Dua buah motosikal yang diperkenalkan kepada dunia pertama kali Jun lalu, iaitu Triumph Speed 400 dan Scrambler 400 bakal tiba di Malaysia tidak lama lagi dan pengedarnya sudah mula membuka tempahan. Harga yang diumumkan untuk Speed 400 adalah RM26,900 manakala untuk Scrambler 400 RM29,900.
Mereka yang berminat dengan motosikal ini boleh membuat pendaftaran atau tempahan awal melalui pengedar rasmi motosikal Triumph di Malaysia, dan melalui maklumat yang tertulis, motosikal dijangka tiba awal tahun hadapan (Januari/Februari).
Keseluruhan bahagian dua motosikal ini adalah serba baru dari Triumph, termasuk enjin, yang dipanggil sebagai siri TR, dengan kapasiti 398 cc. Enjin satu silinder dengan sistem suntikan bahan api, penyejukan cecair dan DOHC ini dipadankan bersama transmisi enam gear untuk menghasilkan kuasa sehingga 40 PS pada 8,000 rpm dan tork 37.5 Nm pada 6,500 rpm – dikatakan sebagai yang terbaik di dalam kelasnya.
Penampilannya pula mengikut penggayaan model yang lebih besar, iaitu Speed Twin 900/1200 dan Scrambler 900/1200, dan mendapat kemasan berkualiti tinggi seperti powdercoat pada perumah enjin, fork anodised warna emas serta cat premium.
Di pasaran India, tiga warna ditawarkan untuk Speed 400 iaitu Carnival Red, Caspian Blue dan Phantom Black, sementara Scrambler 400 juga ditawarkan dalam tiga warna iaitu Matt Khaki Green/Fusion White, Carnival Red/Phantom Black dan Phantom Black/Silver Ice.
Barangan untuk suspensi secara asasnya adalah sama, iaitu unit fork USD 43 mm di hadapan dan monoshock gas RSU dengan pelarasan pra beban di belakang, tetapi jarak geraknya adalah berbeza dengan Speed 400 menyediakan 140 mm di hadapan dan 130 mm di belakang, manakala Scrambler 400 pula lebih panjang iaitu 150 mm untuk kedua-dua hadapan dan belakang. Dengan tetapan ini, tinggi tempat duduk juga menjadi masing-masing menjadi 790 mm dan 835 mm.
Bagi menjadikan motosikal sesuai dengan karekter yang dibawa dan sasaran penggunaannya, bahagian roda mendapat tetapan khas dengan Speed 400 menggunakan rim 17×3 inci bersama cakera brek 300 mm di hadapan, sementara Scrambler 400 pula menggunakan rim 19×2.5 inci serta cakera brek 320 mm. Saiz rim serta brek belakang kedua-duanya masih adalah sama, iaitu unit 17 inci (lebar 4 mm untuk Speed 400 dan 3.5 mm untuk Scrambler 400) dan cakera 230 mm.
Sementara Speed 400 dijadikan lebih untuk kegunaan atas jalan biasa, Scrambler 400 pula dipersiapkan dengan kemampuan untuk meredah jalan lebih mencabar dengan tayar Metzeler Karoo berbunga lebih kasar, serta ergonomik yang lebih sesuai seperti pemegang lebih lebar, kedudukan menunggang lebih tegak, pedal brek lebih besar serta peletak kaki lebih mencengkam.
Meskipun terletak sebagai model permulaan bagi Triumph, Speed 400 dan Scrambler 400 masih mendapat kelengkapan moden seperti semua lampu jenis LED, pendikit throttle-by-wire (tapi tiada mod tunggangan), immobiliser serta panel paparan gabungan analog (rpm) dan LCD.
Pada bahagian keselamatan, sistem ABS dual-channel serta kawalan cengkaman diberikan secara standard. Bagi ABS, hanya pada Scrambler 400 sahaja ia boleh ditutup, manakala untuk kawalan cengkaman, kedua-dua model menyediakan pilihan untuk ditutup secara mudah melalui butang pada pemegang.
Chery Malaysia telah mengumumkan unit pertama bagi Omoda E5 telah pun tiba di Pelabuhan Klang dan bakal dipertontonkan kepada pihak media menjelang pelancarannya kelak. Walau pun ia bukanlah suatu yang dianggap kejutan memandangkan beberapa unit kenderaan elektrik (EV) ini versi pemanduan sebelah kanan telah dikesan diangkut menggunakan treler awal bulan ini.
Dalam kenyataan media rasmi yang dikeluarkan, syarikat ini tidak memperincikan tarikh pelancaran Omoda E5 tetapi sebelum ini pernah mengesahkan ia bakal diadakan pada tahun 2024. Tidak seperti Omoda 5 versi pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia, Omoda E5 ini ditawarkan dengan model EV import sepenuhnya (CBU), dan tidak dipastikan bila ia akan menjalani pemasangan tempatan.
Omoda E5 diperkenalkan menerusi pengangjuran Auto Shanghai tahun ini sebagai versi elektrik sepenuhnya bagi Omoda 5, yang mula dijual di sini sejak Julai lalu. Telah pun dibuka tempahan untuk pasaran Indonesia (dengan produksi CKD bakal bermula awal 2024), Omoda E5 ini menawarkan jarak gerak EV sehingga 450 km mengikut standard CLTC.
Ia diberikan bateri berkapasiti 61 kWh yang menjanakan 221 hp (165 kW) untuk motornya. Bagi pecutan 0-100 km/j, ia mampu dilakukan dalam 7.8 saat, dan Chery mendakwa penjimatan kuasanya ialah 15 kWh bagi setiap 100 km. Untuk pengecasan pantas DC, Chery berkata ia mengambil masa sekitar 35 minit untuk mencapai status pengecasan (SOC) dari 0-80%. Manakala jarak pacuan elektrik yang boleh dicapai adalah sekitar 450 km bagi setiap pengecasan penuh, tetapi tidak dipastikan adakah ia mengikut kitaran NEDC atau WLTP.
Untuk spesifikasi Malaysia, Omoda E5 ini akan dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) termasuk 16 fungsi, antaranya pemantauan titik buta, brek kecemasan sendiri dan kepekaan trafik lintasan belakang. Chery Malaysia berkata EV ini akan ditawarkan dengan tujuh pilihan warna badan dengan tiga pilihan warna dalaman.
Omoda E5 agak berbeza dari Omoda 5 janaan petrol dari segi wajahnya, di mana ia menampilkan grl yang lebih ringkas dan tertutup, dengan skrip jenama (berbanding logo) yang terletak di atas port pengecasan. Di dalamnya, kedua-dua SUV EV dan petrol lebih kurang sama, kecuali konsol tengah pada versi EV tiada tuil gear dan lebih banyak ruangan storan.
Omoda 5 kini dijual antara RM108,800 dan RM118,800 untuk kedua-dua varian. Agak-agak berapa pula harganya untuk versi EV ini? Kami akan bawakan perincian lanjut apabila menghadiri majlis pra-tontonnya tidak lama lagi.
Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur dan Melaka bersedia untuk dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.
Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur, VLR mula dibuka bidaan sejak 17 November 2023. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 21 November. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 22 November 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.
Manakala siri nombor pendaftaran terkini Melaka, MDV, bakal dibuka bidaan mulai 23 November 2023. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 27 November, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 28 November 2023.
Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.
Proton telah pun mengesahkan pilihan varian untuk sedan segmen-C baharunya, Proton S70 yang bakal dilancarkan sedikit masa lagi. Keempat-empat varian berkenaan iaitu Executive, Premium, Flagship dan Flagship X kesemuanya dijana oleh satu jenis enjin iaitu 1.5 liter tiga silinder dengan sistem suntikan bahan api konvensional (PFI) yang menjana 150 PS dan tork maksima 226 Nm.
Ia berbeza dengan penawaran pada Proton X50 di mana varian tertinggi SUV segmen-B tersebut turut menerima pilihan enjin 1.5 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI) yang lebih berkuasa, menghasilkan 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Jadi mengapa S70 tidak ditawarkan dengan enjin yang lebih bertenaga ini?
