Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Singapura bakal kenakan kadar saman lebih tinggi untuk kesalahan berulang membiarkan enjin hidup

    singapore traffic 1-WM

    Agensi Alam Sekitar Nasional Singapura (NEA) mengumumkan kerajaan republik tersebut akan menaikkan kadar saman untuk kesalahan ulangan membiarkan enjin kereta hidup dalam keaadan melahu bermula 1 Jun. Langkah tersebut diambil sebagai usaha yang lebih tegas bagi mencegah masyarakat di negara itu dari membiarkan enjin kereta mereka hidup tanpa berjalan untuk kualiti udara persekitaran yang lebih baik dan melindungi kesihatan orang awam, jelas agensi tersebut dalam kenyataan yang disiarkan hari ini.

    Kenyataan tersebut menyebut penalti yang lebih tinggi bakal dikenakan untuk pelaku kesalahan berulang berikutan kesalahan tersebut dilihat semakin meningkat. Kesalahan berkenaan dilaporkan sebanyak 3,200 kes pada 2013 kemudian meningkat kepada 3,800 kes pada 2014 dan seterusnya meningkat dengan ketara pada 2015 dengan 5,100 kesalahan dicatatkan. NEA menambah mereka telah pun mengambil tindakan kepada 1,489 pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan sama pada tiga bulan terawal 2016.

    Di bawah undang-undang perlindungan alam sekitar dan pengurusan (emisi kenderaan) negara tersebut, adalah menjadi kesalahan jika membiarkan enjin kereta dalam keadaan hidup tanpa kereta tersebut bergerak, tanpa apa-apa sebab melainkan keadaan trafik.

    exhaust-smoke-a1

    Bermula 1 Jun, penggunan jalan raya yang ditangkap membiarkan enjin kereta mereka hidup tanpa bergerak untuk kali kedua dan berikutnya, mereka akan dikenakan saman berjumlah SGD$100 (RM291), berbanding kadar sebelum ini yang ditetapkan pada SGD$70 (RM203). Kegagalan untuk membayar saman tersebut boleh menyebabkan pelakunya disaman di mahkamah pada kadar SGD$5,000 (RM14,550) jika sabit kesalahan.

    NEA berkata undang-undang tersebut adalah termaktub untuk semua pengguna jalan raya yang menggunakan semua jenis kenderaan bermotor, kecuali teksi/bas yang beratur di tempat yang dikhaskan untuk mereka berhenti, perhentian atau terminal untuk menunggu penumpang naik/turun atau kenderaan yang akan melalui pemeriksaan atau penyelengaraan. Kenderaan penguatkuasa dan perkhidmatan kecemasan (seperti ambulan dan kereta polis) juga dikecualikan dari undang-undang tersebut.

    Agensi berkenaan juga menggalakkan orang ramai untuk melaporkan kepada mereka jika terjumpa mana-mana pihak yang melakukan kesalahan tersebut.

     
     
  • Lakaran Proton Saga 2016 dengan perincian terkini

    Proton-Saga-Pow-Ying-Hern-e1461911953376_BM

    Kami sering menerima gambar-gambar spyshot Proton Saga 2016 sedang diuji di jalan raya. Namun, agak sukar untuk mendapatkan gambaran paling jelas bagaimana rupa sebenar Saga baharu ini kerana setiap kali ‘kelibat’ kereta ini dijumpai, ia disalut dengan pelekat penyamaran pada keseluruhan badannya.

    Oleh itu, Pow Ying Hern, pemenang Kategori Dua Pertandingan Rekaan Proton 2014 telah menghasilkan sebuah lakaran bayangan rupa bentuk sebenar Proton Saga dengan rekaan kontemporari berdasarkan model-model protaip yang dijumpai diuji tersebut.

    Proton Saga 2016 lakaran Pow ini menampilkan gril hadapan dengan dua bar melintang, berbeza pada rekaan Saga sedia ada yang menampilkan gril rekaan sayap dengan elemen krom. Gril tersebut juga menempatkan logo Proton di bahagian tengahnya. Berdasarkan imej spyshot terkini yang kami siarkan sebelum ini, rekaan ini mungkin gambaran yang paling hampir.

    Gril tersebut diapit dengan sepasang lampu hadapan baharu yang menggantikan lampu hadapan reflektor halogen pada Saga sedia ada. Lampu berkenaan menampilkan rekaan yang bersegi menonjolkan imej yang lebih premium. Pada bahagian bampar hadapan, ia dilengkapi dengan gril lebar dengan jaring mesh serta menempatkan bar nipis yang turut dipadankan dengan lampu kabus berbentuk bulat. Roda aloi yang sporty dan tayar berprofil rendah turut menyerlahkan lagi lakaran ini.

    Saga baharu ini berkemungkinan dikuasakan dengan enjin 1.3 liter VVT yang sama seperti Iriz dan dipadankan dengan pilihan transmisi manual lima-kelajuan atau CVT automatik. Untuk peringkat seterusnya, Saga baharu ini mungkin juga akan dijana oleh enjin baharu 1.0 liter dan 1.2 liter Proton yang kini masih dalam peringkat pembangunan dan dijangka mula memasuki produksi pada penghujung 2017.

    GALERI: Prototaip Proton Saga 2016

     
     
  • Volkswagen perkenal enjin 1.5 TSI EA211 evo baharu tampil pengecas turbo VTG dan teknologi kitaran Miller

    Volkswagen-1.5-litre-TSI-evo-engine-05-e1461901322980_BM

    Volkswagen telah memperkenalkan enjin baharu EA211 TSI evo di Vienna Motor Symposium ke-37. Enjin TSI terbaharu dengan kapasiti 1.5 liter ini akan dikeluarkan dengan dua varian talaan yang berkuasa 128 hp dan 147 hp dan bakal dilancarkan pada tahun ini. Enjin TSI genearsi baharu ini didakwa lebih efisien, lebih berkuasa dan lebih mesra alam.

