Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Projek sambungan LRT siap sepenuhnya tahun ini

    liow tiong lai

    Projek sambungan laluan LRT yang merupakan sebahagian daripada projek utama dalam proses transformasi dan memperbaiki perkhidmatan pengangkutan awam dijangka akan siap sepenuhnya hujung tahun ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai seperti yang dilaporkan oleh The Star.

    “Ini akan membantu untuk memberikan pengangkutan awam yang cekap, selesa, dan boleh diharap menjelang 2020, khususnya untuk 10 juta penduduk yang dianggarkan tinggal di Kuala Lumpur dan Lembah Klang,” kata beliau pada laporan tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2015.

    “Sistem Hab Pemantauan Prestasi dan Sistem Perkhidmatan Teksi Berpusat yang akan siap hujung tahun ini juga akan menjadi platform untuk memantau perkhidmatan bas henti-henti dan teksi di dalam Kuala Lumpur dan Lembah Klang.”

    LRV-1

    “Juga termasuk dalam senarai adalah projek laluan MRT Sungai Buloh-Semantan dan sambungan kapasiti KL Monorail menjelang 2017, serta Sistem Tanpa Tunai Bersepadu untuk menyelaraskan sistem tiket menjelang 2018,” ujar beliau, dan turut menyatakan Lebuhraya Pan Borneo akan menjadi pemangkin dan merubah perkembangan ekonomi di Sabah dan Sarawak.

    Projek sambungan laluan LRT melibatkan dua laluan iaitu laluan Ampang dan laluan Kelana Jaya. Sambungan untuk laluan Ampang dengan jarak 18.1 km di bina dengan menempatkan 11 stesen baharu bermula dari stesen Sri Petaling dan melalui Kinrara, Puchong dan berakhir di Putra Heights. Empat stesen baharu yang akan dibuka pada 31 Mac ialah IOI Puchong Jaya, Pusat Bandar Puchong, Taman Perindustrian Puchong dan Bandar Puteri. Pembinaan stesen Puchong Perdana, Puchong Prima, dan Putra Heights masih lagi berjalan.

    LRT-Extension-Map

    Sambungan pada laluan Kelana Jaya pula melibatkan jarak 17.4 km dengan 13 stesen baharu dan akan menghubungkan stesen Kelana Jaya sedia ada ke Putra Heights, yang kemudiannya boleh dihubungkan ke laluan Ampang. Prasarana telah mengumumkan laluan Kelana Jaya berkenaan akan mula beroperasi pada 30 Jun tahun ini. Tren Bombadier Innovia Metro 300 baharu juga telah tiba di Malaysia, dan akan memulakan khidmatnya selepas laluan-laluan baharu ini mula dibuka.

    Sebelum ini, kepuasan orang awam terhadap pengangkutan awam negara dilaporkan meningkat dari 48% pada 2010 hingga 74% pada 2015 melalui Tinjauan Kepuasan Pelanggan (CSS) yang di lakukan setiap tahun. Angka tersebut dijangka akan meningkat setelah kesemua projek tambahan ini siap sepenuhnya kelak.

     
     
  • Ford Everest 2016 – 2.2L Trend 4×2 dan 3.2L Titanium 4×4 dipamerkan di siri jelajah Ford Go Further, 1Utama

    Ford-Everest-3.2-Titanium-preview-BM-37

    Nampak gayanya Ford Everest generasi ketiga semakin menghampiri detik pelancarannya. SUV yang pernah diperkenalkan di Beijing pada akhir 2014 ini, sedang dipamerkan di siri jelajah Ford Go Further di pusat membeli-belah 1Utama sehingga 2 Mei ini.

    Kedua-dua varian adalah dibangunkan/direka oleh Australia, merupakan SUV tujuh-tempat duduk yang akan ditawarkan untuk pasaran tempatan iaitu 2.2L Trend 4×2 dan spesifikasi tertinggi 3.2L Titanium 4×4. Minggu lalu, kami telah mendedahkan spesifikasi bagi varian untuk pasaran Malaysia, yang menampilkan penjana kuasa yang sama dengan model Ranger T6 facelift.

    Bagi varian Trend, ia dipadankan dengan enjin ZSD-422 2.2 liter empat-silinder Duratorq TDCI, yang mampu memberikannya kuasa sehingga 158 hp pada 3,200 rpm dan tork 385 Nm antara 1,600 hingga 2,500 rpm. Manakala varian Titanium pula, dikuasakan oleh enjin P5AT 3.2 liter empat-silinder Duratork dengan output 197 hp pada 3,000 rpm dan tork 470 Nm antara 1,750 hingga 2,500 rpm.

    Bagi transmisi, hanya ada satu pilihan sahaja iaitu kotak gear automatik SelectShift enam-kelajuan (berbanding Australia yang menerima pilihan manual enam-kelajuan).

    Untuk elemen yang ditampilkan pula, terdapat sedikit perbezaan antara kedua-dua varian. Elemen yang sama termasuk penghawa dingin dua-zon, kawalan kelajuan, lampu kabus depan dan belakang, rel bumbung bercat dan tempat duduk penumpang hadapan dengan dua cara larasan-manual.

    Bagi varian Trend, ia tidak didatangkan dengan Terrain Management System (TMS) dan locking rear differential. Walau bagaimana pun, kedua-dua elemen tersebut ada pada varian Titanium, sekali gus memberikan kawalan yang lebih padu ketika mengharungi laluan off-road. TMS juga memiliki empat mod berbeza iaitu Road, Sand, Snow dan Rock, yang dikawal dengan butang pilihan kawalan di sebelah tuil gear.

    Bagi imej luaran, Titanium tampil lebih banyak perbezaan berbanding Trend. Di mana model spesifikasi tertinggi Everest ini dipadankan dengan roda bersaiz 20-inci (Trend hanya 18-inci). Manakala mengenai pencahayaan, Titanium tampil dengan lampu utama projektor xenon bersama pelarasan auto dan lampu nyalaan siang LED. Manakala Trend hanya dengan unit projektor halogen. Lain-lain perbezaan termasuklah cermin sisi krom untuk Titanium (Trend sama dengan warna badan) dan bilah pengilap cermin auto.

    Bagi bahagian kabin pula, Titanium menerima lebih banyak elemen menarik termasuk corong penghawa dingin bagi tempat duduk barisan kedua dan soket kuasa tiga-pin 230 V.

    Selain itu, ia turut menampilkan pencahayaan ambien, cermin pandang belakang electrochromic, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, paparan skrin sesentuh lapan-inci, sistem hiburan SYNC 2 (dengan 10-pembesar suara), tempat duduk balutan kulit (lapan-cara larasan berkuasa untuk pemandu, dua-cara larasan berkuasa untuk penumpang hadapan) dan butang berkuasa untuk membaringkan tempat duduk barisan ketiga.

    Kesemua elemen tersebut tidak terdapat pada Trend. Ia hanya menampilkan skrin paparan berwarna 4.2-inci dan sistem multimedia standard (dengan lapan-pembesar suara), tempat duduk fabrik (empat-cara larasan manual untuk pemandu, dua-cara larasan manual untuk tempat duduk penumpang hadapan) dan tempat duduk barisan ketiga yang boleh dibaringkan secara manual.

