Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volkswagen bentangkan pelan transformasi tiga fasa

    volkswagen-i-d-concept-1-e1475209232439-850x567bm

    Volkswagen terus menuju ke hadapan dengan pengeluaran kenderaan elektrik secara besar-besaran, melalui strategi Transform 2025+, dengan hala tuju baru membentuk teras jenamanya menjelang 2020. “Sasaran dan strategi kami adalah tinggi. Kami ingin mengambil manfaat daripada perubahan dan membawa Volkswagen sebagai peneraju dalam industri automobil baru dengan penuh azam,” kata ketua pegawai eksekutif Volkswagen, Herbert Diess.

    “Dalam masa beberapa tahun akan datang, Volkswagen akan berubah secara radikal. Terlalu sedikit perkara yang akan kekal seperti sekarang. Kesudahannya, strategi baru ini adalah satu program transformasi yang besar,” tambah beliau. Pembangunan terkini menunjukkan perubahan drastik dalam hala tuju, selepas skandal Dieselgate yang memberi kesan meluas, hasil daripada usaha pembersihan imej, termasuk pemberhentian program rali mereka dalam WRC.

    Volkswagen juga menyatakan orientasi semula jenamanya akan dilakukan dalam tiga fasa. Fasa 1, yang akan berjalan sehingga tahun 2020, akan melihatkan jenama itu melalui penstrukturan semula perniagaan asas dan transformasi keseluruhan entiti. Fasa ini dijangka meliputi peningkatan keuntungan, dan difahamkan akan memberhentikan rancangan pengeluaran kenderaan yang hanya boleh dijual dalam jumlah rendah dan keuntungan juga rendah.

    2018-volkswagen-atlas-4-e1477621983617-850x447-bm

    Fasa pertama ini juga akan melihatkan pengukuhan tawaran kenderaan SUV, yang akan membantu jenama ini untuk terus kuat di Amerika Syarikat, seperti yang boleh dilihat dengan pengenalan Volkswagen Atlas yang dibina di Chattanooga, Tennessee.

    “Kami akan meningkatkan aktiviti secara ketara di Amerika Syarikat. Fokus utama adalah pada segmen utama di negara itu iaitu SUV bersaiz besar dan limosin. Dalam segmen itu, kami akan mengembangkan lagi barisan kenderaan yang ada. Untuk tahap kedua, kami akan membawa pula kenderaan elektrik baru ke Amerika Utara,” kata Diess.

    Fasa 2, yang akan berjalan sehingga 2025 akan melihatkan Volkswagen melabur banyak untuk kenderaan elektrik, dalam usaha mereka untuk menjadi pendahulu bagi sektor yang semakin berkembang tersebut menjelang 2030. “Sebagai pengeluar dalam jumlah yang banyak, kami berhasrat memainkan peranan penting dalam kejayaan kenderaan elektrik,” tambah Diess.

    e-golf-touch-bm

    “Kami tidak mensasarkan kepada produk tertumpu (niche), tetapi sebaliknya, bahagian utama pasaran automobil. Menjelang 2025, kami mahu menjual satu juta kenderaan elektrik setiap tahun dan menjadi peneraju pasaran dunia dalam e-mobiliti. Kenderaan elektrik masa hadapan kami akan menjadi tanda khas dan identiti Volkswagen,” kata Diess.

    Teknologi berhubung juga akan menjadi satu lagi bahagian yang akan menerima pelaburan besar Volkswagen. Platform digital khas untuk menghubungkan kenderaan melalui servis digital sedang dibangunkan, dan Volkswagen mensasarkan untuk mempunyai sekitar 80 juta pengguna aktif di seluruh dunia menjelang 2025. Pendapatan jualan daripada servis untuk kenderaan dengan rangkaian ini dijangka mencecah €1 billion (RM4.72 billion) setiap tahun menjelang 2025.

    Pembuat kenderaan dari Jerman ini juga merancang untuk menjadi peneraju pasaran global dengan meneruskan jumlah jualan tinggi di China dan Eropah, sementara meneruskan usaha mereka di Amerika Utara, serta memajukan lagi kedudukan dalam segmen ekonomi di pasaran India, Amerika Selatan dan Rusia.

     
     
  • Tempoh pelaksanaan wajib bagi penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak kekal pada 2019 – Liow

    paultan.org_free_child_seat_rental_-005

    Sebagai maklum balas kepada kenyataan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim semalam, yang ingin mendesak agar pelaksanaan penggunaan kerusi itu diwajibkan lebih awal daripada tempoh asal pada 2019, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menjelaskan setakat ini ia akan diwajibkan mengikut perancangan awal yang sudah dipersetujui sebelum ini.

    The Star melaporkan, hal ini adalah bagi membolehkan pengeluar kenderaan mempunyai cukup masa bagi pemasangan cagak atau tapak bagi kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan baharu keluaran mereka. Liow menjelaskan, perkara berkenaan sudah dimaklumkan dan pengeluar perlu menyediakannya bagi kenderaan yang dikeluarkan bermula tahun ini.

