Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Vespa akan keluarkan skuter elektrik tahun hadapan

    02_vespa_elettrica-835-bm

    Pengunjung pameran EICMA di Itali dikejutkan dengan kehadiran sebuah model Vespa yang menggunakan warna krom dan sedikit kemasan biru. Ia bukan setakat hiasan penampilan biasa malah merupakan gambaran kepada sebuah skuter elektrik yang sedang dibangunkan oleh syarikat dari Itali itu.

    Dikenali sebagai Vespa Elettrica, skuter ini akan dikuasakan oleh motor elektrik dan masih lagi mempunyai gaya unik dan terkenal sebuah Vespa. Menurut wakilnya di sana, Piaggio Group yang merupakan syarikat induk kepada Vespa dan beberapa jenama lain sudah mempunyai pengalaman dengan motor elektrik sejak tahun 1970 lagi dan kini adalah masa untuk menghasilkan sesuatu bagi penggemar Vespa.

    Tiada sebarang informasi lanjut diberikan berkenaan motosikal ini tetapi Vespa memberi sasaran untuk memperkenalkan Elettrica secara penuh kepada pasaran menjelang separuh kedua tahun 2017. Buat masa sekarang, apa yang boleh dilihat adalah bahagian luar model konsep ini sahaja.

     
     
  • Ferrari hasilkan lebih banyak model hibrid mulai 2019

    160451-car_laferrari_aperta-e1470217598119

    Setakat ini,Ferrari cuma memiliki dua model yang menggunakan penjana kuasa hibrid iaitu LaFerrari dan LaFerrari Aperta. Namun bermula 2019, lebih banyak model hibrid akan diperkenalkan, termasuk prestasi yang dipertingkatkan, menurut laporan yang disiarkan oleh Autocar UK.

    CEO Ferrari Sergio Marchionne yang menjelaskan di dalam persidangan pelaburan, kombinasi antara enjin pembakaran dalaman dan yang dijana oleh elektrik, bukan setakat membantu jentera itu lebih pantas, malah mempertingkatkan lagi penjimatannya. Bagi pengganti model F12, yang dijangka bakal diperkenalkan pada tahun 2020, ia sepatutnya menjadi model mainstream pertama Ferrari dengan penjana kuasa hibrid.

    Laporan tersebut turut menyebut, Ferrari telah mempatenkan beberapa siri senibina untuk model masa hadapannya, yang boleh dipacu sehingga 48 km dengan janaan kuasa elektrik sepenuhnya. Di samping model pengganti F12, platform tersebut juga akan digunakan oleh lain-lain model, termasuk model spesifikasi tertinggi. Baru-baru ini, Ferrari telah mengumumkan kerjasama projek pembangunan dengan Altair Product Design untuk platform kenderaan generasi akan datang.

    Ferrari memiliki pengalaman dalam siri janaan enjin elektrik ini dengan menghasilkan model konsep 599 HY-KERS yang dipertontonkan di Geneva Motor Show 2010, yang menampilkan motor elektrik dengan transmisi dwi-klac, dijanakan oleh dua pek bateri lithium-ion.

    Selain teknologi hibrid, Marchionne turut mendedahkan syarikatnya mensasarkan untuk meningkatkan jumlah pengeluaran kenderaannya, dan memperkenalkan lebih banyak model “mewah” seperti GTC4 Lusso. “Malahan adalah menjadi objektif kami untuk meningkatkan pengeluaran, dan tidak mustahil jumlahnya boleh mencapai 10,000 unit menjelang tahun 2025,” ujarnya.

     
     
  • Audi Service KL kini turut dibuka pada hari Ahad

    audi-kl-sc

    Euromobil telah mengumumkan Audi Service Kuala Lumpur turut beroperasi pada hari Ahad. Ini bermakna pusat servis yang terletak di Jalan Chan Sow Lin itu beroperasi selama tujuh hari seminggu sejak September lalu.

    “Kami percaya para pelanggan kami berhak menerima servis yang berkualiti tinggi bagi keseluruhan pengalaman pemilikan dengan jenama Audi. Membuka pusat servis ini pada Ahad adalah sebahagian daripadanya dan ini turut membuktikan komitmen kami terhadap permintaan yang meningkat di kalangan para pelanggan yang sibuk dengan urusan harian sekiranya mahu menghantar kenderaan mereka untuk diselenggara selain pada hujung minggu,” ujar Datuk Seri Syed Faisal Albar, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom.

