanakan PKP 3.0 sejak 12 Mei lalu. Penambahan bilangan sekatan jalan raya ini diperkuatkan dengan penambahan kekuatan anggota yang ditugaskan di semua sekatan jalan raya iaitu kepada 10,114 anggota berbanding 9,391 anggota sebelum ini,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Tambah beliau, bilangan pasukan pemantauan pematuhan SOP turut ditambah daripada 3,103 pasukan sebelum ini kepada 3,503 pasukan.

    PKP 3.0: Bilangan SJR dipertingkatkan dengan kini 567 lokasi, pemantauan turut diperkasakan – PDRM

    “Penambahan pasukan ini bagi membolehkan lebih banyak operasi pemantuan SOP dilaksanakan untuk memastikan orang ramai termasuk semua sektor sosial dan sektor ekonomi mematuhi SOP PKP terbaharu yang ditetapkan.

    “Kita minta semua pihak terus mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha kita memutuskan rantaian wabak COVID-19,” katanya.

    Sebelum ini, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim dilaporkan berkata langkah menambah sekatan jalan raya bertujuan membuat semakan lebih teliti ke atas pengguna jalan raya yang melakukan pergerakan rentas daerah dan negeri selain menyekat sebarang pergerakan tanpa kebenaran.

    Katanya, anggota bertugas di sekatan jalan raya akan membuat semakan lebih teliti termasuk ke atas pengguna jalan raya bertujuan untuk bekerja, walaupun mereka ada surat daripada majikan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

    Ini termasuk mereka yang mempunyai permit pergerakan PKP daripada polis untuk tujuan kecemasan atau pasangan jarak jauh (PJJ) atau tujuan lain yang dibenarkan, akan disemak lebih teliti kerana kita tidak mahu berlaku penipuan.

     
     
  • Perodua Alza D27A terbaru dijangka diperkenalkan hujung 2021, kata vendor — guna DNGA, turbo?

    Perodua Alza D27A terbaru dijangka diperkenalkan hujung 2021, kata vendor — guna DNGA, turbo?

    Kehadiran Perodua Alza generasi terbaru telah selalu diperkatakan, dan kini vendor Perodua memaklumkan bahawa MPV berkenaan, dengan kod nama D27A, dijangka akan diperkenalkan menjelang hujung tahun ini. Syarikat berkenaan, Sapura Industrial Berhad (SIB) memaklumkan pihaknya kini sedang membangunkan bahagian untuk D27A tersebut.

    “Kami kini dalam fasa pembangunan beberapa bahagian untuk model gantian Alza (D27A) yang dijangka akan dilancarkan penghujung 2021. Kami juga diminta untuk membekalkan Case Differential Assembly oleh Akashi Kikai Industri Malaysia, vendor Tier-1 bagi model transmisi Perodua, yang diramal untuk pengeluaran massa pada Disember 2021,” jelas SIB di dalam laporan tahunan 2021 syarikat itu.

    Inilah petunjuk paling sahih terhadap Perodua Alza generasi terbaru yang kita tahu ketika ini. Apa pun, itu mungkin jangka waktu yang diberikan ke atas vendor-vendor Perodua untuk membekalkan alatan, dan keadaan juga mungkin tertakluk kepada situasi semasa Covid-19. Namun, inilah gambaran jangka masa yang diberikan, dan Perodua biasanya akan mengikuti perancangan telah dibuat.

    Perodua Alza D27A terbaru dijangka diperkenalkan hujung 2021, kata vendor — guna DNGA, turbo?

    Kereta konsep Daihatsu yang kita lihat beberapa tahun sebelum ini akhirnya perlahan-lahan menjadi realiti. DN Trec yang ditunjukkan ketika Tokyo Motor Show 2017 telah menjadi model produksi bagi Daihatsu Rocky/Toyota Raize/Perodua Ativa. Kemudian ada pula model konsep DN Multisix yang pertama kali dilihat di GIIAS Indonesia awal tahun yang sama. Model itu dirasakan menjadi petunjuk kepada Daihatsu Xenia/Toyota Avanza.

    Perodua Alza ketika ini akan menjangkau usia 12 tahun, dan menggunakan model JDM Daihatsu Boon Luminas atau Toyota Passo Sette. Ia model unik untuk pasaran ASEAN, memandangkan model umum MPV Daihatsu/Toyota di rantau ini ialah Avanza (Daihatsu Xenia di Indonesia).

    Perodua Alza D27A terbaru dijangka diperkenalkan hujung 2021, kata vendor — guna DNGA, turbo?