    Bagi aspek keselamatan, Titanium menerima tujuh beg udara (pemandu, tempat duduk penumpang hadapan, sisi, tirai, lutut), sementara Trend tidak disertakan beg udara sisi dan tirai. Namun elemen keselamatan standard bagi Everest termasuklah Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), ABS, pengingat tali pinggang kaledar dan cagak Isofix, yang membuatkan ia menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP. Selain itu, bagi Titanium, ia turut menerima pengesan bantuan parkir hadapan dan belakang, kamera undur dan Ford MyKey.

    Terdapat empat warna luaran yang ditawar, dengan dua warna biasa bagi kedua-dua varian iaitu Aluminium Metallic dan Black Mica Metallic. Manakala tambahan warna bagi Trend ialah Cool White dan Sunset Metallic untuk Titanium. Buat masa ini, harganya masih belum diumumkan, namun mungkin dijangka sekitar RM200k bagi Trend, dan Titanium sedikit mahal dari itu.

    GALERI: Ford Everest 3.2L Titanium 4×4

    GALERI: Ford Everest 2.2L Trend 4×2

     
     
  • LEKAS ditutup sempena RHB Shimano Highway Ride

    RHB-Shimano-Highway-Ride

    Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) akan ditutup sementara kepada pengguna bermula pukul 5 petang 30 April hingga 3 pagi 1 Mei untuk memberi laluan kepada acara berbasikal malam RHB Shimano Highway Ride @ LEKAS 2016.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi LEKAS Sdn Bhd Wan Salwani Wan Yusoff, kira-kira 19 persimpangan akan ditutup iaitu dari Persimpangan Bertingkat Kajang Selatan hingga ke Persimpangan Paroi bagi memastikan kelancaran perlumbaan dan keselamatan peserta

    Beliau berkata anggaran jumlah trafik yang akan terjejas oleh penutupan itu ialah kira-kira 50,000 kenderaan.

    “Laluan alternatif telah dikenal pasti dan sebaik sahaja penutupan bermula, pengguna yang ingin menuju ke selatan seperti Seremban, Senawang dan Kuala Pilah dinasihati menggunakan Laluan Persekutuan 1 atau Lebuh Raya PLUS untuk meneruskan perjalanan masing-masing.

    “Bagi mendapatkan maklumat terkini dan bantuan mengenai penutupan lebuh raya itu, pengguna boleh menghubungi kami melalui Twitter @LEKAStrafik, Facebook Fan Page, LEKAS Highway atau infoline 1-800-88-8021,” katanya kepada Bernama.

     
     
  • SPAD gesa pengendali operasi teksi kaji dahulu model perniagaan Uber dan Grab sebelum menggunakannya

    Syed-Hamid-Albar

    Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggesa pengendali operasi teksi untuk melakukan kajian yang menyeluruh sebelum menggunakan model perniagaan yang sama seperti servis perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grab. Menurut laporan The Star, Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata model perniagaan yang bagus sahaja tidak mencukupi.

    Sebaliknya, pengendali operasi teksi perlu memastikan model perniagaan tersebut boleh diadaptasikan kepada operasi berkonsepkan jualan besar-besaran. “Contohnya, pemandu servis aplikasi perkongsian kenderaan perlu menyelenggara kenderaan mereka dengan baik kerana kenderaan tersebut adalah milik mereka dan atas tanggungan mereka sendiri. Pengendali operasi teksi tidak berkemampuan untuk menyelenggara dengan sepenuhnya sebuah teksi sahaja. Mereka perlu menyelenggara keseluruhan teksi milik mereka, jadi mereka tidak boleh menggunakan kaedah ini,” kata beliau.

    Syed Hamid turut mendedahkan dianggarkan 80% pengguna pengangkutan awam lebih gemar untuk menggunakan servis perkongsian kenderaan berbanding teksi tradisional, bukti populariti yang diraih mereka. Walaupun begitu, Pengerusi SPAD itu menyatakan ini bukan bermaksud servis teksi akan berkubur sepenuhnya. “Kita perlu melihat kepada penyelesaian yang membolehkan kedua-dua servis teksi dan aplikasi perkongsian kenderaan ini beroperasi bersama,” tambah beliau.

    Baru-baru ini, Kementerian Pengangkutan mengumumkan pemandu Grab dan Uber perlu untuk memiliki lesen vokasional PSV sebagai satu langkah yang diambil untuk mengawal selia perkhidmatan tersebut dalam negara. Walaubagaimana pun, implementasinya hanya akan berjalan setelah SPAD mengumpulkan maklum balas dari orang ramai.

    Beberapa kumpulan yang mewakili pemandu teksi dilihat tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa, termasuk SPAD, kerana gagal untuk mengambil tindakan terhadap pengendali servis perkongsian kenderaan tersebut di Malaysia. Dengan menegaskan servis aplikasi tersebut beroperasi secara haram tanpa lesen yang sah, mereka mengambil beberapa tindakan agar suara mereka kedengaran termasuk membuat beberapa protes jalanan sehingga menyebabkan beberapa laluan di Bandaraya Kuala Lumpur ditutup.

     
     
  • Ford perkenal enjin EcoBlue turbodiesel 2.0 liter serba baharu ganti enjin Duratorq 2.2 liter, 13% lebih efisien

    Ford telah mendedahkan siri enjin turbodiesel baharu dikenali sebagai Ford EcoBlue. Untuk peringkat permulaan, enjin baharu ini hadir dalam varian 2.0 liter pancitan bahan api terus, menggantikan enjin 2.2 liter Duratorq TDCi (yang diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2005), dengan beberapa talaan dan akan memenuhi undang-undang Euro 6 yang akan diperkenalkan pada September 2016 nanti.

    Enjin ini dijadualkan akan memasuki produksi dan menjana van Ford Transit dan Ford Transit Custom terbaharu dengan tiga pilihan talaan iaitu 105 PS, 130 PS dan 170 PS untuk kegunaan komersil. Ford juga mendakwa enjin baharu ini menawarkan 20% lebih tork (sehingga 340 Nm) yang hadir seawal 1,250 rpm berbanding enjin 2.2L TDCi.

    Untuk masa hadapan, barisan enjin diesel EcoBlue akan diperkembangkan termasuk varian 1.5 liter untuk digunakan pada kenderaan yang lebih kecil seperti Focus, C-Max, B-Max dan Fiesta. Menurut Ford, enjin-enjin tersebut berkemampuan menjana kuasa dari 100 PS hingga 240 PS. Enjin 2.2L TDCi terdahulu berkemampuan menjana 160 PS/400 Nm dan boleh ditemui pada Ranger, Everest dan Mazda BT-50.

    Ford-EcoBlue-2.0L-1-e1461741586376_BM

    Untuk mendapatkan tahap kecekapan yang lebih tinggi, Ford telah menggabungkan banyak teknologi dalam rekaan enjin EcoBlue ini. Enjin baharu ini menampilkan rekaan manifold kemasukan udara yang dibina sekali dengan kepala silinder enjin. Ia menggunakan rekaan liang kemasukan imej-cermin yang dapat mengawal jumlah kemasukan udara ke kebuk pembakaran dengan lebih tepat.