    Audi Service Kuala Lumpul mempunyai 42 tenaga kerja terlatih termasuk penasihat servis, juruteknik dan konsultan. Ia mempunyai 26 petak penyelenggaran dan dibuka untuk semua kenderaan Audi, sama ada yang dibeli dari pengedar rasmi atau pun saluran pengimport (grey importer). Waktu operasinya dilanjutkan pada Ahad (10 pagi hingga 6 petang) adalah bagi servis standard Audi Fastlane. Hubungi 03-9222 0390 untuk temujanji.

     
     
  • 1.2 juta penunggang motosikal tiada lesen – Ab Aziz

    sym-sport-rider-125i-29-bm

    Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi telah mengeluarkan kenyataan bahawa dianggarkan seramai 1.2 juta individu di negara ini menunggang motosikal tanpa memiliki lesen yang sah. Anggaran itu berdasarkan antara lapan hingga 10% daripada 15 juta penduduk yang layak memiliki lesen menunggang motosikal iaitu kira-kira separuh daripada 30 juta penduduk Malaysia.

    Menurut laporan yang disiarkan oleh Berita Harian, mengikut perangkaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), hanya 7.6 juta penduduk memiliki lesen motosikal dan ini bermakna kira-kira 50% yang berumur 16 tahun ke atas memiliki lesen berkenaan.

    “Menurut rekod JPJ, sehingga 31 Disember 2015, sebanyak 12,089,747 motosikal berdaftar di jalan raya. Walau bagaimana pun, hanya 7.6 juta penunggang motosikal berlesen tercatat dalam rekod JPJ,” ujarnya bagi menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Johari ingin mengetahui jumlah motosikal berdaftar di jalan raya ketika ini dan jumlah penunggang yang tidak mempunyai lesen menggunakan motosikal. Selain ingin mengetahui pelaksanaan kursus pemanduan yang diseliakan oleh JPJ.

    Ab Aziz turut berkata, berdasarkan kawalan harga siling ditetapkan, kos pengambilan lesen bukan faktor utama penduduk menunggang motosikal tanpa lesen, sebaliknya lebih kepada sikap dan tahap kesedaran mereka mengenai bahaya menunggang tanpa lesen.

    Menjawab soalan tambahan Johari, Ab Aziz berkata, JPJ melaksanakan kursus pemanduan selama 22 jam secara berperingkat. “Tempoh kursus itu meletakkan Malaysia antara negara paling singkat dari segi tempoh masa menjalankan kursus berbanding Singapura selama 42 jam dan China (72 jam),” katanya.

     
     
  • Triumph Street Scrambler – bawa gaya lasak, 54 hp

    2017-triumph-street-scrambler-1-850x599-bm

    Model motosikal jenis klasik moden Triumph semakin berkembang dan kita sudah melihat Street Twin, Bonneville Bobber, Street Cup, Thruxton R, T120 dan T120 Black. Terbaru, ia ditambah dengan model Street Scrambler yang dipertonton semasa pameran EICMA di Itali.

    Model ini menggunakan asas daripada model Street Twin dan ia menggunakan enjin dua silinder selari 900 cc berpenyejukan cecair dan kotak gear lima kelajuan yang sama, berkemampuan 54 hp dan 80 Nm. Namun, seperti yang boleh dilihat, gaya yang dibawa adalah berlainan, dengan ekzos yang tinggi di bahagian tepi, rim jenis jejari (19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang) dan suspensi yang lebih tinggi.

    Kerangka yang digunakan juga adalah baru, manakala rim tadi dibalut dengan tayar Metzeler Tourance yang mempunyai bunga lebih tebal, sesuai untuk jalan kasar. Pada bahagian tempat duduk, span berasingan diletakkan bagi penunggang dan penumpang, dan ia dibalut dengan kulit jenis Alcantara. Dengan tetapan sebegini, tempat duduk belakang boleh ditanggalkan sekiranya mahu dan ia boleh diganti dengan rak untuk menempatkan barangan.

