Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda, Mitsubishi Corp jalin kerjasama untuk pengurusan hayat bateri, pengecasan pintar, V2G EV

    Honda, Mitsubishi Corp jalin kerjasama untuk pengurusan hayat bateri, pengecasan pintar, V2G EV
    Honda, Mitsubishi Corp jalin kerjasama untuk pengurusan hayat bateri, pengecasan pintar, V2G EV

    Honda dan Mitsubishi Corporation (MC) telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) untuk memulakan perbincangan ke arah penciptaan perusahaan baru dalam sektor kenderaan elektrik (EV) dan bateri. Dua syarikat ini mahu memanfaatkan kelebihan masing-masing untuk membina satu model perniagaan mapan dalam pasaran EV yang semakin berkembang.

    Mahu dinyatakan di sini bahawa Mitsubishi Corporation yang dimaksudkan ini adalah sebuah syarikat konglomerat Jepun, dan bukannya Mitsubishi Motors yang merupakan pengeluar kereta. MC terlibat dalam pelbagai bidang termasuk gas asli, sumber industri, bahan kimia, sumber mineral, infrastruktur industri, automotif dan mobiliti, makanan, industri pengguna, penyelesaian kuasa serta pembangunan bandar.

    Honda dan MC telah menggariskan bahagian yang akan dibangunkan bersama, dan pengurusan hayat bateri adalah salah satu daripadanya. Rancangan yang dibuat adalah untuk memaksimumkan nilai bateri yang akan dipasang pada model EV mini Honda, yang akan mula dilancarkan pada tahun hadapan di Jepun.

    Dengan sistem pemerhati bateri yang canggih, perniagaan baru ini akan menguruskan dan memaksimumkan nilai setiap bateri sepanjang hayatnya, menukarkannya daripada sumber penggerak EV kepada tempat simpanan tenaga tidak bergerak. Ini juga akan membantu mengurangkan harga EV, kata syarikat itu.

    Bahagian kedua adalah untuk urusan pengecasan pintar serta pengurusan tenaga vehicle-to-grid (V2G), yang akan membantu pengguna EV untuk mengoptimakan kos elektrik mereka dengan menawarkan akses kepada pengecasan pintar, servis V2G serta kuasa hijau/boleh diperbaharui, yang menggunakan teknologi kawalan maju untuk sistem pengurusan tenaga.

    Sistem pengecasan pintar secara automatik akan melaras masa pengecasan EV untuk mengelak tempoh beban puncak dan mengoptimakan penggunaan tenaga. Sementara itu bagi sistem V2G, EV bukan sahaja akan mengambil elektrik daripada grid, tetapi juga akan menyumbang kembali kepada grid untuk membantu keperluan elektrik kawasan setempat.

     
     
  • PMX dan PM Thailand sahkan Proton dan Geely sedang merancang bina kilang EV di Thailand

    PMX dan PM Thailand sahkan Proton dan Geely sedang merancang bina kilang EV di Thailand

    Perdana menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendedahkan bahawa Proton dan Geely telah menyatakan minat bagi membina fasiliti produksi kenderaan elektrik (EV) di Thailand. Walau bagaimanapun butiran rancangan tersebut masih lagi belum diperincikan oleh mana-mana pihak.

    Menerusi laporan Associated Press pula perdana menteri Thailand Srettha Thavisin berkata kedua-dua negara akan berbincang berkenaan perkara ini tidak lama lagi. Manakala dalam laporan Reuters dan Bangkok Post Srettha berkata kilang EV berkenaan akan dioperasikan oleh kerjasama antara kedua-dua jenama automotif itu.

    “Mereka (Proton dan Geely) ingin membina kilang EV di Thailand, dengan mesyuarat akan diadakan kemudian dan diharapkan, langkah seterusnya yang jelas dapat diwujudkan dan bergerak ke hadapan dengan cepat,” kata Srettha dalam sidang akhbar bersama semasa lawatan rasminya ke Malaysia semalam, 11 Oktober 2023.

    Buat masa sekarang Geely memegang sejumlah 49.9% kepentingan dalam Proton, dan 50.1% selebihnya adalah milik DRB-Hicom. Semalam kedua-dua entiti yang sama baru sahaja menandatangani Perjanjian Kerjasama Utama (MCA) untuk membangunkan Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim, Perak.

    Projek berimpak tinggi tersebut akan akan menarik pelaburan tempatan dan luar negara ke Tanjong Malim, yang akan memacunya menjadi hab automotif antarabangsa bagi kenderaan tenaga baharu (NEV, istilah yang digunakan China untuk kenderaan yang menerima teknologi elektrifikasi).

    Malah sebelum ini Anwar turut mengulang bahawa Geely akan membuat pelaburan berjumlah RM32 bilion bagi membolehkan Tanjong Malim menjadi hab produksinya bagi pasaran eksport.

    Berita berkenaan minat Proton dan Geely untuk membina kilang EV di Thailand ini agak mengejutkan kerana ia bertentangan apa yang dilaporkan media pada Ogos lalu. Ketika itu Geely dilaporkan membatalkan rancangan mereka bagi membina kilang EV di negara berkenaan.

