Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Lagi insiden bayi maut akibat lemas di dalam kereta – elakkan kecuaian, jadilah masyarakat yang prihatin

    Baby boy in car seat

    Semalam satu lagi insiden yang mengakibatkan kematian seorang bayi perempuan berusia 12 bulan selepas ditinggalkan lebih lima jam dalam kereta milik bapanya. Kejadian ini berlaku di Kulai, Johor dan menurut laporan polis yang dibuat bapa bayi itu pada 9.30 pagi, isterinya meletakkan anak mereka di bahagian tempat duduk belakang kereta untuk dihantar ke rumah pengasuh yang terletak tidak jauh dari kediaman mereka

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said berkata, lelaki terbabit tidak menyedari bayinya berada di tempat duduk belakang kenderaan miliknya, dan terus ke tempat kerja. Pada jam 3 petang, dia menerima panggilan daripada pengasuh anaknya yang bertanyakan mengenai bayi berkenaan yang tidak dihantar ke rumah pengasuh seperti kebiasaannya. Lelaki terbabit terus bergegas ke keretanya dan mendapati anaknya sudah meninggal dunia, laporan Harian Metro.

    Menurut Razak, kes ini diklasifikasikan sebagai pengabaian kanak-kanak sehingga menyebabkan kematian tang disiasat mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Ini bukanlah kejadian pertama berlaku di negara kita. Pada 6 Januari lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun enam bulan terperangkap di dalam sebuah kereta milik ibunya selepas kenderaan itu terkunci dari dalam di sebuah taska di Bertam Indah, Pulau Pinang.

    Dua hari selepas kejadian tersebut, ada lagi seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun mengalami insiden yang sama dan kejadian tersebut berlaku di Batu Gajah, Melaka.

    Pada 21 Ogos 2014, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas ditinggalkan oleh bapanya di dalam kenderaan secara tidak sengaja selama lebih lapan jam, kejadian ini berlaku di Kuala Nerang, Kedah.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • SPYSHOT: SUV baharu Nissan dari asas yang sama dengan Navara NP300 makin menghampiri produksi?

    nissan-suv-3-850x479

    Penampilan SUV baharu Nissan yang menggunakan platform yang sama dengan trak pikap Navarra muncul lagi. Ia disifatkan bakal menjadi versi terakhir sebelum dikeluarkan sebagai produk akhir nanti. SUV berasaskan Navara NP300 ini sebelum ini sudah pernah dilihat sedang diuji.

    Walaupun dengan samaran yang ketara, nampak jelas bahawa SUV berkenaan akan menerapkan reka bentuk yang sama sekali berlainan berbanding versi trak pikapnya. Bahagian depan nampak lebih tirus, dengan lampu utama yang bertambah lebar yang digandingkan dengan gril V-Motion, menjadikan wajah depannya lebih mirip kepada barisan SUV Nisssan seperti X-Trail dan Pathfinder.

    nissan-suv-8-850x531

    Garis bumbung dan badannya dilanjutkan hingga ke belakang untuk menjadi sebuah SUV yang lebih aerodinamik. Lampu belakang dengan bentuk L pula seperti menghampiri pendekatan reka bentuk yang sama seperti yang pernah dilihat pada Toyota Fortuner.

    Berkemungkinan besar SUV baharu ini akan menggunakan kelengkapan mekanikal yang sama dengan Navara – trak pikap berkenaan menggunakan suspensi multi-link bahagian belakang yang kerap digunakan pada SUV yang menggunakan platform trak pikap – barisan enjinnya juga dijangka akan menggunakan ‘jantung’ yang sama. Ini termasuk enjin diesel 2.3 liter turbo berkembar, 2.5 liter turbodiesel serta 2.5 liter biasa janaan petrol.

     
     
  • Peugeot perkenal 3008 DKR untuk sahut cabaran Rali Dakar 2017 – enjin 3.0 liter V6 Turbodiesel dikekalkan

    fd_160707_new_peugeot_3008_dkr_0001-850x390bm

    Bagi mempertahankan gelaran juara yang diraih pada perlumbaan Rali Dakar musim sebelumnya, Peugeot memperkenalkan kenderaan baharu 3008 DKR bagi menggantikan 2008 DKR untuk musim 2017.

    Selain Stephane Peterhansel yang membawa Peugeot sebagai juara buat kali pertama sejak tahun 1990 dan Cyril Despres, Peugeot juga bakal menggunakan khidmat pemandu hebat lain termasuk Sebastien Loeb dan Carlos Sainz (Sr) untuk perlumbaan Rali Dakar musim 2017.

