Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Nissan Kicks diperkenalkan menerusi Instagram – bakal bersaing dalam segmen-B termasuk Honda HR-V

    Nissan-Kicks-instagram-reveal-BM_6

    Nissan Kicks versi produksi telah pun diperkenalkan menerusi Instagram selepas beberapa siri pengenalannya disebarkan menerusi laman media sosial. Rekaan fasa akhir ini kelihatan mirip dengan model konsep yang dipertontonkan di Sao Paulo Motor Show 2014 di Brazil.

    Tidak menggunakan platform yang sama dengan Nissan Juke, Kicks memilih platform V, yang sama dengan Nissan March/Micra. Buat masa ini, Nissan belum mendedahkan perincian spesifikasinya, namun difahamkan Kicks mungkin berkongsi dimensi dengan model konsepnya, tetapi lebih panjang, lebar dan tinggi berbanding Juke.

    Berkaitan dengan rekaan, Kicks nampak lebih sporty, apatah lagi dengan padanan bumbung jingga dengan badannya yang berwarna kelabu, sementara tiangnya tampil dengan kekemasan hitam, seperti dalam foto ini.

    Nissan-Kicks-instagram-reveal-12

    Memandangkan ia menggunakan platform yang sama seperti March/Micra, ada kebarangkalian Kicks juga dipadankan dengan enjin 1.6 liter empat-silinder NA yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 110 hp. Bagi transmisi, kemungkinan ia dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau CVT.

    Pada awalnya, Kicks dijadualkan diproduksikan di Aguascalientes, Mexico. Kemudian, ia dikatakan akan diproduksi di Resende, Brazil, di mana Nissan telah melabur sebanyak USD$210 juta (RM822 juta) untuk membangunkan fasiliti di sana. Produksi di Brazil dijangkakan bermula tahun 2017.

    Kicks dijadualkan akan membuat penampilan perdana di peringkat dunia sebagai kereta rasmi untuk Sukan Olimpik 2016. Selepas itu, ia dilaporkan akan berada di negara lain termasuk Mexico dan AMerika Syarikat dengan harga yang lebih rendah berbanding Nissan Juke.

     
     
  • Pemandu Uber dan GrabCar perlu dapatkan lesen PSV

    uber-x-car_BM

    Kementerian Pengangkutan menyatakan sebagai sebahagian langkah untuk mengawal selia servis perkongsian kenderaan atas talian seperti UBer dan GrabCar, pemandu yang terlibat untuk perkhidmatan tersebut akan diwajibkan untuk memiliki Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), lapor Sinar Harian.

    “Kami akan mengkaji semula, dan akan mengenakan syarat hampir serupa kepada Uber dan Grab Car, sebagaimana syarat dikenakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) terhadap teksi. Dalam masa sama ia akan memberikan persaingan sihat kepada teksi sedia ada, di samping Uber atau Grab Car ini akan dapat beroperasi mengikut peraturan ditetapkan SPAD,” ujar Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi.

    Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan berkata kenderaan-kenderaan yang digunakan dalam perkhidmatan perkongsian kenderaan akan diwajibkan untuk membeli insuran komersial seperti teksi biasa, dan kemudian menjelaskan langkah tersebut hanya akan diimplementasikan kemudian setelah SPAD mendapatkan maklum balas dari orang awam.

    Beliau turut mengulang semula kenyataan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai awal bulan ini yang mengatakan kerajaan sedang mengkaji pelbagai isu berkenaan servis perkongsian kenderaan ini, termasuk keperluan untuk mendaftarkan setiap pemandu yang terlibat dalam servis tersebut.

    Beberapa pihak yang mewakili pemandu teksi telah mendakwa SPAD kerana gagal bertindak terhadap Uber dan GrabCar kerana beroperasi secara haram, dan pertikaian ini telah membawa kepada pelbagai langkah yang dilakukan oleh pemandu teksi agar suara mereka kedengaran termasuk membuat protes jalanan sehingga menyebabkan beberapa jalan di Bandaraya Kuala Lumpur ditutup.

     
     
  • Imej render Honda Jazz 2019 – dilapor 30 kg lebih ringan, dijana enjin turbo 1.0L atau 1.5L Hybrid

    2019-Honda-Jazz-facelift-Japan-magazine-render_BM

    Sebuah majalah dari Jepun menyiarkan imej imaginasi digital Honda Jazz (atau dikenali sebagai Fit untuk pasaran domestik Jepun) 2019. Menurut laporan majalah tersebut lagi, Jazz generasi ke-empat ini dijangka akan dilancarkan pada bulan Jun 2019 dan bakal dijana barisan enjin-enjin baharu dari Honda.

    Imej render berkenaan menampilkan muka Jazz tersebut direka menyamai muka Civic terbaharu. Ia diterjemahkan dengan rekaan ‘Solid Wing Face’ pada lampu dan gril hadapan, yang sekarang ini sedang mendominasi setiap model-model terbaharu keluaran Honda. Juga seiring dengan trend terkini, lampu hadapan yang dilengkapi adalah dari jenis LED serta bampar hadapan yang mendapat sentuhan rekaan baharu.

    Majalah ini turut menyebut kereta ini bakal dibina 30 kg lebih ringan daripada Jazz sedia ada tanpa memperincikan bagaimana ia diringankan.

    Satu lagi maklumat menarik dari laporan berkenaan adalah pada sistem janaan Jazz generasi berikutnya ini. Hatchback kompak tersebut dijangka bakal dikuasakan dengan enjin 1.0 liter VTEC Turbo dengan sistem pancitan bahan api terus yang mungkin akan diambil dari Civic pasaran Eropah berkemampuan menjana 127 hp/200 Nm. Ia juga bakal tampil dengan pilihan varian hibrid yang dijana oleh enjin 1.5 liter i-VTEC dipadankan bersama sistem i-MMD Honda.

    GALERI: Honda Jazz (Carnival Red) di Malaysia

     
     
  • Mazda CX-4 muncul di Beijing Motor Show 2016 – hanya untuk pasaran domestik di China sahaja

    Mazda CX-4 China official 7

    Mazda CX-4 yang disahkan hanya untuk pasaran di China sahaja, telah pun melakukan penampilan perdana secara rasmi di Beijing Motor Show 2016. CX-4 ini turut mempertaruhkan konsep Koeru seperti mana yang didedahkan di Frankfurt Motor Show 2015.

