Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • VIDEO: Bolehkah anda menikmati minuman atau makanan di dalam Tesla Model S P90D?

    Memadai untuk berkata, minum sambil memandu, atau apa jua perkara yang boleh menganggu pemanduan, adalah tidak digalakkan untuk melakukannya. Tetapi jika anda sebagai penumpang, bagaimana ya?

    Menerusi video ini, seorang bapa yang juga pemilik model Tesla menerima aduan daripada anak-anaknya bahawa mereka tidak dibenarkan makan atau minum di dalam keretanya. Lantas si bapa pemilik P90D mencabar mereka, “Jika anda boleh minum di dalam kereta saya tanpa menumpahkannya, pada kali ini, anda boleh makan dan minum di dalam kereta pada bila-bila masa yang anda inginkan.”

    Tesla Model S P90D berkeupayaan mencapai 0-100 km/j dalam hanya 2.8 saat di dalam mod Ludicrous, sementara P100D terkini boleh mencapai masa yang lebih pantas lagi. Jadi secara logiknya, adakah anak-anak ‘selamat’ melakukan aktiviti makan-minum di dalam jentera itu? Fikir-fikirkan.

    GALERI Tesla Model S di Malaysia

     
     
  • Mercedes CLA facelift – aksesori AMG kini di Malaysia

    cla-facelift-accessories-1

    Model facelift bagi Mercedes-Benz CLA yang dilancarkan di pasaran Malaysia pada hujung minggu lalu, menampilkan tiga varian iaitu CLA 200 (1.6L, 156 hp, 250 Nm) berharga RM237k, CLA 250 Sport 4Matic (2.0L, 211 hp, 350 Nm) pula RM297k dan RM409k bagi varian tertinggi AMG CLA 45 (2.0L, 381 hp, 475 Nm).

    Kini, ia turut ditawarkan dengan aksesori AMG bagi menambahkan lagi imej rangginya. CLA 250 telah menambahkan AMG Night Package dengan pilihan roda lima jejari-berkembar 18-inci dan suspensi sport, jika dibandingkan dengan CLA 200 yang tampil bersama roda pelbagai-jejari 18-inci seperti yang boleh dilihat menerusi A200 AMG Line.

    Kedua-duanya memang nampak cukup sporty, namun CLA lebih menampakkan ciri jentera AMG. Mercedes-Benz Malaysia (MBM) yang menyedari hakikat ini, lantas telah menawarkan aksesori tulen bagi model facelift C117.

    cla-facelift-accessories-2

    Klik untuk besarkan

    Aksesori ini turut menyenaraikan boot lid spoiler (yang boleh dicat dengan apa jua warna, RM1,837 dengan GST), AMG front splitter berwarna hitam berkilat (RM3,433), panel ambang sisi AMG (RM5,770) dan apron belakang AMG (RM3,433) serta flics tambahan (RM1,351).

    Kesemuanya kecuali spoiler adalah direka khas untuk luaran AMG Line dan berwarna hitam berkilat. MBM turut menawarkan pengalas lantai berharga dari RM182.

    Dengan hanya RM15,824 bagi keseluruhan pakej ini, pastinya CLA 200/250 nampak lebih kurang sama dengan AMG 45. Malah pakej yang lebih kurang sama tururt ditawarkan bagi model facelift A-Class pada Mac lalu.

    GALERI: Model facelift bagi Mercedes-Benz CLA 250 Sport 4Matic

     
     
  • Nissan Rogue facelift diperkenalkan – mungkinkah model X-Trail bakal mengikut jejak langkahnya?

    2017-nissan-rogue BM

    Model popular di Amerika Syarikat keluaran Nissan iaitu Rogue (juga dikenali sebagai X-Trail di beberapa negara) diberikan pembaharuan untuk pasaran 2017 dan syarikat itu berkongsi maklumat berkenaannya.

    Dianggap sebagai facelift, Rogue 2017 melihatkan rupa lebih garang di mana bahagian hadapannya melihatkan gril V yang lebih besar serta rekaan bampar juga adalah baharu bersama lampu kabus berbentuk petak. Lampu belakang juga adalah baharu, dengan light guide berbentuk boomerang.

