Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Toyota dan Mazda akan bekerjasama bangunkan kenderaan sambungan pintar dan kuasa elektrik (EV)

    2016_toyota_yaris_quebec-12-e1443751067967-850x451-bm

    Toyota Motor Corporation dan Mazda Motor Corporation kini sedang bergabung tenaga dalam bahagian pembangunan kenderaan sambungan pintar dan penggerak elektrik, menurut satu laporan daripada Automotive News. Kata timbalan presiden eksekutif Mazda, Akira Marumoto, dua pengeluar kenderaan ini sedang berbincang secara mendalam sejak tahun lepas lagi, namun beliau tidak memberitahu subjeknya.

    Tahun lepas, dua pengeluar ini telah menandatangani satu perjanjian, yang mana menjelaskan Toyota akan menyediakan teknologi hibrid dan advanced fuel-cell mereka kepada Mazda, sementara Mazda pula akan berkongsi teknologi enjin petrol dan diesel SkyActiv mereka sebagai balasan.

    Kerjasama teknologi antara Mazda dan Toyota ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana pengeluar kenderaan Jepun lain juga melakukan langkah yang sama sejak baru-baru ini, sama ada melalui perolehan atau gabungan dalam syarikat. Paling baru adalah Nissan membeli pegangan utama dalam Mitsubishi awal tahun ini. Toyota pula membeli lebihan saham dalam Daihatsu Motor Company dan masih meneroka kerjasama penyelidikan dan pembangunan dengan Suzuki.

    Presiden Toyota Motor Corporation, Akio Toyoda, dan pengerusi Suzuki, Osamu Suzuki memberitahu bahawa perbincangan antara kedua pihak bermula apabila permintaan kewangan semakin menakutkan untuk mengejar pembangunan kenderaan elektrik dan lebih maju. Toyota juga mempunyai pegangan dalam Isuzu, Fuji Heavy Industries dan Hino Motors.

     
     
  • GIVI lantik Anita Yusof sebagai duta jenama barangnya

    new-givi-ambassador3

    Anita Yusof adalah seorang pensyarah dan guru yang sentiasa gemarkan cabaran. Setelah puas mengembara serata dunia menggunakan pengangkutan awam, beliau meningkatkan lagi cabaran dengan memilih motosikal sebagai pengangkutan utama.

    September lalu, Anita pulang dari pengembaraan bermotosikal terbesar secara solo yang pernah beliau lakukan, mengelilingi dunia sejauh lebih 65,000km, merentasi 4 benua dan 40 negara. Untuk itu, GIVI menganggap Anita sebagai seorang yang berhati waja dan kental.

    Sepanjang perjalanan itu juga GIVI sentiasa memberi sokongan kepada Anita termasuk menyediakan motosikal beliau dengan aksesori yang diperlukan. Apabila pulang daripada pengembaraan getir ini, selain Anita sendiri, barangan GIVI itu juga terbukti tahan.

    Dengan pengalaman luas seperti itu, Givi akhirnya melantik Anita sebagai duta jenama barangan GIVI. Menurut Pengarah Operasi Antarabangsa GIVI, Joseph Perucca, Anita memberi maklum balas yang sangat berguna untuk penambahbaikan barangan GIVI dan beliau merupakan testimoni yang terbaik.

     
     
  • PSKLM nafi kadar tol naik 16 November ini

    2015-npe-pantai-dalam-toll-plaza- 001

    Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) mendakwa berita yang tersebar melalui media sosial berhubung kenaikan kadar tol di beberapa lebuh raya utama berkuat kuasa 16 Nov ini hanyalah khabar angin dan ianya tidak benar, lapor Bernama.

    Menurut Timbalan Yang Dipertua PSKLM Sazally Saidi, khabar angin yang menyebut kadar tol di beberapa lebuh raya antaranya Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) akan naik antara RM1 dan RM5.70 mulai Isnin, 16 Nov, dipercayai telah dikitar semula oleh pihak tidak bertanggungjawab.

    “16 Nov tu pun hari Rabu bukannya Isnin macam dalam ‘statement hoax’ (kenyataan palsu) itu,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.

