Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • JPJ Sarawak fokus 7 kesalahan utama lalu lintas – juga mahu kurangkan 50% kemalangan motosikal

    JPJ Sarawak fokus  7 kesalahan utama lalu lintas – juga mahu kurangkan 50% kemalangan motosikal

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak akan memperkasakan lagi penguatkuasaan di negeri itu dengan memberi tumpuan kepada tujuh kesalahan utama lalu lintas dan kesalahan lebih muatan pada tahun ini.

    Tujuh kesalahan tersebut melibatkan memandu di lorong kecemasan, memandu di lorong kanan secara berterusan bagi kenderaan berat, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang keledar, gagal mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar dan memandu melebihi had laju.

    Menurut pengarah JPJ negeri berkenaan, Mohd Syafiq Anas Abdullah, selain itu, pihaknya turut menggandakan usaha untuk menurunkan sekurang-kurangnya 50% kemalangan melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal, laporan Bernama.

    “Pelaksanaan operasi kami pada tahun ini adalah secara strategik dan berfokus dengan memberi tumpuan kepada kes-kes tujuh kesalahan utama, lebih muatan serta motosikal,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu Bersama Pengarah JPJ Sarawak malam tadi.

    Turut serta dalam operasi itu ialah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan, PUSPAKOM, Agensi Antidadah Kebangsaan dan dibantu pasukan penguat kuasa dari cawangan-cawangan JPJ di Sarawak.

    Mohd Syafiq berkata dengan memperkasakan penguatkuasaan tersebut JPJ Sarawak berharap akan dapat meningkatkan kesedaran POBC (Perception Of Being Caught) dalam kalangan pengguna jalan raya di negeri ini demi keselamatan mereka.

    Beliau berkata bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, JPJ Sarawak mengeluarkan 8,579 saman atas pelbagai kesalahan iaitu 3,850 saman pada Januari manakala selebihnya 4,729 saman pada Februari.

     
     
  • Mercedes-Benz S-Class W222 facelift dilihat penuh

    Mercedes-Benz S-Class W222 facelift dilihat penuh

    Mercedes-Benz S-Class W222 facelift dijangka tiba tidak lama lagi, tetapi gambar model baru ini sudah tersebar dalam laman Saudishift.com, tanpa sebarang pelekat. Ia sekaligus memberi orang ramai jangkaan bagaimana kenderaan sedan mewah ini akan kelihatan apabila muncul secara rasmi nanti.

    Perubahan pada bahagian luar kenderaan ini termasuk lampu utama yang direka semula, kini dengan lampu siang tiga LED dan teknologi Multibeam LED 84 diode seperti pada E-Class W213. Pada model V8 ini juga terdapat gril dua bar, yang bermakna gril tersebut tidak lagi hanya akan eksklusif bagi model V12 dan juga Maybach.

    Rendah di bawah pula terdapat rekaan bampar baru, dengan corong udara penuh seperti E-Class, tetapi diberi kemasan krom melintang untuk membahagikan kedua bahagiannya. Pada bahagian belakang pula, lampu LED kenderaan ini mendapat rekaan ‘kesan stardust‘ seperti E-Class manakala di bahagian bawah, bamparnya disepadukan dengan muncung ekzos di setiap penjuru.

    Mercedes-Benz S-Class W222 facelift dilihat penuh

    Bahagian dalam juga menerima beberapa perubahan kecil, termasuk pelindung kaca pada skrin berkembar 12.3 inci untuk meter dan sistem informasi dan hiburan, serta stereng tiga cabang yang mempunyai pad sesentuh untuk mengawal paparan pada skrin tersebut. Kedua-dua ciri ini pertama kali diperkenalkan pada E-Class.

    Model yang dilihat dalam gambar ini berkemungkinan adalah model spesifikasi Amerika Syarikat yang mempunyai lencana S 560, dan sepatutnya adalah pengganti bagi model S 550 yang dijual di sana. Pasaran lain mungkin akan kekal dengan model S 500. Kuasa datang daripada enjin V8 twin-turbo 4.0 liter – iaitu enjin sama seperti C 63 AMG dan AMG GT, tetapi talaannya dijadikan sedikit lembut.

    Enjin ini juga dikongsi bersama model G 500 4×4², tetapi SaudiShift mendakwa bahawa unit yang terdapat pada S-Class akan mempunyai 54 hp lebih, menjadi 476 hp, sambil menghasilkan penggunaan bahan api 12% lebih jimat berbanding enjin V8 bi-turbo 4.7 liter pada S 500 dan S 550 yang ada sekarang.

    Pilihan enjin lain juga mungkin ditawarkan, bermula dengan unit petrol enam silinder M256 3.0 liter, serta dua enjin diesel – 2.0 liter empat silinder dan 3.0 liter enam silinder daripada model W213 E-Class. Penggunaan enjin baru ini dapat dilaksanakan hasil penggunaan sistem elektronik E-Class, yang juga dapat memberikan S-Class lebih banyak sistem bantuan pemandu lain seperti pemanduan automatik.