    Dengan imej yang dipersembahkan, CX-4 ini tampil dengan gril radiator trapezoidal besar yang disambung pada utama yang melunjur ke belakang dengan teknologi LED. Manakala garisan bumbungnya yang lebih sporty turut disambungkan pada spoiler belakang yang juga tampak bergaya, bersama lampu kabus yang agak besar dan diposisikan di bahagian bawah bampar, dan di atas paip ekzos berkembar. Padanan rim aloi pilihan bersaiz 19-inci turut menyerlahlah lagi penampilannya.

    Pada bahagian kabinnya, atmosferanya kelihatan mirip dengan mana-mana model terbaharu Mazda termasuk CX-3. Ia ditampilkan dengan paparan tujuh-inci gaya-tablet bagi sistem hiburan tetapi masih menerapkan brek parkir konvensional berbanding brek elektrik seperti CX-5. Konsol tengahnya pula diletakkan kawalan suhu automatik dwi-zon dan suis rotari di belakang tuil gear, bagi mengawal sistem hiburan.

    Bagi penjana kuasanya, CX-4 menawarkan dua pilihan enjin iaitu 2.0 liter empat-silinder SkyActiv-G dengan kuasa 158 hp dan 202 Nm. Ia menyalurkan kuasa pada roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan. Manakala varian pacuan semua-roda dijanakan oleh enjin 2.5 liter empat-silinder SkyActiv-G dengan kuasa 192 hp dan 252 Nm. Ia turut menggunakan kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Penggunaan bahan api bagi CX-4 ini dianggarkan sekitar 6.2 liter bagi setiap 100 km bagi enjin 2.0 liter dan 7.2 liter per 100 km untuk enjin 2.5 liter.

     
     
  • Lencongan trafik di Jalan Kuchai Lama-NPE

    2015-npe-pantai-dalam-toll-plaza- 001

    NPE Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan berhubung dengan lencongan sementara trafik di sepanjang Jalan Kuchai Lama dilaksanakan mulai 23 April 2016 hingga 23 Januari 2017. Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja pembinaan hubungan Lebuhraya Pantai Baru (NPE)-Kuchai Lama.

    Menurut kenyataan tersebut, lokasi yang terjejas ialah susur keluar dari Jalan Kuchai Lama menghala ke NPE dan susur keluar dari NPE ke Jalan Kuchai Lama. Pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi papan tanda jalan dan had laju ditetapkan.

     
     
  • Muzium Automobil Toyota akan mengadakan Festival Kereta Klasik ke-27, imbau revolusi automotif Jepun

    20160422_01_02

    Muzium Automobil Toyota akan mengadakan Festival Kereta Klasik yang ke-27 pada 29 Mei di Aichi Expo Memorial Park di Bandar Nagakute. Acara tahunan yang diadakan untuk mempromosikan budaya berkereta berkenaan juga akan menampilakn upacara perarakan kereta klasik milik individu keluaran Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah yang dibina pada tahun 1986 dan kebawah di atas jalan raya awam.

    Dengan populariti kereta klasik yang semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, festival tahun ini menyaksikan peningkatan penyertaan sekitar 100 ke 150 buah kereta yang dimiliki oleh pihak individu – menjadikan ia yang terbesar pernah diadakan dalam sejarah festival itu sendiri. Green Square di dalam taman tersebut yang telah diperbesarkan tahun lalu turut akan digunakan pada festival kali ini yang turut akan mengadakan pameran Studio Kereta Klasik yang dikhaskan untuk mempamerkan prestasi bunyi enjin.

    20160422_01_06

    Turut diadakan pada festival kali ini adalah pameran istimewa memfokuskan kereta dari tahun 1920’an hingga 1930’an iaitu era yang menyaksikan pembangunan yang pesat dalam industri automotif Amerika Syarikat dan Eropah, dan semasa era industri automotif Jepun yang sebenar dilahirkan. Semasa kereta-kereta mewah buatan Amerika dan Eropah menampilkan teknologi terkini dengan keselesaan dan dan bunyi yang senyap dipandu di atas jalan raya, industri automotif Jepun baharu sahaja bermula. Pameran istimewa ini akan menampilkan lima kereta klasik yang terkenal pada era tersebut dari koleksi muzium sendiri termasuk model Packard Twin Six (1920, Amerika Syarikat), Horch 853 (1937, Jerman) dan replika Toyoda Model AA (1936, Jepun). Kereta-kereta ini akan dipandu pada pameran tersebut serta akan melakukan demonstrasi pemanduan di litar kereta klasik.

    Muzium Automobil Toyota adalah fasiliti kebudayaan yang terletak di Bandar Nagakute dan dimiliki oleh Toyota Motor Corporation. Atas sebab untuk memberikan lebih kefahaman kepada orang awam berkenaan evolusi industri automotif di Jepun, muzium tersebut telah diperbesarkan dengan penambahan satu lagi tingkat untuk dijadikan ruang pameran kekal, yang secara terus dikaitkan dengan pameran istimewa dalam festival tahun ini.

    GALERI: Festival Kereta Klasik Muzium Automobil Toyota 2015

     
     
  • Volkswagen dan firma undang-undang Amerika Syarikat capai kata sepakat resolusi skandal diesel

    2016-volkswagen-passat-us-model

    Berikutan laporan Volkswagen yang akan mengeluarkan sejumlah USD$ 1 billion (RM3.89 billion) untuk membayar ganti rugi kepada pengguna di Amerika Syarikat, syarikat berkenaan kini disahkan telah mencapai “perjanjian dalam prinsipal” dengan pihak berkuasa yang terlibat dalam prosiding skandal dieselgate tersebut.

    Firma undang-undang Amerika Syarikat yang terlibat dalam tindakan berkenaan adalah terdiri daripada Jabatan Keadilan (Bahagian Alam Sekitar), Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) dan Lembaga Sumber Udara California (CARB), dengan penglibatan sepenuhnya Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC).

    “Perjanjian dalam prisipal ini akan dimasukkan sekali ke dalam dekri persetujuan oleh Jabatan Keadilan dan FTC dalam masa beberapa minggu lagi,” menurut pengumuman yang dibuat tersebut. Syarat-syarat terperinci yang terkandung di dalam perjanjian itu belum lagi dimuktamadkan, dengan kenyataan dari syarikat berkenaan mengatakan hanya “ciri asas” dalam resolusi tersebut telah dipersetujui pada tahap ini.

    VW jetta TDI US-spec

    Syarat-syarat asas ini akan diletakkan di dalam penyelesaian yang lebih komprehensif yang akan didedahkan beberapa minggu lagi. Dalam erti kata yang mudah, Charles Breyer, hakim yang mengetuai kes ini mengalu-alukan perkembangan terbaharu tersebut.

