Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Zeekr 007 didedahkan – sedan EV bermula RM130k di China, versi satu dan dua motor, bumbung kaca penuh

    Zeekr 007 didedahkan – sedan EV bermula RM130k di China, versi satu dan dua motor, bumbung kaca penuh

    Jenama EV premium di bawah kumpulan Geely, Zeekr sudahpun mendedahkan secara rasmi foto awalan satu lagi model baharunya, kali ini sebuah sedan EV yang digelar sebagai Zeekr 007. Beberapa gambar lain turut tertiris dan disiarkan di laman Weibo Lotus Road Car God sebelum pra-jualan model tersebut di buat di Guangzhou Auto Show akan datang.

    Zeekr 007 ini dibina menggunakan platform PMA2+ yang diasaskan dari Sustainable Experience Architecture (SEA), membolehkan ia menyokong asas sistem elektrikal 800-volt untuk beroperasi. Ia dihasilkan dengan dimensi panjang 4,865 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,450 mm , serta jarak roda sejauh 2,928 mm.

    Untuk peringkat awalan Zeekr 007 akan ditawarkan dalam versi motor tunggal berkuasa 204 PS dan tork maksima 350 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat. Selepas ini ia turut akan tampil dengan versi lebih berkuasa menampilkan dua motor elektrik.

    Zeekr 007 didedahkan – sedan EV bermula RM130k di China, versi satu dan dua motor, bumbung kaca penuh

    Sedan 007 ini tidak menampilkan lampu nyalaan siang dengan elemen rekaan ‘cakaran’ seperti Shooting Brake 001 dan MPV 009 sebelum ini. Sebaliknya ia diberikan satu bar lampu yang merentangi sepenuhnya bahagian muka yang digelar sebagai Zeekr Stargate, menampilkan fungsi interaktif dengan memaparkan tulisan atau imej. Manakala lampu nyalaan siang pula diletakkan di bawah bar lampu utama berkenaan.

    Selain itu bahagian luaran 007 ini turut menampilkan beberapa perincian unik yang lain, antaranya bumbung yang menjadi perumah bagi penderia lidar, pembuka pintu yang digantikan dengan butang terletak di tiang-B dan tiang-C dan juga cermin belakang yang bersambung terus dengan bumbung kaca.

    Dalam gambar yang didedahkan turut boleh dilihat sedan ini dipadankan dengan rim aloi 20-inci, dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport EV tyres bersaiz 255/40 R20.

    Zeekr 007 didedahkan – sedan EV bermula RM130k di China, versi satu dan dua motor, bumbung kaca penuh

    Pada bahagian kabin, sebuah skrin infotainmen besaiz gergasi diletakkan seakan tergantung pada bahagian tengah papan pemuka. Pemandu pula menerima paparan instrumen digital dengan skrin leper bersama paparan head-up yang di pancar ke cermin hadapan, roda stereng dua jejari dan juga tuil tukaran gear yang terletak di kolum stereng.

    Juga dapat dilihat pad pengecas untuk dua telefon pintar terletak di konsol tengah, bersambung dengan perehat tangan dan ruang storan bersaiz besar. Penumpang belakang turut menerima dua liang penghembus sistem pendingin hawa dan juga dua port USB.

    Menurut laporan CarNewsChina, Zeekr 007 ini dijangka akan dijual pada harga bermula 200,000 yuan (RM129,875) sehingga 250,000 yuan (RM162,332).

    GALERI: Gambar rasmi Zeekr 007

    GALERI: Gambar Zeekr 007 yang tetiris

     
     
  • Jalan sekitar MBPJ, PJ State tutup dari Jumaat malam hingga petang Ahad untuk Karnival Santai Budaya

    Untuk penduduk Petaling Jaya atau pun yang bekerja di sekitar PJ State, MBPJ telah mengumumkan penutupan beberapa jalan di sekitar Menara MBPJ, untuk menjayakan acara Karnival Santai Budaya hujung minggu ini.

    Penutupan laluan terbabit dari Jalan Tengah dan sebahagian Jalan 52/18 sehingga Restoran Ajmeer di Seksyen 52. Jalan terbabit akan ditutup dari jam 8 malam pada Jumaat (17 Nov) ini hingga 5 petang pada Ahad (20 Nov). Sila teliti peta di atas untuk rujukan.

    Bagi Karnival Santai Budaya pada 18 November ini, banyak aktiviti yang akan dianjurkan. Termasuklah pertandingan mewarna, bola jaring jalanan, tingkah tari, pakaian beragam, dan banyak lagi. Selain itu, banyak acara untuk kanak-kanak juga disediakan.

     
     
  • Suzuki GSX-8R diperkenal – fairing penuh, 776 cc

    Suzuki GSX-8R diperkenal – fairing penuh, 776 cc

    Seperti yang sudah dijangka, pengenalan Suzuki GSX-8S semasa pameran EICMA tahun lepas akhirnya membawa kepada pengenalan versi sport dengan fairing penuh pula. Pada EICMA 2023, Suzuki memperkenalkan GSX-8R, yang menggunakan binaan asas sama seperti versi naked GSX-8S, tetapi mempunyai panel badan penuh sebuah sportsbike.

    Walaupun dengan fairing penuh itu, anda boleh menyaksikan Suzuki masih mengekalkan konsep rekaan sama pada bahagian lampu, dengan menggunakan jenis LED yang bertingkat, sementara di tepinya terdapat bukaan udara. Bahagian tangki, tempat duduk dan lampu belakang semua kelihatan sama.

    Kuasa penggerak GSX-8R datang daripada enjin dua silinder selari 776 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api elektronik, yang dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan 82 hp pada 8,500 rpm dan tork 78 Nm pada 6,800 rpm.

    Pada bahagian kokpit, informasi penting dipaparkan oleh panel instrumen TFT-LCD lima inci berwarna penuh, sementara untuk mod tunggangan, ada tiga pilihan disediakan, dengan Mode A yang paling agresif, diikuti Mode B, dan Mode C yang lebih seperti mod hujan.

    Menggunakan sistem pendikit ride-by-wire, motosikal ini turut datang dengan kawalan cengkaman tiga tahap, bantuan rpm rendah untuk memudahkan pergerakan awal serta quickshifter secara standard. Memegang rodanya ke atas jalan adalah suspensi daripada Kayaba, dengan fork USD di hadapan, sementara sistem brek pula terdiri daripada cakera berkembar 310 mm di hadapan, dan cakera 240 mm di belakang.

