Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Vendor Proton perlu fokus hasilkan bahagian untuk kereta elektrik dan mesra alam – pakar ekonomi

    Vendor Proton perlu fokus hasilkan bahagian untuk kereta elektrik dan mesra alam – pakar ekonomi

    Vendor Proton perlu memfokuskan penghasilan dan pembuatan teknologi baharu serta bahagian untuk kenderaan elektrik supaya sejajar dengan perancangan Gelly untuk menjadi pengeluar kereta elektrik nombor satu di China.

    Menurut kenyataan pakar ekonomi terkemuka Dr Yeah Kim Leng seperti yang dilaporkan oleh Bernama, “jika mereka (Geely) boleh memindahkan sebahagian daripada teknologi, ia akan memberi prospek yang baik bagi Malaysia apatah lagi sekiranya mereka menjadikan negara ini hab pengeluaran bagi menembusi pasaran ASEAN.”

    Dr Yeah berkata hanya pemain global boleh meneruskan kelangsungan hidup dalam pasaran yang semakin kompetitif ini.

    Sebaliknya,’syarikat kecil dan khusus serta syarikat kereta nasional akan berdepan cabaran amat sukar kerana mereka tidak mempunyai ekonomi mengikut bidangan.’

    “Selain keupayaan kewangan yang kukuh, pengeluar kereta terkemuka China itu juga mempunyai keupayaan teknologi yang penting,” katanya lagi.

    Vendor Proton perlu fokus hasilkan bahagian untuk kereta elektrik dan mesra alam – pakar ekonomi

    Tambahnya lagi, “Apa yang lebih penting, mereka tidak mempunyai keupayaan penyelidikan dan pembangunan dan kewangan yang kukuh untuk terus melabur dalam penyelidikan dan pembangunan, dan menambah baik reka bentuk kereta. Sudah tentunya dalam usaha ke arah penggunaan teknologi baharu, kenderaan elektrik pada masa depan dan hibrid daripada enjin pembakaran dalaman adalah sangat penting.”

    Trend ke arah kenderaan elektrik jelas kelihatan di Eropah dan hanya menunggu masa sahaja sebelum trend itu menular di China, kata Dr Yeah sambil menyebut hakikat bahawa China sudahpun memulakan pembuatan kereta elektrik secara besar-besaran.

    “Bagi vendor dan pengeluar kereta, melainkan mereka menyesuaikan diri dan menambah baik teknologi, terutamanya sejajar dengan perubahan trend ke arah kenderaan hijau, masa depan boleh dianggap pesimis,” katanya sambil menambah cara untuk berjaya adalah dengan bertukar kepada kereta elektrik dan cekap tenaga.

    Bagi Malaysia dan Proton, beliau berkata, “Lebih cepat kita mengikuti trend ini, akan lebih besar potensinya kepada negara untuk muncul sebagai hab pembuatan serantau bagi syarikat global.”

    Vendor Proton perlu fokus hasilkan bahagian untuk kereta elektrik dan mesra alam – pakar ekonomi

    Mengenai usaha Proton dalam menaiktaraf pusat 3S dan 4S, Yeah berkata, mereka (vendor) perlu mempunyai rangkaian pengedaran yang sangat kukuh bukan hanya dari segi jualan, bahkan dari segi servis dan memastikan semua jaminan dipenuhi agar kepuasan pelanggan mereka menjadi keutamaan nombor satu dalam industri kereta.

    Bagi mengekalkan nilai jualan semula, katanya, perkhidmatan sokongan dan rangkaian kukuh adalah suatu yang penting.

    “Proton melakukan perkara yang betul dengan mengukuhkan rangkaian pengedarannya, menaikkan tarafnya menjadi bilik pameran yang menjadi pilihan pembeli kereta yang berpotensi. Prasyarat penting adalah kebolehpercayaan, kos pengeluaran rendah dan harga kompetitif bagi menarik pembeli kereta. Kami difahamkan bahawa kos pengeluaran, terutamanya bagi model kereta China, sebenarnya satu pertiga lebih rendah dari segi kos pengeluaran selain mempunyai ciri-ciri canggih,” katanya.

    Menurutnya, Proton akan mempunyai masa depan yang sangat baik sekiranya ia boleh menyerap sebahagian daripada teknik pengeluaran ini dan kemajuan teknologi untuk mengurangkan kos mereka dan menawarkan insentif kos efektif.

    “Dengan semua ciri-ciri menarik ini, kita mahu melihat Proton kembali meraih kegemilangannya termasuk meningkatkan permintaan daripada kelas pertengahan dan menggunakan Malaysia sebagai pangkalan untuk menembusi pasaran ASEAN,” kata Dr Yeah.