    Kelengkapan lain adalah termasuk Remote Parking Pilot, serta Active Brake Assist, yang boleh mengamati kereta di lorong lain dan mengaktifkan brek lebih awal dan mengelak sekiranya sekiranya perlu. Turut akan diberi adalah Active Distance Assist Distronic dengan Active Speed Limit Assist, Evasive Steering Assist, Active Lane Keeping Assist dan Active Lane Change Assist separa automatik, sebagai sebahagian daripada pakej Drive Pilot.

     
     
  • Nissan March serba baharu tiba di UK, bermula RM66k

    Nissan March serba baharu tiba di UK, bermula RM66k

    Nissan March serba baharu telah pun dilancarkan di United Kingdom (atau lebih dikenali sebagai Micra di sana), dan sempena dengan pelancaran itu, pengeluar kereta ini telah menyebarkan galeri gambar model generasi kelima tersebut.

    Untuk pasaran UK, March ditawrkan dengan lima pilihan kekemasan iaitu Visia, Visia+, Acenta, N-Connecta dan Tekna. Berma tiga pilihan enjin iaitu dua petrol dan satu diesel, yang buat permulaan ini dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan. Nissan berkata enjin lain dan transmisi automatik akan diperkenalkan kemudian ketika dalam kitaran jangka hayat model ini.

    Bagi enjin 1.5 liter turbodiesel empat-silinder, ia mampu menghamburkan kuasa 90 hp dan tork 220 Nm, dengan menawarkan penggunaan bahan api sekitar 3.2 l/100km dan emisi CO2 lebih kurang 85 k/km. Manakala enjin petrol 0.9 liter pengecas turbo tiga-silinder pula dengan kuasa 90 hp/140 Nm, dan 1.0 liter naturally-aspirated tiga-silinder pula 71 hp/95 Nm.

    Nissan March serba baharu tiba di UK, bermula RM66k

    Menurut Nissan, unit petrol 0.9 liter menggunakan sekitar 4.4 l/100 km bahan api dan emisi CO2 pula lebih kurang 99 g/km. Bagi unit 1.0 liter, Nissan belum mengesahkan angka penggunaan bahan api dan emisi CO2.

    Harga bermula 11,995 pounds (RM66,274) untuk Visia dengan enjin 1.0 liter (71 hp), sementara varian tertinggi Tekna bersama enjin turbodiesel (90 hp) pula berharga 18,765 pounds (RM103,663).

    Elemen standard bagi March termasuk enam beg udara, Lane Departure Warning dan Intelligent Lane Intervention, Intelligent Emergency Braking dengan pengesan pejalan kaki, material sentuhan lembut dua-tona untuk dalaman, lampu utama halogen (dengan pilihan unit LED) dan spoiler bumbung belakang.

    Nissan March serba baharu tiba di UK, bermula RM66k

    Bagi dalamannya pula, terdapat pertambahan sistem start/stop enjin, unit infotainmen skrin sesentuh tujuh-inci, kulit upholstery, pendingin hawa automatik, Kunci Pintar, aloi yang besar, sistem bantuan pemanduan dan keselamatan tambahan, pek audio Bose Personal yang menampilkan dua pembesar suara pada perehat kepala pemandu. Nissan turut berkata, terdapat tiga warna unik untuk March baharu ini iaitu Energy Orange, Pulse Green dan Passion Red.

    Thailand juga dikatakan bakal memasarkan model ini sebagai kereta eco. Ia telah disahkan oleh Timbalan Presiden pemasaran Nissan Motor Thailand Sureethip La-Ongthong Chomthongdee. Bagaimana dengan Malaysia, adakah Edaran Tan Chong Motor selaku pengedar rasmi Nissan di sini akan membawa masuk March ke pasaran tempatan?

     
     
  • Bidaan nombor plat ‘RIMAU’ Sukan SEA mula 1 April

    Bidaan nombor plat ‘RIMAU’ Sukan SEA mula 1 April

    Sedikit kemaskini tentang nombor pendaftaran khas istimewa ‘RIMAU’ sempena memperingati Sukan SEA 2017 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur. Bidaan terhadap nombor dari ‘RIMAU 1’ hingga ‘RIMAU 9999’ akan dibuka secara rasmi bermula esok (1 April), dengan nilai bidaan serendah RM500.

    Bernama melaporkan, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata hasil kutipan berkenaan dapat membantu menampung kos penganjuran Sukan SEA dan Suka Para ASEAN, yang mana masing-masing akan berlangsung di sini pada Ogos dan September nanti.

    “Kami berharap untuk mengumpul seberapa banyak dana daripada proses bidaan ini kerana bukan hanya nombor plat berkenaan menjadi tanda peringatan kepada orang ramai, tetapi lebih penting kutipannya boleh digunakan untuk membiayai kos penganjuran,” ujar Khairy.