    Dengan tambahan panel badan penuh, GSX-8R mencatat berat keseluruhan 205 kg (lebih 2 kg berbanding GSX-8S), manakala tinggi tempat duduk dan kapasiti tangki bahan api iaitu masing-masing 810 mm dan 14 liter masih adalah sama. Ia datang dalam pilihan warna Metallic Triton Blue, Pearl ignite Yellow, Metallic Mat Sword Silver dan Metallic Mat Black No 2.

     
     
  • Xiaomi SU7 terdedah – EV kuasa sehingga 664 hp

    Xiaomi SU7 terdedah – EV kuasa sehingga 664 hp

    Kita sudah tahu agak lama Xiaomi akan memasuki pasaran EV di China, dan ini adalah antara gambar terawal kereta pertama mereka, yang dinamakan sebagai Xiaomi SU7. Gambar dan spesifikasi ini didapati daripada Kementerian Industri dan Informasi Teknologi (MIIT) China, yang mengawal proses homologasi di sana, dan dikongsi oleh CarNewsChina.

    ‘Kereta Mi’ yang menggunakan nama kod MS11 ini adalah sebuah sedan, dan ia akan dikeluarkan secara kontrak oleh BAIC. Ia mempunyai ukuran panjang 4,997 mm, lebar 1,963 mm dan jarak roda 3,000 mm. Ini menjadikan ia lebih besar berbanding BYD Seal, yang mencatat panjang 4,800 mm, lebar 1,875 mm dan jarak roda 2,920 mm.

    Di sebalik panel badannya terdapat bateri daripada BYD (LFP) dan CATL (ternary NMC). Tetapan asas RWD mendapat motor 295 hp (220 kW), sementara versi AWD ditambah dengan satu lagi motor 369 hp (275 kW) di hadapan, menjadikan kuasa keseluruhannya 664 hp (495 kW). Berat untuk versi RWD adalah 1,980 kg dan boleh mencatat kelajuan maksimum 210 km/j manakala versi AWD mencatat 2,205 kg dan 265 km/j.

    Menurut dokumen yang dihantar kepada MIIT, terdapat tiga versi untuk Xiaomi SU7 ini iaitu SU7, SU7 Pro dan SU7 Max. Ada varian yang akan dilengkapi dengan sayap belakang aktif, dan rim disediakan dalam dua pilihan – 19 atau 20 inci. Terdapat kamera pada b-pillar kereta ini, memberi petunjuk kepada fungsi pengenalan muka, dan Xiaomi juga mendaftar kereta tersebut dengan sistem Lidar.

    Seperti yang boleh dijangka, sistem dalam kenderaan ini akan dikuasakan oleh Xiaomi HyperOS, yang dibangunkan sendiri oleh Xiaomi dan boleh digunakan untuk telefon pintar dan juga kereta. Turut disediakan adalah pembaca ETC untuk membayar tol

    Menurut CNC, operasi pengeluaran SU7 akan bermula pada bulan Disember, dan penghantaran akan dibuat bermula Februari 2024. Kilang BAIC di Beijing juga dikatakan sudah memulakan pengeluaran percubaan dengan beberapa unit telah pun siap.

     
     
  • Porsche Pre-Owned Cars Day di JB, Penang dari 18-19 Nov — baucar Porsche Lifestyle RM3,000

    Porsche Pre-Owned Cars Day di JB, Penang dari 18-19 Nov — baucar Porsche Lifestyle RM3,000

    Porsche Pre-Owned Cars Day kembali lagi ke wilayah utara dan selatan Semenanjung, dan bakal berlangsung di kedua-dua Porsche Centre Penang dan Porsche Centre Johor Bahru pada hujung minggu 18-19 November bermula 10 pagi hingga 5 petang.

    Dengan pelbagai barisan kenderaan daripada jenama kereta sport berprestasi tinggi Jerman, semuanya tersedia untuk anda dekati sempena Porsche Pre-Owned Cars Day ini. Sama ada model ikonik 911, Macan yang versatil, kereta sports untuk lima penumpang Cayenne atau model elektrik Taycan, kereta Porsche impian anda sedia menanti di kedua-dua Porsche Centre terlibat.

    Sudah menemui Porsche yang sesuai dengan gaya hidup anda? Buat tempahan untuk Porsche impian anda di acara ini dan nikmati ganjaran baucar Porsche Lifestyle bernilai RM3,000, atau pembesar suara 911.

    Ketika anda membuat tempahan dan ingin trade-in kenderaan anda, tidak kira jenama dan bukan hanya untuk model Porsche, anda juga akan menerima baucar Porsche Lifestyle bernilai RM1,000. Jadualkan temujanji untuk membuat pemeriksaan ke atas kenderaan anda pada hari tersebut melalui program penilaian dengan cara mendaftar di sini.

    Hanya dibawakan secara eksklusif sempena Porsche Pre-Owned Cars Day, nikmati semua kelebihan ini dengan mendaftar kehadiran anda bersama Porsche Centre Penang atau Porsche Centre Johor Bahru dan berkunjunglah ke sana pada 18-19 November untuk langkah pertama memiliki kereta Porsche impian anda.

     
     
  • Nissan perkenal set baju tidur Fast Asleep Nismo X Daniel Patrick – bermula RM900 hingga RM1,300

    Nissan perkenal set baju tidur Fast Asleep Nismo X Daniel Patrick – bermula RM900 hingga RM1,300

    Jika anda peminat Nissan Motorsport International (Nismo), sekarang anda bukan hanya boleh bergaya dari bangun pagi hingga malam dengan pelbagai barangan rasmi seperti baju kemeja-T dan jam tangan kolobrasi dengan logo jenama tersebut – memperkenalkan koleksi baju tidur Fast Asleep Nismo edisi terhad yang kini sudahpun boleh dibeli, membolehkan gaya Nismo anda kekal hingga masuk tidur!

    Koleksi ini dihasilkan bersama oleh Nissan dan juga pereka streetwear olahraga premium, Daniel Patrick. Dua jenis pakaian tidur ditawarkan dalam koleksi ini iaitu set baju tidur (pyjamas) dan juga jubah tidur. Menurut Nissan, untuk menghasilkan koleksi ini, Daniel Patrick diberi peluang untuk merasai pengalaman memandu Nissan Z Nismo 2024 bagi mengambil inspirasi “kombinasi fokus sedia untuk litar dan penggayaan tersendiri”.