    Pada bahagian dalam, Rogue 2017 tampak lebih mewah dengan kemasan yang diberi sedikit perubahan termasuk warnanya, stereng rata di bahagian bawah dan panel tengah yang diperkemas.

    2017-nissan-rogue-BM

    Selain masih ditawarkan dengan enjin empat silinder 2.5 liter sebelum ini, Rogue 2017 juga akan didatangkan dengan enjin hibrid 2.0 liter yang berkuasa 176hp bersama sistem start/stop dan penjanaan semula kuasa brek. Sistem pacuan juga diberikan pilihan sama ada pacuan dua roda hadapan atau pacuan empat roda.

    Turut dipertingkat adalah sistem keselamatan dan bantuan dengan penambahan ciri Lane Departure Warning (LDW), Lane Departure Prevention (LDP), Intelligent Cruise Control (ICC) dan Forward Emergency Braking dengan Pedestrian Detection..

    Harga Nissan Rogue 2017 masih belum diumumkan namun ia dijangka menjadi model paling laris di Amerika Syarikat.

     
     
  • Toyota Camry 2018: tampil wajah yang lebih agresif

    Ya, anda sedang menatap wajah Toyota Camry 2018, walau pun ia versi NASCAR. Menerusi imej yang bersebaran di Internet ini, ia mempamerkan wajah yang lebih agresif bagi generasi akan datang Camry, meski pun ia ditampilkan dalam versi NASCAR.

    Dengan gril yang lebih tebal, lampu utama yang lebih nipis tetapi lebar, serta corong bawah “spindle” seperti Lexus, Toyota Camry 2018 ini kelihatan lebih berketerampilan berbanding imej pada model semasa. Walau bagaimana pun, model yang terpapar ini adalah untuk prebiu bagi pasaran Amerika Utara, berbeza dengan apa yang kita bakal terima di Malaysia.

    Camry generasi akan datang ini dikatakan akan dibangunkan dengan platfrom TNGA yang lebih sofistikated (seperti model terkini Prius), termasuk ditampilkan dengan panel kerangka aluminium yang lebih ringan. Malah ia juga akan didatangkan dengan enjin 2.0 liter turbo, termasuk bagi versi sistem hibrid.

    GALERI: Spyshot bagi Toyota Camry 2018 yang dikesan di Amerika Syarikat

     
     
  • DBKL – Bayar saman atau kena tindakan senarai hitam

    dbkl parking tow bernama pix

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas ini tidak akan berlembut lagi dengan pesalah lalu lintas dan pengguna yang meletakkan kenderaan sesuka hati dan pernah disaman sebelum ini di kawasan seliaannya. Dari 1 Oktober 2015 hingga 31 Mac tahun ini sahaja, jumlah saman letak kenderaan yang sudah dikeluarkan tetapi belum dijelaskan mencecah RM10 juta.

    Memetik laporan The Star, rekod saman tertinggi terkumpul yang pernah dikenakan terhadap seorang individu adalah berjumlah RM2,700 bagi 14 saman kesalahan trafik yang dilakukan dalam tempoh kurang setahun, kebanyakannya di kawasan Bukit Bintang.

    “Sebelum ini, kami terlalu berlembut dan itu menyebabkan kami kerugian,” jelas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abd Aziz. “Kami akan memberi tumpuan terlebih dahulu kepada pesalah yang melakukan kesalahan yang berulang kali,” ujar beliau.

    Tambah beliau, pesalah trafik yang tidak menjelaskan saman mereka tidak akan dapat memperbaharui cukai jalan kenderaan pada hadapan; ketika ini, DBKL sedang berbincang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyelaraskan data menggunakan teknologi dari Sweden yang dikenali sebagai CALE. Sistem penguatkuasaan yang dikenali Gtechna kini digunakan oleh operator parkir yang dilantik oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

    Mereka yang mempunyai saman terkumpul dan tidak membuat pembayaran akan disenarai hitamkan. Antara kawasan-kawasan utama yang dikenal pasti dengan kadar kesalahan parkir tertinggi ialah Sri Hartamas, Bukit Damansara, Bangsar, Brickfields. Solaris Mont Kiara pula tertinggi bagi jumlah saman yang dikeluarkan dan yang belum dilunaskan.