    RIMAU merupakan nama bagi maskot sukan berkenaan; seekor Harimau Malaya. Ia juga adalah singkatan kepada Respect, Integrity, Move, Attitude dan Unity. Nombor pendaftaran khas ini dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia mengikut jejak beberapa nombor pendaftaran khas yang pernah diperkenalkan sebelum ini, sempena acara sukan berbeza; BAMbee (Piala Thomas 2000) dan SUKOM (Sukan Komanwel 1998).

    Kepada mereka yang berminat, bidaan boleh dilakukan melalui sistem di www.kualalumpur2017.com.my. Nombor pendaftaran khas seperti ini juga bukanlah sesuatu yang baru, dan bukan juga hanya tertumpu kepada acara sukan. Sebelum ini pernah juga muncul plat PERFECT, NAAM, VIP, GT dan PATRIOT.

     
     
  • Bangkok 2017: Honda Civic Hatchback versi Modulo

    Bangkok 2017: Honda Civic Hatchback versi Modulo

    Ada dua model yang menjadi tarikan utama di kawasan pameran Honda di Bangkok International Motor Show 2017 iaitu Honda CR-V dan Honda Civic Hatchback. Kami telah menunjukkan keduanya, bersama CR-V yang dilengkapi kit Modulo, dan kini tiba pula masa untuk Civic Hatchback, dengan kit Modulo.

    Untuk model pameran ini, Honda Thailand telah memilih Civic Hatchback berwarna hitam Crystal Black Pearl, dan diserikan dengan kit Modulo yang berwarna oren. Kemasan bahagian bawah yang terdapat pada kenderaan ini termasuk sambungan kepada lip hadapan, side skirt dan lip belakang. Lip bawah tersebut memang sudah ada, cuma ia ditambah dengan lagi satu lapisan oleh Modulo.

    Pada bahagian belakang, paling jelas adalah sayap yang terletak di atas cermin belakang, dan terkeluar sedikit ke tepi. Satu lagi spoiler, yang bersambung dengan lampu belakang dikekalkan daripada model standard. Dalam katalog Modulo juga terdapat rim 17 inci unik yang dibalut dengan tayar hampir sama saiz seperti standard iaitu 215/50. Anda juga boleh melihat kemasan krom pada cermin sisi dan berhampiran A-pillar. Turut diberi adalah kemasan di bahagian tepi pintu dengan lampu nyalaan logo Civic.

    Kenderaan versi hatchback bagi Civic FC ini dilancarkan di Thailand bulan lalu, dan ia ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu 1.5L Turbo CVT pada harga 1.169 juta baht (RM149,620). Enjin VTEC Turbo ini mampu menghasilkan 173 PS pada 5,500 rpm dan 220 Nm tork pada 1,700 hingga 5,500 rpm. Walaupun begitu, di Amerika dan Eropah, kereta ini turut ditawarkan dengan pilihan transmisi manual.

    Untuk dimensi, versi hatchback ini berkongsi jarak roda (2,700 mm) dan lebar (1,798 mm) yang sama dengan versi sedan, tetapi lebih tinggi (+20 mm) dan lebih pendek 112 mm. Antara barangan standard yang diberikan pada Civic Hatchback adalah rim 17 inci, skrin sesentuh tujuh inci (dengan aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto), pedal penukar gear di stereng serta kemasan dalam kulit berwarna hitam.

    Selain itu, ia juga dilengkapi dengan butang pemula enjin, kunci yang boleh memulakan enjin dari jauh, auto brake hold, tempat duduk belakang boleh lipat 60:40, kamera undur dan tempat duduk hadapan yang boleh dilaras secara elektronik. Pada aspek keselamatan, kenderaan ini dilengkapi dengan enam beg udara, VSA dan Hill Start Assist.

    GALERI: Honda Civic Hatchback dengan aksesori Modulo

    GALERI: Honda Civic Hatchback 1.5L Turbo

     
     
  • Ford Mustang 2018 dilengkapi butang pemula enjin berkelip seperti jantung kuda – denyutan 30 bpm sama

    Ford sebelum ini sudah mendedahkan gambar serta perincian berkenaan Mustang 2018, yang merupakan model generasi keenam versi facelift. Selain perkara utama seperti enjin 2.3 liter EcoBoost dan juga 5.0 liter Coyote V8, Ford juga mahu menunjukkan perincian kecil lain yang jika tidak diberitahu, mungkin boleh terlepas pandang oleh kebanyakan orang.

    Ia berada pada butang pemula enjin kereta tersebut, iaitu nyalaan merah berkelip. Walaupun nampak biasa, sebenarnya kelipan yang dihasilkan pada butang tersebut adalah mengikut kelajuan denyutan nadi seekor kuda sewaktu ia sedang dalam keadaan berehat, iaitu 30 bpm.

    Menurut Ford, kelipan ini terhasil apabila pintu dibuka, sehinggalah enjin dimulakan, dan ia memberi gambaran seperti “kuda tersebut sudah sedia untuk beraksi”. Selain membawa simbolik nama kenderaan itu sendiri, perkara ini juga mungkin dipilih kerana Mustang sentiasa dipadatkan dengan kuasa kuda yang mengujakan.