Menurut Proton dalam sesi pra-tonton model ini dua minggu lalu (artikel pandu uji boleh anda baca pada PAUTAN INI), sebelum memulakan pembangunan model ini, pelbagai perkara telah diteliti termasuk penggunaan bahan api, karekteristik pengendalian, harga, sasaran pasaran dan sebagainya. Dan menerusi kajian dan penyelidikan, enjin 1.5 liter Turbo PFI ini sudah cukup memadai dan seimbang dari segi memenuhi kehendak pelanggan dalam sasaran pasaran yang ditetapkan dan menetapkan harga akhir kereta yang cukup kompetitif.
Sekiranya enjin 1.5L T-GDI dipadankan pada varian tertinggi Proton S70 ini, harga jualannya sudah tentu lebih tinggi dan ia mungkin mengalih selera pembeli kepada model-model pesaingnya. Walaupun atas kertas enjin 1.5L Turbo PFI berkenaan kurang 22 PS/29 Nm berbanding versi T-GDI, ia masih merupakan antara enjin yang paling berkuasa dalam kelasnya.
Jika dibandingkan enjin 1.5L Turbo pada Honda Civic FE, enjin dalam perut S70 ini adalah 32 PS/14 Nm kurang berkuasa. Namun ia masih lagi sebuah sedan segmen-C yang lebih berkuasa dari Toyota Corolla Altis yang dijana oleh enjin 1.8L NA berkuasa 139 PS/173 Nm. Satu lagi saingan S70 di Malaysia iaitu Mazda 3 pula menerima enjin 2.0 liter NA berkuasa 162 hp/213 Nm.
Walaupun berada diletakkan dalam saingan sedan segmen-C, Proton S70 ini dijangka akan dijual dalam julat harga model-model sedan segmen-B seperti Honda City dan Toyota Vios, di mana kedua-dua model dari jenama Jepun tersebut hanya menerima enjin 1.5 liter NA dan kotak gear CVT. Ini sudah tentu menjadi kelebihan yang besar buat Proton S70 sekiranya pengguna membuat pilihan berdasarkan harga dan bukan segmen.
Pendapat anda pula bagaimana? Adakah Proton masih perlu menghasilkan satu lagi varian dengan enjin 1.5L T-GDI dan anda sanggup membayar harga lebih untuk pilihan lebih berkuasa tersebut? Atau enjin sedia ada sememangnya sudah cukup memadai?
Setiap pengeluar automotif ada sentuhan signatur masing-masing. Untuk pengeluar automotif nasional, Proton, ia dikenali dengan talaan suspensi “Proton Ride & Handling” yang dipelajari ketika memiliki jenama kereta sport British iaitu Lotus satu ketika dahulu.
Ilmu berkenaan masih digunakan sehingga kini, walaupun Proton kini menghasilkan kereta berasaskan model-model Geely dari China. Begitu juga untuk sedan Proton S70 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi – dengan mengambil kira bahawa model yang dibangunkan oleh Proton ini menggunakan enjin yang lebih berkuasa dari model asasnya iaitu Geely Emgrand di China, talaan suspensinya sudah tentu perlu dibuat semula.
Bagi yang belum mengetahui, Proton S70 dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo berkuasa 150 PS dan tork maksima 226 Nm bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7DCT. Manakala Geely Emgrand hanya dibekalkan dengan enjin 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 114 PS dan tork maksima 147 Nm, bersama kotak gear CVT automatik.
Berbanding Emgrand dipasaran lain yang diberikan suspensi yang lebih lembut untuk keselesaan maksimum, Proton memberikan talaan yang lebih sesuai untuk penggunaan di jalan raya Malaysia untuk S70, dengan menjadikannya lebih dinamik untuk kawalan yang lebih baik dan pemanduan lebih tangkas.
Namun talaan suspensi yang dibuat bukanlah ditumpukan pada prestasi pemanduan semata-mata. Ini kerana sekiranya ia diberikan penyerap hentak atau spring yang terlalu keras, ia bukan sahaja memberikan ketidakselesaan kepada penumpang, malah pemandu juga tidak dapat ‘menikmati’ pengendaliannya pada permukaan jalan raya yang tidak rata.
Oleh itu Proton turut menumpukan pada aspek keselesaan dan elegen pada talaan S70 ini supaya ia sesuai untuk kegunaan setiap hari tanpa masalah, selesa dan juga praktikal. Namun ia masih diseimbangkan dengan unsur prestasi di mana suspensi tersebut masih memberikan kestabilan yang cukup ketika sedan ini dipandu laju. Malah untuk lebih keseronokan memandu, S70 turut diberikan tiga mod talaan stereng iaitu Normal, Sport dan Comfort.
Bagi memuktamadkan talaan suspensi tersebut, Proton telah menggunakan masa bekerja selama 75,000 jam melibatkan ujian jalan raya sebenar di Malaysia sejauh 1.2 juta km. Proton S70 dibangunkan dari platform B-segment Modular Achitecture (BMA) yang sama seperti SUV Proton X50. Jadi ia turut menggunakan konfigurasi suspensi yang sama iaitu Topang McPherson di hadapan dan Torsion Beam di belakang.
Kami sudah pun berpeluang untuk memandu Proton S70 ini dalam satu sesi ringkas yang dibuat dalam litar ujian Proton di Shah Alam dua minggu lalu. Bagaimana prestasi sedan segmen-C baharu Proton ini? Anda boleh baca ulasannya pada PAUTAN INI.
Selepas agak lama kita tidak diperkenalkan dengan model sedan terbaru daripada Proton — terutama selepas kerjasama antara Proton-Geely dan selepas pengenalan tiga SUV: X70, X50 dan X90 — kehadiran Proton S70 bakal mengakhiri penantian tersebut. Kami sempat mendekati model sedan segmen C berkenaan pada awal November 2023, dan kini boleh berkongsi beberapa perkara tentangnya kepada umum.
Seperti yang ramai sudah sedia maklum, Proton S70 menggunakan asas daripada model Geely Emgrand dan bakal menggantikan model Proton Preve dalam pasaran tempatan. Sama juga seperti Preve sebelum ini, Proton memposisikan S70 sebagai sedan untuk berada dalam segmen C — dan bersaing antaranya dengan Toyota Corolla Altis dan Honda Civic. Tetapi harganya pula dijangka akan berada dalam kategori kenderaan segmen B — seperti Honda City dan Toyota Vios. Mengapa begitu?
Ini kerana jika mengikut saiz ukuran dimensi, Proton S70 lebih besar sedikit berbanding kereta dalam segmen B. Walaupun ketika ini masih belum ada sebarang saiz atau ukuran rasmi yang dikongsikan oleh Proton, kita boleh membandingkan dengan model Geely Emgrand di pasaran luar: sedan berkenaan mempunyai ukuran 4,638 mm panjang dan 1,822 mm lebar, dengan jarak antara roda 2,650 mm.
Angka tersebut adalah 58 mm lebih panjang dan 74 mm lebih lebar jika dibandingkan dengan Honda City, dengan jarak antara rodanya juga 50 mm lebih panjang. Bahkan, Proton S70 lebih panjang dan lebar jika dibandingkan dengan Preve dan Inspira yang menjadi tawaran sedan segmen C Proton suatu ketika dahulu. Disebabkan faktor inilah Proton memposisikannya dalam segmen C.
Namun, model kenderaan dalam segmen C ketika ini juga bertambah besar. Sebagai contoh, Civic FE yang dijual ketika ini adalah 40 mm lebih panjang berbanding S70, dengan jarak antara rodanya 2,735 mm yang juga 85 mm lebih panjang. Posisi “samar-samar” seperti ini membolehkan Proton menggunakan kelebihan itu untuk memasarkannya dengan kelebihan kereta segmen C yang dijual pada harga yang lebih dekat dengan kereta dalam segmen B.
Seperti juga yang kita pernah lihat pada SUV Proton X70, sedan S70 ini menampilkan banyak perbezaan dan lokalisasi berbanding Geely Emgrand yang menjadi model sandarannya. Kekal menggunakan platform B-segment Modular Architecture (BMA) yang sama seperti SUV Proton X50, di bahagian depannya, gril bentuk berlian terpampang dan membawa kesegaran serta sedikit kelainan berbanding model Proton-Geely yang lain.
Rekaan busur panah bagaimanapun masih dihadirkan, dibawa dari rekaan sama yang ada pada Proton X90. Ini adalah pendekatan rekaan wajah depan yang sama dipertontonkan untuk model lain Proton sebelumnya: dengan gril dalam rekaan “Infinite Weave” serta “Ethereal Bow” yang dinyatakan tadi — dilengkapi dengan logo harimau terbaru Proton di tengah.