    Menurut data DBKL, sepanjang tempoh 1 Oktober 2015 hingga 31 Mac tahun ini, hanya 26,573 saman (7% sahaja) telah dibayar daripada 191,207 saman yang dikeluarkan. Statistik dari Januari hingga Julai pula menunjukkan 746,185 notis dikeluarkan bagi kesalahan menghalang lalu lintas dan sejumlah 4,857 kenderaan telah ditunda. Bagaimana pun, hanya 2% sahaja saman yang telah dibayar.

     
     
  • VIDEO: Pereka McLaren F1 bersama hasilkan trak yang boleh dilipat rata, tahan lasak untuk tempat terpencil

    Global Vehicle Trust adalah sebuah syarikat amal British yang bertumpu kepada penghasilan kenderaan yang murah, tahan lasak dan sesuai untuk tempat terpencil yang sedang membangun. Ia diuruskan oleh Torquil Norman.

    Apabila memikirkan kenderaan yang bersesuaian untuk tempat seperti di Afrika, Norman bekerjasama dengan pereka McLaren F1, Gordon Murray, dan hasilnya, sebuah trak yang digelar sebagai Ox. Keistimewaannya adalah ia boleh dilipat rata (seperti perabot pasang sendiri) untuk penghantaran ke negara tersebut dan apabila siap dipasang, ia cukup lasak untuk mengharungi keadaan jalan yang mencabar.

    Trak Ox adalah sebuah kenderaan ringkas yang menggunakan enjin diesel Ford 2.2 liter dan hanya menggunakan pacuan dua roda hadapan sahaja tetapi dikatakan mampu meredah jalan mencabar seperti sebuah kenderaan 4WD.

    global-vehicle-trust-ox-by-gordon-murray-31

    Di dalam laman web Global Vehicle Trust, trak OX dikatakan boleh siap dipasang oleh tiga orang terlatih (tidak semestinya pakar) dalam masa 12 jam sahaja.

    Trak Ox masih lagi dalam fasa prototaip dan Global Vehicle Trust sedang mengumpul dana untuk menjadikannya realiti.

     
     
  • OKU – Tiba masa untuk kita lebih menghormati hak-hak mereka; mulakan dengan tempat letak kenderaan

    oku-parking-lot-abused

    Hujung minggu yang sangat luar biasa untuk kita warga Malaysia. Buat pertama kali, kita berhasil meraih pingat emas di dalam kejohanan sukan peringkat antarabangsa. Bukan satu, bukan dua tetapi sudah tiga emas diperoleh setakat ini. Dan lebih manis, ia diusahakan oleh atlet-atlet kelainan upaya (OKU) yang bertanding dalam kejohanan Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

    Sebelum ini, Malaysia memang pernah meraih pingat di sukan Paralimpik, tetapi bukan emas. Tiga nama atlet yang menyumbang emas ini harus ditulis dalam lipatan sejarah negara; Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (acara 100m T36, celebral palsy) menyumbang emas pertama manakala Muhammad Ziyad Zolkefli (acara lontar peluru F20, masalah pembelajaran) pula memberikan Malaysia tidak hanya emas, tetapi juga rekod baharu dunia.

    Ini bertambah manis dengan emas ketiga oleh atlet lompat jauh kategori T20 (kurang upaya intelektual), Abdul Latif Romly. Beliau sahaja sudah memecahkan rekod dunia tiga kali dalam percubaan kedua, ketiga dan yang paling jauh pada percubaan kelima dengan jarak 7.6 meter.

    Menyaksikan kesungguhan, pencapaian serta sumbangan yang luar biasa atlet-atlet OKU ini terhadap negara, apa pula yang dapat kita, sebagai warga Malaysia umumnya berikan sebagai tanda terima kasih? Jika bercakap tentang habuan hadiah dan wang ringgit, kerajaan dan juga Kumpulan Naza sudah mengumumkan akan memberikan hadiah berupa wang dan kenderaan.

    malaysia-rio-paralympics

    Tetapi, ada satu lagi perkara yang jauh lebih bermakna yang dapat kita berikan; untuk lebih menghormati hak-hak OKU dan cuba belajar serta memahami nilai-nilai yang diperlukan untuk mengangkat kedudukan kelompok ini di dalam lingkungan masyarakat kita.