    Kedua-dua pakaian tidur berkenaan menampilkan skim warna yang diinspirasikan dari Nismo, serlahan warna merah dan kemasan yang merujuk kepada bentuk lampu belakang LED Z Nismo, tali serut pinggang berwarna merah diinspirasikan dari jalur merah di bahagian bawah Z Nismo, serta sulaman logo Nismo.

    Selain itu, Nissan menyatakan bahawa baju dan jubah tidur ini juga mempunyai “liang udara yang diletakkan secara strategik bagi menyokong pengurusan aliran udara sama seperti perincian penting pada mana-mana rekaan kereta sport”, dan juga menggunakan material yang boleh bernafas untuk pentermokawalaturan.

    Nissan turut menyatakan bahawa projek penghasilan pakaian tidur ini juga mengambil inspirasi dari “sains tidur” oleh “pakar tidur”, Dr. Matthew Walker yang membuat penyelidikan ekstensif bagi menyorot kepentingan rehat yang berkualiti bagi memberikan prestasi terbaik pada pelumba kereta.

    “Untuk menjadi pemandu yang lebih baik, ia bukan hanya mengenai prestasi dan bertindak balas dengan cepat, ia juga mengenai konsistensi – dan menguruskan tumpuan. Saya tidak tahu apa-apa selain tidur yang mempunyai sumbangan statistik yang lebih besar untuk meningkatkan keupayaan itu,” ” kata Walker.

    Salah satu cadangan Walker bagi meningkatkan kualiti tidur adalah dengan memastikan suhu badan berada pada kadar sepatutnya pada waktu malam. Jadi koleksi baju tidur Nismo ini direka mengikut saranan Walker dengan menggunakan material polar fleece, diberikan liang sisi dan juga seluar dengan bahagian kaki yang lebar bagi menyokong pentermokawalaturan dan aliran udara.

    “Rekaan koleksi pakaian tidur ini menampilkan pengudaraan yang diletakkan secara strategik, yang mungkin membantu melepaskan haba yang terperangkap. Apabila kita melepaskan haba yang terperangkap, suhu badan kita boleh mula menurun, dan itu akan memberikan tidur yang lebih lena,” kata Walker lagi.

    Koleksi pakaian tidur ini boleh dibeli di laman sesawang rasmi Daniel Patrick. Untuk pelanggan dari Malaysia, laman tersebut menyenaraikan harga RM1,300 untuk set baju tidur dan RM900 untuk jubah tidur. Harga yang dinyatakan ini tidak termasuk cukai dan kos penghantaran. Koleksi ini juga dihasilkan dalam jumlah terhad iaitu hanya 50-unit setiap satu.

     
     
  • KKR laksana projek rintis garisan jalan ‘glow in the dark’ di Sg Lalang, Sg Tekali – pertama di Malaysia

    Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Langat telah melaksanakan projek rintis pemasangan cat garisan jalan ‘glow in the dark’ di persimpangan Jalan Sungai Lalang, Semenyih. Ia merupakan lokasi pemasangan cat jalan ‘glow in the dark’ yang pertama seumpamanya di Malaysia.

    Menurut KKR, projek rintis ini dilaksanakan sepanjang 245 meter dengan panjang cat jalan 490 meter. Ia didapati sesuai untuk kawasan laluan gelap yang tiada lampu jalan dan salah satu alternatif melibatkan penggunaan ‘road stud/mata kucing’.

    Di mana ia mengikut konsep garisan di jalan raya kelihatan normal pada waktu siang namun akan bercahaya pada waktu malam.

    Pelaksanaan projek rintis ini adalah bagi memastikan pengguna jalan raya memandu lebih selamat dan sangat membantu terutamanya bagi pengguna jalan raya yang tidak biasa memandu melalui sesuatu kawasan baharu.

    Malam tadi, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah turun padang meninjau lokasi projek berkenaan di persimpangan Jalan Sungai Lalang (B19) dan Jalan Sungai Tekali (B16). Hadir sama ke lokasi ialah Datuk Zahrul Hakim Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Dasar Dan Pembangunan KKR, Datuk Ir. Ahmad Redza Ghulam Rasool, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia dan YB Mohd Sany Hamzan selaku Ahli Parlimen Hulu Langat.

    Walau bagaimana pun, KKR masih belum mengeluarkan sebarang perincian mengenai projek ini termasuk dari segi kos dan perancangan untuk memperkembangkannya lagi di lokasi lain pada masa hadapan.

    Pada tahun 2014, Netherland turut melaksanakan projek garisan jalan glow in the dark sebegini menerusi projek Smart Highway. Manakala tahun lalu, Australia mengambil langkah yang sama dengan melaksanakan projek jalan glow in the dark di Victoria. Dengan kos menelan belanja sebanyak RM12.5 juta, projek tersebut dianggap sebahagian daripada program keselamatan jalan raya oleh Regional Roads Victoria.

     
     
  • Johor tetapkan fatwa 81 km sehala sebagai kadar baharu 2 marhalah bagi musafir solat jamak dan qasar

    Johor tetapkan fatwa 81 km sehala sebagai kadar baharu 2 marhalah bagi musafir solat jamak dan qasar

    Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor telah mewartakan fatwa penetapan 81 km sehala sebagai kadar baharu bagi dua marhalah untuk musafir menunaikan solat jamak dan qasar. Menerusi surat warta yang dikongsikan oleh Media Digital Johor, fatwa itu diwartakan dalam Warta Kerajaan Johor bertarikh 9 November 2023 seperti mana yang diperakui oleh Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad.

    Menurut beliau, pewartaan itu dibuat mengikut ketetapan di bawah Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 [Enakmen 16 Tahun 2003]. Di mana Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor, iaitu atas perintah dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan, menyediakan fatwa yang dinyatakan untuk disiarkan menurut subseksyen 48 (6) enakmen itu.

    “Adalah ditetapkan bahawa penentuan kadar dua marhalah bagi musafir untuk menunaikan solat jamak dan qasar serta hukum-hukum fiqah lain yang memberi keringanan (rukhsoh) adalah 81 kilometer,” katanya.

    Laporan Berita Harian pula menyebut, pada 25 April tahun lalu, jawatankuasa berkenaan membuat keputusan penetapan kadar dua marhalah adalah 81 km setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut. Ia selaras keputusan yang dibuat mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-118 pada 16 hingga 17 Februari 2021.