    “Kami sudah maklumkan kepada semua pengeluar bahawa setiak kenderaan yang dipasang atau di bawa masuk bermula tahun ini perlu dilengkapi dengan tapak kerusi keselamatan berkenaan untuk membolehkan ia dipasang dengan kemas dan selamat dalam kenderaan yang dijual,” ujar Liow.

    liow tiong lai

    Rohani semalam menyatakan beliau akan bertemu dengan wakil dari Kementerian Pengangkutan dan pihak berkepentingan yang lain untuk membincangkan hal itu berikutan kematian tragis seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Ulu Tiram, Johor Sabtu lalu. Kanak-kanak itu terjatuh keluar daripada kereta yang dipandu oleh bapanya sebelum digilis oleh kenderaan lain.

    Pagi ini pula, dua adik-beradik berusia setahun dan tiga tahun terbunuh selepas mereka terpelanting ke luar kenderaan yang dipandu bapa mereka yang terlibat di dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di jalan dari Ipoh ke Lumut. Liow menyatakan, ibu bapa dan pengguna jalan lain perlu lebih prihatin dan berhati-hati jika membawa penumpang kanak-kanak.

    “Kunci pintu dan gunakan tali pinggang keselamatan setiap masa ketika berada di dalam kenderaan,” tambah Liow. Menurut Liow lagi, adalah sukar untuk mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan berkenaan bagi kenderaan lama yang tidak dilengkapi atau boleh dipasangkan dengan ciri khas berkenaan.

     
     
  • Hyundai Grand Starex Royale facelift dilancarkan di M’sia – enjin dan transmisi kekal sama, RM168,888

    img_0969

    Hyundai Sime Darby Malaysia (HSDM) hari ini mengumumkan MPV 12-tempat duduk Grand Starex Royale versi facelift kini secara rasmi mula menembusi pasaran Malaysia. Varian tertinggi Grand Starex Royale Deluxe 2.5GLS VGT untuk versi kemaskini ini dijual pada harga atas jalan dengan insuran RM168,888, berbanding Grand Starex Royale Premium sebelum ini yang dijual pada harga RM 161,439.80.

    Perubahan ketara dilihat pada gril hadapan di mana Starex facelift ini menampilkan rekaan yang menyerupai Toyota Alphard. Gril berkenaan turut kelihatan seperti bersambung dengan liang kemasukan udara pada bahagian bampar dan memberikan bentuk X secara keseluruhan. Lampu kabus pada kedua-dua sisi bersama perumahnya juga direka semula bagi memadankan keseluruhan perubahan pada bahagian muka ini.

    Pada bahagian sisi, Starex masih lagi mengekalkan cermin sisi dengan lampu nyalaan siang LED manakala roda aloinya berdiameter 16-inci pula diberikan rekaan baharu. Sementara bahagian belakang pula, lampu kombinasi Starex kini diberikan pelindung berwarna hitam, dan kelihatan seperti bersambung dengan panel sisi cermin belakang yang turut diberikan warna yang sama. Kemasan pada bahagian bawah bampar belakang juga dilihat berubah, menampilkan perumah ekzos dua tip palsu yang dikelilingi kemasan krom pada kedua-dua belah sisi.

    Walau bagaimanapun, tiada perubahan dibuat pada unit janakuasa dimana Grand Starex Royale masih digerakkan enjin diesel 2.5 liter CRDi bersama suapan pengecas turbo dengan geometri bervariasi (VGT) dan unit intercooler, berkuasa 170PS pada takat 3,800 rpm dan tork maksima 392 Nm bermula 2,000 hingga 2,500 rpm. Angka sebenar ini adalah bercanggah dengan jumlah tork yang dikatakan meningkat kepada 441 Nm, dipaparkan pada iklan dalam laman oto.my yang kami temui sebelum ini. Kuasa dari enjin juga masih lagi dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear lima-kelajuan automatik.

    Untuk keselamatan, Grand Starex Royale dilengkapi dua-beg udara, sistem brek dengan ABS dan EBD serta Program Stabiliti Elektronik (ESP). Ia juga turut diberikan kamera keselamatan pemanduan secara standard.

    Tiga warna masih kekal dalam brosur Starex iaitu Creamy White, Timeless Black dan Hyper Silver. Waranti pengeluar selama lima-tahun atau 300,000 km (yang mana sampai dahulu) serta bantuan tepi jalan 24-jam turut kekal diberikan kepada pelanggan dengan setiap pembelian MPV gergasi ini. Tempahan dan pandu uji akan dibuka untuk mereka yang berminat di semua bilik pameran Hyundai seluruh negara bermula Disember ini.