    Enjin EA211 TSI evo ini menggunakan asas kitaran Miller dalam operasinya. Kitaran Miller adalah hampir sama seperti kitaran atkinson, yang memanjangkan tempoh kemasukan udara kedalam kebuk pembakaran dengan membuka seketika injap kemasukan semasa omboh mula bergerak keatas pada lejang mampatan bagi membolehkan lebih udara digunakan semasa pembakaran yang berlaku pada lejang kuasa. Apa yang membezakan kitaran Atkinson dengan kitaran Miller adalah proses ‘menampung kejatuhan kuasa’ ketika kitaran ini berlaku di mana kitaran Atkinson menggunakan motor elektrik (sebab itulah mengapa kereta hibrid terkini selalunya menggunakan sistem ini), manakala untuk kitaran Miller ia menggunakan sistem induksi paksaan (supercharge/ turbo).

    Oleh itu, enjin EA211 mampu untuk mencapai nisbah mampatan setinggi 12.5:1, seterusnya kecekapannya meningkat 10% lebih baik berbanding enjin 1.4 TSI sedia ada dan penggunaan bahan api juga didakwa dapat dikurangkan sehingga satu liter untuk setiap 100 km perjalanan.

    Revolusi enjin baharu ini juga menyaksikan pemadanan pengecas turbo geometri bervariasi (VTG), menjadikan EA211 TSI evo enjin petrol pertama menggunakan pengecas turbo sebegini (sebelum ini VTG popular dipadankan pada enjin diesel). Pengecas turbo VTG ini masih digerakkan oleh aliran gas ekzos, tetapi geometri pada pengecas turbo tersebut akan berubah-ubah bergantung kepada keadaan dengan bantuan penggerak (actuator) elektrik. Ini membolehkan pengecas turbo ini memberikan tekanan boost yang sangat tinggi walaupun dalam kelajuan rpm enjin yang rendah.

    Sistem turbo VTG ini mengurangkan momen inersia seterusnya membolehkan tork maksima dicapai seawal 1,300 rpm dan memberikan respon 35% lebih cepat berbanding enjin 1.4 liter TSI terdahulu.

    Teknologi Silinder Aktif (ACT) Volkswagen masih lagi diteruskan pada enjin terbaharu ini membolehkan enjin empat silinder tersebut berfungsi dengan hanya tiga silinder ketika dipandu pada kelajuan malar mahupun ketika ‘merangkak’ dalam kesesakan lalu lintas.

    Kepala silinder ini juga telah dibina semula pada bahagian laluan air untuk proses penyejukkan enjin yang lebih efektif serta sudut injap dan kebuk pembakaran yang direka bagi membolehkan proses pembakaran lejang Miller boleh berjalan pada tahap paling optimum.

    Untuk pengurusan haba yang lebih cekap, sistem penyejukkan enjin ini dikawal oleh modul baharu. Modul ini memastikan air di dalam laluan pada crankcase dan keseluruhan dalam enjin kekal tidak bergerak ketika fasa pemanasan enjin sedang berjalan. Ini akan membolehkan enjin mencapai suhu bekerja yang optimum lebih cepat dan mengurangkan geseran ketika sesi pemanasan enjin tersebut berjalan.

    Pelapik silinder (cylinder liner) pada crankcase aluminium untuk enjin 147 hp disalut menggunakan proses semburan atmosfera plasma (APS). Serbuk bijian halus yang disembur dan digabungkan dengan proses mengasah pada tahap optima yang ditetapkan menghasilkan poket pelinciran yang sangat halus untuk memastikan geseran dan kehausan yang rendah semasa gegelang omboh (piston ring) bergerak.

    Faktor ini juga memberikan kadar nyah haba yang lebih bagus, dan menyumbang kepada pengurangan risiko berlakunya knocking semasa proses pembakaran dan mengurangkan kakisan dalam situasi pengguna terpaksa menggunakan petrol berkualiti rendah. Teknologi APS juga menunjukkan perlindungan terhadap kehausan yang sangat bagus dalam aplikasi hibrid.

    Sistem pancitan bahan api yang menampilkan teknologi common-rail juga merupakan ciri penting dalam enjin ini. Penggunaan optima dalam keseluruhan sistem dan komponen teknologi ini memberikan peningkatan kepada tekanan sehingga 350 bar. Ini memberikan pengurangan jumlah zarah emisi yang besar.

    Diameter mata pemancit bahan api telah dikurangkan kepada 6 mm, memberikan semburan bahan api yang lebih halus ke kebuk pembakaran. ia juga meningkatkan kekerasan dan mengurangkan suhu pada plat pemancit tersebut.

    Sistem penyejukan udara kemasukan tidak terus juga telah diubahsuai. Dengan posisi pemasangan baharu, saiznya kini adalah lebih besar dan semestinya udara kemasukan dapat disejukkan dengan lebih baik dan dicatatkan pada 15 Kelvin di bawah suhu udara persekitaran, memberikan prestasi pembakaran yang lebih bagus.

    Ciri baharu lain yang dilengkapi pada enjin ini termasuk pakej pengurangan geseran yang ektensif merangkumi pam minyak pelincir bervariasi yang di kawal sepenuhnya oleh kotak komputer, salutan polimer pada galas aci engkol utama dan penggunaan minyak pelincir kelikatan rendah 0W20.

     
     
  • Aplikasi iTeksi jamin perkhidmatan yang memuaskan

    Screen Shot 2016-04-29 at 12.44.34 PM

    Satu lagi aplikasi dalam talian untuk tempahan perkhidmatan teksi telah pun dilancarkan semalam, iTeksi, yang disasarkan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih memudahkan bagi orang ramai, sekali gus meningkatkan kualiti pengangkutan awam di negara ini.

    Menurut Pengarah Urusan iTeksi Malaysia, Harvinder Gill, hanya pemandu teksi yang mempunyai permit dan lesen sah layak menggunakan aplikasi itu, laporan Berita Harian.

    Selain memberikan kemudahan bagi menempah teksi menerusi dalam talian, iTeksi juga menitikberatkan aspek keselamatan pengguna dan kualiti pemandu bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan sentiasa terjaga.

    Katanya, “Memang banyak persepsi buruk diberikan terhadap pemandu teksi di negara ini. Justeru, dengan adanya aplikasi yang memegang prinsip utama mengenai kejujuran, kemudahan akses dan inovasi, diharap dapat membuatkan para pelanggan lebih berpuas hati dengan perkhidmatan teksi ini.”

    Beliau turut berkata, pembangunan aplikasi iTeksi telah mendapat kerjasama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi memastikan segala fungsi dalam aplikasi seperti meter mengikut spesifikasi dan undang-undang. Malah ia turut dilengkapi dengan halaman aduan. “Jika kami menerima aduan mengenai pemandu teksi yang melanggar undang-undang, tindakan disiplin akan diambil dengan segera,” ujarnya lagi.