    Penghujung tahun 2019 lalu, Perodua dilihat sedang menguji Mitsubishi Xpander, Suzuki Ertiga dan “Toyota Avanza” yang sedikit asing di Genting Highland. Ketika itu spekulasi tentang akan adanya Alza generasi baru yang berkongsi platform dengan Avanza baru, memandangkan Daihatsu di Indonesia dan Perodua di Malaysia adalah sebahagian daripada keluarga besar Toyota.

    Tahun lalu juga ada laporan dari Jepun yang mengatakan Avanza terbary akan menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), dan akan memanfaatkan enjin 1.0 liter turbo serta pilihan untuk unit 1.2 liter hibrid. Kemungkinan ini juga bukanlah terlalu asing, kerana Ativa sudah pun menggunakan platform DNGA berkenaan. Hibrid? Jangan lupa Perodua pernah mempamerkan teknologi berkenaan ketika KLIMS 2018 sebelum ini.

     
     
  • Tren LRT yang bertembung telah berjaya dikeluarkan, operasi siap lebih cepat dari jadual – Wee Ka Siong

    Tren LRT yang bertembung telah berjaya dikeluarkan, operasi siap lebih cepat dari jadual – Wee Ka Siong

    Menteri Pengangkutan, Dr Wee Ka Siong pagi ini telah mengesahkan bahawa dua tren LRT yang terlibat dalam kemalangan yang berlaku di dalam terowong berhampiran Stesen KLCC 24 Mei lalu telah pun berjaya dikeluarkan oleh Team Recovery Rapid Rail.

    Menerusi kenyataan yang dibuat pada hantaran laman Facebook rasmi menteri berkenaan, beliau telah menerima laporan daripada pasukan tersebut pada jam 5.24 pagi tadi, dan kerja-kerja tersebut telah disiapkan lebih awal dari tempoh 3 hari yang dijanjikan setelah bekerja 3 shif tanpa henti.

    Laporan itu turut menyebut bahawa tren TR40 telah selamat sampai ke Subang depoh pada jam 3.45 pagi manakala tren TR81 pula telah sampai di Gombak tail track pada jam 4.51 pagi. Pihak Prasarana akan menumpukan kepada kerja-kerja pembaikan laluan dari Stesen Kg Baru ke Stesen KLCC.

    Walau bagaimanapun, Team Recovery terpaksa “Power Down” (menutup pembekalan kuasa) untuk seluruh laluan rel yang terlibat iaitu dari Stesen Dang Wangi ke Stesen Damai yang mana ianya melibatkan 5 buah stesen LRT sepanjang laluan akibat daripada “power down”.

    Lima buah stesen LRT yang terlibat tersebut ialah Damai, KLCC, Ampang Park, Kg Baru & Dang Wangi. Sebaik sahaja kerja pembaikan laluan berkenaan selesai, pemeriksaan oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam (APAD) akan bermula untuk mengesahkan tahap keselamatan penggunaan landasan tersebut.

    “Untuk pengoperasian LRT pada hari ini, memandangkan kesan “power down” dan juga masih terdapat satu landasan yang ditutup selepas kejadian, maka terdapat “bottleneck” kerana hanya beroperasi dengan satu landasan dari Stesen Damai ke Stesen Pasar Seni (7 buah stesen LRT) & masa yang diambil untuk sesebuah tren melalui laluan berkenaan adalah 16 minit. Akan tetapi, kaedah “platoon” akan digunakan bagi 2 tren memasuki landasan ke arah yang sama untuk mengurangkan kesan bottleneck,” kata Wee.

    Tren LRT yang bertembung telah berjaya dikeluarkan, operasi siap lebih cepat dari jadual – Wee Ka Siong

    Beliau juga dimaklumkan bahawa 58 tren LRT untuk Laluan Kelana Jaya akan beroperasi sepenuhnya tanpa pengurangan frekuensi sepertimana yang saya umumkan semalam selepas melawat OCC.

    “Saya memberi jaminan bahawa pihak Prasarana akan bertungkus-lumus membaiki landasan pada hari ini agar perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

    “Apabila landasan siap diperbaiki, tiada lagi kesan bottleneck dan perkhidmatan LRT akan beroperasi pada tahap 50% kapasiti seperti yang disyaratkan sepanjang PKP3.0 dengan SOP diperketatkan sehingga 7 Jun 2021 tanpa mengurangkan frekuensinya seperti kenyataan media saya pada 22 Mei 2021,” jelas menteri berkenaan lagi.

    Dalam kejadian yang berlaku pada Isnin malam lalu tersebut, seramai 47 penumpang cedera parah termasuk enam kritikal yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur, sementara 166 yang lain cedera ringan.