     
     
  • MPV Honda Jade facelift dilancarkan di China

    honda-jade-fl-lead-e1479870387961_bm

    Nampaknya pelanggan Honda di China ‘dihujani’ dengan pelbagai model menarik dari jenama berkenaan. Selain dari varian lebih mampu milik Avancier 1.5 liter turbo yang bakal menerjah pasaran tahun hadapan dan Civic 1.0 liter turbo, MPV enam-tempat duduk Honda Jade versi facelift turut dilancarkan pada Guangzhou Auto Show tahun ini.

    Jade diperkenalkan pada pasaran China buat pertama kali pada 2013 dan untuk versi facelift kali ini, rekaan mukanya dikemaskini dengan signatur ‘Solid Wing’ Honda yang melibatkan gril hadapan, diapit lampu hadapan LED sepenuhnya.

    Bampar hadapan turut diberikan rekaan baharu khususnya pada perumah lampu kabus. Bahagian belakang pula, Jade menerima lampu rekaan baharu menampilkan lampu undur yang lebih besar. Kemasan krom berbentuk-U baharu ditempatkan pada pintu tailgate, menghubungkan kedua-dua belah lampu belakang.

    honda-jade-fl-rear-34-left-e1479870483833_bm

    Honda Jade facelift dipadankan dengan dua pilihan roda aloi yang mana salah satunya adalah seiras dengan roda aloi Civic 1.5T pasaran Malaysia, manakala satu lagi dengan rekaan tujuh-jejari. Jade turut diberikan pemegang pintu bersalut krom.

    Pada bahagian dalaman pula, kabin dengan enam-tempat duduk ini menampilkan konfigurasi yang boleh diubah dengan pelbagai bentuk. Menurut Honda, susun atur asas tempat duduk pada kabin belakang Jade direka dengan bentuk-V untuk memudahkan pergerakan antara barisan.

    MPV ini masih lagi dijana oleh enjin NA 1.8 liter i-VTEC berkuasa 139 hp/174 Nm, yang diambil dari model pre-facelift. Enjin 1.5 liter turbo berkuasa 156 hp yang menjana Jade RS JDM turut dikhabarkan akan ditawarkan pada Jade pasaran China selepas ini.

    Enjin 1.8 liter tersebut dipadankan dengan pilihan sama ada transmisi manual lima-kelajuan atau CVT automatik, bergantung pada varian. Untuk keselamtan, Jade facelift dilengkapi cagak tempat duduk ISOFIX pada tempat duduk belakang, isyarat berhenti kecemasan, bantuan mula mendaki serta sistem pemantauan tekanan angin tayar.

    MPV Honda Jade versi kemaskini ini dijual pada pasaran China bermula dengan harga 149,800 yuan (RM96,563) untuk varian asas Comfort Edition LXi hingga 183,800 yuan (RM118,451) untuk varian tertinggi Luxury VTi-S.

     
     
  • Honda Beat dilancar – motosikal EEV pertama Malaysia berharga RM5,565, enjin PGM-FI 108.2 cc

    honda-beat-launch-bm-23

    Boon Siew Honda menambah penawaran produk skuter automatiknya dengan pelancaran model Beat FI. Model yang sudah berada di pasaran Indonesia dan seterusnya Filipina ini kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM5,565, termasuk GST dan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km. Pilihan warna yang diberikan pula ada empat iaitu hitam, biru, merah dan merah jambu.

    Beat FI dikuasakan oleh enjin satu silinder empat lejang 108.2 cc dengan sistem suntikan bahan api dan ia digabungkan dengan transmisi automatik jenis CVT. Secara maksimum, padanan ini boleh menghasilkan sehingga 8.77 PS dan 9.14 Nm tork.

    Enjin ini juga dapat memberikan penggunaan bahan api yang baik, iaitu 2.0 l/ 100 km hasil daripada sistem suntikan bahan api PGM-FI dan eSP. Catatan itu juga menjadikan Honda Beat motosikal pertama yang mendapat pengiktirafan kenderaan cekap tenaga (EEV) oleh kerajaan. Walaubagaimanapun, menurut timbalan pengerusi dan timbalan ketua pegawak eksekutif Boon Siew Honda, Datuk Seri Datuk Wira Tan Hui Jing, ia tidak memberikan mereka sebarang kelebihan untuk menurunkan harga motosikal ini kerana strukturnya adalah berbeza berbanding kereta.

    Antara ciri unik bagi Beat, selain sistem suntikan bahan api PGM-FI adalah Combi Brake System (CBS), yang berfungsi untuk memberikan jarak berhenti lebih pendek dan selamat. Brek CBS ini akan diaktifkan apabila pengguna menggunakan tuil brek sebelah kiri secara kuat, dan ia akan membahagikan kuasa brek 50/50 ke bahagian depan dan belakang. Jika pada keadaan normal, setiap tuil masih lagi beroperasi secara biasa iaitu tuil kanan untuk brek hadapan dan tuil kiri untuk brek belakang.