    Buat masa ini, lebih 1,500 teksi yang beroperasi di Lembah Klang telah mendaftar dengan iTeksi. Aplikasi itu boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play dan App Store.

     
     
  • Nissan buka pusat ujian R&D di Thailand, hab Asia

    Nissan-X-Trail-Hybrid-Japan-14

    Nissan telah pun membuka Pusat Ujian R&D Nissan Motor Asia Pacific (NMAP) di Samut Prakan, Thailand. NMAP ini merupakan fasiliti baharu yang akan memberikan perkhidmatan untuk lima negara Asia termasuk Indonesia, Filipina, Malaysia, Vietnam dan Thailand sendiri. Malah ia juga boleh memberikan perkhidmatan ujian untuk lebih 90 buah negara di seluruh dunia.

    Nissan berkata, pusat ujian baharu ini juga akan menjadi hab R&D utama untuk negara Asia dengan memberikan perkhidmatan yang lebih pantas mengikut permintaan pasaran. Skopnya akan diperluaskan berbanding keperluan kualiti masa kini untuk pelancaran produk hingga ke fasa pembangunan produk termasuk ujian penilaian bagi model prototaip.

    “Kami akan memindahkan beberapa urusan kerja dari Jepun ke Thailand untuk memastikan produk yang ditawarkan menepati kehendak pasaran. Visi kami adalah untuk mengembangkan lagi tanggungjawab bagi fasa yang lebih meluas untuk perancangan kenderaan,” ujar Hiroshi Nagaoka, Timbalan Presiden Nissan Motor.

    Dengan pelaburan lebih dari satu juta baht, fasiliti ini terletak dalam kawasan seluas 6,600 meter persegi. NMAP yang merupakan pusat ujian pertama di Thailand, turut menawarkan fasiliti termasuk bilik akustik, bilik simulasi getaran dan banyak lagi. Menjelang hujung tahun 2016, seramai 330 kakitangan akan ditugaskan di sini termasuk barisan jurutera tempatan yang telah menjalani latihan pengkhususan di Jepun.

    “Pusat Ujian R&D NMAP ini bukan setakat mengorak langkah baharu bagi Nissan di Thailand sahaja, bahkan keseluruhan pembangunan industri automotif di negara ini,” ujar Kazutaka Nambu, presiden Nissan Motor Thailand.

    Sebanyak 12 model akan diuji di pusat baharu ini, termasuk Navara, Almera dan X-Trail Hybrid. Sehingga kini Nissan telah memiliki 13 buah pusat R&D di seluruh dunia.

     
     
  • Volkswagen umum kerjasama dengan FAW, bakal lancar jenama bajet untuk China menjelang 2018

    VW Taigun Delhi 2014-01

    Walaupun dilanda dengan masalah skandal dieselgate, Volkswagen mengakhiri suku pertama tahun 2016 dengan mendahului carta jualan pada peringkat global menewaskan jenama-jenama lain dri seluruh dunia. Kini pembuat kenderaan dari Jerman tersebut mengesahkan akan melancarkan jenama bajet mereka untuk pasaran China menjelang tahun 2018. Untuk tujuan ini, VW akan berkerjasama dengan rakan kongsi dari China iaitu FAW dengan dua model SUV disenaraikan, lapor Autocar.

    “Di China kami berusaha sepenuhnya untuk kenderaan bajet ini dengan kerjasama FAW-Volkswagen. Kami merancang untuk menubuhkan satu jenama bebas disana,” kata CEO Volkswagen Group Matthias Müller semasa sidang media mengumumkan keputusan tahunan syarikat itu.

    Tiada perincian lain diberikan selain pengesahan dua buah SUV akan dikeluarkan pada peringkat permulaan jenama baharu tersebut. Menurut spekulasi dari Autocar, dua buah SUV tersebut mungkin bersaiz sederhana, dan untuk peringkat berikutnya jenama berkenaan mungkin akan mengeluarkan model sedan dan hatchback pula. Perkongsian platform semestinya berlaku untuk mengurangkan kos produksi.

    VW Cross Coupe GTE-02

    Ada desas-desus mengatakan Volkswagen Group akan menjual sebahagian dari jenama yang bernaung di bawah kumpulan itu berikutan kerugian yang ditanggung menerusi skandal diesel yang dihadapi, tetapi tanggapan tersebut jelas meleset. Dengan jenama baharu yang telah disahkan oleh Müller tersebut tidak akan dikembangkan ke pasaran lain, Volkswagen Group mempunyai sejumlah 13 jenama yang berdiri dibawah payung mereka.

    “Dalam fikiran saya, 13 jenama bukanlah kelemahan sebaliknya ia adalah kekuatan. Pada masa ini, kami tidak akan membuat pertimbangan sedemikian,” jelas Müller.

    Selain dari Volkswagen, Renault juga telah menubuhkan jenama bajet mereka iaitu Dacia dan begitu juga dengan Nissan yang menerbitkan kembali jenama Datsun, memfokuskan pasaran kereta bajet untuk pasaran Eropah, Asia dan Russia.

     
     
  • Hyundai Elantra Sport dilancarkan – 1.6 T-GDi, 204 hp

    2016-Hyundai-Elantra-Sport-1-e1461894419609

    Selepas dikesan ketika diuji di jalan raya, Hyundai Elantra Sport 2016 baharu akhirnya telah dilancarkan di negara kelahirannya, Korea Selatan. Dengan dikenali sebagai Avante Sport, pastinya versi ini lebih hot bagi Elantra generasi keenam, yang menerima banyak perubahan.

    Untuk bahagian luarannya, gaya yang lebih agresif dipertaruhkan. Bahagian hadapannya dilengkapi dengan bampar yang lebih besar dengan corong udara yang juga besar dan lampu nyalaan siang LED. Gril trapezoidal pula dilingkari warna hitam, bersama logo’Sport’ merah. Malah lampu utama HID juga menampilkan rekaan grafik baharu dengan kekemasan merah.