     
     
  • Bas elektrik terlalu mahal untuk diperkenalkan – Loke

    Bas elektrik terlalu mahal untuk diperkenalkan – Loke

    Bas elektrik terlalu mahal untuk kerajaan perkenalkan, ujar Menteri Pengangkutan Anthony Loke, laporan BFM News. Di mana, katanya, kos untuk membeli bas EV adalah dua kali lebih banyak daripada membeli bas konvensional.

    “Jika boleh, kami mahu semua armada bas menjadi armada bas EV,” kata Loke di persidangan Dewan Rakyat semalam. Beliau turut menambah, cabaran selanjutnya ialah tiada tempat pengecasan yang mencukupi untuk memastikan bas elektrik digunakan sepenuhnya.

    Walau bagaimana pun, Kementerian Pengangkutan juga mengalu-alukan idea untuk mendapatkan lebih banyak bas elektrik mampu milik bagi kegunaan pengangkutan awam, kata Loke lagi. “Kami mengalu-alukan idea, sama seperti cara Sarawak memperkenalkan perkhidmatan bas berkuasa hidrogen pertamanya di bawah projek perintis bersama,” katanya.

    Dalam hal lain yang berkaitan dengan pengangkutan awam, beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan kumpulan yang boleh menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk penduduk di kawasan luar bandar yang mempunyai kadar bas yang rendah. Dalam pada masa yang sama, kementeriannya telah memperkenalkan Transit Responsif Permintaan untuk kawasan di mana orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan pengangkutan melalui aplikasi mudah alih, laporan The Star.

    Semalam juga, Menteri Perlaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menerusi laman Facebook rasminya berkata, kerajaan Malaysia menyasarkan 20% daripada permit kenderaan pengangkutan awam pada 2030 adalah untuk kenderaan EV yang merupakan sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

    NETR dilancarkan pada Ogos lalu, dan Malaysia menyasarkan dapat mengurangkan pelepasan karbon dan membina ekonomi berdaya tahan dan mesra alam, selaras dengan misi ketiga Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

     
     
  • Tiga Proton S50 pelbagai spesifikasi dilihat di uji ke Pulau Pinang; bakal dilancar bulan hadapan?

    Tiga Proton S50 pelbagai spesifikasi dilihat di uji ke Pulau Pinang; bakal dilancar bulan hadapan?

    Jika sebelum ini unit prototaip sedan baharu Proton hanya dilihat diuji sekitar lembah Klang, kali ini nampaknya ia bergerak lebih jauh – pembaca paultan.org, Joel Lee terserempak dengan tiga buah Proton S50 ini di Pulau Pinang.

    Apa yang menarik, Lee memberitahu bahawa dua dari unit prototaip berkenaan menggunakan lampu hadapan jenis reflektor LED, manakala sebuah lagi menggunakan lampu hadapan jenis projektor (tak dapat dipastikan projektor halogen atau LED).

    Ini menunjukkan S50 bakal ditawarkan dengan beberapa varian di mana julat harga dari model asas hingga spesifikasi penuh mungkin agak jauh. Malah sebelum ini unit prototaip berkenaan turut dilihat menampilkan dua jenis gril hadapan iaitu infinite weave seperti pada X50 dan X70 serta dengan gril pin krom diinspirasikan dari kain songket yang nampak lebih mewah seperti pada X90.

    Juga, terdapat unit prototaip S50 yang dilihat menampilkan kit badan lebih sporty dengan penambahan spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi lebih labuh, diffuser belakang lebih agresif dan spoiler ‘ekor itik’ pada but yang memberikan rupa keseluruhan lebih garang.

    Proton S50 ini juga dijangka bakal menampilkan kelengkapan mekanikal dan juga elektronik yang lebih baik dari model asasnya iaitu Geely Emgrand yang telah pun dijual di pasaran China dan Filipina.

    Berdasarkan kamera monokular pada bahagian atas cermin hadapan dan trade plate yang digunakan pada bahagian hadapan mempunyai lubang empat segi yang mungkin digunakan untuk menguji radar gelombang milimeter, S50 nampaknya akan menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang tidak ditawarkan pada Emgrand.

    Dengan kelengkapan-kelengkapan tersebut, berkemungkinan sistem ADAS pada S50 ini akan memberikan pemanduan autonomi Tahap 2 yang memberikan fungsi bukan sahaja brek kecemasan automatik, malah sistem cruise control adaptif dengan bantuan kekal/pengelak keluar lorong.

    Selain itu, S50 turut dijangka akan menampilkan unit rangkaian kuasa lebih baik iaitu enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh kelajuan seperti pada Proton X50, berbanding Emgrand di China yang hanya menerima enjin 1.5 liter NA dengan kotak gear CVT.

    Unit yang menggunakan gril infinite weave (kiri) dan gril pin krom songket (kanan)

    Ini kerana setakat ini Proton tidak membayangkan akan menggunakan enjin 1.5L NA dari Geely berkenaan untuk mana-mana model baharu, sebaliknya menyatakan enjin 1.5L Turbo yang kini sudahpun dipasang di Tanjung Malim akan menjadi enjin utama untuk model-model baharunya yang akan dilancarkan pada 2023 dan 2024.

    Enjin yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo serta dikenali dengan kod dalaman GEP3 tersebut akan menggantikan tugas enjin 1.6 liter Campro Turbo sebelum ini yang telahpun ditamatkan terus pembangunannya.