     
     
  • United Kingdom mahu mempercepatkan larangan kereta petrol dan diesel baharu dijual menjelang 2030

    United Kingdom mahu mempercepatkan larangan kereta petrol dan diesel baharu dijual menjelang 2030

    Tahun lalu, United Kingdom mengumumkan perancangan untuk melarang penjualan kenderana janaan petrol dan diesel menjelang tahun 2040. Namun kini, ia mahu mempercepatkan larangan tersebut. Menurut Reuters, datuk bandar London Sadiq Khan dan beberapa ketua bandar yang lain mahu kerajaan untuk mengimplementasikan larangan tersebut menjelang tahun 2030.

    “Larangan menjual kenderaan baharu janaan petrol dan diesel menjelang 2030, adalah untuk sokongan terhadap Zon Udara Bersih di beberapa bandar dan memperkenalkan skim pembaharuan kenderaan nasional akan meningkatkan kualiti udara dan kesihatan kita secara dramatik,” kata Khan.

    Buat masa ini, perincian bagi larangan tersebut masih belum didedahkan lagi, tetapi kerajaan dijangka akan menyalurkan lebih banyak informasi mengenai perancangan “Road to Zero” tidak lama lagi. Ini termasuk sejauh mana pengharaman tersebut dan sama ada ia melibatkan kenderaan hibrid, yang mempunyai enjin elektrik dan pembakaran.

    Britain merupakan salah satu daripada kebanyakan negara yang menyokong langkah ini, dengan antaranya sudah mula menghentikan jualan kenderaan janaan bahan api, termasuk diesel. Malahan sesetengah pengeluar kereta juga telah mengurangkan atau menghentikan pembangunan untuk enjin diesel.

     
     
  • SPYSHOT: Mercedes-AMG GT R facelift sedang diuji

    SPYSHOT: Mercedes-AMG GT R facelift sedang diuji

    Mercedes-AMG GT R mula didedahkan sejak dua tahun yang lalu, dengan enjin 4.0 liter turbo-berkembar V8 dengan pek kuasa 577 hp dan tork 699 Nm. Ia susulan daripada peningkatan tahun 2017, GT dan GT S telah ditambahbaik daripada segi gaya dan teknologinya.

    Kali ini, jurufoto risikan kami berjaya merakamkan model prototaip yang sedang diuji di Nürburgring, dengan rekaan semula yang bersifat sederhana bagi bampar hadapan dengan lip yang lebih besar. Walau pun elemen baharu ditutupi, namun menariknya pada seksyen belakang bagi GT R ini tiada perubahan, buat masa ini.

    Bagi prestasinya, model GT R facelift ini masih belum terdedah lagi sebarang perubahan bagi kuasanya. Walau bagaimana pun, dengan kuasa sedia ada, AMG GT R ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 3.6 saat dengan kelajuan tertinggi 318 km/j.

    Enjinnya pula dipadankan dengan transmisi dwi-klac transaxle tujuh-kelajuan AMG Speedshift DCT, yang menerima nisbah gear pertama yang lebih panjang dan gear ketujuh yang lebih pendek. Pacuan disalurkan ke roda belakang.

    Di Malaysia, Mercedes-AMG GT R C190 berharga dari RM1.7 juta, dan menyertai GT S yang ditawarkan dengan dua model.

    GALERI: Mercedes-AMG GT R di Malaysia

     
     
  • Honda HR-V facelift dilancar di Thailand – ada versi RS dengan AEB, LaneWatch dan bumbung panoramik

    Honda HR-V <em>facelift</em> dilancar di Thailand – ada versi RS dengan AEB, LaneWatch dan bumbung panoramik

    Honda HR-V facelift telah pun ditunjukkan di Thailand, dan ia akan mula berada di pusat pameran bermula 8 Julai nanti. SUV segmen B yang diberikan pembaharuan ini telah pun dilancar di Jepun Februari yang lalu, dan ia juga sudah dilihat diuji di Malaysia.

    Tiada perubahan besar pada model facelift ini, dan ia masih lagi kelihatan dalam sekali imbas. Perubahan paling besar adalah pada bahagian depan, di mana logo Honda padanya kini terletak pada satu panel plastik yang tebal. Varian yang paling tinggi mendapat lampu utama LED baru yang mempunyai penggayaan seperti lampu pada Civic, dan bukaan udara di bawah grilnya adalah lebih lebar. Bampar juga diberikan sedikit perubahan dan lampu kabus kini menggunakan jalur LED.

    Pada bahagian lain, terdapat jalur krom nipis yang menghubungkan lampu belakangnya, yang kini juga mempunyai dua jalur LED bagi model Thailand ini. Pasaran negara jiran kita ini juga mendapat satu trim RS baru, yang terletak paling tinggi dan dilengkapi dengan rim 17 inci. Rim pada trim E dan EL adalah unit 17 inci yang kita sudah biasa lihat.