    “3008 baharu ini menggambarkan langkah seterusnya. Matlamat kami dengan kereta ini adalah untuk mengambil bahagian yang lemah pada kereta sedia ada dan jadikan ia lebih kuat, sambil melabur lebih kepada kekuatan yang ada untuk meningkatkannya lagi,” kata Pengarah Pasukan Peugeot Sport, Bruno Famin.

    Dimensi serta ciri yang ada pada 3008 DKR dipengaruhi oleh peraturan yang ditetapkan untuk perlumbaan ini, tetapi identitinya masih lagi dikekalkan.

    “Kenderaan Dakar terbaharu kami ini adalah pernyataan paling ekstrim bagi kenderaan SUV Peugeot terkini. Ia membawa identiti kenderaan jalanan biasa tetapi dimasukkan ke dalam konteks rali,” kata Pereka Luaran Peugeot, Sébastien Criquet.

    Perincian teknikal bagi 3008 DKR masih lagi kabur tetapi Peugeot Sport memberitahu ia adalah evolusi daripada 2008 DKR sebelum ini. Enjin 3.0 liter V6 Turbodiesel yang digunakan pada 2008 DKR dibawa kepada 3008 DKR dan diberikan peningkatan.

    Kemampuan pemanduan dan tork lebih tinggi pada rpm rendah adalah agenda utama, meskipun penggunaan salur udara 38mm telah menurunkan kuasanya menjadi 330hp, tork 800Nm yang ada akan diperbaiki.

    Peugeot juga melengkapkan pendingin hawa pada 3008 DKR bagi membantu prestasi ahli pasukan yang ada kalanya berada dalam kenderaan sehingga 12 jam sehari.

    Peugeot akan mengekalkan tetapan pacuan dua roda belakang seperti 2008 DKR dan yakin kerana telah menjadi yang pertama dapat memenangi perlumbaan dengan tetapan sebegitu sejak 15 tahun yang lalu.

     
     
  • Toyota C-HR tiba di Australia pada suku pertama 2017

    toyota_chr_bm_6

    Toyota Australia telah mengesahkan Toyota C-HR akan mula dipasarkan di negara itu pada suku pertama tahun 2017. Ia akan ditawarkan dengan dua gred premium iaitu Active dan Koba, yang diilhamkan daripada nama ketua jurutera global C-HR, Hiroyuki Koba.

    Malah untuk pasaran Australia, terdapat lapan warna luaran pilihan akan ditawarkan, termasuk warna baharu radiant green.

    Ia juga dijanakan oleh enjin 1.2 liter turbo berkuasa 116 PS dan tork maksima 185 Nm serta digandingkan dengan kotak gear sama ada enam-kelajuan manual atau CVT automatik, serta pilihan pacuan hadapan atau pacuan semua roda (AWD).

    Toyota C-HR ini dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) terbaharu, model kedua dikeluarkan berasaskan platform tersebut selepas Prius serba baharu. Dinamik pemanduan dikatakan adalah sama seperti ketepatan dan kawalan yang ada pada hatchback segmen-C moden kerana platform yang dibina dengan pusat graviti yang rendah, membolehkan C-HR meredah selekoh dengan kelajuan tinggi dan kawalan badan yang cemerlang.

    Crossover ini berukuran 4,350 mm panjang, 1,795 mm lebar dan 1,550 mm (1,5,65 mm pada model petrol) tinggi, dengan jarak roda 2,640 mm. Oleh itu, dimensi C-HR adalah 56 mm lebih panjang, 23 mm lebih lebar, 55 mm lebih rendah dan jarak roda 30 mm lebih panjang berbanding pesaing terdekatnya iaitu Honda HR-V. Berbanding satu lagi pesaingnya iaitu Mazda CX-3, C-HR adalah 75 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar, 15 mm lebih tinggi dan dengan jarak roda yang 70 mm lebih panjang.

    toyota_chr_bm_2

    Malah ia turut menawarkan elemen yang lebih menarik dan mampu menjadi daya penarik buat pembelinya.
    Rekaan luaran yang sporty dan terkini pastinya menjadi daya penarik bagi C-HR ini. Ini termasuklah dengan gril atas hadapan yang lebih langsing, menjalari dari bahagian lambang Toyota, dengan kluster lampu utama yang lebih berketerampilan.