    Di Filipina, Emgrand merupakan sedan segmen-B yang bersaing dengan model seperti Honda City dan juga Toyota Vios. Namun menerusi petunjuk yang didedahkan oleh CEO Proton Dr Li Chunrong pada Mac lalu, Proton S50 bukanlah model sedan segmen-B yang akan menggantikan Proton Persona sedia ada kerana ia merupakan model serba baharu dan tidak akan menggantikan mana-mana model yang sedang dijual di bilik pameran Proton buat masa sekarang.

    Oleh itu S50 ini dijangka akan menjadi sedan Proton untuk bersaing dalam kelas segmen-C di Malaysia bagi berhadapan dengan Honda Civic dan Toyota Corolla, kerana ia mempunyai enjin yang cukup berkuasa dan juga sistem ADAS yang cukup canggih setaraf dengan saingannya.

    Unit yang dipadankan dengan kit badan lebih sporty

    Malah saiz Emgrand di China turut hadir dengan saiz yang agak besar berbanding saingan segmen-B, membolehkan ia masuk ke saingan segmen-C, menampilkan dimensi 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm.

    Jika dibandingkan dengan Honda Civic FE, Emgrand hanya hanya 40 mm lebih pendek, dan ia adalah 18 mm lebih lebar. Manakala jarak rodanya pula adalah sama sepenuhnya dengan sedan segmen-C Proton yang sudah tidak lagi ditawarkan iaitu Proton Preve.

    Kami juga menjangkakan S50 turut akan menampilkan harga seperti Preve iaitu harga seperti segmen-B tetapi dengan ciri seperti segmen-C. Preve sebelum ini dijual pada harga bermula RM59,990 sehingga RM72,990 ketika ia dilancarkan pada 2012, manakala Proton Persona dijual pada harga bermula RM47,800 untuk varian 1.6L Standard CVT hingga RM58,300 untuk varian tertinggi 1.6L Premium CVT.

    Dengan Proton X50 yang kini dijual pada harga RM86k hingga RM113k, boleh jadi S50 ini akan dijual bermula RM70k untuk varian paling asas. Memandangkan harga jualan sedan segmen-B seperti Toyota Vios dan Honda City untuk varian tertinggi kini menghampiri RM100k, tak mustahil varian tertinggi bagi Proton S50 ini juga akan dijual pada harga lebih kurang sama.

    Walau bagaimanapun, Proton masih lagi belum mengesahkan bahawa sedan ini benar-benar akan diberi nama sebagai S50. Apa pun tarikh pelancarannya sebenarnya sudah semakin hampir kerana Dr Li Chunrong telah mengesahkan pada September lalu bahawa sedan baharu ini akan dilancarkan pada November ini iaitu bulan hadapan.

     
     
  • RM816.22 juta bayaran pampasan kepada 19 konsesi lebuhraya di M’sia pada 2022 – turun 35.5% dari 2021

    RM816.22 juta bayaran pampasan kepada 19 konsesi lebuhraya di M’sia pada 2022 – turun 35.5% dari 2021

    Laporan Ketua Audit Negara 2022 turut mendedahkan mengenai subsidi pembayaran pampasan kepada pengendali lebuhraya. Menurut Ketua Audit Negara, sebanyak RM55.443 bilion dibelanjakan oleh kerajaan Malaysia pada tahun lalu, dengan RM861.22 juta untuk subsidi pampasan tol.

    Ia mewakili penurunan sebanyak RM474.94 juta atau 35.5% berbanding RM1.336 bilion yang direkodkan pada tahun 2021. Laporan tersebut turut menyebut, pampasan tersebut dibayar kepada 19 pengendali lebuhraya untuk pemberian diskaun tol serta menangguh kenaikan kadar tol.

    Pada Mei tahun ini, dilaporkan bahawa kerajaan mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh konsesi pengusaha lebuh raya bagi mengelakkan kadar tol meningkat. Di mana, dengan tempoh konsesi yang lebih lama, pengendali lebuh raya akan menurunkan kadar tol, walau bagaimana pun tiada sebarang kenyataan rasmi mengenainya setakat ini.

    RM816.22 juta bayaran pampasan kepada 19 konsesi lebuhraya di M’sia pada 2022 – turun 35.5% dari 2021

     
     
  • Kerajaan Malaysia telah membelanjakan RM45.184 bilion pada 2022 untuk subsidi RON95, diesel dan LPG

    Kerajaan Malaysia telah membelanjakan RM45.184 bilion pada 2022 untuk subsidi RON95, diesel dan LPG

    Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2022, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM55.443 bilion untuk subsidi pada tahun lalu, mewakili peningkatan sebanyak RM42.309 bilion atau 322.1% berbanding tahun 2021 yang hanya RM13.134 bilion telah dibelanjakan.

    Data dari laporan tersebut turut mendedahkan produk petroleum telah menggunakan bahagian paling besar dari subsidi berkenaan, melibatkan 81.5% atau RM45.184 bilion. Ketua Audit Negara berkata subsidi yang diperuntukkan untuk produk petroleum melibatkan petrol RON 95, diesel dan Liquefied Petroleum Gas (LPG) yang dibekalkan oleh 15 syarikat dari Disember 2021 hingga Oktober 2022.