    Jika dibandingkan dengan EL pertengahan dengan kemasan yang sama warna dengan badan, trim RS ini menggunakan kemasan warna hitam berkilat pada bahagian bawah kenderaan serta pelindung cermin sisi. Warna Passion Red Pearl yang anda lihat ini adalah baru, dan eksklusif untuk RS. Begitu juga dengan beberapa kelengkapan lain seperti bumbung panoramik dan City Brake Active System (CTBA), iaitu sistem yang membolehkan pengaktifan brek kecemasan secara sendiri pada kelajuan antara 5 hingga 30 km/j.

    Honda LaneWatch, iaitu paparan kamera yang terpapar apabila penunjuk arah bahagian penumpang diaktifkan, juga boleh didapati bagi varian EL dan RS, bersama beg udara bidai yang menjadikan jumlah keseluruhannya enam beg udara (pada varian E cuma ada empat). Dua varian teratas ini juga mendapat skrin sesentuh tujuh inci dan fungsi Walk Away Auto Lock.

    Untuk penjana kuasanya, tiada perubahan diberi, bermakna ia masih menggunakan enjin 1.8 liter SOHC i-VTEC yang berkemampuan 141 hp/ 172 Nm yang dipadankan bersama transmisi automatik CVT dengan pedal penukar gear di stereng. Harga HR-V facelift ini di Thailand adalah bermula daripada 949,000 baht (RM116,052) untuk model E dan meningkat sehingga 1.059 juta baht (RM129,504) untuk EL. Varian RS pula berharga 1.119 juta baht (RM136,859).


    GALERI: Honda HR-V Mugen semasa

     
     
  • Siri video #SafetyStartsWithYou BMW gunakan kanak-kanak beri peringatan tentang pemanduan selamat

    Sebagai sebahagian daripada program tahunan BMW Safety 360º, BMW Group Malaysia telah menyiarkan satu siri video #SafetyStartsWithYou, yang dihasilkan oleh pengarah filem pendek yang terpilih sebagai finalis BMW Shorties iaitu Mallory Lee.

    Siri video ini menampilkan kanak-kanak berusia antara empat hingga sembilan tahun, dan memberikan peringatan kepada orang dewasa tentang keselamatan atas jalan raya, dengan memberi tumpuan kepada topik termasuk tali pinggang keledar, tempat duduk kanak-kanak, lampu penunjuk arah, mematuhi lampu isyarat dan had kelajuan, serta jangan menggunakan telefon waktu memandu.

    “Keselamatan jalan raya dan tanggungjawab atas jalan sepatutnya didekati secara menyeluruh, melalui teknologi, tingkah laku dan tindakan. Sementara kami sebagai pengeluar kendeaan premium sentiasa mereka dan memperkenalkan teknologi keselamatan baru untuk semua pengguna jalan raya, kami juga perlu mengingatkan bahawa keselamatan bermula dari anda sendiri,” kata pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl.

    “Melalui siri video ini, kami berharap ibu bapa dan orang dewasa secara amnya dapat melihat, jika anak-anak kita boleh faham peraturan asas jalan raya, tanda jalan serta tingkah laku pemanduan selamat, kita sebagai orang dewasa juga sepatutnya menunjukkan tauladan melalui tindakan yang sepatutnya,” tambah beliau.

    Menurut statistik, pada tahun 2016, 7,152 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Malaysia, dan 80.6% daripadanya disebabkan oleh kesilapan manusia. Menurut menteri pengangkutan, Anthony Loke, pada tahun 2017, 6,740 kematian jalan raya dicatat. Walaupun jumlah kematian menurun sedikit, jumlah kemalangan masih lagi meningkat, iaitu sebanyak 2.4% menjadi 533,875.

    Harald turut menambah bahawa satu laporan daripada WHO pada 2013 telah meletakkan Malaysia di tempat ketiga sebagai negara yang paling banyak mencatat kematian berkaitan dengan jalan raya di serata dunia.

     
     
  • Proton jangka harga kereta naik bila SST dikembalikan

    Proton jangka harga kereta naik bila SST dikembalikan

    Pembeli kereta buat masa ini menikmati kadar 0% bagi cukai barang dan perkhidmatan (GST), sekaligus membuatkan harga kereta menjadi lebih rendah berbanding sebelum ini. Walau bagaimana pun, ramai yang tertanya-tanya apa akan jadi pada harga kereta apabila cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kembali dilaksanakan mulai 1 September ini, dan jika perlu mereka membuat pembelian sekarang.

    Menurut Proton, kini merupakan masa yang terbaik untuk pengguna membeli kereta baharu, sebelum SST kembali diimplementasikan. Seperti yang disebut oleh presiden Persatuan Automotif Malaysia Datuk Aishah Ahmad (dan beberapa sumber lain), Proton percaya harga kereta akan meningkat selepas SST kembali dilaksanakan.