    Gerbang rodanya juga lebih mantap bagi menambahkan ketegaran kerangka crossover ini. Imej ala-coupe juga terserlah dengan penampilan pemegang pintu belakang yang disambungkan antara C-pillar dan melunjurkan ke garisan bumbung menghala ke spoiler yang lebih aerodinamik.

    Malahan rekaan kabin juga menarik perhatian. Ia berbentuk coupe yang tinggi pada CH-R ini mensasarkan “kualiti deria terbaik dalam kelasnya” dan bakal memberikan “gaya moden yang menghairahkan” yang akan ditawarkan pada barisan dan segmen Toyota.

    Ia turut dilengkapi dengan skrin sesentuh besar bersaiz 6.1 inci (dengan jam trademark Toyota diletakkan bersebelahan) yang muncul dari bahagian tengah papan pemuka dan dihalakan ke arah pemandu. Konsol tengah juga direka dengan konsep simetrikal.

    Rekaan pada suis-suis kawalan memberikan bayangan motif batu permata yang turut diterapkan pada bentuk badan keseluruhan SUV ini. Tema batu permata berkenaan turut diterapkan pada kemasan pintu, balutan bumbung, serta jarum pada meter instrumen.

    toyota_chr_interior_bm_

    Malahan elemen dekorasinya diperincikan dengan kekemasan berkualiti tinggi berwarna hitam pekat dan trim perak sutera serta iluminasi biru cerah pada instrumen dan butang kawalan. CH-R spesifikasi Asutralia juga bakal menerima papan pemuka dengan kemasan kelabu, berbanding biru bagi pasaran Eropah.

    Bagi aspek keselamatannya, ia turut dilengkapi dengan sistem pra-pelanggaran Toyota Safety Sense dilengkapi dengan sistem brek automatik, kawalan kelajuan adaptif dan amaran keluar laluan dengan kawalan stereng, lampu tinggi automatik, dan kamera undur.

    Terdapat elemen tambahan bagi Koba iaitu varian spesifikadi tertinggi, termasuklah tempat duduk dengan pemanas, sistem kunci automatik, dan roda aloi 18-inci.

    Menurut Pengarah Eksekutif Jualan dan Pemasaran Toyota Australia, Tony Cramb, C-HR ini adalah kenderaan untuk mereka yang inginkan sesuatu yang istimewa, dengan gabungan dinamik yang lebih berinovatif dan tarikan emosi yang SUV tradisional lain tidak tawarkan.

    “Malahan C-HR ini memberikan pengertian yang berbeza bagi SUV dengan menekankan abjad ‘S’ sebagai ‘sport’ dan ‘style’. Ia kenderaan empat pintu dan hatch, tetapi ia bukanlah hatchback. Malahan ia menampilkan ruang dalaman yang lebih besar dan mampu memuatkan lima penumpang, serta memiliki posisi pemanduan yang tinggi,” ujar Cramb lagi.

    Walau bagaimana pun, Toyota Australia masih belum mendedahkan lagi harga C-HR bagi pasaran negaranya. Berbanding di United Kingdom, Toyota di sana telah mengesahkan harga C-HR adalah lebih mahal berbanding pesaingnya.

    Di UK, tiga varian iaitu Icon, Excel dan Dynamid akan ditawarkan dengan 1.2L turbo berharga dari £20,995 (RM114,140) untuk Icon FWD 6MT hingga £27,995 (RM152,196) untuk Dynamid AWD CVT. Malah ia merupakan C-HR yang paling mahal, bersama hibrid bagi pilihan Dynamic.

     
     
  • VIDEO: Gymkhana NINE mula disiarkan – aksi berani dengan keretapi, helikopter dan kamera 360 darjah

    Sampai ke tahap ini, siri video Gymkhana oleh Ken Block dengan tajaan Ford pasti sudah dikenali ramai. Kini, siri terbaharu sudah dikeluarkan di laman perkongsian video dan ia mempunyai kejutannya yang tersendiri.

    Aksi pemanduan Ken Block dalam video ini mungkin sama sahaja seperti sebelumnya tetapi ia dijadikan menarik dengan penambahan kemunculan kenderaan lain seperti keretapi, helikopter dan dua kereta Ford iaitu Ford Focus RS RX sebagai watak utama dan selingan Ford F-150 Raptor.

    Selain itu, pengeluar video ini, Hoonigan Media juga akan mengeluarkan satu lagi video Gymkhana NINE ini, tetapi dengan ciri kamera 360 darjah, seterusnya memberikan pengalaman tontonan yang berbeza.