    Unit pemancit bahan api piezoelektrik baharu juga turut dipadankan pada enjin baharu ini. Nozel pemancit tersebut berupaya untuk memberikan sehingga enam suntikan untuk setiap proses pembakaran, dengan sesi suntikan berlaku sepantas 250 mikro saat (0.00025 saat) dan memberikan kapasiti suntikan diesel sebanyak 0.8 mg, menerusi lapan lubang halus berdiameter 120 mikron. Ini membolehkan penghantaran bahan api ke kebuk pembakaran dilakukan dengan lebih tepat dan terkawal.

    Antara rekaan terkini pada enjin EcoBlue ini termasuk rekaan aci engkol yang dibina dengan ukuran offset 10 mm untuk mengurangkan geseran di dinding silinder pada blok besi, diameter galas aci engkol yang dikecilkan, sistem pelinciran tali sawat basah untuk aci sesondol dan pam minyak pelincir, dan juga rekaan injap yang memberikan prestasi optimum dengan modul aci sesondol tunggal serba baharu. Inovasi-inovasi ini akan mengurangkan geseran di dalam enjin dan membawa kepada peningkatan kecekapan bahan api sehingga 13%.

    Ford-EcoBlue-2.0L-2-e1461741703715_BM

    Roda turbin aloi inkonel yang mampu berfungsi dalam suhu yang sangat tinggi pada unit pengecas turbo enjin ini juga dikecilkan diameternya sehingga hampir 10% bagi membolehkan ia memberikan lebih udara pada kelajuan enjin yang lebih rendah. Roda unit pemampat pada pengecas turbo tersebut turut dikecilkan sehingga 15%. Bagi membolehkan masa tindak balas yang diambil lebih pendek sehingga 110 milisaat, unit penggerak (actuator) pada pengecas turbo tersebut turut ditukar daripada jenis gear ulir kepada gear bergigi.

    Selain dari peningkatan dari segi kecekapan, operasi enjin EcoBlue baharu ini turut diperhalusi. Kepala silinder, blok, pam pelincir dan takungan minyak pelincir direka bagi membolehkan enjin tersebut beroperasi dengan lebih senyap – didakwa lebih senyap 50% dari enjin 2.2L TDCi ketika dalam kelajuan melahu. Permukaan yang tidak rata juga memastikan bunyi di dalam enjin terperangkap dengan kemas semasa beroperasi.

    Untuk memastikan ketahanan enjin ini, Ford telah mengujinya dalam ujian pemanduan di dunia sebenar, beberapa ujian analisa makmal, tapak ujian persendirian Ford dan juga penilaian CAE sejauh 402,336 km. Ford mendakwa, hasil ujian tersebut jelas menunjukkan enjin EcoBlue baharu ini berupaya untuk menghadapi permintaan yang ekstrim dalam pasaran Eropah, Amerika Syarikat dan China.

     
     
  • Sistem ETC berjaya kurangkan kesesakan di plaza tol

    LDP_Toll_EXTRA

    Buat masa ini, sebanyak 51 daripada 177 plaza tol di seluruh negara telah melaksanakan sistem transaksi tol secara elektronik (ETC). Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, sistem ETC ini berjaya mengurangkan sehingga 50% masalah kesesakan trafik di laluan plaza tol.

    Beliau sistem itu menjadikan tempoh pembayaran tol lebih singkat iaitu kira-kira enam saat bagi Touch N’Go dan tiga saat bagi SmartTAG berbanding 15 saat untuk transaksi secara tunai, laporan Bernama.

    “Sistem ETC dapat mengurangkan antara 30% hingga 50% masalah kesesakan trafik di laluan plaza tol dan seterusnya memberikan penjimatan masa kepada pengguna,” katanya pada persidangan Dewan Negara.

    Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Seri Boon Som Inong mengenai sejauh mana keberkesanan kempen penggunaan ETC di lebuh raya bagi memastikan perjalanan pengguna lebih lancar.

    Rosnah berkata kadar penggunaan ETC di semua plaza tol lebuh raya juga meningkat daripada 65% sebelum ini kepada 81%. Bagi memastikan kelancaran di lorong pembayaran tol pada waktu puncak iaitu 7 pagi hingga 9 pagi serta 5 petang hingga 7 malam, jurutol juga akan berada di setiap lorong ETC untuk membantu pengguna yang mengalami sebarang masalah.

     
     
  • Chevrolet Colorado facelift secara rasminya muncul buat pertama kali untuk peringkat global di Brazil

    chevrolet-colorado-facelift-1_BM

    Chevrolet Colorado generasi kedua versi facelift secara rasminya telah didedahkan oleh Chevrolet buat pertama kali di peringkat global semasa berlangsungnya pesta pertanian Agrishow di Brazil. Colorado atau lebih dikenali sebagai S10 untuk pasaran Brazil telah diberikan rupa paras baharu yang lebih segar untuk kekal bersaing secara kompetitif.

    Beberapa rekaan pada versi facelift ini sebenarnya sudah didedahkan sebahagiannya menerusi unit khas Colorado Xtreme yang dibina oleh GM Australia untuk diprebiu pada Bangkok Motor Show 2016 Mac lalu. Ia menampilkan muka hadapan yang direka semula dengan pemadanan lampu hadapan yang lebih nipis. Dalam aspek mekanikal, perubahan yang dilakukan hanyalah pada talaan semula sistem suspensi dan juga pemadanan sistem stereng berkuasa elektrik.

    Pada bahagian dalaman pula sebaliknya, Colorado menerima papan pemuka rekaan baharu dan juga kemasan pada tempat duduk yang menurut Chevrolet, ia telah diperhalusi dan materialnya lebih lembut ketika dipegang. Konsol tengah yang diolah semula menampilkan skrin sesentuh sistem infotainmen bersaiz lapan-inci dan turut dilengkapi dengan sistem MyLink terkini, termasuk sistem Apple CarPlay dan Android Auto. Paparan instrumen turut ditukar dengan rekaan baharu.

    Ciri standard yang ditampilkan pada trak pikap baharu ini termasuk lampu hadapan dan penggilap cermin automatik, cermin pandang belakang elektrocromic, kamera undur, penghawa dingin automatik dan penderia parkir hadapan. Untuk keselamatan pula, Colorado dilengkapi dengan amaran keluar laluan dan juga amaran pelanggaran hadapan.

    Untuk pasaran Brazil, Colorado hadir dengan dua pilihan enjin iaitu 2.8 liter turbodiesel dan juga enjin bahan api Flex 2.5 liter SIDI. Tiga pilihan bentuk badan ditawarkan yang terdiri dari cab tunggal, cab berkembar dan cab casis. Kesemua pilihan ini diterjemahkan dalam empat gred varian serta pilihan konfigurasi pacuan dua roda dan pacuan empat roda.

    Di Malaysia, Colorado versi pre-facelift dijual dengan pilihan enjin 2.5 liter turbodiesel Duramax berkuasa 161 hp/380 Nm dan enjin 2.8 liter turbodiesel berkuasa 193 hp (dengan dua pilihan kuasa tork sama ada 440 Nm atau 500 Nm). Enjin 2.5 liter dan enjin 2.8 liter 440 Nm dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan manual, manakala enjin 2.8 liter 500 Nm pula dilengkapi dengan kotak ger automatik enam-kelajuan.