    Walau bagaimanapun, beberapa laporan mendakwa transkrip dari mahkamah mendedahkan beberapa perincian berkenaan ciri asas yang dipersetujui bersama oleh pihak Volkswagen dan pihak berkuasa Amerika Syarikat itu. Dokumen berkenaan menyatakan dianggarkan 480,000 buah kenderaan yang dilengkapi dengan enjin diesel 2.0 liter EA189 terlibat dalam kes ini, lebih rendah daripada anggaran asal sebelum ini yang menjangkakan sejumlah 600,000 unit.

    Pemilik kenderaan-kenderaan ini juga mempunyai peluang sama ada untuk menjual semula kenderaan mereka kepada pengeluar, atau Volkswagen akan memperbaiki semula kenderaan tersebut sehingga ia mematuhi undang-undang emisi setempat. Pelanggan yang telah memajakkan kenderaan Volkswagen mereka dibenarkan untuk membatalkan pajakan tersebut dan memulangkan semula kenderaan itu kepada syarikat terbabit.

     
     
  • Pembelian kenderaan antara punca utama kes bangkrap di Malaysia – satu daripada setiap empat

    Car-loan-purchase-bankrupt

    Seperti mana yang semua tahu, rakyat Malaysia memang suka kereta. Walau pun harga kereta naik, tapi mesti ada juga yang membelinya. Tak kiralah ada yang merungut ekoran kos taraf hidup yang meningkat, nafsu untuk memiliki kenderaan baharu adakalanya sukar untuk ditolak. Tetapi tahukah anda, satu daripada empat kes bangkrap di Malaysia dilaporkan adalah berpunca daripada pembelian kenderaan.

    Laporan The Sun menyebut antara 2011 dan 2015, sebanyak 27.94% atau 28,374 kes bangkrap dicatatkan di negara ini adalah berpunca daripada pembelian kenderaan. Sumber laporan ini adalah daripada Jabatan Insolvensi Malaysia, yang mendedahkan antara punca utama kes bangkrap di negara ini.

    Pinjaman perumahan pula menduduki carta kedua iaitu dengan 21,697 kes iaitu 21.36% daripada keseluruhan kes bangkrap, diikuti dengan pinjaman peribadi (20,727 kes atau 20.41%) dan pinjaman perniagaan (11,899 kes atau 11.71%). Jabatan tersebut memberitahu pihak mereka telah mengendalikan sejumlah 101,537 kes sepanjang 2011 hingga 2015.

    Mengikut statistik, majoriti kes adalah dari Selangor (29,421 kes), diikuti dengan Kuala Lumpur (14,479) dan Johor Baharu (14,064). Manakala Perlis berada di senarai paling bawah kes bangkrap ini dalam tempoh lima tahun iaitu hanya 343 kes direkodkan.

    Dari segi umur pula, individu berusia antara 35 dan 44 tahun menguasai 35.24% daripada keseluruhan kes sepanjang tempoh itu, sementara usia antara 25 dan 34 tahun pula sebanyak 22.52%. Laporan ini turut menyebut peningkatan kes dari tahun 2011 (19,167) hingga 2014 (22,351 kes), dan ia menurun pada tahun 2015 dengan 18,547 kes yang direkodkan.

    Adakah anda merasakan sikap obsesi sesetengah individu untuk memiliki kenderaan baharu biar pun sebenarnya kurang berkemampuan mendorong mereka untuk ‘rela’ diisytihar bangkrap? Kongsikan pendapat anda bersama kami.

     
     
  • VIDEO: Toyota Hilux TRD Sportivo vs Toyota 86

    Pada Bangkok Motor Show 2016 yang lalu, Toyota Motor Thailand telah melancarkan barisan model Toyota Hilux Revo TRD Sportivo. Model tersebut dilengkapi dengan aksesori-aksesori asli dari TRD merangkumi bahagian luaran dan dalaman. Manakala untuk varian tertinggi dalam barisan model Hilux TRD Sportivo ini, ia turut dilengkapi dengan sistem suspensi yang ditala semula menerusi pemadanan penyerap hentak asli TRD. Untuk membuktikan kebolehan Hilux Revo TRD Sportivo ini, Toyota Thailand membawanya ke litar untuk diuji.

    Trak pikap ini diuji di Litar Antarabangsa Chang yang terletak di daerah Buriram Thailand. Sebagai kayu ukur, Toyota tidak membawa sedan atau hatchback biasa, tetapi mereka membawa sebuah kereta lumba sebenar Toyota 86 yang berlumba dalam kejuaraan Endurance RAAT Thailand untuk diuji bersama Toyota Hilux Revo Prerunner 2X4 2.4 TRD Sportivo ini.

    Video tersebut menunjukkan Hilux diuji dalam beberapa situasi pemanduan termasuk meredah selekoh-S, mengambil selekoh berpasir dengan kelajuan tinggi, dipandu menerusi laluan slalom dengan kelajuan 80 km/j dan juga meredah selekoh yang basah. Bagaimana trak pikap ini beraksi? anda perlu tonton sendiri aksinya menerusi video ini.

    Ketika pengguna di Thailand sedang menikmati trak pikap ini di sana, kita di Malaysia masih lagi ternanti-nanti pelancaran Toyota Hilux serba baharu ini. UMW Toyota sudah pun mengumumkan tempahan untuk Hilux baharu ini telah dibuka, dengan harga permulaan dari RM89,900 hingga RM133,900 (harga atas jalan dengan insuran) untuk varian tertinggi.

    Toyota Hilux genersi kelapan ini dibina diatas kerangka Frame with Integrated Rigidity Mechanism (FIRM) yang lebih kuat dan juga bahagian dalaman yang diberikan sentuhan lebih premium. Ia dikuasakan dengan dua pilihan enjin turbo diesel baharu Toyota iaitu enjin 1GD-FTV 2.8 liter dengan 177 hp dan tork 450 Nm, dan enjin 2GD-FTV 2.4 liter dengan 150 hp dan tork 400 Nm, serta dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan terkini.

    GALERI: Toyota Hilux TRD Sportivo di Thailand

     
     
  • Lakaran Volkswagen Amarok 2016 didedahkan

    2016-Volkswagen-Amarok-sketch-1-e1461288101808

    Baru-baru ini, Volkswagen Commercial Vehicles telah mempertontonkan beberapa lakaran model pikap Amarok versi facelift. Jangka hayat Amarok telah pun berlangsung sekitar enam tahun, dan model penambahbaikan ini pastinya memberikan imej yang lebih premium.