    Butang pemula ini terletak berhampiran sisi pemandu, di bawah sistem audio dan pengawal suhu kenderaan di konsol tengah. Mempunyai kemasan keliling krom, tulisan ‘Engine’, ‘Start’ dan ‘Stop’ pada butang ini turut mempunyai nyalaan lampu berwarna merah.

     
     
  • Renault Sport tunjuk teaser Megane RS 2018

    Renault Sport tunjuk teaser Megane RS 2018

    Bagi menambahkan debaran di hati para penggemar hot hatch, buat pertama kalinya Renault Sport menayangkan teaser model Megane RS 2018. Imej di atas adalah screenshot daripada video oleh RS yang dipertontonkan di laman Facebook rasmi mereka.

    Megane RS generasi ke-empat ini, masih dibaluti penyamaran, dengan kapsyen “Coming Soon 2017”. Ia dijangka bakal dipertontonkan di Frankfurt Motor Show tahun ini, sebelum tampil di pasaran dunia pada 2018. Hanya satu gambaran yang jelas kelihatan iaitu lampu nyalaan siang LED daripada generasi Megane ini, dan lampu kabus LED three-point.

    Menurut Autocar, Megane RS 2018 ini mampu menghamburkan kuasa lebih 300 hp daripada enjin 2.0 liter turbo (generasi sebelum ini hanya 275 hp), dan boleh didapati dengan transmisi manual dan automatik dwi-klac enam-kelajuan. Jika benar, ini pastinya berita gembira buat penggemar transmisi manual.

    Majalah UK tersebut turut berkata Megane RS baharu ini bakal menerima four-wheel steering (lebih mantap dalam kelajuan dan jejari pusingan) dan lebih sesuai untuk platform yang lebih besar. Ia juga lebih rendah dan lebar, RS baharu ini dijangka bakal menerima lebih banyak cengkaman mekanikal berbanding sebelum ini.

    GALERI: Spyshot Renault Megane RS 2018

     
     
  • Toyota Hilux dengan aksesori TRD kini di Australia

    Toyota Hilux dengan aksesori TRD kini di Australia

    Semalam kita sudah melihat pengenalan Toyota Hilux Tonka Concept dengan rekaan yang agak agresif. Hari ini, kita lihat pula trak pikap yang sama dalam penampilan yang sedikit lebih sederhana, tetapi tidak kalah menarik – dan boleh dimiliki oleh peminatnya di Australia.

    Untuk pasaran di sana, Toyota Hilux kini ditawarkan dengan pakej aksesori Toyota Racing Development (TRD), yang melibatkan 15 komponen baru – tujuh daripadanya dihasilkan sendiri oleh Toyota. Ia bagaimanapun ditawarkan hanya pada varian dengan spesifikasi paling tinggi SR5, dalam warna hitam atau putih sahaja.

    Antara kelainan ketara melibatkan bahagian depan, seperti gril honeycomb, pelindung bampar dan skid plate merah. Bahagian fender berwarna matte black memberikan imej tegap, dilengkapi dengan palang sport hitam serta rim 18-inci aloi.

    Disamping semua aksesori berkenaan, turut melengkapi versi ini ialah kit tunda (termasuk cangkuk dan kabel), pelapik ruang barangan belakang, pelindung lampu belakang serta mud guard TRD. Di dalam, pengalas kaki TRD serta tombol gear turut menghiasinya.

    Ini semua merupakan tambahan kepada ciri sedia ada Hilux SR5; lampu utama LED pelarasan automatik, masukan tanpa kunci, butang Push Start, kawalan udara, cruise control, tempat duduk pemandu berkuasa elektrik, skrin sentuh dengan sistem navigasi dan sebagainya.

    Dari segi keselamatan, Hilux SR5 hadir dengan tujuh beg udara, kawalan kestabilan, kawalan olengan belakang, Hill Start Assist dan kawalan menuruni bukit. Ia turut dilengkapi electronic tranfer case dan rear locking differential. Enjin pula dengan kapasiti 2.8 liter 1GD-FTV turbodiesel dengan janan kuasa 177 PS dan 450 Nm tork dengan transmisi automatik enam-kelajuan, atau 420 Nm dengan transmisi manual enam-kelajuan.

    Harga bagi Hilux dengan pakej TRD ini bermula A$58,990 (RM199,400) bagi warna putih dan A$59,540 (RM201,300) dalam warna hitam. Model automatik ada tambahan A$2,000 (RM6,800).

     
     
  • Italian Volt perkenal motosikal elektrik tempahan khas

    Italian Volt perkenal motosikal elektrik tempahan khas

    Penggunaan tenaga elektrik untuk memacu kenderaan tidak terhad kepada kenderaan empat roda sahaja, dan boleh dilihat kini, semakin banyak pengeluar baru yang mengetengahkan teknologi tersebut pada motosikal. Antara yang terbaru adalah syarikat Italian Volt, yang di belakang tabirnya terdapat individu terkenal dan berpengalaman dalam dunia motosikal seperti Nicola Colombo, Valerio Fumagalli dan Adriano Stellino.