    Anda saksikan sendiri video ini dan lihat adakah siri Gymkhana oleh Ken Block ini masih mengujakan atau memerlukan lebih ‘rencah’ untuk hiburan.

     
     
  • TEKS1M – Struktur diperkemas, kadar tambang akan diturunkan; tidak lagi dalam warna emas dan putih

    innova-teks1m-03

    Bermula bulan hadapan, tambang bagi Teksi 1Malaysia (TEKS1M) akan diturunkan. Itu disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd Azharuddin Mat Sah yang menyatakan kadar tambang berkenaan akan disesuai dan diselaraskan mengikut kadar perkhidmatan teksi bajet semasa.

    Seperti dilaporkan oleh The Sun, ketika ini, kadar tambang TEKS1M bermula dari RM4, dengan 30 sen bagi setiap 200 meter berikutnya. Manakala bagi teksi bajet pula tambang bermula dari RM3 dengan 25 sen bagi setiap 200 meter berikutnya. “TEKS1M sedia ada akan mempunyai pilihan untuk kekal dengan struktur tambang seperti sebelumnya hingga tamat tempoh hayat kenderaan yang digunakan,” ujar beliau.

    Tambang berdasarkan masa bagi teksi bajet ialah 25 sen bagi setiap 36 saat sementara bagi TEKSIM pula ialah 30 sen bagi setiap 36 saat. Bermula bulan depan juga, teksi bajet baharu akan dijenamakan sebagai TEKS1M dengan warna utama merah dan putih.

    Ini adalah sebahagian daripada langkah penjenamaan semula dan penyelarasan TEKS1M dengan teksi bajet biasa di bawah Pelan Transformasi Industri Teksi (TITP). TEKS1M juga tidak akan lagi menggunakan warna emas dan putih. Bagaimanapun, teksi bajet sedia ada tidak akan terlibat di dalam penjenamaan semula ini dan kekal dengan warna sedia ada – kuning, putih, merah atau hijau. Penjenamaan semula itu hanyalah untuk teksi-teksi baharu sahaja.

    Teksi bajet semasa hanya akan melalui penjenamaan semula berkenaan apabila permit yang digunakan tamat tempoh. Pemandu yang menggunakan Proton Iswara juga perlu bertukar kepada kenderaan dengan minimum penarafan tiga bintang Asean NCAP.

    Di bawah peruntukan dana berjumlah RM150 juta oleh kerajaan untuk pemandu teksi, pemilik teksi baharu diberikan lesen operasi individu oleh SPAD akan dibenarkan untuk membeli model baharu selain keluaran Proton. Dijangkakan sejumlah 25,000 lesen operasi individu akan dikeluarkan kepada pemandu teksi dengan rekod yang baik dalam tempoh lima tahun akan datang. 2,000 lesen individu baharu juga akan dikeluarkan menjelang hujung tahun ini.

    Selain itu, sistem kadar tambang mengikut zon seperti yang diamalkan kini oleh teksi-teksi di terminal dan lapangan terbang akan dihapuskan secara berperingkat.

     
     
  • Prasarana perlu laksanakan SOP terperinci demi meningkatkan perkhidmatan LRT – Perdana Menteri

    LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

    Ekoran dua insiden dalam tempoh terdekat berlaku pada minggu lalu yang melibatkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), ia turut menarik perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

    Menerusi perbincangan dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Datuk Azmi Abdul Aziz dan Suruhanjaya Pengangkutan Awan Darat (SPAD), beliau telah dimaklumkan bahawa siasatan awal Prasarana mendapati bekalan elektrik terputus mengakibatkan gangguan perkhidmatan LRT Kelana Jaya pada 7 dan 9 September lepas.

    Beliau berkata, beberapa langkah segera diambil untuk mengatasi gangguan perkhidmatan tersebut termasuk menaik taraf serta merta 15 pencawang tenaga elektrik sepanjang laluan berkenaan, laporan Bernama.

    “Penaiktarafan pencawang elektrik itu akan memastikan jangka hayat sistem elektrik dapat dipanjangkan bagi menampung keperluan semasa yang kian meningkat serta mengambil kira keperluan pada masa hadapan. Langkah ini dijangka mengambil masa di antara tiga hingga enam bulan untuk diselesaikan sepenuhnya,”katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

    Sambungnya lagi, SPAD harus menekankan keperluan Prasarana melaksanakan penilaian terperinci keseluruhan sedia ada memandangkan LRT Kelana Jaya sudah pun beroperasi hampir 20 tahun.