    Penampilannya juga menyerlah pada pandangan sisi, Elantra Sport ini turut dipadankan dengan skirt sisi dan rim aloi 18-inci yang dibaluti tayar 225/40R18. Sementara itu, bahagian belakangnya juga ditampilkan dengan bampar yang direka semula serta padanan tip ekzos krom serta elemen peresap palsu. Malah lampu belakang kombinasi LED turut menyerlahkan lagi penampilannya.

    Bahagian kabinnya, imej sporty turut merajai segenap ruang. Termasuklah menampilkan ciri gentian karbon palsu atau sentuhan merah pada bahagian papan pemuka dan beberaka bahagian lain. Malah tempat duduk sports bucket merah-hitam (dengan sulaman ‘Sport’), roda stereng leper di bawah dengan kluster instrumen yang dipertingkatkan antara elemen yang memperbaharui ruangan dalaman.

    Dengan imej baharu (dan yang dipertingkatkan) pastinya seiring sejalan dengan prestasi yang turut dipertingkatkan. Di bawah hud, ia menampilkan enjin 1.6 liter Gamma T-GDi pengecas turbo empat-silinder dengan output 204 hp dan 265 Nm. Ia adalah kuasa tambahan sebanyak 57 hp dan 86 Nm lebih tork berbanding dengan model Elantra sedia ada di pasaran USA (2.0 liter Nu MPI).

    Ia juga dipadankan dengan kotak gear standard manual enam-kelajuan, di samping pilihan DCT tujuh-kelajuan.

    Bukan setakat kuasa prestasi yang dipertingkatkan, Hyundai turut memadankan Elantra Sport ini dengan suspensi belakang multi-link berbanding palang torsion standard, sekali gus mampu menambah faktor pengendalian yang lebih menyeronokkan.

    Elantra Sport ini adalah edisi terkini bagi barisan Elantra generasi keenam, dan dijangka akan tampil di Amerika dalam penganjuran SEMA Show 2016 Oktober ini.

     
     
  • Yamaha 125ZR 2016 – Tampil dengan warna baharu

    16-Apr-27-Y125ZR-Bro-1-Front_BM

    Hong Leong Yamaha Malaysia telah mengumumkan warna baharu untuk Yamaha 125ZR. Warna hitam sedia ada telah digugurkan dari senarai pilihan warna, dan digantikan dengan warna kuning, tanpa kenaikan harga.

    Warna merah dan biru masih lagi kekal dalam brosur, begitu juga dari segi mekanikal. 125ZR dijana oleh enjin dua lejang 124.3 cc, satu-silinder, penyejukkan udara. Enjin ini mampu menjana sejumlah 17 hp dan tork maksima 16.1 Nm pada takat 7,500 rpm, memacu roda menerusi kotak gear enam-kelajuan.

    Menurut sumber dari HLYM, walaupun 125ZR menggunakan enjin dua-lejang, ia masih lagi boleh kekal dalam pasaran dengan pengecualian khas yang diberikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan juga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Pengecualian tersebut memberikan kuota produksi yang terhad untuk 125ZR dan perlu dipohon dan diperbaharui setiap tahun.

    Enjin 125ZR masih disuap dengan bahan api menerusi sistem karburator dan dilengkapi dengan tangki petrol berkapasiti 5.5 liter. Berat keseluruhan 125ZR ditimbang pada 101 kg, dan ‘kapchai’ super ini dilengkapi dengan brek cakera pada bahagian hadapan dan belakang. Harga Yamaha 125ZR 2016 kekal pada RM7,269 dan model dengan warna kuning baharu tersebut kini telah tiba di bilik pameran Yamaha.

     
     
  • Honda BR-V – India terima enjin 1.5 i-DTEC, 21.9 km/l

    2016-Honda-BR-V-India-42-e1461837202279

    Honda BR-V telah pun mula dipasarkan di Thailand dan Indonesia. Pada 5 Mei 2016, giliran India pula akan menerima kehadiran SUV ini di pasaran. Menurut Indian Autos Blog, dua enjin Earth Dreams akan ditawarkan di negara itu.

    Pilihan pertama ialah enjin petrol 1.5 liter SOHC i-VTEC, yang turut digunakan oleh City. Namun pada BR-V, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 119 PS dan tork 145 Nm. Enjin tersebut juga akan dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau CVT (bersama pedal penukar gear), dengan menyalurkan pacuan ke roda hadapan.

    Turut ditawarkan ialah enjin diesel 1.5 liter i-DTEC, yang juga digunakan oleh City (India menerima kedua-dua varian petrol dan diesel). Enjin ini mampu mengeluarkan output sehingga 100 PS dan tork 200 Nm. Tidak seperti enjin petrol, ia hanya dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

    2016-Honda-BR-V-India-9-e1461837254155

    Kedua-dua enjin juga telah diuji oleh Automotive Research Association of India (ARAI) untuk pengesahan tahap penjimatan bahan api. Bagi penjana kuasa petrol, ia dianggar menggunakan sekitar 15.4 km/L (manual) dan 16 km/L (CVT). Manakala bagi diesel pula, 21.9 km/L.

    BR-V di India juga ditawarkan dengan varian tujuh-tempat duduk sahaja, seperti yang dipasarkan di Indonesia. Di republik tersebut, SUV ini hanya ditawarkan dengan penjana kuasa petrol sahaja, bersama pilihan transmisi manual enam-kelajuan atau CVT. Walau bagaimana pun, di Thailand, BR-V didatangkan dengan varian tujuh- dan lima-tempat duduk. Kedua-duanya dikuasakan oleh enjin petrol yang sama iaitu 1.5 liter i-VTEC, dipadankan dengan CVT sahaja.

    Harga BR-V bagi pasaran Indonesia bermula 227,500,000 rupiah (RM67,060) sehingga 262,500,000 rupiah (RM77,485). Manakala di Thailand pula, harga bermula 750,000 baht (RM83,407) hingga 820,000 baht (RM91,207). Bagi India pula, harganya dijangka antara 850,000 rupees (RM49,800) hingga 1,115,000 rupees (RM65,270).

     
     
  • Teaser Honda Accord Hybrid untuk pasaran Thailand

    Honda-Accord-Hybrid-Thailand-teaser-BM

    Honda Thailand telah menyiarkan teaser Honda Accord Hybrid di laman web mereka sebelum model tersebut dilancarkan di sana. Sedan hibrid segmen-D yang baharu saja diperkenalkan untuk peringkat global itu bukan sahaja mendapat rupa yang lebih segar seiras dengan Accord facelift 2016, ia turut mendapat unit janakuasa hibrid yang lebih berkuasa dan lebih cekap tenaga.