    Subsidi berkenaan dibayar berdasarkan perbezaan harga jualan yang ditetapkan oleh kerajaan dan harga pasaran sebenar. Ia menambah bahawa pada 2022, harga purata setong petroleum di pasaran global meningkat kepada USD100 berbanding USD71 pada 2021. Walaupun begitu, harga runcit produk ini yang ditetapkan kerajaan kekal tidak berubah sejak 2021.

    Kerajaan Malaysia telah membelanjakan RM45.184 bilion pada 2022 untuk subsidi RON95, diesel dan LPG

    Merujuk pada jadual 2.16 di dalam laporan tersebut, jumlah subsidi bagi RON 95 mencecah
    RM23.075 bilion pada tahun 2022, di mana ia melebihi 415.3% berbanding 2021. Subsidi bagi diesel juga direkodkan dengan peratusan tertinggi, meningkat sebanyak 543.5% kepada RM18.667 bilion, sementara LPG pula melonjak sehingga 29.7% kepada RM3.44 bilion.

    Sementara itu, defisit fiskal Malaysia bagi 2022 direkodkan pada RM99.482 bilion, atau 5.6% daripada KDNK. Sebagai perbandingan, jumlah defisit pada 2021 ialah RM98.74 bilion, atau 6.4% daripada KDNK.

     
     
  • DRB-Hicom & Geely tetapkan rangka kerja, komitmen bersama untuk Automotive Hi-Tech Valley Tg. Malim

    DRB-Hicom & Geely tetapkan rangka kerja, komitmen bersama untuk Automotive Hi-Tech Valley Tg. Malim

    DRB-Hicom dan Zhejiang Geely Holding Group telah pun menandatangani Perjanjian Kerjasama Utama (MCA) yang akan menetapkan prinsipal asas, rangka kerja tadbir urus dan juga komitmen bersama termasuk peranan-peranan spesifik yang akan diambil untuk pembangunan dan inisiatif promosi bagi projek Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim, Perak.

    MCA tersebut ditandatangani semalam di Proton Tanjong Malim dan ia disaksikan oleh perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Awal tahun ini kedua-dua pihak telah pun memeterai Perjanjian Dasar-Dasar Utama (HOA) ketika berlangsungnya Forum Perniagaan Malaysia-China di Beijing.

    Dalam majlis yang sama semalam, Zhejiang Geespace Technology milik Geely turut memeterai HOA dengan Altel Communications. Kerjasama ini adalah untuk memfokuskan pembangunan dan implementasi sistem teknologi tinggi dan akan mempercepatkan penggunaan penyelesaian inovatif dalam sektor seperti pelabuhan pintar.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh DRB-Hicom, AHTV akan menarik pelaburan tempatan dan luar negara, yang akan memacunya menjadi hab automotif antarabangsa bagi kenderaan tenaga baharu (NEV, istilah yang digunakan China untuk kenderaan yang menerima teknologi elektrifikasi).

    “Tumpuannya bukan sahaja kepada pengeluaran kereta pelbagai jenama, tetapi juga dalam pembuatan komponen dan alat ganti berteknologi tinggi untuk NEV. Ini akan mengembangkan lagi keupayaan vendor tempatan ke arah pengkhususan dalam pembuatan berteknologi tinggi,” tambah DRB-Hicom.

     
     
  • Banjir kilat melanda Cheras dan beberapa lebuhraya utama di Lembah Klang – sila pandu berhati-hati

    Banjir kilat melanda Cheras dan beberapa lebuhraya utama di Lembah Klang – sila pandu berhati-hati

    Lewat petang ini, dilaporkan beberapa laluan di Cheras dilanda banjir kilat dan air bertakung ekoran hujan lebat. Laluan terlibat ialah Jalan Cheras dan Jalan Sri Permaisuri 4 di Bandar Sri Permaisuri.

    Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut memaklumkan beberapa laluan di lebuhraya di sekitar Lembah Klang turut mengalami kejadian banjir kilat dan air bertakung. Ia melibatkan Lebuhraya Bukit Jalil, Lebuhraya Salak, Lebuhraya Kl-Seremban, Lebuhraya Timur Barat (Bandar Tun Razak-Taman Connaught), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya SPRINT dan Lebuhraya DUKE.

    Justeru, pengguna jalan raya bagi laluan berkenaan lebih berhati-hati sewaktu berada di lokasi dan sila tangguhkan perjalanan atau mencari jalan alternatif sekiranya perlu.

     
     
  • PMX umum Geely akan labur RM32 billion, jadikan Malaysia hub eksport, tingkatkan R&D tempatan

    PMX umum Geely akan labur RM32 billion, jadikan Malaysia hub eksport, tingkatkan R&D tempatan

    Geely bakal meningkatkan pelaburannya di Malaysia kepada RM32 bilion, dalam masa yang sama akan menjadikan negara ini sebagai hab produksi bagi pasaran eksportnya. Selain itu, gergasi automotif China itu menerusi rakan kerjasamanya di sini iaitu Proton turut akan meningkatkan penglibatan rakyat tempatan dalam inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta menyediakan pekerja mahir tempatan bagi menyertai rancangan pengembangannya yang lebih besar.

    Rancangan Geely berkenaan telah diketengahkan oleh perdana menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menerima kunjungan hormat Pengerusi Geely Li Shufu di Putrajaya semalam. Walau bagaimanapun, sebahagian besar pengumuman ini sebenarnya adalah janji sedia ada yang telah dibuat oleh Geely beberapa tahun kebelakangan ini.