    OKU tidak boleh lagi dipinggirkan dan tersisih. Kita sebagai individu normal tidak boleh lagi memandang OKU dengan sebelah mata. Untuk menghormati mereka, kita mungkin boleh mulakan dengan menghormati tempat letak kenderaan yang dikhaskan kepada OKU.

    Jika perkara sekecil ini masih gagal untuk difahami, maka kita sebagai sebuah sistem masyarakat sedang berdepan masalah nilai yang sangat kritikal. Dan, sekarang adalah waktu yang paling sesuai untuk kita menunjukkan rasa hormat itu kembali dan biarlah ia kekal begitu.

    Ini kemudiannya sangat wajar diperluaskan kepada ruang-ruang awam lainnya (di dalam tren misalnya, atau ketika melintas di persimpangan lampu isyarat); di mana sahaja ada keperluan untuk kita memberikan perhatian khusus kepada OKU dan membuatkan mereka berasa selesa.

    Selepas apa yang ditunjukkan dan dicapai oleh barisan atlet paralimpik negara – pencapaian yang sama juga sangat sukar diraih oleh individu-individu normal – suara golongan OKU wajib didengari di segenap lapisan masyarakat. Mereka tidak sepatutnya lagi dilayan sebagai warga kelas kedua.

    Perubahan paradigma dan sistem nilai dalam masyarakat ketika berdepan dengan OKU adalah jauh lebih penting dan ia tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Sistem sokongan dan nilai seperti ini adalah hadiah yang lebih bermakna yang dapat kita, sebagai warga Malaysia, berikan sebagai tanda hormat kepada golongan OKU.

    Sekali lagi, jutaan terima kasih kepada atlet-atlet paralimpik negara yang bersungguh-sungguh berusaha untuk mengharumkan nama negara. Setidak-tidaknya nama Malaysia hujung minggu lalu dikenali di mata dunia di atas sebab-sebab yang membanggakan.

     
     
  • Continental Tyres lancar produk Generation 6 baharu – ditawarkan dua varian, sasar pasaran Asia Pasifik

    conti_7

    Continental Tyres telah melancarkan produk Generation 6 baharu di peringkat Asia Pasifik, yang berlangsung di Zhejiang, China, semalam.

    Memperkenalkan dua produk baharu iaitu UltraContact UC6 dan ComfortContact CC6, ia direka khas untuk negara Asia Pasifik. Malah kedua-dua produk berkenaan turut direka berasaskan keperluan dan tabiat pemandu kenderaan di rantau ini.

    Bagi UltraContact UC6, ia berkeupayaan mempertingkatkan keseimbangan pemanduan tidak kira prestasi. Ia direka dengan teknologi Jerman dengan rekaan jaluran yang penuh inovasi, turut berkemampuan memberikan pengendalian yang unggul dan sempurna untuk semua prestasi.

    Selain itu, ia juga diyakini daripada segi tahap keselamatan termasuk penggunaan di permukaan jalan yang basah. Sebagai tambahan, ia juga ditampilkan dengan Paten Potongan Berlian yang membantu memberikan kesan ‘olengan’ bagi memantapkan lagi penguasaan brek pada jarak pendek. Sudut potongan serong pula mampu memastikan lapisan air berfungsi dengan sempurna pada permukaan jalan yang basah, di samping mengoptimakan lagi penguasaan brek yang lebih ekstrem pada jarak pendek.

    Malahan teknologi Adaptive Diamond Blend Compound yang turut disertakan menghasilkan kombinasi cengkaman dan perbatuan, kerana ia mengandungi polimer cengkaman rantaian-pendek dan polimer perbatuan rantaian-panjang. Ia mampu memberikan tahap cengkaman yang lebih padu ketika kenderaan dipandu di selekoh dan dibrek, selain memberikan lebih perbatuan di dalam penggunaannya.