    Ia menampilkan bahagian hadapan yang direka semula termasuklah bampar yang lebih mantap dengan sentuhan perak dan skid plate. Malah lampu kabusnya juga disambungkan ke bampar. Manakala padanan lampu utama yang lebih tebal dengan gril yang lebih berketerampilan. Pada bahagian belakangnya, lampu belakang baharu turut ditampilkan dengan rekaan pencahayaan yang lebih moden.

    Di dalamnya, Amarok menampilkan lebih banyak garisan mendatar dan menegak bagi menyerlahkan lagi rekaan papan pemukanya. Malah corong penghawa dingin dan paparan skrin sesentuh juga diposisi semula dengan lebih dekat antara satu sama lain. Butang kawalan sistem suhu baharu juga kelihatan. Perubahan ini menampilkan Amarok umpama ‘sebuah kereta’ bukan sekadar jentera pikap.

    Buat setakat ini, Volkswagen tidak menyalurkan sebarang informasi, namun difahamkan penjana kuasanya diberi penambah baikan iaitu menampilkan enjin 2.0 liter EA288 TDI, yang dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan atau automatik lapan-kelajuan bersama sistem pacuan semua-roda 4Motion. Model semasa Amarok didatangkan dengan enjin diesel turbo tunggal (140 hp dan 340 Nm) atau biturbo (180 hp dan 400/420 Nm).

    GALERI: Volkswagen Amarok

     
     
  • Pengguna jalan raya boleh melaporkan jalan berlubang di Selangor menerusi Waze tidak lama lagi – Azmin

    azmin-ali

    Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali memberitahu kerajaan negeri kini dalam perbincangan dengan syarikat yang membangunkan aplikasi navigasi Waze bagi membenarkan pengguna jalan raya melaporkan terus jalan yang berlubang kepada majlis perbandaran, laporan The Malay Mail.

    “Buat masa ini, kami sedang berbincang denga Waze, untuk menggunakan aplikasi mereka supaya dapat memperkukuhkan lagi insiatif kami bagi penyelesaian pintar di Selangor,” ujar Azmin.

    Katanya lagi, terdapat banyak mekanisma yang boleh digunakan dengan aplikasi ini, jadi pihak kerajaan negeri mahu bekerjasama dengan Waze yang membolehkan pengguna jalan raya terus melaporkan mana-mana jalan berlubang kepada perbandaran tempatan supaya tindakan segera dapat diambil.

    Waze-Planned-Drives_All-iOS-Screens

    Menurut Azmin, enam perbandaran tempatan iaitu Ampang Jaya (MPAJ), Kajang (MPKJ), Subang Jaya (MPSJ), Shah Alam (MBSA), Petaling Jaya (MBPJ) dan Klang (MPK) yang akan terlibat dengan projek ini, dan mereka akan menetapkan indeks prestasi utama dalam bentuk tindak balas bagi masa yang minimum untuk setiap laporan yang dikemukakan.

    “Kami akan memantau secara lebih dekat, dan dengan lokasi tepat yang dilaporkan kerana ia turut menyertakan koordinat, jadi pihak majlis perbandaran boleh segera ke lokasi berkenaan secepat mungkin untuk menyelesaikan masalah ini, mungkin dalam kurang daripada 72 jam,” ujar Azmin lagi yang berharap program ini dapat dimulakan secepat mungkin iaitu pertengahan 2016 ini.

    Menggunakan aplikasi untuk melaporkan kerosakan jalan bukanlah suatu perkata yang baharu. Sebelum ini, Menteri Kerja Raya turut melancarkan Aduan Jalan KKR pada Mac tahun lalu, selepas ia diumumkan pada 2014. Malah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga memperkenalkan aplikasi dalam talian CaknaKPKT pada tahun lalu, di mana pengguna boleh menghantar sebarang laporan kepada penguatkuasa tempatan.

     
     
  • Honda Accord 2017 Hybrid diperkenalkan – miliki penjimatan bahan api efisien sehingga 20.4 km/l

    2017-Honda-Accord-Hybrid-1-e1461293685726

    Honda Accord Hybrid 2017 telah pun diperkenalkan secara rasmi di Amerika Syarikat. Tidak seperti model semasa (2015), kenderaan hibrid ini kini diproduksikan di kilang Honda yang terletak di Sayama, berhampiran Tokyo, selepas memberhentikan pengeluarannya di Marysville, Ohio, pada tahun lalu.

    Diledakkan dengan lebih tenaga dan penjana kuasa hibrid yang mampu memberikan penjimatan bahan api, Accord Hybrid baharu ini direkodkan mampu menguruskan penggunaan sehingga 20.8/20/20.4 km/liter (bandar/lebuh raya/kombinasi), terbaik dalam kelasnya.

    Berdasarkan syarat baharu EPA, Honda menjangkakan Accord Hybrid 2015 menggunakan 20.4/19.1/20 km/liter, menunjukkan 0.4/0.9/0.4 km/liter peningkatan terhadap model 2017. Jadi bagaimana Honda mampu mencapai peningkatan ini?

    2017-Honda-Accord-Hybrid-2-e1461293724840

    Di bawah hudnya, terletak enjin 2.0 liter empat-silinder i-VTEC Atkinson-cycle yang telah disemak semula. Malah penjana kuasanya juga telah ditala semula, di mana ia tidak menggunakan transmisi konvensional, sebaliknya dipadankan dengan motor elektrik bahary dengan sistem hibrid dua-motor. Selain itu, penjana kuasa Accord Hybrid ini juga mampu memuncakkan kuasa sehingga 212 hp. Ia juga menampilkan tiga mod operasi.

    Dengan mod “Hybrid Drive”, enjin petrol akan menjanakan motor/generator kedua to cas semula bagi pek bateri lithium ion. Sementara motot elektrik pula menghantar pacuan ke roda. Manakala mod “Engine Drive” pula membawakan enjin kebuk pembakaran berfungsi dengan mekanisme klac-berkunci untuk berhubung ke enjin dan motor pendorong, maka ia akan dipacu oleh roda hadapan oleh kedua-dua enjin petrol dan motor elektrik. Manakala “EV Drive” pula membenarkan pacuan semua-elektrik untuk jarak yang sangat pendek (apabila enjin dimatikan).