     
     
  • PKP 3.0: Tiada SOP larang keluar sebelum jam 8 pagi

    PKP 3.0: Tiada SOP larang keluar sebelum jam 8 pagi

    Beberapa hari yang lepas tular di laman media sosial, apabila ada yang mendakwa orang ramai tidak dibenarkan keluar rumah sebelum jam 8 pagi. Ia berikutan video berdurasi 29 saat yang ditularkan di Twitter membabitkan seorang pemandu sebuah kereta ditahan anggota trafik dalam sekatan jalan raya di Jalan Persiaran Anggerik Eria, Seksyen 31, Shah Alam.

    Walau bagaimana pun, perkara ini disangkal oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Menurut PDRM, tiada prosedur operasi standard (SOP) yang mengeluarkan larangan berkenaan. Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata menerusi video itu, terdapat perbualan antara anggota trafik dan pemandu terbabit, laporan Berita Harian.

    “Anggota trafik itu bertanyakan mengenai surat pergerakan serta tujuan pemandu itu keluar. Malah turut menerangkan SOP pergerakan PKP, bagaimanapun tiada sebarang kompaun dikeluarkan kepada pemandu berkenaan.

    “Kita ingin menegaskan bahawa tiada SOP yang menyatakan kenderaan tidak boleh berada di atas jalan raya bermula jam 8 malam hingga 8 pagi. Segala kesulitan serta salah faham amat dikesali,” katanya.

    Justeru, diharap orang ramai berhenti dari terus menyebarkan berita yang tidak sahih. Dapatkan pengesahan dari pihak berkenaan untuk sesuatu isu mahu pun perkara yang berkaitan agar ia tidak mencetuskan panik atau kegusaran di kalangan kita.

     
     
  • Nabila Tejpar pandu Proton Iriz R5 di Kejuaraan Rali Eropah 2021, dibantu Matt Edwards sebagai juruarah

    Nabila Tejpar pandu Proton Iriz R5 di Kejuaraan Rali Eropah 2021, dibantu Matt Edwards sebagai juruarah

    Setelah kempunan untuk memulakan Kejuaraan Rali British musim lalu dengan Proton Iriz R5, juara Rali British Wanita untuk musim 2017 dan 2018, Nabila Tejpar nampaknya mendapat peluang lebih besar di mana dia telah mengesahkan penyertaannya pada Kejuaraan Rali Eropah (ERC) 2021 dengan memandu jentera dari Proton Motorsport berkenaan.

    Cabaran Nabila akan bermula di pusingan pertama 2021 di Rally Poland yang akan bermula pada 18 hingga 20 Jun ini. Dan bagi membantu transisi Nabila dari kereta pacuan hadapan Peugeot 208 R2 kepada jentera lebih berkuasa Proton Iriz R5 yang menjana 350 hp serta pacuan semua roda, dia akan bergandingan dengan juara Kejohanan Rali British (BRC) dua-kali, Matt Edwards sebagai juruarah.

    Nabila Tejpar yang kini berumur 27 tahun sepatutnya memulakan memandu Proton Iriz R5 tersebut di rali West Cork, Clacton, Ypres dan Ulster dalam BRC musim lalu, namun kejohanan berkenaan dibatalkan seluruh musim selepas hanya berjaya melangsungkan pusingan pertama di Rali Cambrian akibat pandemik Covid-19.

    “Ini merupakan saat kembali semula ke tempat duduk pemandu yang mengujakan buat saya selepas tidak beraksi untuk tempoh 12 bulan kerana pandemik,” kata Nabila.

    “Ini sememangnya satu daripada cabaran terbesar yang pernah saya hadapi dalam karier dan saya tak fikir apa pun berkenaannya akan mudah sama sekali. Tetapi saya rasa ini merupakan masa yang sesuai untuk saya cuba dan paksa diri saya dan karier kehadapan serta menggunakan jentera R5 terkini seperti Proton pada siri seperti Kejuaraan Rali Eropah merupakan halatuju yang betul untuk saya sekarang,” tambahnya lagi.

    Ini bukan pertama kali Nabila bertanding di ERC. Pada 2019 dia berlumba di kejohanan tersebut di pusingan terpilih seperti Canaries, Poland, Republik Czech dan Hungary tetapi dalam kategori lebih rendah iaitu R2 dengan Peugeot 208.

    Nabila Tejpar pandu Proton Iriz R5 di Kejuaraan Rali Eropah 2021, dibantu Matt Edwards sebagai juruarah

    “Memang sentiasa ada dalam perancangan untuk saya naik ke R5 dan dengan kaitan Asia kepada jenama Proton di Malaysia ini merupakan pilihan yang sempurna buat saya,” kata Nabila.