    Pada Mei tahun ini, menteri kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kadar SST sepatutnya ditetapkan pada 10%, iaitu kadar yang sama sebelum ia digantikan dengan GST pada April 2015. Kemudian, MMA berkata dijangkakan kerajaan akan menetapkan SST lebih rendah berbanding GST (6%) untuk menurunkan harga kereta bagi promosi pembelian.

    Bagi pasaran kereta terpakai, Proton berpendapat, oleh kerana persaingan yang sengit, penjual secara umumnya menyerap nilai GST. Oleh itu, harga ditawarkan tidak akan terjejas dengan GST yang berkadar sifar. Bagi pengguna yang ingin berjimat, mereka mungkin akan lebih tertarik dengan pasaran kereta terpakai kerana perbandingan kos disangka lebih murah dan praktikal.

    Walau bagaimanapun, proses membeli kereta terpakai adalah sedikit lebih rumit berbanding dengan pengalaman membeli kereta baharu kerana kelulusan pinjaman mungkin lebih mudah untuk diperoleh dan kadar faedahnya lebih rendah disebabkan risiko yang lebih rendah berbanding dengan kereta terpakai. Dengan ini, jumlah pinjaman yang diluluskan menjadi lebih tinggi amaunnya.

     
     
  • Ops Selamat 13/2018: Kemalangan jalan raya di Selangor meningkat – 3,787 kes dalam sembilan hari

    Ops Selamat 13/2018: Kemalangan jalan raya di Selangor meningkat – 3,787 kes dalam sembilan hari

    Sepanjang sembilan hari Ops Selamat 13/2018 dilaksanakan di Selangor, sebanyak 3,787 kes kemalangan jalan raya dicatatkan di negeri itu (rekod sehingga semalam), iaitu menunjukkan peningkatan sebanyak 185 kes berbanding sehari sebelumnya.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, daripada jumlah itu, 29 kes adalah membabitkan kemalangan maut dengan 30 kematian, laporan Sinar Harian.

    Katanya, daripada jumlah itu, seramai 16 orang penunggang motosikal maut, kereta (8 orang), lori (2 orang) dan teksi serta pembonceng motosikal masing-masing dengan seorang dan tiga orang sekaligus menjadikan jumlah seramai 30 orang yang maut.

    “Berdasarkan pecahan mengikut daerah, Klang Utara menyaksikan tiga kematian, Sabak Bernam (3 kematian), Ampang Jaya (5 kematian), Gombak (4 kematian), Kuala Selangor (4 kematian), Kuala Langat (3 kematian) dan Kajang dua kematian. Manakala Hulu Selangor pula satu kematian, Klang Selatan (2 kematian), Shah Alam (2 kematian) dan Sepang (1 kematian),” katanya.

    Beliau turut berkata, JSPT Selangor juga turut mengeluarkan 30,815 keping saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas sejak Ops Selamat 13/2018 ini dilaksanakan pada 8 Jun lalu.

     
     
  • Toyota akui ‘kereta super sport’ dibangunkan dengan teknologi Le Mans, tunjuk GR Super Sport Concept

    Toyota akui ‘kereta super sport’ dibangunkan dengan teknologi Le Mans, tunjuk GR Super Sport Concept

    Pemenang 24 Hours of Le Mans 2018, Toyota telah mempamerkan GR Super Concept di Circuit de la Sarthe sebelum perlumbaan bermula, termasuk mengesahkan bahawa “pembangunan bagi generasi akan datang kereta super sport Toyota telah bermula.” Ya, ia bukan setakat Supra baharu, tetapi kereta super sport yang diposisikan di atas kereta sport.

    Toyota berkata hypercar yang akan datang ini akan menggunakan teknologi elektrik hibrid dan “teknologi penjimatan bahan api” menerusi penglibatan ke-enam tahun mereka dalam FIA World Endurance Championship (WEC).

    Pertama kali didedahkan di Tokyo Auto Salon 2018 pada Januari lalu, GR Super Sport Concept dijanakan oleh enjin 2.4 liter turbo-berkembar V6 dan Toyota Hybrid System-Racing (THS-R), yang mampu menghamburkan gabungan kuasa sehingga 1,000 hp, berkongsi dengan jentera lumba TS050 Hybrid LMP1.

    “Bertanding di WEC, salah satu siri permotoran yang cukup menguja dan berlumba di Le Mans – salah satu perlumbaan yang paling ikonik – membantu kami untuk membangunkan teknologi elektrik hibrid bertaraf dunia dan membolehkan kami memindahkan pengetahuan kami ke model produksi,” ujar Shigeki Tomoyama, presiden bagi Gazoo Racing.