    Selain itu, Beat juga mempunyai Tuas Penguncian Brek yang dapat mengunci brek belakang apabila motosikal diletakkan tidak bergerak. Tuil untuk menguncinya terdapat di bahagian kiri. Brek yang digunakan pada skuter ini adalah daripada jenis cakera di bahagian depan dan dram di belakang. Tayar pula adalah bersaiz 80/90 di hadapan dan 90/90 di belakang.

    honda-beat-launch-bm-8

    Tangki minyak Beat adalah sebesar 4.0 liter, dan menurut ujian yang dilakukan oleh Honda, ia dapat memberikan jarak pergerakan sehingga 220 km. Kelajuan maksimum motosikal ini pula adalah 94 km/j.

    Boon Siew Honda mensasarkan penjualan sebanyak 12,500 unit Beat setiap tahun dan ini, apabila digabungkan dengan penjualan model lain, diharap dapat membawa jenama motosikal Honda ke kedudukan pertama di Malaysia.

    Berkaitan barisan produknya, Tan turut memberitahu bahawa Spacy akan dihentikan jualan secara berperingkat, diganti dengan model Beat ini manakala Forza 150 pula tiada dalam perancangan untuk dibawa masuk ke Malaysia kerana harganya mungkin boleh jadi agak mahal dan memberikan saingan sendiri kepada model Honda PCX.

     
     
  • Toyota Vios hatchback dan Yaris L sedan diperkenal

    toyota-vios-hatch-bm

    Mula bocor di internet bulan lalu, Toyota Vios FS hatchback dan Yaris L sedan akhirnya dipertontonkan di Pameran Permotoran Guangzhou 2016. Dua varian terbaharu ini merupakan tambahan kepada penawaran model berkenaan di China.

    Sehingga kini, strategi Toyota bagi pasaran kenderaan segmen B di sana sangat mudah. Vios sedan dipasang dan dijual melalui kerjasama dengan GAC, sementara versi hatchback, Yaris L pula dipasarkan melalui FAW Toyota Motor. Maka lahirkan dua varian terbaharu ini; kedua-dua pihak kelihatan seperti ingin diwakili dalam pasaran yang sama antara sedan dan hatchback bagi kedua-dua model.

    Secara umumnya, setiap satu daripada varian ini mewarisi rekaan wajah hadapan dan belakang yang bersilang di antara satu sama lain. Pada Vios hatchback, wajah depan baharu ini pertama kali dilihat pada versi sedan facelift ketika Pameran Permotoran Beijing tahun ini. Lampu utama yang direka semula pula disambungkan kepada bahagian gril berbentuk T.

    Sementara itu, gril dibahagian bawah adalah lebih lebar, dan bersambung dengan bahagian lampu kabus depan serta lampu nyalaan siang LED. Bahagian belakangnya pula tidak ada perubahan daripada Yaris L facelift, dengan lampu belakang LED dengan lampu isyarat yang lebih tirus, serta bampar rekaan baharu.

    Bagi Yaris L sedan pula, ia menerapkan wajah hadapan dari versi hatchback facelift, tanpa bahagian pengalas hitam dari model yang sama. Gril serta lekukan rekaan yang pelbagai memberi sentuhan yang sedikit berbeza padanya. Bahagian belakang pula tidak berubah daripada Vios sedan, dengan lampu LED dan bampar baharu.

    Kedua-duanya dikuasakan oleh enjin 1.3 liter dengan output 99 hp dan enjin 1.5 liter Dual VVT-i dengan output 107 hp, seperti Vios sedan dan Yaris L hatchback. Transmisi pula ialah manual lima-kelajuan atau CVT degan mod virtual tujuh-kelajuan.

     
     
  • Honda Civic 1.0 liter VTEC Turbo terjah China

    civic-turbo-cn-00_bm

    Dongfeng Honda telah memperkenalkan Honda Civic 180Turbo iaitu Civic yang dijana oleh enjin 1.0 liter VTEC Turbo untuk pasaran China pada Guangzhou Auto Show 2016 minggu lalu. Civic 180Turbo ini hadir dengan dua varian Comfort Edition iaitu versi transmisi manual dan juga CVT automatik.

    Bahagian luaran, model 180Turbo ini kelihatan seiras dengan Civic 220Turbo iaitu model yang dijana enjin 1.5 liter VTEC Turbo, dengan sedikit perubahan. Model 1.0 liter ini tidak diberikan lampu hadapan LED tetapi hadir dengan lampu konvensional, dan ia diberikan roda aloi 16-inci dengan tayar 215/55R16, berbanding model 1.5 liter yang diberikan roda aloi berdiameter 17-inci.

    Enjin 1.0 liter VTEC turbo ini diperkenalkan buat pertama kali pada Honda Meeting di Jepun tahun lalu. Semasa diperkenalkan, enjin tiga-silinder yang diberi kod P10A1 berkenaan didakwa mampu menghasilkan kuasa 127 hp/200 Nm. Namun, versi yang dipadankan pada Civic pasaran China ini adalah sedikit rendah iaitu 123 hp pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 173 Nm bermula 2,000 hingga 4,500 rpm.