    Produk pertama mereka adalah sebuah roadster, yang menggunakan bateri berkapasiti sehingga 15 Kw/h dan ia menawarkan tork sebanyak 208 Nm, laju maksimum 200 km dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat. Bateri yang digunakan, apabila kosong, boleh dicas sehingga 80% penuh dalam masa 40 minit sahaja, dan sekiranya penuh pula, boleh bergerak sehingga jarak 200 km.

    Sekali imbas dari sisi, motosikal ini kelihatan seperti Harley-Davidson Livewire, cuma warnanya sahaja yang bertentangan, tetapi lampu hadapannya menggunakan unit baru seperti KTM Duke 790 terkini dan dilengkapi dengan suspensi prestasi daripada Ohlins serta brek Brembo.

    Walaubagaimanapun, Italian Volt menyatakan ini hanyalah model asas dan memandangkan kebanyakan bahagian motosikal ini dihasilkan secara cetakan 3D, pembeli diberi peluang untuk mengubah suai dan membuatkan motosikal ini mengikut cita rasa mereka. Harga untuk motosikal Italian Volt ini tidak disiarkan tetapi orang ramai sudah boleh mendaftarkan nama di laman web mereka sekiranya berminat.

     
     
  • Undang-undang untuk Grab, Uber akan dipinda segera

    Undang-undang untuk Grab, Uber akan dipinda segera

    Januari lalu, kerajaan memaklumkan bahawa undang-undang untuk mengawal selia perkhidmatan perkongsian kenderaan dalam talian seperti Uber dan GrabCar akan dipinda di Parlimen awal Mac. Itu nampaknya tidak berlaku, tetapi sedang dipersiap untuk dibentangkan dalam tempoh minggu hadapan.

    Kabinet sepatutnya memberikan persetujuan terhadap pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987 seperti dilaporkan oleh The Sun semalam.

    Menurut menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, pindaan itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat Selasa hadapan, dan ditamatkan pada penghujung sesi dewan kali ini. “Kami perlu melakukannya dalam sesi ini. Saya percaya kita akan dapat menghabiskan serta meluluskan pindaan tersebut,” ujar beliau.

    Undang-undang untuk Grab, Uber akan dipinda segera

    Menjelaskan kelewatan itu berlaku akibat proses pentadbiran, undang-undang itu nanti akan bertakluk di bawah Akta Pengangkutan Darat. “Langkah menentukan undang-undang terhadap perkhidmatan itu akan memberi kesan positif tidak hanya kepada pemandu, penyedia perkhidmatan dan penumpang, tetapi turut akan dimanfaatkan oleh pengusaha tempatan untuk meneroka industri ini melalui pembangunan sistem ada aplikasi lain nanti,” tambahnya.

    Beliau berkata, kerangka dasar berkenaan ditetapkan bagi memastikan penyedia perkhidmatan akan menyediakan servis pada tahap yang akan memberi manfaat kepada penumpang dan pemandu. Nancy turut menjelaskan, langkah itu juga akan memastikan hanya persaingan sihat yang akan berlaku dalam kalangan pemain industri.

    Di bawah peraturan baru itu nanti, penyedia perkhidmatan perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Beliau menambah, peraturan tambahan lainnya yang sudah termaktub untuk dipatuhi oleh pemandu teksi akan turut dilaksanakan kepada pemandu perkhidmatan ini. “Ini termasuk kad pengenalan pemandu yang dikeluarkan oleh SPAD, pemeriksaan kenderaan serta penilain oleh pihak berkuasa,” ujarnya.

     
     
  • Semua stesen minyak perlu ikut harga runcit bagi bahan api yang ditetapkan kerajaan – KPDNKK

    Semua stesen minyak perlu ikut harga runcit bagi bahan api yang ditetapkan kerajaan – KPDNKK

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menegaskan semua stesen minyak hanya dibenarkan menjual petrol dan diesel pada harga jualan runcit seperti yang ditetapkan kerajaan.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan semalam, terdapat maklumat tentang aplikasi telefon pintar yang membolehkan pengguna mengemas kini harga jualan runcit petrol dan diesel di semua stesen minyak di Malaysia, laporan Bernama.

    Kementerian berkenaan berkata, paparan harga yang tidak tepat melalui aplikasi tersebut telah menimbulkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan pengguna. Ekoran perkara ini, KPDNKK tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sekiranya situasi menjadi di luar kawalan.

    Tegasnya lagi, semua stesen minyak hanya dibenarkan menjual petrol dan diesel pada harga jualan runcit yang telah ditetapkan kerajaan seperti yang dimaklumkan melalui laman web KPDNKK.

    Harga runcit mingguan bermula 30 Mac hingga 5 April ini bagi petrol RON95 ialah RM2.13 seliter, RON97 (RM2.41) dan diesel (RM2.11).