    Sambungnya lagi, “Industri automotif yang mengalami banyak perubahan ini, kami akan teruskan minat kami untuk mengeluarkan kereta yang benar-benar menarik. Tidak kiralah bagaimana teknologi elektronik dan digital akan terus transformasikan kenderaan, kami akan pastikan yang kereta buatan kami tidak akan menjadi satu lagi komoditi”.

    “Kami mulakan projek ini kerana kami percaya dengan mencipta kereta super sport, daya tarikan seperti TSo50 Hybrid akan menambah penglibatan Toyota dalam WEC. Dalam masa yang sama, pada masa hadapan, pelanggan akan lebih berpeluang untuk merasai pengalaman menggunakan jentera ini, selain menikmati prestasi pemanduan yang lebih jitu,” terang Tomoyama lagi.

    Bos GR juga berkata pada Januari lalu, jika e-Palette concept dari CES 2018 menjadi platform akan datang, maka GR Super Sport Concept mungkin menjadi jentera lumpa akan datang.

    “Ini fakta yang tidak boleh diubah kerana ramai yang inginkan kenderaan yang menarik. Perasaan untuk memiliki jentera sebegini memang cukup mengujakan,” ujar Tomoyama lagi.

    Tidak seperti hypercar lain, jentera ini memang patut diketengahkan dalam perlumbaan Le Mans. Apa komen anda mengenainya?

     
     
  • BMW 8 Series – coupe sports terbaharu diperkenalkan

    BMW 8 Series – coupe sports terbaharu diperkenalkan

    Model baru BMW 8 Series sudah mula dibangunkan agak lama, dan berita berkenaannya mula diketahui pada tahun 2016. Setahun lepas itu, BMW mengesahkan kewujudannya dengan menunjukkan model 8 Series Concept. Ia kemudiannya diikuti kereta lumba M8 GTE dan M8 Gran Coupe Concept yang lebih agresif.

    Kini model produksi sebenar sudah pun siap, dan ia akan menggantikan barisan 6 Series Coupe, seterusnya melengkapi model 7 Series. Sudah tentu, rekaan agresifnya dikurangkan sedikit untuk model produksi, tetapi masih ada ciri menarik daripada model konsep yang diguna seperti lampu utamanya – lampu paling nipis pernah diguna untuk kenderaan BMW, dan boleh didapati dalam jenis LED biasa atau Laserlight adaptif dengan Selective Beam (pilihan tambahan).

    Bonet yang panjang dan bumbung gelembung yang rendah memberikan penampilan seperti kereta sports klasik, dan di tepi pintu terdapat lengkungan yang masuk ke dalam. Di belakang, anda boleh melihat lampu LED penuh, spoiler serta muncung ekzos bentuk trapezoid. Pemilik juga boleh memilih pakej M Sport yang menambah spoiler hadapan dengan bukaan udara lebih besar, side skirt serta diffuser yang lebih agresif.

    Buat pertama kali juga, anda boleh memilih pakej M Technic yang kemasan Shadow Line dan tambahan spoiler atas but. Pakej Carbon pula menyediakan bumbung gentian karbon (pertama kali bagi model bukan M), dan beberapa bahagian lain yang juga dibuat daripada gentian karbon seperti diffuser dan spoiler.

    BMW 8 Series – coupe sports terbaharu diperkenalkan

    Bahagian dalam pula melihatkan rekaan yang berbeza berbanding model terkini BMW yang lain. Konsol tengahnya direka memanjang ke bawah dan lebih condong ke arah pemandu. Corong pendingin hawa pula mempunyai kemasan krom yang mana garisannya bersambung dengan pembesar suara serta pemegang di tepi pintu. Ia datang dalam keadaan standard dengan balutan kulit serta Vernasca untuk tempat duduk.

    Tempat duduk sports juga datang secara standard dan ia menampilkan penyandar kepala yang dibina sekali dengan penyandar badan, pelaras kuasa elektronik serta fungsi memori untuk pemandu dan juga penumpang hadapan. Jika itu tidak mencukupi, pelanggan boleh menambah tempat duduk pelbagai fungsi, bersama balutan kulit Merino atau BMW Individual.

    Di antara tempat duduk tersebut terdapat sekumpulan butang pengawal yang termasuk butang pemula enjin, iDrive, suis Driving Experience Control dan tombol gear. Butang pengawal ini boleh didapati dengan jenis yang dibuat daripada kaca, dengan tombol gear yang mempunyai simbol ‘8’ bercahaya.

    Pilihan lain termasuk liang udara pada tempat duduk yang direka semula, BMW Display Key dengan skrin sesentuh, pengecas telefon Qi tanpa wayar dan lampu dalam kenderaan dinamik yang melengkapi lampu biasa. Terdapat juga pilihan sama ada sistem bunyi Harman Kardon 16 pembesar suara atau Bowers & Wilkins Diamond Surround 1,375-watt untuk menggantikan sistem 11 pembesar suara asal.