     
     
  • Volvo S90 L dan Excellence didedahkan di China

    Volvo S90 Excellence interior keyboard

    Kita di Malaysia masih lagi menunggu ketibaan Volvo S90, tetapi di China, versi kemaskini sedan mewah berkenaan sudah pun didedahkan. Dua model diperkenalkan iaitu model dengan jarak roda lebih panjang dan sebuah lagi model tiga-tempat duduk yang lebih mewah dan eksklusif digelar S90 Excellence – membuat kemunculan sulungnya untuk peringkat global.

    Untuk pasaran China, mereka tidak menerima S90 versi standard – hanya versi jarak roda lebih panjang S90 L (ditarik 120 mm lebih panjang) dijual untuk pasaran tersebut. Model ini diproduksi di kilang Volvo Daqing, China dan disifatkan sebagai “kereta paling premium pernah dibuat di China” serta bakal dieksport untuk peringkat global.

    Model istimewa tiga-tempat duduk Volvo S90 Excellence turut dibina berdasarkan platform jarak roda panjang berkenaan. Berbeza dengan XC90 Excellence yang masih mengekalkan empat tempat duduk, sedan mewah ini benar-benar dibina dengan hanya tiga-tempat duduk, di mana tempat duduk penumpang hadapan digantikan dengan “Lounge Console“. Volvo juga mendakwa material berkualiti tinggi yang digunakan di dalam kabin S90 ini turut memberikan suasana mewah yang mengasyikkan.

    Volvo S90 Excellence exterior front 3/4

    Volvo S90 Excellence exterior front 3/4

    Model ini juga menerima ciri eksklusif seperti bumbung panaromik penuh, meja kerja yang boleh dilipat, ruang simpanan tambahan, pemegang cawan dengan pemanas dan penyejuk, perehat kaki boleh laras, dan sistem hiburan bina-dalam bersama paparan besar bersepadu. Tempat duduk belakang turut diberikan unit kawalan-sentuh, peti sejuk bina-dalam dan juga gelas dari pembuat gelas dari Sweden – Orrefors.

    S90 Excellence hanya dijana dengan pilihan unit janakuasa paling berkuasa T8 Twin Engine plug-in hybrid (sama seperti SUV XC90 T8 pasaran Malaysia), manakala untuk model S90 L pula turut menerima pilihan enjin petrol yang lebih mampu milik iaitu T4 dan T5.


    GALERI: Volvo S90 L

    GALERI: Volvo S90 Excellence

     
     
  • Geely hanya berminat dengan kerjasama teknologi

    Lotus_TheGardens-20

    Susulan kepada laporan semalam, bahawa Geely mungkin berminat untuk ambil alih Lotus, pengerusi syarikat dari China itu, Li Shufu telah menjelaskan bahawa Geely hanya berminat untuk mengadakan kerjasama teknologi sahaja. “Kami tak pernah berbincang tentang pembelian ekuiti,” tambah beliau.

    Selain pengeluaran kenderaan, Lotus turut menyediakan perkhidmatan rundingan kepada pegeluar lain sebelum ini. Walaupun Li menafikan syarikat itu ada menyerahkan kertas cadangan untuk pembelian Lotus, beliau mencadangkan bahawa Geely berminat untuk bekerjasama dengan pengeluar dari British itu, tetapi tidak dihuraikan dengan lebih lanjut.

    Syarikat induk Geely, Geely Holding Group kini turut merupakan pemilik jenama Volvo dan London Taxi Company. Li menjelaskan buat masa ini tiada rancangan untuk menambah bilangan jenama di bawah syarikat mereka; menumpukan perhatian kepada Geely-Volvo merupakan keutamaan untuk meningkatkan penampilan syarikat itu diperingkat global.

     
     
  • Honda Civic dengan modifikasi muncul di SEMA

    SEMA 2016

    SEMA 2016

    Di Amerika Utara, Honda Civic bukanlah nama yang asing bagi kelompok modifikasi kenderaan. Pameran lima buah Honda Civic yang diberi sentuhan ubah suai yang menarik yang dipamerkan di SEMA 2016 mengukuhkan lagi perkara ini.