    Muzakarah berpendapat bahawa hukum penentuan kadar dua marhalah, kariah dan balad dari perspektif fiqah semasa adalah adalah 81 km (taqribi) dengan persempadan dan penentuan kariah serta balad adalah mengikut empat pilihan termasuk kaedah, uruf dan ketetapan negeri-negeri selaras akta atau enakmen negeri. Ia juga boleh mengikut peta yang dikeluarkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) atau peta disediakan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) melalui sistem i-PLAN.

     
     
  • Gentari, Asahi Kasei dan JGC Holdings tandatangan MOU untuk hasilkan 8k tan hidrogen hijau setahun

    Gentari, Asahi Kasei dan JGC Holdings tandatangan MOU untuk hasilkan 8k tan hidrogen hijau setahun

    Gentari Hydrogen, anak syarikat milik penuh Gentari (divisi tenaga bersih Petronas), bersama-sama Asahi Kasei dan JGC Holdings, mengumumkan hasil kajian kebolehlaksanaan terperinci untuk pengeluaran sehingga 8,000 tan hidrogen hijau setiap tahun menggunakan sistem elektrolisis air alkali kelas 60 MW (megawatt).

    Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan, ketiga-tiga pihak juga telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) untuk kajian reka bentuk kejuruteraan awalan (FEED) untuk projek itu, yang disokong oleh Dana Inovasi Hijau untuk Pembangunan Sistem Elektrolisis Air Beralkali Berskala Besar dan Projek Loji Kimia Hijau oleh Pertubuhan Pembangunan Teknologi dan Tenaga Baharu Jepun (NEDO).

    Kajian FEED tersebut dijadualkan akan bermula pada Januari 2024, dengan operasi dirancang bermula pada 2027. Projek berskala komersial itu dikatakan menunjukkan komitmen syarikat untuk mempromosikan hidrogen hijau dalam pasaran serta mewujudkan asas untuk pengeluaran hidrogen hijau serantau, selaras sasaran penyahkarbonan yang ditetapkan di Jepun, Malaysia dan di seluruh Asia Tenggara.

    “Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan kedua-dua syarikat ini dalam projek yang akan menunjukkan kepada dunia aplikasi praktikal hidrogen hijau. Pengalaman Asahi Kasei daripada eksperimen demonstrasi di Jerman dan menguruskan elektroliser 10 MW di Jepun selama lebih tiga tahun akan memainkan peranan penting dalam kejayaan projek ini,” kata Nobuko Uetake, ketua pegawai eksekutif Asahi Kasei dan pengurus besar kanan Projek Green Solution syarikat tersebut.

    Gentari, Asahi Kasei dan JGC Holdings tandatangan MOU untuk hasilkan 8k tan hidrogen hijau setahun

    “Kerjasama strategik antara Gentari, Asahi Kasei dan JGC ini meningkatkan nilai untuk semua yang terlibat. Projek itu wujud sebagai pemangkin untuk memajukan ekonomi hidrogen Malaysia ke arah mencapai sasaran hidrogen hijau sebanyak 200,000 tan setahun menjelang 2030, sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen,” kata ketua pegawai hidrogen Gentari, Michele Azalbert.

    Beliau turut memberitahu, selain dari projek ini Gentari turut sedang membangunkan projek hidrogen dengan entiti negara dan negeri untuk “meletakkan Malaysia sebagai hab hidrogen terkemuka di rantau ini, memanfaatkan aset Petronas dan kelebihan strategik negara.”

    “Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas usaha memuktamadkan MOU ini. Kumpulan JGC kini sedang membina kemudahan demonstrasi pengeluaran ammonia bersih bersebelahan dengan elektrolisis Asahi Kasei di Namie-machi, Wilayah Fukushima, Jepun, bersama-sama dengan sistem kawalan bersepadu. Kami berharap dapat menerapkan pengetahuan yang diperoleh daripada demonstrasi dan menggunakan hasil teknikalnya ke arah pelaksanaan projek ini di Malaysia,” kata Masahiro Aika, pegawai eksekutif kanan, pegawai pengkomersilan teknologi dan pengurus besar unit kelestarian penciptaan bersama JGC.

     
     
  • Harga minyak 16-22 Nov – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 16-22 Nov – Semuanya dikekalkan

    Kementerian Kewangan (MoF) memutuskan untuk terus mengekalkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel, bagi minggu bertarikh 16 hingga 22 November 2023,

    Di mana harga petrol RON 97 dikekalkan pada RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan sebanyak 10 sen seliter pada 20 September lalu.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 4 November lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata mekanisme bagi pelaksanaan subsidi bersasar bagi petrol dan diesel akan dikemukakan untuk pertimbangan Jemaah Menteri pada bulan ini atau selewat-lewatnya Disember, dan dijangka dilaksanakan selepas Mac 2024.

     
     
  • Honda CB650R, CBR650R pasaran M’sia ditawarkan dalam warna baharu – harga RM44,499 dan RM46,499

    Honda CB650R, CBR650R pasaran M’sia ditawarkan dalam warna baharu – harga RM44,499 dan RM46,499

    Honda CB650R dan CBR650R pasaran Malaysia sekali lagi diberikan pembaharuan warna dan harga jualan terkini yang disiarkan oleh Boon Siew Honda Malaysia adalah masing-masing RM44,499 dan RM46,499. Harga ini tidak termasuk insurans, dan datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Pilihan warna yang disediakan untuk CB650R 2023 adalah Mat Jeans Blue Metallic, Candy Chromosphere Red dan Mat Gunpowder Black Metallic, sementara untuk CBR650R adalah Grand Prix Red atau Mat Gunpowder Black Metallic, dan dihiasi dengan grafik baru.

    Bahagian lain dua model ini masih sama, bermula dengan enjin, yang menggunakan unit empat silinder DOHC 649 cc bersama gabungan transmisi enam kelajuan (dengan klac jenis slip and assist), mampu menghasilkan kuasa maksimum 94 hp pada 12,000 rpm dan 64 Nm tork pada 8,500 rpm.

    Suspensi CB650R dan CBR650R menggunakan fork USD Showa Separate Function Big Piston (SFF- BP) 41 mm, sementara di belakang menggunakan monoshock dengan pelarasan pra beban 10 tahap. Informasi penting motosikal dipaparkan pada panel instrumen jenis LCD.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada dua model ini adalah termasuk sistem kawalan cengkaman Honda Selectable Torque Control (HSTC), brek cakera berkembar 310 mm serta angkup empat piston di hadapan, cakera brek 240 mm di belakang, ABS, lampu LED, soket pengecas USB-C serta tangki bahan api 15.4 liter.