    “Penilaian itu akan mengenal pasti risiko yang ada serta langkah yang perlu diambil bagi mengatasi risiko berkenaan selain menyediakan perancangan sistem gantian bagi sistem-sistem kritikal yang semakin hampir kepada penghujung jangka hayat penggunaannya.

    “Saya telah mengarahkan supaya Penilai Teknikal Bebas dilantik oleh Prasarana untuk menjalankan penilaian ini dengan kerjasama SPAD bagi pematuhan semua syarat dan peaturan sedia ada,” kata beliau.

    Najib berkata Prasarana turut diarahkan supaya menjalankan penilaian semula keseluruhan operasi mereka bagi memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk memastikan kapasiti mencukupi bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

    Beliau turut memaklumkan, Prasarana juga akan memperkenalkan secara berperingkat gerabak-gerabak kereta api baharu bagi laluan Kelana Jaya menjelang November ini. Ia berupaya membekalkan kapasiti serta kekerapan tambahan, sekali gus mengurangkan kesesakan pada waktu puncak pada hari bekerja.

    “Ini antara langkah-langkah segera yang telah saya arahkan untuk dilaksanakan oleh Prasarana dan SPAD bagi mengatasi masalah dihadapi pengguna-pengguna LRT sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utaman rakyat,” kata perdana menteri.

    Najib berkata kerajaan, dan beliau sendiri secara peribadi, menganggap gangguan perkhidmatan LRT Kelana Jaya sebanyak dua kali pada minggu lepas sebagai perkara yang amat serius.

    Sehubungan itu, beliau mengarahkan Prasarana dan SPAD untuk menyiarkan butiran dan hasil siasatan insiden itu sebaik sahaja siasatan selesai.

    Insiden yang berlaku pada 7 September lalu melibatkan ribuan pengguna yang terkandas di beberapa stesen laluan LRT Kelana Jaya akibat masalah berkaitan sistem isyarat dan komunikasi yang menyebabkan kelewatan perjalanan tren di antara stesen Ampang Park dan Dang Wangi.

    Dan satu lagi berlaku pada 9 September, di mana perkhidmatan LRT bagi laluan Setiawangsa-KLCC terganggu semasa waktu puncak pada 9 pagi apabila sebuah tren dari Datuk Keramat menuju ke Jelatek tiba-tiba terhenti di atas trek di antara Stesen Datuk Keramat dan Damai menyebabkan penumpang terperangkap di dalam tren selama 20 minit. Penumpang tren berkenaan kemudian terpaksa berjalan di atas trek menuju ke Stesen Damai dengan mengambil masa hampir 10 minit.

     
     
  • VIDEO: Lazareth LM 847 motosikal guna enjin V8 Maserati; terbukti berfungsi dengan 470hp dan 611Nm

    Apabila sekadar mendengar bahawa Lazareth LM 847 adalah sebuah motosikal yang menggunakan enjin V8 4,691cc daripada Maserati, yang turut digunakan untuk memacu Maserati Quattroporte dan Alfa Romeo 8C Competizione, mungkin ramai yang menyangka ia sekadar rekaan.

    Tetapi video ini telah membuktikan ia wujud dan berfungsi baik, berlegar sekitar bandar Annecy, Perancis, yang juga adalah tempat syarikat pembuatnya, Lazareth Auto-Moto.

    Kuasa sebanyak 470hp dan 611Nm tork mampu disampaikan ke dua tayar 17 inci pada bahagian belakang motosikal ini dan ia masih boleh miring untuk mengambil selekoh hasil penggunaan dua lengan ayun berasingan untuk dua roda belakang dan dua lagi lengan ayun untuk dua tayar hadapan.

    Brek hadapan Lazareth LM 847 menggunakan tetapan outboard seperti motosikal Buell, dengan cakera bersaiz 420mm dan sepasang angkup lapan piston manakala di belakang pula brek yang digunakan bertetapan inboard, bersama angkup Brembo.

    Secara keseluruhannya Lazareth LM 847 mempunyai berat 400kg.

    Menurut syarikat Lazareth Auto-Moto, motosikal ini akan dihasilkan sekiranya ada tempahan namun harganya tidak dinyatakan.

     
     
  • Projek MRT Lembah Klang ketiga dalam perancangan

    MRT_Sg_Buloh

    Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengesahkan Projek MRT Lembah Klang bagi laluan ketiga sedang dirancang, malah melibatkan kawasan pusat bandar dan berkemungkinan menjadi laluan bawah tanah sepenuhnya.