    Spesifikasi sebenar belum lagi dikeluarkan oleh pihak Honda Thailand, tetapi boleh dijangkakan ia adalah sama dengan Accord Hybrid pasaran Amerika Syarikat. Accord Hybrid di Amerika Syarikat dijana oleh enjin petrol i-VTEC kitaran Atkinson 2.0 liter empat silinder dan digabungkan dengan dua motor sistem hibrid i-MMD. Ia mampu menjana kuasa keseluruhan 221 hp dan dikatakan mampu untuk mencapai penggunaan bahan api 20.4 km untuk setiap liter petrol dalam ujian kitaran US EPA.

    Menurut teaser yang disiarkan tersebut juga, Accord Hybrid pasaran Thai akan dilengkapi dengan pakej sistem keselamatan Honda Sensing yang merangkumi sistem Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC), Sistem Brek Pencegah Pelanggaran (CMBS), Road Departure Mitigation (RDM) dengan Amaran Keluar Laluan (LDW) dan Sistem Bantuan Kekal Laluan.


    Klik untuk besarkan

    Seperti yang disebut tadi, Accord Hybrid menampilkan rupa luaran seiras Accord facelift. Berdasarkan imej teaser berkenaan, sedan hibird ini akan dilengkapi dengan lampu hadapan LED dan lencana-lencana ‘Hybrid’ ditempat sepatutnya. Walaubagaimana pun, rim untuk pasaran Thailand ini mungkin tidak sama seperti untuk pasaran Amerika Syarikat. Bahagian dalaman model hibrid ini juga mungkin seiras dengan varian bukan hibrid.

    Dengan penyiaran teaser ini, Thailand sah akan memasarkan varian hibrid untuk Accord. Malaysia masih lagi menunggu detik pelancaran Civic generasi ke-10 dan juga Accord facelift 2016. Dengan skim diskaun cukai untuk kenderaan hibrid hanya diberikan kepada kenderaan yang dipasang di dalam negara (CKD) sahaja, Accord Hybrid hanya akan dipasarkan di Malaysia jika Honda Malaysia bersedia untuk memasang kereta ini di kilang mereka di Melaka. Jika tidak, harga varian ini tentunya sangat mahal dan tidak kompetitif untuk bersaing dengan Toyota Camry Hybrid.

     
     
  • Pos Malaysia menerima penghantaran 553 unit trak pikap Tata Xenon untuk perkhidmatan Pos Laju

    pos-malaysia-tata_BM

    Pos Malaysia telah menerima penghantaran sejumlah 553 unit trak pikap Tata Xenon. Trak-trak pikap tersebut bakal digunakan untuk operasi penghantaran kurier, ekpress dan bungkusan Poslaju syarikat tersebut.

    Tata Xenon cab tunggal 4×2 dikuasakan dengan enjin turbodiesel 2.2 liter berkuasa 140 PS dan tork maksima 320 Nm bermula pada 1,700 rpm hingga 2,700 rpm. Trak pikap dengan badan kotak binaan khas ini dilengkapi dengan kamera undur dan akses pada bahagian belakang dan kedua belah bahagian tepi untuk memenuhi keperluan pengunaan pihak Pos Malaysia.

    pos-malaysia-tata-2_BM

    Perjanjian yang dilakukan pada November 2015 menyaksikan Pos Malaysia mengambil keputusan untuk menyewa trak pikap menerusi fasiliti DRB-Hicom EZ-Drive. Tempoh sewaan ditetapkan dalam masa 36 bulan, dengan pilihan sambungan sewaan untuk 24 bulan berikutnya.

    Kenderaan komersial Tata Motors diedarkan di Malaysia oleh DRB-Hicom Commercial Vehicles, dan Pos Malaysia juga adalah syarikat di bawah naungan DRB-Hicom. Penghantaran kesemua unit trak pikap ini disempurnakan oleh bekas CEO Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah yang kini merupakan Ketua Pegawai Operasi edaran automotif dan pertahanan di DRB-Hicom.

    GALERI: Trak pikap Tata Xenon

     
     
  • Bas percuma dikembangkan ke Sepang dan Selayang

    selangor smart bus

    Bermula bulan hadapan, perkhidmatan bas percuma kerajaan negeri Selangor akan dikembangkan ke Sepang dan Selayang, menurut laporan The Sun. Laluan baharu ini akan meluaskan kawasan yang diliputi oleh perkhidmatan bas percuma tersebut. Perkhidmatan yang dikenali sebagai Bas Selangorku ini diperkenalkan buat pertama kali pada Januari lalu di Subang Jaya, Shah Alam dan Kajang dan kemudiannya dikembangkan ke Ampang dan Kajang.

    Perkhidmatan di laluan Sepang akan dimulakan pada minggu ketiga bulan Mei. Dua buah bas yang setiap satunya boleh membawa 40 penumpang dalam satu-satu masa akan digunakan pada laluan sejauh 58.4 km, bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) menuju ke KLIA 2, ERL Salak Tinggi, Sungai Pelek dan berakhir di Tanjung Sepat, dengan kekerapan setiap setengah jam.

    Menurut presiden Majlis Perbandaran Sepang Datuk Puasa Md Taib, kerajaan negeri telah memberikan sejumlah RM600,000 untuk tujuan pengurusan perkhidmatan bas percuma ini. “Perkhidmatan sebegini memang diperlukan, tetapi kami hanya menyediakan dua buah bas setakat ini untuk laluan tersebut. Jika maklum balas yang diterima adalah baik, kami akan menulis kepada kerajaan negeri untuk meminta lagi bas tambahan,” kata beliau.

    Di Selayang, perkhidmatan bas percuma akan bermula pada 1 Mei, dan akan melalui laluan tunggal 30 km. Servis tersebut akan bermula dari Stadium Selayang di Bandar Baru Selayang dan berakhir di Terminal Putra, Gombak, melalui balai polis Gombak, Hospital Selayang, Selayang Baru, Batu Caves, Greenwood dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

    “Kami telah mencadangkan empat buah bas dengan kadar kekerapan setiap 30 minit,” kata presiden Majlis Perbandaran Selayang Suliman Abd Rahman. Dijangkakan seramai 20,000 penumpang yang terdiri dari pelajar dan warga emas akan menggunakan perkhidmatan bas percuma ini.