    Kelengkapan lain yang digunakan pada Street Scrambler adalah termasuk tempat letak kaki tanpa getah, pad tangki, penghadang lumpur aluminium di bawah enjin, brek ABS yang boleh ditutup, kawalan cengkaman (TC) serta panel untuk nombor plet di tepi. Warna yang disediakan untuk Street Scrambler adalah Jet Black, Matte Khaki Green dan Korosi Red/Frozen Silver. Harga bagi Street Scrambler masih belum didedahkan namun sebagai rujukan, Street Twin dijual di Malaysia pada harga RM55,000 termasuk GST.

     
     
  • Peserta Singapura juara MediaCorp Subaru Car Challenge 2016 dengan catatan masa 75 jam 58 minit

    2016-mediacorp-subaru-car-challenge-16

    Selepas berhempas pulas selama 75 jam dan 58 minit, peserta yang mewakili Singapura, Sunawr Ali A/L Idris Ali dinobatkan sebagai juara MediaCorp Subaru Car Challenge 2016. Kejayaan ini berjaya dirangkulnya selepas 12 kali percubaan sebelum ini, dan dia membawa pulang Subaru XV 1.6i-S baharu bernilai SGD69,600 (RM209,494), tanpa Sijil Hak (COE).

    Tempat kedua pula dimenangi oleh Analiza Mokhtar, yang juga pernah menduduki tempat yang sama pada tahun 2014, dengan catatan masa 75 jam 58 minit. Manakala Alex Neblasca dari Filipina pula menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 73 jam dan 50 minit. Masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai SGD5,000 (RM15,050) dan SGD2,000 (RM6,027).

    “Saya sangat gembira apabila Ali, peserta yang telah mencuba sebanyak 12 kali, akhirnya berjaya menempatkan dirinya sebagai juara. Dengan catatan masa selama 75 jam dan 58 minit, usaha yang dilakukan dari awal dilihat sangat berbaloi,” ujar Glenn Tan selaku pengarah eksekutif Tan Chong International Ltd.

    2016-mediacorp-subaru-car-challenge-8

    Walau pun terpaksa menempuh cuaca yang tidak menentu sepanjang empat hari tersebut, namun kesemua peserta dilihat menunjukkan kegigihan dan semangat yang tinggi dengan mengekalkan kedudukan tapak tangan mereka pada kenderaan Subaru dalam jangka masa selama yang mungkin, dengan hanya berehat buat seketika dalam setiap beberapa jam termasuk jika ingin ke tandas mahu pun makan.

    Peserta dari Malaysia, Tan Chuan Kok, pula terpaksa berpuas hati selepas berjaya bertahan dalam tempoh 56 jam dan 45 minit, sementara Pham Duc Nhan dari Vietnam menjadi salah seorang peserta yang melepasi 70 jam. Pemenang bagi setiap negara turut menerima wang tunai sebanyak SGD1,000 (RM3,010), sementara peserta yang dianugerahkan dengan gelaran Peserta Asia (Alex Neblasca) pula menerima hadiah tambahan yang berupa wang tunai sebanyak SGD5,000 (RM15,050).

     
     
  • VIDEO: Audi ucap selamat tinggal pada perlumbaan endurance setelah mendominasinya selama 18 tahun

    Hujung bulan lalu, Audi telah menyusun semula strategi sukan permotoran mereka, menyaksikan pasukan yang bertanding di FIA World Endurance Championship (WEC) termasuk perlumbaan Le Mans 24 Jam terpaksa menarik diri untuk musim hadapan kerana jenama dari Jerman berkenaan mahu menumpukan pada kejohanan kereta elektrik sepenuhnya iaitu siri kejuaraan Formula E.

    Dengan pengunduran berkenaan, maka berakhirlah era Audi dalam kejohanan endurance dunia selama 18 tahun yang bermula pada tahun 1999, dimulakan dengan jentera perlumbaan prototaip R8R dan R8C, kedua-duanya bertanding pada Le Mans 24 Jam tahun tersebut.