     
     
  • Isuzu D-Max Arctic Trucks AT35 dibangunkan khas untuk keadaan yang ekstrem, enjin kekal 2.5L

    Isuzu-D-Max-Arctic-Trucks-AT35-04

    Isuzu D-Max Arctic Trucks AT35 yang dibangunkan berdasarkan model pra-penambahbaikan D-Max, merupakan varian baharu yang menyertai barisan D-Max di UK. Ia bakal ditawarkan dengan konfigurasi double cab dan ‘extended cab’, D-Max ini bakal dipasarkan pada penghujung musim bunga 2016, dengan harga bermula £30,995 (RM177,635).

    Dengan usaha yang dilakukan oleh kedua-dua pasukan dari Isuzu dan Arctic Trucks, D-Max ini menampilkan suspensi yang ditala semula dengan penyerap hentak Fox Performance Series untuk pengendalian yang lebih mantap ketika merentasi laluan berbatu dan berlopak. Malah ketinggiannya juga telah dipertingkatkan dan kini 125 mm lebih tinggi berbanding D-Max versi standard.

    Untuk keupayaan merentasi laluan off-road, termasuk melalui permukaan jalan yang licin, trak ini telah dipadankan dengan tayar setebal 35-inci Nokian Rotiiva AT untuk semua keadaan yang membaluti roda 17-inci. Manakala bahagian luaran pikap ini turut dipadankan dengan gerbang tambahan untuk memberikan imej yang lebih maskulin.

    Malah kit luarannya turut didatangkan dengan pilihan termasuk palang sport Arctic Trucks berwarna hitam atau perak, Vision X LED 4.5-inci dan Vision X LED 6.7-inci sembilan-diod atau 18-diod sama ada hitam atau krom. Malah penutup bahagian kargo Arctic Trucks Truxedo juga didatangkan sebagai pilihan.

    Penampilan tambahan untuk luaran bagi kegunaan off-road turut ditawarkan termasuklah lampu kerja 27-LED dengan logo Arctic Trucks, skid plate di bawah radiator dan enjin serta satu lagi skid plate di bawah enjin dan kotak gear, pengepam ARB dengan meter serta kit pengepam kecemasan.

    Untuk bahagian dalamnya, ia turut dilengkapi dengan elemen standard termasuk pakej audio enam-speaker dengan speaker “Exciter’ yang dipasang di bumbung, sambungan iPod/USB/Bluetooth, pemanas, roda stereng balutan kulit dengan butang kawalan audio dan kawalan kelajuan. Malah varian double-cab dilengkapi dengan material kulit upholstery dan kawalan suhu automatik, sementara sistem audio Pioner didatangkan sebagai pilihan.

    Walau bagaimana pun, tiada perubahan casis dan enjin pada AT35. D-Max di UK dijanakan oleh enjin diesel 2.5 liter CRDi turbo-berkembar yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 173 PS dan tork 400 Nm. AT35 turut ditawarkan dengan transmisi automatik lima-kelajuan atau manual enam-kelajuan.

    GALERI: Isuzu D-Max V-Cross

    GALERI: Isuzu D-Max Diablo

     
     
  • Ford Malaysia anjur program Kemahiran Pemanduan Seumur Hidup (DSFL) bersama pelajar UIA

    Ford_DSFL_IIUM-2

    Ford Motor Company meneruskan usahanya untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan jalan raya menerusi program Kemahiran Pemanduan Seumur Hidup (DSFL). Baru-baru ini, ia menganjurkan bengkel tersebut untuk para pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

    Para pelajar UIA merupakan kumpulan terbaharu yang menyertai program DFSL Ford, selepas sesi sama dianjurkan untuk pelajar German Malaysian Institute, Taylor’s University dan Malaysian Multimedia University.

    “Kemahiran Pemanduan Seumur Hidup merupakan satu program latihan pemandu secara amali yang fokus untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemandu dan keselamatan jalan raya,” kata Pengarah Urusan Malaysia dan Pasaran Membangun Asia Pasifik, Ford Motor Company, David Westerman.

    Ford_DSFL_IIUM-1

    Sama seperti bengkel DSFL lain, ia dianjurkan secara percuma. Sesi-sesi latihan ini dibina khas untuk menangani risiko-risiko yang dihadapi oleh pemandu-pemandu muda di atas jalan raya.

    Misalnya situasi-situasi yang tidak dijangka, risiko pemanduan yang terganggu kerana menggunakan telefon bimbit ketika memandu, mengenal pasti bahaya, mengurus kelajuan dan pentingnya memastikan tempat duduk kanak-kanak dipasang dengan betul.

    Para peserta turut mendapat pengetahuan berguna berkaitan pemanduan selamat melibatkan pelbagai topik termasuklah kawalan stereng, under-steer dan over-steer, tip-tip memandu di lebuh raya serta dalam keadaan hujan.

    Ford_DSFL_IIUM-3

    Program DSFL menggalakkan pemanduan selamat apabila mengajar para peserta supaya membuat keputusan yang bijak ketika memandu, sekali gus mengurangkan risiko berlakunya kemalangan.

    “Kebanyakan kemalangan boleh dielakkan. Sebab itulah Ford bersungguh-sungguh mahu meningkatkan kesedaran orang ramai ketika berada di atas jalan raya. Di samping memberi pemandu pengetahuan sewajarnya menerusi program Kemahiran Pemanduan Seumur Hidup ini,” tambah Westerman.

    DSFL merupakan program utama tanggungjawab korporat sosial (CSR) global Ford. Di Asia, Ford DSFL telah dilaksanakan dengan jayanya untuk melatih pemandu yang sudah mempunyai lesen dari semua peringkat umur selama sembilan tahun. Selain Malaysia, latihan DSFL turut diadakan di China, India, Indonesia, Myanmar, Taiwan, Thailand, Vietnam dan Filipina.

     
     
  • Toyota Vellfire 2.5, Alphard 3.5 dan 3.5 Executive Lounge 2016 sedia untuk ditempah – spesifikasi penuh didedahkan, harga rasmi belum diumumkan

    006 Fortuner OT Leaflet R4

    Hari ini, UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. mengumumkan Toyota Alphard dan Vellfire serba baharu telah pun mula dibuka tempahannya di seluruh negara. Alphard serba baharu akan dihadirkan dengan dua varian iaitu Alphard 3.5 Executive Lounge dan Alphard 3.5, manakala Vellfire hanya satu varian sahaja. Kesemuanya adalah unit CBU yang dibawa masuk terus dari Jepun

    Walau bagaimana pun, harganya masih belum diumumkan tetapi ia akan didatangkan dengan waranti dari kilang sepenuhnya dan perbatuan tanpa had selama lima tahun. Selain itu, bagi menjamin kepuasan para pelanggan, ia turut ditawarkan dengan sokongan selepas jualan termasuk alat ganti, daripada mana-mana pusat servis Toyota bertauliah di Malaysia.

    Kedua-dua varian Alphard serba baharu ini dijanakan oleh enjin 3.5 liter V6 DOHC dengan Dual VVT-i yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 271 PS pada 6,200 rpm dan tork 340 Nm pada 4,700 rpm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan dengan sequential shifter.

    Manakala Vellfire pula dilengkapi enjin 2.5 liter 16V DOHC dengan Dual VVT-i bersama padanan transmisi CVT. Ia berkeupaya menghasilkan kuasa sehingga 180 PS pada 6,000 rpm dan tork 235 Nm pada 4,100 rpm.

    Alphard dan Vellfire berkongsi ukuran tinggi dan lebar yang sama iaitu 1,850 mm (lebar) dan 1,895 mm (tinggi). Namun Vellfire memiliki kepanjangan sebanyak lebih 13 mm berbanding Alphard iaitu 4,930 mm (4,917 mm bagi Alphard).