    Bukan itu sahaja, ia juga dikurangkan tahap bunyi bisingnya dengan memperkenalkan Noise Breakers 2.0, iaitu modul yang dipertingkatkan daripada konsep Noise Breaker bagi mengurangkan bunyi bising.

    UltraContact UC6 ditawarkan untuk rim berdiameter dari 15- hingga 19-inci, bagi penggunaan barisan model kenderaan penumpang yang lebih bervariasi.

    conti_8

    Manakala untuk ComfortContact CC6 pula, ia mampu memberikan pilihan kepada para pemandu yang inginkan keselesaan yang lebih unggul di sepanjang pemanduan. Tahap kebisingannya juga telah direndahkan dengan diposisikan ‘inner shoulder’ pada paten tayar dengan Harmonic Comfort Chambers, berasaskan falsafah “Helmholtz resonator” bagi menyingkirkan bunyi bising yang terhasil akibat pergeseran dengan permukaan jalan.

    Selain itu, ia turut menampilkan “Whisper Compound” iaitu polimer yang mampu menyesuaikannya pada permukaan jalan yang kasar, hasilnya berkeupayaan mengurangkan getaran pada bunyi tayar.

    Bukan itu sahaja, ia juga mampu menyerap kesan hentakan pada permukaan jalan selain memberikan kesan penyerap yang lebih optimum bagi mempertingkatkan keselesaan olengan. Malah ia jug mampu memberikan prestasi perbatuan yang lebih tinggi.

    Tayar jenis ini ditawarkan dengan saiz rim yang juga meluas iaitu di antara 14- hingga 18-inci.

    conti_1

    Menurut ahli lembaga pengarah Jabatan tayar Continental, Nikolai Setzer, “Kami melihat rantau Asia Pasifik ini memiliki potensi pasaran yang sangat besar dan mampu memperkembangkan lagi produk kami. Dengan menawarkan teknologi Jerman, pelancaran Generation 6 ini dilihat sebagai batu loncatan bagi kami untuk menguasai pasaran di rantau ini, sesuai dengan ‘Visi 2025’ kami.”

    Katanya lagi, sejumlah kos perlaburan yang tinggi telah dilakukan bagi peringkat kajian dan pembangunan untuk produk syarikat ini. Malahan bagi produk Generation 6 sendiri yang menepati standard global, ia telah melakukan pelbagai ujian sebelum dilancarkan.

    “Continental Tyres berkeyakinan yang tinggi untuk mengekalkan momentum positif di rantau Asia Pasifik menerusi inovasi dan pembangunan yang berterusan di pasaran. Malah kami teruja untuk mengembangkan lagi portfolio produk untuk pengongsian pasaran di rantau ini, sekali gus memenuhi keperluan dan permintaan para pengguna,” ujarnya lagi.

    Walau bagaimana pun, Continental Tyres tidak mendedahkan harga bagi produk yang baru dilancarkan ini. Namun, kebarangkalian ia akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi.

     
     
  • Uber bakal beroperasi di Kuching mulai 14 Sept ini

    uber cash payment

    Walau pun masih belum menerima sebarang keputusan muktamad mengenai perkhidmatannya di seluruh negara, baru-baru ini Uber telah mengesahkan bakal beroperasi di bandar Kuching, Sarawak, mulai 14 September ini.

    Memberikan satu lagi pilihan pengangkutan awam di sekitar bandaraya tersebut termasuk mengurangkan kadar kesesakan trafik, kini penduduk di Kuching termasuk pelancong yang mengunjungi destinasi berkenaan berpeluang menggunakan perkhidmatan Uber.

    Bagi pengguna Uber di Kuching, pembayaran sama ada menerusi tunai atau kad kredit boleh dilakukan, malah ia juga akan melancarkan uBerX di sana. Di mana kadar tambang yang bakal dikenakan ialah tambang asas/minimum sebanyak RM0.95, RM0.50 per kilometer dan RM0.20 per minit.

     
     
  • Kia Sportage 2016 hadiah bagi atlet paralimpik M’sia yang meraih pingat emas di Sukan Paralimpik di Rio

    Kia_Sportage_New_Ext-3

    Rakyat Malaysia berkongsi kegembiraan hari ini apabila atlet paralimpik negara meraih dua pingat emas pada temasya Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil. Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi muncul sebagai wira pertama apabila menyumbang emas pertama dalam acara 100m T36, sekaligus membolehkan lagu Negaraku berkumandang di Stadium Olimpik Rio.