    Pada tahun 2000, jentera R8 LMP diperkenalkan seterusnya menjadi jentera paling berjaya dengan memenangi lima perlumbaan Le Mans (2000, 2001, 2002, 2004, dan 2005) sepanjang enam tahun penyertaannya dalam perlumbaan berkenaan. R8 kemudiannya digantikan dengan jentera perlumbaan berkuasa diesel R10 TDI, yang mendominasi Le Mans dengan menjuarai perlumbaan pada tahun 2006, 2007 dan 2008.

    screen-shot-2016-11-09-at-1-26-28-pm

    Jentera R15 TDI plus pula kemudiannya menjuarai Le Mans pada tahun 2010, diikuti jentera R18 TDI pada tahun 2011. Era teknologi hibrid pada perlumbaan Le Mans bermula pada tahun 2012, di mana jentera Audi R18 e-tron quattro menggantikan jentera R18, seterusnya memenangi perlumbaan tahun tersebut dan kemudiannya pada tahun 2014.

    Menerusi video ucapan selamat tinggal ini, kesemua kereta Audi berkenaan dari pelbagai tempat ‘kembali ke rumah’ dengan sistem navigasi ditetapkan ke arah Circuit des 24 Heures du Mans iaitu litar berlangsungnya perlumbaan Le Mans 24 Jam.

    Kepulangan kereta-kereta berkenaan diiringi dengan runut bunyi “Homeward Bound” dari Simon and Garfunkel. Setelah kesemua sampai ke destinasi, jentera perlumbaan Audi LMP dilihat sedang membuat pusingan terakhirnya pada litar tersebut.

    Walau bagaimanapun, Audi masih lagi kekal bertanding dalam kejohanan DTM dan akan terus mengambil bahagian dalam Kejuaraan Rallycross Dunia.

     
     
  • BMW G310 GS – duduk tinggi dan berkuasa 34 hp

    p90241849_highres_bmw-motorrad-g-310-g-e1478651164212-850x576-bm

    Sementara Malaysia masih lagi menunggu pelancaran rasmi G310 R, BMW telah pun menunjukkan model terbaru yang tampil buat pertama kalinya di EICMA iaitu G310 GS. Motosikal ini menyediakan posisi tunggangan yang tegak dan dianggap sebagai ‘si kecil’ kepada model jelajah terkenal jenama itu, R1200 GS.

    G310 GS menggunakan enjin satu silinder 313 cc DOHC dengan padanan kotak gear enam kelajuan sama seperti G310 R dan ia mampu menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 34 hp pada 9,500 rpm dan 28 Nm tork pada 7,500 rpm. Berat keseluruhan yang dicatat pula adalah 169.5 kg.

    Menjadikan motosikal ini lebih tinggi (tempat duduk 835 mm) adalah fork hadapan USD 41 mm yang boleh bergerak 49 mm lebih banyak berbanding fork G310 R dan monoshock belakang dengan pelarasan pra beban yang dipasang pada lengan ayun aluminium. Rim yang digunakan pula bersaiz 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang.

    Brek ABS didatangkan secara standard pada G310 GS dan sudah tentu, pemilik juga mempunyai pilihan pelbagai aksesori seperti kotak simpanan barang 30 liter, soket 12V, tempat duduk 820 mm atau 850 mm, tongkat tengah serta alat navigasi.

    BMW Motorrad masih belum memberitahu bila motosikal ini akan mula berada di pasaran serta harganya namun ia boleh dijangka tidak jauh berbanding G310 GS yang kini dijual di Eropah pada harga 4,750 Euro (RM21,244).

     
     
  • Polis dan DBKL sahaja berkuasa tunda kenderaan di jalan awam di sekitar Kuala Lumpur – PDRM

    dbkl parking tow bernama pix

    Manusia ini, kalau hendak menipu, macam-macam taktik yang akan cuba dilakukan. Ini termasuklah seorang lelaki berusia 35 tahun yang didakwa menunda kenderaan tanpa kuasa di jalan awam, selain memeras ugus dengan meminta bayaran RM150 untuk melepaskan kenderaan yang dikunci tayar berhampiran Hospital Kuala Lumpur yang berlaku hujung minggu lalu, seperti yang dilaporkan oleh beberapa media tempatan.

    Susulan perkara ini, Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Nadzri Hussain menegaskan, hanya polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sahaja yang mempunyai kuasa untuk menunda dan mengalih kenderaan awam di kawasan yang ditakrifkan sebagai jalan awam, laporan Bernama.