    006 Fortuner OT Leaflet R4

    Klik untuk besarkan imej

    Kedua-dua MPV serba mewah ini juga berkongsi elemen yang sama bagi rekaan luaran, termasuk lampu utama LED dengan pelarasan automatik dan lampu selekoh, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan LED, bumbung matahari dan rim aloi 18-inci yang dibaluti tayar 235/50 R18.

    Malah rekaan di dalam kabin juga agak mirip. Alphard 3.5 Executive Lounge dilengkapi dengan roda stereng teleskopik empat-jejari balutan kulit VIP wood grain (brown wood grain bagi Alphard 3.5). Kedua-duanya turut dilengkapi dengan butang kawalan bagi audio, telefon bimbit dan pengesan suara. Namun Vellfire hanya dilengkapi dengan roda stereng teleskopik empat-jejari balutan kulit black wood grain dengan kawalan audio sahaja.

    Selain itu, kedua-dua model turut dilengkapi dengan meter Optitron, paparan pelbagai-maklumat (MID) 4.2-inci TFT, kawalan kelajuan, dan kemasukan pintar dengan sistem penghidup enjin. Elemen tambahan bagi Alphard 3.5 Executive Lounge ialah Electro Multi Vision.

    Bagi Alphard 3.5 Executive Lounge ditampilkan dengan sistem audio DVD lapan-inci dengan navigasi serta sistem bunyi JBL bersama 17-speaker. Manakala Alphard 3.5 dan Vellfire hanya dilengkapi sistem audio DVD-AVN tujuh-inci dengan lapan-speaker.

    Tempat duduk balutan kulit semi-aniline dengan pilihan warna kuning cair atau hitam buat Alphard 3.5 Executive Lounge. Malah turut didatangkan dengan tempat duduk VIP untuk barisan kedua dengan Ottoman. Manakala tempat duduk balutan kulit berwarna kuning cair untuk Alphard dan hitam untuk Vellfire.

    Bagi aspek keselamatan, kedua-dua model turut dilengkapi dengan ABS dengan EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC), Bantuan Mula Mendaki (HAC), pengesan parkir dan tujuh beg udara.

    Bagi model yang akan tiba di Malaysia, ia akan adaptasikan kegunaan untuk negara ini, jadi isu mengenai sistem navigasi yang tidak mengandungi peta Malaysia dan radio berfrekuensi Jepun akan dapat diatasi. Malah cermin sisinya juga sedikit besar untuk pasaran Malaysia.

    Paling penting, UMW Toyota akan memastikan Alphard dan Vellfire ini sesuai untuk keadaan cuaca dan jalan raya di Malaysia dengan talaan yang bertepatan bagi ECU enjinnya.

    GALERI: Toyota Alphard pasaran-Jepun

    GALERI: Toyota Vellfire pasaran-Jepun

     
     
  • SPYSHOT: Proton menguji lagi MPV Suzuki Ertiga

    cougs-proton-suzuki-ertiga-2_BM

    Kami telah menyiarkan imej spyshot pertama Suzuki Ertiga yang diuji oleh Proton di atas jalan raya Malaysia. MPV yang dibalut dengan pelekat penyamaran tersebut dikenal pasti berdasarkan trade plate “B 458 A” milik Proton yang digunakan.

    Minggu ini kami menerima lagi imej spyshot Ertiga yang sama diuji minggu lalu, kini dengan pelakat bermotif pusaran pada bahagian lampu belakangnya bertujuan untuk melindungi rupa sebenar lampu tersebut. Melalui imej baharu ini juga dapat dilihat bahagian dalaman Ertiga tersebut menerima kemasan berwarna beige.

    Pada bulan Januari lalu juga, laporan berita dari Indonesia mengesahkan PT Suzuki Indomobil Sales (SIS) akan mengeksport Ertiga dalam bentuk knocked down ke Malaysia sebanyak 1,500 unit sebulan bermula suku kedua 2016 dan akan di rebadge dengan jenama Proton.

    Proton telah menambah pelekat bermotif pusaran disekeliling lampu belakang (kiri) untuk menyembunyikan bentuk sebenar lampu tersebut(kanan)

    Komponen-komponen knocked down tersebut akan diproduksi di kilang SIS Cikarang bermula Mei 2016 dan kemudiannya Proton telah mengumumkan sendiri model pertama hasil kolobrasi antara Proton dan Suzuki akan memasuki produksi sebelum akhir 2016.

    Ertiga diperkenalkan buat pertama kali sejak 2012 dan versi faceliftnya muncul pada tahun lalu. Model yang diuji ini menampilkan bampar pre-facelift yang menempatkan lampu kabus dibahagian tengah serta bahagian diffuser yang telah direka semula. Roda berdiameter 15-inci dan dibaluti dengan tayar GT Radial juga adalah seiras dengan model facelift Ertiga. Imej terbaharu ini masih lagi tidak menampakkan bahagian hadapan. Jadi, sama ada MPV ini telah menerima rekaan muka baharu yang telah “diProtonkan” ataupun tidak masih tidak dapat dipastikan.

    Berdasarkan dimensi asal Ertiga, MPV tujuh-tempat duduk ini mempunyai jarak roda berukuran 2,740 mm (Perodua Alza 2,750 mm, Proton Exora 2,730 mm) dan dijana oleh enjin K14B 1.4 liter berkuasa 92 ps dan tork 130 Nm. Ia dipadankan dengan pilihan transmisi empat-kelajuan automatik atau lima kelajuan-manual. Varian Ertiga Dreza yang diberikan muka yang lebih unik dan juga beberapa ciri tambahan telah dipasarkan di Indonesia dan juga Thailand. Mazda juga turut menghasilkan model rebadge Ertiga untuk pasaran Indonesia yang digelar VX-1.

    GALERI: Imej render “Proton Ertiga”


    GALLERY: Suzuki Ertiga facelift di GIIAS 2015

     
     
  • Chery dedahkan Tiggo 7 di Beijing Auto Show 2016

    Chery-Tiggo-7-01-e1461727954359_BM

    Chery Tiggo 7 telah pun membuat penampilan sulungnya di Beijing International Auto Exhibition 2016. Model versi produksi hasil dari model konsep Chery TX Concept yang diperkenalkan pada tahun 2012 tersebut bakal masuk ke pasaran China pada Oktober tahun ini, lapor Car News China.

    Menurut laporan berkenaan, Chery buat masa sekarang sedang membuat tranformasi jenama mereka dengan mensasarkan pasaran pengguna dari golongan yang lebih muda dan Tiggo 7 bakal memulakan langkah tersebut. SUV yang dipamerkan di Beijing ini hadir dengan dua warna berbeza iaitu merah dan putih.

    SUV tersebut menampilkan gril hadapan dengan rekaan signatur terbaharu Chery dengan kemasan berwarna hitam. Tingkap-tingkap sisi juga dikelilingi dengan kemasan bersalut krom. Begitu juga kemasan pada bahagian bumbung, ia direka agak tinggi dan kelihatan seperti rel bumbung dan turut disalut dengan krom. Rekabentuk bahagian belakang juga agak menarik menampilkan pintu tailgate yang berlekuk dan disekalikan dengan lampu belakang.