    Apa lagi yang ingin ditonjolkan oleh Accord 2017 ini selain penjana kuasanya? Sudah tentulah imej yang diperagakan. Tetapi imejnya masih sama dengan Accord facelift, melainkan terdapat sedikit perbezaan iaitu menampilkan roda yang unik dan kekemasan biru pada lampu utama LED dan lampu belakangnya dengan indikator yang cerah, serta logo Hybrid pada bahagian belakangnya.

    Bahagian dalamnya masih sama dengan Accord facelift. Ini termasuklah elemen yang dipertingkatkan seperti paparan pelbagai-informasi (MID) 7.7-inci, skrin sesentuh audio 7-inci dengan sambungan Apple CarPlay, MirrorLink untuk telefon pintar dan WiFi hotspot. Hanya satu elemen tambahan yang ada iaitu butang “EV Mode” yang terletak di bahagian kanan konsol tengah.

    Di US, Accord Hybrid 2017 ditawarkan dengan tiga varian (harga belum diumumkan) iaitu Hybrid, Hybrid EX-L dan Hybrid Touring. Ia turut didatangkan dengan elemen standard termasuk kamera undur dengan sudut yang lebih lebar, kawalan penghidup enjin dan Honda Sensing. Bagi keselamatan pula, ia dipadankan dengan elemen termasuk Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keeping Assist (LKAS), Adaptive Cruise Control (ACC), Road Departure Mitigation (RDM), Lane Departure Warning (LDW) dan Forward Collision Warning (FCW).

     
     
  • MINI Clubman baharu dilancar – dua varian, Cooper 136 hp dan Cooper S 192 hp, harga bermula RM204k

    F54-MINI-Clubman-1_BM

    BMW Group Malaysia telah melancarkan ahli terbaharu dalam keluarga MINI, MINI Clubman, yang hadir dengan dua varian iaitu MINI Cooper Clubman dan MINI Cooper S Clubman.

    MINI Clubman baharu merupakan satu-satunya kenderaan enam-pintu dalam segmennya, ditampilkan dengan rekaan signatur iaitu pintu belakang terpisah yang lebih mudah untuk diakses dengan empat-pintu sisi dan kapasiti lima-tempat duduk. Terdapat bar pusat diposisikan di tengah seksyen kaca di antara kedua pintu sisi bagi mengoptimakan pandangan pemandu ke belakang.

    Ia juga dihadirkan dengan karakteristik yang lebih matang dengan refleksi daripada dimensinya yang lebih besar berbanding model sebelumnya. Malah konsep badan yang tersendiri dengan garisan yang langsung dan lunjuran silhouette turut menyerlahlah lagi karakteristik model ini. MINI Clubman baharu ini memiliki ukuran 4,253 mm panjang, selebar 1,800 mm dan berketinggian 1,441 mm dengan jarak roda 2,670 mm.

    Pada bahagian hadapan, MINI Clubman dapat dibezakan dengan MINI biasa pada bahagian Air Curtains untuk saluran udara yang ditempatkan sekeliling roda memasuki Air Breather di belakang gerbang roda hadapan, dan ini merupakan yang pertama ditampilkan pada MINI. Ia membantu mengurangkan seretan angin, sekali gus memberikan pengendalian yang lebih efisien.

    F54-MINI-Clubman-7_BM

    Beralih kebahagian belakang pula, lampu belakang untuk model Clubman ini direka secara melintang, berbanding menegak pada MINI standard. Rekaan ini adalah seiras dengan rekaan pada konsep Clubman yang ditampilkan sebelum ini, kecuali pada rekaan bampar belakang yang lebih ringkas dan tip ekzos tunggal yang terletak pada bahagian kiri.

    Varian Cooper Clubman dan Cooper S Clubman dibezakan pada skup bonet hadapan, juga rekaan agresif pada bampar hadapan dan belakang, gril hadapan dengan motif rekaan mesh, tip ekzos berkembar dan sudah tentu lencana-lencana S yang diletakkan dibahagian yang sepatutnya.

    Kedua-dua varian dilengkapi dengan lampu utama LED dan lampu kabus LED. Pada bahagian roda, model Cooper dilengkapi roda aloi Net Spoke 17-inci manakala untuk Cooper S pula dilengkapi rim aloi Star Spoke Black 18-inci.

    Dengan rekaan dalaman yang versatil, MINI Clubman baharu ini juga dilihat menepati keperluan fungsi yang diperlukan dalam kelas kompak. Malah bingkai kokpit dan panel instrumen yang luas merupakan elemen utama yang menonjolkan rekaan dalamanya. Rekaan yang bersifat harmoni itu juga disambungkan pada panel pintu dan konsol tengah.

    F54 MINI Clubman-11

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan penghawa dingin automatik dua-zon, brek parkir elektrik, cermin pandang belakang dengan fungsi anti-silau, MINI Connected untuk sambungan telefon bimbit pintar.

    Varian MINI Cooper menampilkan upholstery Cloth Firework Carbon Black dengan permukaan dalaman Hazy Grey dan Chrome Line serta roda stereng balutan kulit.

    Bagi MINI Cooper S Clubman baharu, ia turut dilengkapi dengan tempat duduk hadapan berkuasa dengan fungsi larasan dan memori. Varian ini juga menampilkan permukaan dalaman hitam pekat dengan material kulit Cross Punch dalam upholstery Pure Burgundy serta roda stereng John Cooper Works balutan kulit bersama pedal penukar gear.

    MINI Clubman baharu ini turut dilengkapi dengan fasiliti storan yang pelbagai termasuk ruang penyimpanan barang yang lebih versatil. Malah ia juga berkapasiti 360 liter tetapi sekiranya tempat duduk belakang (40:20:40) dibaringkan sepenuhnya, ia boleh mencapai kapasiti sehingga 1,250 liter.

    Clubman_CooperS_Ext-22_BM

    Varian Cooper Clubman baharu ini dijanakan oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder sebaris yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 136 hp dan tork maksima 220 Nm. Ia mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 9.1 saat dan kelajuan maksimum tercatat pada 205 km/h. Manakala penggunaan bahan apinya didakwa sekitar 5.4 liter bagi setiap 100 km.

    Untuk varian yertinggi MINI Cooper S Clubman pula dipadankan dengan enjin yang lebih berkuasa iaitu 2.0 liter empat-silinder dengan kuasa maksimum 192 hp dan tork 280 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan-kelajuan. Dari 0-100 km/j hanya mengambil masa 7.1 saat dan kelajuan maksimum yang mampu dicatatkan pada 228 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya dianggarkan 5.9 liter bagi setiap 100 km.