     
     
  • UMW Toyota memperluaskan panggilan balik beg udara Takata – dianggarkan sebanyak 42k unit Corolla Altis, Vios, Yaris dan Alphard 2010-2012 terlibat

    UMW Toyota memperluaskan panggilan balik beg udara Takata – dianggarkan sebanyak 42k unit Corolla Altis, Vios, Yaris dan Alphard 2010-2012 terlibat

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan panggilan balik bagi beg udara Takata telah diperluaskan, kali ini melibatkan beg udara penumpang hadapan. Secara keseluruhannya, sejumlah 42,000 unit Corolla Altis, Vios, Yaris dan Alphard, yang dikeluarkan antara Mei 2010 dan Disember 2012, terlibat.

    Masalah berkenaan disebabkan oleh penyusutan bahan dorongan (propellant degradation) selepas terdedah dalam jangka masa lama terhadap kelembapan udara dan suhu. Inflator berkenaan mengandungi bahan daripada ammonium nitrate yang berupaya menyebabkan keretakan pada modul berkenaan. Jika ini terjadi, serpihan logam akan menembusi bahagian beg udara ketika ia menggelembung dan akan terhambur ke dalam kabin, mampu menyebabkan kecederaan atau kematian.

    Penggantian beg udara ini akan mengambil masa antara satu hingga tiga jam dan semua kos berkenaan akan ditanggung oleh UMW Toyota. Syarikat ini juga akan meningkatkan usaha untuk memaklumkan kepada pemilik yang terlibat, walau bagaimana pun tidak semua pemilik akan dapat dihubungi terutamanya selepas kenderaan terbabit bertukar milik. Justeru, mana-mana individu yang menerima surat pemberitahuan ini, diminta untuk menghubungi mana-mana pusat servis bertauliah Toyota atau menelefon talian bebas tol Toyota di 1800-88-69682.

    Pemilik juga boleh menyemak status untuk mengetahui adakah kenderaan mereka terlibat dengan melayari laman web Kempen Servis Istimewa Toyota, menggunakan pemeriksa Vehicle Identification Number (VIN). Aplikasi telefon pintar Toyota Drive juga mempunyai link untuk laman web dan pemeriksa terbabit.

    Malah UMWT juga akan menyediakan booth untuk tujuan penukaran beg udara ini, di acara Toyota Go 2017 yang bakal berlangsung pada April dan Mei ini. Acara terbabit akan berlangsung di beberapa pusat membeli-belah termasuk AEON Mall di seluruh Malaysia.

     
     
  • Honda Malaysia capai 100,000 unit jualan tahun kewangan semasa bagi April 2016-Mac 2017 – BR-V kini kenderaan MPV/utiliti No.1 di negara ini

    Honda Malaysia capai 100,000 unit jualan tahun kewangan semasa bagi April 2016-Mac 2017 – BR-V kini kenderaan MPV/utiliti No.1 di negara ini

    Dalam majlis meraikan pengeluaran yang ke-600,000 unit di kilang Pegoh, Melaka, Honda Malaysia turut mengumumkan kejayaan mereka mencatatkan jualan sebanyak 100,000 unit bagi tahun kewangan semasa (1 April 2016 hingga 31 March 2017) biar pun berhadapan dengan situasi cukup mencabar pada tahun lalu.

    Jumlah ini hanya boleh didedahkan apabila Mac berakhir (esok), dan jumlah tiga bulan pertama bagi 2017 yang memberangsangkan telah ditambah dengan tahun kewangan 2016 sahaja telah mencatatkan jualan sehingga 91,533 unit.

    Sementara itu, Honda BR-V baharu, yang diperkenalkan di pasaran Malaysia pada Januari lalu, begitu meledak. Bagi bulan pertama kehadirannya di sini, ia telah mencatatkan tempahan sebanyak 4,000 unit, manakala pada Februari berakhir, ia mencecah 7,000 unit.

    Awal bulan ini, tempahannya dilaporkan telah mencecah 8,500 unit. Hari ini, Honda Malaysia mendedahkan, model tujuh-tempat duduk yang menawarkan fungsi umpama MPV dan penggayaan seperti SUV telah mencapai hampir 10,000 unit tempahan dan lebih 5,200 unit telah didaftar sejak ia dilancarkan.

    Honda Malaysia capai 100,000 unit jualan tahun kewangan semasa bagi April 2016-Mac 2017 – BR-V kini kenderaan MPV/utiliti No.1 di negara ini

    Jumlah tersebut membuatkan BR-V menjadi kenderaan yang paling laris di negara ini bagi segmen kenderaan MPV/utiliti. Malah dalam majlis yang berlangsung pagi tadi, Noriaki Abe, Ketua Pegawai Operasi (COO) Honda Motor bagi operasi serantau dan presiden/CEO Asian Honda Motor, telah mendedahkan BR-V kini telah menduduki tempat pertama bagi segmen tersebut pada Februari 2017, sekaligus menewaskan Perodua Alza. Walau bagaimana pun, tiada butiran angka rasmi diberikan.

    Honda Malaysia turut mendedahkan jumlah terkini tempahan bagi model City facelift yang dilancarkan pada 2 Mac lalu. Bagi 10 hari pertama ia berada di pasaran, jumlahnya telah mencapai 2,000 unit tempahan, dan hari ini, ia dilaporkan telah meningkat sebanyak 3,000 unit, iaitu lebih 50% daripada sasaran bulanan.