     
     
  • Toyota Camry 2025 tiba di Amerika Syarikat – hanya enjin hibrid 2.5L, kuasa sehingga 235 PS, AWD/2WD

    Toyota Camry 2025 tiba di Amerika Syarikat – hanya enjin hibrid 2.5L, kuasa sehingga 235 PS, AWD/2WD

    Selepas beberapa siri teaser, Toyota Camry generasi kesembilan akhirnya diperkenalkan secara rasmi buat pertama kalinya di Amerika Syarikat (AS), dan ditawarkan hanya dengan satu penggerak sahaja, iaitu hibrid series-parallel. Pembeli di sana boleh memilih sama ada pacuan dua roda atau semua roda, serta empat varian iaitu LE, SE, XLE dan XSE.

    Toyota Hybrid System generasi kelima (THS 5) pada Camry serba baru ini menggunakan enjin petrol empat silinder sebaris 2.5 liter NA bersama dua motor elektrik untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 225 hp (228 PS).

    Bagi versi AWD, ada motor ketiga yang diletakkan pada gandar belakang, dan meningkatkan kuasa keseluruhannya menjadi 232 hp (235 PS) – dipanggil sebagai E-Four. Kedua-dua pakej kuasa ini datang dengan transmisi CVT elektronik (E CVT), serta bateri lithium ion – kapasiti tenaga masih belum didedahkan.

    Pilihan enjin V6 3.5 liter kini tidak lagi ditawarkan pada Camry baru meskipun kuasanya lebih tinggi, iaitu 301 hp, berkemungkinan kerana kurang permintaan, penggunaan bahan api yang tinggi serta langkah Toyota untuk mengurangkan emisi. Setakat ini juga tidak dinyatakan sebarang petunjuk untuk varian TRD, seperti yang ditawarkan pada model generasi kelapan.

    Toyota Camry 2025 tiba di Amerika Syarikat – hanya enjin hibrid 2.5L, kuasa sehingga 235 PS, AWD/2WD

    Camry baru ini masih lagi dibina atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA) versi GA-K seperti model sebelum ini, tetapi beberapa perubahan dibuat termasuk penyerap baru serta talaan yang lebih bersesuaian dengan penggunaan atas jalan dan keselesaan.

    Untuk rekaan luar, Camry baru ini mendapat gril ‘hammerhead‘ baru seperti Prius, Crown Sport dan C-HR. Lampu utama LED juga kini lebih nipis, dan disepadukan dengan DRL berbentuk C, sementara lubang udara tersembunyi digunakan pada bahagian bawah bampar, bersama kemasan baru.

    Pergi ke belakang, lampunya mengikuti konsep rekaan bentuk C seperti di hadapan, dan disertai oleh tulisan Camry yang hurufnya lebih berjarak pada penutup but. Tempat letak nombor plat dan bahagian yang menyambungkan lampu serta bampar juga telah direka semula.

    Toyota Camry 2025 tiba di Amerika Syarikat – hanya enjin hibrid 2.5L, kuasa sehingga 235 PS, AWD/2WD

    Masuk ke dalam, papan pemuka diubah sepenuhnya, dengan kini lebih ringkas dan mempunyai skrin sesentuh 12.3 inci (varian lebih rendah mendapat unit lapan inci). Di hadapan pemandu pula terdapat panel instrumen digital 12.3 inci (varian lebih rendah menggunakan unit tujuh inci), serta roda stereng baru – head-up display 10 inci diberikan secara standard pada varian tinggi.

    Di bawah skrin infotainmen tengah, kawalan pendingin hawa dan fungsi lain semuanya kini menggunakan butang (tiada lagi tombol), dan diletakkan atas pada corong pendingin hawa. Ke bawah lagi terdapat tombol gear biasa, tempat letak cawan, butang kawalan lain serta sedikit ruang barangan di bahagian penumpang.

    Semua varian Camry 2025 di AS ini datang dengan Toyota Safety Sense 3.0, yang termasuk Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Departure Assist, Road Sign Assist, Automatic High Beam, Blind Spot Monitoring dan Rear Cross Traffic Alert. Pakej Premium Plus pada varian XLE dan XSE pula memberikan Traffic Jam Assist, Front Cross Traffic Alert, Lane Change Assist, Panoramic View Monitor serta bantuan parkir hadapan dan belakang.

     
     
  • GAC GS3 Emzoom 2024 dilihat di M’sia — pesaing Proton X50, Honda HR-V dengan 1.5T bakal tiba?

    GAC GS3 Emzoom 2024 dilihat di M’sia — pesaing Proton X50, Honda HR-V dengan 1.5T bakal tiba?

    Akan ada penawaran terbaru untuk pasaran tempatan bagi model SUV segmen B dalam masa terdekat ini. Seperti yang dapat dilihat dari gambar yang dirakam oleh Charles Ong, seorang pembaca paultan.org ini: GAC GS3 Emzoom 2024 akan menjadi model pertama pengeluar China, Guangzhou Automobile Group, untuk program CKD yang bukan hanya untuk rantau ASEAN, tetapi untuk peringkat global.

    GAC GS3 Emzoom 2024 akan dipasang di kilang Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) di Segambut, Kuala Lumpur. Dikenali dengan nama Trumpchi GS3 di pasaran China, SUV segmen B ini dibangun menggunakan platfrom GPMA yang terkini oleh pengeluarnya. Ia mempunyai dimensi 4,410 mm panjang, 1,850 mm lebar, dengan jarak antara roda 2,650 mm — ini 52 mm lebih panjang dan 25 mm lebih lebar berbanding model sama terdahulu.

    Antara pesaingnya di Malaysia ialah Proton X50, yang 80 mm lebih pendek, 50 mm kurang kelebaran dan 9 mm lebih tinggi dengan jarak antara rodanya juga 50 mm lebih pendek. Selain itu, Honda HR-V juga berada dalam segmen yang sama, dengan ukurannya yang 25 mm lebih pendek, 60 mm kurang kelebaran dan jarak antara roda yang 40 mm lebih pendek.

    GAC GS3 Emzoom 2024 dilihat di M’sia — pesaing Proton X50, Honda HR-V dengan 1.5T bakal tiba?