    Bahagian dalaman Tiggo 7 menampilkan rekaan yang ringkas. Konsol tengah agak menyerlah dengan kemasan merah disekelilingnya yang senada dengan kemasan kabin yang lain seperti di panel pintu dan tempat duduk. Papan pemuka juga sangat ringkas dengan pemadanan skrin sesentuh untuk sistem infotaimen di bahagian tengah dan diapit dengan dua liang penghawa dingin menegak. Roda stereng pelbagai fungsi tiga-jejari yang dilengkapi juga kelihatan tidak ‘serabut’. Beberapa suis dan satu unit tuil rotari kawalan diletakkan dihadapan tuil penukar gear.

    Chery Tiggo 7 dikatakan akan dijana oleh enjin petrol empat silinder 1.5 liter turbo dan 2.0 liter NA. Chery juga dikhabarkan akan mengeluarkan Tiggo dengan varian hibrid dan elektrik sepenuhnya, tetapi maklumat rasmi belum lagi dikeluarkan oleh syarikat pembuat kenderaan dari China tersebut.

     
     
  • Toyota Corolla, Levin plug-in hybrids bakal menembusi pasaran China menjelang 2018

    guangqi-toyota-levin-hybrid-shanghai-1298

    Dua model Toyota plug-in hybrid baharu bakal memasuki pasaran China menjelang tahun 2018 ini iaitu Corolla dan Levin. Menurut Ketua Operasi Toyota di China, Hiroji Onishi, Toyota merancang untuk membawa kedua-dua model tersebut menembusi pasaran China di atas insentif bagi kenderaan hibrid dan EV untuk pengguna di China.

    “Keputusan kami untuk melancarkan versi plug-in hybrid bagi Corolla dan Levix adalah bukti komitmen kami terhadap pasaran China,” ujar Onishi. Pengumuman ini dibuat sewaktu majlis memperkenalkan kedua-dua model di Beijing International Automobile Exhibition 2016.

    faw-toyota-corolla-hybrid-shanghai-1284

    Walau bagaimana pun Toyota belum mendedahkan perincian mengenai model hibrid ini, namun ada sumber menyatakan ia mampu dipacu sekurang-kurangnya sejauh 50 km bagi isian penuh. Setakat ini, juga tiada perancangan untuk memasang kenderaan hibrid di China, namun ia mungkin akan dipertimbangkan sekiranya mempunyai permintaan yang memberangsangkan di sana.

    Toyota juga turut mengumumkan akan memperkenalkan enjin 1.2 liter suntikan-terus turbo bagi kenderaan yang memasuki pasaran di China selewat-lewatnya hujung tahun ini. Enjin yang yang diperkenalkan buat pertama kali pada April 2015, didakwa memiliki prestasi pemanduan yang mengagumkan, selain mampu memberi penjimatan bahan api yang efisien. Buat setakat ini, enjin tersebut telah pun berada di Eropah dan Jepun.

    GALERI: FAW-Toyota Corolla Hybrid

    GALERI: GAC-Toyota Levin HEV

     
     
  • Enjin Qoros Qamfree berfungsi tanpa aci sesondol, tampil teknologi PHEV Freevalve dari Koenigsegg

    Qoros-Qamfree-engine-01_BM

    Syarikat subsidiary Koenigsegg, Freevalve AB telah mengumumkan kerjasama mereka bersama pembuat automotif dari China iaitu Qoros Auto. Hasil kerjasama dari kedua-dua pihak ini telah membawa kepada pembangunan seterusnya teknologi Penggerak Pneumatik Hidraulik Elekrik (Pneumatic Hydraulic Electric Actuator – PHEV) Freevalve dan enjin “Qamfree” untuk Qoros.

    Enjin berkenaan yang kini dipamerkan di Beijing Auto Show 2016 yang sedang berlangsung, berfungsi tanpa menggunakan aci sesondol (camshaft) dan komponen lain yang berkaitan seperti tali/rantai pemasa (timing belt/timing chain) dan takal aci sesondol (cam pulley). Komponen-komponen tersebut digantikan dengan teknologi PHEV, yang membolehkan setiap bukaan injap kemasukan (intake valve) dan bukaan injap ekzos (exhaust valve) dikawal sepenuhnya oleh sistem pengurusan enjin dan digerakkan dengan komponen sistem pneumatik, hidraulik dan elektrik pada bahagian atas injap-injap tersebut, pada setiap lejang semasa enjin tersebut beroperasi.

    Dengan kata mudah, Koenigsegg membayangkan sistem ini dengan: “Cuba anda bayangkan anda bermain piano dengan kedua-dua tangan diikat pada kayu penyapu. Muzik yang dihasilkan tentunya tidak bagus bukan?. Anggap piano tersebut sebagai enjin kereta dan kayu penyapu tersebut sebagai aci sesondol konvensional. Kehadiran teknologi Freevalve ini digambarkan sebagai membuka tangan anda tadi dari kayu penyapu, dan terus bermain piano menggunakan jari-jemari anda sendiri.”

    Selain dari dapat mengawal sepenuhnya bukaan injap kemasukan dan injap ekzos enjin dengan lebih tepat, teknologi ini juga menawarkan faedah jangka masa panjang yang lain, khususnya untuk Qoros. Pada masa hadapan, teknologi ini akan membolehkan Qoros membina enjin yang lebih kecil, ringan, lebih berkuasa tetapi dengan kecekapan bahan api yang lebih tinggi dan pada masa yang sama mengurangkan pencemaran alam sekitar.

    “Kami gembira dan bangga kerana telah dipertemukan dengan rakan kongsi dalam industri seperti Qoros Auto yang dapat melengkapkan peralihan teknologi PHEV Freevalve dari konsep yang berfungsi kepada aplikasi pada produksi kenderaan penumpuang,” kata CEO Freevalve, Urban Carlsson di Beijing.

    “Kami percaya satu hari nanti dalam masa terdekat, kehadiran teknologi PHEV Freevalve akan menyaksikan peralihan yang besar, atau lebih besar dari peralihan sistem karburator kepada sistem pancitan bahan api terus,” tambah Christian von Koenigsegg, pemilik dan CEO Koenigsegg serta Pengerusi lembaga pengarah di Freevalve.

     
     
  • Kepuasan orang ramai terhadap pengangkutan awam meningkat 74% pada tahun 2015 – Laporan NTP

    LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

    Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2015, tinjauan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mendapati kepuasan orang ramai terhadap pengangkutan awam menyaksikan peningkatan yang signifikan dalam indeks kepuasan daripada 48% pada 2010 kepada 74% pada 2015.

    Tinjauan itu mendapati orang ramai paling berpuas hati dengan perkhidmatan rel iaitu transit aliran ringan (LRT), KTM Komuter dan express rail link (ERL). Di mana maklum balas menunjukkan bahawa penambahbaikan dalam perkhidmatan rel yang lebih cekap dapat dinikmati oleh orang ramai, laporan Bernama.

    Laporan tersebut turut menyebut perkhidmatan rel hari ini merupakan alternatif yang lebih murah berbanding pengangkutan persendirian di samping menawarkan keselamatan dan keselesaan yang lebih baik. Ia merupakan salah satu faktor besar yang menyumbang kepada kepuasan penumpang ialah sistem pertukaran dan sambungan yang mudah antara perkhidmatan rel yang berlainan, melalui sistem penjualan tiket standard iaitu LRT, Monorel dan ERL.