    Abe turut memuji Honda Malaysia yang menduduki tempat pertama dalam segmen kenderaan bukan-nasional dan nombor dua dalam senarai TIV keseluruhan, malah turut mengumumkan bahawa syarikat ini turut berkongsi prestasi bahagian pasaran dari perspektif global.

    Bagi dua bulan pertama tahun 2017, Honda Malaysia telah disenaraikan dalam semua operasi automobil Honda global kerana mempunyai pasaran tertinggi. Ia merangkumi 19.2% perkongsian pasaran dalam negara pada Januari, dan 18.1% pada Februari. Tahun lalu, ia menduduki tempat kedua dalam rangkaian operasi automobil dunia dalam kedudukan perkongsian pasaran jenama tersebut.

     
     
  • Honda Malaysia rai kejayaan pengeluaran ke 600,000 unit – berazam terus komited dalam pasaran tempatan

    Honda Malaysia rai kejayaan pengeluaran ke 600,000 unit – berazam terus komited dalam pasaran tempatan

    Hari ini, Honda Malaysia telah meraikan kejayaan mencatatkan pengeluaran yang ke-600,000 unit bagi unit pemasangan tempatan (CKD), di kilang pemasangannya di Pegoh, Melaka. Dalam majlis yang sama, Honda Malaysia turut mengumumkan pencapaian jualan 100,000 unit untuk tahun kewangan semasa (1 April 2016 – 31 Mac 2017), biarpun berhadapan dengan situasi pasaran yang cukup mencabar pada tahun lalu.

    Pencapaian itu menandakan suku pertama tahun 2017 yang berjaya dan kukuh buat syarikat yang sememangnya terkenal dengan semangat menyahut cabaran serta menetapkan penanda aras dalam industri.

    Pengeluaran ke-600,000 unit dicapai dalam tempoh 14 tahun sejak Honda Malaysia memulakan operasi pemasangan tempatan di kilangnya di Pegoh, Melaka. Buat masa sekarang, Honda Malaysia mempunyai dua saluran pengeluaran di kilang ini. Saluran pengeluaran No.1 memulakan operasi pada tahun 2003, manakala saluran pengeluaran No.2 pula memulakan operasi pada tahun 2014.

    Kenderaan ke-600,000 unit yang dikeluarkan di saluran pengeluaran No.2 di kilang Pegoh ialah sebuah City 2017, yang baru dilancarkan pada 2 Mac lalu.City merupakan model penyumbang jualan terbesar berikutan penerimaan luar biasa dan sambutan baik oleh rakyat Malaysia, sekali gus menjadikannya peneraju segmen-B untuk dua tahun berturut-turut.

    Honda Malaysia rai kejayaan pengeluaran ke 600,000 unit – berazam terus komited dalam pasaran tempatan

    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Katsuto Hayashi yang menyampaikan teks ucapan penuh dalam Bahasa Melayu, berkata, “Penambahan saluran pengeluaran No.2 pada tahun 2014 membolehkan Honda Malaysia berkembang pesat. Kami mencapai pengeluaran 300,000 unit dalam masa hanya tiga tahun berbanding 11 tahun untuk mencatat pengeluaran 300,000 unit yang pertama sebelum ini.”

    “Saya percaya pencapaian ini diperoleh menerusi strategi yang bagus dan semangat menyahut cabaran yang kuat dalam kalangan ahli keluarga Honda. Dengan kemudahan sedia ada di Kilang Melaka ini, Honda Malaysia memiliki keupayaan tambahan untuk memenuhi tempahan pelanggan serta menghasilkan produk terbaik untuk rakyat Malaysia.”

    Melihat akan penerimaan yang amat menggalakkan ini, Honda Malaysia berikrar akan terus menawarkan produk berkualiti serta khidmat selepas jualan yang cemerlang dan melangkaui jangkaan semua pelanggan di Malaysia.

    Turut hadir untuk menyaksikan majlis bersejarah itu ialah Naib Presiden Eksekutif, Pegawai Eksekutif dan Pengarah Wakil Honda Motor Co., Ltd., Seiji Kuraishi serta Ketua Pegawai Operasi bagi Operasi Serantau (Asia & Oceania) Honda Motor Co., Ltd. merangkap Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Honda Motor Co., Ltd., Noriaki Abe.

    Honda Malaysia rai kejayaan pengeluaran ke 600,000 unit – berazam terus komited dalam pasaran tempatan

    Malah Kuraishi yang pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia yang kedua pada tahun 2002 hingga 2005 nyata gembira melihat sumbangan Honda Malaysia. Beliau memberitahu bahawa kebangkitan Honda Malaysia adalah kerana kesungguhan serta pemahaman falsafah, misi dan cara pemikiran Honda oleh kakitangan tempatan.

    Malah turut mengesahkan bahawa Honda Malaysia telah mengungguli senarai negara yang mencatat perkongsian pasaran paling tinggi dalam kalangan operasi automobil Honda di seluruh dunia untuk dua bulan pertama tahun 2017.