    Bagi pelaburan RM32 bilion yang disebut ini juga sebelum ini telahpun diumumkan ketikan kunjungan PM ke China pada Mac tahun ini. “Moga yang dirancang ini akan membuahkan hasil kepada ekonomi negara, Insya-Allah,” kata Anwar dalam hantaran yang dibuat laman Facebook rasminya.

    Pertemuan tersebut turut disertai oleh menteri pelaburan, perdagangan dan industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. Beliau menambah Proton kini mempunyai akses kepada teknologi terkini Geely, dan berharap agar Proton dapat mengembalikan keyakinan pengguna dan seterusnya memulihkan prestasi keseluruhan syarikat ke tahap yang lebih baik dengan bantuan Geely.

     
     
  • Smartlane diaktifkan dari KM28 Kajang Silk ke KM0.3 SKVE – 6.30 pagi-10 pagi, Isnin-Sabtu – Prolintas

    Smartlane diaktifkan dari KM28 Kajang Silk ke KM0.3 SKVE – 6.30 pagi-10 pagi, Isnin-Sabtu – Prolintas

    Prolintas telah mengumumkan pengaktifan Smartlane dari KM28 di Lebuhraya Kajang Silk hingga KM0.3 di Lebuhraya SKVE menghala ke Putrajaya, atau lebih dikenali sebagai persimpangan Conezion. Ini termasuklah laluan lebuhraya tersebut dari Restoran Nasi Beriani Gam ke Conezion.

    Pengaktifan Smartlane itu juga melibatkan penutupan sebahagian laluan dari bulatan Uniten, dari Sungai Merab ke Putraja – rujuk peta laluan di atas untuk gambaran yang lebih jelas.

    Menurut Prolintas, Smartlane itu dilaksanakan pada waktu puncak pagi, dari jam 6.30 pagi hingga 10 pagi pada setiap Isnin hingga Sabtu. Sepanjang tempoh tersebut, lorong paling kanan atau pun lorong kecemasan dibenarkan untuk dilalui oleh kenderaan. Prolintas berkata, inisiatif ini juga adalah hasil kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

    Sila ikut arahan papan tanda dan petugas di lokasi terbabit. Pandu lebih berhati-hati ketika melalui laluan yang terlibat.

     
     
  • Mitsubishi siar teaser MPV crossover konsep baru dengan kuasa elektrik – Delica 4WD yang seterusnya?

    Mitsubishi siar teaser MPV crossover konsep baru dengan kuasa elektrik – Delica 4WD yang seterusnya?

    Gambar kenderaan offroad dengan rekaan berkotak yang anda lihat ini adalah teaser rasmi awal yang dikeluarkan oleh Mitsubishi untuk sebuah “MPV crossover konsep dengan kuasa elektrik.” Ia akan membuat penampilan pertama di Japan Mobility Show hujung bulan ini.

    Menurut Mitsubishi, kenderaan ini “menggabungkan pengendalian jalan biasa sebuah SUV dengan keselesaan serta sifat mesra pengguna sebuah MPV,” dengan harapan menyumbang kepada masyarakat bebas karbon. Mengambil konsep “Penjelajahan Tanpa Had,” ia menampilkan “ruang kabin luas dengan rasa terbuka” serta “menyediakan jarak gerak serta prestasi pemanduan untuk mengendali pelbagai jenis pengembaraan.”

    Seperti yang boleh anda lihat daripada gambar yang menunjukkan kenderaan dengan kuasa elektrik (mungkin plug-in hybrid dan bukannya elektrik penuh) tersebut diliputi pasir serta latar belakang jalan berbukit, ia mampu meredah jalan offroad dan mempunyai fungsi penukaran mod pemanduan bergantung kepada persekitaran.

    Mitsubishi siar teaser MPV crossover konsep baru dengan kuasa elektrik – Delica 4WD yang seterusnya?

    Mitsubishi Delica D:5 Tough x Tough

    Mitsubishi mempunyai sejarah yang panjang dalam dunia offroad, dengan telah memenangi beberapa kali kejuaran Rali Dakar dan pengeluar Pajero, jadi pengetahuan serta pengalaman mereka adalah luas dalam pembangunan kenderaan sebegini. Tambah Mitsubishi, kereta konsep baru ini direka dengan kedudukan tinggi, sistem pacuan empat roda elektrik serta tayar berdiameter besar.

    Di dalam siaran akhbar Mitsubishi juga tertulis, “MPV crossover dengan kuasa elektrik ini akan menjadi rakan yang boleh diharap untuk memberikan pengalaman pemanduan yang menyenangkan serta ketenangan minda tanpa mengira keadaan jalan dan cuaca, sekaligus memberikan keyakinan kepada pemandu untuk mencapai tahap yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.”

    Mungkinkah ini petunjuk awal kepada penyambung generasi Delica 4WD? Apa pendapat anda?

     
     
  • Harga minyak 12-18 Oktober – semuanya dikekalkan

    Harga minyak 12-18 Oktober – semuanya dikekalkan

    Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan untuk minggu bertarikh 12 hingga 18 Oktober 2023, harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel dikekalkan.

    Di mana harga petrol RON 97 dikekalkan pada RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan sebanyak 10 sen seliter tiga minggu sebelum ini.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 19 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata harga petrol tidak boleh diturunkan kepada RM1.50 seliter susulan perkembangan membabitkan kadar semasa minyak mentah dunia.