    Menurutnya lagi, kompaun yang dikeluarkan oleh pengendali trak tunda adalah tidak sah mengikut undang-undang sedia ada. Di mana pihak lain (melainkan di jalan atau bangunan milik persendirian) tidak boleh menjalan apa-apa bentuk penundaan dan pengalihan sebarang kenderaan di jalan raya awam.

    “Kawasan-kawasan yang ditakrifkan sebagai jalan awam seperti mana maksud Seksyen 2, Akta Pengangkutan Jalan 1987 adalah di bawah bidang kuasa polis, Datuk Bandar dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan,” ujarnya kepada pihak media.

    Selepas ini, sekiranya anda berada di jalan awam dan kenderaan anda ditunda oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, segera laporkan perkara ini kepada pihak berkuasa. Jangan sesekali membuat bayaran seperti yang diminta. Apa pun, keselamatan anda harus diberi keutamaan.

     
     
  • Honda WR-V buat penampilan sulung di Brazil – crossover comel dibina berasaskan model Jazz

    honda-wr-v-premiere_bm

    Honda WR-V telahpun membuat kemunculan sulungnya untuk peringkat global di Sao Paolo Interational Motor Show, Brazil selepas berberapa imej teasernya di siarkan sebelum ini. Crossover terbaharu ini diasaskan dari platform yang sama dengan Honda Jazz, dan akan menyertai barisan SUV Honda lain iaitu CR-V dan HR-V.

    WR-V atau “Winsome Runabout Vehicle” ini turut diberikan muka signatur Honda Solid Wing, dipadankan bersama sepasang lampu hadapan reflektor halogen berbentuk trapezoid dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk-L. Ia juga turut menerima penutup hud yang lebih rata.

    Untuk melengkapkan rupa sebuah crossover sebenar, ia turut dilengkapi kemasan berbentuk seperti skid plate, rel bumbung, kelegaan tanah yang dipertingkatkan serta roda aloi bersaiz 16-inci. Bahagian belakang turut diberikan penampilan yang berbeza dari Jazz menerusi lampu belakang two-piece dan bampar baharu yang kelihatan lebih lasak.

    Menurut Honda, WR-V di bina berdasarkan penyelidikan terhadap permintaan pelanggan di Amerika Selatan. Hasilnya, bahagian R&D Honda Brazil tampil dengan rekaan SUV yang “Teguh dan Urban” serta menawarkan praktikaliti yang baik.

    Honda belum lagi mendedahkan perincian berkenaan unit janakuasa WR-V ini, tetapi boleh dijangka ia masih menggunakan unit yang sama dengan Jazz iaitu enjin 1.5 liter empat silinder bahan api-flex digandingkan bersama pilihan kotak gear lima-kelajuan manual atau CVT automatik.

    Ia juga berkemungkinan turut ditawarkan dengan enjin 1.8 liter dari HR-V kerana kedua-dua model berkenaan dibina dari platform yang sama. Honda turut menjanjikan “ekonomi bahan api yang cemerlang serta prestasi pengendalian yang stabil.”

    WR-V bakal dijual di Brazil pada separuh pertama 2017, dan negara-negara Amerika Selatan yang lain turut akan menerima model yang sama. Ia bakal berhadapan dengan saingan dari crossover segmen-B lain seperti Hyundai i20 Active, Toyota Etios Cross serta Volkswagen Cross Polo.

     
     
  • PANDU UJI: Chevrolet Colorado 2.8 High Country facelift – hadir dengan wajah baharu, lebih radikal

    2016-chevrolet-colorado-2-8-high-country-3

    Memeriahkan lagi pasaran kenderan pikap di Malaysia dengan kehadiran Chevrolet Colorado baharu yang telah pun dilancarkan pada 20 Oktober lalu. Walau pun ia tidaklah sepopular Toyota Hilux, Ford Ranger, Isuzu D-Max, Nissan Navara mahu pun Mitsubishi Triton, namun kehadiran Colorado baharu ini tidak wajar dipinggirkan.