    Selain dari dilengkapi mekanisma Kawalan Pemasa Injap Bervariasi (VTC) pada kedua-dua injap kemasukan dan ekzos, enjin dengan sistem suntikan bahan api terus ini turut menerima mekanisma Variable Valve Timing and Lift Electronic Control iaitu VTEC sebenar pada injap kemasukan.

    Antara elemen penting lain yang turut ditampilkan pada enjin ini adalah liang kemasukan udara lebih tinggi, kepala silinder dengan kecekapan penyejukan lebih baik, omboh dengan ruang penyejukkan, injap ekzos dengan sodium serta pam minyak pelincir bervariasi. Enjin ini juga diberikan sistem start/stop automatik yang meningkatkan kecekapan bahan apinya. Ia juga menampilkan tali sawat pemasa di dalam pelincir, sama seperti pesaing terdekatnya iaitu enjin EcoBoost Ford 1.0 liter.

    Untuk prestasi Civic 180Turbo ini, Honda mendakwa versi CVT mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 11.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 200 km/j. Manakala untuk versi manual pula, ia memecut pada jarak yang sama dalam masa 11.6 saat dan mencatat kelajuan maksima 204 km/j. Versi CVT mencatatkan penggunaan petrol 5.0 liter untuk perjalanan sejauh 100 km, dan versi manual pula menggunakan 5.5 liter petrol untuk perjalanan yang sama.

     
     
  • Usaha lain juga perlu selain mansuhkan subsidi bahan api fosil untuk ubah lanskap tenaga – GreenTech

    petronas_chargev-3-bm

    Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-Moon dalam Persidangan Perubahan Iklim pertubuhan itu di Marrakech, Magribi minggu lepas menggesa semua negara memansuhkan subsidi bahan api fosil bagi mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih.

    Namun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia (GreenTech Malaysia) Ir Ahmad Hadri Haris berkata kepada Bernama, untuk mengubah landskap tenaga di Malaysia bagi mengguna pakai tenaga bersih, usaha berkenaan bukan setakat memansuhkan subsidi bahan api fosil, malah juga memerlukan masa dan pelaburan.

    Menurut Ahmad Hadri lagi, GreenTech Malaysia melihat secara positif cadangan PBB itu memandangkan langkah itu akan menggalakkan kesedaran yang lebih tinggi ke atas sumber serta menggalakkan penggunaan teknologi dan tenaga hijau. Malaysia bagaimanapun katanya kini menuju arah yang betul dengan mengambil contoh subsidi petrol dan tarif elektrik sudah diselaraskan untuk mencerminkan harga pasaran.

    “Malaysia bersetuju dengan cadangan ini, selari dengan pendekatan pemansuhan subsidi bahan api fosil secara berperingkat yang diputuskan sejak 2014,” katanya.

    bmw i8 chargev 02

    Namun jelas beliau, pemansuhan subsidi berkenaan perlu dilaksanakan secara berhati-hati bagi memastikan ia tidak terlalu membebankan rakyat, dengan penjimatan daripada pemansuhan subidi itu disalurkan untuk inisiatif utama yang secara langsungnya meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah.

    “Perlu ditegaskan bahawa walaupun pemansuhan subsidi bahan api fosil ternyata merupakan langkah yang baik, ia masih tidak menangani kos luaran pelepasan karbon,” katanya.

    Tegas beliau, bagi mengubah landskap tenaga negara secara menyeluruh dan mampan, rangka kerja kawal aturan dan dasar yang menyokong perlu dilakukan selain skim pembiayaan dan insentif yang menarik bagi meningkatkan pertumbuhan pasaran tenaga hijau. Antara contoh bekenaan adalah kejayaan industri solar yang disokong oleh Akta Tenaga Boleh Baharu 2011, Tarif Galakan dan program Meter Tenaga Bersih yang baru diperkenalkan.

    GreenTech sendiri menyokong peralihan ke arah mobiliti mampan menerusi penggunaan kenderaan elektrik (EV) dengan memulakan inisiatif membawa Tesla Model S dari Amerika Syarikat, serta menyediakan skim sewaan sedan mewah elektrik sepenuhnya itu. Untuk memudahkan pertumbuhan sektor EV ini juga, GreenTech turut memasang lebih 100 stesen ChargEV di rangkaian stesen pengecas mereka sendiri dan juga kerjasama bersama syarikat lain seperti Petronas dan BMW.

     
     
  • Trak pikap Subaru berdasarkan model konsep Viziv-7

    subaru-pick-up

    Subaru baru-baru ini memberi isyarat kepada hasrat mereka untuk menghasilkan sebuah kenderaan SUV tujuh tempat duduk melalui model konsep yang baru sahaja diperkenalkan kepada umum, Subaru Viziv-7. Ini merupakan peralihan yang besar buat jenama itu, lain daripada penghasilan kereta sedan dan wagon sebelum ini.