    Katanya, harga semasa petrol di Malaysia masih berada pada tahap rendah, iaitu RM2.05 seliter, berbanding Arab Saudi yang menetapkan pada kadar RM2.84 seliter. Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan tidak wajar jika cadangan diajukan beliau ketika 2018 itu, berterusan dimanipulasi, tanpa mengambil kira perkembangan semasa.

     
     
  • Toyota Yaris Cross kini di Thailand – hanya hibrid 1.5L, bermula RM101k; Perodua D66B di M’sia tak lama lagi?

    Toyota Yaris Cross kini di Thailand – hanya hibrid 1.5L, bermula RM101k; Perodua D66B di M’sia tak lama lagi?

    Selepas membuat kemunculan sulung globalnya di Indonesia Mei lalu, Toyota Yaris Cross yang dihasilkan untuk pasaran ASEAN menggunakan platform DNGA (berbeza dengan Yaris Cross Eropah dan Jepun menggunakan platform TNGA) kini sudah pun dilancarkan di Thailand.

    Untuk Thailand, Yaris Cross hanya ditawarkan dalam versi hibrid, berbeza dengan pasaran Indonesia yang turut menerima model yang dijana oleh enjin petrol sepenuhnya. Tiga varian ditawarkan di Thailand bermula versi asas Yaris Cross HEV Smart dijual pada harga 789,000 baht (RM100,637), diikuti varian pertengahan Yaris Cross HEV Premium dijual pada harga 849,000 baht (RM108,290) dan varian tertinggi Yaris Cross HEV Premium Luxury berharga 899,000 baht (RM114,668).

    Untuk pasaran Malaysia kelak, Yaris Cross dijangka akan dijual dengan lencana Perodua, menerusi projek SUV dengan kod D66B, kerana kedua-dua SUV tersebut diasaskan dari platform DNGA dari varian DNGA-B yang sama. Platform ini memberikan Yaris Cross dimensi panjang 4,310 mm, lebar 1,770 mm, tinggi 1,615 mm dan juga jarak antara roda sejauh 2,620 mm.

    Toyota Yaris Cross kini di Thailand – hanya hibrid 1.5L, bermula RM101k; Perodua D66B di M’sia tak lama lagi?

    Untuk memudahkan anda membayangkan saiznya, Yaris Cross ini hanya 20 mm lebih pendek, 30 mm kurang lebar, 6 mm lebih rendah berbanding Proton X50, namun hadir dengan jarak roda 20 mm lebih jauh dari SUV segmen-B dari Proton berkenaan. Manakala berbanding dengan ‘adiknya’ iaitu Toyota Raize/Perodua Ativa, Yaris Cross ini adalah 245 mm lebih panjang, 60 mm lebih lebar, 20 mm lebih rendah, dan jarak roda 95 mm lebih jauh.

    Yaris Cross pasaran Thailand ini nampak lebih rendah dengan jarak kelegaan tanah 210 mm, berbanding 260 mm yang diumumkan di Indonesia sebelum ini.

    Bagi unit rangkaian kuasa hybrid yang dibekalkan, ia terdiri dari enjin 2NR-VEX 1.5 liter NA empat silinder yang menghasilkan 91 PS dan tork maksima 121 Nm, dan juga motor elektrik berkuasa 80 PS (79 hp atau 59 kW) dan tork 141 Nm.

    Toyota Yaris Cross kini di Thailand – hanya hibrid 1.5L, bermula RM101k; Perodua D66B di M’sia tak lama lagi?

    Secara keseluruhan, sistem HEV ini menghasilkan kuasa gandingan 111 PS, dan ia disalur ke roda hadapan menerusi kotak gear E-CVT. Bagi motor elektrik, ia menerima kuasa yang dibekalkan dari bateri lithium-ion berkapasiti 4.3 Ah. Yaris Cross HEV ini mampu untuk mencapai penggunaan bahan api serendah 26.3 km/l.

    Ketiga-tiga varian Yaris Cross ini menerima mod pemanduan Power, Normal dan Eco, serta menerima konfigurasi suspensi jenis topang McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang. Manakala untuk brek, kesemua roda menerima sistem cakera dan angkup.

    Bagi varian asas HEV Smart, ia dilengkapi perincian standard seperti lampu hadapan LED bersama lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, lampu belakang LED dan rim aloi 17-inci.

    Toyota Yaris Cross kini di Thailand – hanya hibrid 1.5L, bermula RM101k; Perodua D66B di M’sia tak lama lagi?

    Dalam kabin, varian paling murah ini turut menerima upholsteri kulit sintetik, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, skrin sesentuh 10.1-inci dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, enam-pembesar suara, paparan instrumen digital tujuh-inci, brek parkir elektrik, pendingin hawa automatik dengan penapis PM2.5 dan liang kabin belakang.

    Beralih ke varian pertengan HEV Premium, ia ditingkat taraf dengan rim aloi dua-tona 17-inci, serta menerima tambahan rel bumbung berwarna perak, tempat duduk pemandu larasan elektrik lapan-hala, dan upholsteri Quole Modure bagi mengurangkan panas.