    Pertama, Civic Coupe kuning yang dibangunkan oleh TJIN Edition. Ia tidak hanya ubah suai kosmetik, tetapi turut libatkan modifikasi mekanikal. Kit bahagian depan adalah daripada Apollo Top One Auto Part, sementara kit sisi badan dan bahagian belakang menggunakan aksesori daripada Honda Factory Performance Accessories. Kedudukan yang lebih rendah disumbangkan oleh sistem suspensi BC Racing BR Series, dengan rim Rotiform OZT dan brek Baer. Material ruang dalaman menggunakan kulit dari Katzkin.

    Mad Industries menggunakan pendekatan yang sama sepeti TJIN bagi Civic Coupe biru yang dihasilkan. Ia antaranya menggunakan kit gentian karbon dari Carbon 2 Carbon dan bampar belakang dengan rekaan ekzos tunggal di tengah. Suspensi pula menggunakan Eibach Pro Kit, dipadankan dengan tayar Toyo T1R dan rim Rotiform QLB.

    Satu-satunya Civic sedan yang diberi modifikasi adalah Civic X Concept oleh Meguiars. Dengan suspesi coilover menjadikannya lebih rendah, ia dipadankan dengan rim SSR serta bonet gentian karbon memberikan imej yang lebih ranggi. Ruang dalaman menampilkan penggunaan material kulit Alcantara. Talaan enjin turut dilakukan oleh Greddy.

    Tidak ketinggalan sebuah unit untuk litar lumba. Dengan palang keselamatan (roll cage) yang mengikut spesifikasi FIA, jentera ini akan membuat penampilan sulung dalam perlumbaan 25 Hours of Thunderhills Disember nanti. Spesifikasi litar bagi rekaan badan, enjin dan transmisi juga akan disediakan kelak kepada pasukan ini, oleh Honda Performance Development (HPD).

    Akhir sekali, Civic hatchback yang dilengkapi dengan kit dan produk penuh Honda Factory Performance. Ini termasuk kit badan lengkap, termasuk juga rim 19 inci baharu serta cakera brek; semuanya dengan loga HFP. Pameran SEMA sedang berlangsung di Pusat Persidangan Las Vegas, dari 1 hingga 4 November.

     
     
  • Hukuman pelik menanti pemandu di Shenzen, China – memandu dengan memasang lampu tinggi dihukum memandang silauan lampu tinggi selama seminit

    Ford S-Max Adaptive LED Headlamps with Glare-Free Highbeam-01

    Bagi pemandu kenderaan yang menggunakan lampu tinggi (high beam) sewaktu memandu, ada hukuman pelik menanti. Ia diimplementasikan di Shenzhen, selatan China, pemandu yang berbuat demikian akan dihukum memandang silauan lampu tinggi kenderaan dalam tempoh seminit, laporan South China Morning Post.

    Baru-baru ini, polis di bandar tersebut telah mengumumkan hukuman ini bakal dilaksanakan, di mana pesalah akan duduk di atas kerusi dan harus memandang silauan lampu tinggi tersebut selama 60 saat.

    Bukan itu sahaja, pesalah juga akan disaman sebanyak 300 yuan (RM186), di samping amaran sepenuhnya dibaca sendiri iaitu penggunaan lampu tinggi sepenuhnya hanya boleh digunakan pada waktu dan tempat yang tertentu sahaja.

    Maklumbalas daripada masyarakat di sana, rata-ratanya memberikan persetujuan kerana tindakan ini dilihat mampu mengekang kemalangan jalanraya yang berlaku disebabkan penggunaan lampu tinggi dalam keadaan yang tidak sesuai. Malah media di China sering melaporkan berita kemalangan yang membabitkan kematian apabila pemandu menggunakan lampu tinggi sepenuhnya yang cukup menyilaukan.

    Sebelum ini, pihak polis hanya mengeluarkan saman terhadap pesalah iaitu antara 100 hingga beberapa ratus yuan, namun perkara ini didapati semakin menjadi-jadi. Maka hukuman yang dirasakan lebih setimpal harus dilaksanakan.