     
     
  • Naza Kia Malaysia hantar juara kejohanan futsal Kia Champ Into The Arena ke peringkat global di Perancis

    Naza-Kia-Futsal-Winners_BM

    Kejohanan futsal Kia Champ Into The Arena yang dianjurkan oleh Naza Kia Malaysia (NKM) berakhir setelah pasukan yang menjuarai kejohanan tersebut diumumkan.

    Pertandingan yang menyaksikan 64 pasukan bertarung merebut kejuaraan tersebut tamat setelah pasukan Puchong Fuerza A dinobatkan sebagai juara dan akan mewakili Malaysia pada kejuaraan Kia Champ Into Arena peringkat global yang akan dilangsungkan di Bordeux Julai ini. Pasukan yang terdiri dari enam orang pemain itu juga menerima tajaan sepenuhnya dari Kia perjalanan ke Perancis, wang tunai berjumlah RM6000, trofi, medal, dan juga tiket untuk menyaksikan perlawanan suku akhir kejuaraan Euro 2016. NKM juga telah memberikan sejumlah RM19,000 dalam bentuk tunai kepada pemenang-pemenang lain.

    “Cinta rakyat Malaysia kepada futsal dan bola sepak tidak boleh disangkal. Sukan ini menyatukan rakyat Malaysia dan mengispirasikan semangat, ketangkasan, dan juga keazaman. Ini jelas ditunjukkan dalam Kia Champ into Arena dan menjadi sebab utama mengapa pasukan yang menang layak untuk bertanding dalam kejohanan futsal yang diadakan sempena Euro 2016 di Perancis,” kata Datuk Samson Anand George, Ketua Pegawai Operasi kumpulan Naza.

    Selain dari Kia Champ Into the Arena, NKM turut memberikan peluang kepada seorang rakyat Malaysia yang bertuah untuk memenangi perjalan yang ditaja sepenuhnya ke Perancis untuk menonton perlawanan pembukaan Euro 2016. Pelanggan yang memandu uji mana-mana model Kia akan menerima sekeping kupon cabutan bertuah yang terus melayakkan mereka untuk menyertai peraduan tersebut. Pemenang bagi cabutan bertuah ini akan diumumkan Mei nanti.

     
     
  • Mazda MX-5 RF bakal mendarat di Malaysia

    MX-5 RF coming soon

    Posted by Mazda Malaysia on Wednesday, 27 April 2016

    Laman facebook ‘Mazda Malaysia’ yang diselia oleh salah sebuah pengedar sah Mazda di Malaysia – Thrive Glory, mengumumkan Mazda MX-5 RF akan tiba ke pasaran tempatan pada masa akan datang.

    Walaubagaimana pun agak sukar untuk dijangka bila MX-5 RF ini akan mendarat di Malaysia kerana perkataan ‘akan datang’ tersebut tidak membayangkan berapa lama lagi masa yang perlu ditunggu. Versi RF ini baru sahaja membuat kemunculan sulung di peringkat globalnya Mac lalu ketika berlangsungya New York International Auto Show (NYIAS) 2016, dan kebanyakkan pasaran utama dunia belum lagi menerima MX-5 ini. MX-5 varian soft-top sudahpun dilancarkan di Malaysia oleh pihak Bermaz, jadi kehadiran varian RF ini semestinya tidak akan berdepan dengan apa-apa masalah.

    RF adalah akronim kepada’Retractable Fastback‘. Ia adalah rekaan pertama seumpamanya dan berbeza sedikit dari cabriolet atau convertible biasa. Jika bumbung kereta ini terpasang, bentuk keseluruhan MX-5 RF adalah hampir kepada bentuk Fastback (seperti Ford Mustang Fastback atau Toyota Celica Fastback generasi pertama) dan tidak seperti Roadster hardtop lain. Selepas bumbung dibuka dan dilipat kedalam pula, penampilan RF ini lebih kepada sebuah kereta sport ‘Targa Top‘ (seperti Toyota Supra Targa Top atau Porsche 911 Targa), dan tidak kelihatan seperti Roadster.

    Bumbung kereta ini menampilkan panel sisi yang berbentuk curam sehingga kebahagian belakang. Jika dilihat dari profil sisi, garisan bahagian bumbung yang bermula dari tiang-A hingga kebahagian panel sisi belakang bergabung dengan garisan badan yang beralun bermula dari bahagian muncung hingga ke but belakang, menghasilkan bentuk badan yang begitu unik dan mirip kepada sebuah fastback.

    Apabila bumbung MX-5 ini dilipat, panel sisi belakang masih kekal ditempatnya dan jika dilihat lagi dari profil sisi, ia kini kelihatan lebih mirip kepada sebuah Targa Top berbanding sebuah Roadster. Walaupun mekanisma antara varian RF dan varian soft-top standard agak berbeza, ruang but belakang adalah kekal dengan kapasiti 130 liter.

    Mazda tidak mengumumkan apa-apa perubahan dari segi sistem dan komponen mekanikal. MX-5 RF masih lagi dikuasakan dengan pilihan enjin petrol SkyActiv-G sama ada dengan kapasiti 1.5 liter atau 2.0 liter. Enjin tersebut juga dipadankan dengan pilihan transmisi sama ada enam-kelajuan automatik atau enam-kelajuan manual. Walaubagaimana pun, setakat ini untuk MX-5 soft-top pasaran Malaysia hanya boleh didapati dengan kotak gear automatik.



    GALERI: Mazda MX-5 2.0

     
     
  • Persimpangan bertingkat di Seksyen 7 Shah Alam dibuka hari ini – dapat kurangkan 43% kesesakan

    icity-flyover

    Mulai 3 petang hari ini, persimpangan bertingkat di Seksyen 7, Shah Alam, dibuka pada lalu lintas. Menurut Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Azlan Md Alifiah, pembukaan persimpangan sepanjang 5km berkenaan akan memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 kenderaan di kawasan sekitar dan mengurangkan kesesakan di Seksyen 7.

    Dengan adanya persimpangan bertingkat ini, ia dikatakan mampu menyuraikan kepadatan trafik antaranya di Persiaran Kayangan, Lorong Keluli, Persiaran Bistari dan Padang Jawa terutamanya pada waktu puncak sebanyak 43%, laporan Bernama.