    NTP dikeluarkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Angkasapuri malam tadi.

    Tinjauan Kepuasan Pelanggan terhadap pengangkutan awam itu dijalankan setiap tahun untuk mendapatkan maklum balas orang ramai terhadap sistem pengangkutan awam.

    Dengan matlamat Bidang Keberhasilan Utama-Pengangkutan Dalam Bandar (NKRA UPT) untuk meningkatkan bahagian mod pengangkutan awam dalam kawasan Greater Kuala Lumpur/Klang Valley (GKL/KV) kepada 40% menjelang 2030, jaringan pengangkutan awam perlu bersepadu, selesa, senang disalinghubungi, mudah digunakan dan murah.

    Sepanjang 2015, NKRA UPT menyaksikan penambahan kapasiti yang amat diperlukan kepada perkhidmatan rel sedia ada, di samping pembinaan projek infrastruktur rel berskala besar.

    Projek-projek ini akan mula beroperasi, dengan aliran Projek Sambungan Jajaran LRT (LEP) penuh akan bermula pada pertengahan tahun ini dan juga aliran MRT Lembah Klang yang pertama dijadualkan bermula menjelang akhir tahun 2016.

    Apabila fasa pertama MRT Lembah Klang laluan Sungai Buloh-Kajang memulakan operasi, penduduk di Lembah Klang yang sentiasa menghadapi kesesakan trafik bakal merasai satu ejen perubahan dalam pengangkutan di kawasan GKL/KV.

    Mereka akan mendapat sistem pengangkutan yang bersih, moden, laju dan selesa yang membolehkan mereka melakukan perjalanan dari Sungai Buloh ke Kajang dalam masa 88 minit.

     
     
  • SPYSHOT: Proton Saga 2016 dilihat diuji lagi

    2016-Proton-Saga-prototype-6_BM

    Selepas Persona dan Perdana, kini Proton Saga 2016 semakin kerap dijumpai sedang diuji di atas jalan raya di Malaysia. Gambar terbaharu yang kami terima ini adalah disumbangkan oleh pembaca paultan.org – Jayson Lai, yang menemui dua buah Saga 2016 ini diuji di lebuhraya ELITE.

    Kereta yang dilekatkan dengan pelekat penyamaran bermotif gegelung menyaksikan muka Saga ini telah direka semula pada bahagian lampu hadapan, gril hadapan dengan dua bar dan juga rekaan pada bampar hadapan yang telah diolah semula.

    Sebuah lagi kereta yang diberikan pelekat penyamaran berbeza dengan corak pusaran, menyembunyikan bentuk sebenar lampu belakangnya. Sebelum ini, prototaip Saga 2016 yang sedang diuji menampakkan rupa lampu belakang berbentuk tiga-dimensi, berkemungkinan besar rekaan tersebut juga telah diolah semula. Lampu kabus belakang yang terletak dibahagian bawah tengah bampar masih lagi kelihatan sama.

    2016-Proton-Saga-prototype-1_BM

    Profil garisan sisi Saga ini jelas kelihatan, menampilkan rekaan yang semakin meninggi bemula dari hadapan hingga kebelakang. Rekaan pemegang pintu pada Saga ini kelihatan seiras dengan pemegang pintu Iriz. Berbanding Saga sedia ada, pintu belakang Saga baharu ini kelihatan lebih panjang dan dilihat mempunyai quater window iaitu tingkap kecil yang terletak bersebelahan tingkap utama. Boleh dijangkakan, ruang bahagian belakang Saga baharu ini adalah lebih besar dari Saga sedia ada.

    Seperti sebelum ini, unit janakuasa yang memacu Saga terbaharu ini masih menjadi tanda tanya. Tetapi, Saga baharu ini berkemungkinan dikuasakan dengan enjin 1.3 liter VVT yang sama seperti Iriz dan dipadankan dengan pilihan transmisi manual lima-kelajuan atau CVT automatik. Untuk peringkat seterusnya, Saga baharu ini mungkin juga akan dijana oleh enjin baharu 1.0 liter dan 1.2 liter Proton yang kini masih dalam peringkat pembangunan dan dijangka mula memasuki produksi pada penghujung 2017.

     
     
  • BMW Malaysia akan pasang 3 Series, 5 Series dan 7 Series untuk eksport ke Vietnam, Filipina mulai 2018

    BMW Malaysia telah mengumumkan bakal memasang kenderaan di sini untuk dieksport ke Vietnam dan Filipina, bermula tahun 2018. Produksi bagi unit pemasangan tempatan (CKD) itu melibatkan model 3 Series, 5 Series dan 7 Series, dengan spesifikasi pemanduan sebelah-kiri untuk kedua-dua pasaran berkenaan.

    Buat setakat ini model 7 Series hadir dalam bentuk CBU, dan berita yang BMW Malaysia bersedia memasangnya di sini, sekali gus memberikan peluang untuknya dijual dalam versi CKD bagi pasaran tempatan.

    Buat setakat ini tiada perincian lanjut mengenai pasaran eksport ini ketika ia diumumkan Isnin lalu sempena dengan pengumuman penerimaan insentif status EEV bagi model VMW 3 Series Gran Turismo, X3 dan 5 Series. Malah dalam majlis berkenaan turut mengumumkan program CKD yang bakal melibatkan BMW X1 dan X4, yang akan bermula pada pertengahan tahun ini.

    Untuk pengeluaran CKD termasuk bagi pasaran eksport, BMW Malaysia merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 2,000 hingga 3,000 unit menjelang 2018 daripada 8,000 unit sekarang ini. Produksi bagi pemasangan tempatan ini akan dilaksanakan di kilang pemasangan di Kulim Hi-Tech Park, Kedah.

    Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun, “Malaysia terus menjadi hab strategik untuk BMW Group di Asia Tenggara. Kami berasa gembira kerana dapat meningkatkan tahap kecekapan di sini untuk memasang dan mengeksport kenderaan-kenderaan premium ke pasaran membangun di rantau ini, sekali gus meningkatkan keupayaan kami di rantau ASEAN.”

     
     
  • AES/AWAS terbukti efektif, yuran penyedia servis masih lagi dibincangkan oleh LTAT dan kerajaan

    Perincian penalti sistem Kejara. Klik untuk besarkan

    Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) telah terbukti efektif dalam mengurangkan jumlah kemalangan maut sejak implementasi sistem tersebut dilakukan pada tahun 2012. Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, jumlah kemalangan maut telah berkurangan dengan ketara di 14 lokasi yang dipasangkan dengan kamera AES, lapor The Sun.

    “Pada 14 lokasi yang dipasangkan kamera AES, jumlah kemalangan maut telah berkurangan dari 19 kes kepada 12 kes dalam masa lapan bulan. Pengurangan sebanyak tujuh kes atau 36.84%. Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) juga menunjukkan kadar pemandu yang mematuhi had laju juga meningkat dari 63% kepada 91% selepas AES diimplementasikan,” kata beliau dalam Dewan Negara semalam.