    “Saya telah sekali dua menguji kereta ini dan ia agak baik dan saya terus berasa seperti di ‘rumah’. Malah, dalam berberapa perkara, ia adalah lebih mudah untuk dipandu dari Peugeot, sangat mudah untuk dikawal dan memberikan respon,” katanya lagi.

    Nabila turut menyatakan bahawa untuk musim kali ini, dia tidak mengharapkan keputusan yang besar tetapi lebih kepada mencabar diri sendiri serta belajar sebanyak yang mungkin untuk digunakan pada masa hadapan.

    Dalam perkembangan berkaitan, Proton Motorsport yang diwakili oleh Mellors Elliot Motorsport turut telah mengesahkan penyertaan mereka dalam BRC 2021 yang akan bermula hujung minggu ini. Proton Iriz R5 pasukan rasmi berkenaan bakal dipandu oleh pemandu utama mereka iaitu Oliver Mellors bersama juruarah Max Freeman.

     
     
  • Harga minyak 27 Mei-2 Jun – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 27 Mei-2 Jun – Semuanya dikekalkan

    Kementerian Kewangan memaklumkan untuk minggu bertarikh 27 Mei hingga 2 Jun 2021, tiada sebarang perubahan harga untuk ketiga-tiga bahan api utama di negara ini.

    Di mana petrol RON 97 masih kekal pada harga RM2.61 seliter, tidak berubah seperti minggu lalu. Manakala petrol RON 95 masih berada pada paras harga siling iaitu RM2.05 seliter, sejak Februari lalu.

    Manakala harga diesel Euro B10/B20 pula kekal pada RM2.15 seliter, begitu juga dengan gred Euro 5 B7 masih berharga RM2.25 seliter.

    Semua harga ini efektif mulai 12.01 tengahmalam ini sehingga Rabu hadapan, 2 Jun 2021. Memandangkan kes positif COVID-19 kian meningkat di negara kita, dan kerajaan masih tidak menetapkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya untuk ‘musim ketiga’ ini, justeru, marilah kita mengambil inisiatif sendiri untuk mengamalkan ‘lockdown’ kendiri, terus berada di rumah masing-masing dan hanya keluar sekiranya perlu sahaja. #kitajagakita

     
     
  • PKP 3.0: Bilik pameran, pusat servis dan alat ganti (3S dan 4S) boleh buka, tapi pandu uij tidak dibenarkan

    PKP 3.0: Bilik pameran, pusat servis dan alat ganti (3S dan 4S) boleh buka, tapi pandu uij tidak dibenarkan

    Kerajaan telah pun mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) untuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat bermula hari ini berikutan kes positif jangkitan Covid-19 harian yang semakin membimbangkan.

    Walaupun semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi, ada pelbagai perkara yang diperketatkan dalam pelbagai industri termasuk automotif. Berdasarkan SOP yang telah pun dikeluarkan berkenaan, fasiliti-fasiliti pengedar dibenarkan dibuka, tetapi hanya untuk pusat yang menawarkan jualan, servis dan juga alat ganti (3S).

    Kerajaan juga menggalakkan pengedar-pengedar tersebut untuk melaksanakan sistem temujanji serta aktiviti perniagaan atas talian, manakala sesi pandu uji di bilik pameran adalah tidak dibenarkan sama sekali.

    Sebelum ini Menteri Kanan Kluster Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah pun mengumumkan bahawa bermula 25 Mei semua operasi premis perniagaan hanya dibenarkan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam. Buat masa sekarang, arahan baharu ini adalah efektif bermula hari ini sehingga 7 Julai nanti.

     
     
  • Ford Ranger Raptor Special Edition diperkenal di UK

    Ford Ranger Raptor Special Edition diperkenal di UK

    Ford Ranger Raptor Special Edition telah pun dilancarkan di pasaran Eropah, malah ia akan diproduksi dalam unit yang terhad untuk memastikan eksklusivitinya dan jumlahnya akan diumumkan kelak.

    Ciri yang paling menyerlah pada trak pikap ini ialah jaluran merah dan hitam matte yang digunakan pada bahagian bonet, bumbung, sisi bawah badan, wing belakang dan tailgate. Manakala cangkuk tunda di hadapan dengan kemasan merah, sementara gerbang roda, bampar hadapan dan belakang, pemegang pintu dan gril Ford pula dengan kemasan hitam matte. Trak pikap ini juga ditawarkan dengan warna kemasan Performance Blue, Conquer Grey dan Frozen White.

    Di dalamnya, Ranger Raptor ini juga diberikan jahitan merah pada roda stereng, panel instrumen dan door card. Malahan ia juga didatangkan dengan panel instrumen Raceway Grey secara eksklusif.