    BMW 8 Series – coupe sports terbaharu diperkenalkan

    Untuk sistem infotainmen, 8 Series datang secara terus dengan sistem navigasi Professional, menampilkan skrin sesentuh 10.25 inci di tengah, pengawal sesentuh dan BMW Operating System 7.0. Paparan instrumen BMW Live Cockpit Professional 12.3 inci juga datang secara standard bersama paparan baru yang termasuk peta navigasi.

    Di sebalik badannya, terdapat kerangka modular Cluster Architecture (CLAR) BMW yang dibina daripada gabungan besi, aluminium, magnesium dan gentian karbon, seperti 7 Series. Untuk suspensi, terdapat double wishbone di hadapan dan five-link di belakang, dengan kinematik dan elastokinematik unik yang memberikan tambahan ketangkasan, ketepatan dan prestasi. Suspensi Adaptive M serta Integral Active Steering dipasang secara standard.

    Semasa pelancaran, terdapat dua varian yang ditawarkan, bermula dengan 840d xDrive diesel pacuan semua roda yang dikuasakan oleh enjin enam silinder twin-turbo 3.0 liter berkemampuan 320 hp pada 4,400 rpm dan 680 Nm pada antara 1,780 hingga 2,250 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuan dan mampu memberikan catatan prestasi seperti 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat dan penggunaan bahan api antara 5.9 hingga 6.2 liter bagi setiap 100 km.

    Satu lagi pilihan adalah M850i xDrive. Varian ini dikuasakan oleh enjin M550i 4.4 liter V8 petrol biturbo yang dinaik taraf untuk memberi kuasa 530 hp antara 5,500 hingga 6,00 rpm dan 750 Nm tork pada antara 1,800 hingga 4,600 rpm. Enjin ini mampu menghasilkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat dan menggunakan bahan api antara 10.0 hingga 10.5 liter bagi setiap 100 km.

    BMW 8 Series – coupe sports terbaharu diperkenalkan

    Perbezaan lain antara dua varian ini adalah M850i xDrive turut dilengkapi pakej M Sport, bersama tambahan splitter hadapan, spoiler atas but serta kemasan Cerium Grey. Varian atas ini juga mendapat tempat duduk pelbagai fungsi, stereng M Sports, sistem pacuan semua roda yang lebih kepada roda belakang, differential belakang kawalan elektronik, brek M Sport lebih besar serta anti-roll bar sebagai pilihan tambahan.

    Model 8 Series ini juga ditawarkan dengan kelengkapan bantuan pemandu penuh, di mana dengan pakej tambahan Driving Assistant Professional, ia akan mendapat Adaptive Cruise Control dengan sistem Stop and Go, sistem pemanduan semi-autonomous dengan adanya steering and lane control assist dan Lane Keeping Assistant dengan perlindungan perlanggaran tepi.

    Ciri lain yang terdapat dalam pakej Driving Assistant Professional ini adalah termasuk pengesan termasuk untuk pejalan kaki, amaran perlanggaran belakang, amaran laluan bertentangan dan amaran trafik melintas yang termasuk pengaktifan brek.

    Ciri biasa BMW Connected ditawarkan bersama Open Mobility Cloud, yang membolehkan pengguna mengakses ciri daripada peranti elektronik seperti iPhone dan Apple Watch, telefon pintar serta jam Android, Amazon Alexa serta Google Home.

     
     
  • Tiada dana awam untuk kereta nasional baharu – Lim

    Tiada dana awam untuk kereta nasional baharu – Lim

    Selepas mendedahkan rancangan Kerajaan Malaysia pimpinan Tun Mahathir Mohamad mengenai projek kereta nasional baharu, pelbagai reaksi di sekeliling timbul.

    Baru-baru ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Malaysia tidak mempunyai dana awam yang diperlukan untuk memulakan projek tersebut, laporan MalaysiaKini.

    Menerusi perbualan dengan Channel NewsAsia, Liom berkata perkara tersebut telah pun dijelaskan kepada Perdana Menteri bahawa projek tersebut disokong oleh sektor swasta (jika ingin merealisasikannya).

    “Jika ada pihak swasta yang mahu melakukannya di Malaysia dengan menggunakan wang mereka sendiri, saya fikir ia adalah sesuatu yang patut kita kaji, tetapi bukan menggunakan dana awam,” kata Lim.

    Dalam kenyataan Tun Mahathir mengenai hasratnya itu, Perdana Menteri turut berkata, “Kita juga akan bekerjasama dengan negara lain Asia Tenggara seperti Thailand, Jepun atau Korea, kerana mereka mempunyai keupayaan untuk menghasilkan kereta berkualiti yang boleh dijual di pasaran dunia. Malah kami juga mahu capaian (untuk menjual kenderaan) ke pasaran dunia.”