Di belakang mungkin bahagian yang menampilkan rekaan luar paling menarik untuk Proton S70: jalur lampu LED-nya memanjang, dan terdiri daripada 190 biji LED. Ketika kunci di buka, jalur lampu tersebut akan mempamerkan gerakan atau “persembahan” menarik, yang tak pernah ada ditawarkan untuk sedan segmen B sebelum ini. Selain itu, tidak lupa, rekaan rim 17-inci yang diberikan juga merupakan rekaan baru untuk model Proton. Dan, satu lagi “yang baru” untuk S70 — warna hero Teal Bayu Green diperkenalkan pertama kali untuk model ini.
Tentang lokalisasi Proton S70 pula, pembangunannya melibatkan sebanyak 283 pembekal tempatan dengan sejumlah 453 bahagian baru dibangunkan, antara lain melibatkan pertukaran dari tataletak pemanduan sebelah kiri kepada pemanduan sebelah kanan. Untuk tujuan R&D, Proton menghabiskan sebanyak 260,000 jam kerja untuk membangunkan sedan ini untuk pasaran tempatan. Manakala untuk ujian pula, sebanyak 75,000 jam kerja diluangkan dengan jarak ujian keseluruhan meliputi 1.2 juta kilometer telah juga dijalankan bagi memastikan kualiti Proton S70 menepati tahap optimum penggunaan tempatan.
Sedan Proton S70 ini juga mempunyai 145 bahagian yang melibatkan aktiviti pemasangan tempatan serta 24 bahagian yang khusus dibangunkan oleh Proton. Menurut Proton, kandungan tempatan S70 setakat ini berada pada tahap 55%, dengan sasaran untuk mencapai tahap 70% kandungan tempatan dalam tempoh beberapa tahun ke hadapan.
Hal ini bagaimanapun masih berada di belakang model-model Perodua, yang secara puratanya akan melibatkan 90% kandungan tempatan ketika pelancarannya. Disebabkan hal itu, mungkin akan ada bahagian pada S70 ini yang masih kelihatan menggunakan logo atau nama Geely, misalnya di bahagian sunroof.
Beralih kepada enjin pula. Jika Geely Emgrand menggunakan unit enjin 1.5 liter NA, Proton S70 pula telah disahkan bakal dilengkapi dengan enjin turbo unit 1.5 liter tiga-silinder yang turut digunakan untuk X50 Standard dan Premium, dan bukannya unit 1.5 liter TGDi dengan janaan 177 PS/255 Nm yang digunakan untuk X50 Flagship dan X70 MC.
Sama seperti varian X50 selain Flagship, unit enjin 1.5L PFI tersebut menjana sejumlah 150 PS/226 Nm output untuk Proton S70 juga. Sekadar perbandingan, Civic dengan enjin 1.5 liter empat-silinder VTEC turbo menghasilkan kuasa sebanyak 182 PS dan 240 Nm — 32 PS dan 14 Nm lebih tinggi berbanding Proton S70.
Enjin 1.5 liter turbo PFI tersebut tentunya dipasangkan di Tanjung Malim, Perak, sejak untuk kegunaan SUV X50 lagi. Kini dilanjutkan penggunaannya bagi sedan Proton S70 ini. Sedangkan, enjin 1.5L NA oleh Geely yang digunakan untuk Emgrand pasaran luar pula belum pernah digunakan oleh mana-mana model Proton.
Disebabkan itu jugalah, pemilihan enjin turbo berkenaan boleh dijangka dan merupakan pilihan paling praktikal dari aspek skala ekonomi dan akan memudahkan Proton untuk merencanakan pengeluarannya di sini. Sistem janaan kuasa bagi S70 ini digandingkan pula dengan transmisi klac basah DCT tujuh-kelajuan (7DCT), yang juga sudah pernah digunakan untuk model Proton sebelum ini.
Ruang dalaman Proton S70 juga kelihatan sedikit lebih premium berbanding dengan model Emgrand yang dijual di pasaran Filipina dan juga bahkan di China. Sebagai contoh, tombol gear S70 lebih pendek dengan permukaan sentuhan yang luas, sama seperti yang digunakan untuk model X90, yang tentunya nampak lebih premium.
Lain-lain bahagian yang dikongsi dengan model Proton yang lain termasuklah roda stering yang sama dengan X50. Banyak bahagian dalaman sedan ini juga diberikan material sentuhan lembut, dengan adanya juga corak permukaan yang diilhamkan dari corak songket — terutamanya di bahagian papan pemuka dan perehat lengan di pintu.
Aspek pemanduan dan kendalian juga menurut Proton telah banyak penambahbaikan dilakukan terhadap Proton S70 berbanding Emgrand: S70 ditala dan disesuaikan untuk penggunaan di jalan raya Malaysia, dengan menjadikannya lebih dinamik untuk kawalan yang lebih baik dari segi pemanduan lebih tangkas, dan bukannya dengan tetapan lembut untuk keselesaan maksimum seperti yang diberikan di pasaran lain.
Selain itu, Proton S70 juga hadir dengan tiga mod pemanduan: Eco, Sport dan Comfort. Skrinnya juga dilengkapi dengan saiz 10.3-inci untuk paparan kombinasi meternya, sementara untuk infotainmen ia menerima skrin sentuh bersaiz 12.3-inci — dengan sistem yang hadir bersama kapasiti storan 64 GB serta 6 GB memori.
Seperti yang pernah diperincikan, Proton S70 akan ditawarkan dalam empat varian — Executive, Premium, Flagship dan Flagship X. Beza bagi varian ‘X’ adalah ia melibatkan tambahan ciri sunroof dan juga pilihan warna eksklusif Quartz Black. Tiada lagi varian Standard seperti model lain Proton ditawarkan.
Ketika sesi bersama media, hanya varian Flagship dan Flagship X dipertontonkan. Ciri canggih yang ada pada varian tinggi ini (seperti lampu LED, lampu belakang LED, rim 17-inci, panel meter digital, skrin infotainmen) bagaimanapun tidak ditawarkan untuk varian Executive. Ini mungkin akan menjadikan harga varian asas berkenaan lebih rendah dan membolehkannya lebih mudah diakses oleh ramai pelanggan.
Semua varian menggunakakn sistem janaan 1.5T 7DCT yang sama, hadir dengan enam beg udara, bantuan menukar lorong dan brek parkir elektronik. Varian Executive datang dengan kerusi balutan fabrik, lampu halogen, rim 16-inci dan head unit 8.0-inci. Untuk mendapatkan lampu LED (projektor) dan lampu belakang LED, pelanggan perlu memilih varian Premium, yang juga datang dengan kemasan balutan kulit buatan, kawalan pendingin automatik dan kamera undur.
Untuk sistem bantuan pemandu ADAS pula hanya diberikan untuk varian Flagship ke atas. Ciri seperti AEB dengan amaran perlanggaran depan, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, amaran penukaran lorong dengan penghindaran, kawalan ke tengah lorong, maklumat papan tanda trafik, kawalan lampu tinggi pintar, amaran titik buta, amaran membuka pintu, amaran perlanggaran belakang dan amaran lintasan trafik belakang.
Varian Flagship juga datang dengan sistem peninjau tekanan tayar, rim aloi 17-inci, dua skrin kokpit (10.3-inci untuk meter, 12.3-inci untuk infotainmen), pengecas tanpa wayar, kerusi pemandu larasan kuasa dan kamera keliling dengan paparan 3D.
Pilihan warna untuk Flagship X pula ada juga Snow White, Space Grey, Marine Blue dan Teal Bayou Green. Dapat juga dilihat daripada gambar yang ada ini, satu unit S70 biru gelap dengan bodykit lengkap. Masih belum ada apa-apa perincian tentang hal ini, jadi perlu menunggu sehingga tarikh pelancarannya nanti.
Ketika sesi taklimat bersama media untuk mendekati Proton S70 ini di Pusat Kecemerlangan Proton, Shah Alam tempohari juga, kami sempat duduk di dalam kabinnya dan melakukan pandu uji ringkas untuk merasakan sendiri apa yang ada untuk ditawarkan oleh sedan ini, dalam persekitaran litar ujian Proton tentunya.