    Bagi model baharu ini, ia ditawarkan dengan lima varian bersama tiga pilihan enjin. Varian yang menerima padanan enjin paling berkuasa ialah High Country (spesifikasi tertinggi), Standard LTZ (AT) dengan 2.8L Duramax empat-silinder turbodiesel dengan Variable Geometry Turbocharger (VGT). Ia mampu menawarkan kuasa sehingga 193 hp dengan tork 500 Nm. Malahan tujahan 500 Nm yang boleh dikatakan cukup berkuasa ini adalah yang tertinggi di dalam kelasnya.

    Manakala varian Standard LT (AT) dan Standard LTZ (AT) dipadankan dengan enjin 2.5L Duramax empat-silinder turbodiesel (VGT) dengan kuasa kuasa sehingga 180 hp dan tork 440 Nm. Keempat-empat varian tersebut turut dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan bersama fungsi mod manual.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • KTM Duke 390 2017 – tampil lebih garang dan banyak pembaharuan, termasuk suspensi dan kerangka

    14962523_1245407295530391_1502608620743701506_n-bm

    KTM telah memperbaharui model Duke 390 mereka bagi pasaran tahun 2017 dan naik taraf yang diberi boleh dikatakan agak banyak. Pertamanya, paling jelas adalah penampilan lebih garang, hampir seperti model Super Duke 1290. Lampu hadapan yang digunakan adalah jenis LED.

    Enjin yang digunakan masih lagi adalah unit 373.2 cc satu silinder dengan sistem suntikan bahan api tetapi diubah suai supaya dapat menepati tahap emisi Euro 4. Input dari pendikit disampaikan kepada enjin melalui sistem ride-by-wire. Kemudiannya, ia dilekatkan pada kerangka baru, dan dikatakan boleh menghasilkan sehingga 44 hp.

    Bahagian suspensi turut dinaik taraf dengan unit baru dari WP Suspension dan cakera breknya kini lebih besar iaitu 320 mm dan angkup yang digunakan adalah dari jenama Bybre, lengkap dengan ABS secara standard. Keseluruhannya, motosikal ini mempunyai berat 149 kg dan tangki minyaknya boleh menempatkan sebanyak 13.4 liter petrol.

    Ciri lain yang ada pada KTM Duke 390 2017 adalah skrin informasi TFT, ekzos di bahagian tepi, tinggi tempat duduk 830 mm dan tuil brek serta klac yang boleh dilaras.

     
     
  • Hyundai Ioniq Hybrid dibuka tempahan untuk M’sia – dilancar bulan ini, CKD, dijangka bermula RM130k

    2017-hyundai-ioniq-hybrid-uk-spec-08

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah mengesahkan bakal melancarkan model Ioniq Hybrid sebelum 2016 berakhir. Malah tempahannya juga telah mula dibuka dan turut mengesahkan harga jangkaan bagi model ini antara RM130,000 ke atas.

    Model Ioniq versi hibrid yang direka bagi membolehkan ia disesuaikan dengan sistem plug-in hybrid dan EV akan diproduksi secara pemasangan tempatan (CKD) di Kulim, Kedah.

    Pencabar utama bagi Toyota Prius ini dijana oleh enjin petrol 1.6 liter Kappa GDI empat-silinder berkuasa 105 PS pada takat 5,700 rpm dan tork maksima 147 Nm pada takat 4,000 rpm. Hyundai mendakwa enjin pembakaran dalam berkenaan merupakan enjin dengan kecekapan haba paling tinggi di dunia pada tahap 40% – sama seperti yang dicapai oleh enjin pembakaran dalam Toyota Prius generasi keempat terkini.

    Enjin berkenaan digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 43 PS dan tork maksima 170 Nm, menerima tenaga dari bateri polimer litium ion berkuasa 1.56 kWh yang ditempatkan di bawah tempat duduk belakang. Kesemua kuasa gabungan berjumlah 141 PS/265 Nm berkenaan dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac-berkembar (DCT) enam-kelajuan.

    2017-hyundai-ioniq-hybrid-uk-spec-13

    Motor elektrik pada Ioniq direka secara spesifik dengan kecekapan bertaraf dunia, termasuk komponen teras (kepingan logam elektrikal) yang lebih nipis sehingga 10% dan wayar tembaga pada bahagian-segi empat untuk mengurangkan teras dan kehilangan tembaga. Motor tersebut membolehkan Ioniq bergerak dengan elektrik sepenuhnya pada kelajuan sehingga 120 km/j.