    Pada masa ini, saluran pengeluaran No.1 dan No.2 menghasilkan tujuh model demi memenuhi keperluan pelanggan yang lebih luas berbanding ketika ia bermula dengan hanya empat model iaitu CR-V, City, Civic dan Accord. Pada masa sekarang, model Accord, City, Civic, CR-V, Jazz, HR-V dan BR-V dipasang di kilang Pegoh.

    Dilengkapi teknologi canggih, kilang Pegoh dibina dengan kapasiti pengeluaran fleksibel yang mampu menghasilkan pelbagai model pada satu-satu masa bagi memenuhi permintaan pasaran. Saluran pengeluaran yang dibina khas dan perancangan strategik membolehkan Honda Malaysia memendekkan tempoh menunggu bagi pelanggan terutama apabila sesetengah model menerima tempahan secara mendadak.

    Sebagai contoh, tempoh menunggu untuk model BR-V kini cuma satu hingga dua bulan sahaja, walaupun ia menerima tempahan hampir 10,000 unit, iaitu 12 kali sasaran jualan bulanannya. Malah secara purata, tempoh menunggu untuk semua model Honda kini adalah sekitar satu hingga dua bulan sahaja.

    Antara teknologi terkini yang digunakan di kilang Pegoh termasuklah Mesin Kimpalan Pintar (Smart Welding Machine) automatik untuk menghasilkan kerangka badan bertegaran tinggi dengan menggunakan material berkualiti tinggi. Selain itu, kemudahan mengecat dengan standard antarabangsa yang merangkumi Robot-robot Penyembur (Spray Robots) dan Lapisan Bahagian Bawah Kenderaan (Under Body Coating) yang meningkatkan kualiti cat badan dan memastikan ketebalan lapisan cat yang tepat.

    Trek Ujian sejauh 2.1 km pula membolehkan setiap kenderaan yang dikeluarkan menjalani ujian yang teliti bagi memastikan ia memenuhi kualiti dan standard jalan raya Malaysia. Ia mempunyai tujuh jenis corak jalan iaitu hump road, wave road, cobble store road, Belgian road, pothole road, slippery road dan up down road yang sesuai dengan kondisi jalan raya di Malaysia. Dengan kelajuan maksimum 140 km/j bagi kenderaan yang diuji, trek ujian ini menelan kos pembinaan sebanyak RM7.1 juta.

    Apa yang membanggakan, kesemua pekerja di kilang ini adalah 100% warga tempatan. Memang tidak dinafikan kejayaan Honda Malaysia pada hari ini adalah turut disumbangkan oleh barisan tenaga kerjanya sendiri yang dilihat begitu komited dan dedikasi dalam menjalankan tugas. Di samping sokongan padu daripada pihak pengedar dan para pelanggan mereka sendiri. Semoga Honda Malaysia kian berkembang dan melakar lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

     
     
  • Ford panggil semula Kuga, Fiesta ST, Mondeo dan Transit – enjin 1.6 liter EcoBoost berisiko terbakar

    Ford panggil semula Kuga, Fiesta ST, Mondeo dan Transit – enjin 1.6 liter EcoBoost berisiko terbakar

    Langkah ini akan melibatkan 230,756 unit Escape 2014 (dikenali sebagai Kuga di sini), Fiesta ST 2014-2015, Fusion (Mondeo, 2013-2014) dan Transit Connect 2013-2015 bagi pasaran Amerika Utara.

    Ford mengeluarkan notis panggilan semula bagi model-model yang menggunakan enjin 1.6 liter EcoBoost di atas sebab kemungkinan risiko kebakaran bawah bonet.

    Masalah yang dikenal pasti adalah disebabkan kurangnya kitara coolant, yang boleh mengakibatkan enjin menjadi terlebih panas. Ini kemudiannya boleh menyebabkan kepala silinder retak, mengakibatkan kebocoran minyak. Sekiranya minyak berkenaan terkena permukaan enjin yang panas, dikhuatiri ini boleh menyebabkan kebakaran tercetus.

    Setakat ini, masalah berkenaan telah melibatkan 29 laporan kebakaran di Amerika dan Kanada. Pemilik masih dibenarkan memandu kenderaan mereka, tetapi dinasihatkan berjumpa dengan pengedar mereka sekiranya terdapat kesan coolant bocor, enjin terlebih panas dan perlu menambah coolant dengan kerap.

    Di Australia, 4,450 unit Kuga dan 400 unit Fiesta ST telah dipanggil balik, menurut laporan CarAdvice. Ini berlaku dua bulan selepas Ford Afrika Selatan memanggil balik 4,500 pemilik Kuga akibat masalah yang sama.

    Pengedar Ford di Malaysia, Sime Darby AutoConnexion kini sedang menyiasat sama ada model-model berkaitan yang dijual di Malaysia turut terlibat dengan panggilan semula ini atau sebaliknya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.13 (+0.03)
Last Updated Sep 18, 2025