     
     
  • MotoGP: Hafizh Syahrin jatuh highside di Barcelona

    MotoGP: Hafizh Syahrin jatuh <em>highside</em> di Barcelona

    Ketika keadaan nampak seperti meyakinkan Hafizh Syahrin akan mengutip lebih banyak mata dalam perlumbaan MotoGP pusingan di Barcelona, Sepanyol, beliau telah terjatuh highside apabila hanya tinggal lagi beberapa pusingan saja lagi. Semasa itu, beliau sudah berada di tempat kesembilan.

    Sejak dari awal pusinngan latihan lagi, Hafizh menunjukkan prestasi yang baik di Barcelona dan beliau hampir memasuki pusingan kelayakan Q2, tetapi akhirnya sekadar berpuas hati dengan petak permulaan ke-14. Waktu perlumbaan berlangsung, beberapa penunggang di hadapan beliau ada yang terjatuh, namun Hafizh juga ada memotong sendiri beberapa pelumba sehinggalah berada di tempat kesembilan.

    Walaubagaimanapun, apabila perlumbaan hanya tinggal lagi empat pusingan, Hafizh telah terjatuh secara highside, dan menurut satu kenyataan di laman Monster Yamaha Tech3 Racing, beliau menyatakan, “saya rasa bagus semasa perlumbaan, tetapi telah melakukan satu kesilapan dan terkeluar dari garis lumba. Apabila mahu membawa semula motosikal ke laluan yang betul, saya telah terkena highside.”

    MotoGP: Hafizh Syahrin jatuh <em>highside</em> di Barcelona

    Walaupun kelihatan jatuh terpelanting, Hafizh cuba bangun semula untuk meneruskan perlumbaan, tetapi motosikal beliau didapati tidak selamat untuk digunakan semula. Beliau akhirnya tidak dapat menamatkan perlumbaan bersama 11 lagi pelumba lain.

    Selesai perlumbaan di Barcelona, Hafizh mencatat kedudukan keseluruhan tempat ke-17, dengan jumlah mata yang dikumpul juga 17 mata. Kejuaraan MotoGP masih lagi berbaki 12 pusingan, dan perlumbaan seterusnya akan berlangsung di Litar TT Assen, Belanda 1 Julai nanti.

     
     
  • PLUS umum lanjutan diskaun 50% sehingga 4 pagi pada 15 Jun di lebuhraya kendaliannya termasuk LPT2

    PLUS umum lanjutan diskaun 50% sehingga 4 pagi pada 15 Jun di lebuhraya kendaliannya termasuk LPT2

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan bagi memastikan para pengguna rangkaian lebuhraya kendaliannya termasuk LPT2 dapat pulang berhari raya Aidilfitri dengan selamat, tempoh penawaran diskaun tol 50% dilanjutkan sehingga jam 4 pagi pada 15 Jun (Jumaat).

    Lanjutan tempoh penawaran diskaun tol 50% tersebut merangkumi semua transaksi tol (kecuali kenderaan Kelas 2 dan 3) di semua rangkaian lebuh raya kendalian PLUS termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2). Namun begitu, ia tidak melibatkan transaksi tol di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Tanjung Kupang dan Bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor.

    PLUS menghargai sokongan berterusan para pengguna terhadap perkhidmatan rangkaian lebuh rayanya dan ingin menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri mereka. Dalam masa yang sama, PLUS juga menasihatkan supaya orang ramai memandu secara berhemah dan sentiasa mematuhi had laju serta arahan pihak berkuasa

     
     
  • McLaren tunjuk model baharu menjelang Goodwood

    McLaren tunjuk model baharu menjelang Goodwood

    Untuk Goodwood Festival of Speed tahun ini, McLaren bakal mendedahkan edisi baharu bagi barisan modelnya, yang telah ditunjukkan menerusi imej teaser ini. Menurut pengeluar kereta Britain ini, jentera yang tidak didedahkan namanya bakal menjadi model baharu ke-lima yang diumumkan di bawah pelan perniagaan Track22.

    Berdasarkan imej ini, model tersebut muncul sebagai versi hardcore bagi 570S dengan banyak elemen gentian karbon termasuk ekzosnya. Ia akan mengeluarkan gas yang dihasilkan oleh enjin kereta ini, di mana satu lagi misteri bakal dirungkaikan.

    McLaren tunjuk model baharu menjelang Goodwood

    McLaren berkata model baharu ini “menerima kelebihan daripada peningkatan kuasa, berat yang diminima, aerodinamik lebih optimum dan pengendalian pemanduan yang dipertingkatkan.” Tambahnya lagi, ia hanya dikeluarkan dalam unit terhad, seperti Senna.