    Menjawab kepada pertanyaan yang diajukan oleh Senator Datuk Ng Chiang Chin, Abdul Aziz berkata kerajaan akan terus mengembangkan penggunaan AES, dan akan dijenamakan semula sebagai AWAS, dan digabungkan dengan sistem demerit Kejara.

    aes-speeding-ticket-950x4711

    Abdul Aziz kemudiannya memberitahu wartawan di lobi Dewan Negara, kerajaan yakin AWAS akan memperbaiki tahap keselamatan jalan raya kerana kebolehannya untuk membuat penguatkuasaan selama 24-jam tanpa henti. Beliau juga menjelaskan pengguna jalan raya, termasuk penunggang motosikal, akan diberikan markah demerit berdasarkan tahap kesalahan yang mereka lakukan. Apabila markah mereka mencecah 20 markah, lesen mereka akan ditarik balik dan akan dibatalkan sepenuhnya jika markah terkumpul mencecah 40 markah.

    Sementara itu, yuran untuk penyedia servis untuk AWAS iaitu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) masih lagi dalam peringkat perbincangan. Abdul Aziz berkata perbincangan tersebut turut mengambil kira pengambilalihan oleh LTAT dan subsidiari sistem tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai AES.

    “Kesemua kos berkaitan pembangunan operasi sistem, dan infrastrukturnya, adalah dibiayai oleh LTAT. Perbincangan berkenaan yuran antara LTAT dan Kementerian Kewangan masih lagi berjalan sehingga kini, kementerian tersebut masih belum memberi tahu apa-apa berkenaannya lagi,” ujar beliau.

    Sistem AWAS sebelum ini diumumkan akan mula dilaksanakan pada Mei ini. Tetapi setelah beberapa perbincangan dilakukan kembali, pelaksanaannya ditangguhkan sehingga selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti.

     
     
  • Dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan (ELV) masih belum bersedia dilaksana kerana kurang fasiliti pemeriksaan kenderaan – Ahmad Maslan

    puspakom-macc 8

    Buat masa ini Dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan (End-of-Life-Vehicles) atau ELV belum bersedia untuk dilaksanakan di negara ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.

    Menurutnya, ia adalah kerana kekurangan pusat pemeriksaan kenderaan. Setakat ini hanya terdapat 56 buah Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di seluruh negara dan jumlah itu amat sedikit jika dibandingkan dengan keperluan iaitu 450 Puspakom untuk memeriksa kenderaan jika ELV dilaksanakan, laporan Bernama.

    “Buat masa ini, terdapat hampir 24 juta kenderaan di negara ini, di mana 12 juta daripadanya merupakan kenderaan penumpang atau persendirian. Jika ELV mahu dilaksanakan, kita memerlukan 450 buah pusat pemeriksaan kenderaan, jauh daripada jumlah yang ada sekarang iaitu hanya 56 buah,” katanya dalam persidangan Dewan Negara hari ini.

    Beliau menjawab soalan Senator Azizah Harun yang mahu kementerian menyatakan status dasar ELV yang terkandung dalam Dasar Automatif Nasional (NAP) 2014, sama ada ia akan diteruskan atau di peringkat perancangan.

    kedai-potong

    Katanya lagi, NAP 2014 menekankan beberapa asas perlu diwujudkan terlebih dahulu sebelum dasar tersebut boleh dilaksanakan antaranya pelaksaanan aktiviti 4R (Reduce, Reuse, Recycle & Remanufacture).

    Bagaimanapun, katanya kajian secara mendalam sedang dijalankan terutama berkenaan kesan penggunaan kenderaan berusia, ke atas keselamatan jalan raya dan usaha-usaha pemuliharaan alam sekitar.

    “Selain itu kementerian juga memantau aktiviti mengawal selia kitar semula dan pengilangan semua industri automotif.

    “Melalui NAP 2014, telah diperkenalkan pemeriksaan secara sukarela untuk menjamin kenderaan sentiasa selamat digunakan,” katanya.

    Menurut beliau, Malaysia juga tidak akan melaksanakan Scrap Policy seperti di Singapura yang mana teksi berusia lapan tahun dan kenderaan persendirian berusia 10 tahun tidak lagi boleh digunakan.

     
     
  • Sistem bayaran tunai kepada pemandu untuk Uber dan Grab akan timbulkan masalah undang-undang

    Big-Blue-Taxi-02

    Sistem bayaran tunai kepada pemandu yang kini ditawarkan dalam servis Uber dan Grab, akan memberikan peluang kepada pengendali servis tersebut untuk menyalahkan pemandu jika ada apa-apa masalah berkenaan undang-undang ditimbulkan. Perkara ini dinyatakan oleh pemilik Big Blue Capital Sdn Bhd Datuk Shamsubahrin Ismail (gambar diatas) menurut laporan The Star, dan beliau menambah pemandu untuk perkhidmatan tersebut sepatutnya tidak terpedaya dengan sistem baharu itu.

    Shamsubahrin mendakwa dengan sistem bayaran baharu ini, Uber dan Grab tidak akan terlibat secara langsung dalam urusniaga ketika perkhidmatan itu berlangsung. Oleh itu, apabila ada pelanggan yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan tersebut dan ingin mengambil tindakan undang-undang, syarikat terbabit akan meletakkan kesalahan tersebut sepenuhnya kepada pemandu.

    “Mereka boleh berkata, kami tidak memungut sebarang bayaran. Kami hanya penyedia aplikasi, sesiapa sahaja yang mahu menggunakannya, gunalah. Uber dan GrabCar tidak mahu menanggung sebarang kesalahan dan tanggungjawab semasa beroperasi dan semua itu akan dipindahkan sepenuhnya kepada pemandu. Jadi selepas ini, pemandu yang akan didakwa di dalam mahkamah,” kata beliau.

    GrabCar-JB-April-7-01

    Sistem bayaran tunai ini juga akan mendedahkan isu undang-undang kepada pemandu berkaitan memungut wang daripada servis yang belum lagi mendapat lesen dari Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), dakwa Shamsubahrin.

    Sehingga kini, Uber menawarkan transaksi tunai kepada penumpang di Johor Bahru, dan tidak lama lagi di Kuala Lumpur. Ipoh dan Pulau Pinang juga dijangka akan mengikut langkah berkenaan, dimana buat masa ini, sistem tersebut masih lagi sedang diuji.

    Walau bagaimanapun, Grab sudah lama memperkenalkan sistem bayaran tunai untuk servis perkongsian kenderaan dalam talian ini. Syarikat berkenaan mengumumkan pada November tahun lalu mereka akan menerima bayaran dalam bentuk tanpa tunai dengan penggunaan kad kredit.

    uber-cash-payment

    “Saya bersimpati kepada pemandu. Mereka diperdaya oleh Uber kerana mereka yang akan menerima bayaran dari orang awam tanpa autoriti atau lesen yang disahkan. Ia sudah menjadi kes pengubahan wang haram dan Bank Negara boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” ujar beliau lagi dan turut menambah Bank Negara, SPAD dan Kementerian Pengangkutan perlu menghentikan operasi Uber dan Grab sehingga semua isu dapat diselesaikan.

    Usaha untuk membenarkan servis perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grab beropersi secara sah kini sudah mencapai tahap di mana Kementerian Pengangkutan mengumumkan pemandu yang terlibat dengan servis tersebut perlu untuk memiliki lesen voksional PSV. Di seberang tambak pula, pemandu Uber dan Grab Singapura juga perlu untuk memiliki Lesen Vokasional Pemandu Kereta Sewa Persendirian (PDVL) jika mahu terus untuk menjadi pemandu servis berkenaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026