    Manakala varian paling mahal HEV Premium pula menerima rim dua tona 18-inci, lampu selamat datang pada cermin sisi, bumbung panaromik dengan tirai larasan kuasa, sistem bunyi Pioneer dengan enam-pembesar suara, pad pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi serta pintu tailgate bantuan kuasa dengan bukaan tanpa sentuhan.

    Toyota Yaris Cross kini di Thailand – hanya hibrid 1.5L, bermula RM101k; Perodua D66B di M’sia tak lama lagi?

    Bagi sistem keselamatan pula, kesemua varian Yaris Cross ini dibekalkan denan enam-beg udara, brek ABS, EBD dan BA, VSC, Traction Control, bantuan mula mendaki dan kamera undur. Model asas HEV Smart hanya diberikan penderia parkir belakang.

    Manakala varian pertengahan, ia disertakan dengan penderia parkir hadapan dan juga dashcam pandangan hadapan. Ia juga datang dengan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense dengan fungsi seperti amaran pergerakan hadapan, kawalan salah operasi pedal, brek kecemasan automatik, amaran keluar lorong dan juga lampu tinggi automatik.

    Bagi varian HEV Premium Luxury pula menerima semua sistem keselamatan yang ada pada HEV Premium tetapi ditambah dengan sistem pemantau tekanan angin tayar, dashcam yang merakam padangan belakang dan juga kamera pemantau pandangan panaromik.

    Toyota Yaris Cross kini di Thailand – hanya hibrid 1.5L, bermula RM101k; Perodua D66B di M’sia tak lama lagi?

    Toyota Thailand menawarkan pelbagai perincian opsyen untuk Yaris Cross ini yang boleh dipilih oleh pelanggan dengan tambahan kos. Selain dari warna standard Metal Stream Metallic, Attitude Black Mica dan Urban Metal, pembeli varian HEV Smart boleh memilih untuk mewarnakan SUV baharu mereka dengan pilihan warna Dark Turquoise, Platinum White Pearl atau Spicy Scarlet dengan tambahan bayaran 7,000 baht (RM893).

    Semua warna pada HEV Smart ini turut ditawarkan pada HEV Premium, dan untuk pembeli varian pertengahan ini pula mereka ditawarkan dengan pilihan bumbung hitam hanya untuk warna badan Platinum White Pearl dengan bayaran tambahan 12,000 baht (RM1,530) dan Metal Stream Metallic dengan tambahan 8,000 baht (RM1,020).

    Bagi varian HEV Premium Luxury pula, pelanggan boleh memilih warna hitam sepenuhnya atau gandingan hitam dan kelabu. Sekiranya pembeli memilih kabin hitam penuh, ia akan digandingkan dengan warna badan Metal Stream Metallic atau Urban Metal tanpa sebarang kos.

    Toyota Yaris Cross kini di Thailand – hanya hibrid 1.5L, bermula RM101k; Perodua D66B di M’sia tak lama lagi?

    Kabin dengan tema ini turut ditawarkan dengan warna badan Spicy Scarlet dengan bayaran tambahan 7,000 baht (RM893), warna badan Spicy Scarlet/bumbung hitam dengan bayaran 12,000 baht (RM1,530) dan juga warna badan Metal Stream Metallic/bumbung hitam dengan tambahan kos 8,000 baht (RM1,020)

    Manakala pembeli varian HEV Premium Luxury yang memilih kabin dengan warna gandingan hitam dan kelabu, hanya warna badan Attitude Black Mica ditawarkan tanpa bayaran tambahan. Warna opsyen lain untuk pilihan varian dan tema kabin ini termasuk Dark Turquoise dan Platnium White Pearl (7,000 baht atau RM893), Dark Turquoise/bumbung hitam dan Platinum White Pearl/bumbung hitam (12,000 baht or RM1,530).

    Selain dari pilihan warna ini, Yaris Cross turut ditawarkan dengan dua pakej aksesori iaitu Urban Sport berharga 15,200 baht (RM1,938) dan Modellista berharga 22,900 baht (RM2,919). Kedua-dua pakej ini menampilkan kit badan dengan rekaan tersendiri.

    Tak sabar nak tunggu Yaris Cross yang dijelmakan sebagai Perodua untuk dijual di Malaysia? Anda perlu bersedia kerana mengikut laporan Kenangan Research, SUV baharu Perodua lima-tempat duduk yang lebih besar dari Ativa ini dijangka akan dilancarkan ke pasaran tempatan mungkin pada awal tahun hadapan.

    GALERI: Toyota Yaris Cross HEV Premium Luxury 2023 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Yaris Cross HEV Premium 2023 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Yaris Cross dengan pakej Urban Sport 2023 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Yaris Cross dengan pakej Modellista 2023 pasaran Thailand

     
     
  • BMW X2 dan iX2 2024 diperkenal – model U10 generasi kedua dapat naik taraf, tambahan versi EV 313 hp

    BMW X2 dan iX2 2024 diperkenal – model U10 generasi kedua dapat naik taraf, tambahan versi EV 313 hp

    BMW telah memperkenalkan X2 2024, yang akan menggantikan X2 F39 yang diperkenalkan sejak tahun 2017. Ia membawa rekaan yang serba lain, dan kini mengikuti lebih kepada gaya X4 dan X6, dan menjadi seakan versi coupe bagi X1 U11.