    Menurut Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Datuk Najmuddin Abdullah, pihaknya telah melantik perunding bebas untuk mengkaji rancangan itu dan dijangka menyiapkan laporan pertamanya pada suku pertama tahun depan, laporan Bernama.

    “Buat masa ini, laluan ketiga MRT sedang dalam peringkat kajian dan dijangkakan hasil daripada kajian tersebut dapat dilihat pada suku pertama tahun hadapan atau suku keempat tahun ini. Daripada hasil kajian tersebut, baru kita dapat kongsikan lebih banyak maklumat yang berkaitan dengan laluan ini,” katanya kepada pihak media di dalam taklimat perkembangan terkini projek MRT Lembah Klang.

    Katanya lagi, lalua ketiga ini dirancang berbentuk bulatan dan tidak terlalu panjang yang bakal memberi perkhidmatan di kawasan pusat bandar di samping berkemungkinan menjadi laluan bawah tanah sepenuhnya.

    MRT Testing Semantan

    Mengenai perkembangan terkini projek MRT Lembah Klang, beliau berkata, sebanyak 58 tren yang diperlukan bagi fasa pertama dan kedua Jajaran Sungai Buloh-Kajang (Jajaran SBK) dijangka tiba secara berperingkat sebelum akhir tahun ini dan bakal menjalani tempoh pengujian secara intensif bermula 1 Oktober ini.

    “Bagi fasa pertama Jajaran SBK, sebanyak 24 tren akan digunakan di mana 18 tren akan digunakan untuk operasi harian manakala selebihnya digunakan sebagai tren simpanan pada waktu kecemasan. Setakat ini, kami telah menerima lebih daripada 40 buah tren lebih awal daripada yang dijadualkan dan ia akan melalui proses ‘fitting’ serta ‘setting’ di depot terlebih dahulu seperti pemasangan tempat duduk dan sebagainya,” katanya.

    Fasa pertama Jajaran SBK dari Stesen Sungai Buloh ke Stesen Semantan akan mula beroperasi Disember ini manakala baki laluan dari Stesen Semantan ke Stesen Kajang akan mula beroperasi pada Julai 2017.

    Projek sepanjang 51 kilometer melibatkan 31 stesen itu melibatkan kos sebanyak RM23 bilion dan telah 89 peratus siap setakat ini.

    Najmuddin berkata kadar tambang sepanjang Jajaran SBK ini akan diumumkan kerajaan dalam masa terdekat.

     
     
  • Uber masih belum ‘halal’ beroperasi di Sarawak; perlu patuhi peraturan dan risiko kenderaan boleh disita

    uber-x-car_BM

    Susulan daripada pengumuman Uber untuk memulakan operasinya di Kuching, Sarawak bermula esok, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri menegaskan bahawa Uber terlebih dahulu wajib mendapatkan lesen untuk beroperasi atau berdepan dengan tindakan kenderaannya disita.

    Jelas beliau, Uber masih belum memohon permit daripada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak yang membolehkan syarikat itu menawarkan perkhidmatannya secara sah di negeri berkenaan, di bawah Seksyen 51 Akta LPKP, seperti yang dilaporkan oleh The Borneo Post Online.

    “Tindakan boleh diambil disebabkan itu. Di bawah akta berkenaan, dengan penglibatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PDRM, kenderaan yang terlibat boleh disita. Setakat semalam (Ahad), Uber belum menghantar permohonan permit yang dimaksudkan. Kami perlu merakam aktiviti mereka serta bertanggung jawab ke atas penumpang,” ujar beliau.

    Katanya lagi, walaupun Uber sudah berdaftar dengan LPKP Sarawak, syarikat itu perlu mematuhi syarat-syarat tertentu. “Saya tidak bermaksud perkhidmatan Uber akan disahkan. Mereka perlu mematuhi syarat-syarat sedia ada. Ketika ini, Uber masuk belum sah untuk beroperasi,” tambah beliau.

     
     
  • VIDEO: Honda Malaysia keluarkan video inspirasi individu yang berada dalam pasukan lumba HMRT

    Tidak banyak syarikat rasmi jenama kenderaan di Malaysia yang terlibat aktif dalam sukan permotoran atau perlumbaan. Walaubagaimanapun, bagi Honda Malaysia, dengan adanya individu yang bersemangat dan dedikasi, pasukan lumba mereka yang dikenali sebagai Honda Malaysia Racing Team (HMRT) berjaya dihidupkan untuk menyertai perlumbaan tempatan.