    Selain itu, antara daya tarikan yang ada pada Ioniq Hybrid ini adalah penggunaan kotak gear DCT dan berbanding pesaingnya dari Jepun yang lebih gemar menggunakan transmisi CVT. Hyundai mendakwa transmisi DCT ini merupakan kotak gear terbaik dalam kelasnya menerusi kecekapan pemindahan tenaga yang paling efisien dengan menggunakan galas rendah geseran serta minyak transmisi berkelikatan rendah. Ia turut menampilkan mod Sport yang akan menggunakan nisbah gear rendah lebih lama, dan juga mod Eco yang memberikan penukaran gear tinggi lebih cepat untuk kecekapan penggunaan bahan api lebih baik.

    Dibina di atas platform yang sememangnya direka khas untuk kereta hibrid, Ioniq Hybrid turut dipadankan dengan pelbagai komponen untuk mengurangkan berat keseluruhan termasuk penggunaan bonet dan pintu tailgate aluminium, terbukti lebih ringan 12.4 kg dari versi logam. Material untuk membina komponen suspensi juga banyak menggunakan aluminium yang mengurangkan berat sebanyak 10 kg, termasuk lengan bawah hadapan yang 4.6 kg lebih ringan dan lengan bawah belakang 7.14 kg lebih ringan. Penutup kargo pada Ioniq ini juga 25% lebih ringan berbanding model Hyundai lain.

    2017-hyundai-ioniq-hybrid-uk-spec-12

    Model hibrid ini menggunakan sistem suspensi multilink yang menggunakan lengan bawah berkembar pada bahagian belakang bagi memberikan lebih keselesaan, manakala stereng pula ditala bagi memberikan respon yang lebih tepat dengan nisbah dipertingkatkan untuk karekter lebih sporty. Sistem brek juga dioptimakan untuk memberikan prestasi regenerative braking yang maksimum.

    Aerodinamik pada Ioniq turut berada pada tahap yang sangat baik dengan bacaan Cd dicatatkan pada 0.24. Ia dicapai dengan pelbagai faktor termasuk penggunaan tirai udara pada roda hadapan, flap udara aktif pada gril hadapan, kemasan pada bendul sisi, penutup bahagian bawah lantai dan rekaan tertutup pada roda. Seperti juga kereta hibrid lain, Ioniq turut dibekalkan tayar dengan rintangan golekan yang rendah.

    2017-hyundai-ioniq-hybrid-uk-spec-17

    Selain dari kedudukan bateri yang membolehkan ruang kabin direka lebih luas, Ioniq turut menerima penebat bunyi enjin pada bahagian dalam papan pemuka, penyerap hentak panel lantai, filling dipertingkat pada bahagian dalam tiang-A dan -B, cermin tingkap lebih tebal serta filem penapis bunyi pada cermin hadapan – kesemua ini untuk meningkatkan tahap NVH. Ia juga turut diberikan suspensi dengan talaan yang selesa.

    Buat pertama kali, Hyundai menggunakan komponen-komponen yang boleh dikitar semula menerusi Ioniq. Panel bahagian dalam pintu dibuat dari plastik yang boleh dikitar semula dan disalut dengan serbuk kayu dan batu gunung berapi, mewakili 20% dari keseluruhan meterial konvensional lain. Pembalut panel bumbung serta karpet pula menampilkan bahan asas yang diekstrak dari tebu, manakala cat mesra alam kereta ini diadun dengan bahan minyak kacang soya untuk menghasilkan kemasan metalik pada sebahagian komponen.

    GALERI: Hyundai Ioniq Hybrid di Malaysia

    GALERI: Hyundai Ioniq Hybrid spesifikasi UK

     
     
  • Kia Carnival generasi baharu diprebiu di Mines esok sebelum dilancarkan secara rasmi untuk pasaran M’sia

    IMG_6656_BM

    Setelah dijumpai di JPJ Putrajaya Februari lalu, Naza Kia kini mengesahkan akan membawa Kia Carnival generasi ketiga ke pasaran Malaysia. MPV bersaiz besar ini akan diprebiu di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC) esok, sebelum dilancarkan secara rasmi dalam masa terdekat.