     
     
  • Toyota Levin 1.2T – enjin kecil, turbocaj untuk China

    toyota-levin-corolla-1-2-turbo-01-850x476

    Toyota Levin di China kini menerima pembaharuan; penggunaan enjin baharu 1.2 liter turbocaj serta lampu nyalaan siang LED. Untuk makluman, model berkenaan merupakan versi tersendiri bagi model Corolla hasil usaha sama antara GAC-Toyota (Guangqi-Toyota) bagi pasaran di sana. FAW-Toyota pula menjual Corolla yang berlainan, yang lebih mirip kepada model Altis.

    Menggantikan model lama yang menggunakan enjin 1.6 liter, enjin baharu 9NR-FTS 1.2 liter empat silinder dengan turbocaj dan suntikan terus menjana 116 hp dan 185 Nm tork – sama seperti unit yang sedang digunakan pada model hatchback Auris untuk pasaran Eropah. Transmisi 6-kelajan manaul atau CVT ditawarkan kepada model Levin 1.2T, dengan lambang D-4T.

    Ciri baharu, Toyota Smart Stop System kini merupakan ciri standard untuk memperbaiki penggunaan minyak. Model dengan transmisi CVT juga hadir dengan Sport Mode. Di China, model ini dijual pada harga 109,800 hingga 133,800 yuan (RM68k hingga RM83k), di bawah Levin 1.8.

    Belum tentu sama ada enjin petrol yang lebih kecil sesarannya ini akan ditawarkan untuk pasaran lain. Sebelum ini, sistem pacuan pad Levin HEV dengan enjin 1.5 liter hibrid juga masih terhad hanya untuk pasaran China.

     
     
  • Syarikat penyedia pengangkutan awam harus contohi Prasarana bagi polisi bayaran balik – 4PAM

    LRT rail pix Bernama

    Persatuan Pengguna-Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM) telah mengemukakan cadangan agar syarikat penyedia pengangkutan awam lain turut menggunakan polisi yang sama yang diamalkan oleh Prasarana Malaysia Bhd dalam membuat bayaran balik kepada penumpang yang mengalami kelewatan.

    Menurut Presidennya Ajit Johl, kenyataan yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri di Dewan Rakyat pada 31 Oktober lepas dianggap sebagai langkah positif bagi pengguna pengangkutan awam, laporan Bernama.

    “Kami mahu ia menjadi amalan standard oleh semua penyedia pengangkutan awam. Pengusaha bas, sama ada antara bandar atau bas ekspres, pengusaha teksi dan semua pengendali tren seharusnya mempunyai polisi ini dan mekanisme mudah untuk membuat bayaran balik,” ujar beliau.

    Tambahnya lagi, walau bagaimana pun Prasarana harus mengkaji semula syarat yang ditetapkan iaitu hak tuntutan itu terbatal dengan sendirinya jika pengguna masih meneruskan perjalanan dengan menaiki perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) atau KL Monorel.

    Nancy dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Koh Nai Kwong (BN-Alor Gajah) di Dewan Rakyat berkata polisi yang diamalkan Prasarana adalah sekiranya berlaku kelewatan yang melebihi 15 minit, pengguna mempunyai hak untuk menuntut kembali tambang yang dibayar atau mendapatkan kupon sebagai tiket ganti untuk perjalanan pada keesokan harinya.

    Polisi sama akan diguna pakai untuk laluan Mass Rapid Transit (MRT) yang bakal dikendalikan Prasarana, dijangka beroperasi hujung tahun ini.

     
     
  • JPJ sangkal dakwaan kenderaan Singapura tanpa VEP tidak dibenarkan memasuki Malaysia menerusi Johor

    johor-causeway-jam-bernama-pix-630x388

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor telah menyangkal dakwaan terdapat beberapa kenderaan pendaftaran Singapura yang tidak dibenarkan memasuki Kompleks Sultan Abu Bakar di Link Kedua kerana tidak mendaftar dengan sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP).

    Menurut Pengarah JPJ negeri tersebut, Mohd Rusdi Mohd Darus, kerajaan Malaysia masih belum melaksanakan sistem VEP. Justeru, dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali.

    “Kita baru saja melaksanakan caj jalan raya (RC) sebanyak RM20 sejak semalam, tetapi VEP belum dilaksanakan” ujarnya ketika dihubungi oleh News Strait Times.