    Di dalam video ini, anda dapat melihat apa yang memberi inspirasi kepada dua watak utama dalam HMRT iaitu Kumar dan Kiru untuk terus bekerja keras memastikan pasukan ini berjaya.

     
     
  • DRB-Hicom taja wira paralimpik negara tunai umrah

    malaysia-rio-paralympics

    DRB-HICOM Berhad telah mengumumkan akan menaja atlet negara yang memenangi pingat emas di sukan Paralimpik Rio 2016 menunaikan umrah bersama ibu bapa masing-masing. Menurut Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Syed Faisal Albar, dengan keazaman dan keberanian para atlet terbabit, Malaysia (setakat ini) telah berjaya merangkul tiga pingat emas.

    “Kami semua berbangga dengan pengorbanan dan kesungguhan yang mereka pamerkan. Malah tidak terlintas di fikiran, lagu Negaraku akan berkumandang di pentas temasya sukan terunggul dunia ini. Dan dengan itu DRB-HICOM berbesar hati menghadiahkan hero kita untuk mengerjakan umrah bersama ibu bapa masing-masing,” ujar Syed Faisal.

    Atlet paramimpik tersebut ialah jaguh pecut Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli yang memenangi acara lontar peluru dan Abdul Latif Romly yang berjaya memecah rekod dunia sebanyak tiga kali dalam acara lompat jauh, laporan News Strait Times.

    Bukan setakat tajaan dari DRB-Hicom sahaja, dua hari lalu, Naza Corporation Holdings turut mengumumkan ganjaran buat atlet terbabit iaitu Kia Sportage serba baharu dan kediaman suite bernilai RM350k di Seri Kembangan.

     
     
  • Biodiesel B10 sedia dilaksana pada suku keempat tahun ini; mandat jualan mampu rancakkan ekonomi

    biodiesel

    Selepas berdepan dengan banyak halangan dan ditangguh sebelum ini, pemerhati industri percaya bahawa pelaksanaan penggunaan biodiesel B10 untuk sektor pengangkutan akan dimulakan pada suku keempat tahun ini.

    Dijadualkan untuk dilaksanakan awalnya pada bulan Jun, campuran B10 yang lebih tinggi, yang terdiri daripada 10% minyak sawit (palm methyl ester) dan 90% diesel fosil adalah merupakan peralihan daripada penjualan diesel B7 di seluruh negara, memetik laporan The Star.

    Mandat penjualan biodiesel B10 dijangka akan membawa kepada kesan positif bagi harga minyak sawit mentah (crude palm oil, CPO) memandangkan penggunaan minyak sawit di Malaysia akan meningkat sehingga 750,000 tan setahun. Dengan sebahagian pengeluar kenderaan telah menerima bahawa penggunaan biodiesel B10 adalah selamat bagi kenderaan mereka, ia kini semakin hampir dilaksanakan.

    Presiden Persatuan Biodiesel Malaysia (PBM), U.R. Unnithan menyatakan bahawa mandat berkenaan merupakan “alat yang sangat penting” untuk mencipta permintaan bagi CPO yang turut akan mengurangkan stok sedia ada serta menaikkan harganya.

    Beliau turun menyatakan, mandat berkenaan mampu menjadi penampan bagi kesan negatif kehilangan pulangan pendapatan daripada CPO. “Harga CPO yang lebih tinggi akan memberikan kesan penting kepada ekonomi; dengan hanya peningkatan RM100 per tan bagi CPO akan membawa pendapatan berjumlah RM2 bilion kepada industri berkenaan,” tambahnya.

    “Kerajaan telah memberikan banyak masa kepada semua yang berkepentingan – pengeluar biodiesel, syarikat petroleum termasuk Petronas, Shell, Chevron, Petron dan BHP serta pihak penyedia minyak sawit – terlibat untuk mengutarakan apa saja isu yang mereka hadapi,” jelasnya.

    Ini termasuk isu-isu yang dibangkitkan oleh syarikat petroleum dan pengeluar kenderaan berhubung pelaksanaan B10, semuanya sudah diperjelas dan dipertimbangkan. Selain itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOP) telah menjalankan semua ujian yang diperlukan, dan turut merujuk kepada pengalaman negara-negara seperti Colombia dan Indonesia yang telah berjaya melaksanakannya.