    Dua mod ditawarkan untuk pemanduan Mini Clubman iaitu mod Sport dan Green. Mod tersebut boleh dipilih menerusi suis rotari yang terletak berhampiran tuil penukar gear. Dalam mod Green, talaan pada enjin adalah lebih kepada penjimatan bahan api, begitu juga dengan penukaran gear yag lebih tenang dan lembut dan sistem penghawa dingin yang beroperasi pada keadaan yang lebih efisien kepada penggunaan bahan api. Jika pemandu memilih mod Sport pula, kuasa sepenuhnya dari enjin akan dilepaskan, serta penukaran gear akan dilakukan secara lebih agresif.

    Kedua-dua varian enjin dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan-kelajuan automatik. Kuasa dari enjin akan terus diputuskan sekiranya pemandu melepaskan pedal pendikit pada kelajuan 50 hingga 160 km/j. Ini akan membolehkan MINI Clubman ‘berlayar’ dengan kelajuan melahu enjin, memberikan penggunaan bahan api yang lebih efisien.

    F54-MINI-Clubman-9_BM

    MINI Clubman baharu menampilkan sistem suspensi gandar topang jalinan tunggal pada bahagian hadapan dan sistem multilink pada bahagian belakang. Direka dengan pusat graviti yang rendah serta dibantu dengan stereng kuasa elektromekanikal, pengendalian wagon ini dikatakan hampir kepada kelincahan sebuah go-kart.

    Bagi aspek keselamatan, MINI Clubman baharu ini turut dilengkapi dengan ABS, EBD, Kawalan Brek Selekoh (CBC) dan bantuan Brek, selain Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), mod Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC), Electronic Differential Lock Control (EDLC) dan Fading Brake Support.

    MINI Clubman baharu ini ditampilkan dengan dua warna baharu iaitu Melting Silver dan Pure Burgundy. Selain skim warna lain termasuk Pepper White, Midnight Black, Moonwalk Grey, Deep Blue, British Racing Green dan Thunder Grey hanya untuk MINI Cooper S Clubman.

    Varian Cooper Clubman ditawarkan pada harga RM203,888.00 manakala untuk varian CooperS Clubman pula ditawarkan pada harga RM253,888.00. Harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tidak termasuk insuran. Ia turut didatangkan dengan waranti empat tahun bersama perbatuan tanpa had dan servis berjadual percuma.

     
     
  • VIDEO: Honda Civic 1.8 NA Vs 1.5 Turbo di litar Thai

    Video yang disiarkan ini hanyalah sebuah video produk terbaharu mempromosikan Honda Civic 2016, menampilkan varian 1.8 liter tanpa induksi paksaan menentang varian 1.5 liter VTEC Turbo di litar. Walaupun bukan perlumbaan sebenar, video ini tetap menarik dengan menghidangkan aksi kejar-mengejar kedua-dua buah Civic tersebut di litar Buriram, Thailand.

    Ia bukan pelumbaan sebenar, jadi kita tentu tahu jika kedua-dua buah Civic ini berlumba, tentulah varian 1.5 liter VTEC Turbo yang berkuasa 173 hp/220 Nm boleh menewaskan dengan mudah varian 1.8 liter NA yang berkuasa 141 hp/174 Nm. Civic 1.5 VTEC Turbo ini juga telah dibuktikan lebih berkuasa dari varian 2.4 liter NA generasi terdahulu oleh pengeluar kotak komputer berprestasi tinggi dari Amerika – Hondata, menerusi video yang disiarkan oleh mereka Februari lalu.

    Honda Civic 2016 telah dilancarkan di Thailand bulan lalu semasa berlangsungnya Bangkok International Motor Show. Ia hadir dengan empat varian untuk pasaran Thailand yang terdiri daripada 1.8 E, 1.8 EL, Turbo dan Turbo RS serta turut ditawarkan dengan aksesori Modulo.

    Civic-Thai-Duel

    Pada bahagian luaran, sedan ini dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED dan lampu belakang LED secara standard. Varian 1.8 EL ditambah dengan lampu kabus dan pemegang pintu krom. Model Turbo dan Turbo RS pula dilengkapi dengan roda aloi 17-inci (model 1.8L dilengkapi dengan roda aloi 16-inci) dan dua tip ekzos. Manakala untuk varian tertinggi Turbo RS pula ia dilengkapi dengan lampu hadapan LED, lampu kabus LED, bampar dan gril hadapan lebih sporty dan juga spoiler belakang.

    Pada bahagian dalaman pula, sistem kunci pintar dengan butang suis penghidup adalah standard untuk semua varian bersama butang penghidup enjin kawalan jauh. Varian asas 1.8 E dilengkapi dengan penghawa dingin automatik, roda stereng pelbagai fungsi, brek parkir elektronik, skrin paparan lima-inci dan juga hubungan Bluetooth. Ia turut menerima tempat duduk fabrik berwarna beige.

    Varian 1.8 EL pula ditambah dengan kawalan kelajuan, lampu hadapan automatik, kunci automatik Walk Away, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-hala, balutan kulit, skrin paparan instrumen TFT LCD, skrin sesentuh sistem infotainmen tujuh-inci dengan hubungan Apple CarPlay dan Siri Eyes Free, lapan pembesar suara dan juga kamera undur.

    Honda-Civic-Thai-Grades_BM

    Varian Turbo pula menerima semua ciri tadi dengan tambahan penggilap cermin automatik, tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat-hala, dan penghawa dingin dua zon. Model tertinggi Turbo RS pula dilengkapi dengan cermin pandang belakang anti-silau automatik, roda stereng dengan penukar gear serta pedal aloi.

    Sistem keselamatan standard yang dibekalkan untuk Civic ini termasuk dua beg udara, ABS dengan EBD dan BA, VSA dan juga Bantuan Mula Mendaki. Hanya varian Turbo RS dibekalkan dengan enam beg udara serta amaran pemakaian tali keledar untuk penumpang hadapan dan Honda LaneWatch. Ia dijual dengan harga bermual 869,000 baht (RM96,175) hingga 1.19 juta baht (RM131,683).

    Civic 2016 juga telah dilancarkan di Indonesia dengan varian tunggal 1.5 Turbo pada awal bulan ini dengan harga Rp. 475 juta (RM140,177). Sedikit perubahan dilakukan berbanding model pasaran Thailand termasuk tip ekzos belakang yang ditonjolkan.