Antara yang menarik untuk dinyatakan di sini adalah, terdapat dua set model penanda aras dan juga pesaing yang turut dibawakan sebagai perbandingan — walaupun satu set daripadanya tidak begitu ada kena-mengena dengan model dalam segmen yang dihuni S70.
Di bawah khemah, turut dipamerkan secara statik bersama Proton S70 ialah model BMW 2 Series Grand Coupe dan juga Mercedes-Benz A Class Sedan — yang dihasratkan sebagai perbandingan. Ini kami rasakan sebuah perbandingan yang tidak setara dan sama sekali tidak tepat, tetapi Proton mempunyai alasan yang tersendiri. Proton ingin menunjukkan betapa syarikat itu yakin yang kualiti buatan dan penggunaan material, terutamanya di bahagian dalaman S70, sudah banyak peningkatan dan semakin menuju ke arah penawaran premium menerusi dua contoh yang dinyatakan itu.
Walaupun mungkin ada kebenarannya bahawa kualiti kabin Proton S70 lebih menarik dan ada rasa premium kini, tetapi ia bukanlah untuk dibandingkan dengan model dari BMW atau Mercedes-Benz. Perbandiangan statik yang lebih masuk akal tentulah dengan Honda Civic dan juga Toyota Corolla Altis dari segmen C, segmen yang selalu disebut Proton untuk memposisikan S70 ini.
Set pesaing kedua lebih berjejak, dengan Proton menampilkan dua sedan dari segmen B, iaitu Honda City dan juga Toyota Vios. Mengapa dua model ini dihadirkan? Tentulah untuk memberi petunjuk kepada tanda harga yang bakal diletakkan untuk Proton S70 nanti. Tetapi, apa yang lebih menarik ialah ujian yang melibatkan S70 dengan sedan segmen B ini ialah prestasi pecutan dari kedudukan pegun.
Sekurang-kurangnya untuk unit yang disediakan ketika itu, memang ada terasa perbezaan penyampaian S70. Sistem janaan kuasa Proton S70 dengan jelas mempunyai kelebihan dari aspek ini. Ia memang memerlukan sedikit masa untuk melonjak dari kedudukan statik, namun sebaik sahaja sudah mendapat momentum pecutan dalam garis lurus, S70 terus mendahului di depan — hanya setelah mencecah kelajuan 100 km/j, barulah brek ditekan.
Honda City, dengan kotak gear CVT, terasa bermula agak perlahan dan berat, manakala Toyota Vios yang paling lambat untuk sampai kepada kelajuan tersebut di antara ketiga-tiganya. Dari sini, kombinasi enjin 1.5 liter turbo pada Proton S70 dengan 7DCT ternyata memberi kelebihan dari sudut prestasi.
Ketika ujian laluan slalom juga S70 menunjukkan kemampuan kendalian yang meyakinkan. Suspensinya tidak terlalu lembut sehingga membuatkan kereta ini kuat beroleng dan susah dikawal, tetapi dalam masa yang sama ia cukup selesa untuk dipandu dalam keadaan biasa. Ini kompromi yang dilakukan terhadap S70 berbanding Emgrand, khusus untuk keadaan pemanduan di Malaysia. Hal yang sama dapat diperhatikan ketika melalui permukaan jalan yang tidak rata: hentakannya tidak banyak dirasakan, dan keadaan dalam kabin tetap selesa dan begitu senyap.
Bercakap tentang kabin, ruang dalaman S70 berada dalam kelompok yang sama seperti pesaingnya dari segmen B iaitu Vios dan City. S70 tidak dirasakan mempunyai keluasan yang terlalu jauh berbeza daripada Vios — dan ruang kepala untuk bahagian belakang Vios memang agak terhad. Untuk S70, pemandu dan penumpang bahagian depan mungkin lebih mudah untuk berada dalam keadaan selesa dengan ruang yang memadai. Tetapi, penumpang di bahagian belakang mungkin perlu bertolak ansur dengan ruang kaki yang sedikit terhad, apa lagi jika pemandu atau penumpang depan adalah orang yang tinggi.
Tidak dinafikan kelengkapan atau ciri yang ada dalam ruang kabin Proton S70 ini lebih menawan dan menarik berbanding City dan Vios. Lihat bahagian skrinnya sahaja sudah cukup untuk menunjukkan hal ini. Begitu juga dengan material sentuhan lembut serta corak songket yang dimaksudkan, ia memberikan sedikit kelebihan kepada S70, dan menyuntik elemen tempatan dengan bergaya.
Berdasarkan pengalaman ringkas bersama Proton S70, agak jelas model sedan terbaru berkenaan mempunyai kelebihan berbanding model sedan dari segmen B yang lain, bahkan tidak berlebihan jika dinyatakan ia mengatasi dari beberapa sudut, terutamanya dari segi prestasi kerana penggunaan enjin turbonya. Untuk dibandingkan dengan pesaing segmen C ketika ini, S70 mungkin perlu diberikan peningkatan lain untuk berada setara dengan penawaran pesaing yang dimaksudkan itu.
Semua ini akan jadi lebih menarik, bergantung kepada tanda harga yang akan diletakkan untuk Proton S70. Kami jangkakan ia akan berada dalam julat yang tidak begitu jauh dari pesaing segmen B, dengan varian Executive yang paling asas mungkin berada pada takat yang lebih mudah diakses oleh kebanyakan orang. Apa pun, untuk harganya, kita perlu tunggu sehingga pelancarannya nanti.
Jadi, setakat ini, apa pandangan anda tentang Proton S70 terbaru?
Kerajaan telah memulakan rundingan bersama syarikat pengendali lebuhraya dengan menyasarkan untuk mengekal atau mengurangkan kadar tol di 19 lebuhraya, menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Abdul Rahman Mohamad, laporan The Edge. Syarikat pengendali tersebut termasuk Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR), Projek Lintasan Kota Holdings (Prolintas), IJM, ANIH dan PLUS. Walau bagaimana pun, beliau tidak memperincikan tawaran bagi lebuhraya mana yang sedang dalam proses rundingan.
Pada tahun 2022, ALR mengambil alih empat lebuhraya dari Gamuda dan kini mengendalikan LDP, Sprint, Kesas dan Terowong Smart. Prolintas pula masih menjadi pemegang konsesi bagi enam lebuhraya iaitu AKLEH, Lebuhraya Guthrie, Kajang SILK, SUKE dan DASH. Manakala IJM pula mengendalikan empat lebuhraya iaitu Besraya, NPE, LEKAS dan Lebuhraya Pantai Barat di bawah WCE Holdings.
Sementara PLUS pila mengendalikan Lebuhraya Utara-Selatan, NKVE, Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Lebuhraya Elite dan Lebuhraya Butterworth-Kulim. Malah Lingkaran Kedua Malaysia-Singapura dan Jambatan Pulau Pinang juga di bawah kendalian PLUS.
Manakala lebuhraya utama dari KL menuju ke pantai timur pula terbahagi kepada dua dengan ANIH mengendalikan Lebuhraya KL-Karak dan LPT1, dan LPT2 pula dikendalikan oleh LPT2 Sdn Bhd.
Abdul Rahman berkata sebarang cadangan untuk menstruktur semula perjanjian konsesi bergantung kepada perbincangan dengan syarikat konsesi dan kerajaan, tertakluk kepada kelulusan daripada Kementerian Kewangan.
“Keputusan mengenai kadar tol mesti dibuat secara holistik dan konklusif, dengan mengambil kira implikasi kewangannya yang ketara dan keperluan untuk mengekalkan keyakinan pelabur, mematuhi syarat perjanjian konsesi, dan memastikan tanggungjawab pemegang konsesi terhadap pengurusan dan kos aset lebuh raya, akhirnya meringankan beban kewangan masa depan kerajaan.
“Walaubagaimana pun, cadangan tersebut memerlukan kajian menyeluruh, dan dianggarkan bahawa pemansuhan tol di seluruh negara akan menelan belanja sekitar RM400 bilion,” kata Ahli Parlimen Lipis itu.
Akhbar tersebut turut berkata kenyataan Abdul Rahman mengesahkan laporannya pada Mei yang mengatakan kerajaan sedang mengkaji untuk melanjutkan tempoh konsesi bagi semua lebuh raya di Semenanjung Malaysia bagi mengelak kenaikan tol. Lanjutan itu boleh dilaksana selama 30 tahun, tertakluk kepada kelulusan kabinet, kata sumber.