    Kebiasaan model dalam segmen ini dilengkapi dengan enjin 1.5 liter turbocas petrol, tetapi GS3 Emzoom datang dengan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder yang menghasilkan sebanyak 177 hp dan 270 Nm. Di atas kertas, angka janaan torknya yang paling tinggi berbanding pesaing lain — X50 Flagship dengan 255 Nm, HR-V Turbo dengan 240 Nm, dan Chery Omoda 5 dengan 230 Nm.

    Untuk transmisi, GS3 Emzoom menggunakan jenis automatik klac berkembar tujuh-kelajuan dengan pacuan roda depan. Pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam 7.5 saat, dengan penggunaan minyak didakwa sekitar 6.8 liter bagi setiap 100 km (14.7 km/l) jika mengikut data ujian doemstik pasaran China.

    Unit pemasangan tempatan bagi model GAC dijadualkan akan mula keluar dari kilang Segambut pada April 2024, sebelum jualan dimulakan pada pertengahan tahun.

     
     
  • Honda Rebel 500 tiba dalam warna baru – RM33,899

    Honda Rebel 500 tiba dalam warna baru – RM33,899

    Honda Rebel 500 sekali lagi diperbaharui dengan warna baru, bagi model tahun 2023, dengan kali ini disediakan dalam tiga warna iaitu Mat Gunpowder Black Metallic, Candy Diesel Red dan Pearl Smoky Gray. Harganya ditetapkan pada RM33,899 tidak termasuk insurans, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Bahagian lain motosikal dengan gaya bobber ini masih tidak berubah, bermula dengan enjin, yang menggunakan unit dua silinder selari DOHC 471 cc berkuasa 45.6 hp pada 8,500 rpm dan 43 Nm tork pada 6,500 rpm. Enjin ini menggunakan sistem suntikan bahan api PGM-FI dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan.

    Panel instrumen motosikal ini menggunakan unit digital berbentuk bulat, manakala tangki pula berkapasiti 11.2 liter. Rim bersaiz 16 inci, dengan tayar 130/90 di hadapan dan 150/80 di belakang manakala brek pada kedua-dua bahagian adalah unit cakera sekali dengan sistem ABS.

    Berat keseluruhan Rebel 500 adalah 190 kg dan tinggi tempat duduknya adalah 690 mm. Suspensi menggunakan fork teleskopik 41 mm di hadapan dan di belakang terdapat dua penyerap hentak.

    Diperkenalkan kali pertama pada tahun 2017, Rebel 500 kemudiannya diberikan peningkatan pada tahun 2020, yang termasuk tempat duduk serta tetapan suspensi lebih selesa dan praktikal, rekaan lampu LED baru berserta lampu penunjuk arah LED serta sistem ekzos serba baru yang membantu ia mendapat penarafan emisi Euro 5. Kemudiannya pada tahun 2022, ia diperkenalkan dengan warna baru.

     
     
  • Honda CR-V 2024 dibuka tempahan di Malaysia – 1.5L Turbo, 2.0L Hybrid; spesifikasi RS, Bose, kamera-360

    Honda CR-V 2024 dibuka tempahan di Malaysia – 1.5L Turbo, 2.0L Hybrid; spesifikasi RS, Bose, kamera-360

    Honda Malaysia (HM) telah mengumumkan tempahan bagi Honda CR-V generasi ke-enam kini telah pun dibuka di kesemua 101 wakil pengedar di seluruh Malaysia. Menurut HM, SUV ini akan dilancarkan pada bulan hadapan.

    Beberapa ciri baharu telah pun diberikan untuk CR-V 2024 ini, paling ketara ialah buat pertama kalinya, kita bakal menerima versi hibrid iaitu 2.0L e:HEV dengan hamburan kuasa 184 PS dan tork 335 Nm yang dipadankan bersama eCVT. Manakala versi 1.5L VTEC Turbo dikekalkan sebagai pilihan, dengan hamburan kuasa cecah 193 PS dan tork 243 NM serta digandingkan bersama CVT.

    Seperti imej yang anda dapat lihat di atas, CR-V kali ini buat pertama kalinya ditawarkan dengan spesifikasi tertinggi RS yang cukup ranggi. Ia hadir dengan gril hadapan RS dengan paten yang lebih menyerlah, dan HM berkata ia juga bakal dilengkapi lampu utama dan lampu belakang LED penuh, lampu kabus hadapan LED dan lampu isyarat hadapan LED (buat masa ini tidak dipastikan adakah pencahayaan LED eksklusif untuk RS sahaja).

    Klik untuk besarkan

    RS juga didatangkan dengan pemegang pintu yang lebih menawan, roda aloi Berlina Black 18-inci dan Active Shutter Grille di bampar bawah hadapan untuk menyerlahkan lagi karakter aerodinamiknya.

    Lain-lain ciri baharu yang diberikan termasuklah sistem audio 12-pembesar suara Bose (jenama ini pertama kali digunakan oleh HM), dan kamera 360-darjah. Seperti dijangka Honda Sensing ADAS dan Honda Connect juga diberikan dengan tailgate kuasa bebas-tangan dengan fungsi walkaway close.

    HM juga akan menganjurkan sesi tontonan eksklusid di beberapa wakil pengedar Honda terpilih untuk memberikan peluang kepada para pelanggannya melihat sendiri CR-V baharu ini menjelang pelancarannya. Sesi terbabit bermula dari 17 November ini, tarikh untuk menyertainya adalah seperti jadual di bawah. Anda juga boleh membuat pra-tempahan dengan Honda menerusi PAUTAN INI.

    Honda CR-V 2024 dibuka tempahan di Malaysia – 1.5L Turbo, 2.0L Hybrid; spesifikasi RS, Bose, kamera-360

    GALERI: Honda CR-V e:HEV RS 4WD 2023, spesifikasi Thailand

     
     
  • Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 – Operasi LRT Bukit Jalil dilanjut hingga 12.30 t/mlm pada 17 Nov

    Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 – Operasi LRT Bukit Jalil dilanjut hingga 12.30 t/mlm pada 17 Nov

    Rapid KL telah mengumumkan bahawa operasi stesen LRT Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga jam 12.30 tengah malam pada 17 November 2023.

    Ia adalah sempena dengan perlawanan bola sepak pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 di antara pasukan Malaysia menentang Republik Kyrgyzstan yang bakal berlangsung malam esok (16 Nov) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

    Walau bagaimana pun, para penumpang diingatkan untuk menggunakan kad Touch ‘n Go bagi memudahkan perjalanan. Sila pastikan baki tambah nilai di dalam kad berkenaan mencukupi.