    PBM juga bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak yang berkepentingan di dalam hal ini di dalam merealisasikan pelaksanaan biodiesel B10. Persatuan berkenaan mempunyai 21 keahlian daripada syarikat-syarikat berasaskan biodiesel yang beroerasi di negara ini.

     
     
  • MAI sasar 85% EEV diproduksi menjelang 2020 – fasiliti termasuk pusat ujian bakal dibina di Glenmarie

    madani-wm-850x590

    Institut Automotif Malaysia (MAI) mensasarkan untuk meningkatkan produksi bagi kenderaan cekap tenaga (EEV) kepada 85% menjelang tahun 2020. Menurut CEO MAI, Datuk Madani Sahari, EEV dijangka mampu mengubah hala tuju industri automotif tempatan untuk menjadi hab serantau di Asia.

    “Ia mampu direalisasikan kerana kami yakin untuk mencapai 40% sasaran menjelang tahun ini, dan ia menghampiri peratusan yang disasarkan menjelang 2020. Malah pusat ujian dan produksi EEV juga akan dibina di Glenmarie yang bakal diusahakan oleh sebuah syarikat tempatan dengan kerjasama syarikat-syarikat asing,” katanya kepada pihak media selepas pelancaran Malaysia Autoshow 2016 semalam.

    Katanya lagi, Malaysia akan menjadi negara pertama di rantau ini yang menghasilkan EEV di bawah strategi Dasar Automotif Nasional (NAP) 2014, laporan News Strait Times.

    “Model prototaip EEV pertama tersebut akan didedahkan di Malaysia Autoshow 2016 yang bakal berlangsung mulai 10 hingga 13 November ini di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC). MAI akan membuka ruang pameran untuk berkongsi visi bagi menjadikan Malaysia sebagai hab serantau dalam usaha memproduksikan EEV. Kami menjangkakan seramai 100,000 pengunjung bakal mengunjungi pameran automotif tahunan terbesar ini,” ujar Madani lagi.

    Ketika ditanya tentang harga bateri EEV, Madani berkata, pelaburan bagi menghasilkan bateri secara tempatan dilakukan, sekaligus harganya boleh menjadi lebih murah daripada yang dijangka. “Bukan sahaja bateri yang akan diproduksi di Malaysia oleh syarikat tempatan, malahan material untuk bateri terbabit juga dihasilkan di dalam negara, membolehkan harganya menjadi lebih murah. Di mana syarikat terbabit akan bekerjasama dengan lain-lain syarikat untuk menghasilkan bateri bagi pasaran EEV.”

    Dalam masa yang sama, beliau juga mengesahkan pelan rancangan bagi Dasar Automotif Nasional 2050 akan dibentangkan kepada kerajaan tidak lama lagi, termasuk berkaitan dengan masa hadapan pemanduan sendiri. “Pelan NAP masa kini hanya sehingga 2030, dan kita sedang membuat pelan perancangan baharu bagi sektor automotif sehingga 2050. Walau pun teknologi berkembang pantas, namun peraturan-peraturan dan penguatkuasaan belum dilaksana sepenuhnya dan ia akan terkandung di dalam perangkaan baharu,” ujarnya.

     
     
  • BMW keluarkan perincian skuter elektrik C Evolution baharu; kuasa dan jarak bertambah dengan motor i3

    bmw-c-evolution-bm-3

    BMW Motorrad mengumumkan model baharu skuter elektrik C Evolution baharu yang akan dipertonton buat pertama kali semasa Pameran Permotoran Paris bulan hadapan dan ia dinamakan sebagai C Evolution Long Range.

    Menariknya berkenaan skuter elektrik ini, ia akan dikuasakan oleh motor elektrik sama seperti kereta BMW i3 iaitu unit motor 94 Ah, seterusnya membuatkan ia boleh bergerak sehingga 160km dengan sekali cas penuh.

    Kuasa maksimum C Evolution baharu pula adalah 35hp dan kelajuan maksimum adalah 129km/j.

    Meskipun mempunyai model baharu ini, BMW Motorrad masih lagi akan menjual model sebelum ini yang menggunakan motor 60 Ah tetapi hanya di Eropah bagi meletakkannya dalam kategori lesen A1.

    BMW C Evolution sebelum ini sudah dipasarkan di negara Jerman, Perancis, Itali, Sepanyol, United Kingdom, Switzerland, Austria, Belanda, Belgium, Luxembourg, Portugal, Ireland dan China, namun dengan model baharu ini, ia dikembangkan pula ke pasaran negara Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan dan Rusia.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024