Rundingan tersebut sangat diperlukan kerana syarikat konsesi memiliki hak untuk menaikkan kadar tol, mengikut perjanjian masing-masing. Untuk tidak menaikkan kadar tol, kerajaan harus membayar pampasan kepada syarikat konsesi menggunakan wang dari pembayar cukai. Sebagai contoh, tahun lalu, kerajaan mengeluarkan sebanyak RM861.22 juta untuk mengekalkan kadar tol.
Dengar saja nama Mitsuoka, yang minat model-model pasaran domestik Jepun (JDM) pasti terbayang model-model ‘rojak’ yang dihasilkan pengeluar unik dari Jepun ini. Mitsuoka lazimnya akan mengambil model-model produksi dari pengeluar-pengeluar arus perdana Jepun, kemudiannya merubahnya dengan gaya retro dan selepas itu menjualnya semula sebagai model baharu.
Bagi menyambut ulangtahunnya yang ke-55, Mitsuoka menghasilkan satu model konsep yang dinamakan sebagai M55 (disebut sebagai M double five) Concept. Seperti yang anda boleh lihat, ia dihasilkan dengan rupa seakan sebuah kereta Muscle Amerika, tetapi bentuk dari tiang-A, pintu hadapan, belakang dan cermin suku belakang serta tiang-C pada kereta ini mendedahkan ia diasaskan dari Honda Civic Hatchback FL1.
Tidak banyak perincian yang disebut oleh Mitsuoka dalam laman web rasminya, namun ia ada menyebut mengapa M55 Concept ini direka sedemikian rupa.
“Bagi syarikat kami yang diasaskan pada tahun 1968, tahun 1970-an merupakan era penting yang meletakkan asas untuk perniagaan hari ini. Ketika itu, ada deras tenaga dalam diri kami yang penuh dengan impian dan harapan. Identiti Jepun Amerika juga mempengaruhi reka bentuk kereta. Ketika tempoh pertumbuhan ekonomi yang pesat, prestasi kereta bertambah baik dan kereta jenis GT muncul. Televisyen berwarna, penyaman udara dan kereta disifatkan sebagai tiga khazanah suci baru, juga menjadi sangat popular,” kata Mitsuoka.
Sememangnya pada era berkenaan Jepun sedang cuba bersaing tidak kira dari segi ekonomi dan teknologi untuk menjadi setara dengan dunia barat. Ia juga bermula di mana pengeluar-pengeluar kereta di Jepun mula mengeluarkan kereta-kereta yang sporty, dengan rekaan ditiru dari kereta Amerika Syarikat.
Lihat sahaja Nissan Skyline GT-R KPGC110 1973 dihasilkan dengan rupa seakan Dodge Challenger, manakala Toyota Celica Liftback 2000 GT RA28 1973 pula menampilkan bahagian belakang seakan Ford Mustang. Dan inilah yang dicurahkan pada Mitsuoka M55 Concept.
Bahagian hadapan Civic FL1 ini telah ‘disumpah’ dengan bonet, fender sisi, bampar, lampu bulat berkembar dan juga gril menyerupai Dodge Challenger. Sementara bahagian pintu hatch belakang Civic yang direka landai, Mitsuoka menghasilkan lampu belakang bersama kemasan penutup but dan juga louvre pada cermin belakang seakan Ford Mustang Mach 1.
Pada bahagian dalam, M55 Concept ini masih mengekalkan papan pemuka dan juga roda stereng asal Civic, cuma logo ‘H’ pada bahagian tengah roda stereng tersebut telah diganti dengan logo Mitsuoka. Dan dengan tombol gear dan pedal klac yang kelihatan, ia turut mendedahkan Mitsuoka memilih Civic dalam varian dengan kotak gear manual bagi menghasilkan M55 ini.
Selain itu tempat duduk asal Civic tersebut telah dibalut semula dengan material yang nampak seperti kulit, sekali lagi dengan gaya American Muscle menampilkan kemasan cecincin aloi. Logo Mitsuoka turut ditekap pada perehat kepala bersama tulisan “Mitsuoka M55 Concept” pada perehat belakang tempat duduk hadapan.
Di Jepun, Civic FL1 yang hadir dengan pilihan kotak gear manual enam-kelajuan (tidak termasuk Civic Type R FL5) hanyalah dengan enjin 1.5 liter empat-silinder VTEC Turbo. Sama dengan enjin yang dipadankan pada Civic sedan FE di Malaysia, ia menghasilkan kuasa 180 hp (182 PS) dan tork maksima 240 Nm.
Mitsuoka tidak mengumumkan sama ada M55 ini akan dihasilkan dalam versi produksi untuk dijual atau tidak. Namun untuk pelanggan yang mahu melihatnya dengan lebih dekat, kereta konsep ini akan dipamerkan di bilik pameran Mitsuoka Azabu pada 24 November dan 16 Disember 2023, dan juga di bilik pameran Mitsuoka Toyama pada 12 dan 28 Januari 2024.
Apa pendapat anda dengan model konsep ini, cantik atau tak masuk akal? Kongsikan pendapat anda pada ruangan komen di bawah atau pada laman-laman sosial kami.
Selepas diberi peningkatan pada tahun 2021, CB500X kini diperbaharui lagi dengan diberi beberapa peningkatan, tetapi namanya telah ditukar kepada NX500 untuk mengikut model dual sport NX650 Dominator tahun 80-an yang popular di Eropah.
Bentuk asas motosikal ini masih sama tetapi kesemua panel badannya telah diubah, termasuk lampu LED hadapan dan belakang, dengan rekaan yang lebih kemas dan bersih. Rekaan rim 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakangnya juga adalah baru, dan mencatat berat tiga kilogram lebih ringan berbanding rim CB500X.
Pada bahagian kokpit, NX500 mendapat skrin TFT lima inci berwarna penuh, yang boleh dihubungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi Honda RoadSync dan memaparkan informasi penting termasuk penunjuk arah navigasi. Selain daripada itu, model ini juga mendapat sistem kawalan cengkaman Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang boleh ditutup jika mahu.
Enjin masih lagi sama, iaitu unit dua silinder selari 471 cc, mampu menghasilkan 47 hp pada 8,600 rpm dan tork 43 Nm pada 6,500 rpm, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist serta sistem pacuan rantai.
Memegang roda motosikal ini adalah suspensi yang terdiri daripada fork USD Showa Separate Function Fork Big Piston (SFF-BP) 41 mm tanpa pelarasan dan monoshock dengan pelarasan pra beban, sementara brek pula terdiri daripada set cakera berkembar 296 mm dengan angkup dua piston di hadapan, dan cakera tunggal 240 mm dengan angkup satu piston di belakang.
Turut diberi pada NX500 adalah termasuk tangki bahan api 17.5 liter dan brek ABS dual-channel. Berat keseluruhan NX500 adalah 196 kg termasuk minyak dan tinggi tempat duduknya adalah 830 mm dalam keadaan standard. Tiga pilihan warna disediakan untuk pasaran Eropah iaitu Grand Prix Red, Matt Gunpowder Black Metallic dan Pearl Horizon White.
Tawaran yang betul-betul menarik pasti berbaloi untuk dipertimbangkan. Yang dimaksudkan di sini adalah barisan kenderaan terpakai Volvo di acara Extravaganza Hujung Tahun di Sime Darby Motors, yang dibawakan secara eksklusif oleh Sime Darby Swedish Auto.
Berkunjunglah ke Volvo Ara Damansara hujung minggu ini — 17-19 November, dari 9 pagi hingga 6 petang — untuk mendekati barisan kenderaan terpakai Volvo yang berkualiti tinggi dan sebaik kenderaan baharu. Semua kenderaan terbabit masih dengan jumlah perbatuan yang rendah, dan ada sebahagiannya dilengkapi dengan dashcam dan aksesori Polestar. Juga, semuanya datang dengan jaminan pengeluar dan pakej servis Volvo Service Agreement 5 Plus (VSA 5+) untuk ketenangan pemilikan pelanggan.
Dari SUV tujuh-tempat duduk flagship dan bergaya XC90 hinggalah kepada sedan sports Volvo S60, pasti ada sesuatu untuk anda. Bahkan, untuk peminat wagon, ada V60 versi berkenaan yang cantik menanti untuk lebih dihargai penggemarnya.