    Bagaimana jika Subaru menghasilkan trak pikap pula selepas ini, bagaimana rupanya? Theophilus Chin membayangkannya melalui sebuah imej render, berdasarkan model konsep terbaharu berkenaan. Rekaan bahagian depan yang besar dan menonjol, serta saiz roda yang besarnya kelihatan sangat kemas juga di sebagai sebuah trak pikap.

    Ia nampak lebih besar dan gagah, sebuah imej yang jarang-jarang ada pada reka bentuk kenderaan Subaru sebelum ini. Hasilnya, ia sedikit-sebanyak ada mirip trak pikap keluaran Nissan yang terkini, iaitu Navara NP300.

    Jika model pikap ini benar-benar menjadi kenyataan kelak, ia dijangka bakal menggunakan Global Platform unibody yang sama digunakan pada Impreza. Versi produksi Viziv-7 juga dijangka akan menggunakan platform yang sama. Ini akan membezakannya daripada kebanyakan trak pikap yang lain, yang cenderung dibangun menggunakan binaan ladder frame.

    Penggunaan enjin boxer sedia ada juga mungkin akan dikekalkan; enjin 2.0 liter turbodiesel yang digunakan pada model Legacy dengan janaan 147 hp dan 350 Nm. Ciri unik khusus Subaru, Symmetrical All-Wheel Drive juga mungkin kekal digunakan.

     
     
  • Toyota Mark X facelift dikeluarkan di Jepun – kini dilengkapi sistem keselamatan aktif Safety Sense P

    toyota-mark-x-2016-fl-850x397-bm

    Perincian Toyota Mark X facelift generasi kedua telah didedahkan untuk pasaran Jepun. Kenderaan ini ditawarkan dalam lima varian; paling tinggi 350RDS, diikuti 250RDS, 250S dan 250S Four (pacuan empat roda), 250G/250G Four, dan 250G/250G Four dengan F Package.

    Seperti yang dilihat pada namanya, Mark X 350RDS dikuasakan oleh enjin V6 N/A 2GR-FSE 3.5 liter, berkemampuan menghasilkan 318 PS pada 6,400 rpm dan 380 Nm tork pada 4,800 rpm. 250RDS, 250S, 250S Four, 250G dan 250 G Four pula dikuasakan oleh enjin V6 N/A 4GR-FSE 2.5 liter yang boleh menghasilkan 203 PS pada 6,400 rpm dan 243 Nm tork pada 4,800 rpm.

    Pada bahagian luar, Mark X facelift ini menerima bampar, gril dan lampu utama yang direka semula. Bagi varian 250S, 250S Four, 250RDS dan 350RDS, lampu tersebut terdiri daripada unit LED bersama lampu siang LED. Rim 16 inci didatangkan secara standard tetapi bagi varian 350RDS dan 250RDS, ia dilengkapi dengan rim 18 inci sementara rim sama juga disediakan sebagai pilihan bagi varian 250S dan 250S Four.

    Di dalam pula, varian 350RDS, 250RDS dan 250S menggunakan balutan Alcantara hitam dan merah secara standard dan ia juga diberikan sebagai pilihan bagi varian 250S Four. Kerangka Mark X facelift ini juga diperkuat dengan kimpalan spot welding dan pelekat struktur, dalam masa sama meningkatkan tindak balas pengendalian, cengkaman dan keselesaan.

    Pembaharuan paling penting bagi model ini adalah tambahan sistem keselamatan aktif Toyota Safety Sense P untuk semua varian. Sistem ini mengambil masuk kelengkapan seperti radar pandangan hadapan berserta kamera yang boleh mengesan kenderaan dan pejalan kaki supaya dapat mengelakkan perlanggaran di bahagian hadapan.

    Sistem brek sebelum perlanggaran juga berfungsi pada kelajuan antara 10 km/j hingga 80 km/j, manakala amaran keluar lorong disokong dengan kamera monokular yang boleh mengesan garisan di atas jalan. Jika kereta keluar dari lorong, pemandu akan diberi amaran melalui bunyi yang dikeluarkan atau paparan di bahagian panel meter.

    marx1611_10_s-e1479805308104-850x407-bm

    Sekiranya masih tiada tindakan selepas amaran dikeluarkan, sistem stereng kuasa elektriknya akan membawa kenderaan masuk semula ke dalam lorong. Di lebuh raya, radar pengesan bekerja bersama dengan kamera yang ada untuk menghantar informasi kepada sistem adaptive cruise control. Sewaktu kenderaan meluncur dengan sekata, sistem ini akan mengawal pendikit untuk memastikan jarak sentiasa selamat dengan kereta di hadapan.

    Jika kereta di hadapan mengurangkan kelajuan, sistem ini akan mengesan perubahan laju dan menutup pendikit bagi mendapatkan pengurangan laju yang diperlukan. Sekiranya kereta perlu dikurangkan lagi lajunya, sistem ini akan mengaktifkan brek untuk memperlahankan Mark X.