    Disusuli oleh Muhammad Ziyad yang menyumbang emas kedua negara menerusi acara lontar peluru F20. Lebih membanggakan, Muhammad Ziyad mempamerkan aksi luar biasa apabila mencipta rekod baharu dunia dengan lontaran sejauh 16.84 meter.

    Bangga dengan kejayaan itu, Naza Corporation Holdings telah berjanji untuk menghadiahkan Kia Sportage serba baharu kepada atlet paralimpik negara yang berjaya membawa pulang pingat emas untuk Malaysia di Olimpik Rio.

    [Kemaskini 11/09/2016 18:14pm] Malah syarikat konglomerat ini baru saja mengumumkan insiatif tambahan juga akan diberikan kepada atlet terbabit. Selain Kia Sportage 2016, sebuah unit kediaman suite di Trion 888, Equine Park, Seri Kembangan, yang berharga RM350,000 juga akan dihadiahkan buat atlet paralimpik yang berjaya menyumbang pingat emas kepada negara. Kediaman ini masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada akhir tahun 2017.

    Menurut Pengerusi dan Ketua Pegawai Operasi Naza Corporation Holdings, SM Nasarudin SM Nasimuddin, yang juga pertama kali dilantik oleh Persatuan Paralimpik Malaysia sebagai penaung, kejayaan dua atlet paralimpik tersebut bukan sahaja mampu dijadikan inspirasi buat atlet lain, bahkan seluruh rakyat Malaysia.

    “Saya sangat berbangga dengan kejayaan atlet paralimpik kita yang berjaya membawa pulang pingat emas untuk Malaysia. Dengan itu, Naza turut berbesar hati untuk menghadiahkan Sportage 2016 buat mereka yang berjaya memperoleh pingat emas untuk Malaysia,” ujar SM Nasimuddin.

    Kia Sportage serba baharu ini dijanakan oleh enjin petrol 2.0 liter Nu MPI empat-silinder, dan dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan. Kuasa yang dihasilkan dari penjana kuasa ini ialah 155 PS pada 6,200 rpm dan tork 192 Nm pada 4,000 rpm.

    Bagi pasaran Malaysia, ia ditawarkan dengan dua varian iaitu spesifikasi tertinggi GT Line dan varian asas KX Line dengan pilihan warna Mercury Blue, Fiery Red, Snow White Pearl dan Mineral Silver. Ditawarkan pada harga RM121,888 untuk 2.0 KX Line dan RM141,888 bagi 2.0 GT Line. Ia turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan.

     
     
  • Mercedes-Benz CLA ‘facelift’ dilancarkan – CLA200 RM237k, CLA250 RM279k dan AMG CLA45 RM409k

    merc-cla-fl-launch-26-feature-bm

    Barisan model Mercedes-Benz CLA facelift kini dilancarkan untuk pasaran Malaysia dan melibatkan ketiga-tiga varian. CLA 200 dijual pada harga RM236,888, CLA 250 Sport 4Matic pada harga RM278,888, dan Mercedes-AMG CLA 45 4Matic pada harga RM408,888.

    Antara kemaskini yang dilakukan, kedua-dua varian CLA 200 dan 250 kini menggunakan kemasan luaran AMG Line; sebelum ini hanya CLA 250 datang dengan pakej sport. Kedua-dua kini disertakan diamond radiator grill dengan pin krom, manakala bampar rekaan baharu melengkapi wajah CLA kini. Di belakang, paip ekzos bersekali dengan bampar belakang untuk kelihatan lebih rata dan lebar.

    Bagi enjin, ia masih menggunakan enjin dengan output yang sama seperti sebelumnya, kecuali bagi CLA 45 AMG. CLA 200 dilengkapi enjin empat silinder sebaris 1.6 liter turbocaj, dengan janaan kuasa 156 hp pada 5,300 rpm dan 250 Nm tork antara 1,250 hingga 4,000 rpm. 0-100 km/j ialah dalam masa 8.2 saat, dengan kelajuan tertinggi 230 km/j.