Turut ada ialah pakej eksklusif untuk model Volvo Recharge dan bukan-Recharge baharu. Beli sebuah EV dan anda akan menerima wallbox percuma. Sebagai pilihan lain pula, anda juga berpeluang bawa pulang cenderahati bernilai RM5,000 untuk model-model bukan-Recharge.
Kunjungi lalan Instagram dan Facebook rasmi Sime Darby Swedish Auto untuk kemaskini semasa. Ini merupakan tawaran sekali sepanjang tahun daripada Sime Darby Swedish Auto dan jangan ketinggalan! Jumpa anda hujung minggu ini!
Honda City memang termasuk dalam promosi jualan besar-besaran hujung tahun oleh Honda Malaysia, dan khas untuk penjawat awam, ada promosi khas ditambahkan untuk anda. Di mana ia hanya untuk kakitangan sektor awam sahaja.
Promosi ini hanya melibatkan varian City E dan V, yangb ditawarkan dengan diskaun sebanyak RM1,800. Dan jika ditambah dengan promosi yang ditawarkan sepanjang November 2023, tambahan RM4,000 untuk City E dan V, berserta dengan pakej lapisan filem cermin ecotint bernilai RM2,200 untuk kedua-dua varian, yang keseluruhannya mencecah RM8,000.
Memang cukup besar juga diskaun yang ditawarkan untuk model segmen-B ini, rasanya tidak pernah insentif sebegini diberikan untuk Honda City. Kalau ada penjawat awam yang berminat untuk menjadi ‘Bangsa H’, promosi ini akan berakhir pada 30 November 2023.
senarai promosi Honda Malaysia untuk November 2023 – klik untuk besarkan
Jika mahukan varian City S dan RS, varian asas dan yang tertinggi ini menerima diskaun sebanyak RM2,000 uhtuk sepanjang bulan ini.
Selain City, promosi sepanjang November ini turut melibatkan model Civic, HR-V dan WR-V, anda boleh semak senarai di atas untuk mengetahui model yang terlibat. SUV CR-V generasi-keempat pula sudah dibuka tempahan dan bakal dilancarkan bulan hadapan.
KTM telah memperkenalkan 990 Duke, yang mereka panggil sebagai motosikal naked kelas pertengahan paling ringan, tepat dan berprestasi, yang pernah menggunakan nama Duke. Mereka yang mencari tunggangan agresif dan lincah, inilah dia motosikalnya.
Model ini menggunakan banyak bahagian baru, bermula dari kerangka, yang terdiri daripada binaan besi di hadapan dan alumninium tempa untuk bahagian belakang. Kemudiannya, ia disambung kepada lengan ayun aluminium yang dikatakan mempunyai kadar lentur sempurna untuk berhadapan dengan tunggangan mencabar.
Seperti biasa bagi sebuah Duke, model 990 ini menggunakan rekaan tajam, yang sudah tentunya adalah baru, tetapi masih mengekalkan rupa agresifnya. Menjadi perhatian adalah unit baru lampu hadapannya, yang mempunyai DRL dengan keterangan boleh laras secara sendiri di bahagian tepi, dan lampu utama LED di bahagian tengah.
Penggerak 990 Duke ini adalah enjin LC8c dua silinder selari 947 cc sama seperti 890 Duke R, tetapi ia telah menerima banyak peningkatan termasuk pada piston, crankshaft dan conrod baru bagi meningkatkan kuasa menjadi 123 hp dan tork 103 Nm. Melengkapkan naik taraf ini adalah profail camshaft lebih agresif, radiator lebih lebar serta sistem ekzos serba baru. Transmisi adalah unit enam kelajuan.
Bagi memastikan penunggang dapat menikmati kuasa ini dengan motosikal yang mudah dikendalikan, suspensinya dipasang dengan fork WP Apex 43 mm dengan pelarasan mampatan dan pra beban di hadapan dan monoshock WP Apex Monotube dengan pelarasan lantunan dan pra beban di belakang, manakala brek pula terdiri daripada set cakera 300 mm dan angkup empat piston berkembar di hadapan dan cakera 240 mm dengan angkup dua piston di belakang.
Di hadapan penunggang terdapat panel skrin TFT lima inci berwarna untuk memaparkan segala informasi penting, dan ia juga boleh disambungkan kepada aplikasi KTMConnect di telefon pintar (pilihan tambahan). Turut diberi adalah soket pengecas USB-C.
Pada bahagian elektronik, 990 Duke menyediakan tiga mod tunggangan dalam keadaan standard (Street, Sport dan Rain), tetapi boleh ditambah dengan dua lagi mod iaitu Performance dan Track yang memberikan pelarasan sendiri kuasa, kawalan cengkaman, angkatan tayar hadapan dan maklum balas kuasa kepada penunggang.
Selain daripada itu, 990 Duke turut dilengkapi dengan Launch Control serta ABS dengan mod Supermoto. Rim menggunakan unit 17 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang. Berat keseluruhan 990 Duke adalah 179 kg (tanpa minyak) dan ia datang dengan tangki bahan api 14.8 liter.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan separuh daripada hasil penjualan nombor pendaftaran istimewa kenderaan akan dikembalikan kepada kementerian agar pihaknya dapat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk rakyat.
Jelasnya, perkara itu mendapat persetujuan daripada Kementerian Kewangan dan ia akan dimulakan pada tahun depan, laporan Harian Metro.
“Kementerian Kewangan telah bersetuju apa saja inisiatif kita, penjualan nombor pendaftaran istimewa ini 50% daripada hasil itu akan dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan untuk kita laksanakan pelbagai inisiatif untuk rakyat.
“Umpamanya kita nak tambah bilangan untuk mendapatkan lesen memandu B2. Ramai Ahli Parlimen minta di kawasan mereka supaya ditambah latihan. Itu diberi kepada B40, supaya dapat lesen secara percuma. Kita akan tambah tapi peruntukan itu perlu datang daripada hasil penjualan nombor pendaftaran istimewa ini yang kita akan buat dalam kadar segera tahun baru akan datang,” katanya.
Perkara ini dinyatakan sewaktu menggulung perbahasan Belanjawan 2024 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat semalam.
Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid telah memaklumkan sebanyak 44 laluan di Taiping akan ditutup dan dilencongkan bagi menjayakan acara Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah 2023 pada Ahad ini, 19 November 2023.
“Penutupan dan lencongan itu akan dilaksanakan bermula 5.15 pagi Ahad sehingga program berkenaan selesai.
“Larian itu akan bermula di Dataran Warisan Taiping dan laluan terlibat ialah Jalan Alang Ahmad/Public Bank, Jalan Manecksha, Jalan Alang Ahmad/Jalan Kota (Nafis Kitchen), Jalan Pasar/Jalan Alang Ahmad (7Eleven) dan Jalan Tamingsari (menghala ke Dataran Warisan dan IPD Taiping),” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Tambahnya, laluan lain yang turut terlibat termasuklah Jalan Ong Saik/Jalan Barrack (menghala ke pejabat pos), Jalan Lim Tee Hooi, Jalan Lim Teong Chye, Jalan Panglima Ah Chong, Jalan Chun Thye Ping, Lorong Arasarathnam (hadapan Hong Leong Bank), Jalan Yusof (sebelah Hong Leong Bank), Jalan Abdul Jalil (tepi Hospital Taiping), pintu belakang Hospital Taiping (dibuka untuk ambulans sahaja) dan lampu isyarat Jalan Stesyen/Assam Kumbang (tutup hala ke Taiping).
Ia juga membabitkan susur dari stesen minyak BHP Taman Happy Park menghala ke pasar raya Lotus, simpang Taman Zenith, Jalan Anak Bukit, lampu isyarat Hotel Sense (kenderaan dari hotel hala ke Kamunting), simpang ke Hospital Columbia Asia, Jalan Kelab Lama (Dewan Serbaguna IPD Taiping), simpang Jalan Muzium/Jalan Temenggung (TMGS), lorong Kuarters Penjara (belakang Muzium Taiping) dan lorong Kuarters Penjara sepanjang Jalan Taming Sari.
Selain itu, lampu isyarat Penjara Taiping (menghala ke Jalan Kamunting Lama sahaja), Jalan Lumba Kuda (SK(P) Treachers Methodist), Lorong SP/2, Simpang 3 Hotel Grand Baron, Simpang 3 Taman Botani dan Simpang 3 Jalan Padang Tembak juga ditutup dan dilencongkan.