    Sehingga kini, lebih 120,000 kenderaan dari Singapura mendaftar dengan sistem VEP dan dianggarkan 60 peratus daripada satu juta kenderaan yang keluar masuk Malaysia melalui dua pintu keluar masuk dalam tempoh sebulan merupakan kenderaan dari Singapura.

    VEP yang dicadangkan pada 2006, sepatutnya bermula pada 16 Julai lalu bagi kenderaan asing memasuki Johor, tetapi telah ditangguhkan sebanyak empat kali sebelum ini.

     
     
  • BMW 1 Series Sedan – foto pertama dalaman didedah

    bmw-1-series-sedan-interior

    Selepas mula didedahkan sejak Julai dan September lalu, kini foto pertama ruang dalamannya pula disebarkan. Kelihatannya imej yang diperagakan bagi ruang dalaman BMW 1 Series Sedan ini agak mirip dengan 2 Series AT/GT dan X1, malah juga menyerupai BMW Concept Compact Sedan yang dipamerkan pada tahun lalu.

    BMW 1 Series Sedan bakal menawarkan tiga varian untuk pasaran China iaitu 125i Sport, 120i Luxury dan varian asas 118i. Model 120i dan 125i bakal dijana oleh enjin 2.0 liter petrol dengan bantuan pengecas turbo, menghasilkan 192 hp pada 120i dan 239 hp pada 125i. Manakala untuk model 118i pula, ia akan dibekalkan dengan enjin 1.5 liter petrol turbo berkuasa 136 hp.

    bmw-1-series-sedan

    Kesemua enjin ini dijangka bakal dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik dari ZF, dan kemungkinan turut ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Model 1 Series ini juga dibina berasaskan platform UKL yang turut digunakan sebagai asas binaan model MINI, jadi ini merupakan sedan BMW pacuan hadapan yang pertama.

    Sedan 1 Series ini dibina dengan kerjasama bersama rakan kongsi BMW di China iaitu Brilliance Auto, dan akan diproduksi di China bersama X1 dan 2 Series Active Tourer yang turut diproduksi secara tempatan.

     
     
  • 31 lebuhraya di M’sia akan guna kutipan tol elektronik pada 2017; LDP dan SDE tambahan terbaharu

    ldp-petaling-jaya-selatan-toll-bm

    Lanjutan kepada berita yang dimaklumkan sebelum ini, bermula 12 tengah hari 9 November 2016, dua lagi lebuhraya akan melaksanakan kutipan tol secara elektronik sepenuhnya; iaitu Lebuhraya Damansara-Puchong (E11, LDP) dan Lebuhraya Senai-Desaru (E22, SDE). Dengan ini, menjelang hujung 2016, semua kutipan tol di Lembah Klang dilakukan secara elektronik (Electronic Toll Collection, ETC).

    Empat plaza tol terlibat bagi setiap lebuhraya di dalam pelaksanaan terbaharu ini; di LDP ia membabitkan Plaza Tol Penchala, Plaza Tol Petaling Jaya Selatan, Plaza Tol Puchong Barat dan Plaza Tol Puchong Selatan. Sementara bagi SDE pula melibatkan Plaza Tol Senai, Plaza Tol Ulu Tiram, Plaza Tol Cahaya Baru dan Plaza Tol Penawar.

    Timbalan Yang Di Pertua Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuh Raya Malaysia (PSKLM) yang juga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Lingkaran Trans Kota (Litrak) Sdn Bhd, Sazally Saidi turut memaklumkan, kini hanya tinggal 3 sahaja lagi lebuhraya di Malaysia yang belum menggunakan ETC sepenuhnya.

    “Daripada 31 lebuhraya yang beroperasi di Malaysia ketika ini, 28 daripadanya sudah menggunakan sistem ETC sepenuhnya. Kami mensasarkan tahun depan akan menyaksikan lengkapnya pelaksanaan ETC sepenuhnya ini secara menyeluruh,” ujar beliau ketika taklimat bersama media, hari ini.

    etc-implementation-chart-bm

    Tiga lebuhraya yang dimaksudkan itu ialah Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan Lebuhraya Elite yang berada di bawah seliaan PLUS. “Daripada pemerhatian yang kami jalankan, daripada 149 juta kenderaan yang menggunakan semua lebuhraya di Malaysia pada Ogos 2016, 138 juta daripada jumlah itu menggunakan ETC; ini 93% daripada jumlah keseluruhan pengguna,” jelas beliau.