    Model Carnival generasi pertama sebelum ini telah pun berada dalam pasaran Malaysia, yang kemudiannya direbadge sebagai Naza Ria bagi membolehkan ia dijual pada harga yang lebih rendah. Naza Kia tidak membawa Carnival generasi kedua ke pasaran tempatan sehinggalah Carnival generasi terbahru ini, yang didedahkan buat pertama kali di New York pada April 2014 (juga dikenali sebagai Sedona di Amerika Syarikat).

    Ketika dihubungi pihak paultan.org setelah MPV berkenaan dijumpai di Putrajaya, sumber dari Naza Kia memberitahu mereka memang sedang dalam pertimbangan untuk membawa semula Carnival ke pasaran Malaysia.

    Kia Carnival terbaharu ini 40 mm lebih panjang dari generasi sebelumnya, dan untuk varian yang tertentu ia dipasangkan dengan rim aloi krom berdiameter 19-inci. Dengan saiz yang lebih besar, Carnival menawarkan ruang bahu, ruang kaki pada tempat duduk barisan pertama, kedua, dan ketiga serta ruang kelegaan kepala yang jauh lebih luas.

    Terdapat dalam konfigurasi tujuh, lapan, atau sebelas-tempat duduk (untuk pasaran Korea), Carnival dikuasakan dengan dua pilihan enjin iaitu 2.2 liter D CRDi turbodiesel (202 PS/441 Nm) atau 3.3 liter GDI tanpa pengecas turbo V6 (280 PS/336 Nm). Kedua-dua enjin ini dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik.

    Tiada lagi perincian untuk varian pasaran Malaysia, tetapi jika mengambil Sorento sebagai petunjuk, berkemungkinan kedua-dua pilihan enjin akan dibawa masuk dengan model diesel bakal ditawarkan sebagai varian paling asas.

    Sebelum ini, Nasim – yang juga salah sebuah entiti dibawah kumpulan Naza, pemegang francais jenama Peugeot di Malaysia – mengumumkan mungkin akan membawa MPV Peugeot Traveller ke Malaysia tahun hadapan. Adakah pertembungan MPV-MPV besar ini akan memberikan impak pada Toyota Alphard dan Vellfire yang baru dilancarkan oleh UMW Toyota Ogos lalu? Kongsikan pendapat anda pada ruangan komen di bawah.

    GALERI: Kia Sedona pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Kawasaki Versys-X 300 – enjin 296 cc Ninja/Z300 diletakkan pada kerangka baru lebih tinggi, 38 hp

    1-versys-x-300-bm

    Keluarga Versys menerima ‘adik’ baru apabila Kawasaki memperkenalkan Versys-X 300 semasa pameran EICMA yang sedang berlangsung di Milan, Itali. Motosikal yang berkonsepkan jelajah dengan kedudukan tinggi ini menggunakan enjin 296 cc dua silinder selari daripada model Ninja/Z300 dan ia dipadankan pada kerangka baru.

    Secara keseluruhannya, motosikal yang mempunyai berat 170 kg ini boleh menghasilkan sehingga 38 hp kuasa maksimum dan pengguna tidak perlu risau untuk berhadapan dengan permukaan yang tidak rata kerana suspensi teleskopik 41 mm di hadapannya adalah panjang manakala bahagian belakang pula menggunakan suspensi monoshock gas Uni-Trak. Rim pula adalah bersaiz 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dengan tayar IRC Trail Winner.

    Bagi memastikan penukaran gear lebih lancar, Kawasaki melengkapkan motosikal ini dengan klac slipper dan brek Nissin yang diguna didatangkan standard dengan ABS. Untuk mengetahui operasi motosikal, pengguna boleh melihat kepada dua meter berbentuk bulat dan terdapat skrin digital yang akan memaparkan informasi lain seperti kedudukan gear, jarak perjalanan dan tahap minyak. Menurut Kawasaki, motosikal ini boleh bergerak sehingga 380 km dengan sekali isian penuh.

    Sudah tentu, dengan motosikal ini, pelbagai aksesori akan dijual secara berasingan dan ini antaranya seperti kotak barangan 30 liter, penghadang tangan, pad tangki, pelindung enjin dan penghadang lumpur.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024