     
     
  • MoT belum berhasrat kawal selia harga tambang e-hailing; bergantung penawaran dan permintaan – Loke

    MoT belum berhasrat kawal selia harga tambang e-hailing; bergantung penawaran dan permintaan – Loke

    Kementerian Pengangkutan (MoT) buat masa ini belum berhasrat mengawal selia tambang perkhidmatan e-hailing dan akan mengekalkan dasar sedia ada buat masa ini.

    Menurut menterinya, Anthony Loke, penentuan harga lantai tambang e-hailing adalah kompleks dan perlu diimbangi antara pemandu dengan pengguna, laporan Berita Harian.

    “Sekiranya harga lantai ditetapkan, tambang ke atas pengguna juga mungkin meningkat. Pemboleh ubah seperti kesesakan trafik, cuaca, jarak, masa, jumlah permintaan serta jumlah penawaran, menentukan padanan tempahan dengan penawaran secara langsung.

    “Justeru, harga tambang juga fleksibel mengikut padanan faktor semasa,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.

    MoT belum berhasrat kawal selia harga tambang e-hailing; bergantung penawaran dan permintaan – Loke

    Kenyataannya ini bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) berhubung tindakan susulan kementerian berhubung isu harga tambang yang dikatakan terlalu rendah sehingga merugikan pekerja sektor ekonomi gig.

    Beliau menambah, dasar berkaitan yang sedia ada dikekalkan tetapi MoT akan terus berhubung atau mengadakan perbincangan dengan syarikat e-hailing dari semasa ke semasa, termasuk melihat insentif yang boleh diberikan oleh pihak syarikat berkenaan bagi meningkatkan pendapatan pemandu perkhidmatan itu.

    “Setakat ini dasar sedia ada dikekalkan, tetapi kita akan terus berhubung dan adakan perbincangan dengan syarikat e-hailing dari semasa ke semasa supaya kita dapat cari satu kaedah tanpa kerajaan meletakkan syarat selain, melihat apakah insentif yang boleh diberikan syarikat e-hailing kepada pemandu untuk tingkatkan pendapatan mereka,” katanya.

    Katanya, ada juga syarikat e-hailing mahu membincangkan sistem tertentu, di samping terdapat permintaan supaya dibatalkan had siling komisen yang boleh diambil pihak syarikat terbabit.

     
     
  • JPJ eBid: JWR dan QS_T bakal dibuka bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Johor, JWR, akan dibuka bidaan mulai 16 November 2023 dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 20 November. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 21 November 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak pula, QS_T, bidaannya akan dibuka pada 19 November. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 23 November. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 24 November 2023 ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Honda Ridgeline Trailsport 2024 – suspensi talaan off-road, pelindung logam bawah badan, lebih lasak

    Honda Ridgeline Trailsport 2024 – suspensi talaan off-road, pelindung logam bawah badan, lebih lasak

    Honda Ridgeline yang dijual pada pasaran Amerika Syarikat bukanlah trak pikap yang dihasilkan dari casis ladder frame seperti lazimnnya trak pikap lasak biasa, sebaliknya ia diasaskan dari kerangka unibody dengan enjin diletakkan melintang seperti kereta-kereta Honda pacuan roda hadapan yang lain.

    Namun untuk versi kemaskini 2024, Ridgeline kini hadir dalam varian Trailsport – masih diasaskan dari Ridgeline biasa tetapi diberikan beberapa tingkat taraf agar ia mempunyai kebolehan meredah laluan off-road yang lebih baik.

    Untuk itu, Ridgeline Trailsport ini menerima set suspensi yang ditala khas untuk kegunaan off-road. Antara yang diusik pada suspensi tersebut termasuk kadar lantunan spring, talaan semula pada injap penyerap hentak, dan juga bar penstabil unik yang direka khas hanya untuk varian Trailsport ini.

    Honda Ridgeline Trailsport 2024 – suspensi talaan off-road, pelindung logam bawah badan, lebih lasak

    Menurut Honda, talaan semula pada suspensi yang dibuat ini memberikan kualiti pemanduan off-road yang lebih baik tanpa mengorbankan keselesaan dan pengendalian di atas jalan raya biasa. Ridgeline Trailsport ini juga datang standard dengan tayar General Grabber A/T Sport bersaiz 245/60R18 yang dapat memberikan cengkaman lebih baik di atas permukaan tidak bertar, pasir, lecak, berbatu dan juga salji.

    Juga untuk memastikan Ridgeline ini boleh dipandu pada laluan lasak tanpa masalah, ia datang dengan panel-panel pelindungan bawah badan yang diperbuat dari material logam sebenar.

    Tiada perubahan dibuat pada unit rangkaian kuasa. Honda Ridgeline Trailsport ini masih dijana oleh enjin petrol 3.5 liter V6 VTEC dengan sistem suntikan terus bagi menghasilkan kuasa 280 hp dan tork maksima 355 Nm. Ia digandingkan dengan kotak kotak gear sembilan kelajuan automatik.

    Pada asasnya kuasa dari enjin disalurkan untuk memacu roda hadapan. Namun dengan sistem pacuan semua roda i-VTM4 bersama fungsi torque vectoring, kuasa berkenaan turut memacu semua roda dengan nisbah agihan tork sehingga 70% ke roda belakang.

    Honda Ridgeline Trailsport 2024 – suspensi talaan off-road, pelindung logam bawah badan, lebih lasak

    Ridgeline Trailsport ini juga menerima kit penggayaan yang lebih lasak dari versi biasa. Ia menerima gril dengan rekaan mesh baharu bersama crossbar berwarna hitam, kemasan hitam pada kerangka tingkap dan cermin sisi, serta kemasan skid plate pada bawah bampar hadapan berwarna Pewter Grey.

    Rupa trak pikap ini disudahkan dengan pemadanan rim 18-inci juga berwarna Pewter Grey, serta lencana-lencana Trailsport yang dilekat pada gril hadapan dan pintu tailgate di belakang.

    Walaupun ia masih menggunakan kerangka unibody, Honda mendakwa bahawa Ridgeline mampu menampung kapasiti beban sehingga 720 kg dan kapasiti menunda sehingga 2.2 tan. Tray kargo pada bed belakang trak pikap ini pula diperbuat dari komposit kaca-gentian yang diperkuat (SMC) bagi mengelakkan ia calar ketika mengangkut beban.