    Sistem ini juga akan memberitahu pemandu untuk mengelak sekiranya terdapat pengurangan laju yang mendadak oleh kereta hadapan. Jika kereta di hadapan bergerak semakin laju, sistem ini juga akan meningkatkan kelajuan, sehingga tahap yang telah ditetapkan. Operasi sama turut dilakukan sekiranya kenderaan di hadapan menukar laluan dan terdapat ruang kosong.

    Toyota Mark X facelift dijual di Jepun pada harga bermula 2,656,800 yen (RM105,866) untuk varian 250G F Package, hinggalah 3,850,200 yen (RM153,419) untuk varian paling tinggi 350RDS 3.5 liter.

     
     
  • Kerusi kanak-kanak akan diwajibkan sebelum 2019

    paultan.org_free_child_seat_rental_-004

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menyatakan bahawa kerusi kanak-kanak dalam kenderaan sepatutnya diwajibkan lebih awal daripada tarikh cadangan pelaksanaannya yang ditetapkan pada 2019.

    Rohani berkata, beliau akan menemui wakil dari Kementerian Pengangkutan dan pihak-pihak berkaitan yang lain berkenaan hal ini, memetik laporan akhbar The Sun.

    Ini adalah berikutan kematian tragis seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Ulu Tiram, Johor Sabtu lalu. Kanak-kanak itu terjatuh keluar daripada kereta yang dipandu oleh bapanya sebelum digilis oleh kenderaan lain.

    “Sebelum melaksanakan sesuatu peraturan yang baharu, kami di kementerian selalu memberikan rentang waktu yang memadai bagi orang awam untuk membiasakan diri mereka agar mereka tidak akan dikenakan tindakan.

    “Bagaimana pun, isu-isu seperti penggunaan kerusi khas bagi kanak-kanak ketika berada di dalam kenderaan tidak boleh dilengahkan kerana ia berkaitan keselamatan nyawa,” ujar beliau.

    Sementara gesaan untuk mempercepat pelaksanaan itu disepakati, ibu bapa terlebih dahulu mengambil berat tentang keselamatan anak-anak mereka. “Kementerian akan terus memberi penekanan terhadap lebih banyak kempen kesedaran berkaitan hal ini dapat dijalankan.”

     
     
  • Sekitar 60k pemandu Uber dan Grab direkodkan, rang undang-undang dibentang tahun hadapan – Menteri

    uber-x-car_BM

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wee Ka Siong mendedahkan dianggarkan 50,000 hingga 60,000 individu berdaftar melalui aplikasi e-hailing sebagai pemandu perkhidmatan pengangkutan Uber dan Grabcar di seluruh negara setakat ini, menurut laporan Bernama.

    Wee memberitahu perkara berkenaan di persidangan Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) mengenai jumlah pengguna yang berdaftar sebagai penyedia perkhidmatan Uber dan Grabcar di seluruh negara sehingga Oktober 2016.

    Menurut Wee lagi,daripada jumlah itu hanya 20 peratus pemandu yang aktif manakala selebihnya pemandu separuh masa yang mempunyai pekerjaan tetap. “Kebanyakan pemandu yang menyediakan perkhidmatan Uber dan Grabcar tertumpu di kawasan bandar seperti Lembah Klang dan Pulau Pinang,” katanya.

    Wee juga menjelaskan satu rang undang-undang bagi mengawal selia perkhidmatan ‘ride hailing’ akan dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun depan dan kerajaan sedang memuktamadkan rang undang-undang berkenaan yang turut melibatkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan bagi Sabah dan Sarawak.

     
     
  • BMW 1 Series Sedan – lebih perincian didedahkan

    bmw-1-series-sedan-4-e1479784027306-850x480-bm

    Bermula dengan sebuah kenderaan konsep, BMW 1 Series Sedan akhirnya membuat penampilan awam pertama di Guangzhou Motor Show 2016. Lebih banyak perincian berkenaan kenderaan empat pintu, pacuan roda hadapan ini didedahkan dan BMW juga menyebarkan lebih banyak gambar bersamanya.

    Kita sudah pernah melihat bahagian luar kenderaan yang dikhaskan untuk pasaran negara China ini sahaja, yang mana kelihatan seperti sebuah 3 Series F30 yang dikecilkan dan mempunyai ‘muka’ seperti 1 Series hatchback. Pada bahagian depan, terdapat lampu utama LED berbentuk trapezoid dan gril ‘double kidney’, manakala salur udara yang terletak rendah di bawah dikatakan mendapat inspirasi daripada model M BMW.

    Walaupun susun atur enjin dan transmisi berubah, kenderaan ini masih lagi mengekalkan ciri estetik BMW dengan overhang yang pendek, bonet panjang, Hofmeister Kink pada tiang C-pillar dan lampu belakang berbentuk L. Lebih 10 warna yang ditawarkan untuk kenderaan ini termasuk Estoril Blue yang sebelum ini hanya untuk model M Sport dan Luminous Gold.