    Majlis perasmian persimpangan ini telah disempurnakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Tambah Azlan, pembinaan persimpangan berkenaan bermula dari Lebuhraya Persekutuan di Plaza Tol Sungai Rasah ke Kawasan Pembangunan Seksyen 7 merupakan inisiatif kerajaan negeri melalui Menteri Besar Diperbadankan (MBI) yang PKNS sebagai pengurus projek.

    Dengan kos pembinaan sebanyak RM50 juta, ia mula dibina sejak tahun 2012, dan telah pun siap pada tahun lalu turut dipantau oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

     
     
  • Kerajaan terus didesak haramkan Uber dan GrabCar

    Taxi protest KL 8 April 2016 feat 1

    Kemelut yang melanda perkhidmatan teksi kian parah selagi tiada keputusan daripada pihak kerajaan dalam menangani isu ini. Terbaru, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang, Zailani Isausuludin, menyeru agak kerajaan mengharamkan perkhidmatan Uber dan Grabcar yang didakwa beroperasi tanpa undang-undang sah.

    Katanya, perkhidmatan terbabit menyebabkan pendapatan lebih 70,000 pemandu teksi di sekitar Lembah Klang terjejas, laporan Berita Harian. Justeru, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didesak untuk menguatkuasakan undang-undang seperti termaktub di bawah kedua-dua agensi itu.

    “Sudah termaktub dalam undang-undang yang tidak tidak membenarkan kenderaan persendirian yang tiada lesen mengendali, beroperasi sebagai kenderaan awam. Tapi bagaimana SPAD dan JPJ boleh membenarkan Uber dan Grabcar beroperasi, sedangkan pemandu teksi mempunyai syarat yang perlu dipatuhi untuk mengendali kenderaan awam,” katanya.

    Pagi ini, kira-kira 100 pemandu teksi berhimpun secara aman di hadapan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini bagi menyokong permohonan injuksi untuk menghalang perkhidmatan Uber dan Grabcar. Mereka bagaimanapun bersurai kira-kira jam 11 pagi.

    Pada penghujung Mac lalu, sekumpulan pemandu teksi berkumpul dan memberhentikan kenderaan mereka di hadapan kompleks membeli belah Fahrenheit 88 sepanjang Jalan Bukit Bintang, sebagai tanda protes terhadap Uber dan GrabCar.

     
     
  • Sistem aliran bebas pelbagai lorong di lebuhraya bakal dilaksana menjelang 2020 – Kementerian Kerja Raya

    toll booth

    Malaysia dijangka akan melaksanakan sistem aliran bebas pelbagai lorong (MLFF) di lebuhraya menjelang tahun 2020.

    Ia dikatakan akan memudahkan pengguna jalan raya yang tidak perlu beratur panjang serta mengelak kesesakan untuk membayar tol. Di mana, pengguna tidak perlu memperlahankan kenderaan apabila melalui lorong MLFF kerana sistem itu akan terus merakam kenderaan yang melaluinya dan bayaran ditolak pada akaun pengguna, laporan The News Strait Times.

    Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, sistem ini akan membolehkan pembayaran tanpa tunai yang lebih pantas di lebuhraya. “Sistem transaksi tol secara elektronik (ETC) yang telah diimplementasikan setakat ini di di 51 dari 177 plaza tol di seluruh negara telah menunjukkan keberkesannnya. Bayaran tunai di plaza tol akan dihentikan sepenuhnya pada tahun 2018.

    Katanya lagi, selepas semua plaza tol mengimplementasi sistem ETC, barulah akan diperkenalkan aliran bebas lorong tunggal pada tahun 2019 dan aliran bebas pelbagai lorong pula pada 2020.

    “Kita akan menggunakan pelekat yang dipasang di kenderaan (yang menyimpan nilai bagi pembayaran tol). Sistem ini akan dikendalikan oleh penyedia perkhidmatan seperti yang ditawarkan oleh Touch ‘N Go. Dengan MLFF ini, bayaran tanpa tunai boleh dilakukan secara lebih pantas,” jelasnya.

    Rosnah turut berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Lmebaga Lebuhraya Malaysia, sistem ETC berjaya mengurangkan kesesakan antara 30% hingga 50% di plaza tol.

    “Manakala kadar penggunaan di kalangan pemandu turut meningkat dari 65% jke 85% selepas ETC diimplementasikan, di mana ia telah mengurangkan masa mereka. Dianggarkan enam saat diperlukan untuk bayaran di laluan Touch ‘N Go, tiga saat di laluan Smart Tag, berbanding waktu menunggu sekurang-kurangnya 15 saat di lorong tunai,” ujarnya lagi.

     
     
  • Hennessey rancang pakej talaan Honda NSX 2017

    2017 Acura NSX

    Hennessey Performance, jenama yang sinonim dengan dunia talaan Muscle Car Amerika, akan menala supercar baharu dari Jepun – Honda NSX, atau lebih dikenali sebagai Acura NSX untuk pasaran Amerika.

    Seperti yang diumumkan di laman web mereka, Hennesey akan menawarkan banyak peralatan prestasi tinggi untuk talaan enjin 3.5 V6 twin turbo Honda NSX termasuk komponen untuk sistem turbo, ekzos keluli tahan karat, intercooler, roda aloi lebih ringan dan pelbagai lagi. Tetapi, setakat ini pengumuman tersebut belum lagi disertakan dengan perincian menyeluruh berkenaan komponen-komponen tersebut.

    Dalam keadaan standard, Acura NSX dijual pada harga bermula USD$156,000 (RM609,927) untuk pasaran Amerika Syarikat. Ia dijana oleh enjin V6 3.5 liter turbo berkembar berkuasa 500 hp dan tork maksima 550 Nm dan digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 47 hp dan tork maksima 148 Nm. Kesemua kuasa ini dialirkan ke roda belakang menerusi kotak gear klac berkembar automatik sembilan-kelajuan. Bukan itu sahaja, sepasang motor elektrik berkuasa 72 hp/146 Nm dipadankan pada kedua-dua roda hadapan, menjadikan NSX supercar pacuan semua roda dengan jumlah kuasa terkumpul 573 hp dan tork maksima 645 Nm.