    GALERI: Honda Civic Turbo RS 2016

    GALERI: Honda Civic 1.8 E 2016

     
     
  • Hampir RM600 juta dibelanjakan untuk selenggara jalan di Sabah pada tahun 2015 – Joseph Pairin

    SabahRoad_2

    Menerusi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang berlangsung semalam, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata sejumlah RM591.7 juta dibelanjakan bagi kerja-kerja penyelenggaraan semua jalan raya di Sabah tahun lepas.

    Katanya terdapat empat syarikat konsesi dipertanggungjawab menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya di Sabah dan masing-masing membelanjakan RM289.8 juta, RM160 juta, RM86.5 juta dan RM55.4 juta untuk menjalankan penyelenggaraan jalan negeri dan jalan persekutuan meliputi kerja-kerja rutin, kecemasan dan berkala, laporan Bernama.

    “Pada keseluruhannya, prestasi syarikat-syarikat konsesi dilantik dan kerja-kerja berkeutamaan berdasarkan bajet diluluskan adalah memuaskan dan mematuhi spesifikasi,” katanya.

    Ia adalah bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Bujang (BN-Sindumin) dalam sesi soal jawab pada sidang DUN di sini yang ingin tahu berapa syarikat dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di Sabah dan jumlah wang dibelanjakan oleh syarikat terbabit pada tahun lepas.

     
     
  • Gambar rasmi pertama Renault Koleos 2016 didedah sebelum kemunculan sulungnya minggu hadapan

    2016-renault-koleos-first-pic-1_BM

    Selepas video teaser SUV terbaharu ini disiarkan, Renault telah mendedahkan secara rasmi imej Renault Koleos 2016. SUV segmen-D tersebut yang sebelum ini dikhabarkan akan digelar Renault Maxthon, akan melakukan kemunculan sulungnya untuk peringkat global di Beijing International Auto Exhibition yang dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan.

    Seperti dilaporkan sebelum ini, Koleos yang berada pada kelas yang lebih tinggi daripada Captur dan Kadjar dalam barisan SUV Renault, akan menghadapi saingan dari Mitsubishi Outlander, Hyundai Santa Fe dan Kia Sorento. Koleos baharu ini dibina berasaskan platform Common Module Family Architecture (CMF-CD) yang dihasilkan menerusi Pakatan Renault-Nissan – yang juga digunakan sebagai asas binaan Nissan X-Trail terkini. Beberapa laporan mengatakan Koleos akan diproduksi di Korea Selatan.

    Perincian rasmi model ini masih lagi belum dikeluarkan selain dari kenyataan media dari Renault yang menyebut Koleos akan menawarkan “kebolehan pada setiap permukaan jalan dalam masa yang sama memastikan pemanduan, pengendalian dan stabiliti yang terbaik.” Selain dari sekeping gambar rasmi yang disiarkan oleh Renault, terdapat juga dua keping gambar SUV segmen-D tersebut yang telah bocor di alam maya, memberikan gambaran yang jelas bahagian belakangnya.

    Pada bahagian hadapan, Koleos diberikan gril yang garang dengan motif jaluran melintang beserta logo Renault yang diletakkan pada bahagian tengah. Lampu hadapan berbentuk-C yang turut menempatkan lampu nyalaan siang LED seperti yang ditunjukkan pada video teaser tempoh hari juga ditampilkan. Pada bahagian belakang pula, Koleos dilengkapi dengan sepasang lampu belakang yang digabungkan bersama lampu pada pintu belakang direka hampir bersambung antara kedua-duanya serta dua unit tip ekzos yang ditempatkan pada setiap sisi bampar belakang.

    Imej bahagian dalaman Koleos belum lagi disebarkan disebarkan, tetapi telah dinyatakan dalam laporan sebelum ini, SUV ini akan hanya menampilkan konfigurasi lima-tempat duduk. Ini telah disahkan oleh CEO Renault, Thierry Bollore yang menyatakan Koleos tujuh-tempat duduk mungkin akan diperkenalkan untuk peringkat seterusnya.

     
     
  • Honda perkenal ARC Line di Thailand – sel aliran pertama di dunia untuk pemasangan kenderaan

    Honda-ARC-Line-Thailand-1_BM

    Honda telah membina barisan pengeluaran besar-besaran automotif pertama di dunia yang membabitkan produksi dengan sistem sel aliran. Sistem yang digelar barisan Assembly Revolution Cell (ARC) tersebut telah pun diperkenalkan pada kilang Honda Prachinburi baharu terletak di Thailand, yang telah pun beroperasi pada Mac 2016. Honda Civic generasi ke-10 telah dihasilkan di kilang tersebut.

    Barisan sistem ARC ini adalah berbeza dari sistem barisan pemasangan konvensional, dan ia menyaksikan peningkatan yang signifikan dalam kecekapan pengeluaran. Pada sistem barisan konvensional, setiap pekerja produksi hanya akan bertanggungjawab dalam satu proses pemasangan komponen pada badan kenderaan yang diletakkan pada konveyor yang bergerak.

    Berlainan pada produksi sel, seorang pekerja pengeluaran akan bertanggungjawab untuk proses pemasangan yang lebih luas. Dalam sistem barisan ARC Honda, empat pekerja pemasangan ditempatkan pada sebuah unit ARC – iaitu sebuah unit konveyor yang membawa sebuah badan kenderaan bersama set lengkap komponen yang akan dipasang pada badan tersebut.

    Honda-ARC-Line-Thailand-2_BM

    Pekerja produksi berkenaan akan memasang kenderaan terbabit yang bergerak sekali bersama barisan pemasangan. Dengan sistem ini, ia akan mengurangkan apa-apa pergerakan sampingan pada pekerja produksi. Contohnya, memilih komponen yang betul yang diperlukan untuk kenderaan seterusnya yang dibawa oleh konveyor dan memasangnya sambil berjalan bersama badan kenderaan itu.

    Walaupun pergerakan pemasangan tersebut tidak perlu, ia tidak boleh dielakkan dalam barisan pemasangan konvensional, ini merupakan sebab utama sistem barisan ARC ini diperkenalkan. Setiap seorang daripada empat pekerja produksi tersebut juga akan bertangggung jawab memasang beberapa komponen pada badan kenderaan pada satu masa, ia memberikan mereka pengetahuan produksi dan kemahiran yang lebih luas berbanding hanya memasang satu komponen.