    Ford Ranger Raptor Special Edition diperkenal di UK

    Tiada perubahan pada bahagian mekanikal termasuk penjana kuasanya, ia masih dipadankan dengan enjin 2.0 liter EcoBlue biturbo diesel dengan hamburan kuasa 213 PS dan tork 500 Nm. Pacuannya disalurkan ke semua roda menerusi kotak gear automatik 10-kelajuan, dan Terrain Management System membantu pemandu untuk mengendalikan pemanduan dalam situasi off-road yang mencabar.

    Anda boleh menonton penampilan trak pikap ini menerusi filem terbitan Ford yang berjudul “The Good, the Bad and the Bad-RSE” seperti di bawah. Filem tersebut menjalani penggambaran di Sepanyol dengan mengambil lokasi Spaghetti Western, termasuk memaparkan aksi-aksi lasak yang menguji tahap kredibilitinya sebagai sebuah trak pikap berprestasi tinggi dan maskulin.

     
     
  • Hyundai Ioniq 5 untuk AS — 225 hp dengan RWD, 320 hp dengan AWD, jarak antara 393 km hingga 483 km

    Hyundai Ioniq 5 untuk AS — 225 hp dengan RWD, 320 hp dengan AWD, jarak antara 393 km hingga 483 km

    Mula ditunjuk pada bulan Februari lalu, Hyundai kini mendedahkan pula perincian bagi Ioniq 5, sebuah crossover elektrik untuk pasaran Amerika Syarikat. Buat pertama kali, syarikat itu mengumumkan output kuasa dan sasaran jarak bagi dua konfigurasi penjana kuasanya, yang menggunakan bateri berkapasiti 77.4 kWh.

    Model pacuan dua roda akan menerima motor di kedudukan belakang yang menghasilkan 168 kW (225 hp) dan 350 Nm tork, dan menyediakan jarak 483 km. Versi pacuan semua roda pula menerima tambahan motor 74 kW (99 hp) di gandar depan, menjadikan janaannya 239 kW (320 hp) dan 605 Nm. Ini 14 kW (18 hp) lebih banyak berbanding di pasaran lain.

    Jarak bagi versi AWD bergantung kepada varian. Hyundai mendakwa sasaran untuk mencapai 433 km bagi SE dan SEL sementara 393 km bagi Limited yang paling lengkap. Semua model mempunyai laju maksimum 185 km/j dan kapasiti menunda sehingga 680 kg. Ioniq 5 menyokong kedua-dua pengecasan DC 400 dan 800 volts tanpa memerlukan sebarang adapter atau komponen lain, menggunakan motor dan inverter untuk melonjakkan input — ini ciri pertama di dunia seumpamanya.

    Hyundai Ioniq 5 untuk AS — 225 hp dengan RWD, 320 hp dengan AWD, jarak antara 393 km hingga 483 km

    Pengecas pantas DC 350 kW boleh mengisi bateri lithium-ion ini dari 10 hingga 80% dalam masa 18 minit dan menambah sebanyak 109 km dalam masa lima minit. Bagi pengecasan di rumah, pengecas binaan dalam standard 10.9 kW membolehkan model ini dicas penuh dalam masa enam jam 43 minit menggunakan pengecas AC Tahap 2.

    Ioniq 5 tmapil dengan wajah depan bentuk V, lampu Parametric Pixel, bonet clamshell, tiang C yang ketara dan begitu juga dengan lengkung tayar yang menonjol. Rim yang digunakan pula ialah Parametric Pixel 20-inci aero, sementara binaannya menggunakan Electric-Global Modular Platform (E-GMP) yang menyediakan overhang pendek dan jarak antara roda yang lebih panjang.

    Dengan kepanjangan 3,000 mm, jarak antara rodanya bahkan 100 mm lebih panjang berbanding Palisade (menjadikannya model Hyundai paling panjang di AS), walaupun panjangnya 4,635 mm lebih pendek 345 mm. Dengan bateri di lantai, ini membolehkan ruang kabinnya dijadikan lebih luas. Ruang untuk penumpang Ioniq 5 ini ialah 3,016 liter; lebih besar dari Ford Mustang Mach-E (2,863 liter) dan Volkswangen ID.4 (2,829 liter).

    Hyundai Ioniq 5 untuk AS — 225 hp dengan RWD, 320 hp dengan AWD, jarak antara 393 km hingga 483 km

    Ruang yang ada ini membolehkan rekaan lounge diterapkan untuk kabinnya, dengan kerusi larasan kuasa bagi pemandu datang dengan fungsi memori dan gaya kelas perniagaan. Kerusi depan juga 30% lebih kurus untuk membolehkan ruang kaki maksimum. Ruang but ialah 770 liter, boleh ditambah sehingga 1,680 liter dengan kerusi belakang dilipat.