    Produksi NSX telah pun bermula April ini di kilang khas yang dibina di Marysville, Ohio. Dibina secara ekslusif sepenuhnya di dalam fasiliti tersebut, NSX menampilkan pelbagai teknologi terkini termasuk kerangka badan aluminium diperkuat yang dibina dengan pelbagai material.

    GALERI: Honda NSX di Tokyo 2015

     
     
  • GALERI: Mazda 2 dan Mazda CX-3 2016 dengan pilihan warna tambahan baharu, tiada penambahan harga


    Deep Crystal Blue Mica (kiri), Smokey Rose Mica (kanan)

    Sebelum ini kami telah melaporkan Mazda 2 2016 yang kini dilengkapi dengan lampu hadapan LED, turut ditawarkan dengan empat warna tambahan. Begitu juga dengan crossover CX-3, ia turut menerima dua pilihan warna baharu. Jadi, kami telah ke bilik pameran untuk memberikan anda gambaran sebenar model-model yang menerima pilihan warna-warna baharu ini.

    Kerana jumlah stok yang terhad buat masa sekarang, kami hanya memperolehi gambar dua daripada empat pilihan warna untuk Mazda 2 iaitu Smokey Rose Mica dan Deep Crystal Blue Mica (dua lagi warna ialah Dynamic Blue Mica dan Black Mica). Kedua-dua buah Mazda 2 dengan warna baharu ini turut dilengkapi dengan pakej ‘sports kit’ iaitu kit badan yang merangkumi lips bampar depan dan belakang, skirt sisi dan juga spoiler belakang.

    Kit tersebut boleh diperolehi dengan tmabahan kos RM2,300 untuk sedan dan RM2,370 untuk hatchback. Harga Mazda 2 untuk varian sedan dan hatchback ini pula adalah sama iaitu RM90,766.30 (atas jalan tanpa insuran). Tiada penambahan harga untuk warna-warna baharu tadi tetapi untuk warna signatur Soul Red, tambahan RM530 masih lagi dikenakan.

    Tiada apa-apa perubahan ditampilkan pada sistem mekanikal. Mazda 2 kekal dikuasakan dengan enjin 1.5 liter SkyActiv-G empat silinder dengan sistem pancitan bahan-api terus menjana 114 hp pada 6,000 rpm dan tork maksima 148Nm pada 4,000 rpm. Enjin tersebut dipadankan denga kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActiv-Drive memacu roda hadapan.


    Ceramic Metallic (kiri), Dynamic Blue Mica (kanan)

    Untuk CX-3, kedua-dua warna baharu – Ceramic Metallic dan Dynamic Blue Mica – telahpun berada di bilik pameran. Seperti juga Mazda 2, tiada peningkatan harga disaksikan pada CX-3, ia kekal dijual dengan harga atas jalan tanpa insuran RM131,218.

    CX-3 dikuasakan dengan enjin 2.0 liter SkyActiv-G empat silinder dengan sistem pancitan bahan api terus, berupaya menjana 154 hp pada 6,000 rpm dan tork maksima 204 Nm pada 2,800 rpm. Kesemua kuasa dari enjin disalurkan sepenuhnya ke roda hadapan menerusi kotak gear SkyActiv-Drive enam-kelajuan automatik.

    Mazda 2 dan CX-3 didatangkan secara standard dengan lampu hadapan LED, roda aloi, sistem infotainmen MZD Connect dengan skrin sesentuh tujuh-inci, Commander Control, paparan head-up, penghawa dingin automatik dan penukar gear.

    GALERI: Mazda 2 2016 Deep Crystal Blue Mica

    GALERI: Mazda 2 2016 Smokey Rose Mica

    GALERI: Mazda CX-3 2016 Ceramic Metallic

    GALERI: Mazda CX-3 2016 Dynamic Blue Mica

     
     
  • C205 Mercedes-Benz C-Class Coupe dilihat di Malaysia

    Mercedes-Benz-C-Class-Coupe-spotted-in-Malaysia-2-e1461758792488

    Ketika Mercedes-Benz Malaysia mengumumkan prestasi suku pertama 2016 baru-baru ini, mereka juga mendedahkan model C-Class Coupe baharu bakal dibawa masuk ke pasaran tempatan tidak lama lagi. Dan kelihatannya model tersebut sudah pun tiba di Malaysia, terima kasih kepada William Low yang memaparkan foto ini menerusi Facebook Malaysia Exotic Car Spotters.

    Menerusi foto ini, C-Class Coupe ini kelihatan diparkir di luar bilik pameran Mercedes-Benz. Ia dilengkapi dengan pakej AMG Line dengan menampilkan gril radiator berlian bersama bampar dan skirt sisi yang sporty.

    Dikhabarkan, ia bakal ditawarkan dengan dua varian iaitu C 200 Coupe dan C 300 Coupe (turut menunjukkan bahawa varian C 250 AMG Line juga akan ditawarkan). Model asas C 200 Coupe menerima rim aloi lima-jejari rekaan AMG 18-inci yang sama seperti C 250 AMG Line sedan. Sementara C 300 AMG pula dipadankan dengan rim pelbagai-jejari 19-inci seperti mana model C 300 Coupe.

    Bagi C 300 Coupe, ia turut dilengkapi dengan lampu utama Sistem Pencahayaan Pintar LED sepenuhnya. Lain-lain perincian masih belum dikenalpasti, namun dijangka agak sama dengan barisan sedan C-Class lain. Manakala C 200 Coupe pula mungkin ikut C 200 Avantgarde, dan C 300 Coupe pula kebarangkalian mempunyai persamaan dengan C 300 Line sedan.

    Jika ya, C 300 Coupe mungkin dipadankan dengan papan pemuka balutan kulit, unit hiburan COMAND Online 8-4-inci dan bumbung panoramik. Manakala C 200 Coupe pula dengan sistem hiburan Audio 20 CD dengan skrin paparan tujuh-inci.

    Bagi C 200, ia dijanakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder pengecas turbo dengan kuasa 184 hp dan tork 300 Nm (0-100 km/j dalam 7.3 saat). Sementara C 300 pula dengan kuasa 245 hp//370 Nm (6.0 saat). Ia juga dijangka dipadankan dengan transmisi 7G-Tronic, dengan pacuan roda-belakang. Tetapi tiada logo 4Matic tertera pada model ini.

    GALERI: C205 Mercedes-Benz C-Class Coupe

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026