    Bed tersebut juga mampu memuatkan kargo dengan lebar maksima 1,129 mm antara ruang roda kiri dan kanan, serta menampilkan lapan cangkuk yang boleh mengikat beban pada kadar 158 kg. Pintu tailgate belakang direka pintar bagi membolehkan kargo dengan panjang bermula 1,625 mm sehingga 2,133 mm di letak pada bed belakang dengan pintu yang dibuka secara mendatar ke bawah.

    Bed berkenaan juga mampu menampung beban dinamik sehingga 136 kg, bagi membolehkan ia membawa motosikal atau kenderaan ATV tanpa masalah. Satu lagi perincian istimewa pada bed belakang Ridgeline ini adalah ruang kargo bawah lantai yang boleh dikunci sebesar 207 liter, yang turut boleh digunakan sebagai penyejuk dengan meletakkan ais di dalamnya.

    Pada bahagian kabin, varian Trailsport ini menerima kemasan-kemasan berwarna oren seperti pada jahitan benang pada roda stereng, tempat duduk dan beberapa panel, serta lampu suasana yang juga berwarna oren. Sulaman logo ‘Trailsport’ turut diberi pada perehat kepala tempat duduk hadapan dan set karpet kaki.

    Kesemua varian Honda Ridgeline 2024 ini datang standard dengan pengingat pemakaian tali pinggang pada tempat duduk belakang dan juga sistem bantuan pemanduan Honda Sensing. Sistem berkenaan memberikan fungsi termasuk sistem brek kecemasan automatik dan amaran pelanggaran hadapan, bantuan kekal lorong, cruise control adaptif dan pelbagai lagi.

    Produksi trak pikap Honda Ridgeline 2024 untuk pasaran Amerika Utara ini dibuat di kilang Honda di Lincoln, Alabama. Ia akan mula dijual di pasaran berkenaan bermula musim sejuk akan datang.

     
     
  • Lynk & Co Cyan Racing gondol gelaran juara kategori pengeluar Kejohanan Touring Car Dunia buat kali ke-4

    Lynk & Co Cyan Racing gondol gelaran juara kategori pengeluar Kejohanan Touring Car Dunia buat kali ke-4

    Pasukan Lynk & Co Cyan Racing berjaya memuktamad gelaran juara dunia bagi kategori pengeluar dalam Kejohanan Touring Car Dunia TCR World Tour untuk musim 2023, selepas berakhirnya tiga perlumbaan untuk pusingan ke-8 kejuaraan tersebut yang berlangsung di Litar Mount Panorama, Bathurst, Australia hujung minggu lalu.

    Ini membolehkan pasukan Sweden yang menggunakan jentera dari China berkenaan memberikan tumpuan kepada pemandu utamanya, Yann Ehrlacher untuk sekali lagi bergelar juara dunia bagi kategori pelumba di pusingan terakhir yang akan berlangsung di Macau pada hujung minggu ini.

    Dengan keputusan berkenaan, Cyan Racing kini merangkul enam kejuaraan pengeluar bagi kejuaraan ulung Touring Car Dunia (WTCC, WTCR dan kini dikenali sebagai TCR World Tour) iaitu pada 2017, 2018, 2019, 2020, 2021 dan 2023, sepanjang tujuh-tahun penyertaannya dalam kelas itu. Dan ini merupakan gelaran keempat dirangkul menggunakan jentera Lynk & Co 03 TCR.

    Dalam perlumbaan di Bathurst ini, Race 1 dimenangi oleh pelumba Cyan Racing iaitu Santiago Urrutia, sementara dua pemandu pasukan tersebut, Yann Ehrlacher dan Thed Bjork masing-masing berada dikedudukan ke-4 dan ke-5. Untuk Race 2, Bjork mencatatkan keputusan terbaik untuk Cyan Racing dengan berada di tempat ketiga. Manakala dalam Race 3, Cyan Racing jelas mendominasi perlumbaan dengan Ehrlacher berada di tempat pertama diikuti Bjork di tempat kedua.

    “Kami benar-benar perlu bertarung untuk kejayaan kali ini, tetapi saya sangat bangga dengan semua orang dalam pasukan yang telah merealisasikan semua ini dan saya tak tahu ada pasukan lain dalam dunia yang boleh menghasilkan rekod seperti ini dalam tempoh tujuh-tahun kebelakangan ini,” kata pengurus pasukan Cyan Racing, Fredrik Wahlén.

    “Tetapi kami tak boleh berehat lagi dalam pelbagai cara, sekarang fokus kami tertumpu kepada saingan sangat sengit untuk gelaran pemandu untuk pusingan akhir di Macau kurang seminggu dari sekarang!” tambahnya lagi.

    Buat masa sekarang Yann Ehrlacher mendahului carta pungutan mata untuk kejuaraan pemandu TCR World Tour 2023, namun dia berkongsi kedudukan berkenaan dengan pemandu pasukan Audi Sport Comtoyou, Rob Huff dengan 384 mata.

    Lynk & Co Cyan Racing gondol gelaran juara kategori pengeluar Kejohanan Touring Car Dunia buat kali ke-4

    “Kami telah mengejar keputusan ini untuk tempoh masa yang lama, dan untuk memuktamadkan kemenangan dan gelaran untuk pasukan serentak memberikan perasaan yang menakjubkan, saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada semua orang dalam pasukan. Lynk & Co 03 TCR memberikan prestasi yang sangat baik dalam keseluruhan hujung minggu, sekarang kita akan berusaha sepenuhnya di pusingan akhir di Macau,” kata Ehrlacher.

    Yann Ehrlacher merupakan juara dunia WTCR musim 2020 dan 2021 dengan memandu Lynk & Co 03 TCR pasukan Cyan Racing ini. Tahun lalu dia dan pasukan tersebut terpaksa menarik diri dari perlumbaan berkenaan kerana masalah pada tayar yang dibekalkan oleh Goodyear yang tidak mampu bertahan dengan jentera Lynk & Co 03 TCR tersebut.

    “Ini merupakan hari dan pencapaian yang menakjubkan untuk Cyan Racing, seterusnya menjadikan mereka sebagai salah satu pasukan Touring Car terbaik di dunia. Semua orang di belakang pembinaan kereta lumba Lynk & Co 03 TCR di Geely Group Motorsport ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan dan mengucapkan yang terbaik untuk perlumbaan akhir di Macau,” kata Alexander Murdzevski Schedvin, Ketua Geely Group Motorsport International.