    “Ini menunjukkan bahawa penerima dalam kalangan pengguna lebuhraya terhadap ETC sangat baik, dan kami yakin, dalam tahun hadapan, semua 31 lebuhraya yang ada di Malaysia akan menggunakan sistem ETC sepenuhnya. Dalam masa sama, kami juga sedang mempertingkatkan kemudahan yang berkaitan secara berperingkat,” jelas beliau.

    Ia antara lain merujuk kepada lorong Touch n’ Go yang turut akan diperbanyak di plaza tol, bergantung kepada situasi dan kadar trafik masing-masing. Setakat November 2016, sebanyak 323 lorong tambah nilai Touch n’ Go disediakan secara keseluruhannya.

    “Antara penambah baikan segera yang dilakukan ialah lorong berkenaan kini beroperasi 24 jam sehari,” tambah beliau. Rangkaian kemudahan tambah nilai kini juga sudah diperbanyakkan, antaranya di pusat perkhidmatan pelanggan (dilanjutkan waktu operasinya kepada 7 pagi – 10 malam), mesin ATM, kiosk layan diri serta Touch n’ Go Spot.

    litrak-etc-november-2016-bm

    Setakat ini, terdapat sebanyak 2,288 lorong tol diseluruh Malaysia. Daripada jumlah itu, 1,232 lorong adalah untuk Touch n’ Go, 496 merupakan lorong Smart Tag dan bagi 560 lorong lagi menerima kedua-dua bayaran tunai dan Touch n’ Go.

    Bagi mempromosi penggunaan ETC di LDP dan SDE, promosi khas turut akan di adakan. Bagi LDP, 68,000 kad Touch n’ Go akan diedarkan secara percuma (pengguna perlu membayar minimum tambah nilai RM5), Smart Tag pula dijual pada harga RM104.95 serta pemberian rebat 10% selama dua bulan dari 9 November hingga 31 Disember 2016. Ia boleh ditebus guna bagi tempoh Januari hingga April 2017, bergantung kepada tarikh awal penggunaan.

    Sama juga di SDE, cuma dengan kadar berbeza; 8,000 kad Touch n’ Go diedarkan percuma (pelanggan perlu menambah nilai RM10), Smart Tag pada harga RM99 serta rebat dengan tempoh tebus guna yang sama dengan pengguna LDP.

    Pelan pelaksanaan sistem bayaran tol secara elektronik sepenuhnya ini bermula berperingkat sejak tahun 2008. Setakat 2016, 78 buah plaza tol sudah beroperasi secara elektronik sepenuhnya. Dan pada 2017 pula, disasarkan 99 plaza tol lagi akan bergerak ke arah pelaksanaan yang sama, menjadikan keseluruhan 177 plaza tol yang akan akan beroperasi secara elektronik sepenuhnya.

     
     
  • Petronas Dagangan akan segera selesaikan kerja penyelenggaraan, naik taraf kemudahan NGV

    Petronas

    Susulan mengenai berita pemberhentian sementara penjualan Gas Asli Kenderaan (NGV) di 67 buah stesen Petronas sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Johor yang dilaporkan 31 Oktober lalu, Petronas Dagangan Bhd berkata pihaknya nekad untuk menyelesaikan kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf kemudahan tersebut secepat mungkin.

    Ketua Bahagian Perniagaan Runcit, Asdrin Azly, berkata, “Kami sedang bekerja keras untuk memastikan semua stesen terlibat beroperasi semula secepat mungkin. Dari segi keselamatan, kami juga akan memastikan semua penyelenggaraan dilakukan, di samping menaik taraf kemudahan NGV bagi menjadikannya cekap dan selamat untuk orang ramai.”

    Pemberhentian jualan sementara NGV ini adalah disebabkan seorang lelaki maut selepas tangki yang berisi bahan api NGV meletup di sebuah stesennya di Johor Bahru pada minggu lalu. Walau bagaimana pun, perkara ini tidak membabitkan jualan petrol dan diesel, malahan kedai serbaneka ‘Kedai Mesra’ turut beroperasi seperti biasa.