    Bahagian dalam pula sama seperti kebanyakan model BMW lain yang dibina atas platform pacuan roda hadapan UKL, termasuk 2 Series Active Tourer, Gran Tourer dan X1. Seperti juga model-model ini, terdapat brek kecemasan elektronik, manakala tempat duduk belakang pula boleh dilipat 40:20:40 untuk ruang yang lebih luas.

    Kelengkapan yang boleh didapati pada 1 Series Sedan adalah termasuk skrin paparan tengah LED (berkemungkinan sebahagian daripada sistem BMW Navigation Professional seperti pada model lain), head-up display berwarna, bumbung panoramik, sistem pemasukan tanpa kunci Comfort Access serta but belakang yang boleh dibuka tanpa sentuhan. Daripada aspek keselamatan, kenderaan ini dilengkapi dengan antaranya Lane Departure Warning, Collision Warning dan Pedestrian Warning.

    1 Series Sedan akan ditawarkan dengan pilihan dua enjin petrol turbo dan tiga jumlah kuasa berbeza. 118i dikuasakan oleh enjin tiga silinder 1.5 liter 136 hp, manakala 120i Luxury dipacu enjin empat silinder 2.0 liter 192 hp. Varian paling tinggi, 125i Sport menggunakan enjin sama, tetapi jumlah kuasanya ditingkatkan sehingga 231 hp. Semua model boleh didapati dengan sama ada kotak gear manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan.

     
     
  • VIDEO: Honda Civic Speedfactory Racing – B-series 2.0 liter turbo, 1,850 hp, FWD paling pantas di dunia

    Jentera perlumbaan drag Honda Civic yang dibina Speedfactory Racing dari Washington, Amerika Syarikat telah mencatatkan rekod pecutan suku batu dalam masa hanya 7.61 saat, seterusnya dinobatkan sebagai kereta pacuan hadapan (FWD) paling pantas didunia buat masa ini.

    Catatan masa 7.61 saat itu dicapai ketika Civic berkenaan berada pada kelajuan 320.96 km/j dan rekod speed trap dalam perlumbaan drag untuk kategorinya juga berjaya dipecahkan dengan catatan 323 km/j. Rekod-rekod ini dicatatkan semasa berlangsungnya perlumbaan ImportVsDomestic.com World Cup Finals di Maryland International Raceway.

    Civic berkenaan merupakan jentera ubahsuai produksi, dan bukannya sebuah jentera perlumbaan prototaip. Ia masih menggunakan kerangka asal Civic hatchback produksi, bersama enjin produksi B-Series 2.0 liter. Ubahsuai pada enjin tersebut turut melibatkan pemadanan pengecas turbo gergasi dari Percision Turbo bersaiz 86 mm, menghasilkan kuasa maksima 1,850 hp.

    Apa yang menarik, kesemua kuasa dari enjin berkenaan dihantar ke roda hadapan hanya menggunakan kotak gear dengan corak penukaran H-Pattern, tanpa mekanisma sequential-shifting.

     
     
  • VIDEO: BMW Motorrad K100 1986 Xaver binaan khas

    Motosikal binaan khas dari jentera-jentera dua roda retro memang mempunyai pengikut dan peminat sendiri. Apa lagi jika ia mempamerkan idea-idea kreatif yang radikal; misalnya ketika cuba membayangkan model BMW K100 LT 1986 – LT bermaksud Luxury Touring – dan “melucutkan” sepenuhnya hal-hal yang “mewah” dan “touring” yang ada pada model asalnya.

    Titan Motorcycles dari Jerman mempunyai jawapan untuk itu. Bermula dengan cuba meyakinkan seorang pelanggan yang datang ke kedai dengan sebuah Harley-Davidson yang bateri telah “mati”, beliau kemudiannya mencuba jentera BMW R100. Namun, bukan motosikal itu yang memikat hati, sebaliknya sebuah K100 LT.

    BMW K100 Xaver ini kemudiannya menjadi sebuah projek baharu bagi Titan Motorcycles. Ia kemudiannya dibina khas untuk menjadi sebuah jentera kustom yang ada gaya tersendiri. Antaranya penggunaan sistem ekzos Rasmus pada enjin 987 cc “Flying Brick” empat silindernya.

    Tangkin khas buatan tangan, bahagian tempat duduk dan kemasan bahagian lampu utama di sediakan oleh Blechmann Aluminium. Meter analog digantikan dengan panel meter digital dari Motoscope. Kelengkapan elektronik yang minimum digunakan pada jentera ini, dengan hanya CAN-Bus untuk nyalaan lampu LED, serta Tomaselli Endurobar dengan pendawaian dalaman.

    Melengkapi binaan khas ini, tempat duduk kulit dengan jahitan ala diamond cross-hatch dari Titan menyerlahkannya lagi dengan imej scrambler. Brek Brembo serta tayar Continental TKC80 gaya enduro memenuhi penampilan unik ala scrambler jentera BMW K100 Xaver ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025