Laluan lain yang terlibat juga termasuk di lampu isyarat Masjid Kamunting, lampu isyarat Hotel SSL (menghala ke Penjara Taiping), simpang masuk dan keluar kedai ECO Kamunting, lampu isyarat Bukit Mas, simpang masuk dan keluar Taman Dato Seri Razak dan simpang Jalan Kamunting Lama/Taman Lake View.
Ia turut membabitkan Simpang Jalan Kamunting Lama/Taiping Vista Hill, simpang New Club (Mess Pegawai Tentera), Dataran Kedamaian, simpang Tasik Lestari/Taman Aun Say (menghala ke Zoo Taiping), Simpang 3 Kamal Bina/Jalan Samanea Saman, hadapan Dewan Persatuan Tiong Hua (Jalan Taman Tasik), simpang keluar dan masuk KFC Jalan Taman Tasik dan Taman Tasik (belakang Nasi Kandar Beratur) juga terlibat dengan acara itu.
“Pihak polis menasihati orang ramai supaya menggunakan laluan lain sebagai jalan alternatif dan mematuhi semua papan tanda serta arahan yang diberikan.
“Pengguna yang hendak melalui jalan-jalan berkenaan juga dinasihatkan agar merancang perjalanan dan memberi kerjasama bagi mengelak sebarang kesulitan, selain memastikan kelancaran aliran trafik di kawasan itu,” katanya lagi.
Angka jualan UMW Toyota Motor (UMWT) bagi Oktober 2023 cukup memberangsangkan. Dengan mencatat 10,931 unit termasuk 222 unit kenderaan Lexus, menjadikannya angka jualan bulanan tertinggi bagi tempoh lima tahun terakhir untuk syarikat tersebut.
Bulan lalu, Toyota memperkenalkan model Alphard dan Vellfire generasi keempat serba baru. Menurut Toyota, MPV mewah tersebut mencatatkan penanda aras baru bagi ciri canggih dan mewah yang ada di dalam sesebuah kenderaan. Dua varian ditawarkan, iaitu Alphard 2.4T Executive Lounge dengan harga RM538k dan Vellfire 2.5L dengan harga RM438,000.
“Dalam landskap automotif yang selalu berubah, Toyota Alphard dan Vellfire berada di depan dalam penawaran inovasi dan kecanggihan. Ia menetapkan standard baru untk kemewahan dan prestasi dalam segmen MPV, mencerminkan komitmen kami untuk memberikan kenderaan yang melangkau jangkaan,” ujar Presiden UMWT, Datuk Ravindran K.
UMWT dalam usaha untuk mengakhiri tahun ini dengan jualan yang kukuh, dan akan memperkenalkan promosi khusus tahun ini di bawah Celebrate the Symphony of Lights. Pelanggan boleh menikmati pembiayaan 100% untuk model terpilih, dengan manfaat promosi sehingga RM15,000. Juga, program Toyota Service Savers menawarkan ansuran bulanan mudah bermula serendah RM18.
Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan melahirkan rasa bimbang berikutan jumlah pemandu warga asing (Pewa) yang memandu kenderaan komersial tanpa lesen kini semakin meningkat.
Menurutnya dalam laporan Sinar Harian, perkara ini boleh memberi kesan sangat buruk kepada pengguna jalan raya lain.
“Kita melihat tindakan Pewa membawa kenderaan persendirian atau komersial tanpa lesen merupakan satu kesalahan besar serta sangat serius.
“Ini kerana mereka tidak pernah dilatih menggunakan atau mengendalikan kenderaan di atas jalan raya. Tindakan seumpama ini boleh mengundang risiko besar kepada banyak pihak yang sama-sama menggunakan jalan raya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Perkhidmatan Awam oleh JPJ bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam.
Operasi bersepadu itu dibuat bermula dari jam 3 pagi sehingga 9 pagi di sekitar Laluan Masuk melalui arah Kajang-Puchong ke Putrajaya, melibatkan seramai 40 pegawai dan anggota JPJ dan 150 petugas JIM. Dalam operasi ini sahaja seramai empat Pewa berjaya ditahan.
Menurut Lokman sebanyak 2,665 notis kesalahan dikenakan sepanjang tempoh 13 hari operasi bersepadu dilaksanakan bermula 1 November. Beliau menyatakan tindakan Pewa melakukan kesalahan jalan raya ini dilihat sangat serius dan membimbangkan.
Lokman turut memaklumkan sebanyak 224,616 kenderaan diperiksa menerusi Ops Patuh Bersepadu bermula 1 hingga 13 November, dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 21,327 dikenakan tindakan notis saman JPJ (P) 22 di atas pelbagai kesalahan, manakala sejumlah 717 kenderaan disita.
Jun lalu Honda telah melancarkan SUV dengan nama Honda Elevate di India – ia adalah model istimewa untuk pasaran tersebut selepas CR-V dan BR-V dihentikan jualannya di negara berkenaan. Nampaknya selepas India, Elevate di bawa pula ke pasaran Jepun, dan ia dikenali dengan nama WR-V di sana.
Ya, WR-V merupakan nama SUV segmen-A Honda untuk pasaran ASEAN termasuk Malaysia, namun WR-V di Jepun ini merupakan SUV segmen-B yang sedikit kecil berbanding Honda BR-V dan hampir sama seperti saiz HR-V. Ia bakal dijual di bilik-bilik pameran Honda di Jepun bermula musim bunga 2024 dalam tiga varian (X, Z dan Z+) dengan harga bermula dua juta yen (RM62,084).
Untuk lebih spesifik, Honda WR-V pasaran Jepun ini dihasilkan dengan dimensi panjang 4,312 mm, lebar 1,790 mm, tinggi 1,650 mm, jarak roda 2,650 mm, dan ruang but pula adalah seluas 458 liter. Manakala WR-V pasaran Malaysia pula adalah berukuran 4,060 mm panjang, 1,780 mm lebar, 1,576 mm tinggi, jarak roda sejauh 2,485 mm dan ruang but hanya 380 liter.
Buat masa sekarang Honda hanya menyiarkan beberapa perincian awalan bagi WR-V pasaran Jepun ini. Antara yang disahkan adalah unit rangkaian kuasa di mana ia masih menggunakan spesifikasi yang sama seperti Elevate di India iaitu enjin petrol 1.5 liter empat-silinder NA i-VTEC dan juga kotak gear CVT automatik bagi memacu hanya roda hadapan.
Angka kuasa bagi enjin berkenaan masih belum diumum, tetapi bagi Elevate pasaran India ia menghasilkan 121 PS dan tork maksima 145 Nm. Malah untuk pasaran India, Elevate turut hadir dengan pilihan kotak gear manual enam-kelajuan.
Honda juga mengesahkan WR-V pasaran Jepun ini dilengkapi dengan sistem telematik Honda Connect dan juga sistem bantuan pemanduan Honda Sensing. Bagi Honda Sensing, fungsi yang diberikan adalah termasuk brek kecemasan automatik, pengelak salah gerak (hadapan dan belakang), bantuan dan sokongan kekal lorong, cruise control adaptif, pengenal tanda trafik, lampu tinggi automatik dan lain-lain.
Berdasarkan imej yang disiarkan di laman sesawang rasmi Honda Jepun, WR-V JDM berkenaan menampilkan rupa dan spesifikasi yang hampir sama dengan Honda Elevate di India. Antaranya ia dilengkapi dengan skrin sesentuh untuk pemain utama, pendingin hawa automatik dengan liang udara kabin belakang, upholsteru fabrik dan juga paparan instrumen tujuh-inci.
Dengan harga yang diumumkan, WR-V bukanlah model paling murah yang ditawarkan oleh Honda di Jepun. Ia masih lebih mahal dari pelbagai model kei-car dan juga hatchback segmen-B Honda Fit (turut dikenali sebagai Jazz pada pasaran lain). Namun ia masih lebih murah berbanding model seperti MPV Honda Freed dan juga Vezel (atau HR-V di Malaysia).
Lima warna badan ditawarkan untuk Honda WR-V pasaran Jepun ini, dan ia akan hadir dengan pelbagai pilihan aksesori asli dari Honda Access.