    CLA 250 Sport Matic pula menggunakan enjin 2.0 liter turbo dengan kuasa 211 hp pada 5,500 rpm dengan 350 Nm tork dari 1,200 rpm hingga 4,000 rpm pacuan empat roda. 0-100 km/j ialah dalam 6.5 saat, dengan kelajuan maksimum 240 km/j. Sama seperti CLA 200, ia dipadankan dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan klac berkembar.

    Semua model facelift ini menerima lampu utama LED High Performance, yang memancarkan suhu warna yang menghampiri sinaran waktu siang – lebih melegakan untuk mata pada waktu malam.

    Di bahagian dalam, skrin lapan inci yang lebih kurus dengan pelindung kaca bagi sistem hiburan multimedia Audio 20 CD. Tempat duduk sport menggunakan kulit Artico dan gentian mikro Dinamica juga sebagai standard.

    Varian tertinggi, CLA 45 4Matic AMG pula dilengkapi enjin 2.0 liter turbo petrol yang menghasilkan 381 hp pada 6,000 rpm dan 475 Nm tork antara 2,250 hingga 5,000 rpm (tambahan 21 hp dan 25 Nm berbanding sebelumnya), dengan 0-100 km/j dalam masa 2.4 saat (0.4 saat lebih pantas). Kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

    Ia juga diberikan rekaan bampar depan baharu, dengan perincian kemasan matte titanium gerey. Bahagian belakang turut menempatkan diffuser baharu dengan empat sirip menegak dalam rekaannya. Di bagian dalam, ia menggunakan kemasan kulit Artico termasuk pada papan pemuka, dengan kemasan benang merah digunakan sebagai kontras penggayaan sporty.

    Ciri tambahan padanya pula termasuk Blind Spot Assist, Lane Keeping Assist, Attention Assist serta sistem ekzos AMG Performance. Di dalam, ia turut dilengkapi sistem kawalan suhu dwi zon dengan corong belakang, COMAND Online dengan Apple CarPlay dan sokongan Android Auto, berserta sistem bunyi menyeluruh Harman Kardon Logic7.

    Mercedes-Benz CLA 45 AMG

    Mercedes-Benz CLA 250 Sport 4MATIC

     
     
  • Tambang LRT laluan Kelana Jaya diberi percuma dari 13 hingga 15 September 2016 (Selasa – Khamis)

    LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

    Berikutan gangguan yang berlaku beberapa kali dalam masa terdekat ini, Prasarana Malaysia Berhad menawarkan tambang percuma bagi penumpang yang menggunakan khidmat tren Light Rapid Transit (LRT) laluan Kelana Jaya dari 13 hingga 15 September ini.

    Menurut laporan daripada New Straits Times, langkah ini dilakukan sebagai tanda penghargaan kepada pengguna dan Pengarah Urusan Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Azmi Abdul Aziz turut memohon maaf atas kesukaran yang dialami pengguna.

    Insiden paling baharu terjadi pagi tadi apabila tren terkandas kerana bekalan kuasa terputus.

     
     
  • PANDU UJI: Toyota Hilux 2.8G – Ketangkasan dalam imej urban, mampukah ia mengekalkan populariti?

    2016-toyota-hilux-2-8g-bm-06

    Sama ada kita suka atau tidak, Toyota Hilux merupakan satu daripada produk akhir automotif yang paling berjaya diperingkat global; ia dijual di 180 negara, dan dipasang atau dikilangkan di 12 buah negara seluruh dunia.

    Sejak model generasi pertamanya diperkenalkan pada 1968, ia membina reputasi yang luar biasa meluas bagi pengeluarnya. Dari banyak sudut, Hilux merupakan perintis kepada penerimaan pikap trak oleh pasaran dan perkara itu sukar disangkal oleh sesiapapun.

    Malaysia sendiri turut tidak terlepas daripada menjadi sebahagian daripada “watak” di dalam lipatan sejarah model berkenaan. Sejak daripada model generasi pertama itu diperkenalkan, kilang pemasangan milik UMW Toyota Motor, Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) yang terletak di Shah Alam sudah mula memasangnya untuk pasaran tempatan. Ini berlaku lama dahulu, sejak penghujung 1960an.