    Berdasarkan informasi, model baharu ini tidak menggunakan nama 570, seperti 570S, 570S Spider dan 570GT. Ini kerana anggaran bagi kuasa yang dihasilkan oleh enjinnya adalah lebih banyak, menurut McLaren. Semuanya akan didedahkan pada hujung Jun ini kerana ia akan diperkenalkan dalam acara Goodwood Festival of Speed.

     
     
  • Kementerian Pengangkutan tidak tolak kemungkinan untuk perhalus cadangan skim lupus kenderaan lama

    Kementerian Pengangkutan tidak tolak kemungkinan untuk perhalus cadangan skim lupus kenderaan lama

    Kementerian Pengangkutan tidak menolak kemungkinan untuk pertimbang memperkenalkan semula program pelupusan kenderaan bagi mengurangkan jumlah kenderaan lama dari atas jalan di negara, lapor The Edge.

    Ini bukanlah kali pertama program seperti ini dicadangkan; di mana mereka yang ingin melupuskan kereta lama diberikan pampasan atau rebat bagi membolehkan mereka membeli kereta baru. “Masih belum ada keputusan diambil berkaitan perkara ini, tetapi saya telah diberi taklimat oleh pegawai bahawa memang ada beberapa cadangan ke arah ini,” jelas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

    Sebelum ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) pernah mengusulkan cadangan dasar hujung hayat kenderaan, sebuah skim pelupusan kenderaan dengan pampasan/rebat. Di bawah cadangan ini, pemilik yang kenderaan mereka sudah berusia lebih 10 tahun akan diberi rebat sehingga RM5,000 untuk mereka “trade-in” kenderaan terbabit dengan yang baru dari jenama pengeluar tempatan.

    Kementerian Pengangkutan tidak tolak kemungkinan untuk perhalus cadangan skim lupus kenderaan lama

    April tahun ini, Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia (Peda) menggesa kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan dasar berkenaan. Ia sepatutnya dicadang untuk dilaksanakan awalnya pada tahun 2014, tetapi tidak menjadi kenyataan disebabkan maklum balas kurang memberangsangkan dari orang awam.

    Dalam cadangan awalnya ketika itu, dasar berkenaan memerlukan pemilik yang kenderaan mereka telah berusia 15 tahun ke atas untuk dibawa untuk pemeriksaan wajib sebagai satu keperluan untuk memperbaharui cukai jalan. Gagal lulus dalam pemeriksaan ini, kenderaan terlibat perlu dibaik pulih sehingga lulus.

    Adakah anda menyokong pelaksanaan skim atau dasar seumpama ini? Apakan pilihan yang lebih baik menurut anda? Kongsikan pendapat anda dengan kami.

     
     
  • Suzuki Jimny generasi baharu terdedah sepenuhnya

    Suzuki Jimny generasi baharu terdedah sepenuhnya

    Suzuki Jimny generasi baru hanya akan didedahkan 5 Julai nanti, tapi di internet, gambarnya sudah mula tersebar, dimuat naik oleh Creative311. Daripada gambar ini juga, ia boleh dilihat menggunakan gaya retro seperti model generasi awal terdahulu.

    Walaupun mempunyai bentuk kotak, Jimny baru ini masih membawa beberapa tanda rekaan daripada model generasi ketiga (JB). Sebagai contoh, lampu hadapannya yang berbentuk bulat terletak sekali di dalam gril dengan lima jalur, dan lampu kabusnya diletakkan hujung, di bucu bampar.

    Pada bahagian lain, kereta ini boleh dikatakan agak berbeza, dengan adanya lengkuk roda yang lebih tegap, rangka tingkap yang lebih tajam dan bonet yang lebih tinggi. Pintu ruang simpanan belakang juga nampak lebih praktikal kerana boleh dibuka lebih luas, manakala lampu belakang pula diletakkan rendah.

    Bahagian dalam juga diubah untuk model baru ini, melihatkan penggunaan skrin infotainmen yang diletakkan di tengah papan pemuka. Ini memerlukan corong pendingin hawa diletakkan lebih rendah, diikuti tombol pengawal suhu. Roda stereng dan panel instrumen nampak seperti diambil daripada Swift, tetapi mempunyai sedikit kelainan.

    Dalam satu gambar risalah yang lain, Jimny juga nampak seperti akan ditawarkan dalam varian Sierra, yang dijangka akan menampilkan penggayaan lebih kepada offroad. Melihat kepada gambar kualiti rendah itu, antara peningkatan yang diberi pada varian ini adalah termasuk kit badan dan kemasan tambahan di dalam.

    Risalah yang bocor ini juga mengesahkan Jimny baru akan dibina atas kerangka ladder-on-frame dan mempunyai sistem pacuan empat roda. Pilihan enjin pula berkemungkinan termasuk tiga silinder Boosterjet turbo 1.0 liter dan Dualjet empat silinder 1.2 liter.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025