    Walaupun begitu, ia bukanlah betul-betul sama seperti X1, dan mendapat rekaan tersendiri di bahagian hadapan, termasuk lampu hadapan LED (Adaptive LED dan lampu tinggi matriks disediakan sebagai pilihan tambahan) serta gril yang boleh dipilih dengan lampu BMW Iconic Glow – seperti model yang lebih mewah seperti i7 limo dan 5 Series G60.

    Jika dibandingkan dengan X2 asal, model baru ini menerima banyak perubahan pada permukaan badannya. Paling berbeza adalah garis bumbung, yang ditarik terus hingga ke belakang, lampu belakang yang mempunyai lekuk di bahagian bawahnya serta spoiler pendek di atas penutup but.

    Badan X2 baru kini semakin besar, dengan catatan panjang 4,554 mm (+194 mm), lebar 1,845 mm (+21 mm) dan tinggi 1,590 mm (+64 mm). Jarak roda yang makin panjang dan lebar juga memberikan manfaat kepada ruang kabin dan ruang barangan bertambah menjadi 560 liter, dari 470 liter sebelum ini. Varian ix2 pula mempunyai ruang barangan antara 525 hingga 1,400 liter.

    Varian petrol paling tinggi sekali lagi adalah X2 M35i xDrive, yang mendapat barangan khas M termasuk ekzos empat muncung yang kedudukannya disepadukan pada skirting belakang. Untuk varian lain, pakej M Sport yang disediakan menjadi lebih agresif dengan bampar yang lebih garang. Pergi pula kepada M Sport Package Pro, anda akan mendapat antaranya kemasan M High-gloss Shadowline di luar, spoiler belakang M serta sistem brek M Sport.

    X2 boleh didapati dalam dua warna solid dan 11 warna metalik termasuk tambahan baru Fire Red Metallic. Turut disediakan adalah warna matte daripada katalog BMW Individual. Rim standard untuk iX2 adalah bersaiz 17 inci, sementara model enjin biasa mendapat rim 18 inci. M35i xDrive pula mendapat rim M 20 inci dan pilihan untuk menukarnya kepada saiz 21 inci.

    BMW X2 dan iX2 2024 diperkenal – model U10 generasi kedua dapat naik taraf, tambahan versi EV 313 hp

    Bahagian dalam X2 ini sama seperti X1 terbaru, yang nampak lebih minimalis dan dilengkapi dengan BMW Curved Display serta peletak tangan ‘terapung’ yang turut menempatkan pemilih gear, mod pemanduan, e-brake serta kawalan audio. Tempat duduk X2 boleh dibalut dengan kulit tiruan Veganza atau kulit Vernasca, dan pilihan lain yang disediakan adalah termasuk tempat duduk jenis sport, serta fungsi memori, penyokong lumbar dan mengurut.

    Pilihan varian petrol dimulakan dengan X2 sDrive20i, yang mempunyai enjin 1.5L turbo 156 hp. Enijn tiga silinder ini dibantu sistem hibrid ringkas 48V 19 hp untuk menjadikan kuasa keseluruhan 170 hp. Penggunaan bahan api bercampur adalah 6.5 hingga 6.0 liter bagi setiap 100 km. X2 sDrive18d yang menggunakan enjin diesel empat silinder 150 hp pula mencatat 5.5 hingga 5.1 l/100 km. Semua enjin ICE X2 dipadankan dengan transmisi Steptronic tujuh kelajuan.

    Sementara itu, X2 M35i xDrive pula mendapat enjin empat silinder turbo 2.0 liter yang berkuasa 300 hp di Eropah dan 317 hp di AS dan pasaran lain. Model AWD M Performance ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat dan mendapat talaan casis khas M serta suspensi adaptif M. Brek M Compound disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Barisan X2 lain mendapat ‘naik taraf bersasar’ pada bahagian gandar hadapan dan belakangnya. Pengehad gelinciran roda hampir dengan actuator diberikan standard pada X2 dan dikatakan oleh BMW sebagai memberikan lebih cengkaman dan stabiliti. Ciri lain adalah termasuk sistem brek bersepadu serta talaan semula serapan di bahagian hadapan.

    Tambahan baru bagi X2 generasi ini adalah varian elektrik penuh iX2. Sama seperti versi M Performance yang disebutkan awal tadi, EV ini juga akan ditawarkan bermula dari waktu pelancaran sebagai iX2 xDrive30. Ia mempunyai dua motor elektrik (terletak di setiap gandar) dan mampu menghasilkan kuasa maksimum 313 hp (230 kW) dan 494 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 5.6 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 180 km/j. Bateri 64.8 kWh yang digunakan mampu memberi jarak antara 417 hingga 449 km.

    Berkenaan teknologi, X2 mendapat sistem BMW iDrive dengan QuickSelect secara standard. Menggunakan BMW Operating System 9, ia dipakejkan sekali dengan BMW Curved Display dan BMW Intelligent Personal Assistant. Fungsi sedia ada juga boleh dikemas kini secara atas talian.

    Fungsi Augmented View ditawarkan sebagai pilihan tambahan untuk sistem navigasi BMW Maps. Selain daripada itu, turut disediakan adalah Personal eSIM untuk teknologi 5G, BMW Digital Key Plus, BMW ID serta sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

    GALERI: BMW X2 2024

    GALERI: BMW iX2 2024

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025