    Ruang berkenaan juga menempatkan papan pemuka horizontal tirus, dengan skrin paparan 12.3-inci bagi infotainmen dan instrumen, berserta panel magentik untuk meletakkan nota di sebelah kiri. Konsol tengah Universal Island juga boleh dilaraskan 140 mm untuk memberikan tambahan ruang untuk memudahkan penumpang belakang memanfaatkan ruang letak cawan, pengecas tanpa wayar 15-watt, slot USB dan ruang storan untuk beg udara.

    Ioniq 5 juga sarat dengan teknologi terkini, termasuk sistem infotainmen dan tunjuk arah Bluelink terkini, sistem kawalan suara maju, sokongan profil pelbagai pengguna serta sistem bayaran dalaman untuk mengecas. Turut ada ialah augmented reality head-up display dan sistem bunyi Bose dengan lapan-pembesar suara.

    Hyundai Ioniq 5 untuk AS — 225 hp dengan RWD, 320 hp dengan AWD, jarak antara 393 km hingga 483 km

    Kereta ini juga dilengkali dengan fungsi vehicle-to-load (V2L) yang membolehkan kereta ini untuk menguasakan peranti elektrik lain seperti basikal, skuter, kelengkapan perkhemahan dan lain-lain, melalui port pengecas (melalui adapter) atau, bagi model Limited, sebuah soket di bawah kerusi belakang.

    Dari sudut keselamatan, Ioniq 5 dilengkapi dengan pelbagai sistem bantuan pemandu, seperti Highway Driving Assist 2 (HDA 2) yang menyediakan kemampuan pemanduan semi-autonomous Tahap 2. Ini menampilkan ciri seperti kawalan melayar adaptif dengan sistem yang akan mempelajari tingkah laku pemandu.

    Lain-lain ciri termasuklah AEB dengan pengesanan pejalan kaki, pengayuh basikal dan kenderaan mendatang, pengesanan papan tanda, kamera penghindar perlanggaran titik buta, lampu tinggi automatik, AEB undur dan amaran pintu. Ada juga bantuan parkir jarak jauh untuk memudahkan pemandu. Ioniq 5 akan dijual di pasaran AS tak lama lagi. Pengeluaran lebih besarnya dijangka berlaku tahun depan. Bersekali dengan ini, Hyundai turut mengumumkan perincian awal model Ioniq 6 sedan dan SUV Ioniq 7.

     
     
  • Polis Pulau Pinang siasat insiden buat pusingan U dan lawan arus beramai-ramai elak kesesakan jalan raya

    Polis Pulau Pinang mengumumkan mereka kini sedang menjalankan siasatan terhadap satu video yang tular memaparkan sejumlah kenderaan yang membuat pusingan U dan melawan arus di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu di Jelutong di negeri tersebut, lapor Kosmo.

    Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong, siasatan itu dijalankan bagi mengenal pasti tarikh dan masa kejadian serta pemandu-pemandu yang terlibat.

    “Polis meminta pihak yang merakam video tersebut atau orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil bagi membantu siasatan.

    “Pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan melanggar peraturan lalu lintas yang boleh membahayakan nyawa orang lain boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Polis Pulau Pinang siasat insiden buat pusingan U dan lawan arus beramai-ramai elak kesesakan jalan raya

    Soffian turut berkata, pihaknya juga menasihati pengguna jalan raya agar bertolak ansur dan bersabar jika terperangkap di dalam kesesakan jalan raya serta tidak mengambil tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.

    Video berdurasi kira-kira dua minit berkenaan memparkan sejumlah kenderaan yang terperangkap di dalam kesesakan jalan raya membuat pusingan U dan melawan arus di satu susur. Rakaman itu dipercayai dibuat oleh individu dari sebuah pangsapuri berdekatan lebuh raya itu.

    Dianggarkan kira-kira 30 buah kenderaan melakukan tindakan itu yang dipercayai bagi mengelak kesesakan kerana sekatan jalan raya yang diadakan berdekatan Jambatan Pulau Pinang. Beberapa penunggang motosikal turut dilihat cuba mengelak daripada bertembung dengan kenderaan-kenderaan terbabit.

     
     
  • MIROS cadang had laju 30 km/j di beberapa kawasan

    MIROS cadang had laju 30 km/j di beberapa kawasan

    Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mencadangkan had laju 30 km/j bagi kawasan perumahan, bandar dan kampung sebagai sebahagian daripada perancangan keselamatan jalanraya kebangsaan untuk tahun 2021 hingga 2030, lapor Free Malaysia Today.