    Honda menjangkakan sistem barisan ARC ini akan memberikan kesan positif pada pembangunan kemahiran para pekerja produksi di mana mereka mampu untuk memberikan maklum balas dari kumpulan produksi kepada kumpulan pembangunan pada masa akan datang.

     
     
  • Teaser kit Sport Line dari Wald untuk Toyota Prius

    Toyota-Prius-Wald-Sport-Line-kit-04_BM

    Syarikat penala kereta dari Jepun, Wald, menyiarkan imej teaser baharu kit badan Sport Line untuk Toyota Prius generasi-keempat. Setelah beberapa imej teaser disiarkan sebelum ini, kini imej baharu kit tersebut ditampilkan dalam warna putih pula.

    Tidak banyak perubahan daripada kit yang telah disiarkan sebelum ini, tetapi bampar hadapan yang telah direka semula tersebut menampilkan gril hadapan dengan kemasan matte dan juga menempatkan sepasang liang udara. Sementara itu pada bahagian splitter hadapan, skirt sisi, diffuser belakang dan spoiler belakang adalah kekal sama seperti sebelum ini.

    Ada beberapa lagi kelainan yang ditampilkan pada bahagian hadapan, di mana gril hadapan kini diapit dengan jalur berwarna merah. Kemasan pada cermin sisi juga tampil dengan warna merah, serta jaluran merah lain yang dapat disaksikan pada bahagian bawah pintu serta di sekililing rim.

    Kit dari Wald ini adalah terhad pada penampilan luaran sahaja tanpa melibatkan apa-apa talaan untuk prestasi enjin. Jadi kereta ini masih dikuasakan dengan enjin petrol standard 1.8 liter kitaran-Atkinson VVT-i empat-silinder berkuasa 97 hp/142 Nm digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 71 hp dan 163 Nm.

    GALERI: Toyota Prius 2016 di Tokyo Motor Show 2015

     
     
  • Pulau Pinang memperketatkan lagi penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan ruang parkir OKU

    SONY DSC

    Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan lebih bertegas terhadap individu normal yang menggunakan lot parkir untuk orang kurang upaya (OKU). Mulai Mei ini, hanya kenderaan yang memiliki pelekat OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau perbandaran tempatan sahaja yang akan dibenarkan memarkir di petak parkir tersebut. Sehingga kini terdapat 53 petak parkir OKU di pulau berkenaan, laporan The Star.

    Kenderaan yang diparkir di petak parkir OKU dan tidak memaparkan pelekat yang sah akan dikompaun sebanyak RM100, ujar ahli majlis MBPP Chris Lee Chun Kit. Beliau berkata jika tidak mempunyai pelekat yang sah iaitu yang dikeluarkan oleh JPJ mahu pun perbandaran tempatan, mestilah mempamerkan kad perakuan OKU pada bahagian papan pemuka kenderaan mereka.

    Lee berkata sejumlah 689 pelekat OKU telah dikeluarkan setakat ini, iaitu 152 untuk pemandu kurang upada dan 537 kepada penjaga mereka. “Walau bagaimana pun memang terdapat pelekat palsu dijual di pasaran, namun pegawai penguatkuasa kami memiliki kepakaran untuk mengesannya,” ujarnya lagi.

    Beliau turut menjelaskan langkah mengetatkan penguatkuasaan ini diperlukan bagi memberikan mesej yang jelas kepada masyarakat supaya tidak menyalahgunakan ruang parkir untuk OKU ini. Lee turut berkata setakat ini nisbah ruang parkir berkenaan hanya 7.69%, dan walau pun jumlahnya kecil namun ia tetap disalahgunakan. Beliau juga berkata sebanyak 51 kompaun telah dikeluarkan dari Januari hingga April tahun ini.

    Lee turut menggesa supaya penjaga kepada OKU meletakkan kenderaan di parkir biasa sekiranya tidak membawa OKU bersama supaya ruang parkir khas itu dapat digunakan oleh orang yang benar-benar layak. “Saya juga berharap semua pusat membeli-belah dan pertubuhan swasta turut mengetatkan pengguatkuasaan terhadap ruang parkir OKU agar ia tidak disalahguna,” tambahnya lagi.

     
     
  • Toyota menjadi pengeluar pertama di dunia guna hos getah biosintetik mesra alam dalam kenderaannya

    20160421_01_01_en_BM

    Mulai bulan hadapan, Toyota akan menggunakan material biohydrin, iaitu produk getah biosintetik yang baharu dibina, untuk hos-hos pada enjin serta sistem-sistem lain dalam kenderaan keluaran mereka. Setelah ia digunakan kelak, Toyota akan menjadi pengeluar pertama di dunia yang berbuat demikian, dan juga merupakan langkah penting dalam mencapai sasaran pemeliharaan alam sekitar yang dirangka oleh mereka sendiri pada Oktober 2015.

    Getah biohydrin ini menggunakan bio-meterial yang diperolehi dari tumbuhan berbanding epichlorohydrin yang biasanya menggunakan kompaun epoksi. Seperti diketahui, tumbuhan menyerap karbon dioksida dari atmosfera. Dengan menggunakan bahan bio-material sedemikian, ia mampu untuk mengurangkan pencemaran karbon sekitar 20% dalam hayat kitaran material berbanding penggunaan getah hydrin konvensional berasaskan petroleum.

    Getah mesra-alam ini dibina oleh Toyota dengan kerjasama Zeon Corporation dan juga Sumitomo Riko Co., Ltd., dan kenderaan keluaran Toyota pertama yang akan menggunakan hos pengesanan vakum dari getah biohydrin ini akan diproduksi pada bulan Mei, dengan penggunaannya kepada semua kenderaan yang dibuat oleh Toyota di Jepun dijangka akan bermula pada akhir tahun ini.

    Menurut Toyota, hos pada enjin dan sistem pemanduan memerlukan tahap kalis minyak dan suhu panas yang tinggi. Produksi getah biohydrin menggunakan pelbagai teknologi kompaun untuk menyatukan material yang diperolehi dari tumbuhan dan material yang berasaskan petroleum pada tahap molekul.

    Menerusi teknologi-teknologi ini, getah biohydrin mampu untuk memberikan tahap kalis minyak, kalis suhu tinggi, dan ketahanan yang diperlukan pada hos pengesanan vakum pada enjin dan sistem pemanduan. Pada masa hadapan, Toyota bercadang untuk mengembangkan penggunaan biohydrin ini kepada komponen getah berprestasi tinggi yang lain, seperti hos brek dan hos sistem penyampaian bahan api.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026