Tahun lalu Toyota telah mendedahkan model konsep IMV 0 ketika sambutan ke-60 tahun Toyota Motor Thailand’s (TMT) pada Disember tahun lalu dan ia didedahkan sendiri oleh presidennya ketika itu iaitu Akio Toyoda. Trak pikap konsep modular pelbagai guna itu disahkan bakal muncul dalam versi produksi sebenar, dijangka akan dilancarkan untuk pasaran ASEAN menjelang 2024 atau 2025.
Ia selepas itu muncul lagi dipamerkan di beberapa negara, dikenali dengan pelbagai nama. Ia tampil di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 pada Ogos lalu dengan nama Rangga Concept, kemudian didedahkan pula ketika sambutan ulang tahun ke-35 Toyota Motor Philippines dengan nama Tamaraw Concept.
Dan yang terakhir, model konsep IMV 0 ini turut dibawa ke Japan Mobility Show di Tokyo bulan lalu, di mana presiden dan CEO baharu Toyota, Koji Sato mengumumkan bahawa trak pikap itu akan dilancarkan pada pasaran Asia tidak lama lagi.
Menurut laporan Motortrend dan Road & Track yang sudahpun berpeluang mencuba trak pikap tersebut, model produksi IMV 0 ini mungkin akan digelar sebagai Hilux Champ, dan bakal dilancarkan terlebih dahulu di Thailand, iaitu tempat ia dibangunkan.
Laporan-laporan itu turut menyebut model ini akan dijual lebih murah dari Toyota Hilux iaitu sekitar USD10,000 (RM47,000) sebagai sebuah trak pikap mampu milik untuk pelbagai kegunaan.
IMV 0 ini menampilkan jarak roda yang sama dengan Hilux, berkemungkinan ia menggunakan kerangka ladder frame yang sama. Namun dengan dimensi panjang 5,300 mm, lebar 1,785 mm dan tinggi 1,740 mm, ia adalah 25 mm lebih pendek, sekitar 235-270 mm lebih lebar dan sekitar 50-75 mm lebih rendah berbanding Hilux.
Trak pikap lebih murah ini juga kelak hanya akan hadir dalam versi single cab, tanpa pilihan versi double-cab. Namun apa yang isitmewa, bahagian belakangnya direka dengan flatbed yang sangat modular, membolehkan ia diubahsuai menjadi pelbagai jenis tugas.
Toyota telah mendemonstasikan aspek berkenaan dengan menghasilkan pelbagai bed belakang untuk IMV 0 ini, antaranya sebagai kenderaan kargo, kenderaan servis kecemasan, camper dan overlander, trak makanan dan kafe bergerak, kenderaan sokongan perlumbaan dan kenderaan pengecas EV bergerak.
Menurut laporan Motortrend, bagi membolehkan IMV 0/Hilux Champ ini dijual pada harga yang rendah, secara standard ia akan dijual dengan flatbed belakang tanpa penghadang sisi, tiada brek ABS dan beg udara, namun ia akan ditawarkan sebagai opsyen kepada pelanggan.
Kemasan bahagian kabin pula akan menggunakan material-material seperti plastik dan getah, dan ia turut akan menampilkan tangkai pusing bagi membuka dan menutup cermin tingkap secara manual tanpa bantuan motor elektrik.
Pada bahagian mekanikal pula, IMV 0 ini akan menerima komponen seperti lengan kawalan, spring gegelung hadapan dan spring dedaun di belakang dari Hilux, dan ia boleh diubahsuai untuk mendapatkan kadar berat dengan muatan yang lebih tinggi.
Versi produksi Toyota IMV 0 ini dijangka akan menerima pilihan unit rangkaian kuasa petrol dan diesel yang juga dikongsi dari Hilux. Jadi bagi versi petrol ia mungkin dijana oleh enjin 1TR-FE 2.0 liter empat silinder berkuasa 141 PS dan tork maksima 185 Nm, digandingkan dengan kotak gear lima-kelajuan manual.
Bagi versi diesel pula, ia mungkin akan menerima enjin turbodiesel 2GD-FTV 2.4 liter empat silinder berkuasa 150 PS/400 Nm, bersama pilihan sistem pacuan empat roda.
Trak pikap moden buat masa sekarang semakin mahal memandangkan ia kini dipadankan dengan pelbagai perincian keselamatan dan keselesaan yang semakin baik. Jadi dengan penawaran trak pikap asas yang dihasilkan dengan tujuan utama untuk kegunaan kerja seperti IMV 0 ini mungkin akan memenuhi satu kehendak pasaran yang kini sudah lompong. Apa pendapat anda? Kongsikannya bersama kami pada ruang komen di bawah atau di laman-laman sosial kami.
GALERI: Toyota IMV 0 di Japan Mobility Show 2023
GALERI: Toyota Rangga Concept di Indonesia
GALERI: Toyota Tawaraw Concept di Filipina Concept
Selain GSX-8R, Suzuki juga telah memperkenalkan sebuah lagi model baru yang dipanggil sebagai “crossover tourer“, iaitu GSX-1000GX. Ia akan memberi saingan kepada model seperti BMW S100XR, Kawasaki Versys 1000 atau Tracer 9 GT dalam pasaran.
Asas yang digunakan adalah daripada model sport tourerGSX-1000GT, bermakna ia menggunakan enjin sama, iaitu unit empat silinder 999 cc DOHC yang mampu menghasilkan kuasa 152 PS pada 11,000 rpm dan 106 Nm tork pada 9,250 rpm. Ia dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan quickshifter secara standard.
Untuk menjadikan GSX-1000GX ini lebih tinggi, Suzuki bukan setakat menggunakan fork yang lebih panjang, tetapi juga menggunakan unit dengan sistem kawalan elektronik semi aktif yang dipanggil sebagai Suzuki Advanced Electronic Suspension (SAES).
Suspensi yang datang daripada Showa ini boleh melaras secara automatik mengikut keadaan jalan untuk menjadikan tunggangan lebih lancar dan stabil. Selain daripada itu, tetapan suspensi ini juga akan berubah bergantung kepada mod tunggangan.
Ciri elektronik lain yang disediakan adalah termasuk Cruise Control, Traction Control, Wheelie Control, Roll Torque Control, Cornering ABS serta skrin TFT 6.5 inci yang boleh disambungkan kepada telefon pintar untuk pelbagai fungsi.
Ulang tahun sentiasa manis untuk diingati, dan untuk itu Great Wall Motor (GWM) akan meraikan sambutan ulang tahunnya yang pertama di pasaran Malaysia dengan menawarkan rebat segera sehingga RM20,000 bagi pembelian Ora Good Cat dalam warna terpilih, sepanjang bulan ini.
Anda juga turut berpeluang untuk memenangi hadiah utama bernilai RM18,888 serta pelbagai lagi hadiah lain termasuk telefon pintar Honor X9b yang baru saja dilancarkan, serta pakej perkhemahan Lubar sebaik sahaja tempahan Ora Good Cat anda berjaya dilakukan dalam bulan November ini, dengan pendaftaran kenderaan pula sebelum 31 Disember 2023. Jangan lepaskan peluang ini!
Great Wall Motor Malaysia akan berada di Artbox Malaysia yang berlangsung di medan kereta terbuka Sunway Pyramid (bertentangan Sunway Resort) hujung minggu ini, dari 17-19 November 2023. Ruang pameran GWM berkenaan akan menampilkan model seperti GWM Cannon, Haval H6 dan juga Ora Good Cat. Sesi pandu uji untuk semua model berkenaan juga disediakan; klik di sini untuk tahu lebih lanjut!
Great Wall Motor Malaysia juga memperkukuhkan kedudukannya di sini dengan menandatangani MoU bersama EP Manufacturing Berhad untuk merintis jalan bagi kilang pemasangan tempatan (CKD) di Melaka, dengan menjangkakan lebih banyak barisan model SUV, trak pikap dan EV yang akan dikeluarkan dari sini.
Rangkaian pengedar yang luas menjanjikan kelegaan fikiran, dan rancangan perluasan jenama ini juga menunjukkan ia bakal berkembang lebih pesat. Dengan tawaran masa terhad untuk Ora Good Cat, sekaranglah masanya untuk menikmati nilai terbaik EV bersama Great Wall Motor Malaysia. Jangan lupa untuk berkunjung ke lokasi hujung minggu ini. Klik di sini untuk maklumat lanjut!