    Cadangan had laju 30 km/j di kawasan-kawasan seperti dinyatakan itu adalah juga sebahagian daripada kempen “Street for Life” di bawah Minggu Keselamatan Jalanraya Global PBB ke-6 (UNGRSW), yang menyasarkan untuk pemberdayaan komuniti di Asia Tenggara untuk melaksanakan had 30 km/j di kawasan yang menyaksikan pejalan kaki bercampur dengan trafik.

    MIROS akan bekerjasama dengan pihak berwajib lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatang Kerja Raya (JKR), majlis tempatan, polis dan pihak berkuaa lain untuk tujuan ini, jelas Ketua Pengarah MIROS, Khairil Anwar Abu Kassim.

    Had laju yang lebih rendah seperti yang dicadangkan akan membolehkan manusia bercampur dengan trafik dengan lebih selamat, dan membolehkan komuniti mewujudkan persekitaran yang selamat dan sihat, jelas Khairil.

    Malaysia antara negara peserta mandat 18 resolusi keselamatan jalanraya di dalam Deklarasi Stockholm yang dicapai pada Februari 2020, yang menyaksikan 80 menteri berjanji untuk mengurangkan hingga separuh kematian jalanraya menjelang 2030.

     
     
  • Ducati Monster 2021 – pilihan grafik dan aksesori asli

    Ducati Monster 2021 – pilihan grafik dan aksesori asli

    Hujung tahun lalu Ducati telah memperkenalkan Monster 2021, iaitu sebuah model serba baru yang direka semula secara menyeluruh dan menjadi buah mulut ramai terutamanya peminat jentera dari Itali ini. Tiada lagi kerangka jenis Trellis yang sudah seperti sinonim dengan model tersebut, tetapi ia ditimbal balik dengan pelbagai kelebihan lain seperti lebih ringan, lebih berkuasa dan lebih berprestasi.

    Kini, pilihan aksesori untuk model tersebut pula didedahkan. Ia bermula dengan dua set grafik luaran, iaitu Pixel dan GP. Menurut Ducati, Pixel memberikan penampilan yang lebih agresif dan moden sementara GP pula mengikut gaya warisan Ducati sebelum ini dan lebih sporty. Kedua-duanya boleh dipadankan dengan tiga warna yang ditawarkan untuk model ini.

    Bagi ekzos pula, pelanggan diberikan dua pilihan daripada Ducati Performance. Satu adalah unit Termignoni yang melepasi tahap emisi Euro 5 dan boleh digunakan atas jalan biasa, sementara satu lagi adalah unit Termignoni jenis lumba yang datang dengan pemetaan minyak khas dan hanya boleh digunakan atas litar sahaja.

    Aksesori lain yang ditawarkan adalah seperti fairing bawah enjin, serta komponen aluminium buatan Rizoma yang terdiri daripada pemberat di hujung pemegang, peletak kaki, tuil serta tabung minyak klac dan brek.

    Monster 2021 dipacu oleh enjin Testastretta 11 V-twin 937 cc yang mampu menghasilkan kuasa 111 hp pada 9,250 rpm dan 93 Nm tork pada 6,500 rpm. Jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding 109 hp dan 86 Nm tork pada model sebelumnya dan sekarang cuma memerlukan servis penukaran minyak pada setiap 15,000 km manakala talaan semula injap Desmo pada 30,000 km.

    Mengikut maklumat yang kami perolehi, Monster 2021 ini dijangka tiba di Malaysia pada suku keempat tahun ini dan harganya akan berada di sekitar RM74,000, iaitu hampir sama seperti Monster 821 sebelum ini, ditambah dengan 5%.

     
     
  • PKP 3.0: Rentas daerah dan negeri untuk beraya sebabkan 90 orang positif Covid-19 di Terengganu

    PKP 3.0: Rentas daerah dan negeri untuk beraya sebabkan 90 orang positif Covid-19 di Terengganu

    Walaupun sudah ditegah dan diumumkan bahawa kompaun yang besar menanti bagi mereka yang berdegil untuk beraya serta merentas daerah dan negeri, masih ada lagi sebahagian rakyat Malaysia yang tetap tidak takut melakukan kesalahan tersebut. Akhirnya selepas lebih seminggu berada dalam bulan Syawal, kini muncul pelbagai kes positif Covid-19 disebabkan kedegilan berkenaan.

    Di Terengganu, Harian Metro melaporkan bahawa tindakan segelintir individu melakukan rentas daerah dan negeri untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga mereka dengan memberikan pelbagai alasan kepada pihak berkuasa menyebabkan sekurang-kurangnya 90 individu disahkan positif Covid-19. Perkara berkenaan terbongkar selepas ramai ahli keluarga didapati positif Covid-19 di satu lokaliti.

    Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Dr Nor Azimi Yunus, di daerah Kuala Terengganu, 13 individu melakukan rentas negeri dengan memberi pelbagai alasan menyebabkan 40 ahli keluarga disahkan positif Covid-19, manakala di daerah Hulu Terengganu, tindakan sembilan individu rentas negeri menyebabkan 26 ahli keluarga mereka dijangkiti virus korona tersebut.

    PKP 3.0: Rentas daerah dan negeri untuk beraya sebabkan 90 orang positif Covid-19 di Terengganu

    Beliau turut menyatakan perkara yang sama berlaku di daerah Kemaman apabila lapan individu melakukan rentas negeri serta daerah menyebabkan 24 ahli keluarga disahkan positif. “Secara keseluruhannya, 90 disahkan positif Covid-19 disebabkan kegagalan 30 individu mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam satu hantaran Facebook (FB) miliknya.

    Dalam perkembangan sama, Dr Nor Azimi turut memberitahu bahawa sebuah pasar raya terpaksa ditutup selama 14 hari kerana 17 pekerjanya disahkan positif Covid-19.

    “Mereka ini tentunya bertebar di beberapa daerah, pasti ribuan orang masuk ke pasar raya itu masa nak raya baru ni…cuba bayangkan.

    “Orang larang rentas negeri atau daerah untuk beraya kita buat juga dengan memberi pelbagai alasan…balik dari zon merah secara senyap-senyap akhirnya satu keluarga positif,” katanya.

     
     
  • Insiden LRT: Prasarana umum akan beri bantuan kewangan untuk mangsa terlibat – Pengerusi

    Susulan insiden kemalangan yang membabitkan dua buah tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran Stesen KLCC malam tadi, Pengerusi Prasarana, Dato’ Sri Haji Tajuddin bin Abdul Rahman memaklumkan pihaknya akan menyediakan tiga bentuk bantuan kewangan yang bakal disalurkan kepada para penumpang yang terlibat.

    Selepas meninjau lokasi kemalangan pagi tadi, Tajuddin berkata, tiga bentuk bantuan kewangan tersebut ialah bantuan khas berjumlah RM1,000 untuk semua penumpang terbabit, bantuan kewangan untuk menampung kos perubatan, rawatan susulan dan sebagainya bersesuaian dengan kecederaan yang ditanggung oleh para penumpang dan bantuan sara hidup bagi mereka yang kehilangan pendapatan akibat insiden ini.

    “Bagi pihak Lembaga Pengarah dan seluruh warga kerja Prasarana, kami memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan para penumpang kami khususnya atas insiden yang tidak diingini ini. Kami amat sedih dengan kejadian ini yang menghapuskan rekod bersih LRT Kelana Jaya yang telah beroperasi selama 23 tahun tanpa sebarang insiden sebegini.

    “Di samping memberi kerjasama penuh dan telus kepada Jawatankuasa Siasatan oleh Kementerian Pengangkutan dan PDRM, fokus utama kami adalah untuk pembuat penilaian dan mengesyorkan langkah segera yang akan diambil untuk memberikan sokongan dan bantuan yang sewajarnya kepada para penumpang terbabit,” ujar Tajuddin yang melahirkan rasa kesal dan dukacita atas kejadian yang tidak diingini ini.

    Insiden LRT: Prasarana umum akan beri bantuan kewangan untuk mangsa terlibat  – Pengerusi

    Prasarana turut melancarkan saluran khas di talian 014 737 1330 dan e-mel [email protected] dan meminta para penumpang yang terlibat menghubungi Prasarana dengan secepat mungkin agar urusan bantuan khas ini boleh disegerakan.

    Dalam pada itu, Prasarana juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan menyiasat insiden berkenaan di bawah Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat 2010. Di dalam kejadian yang berlaku pada jam 8.33 malam pada 24 Mei 2021, sebuah tren tidak membawa penumpang telah bertembung dengan sebuah lagi tren yang membawa 213 orang penumpang.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pengendali perkhidmatan awam ini, seramai 64 orang penumpang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan susulan. Daripada jumlah itu, seramai enam mangsa berada pada tahap kritikal dengan tiga daripadanya memerlukan vantuan ventilasi. Manakala 15 mangsa dalam tahap separa kritikal dan 43 orang pula cedera ringan.

    Selebihnya, seramai 102 penumpang yang lain tiada kecederaan atau mengalami cedera ringan. Data tersebut diperoleh daripada Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr. Heric Corray menerusi e-mel kepada Prasarana pagi tadi. “Prasarana akan memberikan kenyataan lanjut secara berkala berkenaan insiden ini pada masa yang sesuai,” ujar Prasarana menerusi kenyataannya sebentar tadi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025