    Sepanjang tempoh itu, kita sudah menyaksikan tujuh generasi Toyota Hilux dilahirkan dan mendominasi pasaran, baik diperingkat global mahupun di Malaysia. Melihat kepada perkembangannya, Hilux bukanlah sebuah model yang perlukan pengenalan panjang lebar lagi. Ia sampai ke tahap ini; jika anda memiliki atau memandu mana-mana trak pikap, sebahagian besar orang ramai masih tetap menggelar trak pikap berkenaan dengan panggilan “Hilux”.

    Tidak kiralah yang anda pandu itu sebuah Ford Ranger, Nissan Navara atau Mitsubishi Triton. “Hilux” sudah menjadi satu nama yang sudah sebati dengan imej sebuah pikap trak, seperti mana nama “Jip” (yang datang daripada jenama kenderaan 4×4 Jeep) digunakan untuk merujuk kepada hampir semua kenderaan pacuan empat roda oleh segelintir masyarakat kita.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • SPYSHOT: Toyota Camry 2018 diuji dalam cuaca panas

    2018-toyota-camry-spy-08_bm

    Toyota Camry 2018 dilihat sedang diuji pada cuaca panas di Death Valley, Amerika Syarikat. Unit ujian yang sedang diuji pada zon paling rendah, paling kering, dan paling panas di Amerika Utara ini jelas sebuah Toyota bersaiz sederhana, dan dilitupi sarung penyamaran berwarna hitam. Tiada rekaan yang radikal pada sedan berkenaan dan ia kelihatan agak sama dengan unit ujian yang diuji sebelum ini.

    Bahagian kabin Camry 2018 ini kelihatan agak luas dan cerah, seperti yang dapat dilihat dalam imej, tingkap-tingkapnya direka besar dengan garis bahunya agak rendah, serta cermin sisi dipadankan pada pintu. Bahagian muka Camry ini mungkin direka berdasarkan generasi sedia ada tetapi diberikan sentuhan lebih garang, seperti Corolla pasaran Amerika terbaharu.

    2018-toyota-camry-spy-11_bm

    Menurut Car and Driver, Camry generasi berikutnya ini dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), yang turut dijadikan asas binaan Prius baharu. Majalah tersebut turut menyatakan aspek pengurangan berat ditumpukan untuk model ini, dimana hud hadapan dan bahagian badan lain akan dibina menggunakan aluminium.

    Car and Driver menambah, varian yang menggunakan enjin 3.5 liter V6 dan hibrid mungkin akan digantikan dengan enjin 2.0 liter turbo. Varian 2.0 liter dan 2.5 liter dijangka masih dikekal dengan enjin yang sama, tetapi diberi tingkat taraf. Versi talaan TRD yang lebih sporty juga turut mungkin diperkenalkan.

     
     
  • VIDEO: Alfa Romeo Giulia Quadrifoglio dinobat kenderaan sedan produksi terpantas di Nurburgring

    Rekod di litar Nurburgring biasanya tidak akan dipegang lama oleh sesebuah kenderaan kerana saingannya cukup sengit. Dalam kategori sedan produksi terpantas, Alfa Romeo Giulia Quadrifoglio pernah memegang rekod dengan catatan 7:39 minit sebelum diatasi oleh Porsche Panamera Turbo dengan catatan hanya kurang satu saat.

    Walaubagaimanapun, terkini, Alfa Romeo Giulia Quadrifoglio kembali memegang kedudukan teratas apabila unit yang menggunakan transmisi automatik lapan kelajuan ZF dipandu oleh Fabio Francia mencatat 7 minit 32 saat.

    Alfa Romeo Giulia Quadrifoglio adalah sebuah model prestasi yang menggunakan enjin 2.9 liter V6 Twin Turbo yang berkemampuan 510hp dan 600Nm tork.

    Tonton video di atas dan saksikan sendiri bagaimana Fabio Francia melakukannya dari pandangan dalam kereta itu sendiri.

    GALERI: Alfa Romeo Giulia Quadrifoglio

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024