     
     
  • Jambatan baharu hubung Tanjung Lumpur-Bandar Kuantan bakal dibina – kos keseluruhan RM181.2 juta

    jambatan_pahang

    Dikhabarkan sebuah jambatan baharu yang menghubungkan Bandar Putera, Tanjung Lumpur dengan bandar Kuantan bakal dibina tidak lama lagi. Kos pembinaan yang dianggarkan bernilai RM181.2 juta ini telah pun mendapat kelulusan Kerajaan Pusat.

    Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, jambatan baharu yang dijangka siap pada Ogos 2019 itu, merupakan alternatif bagi Jambatan Tanjung Lumpur yang sedia ada sekali gus mengatasi masalah kesesakan yang dihadapi selama ini terutama pada waktu puncak dan hujung minggu, laporan Bernama.

    Pembinaan jambatan baharu ini akan bermula dengan pembinaan jalan dari persimpangan Jalan Pintas Bukit Setongkol dan Jalan Tanah Putih (FT002) melalui sebahagian Jalan Sri Kemunting 2.

    Ia akan merentasi Sungai Kuantan dan berakhir di Jalan Tanjung Lumpur. Pembinaan projek ini akan melibatkan kawasan tanah paya bakau di sebelah Tanjung Lumpur, kawasan di Jalan Kemunting 2 serta kawasan lapang di sebelah Bandar Kuantan.

    “Projek ini akan meliputi kawasan sepanjang 2.5 kilometer melibatkan pembinaan jalan baharu (1.29 kilometer), dan menaik taraf jalan sedia (0.48 kilometer), dan pembinaan jambatan baharu (451 meter),” ujarnya kepada pihak media.

    Malahan ia turut melibatkan kerja pembinaan persimpangan lampu isyarat baharu di Tanjung Lumpur dan kerja menaik taraf satu persimpangan T di Jalan Tanah Putih dan Jalan Pintas Bukit Setongkol kepada persimpangan lampu isyarat.

    Dalam masa yang sama, beliau turut berkata kementerian akan mengkaji tentang cadangan kerajaan negeri untuk membina lebih banyak persimpangan bertingkat di negeri ini dalam usaha mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

    “Kita akan kemukakan cadangan ini ke kerajaan pusat, namun saya tidak dapat berjanji kerana ia melibatkan kos yang tinggi iaitu dianggarkan RM50 juta dan apa yang boleh kita lakukan buat sementara ialah dengan menambah baik persimpangan lampu isyarat,” katanya.

     
     
  • Singapura seragamkan caj jalan raya dengan Malaysia

    johor-causeway-jam-bernama-pix-630x388

    Singapura telah membuat keputusan untuk menyeragamkan caj jalan raya (RC) yang dikenakan Malaysia sebanyak RM20 di dua pintu masuk darat ke Johor iaitu di Tambak Johor dan Link Kedua berkuatkuasa hari ini.

    Tindakan ini adalah dibuat selepas Singapura menuduh Malaysia melakukan “diskriminasi terhadap kenderaan yang didaftarkan di Singapura kerana ia hanya terpakai di pusat pemeriksaan Singapura”, memetik laporan Bernama.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan Singapura, butiran terperinci mengenai langkah yang akan diambil itu akan diumumkan tidak lama lagi.

    Beberapa hari lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pelaksanaan RC ini bukanlah bersifat diskriminasi kerana ia telah dimaklumkan terlebih dahulu kepada rakan sejawatannya di Singapura.

    “Singapura telah mula mengutip RC lebih lama daripada kita, sejak berpuluh tahun lalu. Malaysia baru saja hendak mula. Bukan setakat Singapura, kita juga akan lakukan perkara yang sama di laluan pintu masuk kita di Thailand, Brunei dan Indonesia. Setiap kenderaan akan dicaj sebanyak RM20,” ujar Liow bagi mengulas perkara itu.

    Setiap hari, purata 20,000 kenderaan yang didaftarkan di Singapura memasuki Malaysia melalui Tambak Johor dan Link Kedua.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024